Search This Blog

Friday, April 12, 2013

Anggota polis mengaku tidak bersalah sembunyi maklumat pengganas




12 April 2013
TAWAU - Seorang anggota polis yang menghadapi pertuduhan sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Koperal Hassan Ali Basari, 55, berasal dari Semporna, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada 9 Februari hingga 3 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim P Ravinthran yang mendengar kes itu menetapkan 24 hingga 28 Jun untuk perbicaraan.

Hassan yang digari dan dipakaikan 'straight jacket' kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Dia diwakili peguam Kamarudin Mohd Chinki manakala barisan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kamarudin pada awalnya memohon mahkamah mempertimbangkan supaya membenarkan isteri Hassan bertemu dengan anak guamnya kerana sejak ditahan mereka dilarang berbuat demikian.

Ravinthran bagaimanapun menasihatkan Kamarudin supaya membuat permohonan rasmi berkenaan perkara tersebut.

Selain itu, Abdul Gani memberitahu mahkamah perbicaraan kes itu akan melibatkan lebih 10 saksi dan tidak akan dibicara bersama dengan kes lain yang turut melibatkan keganasan di Lahad Datu.

Dalam prosiding hari ini juga, sepuluh lagi warga Filipina berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, dua warga Filipina menghadapi tuduhan yang sama.   

Mereka yang didakwa melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong ialah Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Wazir Osman@Abdul, Abd Hadi Mawan, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.

Kesemua mereka turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama seorang lagi tertuduh Aiman Radie.

Salib Akhmad turut didakwa atas pertuduhan merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.

Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Feb hingga 13 Mac lalu di beberapa lokasi iaitu di Kampung Tanduo (daerah Lahad Datu); Kampung Perigi (daerah Semporna); Kampung Madai Kunak (daerah Kunak); Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku (daerah Lahad Datu) dan Kampung Bakau (daerah Semporna).

Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ravinthran menetapkan 14 Mei untuk pengurusan kes kesemua tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar pengakuan lapan lagi warga Filipina yang telah didakwa di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Pengakuan Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel yang didakwa melancarkan perang dan menganggotai kumpulan pengganas masih tidak direkodkan hari ini kerana mahkamah perlu meneliti kebenaran pelantikan dua peguam untuk mewakili kedua tertuduh.

Peguam Abdul Ghani Zelika dilantik untuk mewakili Atik Hussin manakala Ram Singh bagi pihak Basad.

Enam tertuduh lagi iaitu Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong masih tidak diwakili peguam dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Lin, Holland, Habil dan Timhar Hadir didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala Kadir dan Lating didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.

Masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Feb hingga 4 Mac di pelbagai lokasi seperti Kampung Tanduo, Jalan Kastam Lama, Lahad dan di hadapan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Tanjung Labian, kesemuanya di Lahad Datu.

Bagi kesalahan memerangi Yang di-Pertuan Agong, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup dan denda.

Bagi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas, mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun yang sama dan tuduhan melindungi pengganas, mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu (menganggotai dan melindungi pengganas) membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas pula membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Berikutan pendakwaan hari ini, jumlah tertuduh warga Filipina adalah seramai 19 orang dan seorang warga tempatan.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Kesemua tertuduh dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 8.15 pagi dengan menaiki empat buah trak diiringi lebih 10 kenderaan polis.

Keadaan di sekitar mahkamah dikawal ketat sejak semalam dan hanya seorang wakil media dan tiga wakil kedutaan Filipina dibenarkan masuk.

Daripada 20 tertuduh itu, 13 orang dipakaikan 'straight jacket' dan digari dan selebihnya digari sahaja. - Bernama

Ahli perniagaan mati ditembak di persimpangan lampu isyarat




12 April 2013
Ahli perniagaan mati ditembak di persimpangan lampu isyarat di Seremban
Anggota forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian - Foto Bernama
SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak dua lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST di sini petang tadi.
  
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa James John, 45, yang memandu kereta Honda Accord dan dipercayai dalam perjalanan dari Taman Permai menuju Temiang sedang berhenti di persimpangan tersebut.
  
Menurut jurucakap polis, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki dua lelaki turut berhenti di sebelah kenderaan mangsa.
  
"Salah seorang suspek kemudiannya mengeluarkan sepucuk pistol jenis semi automatik lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat sebelum melarikan diri. Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri maut di tempat kejadian akibat terkena beberapa das tembakan di kepala dan badan," katanya.
  
Katanya pihak polis turut menjumpai 12 kelongsong peluru jenis 9 milimeter berhampiran kenderaan mangsa.
 
Jurucakap itu berkata pihak polis percaya suspek telah mengekori kereta mangsa sebelum bertindak ke atas mangsa.
  
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat.
  
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
  
"Buat masa ini kita masih menyiasat motif kejadian dan juga sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini.
  
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - Bernama

Polis bebas 32 rakyat Filipina tiada kaitan pengganas




12 April 2013
KOTA KINABALU - Polis membebaskan 32 rakyat Filipina yang ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu selepas dirujuk Jabatan Peguam Negara setelah mendapati tiada elemen pengganas dengan kumpulan pengganas bersenjata Sulu.
  
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua mereka dihantar pulang menaiki bot yang dikenali sebagai 'kumpit' diiringi anggota polis sehingga ke perairan negara jiran itu, pada kira-kira 5 petang semalam.
  
"Setelah disoal siasat mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengganas," katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat beliau yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis berkuat kuasa hari ini.
  
Hamza yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah kekal dengan jawatan sekarang memakai pangkat Komisioner Polis.
  
Beliau berkata pasukan keselamatan juga mengembalikan kesemua senjata yang dirampas seperti senjata api, barong dan kapak serta beberapa dokumen yang dibawa kumpulan lelaki itu.

Sebelum ini dilaporkan kesemua lelaki yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 72 tahun itu menaiki sebuah bot ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi Isnin lepas.
  
Hamza turut memberi jaminan keadaan di Sabah terkawal dengan usaha penekanan mengekang pergerakan keluar masuk pihak luar ke negeri ini.
  
"Tiada juga berlaku pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah dan kita berjaya menyekat kawalan keselamatan masuk ke negeri ini daripada pihak-pihak luar yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam," katanya.
  
Terdahulu, ketika berucap Hamza berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merupakan satu cabaran yang realiti kepada pasukan polis.
  
"Dari segi jangka masa pendek pembukaan balai polis baharu dibuat di kawasan ESSCOM seperti Pulau Bum-Bum, Semporna; Pulau Gaya, Kota Kinabalu dan Felda Sahabat sementara jangka masa panjang kita memerlukan sokongan rakyat dalam semangat keharmonian untuk mengembalikan keamanan di negeri ini," katanya.

Pada majlis itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada 12 pegawai kanan polis yang bertukar atau dinaikkan pangkat menerajui pegawai utama ESSCOM termasuk Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman DCP Datuk Abd Rashid Harun dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Bukit Aman DCP Datuk Ahmad Nadzer Nordin.
  
Abdul Rashid dilantik Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam manakala Ahmad Nadzer dilantik Pengarah Bahagian Perisikan 1. - Bernama

Ibu mengandung nyaris maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
Ibu mengandung nyaris maut
Kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu remuk di hadapan.
ALOR GAJAH - Seorang ibu sarat mengandung tujuh bulan nyaris maut apabila kereta dipandu suaminya bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan di jalan Simpang Garing, Durian Tunggal, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, K Muthulagi, 25, bersama suaminya, M Yoga, 30, dalam perjalanan dari pekan Durian Tunggal menuju ke Tebong.
Difahamkan, mangsa yang menaiki Proton Wira bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis sama dipercayai kereta curi dipandu seorang lelaki ketika melalui selekoh berbahaya sebelum terbabas ke kiri jalan.

Jurucakap polis berkata, kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali hingga memasuki laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu, kereta dinaiki suami isteri itu dirempuh pada sebelah kiri sebelum kedua-dua kereta terhenti pada jarak kira-kira 10 meter.

"Pertembungan itu juga menyebabkan kereta lelaki berkenaan merempuh deretan kedai di kiri jalan," katanya.

Menurutnya, kereta pasangan suami isteri yang terbabas juga hampir merempuh sebatang tiang elektrik manakala kereta dipandu lelaki terbabit terperosok ke ruang hadapan deretan kedai dalam kedudukan menghala semula keluar.

"Sejurus rempuhan berlaku, kedua-dua mangsa segera keluar dari kereta namun lelaki terbabit sudah melarikan diri.

"Dalam keadaan cemas, mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam untuk rawatan lanjut manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Risalah BN seleweng projek tersebar



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
Steven
Steven menunjukkan risalah yang didakwa mengandungi maklumat mengenai isu penyelewengan projek BN di Serendah.
Steven
Steven menjelaskan mengenai pengedaran risalah berkait isu penyelewengan projek BN di Serendah kepada media.
HULU SELANGOR - PKR mendedahkan tindakan pihak tertentu yang didakwa menerima sejumlah wang untuk mencetak dan mengedarkan risalah mengenai penyelewengan projek Barisan Nasional (BN) di Serendah.

Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Hulu Selangor, T Steven berkata, risalah itu mendedahkan jumlah penyelewengan serta memuatkan beberapa maklumat termasuk keratan akhbar berkait isu tersebut.

“Difahamkan isu ini dibawa satu kumpulan besar di Serendah dan membabitkan seorang ahli PKR.

“Pengedaran risalah ini memberi masalah kepada penduduk Serendah kerana mengelirukan dan berunsur hasutan,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Beliau turut mendakwa sejumlah RM12,000 digunakan ahli PKR itu untuk tujuan tersebut.

Dakwanya lagi, wang tersebut disalurkan daripada sumber kewangan seorang ahli BN untuk memburukkan seorang pemimpin bagi membolehkan namanya terus dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya minta pihak atasan (berwajib) supaya mengambil tindakan kepada pihak ini (individu dan kumpulan terlibat) yang membawa isu ini sampai kepada orang lain (penduduk Serendah),” katanya.

Steven sebelum ini pernah membuat pendedahan berkaitan isu penyelewengan projek yang sama bersama beberapa penduduk dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau membuat laporan polis mengenai dakwaan penyelewengan itu selang beberapa hari pendedahan dibuat.

Bagaimanapun, katanya isu yang didedahkan semalam melibatkan pengedaran risalah yang didakwa didalangi ahli BN sendiri.

Jurujual wanita didenda RM6,000



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
Mohamad
Mohamad bersama kotak yang mengandungi DVD sebagai bukti di Mahkamah.
KUANTAN - Seorang jurujual dikenakan denda sebanyak RM6,000 selepas didapati bersalah menjual sebanyak 353 video cakera padat yang tidak mempamerkan perakuan B sepertimana Seksyen 18(2) Akta Penapisan Filem 2002.

W Nur Shafafwati Haizum W Adnan, 29 yang beralamat di Permaisuri, Terengganu melakukan kesalahan itu pada 12 Januari lalu kira-kira jam 4.05 petang di sebuah pasaraya dekat sini.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18(4) (a) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(5) akta yang sama yang boleh  di denda tidak kurang  RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalan Negeri (KDN), Mohamad Ibrahim di hadapan Majistret Mahkamah Majistret, Jesseca Daimis

Dadah: Pelajar pondok didenda



ADILA SHARINNI WAHID
12 April 2013
Dadah: Pelajar pondok didenda
Tertuduh (kiri) diiringi polis masuk ke mahkamah untuk dituduh, semalam.
KOTA BHARU - Seorang pelajar sekolah pondok di Yala, Thailand didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine, Januari lalu.

Pelajar berusia 18 tahun itu turut dikenakan perintah pengawasan selama dua tahun oleh Majistret Nik Habri Muhamad.

Dia didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah berkenaan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, pada jam 12.15 pagi, 27 Januari.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya terhadapnya diringankan kerana dia masih belajar di sebuah sekolah pondok di Yala.

Tertuduh sebelum itu mengakui sudah mencecah dua tahun belajar di sana dan terjebak dengan gejala dadah ketika balik bercuti di Kelantan.

“Saya mohon hukuman ringan kerana ini adalah kesalahan lalu. Saya tiada masalah untuk berubah,” katanya.

Nik Habri bagaimanapun turut menjatuhkan hukuman penjara empat bulan jika tertuduh gagal jelas denda. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Anak dakwa dicabul bapa



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
BESUT - Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dicabul bapa kandungnya ketika tidur di ruang tamu rumahnya di sebuah taman perumahan di sini, pada 3 April lalu.

Difahamkan dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa berumur 15 tahun sedang tidur di ruang tamu rumah dan terjaga dari tidur apabila mendapati bapanya sedang memegang payu daranya.

Mangsa yang terkejut terus memarahi bapanya menyebabkan suspek tidak meneruskan perbuatannya dan beredar dari situ.

Namun difahamkan, keinginan suspek tidak terhenti pada pagi itu sebaliknya dia mengulangi perbuatan sama sebanyak dua kali pada keesokan harinya.

Suspek dikatakan melakukan perbuatan kedua ketika mangsa ingin ke sekolah pada jam kira-kira 6.30 pagi dan kali ketiga apabila anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang hari yang sama.

Mangsa yang takut dengan perbuatan bapanya dikatakan berbincang dengan guru sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja tidak lama selepas itu.

Menyedari mangsa membuat polis dan bimbang ditangkap, suspek menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, suspek ditahan pada jam 2 petang, Selalu lalu untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Keluarga rayu Ika pulang



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
hilang anak gadis
Mat Daud dan Rohani menunjukkan gambar dan laporan polis yang dibuat mengenai kehilangan anak gadisnya.
KERAYONG - “Baliklah Ika. Ma tak marah Ika. Ma rindu Ika.”

Demikian luahan hati seorang ibu yang menunggu kepulangan anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak hampir dua minggu lalu.

Rohani Ismail, 54, merayu agar anaknya, Siti Nur Syafiqah Mat Daud, 18, pulang ke pangkuannya kerana bimbang dengan keselamatan anak gadisnya itu.

Katanya, perselisihan faham antara mereka sebelum ini bukan bermaksud untuk membenci tetapi hanya sebagai teguran dan tanda sayang terhadap anaknya itu.

Menurutnya, bermacam-macam usaha dilakukan untuk menjejaki Siti Nur Syafiqah termasuk membuat laporan kehilangannya di balai polis dan menggunakan khidmat bomoh.

“Ada yang kata, anak saya masih ada di sekitar Bera. Tapi ada pula yang kata, dia sudah berada di Seremban.

“Entahlah, saya dah tak tahu nak buat apa. Sekarang hanya mengharapkan dia balik ke rumah sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Rohani berkata, sehingga kini polis masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai laporan yang dibuat itu.

Sementara itu, suaminya, Mat Daud Salleh, 60, berkata, isterinya sering termenung dan menangis kerana mengenangkan anaknya itu.
Katanya, anaknya pergi sehelai sepinggang tanpa telefon bimbit, duit malah MyKad juga tidak dibawa bersama.
“Dia tak bawa telefon, jadi kami susah nak cari dia. Saya juga sudah hubungi kawannya tetapi mereka tidak tahu,” katanya.

Mat Daud berkata, sekiranya sesiapa ternampak Siti Nur Syafiqah, diminta menghubungi talian 013-9572685 atau 019-9388931 dan menghubungi balai polis berdekatan.

Nelayan maut dipanah petir



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
SETIU - Seorang nelayan maut dipanah petir ketika memukat ikan bersendirian di tengah laut berhampiran Pulau Lang Tengah, Penarik di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu,  Abd Wahab Sulong, 59, dari Kampung Baru, Penarik meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di badan, lengan dan badan akibat dipanah petir.

Kejadian itu disedari kira-kira 20 nelayan lain yang turut memukat ikan di sekitar kawasan berkenaan ketika kejadian malang itu berlaku.

Ketua Polis Daerah,  Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai ketika hujan lebat yang disusuli dengan dentuman petir.

Menurutnya, sebelum kejadian, rakan mangsa, Saiful Bahari Abd Aziz, 33, yang berada kira-kira 500 meter dari mangsa terlihat kelibat Abd Wahab sedang berdiri menarik pukat.

“Ketika itu hujan lebat berserta bunyi petir kuat dan sebaik keadaan reda, kelibat mangsa tidak kelihatan lagi menyebabkan Saiful Bahari pergi menghampiri perahu mangsa untuk memeriksa apa yang berlaku,” katanya.

Ab Rahman berkata, sebaik menghampiri perahu itu, mangsa sudah terbaring dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan terbakar, manakala serpihan kayu memenuhi badan mangsa.

Katanya, mangsa dipercayai dipanah petir yang menyambar bingkai sauknya yang diperbuat dari besi.

Mangsa kemudiannya dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada polis kemudian dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.

'Tercengang tengok atap rumah'



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
Tercengang tengok atap rumah
Atap rumah M Azeri hilang separuh diterbangkan ribut.
Tercengang tengok atap rumah
M Azeri menunjukkan bahagian atap rumahnya yang rosak.
Tercengang tengok atap rumah
Keluarga Sandy masih trauma dengan kejadian ribut yang melanda.
Tercengang tengok atap rumah
Lantai dapur Shaiful Bhari yang masih berbaki hujan akibat ribut petang kelmarin.
TRANUM, RAUB – Hampir 30 kediaman di kawasan perumahan, di sini rosak teruk selepas angin kencang, ribut dan hujan lebat melanda lebih kurang jam 4.45 petang kelmarin.  

Penduduk, M Azeri Abd Aziz, 29, berkata, ketika kejadian, hanya emaknya tinggal di rumah manakala dia masih di luar kerana bekerja.

Menurutnya, emaknya memaklumkan hujan lebat berlaku disusuli ribut petir.

“Tidak sampai beberapa minit pun berlaku ribut, atap rumah terbang dan emak saya tak dapat buat apa-apa.

“Sebaik pulang dari kerja, saya tercengang tengok keadaan rumah yang rosak di beberapa bahagian terutama atap,” katanya.

M Azeri berkata, biar pun terpaksa melalui malam dalam keadaan bumbung rumah terbuka, dia bersyukur emaknya terselamat daripada kecederaan.


Sekeluarga panik

Bagi Sandy Morthy, 40-an, dia sekeluarga berhadapan saat cemas apabila atap di bahagian ruang tamu tercabut dan terbang hingga ke belakang rumah.

Katanya, semua ahli keluarganya berada dalam rumah tetapi bernasib baik kerana tidak seorang pun mengalami kecederaan.

“Tak dapat digambarkan perasaan kami bila tengok atap rumah tercabut dan melayang.

“Habis basah lantai rumah saya sebab kena hujan,” katanya.


Banyak kerosakan sampingan

Seorang lagi penduduk, Shaiful Bhari Ahmad, 52, berkata, kejadian itu mengakibatkan banyak kerosakan sampingan kerana kelengkapan rumah dibasahi hujan.

Menurutnya, selain menghadapi kerugian dan terpaksa mengeluarkan kos membaiki kerosakan rumah, lantai dan perkakasan rumah juga terjejas.

“Jika difikirkan keadaan ini buatkan kita termenung juga, tetapi ia adalah takdir ketentuan dan kuasa ALLAH. Apa pun, kena reda terima ketentuan-Nya.

“Diharap bantuan yang diterima daripada organisasi kebajikan nanti dapat ringankan beban yang ditanggung akibat bencana ini,” katanya.


Kemudahan asas terjejas

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tranum, Mohd Zaili Mohd Nor berkata, kemudahan asas seperti surau dan balai raya turut terjejas akibat kejadian itu.

Katanya, beberapa pegawai kerajaan dan pemimpin meninjau kawasan bencana termasuk Pegawai Daerah, Datuk Ismail Mohd Ali dan wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah.

“Kesemua mangsa diminta membuat laporan polis untuk rekod dan rujukan bagi tujuan penyaluran bantuan wajar agar dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Curi dompet: Dijel sebulan, denda RM5,000



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
KOTA BHARU - Hanya kerana mencuri dompet yang mengandungi RM4, seorang remaja dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Majistret Nik Habri Muhammad menjatuhkan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan bersalah Anis Shahiran Shukri, 19, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan pada jam 11 pagi, 7 April lalu, di Bazar Tuan Padang, Jalan Hospital di sini tertuduh dengan niat mencuri sebuah beg duit berwarna biru berjalur hijau mengandungi wang tunai berjumlah RM4, kad pengenalan diri dan kad bank milik Wan Nur Iylia Khairunisa Wan Muhammad, 19.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukuum penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan penjara atau sebat.

Mengikut fakta kes, Wan Nur Iylia Khairunisa telah meletakkan dompetnya di atas timbunan kain di sebuah kedai di Bazar Tuan Padang. Kira-kira jam 11 pagi, bapanya Wan Mohammad Noor melihat seorang lelaki memasuki kedai dan mengambil dompet itu kemudian melarikan diri.

Melihatkan keadaan itu, bapanya terus mengejar lelaki tersebut dan dengan bantuan orang ramai di tempat kejadian, tertuduh berjaya ditahan bersama beg duit tersebut.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Noor Dayana Muhamad.

Taktik licik pusat judi siber terbongkar



AHMAD NORMAN ABU TALIB
12 April 2013
Taktik licik terbongkar
Penguat kuasa MBPJ memeriksa pusat judi siber yang berselindung di sebalik hotel bajet di PJS 8, semalam.
PETALING JAYA – Kelicikan sebuah premis pusat judi siber berselindung di sebalik hotel bajet terbongkar apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menghidu taktik itu dalam serbuan Ops Siber di Desa Mentari, Petaling Jaya Selatan (PJS), malam kelmarin.

Dalam operasi bersepadu bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam itu, serbuan dilakukan di sekitar Petaling Jaya dan Bandar Sri Damansara dengan kekuatan seramai 30 anggota serta dua pegawai MBPJ manakala AADK seramai lima anggota.

Sebanyak 10 premis disita dalam serbuan itu dengan MBPJ merampas 210 monitor, 181 mikropemproses komputer (CPU), 15 cip komputer dan 12 kotak syiling.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan aduan daripada orang ramai.Mohd Fauzi berkata, hasil risikan dijalankan mendapati terdapat sebuah pintu rahsia di sebalik kaunter hotel bajet untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita mengekori seorang pengunjung sebelum berjaya membongkar kegiatan ini,” katanya.

Menurutnya, AADK menjalankan ujian air kencing terhadap 25 pengunjung yang sedang leka bermain judi dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan kerana positif dadah.

Beliau berkata, antara modus operandi dikesan adalah dengan tidak membuka pintu premis seolah-olah tidak beroperasi sebaliknya mempunyai pintu rahsia di sebelahnya selain dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, siasatan juga mendapati terdapat premis yang menawarkan hadiah dalam bentuk telefon bimbit dan pemain cakera padat (CD).

“Mereka juga menawarkan konsep menukar duit kemenangan dengan hadiah berbentuk barang-barang untuk menarik minat pengunjung,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Fauzi berkata, operasi bersepadu tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa kerana ia dapat menghasilkan impak lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan agensi masing-masing.

Menurutnya, kes di siasat di bawah Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MBPJ 2007.

Runsing ibu bapa bercerai



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
Runsing ibu bapa bercerai
Muhamad Noor Alif Fahmi diiringi anggota polis keluar dari lokap untuk dihantar ke penjara selepas mengaku salah semasa dihadapkan ke Mahkamah Butterworth semalam.
BUTTERWORTH - Alasan mengambil dadah kerana runsing selepas ibu bapa bercerai gagal menghalang seorang buruh ladang dari dikenakan hukuman penjara selepas mengaku bersalah memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Biarpun Muhamad Noor Alif Fahmi Mohd Saad, 22, berulangkali memberi alasan itu serta minta hukuman diringankan, namun Majistret Muhamad Firdaus Abdul Wahab tetap dengan keputusannya mengarahkan anak tunggal itu menjalani hukuman penjara selama 10 bulan di atas dua kesalahan dadah yang didakwa dilakukannya.

Muhamad Noor Alif dituduh di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 100 gram ketika ditahan di sebuah rumah di kampung berkenaan pada jam 1.15 pagi 28 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya bersama dua rakannya yang masih di bawah umur yang turut bersamanya dalam prosiding semalam.

Dia juga didakwa melakukan satu lagi kesalahan dibawah Seksyen 15 (1) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badannya semasa ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara sejurus selepas ditangkap.

Kedua-dua seksyen itu membabitkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun, dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Selepas mengaku salah, Majistret Muhammad Firdaus menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan untuk kesalahan pertama dan empat bulan untuk kesalahan kedua terhadapnya.

Bagaimanapun Muhamad Noor Alif Fahmi bernasib baik kerana Muhammad Firdaus mengarahkan hukuman itu berjalan serentak sejak tarikh dia ditangkap.

Pendakwaaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Masnur Aznim Abdul Malik.

Terdahulu, dua rakannya yang turut mengaku bersalah atas dua tuduhan serupa hanya didenda sebanyak RM1,300 bagi setiap kes dan bernasib baik tidak dipenjarakan kerana masih dibawah umur.

Cuba menyorok bawah meja



SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
12 April 2013
Cuba menyorok bawah meja
Wanita yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran menyorok di bawah meja mengelak daripada ditahan oleh anggota dan pegawai Imigresen.
TELUK INTAN - Tindakan seorang wanita dipercayai menawarkan khidmat seks yang cuba menyorok di bawah meja untuk mengelak dikesan penguatkuasa tidak berhasil apabila ditahan dalam serbuan di sebuah motel, di Jalan Pasar di sini, petang Selasa lalu.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, serbuan dalam Ops Sayang melibatkan 24 anggota dan pegawai Imigresen Cawangan Teluk Intan serta Depot Tahanan Imigresen Langkap, bermula kira-kira jam 1 petang dan berakhir sejam kemudian di dua serbuan berasingan.

Menurutnya, seramai lapan wanita yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di dua motel di sini ditahan berusia antara 27 hingga 39 tahun bagi pemeriksaan pihak Imigresen.

"Mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran kerana berpakaian seksi dipercayai menunggu pelanggan datang.

“Risikan mendapati, kelab ini turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran RM30-RM50 bagi satu sesi malah pelanggan boleh membawa wanita tersebut ke satu lokasi lain namun dikenakan caj lebih,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, kesemua wanita itu dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pihaknya juga meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memeriksa kesemua wanita yang dikatakan mempunyai kad pengenalan.

"Hasil pemeriksaan MyKad oleh JPN mendapati empat daripada mereka adalah warganegara manakala selebihnya menggunakan kad pengenalan palsu.

"Empat wanita yang memiliki MyKad palsu ini adalah warga Indonesia dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Katanya, JPN turut mengesan sindiket mengeluarkan MyKad palsu yang digunakan oleh warga Indonesia terbabit.

“Malahan, Jabatan Imigresen menahan empat wanita warga Indonesia di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 kerana melakukan pelbagai kesalahan dan kini mereka ditempatkan sementara di Depot Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Perak dilanda ribut



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
12 April 2013
Perak dilanda ribut
Mohd Ali hanya mampu melihat bumbung premisnya diterbangkan angin dan melumpuhkan perniagaan butiknya, kelmarin.
BAGAN SERAI - Penduduk Bagan Serai dan Ipoh melalui detik cemas apabila dua daerah berkenaan dilanda ribut, petang kelmarin.

Di Bagan Serai, tujuh kampung di Dun Selinsing dan Dun Gunung Semanggol dilanda  pusaran angin puting beliung yang menyebabkan 60 rumah mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, bumbung 60 rumah di Kampung Kedah, Jalan Banjar, Kampung Parit Haji Taib, Kampung Parit Haji Ali, Kampung Parit Gabis, Kampung Parit Haji Aman, Kampung Parit Ali Kalang, dan Kampung Alur Setangguk rosak diterbangkan angin.

Kampung Parit Gabis mencatatkan paling banyak bilangan rumah terjejas  iaitu melebihi 40 buah dan jumlah keseluruhan kerugian dialami penduduk dianggarkan hampir RM1 juta.

Kejadian itu juga menyaksikan penglibatan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat(PR) yang segera turun padang untuk menyalurkan bantuan serta menyelami penderitaan mangsa ribut.

Siling jatuh berterabur

Seorang penduduk, Norida Zaleha, 49, dari Kampung Parit Gabis berkata, kejadian berlaku ketika dia dan suami sedang berehat di bahagian ruang tamu.

Menurutnya, keadaan ketika itu sangat menggerunkan kerana dalam sekelip mata sahaja puting beliung yang  membawa hujan menerbangkan bumbung menyebabkan semua barang di dalam rumah rosak.

“Saya dan suami sempat keluar menyelamatkan diri kerana ketika kejadian, semua siling jatuh bertaburan,” katanya.

Norida berkata demikian ketika ditemui media selepas dikunjungi Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Bagan Serai, Husin Din yang melawat ke rumah mangsa ribut di Kampung Parit Gabis, semalam.

Ribut berkenaan turut mengejutkan seorang mangsa di Parit Haji Ali, di sini apabila tingkat atas rumahnya rosak teruk.

Saari Hitam, 57, berkata, dalam kejadian jam 3 petang, dia sedang menadah baldi di bahagian atas rumah kerana  dimasuki air akibat hujan lebat.

"Saya terkejut mendengar bunyi angin yang bertiup begitu kuat dan tidak lama kemudian saya melihat bumbung rumah diangkat beberapa kali.

“Saya seperti terpukau dan sekadar mampu melihat bumbung rumah diterbangkan angin puting beliung berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Sayuti Mohd Saat, 42, berkata, dia melihat gumpalan angin puting beliung itu datang dari arah belakang rumahnya sebelum menuju ke garaj kereta di hadapan kediamannya.

Menurutnya, pada ketika itu, dia dan tiga kawannya memegang tiang garaj kereta tersebut agar tidak  diterbangkan ribut, namun selepas itu mereka bertempiaran lari apabila keadaan mencemaskan.

“Akibatnya, garaj kenderaan tersebut ranap dan menghempas beberapa kereta saya yang berada di bawahnya," katanya.
Sementara itu, di Ipoh pula sebuah butik pakaian dan tiga kedai di Little India, rosak teruk apabila bumbung premis berkenaan diterbangkan ribut, kelmarin.

Pemilik butik, Mohd Ali Abdullah, 35, tergamam apabila hujan lebat yang melanda selama sejam itu menyebabkan dia kerugian lebih RM50,000 termasuk beberapa mesin jahit bernilai ribuan ringgit rosak.

Katanya, kebanyakan material baju yang musnah adalah jenis kain berkualiti tinggi yang diimport dari India dan Pakistan untuk dijadikan Sari.

Kejadian itu juga turut dirasai peniaga Rita Olikh, 37, apabila tiga premis kedainya musnah dan menyebabkan dia kerugian hampir RM60,000.

Parti politik turun padang

Kejadian ribut yang melanda dua daerah itu mendapat perhatian, pihak berkuasa tempatan (PBT) Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) apabila mereka turun padang melawat mangsa yang terlibat.

Di Bagan Serai,  beberapa pihak seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian; Pas kawasan Bagan Serai; Umno bahagian Bagan Serai; Majlis Keselamatan Negara (MKN); Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membantu mangsa ribut di sana.

Pegawai Daerah Kerian, Kamaruddin Awang berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati hampir sebahagian rumah mengalami masalah bumbung diterbangkan ribut, manakala sebilangannya didapati rosak teruk dan tidak selamat untuk diduduki.

Katanya, melalui Tabung Bantuan Bencana Daerah Kerian, pihak akan akan menyampaikan sumbangan tunai segera berjumlah antara RM200 hingga RM500 kepada mangsa ribut mengikut kerosakan rumah masing-masing.

“Manakala bantuan baik pulih dan bina baru kediaman akan dipertimbangkan bagi mengenal pasti rumah yang terjejas teruk,” katanya sewaktu ditemui media selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa terlibat di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha; Timbalan Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat; Setiausaha Umno bahagian, Zulkarnain Ismail dan Ketua Pemuda Umno bahagian, Sharudin Ahmad.
Zaili ketika ditemui menegaskan Umno bahagian Bagan Serai turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bantuan makanan kepada kesemua mangsa terlibat.

“Selain itu, kita akan mempertimbangkan permohonan baik pulih beberapa rumah mangsa ribut yang didapati mengalami kerosakan teruk kepada beberapa agensi kerajaan bagi mengurangkan beban dihadapi mereka,” katanya.

Sementara itu, di Ipoh pula, Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Abdul Rahim Mat Ariff berkata, kerja-kerja pembersihan melibatkan serpihan atap yang bertebaran dilakukan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Pekerja hotel maut terjatuh dari tingkat 7



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
Pekerja hotel maut terjatuh dari tingkat 7
KALAYARASU
PORT DICKSON – Seorang pekerja sebuah hotel terkenal di sini, maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh di blok F hotel berkenaan sekitar jam 5.20 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa, R Kalayarasu, 18, disahkan meninggal dunia sekitar jam 9.30 malam pada hari sama ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

“Mangsa yang terjatuh dari tingkat tujuh ke tingkat satu itu cedera di kepala dan bahagian belakang badan dihantar oleh pihak pengurusan hotel ke Hospital Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar.

“Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan bekerja sementara di hotel berkenaan sebelum mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi.

Lori 10 tan terbalik



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
Lori 10 tan terbalik
Keadaan lori yang terbalik selepas hilang kawalan.
ALOR GAJAH - Seorang pemandu dan kelindan lori berdepan detik cemas selepas lori 10 tan yang dibawa hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 210.2 Lebuhraya Plus arah utara, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, lori tanpa muatan dipandu Khidir Novel, 44, bersama kelindan, Khan, 29, yang merupakan warganegara Myanmar dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur untuk mengambil barangan sebelum terlibat dalam kemalangan.

Jurucakap polis berkata, lori berkenaan yang dipandu di lorong kiri merempuh besi pembahagi jalan menyebabkan lori terbalik.

"Akibat kejadian ini, pemandu dan kelindan terperosok di tempat duduk kelindan.

"Kedua-dua mereka dibawa keluar oleh pengguna lebuh raya dan cedera ringan di badan," katanya.

Pengguna terawal di tempat kejadian, S Jagen, 48, berkata, dia dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke Melaka terlihat sebuah lori terbalik.

"Dalam keadaan hujan lebat saya lihat kedua-dua mangsa masih terperangkap dan saya bersama dua lagi rakan terus membantu mengeluarkan mereka menerusi cermin hadapan lori yang pecah," katanya.

SRS prihatin nasib warga emas jadi mangsa samun



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013
SRS prihatin nasib warga emas jadi mangsa samun
Ahli SRS menziarahi Awa (tengah) di rumahnya di Kampung Tulang Rimau baru-baru ini.
KUALA PILAH – Seorang warga emas yang menjadi mangsa samun dalam kejadian awal bulan ini menerima kunjungan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dangi ke rumahnya, baru-baru ini. 

Ahli SRS, Norhayati Abdullah berkata, SRS bukan hanya menjaga keselamatan kawasan pada waktu malam tetapi turut prihatin kepada mereka yang ditimpa musibah.

“Kami perlu peka kepada keadaan sekeliling, agar keharmonian kejiranan terpelihara.

“Kami bersimpati di atas apa yang berlaku kepada Awa. Tambahan pula dia tinggal seorang diri di kawasan terpencil. Sudah pasti bahaya bagi seorang warga emas tinggal sendirian.

“Justeru itu, pesanan SRS kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan individu tidak dikenali dan kepada golongan wanita jangan mudah mempamerkan barang kemas kepada orang ramai. Langkah berwaspada adalah lebih baik dari menyesal di kemudian hari,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian samun menimpa Awa Harun, 86, menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM10,000 dan kini masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Difahamkan, Awa waktu itu sedang bersarapan di halaman rumah dan didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Lelaki terbabit yang dikatakan hendak menjual batu penurap jalan, mendekati Awa dan berlaku perbincangan.

Namun tiba-tiba, lelaki tersebut telah mengacu sebilah pisau ke arah Awa dan mengugutnya menyerahkan barang kemas.

Suami isteri rugi RM90,000



MOHD AZLIM ZAINURY
12 April 2013
Suami isteri rugi RM90,000
Pasangan ini memeriksa rumah mereka yang dipecah masuk pencuri.
MARANG – Sebuah keluarga yang tinggal di Jalan Kuala Berang ke Bukit Payung, di sini, mengalami kerugian hampir RM90,000 apabila rumah mereka dipecah masuk pencuri, kelmarin.

Mangsa, Eshamuddin Shah Omar, 36, dikatakan kehilangan pelbagai barang berharga dan wang tunai dikumpulkan sejak lima bulan lalu berjumlah RM15,000 juga lesap dilarikan pencuri.

Kejadian itu hanya disedari isterinya, Norhafiza Mohamed, 34, apabila pulang ke rumah bersama tiga anak mereka kira-kira jam 2.15 petang.

"Saya terkejut lihat pintu di bahagian belakang rumah terbuka lalu bawa anak-anak masuk semula ke dalam kereta kerana bimbang pencuri masih berada di dalam. Saya juga terus menghubungi suami yang berada di Jertih, Besut ketika itu.

“Saya juga hubungi mak saudara yang tinggal berdekatan dan kami hanya keluar dari kereta selepas mak saudara tiba 15 minit kemudian,” katanya semalam.

Norhafiza berkata, suaminya pula tiba di rumah itu kira-kira jam 3.55 petang yang kemudian membuat pemeriksaan di luar dan dalam rumah.

“Mujurlah ketika kejadian tiada orang, jika tidak pasti kejadian tidak diingini berlaku kerana malam sebelum kejadian, hanya saya dan tiga anak di rumah manakala suami bekerja di luar daerah,” katanya.

Sementara itu, menurut Eshamuddin, dia bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada isterinya.

“Kami percaya pencuri mengumpil tingkap di bahagian dapur untuk masuk. Kejadian ini menyebabkan isteri trauma dan ini pertama kali berlaku sejak dua tahun kami tinggal di sini,” katanya.

Menurutnya, selepas membuat pemeriksaan di dalam rumah, antara barang yang hilang ialah beberapa utas jam berjenama dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11,380.

Selain jam, dua utas rantai dan gelang tangan milik anak serta isteri dianggarkan bernilai RM11,000 termasuk beberapa bentuk cincin dan permata miliknya bernilai RM30,000 turut dilarikan.

Selain itu, peralatan elektronik seperti komputer riba, kamera digital dan perakam video juga hilang termasuk pelbagai koleksi berharga antaranya batang paip rokok diperbuat daripada tanduk rusa yang kesemuanya bernilai dalam anggaran RM21,500.

“Apa yang paling meninggalkan kesan ialah apabila wang tunai berjumlah RM15,000 yang disimpan di dalam sebuah beg dan dikumpulkan sejak lima bulan lalu untuk membayar kos pemasangan kabel di rumah ini, turut lesap,” katanya.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Terpelanting gagal pintas lori



Seorang anggota polis dari Balai Polis Kuala Pilah parah apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan lori tangki di Kilometer 2, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat Kampung Gentam, di sini, semalam.

Sebelum itu, Lans Koperal Mohd Aswan Mohd Isa, 28, yang menunggang motosikal Yamaha LC dikatakan cuba mengejar lori tiga tan yang sebelum itu terbabit kemalangan kecil dengan kereta Honda Jazz dipandu seorang wanita, Norbini Abu Samah, 23, yang ditemani rakannya, Bachtiar Kamaruzzaman, 28, di depan pasar raya di Jalan Melang, dekat sini, jam 10.50 pagi.


Menurut Bachtiar, susulan kemalangan kecil itu, pemandu lori tiga tan terbabit berasa tidak puas hati dan memakinya menyebabkan pertengkaran kecil antara mereka.

“Pemandu lori beredar sebelum saya cuba mengejarnya dan pada masa sama menghubungi Balai Polis Kuala Pilah bagi mendapatkan bantuan,” katanya ditemui di Balai Polis Trafik, Jalan Melang.


Katanya, Mohd Aswan dikatakan cuba mengejar lori tiga tan itu dan sebaik tiba di selekoh di Kampung Gentam, anggota polis itu dikatakan cuba memintas lori terbabit, tetapi motosikalnya bergesel dengan lori tangki dari arah bertentangan dan hilang kawalan.


“Saya yang mengekori dari belakang melihat anggota itu terpelanting ke kereta saya manakala lori tiga tan itu terus memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

“Saya memberhentikan kereta dan membantu anggota polis itu bersama orang awam,” katanya.


Menurutnya, anggota yang parah di kepala dan patah kaki kanan itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah yang tiba tidak lama kemudian.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan jalan raya lebih satu kilometer, namun dikawal polis yang menjalankan tugas di kawasan itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Samseng mengamuk



Sekumpulan empat anggota polis yang melakukan siasatan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sitiawan, di sini, nyaris maut apabila ditembak selain diserang dengan parang oleh sekumpulan samseng.

Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, suspek yang bimbang diberkas melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis sejurus menyedari kehadiran anggota ke premis berkenaan.


Sumber polis berkata, empat anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis kepada suspek berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak biadab apabila merampas kad kuasa ditunjukkan anggota polis terbabit. Suspek kemudian bertindak menyerang anggota polis dengan parang menyebabkan berlaku kekecohan di dalam premis itu.


“Kejadian itu menyebabkan sebuah bilik di premis berkenaan rosak dengan kesan kaca pecah dan darah,” katanya.


Menurutnya, dalam kejadian itu, dua anggota polis mengalami kecederaan, manakala tiga daripada suspek yang cedera berjaya melarikan diri.

“Salah seorang anggota polis terbabit didapati mengalami kecederaan di muka, manakala seorang lagi di bahagian punggung. Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Manjung untuk menerima rawatan.


“Keadaan mereka kini dilaporkan stabil dan gerakan memburu kumpulan penjenayah dipercayai ada kaitan dengan aktiviti gangterisme giat dijalankan,” katanya Menurutnya, siasatan polis di lokasi kejadian menemui sebilah parang panjang, empat kelongsong peluru selain beberapa barang kes berkaitan,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian terdapat seramai 80 pelanggan berhibur di dalam premis berkenaan yang menempatkan lapan bilik hiburan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut membabitkan kes berkenaan masih dijalankan.