Letupan bom mengejutkan pelari dan penonton Maraton Boston. Lagi berita dan gambar di Muka 58 - Foto AP
Cari bukti dua letupan dekat laluan Maraton Boston
Boston: Amerika Syarikat mula memburu individu atau kumpulan bertanggungjawab meletupkan dua bom di garisan penamat Maraton Boston.
Ia mengorbankan tiga orang dan mencederakan lebih 140 orang dalam serangan bom terburuk di bumi Amerika sejak serangan 11 September 2001 (9/11).
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengetuai sekumpulan agensi penguat kuasa undang-undang persekutuan, negeri dan tempatan untuk menyiasat kes.
Bom meletup di tengah kesesakan orang ramai di garisan penamat, mencemarkan sambutan tahunan Hari Pahlawan ketika puluhan ribu penduduk memenuhi jalan raya untuk memberi sorakan.
Bom itu menggunakan serbuk peluru selain diisi bebola besi dan serpihan lain untuk memaksimumkan kecederaan, kata seorang pegawai penguat kuasa kanan undang-undang yang diberi taklimat berhubung siasatan.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata kes itu akan dikategorikan sebagai tindakan keganasan namun masih belum dipastikan sama ada serangan itu datangnya dari sumber asing atau tempatan.
Presiden Barack Obama pula berjanji untuk menangkap sesiapa juga yang bertanggungjawab.
“Ia adalah satu siasatan jenayah yang juga siasatan terhadap potensi keganasan,” kata Richard DesLauriers, ejen khas FBI.
Rakaman video menunjukkan ramai peserta menuju ke garisan penamat apabila bebola api dan asap berkepul dari belakang penonton yang bersorak dekat bendera negara peserta. Dua letupan itu berlaku kira-kira empat jam sembilan minit selepas perlumbaan bermula.
“Saya lihat ada kaki penonton seperti hancur. Darah di merata-rata tempat. Kemudian mereka ditolak dengan kerusi roda,” kata Joe Anderson. - REUTERS