Search This Blog

Tuesday, March 26, 2013

Bekas doktor ditahan dipercayai edar pil psikotropik




26 Mac 2013
JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang bekas doktor dan merampas 4,800 biji dadah disyaki pil psikotropik bernilai RM240,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pelangi, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki tempatan berusia 64 tahun itu ditahan kira-kira 2.45 petang dan polis turut merampas wang tunai RM5,000 serta sebuah kereta jenis Toyota Altis daripadanya.

"Kesemua pil berkenaan dianggarkan mampu dibekalkan kepada 4,800 orang penagih.

Siasatan awal mempercayai suspek terlibat dengan kegiatan itu sejak beberapa tahun lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata bekas doktor terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan dia negatif terhadap dadah.

Beliau berkata dia kini direman sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di Permas Jaya, di sini Khamis lepas.

Beliau berkata serbuan secara tindakan bersepadu membabitkan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan, IPD Seri Alam dan Unit Bom IPK Johor itu dilakukan pada 5 pagi dengan menemui sejumlah senjata api, peralatan mencetak pil khayal serta pelbagai dadah bernilai RM414,200.

Katanya tindakan susulan yang dilakukan, polis kemudian turut menemui sejumlah lagi senjata api yang dipercayai diperoleh dari negara jiran apabila menggeledah sebuah kenderaan yang dipercayai ada kaitan dengan kesemua lelaki itu, kira-kira 3.45 petang, dua hari lepas.

"Kesemua dadah yang dirampas dipercayai mampu dibekalkan kepada 8,322 penagih iaitu membabitkan 1,648 gram disyaki serbuk ekstasi, 9.5 gram disyaki ketamin, 5.1 gram disyaki syabu serta sembilan biji disyaki pil ekstasi.

"Sejumlah senjata api yang dirampas pula antaranya membabitkan tujuh bom tangan, dua bom buatan sendiri, dua pistol jenis revolver .38, sepucuk pistol jenis walter bersama dua kelopak berisi enam butir peluru, dua pistol angin tiruan yang menyerupai jenis semi auto, dua pistol mainan plastik, satu alat pemanah serta 451 butir peluru pelbagai jenis," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, kesemua lelaki berumur 22 hingga 44 tahun itu positif terhadap methamphetamine dengan dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan dadah dan membunuh tanpa niat.

Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988. - Bernama

Polis berjaya rampas dadah bernilai hampir setengah juta




26 Mac 2013
GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan tiga rakan di Jalan Raja Uda, Butterworth dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM480,000 dalam satu serbuan di kawasan kondominium pada Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata tiga lelaki berusia antara 21 hingga 49 tahun itu ditahan pada pukul 12.15 tengah malam hasil maklumat awam dan risikan polis.

"Semasa serbuan polis menemui pelbagai jenis dadah iaitu 6,000 biji pil ecstasy, 1,000 biji pil eramin 5, empat kilogram dadah ketamin, 4.25 kilogram serbuk ecstasy dan enam gram ganja.

"Selain itu, polis turut merampas dan menyita tiga buah kereta jenama Mazda, Toyota Vios dan Honda Civic yang bernilai RM160,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai jurujual, peniaga dan pekerja kilang itu direman sehingga 31 Mac untuk siasatan lanjut.

Abdul Rahim berkata ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan wilayah utara sejak enam bulan lepas.

"Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, bagaimanapun pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket ini ada kaitan dengan tangkapan yang dibuat sebelum ini," katanya. - Bernama

Empat termasuk tiga beranak maut lori terjunam ke dalam gaung




26 Mac 2013
BELURAN - Empat orang, termasuk seorang bapa dan dua anaknya, maut selepas lori yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung  sedalam 60 meter di Kilometer 169 Jalan Beluran-Paitan berhampiran Kampung Salan semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata kesemua mangsa yang mati di tempat kejadian ialah Lu Chai Lee Chau, 57, dua  anaknya David Lee Lu Chai, 27, Donny Lee Lu Chai, 28, serta pemandu lori, Samsul Amir, 27.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam, lori itu dalam perjalanan dari sini membawa muatan benih kelapa sawit untuk dihantar di Kampung Melapi Sugut, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ketika menuruni bukit di jalan tersebut, lori itu terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung, katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat. - Bernama

Polis Besut tumpas geng pecah pejabat kerajaan, tadika




26 Mac 2013
BESUT - Polis Besut memberkas lima lelaki termasuk dua beradik yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah, pejabat kerajaan serta tadika di daerah itu sejak dua tahun lepas, menerusi operasi sepanjang minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata suspek berusia antara 23 dan 36 tahun itu diberkas pasukan khas yang ditubuhkan polis bagi menumpaskan geng terbabit yang dipercayai terbabit dalam sembilan kes.

Polis memberkas suspek pertama berusia 36 tahun minggu lepas dan operasi susulan berjaya menangkap empat lagi anggota kumpulan termasuk adik suspek pertama berusia 30 tahun.

Kesemua mereka ditangkap di Kampung Gelam di sini, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Kamaruddin, hasil tangkapan itu polis menemui pelbagai barangan curi termasuk empat set televisyen, dua komputer riba serta telefon bimbit, katanya.

Siasatan awal mendapati ada barangan yang dicuri geng ini telah dijual, katanya menambah kesemua suspek positif dadah. - Bernama

Sembunyi dalam bilik rahsia, taktik elak ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Mac 2013
Sembunyi dalam bilik rahsia, taktik elak ditahan
Tiga daripada empat wanita yang bersembunyi di dalam bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Jalan Munsyi Abdullah.
AYER KEROH - Tujuh wanita yang cuba mengelak daripada ditahan, akhirnya berjaya dicekup selepas penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri menemui mereka menyorok di bawah meja dan bersembunyi di dalam bilik rahsia.

Kesemua wanita masing-masing empat warga Thailand dan tiga Indonesia ditemui di dua lokasi berasing dalam serbuan antara jam 2 petang dan 9 malam kelmarin.

Difahamkan ketiga-tiga wanita Indonesia yang menyorok di bawah meja itu dipercayai baru mengurut sebagai khidmat tambahan selepas diberi tip sebanyak RM70 oleh pelanggan yang berhibur pusat hiburan di Jalan Munsyi Abdullah.

Pengarah JIM negeri, Kamalludin Ismail berkata, empat lagi wanita Thailand ditemui di sebalik pintu yang dibina di sebalik dinding tanpa tombol di dalam salah satu bilik di pusat urut di Taman Malim Jaya.

“Pegawai yang menyerbu sebelum menemui mereka telah mendengar bunyi bising di dalam sebuah bilik namun apabila masuk ke bilik berkenaan tiada sesiapa di dalamnya.

“Pemeriksaan menyeluruh kemudian membawa kepada penemuan empat warga Thailand di dalam sebuah lain di dalam bilik itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Kamalludin berkata ketujuh-tujuh wanita itu antara 17 orang yang ditahan daripada 52 pemeriksaan dilakukan termasuk kawasan di sekitar Plaza Hang Tuah.

“Turut ditahan adalah lima lagi warga Thailand, seorang lelaki (Indonesia), tiga (Bangladesh) dan seorang lagi dari Nepal.

“Kesemua ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka melanggar syarat pas, berada di Malaysia tanpa permit yang sah dan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain 39B Peraturan-peraturan 1963.

Ditembak dan ditetak, wira negara kongsi detik cemas tempur pengganas




26 Mac 2013
PUTRAJAYA - Inspektor Mohamad Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan hari ini, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur demi negara.

"Cuma sedikit terkilan dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara main-main.

"Kami berjuang demi bangsa dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke sana dan lihatlah sendiri," katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan perwira 'Operasi Daulat' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau ditembak tiga kali mengenai perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.

"Selepas terkena tembakan itu, saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang, mujurlah saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.

"Dalam keadaan berlumuran darah saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan berhampiran tempat pertempuran," katanya yang ketika itu merasakan detik kematian begitu hampir.

Beliau bersembunyi di rumah itu bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.

"Rakan-rakan lain juga banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum, yang ada hanya air hujan," katanya.

Malam dirasakan terlalu panjang baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.

Dalam keadaan parah, beliau masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada keesokan pagi.

"Saya perlu tutup telefon sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi isteri petangnya.

"Rakan-rakan hanya dapat menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi pergerakan musuh," katanya.

Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pembedahan. Dua hari kemudian beliau sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.

Anak kelahiran, Felda Teloi Timur, Sik Kedah itu berkata apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.

Mohamad Hasnal hadir bersama balu dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada majlis itu.

Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.

Beberapa orang lagi cedera dan seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu. Seorang anggota tentera terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.

Suasana pilu turut dirasakan pada majlis itu, apabila syair bertajuk "Ayahku Seorang Perwira" hasil nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin. - Bernama

Pemandu van nyaris rentung



26 Mac 2013
Pemandu van nyaris rentung
Van dipandu Mat Khairil (dua, kanan) hampir 90 peratus terbakar namun mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
MARANG – “Ketika itu saya sedang memandu, tiba-tiba orang ramai yang kebetulan berada di sebuah kedai menjerit supaya saya segera memberhentikan kenderaan apabila mereka terlihat percikan api daripada bahagian bawah van dipandu."

Demikian cerita Mat Khairil Mat Zakar, 30, yang berdepan detik mencemaskan apabila van dipandunya terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian di hadapan sebuah kedai dekat Masjid Merchang di sini, tengah hari kelmarin.

“Percikan api yang keluar betul-betul di bawah tempat duduk pemandu. Saya kemudiannya terus memberhentikan van di tepi jalan dan ketika itu api mula menyala sebelum semakin marak dan akhirnya membakar van Ford Econovan ini.

“Saya percaya kebakaran berpunca daripada bateri van dan nilai kerugian dianggarkan lebih RM8,000,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van, membantu abang iparnya yang mengusahakan perniagaan keropok.

Mat Khairil berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia sempat mengeluarkan sebuah tong gas, bagaimanapun barangan lain seperti kanji, sagu dan puluhan keropok lekor hangus.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Mohd Zamri Awang Long berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah hari, sebelum sepasukan lima anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Apabila kita sampai di tempat kejadian, van tersebut sudah hampir 90 peratus terbakar.

Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jason dakwa disabotaj



NORSHIKIN MOHD SALLEH
26 Mac 2013
Jason dakwa disabotaj
Jason menunjukkan keratan akaun Facebook (kanan) yang cuba memburukkan imejnya
SKUDAI – Meskipun belum disahkan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, Ketua Bahagian MCA Gelang Patah, Jason Teoh diserang menerusi laman sesawang Facebook yang memburukkan imejnya.

Akaun palsu yang diwujudkan di bawah namanya, We Fully Support Jason Teoh itu dikesan aktif sejak kelmarin dan mempunyai 66 pengikut yang didakwa Jason mempunyai agenda yang berkaitan dengan serangan politik.

“Saya tidak pernah mempunyai akaun Facebook, namun saya tahu mengenai kewujudan akaun yang dibuka atas nama We Support Jason yang dikendalikan rakan saya sejak 19 Mac lalu.

“Namun, sejak semalam (kelmarin) ada satu lagi akaun yang hampir sama namun apa yang saya kecewa, pemilik akaun ini menggunakan nama dan gambar saya membuat komen dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat yang tidak sama sekali akan diucapkan saya,” katanya pada sidang media ketika membuat lawatan mangsa ribut di Taman Damai Jaya, di sini, semalam.

Beliau yang tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya pemilik akaun itu terus-terusan meyamar sebagai dirinya.

“Buat masa ini saya akan pantau dulu. Jika dia terus mengeluarkan kata-kata yang tidak baik yang saya andaikan memburukkan imej serta mengaitkan diri saya dengan perkara yang tidak saya lakukan, saya akan bertindak.

“Ingin saya tegaskan dan menafikan akaun itu milik saya. Saya tidak pernah untuk menyerang atau menghamburkan kata-kata tidak baik kepada orang lain. Saya tidak membantah mereka mewujudkan akaun bagi menyatakan sokongan ke atas saya namun perlu berhemah dan beretika,” katanya.

Jelasnya lagi, menerusi komen yang ditulis itu juga, ada pihak-pihak yang mengancam dirinya untuk tidak bertanding dan sepatutnya mati namun katanya, beliau menganggapnya sesuatu yang tidak serius kerana memahami ada pihak yang tidak mengemarinya.

Walaupun senarai nama calon-calon bertanding MCA belum diumumkan lagi, namun desas desus mengatakan Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng akan digantikan calon muda yang
disebut-sebut iaitu Jason.

Apa yang pasti, calon MCA itu akan berhadapan calon senior, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang telah mengesahkan untuk bertanding di kerusi panas tersebut.

Ditahan ketika asyik merokok



Ditahan ketika asyik merokok
Inspektor Nor Faizal (kiri) bersama anggota unit 'Task Force' melabelkan kenderaan yang ditemui di tempat kejadian.
PADANG SERAI - Selepas menahan empat pelajar dua minggu lalu akibat terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal,  polis dari unit Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berjaya menahan lapan lagi pelajar berusia 16 tahun di kawasan semak berhampiran taman perumahan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, intipan yang diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad selama dua minggu itu mendapati sekumpulan remaja berkenaan sering menghabiskan masa mereka di kawasan tersebut.

Menurutnya, dari laporan diterima, selain pelajar lelaki, pelajar perempuan turut berada di lokasi persembunyian tersebut.

“Serbuan dibuat kira-kira jam 11 pagi ketika sekumpulan pelajar sekolah asyik merokok dan apabila menyedari kehadiran polis, mereka bertempiaran lari bagaimanapun seorang daripadanya berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi persembunyian, polis menemui, beberapa paket mi segera, periuk dan kondom. Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kata beliau, kira-kira jam 11.30 malam, polis bersama suspek pergi ke rumah tujuh pelajar yang melarikan diri dan menahan kesemua mereka.

Jelasnya, hasil siasatan, polis menemui lima motosikal di sekitar kawasan semak berkenaan dan turut menemui enjin motosikal yang sudah dileraikan serta disimpan di dalam plastik kira-kira 100 meter dari tempat persembunyian mereka.

"Selain Kulim, kumpulan ini turut aktif mencuri motosikal di Padang  Serai dan Bukit Mertajam. Kesemua suspek akan disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Polis sudah menyenaraikan beberapa nama suspek terlibat dalam kegiatan mencuri dan merungkai motosikal di sekitar kawasan Kulim hasil maklumat suspek," katanya.

Ghuzlan berkata, pihaknya akan memantau pergerakan suspek di sekolah, rumah dan tempat kerja sebelum membuat serbuan.

Beliau turut meminta pihak pentadbiran sekolah memaklumkan kepada polis jika pelajar mereka didapati terlibat dalam kegiatan jenayah.

"Merahsiakan maklumat mengenai perlakuan jenayah merupakan satu kesalahan serius kerana mereka boleh dianggap sebagai bersubahat.

"Selain itu, ibu bapa harus memainkan peranan memantau pergerakananak supaya tidak terlibat dalam aktiviti jenayah," katanya.

Ibu tunggal cari anak hilang



26 Mac 2013
Ibu tunggal cari anak hilang
Hang Soon (dua, kiri) dan Mee Moi (dua, kanan) menunjukkan gambar Foong Yee yang gagal dikesan sejak Februari lalu.
BIDOR - Bimbang akan keselamatan anak perempuannya, seorang ibu tunggal, Liew Mee Moi, 72, merayu bantuan kepada orang ramai mencari anak kedua daripada tiga beradik itu yang gagal dikesan sejak Februari lalu.

Mee Moi berkata, anaknya, Chang Foong Yee, 41, bekerja di Singapura sebagai operator pengeluaran di salah sebuah kilang di negara itu sejak 1990.

Menurutnya, Foong Yee bekerja di negara itu sejak berumur 18 tahun dan sering pulang ke rumah di Tanah Mas, Bidor dalam tempoh 23 tahun bekerja di sana.

"Pada Julai tahun lalu, pemilik rumah sewa yang didiami anak saya menghubungi saya dan mengatakan anak saya dipenjarakan kerana tinggal lebih masa di negara itu.

“Apabila menerima panggilan pemilik rumah sewa itu, saya terkejut dan tidak dimaklumkan anak saya dipenjarakan di negara itu," katanya ketika ditemui, semalam.

Hadir sama, Adun Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Kata Mee Moi, selepas mengetahui keadaan anakanya, dia bersama anak lelaki melawat Foong Yee di Penjara Changi, Singapura sebanyak tiga kali.

Jelasnya, pada Disember tahun lalu, dia juga sempat berpesan kepada pegawai Penjara Changi, untuk menghubunginya jika anaknya itu dibebaskan setelah selesai menjalani hukuman.

"Anak saya dijangka dibebaskan pada Februari lalu, namun kami tidak menerima panggilan daripada pihak Penjara Changi berkenaan pembebasan itu.

"Pada 6 Febuari lalu, saya meminta bantuan kepada Datuk Dr Mah yang memberikan bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan ini membantu mencari anak saya hilang tanpa berita," katanya.

Mee Moi berkata, Hang Soon telah menghantar surat kepada pihak berkenaan untuk mengetahui status anaknya  sama ada sudah dibebaskan atau masih menjalani hukuman.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan Foong Yee telah dibebaskan pada 4 Februari lalu namun masih belum dapat dihubungi.

“Siapa yang tidak risau akan keadaan anak, saya berharap agar  orang ramai dapat membantu mencari  Foong Yee mungkin masih berada di kawasan Singapura atau Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Hang Soon berkata, beliau mendapat tahu masalah itu ketika menghadiri majlis penyerahan bantuan BR1M di Tanah Mas, Bidor.

Katanya, sesiapa yang melihat Foong Yee di mana-mana sahaja, boleh hubungi Pejabat Pusat Khidmat Adun Chenderiang di talian 05-4011948.

Mayat lelaki tanpa kepala



26 Mac 2013
Mayat lelaki tanpa kepala
Orang ramai berdiri di sepanjang jambatan melihat polis menjalankan siasatan di lokasi mayat ditemui.
SEREMBAN – Mayat seorang lelaki tanpa kepala dijumpai di dalam Sungai Linggi berhampiran Kampung Kuala Sawah, Rantau, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mayat lelaki tanpa identiti itu dijumpai oleh orang awam kira-kira jam 4 petang selepas terhidu bau busuk di
kawasan itu.

“Mayat lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan reput. Kepalanya sudah tiada dan bahagian kaki serta tangannya tidak sempurna.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat berkenaan. Ketika ditemui dia hanya memakai sehelai kain tanpa baju,” katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam.

Menurutnya, mayat lelaki terbabit dipercayai beradadi dalam sungai lebih kurang 10 hari sebelum ditemui berdasarkan keadaannya yang sudah reput dan berulat.

Hamdan berkata, punca kematian mangsa masih dalam siasatan dan keputusannya hanya diketahui selepas menerima laporan bedah siasat.

“Sehingga kini kita masih belum mendapat petunjuk sama ada mayat yang dijumpai mempunyai kaitan dengan kepala tanpa badan milik warga emas dipercayai dijadikan pemujaan di kuil di Ladang Coronation, 20 Mac lalu.

“Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau rakan-rakan diminta menghubungi polis dan datang ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk pengecaman,” katanya.

Duda ditemui mati tergantung



26 Mac 2013
Duda ditemui mati tergantung
Beberapa rakan arwah sempat melihat mayat mangsa di Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dibedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.
DUNGUN – “Sebaik tiba di rumah, saya memanggil namanya beberapa kali tetapi tidak ada jawapan. Apabila saya cuba buka pintu bilik, ia tertutup rapat.

"Saya terpaksa menggunakan sepenuh tenaga untuk menolak pintu, namun saya terkejut, sebaik pintu dibuka, saya lihat dia dalam keadaan tergantung,” kata Maznah Kasim, 54, ibu kepada Fauzi Mohd Rosli, 29, yang ditemui mati tergantung di rumahnya, dekat sini, tengah hari semalam.

Kejadian berkenaan disedari Maznah yang ketika itu pulang ke rumah untuk makan tengah hari sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat anak lelakinya itu.

Menurut Maznah yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, tiada perubahan pelik ditunjukkan arwah cuma anak lelakinya itu dikatakan banyak berdiam diri sejak belakangan ini.

Maznah yang bekerja di sebuah kilang papan berdekatan berkata, arwah sebelum ini menghadapi krisis rumah tangga dan bercerai dengan isterinya setelah dikurniakan  seorang anak yang kini berusia setahun.

“Saya benar-benar terkejut apabila mendapati dia mati dalam keadaan begitu. Saya melepaskan ikatan tali yang terjerut di leher bagi menyelamatkannya, namun dia sudah pun meninggal dunia,” kata Maznah.

Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia mendapat tahu daripada seorang rakan lain bahawa arwah yang bekerja sebagai pemandu jengkaut menceritakan kepada rakannya itu dia kini kecewa kerana putus cinta dengan seorang wanita.

“Dia tidak beritahu pula siapa wanita itu,” kata rakan arwah.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Titisan darah jadi petanda



Titisan darah jadi petanda
Mayat mangsa dibawa keluar dari semak tempat dia dicampakkan sebelum dihantar ke HTAA untuk bedah siasat.
KUANTAN - Titisan darah sepanjang kira-kira lapan meter merentasi jalan menghala ke sebuah semak membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai mati akibat dibunuh dalam kejadian di Jalan 3/1 Kawasan Perindustrian Indera Mahkota 2 di sini, semalam.

Mayat mangsa dikenali sebagai Hla Zaw, 30 dari Yangoon, Myanmar ditemui pekerja sebuah bengkel membaiki kereta kira-kira jam 8 pagi dalam keadaan terbaring dengan kesan
kecederaan di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan lelaki itu kira-kira jam 8.30 pagi sebelum beberapa anggota di kerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas mayat yang ditemui lengkap berpakaian itu mendapati dia dipercayai mati akibat kecederaan di bahagian kepala kesan hentakan benda keras.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul di lokasi kejadian berdasarkan penemuan darah sebelum mayatnya dicampak ke dalam semak,” katanya ketika ditemui di lokasi
kejadian itu, semalam.

Mohd Zakaria berkata, polis turut menemui dompet yang mengandungi dokumen perjalanan diri mangsa selain sebatang kayu dengan kesan darah dipercayai senjata yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Berdasarkan keterangan pekerja bengkel berhampiran, mereka terdengar suara seperti orang bergaduh di situ kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

“Bagaimana pun tiada saksi yang melihat kejadian sehingga pagi ini (semalam) apabila salah seorang daripada mereka yang kebetulan lalu di kawasan itu ternampak titisan darah
menghala ke dalam semak berhampiran dan menemui mayat mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis juga di maklumkan, laluan itu sering digunakan pekerja warga asing untuk keluar ke jalan utama.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung suspek kejadian sama ada melibatkan rakan senegara atau sebaliknya.

“Polis percaya motif kejadian bukan melibatkan kes samun sebaliknya ada kemungkinan berpunca akibat perselisihan faham atau dendam.

“Kita juga sedang mengenal pasti suspek sama ada bersendirian atau melibatkan kumpulan tertentu,” katanya.

Mohd Zakaria berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian warga
Myanmar itu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memeriksa rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kawasan itu untuk membantu siasatan.

“Kita klasifikasi kejadian ini sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Kita juga minta rakan-rakan mangsa supaya tampil memberikan maklumat termasuk proses pengecaman,” katanya.

Ajal selepas pikat ayam hutan



26 Mac 2013
Ajal selepas pikat ayam hutan
Motosikal mangsa dirempuh kuat dari arah bertentangan sebelum kedua-dua kenderaan terhumban ke dalam gaung.
MARAN - Seorang peneroka Felda yang dalam perjalanan pulang daripada memikat ayam hutan, maut apabila motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 67.5 Jalan Lama Kuantan - Kuala Lumpur dekat Kampung Luit, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Mazlan Che Lah, 52, yang juga bapa 10 anak, menunggang motosikal jenis Honda EX5 sendirian.

Bagaimanapun katanya, sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun bersama dua adiknya yang dalam perjalanan dari Jerantut ke Felda Panching Selatan, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

“Kereta dipandu remaja lelaki itu dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa hingga mengakibatkan kedua-duanya terhumban ke dalam gaung.

Penunggang itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh badan dan luka di leher. Mayatnya dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Bagaimanapun, pemandu remaja itu hanya cedera ringan, manakala adiknya berusia 17 dan 11 tahun pula menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pemandu remaja terbabit merupakan pelajar politeknik dan mempunyai lesen memandu yang sah.

Rogol: Bekas pemilik pusat asuhan kekal bebas




25 Mac 2013
PUTRAJAYA - Seorang bekas pemilik bersama sebuah pusat asuhan kekal bebas selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya atas tuduh merogol seorang kanak-kanak perempuan prasekolah berusia empat tahun, kira-kira lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menolak rayuan pihak pendakwa raya secara sebulat suara terhadap keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Ewe Peng Lip, 50.

Berdasarkan semakan rekod rayuan dan mendengar penghujahan pihak-pihak berkenaan, Apandi berkata panel mendapati terdapat justifikasi fakta dan
undang-undang bagi Mahkamah Tinggi memutuskan sabitan Ewe adalah tidak selamat.

"Kami melihat tidak ada alasan untuk mengganggu pendapat Mahkamah Tinggi. Kami mengesahkan keputusan itu," katanya yang bersidang bersama-sama Datuk
Linton Albert dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 September tahun lepas yang mengetepikan hukuman Mahkamah Seksyen yang mensabitkan Ewe dan mengenakan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan.

Ewe didapati bersalah melakukan kesalahan itu di pusat asuhan berkenaan di Bukit Dumbar, George Town, Pulau PInang antara 8.10 pagi dan 12 tengah hari
antara Januari dan April 2008.

Pada prosiding rayuan, Timbalan Pendakwa Raya, Andi Razalijaya Dadi berkata pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang menyakinkan untuk
mensabitkan Ewe bagi kesalahan itu.

Beliau berkata testimoni kanak-kanak itu bukan fantasi semata-mata dan pakar psikologi telah mendapati mangsa paling berkemungkinan menjadi mangsa penderaan seksual.

Andi kemudian meminta mahkamah menggunakan kuasa sedia ada di bawah Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mengurangkan tuduhan kepada pertuduhan mencabul kehormatan.

Bagaimanapun, peguam Ewe, Datuk V. Sithambaram, berhujah bahawa tiga doktor berasingan telah gagal mencari bukti perubatan bagi menyokong keterangan mangsa.

Menurutnya, wujud kesangsian dalam keterangan mangsa yang menyebabkan sabitan terhadap Ewe adalah tidak selamat. - Bernama

Kakitangan IPT antara ditahan palsukan penyata gaji



25 Mac 2013
MELAKA - Seorang kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka merupakan antara tiga lelaki yang ditahan dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan penyata gaji bagi mendapatkan pinjaman peribadi dari bank.

Difahamkan seorang lelaki yang merupakan pekerja sebuah bank lain pada mulanya memohon pinjaman peribadi berjumlah RM60,000 dengan mengemukakan dokumen sokongan palsu menyatakan dia kakitangan IPT tersebut yang kemudian disahkan kakitangan institusi itu pada awal tahun ini.

Pihak bank kemudian meluluskan separuh daripada permohonan tersebut setelah menghubungi kakitangan universiti berkenaan bagi mendapatkan pengesahan berkaitan pemohon.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Soh Hock Sing berkata penipuan tersebut terbongkar apabila pihak bank mendapati jumlah wang yang terdapat dalam akaun lelaki terbabit bagi pemotongan bayaran pinjaman tidak mencukupi seperti yang tertera pada penyata gaji yang diberikannya.

Beliau berkata pihak bank melakukan pemeriksaan lanjut terhadap data pemohon di universiti tersebut namun dimaklumkan namanya tiada dalam senarai kakitangan IPT itu.

Soh berkata laporan polis dibuat pihak bank tersebut pada 21 Mac lepas sebelum pihaknya berjaya menahan kedua-dua lelaki terbabit termasuk seorang lagi rakan mereka yang dipercayai turut terlibat dalam kes tersebut di tiga buah rumah berasingan di sekitar Alor Gajah pada hari sama.

"Kesemua mereka yang dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

Polis tumpaskan 'Geng Ponon Markisa'




25 Mac 2013
NIBONG TEBAL - Polis berjaya menumpaskan 'Geng Ponon Markisa' yang aktif mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang selepas menahan tiga anggota kumpulan itu dan merampas pelbagai jenis motosikal dan enjin kenderaan bernilai RM58,000 dalam beberapa serbuan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan sejak tiga bulan lepas dan penubuhan pasukan khas bagi membanteras kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini.

Katanya dalam serbuan pertama di Simpang Ampat, di sini pada 9 Mac, polis menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi berusia 20 tahun dan merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Bukit Tengah, dekat sini baru-baru ini.

"Susulan penahan lelaki itu, kita menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru, Alma dan manahan rakannya berusia 27 tahun serta berjaya menemui semula sebuah motosikal jenis Kawasaki dan Yamaha 125z yang dilapork hilang di Machang Bubok dan Tasek Mutiara.

"Pasukan polis turut merampas tiga buah motosikal Yamaha RXZ dan pelbagai jenis enjin motosikal, beberapa komponen motosikal serta sebatang kunci berbentuk T yang dibuat sendiri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafien berkata pada 14 Mac lepas, pasukan unit khas itu berjaya mengesan seorang lagi anggota kumpulan itu yang dikenali sebagai Zubir di sebuah rumah di Taman Markisah dekat sini tetapi dia berjaya melarikan diri dan polis merampas sebuah motosikal yang dipercayai dicuri dan ditinggalkan di rumah lelaki terbabit.

Katanya, lelaki ketiga pula berusia 23 tahun dan ditahan pada hari yang sama di sebuah rumah di kawasan ternakan ayam di Kampung Manggis, Bukit Tengah dekat sini.

Dalam serbuan di rumah lelaki terbabit, polis menemui beberapa komponen motosikal yang dipercayai dicuri dan sebuah motosikal Yamaha jenis 125Z.

"Secara keseluruhannya, kita berjaya merampas 10 buah motosikal dan satu enjin...kesemuanya bernilai RM58,000," katanya.

Beliau berkata semua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan menurut Seksyen 397A Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk siasatan berkaitan beberapa kes di daerah itu.

Shafien berkata pihaknya kini sedang mengesan dua lelaki untuk membantu siasatan.

Mereka ialah Mohamad Syaifuddin Sidan atau nama gelarannya sebagai Ponon dan beralamat di No 20 Lorong Markisa, Taman Markisa, Bukit Mertajam dekat sini serta Ahmad Zubir Abdul Rahim, 24, yang beralamat di 627 Kampung Sekolah, Juru.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat mereka agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. -  Bernama

Gaduh: Empat lelaki termasuk dua rakyat Nepal ditahan




25 Mac 2013
JOHOR BAHRU - Polis menahan empat lelaki, dua daripadanya rakyat Nepal kerana terlibat dalam pergaduhan di asrama pekerja rakyat asing di Blok 20, Taman Cendana, dekat Pasir Gudang, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, 11 warga Nepal dan seorang remaja lelaki tempatan cedera dengan warga asing berkenaan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini dan remaja itu menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Katanya pergaduhan itu berpunca apabila sekumpulan pekerja Nepal yang dipercayai mabuk bergaduh dengan remaja lelaki berusia belasan tahun itu dan bapanya, di sebuah kedai berhampiran asrama itu.

"Remaja itu sebelum itu dipercayai cuba menegur kumpulan pekerja asing terbabit kerana mabuk sebelum dia dan bapanya dipukul. Pergaduhan  kemudian berlanjutan apabila kedua-duanya yang tidak berpuas hati membawa sekumpulan lelaki tempatan ke asrama itu lalu bergaduh dengan kumpulan pekerja Nepal terbabit sehingga mencetuskan rusuhan," katanya.

Asrama terbabit menempatkan kira-kira 200 pekerja asing yang bekerja di tiga kilang berhampiran, katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Polis Ke-206 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui kayu dan batu di tempat kejadian.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata polis menahan seorang lelaki berumur 40-an di Kluang dua hari lepas bagi membantu siasatan kes  penemuan kepala seorang lelaki warga emas di sebuah kuil di Ladang Coronation, Kluang, Rabu lepas.

Beliau berkata susulan tangkapan itu polis menemui beberapa petunjuk baharu kes itu.

Pada majlis itu, seramai 78 orang terdiri pegawai dan anggota polis kontinjen Johor dan orang awam menerima surat penghargaan.

Acara yang dimulakan dengan perbarisan membabitkan dua pegawai dan 52 anggota kemudian bertukar sayu tatkala Timbalan Ketua Balai Polis Permas Jaya, Sarjan Yusuf Ramji mendeklamasikan sajak bertajuk "Daulat" bagi menghargai pengorbanan anggota polis yang bertugas membanteras kumpulan militan Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah. - Bernama

Rasuah: 2 pembantu am rendah Pejabat Tanah didakwa




25 Mac 2013
KUALA TERENGGANU - Dua pembantu am rendah Pejabat Tanah Daerah Besut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah tahun lepas.

Tuan Faizul Azli Tuan Man, 27, dan Tuan Saifuladli Tuan Mansor, 28, dituduh menerima suapan RM4,000 daripada Ismail Mat Noor, 44, di dua tempat berasingan di daerah Besut.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut fakta kes kedua-dua tertuduh dengan niat bersama telah menipu dan memperdayakan mangsa sehingga mendorongnya menyerahkan wang sebanyak RM2,000 di Felda Keruak, Hulu Besut dan RM2,000 lagi di hadapan Commerce International Merchant Bankers (CIMB) Bank Cawangan Jerteh pada 22 Jun dan 24 Jun tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat, juga boleh dikenakan denda.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu agar dikurangkan jaminan kerana mereka masih menyara keluarga.

Zainal Abidin kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dan menetapkan kes itu disebut semula 22 April ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhamad Auliat Ngah@Ibrahim. - Bernama

2 maut terkena bahan kimia berbahaya



26 Mac 2013
PORT DICKSON - Dua pekerja sebuah pusat pelupusan sisa kimia dan toksik di Bukit Nanas, Sendayan di sini, maut manakala seorang lagi cedera dipercayai terkena bahan kimia berbahaya apabila hos tangki lori pecah ketika proses memindahkan bahan itu ke tapak pusat terbabit, semalam.

Salah seorang mangsa adalah rakyat tempatan iaitu K Segar, 42, manakala seorang lagi merupakan rakyat Bangladesh, Khalil Abd Mozid, 45.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.04 petang.

“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dibantu 11 anggota Unit Bahan Berbahaya jabatan dikejarkan ke tempat kejadian bagi memantau keadaan tumpahan bahan kimia yang disahkan sebagai asid hidroklorik sulfurik itu.

“Setakat ini, maklumat awal mendapati, ketika kejadian berlaku, tiga pekerja berkenaan sedang memindahkan bahan kimia dari tangki lori 18 tan ke tapak pelupusan. Hos tangki lori yang dibuka pekerja itu pecah dan tercabut sebelum terkena mereka,” katanya.

Menurutnya, mayat dua pekerja itu serta pekerja yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dilakukan bagi mengetahui punca sama ada membabitkan kesalahan prosedur kerja.

AG: Kes Altantuya perlu bukti kukuh untuk dibuka semula




26 Mac 2013
Altantuya Shaariibuu
Altantuya Shaariibuu
KUALA LUMPUR - Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan, kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu enam tahun lalu, tidak boleh dibuka semula dengan sewenang-wenangnya.

Mengulas gesaan Majlis Peguam untuk membuka semula kes itu, beliau berkata, bukti baru yang kukuh perlu dikemukakan.

"Kes ini telah dibicarakan di mahkamah, apa-apa perkara yang nak dicakapkan dah dicakapkan di situ, pastinya apa yang Majlis Peguam cakap, kita akan tengok, tapi ingat, kita tak boleh buka sewenang-wenangnya, kalau tidak, nanti (kes) tahun 60-an atau 70-an pun suruh buka.

"Kita kena tengok betul-betul, ada bukti baru tak, kalau ada bukti kukuh yang dikemukakan kepada kita, tidak ada masalah," kata Abdul Gani kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian pembaharuan perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) di sini hari ini. - Bernama

Polis berjaya rampas dadah bernilai hampir setengah juta




26 Mac 2013
GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan tiga rakan di Jalan Raja Uda, Butterworth dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM480,000 dalam satu serbuan di kawasan kondominium pada Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata tiga lelaki berusia antara 21 hingga 49 tahun itu ditahan pada pukul 12.15 tengah malam hasil maklumat awam dan risikan polis.

"Semasa serbuan polis menemui pelbagai jenis dadah iaitu 6,000 biji pil ecstasy, 1,000 biji pil eramin 5, empat kilogram dadah ketamin, 4.25 kilogram serbuk ecstasy dan enam gram ganja.

"Selain itu, polis turut merampas dan menyita tiga buah kereta jenama Mazda, Toyota Vios dan Honda Civic yang bernilai RM160,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai jurujual, peniaga dan pekerja kilang itu direman sehingga 31 Mac untuk siasatan lanjut.

Abdul Rahim berkata ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan wilayah utara sejak enam bulan lepas.

"Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, bagaimanapun pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket ini ada kaitan dengan tangkapan yang dibuat sebelum ini," katanya. - Bernama

Ugut ibu guna pisau



Guna pisau ugut ibu
Saifull Azam dijel 12 bulan kerana ugut ibu sendiri.
KOTA BHARU - Padah ugut ibu sendiri menggunakan pisau, seorang lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 12 bulan oleh mahkamah majistret di sini, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu Khamis lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Saifull Azam Mat, 23, dari Kubang Kerian berkuat kuasa dari tarikh tangkap setelah dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan ke atas seorang perempuan bernama Wan Jah Wah Ahmad, 53, menggunakan pisau pada 21 Mac lalu kira-kira jam 9.10 malam di Kampung Gertak Kechupu, Kubang Kerian.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa tersebut semasa pengadu berada di rumah di Kampung Gertak Kechupu di sini, tiba-tiba tertuduh meminta anak kunci motosikal pengadu sambil mengamuk dengan menggunakan pisau dan menakutkannya.

Ekoran kejadian itu, pengadu membuat laporan di balai Polis Binjai dan pada 21 Mac lalu anggota polis ke rumah tersebut melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki untuk siasatan.

Ketika prosiding tertuduh yang tidak bekerja itu merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri meminta dikenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana mengugut ibu sendiri dengan menggunakan senjata.

Malahan, kata Nurliyana, tindakan tersebut boleh menyebabkan kesalahan lain.

Kumpulan anti-homoseksual bertempur dengan polis




26 Mac 2013

Anggota keselmatan bertindak menyembur gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Champs Elysees, Paris.
PARIS - Beratus ribu kumpulan anti-homoseksual berarak di Champs Elysees bagi membantah rancangan pelaksanaan rang undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis di Perancis.

Dipetik Reuters, polis menganggarkan lebih 300,000 peserta mengambil bahagian dalam perarakan itu bagi membantah pelaksanaan penggubalan undang-undang tersebut oleh Presiden Francois Hollande menjelang Jun ini.

Pegawai polis tempatan berkata, perarakan itu turut disertai anggota parti politik konservatif, pergerakan Islam dan penduduk termasuk kanak-kanak.

“Mereka mendesak Hollande memberhentikan segera draf itu dan mendesak beliau meletak jawatan,” katanya.

Menurutnya, anggota keselamatan terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan.

Presiden Perancis itu menimbulkan kemarahan banyak pihak apabila cuba melaksanakan penggubalan undang-undang tersebut di Parlimen tanpa melakukan pungutan suara dan tidak memberikan maklumat terperinci mengenai rang undang-undang berkenaan.

Enam maut, 18 hilang tanah runtuh di Cililin




26 Mac 2013
BANDUNG - Seramai enam terbunuh manakala 18 penduduk dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di kampung Cililin, daerah Bandung Barat, Indonesia, semalam.

Dipetik Jakarta Globe, pegawai agensi bencana alam, Sutopo Purwo Nugroho berkata, pasukan mencari dan menyelamat menjumpai enam mayat termasuk empat kanakkanak sejam selepas banjir lumpur melanda kediaman mereka.

Ratusan polis dan tentera dikerah mencari mangsa hilang manakala penduduk dipaksa berpindah ke penempatan sementara.

2 maut bot suaka politik ke Australia karam



25 Mac 2013
CHRISTMAS ISLAND - Dua terbunuh manakala dua lagi kritikal selepas bot yang membawa sekurang-kurangnya 95 pelarian karam di luar perairan Australia.

Sebuah kapal kastam menyelamatkan mereka yang selamat di laut.

“Laporan awal menunjukkan 95 hampir lemas, termasuk dua sudah meninggal dunia manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal,” kata Menteri Dalam Negeri, Jason Clare.

Misi menyelamat melalui udara laut turut diadakan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada masih ada lagi yang terperangkap atau tidak.

Sejak kebelakangan ini, berlaku peningkatan dalam bilangan pelarian datang menggunakan bot bagi mencari perlindungan di Australia.

Ramai di antara mereka merupakan dari Afghanistan, Iraq, Iran dan Sri Lanka yang pergi ke Indonesia terlebih dahulu sebelum menuju ke Australia.

Christmas Island terletak kira-kira 2,600 kilometer dari Australia tetapi hanya 300 kilometer dari selatan Indonesia.

127 banduan lolos




26 Mac 2013
KANO - Seramai 127 banduan melarikan diri selepas penembak bersenjata menyerang menggunakan bom tangan di Penjara Ganye, timur Adamawa, Nigeria.

"Setakat ini, pihak penjara dan polis masih gagal menangkap mereka," kata Ketua Penjara Negeri Adamawa, Andrew Barka.

Dipetik AFP, menurutnya, seorang daripada banduan gagal melarikan diri selepas mengalami kecederaan pada kaki akibat terkena tembakan.

"Kami gagal mengawal keadaan hingga mengakibatkan timbalan pegawai penjara turut terbunuh," katanya.

Beliau berkata, kumpulan militan Bako Haram antara suspek terawal dalam kejadian ini.

Ford minta maaf iklan model baru hina wanita




26 Mac 2013
NEW YORK - Pengeluar kereta terkenal dunia, Ford dan agensi iklan WPP memohon maaf secara terbuka semalam berhubung karya seni mereka yang menggambarkan tiga wanita diikat di tempat letak barang belakang model Figo, yang boleh didapati di India.

Menurut jurucakap WPP, Chris Preuss, gambaran lukisan kartun itu sebenarnya  latihan kreatif oleh pasukan yang mengemukakan hasrat untuk menyertai pertandingan iklan.

Salah satu imej menggambarkan bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berluscooni dan seorang calon dalam kempen semasa memandu Ford Figo manakala tiga orang wanita diikat di belakang kereta itu.

Imej lain menggambarkan Paris Hilton memandu kereta berkenaan manakala tiga beradik Kardashian diikat di belakang.

“Kami amat kesal dengan perkara ini dan bersetuju dengan rakan agensi kami yang iklan ini tidak sepatutnya disiarkan,” kata Ford dalam satu kenyataan.

“Poster itu juga bertentangan dengan standard profesionalisme dan kesopanan dalam Ford dan agensi rakan kongsi kami,” katanya.

WPP juga tidak ketinggalan mengeluarkan kenyataan dan mengatakan mereka kesal dengan kewujudan poster berkenaan.

Ford telah melancarkan model Figo pada tahun 2009, yang dihasilkan di India dan dieksport ke negara-negara lain di Asia dan Afrika.

Jumlah korban konflik anti-Islam Myanmar meningkat




26 Mac 2013
YANGON- Angka kematian akibat konflik keganasan antara Buddha dan Islam meningkat kepada 40 sementara kerajaan negara itu cuba merungkaikan ketegangan etnik yang semakin memburuk.

Pihak berkuasa melaporkan mereka menemui lapan lagi mayat di celah runtuhan bangunan, sekali gus meningkatkan lagi kadar kematian yang sebelum ini hanya 32 yang maut.

Semasa pertempuran di Meiktila, penyerang membakar kediaman dan masjid menyebabkan beribu-ribu penduduk tempatan meninggalkan kediaman masing-masing.

Kerajaan turut mengisytiharkan darurat pada Jumaat lalu dan mengerahkan tentera untuk mengawal keadaan yang semakin tegang.

Presiden Thein Sein menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengetuai konflik keganasan itu.

New Light of Myanmar melaporkan kegiatan tersebut terjadi kerana perselisihan agama di antara Buddha dan Islam.

Pertempuran di Meiktila itu juga mencetuskan kebimbangan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS).

Tanah runtuh di Bandung Barat, 10 maut 7 hilang




26 Mac 2013
JAKARTA -  Pasukan mencari dan menyelamat hingga petang ini sudah menemui 10 mayat penduduk yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Mukapayung, Cililin, daerah Bandung Barat, Jawa Barat sejak Isnin.

Gerakan mencari tujuh lagi penduduk yang masih hilang diteruskan dan operasi itu mungkin diteruskan sehingga petang ini jika cuaca cerah kekal sepanjang hari, kata jurucakap pasukan penyelamat.

Tanah runtuh itu berlaku pagi semalam di tiga tempat iaitu di kawasan Pasirpogor, Bukit Pasir Cikareo dan Bukit Dipatiukur, disebabkan hujan lebat yang turun sejam malam Isnin.

Tanah runtuh itu menyapu lebih 20 rumah penduduk di kawasan petempatan yang terletak di kaki bukit berkenaan.

Data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyebut bahawa dalam tempoh tiga bulan terakhir, 53 kejadian tanah runtuh berlaku di beberapa kawasan di Indonesia menyebabkan 83 orang terkorban. - Bernama

Jutawan Russia Boris gantung diri




26 Mac 2013
THAMES VALLEY - Pihak polis mengesahkan kematian jutawan Russia, Boris Berezovsky akibat bunuh diri dengan menggantung diri.

Ia disahkan oleh pihak polis selepas satu bedah siasat diadakan bagi mengetahui punca kematian jutawan itu.

Berezovsky, 67, ditemui mati oleh seorang pekerjanya Sabtu lalu si lantai bilik mandi rumahnya di Berkshire.
Polis Thames Vallley berkata, siasatan ke atas harta peninggalannya juga akan disiasat.

Pihak polis turut berkata, setakat ini mereka tidak menjumpai sebarang bukti ada pihak ketiga terlibat dalam kematian jutawan itu.
Menurut pihak polis lagi, ujian selanjutnya termasuk siasatan toksikologi dan histologi bakal mengambil masa beberapa minggu.

Pada tahun 2003, beliau juga diberi perlindungan untuk tinggal di United Kingdom atas alasan beliau dalam bahaya semasa berada di Russia.
Namun demikian, beliau dihimpit masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana terpaksa membayar hutang ekoran kos melibatkan kes mahkamahnya yang terlalu tinggi.

Lagi lubang jerlus di Florida




26 Mac 2013
Lagi lubang jerlus di Florida
Lubang ketiga terbentuk berdekatan kawasan insiden pertama dalam tempoh sebulan.
FLORIDA - Satu lagi lubang jerlus terbentuk di Seffner, Florida hanya beberapa meter daripada lokasi sama yang meragut seorang lelaki awal bulan ini.

Dipetik MailOnline, menurut polis Hillsborough County, Willie Puz, lubang itu berukuran 2.4 meter lebar.

"Kesemua kejiranan di tempat itu diarah berpindah. Kami yakin masih terdapat pergerakan lubang jerlus aktif di kawasan ini," katanya.

Bulan lalu, Jeff Bush, 37, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang yang bersaiz 9.1 meter lebar dan berkedalaman lebih 18.3 meter yang terbentuk di dalam biliknya.

Kumpulan petugas terpaksa memperhentikan operasi dan menyelamat mangsa selepas gagal menemui mayat Bush dan dasar lubang terbabit.

Mayat dengan kesan luka ditemui



26/03/2013 6:06pm

AMPANG JAYA - Mayat seorang lelaki yang dipenuhi kesan luka seakan-akan tikaman ditemui tersangkut ber sama sampah sarap di dalam sebatang anak sungai di Bukit Belacan di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Ko misioner Amiruddin Jalaluddin, mayat tanpa identiti itu dipercayai bukan warga tempatan dan telah meninggal dunia kurang daripada tempoh 12 jam.
“Punca kematian masih belum dikenalpasti. Sehingga pihak forensik berjaya menemui sebarang unsur jenayah, kita klasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” ujarnya. -KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_28.htm#ixzz2OeZ6oLfa 
Hakcipta terpelihara 

Lapan diberkas seludup dadah



26/03/2013 6:13pm

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas lapan individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah di negara ini dalam tiga serbuan berasingan di ibu kota dan Pulau Pinang pada minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, penahanan yang melibatkan tujuh warga asing serta seorang warga tempatan itu melibatkan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM630,000.
“Antara yang ditahan ialah empat warga Nigeria serta seorang dari Pakistan, Sierra Leone dan Indonesia. Seorang warga tempatan turut diberkas setelah didapati memiliki sejumlah dadah jenis heroin dan syabu yang disorok di dalam kereta miliknya,” ujarnya kepada pemberita tengah hari tadi. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_29.htm#ixzz2OeYzCAbs 
Hakcipta terpelihara 

Bapa, ibu tiri direman dera budak lima tahun




POLIS membawa sepasang suami isteri keluar daripada Mahkamah Majistret Tumpat semalam selepas dikenakan tahanan reman atas dakwaan mendera anak mereka.


TUMPAT - Sepasang suami isteri dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu selepas dipercayai mendera hingga mati anak perempuan mereka berusia lima tahun.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman itu diperoleh daripada Mahkamah Majistret Tumpat di sini semalam.
Katanya, mangsa, Ummi Amilia Azman meninggal dunia pada pukul 8.56 pagi kelmarin di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu selepas dipindahkan dari Hospital Tumpat sejak Sabtu lalu.
Jelasnya, perkara itu terbongkar selepas pihak hospital membuat laporan polis berikutan terdapat kesan luka dipercayai didera pada tubuh mangsa.
"Susulan laporan tersebut, polis menahan bapa mangsa berusia 32 tahun yang merupakan seorang pembuat sate ikan dan ibu tiri mangsa berusia 29 tahun pada pukul 6 petang bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya, mangsa dipercayai didera ibu tirinya dengan tidak diberi makan selama dua hari selain mengalami kecederaan pada usus besar dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Jubakar Pantai di sini kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2OeYSgAiV 
Hakcipta terpelihara 

Mengamuk selepas dibelasah Nepal




PENDUDUK berkumpul bagi membantah kewujudan asrama pekerja Nepal berhampiran rumah mereka di Taman Cendana, Pasir Gudang semalam.


PASIR GUDANG – Kira-kira 1,000 penduduk di rumah pangsa Taman Cendana di sini berang lantas menyerang sebuah blok asrama warga Nepal selepas mereka mencederakan seorang warga emas dengan sebilah pedang samurai di pekarangan sebuah restoran di Jalan Cendana 3 di sini kelmarin.
Kejadian tercetus selepas penduduk dimaklumkan jiran mereka, Anis Ahmad Noor, 57, (gambar kecil) dibelasah 60 warga Nepal yang mabuk.
Akibatnya, Anis terpaksa dikejarkan ke Klinik Penawar di sini dan menerima empat jahitan di kepala dan tujuh jahitan di tangan kiri.
Seorang saksi, Mohd. Nizam Mohd., 39, mendakwa, insiden bermula selepas mangsa membonceng motosikal rakannya, Md. Said Pekir, 67, ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan seorang remaja telah dipukul sekumpulan warga Nepal.
“Tiba di tempat kejadian, warga Nepal berkenaan yang dalam keadaan mabuk terus menyerang mangsa di mana seorang daripadanya membawa sebilah pedang samurai telah melibas kepala dan tangan mangsa.
“Rakan mangsa sempat melarikan diri dan meminta bantuan,” ujarnya ketika ditemui di tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2OeYFFPt9 
Hakcipta terpelihara 

Guru fardu ain maut dihumban dari kereta




INILAH pejabat Amanah Ikhtiar yang hendak dikunjungi Rafiah di Kampung Sat Hilir, Tanah Merah kelmarin.


KOTA BHARU – Seorang guru fardu ain dan juga ahli Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mati selepas mengalami pelbagai kecederaan akibat dicampak keluar dari sebuah kereta dipercayai teksi sapu yang sedang bergerak kelmarin.
Rafiah Seman, 54, yang merupakan seorang bekas tentera dikatakan menaiki teksi sapu jenis Proton Iswara berwarna hitam sebelum dicampak di bahu jalan di persimpangan Kampung Sat Hilir, Tanah Merah pada pukul 10.30 pagi.
Mangsa ditemui seorang pemandu kereta dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di tepi jalan berkenaan dan dihantar ke Hospital Tanah Merah sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.45 malam.
Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk bedah siasat.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Lemal, Pasir Mas ke pejabat AIM di Kampung Sat Hilir, Tanah Merah untuk urusan pinjaman. Lokasi rumah mangsa ke Kampung Sat Hilir kira-kira 40 kilometer.
“Mangsa sering ke pejabat tersebut dengan menaiki teksi sapu.
“Buat masa ini, saya tidak dapat mengulas lanjut tentang kejadian ini kerana masih dalam siasatan polis,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2OeXi1ysc 
Hakcipta terpelihara