Search This Blog

Saturday, April 13, 2013

Dua individu disiasat



Georgetown: Polis memulakan siasatan terhadap dua individu yang disyaki mengedar dan memiliki rakaman video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pakatan pembangkang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah menerima laporan berhubung dua individu terbabit dan kertas siasatan dibuka atas dakwaan mengedar dan memiliki video lucah.
Polis ambil tindakan

“Kesalahan adalah memiliki dan mengedar video lucah. Kita tidak peduli siapa dia atau gambar orang yang dalam video itu, tetapi kesalahan sekarang adalah memiliki dan mengedar video lucah.

Ahli perniagaan mati ditembak dua lelaki



Seremban: Seorang pegawai operasi sebuah syarikat kawalan keselamatan maut ditembak ketika keretanya berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Sri Labu, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 2 petang itu, James John, 45, mati akibat cedera parah di seluruh badan selepas disyaki ditembak sekurang-kurangnya 10 kali dari jarak dekat.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang dipercayai dalam perjalanan dari arah Taman Permai ke pusat bandar, memberhentikan keretanya di belakang beberapa kenderaan di persimpangan itu.

Tembakan jarak dekat

“Siasatan awal polis mendapati dua lelaki yang menunggang motosikal berhenti di sebelah kereta mangsa sebelum pembonceng melepaskan tembakan dari jarak dekat.

“Mangsa yang bekerja di Taman Industri Oakland dekat sini, dipercayai diekori sebelum suspek bertindak melepaskan tembakan,” katanya, di sini, semalam.

Jurucakap polis itu berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa ditembak sekurang-kurang 10 kali berdasarkan kecederaan di seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian itu, yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jatuh dari aras tujuh

Sementara itu, di Port Dickson, seorang remaja lelaki yang juga pekerja pembersihan, maut selepas terjatuh dari arastingkat tujuh sebuah hotel, di sini, Rabu lalu.

R Kalayarasu, 18, yang bekerja selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, cedera parah di kepala apabila dipercayai tergelincir dari aras tingkat tujuh lalu jatuh ke aras bawah.

8 peluru depan rumah




Sepasukan anggota polis, termasuk Unit Forensik memeriksa pekarangan rumah mangsa di Jalan Serindit, Temerloh.
Temerloh: Dua lelaki memakai topi keledar melepaskan lapan das tembakan secara rambang di depan sebuah rumah dipercayai milik ahli perniagaan di Jalan Serindit dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi, dua lelaki bermotosikal itu dikatakan tiba-tiba bertindak seperti ala mafia melepaskan tembakan ke rumah berkenaan.
Difahamkan, mangsa berusia 54 tahun ketika itu tiada di rumah kerana berjoging bersama isterinya, yang berusia 50 tahun. Manakala anak lelaki mereka ditinggalkan bersama seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Temui kelongsong peluru

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sepasukan anggota polis, termasuk Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), yang tiba di tempat kejadian menemui lapan kelongsang peluru bertaburan di pekarangan rumah mangsa.

Abdul Aziz berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan motif insiden tembakan sedang disiasat.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata,” katanya., di sini, semalam.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Ras, 50, berkata, dia melihat dua lelaki bermotosikal dengan memakai topi keledar menutup muka, berhenti di depan rumah mangsa sebelum melepaskan tembakan.

Polis marin patahkan cubaan seludup rakyat Iraq



SHAH ALAM: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang mematahkan cubaan menyeludup keluar 17 rakyat Iraq apabila menahan dua bot pancung di Sungai Chondong Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, semalam.

Mereka yang terdiri daripada 12 lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak berusia sembilan hingga 50 tahun itu memasuki negara ini secara sah sebulan lepas dan dipercayai ingin ke negara ketiga melalui Indonesia.
Malaysia dijadikan sebagai negara transit, kata Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said.

Beliau berkata, pasukan polis marin yang sedang menjalankan Ops Pensura dengan maklumat risikan yang diperolehi menahan dua bot tidak bernombor itu pada jam 9.30 malam.

"Semasa bot itu dihampiri, dua tekong warga Indonesia bertindak pantas dengan terjun ke laut untuk meloloskan diri tetapi seorang daripada mereka berusia 42 tahun berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, polis percaya rakyat asing itu membayar antara RM700 hingga RM900 seorang kepada sindiket penyeludupan manusia itu.

“Kesemua yang ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2010) itu dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PGM di Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut,” katanya. - BERNAMA

Rumah ditembak bertalu-talu



Rumah ditembak bertalu-talu
Polis mengawal sekitar rumah ahli perniagaan di Jalan Serindik, Temerloh ketika siasatan dijalankan pagi semalam.
TEMERLOH – Sebuah rumah milik ahli perniagaan di Jalan Serindik, di sini, ditembak bertalu-talu dua lelaki bermotosikal ketika mangsa keluar berjoging di sekitar kawasan kediamannya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, dua lelaki memberhentikan motosikal di hadapan rumah mangsa tanpa mematikan enjin lalu melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai sebuah daripada tiga kereta milik mangsa.

Tembakan rambang itu turut mengenai tiang batu dan pintu pagar besi rumah banglo dua tingkat tersebut.

Seorang saksi enggan dikenali berkata, semasa kejadian, dia baru selesai menonton perlawanan bola sepak di televisyen bersama rakan di dalam kedai makan miliknya.

Menurutnya, ketika perlawanan hampir tamat, rakannya pulang dan dia bersiap-siap mengemas bahagian hadapan kedai.

“Ketika itu televisyen masih terpasang, saya nampak dua lelaki bermotosikal berhenti di hadapan rumah mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan.

“Kedua-dua lelaki itu kemudian menunggang semula motosikal dan dalam keadaan selamba berlalu tanpa tergesa-gesa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam mendapati, pasukan polis melakukan siasatan menyeluruh di tempat kejadian.

Turut kelihatan, Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dan pegawai bahagian siasatan jenayah daerah.

Abdul Aziz enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan dan memaklumkan kepada beberapa petugas media, satu sidang akhbar berkaitan kejadian akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Pencuri lembu kantoi



Pencuri lembu kantoi
Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
KAMPUNG RAJA - Seorang warga emas akhirnya masuk perangkap apabila berjaya ditangkap pemilik lembu yang mahu dicurinya, di Kampung Gong Bayor, di sini.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditangkap pemilik lembu di dalam semak, jam 8 malam kelmarin ketika dia datang untuk mengambil lembu yang ditambat di situ setelah dicurinya pagi hari sama.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pada 9 pagi hari sama pemilik lembu tersebut mendapati lembu yang ditambat kira-kira 500 meter dari rumahnya telah hilang.

Menurut beliau, dia mencari lembunya dan menemui haiwan tersebut ditambat pada anak kayu di dalam semak beberapa ratus meter dari tempat ia didapati hilang.

“Menyedari lembu tersebut dicuri, pemiliknya mengambil keputusan menunggu di dalam semak berhampiran untuk memberkas suspek yang dipercayai akan datang mengambil lembu tersebut,” katanya.

Menurutnya, pemilik itu berjaya menangkap suspek jam 8 malam yang datang seorang diri ke kawasan tersebut.

Mangsa letupan stesen LRT fail saman



Mangsa letupan stesen LRT fail saman
Muhammad Sakereen (tengah) mendengar penjelasan kesnya oleh Noraisyah (kiri).
KUALA LUMPUR - Mangsa yang mengalami kecederaan akibat letupan dalam tandas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai pada 28 Mac tahun lalu memfailkan saman terhadap Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), semalam.

Tuntutan saman tersebut dibuat melalui peguam iaitu Tetuan Noraisyah & Co bagi tuntutan ganti rugi am, ganti rugi teladan dan maruah diri.

Peguam, Noraisyah Abu Bakar berkata, anak guamnya Muhammad Sakereen Basri, 22, mengalami kecederaan semasa menggunakan tandas awam di dalam premis LRT Sri Rampai sekitar jam 1 tengah hari.

Menurutnya, semasa anak guamnya menggunakan tandas tersebut, berlaku satu letupan sehingga mengakibatkan kecederaan pada anggota badan.

“Muhammad Sakereen memfailkan saman kerana pihak Prasarana dilihat seolah-olah lepas tangan terhadap keadaan mangsa yang terpaksa menanggung kerugian dan tohmahan orang ramai.

“Kejadian tersebut mendapat liputan media malah anak guam malu setelah penyebaran gambar rakaman litar tertutup (CCTV) dalam keadaan separuh bogel pada kejadian berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian bersama anak guamnya di AU3 Taman Sepakat.

Hadir sama, bapa saudara Muhammad Sakereen, Azmim Ibrahim.

Noraisyah berkata, pada September 2012, pihaknya menghantar Notis Tuntutan kepada pihak Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Prasarana.

Namun katanya, maklum balas yang diberikan mengatakan bahawa tuntutan anak guamnya tiada bukti untuk membuat tuntutan di bawah polisi ‘Public Liability’ mereka.

“Alasan tersebut tidak munasabah kerana Prasarana mempunyai tanggungan keselamatan bagi setiap pelanggan yang berada di dalam kawasannya kerana mangsa membuat bayaran apabila menggunakan perkhidmatan.

“Kes yang dialami oleh Muhammad Sakereen juga menyebabkan dia turut terpaksa menanggung kerugian dan hutang kepada pelanggannya kerana ada tugas yang tidak dapat disempurnakan di mana dia bekerja secara ‘freelance’ sebagai penggubah bunga hantaran,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sakereen yang tinggal di Seksyen 1, Wangsa Maju mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri, pinggang, punggung, paha sebelah kiri dan kelangkang apabila mangkuk tandas meletup.

Sementara itu Azmim berkata, anak saudaranya masih mengalami trauma sejak kejadian itu dan turut dijadikan bahan jenaka oleh orang ramai.

“Sebelum ini, pernah ada perbincangan antara Muhammad Sakereen dengan pihak Prasarana berhubung keadaannya tetapi senyap sehingga hari ini,” katanya.

Pelajar kecewa dituduh terlibat kes buli



BUTTERWORTH - Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah Sekolah Menengah di sini kecewa kerana dituduh membuli seorang pelajar lain bulan lalu.
  
Luqman Al Hakim Ahmad, 15, menafikan bahawa dia terlibat dengan kes itu dan telah membuat laporan polis sebaik mengetahui gambarnya dimuat naik di laman sosial dan dianggap sebagai suspek utama kejadian itu.
  
Dia turut merasa trauma untuk keluar rumah, katanya.
  
"Saya pelik apabila ibu bertanya sama ada saya terlibat dengan kejadian buli di sekolah. Ibu beritahu sepupu saya ada datang ke rumah dan maklumkan bahawa gambar saya dimuat naik di blog kerana membuli seorang pelajar.
  
"Saya terus periksa telefon bimbit saya dan terkejut melihat banyak nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon saya. Kemudian saya semak akaun Facebook, Twitter dan Instagram saya yang semuanya penuh dengan komen-komen dari orang yang saya tak kenal. Mereka tuduh saya macam-macam, saya jadi takut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak bongsu dari lima beradik itu kemudiannya bertindak menutup sementara akaun lama sosialnya kerana tertekan dengan tohmahan orang ramai yang tidak tahu keadaan sebenar.
  
"Saya juga tidak boleh tidur lena, susah untuk beri tumpuan ketika belajar dan takut untuk keluar rumah kerana bimbang dicederakan," katanya.
  
Baru-baru ini tersiar sebuah klip video di Facebook dan Youtube yang memperlihatkan seorang pelajar lelaki dibelasah bertubi-tubi oleh seorang pelajar yang kemudiannya turut disertai dua pelajar lain.
   
Pihak Pelajaran Negeri berkata ketiga-tiga pelajar terbabit sudah dikenakan tindakan dibuang sekolah sementara mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan serius.
  
Luqman Al Hakim yang mengenali ketiga-tiga pelajar terbabit berkata ketika kejadian dia berada di dalam kelas yang berlainan dan hanya mengetahui insiden itu seminggu selepas kejadian.
  
"Saya hairan kenapa saya dikaitkan dalam kejadian itu, mungkin mereka ingat saya yang terlibat sebab wajah saya mirip salah seorang daripada pelajar berkenaan, kemudian gambar saya disebar di Internet," katanya.  - Bernama

Stor barangan plastik terbakar



Stor barangan plastik terbakar
Anggota bomba membantu memindahkan barang keluar dari kilang plastik yang terlibat dalam kebakaran, malam kelmarin.
IPOH - Bahagian stor penyimpanan barangan plastik kepunyaan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pengkalan, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat malam kelmarin.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kecuaian beberapa pekerja yang menyelenggara dapur masakan yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, beberapa pekerja sedang berehat berhampiran kilang sebelum menyedari api mula marak di kawasan berkenaan.

Kebakaran itu mengakibatkan puluhan tan guni berisi botol dan bahan industri berasaskan plastik terbakar.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Khairil Adli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.41 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba Pasir Putih tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba Ipoh, Simpang Pulai dan Batu Gajah turut dikerah bagi membantu memadam kebakaran.

“Seramai 27 anggota bomba dibantu anggota bomba Sukarelawan Kampung Pinji berusaha memadamkan kebakaran yang mengakibatkan asap tebal memenuhi kawasan itu.

“Usaha memadamkan kebakaran mengalami kesukaran apabila membabitkan timbunan bahan plastik yang mudah terbakar menyebabkan api mampu dikawal sekitar jam 12.39 pagi semalam namun, kebakaran itu masih gagal dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Kata beliau, kejadian itu menyebabkan anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan jentera ‘fork lift’ untuk memindahkan beratus guni berisi bahan plastik bagi mengelakkan kebakaran terus merebak ke kilang berhampiran.

Jelasnya, anggota bomba bertungkus-lumus lebih tujuh jam untuk memadamkan api akibat masalah tekanan air rendah.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta kerugian masih disiasat,” katanya.

Lebih 80 rumah dilanda ribut



Ribut
Mangsa, Abu Bakar Musa (kanan), 45, dan adiknya Ismail, 42, membersihkan bumbung rumah bapa mereka Musa Bakar yang rosak selepas diterbangkan ribut.
ALOR SETAR - Sekurang-kurangnya 80 rumah di Kuala Kedah dekat sini, rosak teruk terutama pada bahagian bumbung susulan kejadian ribut, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang, yang membabitkan kawasan berhampiran laut itu, banyak bumbung rumah diterbangkan angin kuat beserta hujan lebat.

Penyelaras Parlimen Kuala Kedah, Syed Zainuzman Syed Yahaya berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah di Pengkalan Kundor kerana membabitkan rumah kampung.

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) akan datang hari ini (semalam) untuk membuat penilaian.

“Ketika ini kami masih tak dapat jumlah sebenar tetapi, berdasarkan lawatan saya ke kawasan terbabit setakat ini dah lebih 80 rumah terjejas,” katanya kepada media di Taman Sayang, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Naib Ketua Umno Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, pihaknya akan memberi bantuan segera, terutama di Taman Sayang yang melibatkan lima rumah dan sebuah surau.

“Saya nasihatkan semua mangsa supaya membuat laporan polis supaya anggaran kerugian dapat dibuat segera,” katanya. - Bernama

Pelajar politeknik maut kemalangan



PORT DICKSON – Seorang pelajar Politeknik Port Dickson (PPD) maut selepas motosikal yang ditunggang berlanggar dengan sebuah lagi motosikal lain dari arah sama, awal pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Fazrin Sabri, 21, sempat meminta maaf kepada rakan karibnya sekitar jam 9 malam sebelum kejadian.

Rakannya, Khameer Khalid, 22, berkata, dia datang ke rumah sewa mangsa dan secara tiba-tiba mangsa menyapanya dan meminta maaf.

“Arwah kata dia minta maaf banyak-banyak. Saya ada bertanya kenapa tetapi dia mendiamkan diri dan terus masuk semula ke biliknya.

“Timbul juga rasa hairan namun saya tidak terlalu memikirkannya sehinggalah menerima berita kematiannya sekitar 2 pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Port Dickson, semalam.

Sementara itu ibu mangsa, Rosnani Ahmad, 34, berkata, dia tidak menyangka anaknya akan pergi dahulu meninggalkannya.

“Arwah anak yang baik dan bertanggungjawab. Walaupun belajar di Port Dickson namun arwah selalu pulang ke kampung,” katanya yang ditemani anak sulungnya, Dayatul Farahin Sabri, 24.

Dalam pada itu, Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) (Kebajikan dan Disiplin) PPD Che Kamarudin Che Pa berkata, mangsa merupakan pelajar semester lima Diploma Kejuruteraan Elektrik dan bakal menduduki peperiksaan akhir semester tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, kejadian berlaku di lebuh raya Seremban-Port Dickson membabitkan dua buah motosikal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Samun sebelum pergi sekolah



Samun sebelum pergi sekolah
Salehhudin (tengah) menunjukkan besi digunakan ahli Geng Miswan untuk menyamun mangsa.
BANDA HILIR - Dua pelajar sekolah menengah berusia 13 dan 14 tahun antara yang ditahan setelah dipercayai melakukan kegiatan samun sebelum pergi ke sekolah seawal jam 3 pagi di sekitar daerah ini.

Pelajar lelaki dan perempuan itu yang menyasarkan penghantar surat khabar ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di dua lokasi berasingan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kedua-dua mereka antara 11 ahli kumpulan yang ditangkap dalam dua serbuan berasingan di Taman Alai Perdana dan Taman Melaka Raya antara jam 4 petang dan 7 malam.

Menurutnya, kumpulan yang didalangi lelaki berusia 18 tahun dikenali sebagai Miswan itu turut menyasarkan warga emas yang sedang bersenam dan melakukan jenayah dalam tempoh tiga jam.

“Seramai 11 ahli Geng Miswan berusia antara 13 hingga 21 tahun berjaya ditangkap pasukan khas yang ditubuhkan ekoran 16 laporan kejadian samun membabitkan warga emas dan penghantar surat khabar (vendor) diterima.

“Suspek terdiri daripada tujuh lelaki berusia 13 hingga 21 tahun dan empat perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun dicekup di sebuah rumah sewa di Alai serta seorang lelaki di Melaka Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah yang turut dihadiri Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Pegawai Risikan/Operasi, Asisten Superintendan Koh Teck Chew.

Salehhudin berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga motosikal jenis Honda EX5 termasuk dua motosikal yang dilaporkan hilang di Plaza Mahkota dan Telok Mas.

“Dua topi keledar, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis dan sebatang besi dipercayai digunakan sebagai senjata ketika melakukan samun turut dirampas dalam serbuan itu.

“Ujian saringan urin yang dilakukan mendapati enam suspek berusia 19 hingga 21 tahun positif dadah jenis methamphetamine malah hasil semakan seorang suspek yang berusia 19 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, Geng Miswan dipercayai bergiat aktif dalam jenayah samun sejak awal tahun ini melakukan jenayah seawal jam tiga pagi sebelum matahari terbit di sekitar Banda Hilir, Tengkera, Melaka Tengah dan Malim.

“Penjenayah yang bersenjatakan batang besi ini bertindak agresif dengan menendang motosikal hingga mangsa terjatuh,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman empat hari sejak 10 April lalu bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata dan Seksyen 379A kanun sama atas kesalahan mencuri motosikal.

Bapa mengamuk di balai polis



Bapa mengamuk di balai polis
Mangsa bersama ibunya.
ALOR GAJAH - Gara-gara ketagih berjudi, seorang lelaki tergamak membelasah dan mengugut isteri serta anaknya kerana enggan memberikannya sejumlah wang di perkarangan Balai Polis Masjid Tanah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun dibelasah bapanya yang berusia lingkungan 50-an menggunakan topi keledar sebelum dihalang ibunya yang berusia 45 tahun.

Difahamkan, dalam kejadian itu, lelaki terbabit mendesak isteri supaya memberikannya wang berjumlah RM500 yang akan digunakan untuk menukar kad pengenalan merah isterinya yang merupakan warga Indonesia.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa menerima panggilan kecemasan daripada ibunya yang memaklumkan bapanya membuat kecoh di tempat kerjanya di sebuah kedai makan dekat Masjid Tanah.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanjung Bidara selepas menghantar adiknya ke sekolah berpatah semula ke pekan untuk mengambil ibunya," katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, kereta yang dinaiki mangsa bersama ibunya diekori ayahnya yang menaiki motosikal.

"Bimbang diancam ayahnya, mangsa berpatah semula ke arah pekan Masjid Tanah menuju ke balai polis, namun bapanya juga tiba di situ sebelum melulu ke arahnya dan ibunya yang masih dalam kereta.

“Bapanya terus merentap pintu kereta mangsa dan membelasahnya menggunakan topi keledar,” katanya.

Jurucakap polis berkata, melihat keadaan itu, ibunya keluar dari kereta dan cuba meleraikan pertelingkahan dua beranak terbabit, namun tidak berjaya.

“Ibu mangsa bergegas masuk ke dalam balai polis dan meminta bantuan anggota polis untuk meredakan keadaan sebelum bapa mangsa beredar. Selepas itu, mangsa terus membuat laporan berhubung kejadian,” katanya.

Katanya, mangsa kerap menjadi tempat melepaskan amarah sejak berusia tiga tahun lagi dan pernah cedera beberapa kali di badan serta kaki akibat dipukul bapanya yang tidak bekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian.

Harap isteri pulang selesai kes mahkamah



Harap isteri pulang selesai kes mahkamah
Asri menunjukkan sijil nikah palsu yang perlu diselesaikan isterinya.
KUBANG PASU - Seorang suami masih menanti kepulangan isterinya yang menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu bagi menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapi.

Dia yang hanya dikenali sebagai Asri berkata, isterinya gagal ditemui bagi membantu mempercepatkan urusan mahkamah berkaitan kes pemalsuan sijil nikah.

Menurutnya, kehilangan isterinya itu menimbulkan tanda tanya kerana tiada sebarang pesanan yang ditinggalkannya sebelum itu.

“Sehingga kini saya masih mencarinya yang hilang sejak September 2012 kerana masih mempunyai urusan dengan mahkamah yang perlu diselesaikan.

“Kali terakhir saya ternampak dia (isteri) berada di Padang Besar, Perlis dan saya cuba mengekorinya namun gagal menjumpainya," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, mahkamah beberapa kali menghantar writ saman tetapi tiada maklum balas diterima dan dia memohon isterinya untuk tampil ke mahkamah bagi menyelesaikan kes terbabit.

“Saya memaklumkan kepada rakan-rakan sekitar Perlis dan Kedah bagi membolehkan isteri ditemui dan maklumat berhubung tempat tinggalnya kini masih belum ditemui.

“Saya harap dia (isteri) dapat menampilkan diri secepat mungkin supaya urusan yang dilihat tergantung ini menemui penyelesaiannya,” katanya.

Ibu kesal sikap doktor



Ibu kesal sikap doktor
Tindakan doktor bertugas yang tidak mengendahkan aduan pesakit menyebabkan bahagian betis remaja itu melecur teruk. Gambar kecil: Kesan melecur.
MARAN -Lain yang ingin dirawat, sakit lain pula yang dapat. Demikian nasib seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang menderita sakit kulit akibat melecur selepas mendapatkan rawatan patah kaki di sebuah hospital berdekatan.

Ibu kepada remaja berkenaan, Norhayati Manaf, 48, berkata, kaki anaknya itu patah akibat terlibat dalam kemalangan ketika keluar membeli roti canai bersama seorang jiran sebelum dirempuh sebuah kereta di depan gerai makanan terbabit, dekat bandar ini, kira-kira jam 11 malam pada 28 Mac lalu.

Menurutnya, pada jam 4 pagi, kaki anaknya disimen sementara bagi membolehkan pembedahan kecil dilakukan berikutan dua tulang kaki sebelah kiri didapati patah.

“Selepas beberapa minit, anak saya mengadu kakinya sangat panas dan kemudian meraung sebab tak tahan sakit.

“Saya beritahu doktor tapi dia cakap, itu perkara biasa. Katanya, memang akan rasa panas kalau kena simen. Jadi, apa yang boleh saya buat hanya tenangkan anak saya yang meraung sakit hingga keesokan hari,” katanya.

Norhayati berkata, bahagian betis kaki anaknya itu disedari melecur ketika jururawat bertugas membuka balutan simen bagi membolehkan kaki yang patah itu digantung semasa berbaring.

Menurutnya, dia tidak menyangka kesakitan akibat panas yang dirasai anaknya itu bukan perkara biasa sehingga bahagian tersebut melecur seakan kulit terbakar.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku dan doktor bertugas sepatutnya lebih peka dengan aduan pesakit. Jangan anggap semua perkara biasa kerana dua kali saya beritahu doktor bahawa kaki anak saya panas tetapi tak diendahkan.

“Saya harap perkara ini tak berulang kepada pesakit lain. Sekarang anak saya terpaksa tanggung sakit untuk sembuhkan kesan melecur yang bernanah dan berair,” katanya

200 saman dikeluar JPJ Johor



200 saman dikeluar JPJ Johor
Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditahan.
JOHOR BAHRU - Sebanyak 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di dua lokasi berasingan Jalan Skudai, di sini malam kelmarin.

Operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ negeri, Razali Wagiman berkata, operasi selama empat jam itu melibatkan 50 anggota dan Pegawai JPJ Johor.

Menurutnya, kesemua saman itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, lesen memandu, insurans, permit dan teknikal.

“Pada malam ini, kita menjalankan operasi bersepadu bermula jam 8 malam dan berakhir jam 12 tengah malam.

“Kami turut mendapat kerjasama daripada 40 anggota dan pegawai dari PDRM, AADK, SPAD dan KPDNKK,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tersebut.

Razali berkata, sebanyak 10 buah motosikal dan kereta disita oleh pihaknya atas kesalahan berkenaan, manakala dua individu ditahan kerana disyaki di bawah pengaruh dadah.

Justeru, beliau menasihatkan semua penunggang motosikal dan pemilik kenderaan supaya tidak terlibat dengan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang serta boleh mendatangkan bahaya terhadap diri masing-masing.

“Kita akan meneruskan operasi seperti ini dengan bantuan badan berkanun dan agensi kerajaan lain bila-bila masa dalam usaha membanteras samseng jalanan di sekitar bandar raya Johor Bahru,” katanya.

Kanak-kanak disyaki didera pengasuh



BATU GAJAH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lapan bulan, lebam di mata kiri, lengan kanan, rusuk kanan dan pipi kanan dipercayai didera pengasuh dalam satu kejadian di Taman Batu Gajah Perdana, di sini, minggu lalu.

Ibu mangsa berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir bertindak membuat laporan polis, pada 4 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baru Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, dalam laporan itu, ibu mangsa hanya menyedari insiden menimpa anaknya pada 2 April lalu.

Menurutnya,  selepas membawanya pulang mangsa dari rumah pengasuh kira-kira jam 10.40 malam, ibu mangsa menyedari terdapat kesan lebam di bawah mata kiri dan merah di kedua-dua telinga.

"Akibat merasa curiga terhadap kesan lebam itu, ibu mangsa memeriksa keseluruhan badan dan menemui beberapa kesan kecederaan lain di badan kanak-kanak perempuan terbabit.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa telah dihantar ke rumah pengasuh terbabit sejak Julai 2012 dan kejadian tersebut adalah yang pertama kali berlaku ke atas mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, pada hari kejadian, ibu mangsa menghantar kanak-kanak itu ke rumah pengasuh pada jam 8.30 pagi namun terpaksa mengambil mangsa lewat kerana mempunyai kerja yang perlu diselesaikan di pejabat.

Menurutnya, ibu mangsa cuba menghubungi pengasuh bertanyakan perkara itu namun pengasuh menafikan dan memberi pelbagai alasan.

“Akibat tidak puas hati, ibu mangsa bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

"Susulan kecederaan itu, mangsa dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Batu Gajah, dimasukkan ke Wad 3 untuk pemerhatian lanjut dan dibenarkan keluar lima hari kemudian," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shaharon Anuar berkata, berdasarkan laporan perubatan dan bukti yang dikumpul, seorang wanita berusia 52 tahun ditahan pada Ahad lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu mengaku tidak bersalah dan mahkamah memberikan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin  serta menetapkan Mei ini untuk tarikh bicara.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2011 (Penderaan)," katanya.

Dakwa ditipu pegawai pejabat Adun selepas rumah terbakar



Kecewa bantuan tak sampai
Antara sembilan keluarga mangsa kebakaran memegang poster bagi meluahkan perasaan mereka terhadap tindakan DAP yang didakwa mempermain-mainkan mereka, semalam.
ALOR SETAR - Sembilan keluarga mangsa kebakaran di Kampung Palaniappan, Seberang Keretapi Batu 1, Sungai Korok di sini, kecewa dengan tindakan DAP yang didakwa mempermain-mainkan mereka.

Mereka mendakwa telah ditipu seorang pegawai Pusat Khidmat DAP di sini, yang berjanji untuk membina semula rumah mereka dan membayar sewa bilik di Kompleks Hijau Kuning yang dijadikan penempatan sementara mereka.

K Krishnamah, 56, berkata, dia sekeluarga diminta oleh seorang pegawai DAP kawasan itu untuk tinggal di kompleks tersebut buat sementara waktu secara percuma kerana ia akan dibayar oleh pemimpin parti itu.

Menurutnya, setelah empat hari tinggal di bilik itu dia diminta membayar sewa bilik RM160 oleh pekerja tempat berkenaan dan pekerja itu memaklumkan yang pegawai DAP itu tidak membuat sebarang bayaran.

“Saya terkejut bila diminta untuk membayar sedangkan pegawai DAP cakap, kos penginapan saya bersama keluarga akan ditanggung sebelum rumah saya dibuat semula,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian kebakaran di sini, semalam.

Krishnamah, yang bekerja sebagai penjual surat khabar dan berpendapatan sekitar RM10 hingga RM20 sehari terpaksa membayar sewa  dan kini menumpang di rumah saudaranya di Kampung Seberang Keretapi.

“Bila ada jiran pergi jumpa pegawai DAP terbabit, beliau buat tak tahu seolah-olah beliau tak berjanji apa-apa dengan kami,” kata ibu tunggal kepada dua anak yang masih bersekolah itu.

Lim Chai Gim, 44, berkata, dia pernah pergi ke Pejabat DAP itu untuk memohon bantuan untuk membina semula rumahnya yang terbakar namun, tiada sebarang jawapan diterima sehingga kini.

Dia yang kini menyewa sebuah flat di Tandop berkata, dia tidak mampu untuk membayar sewa rumah RM250 sebulan kerana menanggung perbelanjaan dua anaknya yang masih bersekolah.

“Kami nak minta mereka buat rumah kami semula, itu  saja. Kini saya hanya tinggal sehelai sepinggang sebab masa kejadian saya tiada di rumah kerana keluar bekerja. Kami nak ada rumah untuk keselesaan anak-anak,” katanya.

Mangsa kebakaran berkenaan sebelum itu mengadakan demonstrasi aman di tapak rumah mereka terbakar bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pegawai DAP yang didakwa hanya tahu menabur janji-janji kosong tanpa berbuat apa-apa demi kebaikan rakyat.

Pada 21 Februari lepas, sembilan rumah hangus dan dua lagi terbakar sebahagian dalam kebakaran dalam kira-kira jam 10 malam dengan kerugian yang dianggarkan kira-kira RM500,000.

Sementara itu, Penyandang Dun Kota Darul Aman dan Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, beliau tidak membuat sebarang janji berkenaan bantuan itu dan ketika melawat mangsa beliau hanya menyatakan akan cuba membantu mangsa.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui apa yang diusahakan oleh pegawainya kerana mangsa tidak datang berjumpa dengannya.

“Kalau nak minta rumah mesti melalui ketua kampung. Saya tak pernah mendapat sebarang permohonan daripada mangsa kebakaran,” katanya, semalam. - Bernama

Terkejut rumah dipenuhi air



Terkejut rumah dipenuhi air
Siti Khalijah menunjukkan bahagian rumahnya yang rosak teruk.
TUNJANG, Kubang Pasu - Seorang ibu tunggal panik apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Pida 2, Telok Bilek, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Siti Khalijah Jasin, 43, kebetulan sedang berehat di dalam rumahnya dan menyedari bumbung rumahnya tiada selepas mendapati air bertakung di lantai bahagian atas rumahnya.

Menurutnya, dia bergegas keluar rumah apabila terdengar bunyi seakan papan jatuh dan kemudian mendapati keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Pada mulanya kami sekeluarga tidak sedar mengenai kejadian ini sehinggalah mendapati lantai bahagian atas rumah bocor.

“Bunyinya tidak terlalu kuat kemungkinan disebabkan hujan terlalu lebat serta angin kuat pada waktu itu dan menyukarkan kami untuk mengenal pasti keadaan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kejadian angin kuat yang berlaku dalam tempoh setengah jam itu mengakibatkan banyak berlakunya kerosakan terutamanya melibatkan peralatan elektrik dan bahagian bumbung rumahnya.

“Untuk sementara waktu ini kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah kakak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Pida 2, Telok Bilek, Mohd Rejab Ahmad berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak 15 rumah di kampung berkenaan terlibat dalam kejadian ribut.

Menurutnya, hujan lebat berserta angin kuat memusnahkan kediaman penduduk terutamanya di bahagian bumbung.

“Ada rumah yang bumbung mereka diterbangkan angin dan ada yang mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tetapi ia sudah dibersihkan dengan gotong-royong bersama penduduk.

“Saya sudah memaklumkan kepada penduduk terlibat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Premis dipecah masuk dua lelaki



Premis dipecah masuk dua lelaki
Kereta mangsa yang ditinggalkan suspek.
KULIM - Sepasang suami isteri warga emas yang menjalankan perniagaan di sebuah restoran di sini berhadapan detik cemas apabila dua lelaki bersenjatakan parang memecah masuk premis mereka kira-kira jam 5.45 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, mangsa baru membuka kedai dan sedang menyusun rokok di kaunter.

Menurutnya, suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan barangan berharga kepada mereka sekiranya tidak mahu dicederakan.

“Dalam kejadian itu suspek telah berjaya melarikan rokok pelbagai jenis bernilai RM3,000, wang tunai RM4,000 dan beberapa dokumen penting milik mangsa.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan kunci kereta jenis Proton Iswara sebelum mengunci mangsa di dalam bilik air," katanya.

Ghuzlan berkata, mangsa yang ketakutan bagaimanapun berjaya keluar dari tandas sebaik sahaja suspek melarikan diri dengan menggunakan kereta mangsa.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 6.20 pagi.

"Usaha mencari kereta mangsa yang dilarikan suspek diteruskan dengan bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM). Kira-kira jam 12 tengah hari ahli PPKM yang membuat rondaan di sekitar ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan. Dari pemeriksaan dijalankan, polis mengesahkan kereta ditemui itu merupakan milik mangsa," katanya.

Pondok jadi port bungkus dadah



Pondok jadi port bungkus dadah
Muhd Nur Hishamuddin (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang berjaya dirampas dalam serbuan itu.
JASIN - Polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, berjaya merampas sejumlah 265 gram dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM35,000 dalam satu serbuan di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit, Bukit Katong, Rim, kelmarin .

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 7.15 pagi itu, berjaya menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 28 tahun yang ketika itu sedang tidur bagi membantu siasatan.

Menurutnya, hasil siasatan di kawasan pondok terbabit, pihaknya menemui 160 paket plastik berisi dadah jenis heroin yang dibungkus dalam paket plastik lutsinar saiz kecil di bawah pelepah kelapa sawit.

"Kami percaya mereka mendapatkan bekalan dari sindiket luar dan menggunakan pondok itu sebagai port membungkus dadah sebelum diedarkan kepada penagih  sekitar kawasan Jasin.

“Sejak tiga minggu lalu, polis bahagian narkotik melakukan intipan sebelum melakukan serbuan di ladang kelapa sawit dekat Kampung Bukit Katong Rim,” katanya ketika sidang media di IPD Jasin, semalam.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan orang tempatan turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah termasuk jenayah curi kereta.

“Malah ujian saringan awal air kencing mendapati mereka juga positif dadah jenis syabu dan heroin.

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Sek 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah dan membawa kepada hukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Bom lama ditemui



Bom lama ditemui
Bom berusia 40 tahun yang ditemui pekerja ladang di Felcra Darat Batu, Kanchong Darat, Banting, kelmarin.
KUALA LANGAT – Seorang pekerja ladang terkejut menemui sebutir bom lama berdekatan kawasan pemunggahan buah di Felcra Darat Batu, Kanchong Darat, Banting, di sini, kelmarin.

Pekerja warga Indonesia berusia 32 tahun itu menemui bom terbabit kira-kira jam 5.30 petang, sebelum memaklumkan kepada pengurus projek, Mohd Redzuan Abdul Wahab, pagi semalam.

Mohd Redzuan berkata, beliau terus menghubungi polis kerana bimbang bom itu masih aktif dan membahayakan keselamatan pekerja.

“Sebelum ini, pengurus projek lain pernah menemui bom seperti itu dan kejadian semalam adalah yang kedua dilaporkan berlaku di sini.

“Bom itu dipercayai dari zaman penjajahan Jepun dan tidak ditemui sebelum ini kerana tertimbus dengan tanah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan semalam mengesahkan penemuan bom terbabit.

Beliau berkata, seramai enam anggota dari Unit Pemusnah Bom IPD Kuala Langat dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan.

Katanya, bom dianggarkan berusia 40 tahun itu dimusnahkan kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

Pelajar koma dirempuh motosikal



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Pelajar koma dirempuh motosikal
Keadaan Mohd Khirul Fazil yang masih koma selepas kemalangan itu.
ALOR GAJAH - Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, parah selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian langgar lari di Jalan kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Mohd Khirul Fazil Jasferi, 13, sedang melintas jalan dirempuh motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki awal 20-an.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa teragak-agak melintas jalan dan berhenti di garisan tengah selepas melihat sebuah motosikal ditunggang laju dari arah Brisu ke Masjid Tanah.

"Ketika itu, mangsa bersama sepupunya, Mohd Habrie Abu Bakar, 15, namun sudah berada di seberang jalan dan mangsa cuba melintas kerana bimbang tertinggal bas sekolah.

“Setibanya di garisan tengah, sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan merempuh mangsa menyebabkannya tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian.

"Orang ramai yang menyedari kejadian itu bertindak menghubungi ibu mangsa sebelum membawanya ke klinik berdekatan," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Samseng mengamuk



Sekumpulan empat anggota polis yang melakukan siasatan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sitiawan, di sini, nyaris maut apabila ditembak selain diserang dengan parang oleh sekumpulan samseng.

Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, suspek yang bimbang diberkas melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis sejurus menyedari kehadiran anggota ke premis berkenaan.


Sumber polis berkata, empat anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis kepada suspek berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak biadab apabila merampas kad kuasa ditunjukkan anggota polis terbabit. Suspek kemudian bertindak menyerang anggota polis dengan parang menyebabkan berlaku kekecohan di dalam premis itu.


“Kejadian itu menyebabkan sebuah bilik di premis berkenaan rosak dengan kesan kaca pecah dan darah,” katanya.


Menurutnya, dalam kejadian itu, dua anggota polis mengalami kecederaan, manakala tiga daripada suspek yang cedera berjaya melarikan diri.

“Salah seorang anggota polis terbabit didapati mengalami kecederaan di muka, manakala seorang lagi di bahagian punggung. Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Manjung untuk menerima rawatan.


“Keadaan mereka kini dilaporkan stabil dan gerakan memburu kumpulan penjenayah dipercayai ada kaitan dengan aktiviti gangterisme giat dijalankan,” katanya Menurutnya, siasatan polis di lokasi kejadian menemui sebilah parang panjang, empat kelongsong peluru selain beberapa barang kes berkaitan,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian terdapat seramai 80 pelanggan berhibur di dalam premis berkenaan yang menempatkan lapan bilik hiburan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut membabitkan kes berkenaan masih dijalankan.

Lelaki misteri tembak 8 das



Temerloh: “Ketika hendak menyusun kerusi serta meja untuk membuka kedai makan, saya melihat dua lelaki menaiki motosikal memakai topi keledar menutup muka berhenti di depan sebuah rumah sebelum seorang daripadanya melepaskan lapan das tembakan rambang seperti sedang berperang dengan musuh.

“Bimbang kelibat disedari mereka, saya menyorok di belakang meja sebelum berlari masuk ke dalam rumah dalam ketakutan,” kata seorang lelaki dikenali sebagai Ras, 50, selepas menyaksikan dua lelaki melepaskan lapan das tembakan di depan sebuah rumah di Jalan Serindit, dekat sini, pada jam jam 5.30 pagi semalam.


Difahamkan, ketika kejadian pemilik rumah itu tiada di rumah kerana keluar berjoging bersama isterinya. Hanya ada anak lelaki mereka ditemani pembantu rumah warga Indonesia, tetapi tiada siapa cedera dalam kejadian itu.

Ras berkata, dia menyangka dua lelaki terbabit adalah pelanggannya sebelum melihat seorang daripada mereka mengeluarkan sesuatu dari poket baju.


Katanya, beberapa minit kemudian lelaki itu melepaskan lapan das tembakan secara rambang ke arah rumah mangsa yang mengenai dinding, pagar serta sebuah kereta Mercedes Benz milik mangsa.


“Selepas satu das tembakan, saya menyembunyikan diri di belakang meja lipat bagi mengelak kehadiran saya disedari dua lelaki tidak dikenali itu sebelum berlari masuk ke dalam rumah.

“Ini kali pertama saya mendengar bunyi tembakan dan berasa fobia walaupun bukan saya yang menjadi sasaran,” katanya.


Menurutnya, selepas dua lelaki terbabit beredar, dia menunggu kepulangan mangsa, seorang ahli perniagaan, dan menceritakan kejadian itu kepada pasangan suami isteri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh (gambar) berkata, polis menemui lapan kelongsong peluru di pekarangan rumah mangsa.

Mayat bayi baru lahir ditemui dalam semak



Ampang: Satu mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam semak berhampiran kebun pisang di Lorong Kancil, Kampung Klang Gate, di sini, dipercayai dibuang individu disyaki ibu bayi itu, petang semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 3.45 petang oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat berkenaan yang dibungkus dalam kain ditinggalkan berhampiran pokok pisang sebelum suspek bertindak melarikan diri bagi mengelakkan disedari orang awam yang melalui kawasan itu. Katanya, polis mendapat maklumat daripada seorang lelaki yang mengesyaki penemuan terbabit adalah mayat bayi yang sengaja dibuang. “Hasil siasatan forensik mendapati bayi berkenaan baru ditinggalkan di kawasan itu,” katanya.

8 penjenayah panik dengar penggera



Kuala Lumpur: Sekumpulan lapan lelaki berputih mata apabila cubaan mereka merompak sebuah kedai emas di Jalan Tasik Utama 6, Sungai Besi, di sini, semalam, tidak berhasil.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, kumpulan penjenayah terbabit gagal memecahkan cermin pameran yang kalis peluru sebelum melarikan diri apabila panik selepas sistem penggera keselamatan kedai berkenaan berbunyi.


Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia yang berada berhampiran tempat kejadian pada mulanya melihat lapan lelaki menaiki empat motosikal berhenti di hadapan kedai emas itu.

“Tiga daripada mereka yang memakai topi keledar dan penutup muka bergegas memasuki kedai berkenaan.


“Tidak lama kemudian, saya terdengar beberapa bunyi hentakan kuat sebelum melihat seorang pekerja kedai emas itu berlari keluar dari kedai dan mendapatkan perlindungan di kedai sebelah,” katanya.


Menurutnya, tidak lama kemudian, sistem penggera keselamatan kedai itu berbunyi menyebabkan kumpulan terbabit panik dan melarikan diri.

Katanya, dia mengesyaki kumpulan penjenayah itu sudah lama merancang melakukan rompakan itu.


“Mereka (penjenayah) bagaikan tahu ketika itu tiada ramai pelanggan di kedai berkenaan,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian empat pekerja wanita dan seorang pekerja lelaki berada dalam kedai itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Biar anak dicekup



Bimbang dicekup, seorang bapa meninggalkan anak lelaki dan seorang lagi rakannya ditahan polis ketika memecah masuk sebuah rumah di Subang Jaya, di sini, 6 April lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki berusia lewat 40-an terbabit menunggu anak dan seorang rakannya dalam kereta Volkswagen Golf di luar rumah berkenaan sebelum nekad merempuh kereta peronda polis untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek yang menunggu dalam kereta merempuh kereta peronda yang cuba menghampirinya sebelum keluar daripada kenderaan itu dan melarikan diri.

“Biarpun suspek meloloskan diri, tetapi polis menahan dua suspek yang berada dalam rumah itu.


“Seorang daripadanya yang berusia 32 tahun adalah anak suspek yang melarikan diri. Manakala, seorang lagi rakan jenayahnya berusia 33 tahun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Yahaya berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas lima video kamera, sebuah beg berisi pelbagai peralatan dipercayai untuk kegiatan memecah rumah. Polis turut menemui sebuah kereta Toyota Vios yang dilaporkan hilang tahun ini. “Selain itu, kami merampas sebuah kereta Proton Preve yang menggunakan nombor plat palsu dan dilaporkan hilang di Damansara,” katanya. Katanya, siasatan lanjut juga mendapati seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah sejak tahun lalu dan positif dadah. Kumpulan penjenayah pecah rumah itu dipercayai terbabit dalam 20 kes samun sejak awal tahun ini.

Geng Ah Soon berakhir



Geng Ah Soon yang bergiat aktif melakukan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah sekitar Lembah Klang dan melarikan pelbagai kereta mewah dianggarkan jutaan ringgit sejak tahun lalu tumpas apabila ketua sindiket terbabit ditahan dalam sebuah kereta di Bukit Antarabangsa, di sini, Isnin lalu.

Ketika ditahan pada jam 4.30 petang itu, ketua kumpulan terbabit dikenali sebagai Ah Soon turut berada bersama dua lagi ahli kumpulannya berusia 24 dan 39 tahun.


Polis turut merampas peralatan pecah rumah, tiga komputer riba, wang tunai berserta dua set walkie-talkie dalam kereta mereka.

Berikutan penahanan itu, polis menyerbu beberapa lokasi berasingan dan menahan lima lagi ahli geng berkenaan termasuk seorang wanita.


Siasat lanjut, polis merampas tujuh lagi kenderaan curi daripada kumpulan itu membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM1.5 juta.


Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek ditahan itu adalah kumpulan sama yang terlepas ketika dikejar polis di Jalan Chan Sow Lin 4, April lalu selepas mereka cuba melarikan sebuah kereta Toyota Harier yang sebelum itu dicuri di Ampang.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek yang menaiki kereta Mercedes Benz C 200 berwarna hitam melarikan diri dalam serbuan polis di kawasan terbabit, namun polis merampas semula kereta Toyota Harier yang diletakkan berhampiran tempat kejadian.


“Pada 8 April lalu, anggota unit MPV yang menjalankan rondaan mengesan sebuah kereta Toyota Camry di Bukit Antarabangsa dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan pecah rumah, parang, komputer riba, walkie-talkie dan beberapa set kunci kereta mewah sebelum mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, semalam.


Amiruddin berkata, hasil soal siasat mendapati mereka kumpulan sama yang bergiat aktif sejak tahun lalu melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan mewah.


“Susulan itu, polis menyerbu rumah suspek dan lokasi tempat penyimpanan barang di sekitar Lembah Klang sebelum merampas sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 17 Mac lalu, 13 kunci kereta pelbagai jenis, lapan alat penggera kereta, tiga kad kredit dan tujuh keping Touch N Go.


“Siasatan lanjut seterusnya membawa pasukan polis ke Serdang dan merampas sebuah kereta Mercedes Benz C 200 yang diletakkan di tepi jalan dan kereta terbabit adalah kenderaan sama ketika kejadian di Jalan Chow Sow Lin 4 serta dilaporkan hilang pada 2 April lalu di Wangsa Melawati,” katanya.


Beliau berkata, pada jam 2.10 petang Selasa lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Seri Kembangan dan menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai kunci kereta.


“Kami merampas dua kereta iaitu Proton Perdana dan Toyota Altis yang masing-masing dilaporkan hilang di Petaling Jaya dan Sungai Besi.


“Dalam tangkapan terbaru petang kelmarin, polis menemui sebuah kereta BMW 320i warna hitam di Batu 9, Cheras yang dilaporkan hilang pada 4 April lalu,” katanya.


Menurutnya, semua suspek berusia 24 dan 39 tahun itu kini direman sehingga Isnin ini bagi siasatan kes samun, pecah rumah dan melarikan kereta di sekitar Ampang Jaya.


“Malah, semua mereka positif dadah jenis syabu dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau membabitkan dadah, curi kenderaan dan pecah rumah,” katanya.

Bom bawah pikap



Phatthalung: Seorang pegawai polis terselamat apabila teman wanitanya menyedari terdapat seutas tali yang diikat pada sebatang pokok dihubungkan pada sebutir bom di bawah trak pikap miliknya.

Inspektor unit kawalan jenayah balai polis Khuan Meed, Leftenan Muda Pitak Suwanmalai berkata, dia meletakkan trap pikapnya di kediaman teman wanitanya di daerah Tamod pada malam sebelumnya.


Keesokan hari, teman wanitanya menyedari ada seutas tali diikat pada pokok berhampiran. Wanita itu lalu memeriksa di bawah trak pikap berkenaan dan mendapati tali itu disambung pada sebutir bom di bawah kenderaan terbabit. Dia kemudian segera menghubungi balai polis untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

Skuad bom wilayah Phatthalung kemudian bergegas ke kawasan itu untuk melakukan pemeriksaan. Skuad itu mengesahkan terdapat sebutir bom di bawah trak pikap berkenaan sebelum memusnahkan bom berkenaan.


Sementara itu, polis berkata, serangan itu mungkin bermotifkan konflik peribadi. - Bangkok Post

11 restoran tawar shisha di Jeddah disita



Manama: Pihak berkuasa tempatan menutup 11 restoran dan kedai kopi di Abhar, Jeddah, kerana menyediakan shisha di kawasan tertutup.

Sumber berkata, premis itu disita kerana melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan. “Semua pihak tahu Kementerian Dalam Negeri melarang shisha dihisap di tempat tertutup dan premis berkenaan diberi amaran berkali-kali bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya. Lebih 100 paip yang akan digunakan pelanggan turut dirampas dalam serbuan di premis berkenaan.


Sumber berkata, sesetengah restoran dan kedai minuman itu terletak di sepanjang 30 kilometer pantai peranginan Laut Merah yang menjadi lokasi pelancongan utama Jeddah. Shisha sangat popular di Arab Saudi dan negara lain Teluk.

Pakar perubatan memberi amaran, amalan menghisap shisha kini semakin meluas di Teluk, termasuk di kalangan remaja perempuan. Angka rasmi menunjukkan Arab Saudi mempunyai enam juta perokok dan kira-kira 800,000 daripadanya adalah remaja sekolah menengah dan tinggi.


Kira-kira 600,000 lagi adalah wanita. - AFP

Indonesia tahan 82 pelarian



Makassar: Tentera Laut Indonesia menahan 82 orang pencari suaka, termasuk sejumlah masyarakat Islam Rohingya apabila bot mereka terkandas ketika dalam perjalanan ke Australia.

Pegawai imigresen Indonesia berkata, 51 orang adalah masyarakat Rohingya, manakala 24 lagi dari Iran dan tujuh warga Somalia berlayar menuju ke Sulawesi.


Menurut maklumat, katanya, dari Sulawesi pencari suaka itu akan menuju Nusa Tenggara Timur yang menjadi antara wilayah Indonesia paling hampir ke Indonesia.

“Bot itu meninggalkan Sulawesi tetapi terkandas tidak jauh dari pulau berkenaan sebelum kapal peronda tentera menahan mereka,” katanya.


Sebahagian daripada penumpang bot itu adalah kanak-kanak.


Kata pegawai imigresen itu, semua tahanan dibawa ke Makassar untuk didaftarkan dan disoal siasat.

Menurut pegawai itu, tahanan Rohingya akan diasingkan daripada pencari suaka lain ekoran berlaku keganasan di pusat tahanan di antara penganut Islam dan Buddha Myanmar minggu lalu. Semakin ramai pencari suaka di kalangan masyarakat Rohingya - dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai satu daripada etnik minoriti paling banyak dianiaya - tiba di Indonesia akibat keganasan di Rakhine, Myanmar tahun lalu. Kata pegawai imigresen itu, kebanyakan pencari suaka sihat walaupun dua daripada kanak-kanak Iran mengalami masalah kulit.


“Mereka yang bermasalah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya. - AFP

Gadai maruah bayar along



Seorang wanita berusia 23 tahun terpaksa menyerahkan maruah diri bagi menggantikan bunga pinjaman wang yang gagal dibayar kepada along dalam satu kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

Semuanya berlaku selepas bekas majikannya yang menjadi perantara dengan along berkenaan sanggup mengarahkan dua lelaki iaitu konco along berkenaan merogol bekas pekerjanya itu disebabkan gadis terbabit gagal berbuat demikian.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan mengenainya kini sedang dijalankan.

Harian metro difahamkan, detik hitam dalam hidup wanita itu berlaku di sebuah hotel di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.


Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, mangsa yang berusia 23 tahun menerima panggilan daripada bekas majikannya memberitahu terdapat kerja kosong di premisnya di Pekan Klang di mana tempat dia bekerja sebelum ini.


Bagaimanapun, niatnya untuk mencari pekerjaan bertukar tragedi apabila dia dibawa ke sebuah hotel sebelum dirogol dua lelaki dipercayai pemungut bayaran bunga duit along terbabit.

Difahamkan, mangsa hanya membuat pinjaman sebanyak RM2,000 daripada along terbabit, tetapi tidak mampu untuk membayar bunga hutang berkenaan selepas dibuang kerja hanya kerana mengambil cuti selama sehari.


“Selepas dihubungi dan dipanggil ke premis itu, mangsa dipertemukan dengan dua lelaki terbabit sebelum dimarah dan dimaki hamun dengan perkataan kasar kerana dia tidak membayar duit bunga pinjaman.

“Suspek juga mengugut akan menjual mangsa kepada individu lain sekiranya gagal membuat bayaran berkenaan sebelum membawa mangsa menaiki kereta Proton Satria berwarna kelabu untuk berjumpa dengan majikan mereka,” katanya.


Bagaimanapun, mangsa sekali lagi ditipu suspek terbabit apabila dia dibawa ke sebuah restoran di Bukit Tinggi, di sini sebelum diugut buat kali kedua oleh salah seorang daripada mereka.


“Suspek mengarahkan mangsa membayar semua wang yang dipinjam. Sekiranya gagal, dia akan dipaksa bekerja di tempat yang diarahkan suspek sebagai cagaran kepada hutang berkenaan atau diarahkan mengadakan hubungan seks dengan mereka.


“Mangsa yang ketakutan terus merayu kepada agar diberikan masa untuk melunaskan hutang berkenaan, namun rayuan itu tidak diendahkan sebelum membawanya ke hotel,” katanya.


Bimbang dirinya diperlakukan lebih buruk, katanya, mangsa hanya menurut perintah untuk mengikuti mereka pergi ke hotel berkenaan dan di sana dia dirogol sebelum suspek menghantarnya pulang ke rumah.


Mangsa yang trauma kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Klang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bekas Presiden Jerman didakwa terima rasuah



13/04/2013 4:03am

BERLIN - Bekas Presiden Jerman, Christian Wulff se malam telah didakwa atas kesalahan menerima rasuah untuk kepentingan politik selepas setahun siasatan di jalankan.
Wulff yang dipilih untuk menyandang jawatan Presiden oleh Canselor Angela Merkel pada 2010 meletak jawatan pada Februari 2012.
Perletakan jawatan itu dilakukan selepas pihak pen dakwaraya menyatakan mereka mengesyaki beliau me nerima rasuah dan meminta mahkamah membatalkan ke kebalan Wulf sebagai Presiden.
Pendakwa Raya kerajaan, Lower Saxony mengesyaki Wulff melobi syarikat Siemens AG untuk memasarkan filem John Rabe setelah seorang penerbit filem membayar perbelanjaan beliau ketika lawatan Pesta Oktober di Munich pada tahun 2008. - Rueters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0413&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2QI3wLdmD 
Hakcipta terpelihara 

Seorang lagi maut akibat H7N9 di China



13/04/2013 4:03am

BEIJING - Seorang lagi dilaporkan telah maut akibat jangkitan virus selesema burung di China dan menjadikan jumlah kematian akibat virus H7N9 itu meningkat kepada 11, lapor media rasmi negara itu semalam.
Agensi berita Xianhua melaporkan, mangsa terbaharu berkenaan berada Shanghai di mana dalam masa sama, dua lagi kes baharu turut disahkan dikesan.
Setakat ini sebanyak 40 kes jangkitan H7N9 dilaporkan dan kesemuanya berlaku di wilayah selatan China.
Sebagai langkah meredakan kebimbangan orang ramai terhadap penularan H7N9, pihak berkuasa China mengambil langkah tegas dengan menahan berpuluh-puluh orang yang menyebarkan maklumat palsu tentang virus berkenaan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0413&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_16.htm#ixzz2QI3ljNWy 
Hakcipta terpelihara