Search This Blog

Thursday, April 4, 2013

Sindiket dadah tumpas: Banglo, kereta mewah disita



JOHOR BAHRU 4 April - Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dan merampas 57 kilogram serbuk dadah pelbagai jenis, menyita sebuah banglo serta tiga kereta mewah bernilai RM4.73 juta dalam dua serbuan berasingan di Permas Jaya di sini pada 26 dan 27 Mac lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan pertama pukul 6.20 petang, polis menyerbu sebuah rumah di Permas Jaya dan menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 60 tahun.
"Hasil serbuan itu polis merampas sebuah mesin mencetak pil termasuk pelbagai peralatan dipercayai untuk kegunaan memproses dadah selain turut menemui pelbagai serbuk dipercayai dadah jenis ecstacy, syabu, ketamin dan kafein seberat 54.8 kilogram. Turut disita sebuah kereta Porsche.
"Hasil siasatan mendapati, suspek memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan positif dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130404/je_06/Sindiket-dadah-tumpas-Banglo-kereta-mewah-disita#ixzz2PViEkzZG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga penjenayah bertopeng larikan mesin ATM


KUALA LUMPUR 4 April - Sekumpulan penjenayah bertindak memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari sebuah bank di Jalan Putra Mahkota 7/7A, Putra Heights, Puchong dekat sini sebelum melarikannya awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian yang berlaku pukul 3.30 pagi itu tidak disedari oleh pengawal keselamatan yang dipercayai tertidur.
"Kumpulan suspek yang dipercayai terdiri daripada tiga orang bertopeng itu bertindak menarik mesin ATM itu menggunakan tali dan mengangkatnya masuk ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bernombor pendaftaran palsu," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130404/je_05/Tiga-penjenayah-bertopeng-larikan-mesin-ATM#ixzz2PVhc8Big
© Utusan Melayu (M) Bhd 

25 maut akibat banjir, angin kencang


BUENOS AIRES 3 April - Hujan lebat serta angin kencang yang melanda Buenos Aires dan beberapa kawasan pinggir bandar semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang maut, manakala 350,000 penduduk terjejas akibat terputus bekalan elektrik.
Menurut agensi cuaca tempatan, lebih 155 milimeter padu hujan direkodkan di antara malam kelmarin hingga pagi semalam.
Seorang daripada mangsa yang terkorban merupakan pekerja kereta api bawah tanah yang terkena renjatan elektrik ketika cuba mengepam air yang bertakung di stesen tersebut.
Mangsa-mangsa korban lain termasuklah tiga lelaki dan dua wanita yang maut akibat banjir, manakala jaringan infrastruktur pula rosak disebabkan oleh taufan.
Polis persekutuan melaporkan dua lagi kematian dicatatkan akibat bencana alam itu.
Datuk Bandar Buenos Aires, Mauricio Macri berkata, kira-kira 350,000 penduduk terjejas, terutamanya di bahagian utara bandar ini yang dilanda banjir kilat.
"Kira-kira 300 penduduk di kawasan setinggan terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130404/lu_07/25-maut-akibat-banjir-angin-kencang#ixzz2PVf4T1al
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 beradik disimbah asid




4 April 2013
NEW DELHI - Empat beradik mengalami cedera teruk selepas dua lelaki bermotosikal bertindak menyimbah asid ke arah mereka di utara India.

Pegawai polis kanan, Abdul Hameed berkata, tiga daripada mangsa merupakan guru sekolah dan seorang pelajar di daerah Shamli, Uttar Pradesh.

“Mangsa berumur 19 tahun mengalami kecederaan parah selepas terkena asid pada keseluruhan badannya dan terpaksa dikejarkan ke hospital di New Delhi,” katanya dipetik dari AP.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia antara 19 dan 24 sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah dari sekolah. 

“Dua lelaki itu bertindak demikian selepas kesemua mangsa dikatakan tidak melayan lelaki berkenaan. Pembonceng motosikal itu juga didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur lucah terhadap mangsa,” katanya.

Lelaki warga Pakistan didakwa miliki wang palsu




4 April 2013
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki wang palsu, bulan lepas.

Nasir Mahmood Jan Muhammad, 42, didakwa memiliki 3,100 keping wang kertas palsu Rupees India 1,000 dan 180 keping wang  kertas palsu Rupees India 500 untuk digunakan sebagai tulen di sebuah hotel di Jalan Pahang di sini pada 3.15 petang 14 Mac lepas.

Dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu didakwa mengikut Seksyen 489c Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman  penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tertuduh adalah warga asing dan menetapkan 3  Mei untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri. - Bernama

6 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah musnah




4 April 2013
DUNGUN - Seorang peniaga dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Taman Impian Paka di sini hangus terbakar tengah hari tadi.
  
Saifulizam Abdullah, 48, berkata ketika itu dia sedang berniaga di pasar apabila dimaklumkan tentang kebakaran oleh jirannya.
 
Anggota keluarganya yang lain juga tiada di rumah.
  
Dia berkata setelah dimaklumkan, dia segera pulang dan mendapati api telah marak dan gagal menyelamatkan harta bendanya termasuk buku dan pakaian sekolah empat orang anaknya.
 
Namun keretanya berjaya diselamatkan jiran-jiran.
  
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Zailani Husin berkata api dipercayai marak dari ruang dapur rumah teres itu. - Bernama

Padah curi kabel bernilai RM10,000



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Padah curi kabel bernilai RM10,000
Kabel TM yang dicuri suspek sebelum ditanggalkan kulitnya dan dilupuskan di premis pelupusan di Jalan Kebun.
SHAH ALAM – Tiga suspek termasuk dua warga India ditahan kerana disyaki terlibat mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) bernilai RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan selepas polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan sebagai pusat pelupusan kabel terbabit di Jalan Kebun, kelmarin.

Beliau berkata, dalam serbuan jam 6.05 petang itu, pihaknya menemui kabel milik TNB seberat 80 kilogram (kg) dan kabel milik TM seberat 10kg.

“Kesemua kabel itu dicuri oleh suspek sebelum mereka melupuskannya di premis tersebut.

“Kita akan siasat sejauh mana mereka beroperasi, memandangkan polis banyak menerima aduan berhubung kehilangan kabel dua syarikat terbabit sejak tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Mohd Adnan berkata, dua lelaki warga India ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen, manakala seorang lagi suspek tempatan direman empat hari untuk siasatan kerana mencuri.

“Dua suspek warga India itu bukan sahaja terlibat mencuri kabel, malah mereka juga tidak mempunyai dokumen sah berada di negara ini,” katanya.

Mayat bayi tanpa kepala ditemui terapung




4 April 2013
SANDAKAN - Mayat seorang bayi perempuan tanpa kepala ditemui terapung di perairan Pulau Nunuyan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata mayat bayi malang yang dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan itu ditemui penduduk kampung pada kira-kira 6 petang.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan, untuk dibedah siasat.

Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, katanya ketika dihubungi di sini. 

Beliau berkata individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

10 kibas kena sembelih



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
10 kibas kena sembelih
Husaini menunjukkan sebahagian kibas yang masih tinggal.
SUNGAI PETANI – “Saya halalkan sesiapa terbeli dan termakan kibas dicuri empat lelaki tanpa disedari di Pulau Song Song dalam kejadian kira-kira 7 malam kelmarin."

Demikian luahan  penyelidik, Datuk Dr Husaini Yaacob  juga seorang usahawan yang rugi RM20,000 apabila 10 ekor kibas disembelih dan dilarikan dalam kejadian itu.

Husaini yang sedang melakukan penyelidikan berhubung haiwan jenis kibas  diimport dari Arab Saudi itu menempatkan kira-kira 20 ekor haiwan itu di kawasan ternakan di Pulau Song Song.

Menurutnya,  ternakan itu bukan untuk dijual sebaliknya bagi tujuan pembenihan selain menjadi lokasi pelancongan untuk mana-mana penyelidik melakukan lawatan mahupun mendapatkan maklumat  haiwan berkenaan.

“Tempat ini memang jadi lokasi persinggahan nelayan dari tiupan angin kencang atau dikunjungi mahasiswa, pelancong dan pengkaji dalam dan luar negara,” katanya.

Menceritakan kejadian, Husaini berkata, dalam insiden  terbabit, empat lelaki 'berlagak'  penjaga kibas datang ke lokasi ternakan itu menggunakan  pukat dan jala bagi memerangkap haiwan itu.

“Ketika itu beberapa saksi ternampak dan menyangka, empat lelaki tersebut adalah pemilik haiwan lalu tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, kesemua lelaki tersebut menangkap sebelum menyembelih haiwan tersebut dan ditarik ke dalam bot untuk dilarikan.

Katanya, pengangkutan  bot adalah satu-satunya kenderaan untuk keluar dari Pulau Song Song dan tujuan kibas disembelih dahulu adalah untuk memudahkan pemindahan ke atas bot.

“Menurut saksi, insiden hanya disedari bila petugas kembali ke kawasan itu setengah jam kemudian mendapati 10 kibas hilang.

“Di lokasi sama juga ditemui kesan darah dipercayai akibat disembelih sebelum dibawa pulang menaiki bot bantuan kerajaan yang telah dikenal pasti nombor sirinya,” katanya.

Bagi menjejaki kejadian itu, beliau bersama beberapa petugas meninjau di Jeti Pendaratan Sungai Limau, Yan dan mendapati bot sama yang digunakan semasa insiden kecurian turut ditemui.

“Apabila ditanya mereka kata tidak terlibat,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak pasti 10 kibas tersebut dijual mahupun dimasak kerana jumlah itu sebenarnya boleh dibuat jamuan kepada kira-kira 1,500 tetamu.

“Saya tetap halalkan sesiapa yang termakan tetapi bagi pencuri yang melakukannya, dia harus bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Beliau kini bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka  didapati terlibat kejadian berkenaan supaya kes itu tidak berulang.

“Walaupun ini salah satu cabaran yang terpaksa saya tempuhi, saya tidak pernah putus asa malah lebih bersemangat untuk meneruskan kajian saya berhubung haiwan ini,” katanya.

Kedai runcit dipecah masuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Kedai runcit dipecah masuk
Melihat cermin tingkap ditanggalkan pencuri.
Kedai runcit dipecah masuk
Suria menyusun mi segeranya yang berkurangan setelah dikebas pencuri.
DALAM WANG - “Selain mi segera dan susu tin, bungkusan straw pun turut dikebas mereka,” kata seorang pemilik kedai runcit yang kecewa apabila premisnya dipecah masuk, semalam.

Suria Mad Zanu, 45, berkata, kejadian itu berlaku dua hari berturut-turut dipercayai dilakukan pada lewat malam selepas dia menutup kedai runcitnya itu.

Dia yang menetap di Kampung Dalam Wang berkata, walaupun hanya melibatkan kecurian kecil ia memberikan kesan kepada perniagaannya.

Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja membimbangkan dirinya, malah peniaga lain yang berada di kawasan kampung tersebut.

“Bukan saya sahaja yang terlibat, tetapi beberapa peniaga lain turut berhadapan masalah yang sama. Ramai yang tidak membuat laporan polis kerana hanya melibatkan kecurian kecil.

“Namun begitu, perkara ini perlu didedahkan bagi memastikan pihak bertanggungjawab terutama peniaga sendiri supaya lebih berhati-hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Suria berkata, mereka yang terlibat menceroboh masuk melalui cermin tingkap yang dipecah mereka.

“Walaupun ada banyak barangan makanan, mereka hanya mengambil dalam jumlah yang kecil. Seolah-olah hanya untuk makan malam mereka sahaja.

“Keesokannya, mereka ceroboh dan mencuri lagi,” katanya.

Ibu kepada enam orang anak ini tidak menafikan ramai yang terlibat dalam penagihan dadah di kawasan kampung itu.

“Justeru, memang tidak mustahil kejadian ini dilakukan oleh golongan itu.

"Walaupun polis pernah membuat tangkapan, mereka ini tidak insaf, malah masih melakukan gejala tidak bermoral itu.

“Tambahan pula, bungkusan straw pun turut dikebas mereka. Saya yakin, straw itu digunakan untuk perkara lain,” katanya.

Katanya, dia berharap, penduduk kampung lebih berhati-hati termasuk menambah baik sistem keselamatan gerai bagi mengelak kejadian sama berulang.

Anak berstatus bukan warganegara



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Anak berstatus bukan warganegara
Khairul Nizam (tengah) menunjukkan sijil kelahiran anaknya yang berstatus bukan warganegara.
BALING - Seorang bapa runsing apabila anak sulungnya berusia enam tahun tidak diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Khairul Nizam, 27, dari Kampung Rambong berkata, anak sulungnya itu, Mohd Haikal Hakimi Abdullah, 7, masih gagal mendapat status warganegara sejak dilahirkan.

Menurutnya, sijil kelahiran anaknya itu masih berstatus bukan warganegara seterusnya memberikan kesan kepada anaknya itu untuk memperolehi Mykid.

“Saya telah berusaha ke Pejabat Pendaftaran daerah termasuk ibu pejabat negeri. Tetapi, masih belum mendapat respons yang positif,” katanya.

Khairul Nizam berkata, anaknya itu dilahirkan di Hospital Sungai Petani dan mengikut prosedur yang ditetapkan, namun, anaknya tetap dibinkan kepada Abdullah berbanding namanya.

“Disebabkan itu, saya keliru malah bimbangkan masa hadapan anak saya ini,” katanya semasa ditemui di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Rakyat Baling (Perkeba).

Katanya, dia dan pasangannya dari Indonesia berkahwin di Thailand sebelum mendaftar di negara ini.

“Untuk membolehkan pengesahan perkahwinan, saya diarahkan untuk berkahwin semula di Indonesia kerana dimaklumkan sebagai salah satu prosedurnya.

“Saya ikut arahan, dan berkahwin semula di Indonesia. Namun, apabila anak saya dilahirkan, dia gagal mendapat taraf warganegara,” katanya.

Keadaan itu memberikan kesan kepada pembelajaran anaknya yang bakal memasuki alam persekolahan tahun hadapan.

“Sebenarnya, anak saya tidak dapat memasuki kelas tadika. Tetapi, hasil budi bicara, guru membenarkan dia belajar di situ. Justeru, saya risau, keadaan ini turut akan memberikan kesan kepada persekolahannya kelak,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyalahkan sesiapa, tetapi berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalahnya.

“Telah bertahun, saya ke pejabat itu, ke pejabat ini.

"Namun, tiada perubahan. Saya keliru dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkeba, Siti Aishah Abdul Rahman berkata, pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan masalah itu.

“Kita akan siasat masalah ini bagi membolehkan Mohd Haikal memperolehi sijil warganegaranya. Kita tidak  mahu kanak-kanak ini tercicir dari menerima pendidikan hanya disebabkan tidak diiktiraf sebagai warganegara” katanya.

Lepasan SPM maut, adik parah motosikal dirempuh lori




4 April 2013
ALOR SETAR - Seorang remaja perempuan maut manakala adik lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori mengangkut tanah di Kampung Syed Ahmad, Pendang, hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Nor Hasnita Abu Hassan, 18, dari Risda Bukit Perak, Pendang, maut di tempat kejadian, manakala adiknya Mohd Afiq Izani, 13, cedera di kepala dan patah paha kanan.

Menurut ibu mereka, Rosni Zainul, 52, kejadian berlaku ketika Nor Hasnita dalam perjalanan menghantar adiknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Triang yang terletak tiga kilometer dari rumah mereka.

"Dia (Nor Hasnita) selepas habis SPM setiap hari keluar dari rumah pukul 6.40 pagi hantar adik ke sekolah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Nor Hasnita, anak kedua daripada tiga beradik itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika mengelak sebatang pokok yang tumbang sebelum dirempuh lori terbabit.

Menurut Rosni, anaknya itu baharu sahaja menerima tawaran menyambung pengajian daripada sebuah universiti dan dijadual mendaftar pada Jun ini.

"Dia bercita-cita nak masuk universiti seperti kakaknya Nor Haniza, 22, dan mahu belajar dalam bidang Pelancongan dan mahu ke luar negara. Itu yang dia selalu idamkan sebelum ini," katanya.

Mayat mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad petang ini. - Bernama

Angin kencang landa kampung



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Angin kencang landa kampung
Perbezaan parti tidak menghalang Hasan dan Kintan turun padang bersama memberi bantuan kepada penduduk yang terlibat bencana ribut di Kampung Seri Mendapat.
Angin kencang landa kampung
Kintan (kanan) melihat bumbung rumah Zainab yang rosak akibat ribut di Kampung Seri Mendapat.
Angin kencang landa kampung
Samnah yang terlantar sakit tua menerima kunjungan rombongan ahli Pas.
JASIN - Seorang warga emas yang terlantar kerana sakit tua, nyaris maut dihempap kepingan genting bumbung rumah yang runtuh akibat ribut  yang melanda Kampung Seri Mendapat di sini, lewat petang,  kelmarin.

Anak mangsa, Zainab Abd Hamid, 42, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 6 petang itu, dia sedang menjaga ibunya, Samnah Impang, 80, di dalam sebuah bilik.

Jelasnya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi kepingan bumbung bilik yang terjatuh ke lantai menyebabkan mereka menyelamatkan diri ke tempat selamat.

Zainab berkata, dia hanya mampu melaungkan ALLAHU AKHBAR beberapa kali memandangkan hujan mencurah masuk ke dalam rumah selain keadaan ibunya yang sakit dan terpaksa didukung.

Tambahnya, insiden ribut kali kedua bagi tahun ini itu agak teruk berbanding sebelumnya, namun dia bersyukur walaupun mengalami kerosakan pada bumbung kediaman, namun mereka sekeluarga tidak cedera.

“Ketika kejadian, saya bersama tiga anak dan seorang cucu berada dalam rumah. Manakala dua lagi anak yang lain bersekolah agama.

“Mujur serpihan bumbung tersebut tidak menimpa ibu saya yang sedang baring atas tilam. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu apa nasib kami kerana kejadian berlaku pantas.

“Malah, kami turut sedih kerana kejadian itu menyebabkan beberapa harta benda dan perkakas elektrik rosak terkena air hujan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terharu dengan keprihatinan  pelbagai pihak

Suami Zainab, Muhammad Jelani, 41, berkata, mereka sekeluarga terharu dan berterima kasih dengan keprihatinan pelbagai pihak termasuk dari Pas yang turun padang melawat keadaan dan menyampaikan sumbangan.

Menurutnya, sekurang-kurangnya bantuan yang diterima dapat meringankan beban dan membantu mereka yang dilanda musibah.

Bagi seorang lagi mangsa, Sapiah Atan, 62, berkata, dia turut bersyukur kerana hanya mengalami kerosakan bumbung di luar rumah akibat bencana alam itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia hanya mampu berdoa dan berusaha menyelamatkan diri bersama anak-anaknya di bahagian belakang rumah.

“Hujan memang terlalu lebat dan tak dapat nak digambarkan, namun kami bersyukur kerana semua selamat,” katanya.

Pas hulur sumbangan

Sementara itu, Penyelia Dun Sungai Rambai, Kintan Man berkata, pihaknya terus mengadakan program turun padang selepas menerima berita musibah yang menimpa beberapa penduduk di kampung terbabit.

Menurutnya, kehadiran mereka ke kawasan itu lambang keprihatinan di mana program seperti ini tidak hanya dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) sebaliknya sentiasa bersiap sedia mendekati masyarakat terutama mereka yang dilanda musibah.

“Dalam pertemuan itu, kita dapat bertanya khabar dan mengetahui maklumat lanjut perkara sebenar yang berlaku.

“Malah, ia bukan sekadar ziarah tetapi kita juga turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa,” katanya.

BN urus baik pulih rumah

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, Barisan Nasional (BN) simpati dengan kejadian yang menimpa penduduk dan telah mengambil langkah drastik melakukan kerja baik pulih di setiap rumah yang terlibat bermula hari ini (semalam).

Menurutnya, tindakan pantas ini selari dengan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'  dan pertolongan seperti ini tidak bermusim namun sejak dulu BN sentiasa membantu dan mementingkan kebajikan rakyat.

“Apa yang berlaku tidak kita duga, dan saya berharap mereka yang terlibat dapat bersabar dengan ujian ALLAH SWT.

“Kita juga akan segera melakukan kerja baik pulih memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan bimbang kejadian akan bertambah buruk,” katanya.

Pencuci disangka air mineral



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Pencuci disangka air mineral
Shalini dirawat di Hospital Melaka sehingga disahkan stabil.
ALOR GAJAH - Akibat terlalu mengantuk seorang remaja perempuan nyaris maut selepas terminum cecair pencuci lantai yang diletak di dalam sebuah botol air mineral, di sebuah taman di Simpang Ampat, di sini awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, K Shalini, 16, terjaga dari tidur sebelum ke dapur dan mencapai botol tidak berlabel mengandungi cecair jernih yang diletak di rak dapur rumah.

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Naning, di sini, bagaimanapun tersedar apabila tekaknya berasa panas sebelum memuntahkan semula cecair berkenaan.

Sumber berkata, mangsa kemudian berasa loya beberapa minit dan terasa bahang pada mulut serta tekak.

“Kejadian disedari adik bongsu mangsa, Surendran, 13, selepas terdengar namanya dipanggil oleh mangsa dengan tersekat-sekat kira-kira jam 4 pagi dan terkejut melihat keadaan mangsa,” katanya.

Ibu mangsa, A Thanaletchumi, 42, berkata, dia terjaga sebaik sahaja anak bongsunya mengejutnya dalam keadaan cemas memaklumkan kejadian yang berlaku ke atas anak ketiganya itu.

“Apabila saya ke dapur saya dapati anak tidak henti muntah dan tubuhnya semakin lemah sebelum terpandangkan penutup botol berisi cecair pencuci lantai sudah terbuka dan berkurangan,” katanya.

Thanaletchumi berkata, dalam keadaan panik melihat bibir anaknya mula membengkak dia segera memberikan air mineral kepada anaknya dan mengejutkan suami, P.Kannaiha, 55, yang sedang tidur.

“Saya lihat bibir anak mula bengkak dan mukanya sembam. Saya dan suami  menghantarnya ke Hospital Alor Gajah.

“Melihat keadaan anak yang kritikal, pihak hospital merujuk anak ke Hospital Melaka dan kini  dilaporkan stabil” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah, di sini oleh keluarganya.

“Mangsa yang kritikal ketika itu diberikan rawatan kecemasan di HAG sebelum di rujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan pemulihan selanjutnya.

“Selepas beberapa jam diberikan rawatan pemulihan, mangsa yang dalam keadaan lemah mulai sedar dan dilaporkan stabil,” katanya.

Tercampak sebelum digilis



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Tercampak sebelum digilis
Motosikal yang ditunggangi mangsa ketika kejadian di KM 5 jalan Bahau - Kemayan.
JEMPOL- Seorang pemuda maut apabila bahagian tempurung kepalanya pecah setelah terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan lain di Kilometer 5 Jalan Bahau–Kemayan, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa Norazhar Mohammad Nor 28, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Raja Alias Empat.

“Dalam kejadian sekitar jam 11.10 malam itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC secara sendirian datang dari arah Bahau dipercayai cuba memotong sebuah lori treler di hadapannya.

“Namun ketika cuba memotong, motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan treler berkenaan lalu menyebabkan mangsa terjatuh di atas bahu jalan.

“Manakala motosikalnya pula terseret ke tengah laluan bertentangan dan menyebabkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dari laluan bertentangan gagal mengawal kenderaannya dan merempuh motosikal tersebut,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, mangsa yang berada di laluan tengah pula dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri lalu dirempuh oleh sebuah kenderaan lain dari arah Bahau iaitu laluan asal mangsa.

“Mangsa juga dipercayai di gilis kerana hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan kanannya patah.

“Selepas digilis mangsa tercampak ke bahu jalan bertentangan dan maut di tempat kejadian.  Bagaimanapun, kenderaan yang menggilis mangsa tidak berhenti.

“Polis masih belum menerima sebarang laporan polis dari pemandu kenderaan tersebut. Manakala pemandu Perodua Myvi adalah seorang lelaki berusia 30an telah membuat laporan polis,” katanya.

Hamzah berkata, mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarganya, tengah hari semalam.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222 untuk membantu siasatan," katanya.

Jiran bantu selamat rumah daripada hangus



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Jiran bantu selamat rumah daripada hangus
Sudirman (lima, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Sabitah, semalam.
BANTING - Tindakan pantas jiran membantu memadam kebakaran dengan menggunakan air parit berjaya mengawal api daripada memusnahkan kediaman ibu tunggal, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang di Jalan Parit 9  Kampung Kelanang itu, kebakaran itu berjaya dipadamkan  bomba yang tiba di lokasi sejurus menerima panggilan orang awam.

Mangsa, Sabitah Mohd Jamin berkata, dia panik apabila melihat api marak pada bahagian dapur, namun sempat meminta pertolongan daripada jiran.

Katanya, jiran menggunakan baldi untuk mengangkut air dari parit berhampiran untuk membantu memadamkan api daripada terus merebak.

"Alhamdulillah api berjaya dipadamkan  dengan bantuan jiran dan anggota bomba. Saya bersyukur kerana selamat walaupun mengalami kerugian. Jumlah kerugian masih disiasat," katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu Bendahari Jawatankuasa Sukarelawan Kebajikan Kuala Langat, Sudirman Ismon menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung Sabitah akibat kejadian itu.

"Bantuan segera ini disampaikan merupakan tanda simpati atas kejadian yang menimpa keluarga Sabitah dan berharap mampu meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Kebajikan Kuala Langat, Hafez Shuriddin dan Ketua Kampung Kelanang, Rahmat Atan.

'Mana ayah, kami lapar...'



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
'Mana ayah, kami lapar...'
Keadaan rumah usang yang didiami keluarga Nazula.
KUALA KURAU - Akibat ditinggalkan ayah, tiga anak yang masih kecil dan bersekolah terpaksa mengikat perut dan menahan lapar menanti sesuap nasi yang diberikan ibu mereka saban hari.

Lebih memilukan, kesempitan hidup yang terpaksa ditanggung ibu mereka, Nazula Osman, 34, memaksa anak sulung, Mohd Farid Ahmad Syukri, 10, dan adiknya, Noralia Faridah, 7, mengutip botol dan tin kosong demi membantu meringankan beban kewangan ibu mereka.

Nazula berkata, sekitar bulan April tahun lalu, suaminya mula meninggalkan mereka tanpa sebarang berita sehinggalah dia diberitahu suaminya sudah berkahwin dengan seorang perempuan dan memaklumkan mereka kini menetap di Ipoh pada bulan Ogos tahun lalu.

“Berita itu amat menyentap semangat saya sebagai seorang isteri yang setia menanti kepulangannya selama ini dan kecewa pengorbanan saya tidak dihargai suami.

“Sejak itu, saya terpaksa bekerja di sebuah kilang memproses telur masin dengan bayaran RM3 sejam dan hanya mampu mengambil masa lima hingga enam jam sehari untuk bekerja memandangkan saya bimbang memikirkan soal makan minum dan keselamatan anak-anak.

“Saya terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dengan melakukan pelbagai kerja, namun keadaan masih lagi sukar memandangkan suami langsung tidak pernah memberikan nafkah kepada anak-anak,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Parit Haji Yusof, Simpang Tiga di sini.

Nazula berkata, anak-anaknya terpaksa ditinggalkan di rumah dan dia bergantung kepada simpati jiran-jiran untuk menjenguk keadaan mereka sekiranya keluar bekerja.

“Di sebalik rasa teramat kecewa dengan sikap suami, saya masih tekad untuk memastikan anak-anak saya diberi makan minum secukupnya demi masa hadapan mereka,” katanya.

Sementara itu, anak kedua Nazula, Noralia Faridah berkata, setiap kali pulang sekolah, dia dan abangnya akan mencari tin dan botol kosong untuk dikumpulkan dan dijual di sekeliling kampung, hasilnya akan diberikan kepada ibu untuk meringankan beban menyara keluarga.

Menurutnya, dia tidak kisah dengan caci maki dan tohmahan dilemparkan orang ramai terhadap perbuatannya mengutip botol dan tin kosong, sebaliknya apa yang dilakukan semata-mata untuk membantu ibunya.

“Sejak ditinggalkan ayah, kehidupan kami amat susah dan keadaan memaksa kami untuk hidup berdikari.

“Kalau ayah baca (kisah ini), saya minta ayah pulang sebab kami sekeluarga amat perlukan ayah, terutama abang yang sering sakit dan pelajaran terabai sebab ingatkan ayah,” katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang hadir menziarahi keluarga Nazula prihatin dengan masalah mereka dan menyalurkan sumbangan wang ringgit bagi meringankan penderitaan keluarga itu.

“PKR cabang Parit Buntar turut menyumbangkan sebuah basikal untuk kegunaan Mohd Farid dan Noralia ke sekolah dan saya berharap ia dapat meningkatkan motivasi mereka untuk berjaya dalam pelajaran kelak,” katanya.

Bakal mempelai dicekup khalwat



MOHD FIRDAUS YON
4 April 2013
Bakal mempelai dicekup khalwat
Antara pasangan yang dicekup Jaij dalam operasi yang dijalankan.
JOHOR BAHRU - Seorang pemuda memberi pelbagai alasan kerana bimbang dirinya diambil tindakan selepas ditangkap khalwat bersama teman wanita di sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan pertama sekitar jam 12.45 pagi, lelaki terbabit bersama teman wanita masing-masing berusia 21 tahun itu mengakui sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

Bagaimanapun, mereka ditahan ketika sedang berdua-duaan dalam bilik hotel terbabit.

Lelaki terbabit ditemui tidak berbaju dan sekadar memakai seluar panjang, manakala pasangannya hanya berbaju dalam serta menutup tubuh menggunakan tuala.

Bimbang dikenakan tindakan lanjut, pemuda terbabit memohon maaf serta merayu kepada anggota dan pegawai penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) supaya tidak menahannya.

“Saya hanya teman dia (teman wanita) mandi sahaja. Kami tidak buat apa-apa dan cuma mahu tidur. Tolonglah jangan ambil tindakan ke atas saya.

“Saya minta maaf dan bersedia membayar denda sekarang. Saya tidak mahu ditahan kerana ibu bapa saya sekarang sedang sakit, tolonglah encik,” katanya.

Sementara itu, di lokasi sama, sepasang kekasih tergamam apabila bilik hotel yang disewanya diketuk anggota dan pegawai penguatkuasaan Jaij dalam serbuan kedua sekitar jam 1.05 pagi.

Oleh kerana bimbang untuk membuka pintu, lelaki berusia 26 tahun bertindak meninjau kehadiran anggota ops menerusi tingkap bilik air hotel terbabit.

Dia bersama teman wanitanya berusia 23 tahun yang ditemui berpakaian lengkap hanya membenarkan anggota dan pegawai penguatkuasaan Jaij masuk ke dalam bilik selepas 10 minit menunggu.

Kadi Daerah Johor Bahru, Ahmad Hanif Naim berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Jaij, Khairudin Mat Ali memeriksa hotel berkenaan.

Pasangan kekasih ditahan lagi



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Pasangan kekasih ditahan lagi
Mohamad Nasir memeriksa kereta yang ditemui selepas menahan sepasang kekasih di sebuah rumah di Sungai Abong, Ahad lalu.
MUAR – Sepasang kekasih yang memiliki lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah ditahan lagi selepas didapati menyimpan pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah perumahan di Jalan Bakri, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, serbuan jam 6 petang itu menjumpai heroin seberat 15.82 gram (gm) dan 40 biji pil eramin 5 yang disembunyikan di rumah tersebut.

Menurutnya, dadah bernilai RM1,800 dipercayai boleh menampung keperluan kepada 500 penagih di daerah ini.

“Wanita berusia 33 tahun itu memiliki tiga rekod lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bersangkutan laporan Balai Polis Muar pada 2004, Seksyen 29B akta sama juga laporan di Balai Polis Muar 2005.

“Dia juga mempunyai rekod di bawah Seksyen 39B akta sama yang bersangkutan laporan Balai Polis Bakri pada 2013,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Mohamad Nasir berkata, manakala teman lelakinya yang berusia 31 tahun itu memiliki rekod di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2011 dan Seksyen 39 a (1) akta sama bersangkutan laporan Balai Polis Muar pada tahun lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya turut menjumpai sebuah kereta Suzuki Swift di rumah berkenaan yang dilaporkan hilang di Melaka pada 2012.

“Kita tidak menolak kereta itu turut digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti menjual dadah kepada pelanggannya.

“Nilai rampasan termasuk kereta tersebut dianggarkan berjumlah RM90,000 dan kereta itu akan diserahkan ke Balai Polis Bukit Baru, Melaka,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, melalui ujian air kencing, pasangan kekasih itu didapati positif dadah jenis syabu.

“Penagih tegar itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai pekerjaan utamanya sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Katanya, mereka ditahan reman sehingga 5 April ini untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 1(a) dan Seksyen 39 a akta sama.

Rampas ubat tidak berdaftar



ROSALWANI CHE SOH
4 April 2013
Rampas ubat tidak berdaftar
Penguat kuasa Farmasi dan MPKB-BRI memeriksa ubat-ubatan dan kosmetik yang tidak berdaftar dijual penjaja di gerai-gerai sekitar Pasar Siti Khadijah semalam.
KOTA BHARU - Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan berjaya merampas sebanyak 189 produk ubat-ubatan dan kosmetik yang disyaki tidak berdaftar dalam satu serbuan bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Pasar Siti Khadijah di sini semalam.

Dalam serbuan yang bermula jam 11 pagi hingga 1 petang itu, pihak terbabit menjalankan pemeriksaan terhadap 10 gerai yang didapati menjual produk berkenaan dianggarkan bernilai RM20,000.

Ketua Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Kelantan, Mohd Zahariman Harun berkata, operasi terbabit dilakukan bagi mengesan produk-produk berkenaan yang masih dijual kepada orang ramai dan memberi kesan sampingan kepada si pemakai memandangkan tidak mempunyai kelulusan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi yang disertai oleh 24 penguat kuasa Farmasi serta 27 anggota penguat kuasa MPKB-BRI itu akan diadakan dari masa ke semasa bagi mengesan produk yang tidak berdaftar serta mengandungi racun berjadual yang boleh membahayakan pengguna.

“Dalam operasi kali ini kita berjaya merampas produk-produk berkenaan yang dijual oleh penjaja di dalam pasar yang tidak mengetahui barangan yang mereka jual itu boleh mendatangkan kesan mudarat,” katanya.

Mohd Zahariman berkata, jika sabit kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952  peraturan 7 (1) (a) peraturan-peraturan dadah dan kosmetik sesiapa yang menjual ubat tidak berdaftar akan dikenakan denda RM25,000 atau tiga tahun penjara.

“Manakala di bawah seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 yang memiliki bahan keluaran yang mengandungi racun boleh didenda RM3,000 dan penjara satu tahun,” katanya.

Kereta remuk, bas terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
Kereta remuk, bas terbakar
Keadaan dua kenderaan selepas terlibat kemalangan di Jalan Kampung Gajah.
BUTTERWORTH - Seorang peniaga roti dan biskut yang memandu kenderaan untuk bertemu pelanggan yang menanti di premis perniagaannya maut apabila terlibat satu kemalangan di Kampung Gajah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu kereta Proton Wira yang dipandu Chew Tiew Poh, 27, merempuh sebuah bas menyebabkan peniaga yang masih bujang itu mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Rempuhan kuat di belakang bas itu bukan sahaja meremukkan bahagian hadapan kereta miliknya malah turut menyebabkan bas terbabit terbakar hingga menggemparkan terutamanya kepada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang tinggal di flat Kampung Benggali, Bagan Ajam dikatakan memandu untuk segera sampai ke premis miliknya di Butterworth selepas terlewat untuk memulakan perniagaan.

“Bagaimanapun sebaik sampai di lokasi kejadian keretanya difahamkan hilang kawalan lalu merempuh sebuah bas yang baru sahaja keluar dari depoh berdekatan.

“Akibat rempuhan kuat itu bas berkenaan yang dalam perjalanan untuk ke Perhentian Bas Sementara di Jalan Pantai Bersih hangus terbakar, namun pemandunya sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya bagi urusan pengebumian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kilang perabot terbakar kali kedua



ROSALWANI CHE SOH
4 April 2013
Kilang perabot terbakar kali kedua
Kilang perabot berkenaan yang musnah terbakar buat kali kedua, semalam.
KOTA BHARU - Bukan sekali. Malah sudah dua kali sebuah kilang perabot di Kok Lanas terbakar dan peniaganya terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta.

Kali pertama, kilang terbabit yang disewa melalui Majlis Daerah Ketereh (MDK) sejak 11 tahun lalu oleh Tan Kwee Beng, 58, pernah terbakar pada tahun lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi semalam, menyebabkan seluruh bangunan berkenaan termasuk kesemua perabot di dalam kedai itu musnah sekelip mata.

Bagaimanapun, pemilik kedai itu enggan ditemubual akibat trauma dengan kejadian terbabit.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wang Ngah Wan Long ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 5.13 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Kejadian yang berlaku pagi tadi (semalam), menyebabkan kesemua barangan perabot termasuk almari, sofa, meja makan dan pelbagai jenis perabot, musnah dalam kebakaran itu,” katanya.

Wan Ngah berkata, lima jentera termasuk dua daripada balai Ketereh, sebuah dari Kota Darul Naim, sebuah dari Bomba Tunjong, dan sebuah dari Kota Bharu dengan kekuatan 20 anggota di hantar ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran tersebut sudah memusnahkan hampir keseluruhan bangunan dan kami mengambil masa hampir 30 minit untuk mengawal kebakaran dan keseluruhan operasi dihentikan kira-kira jam 8.45 pagi.

“Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM1 juta," katanya.

Api marak ketika tonton TV



ERMA YUSNIDA JUSOH
4 April 2013
Api marak ketika tonton TV
Mohd Zaili (tengah) melihat keadaan rumah mangsa kebakaran dalam kejadian petang kelmarin. Gambar kecil: Nor Rasyada
KUANTAN - Waktu santai suri rumah bersama tiga anaknya yang sedang leka menonton televisyen dikejutkan dengan kejadian kebakaran di rumahnya di Kampung Telaga Pasu, Bukit Rangin, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang kelmarin, Nor Rasyada Kadri, 28, berada di ruang tamu bersama tiga anaknya berusia lapan, enam dan empat tahun.

Menurutnya, sewaktu kejadian, dia terkejut melihat api yang tiba-tiba marak di bahagian atap rumah sebelum merebak ke bahagian lain.

“Api marak dalam sekelip mata, saya tidak sempat selamatkan apa-apa. Masa itu saya hanya fikirkan untuk selamatkan anak-anak.

“Saya cuba masuk ke dalam rumah tetapi api sudah merebak ke seluruh rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Turut hadir melawat mangsa, Adun Panching Datuk Mohd Zaili Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pandan 2, Abdul Radzi Ahmad.

Nor Rosyada berkata, dia cuba menjerit meminta tolong kerana kebetulan pada masa kejadian, pihak bomba dan penyelamat sedang memadam kebakaran belukar tidak jauh dari rumahnya.

Katanya, angin kuat dan cuaca panas memusnahkan rumah yang diduduki sejak setahun lalu  dalam sekelip mata sahaja.

“Sedih memanglah sedih, tapi saya reda dengan nasib yang menimpa saya sekeluarga, ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya.

Nor Rasyada berkata, ketika kejadian, suami Mohd Harif Makhtar, 30, yang bekerja sebagai atendan pam minyak tiada di rumah.

Sementara itu, Mohd Zaili berkata, beliau simpati dengan kejadian yang menimpa keluarga tersebut dan berusaha membantu melalui bantuan bencana yang disediakan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Mohd Zaili turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka selain berwaspada dengan api berikutan cuaca panas sekarang.

Juruteknik warga Jepun rugi RM12,500

Georgetown: Seorang juruteknik warga Jepun mendakwa kerugian RM12,500 selepas wang tunai dan gajet elektronik miliknya hilang selepas kondominium mewah didiaminya dipecah masuk penjenayah ketika keluar bekerja dalam kejadian di Jalan Persiaran Gurney di sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 9 pagi pada 30 Mac hingga jam 3.30 petang Ahad lalu ketika mangsa berusia 29 tahun tiada di rumah kerana bertugas. sebelum disedari apabila mendapati pintu terbuka dan keadaan dalam rumah berselerak.

Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati suspek memasuki rumah mangsa menggunakan kunci pendua kerana tiada kesan umpil ditemui
.

Tepung bertaburan tengah jalan

Alor Gajah: Seorang pemandu lori membawa muatan tepung gandum nyaris maut selepas kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbalik di jalan Rembia-Lendu di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi, lori seberat 15 tan dipandu K Mogan, 48, dari Lendu menuju Semabok untuk menghantar bekalan sebelum terbabit kemalangan dipercayai mengalami masalah teknikal.

Menurutnya, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Lendu dan sebaik melalui jalan itu berlaku masalah teknikal menyebabkan lori terbabas lalu terbalik .
“Saya baru memulakan perjalanan untuk ke pejabat majikan di Semabok dan bercadang terus ke stesen minyak bagi menghantar bekalan. Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi, saya cuba menekan brek sebaik menghampiri lampu isyarat, tetapi ia tidak berfungsi dan lori hilang kawalan,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat sebuah kereta di depan dan dari arah bertentangan menyebabkannya terpaksa memaut stereng ke kanan lalu merempuh tebing menyebabkan lori terbalik.

Katanya, dia bernasib baik dibantu orang ramai untuk keluar tanpa sebarang kecederaan manakala muatan tepung dalam guni terbalik termasuk ada yang pecah atas jalan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

9 GRO warga China ditahan

Kuala Lumpur: Sembilan wanita warga China disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan menjalankan kegiatan pelacuran ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, kelmarin.
Serbuan jam 9.45 malam di Taman Shamelin Perkasa, Cheras itu dilakukan Unit Tindakan Imigresen dan Bahagian Integriti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Putrajaya, hasil maklumat awam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Mohd Izzat Mohd Jamil berkata, ketika serbuan berkenaan beberapa wanita terbabit asyik melayan pelanggan di pusat hiburan itu.
“Semua wanita terbabit berusia 20 hingga 30 tahun ditahan kerana melanggar Akta Imigresen atas kesalahan tidak memiliki dokumen dan menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang juga penyelia pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada wanita GRO itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala selebihnya didapati menyalahgunakan pas.
“Empat daripada mereka menggunakan pas pelajar untuk masuk ke Malaysia dan tiga lagi menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Katanya, semua wanita terbabit dihantar ke depoh tahanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala lelaki tempatan yang ditahan ditempatkan di depoh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Putrajaya.