Warga asing yang ditahan anggota Imigresen dalam Operasi Sayang di Jalan Duta. - Foto Mim Fadlizal Rozaiman
Kegiatan salah guna visa pelajar meningkat
Kuala Lumpur: Kes penyalahgunaan visa pelajar oleh warga asing berleluasa apabila sebahagian besar daripada 27 pekerja asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi di bandar raya ini, kelmarin, dikesan bekerja dan memasuki negara ini menggunakan dokumen itu.
Difahamkan, kegiatan penyalahgunaan visa pelajar meningkat sejak awal tahun ini, dipercayai dilakukan pelajar asing yang mencari pekerjaan bagi mendapatkan wang menampung kos sara hidup serta yuran pengajian.
Kerja guna visa pelajar
Dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Mont Kiara, di sini, kelmarin, sebahagian besar pekerja warga asing yang ditahan di beberapa kafe dan restoran mempunyai dokumen perjalanan sah, termasuk visa pelajar.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa, berkata selain bekerja sebagai pelayan tetamu, ada antara warga asing terbabit bertugas di bahagian dapur, termasuk menjadi tukang masak dan pembantu chef.
Siasatan lanjut
“Jabatan memeriksa 27 pekerja warga asing iaitu 10 wanita dan 17 lelaki, yang berasal dari Bangladesh, Myammar, Thailand dan Filipina. Mereka yang berusia antara 17 tahun hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada BH.
James berkata, siasatan pihaknya mendapati, sebahagian besar warga asing terbabit memasuki negara ini secara sah menggunakan visa pelajar.
“Namun, visa pelajar disalahgunakan untuk tujuan bekerja. Ini menjadi kesalahan mengikut Seksyen 29B Akta Imigresen kerana gagal mematuhi syarat visa,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut dibuat bagi mengenalpasti status sebenar warga asing terbabit termasuk menyemak apakah mereka berselindung di sebalik visa pelajar untuk memasuki Malaysia dan bekerja.
James berkata, pihaknya juga akan mengenalpasti pusat pengajian yang didakwa warga asing terbabit dan mengesahkan apakah mereka pelajar berdaftar di institusi berkenaan.
“Ini bukan kejadian pertama... kita bimbang jika kegiatan ini berterusan dan menjadi satu aliran baru. Kita turut menyiasat kemungkinan wujudnya sindiket dalam kegiatan ini,” katanya.
James berkata, jabatan turut menahan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an, dipercayai pengurus salah sebuah premis yang diserbu dalam operasi bermula kira-kira jam 7 malam itu.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di Desa Sri Hartamas, jabatan membongkar kegiatan pemalsuan pelekat visa pekerja yang dilanjutkan tempoh apabila menahan dua wanita warga China di sebuah pusat refleksologi eksklusif.
Dipercayai pusat refleksologi itu dimiliki salah seorang daripada wanita terbabit bersama suaminya, seorang lelaki tempatan. Premis itu dikesan berselindung di sebalik lesen perniagaan syarikat pengurusan acara dan produksi
.
James berkata, siasatan terperinci sedang dibuat bagi mengenalpasti sumber pelekat visa palsu diperoleh. Beliau tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan sindiket dalam kes terbabit.