Search This Blog

Monday, March 25, 2013

Peniaga lari lintang pukang



Rufiah
Rufiah menunjukkan antara gerai makan yang rosak akibat kejadian ribut kelmarin
BUKIT JALIL – “Angin terlalu kuat dan berpusing-pusing macam puting beliung menyebabkan semua peniaga serta pelanggan terpaksa lari lintang pukang berlindung di bawah blok pangsapuri,” kata seorang peniaga, Zuriah Yacob, yang terjejas akibat kejadian angin ribut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang  itu, Zuriah berkata, sebaik melihat kerusi dan meja di warung gerai makan diusahakan 15 peniaga mula bergerak sendiri dia kemudian mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada semua peniaga supaya berlindung di tempat selamat.

Katanya, angin kuat hampir 45 minit menyebabkan kanopi di 11 gerai makan di pangsapuri Taman Muhibbah itu ranap dan peralatan lain turut mengalami kerosakan.

Zuriah berkata, kejadian angin kencang itu berlaku dua kali, namun kali pertama hanya bertiup perlahan.
Namun katanya angin yang ‘menyerang’ kawasan gerai pada kali kedua amat menakutkan sehingga menyebabkan kanopi serta peralatan perniagaan berterbangan dan bergelimpangan.
Katanya, ada peniaga sanggup memegang kanopi di tapak gerai masing-masing meskipun angin bertiup kencang dan terkena hujan.
“Sejak dipindahkan ke lokasi ini, kami sering ‘diserang’ angin ribut, sebab itu peniaga mohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur segerakan pembinaan gerai sementara seperti dijanjikan Oktober lalu segera,” katanya.

Peniaga, Suhaida Sulaiman, 33, berkata, dalam keadaan kelam kabut memang tidak sempat menyelamatkan kanopi dan peralatan perniagaannya.

Katanya dia yang ketika itu sedang memasak pada mulanya hanya mendengar bunyi guruh dan petir sebelum  disusuli hujan lebat serta angin kuat.
Seorang lagi peniaga, Rufiah Idris, berkata, ketika kejadian dia tidur di rumah dan tidak menjalankan perniagaan.
Katanya insiden itu diketahui daripada anaknya yang menghantar SMS meminta di ke tapak gerai segera.

“Sampai  di tapak gerai lembik saya rasakan seluruh badan melihat kanopi koyak rabak dan barangan perniagaan sendiri serta rakan-rakan lain jatuh ke lantai,” katanya.

Lelaki Myanmar ditemui mati berhampiran kilang di Indera Mahkota



KUANTAN - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dalam keadaan tertiarap di tepi longkang dalam kawasan semak berhampiran sebuah kilang di Indera Mahkota di sini hari ini.

Mayat Hla Zaw, 30, yang dipercayai dibunuh, ditemui orang awam yang memaklumkannya kepada pihak polis kira-kira 8.30 pagi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Mohd Zakaria Ahmad, mayat ditemui dengan kesan cedera pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan keras.

"Polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum diseret beberapa meter lalu dicampak di tepi longkang berkenaan.

"Polis juga menemui sebatang kayu yang mempunyai kesan darah di tempat kejadian dan kita percaya kayu itu digunakan untuk memukul kepala mangsa bagaimanapun ianya masih lagi dalam siasatan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berlaku pukul 9.30 malam tadi selepas ada saksi mendengar jeritan mangsa selain ada pertengkaran melibatkan mangsa.

"Polis juga dalam usaha meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kilang berhampiran bagi membantu siasatan untuk menyelesaikan kes ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga diminta menghubungi polis atau pergi ke balai polis berhampiran," katanya. - Bernama

Ribut: Kediaman, premis perniagaan rosak



Kediaman, premis perniagaan rosak
Keseluruhan atap kedai musnah diterbangkan ribut yang berlaku petang kelmarin.
KULIM - Hampir 500 kediaman dan premis perniagaan di beberapa kawasan di sekitar bandar ini musnah dilanda ribut kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Antara kawasan yang terlibat ialah pusat bandar, Lunas, Padang Serai dan Sungai Kop.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh menyifatkan kejadian ribut kali ini adalah yang terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, sehingga ini belum ada sebarang laporan melibatkan kecederaan dan maut akibat kejadian itu.

Menurutnya, bilangan premis yang terlibat mungkin didapati lebih banyak sekiranya lebih ramai mangsa membuat laporan polis.

“Saya minta semua mangsa membuat laporan polis jika berlaku sebarang kerosakan ke atas rumah atau harta benda mereka akibat ribut itu,” katanya.

Seorang ibu tunggal, Jemilah Ismail berkata, ketika kejadian dia bersama keluarganya sedang minum petang di belakang rumah.

“Kami terkejut dengar bunyi angin yang sangat kuat. Timbul rasa tak sedap hati.

"Sejurus selepas itu, kami terdengar bunyi berdentum di dapur dan mendapati beberapa keping atap rumah sudah diterbangkan angin.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga tidak cedera. Atap rumah juga sudah digantikan,” katanya.

Seorang suri rumah, Norizan Che Daud, yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Simpang Tiga Keladi berkata, terdapat tiga putaran angin ketika kejadian berlaku.

Norizan berkata, putaran angin itu mengakibatkan banyak kerosakan teruk kepada kediaman, terutama di bahagian atap.

“Ketika kejadian, saya berada di hadapan rumah dan saya cemas apabila menyedari ada tiga putaran angin..

"Selain pokok dan bumbung rumah, angin itu turut menumbangkan beberapa motosikal kami.

"Bumbung di bengkel suami yang terletak di sebelah rumah juga diterbangkan. Jumlah kerugian dialami sekitar RM19,000 kerana atap tambahan diterbangkan itu dibina dengan kos yang sama sebelum ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Pondok Labu Hujung, Norhayati Walad berkata, kerajaan persekutuan seharusnya menyediakan dana segera bagi kawasan yang sering dilanda masalah bencana alam seperti ribut dan banjir.

“Saya mencadangkan supaya dana khas diwujudkan bagi meringankan beban semua mangsa ribut.

"Ini bukan kali pertama masalah seperti ini berlaku. Bencana alam ini sering berlaku di kawasan Parlimen Padang Serai.

Beliau ucapkan terima kasih kepada pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulim, sukarelawan, Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus-lumus membantu mangsa ribut di kawasan terlibat.

Stor simpanan barang elektrik terbakar



kebakaran
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di stor simpanan barang elektrik di Jalan Kelawai, semalam.
GEORGETOWN - Sebuah stor simpanan barang elektrik di tapak pembinaan Gurney Paragon, Jalan Kelawai, di sini, terbakar pagi semalam, menyebabkan hampir 80 peratus barangan elektrik musnah.

Penyelia Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Abdul Masjid Osman berkata, tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke kawasan itu setelah pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 11 pagi.

“Kebakaran tidak serius dan api berjaya dikawal sepenuhnya 20 minit kemudian. Tiada kemalangan jiwa. Hanya bahagian stor simpanan elektrik terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dan jumlah kerugian.

Padah ikat parang di rusuk




Tertuduh (depan) sewaktu dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Padah menimpa seorang penganggur yang membawa parang dengan mengikat senjata itu di rusuk kiri tubuhnya semasa menumpang kereta rakannya apabila dihukum penjara lapan hari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Wan Mohd. Zulkifli Zakaria, 43, mengaku bersalah.

Wan Mohd. Zulkifli didakwa memiliki sebilah parang bersarung yang menggunakan hulu kayu yang diikat di bahagian rusuk kiri tanpa maksud yang sah di hadapan sebuah rumah pangsa di Jalan Pengkalan Chepa, pada jam 1.30 pagi, 16 Mac lalu.

Tertuduh yang berasal Kota Bharu itu didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.

Menurut fakta kes, pada waktu kejadian polis sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan rumah pangsa berkenaan dan menahan sebuah kereta Proton Waja lalu perkenalkan diri kepada tiga orang lelaki yang berada di dalam kereta berkenaan termasuk tertuduh.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang bersarung dan berhulu kayu yang diikat di bahagian  rusuk sebelah kiri tertuduh.

Tertuduh kemudian ditangkap dan dibawa ke balai.

Nik Habri menetapkan hukuman penjara lapan hari dari tarikh tangkap dan denda RM1,500 kepada tertuduh.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pemuda sembunyikan 398 biji pil kuda didenda



KOTA BHARU - Gara-gara menyembunyikan sejumlah 398 biji pil kuda di dalam poket kanan seluar jeans yang dipakainya seorang pemuda, dihukum denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Md. Suffian Khuzeh, 26, selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah tersebut.

Md. Suffian didakwa memiliki pil kuda seberat 4.71 gram itu di sebuah rumah di Taman Sri Iman Fasa 2, Kampung TK pada pukul 5.30 pagi, 13 November tahun lalu.

Lelaki dari Guchil Bayam itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada waktu kejadian, sepasukan anggota polis melakukan serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah dan menahan tertuduh bersama tiga orang rakannya.

Hasil pemeriksaan ke atas tertuduh, polis menjumpai dua bungkusan yang menggunakan pelekat (salotape) hitam di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar jensa biru jenama Levis yang mengandungi 398 biji pil kuda.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah manakala tertuduh diwakili peguam Wan Abdul Razak Wan Dollah.

Wan Abdul Razak memberitahu mahkamah, tertuduh merupakan seorang peniaga dengan pendapatan RM40 sehari.

“Tertuduh insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kes sama dan kes-kes lain, mohon dikenakan denda yang paling minimum,” katanya.

Nik Habri menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas tertuduh dengan menetapkan kegagalan membayar denda tersebut boleh menyebabkan dia dipenjarakan 12 bulan.

Dijel 15 tahun, 10 sebat kes rompakan bersenjata



Dijel 15 tahun, 10 sebat kes rompakan bersenjata
Kesemua tertuduh dipenjara 15 tahun dan dikenakan 10 sebatan selepas mengaku bersalah melakukan rompakan bersenjata di Mahkamah Sesyen, di sini.
KUALA TERENGGANU - Perbuatan empat sekawan warga Indonesia yang melakukan rompakan bersenjata kira-kira lima tahun lalu menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas keempat-empat tertuduh, Mustawal Mustamin, 45; Yogi Saputra Sulaiman, 38; Ariffin Ahmad, 33; dan Sapri Salleh, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Mereka mengaku bersalah bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan parang, pisau dan pemutar skru terhadap Ramli Abdul Rani, 55, di sebuah rumah di Jalan Sekolah Menengah Pelagat, Jertih, Besut, kira-kira jam 3.15 pagi, 17 Mei 2008.

Dalam rompakan itu, mereka mengaku bersalah melarikan dua buah komputer riba; sebilah lawi ayam berhulu kayu; sebuah beg hitam berisi dua helai baju t dan sehelai seluar jeans; sekeping mata wang Arab Saudi bernilai 50 riyal; dua keping mata wang Arab Saudi bernilai satu riyal; sepucuk revolver S&W SPL Smith& Wesson Springfields; sebuah beg hitam, dan enam butir peluru jenis Smith & Wesson.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata, hukuman yang diberikan adalah untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan insaf dengan perbuatan yang dilakukan.

“Saya harap kamu semua insaf dan fikirkanlah apa yang kamu lakukan. Kamu datang ke Malaysia pastinya untuk mencari rezeki dan sepatutnya kamu berfikir dulu sebelum melakukan jenayah ini, apatah lagi kamu semua sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab.

“Ini juga bukan kesalahan pertama kamu dan sebelum ini kamu sudah dikenakan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan sama,” katanya.
Sebelum ini, suasana di dalam mahkamah gamat seketika selepas dua tertuduh, Ariffin dan Sapri dalam rayuannya mendakwa dihantar oleh ejen ke negara ini semata-mata untuk merompak bagi membayar hutang ejen, selain diugut akan dibuang pasport jika enggan berbuat demikian.
Pada masa sama, Sapri turut meluahkan rasa kekesalan dan memohon maaf kepada mangsa selepas menyesali perbuatannya itu.

Suami isteri nyaris hilang anak



AMPANG - Sepasang suami isteri menempuh detik mencemaskan apabila anak perempuan mereka yang ditinggalkan dalam kereta dilarikan seorang lelaki, di Taman Kosas, malam kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, suami isteri itu  dipercayai meninggalkan kanak-kanak itu dalam kereta Honda Accord kerana mahu mengambil seorang lagi anaknya yang berusia lima tahun di sebuah taska di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, saksi memberitahu melihat suspek keluar dari sebuah kereta Proton Waja dan masuk ke dalam kereta mangsa.

“Sebaik menerima laporan, kami cuba mengesan kenderaan itu melalui tiga telefon bimbit ditinggalkan mangsa dalam kereta itu,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota polis yang membuat rondaan di kawasan Sentul mendapati kereta itu ditinggalkan suspek di sebuah restoran di Jalan Genting Klang, Setapak.

“Kami mendapati anak mangsa berada dalam kereta, siasatan masih dijalankan ke atas kanak-kanak itu dan motif kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 342 Kanun Kesalahan.

Stor kilang proses tisu musnah dalam kebakaran



stor kilang proses tisu
Keadaan stor kilang proses tisu yang musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
KRUBONG - Tidur malam sepasang suami isteri terganggu apabila pintu pagar rumah mereka digegarkan jiran memaklumkan sebuah kilang dengan jarak tidak sampai 10 meter terbakar, awal pagi semalam.

Ajidah Bebbi Raja Hussain, 28, berkata, dia dan suaminya yang kemudian keluar terkejut melihat api di sebelah rumahnya sebelum bergegas menyelamatkan anak lelaki berusia setahun empat bulan yang sedang tidur jam 2 pagi.

Menurutnya, sejak itu dia dan suami tidak tidur hingga siang kerana bimbang keselamatan mereka tiga beranak yang tinggal di rumah teres di Taman Seri Krubong sejak lima bulan lalu.

“Sebelum itu, jiran kami ada bunyikan hon motosikal tetapi kami tidur semula selepas memikirkan mungkin tiada apa-apa berlaku namun apabila pintu pagar digegarkan, kami berdua segera keluar sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

“Saya segera mengambil anak lelaki saya lalu diserahkan kepada jiran untuk dijaga sementara saya dan suami menyelamatkan sijil nikah, surat beranak selain kereta dan motosikal yang berada di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 15 rumah berhampiran daripada hangus apabila sebuah stor kilang proses tisu musnah terbakar dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Krubong di sini.

Timbalan Penguasa Bomba negeri Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya juga berjaya menghalang api daripada merebak ke sebuah blok yang memproses tisu berharga RM1 juta ringgit.

“Sebanyak tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, Jalan Kubu, Ayer Keroh dan Tangga Batu dengan kekuatan anggota seramai 36 orang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 2.22 pagi sebelum jentera pertama tiba 13 minit kemudian.

“Api yang sudah marak ketika kami sampai bagaimanapun berjaya dikawal jam 2.44 pagi dengan bantuan air dari kolam dan pili bomba taman perumahan berhampiran,” katanya.

Kamarulzaman berkata, kilang tersebut tidak beroperasi ketika terbakar dan difahamkan terdapat 20 pekerja warga asing cuba memadamkan sendiri ketika api kecil namun tidak berjaya malah api semakin besar sebelum menghubungi pihak bomba

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian kilang yang telah berusia 26 tahun ini masih dalam siasatan dan kerja-kerja pemadaman api masih dijalankan sehingga jam 4.30 petang hari ini (semalam),” katanya.

Sijil halal tiga premis ditarik


Sijil halal tiga premis ditarik
Kakitangan Jaip membuka pelekat Halal di dapur hotel berkenaan.
KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menarik balik  sijil halal tiga premis berkaitan makanan di daerah ini kerana gagal mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa agama itu.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata,  premis terbabit ialah sebuah pusat sembelihan ayam di Kawasan Perindustrian Indera Mahkota, dapur restoran sebuah hotel di Cherating dan terbaru sebuah kilang memproses produk makanan di Kawasan Perindustrian Semambu.

Menurutnya, kilang mengeluarkan produk makanan seperti kicap dan cuka itu gagal mematuhi syarat pensijilan yang ditetapkan.

“Antara kesalahan yang ditemui pegawai pemeriksa ialah ketiadaan pekerja  Islam yang mencukupi di bahagian pengeluaran  penggunaan peralatan yang sinonim dengan minuman keras dan diharamkan di bahagian pengeluaran kilang,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Jaip sentiasa bertindak tegas bagi memastikan sijil halal yang yang diberikan tidak disalah gunakan sewenang-wenangnya.

“Malah pihak industri dinasihatkan tidak bersikap sambil lewa mematuhi syarat dan peraturan pensijilan halal dan tidak hanya dipatuhi ketika dalam tempoh  permohonan pemeriksaan sahaja.

Noridzuan juga mahu pihak industri peka dengan syarat dan standard pensijilan halal yang ditetapkan.

Katanya, lebih penting lagi, pihak pengurusan industri bertanggungjawab memastikan setiap pekerja di premis terutama di bahagian pengeluaran makanan memahami syarat dan peraturan yang berkaitan pensijilan halal.

Masalah akan timbul, katanya, jika dalam kalangan pekerja tidak peka syarat pensijilan halal dan melanggar garis panduan pihak berkuasa agama.

“Akibatnya sijil halal terpaksa ditarik balik dan sudah pasti akan memberi kesan kepada ekonomi mereka kerana menanggung kerugian,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, pihak berkenaan masih boleh memohon semula sijil halal dengan syarat perlu mengikut syarat yang ditetapkan seperti yang sudah termaktub dalam undang-undang Jaip.

Dua beranak rugi RM5,500



Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya
MARANG – Seorang pelajar kolej bersama bapanya yang singgah di Masjid Rusila di sini, untuk menunaikan solat Jumaat mengalami kerugian kira-kira RM5,500 apabila pelbagai barangan ditinggalkan di dalam kereta telah dikebas pencuri.

Mangsa meninggalkan sebuah beg mengandungi kamera jenis Nikon, ‘flash’ dan lensa berjenama serta komputer riba termasuk barang dan dokumen peribadi lain, di dalam kereta di parkir berdekatan sebuah pondok bas dekat masjid berkenaan.

Malangnya, selepas solat, mangsa bersama bapanya itu terkejut ketika membuka pintu kereta apabila mendapati beg diletakkan dalam kenderaan itu telah hilang dan apabila diperiksa, terdapat kesan kerosakan pada kunci luar di bahagian pemandu.

Mangsa yang mengesyaki kenderaan mereka telah dipecah masuk pencuri kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Marang kira-kira jam 3.30 petang hari sama.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan dan berkata, siasatan lanjut masih dilakukan dan polis kini giat memburu suspek terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam kenderaan,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau meminta pengguna jalan raya supaya tidak meninggalkan wang atau sebarang barang berharga dalam kenderaan kerana perbuatan seumpama itu akan menarik perhatian penjenayah untuk bertindak sedemikian.

Bekas suami tinggal hutang



GEMENCHEH – Seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Dua, di sini kini terpaksa menanggung bebanan hutang bekas suaminya sejak beberapa tahun lalu sehingga mencecah ratusan ribu ringgit selepas menjadi penjamin bagi dua aset bekas suami iaitu rumah teres dan kereta jenis Proton Iswara.

Ibu tunggal berkenaan, Rosnah (bukan nama sebenar) berkata, setelah berpisah dengan suami kira-kira 12 tahun lalu, dia mula mencari ikhtiar bekerja di Shah Alam sebagai kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi dan meninggalkan lima anaknya di Kampung Sungai Dua, di sini, bersama ibunya.

Menurutnya, dia terpaksa berkorban berjauhan dengan anak-anak yang sedang membesar apabila mengambil keputusan bekerja di bandar 10 tahun lalu dan memperoleh gaji asas sebanyak RM1,800.

“Mujur ada ibu yang sanggup membantu saya bagi membesarkan anak-anak termasuk soal perbelanjaan persekolahan anak-anak.

"Jika diikutkan ibu memang mendapat bantuan Bulanan Orang Tua (BOT) JKM sebanyak RM300 sebulan melalui keprihatinan wakil rakyat setempat, sementara saya pula tidak layak memohon bantuan persekolahan anak-anak memandangkan gaji saya melebihi syarat gaji yang layak memohon bantuan, " katanya.

Menurutnya, dia hanya mampu bertawakal sahaja, apa yang diharapkan ialah masa depan anak-anaknya yang mahu menyambung pelajaran terutamanya anak ketiga menjadi kenyataan.

Disebabkan terpaksa menanggung hutang bekas suami, Rosnah merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan bagi membantu menyelesaikan masalahnya di mana sejak tahun 2011, dia harus membayar sebanyak RM190 kepada pihak bank.

Rosnah juga tidak mampu untuk menyelesaikan hutang rumah teres yang sudah dilelong dan mempunyai baki bayaran melebihi RM200,000.

Menurutnya, jika dulu dia ada merujuk masalah hidupnya kepada pihak JKM di Shah Alam, Selangor, namun dinasihatkan untuk mencari bekas suaminya bagi membantu meneruskan hidup.

“Saya dan anak-anak tidak tahu yang mana bekas suami saya berada.  Oleh itu, saya yang berusaha mencari pendapatan sendiri dan akhir tahun lepas saya mendapat bantuan zakat bagi menambah pendapatan melalui ternakan kambing.

“Malah, tapak tanah rumah mak yang sudah diduduki sejak 1962 ini juga masih merupakan tanah kerajaan. Mujur, pihak Parlimen Tampin menghulurkan bantuan baik pulih rumah dengan menggantikan zink yang bocor dan papan mereput," katanya.

Sementara itu, anaknya Nurain (bukan nama sebenar) yang masih bersekolah berkata, kesusahan dan pengorbanan ibunya itu menjadi penguat semangatnya untuk lebih berjaya dalam pelajaran.

“Semasa di asrama, saya belajar bersungguh-sungguh dan apabila pulang bercuti di rumah, saya pasti akan membantu keluarga bagi mengurangkan beban.  Paling tidak saya akan membantu ibu menjaga kambing.

“Malah, saya juga gembira walaupun kami susah, saya masih mampu mendapat keputusan cemerlang," katanya.

Menurutnya, adiknya juga mengikut jejak langkahnya yang cemerlang dalam akademik dan ibunya menghantar adik bongsunya itu untuk tinggal di asrama.

“Oleh itu, saya harap sangat supaya ada pihak yang sudi membantu kami adik-beradik untuk mendapat peluang menyambung pelajaran dalam bidang yang kami minati, " katanya.

Salman Khan ke mahkamah



Salman Khan
Salman Khan
NEW DELHI - Lima pelakon Bollywood termasuk Salman Khan dibicara di Mahkamah India atas tuduhan membunuh dua rusa di Rajasthan, 14 tahun lalu, menurut laporan AP.

Peguam KL Vyas berkata, Salman didakwa menembak haiwan itu manakala, Saif Ali Khan dan Sonali Bendre serta dua yang lain didakwa bersubahat dalam kejadian itu.

Dibelasah kerana tegur remaja



25 Mac 2013
KUALA TERENGGANU - Gara-gara menghalang seorang remaja bermain sepak takraw berhampiran kawasan kediamannya, Ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Buluh, Kuala Berang, dibelasah dengan kayu, dalam satu kejadian di tepi jalan Kampung Buluh (Teluk Padang), Kuala Berang, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa, 37, dipukul dengan kayu selepas menegur suspek berusia 22 tahun agar tidak bermain sepak takraw di kawasan berkenaan.

“Pada awalnya, mangsa yang juga Pengerusi Belia Daerah Hulu Terengganu dan suspek hanya sekadar bertengkar mulut sebelum kejadian menjadi lebih serius apabila mangsa dikatakan menolak suspek.

“Tindakan agak keras mangsa itu telah mengundang perasaan tidak puas hati suspek, sebelum segera memanggil adiknya berusia 20 tahun dan berlaku pertengkaran di antara mereka bertiga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, dalam pertengkaran itu, suspek bertindak mengambil kayu dan memukul kepala mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala.

“Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan telah dimaklumkan berhubung pergaduhan itu dan segera ke lokasi kejadian sebelum membawa mangsa ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian, satu laporan dibuat di Balai Polis Kuala Berang sebelum kedua-dua beradik itu ditahan di kediaman mereka kira-kira jam 11 malam hari sama, serta dua batang kayu yang dipercayai digunakan memukul mangsa turut dirampas.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Pada masa sama, Manoharan menegaskan kejadian berkenaan tiada kaitan dengan unsur politik walaupun di antara mangsa dan kedua-dua suspek adalah penyokong parti berlainan

Isteri diculik adik angkat



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mac 2013
Isteri diculik adik angkat
Zulkhairi mendakwa isterinya, Suraya dilarikan Asyraf.
ALOR GAJAH - Gara-gara jatuh hati terhadap isteri orang, seorang remaja lelaki berusia 20 tahun tergamak menculik dan mengurung wanita terbabit yang baru habis pantang di sebuah rumah, di sekitar daerah ini, sejak minggu lalu.

Suami wanita terbabit, Zulhairi (bukan nama sebenar), 30, berkata, pada 16 Mac lalu sebaik terjaga dari tidur, dia terkejut menyedari isterinya, Suraya (bukan nama sebenar), 28,  tiada di sebelah dan sebuah beg juga hilang sebelum cuba mencarinya di kawasan sekitar.

“Saya lihat isteri sudah tiada, namun bayi kami yang berusia dua bulan masih tidur sebelum saya mengangkatnya dan terus keluar mencari isteri selama tiga hari berturut-turut.

“Selang dua hari kemudian saya dapat hubungi lelaki terbabit, dikenali sebagai Asyraf (bukan nama sebenar), 20, dan katanya, dia akan pulangkan isteri saya. Kemudian kami rancang untuk berjumpa berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, kira-kira jam 8 malam.

“Namun sebaik sahaja dia terpandang saya, dia terus memecut motosikalnya menghala ke Pulau Sebang dan kelihatan isteri saya membonceng motosikal itu.

“Saya tak tahu di mana isteri saya disembunyikan sekarang dan saya sangat bimbang sekiranya dia diapa-apakan lelaki terbabit yang bijak berpura-pura dan bermulut manis,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan laporan berkenaan dan kejadian dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Harimau masuk perangkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mac 2013
Harimau masuk perangkap
Orang ramai tidak lepaskan peluang melihat harimau dahan yang berjaya ditangkap selepas baham 10 kambing peneroka.
GUA MUSANG - Seekor harimau dahan jantan yang dikatakan membaham 10 ekor kambing milik seorang peneroka Tanah Rancangan Felda Perasu, dekat sini, sejak Selasa lalu berjaya ditangkap awal pagi semalam.

Harimau itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersebelahan kandang kambing milik peneroka terbabit dalam kawasan ladang sawit tanah rancangan itu sejak petang Rabu lalu.

Kejayaan menangkap seekor harimau itu disedari peneroka terbabit yang juga penternak kambing, Mat Zain Deraman, 53, ketika memasuki ladang berkenaan kira-kira jam 8 pagi untuk melihat perangkap dipasang itu.

Katanya, setiap pagi dia sering melihat perangkap berkenaan dengan mengumpan dua bangkai kambing yang mati di baham harimau terbabit.

“Saya percaya harimau memasuki perangkap yang dipasang itu antara jam 3 hingga 6 pagi tadi (semalam) kerana petang semalam (kelmarin) saya ada pergi melihat perangkap itu tetapi kosong,” katanya ketika ditemui di ladangnya pagi ini.

Mat Zain mengakui kerugian RM10,000 apabila 10 ekor kambing yang diternaknya di kawasan ladang berkenaan di baham harimau dahan itu pada dua malam berturut-turut termasuk malam Selasa dan Rabu lepas.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia segera meminta Jabatan Perhilitan Kelantan memasang perangkap kerana bimbang lima ekor kambing lagi akan turut dibaham jika tidak ditangkap secepat mungkin.

“Mujurlah harimau itu berjaya ditangkap jika tidak mungkin saya akan menanggung kerugian lagi kerana masih ada lima lagi kambing yang berada dalam kawasan ladang berkenaan,” katanya.

Katanya, kini dipercayai ada dua ekor lagi harimau yang berkeliaran dalam kawasan ladang sawit itu termasuk pasangan harimau dahan itu dan seekor lagi harimau kumbang.

“Peneroka bimbang untuk ke ladang bagi menjalankan pelbagai pekerjaan selagi dua ekor harimau itu tidak dapat ditangkap termasuk harimau kumbang yang pernah mencakar seorang buruh ladang asing warga Indonesia pertengahan bulan lalu hingga parah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani ketika dihubungi mengesahkan kejayaan pihaknya menangkap harimau dahan atau clouded leopard menerusi perangkap yang dipasang.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mengesahkan haiwan yang ditangkap itu pernah membaham kambing peneroka tanah rancangan terbabit kerana kebiasaan harimau dahan itu tidak berkelakuan demikian.

“Harimau dahan itu bersaiz kecil sahaja dan sentiasa aktif. Saya tidak boleh mengesahkan harimau itu membaham kambing peneroka tersebut atau tidak.

“Harimau dahan ini sudah dihantar ke Taman Negara dan kami ingin memaklumkan, jika terdapat kesan-kesan baru, peneroka atau penduduk kampung perlu segera memaklumkan kepada Perhilitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, perangkap baru akan dipasang sekiranya masih terdapat gangguan harimau di kawasan berkenaan.

“Jika gangguan harimau muncul lagi, penduduk kampung perlu segera memaklumkan kepada Perhilitan dan mereka diminta tidak menembak atau bertindak sendiri ke atasnya,” katanya.

Empat termasuk tiga beranak maut lori terjunam ke dalam gaung



26 Mac 2013
BELURAN - Empat orang, termasuk seorang bapa dan dua anaknya, maut selepas lori yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung  sedalam 60 meter di Kilometer 169 Jalan Beluran-Paitan berhampiran Kampung Salan semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata kesemua mangsa yang mati di tempat kejadian ialah Lu Chai Lee Chau, 57, dua  anaknya David Lee Lu Chai, 27, Donny Lee Lu Chai, 28, serta pemandu lori, Samsul Amir, 27.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam, lori itu dalam perjalanan dari sini membawa muatan benih kelapa sawit untuk dihantar di Kampung Melapi Sugut, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ketika menuruni bukit di jalan tersebut, lori itu terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung, katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat. - Bernama

2 buruh ditahan bersama 100 botol heroin, sindiket dadah lumpuh




24 Mac 2013
KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar tahun ini di sekitar Kuala Terengganu dan Dungun.

Ia ekoran tertangkapnya dua buruh tempatan di Kampung Bukit Tunggal, di sini pada Rabu lalu dan merampas serbuk putih yang diisi di dalam 100 botol dipercayai dadah jenis heroin bernilai RM55,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Md Tahir Kasim berkata ketika serbuan dilakukan kira-kira 11.00 pagi itu, terdapat dua suspek di dalam kediaman berkenaan.

Katanya pihak polis terpaksa memecah pintu rumah berkenaan untuk membuat penahanan berikutan suspek enggan memberikan kerjasama dan berlaku pergelutan ketika tangkapan dilakukan.

"Menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun tindakan pantas pihak polis berjaya menahan kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 24 dan 35 tahun itu daripada meloloskan diri.

"Hasil siasatan lanjut, pihak polis menemui 100 botol heroin yang diletakkan di dalam plastik di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya dadah seberat kira-kira 420 gram itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk edaran di dua daerah tersebut.

Md Tahir berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Kuala Terengganu ini dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran sejak tiga bulan yang lalu.

Malah dipercayai dua sahabat ini menjadikan kediaman suspek utama yang berusia 24 tahun untuk tujuan pengedaran dan sebagai tempat untuk transit dadah.

"Suspek utama ini mempuyai dua rekod jenayah berhubung kes dadah dan kini kami masih giat mengesan harta kedua-dua suspek ini untuk disita," katanya.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 27 Mac untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Tergamam terima panggilan kebakaran



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mac 2013
Nur Jazlan
Nur Jazlan (kanan) melawat rumah Yusof termasuk menghulurkan bantuan.
JOHOR BAHRU – “Saya tergamam apabila menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan kediaman saya terbakar, saya dan isteri bergegas pulang kerana ketika itu saya teringat kesemua anak kami berada di rumah,” kata mangsa kebakaran, Yusof Din, 36.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang Khamis lalu, Yusof dan isterinya Salehah Abdul Rahman, 35, menjalani kursus umrah di surau yang terletak kira-kira satu kilometer daripada rumahnya.

“Ketika sampai di rumah, saya cuba untuk masuk tetapi dihalang. Namun apabila terlihat anak bongsu selamat, saya baru teringat sebelum keluar, kami telah menghantarnya ke rumah jiran manakala tiga yang lain berada di sekolah.

“Disebabkan terlalu panik menyebabkan saya terlupa tiada siapa di rumah kerana sebelum ini, jika saya dan isteri keluar, anak sulung kami akan menjaga adik-adiknya.

"Walaupun sedih melihat rumah terbakar, namun saya bersyukur keluarga saya selamat,” katanya yang menetap di tingkat enam Blok F, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, di sini, malam kelmarin.

Yusof yang dijadualkan menunaikan umrah bulan depan menganggap kejadian terbabit adalah ujian buatnya sekeluarga dan berterima kasih kepada jiran yang membantu memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

Akibat kejadian itu, Yusof kerugian kira-kira RM17,000 dan kini menumpang di rumah jiran sementara rumahnya diperbaiki.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Rodzuan Ahmad, 42, berkata dia terdengar bunyi letupan dari rumah Yusof seterusnya ternampak asap tebal.
“Saya dan beberapa jiran mengambil keputusan mengumpil jeriji dan memecahkan pintu utama rumah Yusof, manakala yang lain turut membantu mengambil air untuk memadamkan api daripada terus merebak. Dalam masa 15 minit api berjaya dipadamkan," katanya.

Menurutnya, kebakaran bermula daripada bahagian dapur Yusof, bagaimanapun sedang menunggu laporan forensik pihak bomba bagi mengetahui punca sebenar.

Ahli Parlimen Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed turut melawat keluarga mangsa selain turut menyampaikan sumbangan peribadi dan barangan keperluan harian.

Beliau juga berharap Jabatan Perumahan Johor yang menguruskan perumahan terbabit akan memperbaiki kediaman Yusof dengan segera.

SPRM cekup pengurus cuba rasuah



Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus syarikat kerana dipercayai cuba memberi suapan kepada pegawai PUSPAKOM Sdn Bhd bagi meluluskan kereta import bercermin gelap.

Pengurus syarikat kereta terpakai berusia 38 tahun itu ditahan di PUSPAKOM Seberang Perai kira-kira jam 1 tengah hari Jumaat lalu.
Menurut sumber SPRM, pengurus terbabit dibawa ke SPRM Seberang Perai untuk diambil keterangan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana cuba merasuah. Dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000. Pihak siasatan sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dikemukakan ke pejabat timbalan pendakwa raya,” katanya, di sini, semalam.

Dalam kes berasingan di Kuching, tiga orang awam termasuk ahli perniagaan ditahan Jumaat lalu dipercayai memberi suapan kepada polis sebagai balasan tidak ditahan atas kesalahan jenayah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kes tangkapan terbabit.

Dua suspek edar 420g heroin ditahan



Kuala Terengganu: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah bersama 420 gram heroin di rumah di Kampung Bukit Tunggal, di sini.

Mereka ditahan dalam serbuan Rabu lalu oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 11 malam.
Ketua JSJN negeri, Superintendan Md Tahir Kasim, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam.

Katanya, ketika serbuan, dua suspek enggan membuka pintu rumah, sebaliknya cuba melarikan diri menyebabkan polis menendang pintu untuk masuk dan berlaku pergelutan.

Serbuk putih dalam 100 botol

“Polis menemui satu bungkusan plastik dan di dalam ada 100 botol mengandungi serbuk putih dipercayai dadah di dalam bilik rumah berkenaan.

“Nilai 420 gram heroin yang dirampas itu dianggarkan RM55,000,” katanya pada sidang media di Bilik Media IPK Terengganu, di sini, semalam.
Md Tahir berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 35 tahun itu berasal dari Kuala Terengganu dan hasil ujian air kencing mereka juga didapati positif dadah.

Katanya, polis juga mendapati suspek berusia 35 tahun itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Dua suspek terbabit direman hingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Duit loteri RM3 juta dikaut adik



Klang: Seorang suri rumah yang memenangi wang loteri RM3 juta November tahun lalu kempunan apabila semua wang itu dikaut adik perempuannya.

Tindakan itu berlaku selepas adik perempuannya yang berusia 42 tahun, mengetahui tempat kakaknya menyorokkan tiket loteri terbabit.
Sumber berkata, mangsa yang berusia 45 tahun itu hanya menyedari tindakan adik perempuannya itu selepas dia dan keluarga pulang bercuti dari Genting Highlands hujung November lalu.

“Mangsa dan adiknya pergi bercuti ke Genting Highlands dan mangsa bercerita kepada keluarganya dia memenangi RM3 juta. Sehari selepas itu, adik perempuannya mahu pulang kononnya ada urusan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa yang pelik terhadap tindakan adiknya itu, mangsa membenarkan adiknya pulang, manakala dia dan keluarga hanya kembali ke rumah sehari kemudian.

“Sebaik tiba di rumahnya di Batu Belah, di sini, mangsa terkejut selepas mendapati tiket loteri yang diletakkan di dalam almari sudah hilang,” katanya.

Syak adik perempuan
Sumber berkata, mangsa mengesyaki adik perempuannya menikmati hasil kemenangan.

Katanya, selepas mengetahui kejadian itu, mangsa kemudian berbincang dengan adiknya dengan harapan wang kemenangan itu dikongsi sama rata, namun adiknya tetap berdegil dan mengaut keuntungan seorang diri.

“Mangsa yang berang kerana gagal memujuk adiknya, membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Klang,” katanya.

Potong zakar sendiri, bapa



 
Foto
Mangsa yang putus kemaluan akibat dikerat oleh anaknya mendapat rawatan di Hospital Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut, semalam.

Foto
Suspek turut dirawat hospital sama.

Lelaki dakwa utusan Allah serang bapa sedang tidur

Dungun: Seorang anak seperti dirasuk hantu apabila bertindak menghentak kepala dan muka ke lantai kayu serta memijak badan sebelum memotong kemaluan bapanya, di Ketengah Jaya, dekat sini, semalam.

Dia kemudian memotong kemaluannya sendiri dalam kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi itu di rumah bapanya. Dua beranak itu dikejarkan ke Hospital Dungun.
Bapa yang berusia 66 tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal manakala anaknya yang bekerja di kilang di Balakong, Selangor sebagai penyelia berusia 40 tahun, dalam keadaan stabil.


Sedang tidur

Isteri mangsa yang juga ibu kepada penyelia itu yang ingin dikenali sebagai Semah, 66, berkata, ketika kejadian dia dan suaminya sedang tidur di dalam bilik manakala anaknya itu yang belum tidur berada di ruang tamu.

Katanya, dia kemudian tersedar apabila terdengar suaminya bangkit dari tidur untuk ke bilik air dan selepas itu lelap semula sebelum dikejutkan bunyi bising di dalam biliknya dan mendapati anaknya sedang memukul bapanya.
“Saya terkejut melihat anak saya menghentak kepala dan muka ayahnya bertalu-talu ke lantai dan memijak badan sebelum keluar dari bilik tidur saya.

“Anak saya itu kemudian masuk semula ke dalam bilik dengan membawa sebilah pisau lalu menyelak kain sarung yang dipakai bapanya dan bertindak memotong kemaluan suami saya hingga putus.


Mengucap sambil berdoa

“Sejurus kemudian anak saya pula bertindak memotong kemaluannya hingga putus dan saya tidak mampu menghalang perbuatannya kecuali mengucap sambil berdoa agar umur suami dipanjangkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun.

50 GRO ditahan di pusat karaoke




PEGAWAI Jabatan Imigresen memeriksa dokumen GRO yang ditahan di Taman Pelangi, Johor Bahru malam kelmarin.


JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan seramai 50 pegawai khidmat pelanggan (GRO) warga asing yang bekerja di sebuah pusat karaoke di Taman Pelangi di sini malam kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, GRO yang berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, mereka yang ditahan dalam operasi pada pukul 11.30 malam itu terdiri daripada 29 warga Vietnam, China (12) dan Filipina (9).
Katanya, seorang lelaki Indonesia berusia 30-an dipercayai kakitangan premis itu turut ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
"Tangkapan GRO ini merupakan kejayaan kedua terbesar negeri ini tahun ini selepas 57 GRO ditangkap pada operasi Januari lalu," katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm#ixzz2OVj5ZhQK 
Hakcipta terpelihara 

Bekas pekerja jadi dalang penculikan



KUALA LUMPUR - Pengusaha ikan sangkar, Pang Chong Phong yang dibebaskan selepas 17 bulan menjadi mangsa culik oleh kumpulan Abu Sayyaf tidak menyangka kejadian itu didalangi bekas pekerjanya sendiri.
Menurut Chong Pong, 49, dia mengetahui perkara itu selepas pihak berkuasa menahan seorang lelaki Filipina berusia lingkungan 20-an tidak lama setelah dia diculik.
"Saya tidak sangka dia tergamak melakukan perkara ini. Ini bukan kali pertama saya pergi ke Sitangkai (selatan Filipina) untuk melakukan urus niaga berkaitan ikan.
"Saya tidak pernah terfikir akan menjadi mangsa culik (Abu Sayyaf) kerana mereka tinggal di Pulau Jolo dan lokasinya jauh dari Sitangkai," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Cerita lelaki yang berasal dari Kuching, Sarawak itu, ketika diculik pada pukul 9.30 pagi, 5 Oktober 2011, bekas pekerjanya turut berada di lokasi sama namun tidak berbuat apa-apa kerana kejadian itu berlaku kurang dari 10 saat sebelum dia dibawa lari menaiki bot laju ke Pulau Jolo.
Chong Phong memberitahu, sepanjang berada di dalam bot tersebut dia telah pengsan hampir sembilan jam kerana terlalu letih akibat cuaca panas selain sakit selepas diseret.
"Sewaktu ditarik saya sudah dapat mengagak mereka (penculik) orang yang tidak baik tetapi tidak sangka akan dijadikan tebusan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm#ixzz2OVixQDd9 
Hakcipta terpelihara 

Potong zakar bapa, diri sendiri




BAPA suspek yang cedera dibawa ke HSNZ, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajari menerusi internet, seorang anak sanggup memotong kemaluan bapanya sebelum bertindak memotong kemaluannya sendiri di Ketengah Jaya, Dungun di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di ibu negara sebelum itu telah memaksa abang iparnya memotong kemaluan sendiri namun lelaki tersebut berjaya melarikan diri.
Suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian selepas mempercayai ia sebagai persediaan menghadapi kiamat yang kononnya akan berlaku pada Jumaat ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan (gambar) berkata, suspek yang menetap di Balakong, Selangor pulang bercuti bersama keluarganya di kampung sejak minggu lepas.
Namun, selepas lima hari bercuti di kampung, suspek mengambil keputusan menghubungi ahli keluarganya yang lain untuk berkumpul di rumah tersebut bagi menyampaikan ‘amanat’ yang mustahak.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2OVinOWJR 
Hakcipta terpelihara 

Disamun lima lelaki di lebuh raya



25/03/2013 1:21am

SEPANG - Seorang pengusaha sarang burung berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya dilanggar dari arah belakang sebelum dipukul dan disamun sekumpulan lima lelaki di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berdekatan hentian rehat Dengkil di sini hari ini.
Kejadian pukul 4.30 pagi itu menyebabkan mangsa yang memandu kereta Mercedes Roster terpaksa menerima tujuh jahitan di kepala selain bengkak mata kiri.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Menurut sumber, mangsa dipukul dengan kayu setelah diheret masuk ke dalam kereta Toyota Unser berwarna coklat yang dipandu suspek sebelum dicampak keluar sejam kemudian di kawasan Pulau Carey, Banting.
Mangsa yang menerima bantuan daripada orang ramai kemudian di bawa ke Hospital Klang untuk mendapatkan rawatan. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_04.htm#ixzz2OViUULEY 
Hakcipta terpelihara 

Wanita culik bayi bekas suami



PETALING JAYA - Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan dipercayai diculik bekas isteri kedua bapa bayi berkenaan selepas dilarikan di tepi jalan berhampiran Blok K7 Apartmen Meranti, Bandar Sri Damansara di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, bayi itu yang didukung ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Norhayati, 25, telah dirampas selepas suspek menumbuk matanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bapa bayi berkenaan pernah menerima panggilan telefon daripada bekas isteri keduanya yang mengugut mahu mengambil anak lelakinya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2OVhT3Fyc 
Hakcipta terpelihara 

Dua bersaudara ditemui lemas



MERSING - Dua bersaudara ditemui mati lemas setelah terjatuh ketika memancing di sebatang sungai dalam sebuah kebun kelapa sawit Felda Tenggaroh 5, Tenggaroh di sini petang kelmarin.
Mayat Mohd. Ikhwan Jefri, 15, ditemui terapung tidak berapa lama selepas dia terjatuh pada pukul 6 petang sementara mayat sepupunya, Mohd. Suhazri Abdullah, 9, ditemui pukul 11 malam tidak jauh dari situ.
Menurut saksi yang juga saudara kedua-dua mangsa, Mohd. Fazli Ikmal, 15, kejadian berlaku ketika mereka bertiga memancing di sungai tersebut yang terletak 200 meter dari rumah masing-masing.
"Ketika kami memancing, Suhazri tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.
"Melihat keadaan itu, Ikhwan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Suhazri," katanya ketika ditemui semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2OVhKuGdm 
Hakcipta terpelihara 

Kematian pengkritik pentadbiran Kremlin disiasat



LONDON - Sekumpulan pakar daripada agensi kimia, biologikal, radiologikal dan nuklear (CBRN) telah dihantar untuk menyiasat kematian seorang warga Rusia yang hidup dalam buangan, Boris Berezovsky.
"Pegawai-pegawai berpengalaman kini berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan punca kematian mangsa," jelas satu kenyataan polis Thames Valley.
Berezovsky, 67, ditemui mati di kediamannya di Ascot pada petang kelmarin. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan terkenal Rusia dan sering mengkritik Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Peguamnya memberitahu Berezovsky berada dalam keadaan tertekan akibat hutang yang ditanggungnya dan anak guamnya itu mungkin membunuh diri.
Namun, pihak polis telah menutup jalan-jalan di sekitar kawasan terbabit dan menyiasat kematian yang disifatkan sebagai 'masih tidak dapat dijelaskan' itu.
Berezovsky ialah rakan kepada seorang lagi warga Rusia yang hidup dalam buangan, Alexander Litvinenko yang mati akibat keracunan radioaktif di London pada tahun 2006.
Superintendan polis, Stuart Greenfield menegaskan polis akan mengambil semua langkah sewajarnya bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan. - AFP