Search This Blog

Wednesday, March 27, 2013

Tanah runtuh di Bandung Barat, 10 mayat ditemui



JAKARTA 26 Mac - Pasukan mencari dan menyelamat hingga petang ini sudah menemui 10 mayat penduduk yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Mukapayung, Cililin, daerah Bandung Barat, Jawa Barat sejak Isnin.
Gerakan mencari tujuh lagi penduduk yang masih hilang diteruskan dan operasi itu mungkin diteruskan sehingga petang ini jika cuaca cerah kekal sepanjang hari, kata jurucakap pasukan penyelamat.
Tanah runtuh itu berlaku pagi semalam di tiga tempat iaitu di kawasan Pasirpogor, Bukit Pasir Cikareo dan Bukit Dipatiukur, disebabkan hujan lebat yang turun sejam malam Isnin.
Tanah runtuh itu menyapu lebih 20 rumah penduduk di kawasan petempatan yang terletak di kaki bukit berkenaan.
Data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyebut bahawa dalam tempoh tiga bulan terakhir, 53 kejadian tanah runtuh berlaku di beberapa kawasan di Indonesia menyebabkan 83 orang terkorban. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130326/lu_08/Tanah-runtuh-di-Bandung-Barat-10-mayat-ditemui#ixzz2OksaU836
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Senjata api, bom tangan ditemui


senjata
Mohd Mokhtar bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas.
JOHOR BAHRU - Tindakan bersepadu sepasukan polis menyerbu dan memeriksa sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, membawa kepada penemuan serta merampas sejumlah senjata api bersama kelengkapan peluru, bom tangan serta sejumlah dadah, 21 Mac lalu.

Serbuan jam 5 pagi dilakukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seri Alam serta Unit Bom.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, daripada tindakan itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 44 tahun untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, susulan daripada tangkapan dan siasatan lanjut dilakukan, Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Selatan menemui sepucuk pistol jenis Walter bersama dua kelopak yang mengandungi 12 butir peluru hidup sekitar 3.45 petang, 24 Mac lalu.

“Sejumlah 30 butir peluru hidup jenis S&B 117.65Br dan sebutir bom tangan serta dua pucuk pistol mainan juga turut ditemui hasil dari pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang ada kaitan dengan kumpulan ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini, semalam.

Antara barang dirampas adalah tujuh butir bom tangan; dua butir bom buatan sendiri; dua pucuk pistol jenis Revolver .38 dan sepucuk pistol jenis Walter bersama dua kelopak yang berisi enam butir peluru setiap satu.

Selain itu, dua pucuk pistol angin tiruan menyerupai jenis Semi Auto bersama sejumlah peluru plastik; dua pucuk pistol mainan plastik; satu alat pemanah; 451 butir peluru pelbagai jenis; sepasang gari; pelbagai peralatan dan kelengkapan senjata api serta empat butir bom tiruan.

Polis turut merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 1,648 gram bernilai RM412,000; 9.5 gram ketamin (RM500); 5.1 gram (RM1,250); sembilan biji pil ekstasi (RM450) dan peralatan mencetak pil.

Penangan ribut, peniaga rugi



rugi
Safuan dan Che Gayah melihat atap zink sebuah gerai sementara yang diterbangkan angin lebih 10 meter dalam kejadian ribut, petang kelmarin.
TEMERLOH – Tiga peniaga gerai makan di Temerloh Jaya kerugian lebih RM5,000 apabila khemah dan peralatan niaga mereka rosak dipukul ribut dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin.

Mangsa, Safuan Hussin 50, berkata, kejadian berlaku sangat pantas ketika dia bersama lebih 30 peniaga gerai makanan sementara Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sibuk melayan pelanggan apabila tiba-tiba dikejutkan dengan tiupan angin kencang.

Menurutnya, mulanya keadaan langit sangat gelap diikuti dentuman guruh dan angin kencang bersama hujan lebat melanda kawasan perniagaan mereka bersebelahan padang bola sepak taman perumahan tersebut.

“Kami tak sempat selamatkan barang-barang, terpaksa berlindung dari angin kencang ketika khemah diterbangkan lebih 10 meter dari kedudukan asal,” katanya semalam.

Seorang lagi peniaga, Che Gayah Muhammad 61, berkata, mereka bertiga mengalami kerugian lebih RM5,000 berikutan peralatan niaga dan kemudahan rosak dipukul ribut.

Che Gayah adalah bekas Bendahari Wanita Umno Maran berniaga di kawasan tersebut sejak enam bulan lalu selepas gerai miliknya di kawasan perumahan terbabit diambil alih MPT untuk dimajukan dengan kawasan perniagaan lebih tersusun.

Menurutnya, semua peniaga di sini berniaga sementara sahaja, apabila gerai yang dibina MPT di tapak sedia ada siap dibina, semua peniaga akan berpindah semula.

“Kami berniaga sementara saja di sini, tak lama lagi siap gerai baru kami akan pindah dan dapatlah niaga dengan lebih selesa.

“Kami harap kerajaan dapat bantu untuk mulakan semula perniagaan,” katanya.

Tak tahu anak di ICU


Sapuan
Sapuan gembira berbaring di atas tilam perubatan yang disumbangkan Abdul Manan.
KUANTAN - “Tiga hari anak saya terlantar di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), baru kami sekeluarga dimaklumkan dia kemalangan,” kata Mat Taharin Mat Akim, 64 bapa kepada Sapuan Mat Taharin, 33 yang kini terlantar setelah mengalami kemalangan 14 Januari lalu.

Mat Taharin berkata, akibat kemalangan tersebut, Sapuan kini hanya mampu terlantar dan menjadi orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami kecederaan serius di kepala.

“Saya reda dengan apa yang terjadi, namun jauh di sudut hati saya mengharapkan keajaiban untuk dia kembali normal seperti sedia kala.
“Tempurung kepala sebelah kiri terpaksa di buang, manakala anggota badan sebelah kirinya menjadi lembik,” katanya.

Katanya, Sapuan yang bekerja sendiri sebagai tukang rumah kini mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan dirinya.

Bagi ibu Sapuan, Sariah Amir,54 berkata, anak ketiga daripada 13 beradik itu dahulunya seorang yang kuat bekerja, namun disebabkan kemalangan tersebut, dia menjadi lebih sensitif.

“Kadang kala memang sukar untuk meramal emosi Sapuan ini kerana dia boleh marah, gembira dan sedih dalam masa yang sama.

“Sebagai ibu, saya sedih melihat keadaan dia, dahulu dia seorang yang berdikari, tetapi kini mahu makan pun terpaksa disuapkan,” katanya.

Sementara itu, nasib Sapuan mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Adun Lepar, Mohd Shohaimi Jusoh dengan pemberian sebuah tilam perubatan.

“Diharapkan agar tilam perubatan yang disumbangkan ahli parlimen ini dapat mengurangkan beban Sapuan dan membantu untuk dia sihat kembali,” katanya

Rumah sewa tinggal rangka


27 Mac 2013
rumah terbakar
Keadaan rumah PPRT milik penduduk disewakan kepada lelaki Kemboja yang musnah dalam kebakaran di Che Lijah, malam semalam.
DUNGUN – Seorang penduduk kerugian hampir RM15,000 apabila rumah yang disewakannya kepada sekumpulan warga Kemboja hangus dalam kebakaran, dekat sini, malam semalam.

Kebakaran kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika pemilik rumah, Zakaria Awang, 58, keluar makan bersama isterinya, Rohani Ghani, 54, di sebuah restoran berdekatan.

Menurut Zakaria, dia menyedari kejadian tersebut setelah dihubungi anak lelakinya, Mohd Faizal, 29, sebaik melihat api marak memusnahkan rumahnya yang didirikan melalui sumbangan program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Zakaria berkata, rumah tanpa kemudahan elektrik itu disewakan dengan kadar RM50 sebulan dan ia diduduki sekumpulan lelaki warga Kemboja sejak beberapa bulan lalu.

“Sebaik mendapat tahu kejadian berkenaan, saya terus bergegas pulang ke rumah.

"Namun api yang marak dengan cepat menyebabkan saya tidak dapat berbuat apa-apa sehinggalah pasukan bomba tiba,” katanya.

Sebuah motosikal jenis Modenas berharga kira-kira RM5,000 dan Yamaha Sport dipercayai milik lelaki Kemboja itu dengan anggaran nilai RM1,500 gagal diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Nor Azizi Che Noh berkata, dua jentera dihantar ke lokasi terbabit untuk mengawal api daripada terus merebak ke kediaman berhampiran.

Api berjaya dipadamkan kira-kira sejam kemudian.

“Keseluruhan kerugian termasuk bangunan, peralatan serta dua buah motosikal yang hangus itu dianggarkan RM25,000.

"Punca kejadian masih disiasat pihak bomba,” kata Nor Azizi.

Cubaan 11 GRO lolos diri gagal


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mac 2013
GRO
Wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO ditahan untuk siasatan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
SITIAWAN - Seramai 11 wanita warga asing bertempiaran lari apabila diserbu Jabatan Imigresen negeri dan Manjung dalam operasi Ops Sayang di sebuah restoran dalam ladang kelapa sawit di Kampung Selamat di sini, malam semalam.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Zali berkata, 11 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di restoran berkenaan berjaya ditahan.

Menurutnya, apabila operasi itu dimulakan, semua wanita berkenaan mengambil kesempatan untuk melarikan diri, namun berjaya ditangkap anggota Imigresen.

“Sebelum ini kami terima maklumat orang awam mengatakan terdapat wanita warga asing sering keluar masuk ke tempat itu.

“Bertindak atas laporan berkenaan pihak kami bersama Imigresen Perak mengadakan operasi yang dipanggil Ops Sayang,” katanya.

Zaidi berkata, dalam operasi itu mereka berjaya menahan sembilan wanita warga Vietnam, dua wanita warga China berumur 18 hingga 44 tahun.

“Kesemua yang ditahan gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Operasi itu disertai 14 anggota Imigresen Ipoh dan 10 anggota Imigresen dari Lumut.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Perak, Ahmed Syam Che Kub berkata, semua yang ditahan itu dibawa ke depoh tahanan di Langkap untuk siasatan lanjut.

“Kami amat mengalu-alukan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Katanya, perkara itu harus dipandang serius kerana situasi berkenaan semakin serius jika tidak dibendung segera.

“Kita tidak mahu perkara ini semakin menular dalam masyarakat dan mengharapkan supaya orang ramai dapat sama-sama membantu membanteras gejala ini,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan) 2010.

Warga emas bunuh adik ipar dijel 15 tahun


27 Mac 2013
warga emas
Rombeli (tengah) keluar dari mahkamah bersama Mohd Fadzli selepas perbicaraan.
KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan semalam menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara terhadap seorang warga emas selepas didapati bersalah membunuh adik iparnya dua tahun lalu.

Rombeli Zainol Abidin, 66, menerima hukuman itu dari tarikh tangkap selepas mendengar bukti yang dikemukakan Timbalan Pendakwaraya, Amer Abu Bakar Abdullah.

Bapa kepada empat anak itu tenang kelihatan ketika Hakim, Datuk Seri Mariana Yahya menjatuhkan hukuman yang turut disaksikan ahli keluarga lain.

Mariana sebelum menjatuhkan hukuman berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana tertuduh dan mangsa ada talian persaudaraan dan bergaduh hanya kerana tanah.

“Sesiapa pun tidak boleh melakukan sesuka hati dan setiap orang perlu bertanggungjawab atas kelakuan sendiri,” katanya.

Bekas pesawah itu dibuktikan membunuh adik iparnya, Mohammad Romli Hashim pada 17 Ogos 2011 kira-kira jam 6 petang di kawasan sawah padi Kampung permatang Cekeroh, Nenasi, Pekan.

Rombeli, dari Kampung Serun, Nenasi itu juga pernah bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat memproses ayam dan potong besi di Pulau Pinang.

Ketika pendakwaan Amer berkata, tertuduh perlu menerima hukuman setimpal kerana keluarga mangsa masih trauma dan isteri mangsa kehilangan tempat bergantung selain menderita angin ahmar dan darah tinggi.

Sementara itu, Peguambela tertuduh, Mohd Fadzli Ramli dalam pembelaan berkata, Rombeli kini menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Tertuduh hanya mempertahankan diri kerana mangsa masuk ke kawasan sawahnya dan bukan niat tertuduh untuk membunuh memandangkan dia tidak menyerang organ penting,” katanya.

Mangsa mati akibat salur darah di bahagian paha putus dan kehilangan banyak darah kerana tertuduh menggunakan parang. Rombeli diperintahkan menjalani hukuman penjara di Pulau Pinang bagi memudahkan keluarganya melawat berikutan isteri dan
anak-anaknya berpindah ke negeri itu selepas kejadian berkenaan.

Empat anggota polis didakwa rompak, peras ugut empat warga Indonesia



27 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merompak dan memeras ugut empat warga Indonesia dua minggu lepas.

Azrol Yon Chik, Mohammad Hafiz Md Isa, Mohd Khairil Azli Saud dan Rustamad Awang, dari Balai Polis Tropicana, Damansara didakwa merompak wang tunai berjumlah RM500 dan lapan telefon bimbit milik Ernawati, Lilis, Arifhidayattullah dan Hendi Ekwanto di Kampung Sungai Penchala pada 1.30 pagi 12 Mac lepas.

Azrol, Mohammad Hafiz dan Mohd Khairil Azli, masing-masing berusia 27 tahun, manakala Rustamad, 31, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun  keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mereka yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal itu juga didakwa memeras ugut mangsa sebanyak RM3,000 di Balai Polis Tropicana pada 2 pagi  hari sama mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Azrol dan Bustamad berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memeras ugut mangsa sebanyak RM500 dalam kereta Perodua Alza di Jalan Penchala Link, Brickfields pada 2.44 pagi hari yang sama.

Hakim Azman Mustapha membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu tidak dibenar berkomunikasi dengan mangsa, dan menetapkan 26 April untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Normadiana Mamat. - Bernama

Wanita didakwa tipu rakan lebih RM100,000



27 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang rakannya membabitkan lebih RM100,000, sembilan tahun lepas.

Foo Mei Kuan, 51, didakwa menipu Tan Lay Khoon, 51, dengan memperdayakan wanita itu bahawa dia boleh membekalkan peralatan perubatan kepada pesakit sehingga mendorong Tan menyerahkan RM104,500 kepadanya.

Tertuduh, yang ditangkap pada 14 Mac lepas, didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Jalan Kuchai Lama, Kuchai Enterpreneurs Park, Brickfields di sini pada 9 November 2004.

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Foo, yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan hidup seorang diri selepas berpisah dengan suaminya.

"Saya hanya menerima duit daripada Jabatan Kebajikan sebanyak RM300 sebulan dan terpaksa berjumpa doktor pada setiap bulan bagi menjalani pemeriksaan psikiatrik," katanya.

Hakim, Murtazadi Amran membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April ini untuk sebutan kes. - Bernama

Polis Melaka rampas 87 set komputer aktiviti judi



27 Mac 2013
MELAKA - Polis merampas 87 set komputer bernilai RM43,500 di tiga premis berasingan di Taman Bachang Baru di sini dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian.
  
Ketua Turus Unit Pencegahan Perjudian Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ASP Azahar Abdul Rahim berkata serbuan pada 4.30 petang semalam itu melibatkan lapan anggota unit tersebut ekoran aduan diterima melalui e-aduan kerajaan negeri Melaka.
  
"Aduan awal diterima melibatkan dua premis yang menjalankan aktiviti perjudian di kawasan tersebut namun kita berjaya mengesan sebuah lagi premis berhampiran yang turut terlibat dalam perjudian berkomputer," katanya kepada pemberita di sini.
  
Beliau berkata tiada tangkapan dibuat kerana kesemua premis itu tidak beroperasi dan berkunci menyebabkan pihaknya terpaksa memecahkan pintu masuk setiap premis berkenaan.
  
Katanya siasatan lanjut mendapati satu daripada premis terbabit telah beberapa kali diserbu namun aktiviti berkenaan masih aktif dengan menggunakan beberapa taktik baharu termasuk menjalankan aktiviti perjudian dalam keadaan lebih tertutup, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan magnet di pintu masuk bagi menyukarkan pihak berkuasa memasuki premis.

Azahar berkata premis terbabit turut berselindung di sebalik papan tanda premis lain seperti menjual haiwan peliharaan serta menjadikan premis yang digunakan seperti bangunan tinggal.
  
Katanya premis perjudian haram itu dikesan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM89,000 kepada pemenang utama sebagai umpan menarik pelanggan untuk bertaruh lebih banyak dalam sesuatu permainan.
  
Polis akan memanggil pemilik premis tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan, katanya. - Bernama

Penganggur didakwa cuba bunuh dua anggota polis




27 Mac 2013
PETALING JAYA - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan cuba membunuh dua anggota polis sembilan hari lalu.

Muhammad Azeem Ezzani Mat Nasir, 20, didakwa cuba membunuh Konstabel Kelvin Koh Anak Kenneth dari Balai Polis Sungai Buloh, dan Konstabel Indra Agil Suparman dari Balai Polis Kampung Baru Subang, dengan cuba melanggar mereka menggunakan kereta.

Dia didakwa melakukan kesalahan terhadap kedua-dua anggota polis yang berumur awal 20-an itu di kawasan tempat letak kereta berhampiran Apartment Subang Hijauan Kampung Baru Subang pada 8.30 malam, 18 Mac lepas.

Dakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh. - Bernama

Budak jalan 3.2km minta bantuan




27 Mac 2013
LOS ANGELES - Seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun sanggup berjalan sejauh 3.2 kilometer untuk meminta pertolongan selepas kereta dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan, Ahad lalu.

Dipetik AP, Celia Renteria yang turut cedera akibat nahas di Lebuhraya Sierra

di Acton, California mendakwa dia terpaksa meredah laluan sukar dan cuaca sejuk sebelum meminta bantuan pengawal keselamatan di stesen komuter.stesen komuter.

Pihak berkuasa bergegas ke lokasi kejadian mendapati bapanya, Alehandro Renteria, 35, yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia sebelum sempat diselamatkan.

Polis kini sedang menyiasat punca kejadian itu.

1,000 bangkai itik terapung di sungai




27 Mac 2013
SICHUAN - Sekurang-kurangnya 1,000 bangkai itik ditemui terapung di Sungai Nanhe, wilayah barat daya Sichuan, menurut media tempatan, kelmarin.

Dipetik AFP, insiden terbaru itu dilaporkan berlaku seminggu selepas lebih 16,000 bangkai khinzir dibuang di Sungai Huangpu yang membekalkan 22 peratus air kepada penduduk di Shanghai.

Agensi berita Xinhua melaporkan kejadian tersebut telah meningkatkan lagi kebimbangan penduduk berhubung tahap kebersihan sumber air minuman di negara tersebut.

Menurut pihak berkuasa, kesemua bangkai itu sudah reput dan ia pasti menyukarkan mereka untuk mengenal pasti punca kematian misteri haiwan tersebut.

Doktor didakwa bunuh 20 pesakit




27 Mac 2013
BRASILIA - Seorang doktor di Brazil didakwa membunuh 20 pesakit di Hospital Evangelico di Curitiba, selatan Brazil.

Dipetik MailOnline, Virginia Soares de Souza ditahan bulan lalu selepas beberapa pesakit tenat ditemui meninggal dunia secara tiba-tiba di bawah pengawasannya.

Hasil siasatan Kementerian Kesihatan mendapati De Souza juga disyaki terlibat dengan 300 lagi kematian misteri pesakit sejak tujuh tahun lalu.

Difahamkan, dia mengambil tindakan itu hanya kerana mahu mengosongkan katil di wad.

Suami isteri maut kereta dinaiki dirempuh pemandu cuai



26 Mac 2013
KUANTAN - Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Km 46 Jalan Bandar Jengka- Jerantut dekat Maran malam semalam.

Pemandu kereta itu Hussain Man@Othman, 62, dan isterinya, Fatimah Taib, 57, dari Felda Jengka 22, Maran mati di tempat kejadian akibat parah di
kepala dan badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 9 malam itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Maran ke Jerantut.

Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua orang berusia antara 20 dan 30-an gagal berhenti ketika keluar simpang jalan dan merempuh kereta mangsa, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa dalam kereta Proton Iswara tersepit dan mengalami cedera parah pada kepala dan badan,  manakala kereta Perodua Myvi itu pula terbakar.

Bagaimanapun pemandu dan penumpang kenderaan itu berjaya menyelamatkan diri dan mereka hanya mengalami cedera ringan, katanya.

Mohamed Fauzi berkata siasatan awal mendapati wujud unsur kecuaian dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Seorang pelajar ditemui lemas di Pantai Sri Tujuh



27 Mac 2013
TUMPAT - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat di sini, ditemui mati lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Sri Tujuh di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Mohd Bustan Karudin berkata, mayat Mohd Afiq Zakaria, 17, dari Kampung Tanjung Dat di sini, ditemui pada pukul 3.30 petang selepas dilaporkan hilang pada pukul 12.45 tengah hari semalam.

"Mangsa ditemui berhampiran tempat dia dan rakan-rakannya mandi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Bustan berkata, pihak bomba mendapat panggilan daripada penduduk kampung pada pukul 12.50 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian bersama agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bagi melancarkan gerakan mencari dan
menyelamat mangsa.

Beliau berkata, mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. - Bernama

4 produk kosmetik dikesan ada racun berjadual


KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membeli dan mengguna empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual merkuri dan tretinoin.

Empat produck berkenaan ialah Acrena Pure Herbal Papaya Soap, White Complex, SS Pearl Cream dan SS Vita C Night Repair.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk kosmetik itu yang dicampur dengan bahan merkuri biasanya didapati pada produk yang dipasarkan untuk mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan.

"Penggunaan merkuri dan tretinoin dalam produk kosmetik adalah tidak dibenarkan dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tretinoin boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, kulit mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Justeru, katanya, sesiapa yang mempunyai stok produk itu dinasihatkan supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk berkenaan dengan serta-merta. - Bernama

Pelukan terakhir ibu selamatkan bayi


Peluk akhir
Zukanain membersihkan muka Iqram sambil Aqram dipangku ibu saudaranya. Gambar Kecil: Juwainee
HULU BERNAM - Suasana sedih menyelubungi Klinik Kesihatan Tanjung Malim apabila tangisan seorang bayi dahagakan susu arwah ibunya, Juwainee, 35, yang maut dalam kemalangan, pagi semalam.

Aqram Ridwan berusia tujuh bulan turut terbabit dalam nahas itu dan menerima rawatan bersama bapanya, Ridwan, 34, serta abangnya, Iqram Ridwan, 2, di klinik berkenaan.

“Sedih bila tengok anak dia menangis cari ibu nak susu, sebab bayi dia baru tujuh bulan dan menyusu badan,” kata Mohd Zulkanain Majid, 22, anak saudara kepada ibu bayi terbabit yang maut dalam kemalangan di Kilometer 397.8 pagi semalam.

Katanya, Aqram dilihat menangis sekuat hati kerana dipercayai mengalami kesakitan dalaman dan kelaparan sebelum dapat ditenangkan jururawat yang turut memberinya susu formula.

Menurutnya, bayi terbabit bersama abang, ibu dan bapanya serta seorang saudaranya terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi selepas susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim, arah Utara dekat sini.

Zulkanain berkata, Juwainee terkorban dalam kemalangan tersebut namun bayinya dilihat selamat dalam pelukannya.

“Suaminya mengalami patah tulang bahu kiri, namun anak keduanya serta adik kandung mangsa terselamat dan tak cedera.

“Kesemua mereka dibawa ke KKTM untuk rawatan dan pemeriksaan. Jenazah ibu bayi itu dibawa ke sini (Hospital Kuala Kubu Bharu - HKKB),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKKB.

Menurut Zulkanain, kesemua mangsa adalah warga Thailand dan sering datang ke Malaysia untuk membeli kain dan tudung untuk dijual di sana.

Menurutnya, mereka akan singgah ke rumahnya di Kampung Jawa, Klang untuk berehat sebelum pulang semula ke Thailand.

“Kami semua bersaudara dan mereka selalu datang ke sini untuk beli barang dan dijual di sana.

“Tapi, malam tadi (kelmarin) mereka tidak sempat tidur dan terus saja pulang selepas berkemas kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam) kerana ibu mertua mangsa sakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Thailand,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkanain terkejut apabila menerima panggilan daripada saudara mangsa mengatakan mereka terbabit dalam kemalangan tersebut.

Stesen minyak seludup


TUNJANG - “Sehari jual 18,000 hingga 20,000 liter, logik kah sebuah stesen minyak kampung jual dengan kadar tersebut.”

Itulah persoalan yang timbul kepada seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat apabila sebuah stesen minyak dilihat seperti menyediakan perkhidmatan menyeludup minyak di kampungnya, dekat sini.

Menurutnya, modus operandi yang dilakukan mereka dilihat mengaburi mata pihak berkuasa dengan bertindak menggunakan kereta bernombor pendaftaran Malaysia bagi menjalankan aktiviti itu.

“Mereka yang terlibat mengubahsuai kenderaan itu dengan anggaran muatan minyak petrol dan diesel mencecah RM200 hingga RM400.

“Aktiviti ini berjaya dihidu penduduk kerana stesen berkenaan beroperasi setiap hari. Apa yang menimbulkan persoalan adalah wajarkah sebuah stesen dalam kampung memperoleh jualan yang tinggi?” katanya ketika ditemui  Sinar Harian.

Kata Mat, difahamkan pemilik stesen syarikat yang sama di sekitar daerah lain turut tidak mampu mengumpul jualan minyak seperti di stesen berkenaan.

Jelasnya, menyedari subsidi yang dibekalkan kerajaan seolah-olah disalahgunakan, penduduk bersepakat mahu memanjangkan aktiviti ini kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera.

“Penduduk tidak iri hati dengan hasil jualan minyak petrol atau diesel ini tetapi apa yang mengecewakan adalah kemudahan yang diberikan itu disalahgunakan,” katanya.

Mat berkata, stesen itu sudah lama beroperasi memandangkan kawasan kampung berkenaan dilihat jauh dari pekan dan kemungkinan kegiatan itu tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

“Jadi, pembanterasan terhadap perkhidmatan untuk kegiatan menyeludup petrol/diesel ini harus dihentikan segera dan sewajarnya perlu dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Cedera parah dirempuh kereta


REMBAU – Seorang penunggang motosikal cedera parah di kepala selepas terbabit dalam kemalangan di jambatan Jalan Kundur-Pilin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa warga Indonesia, Zainal Abidin, 30-an, menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum dirempuh sebuah kereta Proton Wira.Menurut sumber, Proton Wira terbabit dalam perjalanan ke tanah perkuburan di Kampung Kundur Hilir dan sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar kenderaannya tiba-tiba pecah.

Dalam masa sama, datang sebuah motosikal dan pemandu Proton Wira gagal mengelak sekali gus menyebabkan berlakunya pelanggaran.

“Penunggang motosikal yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, manakala pemandu kereta, Mohd Ramli Mohd Nin, 31, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton Wira dipercayai gagal mengawal stereng lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal jenis Honda Wave.

Remaja mengaku samun wanita



samun
Remaja terbabit (dua, kanan) bersama rakannya (dua, kiri) dibawa keluar dari lokap Mahkamah Butterworth oleh anggota polis selepas prosiding kes samun membabitkan mereka selesai
BUTTERWORTH - Seorang remaja bersama rakannya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 2, semalam, atas tuduhan menyamun seorang wanita di persimpangan lampu isyarat, pada Ogos tahun lalu.

Remaja berusia 20 tahun dan rakannya berusia 26 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Masyiri Peet sebaik kes mereka disebut semalam.

Remaja terbabit yang beralamat di Simpang Empat Bukit Tengah dan rakannya dari Taman Permai Bukit Tengah, Bukit Mertajam didakwa sama-sama melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.45 petang pada 28 Ogos 2012 lalu.

Mereka yang juga penganggur dituduh memecahkan cermin hadapan sebelah kiri kereta dinaiki Janet Hung Hui Nee, 29, di lampu isyarat berkenaan sebelum bertindak melarikan beg tangan milik mangsa yang mengandungi wang tunai.

Kedua-duanya kemudian melarikan diri menunggang motosikal ke arah Bukit Minyak sebelum ditahan beberapa hari kemudian dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 akta yang
sama.

Hukuman penjara sehingga 14 tahun, didenda atau disebat boleh dikenakan ke atas mereka.

Hakim Masyiri menetapkan 5 April depan untuk menjatuhkan hukuman setelah pihak pendakwa memohon untuk mendapatkan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan remaja terbabit berumur bawah 21 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Haron tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu.

Terbalik beberapa kali








pacuan empat roda
Keadaan pacuan empat roda dinaiki mangsa terbalik di KM397.8 LRUS, pagi semalam.


KUALA KUBU BHARU - Kenderaan pacuan empat roda dinaiki lima warga Thailand yang terbabit kemalangan maut di Kilometer 397.8 Lebuh Raya Utara Selatan (LRUS) pagi semalam, dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik di lorong kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Pattani, Thailand sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 7.50 pagi itu.

“Pemandunya dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan tersebut dan terbabas ke kiri jalan lalu terbalik beberapa kali sebelum tersadai di lorong kanan.

“Kereta mangsa turut melanggar sebuah kereta Volkswagen dinaiki seorang warga Scotland bersama rakannya dari Singapura yang melalui kawasan tersebut namun, pemandu dan penumpang kereta terbabit hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda itu dikenali sebagai Ridwan Dorloh, 34, dan empat penumpang lain termasuk isterinya, Juwainee Dorloh, 35, dua anaknya, Ikrom, 3, dan Arkom, 1, dan adik iparnya, Chalisa Uma, 29.

Katanya, kejadian itu menyebabkan pemandu pacuan empat roda patah bahu kiri, manakala isterinya maut di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dua anak mangsa terselamat termasuk adik mangsa.



Lori nyaris jatuh gaung








Lori muatan itik sejuk beku terbabas di KM414, awal pagi semalam.
Lori muatan itik sejuk beku terbabas di KM414, awal pagi semalam.


LEMBAH BERINGIN - Seorang pemandu lori bersama kelindannya nyaris terjunam dalam gaung apabila lori muatan itik sejuk beku terbabas di Kilometer (KM) 414 Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur dekat sini, awal pagi semalam.

Menurut saksi, mereka dalam perjalanan dari Sungai Bakap menuju Johor Bharu dan cuba mengelak sebuah kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi. Ketika tiba di laluan tersebut, lori hilang kawalan kerana cuba mengelak kenderaan lain, namun terbabas ke kiri dan masuk dalam longkang.

“Lori itu turut melanggar besi pengadang jalan, namun mujur tayar tersangkut pada longkang lebuh raya jadi tidak terus terjunam dalam gaung,” katanya yang enggan dikenali.


Difahamkan, lori terbabit membawa muatan kira-kira 5,000 itik sejuk beku dan semua muatannya selamat.



Dua remaja dirogol di surau lama



HULU SELANGOR - Kegembiraan dua sahabat untuk bertemu teman lelaki bertukar mimpi ngeri, apabila kedua-dua mereka dirogol di surau lama, Jalan Padang Golf di sini, kira-kira seminggu lalu.

Sebelum kejadian, kedua-dua remaja yang tinggal di Rawang itu, difahamkan keluar untuk bertemu teman lelaki mereka di kawasan Kuala Kubu Baru pada Khamis lalu.

Mereka bagaimanapun tidak pulang ke rumah selama tiga hari, sebelum kedua-duanya berjaya ditemui di sebuah kafe siber di kawasan sama pada Sabtu lalu.

Susulan itu, dua laporan polis dibuat kelmarin oleh keluarga kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu yang mengesyaki mereka dirogol.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 15 dan 18 tahun iaitu teman lelaki kepada dua mangsa terbabit.

"Hasil soal siasat awal, dua suspek itu mengaku melakukan hubungan seks dengan kedua-dua mangsa di surau sebuah sekolah menengah di sini.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan terdapat kesan kemasukan pada kemaluan mereka," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Menurutnya, dua suspek itu kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol.

Mengaku ugut bunuh bapa








ugut bunuh bapa kandung
Ahmad Rashidi Hisham mengaku bersalah mengugut membunuh bapa kandungnya di Mahkamah Majistret, semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang anak langsung tiada perasaan kesal apabila dengan wajah selamba mengaku bersalah mengugut mahu membunuh bapa kandungnya, yang juga seorang warga emas di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Ahmad Rashidi Hisham Abd Razak, 34, dari Kampung Duyung Besar, di sini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa, Abd Razak Salleh, 73.

Sejurus pengakuannya direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 3 April depan sebagai tarikh jatuh hukum, selain membenarkan Ahmad Rashidi Hisham diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Ahmad Rashidi Hisham mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mengatakan mahu membunuh bapanya, sambil memecahkan tingkap dan pintu di dalam rumah bagi menakutkan mangsa di kediaman mereka di Kampung Duyong Besar, Chabang Tiga, di sini, kira-kira jam 5 petang, pada 2 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Ahmad Rashidi Hisham tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, satu pertengkaran berlaku antara dua beranak itu sebelum Ahmad Rashidi Hisham naik angin mengugut mahu membunuh mangsa.

Bukan itu sahaja, dia turut memecahkan tingkap dan pintu di rumah mereka bertujuan menakutkan mangsa sebelum melarikan diri.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga.

Beberapa jam selepas laporan dibuat, Ahmad Rashidi Hisham berjaya ditahan polis.



Pesanan terakhir jadi petanda








Pesanan terakhir jadi petanda
Keadaan kereta mangsa yang terlibat dalam nahas itu.


JENGKA - “Mak selalu pesan suruh jaga ayah bila dia tiada nanti, namun tidak sangka, mak dan ayah ‘pergi’ bersama-sama,” luah anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di kilometer (KM) 46 Jalan Maran - Bandar Jengka - Jerantut pada jam 9.30 malam kelmarin.

Amir Azuan Nizam Husin, 19, berkata, ibunya, Fatimah Taib, 57, sering meluahkan kata-kata itu setelah menghidap sejenis penyakit misteri sejak lapan bulan lalu.

“Mak menghidap penyakit yang tidak diketahui puncanya dan pernah menggunakan kerusi roda. Disebabkan itu, dia selalu pesan supaya menjaga ayah bila dia tiada nanti.

"Tapi semalam (kelmarin), mak dan ayah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Amir Azuan Nizam berkata, ibunya bersama ayahnya, Husin Man @ Othman, 62, yang merupakan peneroka tanah rancangan di sini dalam perjalanan menghantar abangnya untuk bekerja di Kuantan.

Difahamkan, pasangan terbabit terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

“Kali terakhir saya berjumpa mereka, petang semalam (kelmarin) sebelum mereka berangkat ke Kuantan. Mak ada mengajak saya untuk ikut sama, tapi saya menolak.

“Sebelum mak dan ayah berangkat, mereka berpesan kepada saya supaya menjaga rumah serta diri baik-baik. Selain itu, tiada perubahan pelik ditunjukkan mereka,” katanya yang merupakan anak bongsu dari empat beradik.

Jiran mangsa yang juga Pengerusi Biro Sosial tanah rancangan di sini, Zainol Bahari, 60, berkata, seminggu sebelum kejadian, dia, isteri dan Fatimah merancang untuk pergi berubat di Kampung Lompat, Temerloh.

“Kami naik kereta berasingan. Entah mengapa, Fatimah terlambat dan menghubungi saya memberitahu dia tidak mahu berubat.


"Katanya, tidak payahlah berubat dan biarlah keadaannya begitu. Kata-katanya itu seolah-olah dia sudah tahu yang dia akan ‘pergi’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kereta jenis Iswara dipandu mangsa  dari arah Kuantan, dirempuh dari kanan oleh kereta Myvi dipandu seorang remaja berusia 18 tahun yang keluar dari persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka.

Katanya, suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu Myvi cedera di bahagian lutut dan kini sedang di rawat di Hospital Jengka.

Beliau berkata, jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 22 pagi semalam.

Hadir sama, Adun Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.



Padah cabul isteri orang







Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.


KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang buruh yang mencabul isteri orang menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 14 hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Lebih malang, Majistret Abdul Hayyi Salim turut memerintahkan Ridzuan Che Anera, 32, dari Jalan Teluk Lipat, Dungun, dipenjarakan tiga bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan selepas Ridzuan mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa berumur 27 tahun di sebuah rumah di Jalan Gong Badak, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, 30 November 2012.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dengan memeluk dan meraba buah dada serta kemaluan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Ridzuan tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum didatangi Ridzuan yang secara tiba-tiba muncul lalu masuk ke dalam rumahnya.

Ridzuan bertindak memeluk dan menutup mulut mangsa, sementara sebelah tangan lagi meraba buah dada dan kemaluan mangsa.

Bagaimanapun, Ridzuan melarikan diri sejurus terkejut mendengar tangisan anak mangsa.

Ketika mahu melarikan diri, Ridzuan sempat berpesan kepada mangsa supaya jangan memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kepada orang lain.



Acu pistol sebelum samun








Acu pistol sebelum samun
Polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian, semalam.


MUAR – Empat sekeluarga menempuh detik menakutkan apabila disamun dua penjenayah bersenjatakan pisau dan pistol di rumahnya di  Taman Sungai Abong Permai di sini, semalam.

Berikutan  kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, keluarga berkenaan mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas beberapa barangan berharga termasuk wang tunai dilarikan perompak.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Tee, 50an, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi pagar rumahnya dibuka.

Menurutnya, dia tertidur di sofa kerana pada malam kejadian dia menonton televisyen hingga lewat malam.


“Belum pun sempat saya periksa  pintu pagar, penyamun terbabit mengacukan pistol sambil mengarahkan supaya diam dan ikut arahan mereka jika tidak mahu dicederakan

“Salah seorang daripada mereka ikat tangan saya guna kain dan suruh naik ke bilik utama untuk ambil barangan berharga,” katanya.

Tee berkata, disebabkan bimbang dengan keselamatan isteri dan ahli keluarga yang lain dia terpaksa menuruti arahan penjenayah itu 

Menurutnya, dua perompak  berkenaan turut mengejutkan adik perempuan dan pembantu rumahnya kemudian mengikat mereka bersama.

“Pada mulanya  mereka  turut mahu ikat isteri  tetapi berubah fikiran apabila  melihat keadaannya yang kurang sihat dan tidak bermaya.

“Mereka menggeledah laci almari di bilik utama untuk mencari barangan berharga dan kemudian terus melarikan diri,” katanya.

Tee berkata, kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang 25 minit dan mereka melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan berhampiran rumah.

“Perompak itu melarikan lima telefon bimbit, sebuah beg, seutas jam berjenama serta wang tunai hampir RM20,000.

“Walaupun masih trauma dengan kejadian ini tetapi saya bersyukur selamat dan tidak dicederakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika  ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan.

 “Orang ramai yang mempunyai maklumat i kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan, " katanya.



4 guru taska buat laporan polis nafi dera bayi 18 bulan








Lapor polis nafi kes dera
Duduk dari kiri, Norhashidah, Saratul, Normaliza dan Noryati bersama Shukri serta ibu bapa menunjukkan laporan polis dan keratan Sinar Harian Ahad lalu bagi menafikan dakwaan ke


KERTEH – Empat guru Taska Permata Kemas Kampung Baru Kerteh membuat laporan polis bagi menafikan kes penderaan yang didakwa berlaku di taska berkenaan, melibatkan seorang bayi berusia 18 bulan di bawah jagaan mereka.

Laporan terbabit dibuat Noryati Usop@ Yusof, 35, Norhashidah Abdullah, 29, Saratul Hajar Mohd Zambri, 25, dan Normaliza Mohamad, 25, di Balai Polis Kerteh pada jam 3.59 petang, Ahad lalu.

Mereka membuat laporan polis bagi mempertahankan kebenaran.

Noryati yang mula berkhidmat di taska terbabit sejak 14 tahun lalu berkata, dia dan tiga guru yang lain kesal atas dakwaan berkenaan kerana penjelasan telah dibuat terhadap ibu bapa bayi yang didakwa didera, Asna Hafy Ashraf.

“Pada Khamis lalu jam 9.08 malam, saya menghubungi ibu bayi berkenaan dan menjelaskan mengenai kesan pada badan anaknya adalah kesan gigitan rakan ketika mereka bermain beramai-ramai dan saya sempat meminta maaf.

“Pada hari berkenaan, saya sibuk bersihkan taska kerana seorang kanak-kanak cirit-birit dan kami pada awalnya juga tidak menyedari badan Asna Hafy ada kesan lebam sebab dia memakai baju kecuali kami hanya nampak lebam pada lengannya sahaja,” katanya.

Sementara itu, Saratul Hajar berkata, kes berkenaan seperti diputar belitkan dan dakwaan bercanggah dengan apa yang berlaku.

“Asna Hafy sangat manja dengan cikgu-cikgu di sini dan tidak boleh berenggang. Jika boleh dia mahu cikgu beri tumpuan padanya sahaja.

“Bagi mencari kebenaran, kami juga pergi ke klinik swasta yang didakwa telah memeriksa bayi terbabit dan mengesahkan dia didera tetapi doktor beritahu yang dia tidak menyentuhnya Asna Hafy, sebaliknya ibu Asna Hafy waktu itu datang ke klinik dan beritahu anaknya didera. Sebab itu doktor cadangkan buat laporan polis,” katanya sebagai menjawab dakwaan kes dera yang disiarkan dalam Sinar Harian pada Ahad lalu.

Berani kerana benar

Sementara itu, pengerusi taska terbabit, Shukri Mohamad berkata, guru berkenaan berani kerana benar disebabkan kes dera yang didakwa tidak berlaku sehingga guru juga sanggup pergi berjumpa dengan doktor.

“Kita menyediakan perkhidmatan terbaik, organisasi yang terurus dan jadual tersusun, malah hubungan antara guru dan ibu bapa di sini juga erat dan tiada masalah.

"Jadi diharapkan selepas ini sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul, ibu bapa yang menghantar anak di sini dapat menyalurkan dahulu masalah berkenaan kepada pihak bertanggungjawab (Kemas),” katanya.

Dalam pada itu, seorang ibu yang menghantar dua anaknya di bawah didikan taska itu, Nurul Ain Mohd Din, 29, berkata, sepanjang menggunakan perkhidmatan taska itu sejak tiga tahun lalu tiada sebarang masalah yang timbul.

“Daripada anak sulung hingga anak ketiga, saya hantar mereka belajar di sini dan anak-anak juga nampak gembira dan tidak menangis setiap kali mahu dihantar ke taska,” katanya.

Ibu bapa puas hati dengan perkhidmatan disediakan

Mohd Zulhairi Maideen, 28, pula berkata, dia berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di taska itu, selain semua guru sangat mesra.

“Saya tinggalkan anak, Hani Damia, 21 bulan, dalam keadaan tidak risau sebab sebelum anak dihantar ke sini, saya hantar ke taska lain.

"Dahulu, anak dalam tempoh dua bulan tiga kali masuk wad tetapi bila hantar ke sini, anak dijaga dengan baik sebab itu bila dengar berlaku kes dera di sini, saya pun terkejut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, doktor di Hospital Kemaman yang memeriksa bayi berkenaan mengesahkan bayi itu digigit oleh rakannya yang lain.

Katanya, tidak berlaku penderaan bagi kes tersebut dan dikenal pasti tidak berlaku sebarang unsur jenayah.



Tipu lelaki ajak kahwin







Tipu lelaki ajak kahwin
Tertuduh ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.


KOTA  BHARU - Seorang remaja perempuan berusia 20 tahun mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini semalam, atas tuduhan menipu seorang lelaki berusia 30 sehingga memperdayakan mangsa berkahwin dengannya dan menyerahkan wang RM17,000.

Tertuduh, Noor Ain Kamaruddin yang berasal dari Tanah Merah membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nik Habri Muhammad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 26 April untuk menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama, pada bulan Jun 2011, Noor Ain Kamarudin telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Mohd Azwadi Mat Husin dengan menyamar sebagai perempuan lain bernama Nur Shamemey Azmi bagi tujuan memperdayakannya untuk mempercayai kata-katanya.

Oleh itu Noor Ain melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Manakala pertuduhan kedua pula, Noor Ain telah memperdayakan mangsa yang sama untuk berkahwin dengannya dan secara tidak jujur telah mendorong dia menyerahkan wang sejumlah RM17,000 secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh.

Oleh yang demikian tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Ketika prosiding, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya hukuman terhadapnya diringankan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusoff dan jaminan RM5,000 ditawarkan.



3 beranak terbunuh lori masuk gaung



Paitan: Tiga beranak dan seorang pekerja mereka terbunuh apabila lori dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter di Kilometer 169, Jalan Beluran-Paitan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam, mangsa yang maut dikenali sebagai Lu Chai Lee Chau, 57, dua anak lelakinya iaitu David Lee, 28, dan Donny Lee, 26, pemandu warga Indonesia, Samsul Amir, 27.
Mereka maut serta-merta akibat tersepit dalam kenderaan yang remuk.

Difahamkan ketiga-tiga beranak itu berasal dari Kampung Muanad, Beluran dan semua mereka dalam perjalanan menghantar kelapa sawit yang dkutip di ladang.


Ketika kejadian, lori lima tan bermuatan kelapa sawit dipandu Samsul dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam lalu terbabas ke kiri jalan dan terhumban ke gaung.

Pasangan warga emas maut kereta dirempuh


Maran: Kegembiraan sepasang suami isteri yang pulang menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Kuantan berakhir tragedi apabila terbunuh selepas Proton Iswara yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta lain di Kilometer 46, Jalan Bandar Tun Abdul Razak Jengka-Jerantut, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa, Hussain Man @ Othman, 62, bersama isteri, Fatimah Taib, 57, dari FELDA Jengka 22, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.


Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke FELDA Jengka 22 dari Kuantan sebelum kereta dinaiki dirempuh Perodua Myvi yang keluar dari sebuah simpang.


Menurutnya, akibat rempuhan berkenaan, Fatimah tersepit di tempat duduk penumpang manakala Hussain tercampak keluar dan terjatuh atas jalan.


Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat Fatimah.


Beliau berkata, siasatan mendapati selepas rempuhan itu, Perodua Myvi berkenaan terbakar mengakibatkan pemandunya berusia 20-an bersama seorang rakan bergegas keluar menyelamatkan diri.

Rahsia bunyi pelik dari bilik adik



Miri: Seorang wanita yang hairan dengan bunyi pelik dari bilik tidur adik lelakinya, terkejut apabila mendapati bunyi itu membongkar rahsia perbuatan terkutuk lelaki itu melakukan hubungan seks dengan seorang gadis dipercayai bawah umur di rumah mereka di Tudan, semalam.

Berang dengan perbuatan adiknya itu, wanita berusia 30-an itu memberitahu beberapa penduduk sebelum mereka mencekup adiknya yang berusia 26 tahun, manakala pasangannya dikatakan baru berumur 15 tahun, dalam keadaan memalukan.


Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, wanita berkenaan mendengar suara perempuan dan dari bilik adiknya dan ketika kejadian, beberapa ahli keluarganya juga berada di rumah, tetapi tidak menyedari tindakan lelaki itu membawa masuk kekasihnya.


Menurut sumber, wanita itu membuat pemeriksaan dengan mengintai dari celah pintu bilik dan ternampak mereka sedang melakukan hubungan seks.


Katanya, terkejut serta berang dengan perbuatan adiknya, dia mengambil keputusan melaporkan perkara itu kepada imam serta beberapa penduduk kampung.


“Sebaik pintu bilik diketuk, pasangan terbabit enggan memberi kerjasama menyebabkan penduduk kampung memecahkan pintu dan mendapati pasangan itu tidak berpakaian.

“Terkejut pintu bilik ditendang, kedua-dua pasangan itu menutupi badan masing-masing dengan selimut sebelum diarah memakai pakaian,” katanya.


Berikutan itu pasangan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Miri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap JAIS ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut dan menjelaskan siasatan sedang dijalankan.

13 lagi mayat dibawa keluar


Lahad Datu: Sebanyak 13 lagi mayat pengganas yang sudah dibawa keluar termasuk mayat dua kanak-kanak akan dikebumikan sementara selepas semua urusan bedah siasat selesai dijalankan.

Setakat ini, 29 mayat pengganas sudah dikebumikan sementara di satu lokasi rahsia di daerah ini, kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia adalah sebahagian daripada 42 mayat pengganas yang dapat dikeluarkan dari kawasan Op Daulat.

“Bakinya (13 lagi) akan dikebumikan dalam sedikit masa lagi,” katanya pada sidang media Ops Daulat di Felda Residence Sahabat di sini, semalam.


Kelmarin, dua trak dipercayai mengandungi mayat pengganas yang disempurnakan mengikut ajaran Islam dilihat meninggalkan Hospital Lahad Datu.


Sebelum ini, Khalid berkata, semua mayat pengganas akan dikebumikan sementara di lokasi yang akan ditetapkan bagi mengelak ancaman kesihatan.

Katanya, tindakan itu diputuskan pada mesyuarat antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpol.


Beliau berkata, langkah itu juga dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan tempat di bilik mayat di Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

Menurutnya, pengebumian sementara itu dilakukan selepas selesai proses bedah siasat terhadap semua mayat dan pengambilan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Amanda Knox akan dibicara semula



Rome: Mahkamah tertinggi jenayah Itali semalam membatalkan pembebasan Amanda Knox atas kesalahan membunuh teman sebiliknya dan mengarahkan wanita terbabit dibicarakan semula.

Menurut Mahkamah Agung, Mahkamah Rayuan di Florence mesti mendengar semula kes mahasiswa AS itu yang dituduh bersama bekas teman lelakinya membunuh rakan mereka, Meredith Kercher, 21, pada November 2007.


Amanda kini menuntut di Universiti Washington di AS berjaga jam 2 pagi di Seattle untuk mendengar keputusan berkenaan dibacakan di Itali. Bercakap melalui jurucakap keluarganya, Amanda berkata, keputusan berkenaan “amat memedihkan” tetapi yakin kebenaran tetap akan ditegakkan. “Amat memedihkan apabila Mahkamah Agung Itali mengarahkan kes ini dikaji semula apabila teori pendakwa mengenai pembabitan saya dalam pembunuhan Meredith didedahkan sebagai tidak berasas dan tidak adil.


“Justeru, isu itu kini mesti disemak melalui siasatan yang objektif oleh pendakwa yang berkemampuan,” katanya. Mayat Meredith penuntut warga Britain ditemui dalam bilik tidurnya di rumah yang dikongsi bersama Amanda serta beberapa orang lain di Perugia, Itali. Siasatan mendapati, leher Meredith dikelar. Menurut pendakwa, Meredith menjadi mangsa permainan seks Amanda dan kekasihnya dan insiden itu bertukar menjadi tragedi.


Amanda dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah dan mendakwa tiada di rumah berkenaan pada malam kejadian.


Bagaimanapun, mereka mengaku menghisap ganja dan ingatan mereka tidak jelas. Seorang lelaki Ivory Coast, Rudy Guede, disabitkan kesalahan membunuh dan dipenjara 16 tahun.

Amanda dan kekasihnya sebelum ini didapati bersalah dan dihukum penjara, tetapi dibebaskan pada 2011 apabila kes itu didengar di mahkamah rayuan. - AP

Jumlah korban keganasan kaum di Myanmar meningkat



Yangon: Angka kematian akibat keganasan kaum di tengah Myanmar meningkat kepada 40 selepas lapan lagi mayat ditemui di celah sisa kebakaran di bandar Meikhtila.

Kekacauan juga dilapor masih berlaku di beberapa kampung sekitar bandar berkenaan. Sementara itu, kebimbangan melanda Myanmar mengenai kemungkinan ketegangan kaum yang berjaya dikawal sepanjang pemerintahan junta tentera akan merebak ke bahagian lain negara itu.


Kebimbangan itu dapat dirasakan di beberapa bahagian di bandar raya Yangon hingga memaksa pihak berkuasa tempatan mengarahkan restoran dan kedai yang menjual arak ditutup pada jam 9 malam.



Pertempuran di Meikhtila bermula Rabu lalu berikutan pergaduhan di sebuah kedai milik seorang penduduk Islam.


Perusuh beragama Buddha kemudian menyerang dan membakar kediaman penduduk Islam.


Beberapa masjid juga menjadi sasaran mereka dan menyebabkan lebih 10,000 penduduk Islam meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan di kem sementara.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 180 umat Islam maut selepas menjadi sasaran kekejaman penduduk Buddha di Rakhine, negeri di barat Myanmar. - AFP

Kokain dalam jet

Foto
JET milik Afflelou.
London: Kokain bernilai lebih £40 juta (RM187.5 juta) ditemui dalam sebuah jet peribadi milik seorang hartawan Perancis yang berpangkalan di London.
Media melaporkan, penemuan dadah dalam pesawat Alain Afflelou itu dibuat pegawai kastam di Republik Dominica tetapi jutawan terbabit tiada ketika itu.

Sumber keselamatan berkata, pegawai kastam menaiki jet Falcon milik Afflelou itu beberapa minit sebelum ia dijadual berlepas dari Pulau Caribbean itu ke Paris.

“Di dalam pesawat itu kastam merampas 26 beg pakaian berisi 680 kilogram dadah kelas A,” katanya. Sumber itu berkata, empat individu warga Perancis serta beberapa anggota polis tempatan turut ditahan selepas rampasan dibuat.

Katanya, mereka dipercayai sebahagian daripada rangkaian sindiket penyeludupan dadah antarabangsa. Sementara itu, Afflelou menafikan dia tahu mengenai dadah berkenaan.

Kata jurucakap ahli perniagaan yang memiliki rangkaian perkhidmatan optikal itu, jet terbabit dipinjamkan kepada syarikat Transhelicopter Services yang berpangkalan di Lyon. Katanya, Afflelou mendengar berita mengenai penemuan dadah itu melalui berita malam kelmarin. “Afflelou akan mengambil langkah perlu untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Sepucuk surat menuntut penjelasan juga dihantar kepada syarikat yang menyewa jet berkenaan,” katanya. - Daily Mail

Tebing runtuh



Puchong: Lebih 60 penghuni Blok B Apartmen Beringin, Jalan Industri PBP3, di sini, terpaksa dipindahkan ke Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Puchong Indah selepas tebing tanah di belakang rumah mereka runtuh, semalam.

Runtuhan dengan keluasan 16.6 meter x 16.6 meter persegi itu berpunca daripada hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan tanah yang sudah terhakis sejak sebulan lalu bertambah teruk dan runtuh.


Penduduk, Haizul Hamzah, 45, yang tinggal di kediaman terbabit sejak 12 tahun lalu berkata, tebing tanah di belakang rumah mereka mula terhakis sejak 19 Februari lalu dan mereka sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, pegawai MPSJ sudah memeriksa keadaan struktur tanah terbabit namun ketika itu hakisan hanya sedikit.


“Bagaimanapun, awal pagi tadi (semalam) jam 2 pagi hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan ia runtuh dan membahayakan keselamatan penduduk di sini.


“Dalam soal ini saya tidak mahu menyalahkan sesiapa namun jika pihak terbabit terlebih awal mengatasi masalah ini kemungkinan runtuhan itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui, semalam.

Foto
KEADAAN tebing runtuh di Apartmen Beringin, Jalan Industri PBP3, Puchong.
Foto
SEBAHAGIAN penduduk keluar dari rumah masing-masing.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5 petang dan tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian.


“Laporan awal yang diterima mendapati terdapat pergerakan tanah runtuh berhampiran tembok dan retak di bahagian belakang bangunan terbabit.

“Setakat ini keselamatan kawasan terbabit masih dalam siasatan dan semua penghuni dipindahkan ke dewan buat sementara waktu,” katanya.


Beliau berkata, dalam operasi itu balai terbabit adalah Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dengan seorang pegawai serta enam anggota.

Jumpa mayat budak lepas hanyut 24 jam



Bidor: Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas dihanyutkan arus Sungai Bidor ditemui anggota penyelamat berhampiran kampung Sungai Batu 2 dekat Bidor Station, jam 5.30 petang semalam.

Mangsa J Dinesh, 4, ditemui tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang ketika mandi berhampiran Taman Damansara sebelum hanyut dibawa arus sungai, di sini, petang kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mayat mangsa ditemui oleh anggota penyelamat lebih 24 jam selepas dilaporkan hanyut dibawa arus Sungai Bidor berkenaan.


“Sebelum kejadian, mangsa dipercayai bersama kanak-kanak lain dan ditemani ibunya, T Rubramalar, 22, mandi di kawasan sungai itu sebelum dikesan hilang.


“Kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan ke Balai Polis Bidor sebelum dimaklumkan kepada Bomba dan Penyelamat Bidor. Susulan itu, usaha mencari dan menyelamat dilakukan sejak jam 5 petang kelmarin,” katanya.


Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut dan mangsa dipercayai mati mengejut oleh pasukan perubatan.

“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor serta Tapah diketuai Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Perak Selatan, Abd Samad Hashim menjalankan operasi mencari di sekitar kawasan kejadian sehingga jarak tiga hingga 12 kilometer.


“Turut serta 10 anggota polis, empat anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan tiga anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat dikerah ke tempat kejadian,” katanya.