Search This Blog

Friday, March 29, 2013

Rumah terbakar, bakal pengantin mungkin tunda majlis perkahwinan




29 Mac 2013
KUANTAN - Seorang bakal pengantin mungkin terpaksa menunda majlis perkahwinannya apabila rumah keluarganya di Kampung Pandan Dua, dekat sini rentung dalam kebakaran awal hari ini yang turut memusnahkan semua kelengkapan perkahwinan.
  
Emma Azila Sazali, 26, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 27 April ini berkata bapanya Sazali Sabtu, 54, pesara tentera, ibunya Normah Mokhtar, 53, juruteknik di Jabatan Kerja Raya Pahang dan tiga adiknya sedang nyenyak tidur apabila dikejutkan jeritan adiknya Khairul Izam, 24, mengatakan ada api dalam rumah.
   
"Api marak terlalu cepat dan saya bersama ahli keluarga lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana terlalu panik dan berlari keluar sehelai sepinggang untuk selamatkan diri," katanya dengan sebak dan menurutnya keluarganya mengalami kerugian lebih RM110,000.
  
Jurutera Elektrikal di sebuah syarikat swasta itu berkata mereka kini menumpang di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan dan menurutnya keluarganya masih belum dapat berbuat keputusan sama ada meneruskan majlis pernikahannya mengikut tarikh ditetapkan atau menundanya.
  
Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail hari ini mengunjungi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan RM5,000 dan menurutnya Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan menyumbang bantuan segera bagi meringankan bebanan keluarga itu.
  
Sementara itu  Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas. - Bernama

Warga AS bunuh 12 penonton mahu mengaku salah elak hukuman mati



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mac 2013
COLORADO - Peguam seorang lelaki yang dituduh membunuh 12 penonton pawagam Julai lalu di Aurora, Colorado berkata anak guamnya bersedia membuat pengakuan bersalah bagi mengelakkan hukuman mati.

James Holmes, 25, kini bersedia memberi kerjasama dalam penyelesaian kes tersebut.

Pendakwa raya dijangka mengumumkan Isnin depan sama ada mahkamah akan meneruskan tuduhan di bawah hukuman mati atau tidak.

“Holmes kini bersedia menyelesaikan kes itu dan membawa kepada prosiding seterusnya bagi mendapat keputusan yang segera,” kata peguam itu.

Serangan yang dilakukan pada tengah malam semasa tayangan filem ‘Batman The Dark Knight’ itu merupakan salah satu serangan terburuk di Amerika Syarikat (AS).

Perbicaraan akan diteruskan Ogos ini.

Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan




28 Mac 2013
PETALING JAYA - Seorang abang dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya yang berusia 15 tahun ketika itu, tujuh tahun lepas.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki yang berusia 24 tahun itu, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Mac lepas.
Lelaki tersebut yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di sini, antara Oktober 2006 hingga November tahun sama, dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mengikut fakta kes, pada waktu kejadian, mangsa telah dirogol oleh tertuduh dan hasil hubungan sumbang mahram tersebut, adiknya telah mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki.
Hasil pemeriksaan oleh Jabatan Kimia mendapati tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menanggung keluarga.
Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sebagai abang sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga darah dagingnya sendiri tetapi telah mengambil kesempatan.
Zhafran berkata ini bukan kesalahan pertama tertuduh kerana sebelum ini pernah melakukan kesalahan sama pada mangsa sehingga melahirkan anak tetapi telah meninggal dunia dan ini menunjukkan tertuduh tidak insaf. - Bernama

Dua wanita kerugian lebih RM160,000 diperdaya melalui internet




28 Mac 2013
MELAKA - Dua wanita mengalami kerugian lebih RM160,000 setelah diperdaya melalui Internet oleh warga Nigeria yang menyamar sebagai lelaki kulit putih.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Soh Hock Sing berkata dalam kes pertama, seorang suri rumah berusia 52 tahun kerugian RM155,343 selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial Facebook sejak Jun 2012.
  
Beliau berkata lelaki terbabit menyatakan akan mengirim hadiah seperti barang kemas dan wang tunai kepada wanita tersebut sebagai tanda kasih sayang.
  
"Mangsa kemudian dihubungi suspek mendakwa barang berkenaan ditahan pihak berkuasa kerana terlalu bernilai dan mangsa perlu membayar sejumlah wang untuk melepaskan barang tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka di sini hari ini.
  
Katanya mangsa kemudian memasukkan wang terbabit melalui lima transaksi ke dalam lima akaun berasingan termasuk milik seorang wanita tempatan berusia 55 tahun.

Soh berkata menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis pada 22 Feb lepas sebelum seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan.
  
"Hasil siasatan, wanita terbabit mengaku berkenalan dengan seorang lelaki warga Nigeria dan diarah membuka akaun dan mengeluarkan wang diterima selain menerima komisen berjumlah RM250 daripada suspek," katanya.
  
Katanya polis kini giat memburu lelaki yang terlibat dalam penipuan itu.
  
Dalam satu lagi kes, seorang wanita yang merupakan pembantu stor di sebuah syarikat elektronik di sini berusia 38 tahun kerugian RM10,500 setelah diperdaya dengan taktik sama.
  
Soh bagaimanapun berkata pihaknya berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun dan seorang lelaki Nigeria berusia 28 tahun setelah menerima laporan polis pada 18 Jan lepas.
  
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 19 kes penipuan melibatkan Internet dilaporkan sejak Jan lepas hingga kini melibatkan kerugian berjumlah RM240,925. - Bernama

Polis tahan pasangan kekasih, rampas dadah bernilai RM226,500




28 Mac 2013
KUCHING - Polis memberkas seorang lelaki tempatan serta teman wanitanya dan merampas sejumlah dadah bernilai RM226,500 di bilik sewa mereka di Taman Midway, Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan dekat sini, Selasa lalu.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Supritendan Moses Agat berkata ekoran penahanan itu, polis merampas dadah jenis pil Eramin 5, pil ekstasi dan ketamin daripada pasangan tersebut.
  
"Dalam serbuan 2.30 petang itu, polis merampas 1,054 keping dadah jenis pil Eramin 5, di dalam setiap keping mengandungi 10 biji pil dan keseluruhan sebanyak 10,540 biji pil dengan anggaran pasaran bernilai RM158,000.
  
"Turut dirampas dadah jenis ketamin seberat 385 gram dengan anggaran pasaran bernilai RM38,500 dan dadah jenis pil ekstasi sebanyak 500 biji dengan anggaran pasaran bernilai RM30,000," katanya pada sidang akhbar di IPK Sarawak di sini, hari ini.
  
Moses berkata selain merampas dadah tersebut, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan sebuah motosikal jenis Yamaha masing-masing bernilai RM15,000 serta RM5,000.

"Suspek menjalankan modus operandi dengan mengedar dadah di Kota Samarahan, Kuching, Bau dan Serian menggunakan kenderaan sewa bagi menggaburi pihak polis. Suspek turut menggunakan nama teman wanitanya untuk menyewa rumah tersebut bagi menggelak daripada dikesan pihak polis.
  
Beliau berkata teman wanita suspek kini mengandung tujuh bulan.
  
"Berdasarkan siasatan awal suspek memiliki rekod jenayah apabila pernah ditahan atas kesalahan sama dua tahun lalu dan dipenjara selama setahun empat bulan," katanya.
  
Menurutnya suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
  
"Ini merupakan rampasan dadah terbesar di Sarawak setakat ini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini," katanya. - Bernama

Pelajar Nigeria mati terbabit dalam pergaduhan




29 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pelajar warganegara Nigeria mati selepas terbabit dalam pergaduhan dengan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Batu Muda, Jinjang di sini.
  
Mangsa, Solomon Okolo, 30, disahkan mati pukul 9 malam tadi di Balai Polis Jinjang di sini ketika membuat laporan polis.
  
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kejadian berlaku pukul 7 malam tadi apabila kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa dan seorang rakannya dikatakan melanggar seorang penunggang motosikal yang tinggal di PPR itu.
  
Akibat pelanggaran itu, lelaki berkenaan terjatuh dan cedera sebelum berlaku pergaduhan yang kemudian disertai sekumpulan penduduk setempat, katanya kepada pemberita di sini.
  
Zakaria berkata polis yang membuat rondaan di kawasan itu kemudian meredakan keadaan dan membawa mangsa ke Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan.
  
Bagaimanapun mangsa tiba-tiba rebah dan doktor yang dipanggil bagi membantu mangsa mengesahkan Okolo sudah meninggal dunia, katanya.
  
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.  - Bernama

Lelaki ditemui tergantung




28 Mac 2013
KUANTAN - Seorang lelaki ditemui mati tergantung di sebuah rumah di Kampung Perting, Bentong malam tadi.
  
Beberapa penduduk di kawasan berkenaan membuat laporan polis selepas menghidu bau busuk yang dipercayai berpunca dari rumah itu.
  
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke rumah mangsa jam 11 malam dan bertindak memecah masuk berikutan pintu hadapan berkunci.
  
Pasukan itu menemui mayat mangsa dalam keadaan tergantung di tingkat atas rumah itu. Mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan
  
"Mayat Lo Hit Kit, 36, ditemui tergantung dengan tali yang mencerut lehernya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
  
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
  
Mangsa dilaporkan menghadapi tekanan jiwa selepas kematian ibunya empat tahun lepas.
  
"Pihak hospital mengesahkan mangsa mati sejak empat hari lepas dan polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama

Keseronokan main ‘masak-masak’ tukar tragedi



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
KOTA BHARU - Keseronokan tiga beradik bermain ‘masak-masak’ bertukar tragedi apabila serbuk warna ungu kristal yang disangka pasir tidak berbahaya itu adalah sejenis racun rumput dan serangga.

Kejadian itu yang berlaku di Kampung Berangan, Tumpat menyebabkan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7, Muhammad Arsyad, 6, dan Nur Amanina,5, mengalami muntah-muntah dan lemah tubuh badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superitendan Sharifuddin Yusof berkata, kejadian tersebut disedari oleh ibu mangsa, Siti Fatimah Yaacob, 36, kira-kira jam 6 petang semalam.

“Sebaik sahaja melihat perubahan kepada tiga beradik tersebut, ibu dan bapa mangsa membawa mereka ke Hospital Kelaboran untuk rawatan pada jam 7.30 malam. "Mereka kemudian dirujuk kepada Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) pada jam 9.30 malam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian bapa mangsa, Mohd Mat Haluwi Yusof, 49, bekerja sebagai buruh binaan tidak berada di rumah manakala ibu, Siti Fatimah menjaga kedai runcit miliknya di hadapan rumah tersebut.

Beliau berkata, ketiga beradik tersebut yang dipercayai terhidu racun jenis ‘faradon’ itu kini berada dalam keadaan stabil, dan sudah boleh bercakap serta minum dengan baik.

Sharifuddin berkata, racun tersebut disimpan di stor belakang rumah dalam keadaan terdedah di mana bapa mangsa merupakan petani sambilan.

“Racun tersebut didakwa digunakan untuk membunuh rumput atau serangga dalam tanah dengan kegunaan ditanam ke dalam tanah.

“Semasa kejadian faradon disimpan dalam beg plastik lusuh dan berbentuk serbuk warna ungu kristal,” katanya.

Beliau berkata, menurut pegawai perubatan HRPZ II, kesan daripada menghidu racun tersebut boleh menyebabkan mangsa merasa pening dan muntah-muntah.

Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain "masak-masak" berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumah mereka.

“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Ketiga-tiga adik saya ambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan dijadikan sebagai permainan. Mereka kemudian mengalami pening dan muntah-muntah sebelum ibu dan ayah membawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, hari ini.

Lelaki separuh abad curi 400 kereta lama diberkas




28 Mac 2013
ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya menyelesaikan 400 kes kecurian kereta lama di negeri ini dengan penangkapan seorang lelaki berusia 53 tahun di sini Isnin lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata suspek diberkas ketika cuba mencuri sebuah kenderaan di tempat letak kereta Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
  
Suspek yang berasal dari Yan dan mempunyai empat anak itu dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak 2008 dan sasaran suspek ialah kereta lama yang diletak di tempat sunyi di kawasan hospital serta pasar raya, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
  
Susulan penangkapan itu polis menemui lima kereta curi, 37 set rim dan pelbagai jenis radio kereta, katanya.
  
"Suspek ini bergerak seorang sahaja. Dia ambil barang dalam kereta seperti radio, rim dan pelbagai alat ganti kenderaan lain yang boleh dijual. Kemudian dia letak kenderaan tersebut di tepi-tepi jalan," katanya .

Mohd Nashir berkata pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 24 dan 46 tahun yang bersubahat membeli peralatan kenderaan curi daripada suspek pada hari yang sama.
  
Ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.
  
Mengulas kes lain, Mohd Nashir berkata pihaknya menumpaskan kegiatan perjudian 'belangkas' dan menahan 30 lelaki serta tiga wanita berusia antara 20-an dan 74 tahun di Jitra.
  
Katanya dalam serbuan oleh sepasukan anggota JSJ negeri dibantu anggota dari JSJ Kota Setar dan Kubang Pasu di sebuah kawasan perumahan di Jitra itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM118,300.
  
Sementara itu, Mohd Nashir berkata pihaknya kini memburu seorang lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan kes samun bersenjata di sekitar daerah Sik, Baling, Kuala Muda dan Kulim.

Mereka yang mengenali Hassan Ariffin, beralamat terakhir di No 63B Kampung Tembak B, Kuala Ketil diminta tampil membantu atau menghubungi balai polis terdekat.
  
Katanya pada 22 Mac lepas polis berjaya menangkap lima anggota kumpulan samun 'Pak Su Hassan' berusia antara 16 dan 36 tahun yang menggunakan senjata tajam ketika melakukan rompakan di sebuah rumah di Teloi, Sik.
  
Katanya empat daripada lima lelaki yang melakukan rompakan tersebut memakai topeng muka dan bersenjatakan parang merompak RM20,000 dan sebuah kereta.
  
"Geng Pak Su Hassan ini aktif sejak 2011 lepas dan merompak di rumah yang terletak di kawasan yang agak terpencil," katanya. - Bernama

Dadah: Dua beradik wanita warga Iran ke tali gantung




29 Mac 2013
SHAH ALAM - Dua beradik wanita warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine yang disimpan dalam bengkung dipakai mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sejurus mahkamah membuat keputusan, Fatemah Zandiyeh Mohammad, 24, dan kakaknya Tahmineh Zandiyeh Mohammad, 26, tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi bapa mereka yang berada di galeri awam dilihat menangis dan hampir rebah.
Fatemah didakwa mengedar 1,489.8 gram methamphetamine di kawasan tuntutan bagasi, Aras 1, Balai Ketibaan KLIA pada  11.30 pagi, 5 Mei 2011.
Tahmineh pula didakwa mengedar 1,497.9 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan tarikh sama.
Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara dua beradik itu diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan R.Vinothini. - Bernama

Penganggur nafi bakar 9 motosikal



GOKINA MORGANAN
29 Mac 2013
Penganggur nafi bakar 9 motosikal
Mohamed menutup muka ketika dibawa keluar dari mahkamah semalam.
GEORGETOWN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan khianat dengan membakar sembilan motosikal di Flat Mutiara, Lintang Hajah Rehmah di Jelutong, tiga hari lalu.

Mohamed Azrul Mohamed, 22, dari Teluk Kumbar, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Umma Devi Loganathan.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Azrul didakwa melakukan khianat dengan api sehingga merosakkan semua motosikal terbabit jam 3.42 pagi, 25 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan 
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairul Fairuz Rahman mengikut Seksyen 435 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Umma Devi membenarkan Mohamed diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamindan menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Hujat lebat, ribut petir akibatkan peralihan monsun




29 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menyatakan bahawa kekerapan hujan lebat dan ribut petir, diiringi angin kencang yang berlaku kebelakangan ini, ialah berikutan tempoh peralihan daripada monsun Timur Laut kepada monsun Barat Daya.
Timbalan Pengarah Ramalan Cuaca JMM Alui Bahari berkata tempoh peralihan selama sebulan itu akan melanda kawasan pantai Barat Semenanjung sepanjang April. Keadaan itu biasanya berlaku pada sebelah petang.
"Orang ramai tidak perlu risau dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang kerana ia perkara biasa yang berlaku setiap tahun dalam tempoh peralihan monsun.
"Hujan lebat berlaku akibat keadaan angin lemah yang datang dari pelbagai arah dan suhu daratan akan meningkat menyebabkan berlaku penyejatan wap air yang tinggi seterusnya membentuk awan yang tebal," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Alui berkata hujan lebat serta ribut petir itu dijangka berlaku secara setempat dalam tempoh dua hingga tiga jam di kawasan pedalaman iaitu bandar atau kawasan berpenduduk dan keadaan itu jarang melanda kawasan pesisir pantai.
Katanya tempoh peralihan monsun itu akan berakhir menjelang bulan Mei dan cuaca panas dan kering pula akan berlaku sepanjang monsun Barat Daya yang bermula pada Mei hingga September.
Alui turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan keadaan hujan lebat dan ribut petir terutama sewaktu memandu dan digalakkan supaya tidak meletakkan kereta di bawah pokok bagi mengelakkan tragedi dahan rapuh atau pokok tumbang. - Bernama

Polis tahan empat anggota 'Geng Fitri' samun penjual akhbar




29 Mac 2013
MELAKA - Polis Melaka menahan empat lelaki termasuk ketua kumpulan 'Geng Fitri' dipercayai terlibat dalam jenayah samun penjual surat khabar pada awal pagi di sekitar Melaka Tengah sejak Februari lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kesemua lelaki berusia antara 19 hingga 24 tahun itu berjaya ditahan di empat lokasi berbeza di sekitar Bukit Baru dan Duyong dalam satu operasi khas antara 4 petang hingga 8 malam semalam.
  
Beliau berkata hasil penubuhan pasukan khas bagi menjejaki ahli kumpulan tersebut polis berjaya melakukan tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran di Bukit Baru pada 4.30 petang.
  
"Hasil soal siasat, polis berjaya menahan tiga lagi ahli kumpulan tersebut termasuk ketua kumpulan mereka yang dikenali sebagai Fitri berusia 22 tahun di tiga lokasi berbeza di Taman Permatang Duyong, Taman Sri Duyong dan Taman Tasik Duyong.
  
"Polis menerima hampir 20 laporan jenayah samun melibatkan penjual surat khabar dan siasatan awal mendapati kesemua lelaki tersebut mengaku terlibat dalam enam jenayah samun berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya siasatan turut mendapati kesemua lelaki tersebut tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ketua kumpulan tersebut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah.
  
Raja Shahrom berkata kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
  
Beliau berkata polis turut merampas empat motosikal milik kesemua lelaki tersebut, tiga topi kaledar, lima telefon bimbit, satu  tukul besi, spanar, pisau lipat dan beberapa keping kad sim.
  
Katanya pada masa sama pihaknya sedang menjejaki dua lagi anggota kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Rashid dan Lan berusia lingkungan 20-an kerana dipercayai turut terlibat dalam jenayah tersebut.
  
Raja Shahrom berkata Geng Fitri bergerak dalam kumpulan pada awal pagi dan mengekori penjual surat khabar sehingga di kawasan sunyi sebelum menahan dan mengancam mangsa menggunakan parang, pisau dan topi keledar agar menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai atau telefon bimbit.
  
Beliau berkata kumpulan terbabit turut menyasarkan individu yang keluar berjoging dan ke pasar antara 5 hingga 6 pagi. - Bernama

Lelaki lepas tembakan rambang di pusat hiburan, dua cedera




29 Mac 2013
JOHOR BHARU - Seorang lelaki yang memakai topi keledar penutup muka penuh tiba-tiba masuk ke sebuah pusat hiburan di sini pada Rabu malam dan melepaskan tembakan rambang, mencederakan dua pengunjung, menurut polis hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaakob lelaki itu datang ke pusat hiburan itu di Jalan Damai, Taman Serene pada kira-kira 11.45 malam dan melepaskan lima das tembakan daripada pistol semi automatik berkaliber 9mm.
  
Sedas daripada tembakan itu terkena betis kanan seorang lelaki berusia 42 tahun manakala sedas lagi mengenai bahagian dada kiri seorang lelaki berusia 51 tahun, katanya.
  
"Kita masih menyiasat motif sebenar suspek dan kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh," katanya kepada pemberita selepas melawat seorang daripada mangsa di hospital di sini. Seorang lagi mangsa dibenarkan keluar hospital semalam.
  
Zainuddin berkata terdapat 10 orang termasuk pekerja berada di pusat hiburan itu ketika kejadian. - Bernama

Bekas Penolong Pengarah MPSJ hadapi 15 pertuduhan beri invois palsu




29 Mac 2013
SHAH ALAM - Seorang bekas penolong pengarah bahagian khidmat masyarakat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan memberi 15 keping invois yang mempunyai butiran palsu berhubung pembekalan papan tanda dan tong sampah membabitkan nilai keseluruhan RM256,120, dua tahun lepas.

Ahmad Faizal Azhar, 41, dari Putra Heights dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M.Bakri Abd Majid.

Tertuduh didakwa memberi 15 invois yang mempunyai butiran palsu dari tujuh buah syarikat dan seorang individu kepada pengarah perancang korporat MPSJ, Hamizun Mohd Basar dan pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ, Hani Salleh mengenai pembekalan 102 papan tanda dan 460 biji tong sampah Zon Bersih JKP Zon 5 yang sebenarnya pembekalan itu tidak berlaku.

Ahmad Faizal didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat MPSJ dekat sini, pada 7 Jan 2011 dan 30 Dis 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 23 Akta sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa dari SPRM, Mahamad Sukri Abu Seman yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan, pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan Ahmad Faizal perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh semasa siasatan.

Beliau berkata sekiranya jumlah jaminan ditetapkan agak tinggi, anak guamnya akan ditahan di lokap dan ini akan membebankan isteri, empat anak yang masih kecil serta ibunya kerana bapa tertuduh baru sahaja meninggal dunia pada minggu lepas.

Hakim M.Bakri kemudian menetapkan jumlah jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan serta seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 10 Jun.

Beliau turut menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai serta memerintahkan Ahmad Faizal melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap sebulan sekali. - Bernama

Mangsa culik OKU terjun dari kereta



NORIZZAH BAHARUDIN
29 Mac 2013
Mangsa culik OKU terjun dari kereta
Rasnah memberi minuman kepada Maysharah yang kini masih trauma dengan kejadian kelmarin.
ALOR GAJAH - Seorang remaja kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun cedera parah selepas nekad terjun dari sebuah kereta bagi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rogol di sebuah taman perumahan di Kuala Sungai Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Maysharah Mohd Zahar yang mengalami masalah kaki pengkar bersama seorang lagi rakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari pekan Kuala Sungai Baru, di sini, sebelum motosikal Yamaha Sport yang dinaiki mereka kehabisan minyak.

Menurut sumber, menyedari motosikal kehabisan minyak, mangsa dan rakan menolak motosikal sejauh 200 meter sebelum didatangi sebuah kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an menawar bagi menumpangkan mereka.

"Ketika itu, mangsa melihat ada seorang remaja perempuan dalam kereta berkenaan dan bersetuju untuk menumpang berikutan jarak rumah dengan lokasi hanya kira-kira 500 meter," katanya.

Menurutnya, sebaik saja mangsa masuk dalam kereta, lelaki itu memecut kenderaan meninggalkan rakan mangsa yang sedang mengunci motosikal.

“Di dalam kereta, lelaki terbabit membuka topik lucah sehingga mangsa ketakutan," katanya, semalam.

Sumber berkata, panik dengan kejadian itu, mangsa cuba membuka pintu kereta namun gagal sebelum bertindak menurunkan tingkap belakang kiri dan jerit meminta tolong.

"Bagaimanapun, ketika itu laluan berkenaan lengang dan lelaki terbabit bertindak memecut memotong tiga buah treler ketika melalui jalan bersimpang siur. Mangsa kemudian memberanikan diri keluarkan kepala dan separuh badan dari tingkap kereta itu sambil meronta-ronta.

"Dalam keadaan kereta terhoyong-hayang, mangsa nekad terjun dari kereta menerusi tingkap sebelum tercampak ke tengah jalan raya, manakala lelaki terbabit memecut keretanya hingga terbabas,” katanya.

Mangsa yang cedera parah hampir keseluruhan badan dirujuk ke Hospital Alor Gajah dan menerima 12 jahitan di kepala sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya hari sama.

Sementara itu, ibu mangsa, Rasnah Abd Ghani, 50, berkata, ekoran kejadian itu, anak kesembilan dari sepuluh beradik itu trauma dan kerap meraung dan menangis.

“Kadang kala, apabila terlelap, secara tiba-tiba dia merintih sakit dan berkata, 'nak balik rumah' dan 'tolong saya' berulang kali," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan di pekan Kuala Sungai Baru, kira-kira 5 petang kelmarin.

"Suspek kini direman empat hari bermula semalam (kelmarin) dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pasaraya nafi dakwaan jual daging babi segar



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Pasaraya nafi dakwaan jual daging babi segar
Pemilik laman sosial memaparkan imej yang didakwa daging babi.
SELAYANG - NSK Selayang menafikan ada daging khinzir dijual di premis berkenaan seperti mana dakwaan pemilik akaun sebuah laman sosial menerusi gambar yang sebarkan.

Wakil Bahagian Sumber Manusia NSK Selayang, Siti Afilah Che Min berkata, tiada daging babi segar dijual di premis berkenaan sebalik ia terdapat dalam produk tin sahaja.

Menurutnya, imej daging dalam troli yang dipaparkan dalam laman sosial terbabit adalah kambing sejuk beku dari New Zealand.

“Sejurus mendapat maklumat di laman sosial, semakan mendapati daging kambing itu disalut plastik sehingga dilihat seperti daging babi dan menimbulkan kekeliruan.

“Kita turut menerima banyak aduan berhubung perkara itu dan menegaskan NSK Selayang tidak menjual produk daging babi segar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berharap penjelasan itu akan dapat menepis segala kekeliruan yang timbul sekali gus pengguna tidak ragu untuk terus membeli daging di NSK Selayang.

Difahamkan, gambar memaparkan imej dua ketulan daging didakwa babi mula tersebar di laman sosial, bermula semalam.

Sumber mendakwa, daging itu diletakkan dalam troli tanpa berbalut sementara menunggu untuk dipotong menjadi kepingan kecil.

Sumber berkenaan turut bimbang sekiranya daging babi itu dijadikan kepingan kecil menggunakan mesin pemotong sama dengan daging lain di pasaraya berkenaan.

Pemilik bengkel cedera ditembak



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Pemilik bengkel cedera ditembak
Mushar (tengah) menunjukkan wajah lelaki (gambar kecil) yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes tembak di Taman Perpaduan.
SABAK BERNAM - Akibat perselisihan faham, seorang pemilik bengkel hampir menemui ajal setelah terkena satu das tembakan yang dilepaskan suspek dikenalinya dalam kejadian di Taman Perpaduan, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa berumur lingkungan 33 tahun, cedera terkena peluru di pangkal leher yang menembusi bahagian atas tulang selangka kirinya.

Menurutnya, suspek dipercayai melepaskan tiga das tembakan menggunakan pistol, tetapi hanya satu daripadanya mengenai mangsa.

"Semasa kejadian,  mangsa berada di bilik utama rumah teres setingkat itu sebelum didatangi suspek yang dikenalinya.

"Sebelum berlakunya kejadian tembakan itu, mereka didapati telah bertengkar dipercayai ada kaitan dengan kegiatan dadah yang dijalankan oleh suspek dan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sungai Besar, semalam.

Mushar berkata, selepas menembak mangsa, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam oleh rakan serumahnya yang semasa kejadian sedang tidur di ruang tamu rumah berkenaan.

“Pihak hospital kemudiannya memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu dan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Mushar berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan pergelutan berlaku dan turut menemui kesan darah pada lantai rumah berkenaan.

Menurutnya, pihaknya turut menemui dua kelongsong peluru, namun pistol yang digunakan dalam kejadian itu tidak ditemui.

"Polis sudah mengenal pasti suspek yang dipercayai mempunyai dua rekod jenayah sebelum ini atas kesalahan dadah dan bergaduh.

"Mangsa juga didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu memiliki senjata berbahaya dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan seorang lelaki, Sutakar Supramaniam, 34, bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi IPD Sabak Bernam di talian 03-3225963.

Aku bunuh belaka'



RUBIAH OMAR
29 Mac 2013
'Aku bunuh belaka'
Wan Mohd Harez mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ahli keluarganya.
KUALA TERENGGANU - Hanya kerana perselisihan faham kecil dengan adiknya, seorang penganggur tergamak membabitkan keseluruhan ahli keluarga dengan mengugut akan membunuh kesemua mereka, termasuk kedua orang tuanya dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang.

Akibat perbuatan itu, Wan Mohd Harez Wan Hasim, 24, berdepan hukuman penjara boleh sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam.

Wan Mohd Harez mengaku bersalah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mengatakan ‘aku bunuh belaka’ semasa berada di dalam rumah bagi menakutkan mangsa, Wan Muhammad Hadi Wan Hasim, 20.

Dia mengaku bersalah dengan niat menyebabkan mangsa berasa takut pada 24 Mac lalu, kira-kira jam 11.45 pagi, di kediaman mereka.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Rusila Nik manakala Wan Mohd Harez tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, Rusila menetapkan 11 April depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 27 Mac lalu ada melaporkan seorang penganggur bukan sahaja tergamak mengugut mahu menikam kepala adiknya, malah lebih melampau, dia seperti dirasuk apabila turut bertindak mengugut mahu membunuh semua ahli keluarganya.

Dua beradik ketagih ketum



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Dua beradik ketagih ketum
Dari kanan: Shamsudin, Noor Zainy dan Abdulah menunjukkan air dan daun ketum yang dirampas.
BESUT  - Dua beradik yang merupakan penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di daerah ini antara 23 yang ditahan kerana ketagih air ketum dalam operasi di Kampung Pangkalan Teras dekat Kampung Keluang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, selain dua beradik berumur 33 dan 34 tahun itu, dua lagi kakitangan sebuah jabatan lain berusia 26 dan 32 tahun turut diberkas.

Menurutnya, semua mereka berusia 16 hingga 58 tahun yang ditahan dalam operasi bermula jam 5 hingga 11 pagi, kerana disyaki terlibat dengan penagihan dadah dan air ketum.

Katanya, operasi berkenaan diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Noor membabitkan Ketua Balai Polis Jertih, Inspektor Abdullah Che Soh dan anggota balai berkenaan.

“Mereka ditahan ketika masuk ke dalam semak berhampiran sebuah rumah dipercayai untuk membeli air ketum yang diproses,” katanya.

Kamaruddin berkata, suspek yang paling awal memasuki port ketum itu adalah dua beradik itu yang ditahan pada jam 7.30  pagi.

Menurutnya, dua beradik berkenaan dipercayai datang mendapatkan air ketum terlebih dahulu sebelum memulakan tugas di pejabatnya.

Kata beliau lagi, turut ditahan seorang lelaki warga emas berusia 58 tahun dipercayai penjual air ketum itu.

“Seramai 10 daripada mereka juga didapati positif dadah methamphetamine (pil kuda), manakala dua beradik itu negatif,” katanya.

Kamaruddin berkata lagi, polis turut merampas 300 bungkus air ketum, satu plastik daun ketum belum diproses seberat 4 kilogram dan masing-masing satu periuk, dapur tong gas, alat penimbang dan kotak pendingin

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Buruh maut dirempuh kereta



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Buruh maut dirempuh kereta
Anggota polis dibantu orang awam sedang mengangkat mayat mangsa yang maut untuk dihantar ke Hospital Dungun.
PAKA – “Saya brek dan cuba mengelak mangsa, namun dia tercampak atas cermin kereta saya sebelum jatuh ke bawah," kata Azhar Abdul, 26, menceritakan detik cemas ketika kereta dipandunya merempuh seorang penunggang motosikal dalam satu kemalangan, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang di Kilometer 95.6 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu, dipercayai berlaku apabila seorang penunggang motosikal, dikenali sebagai Rasat Soa, 29, secara tiba-tiba masuk ke laluan kanan.

Azhar yang memandu Honda Accord dari arah sama ketika itu dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang, Kerteh, bersama isteri dan tiga anaknya.

Azhar berkata, dia cuba mengelak daripada merempuh mangsa yang tiba-tiba masuk ke laluan kanan di laluannya itu, namun gagal menyebabkan dia merempuh mangsa sebelum tercampak ke atas kereta lalu jatuh.

Menurutnya, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan mati serta merta di tempat kejadian.

“Rempuhan kuat menyebabkan dia terjatuh atas cermin kereta saya.

“Darah turut memenuhi cermin kereta saya sebelum kami semua keluar menyelamatkan diri,” katanya yang hanya cedera ringan.

Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa yang merupakan seorang buruh kontrak warga Kemboja dalam perjalanan ke tempat kerjanya, selepas menikmati makan tengah hari di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan untuk urusan pengebumian,” katanya.

Pelajar lemas selepas main bola



ALAUDIN MA
29 Mac 2013
Pelajar lemas selepas main bola
Mayat Hafizul Alimi diusung pasukan penyelamat sebaik ditemui di dasar sungai untuk dihantar ke HGM.
GUA MUSANG - “Saya lihat dia terkapai-kapai dihanyutkan arus deras, tetapi saya tidak dapat menolongnya kerana saya sendiri turut dihanyutkan arus," kata Dzulaqma Budriz Shah, 14, rakan Hafizul Alimi Nuzul, 14, yang ditemui mati lemas, pagi semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa bersama 11 rakan lain mandi di Sungai Ketil berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas bermain bola di padang Taman Wangi.

Mayat Hafizul Alimi, ditemui di dasar sungai itu kira-kira 11.15 pagi hanya 200 meter dari tempat mangsa terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras oleh sepasukan anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang bersama buruh binaan rumah PPR itu.

Mangsa pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 (SMKTIP1) yang tinggal di Kampung Tanah Puteh dikatakan bermain bola sepak di padang bola Taman Wangi kira-kira jam 8.30 pagi sebelum ke sungai itu 9.45 pagi.

Ketika menceritakan detik cemas kejadian itu, Dzulaqma, berkata, sebelum kejadian mangsa kelihatan biasa sahaja ketika turun ke sungai untuk mandi bersama-sama.

Katanya, sebaik sedang mandi, mangsa berjalan ke lokasi lain sebelum kaki tergelincir dan dihanyutkan arus hingga ke kawasan lebih dalam menyebabkan cemas untuk menolongnya.

Beliau berkata, dia sempat menyelamatkan mangsa, tetapi sekali lagi berlaku demikian hingga tidak lagi sempat berbuat demikian hingga Hafizul Alimi hilang dihanyutkan arus.

“Saya sedaya upaya cuba menyelamatkan mangsa apabila ternampak dia tenggelam timbul dalam keadaan mulut berbuih, tetapi saya pula hampir lemas menyebabkan saya berenang untuk menyelamat diri sendiri.

“Sebaik saya sampai ke tebing, saya lihat dia sudah hilang sambil saya melaungkan rakan yang lain supaya cepat mencari mangsa, namun kebanyakan rakan itu tidak mahu kerana takut dengan kejadian terbabit,” katanya.

Dzulaqma Budriz berkata, sudah biasa bagi kumpulannya mandi di sungai itu setiap kali selepas bermain bola kerana sungai berkenaan juga terletak berhampiran padang bola terbabit.

“Saya terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa untuk kali kedua disebabkan arus deras dan air dapat menyebabkan saya sendiri hampir lemas dibawa arus, tetapi bersyukur saya masih selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua  Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Lori jatuh ke dalam tali air



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Lori jatuh ke dalam tali air
Keadaan lori yang jatuh dalam kawasan tali air petang kelmarin.
KOTA BHARU - Seorang pemandu lori terpaksa berdepan detik cemas apabila kenderaan berat muatan pasir berkapasiti tiga tan itu, terjatuh ke dalam kawasan tali air ketika menyeberangi jambatan kecil di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa di sini petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu disedari oleh penduduk berdekatan, Shaari Isa, 54, ketika dia hendak menunaikan Solat Asar.

“Saya baru sahaja hendak mengambil wuduk dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dan saya terus bergegas keluar rumah untuk memeriksa dari mana datangnya bunyi berkenaan. Alangkah terkejutnya saya melihat sebuah lori berada di kawasan tengah-tengah jambatan yang runtuh selepas lori itu cuba menyeberanginya,” katanya.

Shaari berkata, jambatan kecil yang dibina di bawah projek Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) itu pernah runtuh dua tahun lalu dan dibaik pulih semula setahun kemudian.

“Mungkin struktur jambatan terbabit yang sudah lama, menyebabkan ia mudah runtuh dan tidak sesuai untuk digunakan kenderaan berat.

“Mengikut kata rakan-rakan yang sempat bertanya kepada pemandu lori itu, dia sebenarnya sesat dan mencari jalan keluar dari kawasan tersebut untuk ke satu destinasi bagi menghantar muatan pasir yang dibawa,” katanya.

Sementara itu Sinar Harian cuba mendapatkan pemandu lori berkenaan, namun dia enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan kejadian itu.

Ditumbuk akibat bendera



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Ditumbuk akibat bendera
Pengikut sebuah parti politik membuat laporan berhubung dua kejadian berasingan di Balai Polis Rantau Panjang.
RANTAU PANJANG – Seorang remaja mendakwa ditumbuk pada bahagian bibir berikutan salah faham tentang bendera parti yang diletak di sepanjang jalan di Kampung Parit Air, 26 Mac lepas.

Mangsa, Muhamad Nasrullah Kamarudin, 17, berkata, dia bersama 50 yang lain telah memacak bendera sebuah parti politik di sepanjang jalan itu pada 21 Mac.

Bagaimanapun katanya, dia terserempak sekumpulan remaja bermotosikal sedang mematahkan bendera ketika menunggang motosikal sendirian di laluan berkenaan kira-kira jam 11 malam, 26 Mac lalu.

Menurutnya, selepas melihat kejadian, dia memeriksa keadaan bendera lain di kawasan tersebut dan mendapati ia turut patah serta berselerak di tepi jalan.

“Saya berpatah balik ke tempat kumpulan remaja tersebut yang mana salah seorang daripadanya saya kenali.

“Ketika itu, terdapat anggaran enam remaja dan saya bertanya kepada remaja yang saya kenali mengapa mengkhianati bendera itu.

“Namun, dia menganggap saya menuduh dia mematahkan bendera itu,” katanya.

Muhamad Nasrullah berkata, disebabkan tidak mahu bertelagah, dia menghampiri remaja berkenaan untuk bersalam.

"Secara tiba-tiba saya ditumbuk di bibir, malah dia juga cuba menyepak saya, namun sepakannya berjaya dielak.

“Bagi menyelamatkan diri, saya melarikan diri untuk memanggil rakan. Bila rakan saya sampai ke tempat kejadian, kumpulan itu telah tiada,” katanya.

Menurutnya, akibat tumbukan berkenaan, dia cedera di bibir dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Rantau Panjang, pagi semalam.

Dia menambah, tidak lama kemudian, bapa remaja itu datang dan bertanya mengapa anaknya dituduh mematahkan bendera.

"Saya cuba menjelaskan perkara sebenar, tetapi dia cuba memukul saya.

“Selepas itu, kami telah berbincang dan kes tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya, laporan dibuat supaya pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dan perkara ini tidak berulang.

Sementara itu, seorang lelaki dari Kok Kiyeh, Gual Sitok, Makhtar Jusoh, 59, turut membuat laporan polis di balai sama dan mendakwa bendera yang digantungnya di lorong Gual Arang Kok Kiyeh dibakar.

Dadah: Bapa sembilan anak didenda



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Dadah: Bapa sembilan anak didenda
Azmi ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU – Bapa sembilan anak didenda RM2,300 selepas mengaku bersalah memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis metamphetamine, minggu lalu.

Denda terhadap Azmi Ya, 30, yang beralamat di Ipoh, Perak itu diputuskan Majistret Nik Habri Muhamad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan kepada dirinya sendiri dadah berkenaan pada jam 1.10 petang, 23 Mac.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu supaya hukumannya diringankan berikutan dia mempunyai anak yang ramai dan isterinya sedang sarat mengandung.

“Saya mohon Yang Arif kurangkan hukuman terhadap saya. Saya menyesal dan berjanji tidak akan buat lagi. Isteri saya pula sedang sarat mengandung anak kami yang kesembilan,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri.

Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak
Marazki ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan bagi menghadapi tuduhan mengedar dadah sebelum ini.
KUANTAN - Seorang nelayan yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan mengedar 82 gram heroin sekali lagi diheret ke mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, hujung tahun lalu.

Tertuduh, Marazki Mohammad, 35 dari Sungai Isap Perdana di sini didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau itu di rumahnya kira-kira jam 1.30 tengah hari, 10 Disember tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari di hadapan Majistret Jeeseca Diamis.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Tertuduh ditawarkan ikat jamin RM6,000 bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM4,500 selepas dia membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut dalam mahkamah yang sama.

Lelaki Nigeria kikis duit nenek



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
29 Mac 2013
Lelaki Nigeria kikis duit nenek
Hock Sing (tengah) pada sidang media di IPK Melaka, semalam.
BUKIT BERUANG - Padah bermain cinta dengan warga Nigeria yang menyamar sebagai lelaki kacak berbangsa Eropah, seorang nenek mengalami kerugian RM155,343 setelah ditipu lelaki terbabit.

Nenek berusia 52 tahun itu sedar penipuan lelaki yang dikenali menerusi sebuah laman sosial, Jun tahun lalu apabila tidak menerima hadiah yang dijanjikan pemuda berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, suri rumah berkenaan yang mempunyai suami dan berasal dari Batu Berendam, di sini jatuh cinta setelah lelaki berkenaan sering menabur kata-kata manis.

“Suspek menggunakan gambar palsu lelaki kulit putih yang kacak, selain ayat-ayat manis untuk memperdaya wanita tersebut sehingga jatuh cinta kepadanya.

“Setelah mangsa jatuh cinta, suspek berpura-pura menghantar bungkusan mahal sebagai hadiah kepada wanita itu, namun bungkusan tersebut didakwa menghadapi masalah pelepasan kastam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dekat sini semalam.

Hock Sing berkata, rakan subahat suspek yang bertindak menyamar sebagai pegawai kastam kemudian menghubungi mangsa untuk meminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun diberi, kononnya sebagai bayaran cukai.

“Terpedaya dengan helah itu, wanita terbabit memasukkan wang sebanyak lima kali ke dalam akaun berasingan sebelum dia menyedari dirinya ditipu apabila suspek berterusan meminta wang, sedangkan hadiah dijanjikan tidak diterima.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis 22 Februari lalu sebelum polis berusaha mengesan suspek dan pemilik akaun bank terbabit,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, polis berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 55 tahun di Puchong pada 27 Februari lalu.

“Wanita berkenaan merupakan pemilik salah satu akaun yang digunakan suspek. Dia turut mengaku suspek memberikan komisen selepas wang tersebut diserahkan kepadanya.

"Bagaimanapun, dua lagi suspek warga Nigeria dikenali sebagai Abdi Fatah Mohamed Abdi dan Daude Kayode, masing-masing berusia 30an serta merupakan pelajar sebuah kolej swasta dan dipercayai turut terlibat dalam penipuan ini, gagal dikesan berikutan alamat palsu yang diberikan mereka kepada pihak bank,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita bujang berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pembantu stor kerugian RM10,500 apabila turut diperdaya lelaki warga Nigeria yang dikenalinya di sebuah laman sosial sejak Jun 2011.