Search This Blog

Monday, April 1, 2013

Guru tari dihukum penjara terlibat kes pelacuran profil tinggi




1 April 2013
PORTLAND - Seorang guru tari berhadapan hukuman penjara setelah mengaku menggunakan studio tarian Zumba miliknya bagi menjalankan kegiatan pelacuran. 
 
Alexis Wright terlibat dalam perbicaraan berprofil tinggi kerana mendedahkan video seks, pertunjukan dan pornografi, dijadualkan bakal menjalani hukuman penjara bermula 31 Mei ini selama 10 bulan.
 
Wright dengan perlahan menyatakan dirinya bersalah apabila hakim membacakan pertuduhan ke atasnya. 
 
Dia terlibat dengan aktiviti pelacuran, promosi pelacuran, konspirasi, mengelak cukai dan penipuan.
 
“Kami amat berpuas hati dengan keputusan tersebut. Hukuman itu setimpal dengan kesalahan yang dia lakukan,” kata Penolong Peguam Negara, Darcy Mitchell selepas perbicaraan.
 
Wright, turut dituduh bersubahat dengan ejen insuran, Mark Strong Sr bagi menjalani perniagaan pelacuran. 
 
Terdapat juga rekod menunjukkan beliau mampu meraih pendapatan sebanyak AS$ 150,000 (RM 465,000) dalam tempoh 18 bulan.
 
Beliau turut dituduh menggunakan kamera tersembunyi bagi merakamkan aktiviti seks tanpa pengetahuan pelanggannya.
 
Dia pada mulanya didakwa dengan 106 hukuman dan semua tuduhan terlibat dengan salah laku termasuk tiga tuduhan berkaitan kebajikan dan penipuan cukai tetapi ia dikurangkan daripada feloni.
 
Skandal pelacuran ini menjadi semakin sensasi berikutan laporan mengatakn Wright mempunyai sekurang-kurangnya 150 pelanggan melibatkan orang kenamaan.
 
Ini termasuk bekas Datuk Bandar, jurulatih hoki sekolah tinggi, menteri, peguam dan juga ahli bomba.

Warga emas maut dilanggar ketika lintas jalan bersama isteri




1 April 2013
KUANTAN - Seorang warga emas maut manakala isterinya cedera selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Waja di Km 330 Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, dekat Kampung Jeruas, Raub semalam.
Mangsa, Yusof Buruk, 81, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Jeruas, Raub manakala isterinya, 75, cedera di kepala kini dirawat di Hospital Raub.
Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Shamsudin Wan Osman berkata dalam nahas 6.45 petang itu kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Benta, Lipis.
"Dipercayai di tempat kejadian, pemandu (lelaki) kereta berkenaan, 49, telah membunyikan hon dan cuba membrek kenderaannya namun gagal sebelum melanggar pasangan suami isteri warga emas terbabit yang sedang melintas jalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Jeruas Sega, Raub itu dipercayai melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kereta terbabit.
Wan Shamsudin berkata semasa kejadian cuaca baik namun keadaan gelap berikutan tiada lampu jalan di situ dan jalan lurus bergarisan kembar. - Bernama

2 lelaki Nigeria dan wanita Filipina didakwa culik jurutera warga Jepun




1 April 2013
KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang jurutera warga Jepun bulan lepas.

Okwara Victor Emeka, 40, dan Kalu Okoro Okeke, 31, masing-masing pelajar dan pembantu rumah Divina Gutierrez Matias, 34, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa di depan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 31 Mei untuk sebutan.

Mereka didakwa menculik Shunsuke Kobayakawa, 50, yang juga kawan kepada Divina dan menahan serta mengurungnya di sebuah bilik di Venice Hill Condo, Bt. 9 Cheras, Kajang untuk wang tebusan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lebuh Pudu berhampiran Submarine Guest House, Dang Wangi di sini pada 11.30 malam 13 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Leonard Anselm Gomes.- Bernama

Kes tembak di Balakong: Polis tahan penyelenggara lif




1 April 2013
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang penyelenggara lif yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembak dan tetak seorang lelaki  di Taman Seri Timah, Balakong, Kajang pada Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintenden Azman Ayob berkata suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada kira-kira 2  petang sekitar Balakong bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana  melepaskan tembakan.
Dalam kejadian di depan sebuah rumah di taman itu pada kira-kira 4.50 pagi Sabtu lepas, mangsa, G. Lingeswaran, 29, cedera ditembak di peha kanan dan ditetak di kepala serta tangan kiri dalam satu pergaduhan.

Azman berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui satu sarung pedang, sebutir peluru hidup dan dua kelongsong peluru manakala senjata  api yang digunakan tidak ditemui. - Bernama

Kilang papan musnah terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Kilang papan musnah terbakar
Anggota bomba berusaha memadam api daripada merebak ke kilang berhampiran.
AMPANG - Sebuah kilang papan di kawasan perindustrian Kampung Baru Ampang, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nizam Abdul Razak, berkata, pihaknya terima panggilan daripada orang awam pada jam 2.16 pagi.

Menurutnya, seramai 35 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Ampang, Hang Tuah, Jelatek, Cheras dihantar ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Api sedang marak ketika kami tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian, kami  mengambil masa dua jam untuk mengawal api itu daripada merebak ke kilang berhampiran.

“Kami menghadapi kesukaran memadam api berikutan tekanan air rendah dan pili bomba berada jauh dari lokasi kejadian. Difahamkan ketika kejadian kilang tersebut tidak beroperasi,” katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Serangan puting beliung



NOR AZURA MD AMIN
1 April 2013
Serangan puting beliung
Air hujan dan serpihan bumbung memenuhi ruang dapur rumah Mohd Faizul akibat puting beliung.
PONTIAN - Bumbung empat rumah di Taman Hidayat, Pekan Nenas, di sini, rosak diterbangkan puting beliung dalam kejadian petang kelmarin.

Bagaimanapun, kejadian sekitar jam 4 petang selama beberapa saat itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa mahupun kecederaan kepada penduduk taman perumahan itu.

Saksi kejadian, Noor Abu, 49, mengakui terkejut melihat beberapa keping bumbung jiran di hadapan rumahnya ‘terbang’ sebelum terjatuh ke atas jalan.

“Keadaan cuaca cerah tanpa angin dan ribut pada mulanya. Saya yang sedang berehat di rumah tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising seperti orang sedang bertukang.
“Apabila lihat luar rumah melalui tingkap, alangkah terkejutnya saya apabila terlihat bumbung rumah jiran berterbangan, badan saya menggigil ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Mangsa, Jamilah Safian, 37, berkata, bunyi bising di bahagian dapur rumah membuatkan mereka sekeluarga tidak senang duduk.

Katanya, ketika kejadian dia dan suami, Shahrom Kosnan, 33, bersama tiga cahaya mata berusia antara lima hingga 10 tahun sedang berehat di ruang tamu.

“Sebaik saja ke dapur, saya lihat beberapa keping bumbung rumah sudah tiada kerana diterbangkan angin. Tidak lama selepas itu, saya sekeluarga terus keluar dari rumah untuk meminta bantuan.

“Mujurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan kami sekeluarga selamat. Cuma rumah digenangi air berikutan hujan lebat sejam selepas puting beliung melanda,” katanya.

Bagi Mohd Faizul Rosli, 25, dia tidak sangka perasaan tidak sedap hati yang dirasainya ketika sedang bekerja menjadi petanda rumahnya dilanda puting beliung.

“Saya asyik teringatkan rumah. Perasaan itu terjawab apabila salah seorang jiran menelefon memberitahu bumbung rumah saya sudah terbang akibat puting beliung.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana isteri, Siti Nurazila Razman, 23, bersama dua anak berusia empat bulan dan dua tahun tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri kahwin,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 40 keping bumbung disumbangkan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng menerusi wakilnya, Ketua Pemuda MCA Tanjung Piai, Wong Kin Leong kepada mangsa yang terlibat ketika mengadakan lawatan ke lokasi sejurus selepas kejadian.

BPF rampas ubat tidak berdaftar dengan kementerian



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
IPOH – Ubat-ubatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan termasuk ubat tradisional mengandungi risiko kepada manusia kerana dicampurkan dengan racun berjadual.

Ekoran daripada itu, sepasukan anggota Bahagian Penguat kuasa Farmasi (BPF) Perak telah melakukan serbuan di lima premis kedai ubatan tradisional sekitar Tasek di sini, kelmarin.

Menurut sumber BPF, hasil siasatan mendapati premis berkenaan turut menyimpan pelbagai ubatan tidak berdaftar.

“Apa yang dibimbangkan pemilik memiliki bahan kimia berasaskan steroid dipercayai diadun bersama produk lain untuk dijadikan ubat tahan sakit sendi.

“Berdasarkan ujian makmal, kandungan steroid yang sengaja diadun boleh memberi kesan sampingan termasuk meningkatkan tekanan darah tinggi, merosakkan buah pinggang hingga membawa kepada kematian,” katanya.

Katanya, BPF turut merampas beratus pil perancang keluarga yang dipercayai di seludup dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“Ketika soal siasat, salah seorang pemilik premis berusia 50 an cuba memberi alasan kononnya pil perancang keluarga digunakan oleh isterinya.

Kita turut merampas ubat antibiotik, darah tinggi, ubat batuk dan selesema, ubat perangsang seks, kencing manis dan pelbagai ubat yang tidak didaftarkan dengan kementerian.

“Pemilik kedai disiasat mengikut Peraturan 7(1)(b) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penguat kuasa Farmasi Perak, Ahmad Nozrin Taharin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memilih pusat rawatan tradisional dan jika terdapat sebarang keraguan, mereka dinasihatkan berhenti mengunjunginya serta membuat laporan kepada bahagian farmasi.

Gagal seludup daun ketum



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
PENGKALAN HULU – Seorang lelaki warga Thailand ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah 30 kilogram daun ketum bernilai RM3,600 dalam bonet sebuah kereta di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan ketika sedang melalui pemeriksaan sekatan jalan raya di Kilometer 4.5, Jalan Pengkalan Hulu–Betong berhampiran Kampung Ayer Panas.

Komander UPP Negeri, Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, permintaan yang tinggi dari negara jiran serta harga mahal menjadi tarikan utama penyeludupan ini.
Menurutnya, sebaik ditahan, penyelia bertugas, Koperal Prida Prak Khim terus meminta empat anggota memeriksa bahagian belakang kenderaan itu. 
“Suspek yang berasal dari Narathiwat itu membeli bekalan daun ketum di Alor Setar, Kedah dengan harga antara RM25 hingga RM50 sekilo dan dijual dengan harga pasaran berjumlah RM100 hingga RM120 sekilo.

“Daun-daun ini dibungkus dalam plastik dan diletakkan dalam plastik hitam dalam bonet dengan harapan pihak berkuasa tidak melakukan pemeriksaan pada waktu pagi,” katanya.

Menurutnya, suspek memasuki negara ini pada melalui Bukit Kayu Hitam pada 25 Mac lalu.
“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan penjara tidak lebih empat tahun atau denda RM10,000,” katanya.

Penternak maut kena tetak



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
Penternak maut kena tetak
Mayat mangsa ditemui 300 meter dari kabin tempat tinggalnya di kawasan Padang Ragut Geduk, semalam.
TAMPIN – Seorang penternak kambing dan lembu ditemui mati dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan tetakan di bahagian kaki, kira-kira 300 meter dari kabin tempat tinggalnya di Padang Ragut Geduk, di sini, semalam.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Wai Yee Meng, 54, ditemui oleh salah seorang anak buahnya yang melakukan gerakan mencari selepas seorang pekerja penghantar makanan ternakan gagal menemui Yee Meng untuk mengambil bayaran.

Menurut sumber, anak buah mangsa dan pekerja berkenaan sudah mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku susulan seekor anjing yang diikat di kawasan kandang ternakan itu turut mati dikerat,  manakala keadaan pintu ke kawasan ladang ternakan berkenaan seolah-olah dilanggar dengan kenderaan berat.

“Kedua-duanya berusaha mencari mangsa dan akhirnya mereka terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan terdapat lampu suluh tidak jauh dari sisinya.

Mereka bergegas menghubungi rakan penternak yang lain bagi membantu menghubungi balai polis berdekatan.

“Mangsa sememangnya sudah lama tinggal di kawasan ladang berkenaan bagi menjaga ternakan kambing dan lembu yang
diusahakan sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian, di, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Sepasukan polis IPD Tampin dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinen (IPK) Negeri  bergegas ke lokasi bagi menyiasat kes berkenaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Warga emas cedera terkena peluru sesat



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2013
Warga emas cedera terkena peluru sesat
Badan Faridah yang cedera selepas terkena tembakan. Gambar kecil : Peluru yang berjaya dikeluarkan dari badan Faridah
ALOR GAJAH - Seorang warga emas sempat menahan pemburu babi setelah badannya terkena tembakan peluru penabur yang dilepaskan lelaki itu dalam kejadian di Pulau Sebang, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa, Faridah Ahmad, 58, sedang mengambil jaring ikan di tali air tidak jauh dari rumah sementara suaminya, Hamzah Mohd Nor, 60, berada di rumah.

Menurutnya, dia berdiri berdekatan tali air sebelum terdengar bunyi tembakan dan mula terasa berbisa di bahu kiri.

"Seolah-olah ada objek berat terkena pada belakang badan, namun saya terus angkat jaring ikan itu.

"Kemudiannya saya dapati ada darah sebelum terlihat seorang lelaki sedang memegang senapang patah sambil memasukkan haiwan buruan dalam plastik," katanya.

Faridah berkata, dalam keadaan kesakitan dia berlari memasuki rumah dan memaklumkan kejadian yang berlaku kepada suami.

"Suami memeriksa luka yang saya alami dan mendapati ada objek tertanam di bahu kiri serta segera meminta saya memanggil lelaki terbabit yang masih berada di celah semak.

"Sewaktu mendekatinya, lelaki itu cuba melarikan diri namun akur untuk mengikutnya pulang ke rumah," katanya.

Katanya, suami memberitahu akan membuat laporan polis selain bertanya pemilikan senapang berkenaan sebelum lelaki itu merayu minta dilepaskan.

"Lelaki itu merayu suami menerima RM200 sebagai kos rawatan namun suami enggan dan terus membawa saya ke balai polis untuk laporan.

"Saya kemudiannya dihantar ke Hospital Tampin kira-kira 6.30 petang dan dirujuk ke Hospital Melaka untuk pembedahan," katanya.

Manakala Hamzah berkata, dia tersentak mendengar tiga das tembakan sebelum isterinya mendapatkannya sambil menahan sakit.
"Saya berang dengan tindakan lelaki itu yang mahu menyelesaikan masalah dengan mudah tanpa memikirkan keselamatan orang awam hingga menyebabkan isteri cedera," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan di Pulang Sebang petang, kelmarin.

“Suspek ditahan kira-kira 7 petang semasa di rumahnya di sekitar Pulau Sebang dan ditahan reman selama empat hari,. kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Polis 1960” katanya.

Maritim rampas 40kg dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2013
Maritim rampas 40kg dadah
Abu Bakar (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 5, Kuala Linggi berjaya mematahkan cubaan tiga lelaki membawa dua bagasi disyaki berisi dadah seberat anggaran 40 kilogram di perairan Selat Melaka, pagi semalam.

Ketua Penguatkuasaan Maritim DM5 Kuala Linggi, Kapten Abu Bakar Idris berkata, operasi khas terbabit diketuai Leftenan Komander Maritim Muhammad Suhairy Hussain yang bermula pada 11 malam.

Menurutnya, kira-kira 6.25 pagi, pegawai operasi bersama tiga anggota menaiki bot Kilat 19 mengesan pergerakan sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan pada jarak kira-kira tiga batu nautika.

"Anggota mengarah bot gentian kaca itu supaya berhenti, namun amaran diberi tidak diendahkan malah bertindak ganas dengan memandu bot secara agresif dengan berpusing beberapa kali.

“Selepas beberapa kali berpusing, bot terbabit bertindak melanggar bahagian belakang bot Maritim dan tembakan amaran ke udara telah dilepaskan sebanyak 10 kali," katanya.

Abu Bakar berkata, bot terbabit kemudiannya cuba memecut laju ke arah selatan perairan Melaka sebelum tekong dan awak-awak bot itu bertindak mencampakkan dua bagasi warna hitam dan terdapat label ke laut.

"Bot itu memecut laju ke arah negara seberang dan anggota segera mendapatkan dua bagasi yang hampir tenggelam yang mana jarak antara dua beg kira-kira 0.3 meter,” katanya.

Katanya, kedua-dua bagasi terbabit dibawa ke pengkalan di Kuala Linggi dan pemeriksaan mendapati satu beg dilabel S2-(K20) mengandungi 20 bungkus plastik pil warna kuning disyaki dadah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas satu lagi beg dilabel S2-(K26) mengandungi 20 bungkus plastik besar dan enam paket kecil berisi pil berwarna merah jambu disyaki dadah dengan label dengan S2-A hingga S2-Z.

“Setiap bungkusan plastik besar berisi pil berkenaan dianggarkan seberat satu kilogram manakala enam bungkusan plastik kecil pil berwarna merah jambu dianggar seberat 500 gram setiap satu.

“Keseluruhan nilai rampasan ke atas dua beg mengandungi 46 bungkusan disyaki berisi dadah itu dianggar RM2 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media, semalam.

Geng samun awal pagi tumpas



M JEFFRI RAZALI
30 Mac 2013
Geng samun awal pagi tumpas
Raja Shahrom (tengah) dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Superintendan PR Gunarajan (kiri) menunjukkan tukul besi dan spanar yang dirampas daripada suspek.
BUKIT BERUANG - Sekumpulan penjenayah yang sering menyasarkan vendor akhbar serta orang awam pada waktu awal pagi akhirnya tumpas di tangan polis berikutan  tertangkapnya empat anggota kumpulan berkenaan kelmarin.

Kumpulan tersebut dilaporkan sering bergerak aktif pada awal pagi, kebiasaannya antara jam 4 pagi dan 6 pagi dengan menjadikan vendor akhbar yang menghantar surat khabar sebagai mangsa samun mereka.

Selain itu, suspek, yang berusia antara 19 dan 24 tahun, dikatakan turut menyasarkan orang awam sama ada mereka yang keluar bersenam atau ke pasar pada waktu berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis berjaya menumpaskan kumpulan berkenaan hasil tertangkapnya salah seorang ahli kumpulan kira-kira jam 4.30 petang kelmarin di Bukit Baru.

Hasil soal siasat, polis berjaya menahan tiga lagi suspek, termasuk seorang yang dipercayai ketua kumpulan berkenaan, di Permatang Duyong, Taman Seri Duyong dan Taman Tasik Duyong kelmarin.

Siasatan polis mendapati salah seorang daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod jenayah dadah.

Hasil penahanan berkenaan, polis turut merampas sejumlah barangan termasuk tukul besi, spanar, pisau, empat motosikal, empat topi keledar serta lima telefon bimbit.

“Kejayaan ini adalah hasil penubuhan sebuah pasukan bertindak (task force) yang ditubuhkan khas bagi menyiasat kes-kes seumpama ini berikutan kegusaran yang meningkat dalam kalangan orang awam.

“Dengan tertangkapnya anggota kumpulan ini, polis percaya dapat menyelesaikan kira-kira 20 kes samun yang dijalankan semenjak mereka mula bergerak aktif Februari lalu,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Negeri di sini, semalam.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Menurut Raja Shahrom, suspek dengan bersenjatakan besi, pisau atau parang akan mengikuti mangsa ketika berada di kawasan sunyi sebelum mengugut mencederakan mereka sekiranya mereka tidak menyerahkan barangan berharga mereka.

Menurutnya, ada dalam kalangan mangsa yang turut mengalami cedera ringan apabila dipukul suspek atau ditendang dari motosikal mereka.

“Polis kini sedang memburu dua lagi anggota kumpulan ini, yang dikenali Rashid dan Lan. Saya percaya mereka ini akan berjaya diberkas dalam sedikit masa lagi.

“Pada masa sama, polis juga ingin menasihatkan mereka yang pernah menjadi mangsa tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Bapa rayu anak pulang



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2013
Bapa rayu anak pulang
Yen Hui
JASIN - Seorang bapa merayu orang ramai membantu mencari anak keduanya, Lim Yen Hui, 17, yang menghilangkan diri setelah keluar dari rumah mereka di Kampung Ayer Merbau, dekat sini sejak 26 Februari lalu.

Lim Lam Seng, 53, berkata, anaknya sudah lebih setahun tidak ke sekolah dipercayai keluar mengikut seorang lelaki yang dikenali melalui laman sosial.

"Saya harap dia segera pulang. Saya sedih lebih-lebih lagi isteri yang mengalami tekanan jiwa sukar menerima kehilangan anak kami.

"Jika sesiapa mengetahui di mana Yen Hui berada diharap segera hubungi saya di talian 013-6913863 dan 013 6580050,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir Melaka.

Menara Eiffel diancam bom palsu




1 April 2013
Menara Eiffel diancam bom palsu
Pekarangan Menara Eiffel dikawal rapi oleh pasukan keselamatan susulan panggilan bom palsu.
PARIS - Pihak pengurusan Menara Eiffel bertindak pantas mengosongkan kawasan pelancongan itu daripada pengunjung selepas menerima ancaman bom menerusi panggilan telefon, kelmarin.

Dipetik AP, menurut pegawai, kira-kira 1,400 pengunjung diarah keluar dan menjauhi kawasan menara itu.

Selain menutup kawasan terdekat, pasukan polis turut menjalankan siasatan kecemasan membabitkan unit anjing pengesan dan pemusnah bom.

Bagaimanapun, kawasan Menara Eiffel dibuka semula kepada pengunjung selepas pihak polis mendapati ianya adalah panggilan bom palsu.

Sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa Perancis terpaksa meningkatkan tahap keselamatan susulan usaha kerajaan negara itu dalam memerangi al-Qaeda di Mali.

Dua jam mengerang sakit, terbabas masuk gaung



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Dua jam mengerang sakit
Pasukan penyelamat cuba mengeluarnya ketika tersepit.
Mazlan
Mazlan menunjukkan keadaan kakinya yang cedera akibat tersepit.
KUALA KETIL - Seorang pemandu lori terpaksa menahan sakit selama dua jam akibat tersepit dalam kejadian kemalangan di kilometer 7 Jalan Malau- Batu 7 kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.
Mangsa, Mazlan Abas, 53, dari Kampung Charuk Gorok, Mukim Pulai berhadapan situasi itu setelah lori yang dipandunya masuk ke dalam gaung sedalam hampir tiga meter.
Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa dalam kejadian itu.
Keadaan sekeliling yang dipenuhi semak selain permukaan tanah yang tidak rata turut memberikan kesan kepada operasi menyelamat itu.
Bagaimanapun, ayah kepada lima anak itu berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan tangan.
Mazlan berkata, kejadian berlaku setelah dia cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Keadaan itu mengakibatkan lori muatan getah sekerap itu terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung tersebut.

Menurutnya, dia hanya mampu beristighfar dan mengucap panjang setelah lori yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung itu.

“Saya hanya berserah kepada tuhan. Kemudian, saya sedar saya telah berada di bawah gaung. Saya cuba keluar. Tapi, kaki dan tangan saya tersepit,” katanya.

Katanya, dia menjerit meminta pertolongan, tetapi tiada siapa yang tampil berikutan tiada siapa yang melihat kejadian itu.
“Tambahan pula, kawasan ini jauh dari kawasan kampung dan jalan raya. Pengguna jalan tidak akan dapat lihat sekiranya mereka tidak berhenti dan melihat dalam gaung ini.

“Selama dua jam saya mengerang kesakitan dalam lori itu. Selepas itu, barulah  saya dengar bunyi riuh-rendah orang ramai.

Difahamkan, kejadian itu disedari setelah terdapat seorang penduduk yang melalui kawasan itu setelah terbau getah sekerap yang bertaburan.
Mazlan yang dalam keadaan lemah itu telah dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan mengesahkan kejadian berkenaan.

Remaja lelaki humban motosikal sebelum cabut lari



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Remaja lelaki humban motosikal sebelum cabut lari
Motosikal suspek disita berikutan tiada cukai jalan.
KULIM - Gara-gara takut ditahan polis, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sanggup meninggalkan motosikalnya ditepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran jerat Cina di sini kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, ketika ditahan suspek dilihat sedang menunggang berseorangan dengan motosikal jenis Honda dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, unit MPV ketika itu membuat rondaan mencegah jenayah menahan suspek dan membuat pemeriksaan.

“Suspek memberhentikan motosikal di bahu jalan setelah diarahkan berbuat demikian oleh anggota unit MPV. Sebaik saja polis menghampiri suspek dan meminta supaya menunjukkan lesen memandu dan kad pengenalan, suspek bertindak agresif dengan mencampakkan motosikalnya sebelum melarikan diri.
"Orang ramai dan ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang berada di tempat kejadian kemudiannya mencari suspek dan ternampak suspek menyembunyikan diri di sebuah restoran nasi kandar.

"Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala motosikalnya disita kerana tidak mempunyai cukai jalan,” katanya.

Ismail menasihatkan mana-mana pemilik motosikal supaya jangan sesekali membenarkan pelajar bawah umur atau mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal. Ini adalah kerana sekiranya suspek ditahan, polis turut mengeluarkan saman terhadap pemilik motosikal.

Katanya, polis terpaksa bertindak lebih serius dalam menangani masalah penunggang motosikal yang tidak mengendahkan undang-undang jalan raya ditetapkan. Sehingga penghujung Mac 2013, lebih 15 kemalangan maut dilaporkan berlaku dan pelajar sekolah merupakan mangsa paling ramai terlibat.

Polis buru lelaki bertopeng



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
SHAH ALAM –  Polis kini sedang memburu lelaki bertopeng yang dipercayai menembak mati seorang pengusaha salun kecantikan dari jarak dekat di luar kedainya di Jalan Pinggiran Putra 25, Seri Kembangan, Serdang, dua hari lalu.

Menurut sumber, berkemungkinan suspek merupakan gangster atau pembunuh upahan. 

Katanya, sebarang andaian tidak dapat diketahui selagi kes masih lagi disiasat sehingga Selasa ini.

Menurutnya, mangsa seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh.

Pengusaha salun kecantikan berkenaan selamat dikebumikan petang kelmarin.

Sebelum ini, Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, Edisson S Pillai, 37, ditembak seorang lelaki bertopeng, jam 6 petang, Sabtu lalu.

Katanya, mangsa ditembak dua das di dahi, tiga das di tubuhnya dan mati di tempat kejadian.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pesanan terakhir arwah abang



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Pesanan terakhir arwah abang
Arwah Izman diusung untuk solat jenazah.
KANGAR - “Kelakuan arwah malam (kelmarin) agak pelik kerana dia tidak henti-henti suruh menjaga emak jika dia tiada nanti dan berulang kali memohon maaf sekiranya pernah melakukan salah dan silap kepada keluarga.

“Namun saya tak sangka itu kali terakhir saya tatap wajah arwah pergi menghadap Ilahi buat selamanya,” luah Izzati Aina, 14, adik kepada Izman Arif, 15, yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori di Jalan Sungai Bharu menghala ke Padang Besar Selatan.

Menurut Aina, kebiasaan, abangnya jarang menunjukkan gambar disimpannya di telefon bimbit, namun semalam sebelum kejadian, dia tidak semena-mena menunjukkan gambar simpanannya sebelum keluar dari rumah menuju ke kelas tuisyen.

“Apabila dia (abang) menunjukkan gambarnya, saya hanya balas akan jaga emak kerana emak abang, emak Aina juga.

“Memang banyak perubahan arwah sejak kebelakangan ini kerana arwah kurang bercakap dan asyik termenung. Sebelum ini, dia seorang ceria dan peramah dengan keluarga,” katanya yang tidak mampu menahan sebak menceritakan kejadian berkenaan.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang dirempuh sebuah lori empat tan bersama ibunya Che Anita Che Man, 37, ketika itu dalam perjalanan pulang selepas mengambil Izham dari pusat tuisyen berdekatan.

Namun, ibu mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat sini, semalam.

“Saya hanya dapat maklumat kemalangan itu lepas seorang saksi di tempat kejadian hubungi saya,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian segera menghubungi bapanya yang ketika itu berada di Arau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan laporan kemalangan berkenaan yang berlaku kira-kira jam 10.35 malam, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang dua beranak itu dari arah Sungai Bharu ke Padang Besar Selatan melanggar belakang sebuah lori dari arah sama.

“Mangsa seorang remaja lelaki maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang wanita yang juga ibunya, mengalami kecederaan dalaman sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Setengah jam pujuk mangsa keluar kenderaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Setengah jam pujuk mangsa keluar kenderaan
Honda CRV dinaiki tiga sahabat terbabas merempuh tembok, lalu terbalik.
ALOR GAJAH - Seorang wanita cedera apabila kereta dinaiki bersama dua rakannya terlibat kemalangan di Kilometer 211.3 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, Delaila Ahmad, 26, cedera selepas kereta Honda CRV dipandu Rahmat Naning, 50-an, dari Johor Bahru terbabas lalu terbalik ketika dalam perjalanan ke Subang, Selangor.

Bagaimanapun, Rahmat dengan seorang lagi penumpang, Suhaila Ismail, 35, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut sumber, kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabas ke kiri lebuhraya sebelum merempuh tembok tebing dan terhumban ke dalam longkang sehingga keempat-empat tayar kenderaan itu ke atas.

"Ketika kejadian, kereta dinaiki kesemua mangsa berada di lorong tengah sebelum dilihat dalam keadaan terhoyong-hayang meluncur laju ke kiri jalan sehingga ke tebing dan merempuh tembok.

"Kereta terbalik itu kemudian terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas. Bagaimanapun, mangsa berada dalam keadaan sedar dan tidak tersepit,” katanya.

Menurutnya, menyedari keadaan dua mangsa wanita yang tergamam dalam kereta, orang awam mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memujuk mereka keluar dari kenderaan terbabit.

“Wanita berusia 26 tahun itu mengadu sakit di bahagian dada serta di kaki, namun enggan keluar dari kereta terbabit meskipun dipujuk beberapa kali untuk dihantar ke hospital.

“Kira-kira setengah jam kemudian barulah mangsa keluar dari kereta dibantu orang awam dan duduk di tebing sambil ditenangkan orang ramai," katanya.

Katanya, orang awam kemudian segera menghubungi bantuan kecemasan sebelum ambulan tiba beberapa minit kemudian untuk membawa dua mangsa ke Hospital Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kilang papan musnah terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Kilang papan musnah terbakar
Anggota bomba berusaha memadam api daripada merebak ke kilang berhampiran.
AMPANG - Sebuah kilang papan di kawasan perindustrian Kampung Baru Ampang, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nizam Abdul Razak, berkata, pihaknya terima panggilan daripada orang awam pada jam 2.16 pagi.

Menurutnya, seramai 35 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Ampang, Hang Tuah, Jelatek, Cheras dihantar ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Api sedang marak ketika kami tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian, kami  mengambil masa dua jam untuk mengawal api itu daripada merebak ke kilang berhampiran.

“Kami menghadapi kesukaran memadam api berikutan tekanan air rendah dan pili bomba berada jauh dari lokasi kejadian. Difahamkan ketika kejadian kilang tersebut tidak beroperasi,” katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Lans Koperal dipenjara 9 tahun



RUBIAH OMAR
1 April 2013
Lans Koperal dipenjara 9 tahun
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan, manakala rakannya seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Azizan Shaari, 30, dari Cawangan Bengkel Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, manakala rakannya Jeffridin Manan, 33, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah melakukan rompakan menggunakan senjata api jenis revolver di sebuah kedai emas di Marang, kira-kira dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa merompak barang kemas bernilai RM35,000 milik Fong Swee Heng, 50, dan semasa melakukan rompakan itu menggunakan sepucuk senjata api revolver dan satu tukul besi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di Kedai Emas Swee Heng, Wakaf Tapai, Marang, kira-kira jam 11.30 pagi, pada 28 November 2011.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohamad Nazri di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, manakala Jeffridin dan Azizan masing-masing diwakili peguam, Osman Bakar dan Bernard.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kejadian rompakan yang berlaku sebaik saja kedai dibuka pada waktu siang dan di tempat awam dengan tertuduh menutup muka.

Katanya lagi, ia satu rompakan dirancang secara teratur dan paling penting rompakan itu menggunakan senjata api iaitu pistol menyebabkan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal.

“Hukuman penjara lebih lama diberikan kepada tertuduh kedua (Azizan) kerana sebagai polis, dia sepatutnya menjaga dan melindungi orang awam, tetapi bertindak sebaliknya apabila turut sama-sama melakukan jenayah,” katanya.

Lori bawa air mineral terbalik



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Lori bawa air mineral terbalik
Orang ramai membantu polis menyusun semula kotak air mineral yang bertaburan.
KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori bersama kelindannya berdepan detik mencemaskan apabila lori dinaiki mereka terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Persimpangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, pemandu lori, Muhammad Zulkifli Harun, 28, ditemani kelindannya, Muhammad Azli Yusof, 34, dalam perjalanan menghantar 200 karton air mineral dari Kampung Tanjung ke Pulau Kambing, di sini.

Menurut sumber, semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai menekan brek kecemasan apabila dikatakan cuba mengejar lampu isyarat.

“Pemandu lori terbabit dipercayai memandu dengan laju kerana cuba mengejar lampu isyarat sebelum menekan brek kecemasan di persimpangan lampu isyarat dan terbabas lalu terbalik,” katanya.

Susulan kejadian, kelancaran lalu-lintas di lokasi kejadian tergendala hampir 20 minit sebelum berjaya diatasi oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.

Seorang maut dalam kemalangan tiga kenderaan



MOHD TAHA YAACOB
1 April 2013
Seorang maut dalam kemalangan tiga kenderaan
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat. lori di Tanjung Demong, kelmarin.
Seorang maut dalam kemalangan tiga kenderaan
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
BESUT - Seorang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Simpang Empat Tanjung Demong, Jalan Pengkalan Nyireh – Bukit Keluang, di sini kelmarin.

Pemandu kereta Proton Iswara, Mohd Talmini Mohamad, 30, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, mangsa yang bekerja kontrak bersama seorang rakan, Nurul Sabirah Abd Rahman, 24,  beralamat di Seberang Jertih duduk di kerusi
penumpang hadapan dalam perjalanan dari arah Kampung Limbongan ke Tanjung Demong.

Menurutnya, apabila sampai di tengah simpang, muncul sebuah kereta jenis Mercedes dari arah Pengkalan Nyireh lalu merempuh sisi kiri kereta mangsa.

“Akibat rempuhan, menyebabkan kenderaan terbabit berpusing dan kereta mangsa terbabas ke arah sebuah lori dan yang berhenti di persimpangan dari arah Tanjung Demong.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang kereta cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum mangsa yang beralamat di Kampung Lubuk Chekok, Pasir Mas, Kelantan, dituntut keluarga.

Beliau berkata, pemandu Mercedes dari Kampung Pengkalan Nyireh berusia 67 tahun dan pemandu lori ais berusia 29 tahun dari Chendering, Kuala Terengganu tidak mengalami kecederaan.
Pasukan bomba dan keselamatan terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.