Search This Blog

Saturday, March 30, 2013

Rebah di balai polis

pix_topright
“Saya tegaskan polis yang bantu mangsa dengan membawanya ke balai untuk membuat laporan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berhubung dakwaan seorang warga Nigeria mati ketika berada di Balai Polis Jinjang selepas dipercayai dibelasah lebih 200 penduduk di Kampung Batu Muda, di sini, malam kelmarin.

Ku berkata, mangsa disahkan meninggal dunia jam 7.20 malam oleh pegawai perubatan yang tiba di balai polis berkenaan selepas mangsa tiba-tiba rebah ketika mahu membuat laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku.


“Dalam insiden itu, anggota MPV menerima maklumat berhubung satu pergaduhan yang tercetus akibat satu kemalangan jalan raya jam 6.30 petang membabitkan kereta dinaiki mangsa, lori dan motosikal sebelum anggota terbabit bergegas ke tempat kejadian untuk meredakan pergaduhan itu.


“Polis kemudian membawa empat lelaki, dua wanita serta dua kanak-kanak warga Nigeria terbabit ke Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan, namun mangsa yang cedera di kepala tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Tenggelam selamat anak


pix_topright
Usaha Mohd Hafiedz Harun, 34, untuk menyelamatkan anaknya yang lemas berakhir dengan dia turut lemas dan nasib sama turut menimpa abangnya dalam kejadian meragut nyawa tiga bersaudara di Pantai Pandak, Chendering, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, ketiga-tiga mangsa berkelah bersama 35 orang daripada tujuh keluarga yang berkumpul sempena cuti sekolah.


Kejadian berlaku apabila Mohd Hafiedz cuba menyelamatkan anaknya, Mohd Adam Daniel, 7, yang dihanyutkan arus ketika mandi. Bagaimanapun, disebabkan ombak besar, Mohd Hafiedz turut lemas sebelum abangnya, Saifuddin, 49, yang terjun ke laut untuk menyelamatkan dua beranak itu turut terkorban.


Selain mereka bertiga, dua lagi iaitu Burhanuddin Helmi, 43, yang juga adik kepada Saifudin dan iparnya, Ahmad Idzaham Tayyib, 41, turut lemas, namun berjaya diselamatkan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini. Bapa mentua Mohd Hafiedz, Musa Mohamad, 70, berkata sebelum kejadian, dia mengetahui anak dan menantu serta beberapa lagi saudara-mara mereka bercadang berkelah di pantai berkenaan sempena cuti sekolah.

Penulis terkenal rogol 5 wanita larikan diri




New Delhi: Seorang penulis yang pernah memenangi anugerah kini melarikan diri selepas lima wanita yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah amal menuduhnya merogol mereka, kata polis semalam.

Laxman Mane, 63, gagal dikesan sejak wanita terbabit membuat aduan pada awal minggu ini.


Menurut mereka, Mane merogol mereka berkali-kali antara 2003 hingga 2010 dan kebanyakan insiden itu berlaku di premis sekolah berkenaan di Maharashtra.

Pegawai polis daerah Satara, Amol Tambe berkata, Mane melarikan diri sejak kes pertama difailkan pada tengah malam Isnin lalu. “Aduan baru difailkan pada Rabu dan sepasukan polis diarah mengesan penulis terbabit,” katanya. Mane adalah presiden eksekutif sebuah yayasan yang menguruskan sekolah untuk kanak-kanak tidak bernasib baik itu. - AFP Mane menerima Anugerah Padma Shri - dianggap antara pengiktirafan tertinggi di India - atas sumbangannya kepada kesusasteraan pada 2009. - AFP

Korban lima peluru




Seorang lelaki maut terkena lima das tembakan di kepala dan badan di hadapan kedai pusat kecantikan miliknya di Jalan PP25, Pinggiran Putra, Seri Kembangan, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa Anderson S Pillay, 37, sedang berjalan keluar dari kedainya menuju ke tempat letak kereta sebelum tiba-tiba sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam menghalangnya dan seorang lelaki bertopeng keluar dari kereta serta melepaskan enam das tembakan.


Bagaimanapun, hanya lima das tembakan mengenai mangsa sementara satu tersasar menyebabkan dia yang cedera parah maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, mangsa yang membuka pusat kecantikan itu bersama isterinya sejak tiga tahun lalu ketika kejadian baru keluar dari premisnya sebelum dia didatangi dua suspek bertopeng dan seorang daripada mereka melepaskan tembakan.

Bekas atlet bina badan lepas hukuman




Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, semalam melepas dan membebaskan seorang bekas atlet bina badan negara daripada tiga tuduhan mengedar dan memiliki ganja, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu terhadap Erizon Idrus Sutan Namen, 40, selepas pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Selepas keputusan dibacakan, ibu Erizon menangis dan meluru memeluk anaknya sambil mengucapkan ‘Subhanallah, Alhamdulillah, sayang anak mak’.


Ketika ditemui di luar mahkamah, ibu tertuduh yang ingin dikenali sebagai Murni, 72, berkata, dia yang datang dari Johor menaiki bas tidak tidur semalaman kerana berdoa dan berzikir untuk keselamatan anaknya.


Siti Mariah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah yang dijumpai di dalam kereta yang dipinjam tertuduh.


“Selain tertuduh, pemilik kereta itu juga mempunyai kunci kereta berkenaan.

“Mahkamah memutuskan tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh atas tuduhan itu,” katanya.


Tertuduh yang aktif mewakili negara dalam sukan bina badan pada 1990-an itu didakwa mengedar kanabis seberat 2,588 gram di tepi jalan Cecawi 6/18, Seksyen 6, Kota Damansara dekat sini pada jam 1.30 pagi, 19 Julai 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Cabar anggota polis



Tindakan berani seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mencabar polis dengan memecut motosikalnya tanpa memakai topi keledar di hadapan sepasukan anggota yang melakukan Ops Mat Rempit membawa padah apabila dia ditahan ketika cuba melarikan diri di sebuah sekolah menengah Taman Arkid, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, remaja terbabit yang menyedari pihak berkuasa mengadakan operasi bertindak melarikan diri sebelum dua anggota polis mengejarnya sejauh 100 meter.


Ketika kejadian itu, sepasukan anggota dari Cawangan Trafik dan Team Ops Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sedang membuat operasi membanteras kegiatan mat rempit yang menjadikan laluan hadapan sekolah menengah berkenaan sebagai litar perlumbaan.


Jurucakap trafik berkata, pemeriksaan ke atas motosikal ditungganginya mendapati remaja itu tidak memiliki lesen memandu manakala kenderaan itu turut tidak mepunyai cukai jalan. Menurutnya, polis kemudian mengeluarkan saman kepada remaja itu atas kesalahan tidak memakai topi keledar, menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan.


“Remaja jelas melanggar undang-undang jalan raya. Malah, pemeriksaan mendapati remaja itu dipercayai turut terbabit dalam kegiatan merempi di kawasan itu.


“Tindakan remaja itu memecut motosikalnya ketika di hadapan polis seolah-olah mahu mencabar anggota yang bertugas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita 18 motosikal sepanjang operasi termasuk motosikal remaja terbabit dan mengeluarkan kira-kira 30 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tidak ada lesen, bawah umur dan cukai jalan tamat tempoh.

Rumah meletup



Tiga beranak nyaris maut apabila kediaman dua tingkat di Taman Mulia, Pajam, di sini, tiba-tiba meletup akibat kebocoran tong gas, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 52 tahun cedera di tangan terkena serpihan bahan meletup selepas menekan suis lampu dipercayai untuk ke tandas. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin Mokhtar Osman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.05 tengah malam daripada orang awam sebelum sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian. “Difahamkan, letupan berlaku di tingkat bawah di dapur rumah dihuni sepasang suami isteri bersama dua anak. Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati hanya berlaku letupan tanpa disusuli kebakaran.


“Hasil pemeriksaan mendapati rumah berkenaan mengalami kerosakan hampir 70 peratus iaitu pecah pintu dan tingkap akibat letupan yang kuat,” katanya. Mokhtar berkata, isteri mangsa berusia 50 tahun dan anak perempuannya berusia 12 tahun tidak cedera berikutan ketika kejadian berada di tingkat atas. “Hasil siasatan mendapati anak mangsa menghidu bau gas di rumah, namun tidak sempat memberitahu keluarga sebelum bapanya menekan suis lampu,” katanya.

Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati letupan berlaku akibat kebocoran tong gas dan rumah itu juga tidak mempunyai sistem pengudaraan sempurna.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Geng Fitri tewas




Kumpulan samun bermotosikal digelar Geng Fitri yang menyasarkan pengedar surat khabar dan orang ramai yang keluar bersenam pada awal pagi sebagai mangsa, tumpas apabila empat anggota termasuk ketua kumpulan itu diberkas polis di sekitar negeri ini, kelmarin.

Semua lelaki berusia 19 dan 24 tahun itu ditahan di empat lokasi berlainan oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, antara jam 4 petang dan 8 malam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, tangkapan dibuat susulan 20 laporan diterima pihaknya berkaitan jenayah yang dipercayai dilakukan kumpulan itu.


“Seorang daripada mereka berusia 21 tahun ditahan di sebuah restoran di Bukit Baru, jam 4.30 petang. Hasil soal siasat membawa kepada penahanan tiga lagi rakannya termasuk ketua kumpulan itu di Permatang Duyong, Taman Seri Duyong dan Tasik Duyong.

“Kami berjaya merampas empat motosikal, tiga topi keledar, lima telefon bimbit dan satu spanar, tukul besi dan pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk mengancam mangsa,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.


Menurut beliau, pihaknya yakin berjaya menyelesaikan 20 kes samun yang dilakukan kumpulan berkenaan di sekitar daerah Melaka Tengah.


Kata Raja Shahrom, siasatan awal mendapati mereka mengaku melakukan kegiatan samun dan pihaknya memohon kerjasama mangsa memberi keterangan bagi memastikan suspek didakwa ke mahkamah.

“Sehingga kini, semua suspek mengaku terbabit enam kes dan kami perlu mencari bukti serta keterangan mangsa untuk mendakwa mereka di mahkamah.


“Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu menyamun secara berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiga daripada mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ketua kumpulan dikenali sebagai Fitri memiliki rekod jenayah membabitkan kes dadah.


Beliau berkata, kumpulan itu menyasarkan pengedar surat khabar sebagai mangsa dengan mengekori dan mengancam mangsa menggunakan parang supaya menyerahkan harta benda.


“Mereka yang bergerak pada awal pagi turut mencari mangsa keluar bersenam atau pulang dari pasar antara jam 5 hingga 6 pagi.


“Kami sedang memburu dua lagi anggota geng itu dikenali sebagai Rashid dan Lan berusia awal 20-an dipercayai masih berada di negeri ini,” katanya.

‘Bedilan lelaki pegang senapang’



“Sewaktu membongkok, bahu kiri terasa hangat seperti terkena bebola api dan apabila saya menyentuh belakang badan, saya terkejut melihat darah berlumuran di tapak tangan lalu,” kata Faridah Ahmad, 58, yang cedera terkena tembakan peluru sesat dalam kejadian di sebuah kampung di Pulau Sebang, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, mangsa sedang mengambil jaring yang dipasang pada tali air berhampiran kebunnya.


Mangsa yang terkena tembakan peluru penabur itu kemudian dikatakan terus pulang, namun dalam masa sama sempat melihat seorang lelaki memegang senapang patah di celah-celah semak sambil membungkus haiwan buruannya.


Menceritakan kejadian itu, menurut Faridah, ketika berada di tali air, dia terdengar bunyi tembakan dan mula terasa kesakitan di bahu kirinya dan terus pulang ke rumah dan mengadu kepada suaminya, Hamzah Md Nor, 60, mengenainya.


“Apabila suami memeriksa belakang badan, saya terperanjat apabila dimaklumkan bahawa ada objek terbenam di bahu kiri saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Dakwanya, lelaki berusia 40-an itu yang ketakutan menemui suaminya di rumah dan merayu meminta dilepaskan serta tidak melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Lelaki itu menghulurkan wang sebagai kos rawatan, namun ditolak suami yang kemudian membawa saya ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan,” katanya yang menerima rawatan lanjut di Hospital Tampin.


Hamzah berkata, dia tersentak apabila terdengar bunyi tembakan sebelum melihat isterinya pulang ke rumah dalam keadaan kesakitan.

Menurutnya, dia berang apabila lelaki itu mahu menyelesaikan perkara berkenaan dengan mudah tanpa memikirkan keselamatan orang awam hingga menyebabkan isterinya terpaksa menjalani pembedahan.


Difahamkan, pemeriksaan awal mendapati terdapat sebutir objek disyaki peluru penabur senapang patah tertanam di bahu kiri mangsa sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.

Dua maut balik kenduri



Kegembiraan empat saudara pulang dari satu majlis keluarga di Bagan Hailam, di sini, awal pagi semalam berakhir tragedi menyayat hati apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan dinaiki terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Serunai 1, Taman Klang Jaya, dekat sini.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, kenderaan dinaiki terputus dua menyebabkan bahagian hadapan kereta terputus itu merempuh pagar dua kediaman berhampiran.


Akibat rempuhan kuat itu, dua penumpang kenderaan terbabit tercampak dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.



Mangsa yang terbunuh ialah Lim Ming Choo, 33, dan Raymond Ong Wei Loon, 10, masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala.


Bapa mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Lim berkata, anak perempuannya Ming Choo bersama tiga lagi saudara dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Sentosa selepas menghadiri kenduri di Bagan Hailam, Pelabuhan Klang.


“Sebelum ini dia tidak pernah ke sana, tetapi secara tiba-tiba membuat keputusan ke majlis itu semalam (kelmarin).

“Kami sekeluarga tidak sangka hasratnya ke sana berakhir dengan kejadian tidak diingini. Kematiannya sukar diterima kerana dia meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati,” katanya.


Lim berkata, Ming Choo meninggalkan empat anak lelaki yang masih kecil berusia antara tujuh dan 12 tahun.

“Sukar digambarkan bagaimana kehidupan empat anaknya nanti tanpa mendiang. Kami tidak sangka Ming Choo yang begitu rapat dengan salah seorang adik lelakinya meninggalkan kami lebih awal,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, semalam.


Dalam kejadian itu juga, pemandu kereta jenis Honda City, Ong Che Kian, 37, dan seorang lagi penumpang yang duduk di sebelah pemandu, Cheng Wei Keang, 12, parah di kepala dan masih menerima rawatan lanjut di HTAR.


Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, kenderaan dipandu Che Kian disyaki gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan.


“Rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan dinaiki putus dua sebelum merempuh pagar dua buah kediaman di situ. Dua yang parah kini dilaporkan stabil,” katanya sambil menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rumah musnah rugi RM2j



Lahad Datu: Nilai kerugian kasar 41 rumah di Kampung Tanjung Batu, di sini, yang musnah atau rosak akibat insiden pencerobohan pengganas membabitkan hampir RM2 juta.

Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir berkata, ia berdasarkan penilaian yang dilakukan bersama pihaknya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).


Beliau berkata, 16 daripada rumah itu musnah dan perlu dibina semula membabitkan kos RM960,000, manakala 25 lagi rumah penduduk yang mengalami kerosakan boleh dibaik pulih membabitkan kos RM750,000.

“Jumlah kerugian itu anggaran kasar yang ditaksir pada lawatan pertama penduduk Kampung Tanjung Batu hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Pada jam 9.30 pagi semalam, penduduk kampung itu dibawa meninjau keadaan rumah mereka yang diiringi pasukan keselamatan.


Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dan Ketua Kampung Tanjung Batu Mahmod Mallang.

Lelaki maut dihempap cerucuk besi



Subang Jaya: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas tiang cerucuk besi seberat 10 tan menghempap dua kereta dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, sebuah kren yang mengangkat cerucuk besi berkenaan yang dianggarkan seberat lebih 10 tan terlepas menyebabkan ia menghempap dua kereta yang melalui kawasan kejadian.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.40 malam dan tiba di tempat kejadian pada jam 7.53 malam.

Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Petaling Jaya dengan kekuatan anggota 14 orang.


“Ketika bomba tiba, didapati tiang cerucuk besi tumbang dan menghempap dua kereta iaitu Hyundai Sonata dan kereta pacuan empat roda Nissan.


“Dalam kejadian itu, dua mangsa terbabit dan seorang meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi parah,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi berkenaan, semalam.

Sani berkata, mayat dan mangsa yang parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Hanya tinggal kepala



Sekumpulan penjenayah dikesan mencuri dan menyembelih lembu sebelum meninggalkan organ dalaman termasuk kepala haiwan berkenaan di tepi jalan menghala Sepang dalam kejadian di Tanah Merah, kelmarin.

Pemilik lembu berkenaan, M Yogeswaran, 28, berkata, dia terkejut sebaik menyedari dua daripada 12 lembu peliharaannya hilang selepas meragut rumput kira-kira tiga kilometer dari kandang.


Menurutnya, kebiasaannya semua lembu peliharaannya akan balik ke kandang apabila kekenyangan.

“Bagaimanapun saya terkejut melihat ia tiada di kandang lalu keluar mencari dan sebaik tiba di tepi jalan menghala Sepang, saya terkejut melihat usus, perut serta kepala lembu bertaburan di tepi jalan,” katanya. Menurutnya, seekor lembu jantan yang hilang itu seberat 800 kilogram dan dibeli dua minggu lalu dengan harga RM4,500 manakala seekor lagi 450 kilogram berharga RM2,500.


“Pagi tadi (semalam) saya turut menemui semula 10 lembu kira-kira 10 kilometer dari tempat ‘penyembelihan’ itu,” katanya. “Sebelum ini hampir 16 lembu saya dicuri. Saya mengesyaki dua lembu itu diberi suntikan pelali sebelum disembelih dan kerja itu dilakukan antara lapan dan 10 orang,” katanya.


Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun mengesahkan menerima laporan kes itu.

APMM rampas dadah RM2j



 
Masjid Tanah: Dua bungkusan dipercayai dadah dalam bentuk pil, dianggarkan bernilai RM2 juta, dirampas di perairan Selat Melaka, dekat Kuala Linggi, di sini, awal pagi semalam.

Dadah itu dibuang dari bot penyeludup pada jam 6.30 pagi, sebelum ditemui sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di Kuala Linggi, dekat sini.
Ketua Penguatkuasaan Maritim DM5 Kuala Linggi, Kapten Abu Bakar Idris, berkata pemeriksaan awal mendapati satu daripada beg itu mengandungi 20 bungkusan plastik berisi pil warna kuning disyaki dadah.

Temui 26 bungkusan

Katanya, satu lagi beg pula didapati mengandungi 20 bungkusan plastik besar dan enam bungkusan kecil berisi pil berwarna merah jambu disyaki dadah.

“Keseluruhan nilai rampasan pil disyaki dadah ini dianggarkan RM2 juta. Kes ini diklasifikasikan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di pejabat APMM DM5 Kuala Linggi, dekat sini, semalam.

Abu Bakar berkata, sebelum rampasan itu dilakukan, sepasukan lima anggota APMM diketuai Leftenan Komander Maritim Muhammad Suhairy Hussain sedang membuat rondaan di kawasan perairan Selat Melaka, tidak jauh dari Kuala Linggi. Katanya, mereka mengesan bot dalam keadaan mencurigakan pada jarak kira-kira tiga batu nautika, sebelum mengarahkannya berhenti.

“Sebaliknya, pemandu bot itu bertindak ganas dengan melanggar bot yang dinaiki pasukan kami. Ini menyebabkan kami terpaksa melepaskan tembakan amaran.
“Bot itu memecut ke arah selatan perairan Melaka sebelum tekong dan awak-awak mencampakkan dua bungkusan hitam ke laut.

“Mereka kemudian terus menghilangkan diri ke negara jiran,” katanya.

4 dituduh beri pinjaman tak ikut prosedur



 
Kuala Lumpur: Empat peminjam wang berlesen dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas 32 tuduhan tidak mengikuti prosedur memberi pinjaman kepada lapan peminjam, tahun lalu.

Wan Masithoh Wan Hussin, 29; Tan Tyh Bin, 27; Sue Perng Chee, 29, dan A Paranitaran, 33, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di depan Majistret Saiful Akmar Said.
Mereka dituduh melakukan 16 transaksi pemberian pinjaman wang kepada peminjam bukan di pejabat operasi iaitu syarikat Centosa CT Factors Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang, yang boleh dihukum penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Gagal sedia salinan perjanjian

Bagi tuduhan kedua, mereka dituduh gagal menyediakan salinan perjanjian yang disetemkan untuk diserahkan kepada peminjam sedangkan tertuduh mengetahui perjanjian yang disetemkan perlu diberikan kepada peminjam sebelum wang pinjaman diberikan.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di No 26-1, Jalan Dwitasik 2, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, dalam daerah Cheras, antara September 2012 hingga Mac 2013.

Dua beradik Iran dihukum gantung

Dua beradik Iran dihukum gantung
Dua beradik warga Iran dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

 Shah Alam: Dua beradik wanita warga Iran dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi semalam, selepas didapati bersalah mengedar 2,987.7 gram syabu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sejurus mahkamah membuat keputusan, Fatemah Zandiyeh Mohammad, 24, dan kakaknya Tahmineh Zandiyeh Mohammad, 26, tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi bapa mereka yang berada di galeri awam dilihat menangis dan hampir rebah.


Fatemah dituduh mengedar 1,489.8 gram syabu di kawasan tuntutan bagasi, Aras 1, Balai Ketibaan KLIA pada 11.30 pagi, 5 Mei 2011.

Dua dituduh akta sama

Tahmineh pula dituduh mengedar 1,497.9 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan tarikh sama.

Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara dua beradik itu diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan R Vinothini.
BERNAMA 

Polis tahan 22 lelaki dipercayai babit rusuhan



Johor Bahru: Polis Johor menahan 22 lelaki dipercayai terbabit dalam rusuhan membabitkan sekumpulan pekerja Nepal dan penduduk tempatan di Taman Cendana dekat Pasir Gudang pada 24 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata semua suspek kini dalam tahanan reman sementara bagi membantu polis membuat siasatan lanjut mengenai insiden itu.
“Penahanan itu bagi membantu siasatan dan kami sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya sebelum sebarang tuduhan dilakukan di mahkamah.

“Kes terbabit juga kini sedang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat kepada Pegawai Kanan dan Rendah Polis Kontinjen Johor 2013 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira 6.30 petang Ahad lalu, rusuhan berlaku di asrama pekerja asing dekat Blok 20 Taman Cendana, apabila sekumpulan pekerja Nepal yang mabuk, menyerang seorang remaja lelaki dan bapanya di sebuah kedai berhampiran asrama itu.

Serang asrama
Pergaduhan itu menyebabkan sekumpulan penduduk tempatan bertindak balas dengan menyerang asrama pekerja asing terbabit.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya juga juga sudah mengarahkan semua ketua polis daerah supaya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam di negeri ini.

“Semua ketua polis daerah diarah mengadakan perjumpaan dengan pemilik atau pengurus syarikat yang membawa pekerja asing ke dalam organisasi mereka,” katanya.

Tembak 154 das dalam 5 minit



 
Meriden/Newtown: Lelaki bersenjata yang membunuh 20 kanak-kanak dan enam dewasa di sebuah sekolah rendah Connecticut melepaskan 154 tembakan dalam masa kurang lima minit selepas memilih senjata kapasiti tinggi selain pedang, pisau dan pelbagai senjata lain di rumahnya sendiri.

Penyiasat juga menemui keratan akhbar mengenai satu kejadian tembakan rambang di rumah Adam Lanza dan ibunya, selain tempat simpanan senjata di bilik tidurnya, resit latihan padang sasar dan sijil Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA), kata dokumen mahkamah, kelmarin.
Guna senapang

Untuk melakukan pembunuhan kedua terburuk di sekolah dalam sejarah Amerika Syarikat, Lanza menggunakan senapang yang dapat melepaskan 30 kali pusingan tembakan di Newtown, kata Gabenor Connecticut, Dannel Malloy selepas hasil pemeriksaan rumah dan kereta Lanza didedahkan.

“Kita sekarang tahu dia tidak ambil senjata ringan. Inilah sebabnya mengapa kita perlu larang penggunaan senjata kapasiti tinggi dan kenapa perlu mengetatkan larangan senjata,” kata Malloy.

Ketika kes itu semakin dibongkar, Presiden Barack Obama menggesa ahli parlimen Amerika untuk tidak melupakan mereka yang ditembak mati dalam kejadian di Newtown, tiga bulan lalu.

“Seluruh negara berikrar kita perlu lakukan sesuatu mengenainya dan kali ini amat berbeza. Kita patut malu jika melupakannya,” kata Obama yang muncul bersama ibu mangsa kejadian di Rumah Putih.
Bunuh ibu

Kejadian 14 Disember bermula di rumah Lanza. Pihak berkuasa berkata, pelajar berusia 20 tahun itu menembak mati ibunya, Nancy Lanza dan memandu ke sekolah yang pernah dihadirinya.

Dengan bersenjatakan AR-15 dan dua pistol, Lanza membunuh 20 kanak-kanak dan enam kakitangan sebelum menembak dirinya sendiri.

Rumah dua tingkat yang didiami Lanza bertentangan dengan jalan dari rumah Dylan Hockley, 6 yang mati dalam dakapan gurunya, dalam kejadian itu. Keluarga Hockley sejak itu berpindah dari Newtown.
REUTERS

Tiga sekeluarga lemas

Tiga sekeluarga  lemas
Kuala Terengganu: Tiga daripada satu keluarga lemas, manakala dua lagi kritikal ketika mandi manda di Pantai Pandak, Chendering, dekat sini, petang semalam.

Mangsa yang lemas ialah Adam Daniel Mohd Hafiedz, 7, bapanya, Mohd Hafiedz Harun, 32, dan bapa saudaranya, Saifuddin Harun, 49, yang berasal dari Kampung Chendering di sini.
Terima rawatan di ICU


Dua lagi yang kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, ialah abang Mohd Hafiedz, Burhanuddin Helmi, 43, dan abang iparnya, Ahmad Idzham Tayyib, 41.

Burhanuddin Helmi bekerja sebagai akauntan di Kuala Lumpur, manakala Ahmad Idzham yang berasal dari Kuala Ibai bekerja sebagai pelatih sekolah memandu di Marang.

Jurucakap polis berkata, semua mangsa termasuk dua yang dirawat di ICU itu dikatakan ke pantai terbabit bersama keluarga masing-masing untuk berkelah sempena cuti hujung minggu.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.40 petang ketika Adam Daniel mandi, manakala ahli keluarganya yang lain bermain bola.
“Seorang daripada ahli keluarga terbabit kemudian berteriak Adam Daniel lemas selepas melihat tangan kanak-kanak itu terkapai-kapai dilambung ombak.

Cuba selamatkan Adam Daniel 

“Mohd Hafiedz segera bergegas menyelamatkan Adam Daniel sebelum dibantu Saiffuddin, Burhanuddin dan Ahmad Idzham,” katanya semalam.

Bagaimanapun, katanya Adam Daniel, Mohd Hafiedz dan Saifuddin lemas, manakala Burhanuddin Helmi dan Mohd Idzham berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di pantai itu.

Bapa mentua Mohd Hafiedz, Musa Mohamad, 70, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama tujuh ahli keluarga membabitkan 35 orang ke pantai berkenaan untuk berkelah.

“Saya tak sangka perjumpaan mereka adik beradik di pantai berkenaan untuk berkelah berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila tiga daripada mereka termasuk menantu dan cucu saya lemas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ di sini.

Warga Nigeria mati dibelasah



 
Kuala Lumpur: Seorang pelajar warga Nigeria mati manakala rakan senegaranya cedera dipukul kira-kira 200 penduduk sejurus merempuh motosikal yang ditunggang penduduk di Kampung Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, Igwebuike Solomon Oklo, 29, bersama rakan dilaporkan gagal mengawal kereta PROTON Wira dinaiki mereka ketika melalui Jalan 2/12D, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, sebelum melanggar belakang motosikal dan menyebabkan penunggangnya tercampak serta cedera.
Diserang penduduk

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata berlaku pertengkaran antara mangsa dan penunggang motosikal itu yang turut disaksikan penduduk lain yang kemudian memecahkan cermin kereta dinaiki Soloman sebelum membelasahnya.

“Polis dari Unit Kereta Peronda yang tiba di lokasi kejadian sejurus menerima maklumat sempat menarik mangsa yang dikepung penduduk selain menyelamatkan enam lagi rakan mangsa termasuk dua wanita dan dua kanak-kanak yang berada di lokasi kejadian.

“Semua warga Nigeria itu kemudian dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, ketika berada di kaunter pengaduan, Solomon rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang dibawa ke Balai Polis Jinjang.
Chin Wah berkata, polis turut memanggil seorang majistret untuk mengesahkan kejadian sebelum membawa mayat mangsa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Sehingga kini siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

“Kita juga menahan beberapa remaja yang juga penduduk Kampung Batu Muda yang dipercayai terbabit menyebabkan kematian mangsa serta sedang mengesan beberapa lagi individu yang masih bebas,” katanya.

Kereta bertembung, guru hamil parah



 
Chukai: Guru sarat mengandung cedera parah, manakala seorang lelaki kritikal dalam kemalangan membabitkan dua kereta PROTON Satria Neo di Kilometer 131, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Meraga Beris, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Tengku Nor Akmaliana Tengku Zainuddin, 26, patah paha kanan dan ibu jari kiri serta kandungannya mengalami pendarahan.
Suaminya, Nasrulah Abd Rahman, 26, yang juga guru dari FELDA Kerteh 4, Dungun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman.

Seorang lagi pemandu, Hafiz Zaharuddin, 23, dari Kampung Pak Sabah, Dungun dilaporkan kritikal akibat cedera parah di kepala dan pendarahan dalaman.

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kereta dipandu Hafiz dari arah Kemaman ke Dungun dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Tengku Nor Akmaliana.

Seorang maut dalam kebakaran loji termal di Ukraine


30/03/2013 3:46am

DONETSK - Sebuah janakuasa termal di timur Ukraine terbakar semalam dengan menyebabkan seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera.
Jurucakap perkhidmatan penyelamat, Inna Sedova berkata, seorang mangsa yang cedera kini di rawat di hospital tetapi menambah, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 10 pekerja loji tersebut dengan selamat.
Kebakaran di bandar Svitlodarsk tengah hari kelmarin itu bermula pada bahagian peralatan mengisar arang batu sebelum merebak ke bumbung loji berkenaan.
Seorang wartawan agensi berita AFP pula melaporkan asap tebal di langit dapat dilihat hampir 100 kilometer dari lokasi kebakaran. - AFP

83 orang tertimbus dalam tanah runtuh di Tibet


30/03/2013 3:42am

BEIJING - Sebanyak 83 pekerja lombong dikhuatiri tertimbus apabila lereng sebuah gunung di Tibet runtuh semalam, lapor media China.
Agensi berita Xinhua melaporkan, bencana tersebut melibatkan kawasan sepanjang tiga kilometer dengan dua juta kubik meter tanah dipercayai telah runtuh.
Menurut agensi berkenaan, kejadian itu berlaku daerah Maizhokunggar, timur ibu negeri wilayah Tibet, Maizhokunggar.
Seramai 1000 anggota polis, bomba dan doktor bersama 200 kenderaan serta 15 ekor anjing pengesan telah dikerahkan ke lokasi kejadian pada ketinggian 4,600 meter dari aras laut. - AFP

Tiga beradik muntah, pening



TIGA beradik dari kiri, Muhammad Aiman, Nuramanini dan Muhammad Arsyad yang terhidu serbuk racun rumput kini stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Tiga beradik berdepan detik cemas selepas terhidu serbuk racun rumput dan serangga yang berwarna ungu berkilat ketika bermain masak-masak di rumah mereka di Kampung Berangan, Tumpat dekat sini petang kelmarin.
Keadaan tersebut menyebabkan ketiga-tiga beradik berkenaan, Muhammad Aiman Mat Haluwi ,7; Muhammad Arsyad, 6, dan Nuramanini, 5, yang terhidu bahan berkenaan mengalami pening dan muntah-muntah.
Bagaimanapun ketiga-tiga adik beradik berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Difahamkan, ketika kejadian ayah kanak-kanak itu, Mat Haluwi Yusof yang bekerja sebagai buruh dan ibu mereka, Siti Fatimah Yaacob, 36, peniaga kedai runcit tiada di rumah kerana masing-masing keluar mencari rezeki.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Sharifuddin Yusof berkata, ketika kejadian ketiga-tiga beradik berkenaan dipercayai terhidu serbuk racun daripada jenis furadan ketika sedang bermain masak-masak.
Menurutnya, kejadian yang menimpa ketiga-tiga beradik itu disedari oleh ibunya Siti Fatimah Yaacob, 36, selepas melihat anaknya berada di dalam keadaan lemah dan terbaring serta muntah-muntah di ruang tamu kira-kira pukul 6 petang.
"Sebaik sahaja pulang dari bekerja, bapa mangsa telah menghantar ketiga-tiga anak mereka itu ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan. Kira-kira pukul 7.30 malam, pihak hospital telah merujuk kes berkenaan ke HPRZ II untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil rawatan yang dijalankan, pegawai perubatan hospital berkenaan memberitahu, mangsa berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan racun di dalam badan akibat terhidu bahan tersebut," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas di sini semalam.
Tambahnya, racun berkenaan disimpan di sebuah stor belakang rumah mangsa dalam keadaan terdedah dan bapanya merupakan petani sambilan.
Sharifuddin memberitahu, racun berkenaan digunakan untuk membunuh rumput dan serangga.
Semasa kejadian, bahan berkenaan di simpan dalam beg plastik lusuh.
"Hasil temu bual dengan kanak-kanak berkenaan mengatakan mereka bermain masak-masak dengan pasir berwarna ungu berkilat dan kita mengesyaki bahan tersebut adalah furadan," ujarnya.

Campak dadah RM2 juta ke laut



ABU BAKAR (tengah) menunjukkan bungkusan pil yang disyaki dadah ekstasi dibuang
di kawasan perairan Melaka semalam.


ALOR GAJAH – Pasukan Maritim Malaysia (APMM) dari Kuala Linggi di sini berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup kira-kira 40 kilogram dadah dipercayai ekstasi bernilai hampir RM2 juta di perairan Melaka berhampiran Pulau Upeh awal pagi semalam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Kuala Linggi, Kepten Abu Bakar Idris berkata, dadah tersebut dibawa dengan sebuah bot gentian kaca yang dipercayai menuju ke negara jiran dari negara ini.
Menurutnya, rampasan itu adalah hasil tindakan pantas sepasukan pegawai dan anggota yang sedang melakukan rondaan di perairan Melaka yang mengesan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 6.25 pagi.
“Anggota terbabit kemudian menghampiri bot tersebut sebelum mengarahkannya berhenti namun tidak diendahkan oleh tiga suspek yang berada di dalam bot berkenaan. Mereka sebaliknya melarikan diri dengan memecut bot tersebut.
“Suspek juga bertindak agresif apabila melanggar bahagian belakang kanan bot milik APMM yang digunakan menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan 10 das tembakan amaran,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Linggi di sini semalam.
Abu Bakar berkata, setelah kira-kira 15 minit mengejar, suspek mencampakkan sebuah beg berwarna hitam ke laut sebelum mencampak sebuah lagi beg serupa kira-kira 500 meter dari tempat pertama.
Katanya, anggota APMM kemudian bertindak memberhentikan bot untuk mengambil beg yang dibuang itu dan kesempatan tersebut digunakan suspek untuk melepaskan diri.
“Hasil pemeriksaan pada beg pertama mendapati, ia mengandungi 20 bungkus pil berwarna kuning dipercayai dadah manakala beg kedua mengandungi 26 bungkus pil berwarna merah jambu juga disyaki dadah.
“Jumlah berat kesemua 46 bungkusan ini ialah kira-kira 40 kilogram yang bernilai hampir RM2 juta,” katanya.