Search This Blog

Friday, April 19, 2013

Samun kerana mahu beli lampin anak



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 April 2013
Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
KAMPUNG RAJA - Polis memberkas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah pasar raya di Bandar Jertih 11 April lalu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Teluk Kemunting, Bachok Kelantan, kelmarin.

Suspek berusia 27 tahun dari Kampung Pak Sik, Keruak Hulu Besut itu bersembunyi di Bachok selepas menyedari diburu polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek ditahan pada jam 10 malam dalam satu serbuan yang diketuai Inspektor Zuraidi Semail.

Menurutnya, dalam siasatan awal suspek memberitahu dia menyamun di pasar raya itu untuk membeli lampin anaknya yang masih kecil dan sebahagian wang itu dipercayai untuk membeli dadah.
“Polis turut merampas wang RM10 dalam pokek suspek dipercayai hasil samun, manakala suspek turut menunjukkan kepada polis tempat dia menyembunyikan pistol tiruan yang disyaki digunakan untuk menyamun di rumahnya dekat Kampung Pak Sik,” katanya.

Kamaruddin berkata, polis merampas pistol pemetik api berwarna perak itu dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Menurutnya lagi, pada 11 April lalu seorang jurujual sebuah pasar raya borong dekat Jalan Pasir Akar membuat laporan pasar raya tersebut disamun seorang lelaki.

Suspek mengarahkan jurujual menyerahkan wang sebanyak RM200 yang berada di kaunter jualan.

Suspek juga didakwa mengangkat bajunya dan menunjukkan senjata yang menyerupai pistol berwarna perak di pinggangnya sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

12 jam menyorok bawah pukat



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 April 2013
pukat bot
Bot yang ditahan bot Penyelamat 7 APMM dibawa ke Jeti Operasi Tok Bali untuk pemeriksaan.
PASIR PUTEH - Tindakan tiga warga Vietnam menyorok di bawah timbunan pukat bersama guni berisi beras dan bawang bagi mengelak ditahan pihak berkuasa tidak memberi apa-apa makna selepas mereka dikesan ketika anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat pemeriksaan penuh ke atas bot yang ditahan kelmarin.

Mereka yang berusia dari 21 hingga 32 tahun itu dikatakan menyorok selepas bot yang mereka naiki bersama tujuh lagi nelayan ditahan Bot Penyelamat 7 diketuai Bentara Muda Ismail Yaacob pada jarak kurang satu batu nautika dari Tok Bali kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh berkata, mereka hanya ditemui 12 jam kemudian ketika penggeledahan penuh dilakukan dan mereka tidak makan dan minum sepanjang tempoh itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga warga Vietnam itu tidak mempunyai dokumen sah sebagaimana dimiliki tujuh nelayan atas bot sama, kita juga mendapati ada petak ikan yang langsung tidak dibuka.

“Mereka meletakkan ais yang agak banyak dipercayai untuk menyusahkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan,” katanya.

Lebih mengejutkan katanya, bot kecil tapi berlesen C2 tersebut turut membawa kira-kira 4,000 liter diesel bernilai RM72,000, melebihi keperluan.

Wan Burhanuddin berkata, pada hari sama, Bot Penggalang 18 diketuai Pegawai Waran II Maritim, Mohd Fauzi Ismail menahan bot nelayan tempatan yang didaftarkan di Kedah pada jam 12.50 tengah hari pada jarak kurang 67.6 batu nautika dari Tok Bali.

“Seramai enam kru warga Thailand berusia dari 33 hingga 54 tahun ditahan dan APMM merampas 1,500 kilogram ikan baja, 1,000 kilogram ikan campur dan 400 kilogram sotong.

“Kes ini merupakan kes pertama membabitkan bot nelayan dari pantai barat semenanjung, kita menyiasat sama ada wujud kemungkinan pengusaha dari Kedah menggunakan bot dari Songkla, Thailand,” katanya.

APMM katanya, mendapat maklumat terdapat kira-kira 20 bot mendapat lesen daripada Kedah tapi beroperasi dari Songkla dan pantai timur semenanjung.

Kes-kes itu katanya, akan disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Manusia, Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengusaha kantin meninggal dunia dalam kereta



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 April 2013
Pengusaha kantin meninggal dunia dalam kereta
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, pagi semalam.
IPOH - Demi menyelamatkan nyawa suami yang tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika memandu, Siti Fatimah Salleh, 52, berlari hampir 100 meter untuk mendapatkan bantuan dalam kejadian di Jalan Raja Di Hilir, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Ahmad Badarudin Idris, 54, memandu kereta ditemani isterinya menuju ke Politeknik Ungku Omar (PUO) bagi memulakan perniagaan di kantin  pusat pengajian berkenaan.

Siti Fatimah berkata, mereka mula mengusahakan kantin tersebut sejak lima tahun lalu dan keluar seawal 5.30 pagi untuk memulakan perniagaan.

“Bagaimanapun, hari ini saya lihat suami memandu kereta dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum secara tiba-tiba dia (suami) memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

“Suami saya yang dalam keadaan menahan kesakitan hampir merempuh tiang amaran lalu lintas ketika memberhentikan kereta yang kami naiki,” katanya yang segera mendapatkan bantuan sebuah hospital swasta yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Kata beliau, pada waktu itu, dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa suaminya. Namun sebaik petugas hospital tersebut tiba, suaminya didapati sudah meninggal dunia.

Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung bagaimanapun anggota polis masih menunggu laporan hospital untuk tindakan susulan.

Sementara itu beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menjalankan siasatan terhadap mangsa di lokasi kejadian sebelum jenazahnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tindakan lanjut.

Tiga murid cedera van dinaiki terbabas



TIGA MURID CEDERA VAN DINAIKI TERBABAS
19 April 2013
Kemalangan Van
Keadaan van berkenaan yang terbabit dalam kemalangan, semalam.
PETALING JAYA – Tiga murid dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing cedera setelah van dinaiki terbabas dan hampir melanggar sebuah bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Damansara Damai,di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu dipercayai berlaku apabila van terbabit hilang kawalan ketika menuruni selekoh di simpang empat dari arah Sekolah Kebangsaan Damansara Damai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi berkata, pemandu van seorang wanita dan mendakwa  brek kenderaan itu gagal berfungsi ketika menuruni bukit.

"Van berkenaan dipercayai terbabas ke kiri jalan kerana mengelak daripada melanggar kenderaan lain.

"Semua murid berusia 9 dan 10 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu terbabit mendapat rawatan pesakit luar," katanya.

Warga emas jadi mangsa tipu



NORIZZAH BAHARUDIN
19 April 2013
Warga emas jadi mangsa tipu
Krishnan dan Kausalia melakonkan semula aksi ketika dia diugut dua lelaki terbabit.
ALOR GAJAH - Sepasang warga emas mengalami kerugian kira-kira RM6,000 selepas diperdaya dua lelaki yang mendakwa anak perempuan mereka dimasukkan ke dalam hospital sebelum menyamun di Kampung Baru, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, S Krishnan, 57, bersama isteri, G Kausalia, 56, sedang tidur di dalam bilik dan terjaga apabila terdengar bunyi pintu rumah diketuk dengan kuat.
Krishnan berkata, sebaik membuka pintu, ada dua lelaki berkulit gelap memberitahu anak ketiga mereka, Kamala, 27, terbabit dalam pergaduhan dan telah mengambil ubat berlebihan sehingga dimasukkan ke Hospital Alor Gajah.
Menurutnya, lelaki itu dalam nada cemas meminta saya mengikutnya ke hospital sementara seorang lagi lelaki tinggal di rumah bersama isteri.
"Namun sebaik tiba di balai pengawal hospital, lelaki itu meninggalkan saya di situ.
"Panik memikirkan keadaan anak, saya bertanyakan kepada kakitangan hospital sebelum dimaklumkan nama anak saya tiada dalam senarai dimasukkan ke wad sebelum saya mengambil keputusan berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer untuk pulang ke rumah," katanya.
Katanya, tiba di rumah kira-kira 45 minit kemudian, dia terkejut melihat isterinya menangis dan menceritakan kesemua barangan kemas yang dipakai sudah disamun dua lelaki terbabit.
Sementara Kausalia berkata, sebaik suaminya ke hospital, badannya ditolak manakala kepala dihentak dengan topi keledar selain tangan dan kaki diikat serta mulut ditampal pita pelekat.
Menurutnya, dia merayu agar tidak diperlakukan sedemikian dan turut diugut akan dikelar leher jika dia menjerit.
"Dua bentuk cincin, seutas rantai leher dan sepasang anting-anting yang dipakai ditanggalkan lelaki itu sebelum mereka bertindak meninggalkan saya dalam keadaan terikat.
"Mujur ada dua remaja lalu di depan rumah dan datang membantu saya. Sejurus kemudian saya bercerita kepada suami yang bekerja sebagai pemotong ayam sebelum meminta majikannya membawa kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Tidak mengaku bunuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 April 2013
Tidak mengaku bunuh
Tertuduh (dua, kiri) menutup mukanya semasa dibawa untuk prosiding di Mahkamah Butterworth.
BUTTERWORTH - Seorang pekerja kilang warganegara Nepal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 3 di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian rakan senegaranya pada Ogos tahun lalu.
Binod Kumar Lama, 25, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi sebelum minta dibicarakan.

Pekerja kilang itu didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Harka Bahadur Limbu dengan niat hendak melakukan kematian.
Kejadian itu didakwa dilakukannya pada 1 Ogos 2012 lalu jam 5.30 petang di tingkat 3, Flat Bakap Indah, Seberang Perai Selatan dengan cara menikam mangsa selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

Suspek dan mangsa merupakan rakan serumah, berasal dari negara sama dan bekerja di sebuah kilang yang sama di Sungai Bakap.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan mematikan orang dengan jalan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

Di bawah seksyen ini jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Siti Aisyah Ramlan dan Hakim Meor Sulaiman kemudiannya mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 26 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dua kakitangan JKM maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 April 2013
Dua kakitangan JKM maut
Nissan Extral yang dinaiki tiga kakitangan JKM Mersing remuk teruk akibat pelanggaran itu. Gambar kecil: Mohd Fakhrul.
KLUANG - Dua kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kejadian di Kilometer 99 Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Extral dan Toyota Hilux yang dipandu dari arah bertentangan.

Ketua Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Asisten Superintendan Azmi Suratman berkata, Nissan Extral yang dinaiki tiga kakitangan JKM Mersing itu dalam perjalanan balik dari Negeri Sembilan menuju ke Mersing telah bertembung dengan Toyota Hilux dari arah bertentangan menuju ke Kluang.

Akibat pertembungan itu menurutnya, Pegawai JKM Mersing, Mohd Fakhrul Bahari, 28 dan pemandu JKM, Mohd Ridhuan Yusof, 39, meninggal dunia di tempat kejadian manakala, rakannya, Mohd Azahari Ya, 29, serta pemandu Toyota Hilux, Leew Yoon, 32, cedera parah.

“Kereta dinaiki Leew Yoon dari Mersing telah bergesel dengan kenderaan lain sebelum bertembung dengan Nissan Extral tersebut.

“Bagaimanapun, punca kejadian masih lagi dalam siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian ini diminta dapat memberikan maklumat yang tepat agar siasatan lebih terperinci dapat dilakukan,” katanya.
Kata Azmi, dua mangsa yang cedera parah masih dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom berikutan mengalami kecederaan teruk di bahagian kaki dan badan.

Manakala, jenazah Mohd Fakhrul akan dihantar dan dikebumikan di kampung halamannya di Langkawi manakala Mohd Ridhuan dikebumikan di Mersing, semalam.

Kanak-kanak tersepit kepala



Kanak-kanak tersepit kepala
Ibu mangsa menenangkan anaknya daripada ketakutan dan kesakitan.
Kanak-kanak tersepit kepala
Anggota penyelamat cuba mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit di celah bangunan di bandar Yulin.
Kanak-kanak tersepit kepala
Anggot bomba mengarahkan ibu mangsa segera membawa anaknya ke hospital.
BEIJING - Keseronokan seorang kanak-kanak bermain 'sorok-sorok' bersama rakan-rakannya berakhir insiden panik apabila kepalanya tersepit di celah bangunan di bandar Yulin, selatan China.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan cuba keluar dari celah bangunan tersebut namun gagal hingga menyebabkan seorang daripada rakannya terpaksa menghubungi ibu bapa mereka.

Menurut laopran MailOnline pegawai polis tempatan berkata, anggota penyelamat mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan kanak-kanak  perempuan berumur 6 tahun.

"Kepala kanak-kanak itu melekat pada dinding. Kami terpaksa menggunakan minyak pelincir untuk membantu mangsa," katanya.

Suspek lelaki hantar surat beracun ditahan




19 April 2013
Suspek lelaki hantar surat beracun ditahan
Anggota forensik membuat siasatan di Washington
Paul Kevin Curtis
Paul Kevin Curtis
OXFORD - Lelaki dari Mississippi yang ditahan selepas disyaki menghantar surat mengandungi racun toksik kepada Presiden Barack Obama dan beberapa pemimpin Amerika Syarikat (AS) semalam, dilaporkan turut terlibat dalam konspirasi menjual bahagian tubuh manusia di pasaran gelap.

Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Daniel McMullen berkata, Paul Kevin Curtis, 45, yang sering meniru karekter penyayi  Elvis Presley itu ditahan di rumahnya berhampiran Tennessee, utara di Tupelo.
“Kami masih menunggu ujian makmal terhadap surat dihantar kepada Obama dan Senator Mississippi, Roger Wicker,” katanya dipetik laporan Reuters

Beliau berkata, ujian awal mendapati surat tersebut mengandungi racun toksik ricin yang dijadikan sebagai campuran minyak kastor dan jika terhidu, ianya boleh membawa maut.

Sementara itu, di Boston, pasukan penyiasat AS sedang memburu seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian letupan bom sempena Maraton Boston, Selasa lalu.
Video pengawasan menunjukkan seorang lelaki dipercayai meletakkan sebuah beg berisi bom berhampiran tempat letupan yang mengorbankan tiga mangsa.

Pegawai Penguat Kuasa Undang-Undang mengesahkan, pihak berkuasa sudah menemui imej suspek dikehendaki namun identitinya masih belum dapat dikenal pasti.

Helikopter AS jatuh di Korea Selatan



Helikopter AS jatuh di Korea Selatan
Penunjuk perasaan membakar dan menconteng poster pengasas negara Korea Utara di Seoul.
SEOUL - Sebuah helikopter milik tentera Amerika Syarikat (AS), Sikorsky CH-53 terhempas semasa mendarat di pangkalan tentera Korea Selatan semalam

Pegawai tentera berkata, helikopter pengangkut itu mendarat di padang sasar di pangkalan tentera tersebut yang terletak di Cheorwon, 88 kilometer ke utara Seoul.

“Pesawat tersebut mendarat selepas menyertai latihan ketenteraan selama tiga jam bersama lima helikopter lain,” katanya.

Menurutnya, helikopter itu berlegar-legar beberapa minit sebelum terbakar selepas terhempas.

“Semua 21 askar AS yang menaiki helikopter itu terselamat manakala 15  yang lain dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan,” katanya dipetik Reuters

Beliau berkata, enam lagi askar yang masih dirawat dilaporkan stabil.

Sementara itu, tentera Korea Utara semalam mengancam  untuk melancarkan tindak balas yang membawa kemusnahan besar ke atas Korea Selatan.

Bagaimanapun, tindak balas itu tidak akan berlaku jika Korea Selatan meminta maaf ekoran tindakan penunjuk perasaan yang membakar patung dan poster pengasas negara, Kim Il Sung.

“Tindak balas kami akan bermula tanpa sebarang notis,” kata kenyataan yang dikeluarkan Pemerintah Tertinggi Tentera Rakyat Korea Utara.

Cari pucuk paku jumpa mayat



Cari pucuk paku jumpa mayat
Pasukan forensik melakukan pemeriksaan terhadap mayat dan lokasi berhampiran, semalam.
SHAH ALAM - Seorang lelaki dikejutkan dengan penemuan mayat diikat dan kesan tetak di kepala ketika dia sedang mencari pucuk paku di Jalan Padang Jawa 2, Padang Jawa, di sini, semalam.
Mayat lelaki itu ditemui dalam kawasan paya berhampiran Sungai Klang, kira-kira jam 9 pagi.
Saksi yang enggan dikenali itu berkata, setiap hari dia akan ke kawasan tersebut untuk mencari pucuk paku.
“Saya baru sampai dan selepas meletakkan motosikal, saya pergi ke kawasan paya itu untuk melihat ikan.
“Tidak disangka ada mayat lelaki dalam keadaan meniarap, tangannya diikat dan kesan tetak di kepala,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, dia seterusnya memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan tetak di belakang badan dan kepala mangsa.

“Mangsa dipercayai mati kurang 24 jam. Kita tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, polis sedang menyiasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditemui.

Zahedi berkata, mangsa merupakan warga Myanmar berdasarkan beberapa tanda di anggota badan.

“Identitinya belum diketahui dan kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi bantu siasatan.

Bayi diabai akibat dadah



Bayi di abai
Keadaan bayi malang yang diabaikan ibu bapanya.
Bayi diabai akibat dadah
Kulit bayi berkenaan melecur akibat mengalami jangkitan kuman.
SUNGAI BESAR - Seorang bayi berusia empat bulan mengalami nasib malang setelah diabaikan kedua ibu bapanya yang dipercayai terlibat dengan penagihan dadah.
Difahamkan, bayi berkenaan turut mengalami jangkitan kulit, selain berat badannya turun mendadak akibat tidak pernah mendapat penjagaan rapi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohammad berkata, ibu kepada bayi berkenaan dipercayai mengalami gangguan perasaan sejak suaminya ditahan awal Mac lalu atas kesalahan curi kabel.
“Selepas menjalani proses siasatan, polis mendapati bapa bayi tersebut positif dadah.

“Isterinya pula mengalami gangguan perasaan sejak suaminya ditahan dan bertindak mengambil dadah dengan lebih aktif sehingga mengabaikan keperluan anaknya itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mushar berkata, keadaan wanita terbabit disedari seorang penduduk yang melihatnya berkeliaran di sekitar kawasan Parit 7 Sungai Leman sambil mengendong bayi pada 9 April lalu.

Menurut, penduduk berkenaan kemudiannya menawarkan kepada wanita itu untuk menghubungi pihak hospital bagi membolehkan bayinya mendapat rawatan.
“Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan.
"Hasil pemeriksaan, pihak hospital mendapati bayi terbabit  hanya mempunyai berat badan 2.5 kilogram dan keadaan kulitnya melecur akibat jangkitan kuman,” katanya.

Beliau berkata, bayi itu dipercayai sudah sakit sejak dua minggu lalu dan difahamkan tidak pernah menerima rawatan kesihatan di hospital sejak lahir.
“Bayi ini hanya menerima suntikan BCG ketika dilahirkan. Bayi ini juga disahkan tidak mempunyai bekalan air yang cukup di dalam badan dan ada ketika mangsa hanya diberikan air kosong oleh ibunya," katanya.
Menurutnya, hasil maklumat daripada pihak hospital, polis kemudiannya menahan ibu bayi tersebut di hospital berkenaan jam 1.30 petang pada hari kejadian bagi menjalankan siasatan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, ibu mangsa menggunakan wang yang diperoleh hasil pemberian ehsan penduduk sekitar untuk membeli dadah.
"Wanita itu ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan dan sudah dituduh di Mahkamah Sungai Besar pada Selasa lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Mushar mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan dadah yang mampu memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan keluarga.

Katanya, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan itu dapat dikawal.

Dua bot laut dalam, 17 nelayan asing ditahan



Bot nelayan tempatan yang ditahan di lokasi 1.8 kilometer dari muara Tok Bali, Pasir Puteh atas pelbagai kesalahan, semalam.
PASIR PUTEH 18 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua buah bot laut dalam tempatan bersama 17 awak-awak warga Vietnam dan Thailand kerana beroperasi di luar kawasan semalam.
Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Wan Burhanuddin Jusoh berkata, dalam kejadian pertama, Bot Penggalang 18 bersama enam anggota diketuai Pegawai Waran II Maritim, Mohd. Fauzi Ismail menahan sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, bot yang didaftarkan di Kedah dengan nombor KHF 1923 itu ditahan di lokasi 125.2 kilometer dari muara Tok Bali pada pukul 12.50 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati lesen dan peralatan menangkap ikan bot itu adalah di Zon C dan didaftarkan untuk kegunaan di perairan Pantai Barat Semenanjung namun beroperasi di Pantai Timur.
"Ini kes pertama membabitkan bot nelayan Pantai Barat menceroboh perairan Pantai Timur dengan niat menangkap hasil laut tanpa mematuhi arahan ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Burhanuddin berkata, bot bersama 10 awak-awak warga Thailand berumur 33 hingga 54 tahun itu dibawa ke Pangkalan Maritim Malaysia Kelantan untuk siasatan lanjut. Turut dirampas ialah 1,500 kilogram ikan baja; 1,000 kilogram pelbagai jenis ikan dan 1,400 kilogram sotong.
Dalam kejadian kedua, Mohd. Fauzi berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran PAF 4654 di jarak 1.8 kilometer dari muara Tok Bali bersama tujuh awak-awak warga Vietnam berumur antara 22 dan 45 tahun.
Katanya, turut ditahan tiga lelaki warganegara sama tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ketika sedang bersembunyi di bawah timbunan pukat, guni bawang dan guni beras.
"Bot nelayan itu ditahan oleh Bot Penyelamat 7 bersama lima anggota diketuai Bintara Muda Maritim, Ismail Yaakub.
"Kesalahan bot itu adalah kerana tidak mendaratkan semua hasil tangkapan di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan niat menyembunyikan atau tidak membuat taksiran sebenar hasil tangkapan," ujarnya.
Bot tersebut, kata beliau, turut membawa serta menyimpan diesel subsidi di dalam tong fiber di atas dek yang dianggarkan berjumlah 4,000 liter dan bernilai RM72,000.
"Kesemua nelayan daripada kedua-dua bot dan tiga warga Vietnam yang ditemui bersembunyi dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok bagi mendapat kebenaran tahanan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan pihaknya mendapat maklumat risikan sekurang-kurangnya 20 buah bot yang mendapat lesen menangkap ikan dari Jabatan Perikanan Kedah beroperasi di perairan Pantai Timur.
Katanya, kumpulan nelayan terbabit dipercayai kerap menjalankan operasi pendaratan ikan di Songkla, Thailand dan kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130419/je_02/Dua-bot-laut-dalam-17-nelayan-asing-ditahan#ixzz2QsYf9R1Q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

64 pendatang asing tanpa izin ditangkap



Abdul Basek Abu Bakar memeriksa sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam dua operasi di Pasir Mas dan Pasir Puteh, semalam.
KOTA BHARU 18 April - Jabatan Imigresen Kelantan menahan seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam orang wanita, dalam dua operasi berasingan di Pasir Mas dan Pasir Puteh dekat sini malam tadi.
Ketua Bahagian Penguat Kuasanya, Abdul Basek Abu Bakar berkata, operasi yang bermula pukul 8.30 malam dan berakhir pukul 4 pagi itu diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Norehan Harun bersama 30 anggota yang bertindak atas maklumat risikan yang dilakukan sebelum ini.
"Seramai 56 orang PATI telah berjaya ditahan dalam operasi pertama di Pasir Mas membabitkan kawasan tapak pembinaan.
"Di Pasir Puteh pula, seramai lapan orang PATI ditahan di kawasan penempatan dekat Tok Bali. Kesemua PATI yang ditahan berusia antara 18 hingga 51 tahun dan merupakan warganegara Thailand, Kemboja, Bangladesh dan Myanmar," katanya di sini hari ini.
Abu Basek memberitahu, kesemua PATI itu ditahan atas pelbagai kesalahan terutamanya kerana kesalahan tinggal melebihi had masa ditetapkan dan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130419/je_03/64-pendatang-asing-tanpa-izin-ditangkap#ixzz2QsYYdtKV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki mengaku tidak bersalah kes ugut parang



MELAKA 18 April - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengugut seorang lelaki lain dengan bersenjatakan sebilah parang dan menyebabkan kerosakan pada kereta mangsa, minggu lalu.
Ezan Ahmad, 40, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Muhammad Razali Yusuf, 29, di Bulatan Ayer Molek, berhampiran sebuah kedai papan di Ayer Molek di sini pada pukul 3.45 petang, 11 April lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan itu menggunakan sebilah parang dengan niat mahu menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan atau kematian.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ezan juga didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada bonet depan kereta Muhammad Razali sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM200.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret Mohd. Firdaus Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan kes pada 20 Mei ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam, Chin Choong Seong.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130419/ma_03/Lelaki-mengaku-tidak-bersalah-kes-ugut-parang#ixzz2QsYSNnl2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cubaan seludup kanabis bernilai RM1 juta gagal



Kuala Lumpur: Empat lelaki warga Malaysia berusia antara 19 tahun dan 49 tahun ditahan di Singapura pada 11 April lalu, selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis kanabis bernilai kira-kira RM1 juta ke negara jiran itu.

Sumber memberitahu, rampasan dadah itu, yang terbesar dilaporkan di republik berkenaan sepanjang empat bulan pertama tahun ini, dipercayai turut didalangi sindiket antarabangsa.
“Biro Narkotik Persekutuan (CNB) menerima maklumat ada cubaan menyeludup masuk dadah menggunakan lori treler melalui Lebuh raya Link Kedua, yang menghubungkan Singapura dan Malaysia.

Tahan treler

“Sepasukan pegawai dan anggota dihantar menjalankan pemantauan di Tuas dan terserempak sebuah lori treler dalam keadaan mencurigakan berhenti di tepi lebuh raya,” katanya.

Anggota terbabit menjalankan intipan sebelum melihat dua lelaki menaiki sebuah teksi tiba-tiba berhenti dan menaiki lori berkenaan, dipercayai untuk mengambil bekalan dadah.

“Urus niaga berlangsung kira-kira setengah jam sebelum kedua-dua suspek dilihat meninggalkan lori itu menaiki sebuah teksi lain. Pegawai dan anggota CNB kemudian mengekori teksi berkenaan dan menahan dua suspek berusia 19 tahun dan 49 tahun bersama satu kilogram kanabis.
“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi warga Malaysia berusia 32 tahun, selain pemandu lori terbabit. Kemungkinan dadah itu diseludup dari Malaysia untuk dihantar kepada rangkaian sindiket di Singapura,” katanya.

Seludup ketamin RM3.36j gagal



Khazali Ahmad (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis ketamin yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang akhbar di Nilai, semalam.
SEREMBAN 18 April - Kastam menggagalkan cubaan untuk menyeludup 84 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai RM3.36 juta melalui kontena yang diisytiharkan sebagai kentang di Pelabuhan Klang, Selangor dekat sini, Selasa lalu.
Turut ditahan seorang pengurus sebuah syarikat penghantaran berusia 37 tahun yang dipercayai terbabit dalam urusan penghantaran kontena itu untuk siasatan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Unit Narkotik Perak menahan kontena terbabit, sebaik sahaja tiba dari Kolkata, India.
"Hasil pemeriksaan di dalam kontena terbabit, kita menjumpai sembilan guni mengandungi serbuk kristal dipercayai ketamin yang disembunyikan bersama 280 guni ubi kentang.
"Susulan itu kita menahan seorang pengurus sebuah syarikat penghantaran ketika hadir ke Ibu Pejabat JKDM. Kastam turut menyiasat suspek lain yang terlibat," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Khazali berkata, siasatan pihaknya percaya kesemua dadah itu untuk pasaran tempatan dan suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130419/je_01/Seludup-ketamin-RM336j-gagal#ixzz2QsWozhGk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Punca jangkitan H7N9 terus disiasat

Punca jangkitan H7N9 terus disiasat
Seorang wanita memberi makan itik dan ayam di sebuah pasar di Guiyang wilayah barat laut China semalam. BEIJING: China menyiasat kemungkinan virus jenis baru selesema burung H7N9 yang mengorbankan 17 orang setakat ini membabitkan jangkitan dari manusia kepada manusia dan meneliti kelompok keluarga mangsa yang dijangkiti virus itu, kata pegawai tinggi kesihatan.

Pihak berkuasa membunuh beribu-ribu ayam dan menutup sebahagian pasar ternakan hidup untuk melambatkan kadar jangkitan manusia. Namun banyak aspek selesema burung baru ini kekal misteri, terutama sama ada jenis H7N9 ini dipindahkan antara manusia.
China memberi amaran bilangan jangkitan, 82 setakat ini, akan meningkat. Kebanyakan kes dan 11 kematian dicatatkan di Shanghai.


Pengarah pusat kesihatan kecemasan di Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China (CDPCC), Feng Zijian, memberitahu wartawan kelmarin mereka memberi perhatian rapi kepada kes kelompok keluarga.

“Kami masih meneliti dengan mendalam untuk melihat kemungkinan paling utama, adakah ia pertama kali berlaku pemindahan ayam kepada manusia, dan kemudian jangkitan manusia kepada manusia, sama ada mereka mempunyai sejarah pendedahan sama, terdedah kepada objek dijangkiti atau sama ada ia disebabkan persekitaran,” kata Feng.

Komen beliau dilaporkan dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Kesihatan Negara.

Satu daripada keluarga yang sedang dikaji di China membabitkan dua saudara lelaki dan bapa mereka yang meninggal akibat virus itu, katanya.
“Kelompok keluarga ini masih tidak mengubah pemahaman kita mengenai ciri penyakit ini secara umum - ia dipindahkan daripada burung kepada manusia dan tiada bukti pemindahan manusia kepada manusia,” katanya.

Usaha memastikan asal virus H7N9 juga terjejas akibat kekurangan maklumat tepat daripada mangsa mengenai sama ada mereka bersentuhan dengan ayam, kata Feng.

Kelmarin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata bilangan mangsa yang diuji positif untuk jenis baru selesema burung tidak bersentuhan dengan ayam.

WHO sebelum ini melaporkan dua kes disyaki kelompok keluarga tetapi yang pertama tidak benar dan yang kedua tidak meyakinkan.

Ketua saintis yang bertanggungjawab mengenai epidemiologi di CDPCC, Zeng Guang, berkata kira-kira 40 peratus mangsa manusia tidak mempunyai sejarah jelas pendedahan kepada ayam, lapor Beijing News. - Agensi

70 maut loji baja meletup

70 maut loji baja meletup
Sebuah kompleks pangsapuri terbakar berikutan letupan loji baja di West Texas, semalam. Gambar kecil loji baja musnah teruk selepas ia meletup akibat kebakaran. Berpuluh-puluh rumah musnah, 100 masuk hospital

Chicago: Sebuah loji baja di Texas meletup semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 orang terbunuh, lapor media tempatan di tengah kebimbangan tangki kedua kilang terbabit juga akan terbakar.

Agensi berita AFP yang memetik kenyataan Pengarah Perkhidmatan Kecemasan West, George Smith menerusi siaran stesen televisyen KWTX melaporkan 60 hingga 70 kematian akibat kejadian itu.
Berpuluh-puluh rumah musnah manakala lebih 160 orang terpaksa dipindahkan dari sebuah pusat perlindungan berhampiran dan sekurang-kurangnya 100 pesakit dimasukkan ke hospital berikutan letupan kuat di loji terbabit di bandar West, di luar Waco.


Timbalan ketua jabatan bomba Waco, Don Yeager berkata letupan berlaku selepas jam 8 malam waktu tempatan dipercayai bermula dengan kebakaran di loji terbabit.
Sekurang-kurangnya empat anggota bomba juga dilaporkan hilang.

Bagai letupan nuklear

“Kejadian yang berlaku seperti letupan bom nuklear dan keadaan di sini sekarang seperti di zon perang,” kata Datuk Bandar West, Tommy Muska kepada CNN.
Wujud percanggahan laporan angka kematian selepas letupan di negeri selatan Amerika Syarikat itu, di mana saksi berkata ia menyebabkan bebola api besar melantun ke udara.

Seorang pentadbir di hospital Providence di Waco, Keith Hopkins memberitahu AFP, kakitangan kecemasan di West juga memberikan angka kematian antara 60 hingga 70 orang.

Seorang jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas, D L Wilson memberitahu pemberita beliau tidak mengesahkan atau menafikan angka itu.

AS dilanda 2 kali letupan

Amerika Syarikat dilanda dua kejadian pengeboman berkembar di Boston pada Isnin dan kebimbangan berikutan surat bercampur racun yang dihantar kepada Presiden Barack Obama dan senator Amerika Syarikat. - AFP

Bahan misteri ditemui di bangunan Tentera Laut AS



WASHINGTON 19 April - Satu bahan misteri ditemui di dalam bilik surat di bangunan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), berhampiran Washington semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pentagon, bahan misteri yang berbentuk serbuk putih itu ditemui di Pusat Sokongan Tentera Laut di Arlington, Virginia.
Sehubungan itu, semua anggota tentera yang berada di dalam bangunan tersebut diarah keluar bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Sebelum ini, pihak berkuasa AS menerima dua pucuk surat berisi sejenis bahan kimia beracun yang dikenali sebagai 'ricin' yang ditujukan kepada Presiden Barack Obama dan Senator AS. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130419/lu_01/Bahan-misteri-ditemui-di-bangunan-Tentera-Laut-AS#ixzz2QrbIxwQf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

70 dikhuatiri maut dalam letupan baja di Texas



API masih menjulang di sisa sebuah kilang baja selepas berlaku letupan yang memusnahkan kilang itu dalam kejadian di Waco, Texas semalam. - REUTERS
CHICAGO 18 April - Letupan kuat di sebuah kilang baja di bandar Waco, Texas semalam, dikhuatiri mengakibatkan sehingga 70 orang maut, namun jumlah itu masih belum dapat dipastikan.
Dalam kejadian tersebut, berpuluh-puluh buah rumah musnah, lebih 130 penduduk berhampiran dipindahkan dan sekurang-kurangnya 100 mangsa terpaksa dirawat.
Anggota bomba yang bertugas memadamkan kebakaran itu dilaporkan turut cedera terkena letupan susulan, menurut lintas langsung bersama pengarah kecemasan sebagaimana yang disiarkan CBS News. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_18/70-dikhuatiri-maut-dalam-letupan-baja-di-Texas#ixzz2Qraz1Gp0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tanduk badak sumbu bernilai RM2 juta dicuri



DUBLIN 18 April - Sebanyak lapan tanduk badak sumbu yang dianggarkan bernilai AS$650,000 (RM2 juta) dicuri sekumpulan lelaki bertopeng dari Muzium Negara Ireland di sini hari ini.
Menurut polis, kumpulan yang terdiri daripada tiga lelaki itu memecah masuk ke dalam muzium tersebut semalam dan mengikat pengawal keselamatan, sebelum mengambil lapan tanduk haiwan itu.
Pengawal tersebut berjaya melepaskan diri dan membunyikan alat penggera, namun kesemua pencuri itu berjaya melarikan diri.
Tanduk badak sumbu mendapat permintaan tinggi kerana dipercayai boleh digunakan untuk perubatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_21/Tanduk-badak-sumbu-bernilai-RM2-juta-dicuri#ixzz2QrapUZ00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga mati bot karam di Indonesia



SAMARINDA, Indonesia 18 April - Pasukan penyelamat tempatan menemui dua lagi mayat mangsa bot karam di wilayah Kalimantan Timur hari ini, menjadikan jumlah korban sebanyak tiga orang, manakala 30 lagi masih hilang.
Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga beberapa hari lagi.
Dalam kejadian semalam, bot yang membawa seramai 63 pekerja syarikat perlombongan timah itu karam selepas dipukul ombak besar di Sungai Mahakam di wilayah Kalimantan Timur.
Semua mangsa yang terkorban dipercayai mati lemas akibat dihanyutkan arus sungai. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_22/Tiga-mati-bot-karam-di-Indonesia#ixzz2QraiXjYA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Militan dihukum mati di India



NEW DELHI 18 April - Mahkamah India hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang anggota kumpulan militan kerana terlibat dalam insiden pengeboman di bandar Pune pada Februari 2010 yang mengakibatkan 17 orang maut.
Media tempatan melaporkan, Mirza Himayat Baig, 30, yang menganggotai kumpulan militan Mujahideen didapati bersalah kerana melakukan pembunuhan dan kegiatan keganasan.
Hakim NP Dhote yang menjatuhkan hukuman ke atas Mirza menyifatkan dia perlu menerima hukuman setimpal dengan perbuatannya.
Mirza merupakan satu-satunya suspek yang berjaya ditahan polis berhubung insiden pengeboman yang berlaku di sebuah kafe di Pune itu. - dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_19/Militan-dihukum-mati-di-India#ixzz2QraYlQcV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Letupan kecil di Parlimen Norway



OSLO 18 April - Parlimen Norway terpaksa dikosongkan apabila berlaku satu letupan kecil di dalam sebuah bilik elektrik di bangunan itu di sini hari ini.
Polis mengesahkan berlaku litar pintas dalam sistem elektrik di bangunan itu, menyebabkan asap keluar dan terputus bekalan elektrik.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.
Bekalan elektrik bagaimanapun pulih semula selepas beberapa minit dan Parlimen beroperasi seperti biasa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_25/Letupan-kecil-di-Parlimen-Norway#ixzz2QraMMlQu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga Perancis didakwa di Bali



Vincent Roger Petrone (kanan), dihadapkan ke sebuah mahkamah atas dakwaan cubaan menyeludup ganja di Denpasar, Bali, Indonesia, semalam. - AFP
DENPASAR 18 April - Seorang lelaki warga Perancis dihadapkan ke mahkamah di sini hari ini atas dakwaan cuba menyeludup sebanyak 69 gram ganja ke Bali.
Vincent Roger Petrone, 43, ditahan di lapangan terbang Bali selepas tiba dari Kuala Lumpur pada Januari lalu.
Menurut seorang pendakwa raya, Gusti Putu Atmaja, suspek ditahan pihak berkuasa selepas dia dilihat tergesa-gesa ketika cuba melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang tersebut.
Pihak berkuasa kemudiannya melakukan pemeriksaan ke atas suspek dan begnya, namun tidak menjumpai sebarang barang terlarang, menyebabkan suspek dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan imbasan x-ray.
Hasil x-ray yang dijalankan mendapati, suspek menyembunyikan sejumlah ganja di dalam saluran penghadaman dan dipercayai memasukkan dadah itu menerusi duburnya.
"Sebanyak empat kapsul berwarna coklat dikeluarkan dari saluran penghadaman suspek dan selepas diuji, ternyata kapsul itu mengandungi dadah jenis ganja," kata Gusti.
Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai AS$4,300 (RM13,330).
Suspek berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130419/lu_05/Warga-Perancis-didakwa-di-Bali#ixzz2QrZkenp2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Letupan kilang baja, 15 maut



Kilang baja West Fertilizer terbakar berikutan satu letupan kuat, yang turut memusnahkan kediaman-kediaman berhampiran di West, utara Waco, Texas, Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS
WEST, Texas 18 April - Satu letupan besar berlaku di sebuah kilang baja di bandar West, di sini semalam dikhuatiri mengorbankan sekurang-kurangnya 15 penduduk.
Angka rasmi korban masih tidak dapat disahkan setakat ini, namun stesen televisyen KWTX memetik kenyataan Pengarah Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan West, George Smith mengesahkan kejadian tersebut.
Dalam kejadian itu, lebih 100 penduduk turut cedera, manakala berpuluh-puluh rumah berhampiran kilang berkenaan musnah, sekali gus memaksa penduduk sekitar dipindahkan.
Letupan di kilang West Fertilizer, utara Waco itu berlaku sebelum pukul 8 malam waktu tempatan (pukul 9 pagi waktu Malaysia), kata Penolong Ketua Bomba bandar Waco, Don Yeager.
Katanya, punca sebenar kejadian itu masih tidak dapat dipastikan, namun ia dipercayai melibatkan amonia kontang.
Yeager berkata, bomba dari bandar berhampiran turut bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran yang turut memusnahkan kediaman-kediaman.
Bomba juga katanya, telah menubuhkan satu unit khas menyelamat bagi membantu mangsa yang cedera di sebuah bangunan pangsapuri, lokasi ramai mangsa dipercayai terperangkap.
Anggota bomba yang bertugas memadamkan kebakaran itu dilaporkan turut cedera terkena letupan susulan, menurut lintas langsung bersama pengarah kecemasan sebagaimana yang disiarkan CBS News.
"Berlaku letupan susulan di lokasi kebakaran dan terdapat anggota bomba yang cedera,'' kata pegawai itu. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130419/lu_02/Letupan-kilang-baja-15-maut#ixzz2QrZZsXfM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cuba bunuh diri selepas dituduh cabul



Batam: Seorang pengetua sekolah menengah rendah di sini cuba membunuh diri dengan meminum racun serangga selepas dituduh mencabul 19 pelajar perempuan.

Tuduhan terhadap Herizon, 45, mula dibuat Isnin lalu selepas sekolah berkenaan membuat laporan kepada Timbalan Datuk Bandar Batam, Rudi.


Ia disusuli dengan tindakan 19 pelajar terbabit membuat laporan polis.

Ketua Detektif Barelang Ponco Indriyo berkata semalam, pihaknya memanggil tertuduh kelmarin untuk disoalsiasat tetapi Herizon tidak hadir. “Kami bercadang memanggilnya sekali lagi tetapi diberitahu dia cuba membunuh diri,” kata Ponco.


Herizon dibawa ke hospital awal kelmarin dan ditempatkan di unit rawatan rapi.


Ketua Kesatuan Guru Batam, Rustam Effendi memberitahu Jakarta Post, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Herizon yang mempunyai rekod baik selaku pengetua. - JP

Doktor potong 13 kaki mangsa bom Boston



Boston: Doktor melakukan 13 pembedahan memotong kaki mangsa pengeboman maraton Boston.

Bagi mereka, ia keputusan yang menyiksakan.


“Kami menyempurnakan tugas buruk yang dilakukan bom itu,” kata George Velmahos, Ketua Bahagian Pembedahan Trauma Hospital Massachusettes mengenai pembedahan yang dilakukan selepas kejadian Isnin lalu.

Sekurang-kurangnya dua orang yang berdiri berhampiran tempat letupan di garisan akhir acara itu hilang kedua-dua belah kaki.


Mereka ialah Celeste Corcoran, pendandan rambut tempatan dan Jeff Bauman.


Pembedahan memotong kaki mangsa dilakukan di tempat kejadian.

Selain hilang anggota badan, kaki mangsa berlubang sebesar penumbuk kesan daripada letupan bom itu. - AFP

Kepala tersepit antara dua bangunan



Yulin: Kebanyakan kanak-kanak perempuan gemar bermain tali skip atau tingting bersama rakan.

Tetapi, bagi kanak-kanak berusia enam tahun di Yulin, selatan China ini ditimpa malang apabila terperangkap antara dua bangunan ketika bermain bersama beberapa rakannya.


Anggota bomba terpaksa menghabiskan masa tiga jam untuk menyelamatkannya. Kejadian berlaku selepas dia cuba meloloskan dirinya antara dua dinding tetapi kepalanya tersepit.

Anggota bomba menggunakan minyak pelincir untuk membantu membebaskannya selain mencabut jubin pada dinding bangunan itu.

Terperangkap dalam loceng

Foto
TANGAN Lin Wang kelihatan di bawah loceng.
Shandong: Seorang pelancong terperangkap di bawah sebuah loceng gangsa yang besar selepas loceng berkenaan terjatuh ke lantai kuil.
Lin Wang berdiri di bawah loceng besar itu yang digunakan untuk memanggil sami Buddha melakukan upacara keagamaan, apabila rakannya membunyikan loceng itu dengan kuat di kuil di Linzi, wilayah Shandong.

Tindakan itu menyebabkan skru yang mengikat loceng berkenaan longgar lalu jatuh ke lantai, memerangkap Lin. Bomba menghabiskan masa selama dua jam untuk mengangkat loceng itu dengan mengguna forklif sebelum dapat mengeluarkan lelaki itu.
“Loceng ini sudah terlalu lama dan perlu diguna dengan berhati-hati. Ia jatuh ke atas lelaki itu seperti satu perangkap. Loceng ini amat berat dan mujur dia tidak mati dihempap,” kata jurucakap kuil.

Pegawai keselamatan berkata, skru yang mengikat loceng itu longgar akibat digoncang terlalu kuat. - Daily Mail