Search This Blog

Tuesday, April 2, 2013

Gadis kena rogol selepas dilanggar


TELUK INTAN - Bukan sahaja patah tangan kiri  akibat terjatuh selepas bergesel dengan sebuah kereta tetapi seorang gadis yang menunggang motosikal seorang diri  di sini turut dirogol oleh pemandu kereta yang melanggarnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, gadis  berusia 22 tahun itu bekerja di salah sebuah kilang di Kampung Ayer Itam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chui Chak, Langkap kira-kira 7.30 malam, Sabtu lalu.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.

Menurutnya, pergeselan itu mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam semak dan mengalami patah tangan kiri serta jari kanan.

“Lelaki itu berpura-pura mahu menolong mangsa selepas terjatuh dan mengangkat mangsa masuk ke bahagian belakang kereta sebelum merogol gadis berkenaan.

“Mangsa dalam keadaan separuh sedar dan dalam kesakitan, tidak mampu untuk melawan suspek daripada melakukan perbuatannya itu,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, selepas melakukan perbuatan jijik terhadap gadis itu, suspek memberitahu nama dan nombor telefon sebenarnya kepada mangsa sebelum gadis itu minta lelaki tersebut menghantarnya pulang ke rumah.

Jelasnya, suspek bersetuju untuk menghantar mangsa pulang dengan syarat tidak memberitahu perbuatan jijik yang dilakukan itu kepada keluarga gadis berkenaan sebaliknya memberitahu suspek hanya bantu mangsa daripada jatuh motosikal.

"Suspek menghantar mangsa pulang ke rumah dan berjumpa dengan bapa mangsa ketika membawa pulang gadis itu.

"Selepas suspek pulang, mangsa memberitahu kepada ibunya mengatakan dia menjadi mangsa rogol dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Langkap pada hari yang sama," katanya.

Kata beliau, gadis itu juga dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menjalani pemeriksaan dan mendapati ada kesan koyakkan baru pada kemaluannya.

Tambahnya, dengan nombor telefon yang diberikan suspek kepada mangsa membantu pihak polis mendapatkan maklumat penting bagi menjalankan siasatan.

“Berdasarkan nombor telefon itu, membawa kepada penemuan tempat tinggal lelaki berkenaan di Sungai Manik sebelum satu pasukan ke rumah suspek, kelmarin.

“Ketika  polis ke rumah suspek, lelaki tersebut tiada di rumah namun,  kami meminta kepada bapa lelaki itu untuk datang ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Kok Liang berkata, pada hari yang sama, suspek  datang ke Balai Polis Langkap dan kini lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek juga cuba merogol seorang wanita berusia 38 tahun di jalan Sungai Tungku menggunakan cara sama pada Sabtu lalu, kira-kira jam 6.20 petang.

"Suspek menggunakan modus operandi yang sama dengan cuba melanggar motosikal yang ditunggang mangsa yang juga seorang kerani sehingga jatuh.

"Wanita berusia 38 tahun itu berhenti tepi jalan sebelum suspek turut turun dari kereta lalu membuka bonet," katanya.

Melihat tindakan suspek mencurigakan wanita itu cuba melarikan diri tetapi ditahan lelaki berkenaan sebelum mangsa terjatuh dalam semak.

Beliau menambah, suspek cuba merogol mangsa tetapi menghentikan perbuatannya apabila sebuah kereta jenis Kancil berhenti berhampirannya sebelum lelaki itu melarikan diri.

“Wanita itu membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Hasil daripada ujian air kencing suspek negatif tetapi, lelaki itu mengaku ada menghidu gam sebelum kejadian,” katanya.

Rugi RM3,500 ditipu ejen



SYAIRI SHAARI
2 April 2013
Rugi RM3,500 ditipu ejen
Ben Liew (kiri) bertanya keadaan Wing Fatt (tengah) sambil mendukung anaknya, Chen Jue Jie, semalam.
AMPANG - Gara-gara mempercayai seorang ejen di Malaysia, seorang wanita warganegara Vietnam terputus hubungan dengan anak dan suami di Malaysia apabila pasport dan visanya didapati palsu.

Suami mangsa yang juga warganegara Malaysia, Chen Wing Fatt, 24, berkata, dia dan isterinya, Nguyen Thi Ngoc Bich, 22, berurusan dengan seorang ejen yang mengaku boleh menyelesaikan masalah pasport dan visa isterinya yang telah luput tarikh.

Menurutnya, dia membayar seorang ejen yang dikenali sebagai Loa Chao sebanyak RM3,500 ketika ditemui di sekitar Pejabat Imigresen, Putrajaya bagi membantu isterinya mendapatkan pasport dan visa.

“Individu tersebut meyakinkan saya bahawa masalah tersebut boleh diselesaikan tanpa merujuk kepada Pejabat Imigresen dan meminta sebanyak RM7,500 untuk menguruskannya tetapi saya telah membayarnya RM3,500.

“Bagaimanapun, selepas itu isteri saya telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia dan dihantar pulang ke Vietnam apabila terdapat cop palsu dalam pasport isteri saya,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Barisan Nasional Dun Teratai di Taman Muda, semalam.

Wing Fatt berkata, apabila isterinya hendak memohon visa untuk kembali ke Malaysia selepas itu, permohonan isterinya tidak dapat diproses apabila telah disenaraihitamkan di dalam sistem.
Katanya, dia cuba menghubungi ejen tersebut tetapi gagal.

“Kejadian ini juga menyebabkan anak dan isteri saya terpisah.

“Jika keadaan ini berlarutan, saya mungkin mengambil keputusan berhijrah ke Vietnam kerana tidak mahu hubungan anak dan ibu terputus,” katanya yang tinggal di Taman Muda.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Dun Teratai, Ben Liew berkata, dia akan merujuk masalah tersebut dengan Kementerian Dalam Negeri agar kes ini dapat diselesaikan segera.

Katanya, Wang Fatt menjadi mangsa keadaan di atas penipuan yang dilakukan oleh ejen di Malaysia walaupun isterinya mematuhi prosedur sepanjang berada di Malaysia termasuklah mempunyai pendaftaran perkahwinan di sini.

“Dalam perkara ini, pihaknya akan cuba membantu Wang Fatt untuk melakukan rayuan seperti mendapatkan visa lawatan sosial agar isteri mangsa dapat memasuki Malaysia untuk bertemu anak dan suami,” katanya.

Dirempuh ketika ubah laluan



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Dirempuh ketika ubah laluan
Keadaan motosikal mangsa yang dirempuh Nissan Navara dalam insiden berkenaan, kelmarin.
SABAK BERNAM - Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta dari arah belakang ketika hendak mengubah laluan di Jalan Besar Kampung Banting-Sungai Air Tawar, kira-kira jam 7.15 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Zubir Rabek, 58, dipercayai dalam perjalanan menuju Sabak Bernam cuba mengubah laluan ke kanan sebelum dirempuh Nissan Navara dari arah sama.

"Akibat rempuhan itu, mangsa parah dan maut di tempat kejadian manakala pemandu Nissan Navara tidak mengalami kecederaan.

"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat parah pada kepala," katanya.

Dalam pada itu, Noor Mushar mengesahkan menerima laporan kemalangan daripada pemandu terbabit dan siasatan terperinci mengenainya akan dijalankan.

"Kita juga harap saksi kejadian dapat tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan kes tembakan pengusaha bengkel di Taman Perpaduan 27 Mac lalu, Noor Mushar memaklumkan sehingga semalam masih tiada tangkapan dilakukan.

Bagaimanapun, menurutnya, polis masih meneruskan siasatan dan menjalankan operasi menjejaki suspek.

"Kita mohon kerjasama orang awam menyalurkan maklumat sekiranya melihat suspek bagi membantu polis menyelesaikan kes berkenaan," katanya.

Polis giat cari dua lelaki



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Polis giat cari dua lelaki
Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Temerloh Deputi Superintendan Makhetar memegang gambar dua suspek kes samun yang dicari polis.
TEMERLOH – Polis kini mencari dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun yang berlaku di daerah ini membabitkan kerugian kepada mangsa lebih RM2,000.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kesemua mereka yang dicari dipercayai melakukan jenayah yang berbeza dan membabitkan mangsa berbeza.

Menurutnya, dalam kes samun yang berlaku pada 11 malam 11 Mac lalu, polis mencari seorang lelaki dikenali sebagai Iskandar Zulkarnaien Abdullah 21, yang menghilangkan diri selepas kejadian.

“Dalam kejadian itu, dua wanita Cina disamun ketika sedang berjalan di barisan kedai dekat Jalan Bunga Tanjung Mentakab.

“Mangsa disamun dua lelaki dalam kejadian itu membabitkan kerugian tunai RM1,000 dan dua telefon bimbit. Polis yang mendapat maklumat kemudian berjaya menangkap seorang suspek.

“Seorang lagi suspek masih bebas dikenali sebagai Iskandar Zulkarnaien yang juga melanggar tempoh pengawasan selama tiga tahun akibat kesalahan dadah,” katanya pada sidang media di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Dalam kes berlainan, polis mencari R Kanapathy 37, dipercayai terbabit dengan kes samun seorang pekerja kedai telefon bimbit di jalan Mawar stesen bas Mentakab pada jam 5 petang 18 Mac lalu.

Abdul Aziz berkata, suspek melarikan diri dengan sebuah kereta Kancil selepas menyamun rantai leher dan telefon bimbit mangsa.

Beliau berkata, polis berjaya mengesan penglibatan suspek yang juga mempunyai lapan rekod jenayah melibatkan kesalahan mencuri dan dadah, suspek juga masih dalam pengawasan dan perlu melapor diri di Balai Polis Mentakab dua kali seminggu.

Polis menyiasat kes pertama di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.

Abdul Aziz menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi hotline IPD Temerloh di talian 09-2962222.

Gadis trauma rumah terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Gadis trauma rumah terbakar
Bahagian atas rumah dua tingkat yang terbakar.
KLUANG - Seorang gadis trauma selepas kediamannya di Taman Matahari, di sini, terbakar dalam satu kejadian, pagi kelmarin.

Nurhamimi A Rahman, 19, berkata, ketika kejadian jam 1.15 pagi itu dia sedang tidur dan terjaga setelah merasai bahang api.

“Ketika itu saya sedang tidur di bilik di tingkat atas rumah. Secara tiba-tiba saya berasa panas dan apabila buka mata, saya lihat bahagian tepi katil sudah terbakar.

“Pada masa itu api sudah marak dan saya sempat keluar selamatkan diri untuk mengejutkan ibu dan ayah yang tidur di tingkat bawah.

“Bagaimanapun, saya tidak sempat untuk selamatkan barang dan dokumen penting kerana api marak dengan cepat. Sehingga ke hari ini, saya masih lagi terbayang kejadian yang berlaku pagi Ahad lalu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Nurhamimi berkata, kejadian itu mengakibatkan pelbagai barang miliknya termasuk komputer riba hangus terbakar.

Katanya, kebakaran itu disyaki berlaku akibat litar pintas di biliknya dan dia bersyukur kerana dirinya terselamat.

“Pada waktu ini, saya bersama ibu dan ayah tinggal menumpang di rumah sewa bersebelahan rumah kami untuk sementara waktu.

“Kami juga mahu berterima kasih dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal kerana datang menghulurkan bantuan selepas kejadian tersebut,” katanya.

Nasib menimpa Nurhamimi sekeluarga turut mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kluang yang kemudiannya datang menziarah serta menghulurkan bantuan awal.

Sementara itu, wakil Jasa Daerah Kluang, Radzali Md Noor berkata, sumbangan disalurkan itu merupakan bantuan awal bagi meringankan beban keluarga terbabit.

“Bantuan lain akan menyusul kemudian dan akan cuba untuk bantu cari wang peruntukan bagi membaik pulih rumah keluarga ini yang dianggarkan lebih kurang RM100,000.

“Kami juga akan sentiasa menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini sekiranya diperlukan,” katanya.

Dipukul dekat lokasi ceramah



MOHD FIRDAUS YON
2 April 2013
Dipukul dekat lokasi ceramah
Antara situasi kekecohan yang berlaku. Gambar kecil: Murugan cedera dipukul.
JOHOR BAHRU - Bekas Setiausaha Publisiti Kecil DAP Taman Nesa mendakwa cedera dipukul sekumpulan lelaki ketika mangsa meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti berkenaan di lokasi ceramah, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam di Taman Nesa, Skudai, AK Murugan cedera di kepala apabila dipukul lebih tiga lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa.

Murugan mendakwa, pada mulanya, dia berada kira-kira 100 meter daripada lokasi ceramah sebelum meluahkan rasa tidak puas hati mengenai kepimpinan parti yang tidak prihatin dengan kaum India.

“Lokasi ceramah itu terletak berhampiran rumah, jadi saya pergi untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan DAP.

“Saya juga meluahkan rasa kesal kerana ceramah dijalankan dalam bahasa Mandarin sedangkan program itu berkaitan dengan masalah kaum India.

“Tiba-tiba datang sekumpulan lelaki yang memarahi saya sebelum mereka memukul saya bertalu-talu dengan topi keledar,” katanya.

Murugan kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Skudai sebelum mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Terdahulu sekitar jam 6.30 petang sebelum itu, Murugan dan bekas Pengerusi DAP Taman Saga di Kulaijaya, V Thulasi Das bersama kira-kira 25 masyarakat India mengadakan bantahan secara aman bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap DAP.

Bantahan itu diadakan di hadapan lokasi Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau bersama pemimpin pakatan mengadakan mesyuarat membincangkan Deklarasi Gelang Patah sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau dan Thulasi merupakan bekas ahli seumur hidup DAP tetapi dipecat sejak Mac tahun lalu berikutan tindakan mereka yang lantang mengkritik kepimpinan Cheng Hau.

Sinar Harian semalam cuba menghubungi Cheng Hau bagi mengulas kejadian itu bagaimanapun gagal.

Pekebun alami kecederaan misteri



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
LEDANG – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian menimpa seorang pekebun yang cedera secara tiba-tiba semasa dalam perjalanan ke kebunnya di Batu 16 Sengkang, Bukit Gambir, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, siasatan terperinci kini sedang dijalankan termasuk menghantar pakaian mangsa ke Jabatan Forensik bagi mencari bukti dan mengenal pasti punca kecederaan dialaminya.

“Kita minta orang ramai untuk tampil membantu siasatan. Mangsa berusia 30an mengalami kecederaan pada bahagian kanan belakang badan sehingga menembusi perutnya.

“Kita masih tidak dapat mengenal pasti punca kecederaan itu kerana tidak menemui sebarang bukti pada badan mangsa dan masih menunggu laporan daripada pihak hospital,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Harun berkata, pihaknya belum mendapat maklumat lengkap kejadian disebabkan keadaan mangsa yang masih trauma dan tidak bersedia untuk disoal siasat.

Katanya, kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika mangsa sendirian menunggang motosikal dari rumah ke kebun buah jambu miliknya.

“Dia menyedari kejadian itu apabila merasai darah mengalir pada tubuh serta menemui kesan lubang di perutnya.

“Kita dimaklumkan, sejurus selepas kejadian itu mangsa pulang ke rumah mengambil keretanya dan pergi ke klinik berhampiran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, susulan kecederaan serius dialaminya, mangsa dengan bantuan rakannya dihantar ke sebuah hospital swasta di Melaka, tetapi terpaksa dipindahkan ke Hospital Besar Melaka.

“Mangsa masih dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Tujuh pelacur RM80 diberkas



ROSDALILAH ZAHARI
2 April 2013
Tujuh pelacur RM80 diberkas
Pelacur warga Vietnam ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di Ipoh, kelmarin.
IPOH - Kegiatan haram pemilik sebuah premis perniagaan di Jalan CM Yusoff dan Jalan Yang Kalsom yang menjalankan perkhidmatan pelacur warga asing sejak beberapa bulan lalu berakhir apabila diserbu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7)Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak malam kelmarin.

Premis yang dipercayai didalangi warga tempatan itu menawarkan ‘pakej murah’ berbanding harga yang ditawarkan di pusat spa mahupun rumah urut sedia ada di sekitar bandar raya ini.

Selain itu, premis tersebut dipercayai sudah diserbu sebanyak enam kali namun pemiliknya tetap berani meneruskan operasi tanpa rasa takut.

Difahamkan, harga yang ditawarkan serendah RM80 bagi pelanggan yang mahukan perkhidmatan ‘tambahan’ pelacur wanita terbabit.

Bagaimanpun, kegiatan tidak bermoral itu berjaya ditumpaskan dalam serbuan yang dilakukan di premis berkenaan pada jam 10.15 malam itu.

Dalam serbuan itu, seramai tujuh pelacur Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun  ditahan ketika sedang menunggu pelanggan.

Sementara itu, Ketua JSJ negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kegiatan pelacuran di premis itu sukar dihidu sebelum ini kerana ia berselindung di sebalik premis perniagaan.

Menurutnya, premis berkenaan diubah suai dan menempatkan enam bilik khas dimana setiap bilik dilengkapi dengan alat penyaman udara termasuk kemudahan katil dan bilik air selain turut menyediakan paket kondom dan cecair pelincir kepada pelanggan.

“Operasi diketuai Inspektor Nuraini Abu Hassan disertai 12 anggota itu dilakukan selepas menerima maklumat orang awam. Kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai peniaga premis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, lelaki yang ditahan itu pada mulanya mengakui sebagai pelanggan namun, selepas siasatan lanjut mendapati dia penjaga premis berkenaan.

“Kesemua gadis Vietnam itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut sebelum diserah pihak Imigresen.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372 (b) Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pelacuran serta melakukan perbuatan lucah, manakala penjaga premis pula ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) kanun  yang sama,” katanya.

Gadis kena rogol selepas dilanggar



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
TELUK INTAN - Bukan sahaja patah tangan kiri  akibat terjatuh selepas bergesel dengan sebuah kereta tetapi seorang gadis yang menunggang motosikal seorang diri  di sini turut dirogol oleh pemandu kereta yang melanggarnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, gadis  berusia 22 tahun itu bekerja di salah sebuah kilang di Kampung Ayer Itam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chui Chak, Langkap kira-kira 7.30 malam, Sabtu lalu.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.

Menurutnya, pergeselan itu mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam semak dan mengalami patah tangan kiri serta jari kanan.

“Lelaki itu berpura-pura mahu menolong mangsa selepas terjatuh dan mengangkat mangsa masuk ke bahagian belakang kereta sebelum merogol gadis berkenaan.

“Mangsa dalam keadaan separuh sedar dan dalam kesakitan, tidak mampu untuk melawan suspek daripada melakukan perbuatannya itu,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, selepas melakukan perbuatan jijik terhadap gadis itu, suspek memberitahu nama dan nombor telefon sebenarnya kepada mangsa sebelum gadis itu minta lelaki tersebut menghantarnya pulang ke rumah.

Jelasnya, suspek bersetuju untuk menghantar mangsa pulang dengan syarat tidak memberitahu perbuatan jijik yang dilakukan itu kepada keluarga gadis berkenaan sebaliknya memberitahu suspek hanya bantu mangsa daripada jatuh motosikal.

"Suspek menghantar mangsa pulang ke rumah dan berjumpa dengan bapa mangsa ketika membawa pulang gadis itu.

"Selepas suspek pulang, mangsa memberitahu kepada ibunya mengatakan dia menjadi mangsa rogol dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Langkap pada hari yang sama," katanya.

Kata beliau, gadis itu juga dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menjalani pemeriksaan dan mendapati ada kesan koyakkan baru pada kemaluannya.

Tambahnya, dengan nombor telefon yang diberikan suspek kepada mangsa membantu pihak polis mendapatkan maklumat penting bagi menjalankan siasatan.

“Berdasarkan nombor telefon itu, membawa kepada penemuan tempat tinggal lelaki berkenaan di Sungai Manik sebelum satu pasukan ke rumah suspek, kelmarin.

“Ketika  polis ke rumah suspek, lelaki tersebut tiada di rumah namun,  kami meminta kepada bapa lelaki itu untuk datang ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Kok Liang berkata, pada hari yang sama, suspek  datang ke Balai Polis Langkap dan kini lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek juga cuba merogol seorang wanita berusia 38 tahun di jalan Sungai Tungku menggunakan cara sama pada Sabtu lalu, kira-kira jam 6.20 petang.

"Suspek menggunakan modus operandi yang sama dengan cuba melanggar motosikal yang ditunggang mangsa yang juga seorang kerani sehingga jatuh.

"Wanita berusia 38 tahun itu berhenti tepi jalan sebelum suspek turut turun dari kereta lalu membuka bonet," katanya.

Melihat tindakan suspek mencurigakan wanita itu cuba melarikan diri tetapi ditahan lelaki berkenaan sebelum mangsa terjatuh dalam semak.

Beliau menambah, suspek cuba merogol mangsa tetapi menghentikan perbuatannya apabila sebuah kereta jenis Kancil berhenti berhampirannya sebelum lelaki itu melarikan diri.

“Wanita itu membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Hasil daripada ujian air kencing suspek negatif tetapi, lelaki itu mengaku ada menghidu gam sebelum kejadian,” katanya.

Tidak sempat beli ‘top-up’



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Tidak sempat beli ‘top-up’
MUHAMMAD FAREZ
GUNUNG SEMANGGOL - Keghairahan seorang remaja pergi ke kedai untuk membeli kad tambah nilai prabayar atau  'top-up'  tidak berpanjang apabila maut dirempuh sebuah kereta berhampiran rumahnya dalam kejadian sekitar jam 8.15 pagi di Jalan Kerian, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Farez Musa, 14, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave difahamkan dilanggar dari bahagian tepi oleh sebuah kereta jenis Honda Hybrid ketika menyeberangi jalan untuk memasuki satu simpang di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa difahamkan melambung sejauh beberapa meter dari tempat kejadian setelah motosikalnya dirempuh kenderaan yang dipercayai dipandu laju.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di  kepala akibat terhentak pada permukaan jalan selain patah tangan kiri.

“Mangsa difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya sewaktu dihubungi media, di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, mayat mangsa dituntut ahli keluarga sejurus dihantar ke Hospital Parit Buntar.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Musa Amran, 53, ketika ditemui berkata, dia pada mulanya tidak dapat menerima hakikat kehilangan anaknya itu, lebih-lebih lagi mereka sekeluarga hendak pergi bertandang ke majlis perkahwinan bapa saudaranya, di sini.

Jelasnya, dia tidak menyangka permintaan mangsa untuk keluar sebentar ke kedai merupakan petanda anaknya akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah merupakan seorang pelajar yang rajin dan dilantik sebagai pengawas sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik merupakan seorang yang sangat pandai, periang dan rajin. Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya.

Nenek cedera kena tumbuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Nenek cedera kena tumbuk
Wong cedera di mata dan mulut dipercayai selepas ditumbuk seorang lelaki dalam kejadian samun dirumahnya di Kampung Pasir Pinji, Sabtu lalu.
IPOH - Seorang nenek berusia 80 tahun cedera dimuka selepas diserang seorang lelaki yang menyamun barangan kemas milik bernilai RM200 dalam kejadian di rumahnya di Kampung Pasir Pinji, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Madam Wong  yang ketika itu bersendirian diserang dan ditumbuk dimuka bertalu-talu selepas enggan menyerahkan barangan kemasnya.

Berdasarkan keterangan mangsa, suspek yang memakai topi keledar memberhentikan motosikal untuk bertanyakan arah jalan ketika mangsa sedang menyiram bunga di laman rumahnya.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, suspek bertindak ganas meragut rantai dan cincin emas yang dipakai mangsa serta menumbuk muka mangsa sehingga mengalami kecederaan di mata dan mulut. Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri menaiki motosikal dan masih gagal dikesan sehingga hari kini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya ada menerima laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Pasir Pinji berhubung kejadian tersebut.

Katanya, sebelum ini, pihaknya menerima beberapa laporan mengenai kejadian sama di mana suspek mensasarkan warga emas terutama wanita kebiasaannya berlaku antara jam 5 petang hingga 7 malam.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan iaitu samun dan mendatangkan kecederaan.

“Sehubungan itu orang ramai yang mengetahui maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya warga emas supaya berhati-hati terutama ketika bersendirian di rumah bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Orang awam perlu memastikan keadaan persekitaran rumah selamat selain berhati-hati ketika didatangi individu mencurigakan dan tidak dikenali,” katanya.

Saksi lakon semula kejadian dicabul



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Saksi lakon semula kejadian dicabul
Roslan cuba mengelak gambarnya diambil oleh media ketika keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam.
BUKIT MERTAJAM - Bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Roslan Yahaya, 52, didakwa memeluk Noor Amiza Azmee, 29, dengan kuat, dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Majistret semalam.

Noor Amiza dalam keterangannya berkata, Roslan memberitahu yang dia amat menyukainya sebelum berbuat demikian.

Dia kemudiannya mengugut untuk melaporkan insiden terbabit kepada suaminya namun tidak diendahkan.

Roslan didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita itu di dalam pejabat Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah, Jalan Betek, Sungai Rambai antara jam 11 pagi dan 1.10 tengah hari 26 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Ketika perbicaraan berlangsung, Noor Amiza dibenarkan keluar dari kandang saksi dan melakukan lakonan semula ketika kejadian dengan bantuan jurubahasa.

Noor Amiza mendakwa, dia ketakutan ketika dipeluk namun mendiamkan diri kerana khuatir akan diapa-apakan.

Dia cuba melarikan diri ke arah pintu namun dihalang oleh Roslan yang memegang tombol dan selepas berbual seketika, dia dibenarkan keluar.

Noor Amiza mendakwa yang dia tidak menjerit kerana masa itu merupakan waktu makan tengah hari dan menjangka rakan-rakannya tiada di pejabat.

Dia berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Amir Hamdzah Othman.

Terdahulu, dia ke pejabat Roslan selepas diminta untuk membawa beberapa dokumen yang diperlukan.

Roslan diwakili peguam S Anthonysamy.

Majistret Arif Mohamad Shariff menetapkan 21 dan 22 Mei untuk tarikh sambungan perbicaraan.

Fail tuntutan RM165,000



SYAMILAH ZULKIFLI
2 April 2013
Fail tuntutan RM165,000
Zhen Fei (duduk, dua, kiri) dan adik-adiknya serta peguam Kesavadas A Nair dan Kee Chin menunjukkan tuntutan mereka kepada pihak terbabit.
SEREMBAN – Isteri dan ahli keluarga mendiang Lee Kuan Yew, 48,  yang maut selepas kemalangan akibat terjatuh di dalam lubang di persiaran Taman Bukit Galena di sini tahun lalu memfailkan tuntutan sebanyak RM165,000 terhadap lima pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap insiden itu.

Lima pihak terbabit ialah Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Pengarah Kejuruteraan MPS, Yang Dipertua MPS, Datuk Abdul Halim Abd Latiff, pemandu lori dan pemilik berdaftar lori.

Tuntutan itu difailkan di Mahkamah Seksyen Seremban melalui firma guaman A K Das & Associates pada 19 Mac lepas.

Isteri mendiang, Tong Kim Sang menuntut jumlah tersebut bagi kesedihan dan dukacita, kehilangan tanggungan dan kos pengebumian berjumlah RM35,000.

Pada sidang media diwakili anak kedua mendiang Lee Zhen Fei, 26, berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang maut  disebabkan masalah jalan berlubang.

“Saya sangat kesal dengan kejadian yang berlaku kerana ibu saya bersama dua lagi adik yang masih belajar hilang punca pendapatan.

“Malah sehingga kini tiada mana-mana pihak pun yang hadir berjumpa dengan kami memohon maaf terhadap insiden yang berlaku,” katanya.

Hadir sama, tiga lagi anak mendiang, Lee Zhen Hao, 20; Lee Zhen Yee, 21, dan Lee Siew Ling, 27.

Sementara itu bekas Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin yang turut hadir pada sidang media itu berkata, sebelum kejadian pihaknya ada membuat aduan kepada MPS pada 22 Oktober 2012 memaklumkan masalah jalan berlubang di situ.

“Tapi kerja pembaikan jalan hanya dibuat selepas insiden itu dan saya memandang serius kejadian berkenaan.

“Saya berharap MPS tidak memandang remeh masalah ini kerana saya dapati masih terdapat jalan berlubang yang boleh menjadi perangkap maut kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Terdahulu Lee Kuan Yew, 48, maut selepas motosikal ditungganginya terjatuh ke dalam lubang sebelum dirempuh sebuah lori di Persiaran Taman Bukit Galena pada 12 November 2012.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha secara bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mutiara Galla selepas membeli makanan.

“Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar satu lubang sedalam enam sentimeter menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak di atas jalan dan telah dirempuh oleh sebuah lori tanpa muatan dari arah belakang yang tidak sempat mengelak,” katanya.

Tuntut ganti rugi



SITI AISAH HABIRIN
2 April 2013
Tuntut ganti rugi
Monaliza menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung tindakan JKM membuat kenyataan premisnya tidak mempunyai lesen sah dan laporan bawaha premisnya tidak mempunyai kaitan.
SHAH ALAM – Pusat jagaan kanak-kanak (tadika) Manjaku di Seksyen 8 mendakwa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menyalahgunakan kuasa atas tindakan mengenakan lak ke atas premis berkenaan sejak Khamis lalu.

Pemiliknya, Monaliza Mokhtar, 43, berkata, tindakan itu didakwa mengandungi konspirasi untuk memburukkan reputasinya sebagai pengusaha pusat jagaan.

Menurutnya, JKM juga dilihat sengaja tidak mahu menyerahkan surat akuan sedangkan kelulusan daripada pihak berwajib telah dilampirkan bersama permohonan sejak 30 Januari tahun lalu.

“Kami telah memenuhi semua syarat diperlukan JKM bagi melayakkan kami menerima surat akuan.

“Kelulusan premis daripada bomba, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Malaysia juga telah kami peroleh dan saya lampirkan bersama permohonan.

“Tenaga pengajar kami juga dalam kalangan yang berpengalaman dan telah mengikuti kursus pengurusan kanak-kanak seperti disyaratkan JKM,” katanya ketika ditemui di hadapan Pusat Jagaan Kanak-kanak (tadika) Manjaku, di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan JKM menutup premis berkenaan itu juga menyukarkan kanak-kanak yang dihantar ke situ untuk menjalani rutin pembelajaran.

Monaliza berkata, tuduhan ke atas kematian dua bayi yang dihantar ke premis itu sebelum ini adalah tidak benar dan bukan di atas kecuaian ketika di bawah jagaan pengasuh.

“Hendak tutup atas dasar apa? Mereka (kanak-kanak) tidak dapat belajar seperti biasa.

“Kita telah jelaskan kematian bayi-bayi itu tiada kaitan dengan kecuaian pengasuh dan telah pun membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia akan menuntut ganti rugi kerana premisnya tidak dapat beroperasi seperti biasa akibat tindakan lak yang dikenakan dan akan menghantar notis melalui peguam untuk meminta JKM membuka balik kunci selain akan memfailkan saman fitnah ke atas tuduhan yang dilemparkan ibu bayi yang meninggal dunia pada 13 Mac lalu.

Sementara itu, Pengarah JKM Selangor, Nik Omar berkata, pihaknya mengambil tindakan lak ke atas premis berkenaan kerana ia gagal memenuhi syarat penubuhan seperti yang termaktub di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) 1984.

"Premis itu dikunci selama 21 hari sementara menunggu laporan bedah siasat berhubung kematian seorang bayi perempuan pada 13 Mac lalu.

"Jika pemilik ingin kenakan tindakan saman ke atas kita, itu terpulang kepada dia, itu haknya. Tetapi ingin ditegaskan bahawa tindakan yang kita lakukan ke atas premis itu adalah mengikut proses yang betul," katanya.

Menurutnya, pengasuh kanak-kanak di premis berkenaan juga masih belum memiliki sijil Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang diiktiraf JKM.

"Pada kebiasaannya JKM akan memberi tempoh setahun dalam tempoh mula operasi kepada pengasuh yang belum memiliki KAAK, tetapi setakat ini kita dapati pengasuh di Manjaku ini masih belum ada sijil itu. Memang mereka ada banyak sijil tetapi seperti yang kita syaratkan belum ada," katanya.

Tak sempat genggam ijazah



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Tak sempat genggam ijazah
Asrul Ezuan melihat keadaan pacuan empat roda yang terpelosok bawah bas ekspress yang dipandunya dalam nahas di Kilometer 140.5 Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan.
Tak sempat genggam ijazah
Keadaan Perodua Viva yang turut remuk di bahagian penumpang depan.
Tak sempat genggam ijazah
Motosikal yang ditunggang Muhammad Fadzlan rosak teruk di bahagian depan selepas dirempuh Perodua Viva.
KIJAL – Dua remaja lelaki termasuk mahasiswa cemerlang Kolej Universiti Tati (Tatiuc), maut dalam dua nahas berasingan yang berlaku dalam tempoh 22 jam, membabitkan empat kenderaan dan sebuah bas ekspres membawa seramai 11 penumpang di Teluk Kalong, dekat sini.

Dalam kejadian di simpang tiga ke Taman Seri Kalongan, Teluk Kalong, kira-kira jam 7 petang, Sabtu lalu, penuntut tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Pembuatan, Muhammad Fadzlan Ramli, 23, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta jenis Perodua Viva.

Nahas berlaku kira-kira 400 meter dari pintu pagar utama kampus induk Tatiuc dan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) Tatiuc menuju ke arah Kuala Terengganu.

Mangsa yang juga anak sulung daripada enam beradik sebelum itu menyiapkan projek acuan plastik bagi projek subjek ‘workshop’ di ITC.

Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa dipercayai dirempuh Perodua Viva yang dinaiki empat pemuda dari arah bertentangan yang ingin masuk ke simpang kawasan taman.

Lebih menyedihkan, mangsa tidak sempat menggenggam segulung ijazah kerana pengajiannya hanya berbaki dua minggu sahaja sebelum tamat pengajian.

Arwah mahu bawa balik motosikal

DALAM pada itu, bapa mangsa, Ramli Abdullah, 51, tidak menyangka hasrat arwah anaknya untuk membawa pulang motosikal ke rumah mereka di Paka, Dungun bertukar menjadi peristiwa duka.

“Arwah janji dengan saya untuk balik hantar motosikal pada waktu petang. Katanya, dia kurang selesa bawa motosikal, lagipun sementara tunggu tamat belajar, dia mahu tumpang kereta rakannya ke kuliah.

“Tapi kira-kira jam 7.30 petang semasa saya sedang menunggu arwah tiba di rumah, ada orang hubungi saya dan beritahu tragedi menimpanya,” kata Ramli ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada 24 Mac lalu dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Biasanya setiap Jumaat dan Sabtu arwah akan pulang ke rumah tetapi minggu ini dia tidak pulang kerana siapkan projeknya,” katanya.

Pada semester pengajian lalu Muhammad Fadzlan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan merupakan salah seorang penuntut yang disasarkan mendapat Anugerah Dekan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman dan jenazah kemudiannya dikebumikan din Tanah Perkuburan Limbong, Dungun kira-kira jam 2 pagi.

Kenderaan terbabas di laluan bertentangan

SEMENTARA itu, dalam nahas berasingan di Kilometer 140.5, Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Mohd Sakhrullah Kamaludin, 19, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Kemaman pada jam 9.59 malam, selepas pacuan empat jenis Mitsubishi Triton yang dipandunya merempuh sebuah bas ekspres di laluan bertentangan.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, mangsa yang beralamat di Rumah Murah Kemasik, dipercayai mengantuk menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terperosok di hadapan bas terbabit yang dinaiki 11 penumpang.

Pemandu bas, Asrul Ezuan Abd Malik, 30, berkata, dalam jarak kira-kira lima meter dia melihat pacuan empat roda itu masuk ke laluannya menyebabkan dia hanya sempat mengelak sedikit.
“Waktu lihat pacuan empat roda itu melencong masuk ke laluan kami, saya dan penumpang hanya mampu jerit ‘Allahu Akbar’ kerana terlalu terkejut.

“Dalam jarak yang sangat dekat ini, saya hanya mampu mengelak sedikit dan menekan brek kerana bimbang bas masuk cerun," katanya sambil meluahkan rasa syukur kerana semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk dirinya.

Bas ekspres berkenaan berlepas dari Kuantan kira-kira jam 2.15 dan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman selain patah tangan dan kaki.

Gempar jumpa bom mortar



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Gempar jumpa bom mortar
Kawasan di mana objek besi dipercayai bom ditemui penduduk. Gambar kecil: Bom mortar yang ditemui.
BENTONG – Kemeriahan sambutan perayaan memperingati nenek moyang di Tanah Perkuburan Cina Telemong, dekat sini, bertukar gempar apabila seorang daripada penduduk menemui objek besi tertanam di tepi jirat dipercayai bom, kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Curiga dan bimbang dengan perkara itu, penduduk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong bagi memaklumkan penemuan berkenaan bagi tujuan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati objek besi  ditemui penduduk itu disahkan sebagai bom mortar dengan ukur lilit 18 sentimeter (cm) dan panjangnya 26 cm.

“Namun begitu, tiada sebarang tanda pengenalan ditemui ke atas bom itu memandangkan keadaannya berkarat dan reput.

“Unit Pemusnah Bom memulakan kerja mengalihkan bom itu dalam tempoh satu jam namun disahkan tidak mempunyai bahan letupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, orang awam yang menemui objek atau bahan berbahaya seperti bom disarankan melaporkan terus kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kita juga nasihatkan orang awam supaya menjauhi kawasan objek ditemui dan tidak bertindak sendirian bagi mengelakkan kejadian tak diingini berlaku," katanya.

Sembunyi atas siling bilik, disyaki berkhalwat dua gadis



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Sembunyi atas siling bilik, disyaki berkhalwat dengan dua gadis
Dua gadis kolej yang disyaki berkhalwat dengan juruteknik hawa dingin dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut.
Sembunyi atas siling bilik, disyaki berkhalwat dengan dua gadis
Juruteknik hawa dingin dipercayai bersembunyi atas siling bilik hotel apabila diserbu pihak berkuasa ketika berada dengan dua gadis kolej yang bukan muhrimnya.
SURA – Tindakan seorang juruteknik bersembunyi di atas siling untuk mengelak dihidu pihak berkuasa, setelah disyaki berkhalwat dengan dua gadis bukan muhrim tidak berhasil, apabila taktiknya berjaya dikesan.

Suspek dikatakan naik ke atas siling bilik penginapan sebaik menyedari kehadiran sepasukan polis dan penguat kuasa syariah.

Bagaimanapun, dia berjaya ditangkap sebelum soal siasat dilakukan yang akhirnya membongkar rahsia hubungan sulitnya dengan dua gadis, masing-masing merupakan pelajar institut pengajian tingi awam (IPTA).

Suspek lelaki yang merupakan seorang juruteknik di sebuah pusat pengajian tinggi itu difahamkan sudah berkahwin, manakala dua gadis berasal dari Pahang dan Kuala Lumpur itu masing-masing berusia 20.

Kesemua suspek bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan khalwat.

Kes mereka bakal disebutkan di Mahkamah Rendah Syariah Dungun 24 April nanti dan sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Anggota polis cedera dipukul enam lelaki




2 April 2013
KEPALA BATAS - Seorang konstabel polis yang sedang beratur membeli makanan di sebuah kedai nasi kandar di Kampung Benggali, Butterworth dekat sini cedera dipukul enam lelaki dalam satu kejadian awal pagi 25 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kejadian pada 2.45 pagi itu berlaku apabila seorang daripada enam lelaki berusia 18 hingga 28 tahun itu bertindak memaki hamun anggota polis itu yang bertugas di Balai Polis Butterworth dan memakai pakaian biasa serta tidak bekerja ekoran cuti sakit.
"Ketika sedang beratur untuk membeli makanan, beliau didatangi enam lelaki terbabit sebelum mereka bertindak memaki hamunnya termasuk mencabar polis dengan berkata 'you anggota polis ka, kalau ada pistol you tembaklah saya'," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata anggota polis berusia 25 tahun itu yang tidak mengenali kumpulan lelaki berkenaan bertanya apa yang mereka tidak puas hati terhadapnya.
"Mereka terus memaki hamun dan menghina mangsa serta pasukan polis sebelum bertindak memukul dia menggunakan topi keledar. Orang ramai yang berada di situ tidak berani membantu berikutan kumpulan itu memberi amaran jangan masuk campur," katanya.
Abdul Rahman berkata ketika berlaku kekecohan itu, anggota terbabit sempat menghubungi bilik gerakan dan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian serta berjaya menahan empat lelaki berkenaan.
Katanya dua lagi berjaya melarikan diri selepas kejadian, bagaimanapun seorang daripadanya ditahan pada Isnin di Butterworth.
"Mangsa yang bertugas dalam pasukan polis sejak empat tahun lepas itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. Dia mengalami kecederaan di tangan kiri, mulut, badan dan lebam di mata serta muka," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan lelaki yang memukul mangsa mengenalinya sebagai anggota polis dan mereka bertindak sedemikian berikutan marahkan pasukan polis.
Abdul Rahman berkata lima lelaki yang ditahan itu juga mempunyai pelbagai  rekod jenayah lampau antaranya berkaitan curi, dadah, samun dan pecah rumah.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.
"Saya nasihatkan orang ramai agar menghormati anggota keselamatan dan jika ada yang tidak berpuas hati mereka boleh datang ke pejabat saya untuk membuat aduan dan bukan begini caranya untuk selesaikan (memukul anggota polis)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata hasil tindakan pantas orang ramai memaklumkan kejadian samun melibatkan seorang wanita berusia 51 tahun di Taman Merbau, Butterworth dekat sini berjaya membantu polis menahan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian berkenaan tidak sampai enam jam.
Katanya dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan di Bagan Ajam dan polis menemui semula seutas rantai emas milik mangsa yang disamun mereka dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi, semalam.
"Kejadian samun itu berlaku di hadapan rumah mangsa dan disedari beberapa jirannya yang terus memaklumkan kepada polis. Kita menjejaki dua lelaki terbabit menerusi nombor pendaftaran motosikal milik seorang daripada mereka yang berjaya dicam oleh jiran mangsa," katanya.
Katanya mereka yang mempunyai rekod jenayah itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - Bernama

63 rumah di Kodiang rosak akibat ribut




2 April 2013
JITRA - Sebanyak 63 rumah di tiga kampung di Kodiang dekat sini rosak teruk terutama di bahagian bumbung selepas dilanda ribut petang semalam.
Kejadian kira-kira 6 petang itu melibatkan 45 rumah di Kampung Paya Pida Satu, 13 di Kampung Pida Empat dan lima di Kampung Kandis dengan jumlah kerugian keseluruhan hampir RM1 juta.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu.
Seorang mangsa kejadian itu, Habsah Ahmad, 69, dari Kampung Paya Pida Satu berkata ketika kejadian, dia bersama tiga anak dan menantu serta tiga cucunya berusia antara tiga bulan dan lima tahun berada di rumah.
Katanya dia yang terdengar bunyi deruman angin kencang sehingga bumbung rumahnya diterbangkan angin melarikan diri dengan menaiki kereta milik anaknya bersama keluarganya untuk mencari tempat selamat.
"Masa tu makcik lihat zink terbang. Makcik jadi takut dan bawa cucu berusia lima tahun selamatkan diri. Makcik syukur semua anggota keluarga makcik termasuk cucu berusia tiga bulan selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Abdullah Awang, 68, dari Kampung Paya Pida Satu berkata dia kerugian kira-kira RM100,000 setelah bumbung rumahnya serta barangan elektrik di dalam rumahnya rosak.
Dia yang menceritakan detik-detik cemas kepada pemberita bersama isterinya Hasma Hussin, 64, berkata kejadian berlaku dengan pantas sehingga tidak sempat untuk menyelamatkan barangan berharga.
Katanya dia bersama isteri cuba keluar rumah dan melihat bumbung rumah terbang seperti burung dan masuk semula ke dalam rumah sehingga keadaan kembali normal.
"Saya hanya mampu melaungkan azan sahaja. Kami cuba nak selamatkan diri dengan keluar rumah dan bila lihat zink berterbangan kami masuk semula ke dalam rumah. Bila angin dah habis saya lihat semua bumbung rumah saya dan jiran habis (diterbangkan)," katanya.
Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang turun padang melawat mangsa kejadian turut menyalurkan bantuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meringankan beban yang dialami mereka.
Mukhriz berkata buat sementara ini anggota keluarga yang terlibat ditempatkan di tiga pusat penempatan termasuk di Dewan Orang Ramai Batu 1 sebelum bantuan susulan daripada kerajaan pusat untuk memperbaiki rumah dibuat dalam tempoh terdekat.
"Ada antara anggota keluarga mereka tinggal di rumah bagi menjaga keselamatan barangan di dalam rumah. Kita juga minta anggota Rela menjaga kawasan rumah yang rosak," katanya. - Bernama