Search This Blog

Sunday, April 7, 2013

6 ditahan edar dadah



PETALING JAYA 5 April - Polis menahan enam individu termasuk seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di Taman Medan di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 10 malam, polis menemui sepucuk pistol dan lima butir peluru hidup dalam kereta jenis Toyota Caldina yang dinaiki seorang suspek.
Katanya, suspek lelaki berusia 24 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah lampau.
"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kereta tersebut, polis menemui 470 gram serbuk putih yang dipercayai dadah jenis heroin disembunyikan dalam ruang menyimpan barang dalam kereta itu.
"Susulan penahanan suspek pertama, polis menyerbu sebuah kedai makan di Taman Medan Baru di sini, kira-kira 15 minit kemudian dan menahan tiga lagi lelaki dan dua perempuan yang berusia lingkungan 15 hingga 20 dalam premis tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.
Menurut Arjunaidi, hasil serbuan kedua itu, polis merampas 500 biji pil jenis eramin 5 seberat 150 gram dan 19 paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai syabu seberat 11 gram.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130406/je_07/6-ditahan-edar-dadah#ixzz2Pjt8X7rF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi pistol penjenayah terlibat samun ditemui



KUANTAN 5 April - Polis menemui sepucuk lagi pistol dipercayai milik seorang suspek yang ditahan pada 28 Mac lalu, berhubung kes samun bersenjata api di Taman Ceria di sini.
Pistol itu dijumpai dalam sebuah beg di kawasan semak di belakang rumah sewa suspek yang berusia 41 tahun di Taman Jalan Pintasan dekat Peramu di sini, pada pukul 12.30 tengah hari Selasa lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, pistol semi automatik jenis Norinco berkaliber 9mm buatan China itu ditemui bersama enam butir peluru dalam beg berwarna hitam itu.
"Kita percaya suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk dadah itu menyimpan senjata berkenaan di situ selepas menyamun rumah seorang jurujual pada 27 Mac lepas.
"Polis juga sedang menyiasat kemungkinan pistol terbabit turut digunakan untuk melakukan kes jenayah lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff.
Pada 29 Mac lalu, polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata api selepas menahan tiga anggota kumpulan itu yang merupakan bekas banduan dalam dua serbuan berasingan.
Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek telah menyamun rumah milik seorang jurujual berusia 41 tahun di Taman Ceria di sini, sehari sebelum mereka ditangkap.
Menurut Sharifuddin, siasatan lanjut juga dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kumpulan penjenayah berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971 yang boleh dijatuhi hukuman di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika disabitkan kesalahan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130406/je_09/Lagi-pistol-penjenayah-terlibat-samun-ditemui#ixzz2Pjt3FQbO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

24 ditahan curi ternakan



DR. Hashim Haron menunjukkan gambar lembu yang kena curi sewaktu sidang akhbar di IPK Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 5 April - Polis menahan 24 individu dalam tangkapan berasingan sepanjang bulan lalu kerana disyaki terlibat dengan sindiket samun dan curi ternakan di sekitar negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr. Hashim Haron berkata, dalam kejadian 4 Mac lalu, pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Bandar Tenggara, Kota Tinggi dan merampas sembilan ekor lembu dipercayai hasil samun serta menahan pemandu dan kelindan lori berkenaan.
"Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, kita berjaya menahan 22 lagi ahli sindiket itu di beberapa lokasi berasingan termasuk di Bangi, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Selain itu, kita juga menjumpai semula 71 ekor ternakan yang disamun terdiri daripada 48 lembu, 14 kerbau dan sembilan kambing bernilai lebih RM218,000. Kita turut merampas sebuah kereta Proton Perdana disyaki dicuri di Kuala Lumpur dan beberapa peralatan mencuri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Hashim berkata, sindiket terbabit menggunakan dua kaedah berbeza untuk mencuri ternakan termasuk kekerasan terhadap pemilik sebelum melarikan ternakan dengan lori dan menyumpit ubat pelali sebelum melarikan haiwan itu.
Beliau berkata, hasil disamun itu akan dijual kepada peniaga daging dan penternak pada harga yang rendah, manakala pasaran mereka bertumpu di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Siasatan terhadap semua suspek berusia antara 20 hingga 47 tahun yang ditahan, mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan memiliki barang curi.
"Sindiket terbabit disyaki bergerak aktif sejak setahun lalu. Polis percaya dapat menyelesaikan 32 kes samun dan curi ternakan di negeri ini dengan tertangkapnya suspek," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 dan 395/397 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130406/je_06/24-ditahan-curi-ternakan#ixzz2PjsfxyRW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga maut kereta terlibat kemalangan dengan lori, bas



LEDANG 6 April - Tiga maut selepas kereta Toyota yang dinaiki terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan lori dan bas di Kilometer 162.5 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam arah utara lebuh raya tersebut, kereta berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
Mangsa lain yang cedera kini dirawat di Hospital Daerah Tangkak, di sini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130406/je_10/Tiga-maut-kereta-terlibat-kemalangan-dengan-lori-bas#ixzz2PjsUetWK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua bandar di China tutup pasaran ayam akibat H7N9



BEIJING 7 April - Dua bandar utama di negara ini bertindak menutup pasaran ayam dan memusnahkan binatang tersebut semalam.
Penutupan itu dibuat berikutan penambahan bilangan kes sebanyak 16 kes di timur negara ini selepas disahkan berlaku penyebaran akibat virus selesema burung H7N9.
Pihak berkuasa di Nanjing dan dan Hangzhou menutup semua penjualan ternakan dan mengharamkan kemasukan ayam ke dalam bandar itu, berikutan langkah-langkah keselamatan.
Pegawai kesihatan di Hangzhou mengesahkan bahawa burung puyuh dijual di pasaran bandar ini membawa virus berkenaan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130407/lu_01/Dua-bandar-di-China-tutup-pasaran-ayam-akibat-H7N9#ixzz2PjrIFkC0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ketua polis letak jawatan



NEW HAMPSHIRE 5 April - Ketua polis di New Hampshire meletak jawatan selepas seorang pelajar wanita menuduh kononnya pegawai keselamatan itu akan menggugurkan kes jenayahnya jika membenarkan gambar bogelnya dirakam.
Pendakwa Raya berkata, Ketua Polis New London, David Seastrand, 50, meletak jawatan serta-merta di bawah satu perjanjian dengan Pejabat Peguam Negara, Michael Delaney.
Seastrand yang memegang jawatan itu sejak 1995, juga bersetuju untuk melepaskan sijil pengiktirafannya sebagai pegawai polis.
Penolong Peguam Negara, Jane Young memberitahu Reuters semalam, tiada tuduhan akan dikenakan terhadap Seastrand berhubung kes tersebut.
Pejabat Peguam Negara membuka kertas siasatan pada bulan lepas apabila seorang wanita menuduh Seastrand bahawa tuduhan terhadapnya akan digugurkan jika dia bersetuju membenarkan gambar bogelnya diambil.
Menurut peguam wanita yang identitinya tidak dinamakan, Richard Lehmann, anak guamnya yang merupakan pelajar di Kolej Colby-Sawyer di New London, ditangkap kerana disyaki minum minuman beralkohol dan memberi nama palsu.
Lehmann berkata, anak guamnya mahu Seastrand didakwa, namun terpaksa menghormati keputusan pendakwa raya.
''Bagaimanapun, tuduhan ke atas anak guam saya masih diteruskan,'' katanya. -


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130406/lu_07/Ketua-polis-letak-jawatan#ixzz2PjoTpOKC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kediaman polis ditembak penjenayah



Seremban: Sebuah rumah setingkat di Taman Seremban Jaya, di sini, yang didiami seorang pegawai polis dengan keluarganya, ditembak bertalu-talu penjenayah malam kelmarin sehingga menyebabkan kerosakan, termasuk kereta yang diletakkan di garaj, siling ruang tamu dan pintu jeriji depan.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10.30 malam, tiada kecederaan atau kehilangan dilaporkan berikutan suspek yang dipercayai dua lelaki melarikan diri selepas melepaskan tembakan.


Sumber berkata, ketika kejadian, pegawai polis berusia 51 tahun itu tidur di biliknya, manakala isterinya berusia 50 tahun serta dua anak mereka masing-masing lelaki berumur 13 tahun dan perempuan berusia lapan tahun menonton televisyen di ruang tamu.

“Tiba-tiba mereka dikejutkan bunyi tembakan bertalu-talu. Pegawai polis itu bingkas bangun untuk memastikan keluarganya selamat dan memeriksa rumahnya sebelum melihat dua lelaki berpakaian kemas memecut melarikan diri dengan motosikal Yamaha LC 135.


“Susulan itu, siasatan lanjut pegawai forensik di tempat kejadian menjumpai sembilan kelongsong peluru di depan rumah mangsa dan dipercayai pistol digunakan jenis Walters 9 milimeter.


“Dalam kejadian itu, mangsa dan keluarganya tidak cedera. Bagaimanapun, keluarganya masih trauma,” katanya di sini, semalam.

Menurut sumber, antara yang rosak akibat tembakan ialah sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang diletakkan di garaj rumah mangsa, siling di ruang tamu dan pintu jeriji depan rumah itu.


Katanya, polis menjalankan siasatan secara menyeluruh, termasuk gerakan memburu suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

‘Kereta hilang kawalan’



Ledang: Kegembiraan pasangan pengantin baru pulang ke kampung untuk membuat persiapan majlis perkahwinan bertukar tragedi apabila mereka maut selepas kereta Proton Waja dinaiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer (KM) 162.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Pagoh ke Tangkak, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, A Kumar Arunasalan, 40, bersama isterinya, warga Singapura, Rita Maria Gilbert, 42, serta rakan, Carrieanne Franscisca De Costa, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala selain tersepit di tempat duduk penumpang.


Pemandu Proton Waja dikenali sebagai Pang Yun, 52, dari Taman Tangkak Jaya, Ledang serta penumpang, Brian Jeremiah Sta Maria, 21, dari Perkampungan Portugis, Melaka, pula cedera parah dan kini dilaporkan stabil.

Ketika kejadian, pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga dua minggu lalu, bersama tiga rakan mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Perkampungan Portugis, Melaka.


Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian, Proton Waja itu dipercayai cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan.


Sebuah bas ekspres yang mengikuti dari belakang, bagaimanapun gagal membrek lalu merempuh kereta itu.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga kilometer dari kedua-dua arah.


Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba Tangkak Rafiah Aziz berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.56 malam, sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mereka mendapat bantuan sebuah jentera bersama enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Muar bagi menyelamatkan mangsa.


Katanya, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam Proton Waja berkenaan.


“Tiga mangsa yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di beberapa anggota badan.


“Dua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Lelaki cuba serang polis ditembak



Georgetown: Cubaan seorang lelaki menyerang anggota polis dengan parang membawa padah apabila dia cedera di punggung selepas terkena tembakan di Jalan Macalister, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.15 malam, lelaki terbabit yang juga suspek kes samun kedai serbaneka dan stesen minyak pada mulanya dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.


Menurut sumber, anggota polis yang melakukan rondaan terserempak dengan lelaki terbabit sebelum mengejarnya, namun suspek cuba melarikan diri ke kawasan lorong berhampiran.

“Suspek kemudian masuk ke satu kawasan parkir kereta, namun anggota polis terus mengejarnya. Menyedari dirinya terperangkap, lelaki terbabit turun dari motosikal dengan membawa sebilah parang.


“Walaupun diberi amaran supaya tidak bertindak, suspek terus meluru dan cuba menyerang anggota polis terbabit sebelum ditembak,” katanya.


Menurutnya, tembakan itu terkena punggung kanan suspek sebelum dia rebah dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit dipercayai suspek dalam beberapa kes samun di kedai serbaneka dan juga stesen minyak di sekitar bandar ini.


“Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod kesalahan jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati motosikal digunakan lelaki berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan pada kereta Perodua Viva.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Geng Oxy lari wang mesin ATM RM250,000



Oleh MUHAAMAD HAFIS NAWAWI

Kuala Lumpur: Geng Oxy mengganas lagi apabila memecah dan membakar mesin juruwang automatik (ATM) di dalam sebuah stesen minyak di Persiaran Kewajipan USJ 18, Subang Jaya, dan melarikan wang tunai RM250,000, semalam.

Selasa lalu, geng terbabit dipercayai melakukan taktik sama dengan menggunakan gas Oxy sebelum melarikan RM300,000 di sebuah mesin ATM di Jalan Medan Pasar.


Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, dua pekerja wanita yang tiba untuk bekerja, terkejut mendapati pintu utama stesen minyak diumpil.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 5.20 pagi.


Menurutnya, dua pekerja terbabit mendapati pintu utama stesen minyak itu didapati terbuka dan mempunyai kesan umpil di bahagian bawah sebelum melihat mesin ATM terbuka.


“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua suspek lelaki bermotosikal menyembur cat pada kamera itu sebelum memotong wayar elektrik premis berkenaan.

“Melalui rakaman CCTV, polis percaya kejadian berlaku jam 3 pagi apabila melihat kehadiran dua suspek.


“Seorang lelaki memakai sarung tangan, bertopeng, baju warna putih berlengan panjang. Seorang lagi memakai topi keledar dan bertopeng,” katanya.

Yahaya berkata, suspek yang menyembur cat pada CCTV kemudian memasuki bilik rakaman dan memotong wayar telefon dan elektrik bagi mengelak kehadiran mereka dikesan.

Henti operasi kuari



Tawau: Polis mengarahkan pihak pengurusan kuari menghentikan operasi serta-merta bagi memastikan kejadian bongkah batu gergasi bergolek sehingga menghempap 11 rumah penduduk di Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu di sini, semalam, tidak berulang.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, pihaknya menanti laporan pihak berkaitan untuk memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat selain tiada lagi kemungkinan berlaku runtuhan batu.


“Setakat ini polis merekodkan 65 mangsa daripada 12 keluarga daripada rumah terbabit dalam kejadian ini. Namun tiada kematian berikutan penduduk sempat menyelamatkan diri selain beberapa individu cedera.

“Siasatan awal mendapati runtuhan disebabkan letupan dilakukan pekerja kuari sehingga satu bongkah batu bergolek menimpa kawasan perkampungan penduduk yang terletak di lereng bukit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Katanya, tiada kecederaan serius dilaporkan melainkan enam individu, termasuk masing-masing tiga wanita dan bayi, mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau.


“Namun keadaan mangsa yang dirawat tidak serius selain hanya menjalani rawatan biasa,” katanya.

Menurutnya, arahan sudah dikeluarkan kepada penduduk kampung supaya mengosongkan rumah mereka sehingga keadaan benar-benar selamat.


Sementara itu, Penguasa Bomba Zon Tawau Albert Jiran Tanjung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.43 pagi sebelum 14 anggota bersama tiga jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Setiba di tempat kejadian, kami mendapati beberapa rumah ranap dirempuh bongkah batu yang bergolek, manakala orang ramai mencari jika ada mangsa tertimbus di bawah runtuhan rumah.


“Bomba berjaya mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di bawah runtuhan kayu menggunakan gergaji selain membantu seorang lagi mangsa yang cedera selepas tertimbus di dalam tanah,” katanya.


Namun, Albert mengesahkan kedua-dua mangsa hanya cedera ringan.


“Kami mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing atas faktor keselamatan.


“Kami mengesan kemungkinan satu lagi bongkah batu akan runtuh pada bila-bila masa berdasarkan keadaan strukturnya,” katanya.


Katanya, siasatan awal mendapati tiga bongkah batu gergasi dipercayai bergolek dari pusat kuari itu.

Merangkak selamat anak jiran

Foto
BOMBA dan Penyelamat memeriksa salah satu daripada tiga bongkah batu besar yang meranapkan tujuh rumah di Kampung Bukit Kukusan.
Foto
EDY bersama Mohd Hafiz yang terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka.



Tawau: “Sekalipun terperangkap, saya sempat melepaskan diri dan menyelamatkan empat anak jiran dan kami keluar dari runtuhan secara meniarap.

“Nasib baik saya terdengar kanak-kanak itu menangis kerana ketakutan lalu mencari mereka dalam keadaan merangkak di bawah timbunan kayu.


“Mujur ada satu tiang menghalang batu itu daripada terus menghempap mereka,” kata Edy Lasuasa, 57, yang cedera di kepala selepas rumahnya musnah dihempap tiga bongkah batu gergasi yang bergolek dari atas bukit di Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu, di sini, semalam.

Kanak-kanak yang terselamat dikenali sebagai Mohd Hafiz Azizul, 9; Mohd Ajili Arwansyah, 6; Mohd Said Abdul Said, 5; dan adiknya, Norafdilah Abdul Said, 3.


Menceritakan kejadian jam 11.30 pagi yang menghempap 11 rumah itu, Edy berkata, dia terdengar satu dentuman disusuli gegaran kuat sebelum bunyi kayu pecah.


Menurutnya, ketika itu dia berehat di anjung rumah bersama empat kanak-kanak yang juga jirannya sebelum terdengar satu letupan dari kuari berhampiran.


“Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku, keadaan tiba-tiba menjadi huru-hara seperti tsunami selepas satu letupan disusuli gegaran kuat.


“Beberapa saat selepas itu, rumah saya bergoncang kuat lalu ranap,” katanya ketika ditemui.

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, letupan dilakukan di kuari berhampiran adalah perkara biasa tetapi tidak menyangka rumahnya dihempap bongkah batu akibat letupan itu.


“Rumah saya musnah dan ketika kejadian berlaku (rumah ranap) saya terus pengsan.


“Sebaik tersedar, saya terperangkap di bawah runtuhan, saya turut mendapat luka di belakang kepala akibat dihempap tiang rumah yang patah,” katanya.


Seorang lagi mangsa, Hula Igu, 58, berkata, dia bernasib baik kerana tiada di rumah ketika kejadian.


“Pada masa itu, saya di pasar kerana menjual ikan. Saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumah saya runtuh dihempap bongkah batu besar yang jatuh dari atas bukit,” katanya.


Katanya, terkejut dengan perkara itu, dia bergegas pulang ke rumah.


“Saya bimbang mengenai keselamatan tiga cucu, termasuk dua daripadanya kembar yang baru berusia sebulan, selain anak serta menantu di rumah.


“Saya bersyukur kerana walaupun rumah musnah, semua ahli keluarga terselamat,” katanya.


Menurutnya, menantunya, Nisa Yusuf, 30, bersama bayi kembarnya, Noraisah dan Noranisah Fazlan berusia satu bulan dihantar orang ramai ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi cucunya, Mohd Khairul, 2, terselamat.


Tinjauan Metro Ahad di lokasi kejadian mendapati, satu bongkah batu sebesar rumah banglo manakala dua lagi sebesar kenderaan pacuan empat roda.


Ketiga-tiga bongkah dipercayai bergolek dari atas bukit selepas letupan dilakukan pekerja kuari di kawasan berhampiran.

Mayat bayi berkain pelekat



Petaling Jaya: Mayat seorang bayi perempuan yang dibalut dengan kain pelekat ditemui di tepi jalan susur Damansara Damai menghala Sungai Buloh di sini, pagi tadi.

Polis menerima maklumat penemuan mayat bayi itu oleh orang awam yang sedang berjalan menuju ke tempat kerja kira-kira jam 8 pagi.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dua hingga tiga hari lalu.

Katanya, mayat itu juga mempunyai kesan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai perbuatan jenayah yang menjadi punca kematiannya.


“Pemeriksaan polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang bukti lain yang boleh membantu siasatan. Tiada nota dan mayat bayi tidak berpakaian, hanya dibalut kain pelekat.


“Mayat itu dipercayai dicampak awal pagi bagi mengelak dikesan orang ramai. Lokasi kejadian pula tidak ada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam.

Arjunaidi berkata, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek kejadian, termasuk meneliti rekod kelahiran baru di pusat perubatan berhampiran.


“Secara logiknya, ibu kepada bayi itu masih dalam keadaan lemah kerana baru bersalin. Jadi kemungkinan ada suspek lain yang turut terbabit dalam kejadian ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil segera di balai polis berdekatan,” katanya.

Tragedi ‘darah manis’

Foto
PASANGAN Rita dan Kumar maut selepas dua minggu berkahwin.
Ledang: “Kali terakhir kami bertemunya ketika hari perkahwinannya di Singapura pada 23 Mac lalu. Kumar dan isteri tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun menyatakan tidak sabar pulang ke Melaka untuk mengadakan majlis resepsi bagi meraikan keluarga di sini,” kata B Ragu, 37, abang ipar mangsa kemalangan ngeri di Kilometer (KM) 162.6 Lebuhraya Utara-Selatan dari Pagoh ke Tangkak, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam, A Kumar Arunasalan, 40, bersama isterinya warga Singapura, Rita Maria Gilbert, 42, serta rakan, Carrieanne Franscisca De Costa, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala, selain tersepit di tempat duduk penumpang.
Menurut Ragu, Kumar dan isteri sepatutnya tiba di rumahnya di Melaka, jam 10 malam selepas bertolak dari Singapura jam 6 petang.

Bagaimanapun, sehingga 11 malam, pasangan itu masih belum tiba manakala telefon Kumar tidak dapat dihubungi.


“Ibu Kumar di kampung mula risau dan menghubungi saya untuk meminta tolong mengesan pasangan itu. Saya cuba beberapa kali menghubungi Kumar, namun panggilan tidak berjawab.

Menu berdarah

Foto
TAN menunjukkan kesan darah di belakang restoran Teo di Jalan Dedap 24, Taman Johor Jaya.
Johor Bahru: Jamuan makan malam tradisi sempena pengenalan menu baru sebuah restoran di Jalan Dedap 24, Taman Johor Jaya, di sini, gempar apabila tiga lelaki menaiki kereta tiba-tiba melepaskan 13 das tembakan secara rambang hingga menyebabkan dua lelaki parah.
Dalam kejadian jam 1.30 awal pagi semalam, lapan lelaki termasuk pemilik restoran, berkumpul bersama rakan rapat menjamu selera menu baru hasil ciptaan tukang masaknya di lorong belakang restorannya.
Tiba-tiba tiga lelaki, dengan dua di tempat duduk belakang dan seorang lagi memandu, melintas lorong belakang restoran sebelum melepaskan tembakan.

Akibatnya, pemilik restoran terkena dua das tembakan di belakang badan dan lutut kiri, seorang pekerja Nepal parah terkena lima das tembakan di badan manakala seorang rakan tauke itu bertarung nyawa apabila peluru menembusi kerongkongnya.


Pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Teo, 47, berkata, dia diberikan seekor ikan segar dan meminta tukang masaknya mencipta resipi baru sebelum menjemput beberapa rakan mencuba hidangan itu.

Maut celah pintu lif

Foto
Georgetown: Tindakan seorang lelaki membuka pintu lif yang tersekat di tingkat dua mengundang padah apabila isterinya maut selepas terjatuh dari lif itu ketika cuba keluar di Pangsapuri BJ Court di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam, Faridah Hanum, 41, berasal dari Langsa, Indonesia, maut selepas cedera parah di rusuk kiri akibat terhentak lantai di tingkat bawah.
Lebih menyayat hati, kejadian itu disaksikan anak lelakinya yang turut berada dalam lif.

Seorang penghuni yang turut berada dalam lif dikenali sebagai Azmi, 23, berkata, pada mulanya mereka tersangkut dalam lif hampir setengah jam.

ANGGOTA keselamatan mengangkat mayat Faridah untuk dibawa ke hospital.

“Ketika kejadian, kami mahu ke tingkat atas dan ada hampir 15 orang dalam lif. Selepas tersekat hampir setengah jam, keadaan dalam lif berbahang kerana ramai terperangkap sebelum seorang lelaki cuba membuka pintunya,” katanya.

Korban bangunan runtuh meningkat



Mumbai: Jumlah kematian akibat keruntuhan bangunan dibina secara haram di bandar raya ini meningkat kepada 72 orang semalam.

Ia sekali gus memusnahkan harapan untuk mencari mangsa tertimbus yang mungkin terselamat.


Lebih 70 orang cedera apabila bangunan lapan tingkat dibina di Thane, pinggir Mumbai runtuh.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan Sandeep Malvi berkata, kebanyakan mangsa terbunuh ditemui, tetapi mungkin masih ada terperangkap di bawah runtuhan.

Wanita cemburu bakar kekasih suami




 0  0 Google +0  0  0 Cetak
Beijing: Gara-gara cemburu, seorang isteri membakar hidup-hidup kekasih suaminya sejurus selepas mereka keluar dari sebuah hotel, semalam.

Sumber polis berkata, si isteri mula mengesyaki suaminya menjalin hubungan sulit dengan orang ketiga apabila dia mengesan lelaki terbabit menggunakan perkhidmatan sistem pengesanan global (GPS).


Usaha itu membawa si isteri ke sebuah hotel di wilayah Taizhou.

Sumber berkata, si isteri kemudian membuka kereta suaminya yang diletakkan di luar hotel dan menunggu dalam kenderaan itu bersama tong berisi minyak petrol.


Katanya, si isteri menggunakan kunci pendua untuk membuka kenderaan itu.


“Akhirnya ketika suami wanita terbabit mendaftar keluar di kaunter hotel, kekasihnya terus menuju ke kereta dan masuk ke kenderaan itu tanpa mengesyaki apa-apa,” katanya.

Sumber berkata, si isteri terus mencurahkan minyak petrol itu ke badan kekasih suaminya dan menyalakan api sebelum melarikan diri. “Bomba berjaya memadamkan api beberapa minit kemudian, tetapi wanita terbabit gagal diselamatkan,” katanya. Suspek kemudian menyerah diri kepada polis. - Agensi

George Town dilanda banjir kilat




AIN NADHIRAT Kamal, 10, (kanan) dan adiknya, Aminahtul, 8, (kiri) bersama rakannya, Ainah Natifah Abdullah, 8, mengangkat tong gas selepas rumah mereka dinaiki banjir kilat di George Town, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Hujan tanpa henti selama empat jam sejak pukul 6 pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan seperti Jalan Masjid Negeri, Jalan P. Ramlee dan Jalan Datuk Keramat di sini dilanda banjir kilat.
Bencana alam itu menyebabkan kesesakan teruk di jalan-jalan utama menuju ke pusat bandar dan Air Itam yang dinaiki air. Ada kenderaan terperangkap dalam banjir selain kejadian tebing runtuh di Paya Terubong dan Batu Feringghi.
Hujan tanpa henti dalam masa singkat itu juga menyebabkan kadar air yang terkumpul dikategorikan sebagai lebat iaitu melebihi 60 milimeter (mm).
Kadar air hujan yang direkodkan di Sungai Pinang ialah 85mm, Kolam Dondang (90mm), Lorong Batu Lanchang (107mm), Kolam Air Itam (114mm), Bukit Bendera (168mm), Jalan P. Ramlee (83mm) dan Sungai Air Terjun (141mm).
Air laut yang pasang secara serentak pada tahap 3.26 meter pagi semalam juga dipercayai menyebabkan banjir bertambah buruk di kelima-lima sungai kecil yang mengalir ke Sungai Pinang.
Pegawai Bencana dan Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Timur Laut, Maxwell Panchai berkata, pihaknya masih memantau keadaan banjir walaupun air mulai surut pada sebelah petang.
Katanya, beratus-ratus kenderaan terperangkap akibat banjir selain lebih 300 keluarga turut terjejas berikutan air naik sehingga paras 1.76 meter.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2PjNqLAhD 
Hakcipta terpelihara 

Dua lelaki tembak rumah pegawai polis




CERMIN kenderaan milik pegawai polis yang terkena tembakan di Taman Seremban Jaya, Seremban semalam.


SEREMBAN - Seorang pengawai polis berpangkat Inspektor dan keluarganya berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Seremban Jaya di sini ditembak bertalu-talu oleh dua lelaki tidak dikenali kelmarin.
Kejadian pada pukul 10.30 malam itu berlaku ketika pegawai yang bertugas di Cawangan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu sedang tidur manakala isteri dan dua anaknya menonton televisyen.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang berusia 51 tahun itu meninjau ke luar rumah dan ternampak kelibat dua lelaki melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.
"Polis menemui sembilan kelongsong peluru dengan tembakan terkena pada kenderaan jenis Nissan Grand Livina dan beberapa bahagian rumah mangsa," katanya di sini semalam.
Polis tidak menolak kejadian itu ada kaitan dengan ugutan yang diterima mangsa berhubung kes tangkapan dadah baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2PjNd9XGg 
Hakcipta terpelihara 

Lapan cedera ditembak lelaki bertopeng



JOHOR BAHRU - Niat seorang pemilik restoran menjemput beberapa kenalannya untuk mencuba menu baharu bertukar tragedi apabila premis yang terletak di Jalan Dedap 24, Taman Johor Jaya itu dihujani peluru menyebabkan lapan orang cedera semalam.
Mangsa yang cedera dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu ialah pemilik restoran berkenaan yang dikenali sebagai Teo, enam rakannya dan seorang pekerja restoran warga Nepal.
Teo, 47, memberitahu, dia menjemput rakan-rakan karibnya untuk menikmati menu baharu berasaskan ikan segar di restoran miliknya.
"Untuk memastikan hidangan itu disukai oleh pelanggan, saya mahu rakan-rakan saya mencubanya terlebih dulu namun tidak menyangka kami ditembak ketika menikmati hidangan.
"Sehingga kini saya masih tertanya-tanya motif kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail di sini semalam.
Dalam kejadian itu, Teo terkena dua das tembakan di badan dan lutut kiri manakala pekerjanya pula terkena lima das tembakan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainudin memberitahu, siasatan mendapati tiga suspek memakai topeng yang menaiki sebuah kereta melepaskan 13 das tembakan ke arah restoran berkenaan dan terkena kelapan-lapan mangsa tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2PjNNUgVk 
Hakcipta terpelihara 

Tujuh rumah ranap dihempap tiga bongkah batu




ANGGOTA bomba memeriksa rumah yang ranap akibat dihempap bongkah batu besar di Kampung Bukit Kukusan, Tawau semalam.


TAWAU - Tiga wanita dan tiga kanak-kanak cedera selepas tujuh buah rumah di Kampung Bukit Kukusan dekat sini ranap dihempap tiga bongkah batu besar dari kawasan kuari di atas Bukit Kukusan semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Albert Jiran Tanjung berkata, kesemua mangsa yang cedera di tangan dan kaki dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.
Setakat ini identiti mereka belum dikenal pasti.
Terdapat kira-kira 300 buah rumah di kampung berkenaan.
Pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 11.43 pagi dan tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan rumah.
Siasatan awal mendapati bongkah-bongkah batu berkenaan bergolek ke bawah bukit lalu menghempap rumah penduduk selepas berlaku gegaran akibat letupan bahan peledak yang digunakan untuk memecahkan batu di kuari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah memberitahu, syarikat kuari terlibat sudah diarah menghentikan operasi berkuat kuasa serta-merta dan penduduk dinasihatkan supaya mengosongkan rumah masing-masing. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2PjN4UF9w 
Hakcipta terpelihara 

Pengantin maut dirempuh bas



BEGINILAH keadaan kereta Proton Waja yang remuk dan mengorbankan tiga penumpang di Ledang, Johor semalam.


LEDANG - Sepasang pengantin yang baru berkahwin dua minggu lalu merupakan antara tiga penumpang sebuah kereta yang maut dalam kemalangan di Kilometer 162.5, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini kelmarin.
Mangsa yang terbunuh ialah Kumar Arunasalam, 34, dan isterinya warga Singapura, Rita Maria Gilrelt, 42, serta rakan pasangan itu, Carrieanne Fransica Dicosta, 22.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, pemandu kereta, Pang Yun, 59, cedera parah manakala teman lelaki Carrieanne, Brian Jeremieh Sta Mariah, 21, cedera ringan.
Kelima-lima mangsa yang menaiki kereta Proton Waja dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Melaka untuk membuat persiapan persandingan Kumar dan Rita pada 23 Mei depan.
Pasangan pengantin itu bekerja di sebuah hotel di Singapura.
Kumar yang berasal dari Kampung Serani, Melaka merupakan ketua pengawal keselamatan manakala Rita bekerja sebagai akauntan.
Tiga mangsa yang terkorban berada di tempat duduk penumpang belakang manakala Brian pula duduk di sebelah pemandu.
Menurut Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, kejadian dipercayai berlaku selepas kereta itu hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lori satu tan lalu berpusing sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.
"Pada masa yang sama, sebuah bas persiaran yang tidak membawa penumpang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kereta itu.
"Kereta tersebut remuk menyebabkan mereka tersepit," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Harun berkata, tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Harun memberitahu, pemandu lori dan bas persiaran tidak mengalami sebarang kecederaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2PjMeebZK 
Hakcipta terpelihara 

Chris Brown diarah kembali ke mahkamah



LOS ANGELES - Penyanyi R&B bermasalah, Chris Brown (gambar)diarah supaya kembali ke mahkamah selepas seorang hakim di Los Angeles menyatakan beliau menerima dakwaan bahawa Brown tidak memenuhi hukuman khidmat masyarakat yang dikenakan ke atasnya.
Brown, 23, kini masih dalam tempoh percubaan kerana menyerang teman wanitanya, penyanyi Rihanna pada tahun 2009. Dia dikenakan hukuman menjalani khidmat masyarakat selama 180 hari dan mengikuti kaunseling kaganasan domestik.
Para pendakwaraya menyatakan Brown tidak memenuhi syarat melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat.
Selepas bertemu dengan Brown, peguam bela dan pendakwaraya, hakim Mahkamah Agung Los Angeles, James Brandlin mengarahkan penyanyi itu supaya kembali ke mahkamah pada 10 Jun depan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2PjMGR3DB 
Hakcipta terpelihara 

IKEA hentikan jualan lasagne moose kerana ada daging babi




SELEPAS masalah bebola daging yang dicemari daging kuda, IKEA kini terpaksa menghentikan jualan lasagne moose kerana didakwa mengandungi daging babi.


STOCKHOLM - Pengeluar perabot terbesar dunia, IKEA semalam menyatakan, pihaknya telah menghentikan jualan lasagne moose selepas mendapati produk itu mengandungi daging babi.
Lasagne moose sebanyak 10,000 tan itu dihasilkan oleh pembekal IKEA. Jualannya dihentikan di semua cawangan IKEA di 18 buah negara Eropah selepas ujian yang dilakukan oleh pihak berkuasa Belgium pada bulan lalu mendapati ada unsur daging babi di dalamnya.
"Kami menerima pengesahan pada Jumaat bahawa satu siri produksi makanan itu dicemari hirisan kecil daging babi. Kuantitinya sangat kecil, kira-kira satu peratus," kata jurucakap IKEA, Tina Kardum.
Lasagne yang tercemar itu dikatakan berjumlah 17,000 pek.
Pada Februari, IKEA menghentikan jualan bebola daging kerana mendapati sebahagiannya mengandungi daging kuda. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2PjLmgdHH 
Hakcipta terpelihara 

72 orang maut


SEBUAH jentolak digunakan untuk mengalihkan sisa runtuhan bangunan pangsapuri tujuh tingkat yang runtuh pada Khamis lalu.- AFP



MUMBAI - Jumlah mangsa yang maut akibat runtuhan sebuah blok bangunan pangsapuri di sini telah meningkat kepada 72 orang, jelas pihak polis ketika jentolak dibawa untuk mencari mereka yang mungkin terselamat.
Bangunan setinggi tujuh tingkat yang dibina secara haram di wilayah Thane, 35 kilometer dari bandar Mumbai itu runtuh pada Khamis.
"Kami mengesahkan bahawa seramai 72 orang telah maut setakat ini. Usaha menyelamat diteruskan kerana mungkin ada mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan," kata seorang pegawai kanan polis.
Kerajaan negeri Maharashtra mengumumkan satu siasatan akan dilakukan, selain menggantung tugas seorang pegawai pentadbir awam dan pegawai polis atas alasan gagal melaksanakan tugas dengan baik.
Kebanyakan mangsa yang terbunuh terdiri daripada pekerja miskin yang menerima gaji harian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2PjKh4Kjw 
Hakcipta terpelihara