Search This Blog

Monday, April 8, 2013

Kokain dan syabu bernilai RM1.2 juta dirampas, tiga warga asing ditahan



08/04/2013 5:00pm

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga warga asing dan merampas kokain dan syabu yang kesemuanya bernilai RM1.2 juta di ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, warga asing itu berumur antara 32 dan 42 tahun yang terdiri dari dua warga Filipina dan seorang Nigeria.
Polis memberkas dua warga Filipina itu dan merampas 18 bungkusan plastik kokain seberat 3.01 kilogram bernilai RM900,000 di dalam sebuah bagasi dan disembunyikan dalam gulungan kertas faksimili, kertas pelekat dinding dan juga buku di sebuah hotel di Jalan Pudu kira-kira pukul 11.30 malam.
"Suspek dipercayai baru tiba dari Colombia ke Rio Janeiro melalui Dubai sebelum tiba ke KLIA. Keadaan suspek yang mencurigakan menyebabkan kami mengekori suspek sehingga ke hotel dan seterusnya memberkas mereka.
"Kami percaya kokain tersebut untuk diseludup ke negara lain iaitu Hanoi, Vietnam dan mereka cuma singgah sebentar di sini di atas sebab-sebab tertentu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_16.htm#ixzz2PsYahx22 
Hakcipta terpelihara 

32 individu bawa pelbagai senjata ditahan di perairan Sabah



08/04/2013 6:56pm

KOTA KINABALU - Tiga puluh dua individu yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Sabah kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi ini.
Pasukan keselamatan turut merampas pelbagai senjata seperti senjata api, barong dan kapak serta beberapa dokumen yang dibawa kumpulan lelaki itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, setakat ini kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Kami belum mengenal pasti bangsa mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Beliau berkata, bot yang dikenali sebagai ”kumpit” yang dinaiki kumpulan lelaki itu ditunda ke Sandakan untuk siasatan lanjut. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz2PsE7fFoJ 
Hakcipta terpelihara 

Rayuan elak hukuman mati nenek di Bali ditolak



08/04/2013 7:05pm

DENPASAR - Seorang nenek warga Britain yang dihukum mati kerana menyeludup dadah ke Pulau Bali akan membuat rayuan terakhir di mahkamah tertinggi Indonesia bagi mengelak daripada berdepan skuad penembak.
Lindsay Sandiford dijatuhi hukuman mati Januari lalu selepas kokain bernilai AS$2.4 juta (RM7.3 juta) ditemui di dalam bagasinya setibanya wanita itu di sini selepas dia menaiki penerbangan dari Bangkok pada Mei tahun lalu.
Hari ini, seorang jurucakap Mahkamah Tinggi Bali di sini berkata, panel tiga hakim mahkamah tinggi yang bersidang telah memutuskan bahawa keputusan hakim sebelum ini adalah tepat.
Sandiford mempunyai masa 14 hari untuk merayu di Mahkamah Agung Indonesia dari tarikh dia dimaklumkan keputusan tersebut.
Sekiranya rayuan Sandiford masih ditolak, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono boleh membatalkan hukuman tersebut menggunakan dekri Presiden. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_27.htm#ixzz2PsDp3gem 
Hakcipta terpelihara 

Masih ada penduduk di Singapura buang air kecil di dalam lif



SINGAPURA - Kemudahan lif di perumahan awam di negara ini kadangkala masih digunakan sebagai tandas sehingga menimbulkan kemarahan penduduk walaupun pemerintah telah menjalankan kempen untuk membasmi tabiat buruk itu sejak sekian lama, lapor akhbar Sunday Times semalam.
Akhbar itu melaporkan, sebuah majlis perbandaran baru-baru ini telah bertindak menampal notis amaran dengan menunjukkan imej seorang wanita sedang membuang air kecil dan seorang lelaki sedang merokok di dalam lif bagi mengatasi masalah tersebut.
Gambar-gambar itu sebelum ini telah dirakamkan menerusi kamera litar tertutup.
Pihak Majlis Perbandaran Tampines menyatakan, jika perbuatan itu masih berlaku, ia akan menyiarkan wajah gambar para pesalah tanpa dikaburkan dan mereka bakal didakwa di bawah Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar.
Akhbar itu turut melaporkan, bau air kencing dan asap rokok di dalam lif merupakan masalah yang sering berulang dan perbuatan tersebut boleh berleluasa.
"Kadangkala terdapat juga najis manusia," kata suri rumah Jo Neo, 40, kepada akhbar itu.
Laporan itu berkata, denda bagi mereka yang merokok di tempat awam di negara ini ialah sebanyak S$200 (RM492) manakala kesalahan membuang air kecil melibatkan S$150 (RM369).
Bagi pesalah berulang, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah.
Sebanyak 80 peratus penduduk Singapura tinggal di apartmen yang dibina pemerintah kerana negara ini mengalami masalah kekurangan tanah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2PsATkHjz 
Hakcipta terpelihara 

Pantai Sepat diserang todak



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
8 April 2013
Pantai Sepat diserang todak
Ahmad Hamizan melihat puluhan todak yang dinaikkan peserta digantung mengikut urutan berat sebelum diumumkan pemenang.
KUANTAN - Keghairahan 1,500 peserta pertandingan memancing  yang membanjiri pesisir Pantai Sepat dekat sini semalam untuk memburu spesies ikan bersaiz besar bagi  merebut hadiah utama,  tunai RM70,000 hanya disambut kawanan ikan todak, spesies kurang digemari kaki pancing.

Daripada 300 tangkapan yang dinaikkan peserta pertandingan memancing anjuran Faizal Joran bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu, semuanya todak kecuali  beberapa ikan lain termasuk yu pasir.

Penganjur, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, pihaknya tidak menjangkakan ‘serangan’ todak itu sebaliknya berdasarkan pengalaman enam kali menganjurkan pertandingan memancing di situ, kebanyakan ikan yang dinaikkan dari spesies pari.

Menurutnya, dia sendiri tidak pasti fenomena itu kerana sebelum ini  todak jarang menyambar umpan pancing memandangkan ikan itu selalu bermain di permukaan.

“Daripada 60 ikan yang tersenarai sebagai pemenang termasuk tiga teratas, 53 adalah todak manakala hanya tujuh yu pasir.

“Bagaimanapun setiap ikan yang dinaikkan peserta amat bernilai kerana peluang mereka untuk merebut RM70,000 bagi juara tetap terbuka walaupun ikan dinaikkan itu hanya seekor todak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang, semalam.

Menurutnya, walaupun ikan terberat yang dinaikkan peserta hanya 0.5 kilogram, RM70,000 yang ditawarkan tetap terlepas kepada juara.

“Dalam siri pertandingan memancing kategori pantai kali ini, peserta dari Felda Cherui, Kemaman, Hamidi Mohamad, 35 dinobatkan juara sekali gus membawa pulang  tunai RM70,000.

“Pemenang tempat kedua yang menaikkan ikan todak seberat 0.490 gram, Muhammad Faizal Ammanullah Khan, 34 dari Kuala Lumpur membawa pulang RM13,000 manakala Rosman Abdul Rashid dari Kuantan yang menaikkan todak seberat 0.475 gram  di tempat ketiga menerima RM6,000.

Seorang pemancing tempatan, Karim Jantan, 49 berkata, selain menyertai pertandingan itu, dia juga sering ke Pantai Sepat untuk memancing apabila ada kelapangan.

Menurutnya, selalunya todak susah untuk memakan umpan pancing kerana ikan tersebut sering bermain di permukaan air.

“Todak biasanya hanya terjerat di jaring bukan pada mata kail tapi kali ini sebaliknya pula yang berlaku.

“Saya tidak pasti dengan kehadiran ikan itu namun berdasarkan kepada tangkapan peserta, berkemungkinan kawanan todak bertumpu di Pantai Sepat ini,” katanya.

Menurutnya, pertandingan itu tidak mengira jenis  ikan kerana peserta menaikkan ikan terberat tetap dikira pemenang.

“Kalau bukan disebabkan pertandingan,  ikan ini tiada nilai dan mungkin hanya akan dicampakkan semula ke laut jika terkena pancing,” katanya.

Pasar malam dilanda ribut



NOR AINNA HAMZAH
8 April 2013
Pasar malam dilanda ribut
Khemah peniaga di Pasar Malam Tampin yang rosak akibat angin kencang, petang kelmarin.
TAMPIN – Angin kencang yang melanda Pasar Malam Tampin, petang kelmarin, menyaksikan beberapa pengunjung turut sama bantu memegang khemah peniaga agar tidak roboh.

Dalam kejadian bermula 6.30 petang itu, kira-kira 100 peniaga pasar malam dikejutkan dengan ribut sehingga 20 khemah peniaga roboh, selain beberapa peniaga terpaksa menghentikan aktiviti niaga mereka lebih awal.

Mangsa, Lee Boo Pang, 61, berkata, ketika kejadian, pelanggan di gerainya ramai.

"Mereka semua menolong saya memegang khemah yang hampir terbang,” katanya.

Peniaga runcit itu berkata, pertolongan orang ramai bagaimanapun tidak berjaya menyelamatkan empat khemahnya yang patah menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM600.

"Mujur ketika kejadian, tiada pelanggan cedera. Ini merupakan kejadian paling buruk pernah saya alami sejak kita dipindahkan ke bahagian paling belakang, sementara di bahagian hadapan khemah terdapat kawasan lapang,” katanya.

Bagi peniaga kasut, Tan Tau Nin, 37, kejadian angin kencang itu benar-benar mengejutkan peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, disebabkan itu, dia terpaksa berniaga tanpa khemah sehingga kira-kira 10.30 malam.

"Mujur cuma angin kencang dan tidak hujan," katanya.

Tau Nin berkata, sememangnya lokasi pasar malam itu sering dilanda angin kencang, namun sebelum ini tidak seburuk sebegini.

Peniaga buah-buahan, Bakri Mohamad Dalal, 58, pula berkata, dia berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengubah kembali kedudukan asal lokasi berniaga seperti sebelum ini.

“Melalui rombakan baru ini, beberapa peniaga dipindahkan ke bahagian paling belakang. Bagaimanapun, terdapat kawasan lapang di bahagian hadapan kami dan ini meningkatkan risiko khemah diterbangkan angin," katanya.

Ditahan cuba rosakkan kereta peronda polis



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2013
Ditahan cuba rosakkan kereta peronda polis
Suspek yang ditahan polis.
KULIM - Seorang lelaki berusia 20 dipercayai mengalami tekanan perasaan ditahan di sebuah taman perumahan di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam, kerana cuba merosakkan kereta peronda polis dengan batu bata.

Ketua Polis daerah, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sebelum ini mangsa dibawa keluarganya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kulim bagaimanapun, suspek berang apabila dia terpaksa menunggu lama.

“Suspek kemudiannya mengarahkan keluarganya untuk menghantarnya balik. Ketika dalam perjalanan balik, suspek membuka pintu kereta dan menghilangkan diri.

“Polis kemudiannya menerima panggilan orang awam terdapat seorang lelaki bertindak agresif tanpa memakai baju di kawasan di mana suspek ditahan,” katanya.

Sebuah kereta unit kereta peronda polis diarahkan ke tempat kejadian bagaimanapun, suspek mengancam untuk merosakkan kenderaan polis.

Polis cuba memujuk suspek supaya bertenang dan memberi kerjasama namun, suspek dilihat mula bersikap agresif.

Suspek ditahan dan dibawa ke Hospital Kulim untuk menjalani pemeriksaan bagi mengesahkan sama ada suspek mengalami masalah tekanan jiwa.

Kilang kain terbakar, kerugian dianggar RM1.2j




8 April 2013
KULIM - Sebuah kilang kain di Kawasan Perindustrian Kulim di sini terbakar mengakibatkan kerugian RM1.2 juta dalam kejadian awal pagi, hari ini.
Tindakan pantas 11 anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan sebahagian besar bangunan, beberapa mesin serta stok kain Kilang Kain First Tex Knitting Sdn Bhd itu.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kulim Mustafa Abdullah berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 5.38 pagi dan dua jentera bomba yang digegaskan ke lokasi kebakaran tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Api berjaya dikawal dalam masa 30 minit dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi tadi, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Menurutnya taksiran awal kerugian itu berdasarkan kemusnahan sebuah mesin pengering di kilang berkenaan.
Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya. - Bernama

Maut bertembung kereta



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2013
Che Malek Bedot
Che Malek Bedot
MACHANG -  Seorang pemuda maut setelah kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kampung Batu 25, dekat sini, kira-kira jam  6.45  petang, kelmarin

Kuik Kim  Chei, 26, meninggal dunia  pada jam 7.30 malam di Hospital Machang, dekat sini,  ketika mendapatkan rawatan akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Machang Ke Kota Bharu sebelum bertembung dengan kereta jenis Vios dari arah Kota Bharu-Machang  yang  membelok ke kanan.

Katanya,  punca kemalangan itu masih disiasat dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan.

“Pemandu kereta Vios tersebut dipercayai  memberi isyarat membelok ke kanan, sebelum dilanggar kereta jenis Kancil yang dipandu mangsa dari arah bertentangan. Mayat mangsa diserahkan kepada keluarga selepas bedah siasat dilakukan, dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai diminta berhati-hati ketika memandu dan menggunakan  lampu isyarat serta peralatan keselamatan lain dengan baik bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, selain memandu dengan berhemah,” katanya.

Mayat tangan kaki terikat



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2013
KUALA LUMPUR - Misteri bau busuk membawa kepada penemuan mayat lelaki dengan tangan dan kaki terikat dalam sebuah rumah di West Fence Street, Jinjang Utara, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, berdasarkan maklumat awal mangsa berusia lingkungan 30-an tinggal seorang diri di alamat tersebut sejak setengah tahun yang lalu.

Menurutnya,  mangsa ditemui polis di bilik tengah tingkat atas rumah berkenaan dengan keadaan leher terjerut dengan kain dipercayai dibunuh.

"Mangsa meninggal dunia sejak lima hari lalu berdasarkan keadaan mukanya yang biru dan beberapa anggota badannya mulai mereput," katanya.

Difahamkan, lelaki itu pernah menerima rawatan mental di Hospital Selayang pada Ogos 2012. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sorok barang curi dalam baju



RUBIAH OMAR
8 April 2013
Sorok barang curi dalam baju
Hafiz mengaku bersalah mencuri lapan paket bateri dan 6 paket berus gigi di Pasar raya Giant Hypermarket.
KUALA TERENGGANU - Taktik licik seorang lelaki menyembunyikan lapan paket bateri dan 16 paket berus gigi di dalam baju dan seluar dipakainya, tidak menjadi apabila perbuatan itu berjaya dihidu oleh pengawal keselamatan bertugas.

Hafiz Abd Aziz, 33, turut berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Majistret, semalam.

Bagaimanapun, nasib Hafiz yang berasal dari Kampung Tok Jiring, itu bakal ditentukan pada 14 April depan apabila Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan tarikh berkenaan sebagai tarikh jatuh hukum.

Terdahulu, Hafiz mengaku bersalah telah mencuri lapan paket bateri jenis dan 16 paket berus gigi, di pasar raya Giant Hypermarket, pada 1 April lalu, kira-kira jam 2 petang.

Selepas menetapkan 14 April depan sebagai tarikh penentuan nasibnya, Abdul Hayyi turut membenarkan Hafiz diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, Hafiz yang ketika itu membawa bakul berisi dua jenis barang berkenaan telah masuk ke dalam bilik persalinan disediakan di dalam pasar raya tersebut dan selepas beberapa minit berada di dalamnya, dia keluar semula dengan membawa bakul kosong.

Bagaimanapun, gerak geri Hafiz dalam keadaan mencurigakan itu telah diperhatikan oleh pengawal keselamatan bertugas sebelum bertindak menahannya di depan sebuah kedai emas di dalam pasar raya berkenaan.

Pemeriksaan ke atas tubuh badan Hafiz berjaya menjumpai semula barang dicuri itu yang disorokkan di dalam baju, poket seluar dan juga di bahagian kaki seluar dipakainya sebelum diserahkan kepada polis.

200 pil kuda dirampas di Jerteh




8 April 2013
BESUT  -– Sebanyak 200 biji pil yaba atau kuda dirampas dari dua suspek yang dipercayai sedang menunggu pelanggan di Kampung Pengkalan Sentol dekat Jerteh awal pagi semalam.
  
Bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran.
  
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata anggota peronda pada mulanya ternampak dua lelaki berkenaan sedang duduk di atas motosikal masing-masing dalam keadaan mencurigakan.
  
“Setelah dihampiri, kedua-duanya melarikan diri ke dalam semak yang berhampiran dan menghilangkan diri dengan meninggalkan motosikal mereka.
  
"Setelah diperiksa motosikal itu, ditemui sebuah beg sandang yang di dalamnya terdapat 200 biji pil berwarna kemerahan dan kehijauan yang dibungkus dalam plastik," katanya.
  
Kamaruddin berkata kedua-dua suspek akan ditahan tidak lama lagi. - Bernama

Remaja maut motosikal bergesel dengan lori



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2013
Remaja maut motosikal bergesel dengan lori
Mayat mangsa diangkat anggota polis sebelum dibawa ke hospital untuk urusan bedah siasat.
KOTA BHARU - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya secara bersendirian bergesel dengan sebuah lori seberat tiga tan, dari arah Kok Lanas ke Kota Bharu, dalam kejadian di  hadapan stesen minyak Petronas, Tunjung di sini pagi semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa Norshafika Akma Ismail, 20, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Kakak tiri mangsa, Nainun Che Musa, 30, berkata adik tirinya yang baru sahaja bekerja selama empat hari, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Tunjung.

“Dia memang rapat dengan saya, walaupun kami berlainan mak dan setiap pagi, pada kebiasaannya dia sering menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya sebagai kerani di sebuah syarikat.

“Tidak saya sangka, perlakuannya malam kelmarin yang menunjukkan majalah sekolahnya kepada saya, sambil mengenang kisah semasa dia belajar di sekolah menengah empat tahun lalu, jadi petanda ajalnya,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian.

Nainun berkata, Norshafika merupakan adik yang baik dan rapat dengan keluarga dan mudah mesra dengan rakan-rakan.

“Pemergiannya amat mengejutkan dan kami tidak sangka kemesraan kami adik beradik pada malam kelmarin merupakan pengalaman terakhir bersamanya. Apa pun kami redha dengan ketentuan ini dan mengharapkan dia ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.          

“Pemandu lori ada datang ke balai buat laporan polis sejurus selepas kejadian itu dan ditahan untuk tindakan susulan. Kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Penyu, tuntung mati terdampar



RAIHAM MOHD SANUSI
8 April 2013
Penyu, tuntung mati terdampar
Renjer Jabatan Perikanan di Pantai Teluk Mak Nik, Zalmizan Mamat, 37, dan A Hadi Abdullah, 52, mengukur badan penyu agar dan tuntung laut yang ditemui terdampar di pesisir panta
KEMAMAN – “Saya sangka penyu mahu naik bertelur tapi selepas 10 minit tunggu, ia tidak bergerak dan bila saya suluh, rupanya penyu dah mati,” kata renjer Jabatan Perikanan di Teluk Mak Nik, Geliga di sini, yang menemui bangkai penyu agar dan tuntung laut terdampar di pantai itu kelmarin.

Shahar Rudin Abd Rashid, 42, berkata, bangkai penyu itu dijumpai kira-kira jam 8 malam dan selepas beberapa jam kemudian, iaitu kira-kira jam 2.30 pagi tidak jauh dari lokasi penyu itu ditemui iaitu di Teluk Nyior, dijumpai pula bangkai seekor tuntung laut.

Melihat kepada keadaan penyu itu ia dianggarkan berusia antara 18 hingga 25 tahun dan dipercayai mati lima hari lalu.

Katanya, dia sebelum itu melihat penyu itu berada di gigi air dan selepas diperiksa, terdapat kesan kecederaan pada bahagian bawah badan penyu itu serta di bahagian kaki belakangnya.

“Kemungkinan penyu agar jantan ini mati sebab terperangkap dalam pukat pari atau terkena mata kail.

“Tuntung laut yang dianggarkan berusia antara lima hingga enam tahun ini juga mungkin mati sebab terkena pukat atau mata kail pemancing,” katanya.

Kata Shahar Rudin, sepatutnya di Teluk Mak Nik yang merupakan sebuah kawasan pantai daratan yang mencatatkan pendaratan penyu tertinggi di negara ini perlu diharamkan aktiviti penangkapan ikan bagi memelihara populasi penyu.

Menurutnya, selepas pembukaan padang futsal di pantai berkenaan juga, jumlah pendaratan penyu di kawasan itu setiap bulan yang sebelumnya mencatatkan 400 pendaratan penyu susut kepada lebih 100 pendaratan sahaja.

“Lampu limpah yang berada di padang futsal dan dipancarkan ke arah lautan menyebabkan kawasan ini terang sekali gus membuatkan tak banyak penyu naik membuat sarang,” katanya.

Dua anak dipukul guru



AZLINA OTHMAN
8 April 2013
Dua anak dipukul guru
Hamzah menunjukkan dua laporan polis yang dibuat dan gambar muka anaknya, Muhammad Hafiz Hisham yang didakwa ditampar guru.
KULAIJAYA – Seorang bapa mendakwa dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun yang bersekolah di sebuah sekolah rendah di daerah ini dipukul guru masing-masing tanpa alasan yang munasabah.

Bapa berkenaan menyuarakan kekesalan terhadap tindakan guru-guru terbabit yang didakwa memukul pada bahagian muka dan kepala anak-anaknya dalam kejadian berasingan.

Pengawal keselamatan, Hamzah Abdul Hamid, 47, berkata, kejadian pertama dikesan berlaku sekitar dua bulan lalu apabila anaknya, Siti Nuraishah, 12, enggan ke sekolah selepas didakwa dikasari gurunya.

“Saya mengetahui hal ini seminggu selepas kejadian. Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah kerana dipukul pada bahagian kepala menggunakan rotan di hadapan rakan lain selepas tidak dapat menjawab soalan Matematik.

“Saya kemudiannya datang ke sekolah untuk merujuk perkara itu kerana Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah
seperti ketakutan malah malu akibat dipukul.

“Ketika cuba mendapatkan penjelasan, guru besar sekolah hanya memaklumkan akan menyiasat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hamzah berkata, dia ada membawa Siti Nuraishah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara dan diarahkan ke Hospital Kulai dan hasilnya terdapat kesan bengkak pada bahagian kepala.

“Keesokannya, saya merujuk perkara ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulaijaya bersama laporan kesihatan anak dan mereka beritahu akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Kemudian, belum pun reda kisah si kakak, Hamzah mendakwa anak lelakinya, Muhammad Hafiz Hisham, 10, pula ditampar
pada bahagian muka hingga meninggalkan sedikit kesan calar dengan alasan tidak membawa buku, baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila nampak muka Muhammad Hafiz Hisham merah dan ada kesan calar seperti ditampar.

Anak saya mengaku tidak membawa buku dan mahu berkongsi dengan kembarnya Muhammad Hafiz Hashim di dalam kelas.

“Saya khuatir kerana anak saya menghidap penyakit saluran jantung sempit kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Saya merujuk perkara itu ke sekolah, tapi alasan yang sama diberikan iaitu siasatan akan dilakukan,” katanya.

Dia yang tidak berpuas hati dengan situasi itu mahu dua guru terbabit tampil memohon maaf atas kekasaran dilakukan.

Katanya, dia tidak tidak marah tindakan yang diambil jika benar mahu menghukum kerana anak-anaknya melakukan kesalahan.

“Tetapi, jika mahu mengajar pelajar, gunalah cara yang betul dan tidak menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru.
Janganlah sampai dipukul pada bahagian muka atau kepala.

“Sebagai bapa, saya kesal dengan kejadian yang berlaku. Saya anggap perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia merupakan masalah kecil,” katanya.

Terdahulu, Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tenggara, dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan dan sekiranya guru terlibat didapati bersalah, tindakan selanjutnya mengikut prosedur ditetapkan akan diambil.

Mayat tergantung dalam kilang



SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
8 April 2013
Mayat tergantung dalam kilang
Anggota bomba dan polis membawa mayat mangsa untuk dihantar ke HTI untuk bedah siasat.
TELUK INTAN-Seorang lelaki warga Vietnam berusia lingkuangan 30-an dijumpai mati dalam keadaan tergantung di dalam sebuah kilang terbiar di jalan Kampung Banjar kira-kira 2.30 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mayat lelaki warga asing  tergantung itu ditemui orang ramai yang kebetulan melalui di kawasan perindustrian tersebut.

Menurutnya, orang ramai yang menyedari keadaan itu bergegas menghubungi polis dan pihaknya masih menyiasat motif sebenar kematian.

Katanya, hasil siasatan terhadap saudara kandung mangsa juga tidak mengetahui punca lelaki itu sanggup bertindak mengantungi diri.

“Lelaki ini seorang pekerja di salah sebuah kilang  di kawasan itu di sini dan pihak polis masih menyiasat punca mengapa mangsa berbuat demikan.

“Saya juga difahamkan mangsa akan pulang ke negara asal, Vietnam pada 8 April ini (hari ini) malahan lelaki ini sudah membeli tiket  pulang,” katanya.

Kok Liang berkata, pihaknya sedang  menyiasat punca mengapa lelaki itu  mengambil tindakan membunuh diri dengan menggantungkan dirinya.

 Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) dan telah dituntut oleh keluarga mereka.
Katanya,  kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.

Terkejut dituduh pendatang asing



NURUL FATIHAH SULAINI
8 April 2013
Tukang kebun terkejut dituduh pendatang asing
Ramli (kanan) dan Eng Chong (dua, kiri) menunjukkan salinan laporan polis.
ALOR SETAR - Seorang tukang kebun di Wisma Darul Aman terkejut apabila dituduh pendatang asing dari Myanmar dan menerima taraf kewarganegaraan secara tidak sah bagi membolehkannya mengundi dalam beberapa pilihan raya umum lalu.

Ramli Ahmad, 48, berkata, tuduhan itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali kerana dia dilahirkan di Pengkalan Kundor, Kedah dan kedua ibu bapanya iaitu Ahmad Syaarie dan Midah Abdullah berasal dari Kemaman, Terengganu.

Menurutnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana pihak berkenaan boleh mendapatkan butiran peribadinya kerana tidak pernah menyerahkan dokumen itu melainkan sewaktu memohon bantuan ketika menghadapi bencana banjir.

“Semasa saya berada di rumah kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, seorang rakan menunjukkan satu akhbar Cina menyiarkan saya pendatang asing dari Myanmar pada tahun 1993 sedangkan saya memiliki kad pengenalan secara sah.

“Disebabkan tidak puashati dengan kenyataan ahli parti politik itu saya kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam11.44 malam, bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut,” katanya kepada media di pejabat MCA, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan dan Kerajaan Tempatan, Loh Eng Chong.

Ramli berkata, sebelum ini dia pernah mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum 2004 di Kuala Perlis dan kali kedua pada 2008 di Alor Setar kerana berpindah tempat tinggal namun, tiada masalah yang berlaku.

“Anak-anak saya seramai lima orang juga menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain mempunyai sijil kelahiran, memasuki sekolah serta yang sulung kini sedang menunggu tawaran masuk ke universiti.

“Walaupun saya anak tunggal dan kedua-dua ibu bapa saya sudah meninggal dunia namun, saya masih ada ramai saudara mara di Pahang. Saya pernah beberapa kali melawat mereka di sana,” katanya.

Menurutnya, dia percaya punca kepada pertikaian status warganegaranya berlaku disebabkan turut memiliki sijil pengesahan perakuan taraf kewarganegaraan yang dikeluarkan pada 22 Disember 1993.

“Saya mendapat sijil pengesahan perakuan berkenaan kerana sijil kelahiran asal hilang dalam satu insiden kebakaran dan sijil itu menjadi dokumen pengenalan sementara sebelum diberikan sijil kelahiran yang baru.

“Tuduhan yang dilemparkan bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah saya dan mengaibkan nama baik keluarga tetapi juga menimbulkan persepsi negatif masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Pukau guna besi kecil



NOR AINNA HAMZAH
8 April 2013
Pukau guna besi kecil
Rosminah menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Rembau selepas mendakwa dipukau dua lelaki.
REMBAU – Sebatang besi kecil menjadi alat yang digunakan dua penjenayah memukau mangsa agar menuruti segala arahan termasuk menyerahkan barangan berharga.

Itu nasib yang dialami seorang peniaga kedai makan di sini, apabila kerugian kira-kira 5,000 selepas dipukau dua lelaki yang menunjukkan dia sebatang besi kecil panjang dan bersaiz seperti straw minuman dan mempunyai ukiran seolah-olah sebuah kalimah, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Rosminah Mohd Said, 54, dikatakan selesai membeli barangan mentah di pekan Rembau, sebelum didatangi seorang lelaki menunjukkan sebatang besi berwarna coklat berkenaan, kononnya boleh dijadikan pelaris dalam perniagaan.

"Pada mulanya, saya tidak berminat untuk melihat besi itu. Tetapi, saya berubah hati selepas lelaki itu menyuruh saya memegang besi tersebut bagi melihatnya terlebih dahulu.

"Selepas itu, lelaki itu menepuk bahagian belakang bahu kanan saya menyebabkan saya terasa seperti berada di awang-awangan," katanya.

Menurutnya, ketika itu, dia hanya sedar mengikut apa saja yang diarahkan lelaki itu termasuk menyuruh menutup sisi kedai.

“Pada masa sama, datang seorang lelaki lain yang mempunyai sebatang besi sama, menyapa saya. Lelaki ini pun biasa dilihat dekat kedai makan saya," katanya ketika ditemui di kedai makannya di pekan Rembau, dekat sini, semalam.

Rosminah berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berinteraksi dan membaca mantera menyebabkan dia mula rasa tidak selesa, bagaimanapun tidak mampu mengawal diri yang seolah-olah sudah dipukau.

Menurutnya, dia cuba melawan, namun salah seorang lelaki itu membuka beg tangannya, sebelum menyuruh dia memberi wang dalam beg berkenaan.

“Saya ambil RM1,000 dalam beg. Duit ini anak saya punya untuk beli barang majlis tunangnya. Saya cuma nampak duit itu dilipat dan dimasukkan dalam sampul surat," katanya.

Menurutnya, dalam keadaan melawan, dia dapat lihat seorang daripada lelaki itu menanggalkan rantai tangan dan dua cincin yang dipakainya.

"Bila selesai, mereka menunjuk dan menggoncang sampul surat yang diisi barangan saya itu, serta memesan saya membukanya selepas waktu maghrib.

"Sebelum lelaki itu beredar, dia sempat menepuk badan saya menyebabkan saya tersedar dan melihat sampul surat itu ada dalam beg tangan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia terus menjerit apabila mendapati dalam sampul surat berkenaan hanya berisi tisu dan batu.

Berikutan kejadian itu, Rosminah membuat laporan di Balai Polis Rembau, di sini, kelmarin.

Remaja dipukul sebelum samun



AHMAD NORMAN ABU TALIB
8 April 2013
Remaja dipukul sebelum samun
Wai Mun (kiri) bersama Poh Ping (tengah) dan Jia Sheng pada sidang media, semalam.
KEPONG – Empat sekawan lingkungan 14 hingga 19 tahun dikatakan bukan sahaja dipukul malah disamun sekumpulan lelaki setelah terbabit dalam kemalangan di Ampang, 29 Mac lalu.

Bapa mangsa, Mak Wai Mun, 38, mendakwa, anaknya, Mak Jia Sheng, 19, bersama tiga rakan dipukul kira-kira 20 lelaki dengan topi keledar selain menggunakan kaki dan tangan hingga menyebabkan kecederaan pada badan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, anaknya memandu Toyota Camry ke Menara Tinjau bersama tiga rakan.

Bagaimanapun, katanya, ketika Jia Sheng memberi isyarat membelok ke kiri, tiba-tiba kereta dilanggar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

"Disebabkan insiden itu, sekumpulan lelaki datang memukul anak saya dan tiga rakannya menyebabkan mereka cedera dan dirujuk di Hospital Ampang.

"Tidak cukup dipukul, empat telefon bimbit dan RM148 turut disamun kumpulan lelaki itu," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, Wai Mun hanya mengetahui insiden itu sebaik menerima panggilan telefon daripada seorang rakan anaknya yang memaklumkan mereka kemalangan di Ampang.

Menurutnya, dia menjadi lebih cemas apabila gagal menghubungi mereka semula ketika dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

"Saya kemudiannya menerima panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali memaklumkan Jia Sheng berada di Hospital Ampang.

"Ketika anak dirawat, saya melihat keadaan kereta dan mendapati semua cermin dipecahkan dan beberapa bahagian kemik, namun tiada barang yang dicuri," katanya.

Berikutan kejadian itu, Jia Sheng membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya, 30 Mac lalu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, jenayah itu tidak sepatutnya berlaku dan menggesa polis menjalankan siasatan segera kerana bimbang ia berulang.

Menurutnya, jenayah seperti itu sememangnya kerap berlaku di kawasan terbabit.

“Kita kesal dengan kejadian ini kerana bermula hanya dengan kemalangan namun menyebabkan mangsa dipukul, malah samseng turut mengambil kesempatan menyamun.

“Siasatan terperinci perlu dijalankan dan tindakan segera mesti diambil terhadap kumpulan samseng terbabit,” katanya.

Dua maut langgar bot



MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
8 April 2013
Dua maut langgar bot
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.
ROMPIN – Dua warga Singapura terbunuh, manakala seorang hilang dan lima lagi cedera selepas bot memancing yang dinaiki kesemua mereka merempuh sebuah bot pukat tunda ikan di 30 batu nautika dari Jeti Tanjung Gemok berhampiran Pulau Layang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Raymond Cheng Yuen Chi, 35, dan Ng Eng Hua, 37, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat hentakan kuat selepas perlanggaran tersebut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bot pemancing itu tidak menyedari kehadiran bot pukat tunda dari arah Pulau Tioman menuju ke Tanjung Gemok.

“Bot memancing itu dipercayai keluar dari Jeti Kampung Sungai Puteri sejak awal pagi lagi dan menjalankan aktiviti itu sekitar kawasan perairan Tanjung Gemok,” katanya.

Bagaimanapun Johari berkata, polis sehingga kini masih belum berjaya mengesan seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang sehingga jam 7 petang semalam.

Katanya, kerja operasi dan menyelamat seorang lagi mangsa dijalankan Polis Marin, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) dan bot persatuan memancing dari Kampung Sungai Puteri.

“Tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Mersing, manakala dua lagi dihantar ke Poliklinik Kuala Rompin untuk rawatan lanjut. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat,” katanya.

Pemuda maut dipercayai dipukul



ROHANA ISMAIL
8 April 2013
Pemuda maut dipercayai dipukul
Di pusat ini dipercayai mangsa maut dipukul. Gambar kecil : Mohd Alias
TUMPAT - Seorang pemuda maut dipercayai dipukul selepas sehari dihantar oleh keluarganya di sebuah pusat rawatan di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Alias Ibrahim, 27, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tumpat, selepas dibawa kakitangan di pusat tersebut kira-kira jam 7 malam.

Pengasas pusat rawatan berkenaan, Mohd Zain Abu Bakar,75, berkata dia dimaklumkan oleh penghuni lain mangsa dalam keadaan letih kerana terjatuh dalam tandas.

“Saya ketika itu baru pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Selepas dimaklumkan keadaan mangsa, saya kemudian mengarahkan beberapa penghuni pusat terbabit supaya mengusungnya keluar untuk diberi minum air penawar.

“Apabila melihat keadaannya, saya terus mengarahkan penghuni di pusat tersebut memasukkan mangsa ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan mangsa meninggal dunia.

Menurutnya, berdasarkan cerita penghuni di pusat tersebut, mangsa menghentakkan kepalanya di dinding tandas dan kemudiannya terjatuh.

“Mangsa juga ada mengamuk tidak mahu tinggal di pusat tersebut, selepas didaftar masuk oleh keluarganya pagi kelmarin (Jumaat) pada jam 10 pagi,” katanya.

Ibu mangsa, Saudah Mat Daud, 57, berkata, dia menghantar anak keempat daripada lapan beradik itu ke pusat rawatan berkenaan, kerana anaknya dikatakan mengamuk dan meracau di rumahnya di Tendong, Pasir Mas.

“Kebetulan Khamis depan saya ingin menunaikan umrah bersama suami, Ibrahim Kasim, 66.

“Berikutan bimbang kesihatan Mohd Alias dan khuatir tiada sesiapa menguruskan makan minumnya, saya membawanya ke pusat ini untuk merawat penyakitnya,” katanya.

Saudah berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 8.30 malam selepas dihubungi Mohd Zin yang ketika itu berada di Hospital Tumpat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, siasatan awal mendapati ada kesan pukul terhadap mangsa.

“Setakat ini belum ada tangkapan  ke atas suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pemuda lembam hilang, bapa rayu bantuan orang ramai




7 April 2013
GEORGETOWN - Seorang bapa dari Sungai Dua, Gelugor di sini memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan anak lelakinya, Mohd Tarmizi Hamid, 39, yang hilang sejak 21 Mac lepas.
Hamid Man, 76, berkata anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana lembam dilihat penduduk sekitar berjalan sehelai sepinggang ke arah perhentian bas berdekatan kawasan perumahan mereka semasa hari kejadian.
"Anak saya tidak pernah pergi begitu jauh. Biasanya akan pulang ke rumah jika keluar dan dia tidak pernah merayau sampai jauh malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hamid berkata laporan polis telah dibuat pada 24 Mac lepas namun masih tiada perkembangan positif diterima.
Katanya beliau sekeluarga bimbangkan keselamatan dan kesihatan anak keempat dari enam beradik itu kerana dia perlu mengambil ubat setiap hari ekoran penyakit lembamnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak Mohd Tarmizi diminta menghubungi Hamid di talian 012-4933015 atau balai polis berdekatan.- Bernama

Gaduh: Empat individu ditahan



AHMAD ISMADI ISMAIL
7 April 2013
Mohd Shukor Sulong
Mohd Shukor Sulong
KLANG - Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita daripada dua kumpulan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera di hadapan restoran di Jalan Goh Hock Huat, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa sedang makan bersama teman wanitanya di restoran berkenaan sebelum didatangi dua lelaki menaiki kereta Toyota Wish dan terus memukulnya.

Teman wanitanya lari dan meminta bantuan ahli keluarga dan rakan mangsa.

Setibanya mereka di tempat kejadian, berlaku pergaduhan dua kumpulan dengan menggunakan kayu dan besi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan daripada orang awam.

“Mereka cuba melarikan diri, tetapi kami berjaya menahan empat daripada mereka bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kira-kira jam 6.30 petang pada hari yang saya berlaku pergaduhan antara mangsa dan dua lelaki di Jalan Batu Belah di sini.

"Akibat daripada pergaduhan itu, mangsa menerima rawatan di sebuah klinik sebelum menjamu selera di restoran berkenaan.

“Dua lelaki berkenaan datang semula ke restoran itu dan memukul mangsa,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan pergaduhan itu berpunca daripada masalah peribadi.

“Kami turut menemui sepucuk pistol model 85 Colt 9 Loger dan sebilah pedang di atas kerusi sebelah pemandu kereta Toyata Wish yang dipercayai milik salah seorang ahli kumpulan itu.

“Kita percaya pergaduhan ini melibatkan kira-kira 10 orang, dipercayai terdiri daripada anggota keluarga dan rakan kumpulan masing-masing,” katanya.

Mohd Shukor berkata, mangsa yang cedera dihantar ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Kami giat mengesan anggota kedua-dua kumpulan itu,” katanya.

Bayi baru lahir dibuang tepi jejambat, mungkin dipukul hingga mati



IZWAN ROZLIN
7 April 2013
Bayi baru lahir dibuang tepi jejambat, mungkin dipukul hingga mati
Mayat bayi yang ditemui berbungkus dengan kain.
PETALING JAYA – Menyayat hati apabila mayat bayi perempuan baru dilahirkan berbungkus dengan kain selendang ditemui di tepi jejambat menuju ke Damansara Damai di Lebuhraya Sungai Buloh–Kepong, semalam.

Mayat bayi perempuan cukup sifat itu ditemui oleh seorang pejalan kaki kira-kira jam 7 pagi.

Difahamkan lelaki itu curiga selepas terlihat bungkusan kain tiba-tiba berada di tepi jejambat. Dia membuka bungkusan itu dan menemui mayat bayi yang lengkap berpakaian serta memakai lampin pakai buang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya percaya mayat bayi itu ditinggalkan di situ beberapa jam sebelum ditemui.
Menurutnya, kesan kecederaan didapati di mata kiri. Tali pusatnya telah dipotong dan disapu ubat luka.

“Bayi itu mungkin dipukul atau dihempas, berdasarkan kecederaan mata atau ditekup sehingga tidak dapat bernafas berdasarkan buih yang keluar dari hidung.

“Kita masih menyiasat kes ini dan menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi balai polis terdekat.

8 cedera terkena tembakan rambang di restoran




7 April 2013
JOHOR BAHRU - Lapan orang yang sedang menikmati makanan di sebuah restoran di Jalan Dedap, Johor Jaya, di sini cedera setelah terkena tembakan rambang yang dilepaskan tiga lelaki bertopeng, semalam.
Ketika kejadian 1.30 pagi itu, kesemua mangsa sedang duduk di sebuah meja bulat mencuba resipi baharu yang diperkenalkan pemilik restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainudin berkata secara tiba-tiba tiga lelaki bertopeng melepaskan tembakan daripada kereta yang mereka
naiki.
"Kejadian berlaku sangat pantas dan suspek berjaya melarikan diri sejurus selepas melepaskan tembakan," katanya ketika dihubungi.
Berikutan itu, katanya satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tersebut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata kesemua mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail di sini. - Bernama