Search This Blog

Friday, April 5, 2013

31 maut bangunan separuh siap runtuh di India

31 maut bangunan separuh siap runtuh di India
ANGGOTA penyelamat dan orang ramai berusaha mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan selepas sebuah bangunan separuh siap yang masih dalam pembinaan runtuh di Mumbai, India, hari ini. 31 mangsa maut dalam kejadian itu. - Foto AP MUMBAI (India): Sekurang-kurangnya 31 terbunuh apabila sebuah bangunan separuh siap yang sedang dalam pembinaan secara haram runtuh di pinggir bandar kewangan India, hari ini.

Menurut polis, bangunan yang terletak di Thane, pinggir bandar Mumbai runtuh kira-kira jam 6.08 petang tadi (waktu tempatan).
Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tukul pemecah dinding dan gergaji berantai bagi memecahkan runtuhan dalam aktiviti mencari mangsa yang terperangkap.


“Mungkin ada mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan itu sekarang,” kata Pesuruhjaya Polis Tempatan KP Raghuvanshi, hari ini.

Beliau berkata, 31 mangsa yang maut termasuk 11 kanan-kanak.

“Sekurang-kurangnya empat tingkat bangunan berkenaan sudah siap dan diduduki. Runtuhan berlaku ketika pekerja binaan sudah menyiapkan tiga lagi tingkat dan sedang menambah tingkat kelapan,” demikian menurut seorang pegawai polis, Inspektor Digamber Jangale.

“Beberapa mangsa yang maut terdiri daripada pekerja binaan yang tinggal di bangunan itu,” katanya. - AP

Amaran serangan virus H7N9

Amaran serangan virus H7N9
Petugas pusat kawalan jangkitan haiwan dan pencegahan penyakit menyuntik vaksin H5N1 kepada ayam di Shangsi, wilayah autonomi Guangxi Zhuang. Beijing: China berusaha memerangi jenis baru selesema burung yang mengorbankan tiga orang, ketika Jepun dan Hong Kong meningkatkan langkah berjaga-jaga ke atas virus itu manakala Vietnam melarang import ternakan.

Jenis baru selesema burung H7N9 tidak dipindahkan daripada manusia kepada orang lain namun pihak berkuasa di Hong Kong meningkatkan amaran awal dan berkata, mereka sedang mengambil langkah berjaga-jaga di lapangan terbang.
Tingkat amaran


Di Jepun, pihak berkuasa lapangan terbang meletakkan poster di pintu masuk memberi amaran kepada semua penumpang penerbangan dari China supaya mendapatkan pemeriksaan perubatan jika mengesyaki dijangkiti selesema burung.

Seramai 10 orang disahkan dijangkiti H7N9, semuanya di timur negara itu dan tiga yang dijangkiti meninggal dunia.

China akan mengukuhkan usaha dalam memerangi virus itu dan bekerjasama serta mengerahkan keseluruhan sistem kesihatan negara memerangi virus terbabit,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan lewat kelmarin dalam laman webnya, (www.moh.gov.cn).

Di Hong Kong, pihak berkuasa mengaktifkan ‘Tahap Maklum Balas Amaran’ mengikut satu pelan persediaan untuk pandemik influenza, yang menggesa pemantauan rapat ladang ayam tempatan, pemvaksinan, latihan penghapusan dan satu penggantungan import ternakan hidup dari tanah besar.
Semua penumpang dalam penerbangan masuk dan keluar Hong Kong diminta memaklumkan anak kapal atau kakitangan lapangan terbang jika merasa tidak sihat.

Vietnam melarang import ternakan dari China, merujuk kepada risiko jangkitan H7N9, sambil meminta doktor melaporkan sebarang kes disyaki dan menasihatkan rakyat memberi perhatian terhadap kebersihan dan mengelak bersentuhan dengan haiwan, burung atau ternakan.

Sebar maklumat

Di Beijing, Kementerian Kesihatan berkata, kerajaan akan pantas menyebarkan perincian jenis baru virus ke dunia luar dan rakyatnya, selepas aduan ia terlalu lambat melaporkan wabak dan disyaki melindungi kes itu seperti Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) satu ketika dulu.

Pengguna internet China dan sesetengah akhbar mempersoalkan mengapa ia mengambil masa terlalu lama sebelum kerajaan mengumumkan kes baru.

Kerajaan berkata, ia memerlukan masa untuk mengenal pasti dengan betul virus berkenaan.

Pada 2003, pihak berkuasa pada mulanya cuba menutup epidemik SARS yang muncul di China dan mengorbankan satu persepuluh daripada 8,000 orang yang dijangkiti di seluruh dunia.

REUTERS 

Pemandu teksi dipenjara 24 tahun, 4 sebatan kerana cabul, samun penumpang



 
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara berjumlah 24 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk mencabul dan menyamun penumpangnya di dalam sebuah teksi, dua tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi M Saravanan, 30.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara lima tahun dan satu sebatan serta penjara tujuh tahun, masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun saja selepas Hakim Hasbi memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 16 Jun 2011.

Bagi pertuduhan pertama, Saravanan didakwa melakukan seks oral terhadap wanita berusia 31 tahun itu di dalam sebuah teksi dalam perjalanan antara Jalan P Ramlee hingga ke Kondo Kenanga Point, Jalan San Peng, Dang Wangi di sini pada 3.30 pagi, 6 Mac 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mencabul dan menyamun telefon bimbit Blackberry dan wang tunai RM500 milik wanita yang bekerja sebagai pembantu pengurus restoran dengan menggunakan sebilah parang pada masa dan lokasi sama.
Bagi pertuduhan mencabul, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau boleh dikenakan sebatan manakala bagi pertuduhan menyamun, dia dituduh mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han yang membantu rakan sejawatannya Ooi Chean Ling, memohon hukuman berat dikenakan terhadap Saravanan dengan alasan tertuduh mengambil kesempatan terhadap penumpangnya.

"Perbuatan tertuduh merosakkan imej pemandu teksi di negara ini dan tertuduh juga menggunakan sebilah parang bagi memaksa mangsa menyerahkan barang miliknya," katanya. - BERNAMA

Kes saman fitnah Adun dibicara semula




5 April 2013
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan semalam membicarakan semula kes saman fitnah yang difailkan oleh Adun Aulong, Yew Tian Hoe terhadap bekas penyelaras Parlimen Taiping, Soo Kay Ping.

Panel hakim tiga anggota dipengerusikan oleh Datuk Ramly Ali membenarkan rayuan Yew bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan samannya.

Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk David Wong Dak Wah, juga memerintahkan supaya kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi Taiping untuk perbicaraan.

Mahkamah turut memerintahkan Soo supaya membayar kos guaman sebanyak RM5,000 kepada Yew.

Yew menyaman Soo atas artikel bertajuk ‘Alleging Yew Tian Hoe of imposing land survey costs illegally. Soo Kay Ping: There is witness and proof’ yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily News, bertarikh 17 Januari 2011.

Yew mendakwa artikel itu telah memfitnahnya dengan maksud perkataan ditafsirkan bahawa beliau bukan seorang yang layak dan sesuai untuk menjadi wakil rakyat.

Beliau turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu telah menjejaskan kredibiliti dan reputasinya sebagai wakil rakyat.

Yew menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Dalam penyataan pembelaannya, Soo, berkata kenyataan itu dibuat atas perlindungan bersyarat.

Pada 28 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Soo untuk membatalkan saman sivil yang difailkan oleh Yew terhadapnya.

Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu selepas memutuskan pernyataan tuntutan Yew adalah cacat kerana beliau gagal berhujah perkataan sebenar dalam bahasa asal iaitu bahasa Mandarin seperti disiarkan dalam akhbar itu disusuli dengan terjemahan dalam bahasa Malaysia.

Yew diwakili oleh Chan Kok Keong manakala peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Soo. - Bernama

Pembantu perubatan dipenjara 2 tahun




5 April 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pembantu perubatan sebuah hospital dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Trafik di sini selepas mengaku bersalah membawa kenderaan secara melulu dan menyebabkan kematian seorang anggota tentera, tahun lalu.

Majistret Noorasyikin Sahat turut mengarahkan N Gopal, 28, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung tiga tahun berkuat kuasa semalam.  

Gopal didakwa memandu dengan cara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian Ahmad Johan Ahmad Tarmizi, 25, di Jalan Genting Kelang, di sini, pada 1.30 pagi, 26 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 serta lesen memandu  boleh digantung, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika kereta jenis Perodua Kenari yang dipandu tertuduh keluar simpang dari Hospital Colombia terus ke tengah jalan untuk membuat pusingan U pada laluan salah dan tiba-tiba telah dilanggar oleh motosikal yang ditunggang mangsa pada sebelah kanan sehingga menyebabkannya tercampak.      
Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Said manakala Gopal tidak diwakili peguam. - Bernama

Argentina isytihar berkabung tiga hari




5 April 2013
Argentina isytihar berkabung tiga hari
Hujan lebat berterusan sejak Selasa lalu menyebabkan hampir seluruh kawasan La Plata ditenggelami banjir. Foto: Getty
BUENOS AIRES - Argentina mengumumkan tiga hari berkabung kebangsaan selepas sekurang-kurangnya 54 terkorban dalam insiden banjir kilat di bandar La Plata, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Dipetik Al-Jazeera, Gabenor Wilayah Buenos Aires, Daniel Scioli berkata, seramai 1,500 penduduk juga terpaksa dipindahkan selepas paras air meningkat secara mendadak.

"Kebanyakan penduduk yang panik bertindak memanjat bumbung rumah mereka dan beberapa mangsa dilaporkan mati lemas kerana terperangkap dalam kereta," jelasnya.

Media tempatan melaporkan, taburan hujan juga mencecah antara 300 dan 400 milimeter dalam tempoh dua jam hingga menyebabkan kawasan berdataran rendah di sekitar bandar itu ditenggelami banjir.

Sementara itu, Presiden Cristina Kirchner turut melawat mangsa banjir dan berjanji untuk menempatkan lebih ramai polis bagi mengelakkan kes kecurian di kawasan tersebut.

Dua pekerja nekad pukul penyamun dengan kayu



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2013
penyamun
Puniyarmurthy (kiri) menunjukkan kesan tetakan parang yang terkena kayu, sementara Tech Kwong menunjukkan senjata yang digunakannya untuk menusuk bahu salah seorang penyamun.
TAMPIN – Tindakan berani dua pekerja tempat pengumpulan getah lantun di kilometer tiga jalan Batu Belang-Keru, dekat sini berjaya menggagalkan niat jahat dua penyamun bersenjatakan parang dan besi dalam kejadian 7.20 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, dua pekerja berkenaan, A Puniyamurthy, 41, dan Wong Tech Kwong, 55, terkejut apabila premis tempat mereka bekerja diserang dua lelaki bersenjata sementara seorang lagi menunggu di dalam kereta Proton Iswara warna putih.

Puniyamurthy berkata, ketika kejadian dia sedang memeriksa keadaan enjin lori dan secara tiba-tiba terdengar jeritan Tech Kwon yang memberi amaran kepadanya berkenaan kehadiran dua lelaki yang salah seorang daripadanya memegang parang dan berlari ke arah mereka.

Menurutnya, dia cepat-cepat lari mengambil kayu bagi mempertahankan diri dari diserang penyamun yang berusia lingkungan 20-an.

"Mujur saya sempat mengelak sewaktu bergelut dengan penyamun itu dan tetakan parang terkena di kayu sahaja.

"Manakala Tech Kwong dengan pantas mengambil sebatang lagi kayu yang di hujungnya mempunyai bilah besi tajam dan menusuk bahagian bahu salah seorang penyamun itu. Terkejut dengan serangan balas itu, mereka melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, semalam.
Katanya, dia dan Tech Kwong cuba mengejar penyamun berkenaan sehingga ke kereta dan sempat memecahkan cermin bahagian sisi serta belakang pemandu.

"Ini adalah kejadian kecurian kali ketiga berlaku di sini setelah dua kejadian berlaku tahun lepas," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika ditemui berkata, dia memohon agar orang awam dapat menghubungi pihak polis jika terlihat kenderaan Proton Iswara putih dengan nombor plat di bahagian hujungnya 4822.

Menurutnya, jika ada lelaki berusia lingkungan 20-an mendapatkan rawatan di klinik swasta mahupun kerajaan bagi kecederaan di bahu susulan ditusuk senjata tajam boleh segera melaporkan kepada pihak polis.

"Selain itu sekiranya terdapat individu yang datang membaiki kereta yang dinyatakan dengan kerosakan cermin sisi di bahagian pemandu dan belakang juga boleh menghubungi pihak polis.

"Orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-441122," katanya.

5 penguatkuasa lalui detik cemas




5 April 2013
5 penguatkuasa lalui detik cemas
Hasrulnizam (kanan) dan seorang anggotanya memeriksa DVD yang dirampas dalam serbuan di pasar malam Changlun, malam kelmarin.
Jitra - Serbuan yang dilakukan lima anggota penguatkuasa Bahagian Kawalan Filem (BKF) Kedah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertukar kelam-kabut apabila didatangi sekumpulan lelaki yang bertindak mengepung mereka di pasar malam Changlun, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anggota penguatkuasa baru selesai membungkus cakera padat digital (DVD) di dua kaunter yang diserbu di pasar malam itu.

Ketua Cawangan BKF Kedah, Zainal Abidin Othman berkata, operasi yang diketuai Hasrulnizam Ishak bersama empat anggota menerima aduan bahawa beberapa peniaga berkenaan menjual DVD yang dilarang kerajaan.

Menurutnya, sebelum serbuan dijalankan serbuan anggota penguatkuasa bertindak memantau dan menjalankan pemeriksaan terlebih dahulu, peniaga terbabit melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

“Selepas serbuan anggota penguatkuasa berjaya merampas hampir 200 keping DVD dan secara tiba-tiba datang seorang lelaki yang dipercayai peniaga DVD terbabit dalam keadaan tidak berpuas hati.

“Lelaki terbabit bertindak menghalang anggota kami menjalankan tugas sehingga menyebabkan berlaku pergelutan sebelum beberapa anggota lain bertindak meleraikannya,” katanya.

Zainal Abidin berkata, anggotanya berjaya menahan suspek dan bertindak menggari suspek tetapi beberapa lelaki dipercayai rakan suspek datang dan cuba mengepung anggotanya yang bertugas ketika itu.

“Kami terpaksa melepaskan suspek disebabkan bimbang kejadian tidak diingini berlaku berikutan kawasan tersebut mempunyai ramai rakannya memandang keselamatan anggota juga perlu diutamakan.

“Sebenarnya kita tidak berniat untuk menahan lelaki itu sebaliknya hanya untuk membuat rampasan DVD yang tiada sijil perakuan B,” katanya.

Katanya, kesemua barangan yang dirampas bernilai RM1,000 dan pihaknya turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, malam kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 kerana tidak mempamerkan sijil perakuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kontraktor disamun, RM200,000 lesap



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2013
SHAH ALAM - Hasrat seorang kontraktor untuk membayar gaji pekerja tidak kesampaian apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Jalan Pinang C, Seksyen 18 di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, disaksikan wartawan Sinar Harian, Muhayudin Salleh, 27, yang sedang menunggu rakannya mengeluarkan wang di bank berhampiran.

Menurut Muhayudin, sebelum itu  dia melihat kereta  Proton Persona yang diletakkan bersebelahan dengan Nissan Navara, milik mangsa.

Muhayudin berkata, dia kemudiannya terlihat dua penjenayah bersenjatakan parang menghampiri mangsa.

“Saya nampak dua penjenayah merampas beg hitam milik mangsa. Penjenayah turut mengacukan parang pada mangsa.

“Selepas itu penjenayah terus melarikan diri bersama seorang lagi rakan mereka yang memandu Proton Pesona,” katanya, semalam.

Katanya, dia sempat mengambil nombor pendaftaran kereta berkenaan untuk membantu polis menjalankan siasatan.

“Ramai yang melihat kejadian itu tetapi kami tidak sempat untuk membantu kerana kejadian berlaku dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan penjenayah itu terus menyerahkan bagasi hitam berisi wang RM200,000.

“Penjenayah menaiki kenderaan bernombor BKJ 4932. Semakan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ia milik seorang wanita yang pernah melaporkan cermin keretanya dipecahkan dan cukai jalan dicuri pada 1 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian untuk siasatan.

Sehubungan itu, Zahedi meminta  orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Menangis kesal terjun laut



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2013
Menangis kesal terjun laut
Anggota Maritim menaikkan lelaki berkenaan selepas berjaya dipujuk.
BUTTERWORTH - Usaha tiga ahli Persatuan Keselamatan Sukarela Pulau Pinang cawangan Butterworth memujuk seorang juru kimpal yang terjun ke dalam laut selama hampir setengah jam awal pagi kelmarin berjaya menghalang lelaki berkenaan meneruskan niatnya membunuh diri.

Ahli persatuan itu yang mahu dikenali sebagai Ah Tiam, 49, berkata, sebaik mendapat panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi daripada kakak lelaki berkenaan yang memaklumkan tindakan diambil adiknya itu, dia bersama dua rakan bergegas ke Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang.

“Ketika sampai, kami mendapati sebuah motosikal ditinggalkan di tepi jambatan itu bersama sebuah telefon bimbit dan sepasang kasut sebelum bertindak mencari dan memanggil nama lelaki berkenaan.

“Sejurus kemudian, kami bertiga mendengar suara meminta tolong dari bawah jambatan dan mendapati dia basah kuyup dengan memeluk tong sambil menjelaskan dia enggan lagi hidup kerana dibelenggu pelbagai masalah,” katanya.

Ah Tiam berkata, dia berusaha memujuk lelaki yang berasal dari Bukit Mertajam itu supaya tidak meneruskan niatnya dan dalam masa sama mengarahkan rakannya menghubungi agensi penguatkuasa lain melalui panggilan kecemasan.

“Ketika itu saya meminta dia bersabar dan pulang berbincang dengan ahli keluarganya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana membunuh diri bukan jalan penyelesaian terbaik.

“Lelaki itu mula menangis menyesali tindakannya dan meminta diselamatkan,” katanya.

Ah Tiam berkata, lelaki itu kemudiannya berjaya dinaikkan ke daratan melalui bantuan sebuah bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia

Sakit selepas makan malam



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2013
Sakit selepas makan malam
Sebahagian pelatih bomba yang keracunan makanan menunggu untuk menerima rawatan di HKKB, semalam.
KUALA KUBU BHARU - Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Haron Tahir mengesahkan terdapat lebih 100 pelatih penolong penguasa bomba di akademi itu dirawat di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) dipercayai akibat keracunan makanan.

Menurutnya, pelatih berkenaan mula mengadu sakit perut selepas makan malam di kantin akademi itu kelmarin.

“Ada mengadu sakit semalam (kelmarin) dan pagi ini (semalam) mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Sehingga pagi ini semua yang dirawat dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, itu merupakan kejadian pertama berlaku di akademi tersebut.

Katanya, pelatih yang dirawat mengikuti latihan di situ sejak tiga bulan lalu dan mempunyai tiga bulan lagi untuk tamat latihan sebelum menjawat jawatan penolong penguasa bomba.

Difahamkan, jumlah pelatih di akademi itu seramai 238 orang.

“Aduan pertama diterima jam 9 pagi semalam sebelum masing-masing dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, latihan berjalan seperti biasa,” katanya.

Menurut sumber lain, pihak Kementerian Kesihatan telah membuat pemeriksaan di kantin akademi itu awal pagi semalam.

Ugut abang guna pedang



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2013
Pemandu lori ugut abang guna pedang
Tertuduh (dua, kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas tuduhan dibuat, semalam.
KOTA BHARU – Seorang pemandu lori berdepan penjara sehingga tujuh tahun, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengugut abangnya dengan pedang, kelmarin.

Tuduhan terhadap Kamarudin Ismail, 39, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Mohd Isa Mohamed.

Lelaki dari Selising, Pasir Puteh itu didakwa mengugut abangnya, Mohamad Latfi, 43, dengan kata-kata sambil memegang pedang dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan kepadanya.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Bidang, Selising, pada jam 10.30 pagi.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes bersambung 25 April depan.

Mayat lelaki ditemui terapung



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
5 April 2013
Mayat lelaki ditemui terapung
Anggota polis memeriksa mayat mangsa selepas ditemui terapung di tepi Sungai Kuantan, pagi semalam.
KUANTAN - Mayat seorang lelaki ditemui terapung di tepi Sungai Kuantan berhampiran Medan Feri dekat Tanah Putih, di sini, semalam.

Mayat mangsa berasal dari Kampung Tanah Putih, Pekan, itu ditemui seorang pekerja pembersihan yang kebetulan sedang mengutip sampah menggunakan sebuah bot di kawasan berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, penemuan mayat mangsa yang hanya memakai seluar jeans hitam tidak berbaju dimaklumkan kepada sekumpulan lelaki termasuk ahli keluarga mangsa yang berada di kawasan tersebut.

Menurutnya, berdasarkan pengecaman salah seorang ahli keluarganya,  mangsa disahkan sebagai lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam sungai itu bersama seorang rakan petang 2 April lalu.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, mangsa bersama rakannya dipercayai terjun ke dalam sungai itu kira-kira jam 2 petang, 2 April lalu kerana terkejut selepas menyedari sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menyerbu ‘port’ penagih di kawasan Lorong Lengkok Kanan.

“Mangsa bersama rakannya yang  berada di kawasan tidak jauh dari lokasi serbuan dipercayai bertindak terjun ke dalam sungai sebelum tenggelam.

“Rakannya terselamat dan memaklumkan kejadian menimpa mangsa kepada ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat berhubung kehilangan lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan yang dibuat, usaha mencari digerakkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuantan, petang kelmarin.

“Operasi dihentikan kira-kira jam 8.30 malam kelmarin dan diteruskan pagi semalam sebelum ditamatkan berikutan penemuan mayat mangsa,” katanya.

Beliau berkata, hasil operasi di kawasan berkenaan, polis berjaya menahan beberapa penagih, bagaimanapun kejadian yang menimpa mangsa tidak disedari anggota terlibat kerana berlaku bukan di kawasan serbuan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Anak mati digilis kenderaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2013
Anak mati digilis kenderaan
Norhidayu sayu melihat jenazah Khairul Nahar dibawa keluar dari Unit Kecemasan Hospital Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - “Pok Od, esok hantar Adik pergi Paloh,” kata seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ketika meminta bapanya menghantar dia ke Paloh, Gua Musang untuk bertemu bapa saudara kesayangannya, kelmarin.

Namun, hasrat kanak-kanak itu, Khairul Nahar Mohd Firdaus tercapai dengan cara menyedihkan apabila jenazahnya dihantar ke Paloh untuk dikebumikan selepas dia maut akibat digilis kenderaan pacuan empat roda, pagi semalam.

Pada kejadian jam 9.30 pagi di Jalan Markas, Kampung Sungai Durian, dekat sini, kanak-kanak itu mati selepas digilis kenderaan yang dipandu seorang warga Thailand.

Bapa mangsa, Mohd Firdaus Mohd Noor, 26, berkata, dia berjanji membawa anaknya itu ke Paloh 3, Gua Musang, semalam, seperti diminta untuk bertemu adiknya, Mohd Fairuz Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Poyo.

“Itu kali pertama dia panggil nama gelaran saya (Pok Od) kerana selalunya dia panggil saya, Abah. Dua tiga hari lepas, Poyo minta saya hantar Khairul Nahar ke Paloh tetapi anak saya tidak mahu pergi lagi tetapi kelmarin, dia sendiri minta,” katanya, semalam.

Kemalangan depan rumah

Mohd Firdaus berkata, kejadian berlaku di hadapan rumah ketika isterinya, Norhidayu Alias, 18, sedang menyusukan anak bongsu mereka berusia tiga bulan.

Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya itu ketika sedang bekerja di ladang limau madu, dekat Chenulang, selepas dimaklumkan bapa mentuanya.

“Saya terus ke hospital tetapi dia sudah tiada (meninggal dunia). Saya reda kerana sudah sampai masa (ajal) dia,” katanya yang berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, Gua Musang.

Jenazah Khairul Nahar dibawa keluar dari Hospital Kuala Krai (HKK) kira-kira jam 2.30 petang untuk dihantar ke kampung halaman bapanya bagi urusan pengkebumian.

Hadir sama melawat jenazah kanak-kanak itu di HKK, Adun Mengkebang, juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Tidak sedar mangsa depan kenderaan

Pemandu warga Thailand terbabit, Abdullah Ibrahim, 50, pula berkata, dia berhenti di kedai bahan binaan bersebelahan rumah mangsa untuk menempah bata bersama isterinya.

“Selepas selesai buat tempahan dan berbual sekejap dengan pemilik kedai, kami terus naik kenderaan untuk balik ke rumah.

“Belum pun masuk gear dua, saya terasa melanggar sesuatu dan bila berhenti untuk tengok, saya nampak dia (Khairul Nahar) berada bawah kenderaan,” katanya.

Menurutnya, dia melalui jalan itu hampir setiap hari dan sentiasa berhati-hati kerana menyedari ramai kanak-kanak bermain di kawasan berkenaan.

Cedera kepala, patah rahang kanan

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Krai, Inspektor Low Johan berkata, mangsa mati akibat kecederaan di kepala termasuk patah rahang kanan dipercayai digilis pacuan empat roda terbabit.

“Siasatan awal mendapati mangsa digilis kerana ada kesan darah pada bahagian tengah kenderaan terbabit dan kesan tayar pada pipi mangsa. Kenderaan didaftarkan di Thailand, ada insurans dan pemandunya juga ada lesen memandu,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, pemandu warga Thailand terbabit bersama isterinya warga tempatan meletakkan kenderaannya di hadapan sebuah kedai menjual bahan binaan bersebelahan rumah mangsa.

“Kejadian berlaku ketika pemandu terbabit hendak keluar ke jalan utama dan tidak menyedari kehadiran mangsa di hadapan kenderaannya,” katanya.

'Saya buta kerana cinta'



RUBIAH OMAR
5 April 2013
'Saya buta kerana cinta'
Mohd Affendi dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
KUALA TERENGGANU - “Yang Arif, saya mengaku semua silap saya, kerana cinta dan terlalu menyayangi dia, saya jadi ‘buta’, tidak dapat membezakan yang mana pahala dan dosa, saya insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.”

Itulah antara rayuan yang dibuat Mohd Affendi Ahmad, 26, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Mohd Affendi membuat rayuan itu sebelum dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan empat, tahun lalu.

Mohd Affendi yang beralamat di Bandar Permaisuri, Setiu, berdepan tiga pertuduhan merogol mangsa iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai pemandu mengaku bersalah merogol mangsa, semasa kejadian berusia 15 tahun 9 bulan, di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, Dungun, pada 7 Ogos 2012, kira-kira jam 10 malam.

Mohd Affendi turut mendakwa mangsa adalah teman wanitanya yang dikenali baru beberapa bulan itu mengaku bersalah mengulangi perbuatan sama di lokasi sama setengah jam selepas kejadian pertama iaitu kira-kira jam 10.30 malam.

Selain itu, berdasarkan pertuduhan ketiga, Mohd Affendi mengaku bersalah mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa pada keesokan harinya iaitu 8 Ogos, jam 2.30 petang di lokasi sama.

Sejurus semua pengakuan bersalah itu direkodkan, Hakim Wan Fadhilah Noor Wan Idris menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri, manakala Mohd Affendi tidak diwakili peguam.

Bakar diri elak rumah diroboh




5 April 2013
Bakar diri elak rumah diroboh
Mansingh membakar dirinya di Rajkot, New Delhi.
NEW DELHI - Lima sekeluarga nekad membakar diri selepas gagal mempertahankan kediaman mereka dari dirobohkan pihak pemaju.

Dipetik MailOnline, Bharat Mansingh, 40, dilaporkan meninggal dunia selepas melecur keseluruhan anggota akibat membakar diri di tengah bangunan pihak berkuasa tempatan dalam bandar Rajkot, barat laut India.

Ahli keluarganya yang turut membakar diri adalah Rekha, Asha, Vasumati dan Girish Mansingh yang kini sedang menerima rawatan.

Pegawai tempatan berkata, mangsa membakar diri sebelum menyimbah minyak tanah ke badan masing-masing kerana gagal mencapai kata sepakat dengan pihak pemaju.

"Mereka kecewa kerana pemaju berkeras merobohkan kediaman itu tanpa membayar ganti rugi," katanya.

Minggu lalu, syarikat Rajkot Municipal Corporation keluarkan amaran untuk merobohkan kediaman di Chotu Nagar bagi membangunkan kawasan perniagaan baru.

Difahamkan, keluarga Mansingh telah menetap di kawasan itu selepas berhijrah dari Nepal lebih 10 tahun lalu.

'Mak...Adik pergi dulu ya'



NIR AINNA HAMZAH
5 April 2013
'Mak...Adik pergi dulu ya'
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba dalam kejadian kemalangan di kilometer 31, Jalan Seremban-Tampin, petang kelmarin.
Ahmad Nurashid Kasim
Ahmad Nurashid Kasim
REMBAU – "Saya tidak menyangka perbualan singkat dengan arwah sekitar 4 pagi (Rabu lalu) sebelum dia keluar bekerja merupakan perbualan terakhir, malah arwah sempat mengucapkan 'adik pergi dulu'." Itulah luahan ibu pemandu lori yang maut tersepit dalam kemalangan di kilometer 31, Jalan Seremban Tampin, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Ahmad Nurashid Kasim, 27, yang dalam perjalanan dari Klang ke Melaka maut selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah lori lain di persimpangan masuk ke jalan Astana Raja, dekat sini.

Ibu mangsa, Nisa Maarof, 54, berkata, dia dia terkejut sebaik tiba di Hospital Tampin (HT) apabila mengetahui anaknya meninggal.

"Saya dan suami dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan arwah yang menyuruh kami sekeluarga segera ke hospital, namun tidak dimaklumkan hal sebenar," katanya.

Manakala saksi kejadian, Lans Koperal Anuar Hisham Saadon, 35, berkata, dia melihat dengan jelas mesin dan barangan tar jalan yang dibawa lori yang dirempuh melantun dan mengenai hadapan lori mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan dua lagi anggota sedang melakukan rondaan secara bermotosikal dari Balai Polis Kota ke Kampung Bongek seperti biasa.

“Dua anggota sudah melepasi persimpangan berkenaan, bagaimanapun saya yang berada di belakang sempat mengelak dari menjadi mangsa rempuhan lori yang meluncur laju ke hadapan selepas dirempuh lori lain,” katanya.

Rakan mangsa, Muhamad Takia Abdul Kadir, 26, berkata, sebelum kejadian arwah ada menghubunginya untuk minum petang bersama namun arwah sudah berada di Rembau manakala dia masih di Senawang.

“Arwah mencadangkan untuk berhenti minum dan menunggu saya di Simpang Ampat. Bagaimanapun, apabila melalui lokasi kejadian, saya berasa tidak sedap hati apabila melihat lori dipandu arwah terlibat dalam kemalangan.

“Ketika saya sampai, arwah yang tersepit di bahagian kaki masih lagi bernyawa kerana dia memberikan reaksi apabila saya memanggil namanya," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu mangsa merempuh sebuah lori lain yang membawa muatan kerja menurap jalan yang sedang berhenti di persimpangan bagi membelok ke kanan jalan.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 10 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian kaki tempat duduk pemandu.

"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian susulan cedera parah di badan dan kaki. Mayat mangsa dibawa ke HT untuk proses bedah siasat.

"Susulan insiden itu lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Yusoff Samad telah dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya.

Murid cedera ditanduk lembu


Murid cedera ditanduk lembu
Mariam Umairah Saharudin
Endau: Seorang murid Tahun Satu menerima 30 jahitan di bawah dagu akibat ditanduk seekor lembu yang tiba-tiba ‘naik minyak’ di hadapan Sekolah Kebangsaan Teriang di sini, petang kelmarin. 

Dalam kejadian jam 1.10 petang itu, Mariam Umairah Saharudin, 7, menerima rawatan itu di Klinik Kesihatan Endau, selepas diserang haiwan berkenaan di hadapan rakan persekolahan dan bapanya yang menunggu menjemputnya pulang.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang keluar dari sekolah, menyeberangi jalan sambil ditemani pengawal keselamatan sebelum secara tiba-tiba dia diserang seekor lembu yang sedang meragut rumput berhampiran pintu pagar.


Hampir kena pijak 

Serangan mengejut itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan hampir dipijak ternakan yang dilepas bebas pemiliknya itu, membuatkan orang ramai tergamam.

Akibatnya, Mariam terus disondol serta ditanduk haiwan terbabit hingga cedera teruk di dagu sebelum bapanya yang turut menyaksikan kejadian itu bergegas menyelamatkan anak bongsunya itu.

Bapanya, Saharudin Ramli, 46, berkata dia turut tergamam ketika melihat anaknya diserang haiwan ternakan tidak berkandang itu tetapi sempat menolak lembu berkenaan daripada terus mengganas.
Beliau berharap pihak berkuasa dan pemilik ternakan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah lembu berkeliaran itu dengan menyediakan kandang supaya kejadian sama tidak berulang.

Diugut selepas bantah pajak tanah

Diugut selepas bantah pajak tanah
Nadarajah (kanan) bersama Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah menunjukkan laporan polis di Balai Polis Serdang. Penjaja terjejas jika swasta bina pasar raya

Serdang: Lebih 30 peniaga di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, di sini, mendakwa diugut selepas membantah tindakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang memajakkan tanah pasar itu kepada sebuah syarikat swasta.

Sehubungan itu, peniaga yang terbabit tampil membuat laporan polis di Balai Polis Serdang, semalam dan meminta tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak berkenaan.
Peniaga, Che Roslan Che Pa, 49, berkata tanah yang pada mulanya berkeluasan kira-kira 21 hektar itu kini hanya tinggal 0.8 hingga dua hektar saja selepas pihak pengurusan memajak kepada syarikat swasta berkenaan.


Dia yang sudah 12 tahun berniaga sayur di situ berkata, lebih malang syarikat swasta terbabit dilaporkan bakal membina sebuah pasar raya di tapak itu dan ia dikhuatiri menutup mata pencarian kira-kira 300 peniaga di situ.

Pernah buat demonstrasi 

“Kami pernah membuat demonstrasi bagi membantah pembinaan pasar raya itu, namun bukan saja tidak diendahkan, malah kami turut diugut untuk tidak dibenarkan berniaga di pasar itu lagi.

“Apabila pasar raya itu siap nanti sudah pasti orang ramai tidak akan datang ke sini (Pasar Borong Selangor) lagi. Ini akan menutup terus pintu rezeki kami,” katanya membuat laporan polis di sini.
Seorang lagi peniaga, P S Nadarajah, 49, mendakwa pihak pengurusan juga turut menyewakan tapak di pasar berkenaan kepada warga asing yang kini hampir 50 peratus daripada keseluruhan peniaga.

“Bukan itu saja, mereka turut memonopoli penjualan ais batu di situ dan tidak membenarkan kami mendapatkan bekalan itu daripada syarikat luar,” katanya.

Sindiket dadah di Johor lumpuh

Sindiket dadah di Johor lumpuh
Mohd Mokhtar (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di Permas Jaya, Johor Bahru, semalam. Johor Bahru: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di negeri ini apabila merampas 57 kilogram serbuk dadah dan menyita aset mewah bernilai RM4.73 juta dalam dua serbuan di Permas Jaya di sini.

Dalam serbuan pada 26 dan 27 Mac lalu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dan seorang wanita tempatan dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang beroperasi sejak sebulan lalu.
Rampas mesin proses pil


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya turut merampas sebuah mesin mencetak pil dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah rumah di Permas Jaya pada jam 6.20 petang dan menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 60 tahun.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui serbuk dadah pelbagai jenis terdiri daripada ecstacy, syabu, ketamin dan kafin selain merampas sebuah mesin mencetak pil. Sebuah kereta Porche Carerra turut disita,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah kondominium juga di Permas Jaya pada jam 1.50 pagi 27 Mac lalu dan menahan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui pil ecstacy seberat 2.48 kilogram dan enam biji pil eramin 5. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dan Peugeot 508 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek warga Indonesia terbabit memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan positif dadah.

Yasin buat ustazah

Foto
PELAJAR bersama ahli keluarga Normah baca surah Yasin di sisi jenazah, semalam.
Kuala Terengganu: Seorang ustazah Sekolah Agama Ribath Sheikh Abdul Malik, Kampung Banggol Chempedak, di sini, yang maut dalam kemalangan jalan raya dihadiahkan bacaan Yasin oleh pelajarnya di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian, semalam.
Pengiktirafan terakhir itu dibuat pelajar terbabit selepas menyedari ustazah berusia 45 tahun dari Kampung Kuala Bekah, di sini, maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran sekolah berkenaan pada kira-kira jam 3 petang.
Lebih memilukan apabila mayat ustazah terbabit yang berada lebih satu jam di tempat kejadian terpaksa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, menggunakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux selepas gagal menggunakan kenderaan polis atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Normah Ahmad yang berkhidmat selama empat tahun di sekolah itu dalam perjalanan dari rumah ke sekolah itu untuk menjemput anak lelakinya Mohd Shukri Rosdi, 17, yang turut belajar di sekolah sama.



Sumber berkata, turut berada dalam kereta berkenaan ketika kejadian dua anak perempuan mangsa, Fatimah Damia, 4, dan Elma Sufiah, 8, yang dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Kecemasan HSNZ.

SMS maut!




Klang: Kiriman SMS mengandungi kata-kata cinta kepada isteri rakan meragut nyawa seorang lelaki apabila dia ditikam di leher oleh rakannya itu di Jalan Klang Sentral, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 9.55 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohammad, 22, ditemui mati di tempat letak kereta berhadapan premis rumah kedai tiga tingkat kawasan berkenaan.


Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang berketurunan Acheh dan bekerja sebagai pembantu sebuah kafe siber di kawasan itu bertengkar dengan suspek sebelum dia ditikam dengan pisau.

Suspek bertindak demikian kerana marah dengan tindakan mangsa menghantar SMS cinta kepada isterinya. Suspek dan mangsa dikatakan saling mengenali.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, mangsa yang berlumuran darah ditemui seorang rakan lain yang kebetulan lalu di tempat kejadian untuk bertemu isterinya.


Menurutnya, saksi itu turut menyaksikan kejadian berkenaan sebelum memaklumkannya kepada anggota polis yang meronda di kawasan berhampiran.

“Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian, namun sebaik tiba mangsa didapati sudah meninggal dunia.


“Pemeriksaan mendapati ada kesan tikaman berukuran lima sentimeter pada leher mangsa dan polis mengesyaki kejadian berpunca daripada dendam dan cemburu,” katanya.

Mohamad Shukor berkata, pemeriksaan lanjut di rumah suspek di Jalan Goh Huat, di sini, mendapati lelaki terbabit sudah melarikan diri bersama isterinya.


Menurutnya, polis menahan saksi berusia 19 tahun bersama isterinya di tempat kejadian, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.


“Hasil maklumat daripada saksi itu, mangsa dikatakan ada menghantar SMS berunsur cinta kepada isteri suspek dan polis turut menjumpai satu sarung pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya. Beliau berkata, polis masih berusaha mengesan identiti penuh mangsa kerana tiada dokumen lengkap ditemui pada lelaki itu selain pasport perjalanan yang sudah tamat tempoh pada 20 Januari lalu.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil bagi membantu siasatan.

Seret mesin ATM

Foto
Subang Jaya: Kurang lima minit. Itu masa diambil tiga lelaki bertopeng untuk menarik keluar mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Putra Heights, di sini, dari tempatnya sebelum mengangkat mesin berkenaan ke dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan dalam kejadian membabitkan kerugian RM229,380 awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 3.44 pagi itu, ketiga-tiga lelaki terbabit mengambil kesempatan keadaan sunyi dan gelap di kawasan itu untuk melakukan rompakan berkenaan.

Seorang pengawal keselamatan yang ditemui dan dikenali sebagai Mokhtar, 59, berkata, ketika kejadian, seorang rakannya berusia 25 tahun bertugas seorang diri dalam premis itu dan tidak menyedari kehadiran semua lelaki terbabit sehingga dia terdengar bunyi seretan sebaik kumpulan itu menarik mesin berkenaan keluar dari tempatnya.
“Rakan saya itu menghubungi polis.

“Sebelum mengangkat mesin itu, mereka menyembur kamera litar tertutup (CCTV) dengan cat hijau.

“Dalam tempoh kurang lima minit, mereka menarik keluar mesin ATM itu menggunakan tali seterusnya mengangkat masuk dalam kereta,” katanya ketika ditemui.

MESIN ATM yang dilarikan penjenayah dalam kejadian, semalam.
Menurutnya, berdasarkan rekod, bank berkenaan pernah cuba dirompak 10 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu kerana berdasarkan semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan dinaiki mereka ia didaftarkan ke atas Toyota Hiace putih.
“Suspek dipercayai menarik keluar mesin ATM itu menggunakan tali sebelum mengangkatnya ke dalam MPV. “Kami juga mendapati nombor plat kenderaan yang dinaiki suspek adalah palsu,” katanya. Beliau berkata, jumlah kerugian adalah RM229,380. “Kami masih menjalankan siasatan dan usaha memburu suspek dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Organ mayat didakwa dicuri



Tebing Tinggi: Seorang warga Indonesia yang menetap di Malaysia selama enam tahun dan meninggal dunia akibat nahas di Johor Bahru mungkin diambil organnya ketika bedah siasat, kata saudaranya.

Pihak berkuasa Malaysia menjalankan bedah siasat terhadap mayat Melpa Suriani Simanjuntak tanpa pengetahuan keluarganya, kata Reni Simanjuntak di Sumatera Utara.


“Kami rasa curiga apabila melihat mayat Melpa mempunyai banyak kesan jahitan di leher, dada, perut sehingga kemaluannya. Organ dalamannya mungkin sudah diambil,” katanya.

Menurut Reni, Melpa yang tinggal di Malaysia dengan suaminya yang juga rakyat negara berkenaan, mati pada 31 Mac lalu di sebuah hospital di Johor Bahru. Dia dikejarkan ke hospital itu selepas cedera parah dalam nahas langgar lari sehari sebelum itu.


Keluarganya curiga apabila mayat Melpa dihantar pulang selepas beberapa hari dan tiba pada 2 April lalu.


Sementara itu, Ketua Polis Tebing Tinggi, Adjutan Komisioner Kanan Andi Rian Djajadi berkata, anggota keluarga itu boleh membuat bantahan kepada kerajaan Malaysia. - Agensi

Lelaki samun guna pistol mainan ditahan



Bangkok: Seorang lelaki yang dituduh menggunakan pistol mainan untuk mengancam seorang wanita muda sebelum menyamun dan menyerangnya secara seksual di Samut Prakan ditahan semalam, kata polis.

Ketua balai polis Muang Samut Prakan, Kolonel Panlop Airomla berkata, wanita berusia 19 tahun itu memberitahu polis, seorang individu tidak dikenali menceroboh masuk ke bilik sewaannya malam Selasa lalu. Mangsa berkata, lelaki itu mengacukan pistol ke arahnya, mengancam dan meminta wang daripadanya. Wanita itu memberikan 8,000 baht (RM839) kepada penceroboh itu, tetapi dia kemudian memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya. Penceroboh melarikan diri selepas kejadian itu.


Mangsa memberitahu polis, penceroboh mempunyai tatu syaitan di dada kanannya. Panlop berkata, polis mendapati bahawa suspek dikenali sebagai Kamolpob U-wichien, 24, tinggal kira-kira dua kilometer dari bilik sewaan mangsa. - Bangkok Post

Pelajar tunggu bas dicabul tiga lelaki



Kajang: Malang bagi seorang penuntut sebuah universiti apabila menjadi mangsa cabul tiga lelaki tidak dikenali ketika menunggu bas untuk bertemu rakannya, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun berada di sebuah pondok menunggu bas di depan universitinya dan dalam perjalanan ke pekan Kajang.


Sumber berkata, ketika itu, sebuah kereta yang tidak dikenali berhenti di depannya dan tiga lelaki yang berada dalam keadaan mabuk menegur serta mempelawa mangsa menaiki kenderaan mereka.

“Mangsa tidak mengendahkan pelawaan berkenaan sebelum dua daripada lelaki itu turun dan menarik mangsa masuk ke dalam kereta.


“Mereka mencabul mangsa menyebabkan mangsa menjerit serta cuba melepaskan diri,” katanya.


Katanya, beberapa minit kemudian, sebuah kenderaan yang melalui kawasan berkenaan menghampiri kenderaan lelaki terbabit.

“Tindakan pemilik kereta itu cuba menyelamatkan mangsa dan menyebabkan lelaki terbabit terperanjat serta panik. Mereka menolak mangsa ke luar dari kereta sebelum memecut kenderaan berkenaan,” katanya.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tak sedar kereta sendiri tenggelam



Ipoh: “Saya cuba menolong beberapa mangsa yang terperangkap dalam kenderaan tanpa menyedari kereta sendiri turut ditenggelami banjir sedalam 0.4 meter,” kata Asari Zabidin, 43, yang menjadi mangsa banjir di Kampung Manjoi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Asari yang memandu kereta Honda Accord, kerugian lebih RM1,000 kerana keretanya ditenggelami air bersama empat kereta lain.


Menurutnya, dia yang baru pulang dari kerja terserempak beberapa pemilik kenderaan yang panik selepas kereta masing-masing ditenggelami banjir ketika melalui jalan di kawasan itu.

“Kebanyakan mangsa yang melalui kawasan banjir sejauh hampir 100 meter itu tidak menyangka hujan lebat yang berlaku lebih sejam boleh menyebabkan kawasan itu ditenggelami banjir kilat.


“Saya cuba membantu mangsa, namun kereta saya turut ditenggelami air,” katanya.


Asari berkata, laluan itu sudah lama sering mengalami masalah banjir menyebabkan banyak kenderaan terperangkap.

Seorang lagi mangsa, Razlan Ismail, 57, berkata, enjin kerana Proton Wira dipandunya dimasuki air menyebabkan kenderaannya tersadai.


“Saya mendapatkan perkhidmatan trak tunda bagi menarik keluar kereta dan dihantar ke bengkel.

Menurutnya, banjir yang kerap berlaku itu dipercayai akibat sistem perparitan tidak diselenggara kontraktor menyebabkan ia tersekat.


Banjir turut menyebabkan beberapa kedai dan rumah penduduk di perkampungan itu ditenggelami air selama dua jam.

100 pelatih bomba keracunan makanan




SEBAHAGIAN daripada pelatih bomba yang mengalami keracunan makanan di HKKB, Kuala Kubu Bharu semalam.


KUALA KUBU BHARU – Kira-kira 100 pelatih berpangkat Penolong Penguasa Bomba di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini dikejarkan ke hospital selepas mengalami keracunan makanan.
Komandannya, Haron Tahir berkata, kebanyakan pelatih terbabit mengadu sakit perut selepas makan malam di kantin akademi itu malam kelmarin.
“Ada pelatih mula mengalami sakit perut selepas makan malam manakala sebahagiannya pula pagi ini (semalam).
“Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya ketika ditemui Kosmo! di HKKB di sini semalam.
Menurut Haron, ekoran kejadian itu, beberapa kakitangan Kementerian Kesihatan telah datang ke akademi itu untuk membuat pemeriksaan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2PXVZsuyH 
Hakcipta terpelihara