Search This Blog

Sunday, March 24, 2013

Peniaga rugi RM4,000, beg tangan dilarikan 'suami isteri'



KOTA MARUDU 24 Mac - Lagak mereka masuk ke kedai seperti suami isteri sambil membawa anak kecil. Rupa-rupanya kehadiran mereka untuk mencuri.
Helah pasangan penyamun itu berjaya menyakinkan seorang pemilik kedai barangan pengantin agar tidak curiga terhadap kehadiran seorang lelaki bersama seorang wanita dan kanak-kanak yang melarikan beg tangan miliknya semasa mereka berkunjung ke premis perniagaannya di Pekan Baru Pitas dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM4,000 setelah wang tunai dan barang kemas disimpan dalam beg tangan itu dilarikan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Isa Yusof berkata, mangsa berusia 40-an menyedari kehadiran seorang lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak lelaki mengunjungi kedainya tetapi tidak berprasangka buruk dan mengesyaki sebarang perbuatan mencurigakan.
"Mangsa hanya menyedari beg tangannya yang mengandungi cincin, kalung, wang tunai dan dokumen penting telah hilang semasa hendak menutup kedainya dan mengesyaki kejadian kecurian itu dilakukan oleh suspek-suspek berkenaan," katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis dan siasatan awal menemui telefon bimbit dipercayai milik suspek di kedai mangsa. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130324/je_04/Peniaga-rugi-RM4000-beg-tangan-dilarikan-suami-isteri#ixzz2OTB5qGM8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Harimau baham haiwan peneroka masuk perangkap



GUA MUSANG: Seekor harimau kumbang jantan yang dipercayai membaham 10 ekor kambing milik seorang peneroka di Tanah Rancangan Felda Perasu, di sini akhirnya ditangkap hari ini.

Harimau itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersebelahan kandang kambing milik peneroka itu yang terletak dalam kawasan ladang sawit tanah rancangan itu.


Peneroka berkenaan Mat Zain Deraman, 53, berkata beliau menyedari haiwan itu memasuki perangkap ketika mahu memeriksa perangkap di ladang tersebut pada kira-kira 8 pagi.

"Saya percaya harimau memasuki perangkap yang dipasang itu antara 3 hingga 6 pagi ini kerana petang kelmarin apabila saya pergi melihatnya belum ada apa-apa lagi," katanya ketika ditemui di ladangnya itu.


Katanya beliau akan membuat pemantauan terhadap perangkap itu setiap hari dengan mengumpan dua bangkai kambing yang mati dibaham harimau itu sejak kejadian Selasa lepas

Pekerja kilang mati ngeri, motosikal bertembung treler



LEDANG 24 Mac - Seorang pekerja kilang mati dalam keadaan mengerikan dengan mukanya pecah setelah motosikal ditunggang merempuh sebuah treler di Kilometer 24, Jalan Muar-Segamat di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 petang, semasa mangsa, Haris Harun, 48, yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Tangkak di sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jasin, Melaka selepas habis syif bekerja.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal menyebabkan kenderaan itu terbabas memasuki laluan kanan jalan lalu bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.
"Mangsa yang tercampak di atas jalan maut akibat mengalami cedera parah manakala motosikalnya remuk teruk.
"Pemandu treler berusia dalam lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang bagi membantu siasatan. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130324/je_06/Pekerja-kilang-mati-ngeri-motosikal-bertembung-treler#ixzz2OT8cLE97
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ajal seorang penyamun



Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dipercayai memecah masuk rumah seorang lelaki warga Pakistan maut akibat terjatuh dari tingkat dua selepas menyedari kehadiran polis, pagi semalam.

Difahamkan, lelaki terbabit parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan tetapi disahkan meninggal dunia.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi sebaik mangsa pulang ke rumahnya di Jalan Raja Laut di sini.

“Sebaik tiba di rumah, mangsa mendapati pintu terbuka dan melihat seorang lelaki tidak dikenali sedang menggeledah rumahnya.


“Berlaku pergelutan dan pertengkaran ketika mangsa cuba menghalang tindakan suspek yang dipercayai mahu melarikan barang berharga,” katanya semalam.


Menurutnya, suspek kemudian menyerang tuan rumah dengan pisau menyebabkannya mengalami kecederaan tetapi sempat mengunci penjenayah itu di dalam rumahnya.

“Mangsa menghubungi polis sebelum sepasukan unit peronda tiba. Suspek yang terkejut mendengar bunyi siren bertindak terjun dari tingkat dua rumah itu menyebabkan dia cedera parah di kepala,” katanya.

Transit penyeludup



Kuala Lumpur: Selain Kampung Simunul dan Kampung Bangau-Bangau, Pulau Bum Bum terkenal di daerah Semporna sebagai sarang jenayah kerana dijadikan transit kumpulan penyeludup ketika berulang alik dari selatan Filipina ke kampung berkenaan.

Penduduk, Jasni, 50-an, berkata, sebuah perkampungan di pulau itu didiami pendatang haram Filipina yang menjadi persinggahan penyeludup.


Katanya, dia sering melihat bot laju dengan enjin berkuasa tinggi memasuki kampung itu membawa barang seludup ke Semporna.

“Saya pasti mereka membawa barang seludup ke Kampung Simunul dan Kampung Bangau-Bangau sebab semua orang di daerah ini tahu lokasi itu sarang penjenayah.


“Perkampungan haram pendatang dari Filipina di pulau ini asalnya kecil, tapi sekarang semakin besar. Mereka juga menetap di kawasan darat pulau ini untuk menanam ubi kayu dan sayuran,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.


Bercerita mengenai aktiviti penyeludupan di situ, Jasni berkata, penyeludup menggunakan bot laju dipanggil ‘tempel’ dan menggunakan dua hingga tiga enjin berkuasa 200 kuasa kuda.

“Biasanya, orang yang menjadi ketua penyeludup dipanggil ‘tikong’ dan bertanggungjawab menjalankan urus niaga dengan individu yang membeli barangan seludup mereka,” katanya.

Pasangan kekasih curi motor



Kuala Terengganu: Sepasang kekasih, licik menjalankan kegiatan curi motosikal dengan menjadikan kawasan surau dan masjid sebagai lokasi sasaran.

Sebelum melakukan jenayah itu, si lelaki akan menggunakan helah kononnya baru selesai mengerjakan solat apabila keluar dari surau atau masjid bagi mengelirukan orang ramai, sementara teman wanitanya menunggu di atas motosikal dinaiki mereka.


Taktik pasangan penjenayah berusia lingkungan 20-an itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai runcit ketika mereka melarikan sebuah Honda EX5 nombor pendaftaran WMW 5747 milik seorang jemaah yang menunaikan solat Maghrib di Surau Pak Wan Dollah, Kampung Gong Kemunting, berhampiran pasar raya Mydin Kuala Ibai, Khamis lalu.

Kehilangan kenderaan itu disedari mangsa yang juga jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Terengganu, Aswadi Alias sebaik keluar dari surau yang terletak 200 meter dari rumahnya selepas selesai menunaikan solat, jam 7.30 malam.


Rakaman CCTV itu menunjukkan aksi seorang lelaki menunggang motosikal Honda EX5 bersama seorang gadis bertudung memberhentikan kenderaan di depan surau.


Sebaik berhenti, lelaki terbabit menanggalkan topi keledar dan meletakkannya di atas tembok surau berhampiran motosikal mangsa sebelum masuk ke surau.

Beberapa minit kemudian, lelaki yang kononnya baru selesai menunaikan solat dilihat keluar dari pekarangan surau sambil diperhatikan teman wanitanya yang menunggu di atas motosikal.


Lelaki berambut lurus terbabit kemudian memakai semula topi keledar yang diletakkan di atas tembok surau sebelum menghampiri motosikal mangsa.

Dalam tempoh tidak sampai satu minit, dia berjaya membuka kunci motosikal menggunakan peralatan khas sebelum beredar dari situ bersama pasangan.


Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, jam 12.55 tengah malam kelmarin.

Polis sukar dapat bukti



Kuala Lumpur: “Pemantauan sentiasa dilakukan terhadap kelab terbabit, namun sukar mendapat bukti kegiatan menari sangkar itu wujud disebabkan ia dilakukan bukan pada waktu tetap.

“Berdasarkan maklumat diberikan Metro Ahad, kami akan melakukan operasi dalam waktu terdekat bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini,” kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhamad Azlee Abdullah.


Menurut Azlee, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di semua kelab malam di kawasan itu, namun pemilik kelab sungguh licik dengan mengubah pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya sentiasa mengharapkan maklumat orang ramai bagi membolehkan kegiatan yang menyalahi undang-undang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dapat diambil tindakan sewajarnya.

45 maut terbakar



Bangkok: Lebih 40 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam kebakaran di khemah pelarian di utara Thailand, kata pihak berkuasa Thailand semalam.

Jurucakap pasukan penyelamat berkata, ratusan khemah perlindungan untuk pelarian Myanmar musnah dalam kejadian di Mae Surin di wilayah Mae Hong Son itu.


Katanya, sebahagian besar mangsa maut adalah wanita, kanak-kanak dan warga tua.

Gabenor Mae Hong Son, Narumol Paravat berkata, jumlah kematian setakat tengah hari semalam 45 orang. “Ia mungkin meningkat kerana operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan,” katanya. Kebakaran malam kelmarin itu dipercayai berpunca daripada api yang menyambar khemah itu ketika pelarian memasak.


Keadaan cuaca panas, kering dan angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat membakar khemah diperbuat daripada buluh itu. Polis semalam berkata, kira-kira 400 khemah perlindungan rentung, manakala Biro Pencegah Bencana berkata, sekolah dan klinik serta dua gudang makanan turut musnah.


Kerajaan Thai mengarahkan siasatan segera dibuat berikutan kejadian kebakaran itu yang menempatkan secara kasar 3,700 pelarian. Terdapat 10 khemah di sempadan Thailand-Myanmar yang menjadi tempat perlindungan kira-kira 130,000 pelarian yang mula-mula tiba di situ pada 1980-an.

Kebanyakan pelarian berasal dari Karen, negeri di timur Myanmar yang menjadi kubu kuat pemberontak Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU). - AFP

Puting beliung ragut 20 nyawa



Dhaka: Puting beliung melanda dua kampung di tenggara Dhaka dan membunuh sekurang-kurangnya 20 orang, menerbangkan bumbung kediaman, menyebabkan pokok tumbang dan tiang elektrik tercabut, kata pihak berkuasa.

Jumlah kematian mungkin meningkat berikutan lebih 300 penduduk turut cedera apabila puting beliung melanda daerah Brahmanbaria, lebih 100 kilometer di tenggara Dhaka petang kelmarin.


Lebih 500 kediaman rosak teruk. Penyelamat dikejarkan ke kawasan itu tetapi pokok tumbang dan kenderaan yang musnah menghalang laluan dan landasan kereta api. Antara bangunan rosak ialah penjara Brahmanbaria dengan sebahagian bangunannya runtuh menyebabkan seorang pengawal penjara terkorban. Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, semua tahanan masih berada di penjara dan dalam keadaan selamat.

Penduduk, Mohammad Nizam memberitahu media, semua hartanya musnah dan dia tinggal sehelai sepinggang. - REUTERS

Badwi culik pelancong



Kaherah: Sekumpulan kaum Badwi menculik dua pelancong asing membabitkan lelaki Israel dan wanita Norway di Semenanjung Sinai, semalam.
Jurucakap polis berkata, mangsa diculik kumpulan bersenjata itu ketika mereka dalam perjalanan dari Taba ke Dahab.

Kedua-dua bandar itu adalah destinasi pelancongan popular di Mesir. Menurut jurucakap polis, enam lelaki bersenjata menahan kenderaan dinaiki pelancong terbabit dan memaksa mangsa menaiki trak mereka. “Wanita Norway itu berusia 31 tahun,” katanya. Kes culik mula berlaku di Sinai selepas tercetus kebangkitan Arab pada awal 2011 yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak.
Sebelum ini, dua warga Britain turut diculik puak Badwi 7 Mac lalu dan dibebaskan beberapa jam kemudian selepas rundingan dengan pegawai keselamatan. Polis percaya, penculik mahu menukar tebusan dengan pembebasan beberapa tahanan dari puak itu. - AFP

Pemilik kereta dakwa jadi mangsa sindiket



Micheal Chong (tengah) bersama ahli persatuan pengedar kereta dan kredit persatuan syarikat Kuala Lumpur & Selangor, menunjukkan surat pelepasan dari kastam dan laporan polis dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
KUALA LUMPUR 21 Mac - Keliru dan terperanjat. Itulah situasi dialami oleh beberapa pemilik kenderaan apabila kereta yang dipandu mereka tiba-tiba ditahan dan disita oleh Jabatan Kastam Diraja (Kastam) atas alasan tidak menjelaskan duti kereta.
Rata-rata mangsa mendakwa tidak mengetahui bahawa kereta yang dibeli itu sebenarnya dibawa dari Langkawi untuk dijual di ibu negara, memandangkan harga yang ditawarkan di pulau tersebut jauh lebih murah kerana bebas duti.
Pemilik kenderaan mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan sindiket yang dianggotai oleh individu tertentu dalam beberapa agensi kerajaan dan syarikat pengedar kereta terpakai.
Mangsa hanya menyedari diperdayakan setelah kereta yang dibeli tiba-tiba disita setelah dua tahun menggunakannya.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas lebih 30 kes dilaporkan diterima oleh Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Pinjaman Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kereta terpakai yang dibeli oleh mangsa daripada pengedar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sehubungan itu, persatuan tersebut hari ini hadir ke pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Jalan Ampang di sini, meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat di sebalik sindiket tersebut.
Presidennya, Khoo Kah Jin berkata, tidak menjadi kesalahan jika pengedar mahu menjual kereta yang dibeli di Langkawi tetapi penukaran nombor pendaftaran dan proses dokumentasi yang lain perlu dijalankan mengikut prosedur.
"Ada di antara pengedar yang saya temui memberitahu bahawa mereka telah membuat dokumentasi mengikut prosedur seperti menjelaskan duti kereta kepada Kastam.
"Jika duti tidak dijelaskan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan meluluskan nombor pendaftaran tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, kereta telah pun diserahkan kepada pembeli tetapi selepas tempoh setahun hingga dua tahun, kereta tiba-tiba disita oleh Kastam atas alasan tidak menjelaskan duti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang mangsa yang dikenali sebagai Chong, 30-an berkata, kereta Honda Stream berharga RM140,000 yang dibeli dari sebuah pengedar kereta terpakai dua tahun lalu di Kajang telah disita oleh Kastam pada sambutan Tahun Baru Cina lalu.
"Saya amat terkejut kerana apa yang saya tahu, segala dokumen pembelian telah lengkap termasuklah pinjaman bulanan di bank juga diluluskan tetapi bagaimana kereta saya boleh disita dengan alasan duti kereta tidak dijelaskan," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, beliau telah meminta pihak berkaitan untuk menyiasat kes berkenaan kerana dipercayai wujud sindiket yang memanipulasi dokumen perjanjian pembelian kereta terpakai di antara pengedar, Kastam dan JPJ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130322/wk_02/Pemilik-kereta-dakwa-jadi-mangsa-sindiket#ixzz2OSz9cxtP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumlah mangsa puting beliung meningkat



DHAKA 24 Mac - Jumlah penduduk yang terkorban dalam bencana puting beliung yang memusnahkan 20 buah perkampungan di timur Bangladesh kini meningkat kepada 20 orang, manakala 200 yang lain cedera.
Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai kerajaan, Noor Mohammad, di sini semalam.
Laporan sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 10 maut, manakala media tempatan melaporkan kira-kira 500 cedera ketika puting beliung melanda daerah Brahmanbaria kelmarin.
Akhbar Prothom Alo melaporkan, puting beliung selama 15 minit itu memusnahkan banyak kediaman dan premis perniagaan, selain menumbangkan pokok serta tiang elektrik. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130324/lu_02/Jumlah-mangsa-puting-beliung-meningkat#ixzz2OSx79r1b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak maut letupan di kedai ais krim




23 Mac 2013
BANGKOK - Seorang budak maut manakala 14 yang lain cedera apabila sebiji bom meletup di depan kedai ais krim di pusat bandar Pattani, semalam.

Dipetik Bangkok Post, Gabenor Pattani, Pramuk Lamul mendakwa, bom seberat 5 kilogram itu disembunyikan di dalam bakul motosikal yang di parkir di hadapan kedai tersebut yang terletak di Suwanmongkol di daerah Muang.

“Mangsa, Nisofian Nisani, 9, mati di tempat kejadian manakala ibu mangsa, Waeleemoh Jehloh dan pemilik kedai itu Anan Yiamkamnuan antara yang cedera,” katanya.

Menurutnya, letupan itu menyebabkan 12 moto

20 maut konflik penganut Buddha-Muslim Myanmar



24 Mac 2013
YANGON – Sekumpulan sami Buddha bersama beberapa lain yang bersenjatakan pedang dan parang muncul di Meiktila, sebuah bandar tengah Myanmar, yang berhadapan dengan konflik sehingga membawa kepada kematian kira-kira 20 orang.

Menurut pegawai tempatan, ahli komuniti Buddha dan Islam di bandar Meiktila telah bertempur minggu lalu selepas pertikaian tercetus pertelingkahan antara pemilik kedai emas beragama Islam dan dua penjual beragama Buddha Rabu lalu, hingga meledakkan ketegangan kaum.

Susulan pemberontakan itu, beberapa rumah, sekolah dan masjid telah dibakar sehingga menyebabkan beribu-ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka selepas masalah mazhab sama berlaku dan membunuh puluhan orang di barat Myanmar tahun lepas.

Lewat malam Jumaat lalu, Presiden Thein Sein mengumumkan di televisyen bahawa empat negeri di rantau ini terjejas dan diletakkan di bawah keadaan darurat.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) turut menyatakan kebimbangan mengenai keganasan yang berlaku di bandar tepi tasik itu, kira-kira 100 kilometer dari selatan Mandalay.

Ahli Parlimen pembangkang untuk Meiktila, Win Htein berkata, angka maut akibat konflik di bandar tersebut telah meningkat kepada kira-kira 20 orang - kebanyakan mangsa adalah orang Islam di mana mayat-mayat mereka ditemui hangus mayat di tepi jalan.

"Saya tidak pernah melihat skala keganasan sebelum ini dalam hidup saya.

“Kejadian yang berlaku amat menyedihkan kerana masyarakat setempat sebelum ini hidup dengan aman,” katanya.

Sebelum ini, Myanmar bebas daripada penindasan tentera dan telah mengambil beberapa langkah penting ke arah demokrasi dalam tahun-tahun kebelakangan ini di bawah Presiden Thein Sein.

Namun, usaha itu telah dibelenggu oleh serangan keganasan etnik dan beberapa penganalisis mengatakan adalah kesan sampingan daripada perubahan iklim politik.

AJARAN SESAT : Anak potong kemaluan bapa sebelum potong kemaluan sendiri






24 Mac 2013
DUNGUN - Akibat terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajari menerusi internet, seorang anak sanggup memotong kemaluan bapanya sebelum bertindak memotong kemaluannya sendiri di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di ibu negara turut bertindak memaksa abang iparnya memotong kemaluan sendiri namun lelaki tersebut berjaya melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata, suspek yang menetap di Balakong, Selangor pada mulanya pulang untuk bercuti bersama keluarganya di kampung sejak minggu lepas.

Namun selepas lima hari bercuti di kampung, suspek mengambil keputusan menghubungi ahli keluarganya yang lain untuk berkumpul di rumah tersebut bagi menyampaikan 'amanat' yang mustahak.

"Ketika sebahagian ahli keluarga berkumpul sejak petang semalam, suspek mula berkongsi dan berceramah mengenai ajaran sesat yang dipelajarinya dengan mengatakan dunia akan kiamat pada Jumaat.

Bagaimanapun suspek tidak memberikan tarikh sebenar hari kiamat seperti yang didakwa berlaku.

"Suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan merotan dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas itu menangis untuk 'mengeluarkan semangat Imam Nawawi' daripada badan bapanya, namun gagal," kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Manoharan berkata setelah gagal membuatkan bapa menangis, suspek meminta sebilah pisau dari abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluannya sendiri.

Akibat kejadian itu, suspek dan mangsa yang berusia 67 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat mengalami pendarahan yang banyak.

Beliau berkata suspek dan mangsa kini masih berada dalam keadaan kritikal dan pihak hospital sedang berusaha untuk menyambung semula kemaluan dua beranak itu yang terputus.

"Justeru, kita percaya suspek terpengaruh dengan ilmu sesat yang dipelajari menerusi internet hasil siasatan yang dijalankan," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Sementara itu, isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi, 33, berkata suaminya mula menunjukkan perubahan sejak dua bulan lalu.

Namun beliau tidak mengsyaki sesuatu yang pelik dan hanya menyangka suaminya ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

"Suami telah balik ke kampung sejak lima hari lalu dan dia ada mengajak saya pulang namun saya kata tidak dapat pulang bersamanya kerana anak masih bersekolah.

"Saya tiba di kampung suami kira-kira pukul 5 pagi tadi dan terkejut ketika sampai ahli keluarga menyuruh segera ke Hospital Dungun sebelum mendapati suami dan ayah mertua saya cedera," katanya ketika ditemui di hospital. - Bernama

Kereta baru disimbah cat



Kereta baru disimbah cat
Tuck Foo (dua kiri) bersama Kon Yin (dua kanan) menunjukkan gambar kesan simbahan cat merah yang dilakukan dua lelaki bermotosikal pada pagi Selasa lalu.
Kereta baru disimbah cat
Keadaan kereta Proton Wira yang disimbah cat merah dalam kejadian Selasa lalu.
IPOH - Seorang pemandu teksi menerima kejutan apabila dua lelaki bermotosikal menyimbah cat merah ke atas kereta terpakai jenis Proton Wira yang baru sahaja dibelinya pada awal pagi, Selasa lalu.

Mangsa, Yim Tuck Foo, 47 berkata, dia baru membeli kereta terbabit sekitar dua bulan lalu dan sepanjang 17 tahun bekerja sebagai pemandu teksi, ini merupakan kejadian kedua berlaku ke atas kenderaan miliknya.

Menurutnya, sebelum ini teksi miliknya turut disimbah cat merah dalam kejadian yang berlaku pada jam 11 malam, 17 Mac lalu.

“Saya hairan kenapa rumah dan kenderaan saya menjadi sasaran sedangkan kami sekeluarga tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak,” katanya yang mengesyaki perbuatan itu dilakukan ceti haram atau ah long.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Tuck Foo sedang bersiap-siap untuk tidur sebelum terdengar bunyi motosikal berhenti di hadapan rumahnya di Pengkalan, di sini.

“Saya pergi ke tingkap dan melihat dua orang lelaki berada di hadapan pintu pagar. Salah seorang daripada mereka membaling sesuatu ke arah rumah.

“Dalam ketakutan saya sergah mereka dan kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri dalam sekelip mata. Semua berlaku dengan pantas menyebabkan saya tak sempat mencatat nombor plat motosikal yang dinaiki," katanya.

Menurut Tuck Foo, selepas kejadian itu, dia keluar untuk melihat keadaan rumah dan terkejut apabila melihat kereta yang baru dibeli disimbah cat merah.

Katanya, dinding rumahnya turut terkena tompokan cat yang disimbah dua lelaki terbabit dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Putih pada hari yang sama demi keselamatan keluarga.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan MCA dan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin berkata, sepucuk surat akan diutuskan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berhubung kejadian berkenaan.

"Saya akan minta bantuan ketua polis daerah Ipoh untuk menyiasat perkara ini dengan segera," katanya.

Cubaan seleweng diesel gagal



Cubaan seleweng diesel gagal
Norazmi (kanan) menunjukkan tangki minyak tambahan pada lori treler yang ditahan awal pagi, semalam.
PONTIAN - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor Cawangan Pontian mematahkan dua cubaan menyeleweng 8,300 liter diesel subsidi bernilai RM49,000 menerusi penahanan sebuah treler dan lori yang sudah diubah suai secara berasingan di Benut, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan pertama kelmarin, PPDNKK menahan sebuah lori muatan satu tan yang sedang mengisi minyak diesel subsidi di sebuah stesen minyak di sini.

Ketua PPDNKK Johor Cawangan Pontian, Norazmi Yacob berkata, empat pegawainya membuat serbuan dan menjumpai tangki tambahan di dalam lori terbabit yang mampu menyimpan kira-kira 5,000 liter minyak diesel.

“Ketika serbuan pemandu lori yang berusia 29 tahun sedang mengisi minyak ke dalam tangki minyak yang mempunyai saluran khas ke tangki tambahan yang terletak di bahagian atas.

“Berdasarkan kepada siasatan, kami percaya kegiatan penyelewengan minyak diesel ini telah lama dilakukan berdasarkan kepada tangki minyak tambahan dan dipercayai pemandu ini bertindak sebagai orang tengah kepada satu pihak yang lain.

“Lelaki tempatan ini telah ditahan bagi siasatan lanjut dan jumlah rampasan dianggarkan RM10,000,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Norazmi berkata, serbuan kedua pula dilakukan pihaknya sekitar 2.30 pagi semalam ke atas sebuah treler yang dalam perjalanan ke Pontian.

"Kenderaan berat terbabit ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berhampiran pekan Benut.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan tangki tambahan di dalam treler bertujuan menyimpan minyak diesel.

“Tangki itu dibina sama paras dengan dinding treler dan sekali pandang ia sama seperti treler-treler lain yang membawa pelbagai barang dagangan untuk ke kawasan selatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan treler itu menuju ke arah Johor Bahru dengan menggunakan jalan Pontian tanpa menggunakan lebuh raya.

“Tangki tambahan ini mampu mengisi sebanyak 5,000 liter minyak diesel bersubsidi. Pemandu lori treler berusia 26 tahun ditahan bagi siasatan lanjut dan nilai rampasan termasuk lori dianggarkan RM39,000.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pakaian dalam sasaran pencuri



Pakaian dalam sasaran pencuri
Seorang remaja berbadan gempal yang sering berkeliaran menunggang basikal dipercayai pernah ditangkap orang awam kerana mencuri seluar dalam wanita.
DUNGUN – Kes kehilangan pakaian dalam wanita yang diletakkan di jemuran yang menjadi kebimbangan penduduk berdekatan sejak belakangan ini dipercayai didalangi seorang remaja.

Suspek yang berusia lingkungan belasan tahun itu dikatakan sering berkeliaran di kawasan kediaman penduduk sambil mengintai peluang untuk mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di ampaian.

Kehilangan barang milik peribadi itu didedahkan seorang ibu berusia awal 20an apabila tiga pasang pakaian dalamnya yang dijemur di ampaian lesap.

Wanita yang bekerja sebagai eksekutif pentadbiran sebuah syarikat korporat di Kerteh itu memberitahu Sinar Harian, kehilangan pakaian sulit itu disedari ketika dia hendak mengangkat kain sebaik pulang dari tempat kerjanya.

“Ketika itu baru saya perasan seluar dalam dan coli saya hilang.

“Yang peliknya, dia ambil yang berjenama sahaja, yang lain ditinggalkan," kata wanita yang tinggal di kawasan perumahan Taman Rakyat Jaya itu.

Menurut ibu dua anak itu, kejadian berkenaan bukan pertama kali, sebaliknya ia merupakan kes ketiga.

Menurut wanita itu, kesemua pakaian dalam berkenaan berharga antara RM99 hingga RM150 sepasang dan dia difahamkan tidak membuat laporan polis kerana enggan kisahnya diketahui umum.

Sejak kes terbabit, wanita itu kini lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan pakaian dalam di ampaian ketika tiada di rumah.

Usaha Sinar Harian untuk menjejaki dalang disyaki berhasil apabila suspek berjaya dikesan ketika sedang merayau-rayau di kawasan penempatan penduduk dekat sini.

Suspek yang difahamkan tidak bersekolah dan mengalami masalah mental itu sebelum ini pernah ditangkap orang awam kerana dipercayai pernah mencuri seluar dalam wanita.

Suspek yang sering menunggang basikal berkeliaran di kawasan penempatan penduduk bagaimanapun dibebaskan setelah melihat keadaan fizikalnya selain tiada laporan polis dibuat berkaitan kes kehilangan seluar dalam dan coli wanita.

Lelaki dicekup selepas 2 jam merompak



Lelaki dicekup selepas 2 jam merompak
BMW milik seorang ahli perniagaan wanita yang dilarikan penjenayah sebelum ditemui semula kirakira dua jam selepas kejadian di Kampung Manek Urai Lama, dekat Kuala Krai.
Abdul Rahman Ja’apar
Abdul Rahman Ja’apar
KUALA KRAI - Tindakan pantas polis berjaya memberkas seorang pemuda berusia 23 tahun, kira-kira dua jam selepas lelaki terbabit melarikan sebuah kereta mewah di Jalan Halimah, Guchil, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi apabila penjenayah terbabit memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan wanita berusia 35 tahun dan melarikan kereta BMW milik mangsa.

Turut dilarikan wang tunai hampir RM5,000; lima telefon bimbit; lima cincin; komputer riba dan dokumen penting milik mangsa yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM300,000.

Suspek dipercayai memecah masuk rumah itu melalui pintu belakang dan menggeledah rumah mangsa sebelum menemui kunci kereta BMW.

Mangsa sedang tidur dikatakan tersedar apabila mendengar bunyi enjin kereta dihidupkan namun tidak sempat berbuat apa-apa sebelum penjenayah melarikan kenderaan itu.

Polis yang menerima laporan daripada mangsa sejurus kejadian melancarkan gerakan memburu penjenayah terbabit sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di Kampung Manek Urai Lama, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar mengesahkan kejadian dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun sama.

Misteri bau busuk terjawab

Jiran mengadu bau busuk
Polis terpaksa menggunakan alat khas untuk membuka pintu rumah mangsa kerana berkunci.
BENTONG - Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Taman Bumi Cemerlang, dekat sini, membawa penemuan mayat seorang lelaki kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata,  mangsa dikenali sebagai S Shamugan, 41, tinggal seorang diri dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya, berdasar-kan keadaan mangsa, dia dipercayai sudah mati sejak tiga hari lalu.

“Jiran mangsa dikatakan pelik dengan bau busuk yang datang dari rumah mangsa lalu membuat laporan polis.

“Polis bertindak membuka mangga pintu pagar dan pintu rumah mangsa menggunakan alat khas memandangkan rumahnya berkunci,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mayat mangsa ditemui di ruang tamu rumah.

Katanya, hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Bentong mendapati mangsa mati akibat serangan jantung.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan tiada kesan jenayah ke atas mangsa dan kediamannya,” katanya.

Muka kakak hancur ditetak adik

Adik tetak kakak
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong
Karang untuk dibedah siasat.



KUALA SELANGOR - Seorang wanita maut selepas cedera teruk akibat ditetak adiknya sendiri menggunakan parang panjang di sebuah tokong Cina di Bukit Rotan, di sini kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Mangsa, Lee Siew Eng, 52, yang mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan badan itu ditemui dalam keadaan mengerikan oleh seorang penjaga tokong, Chew Bon Hua, 52, yang kebetulan pulang ke kawasan tokong itu selepas selesai urusan luar.

Sinar Harian difahamkan, mangsa dipercayai cuba menyuruh adiknya keluar daripada kawasan tokong dan pulang ke rumah, bagaimanapun tindakan mangsa yang ditinggalkan seorang diri bersama suspek itu mengundang padah apabila mangsa ditetak kejam.

Sebelum kejadian kira-kira jam 4 petang, Bon Hua berkata, dia menemui mangsa untuk memaklumkan adiknya yang kurang siuman merayau-rayau di kawasan tokong dengan keadaan mencurigakan dan terus ke luar ke pekan untuk urusan kerja.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja saya pulang ke tokong, saya mendapati lampu dan pintu pagar terbuka dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila diteliti, saya terkejut apabila melihat mangsa terbaring dalam keadaan mengerikan apabila mukanya hancur akibat ditetak.

“Saya tidak menyangka tindakan lelaki dikenali sebagai Lee Thiam Whatt, 44, itu sanggup bertindak begitu agresif," katanya.

Bon Hua berkata, dia segera menghubungi polis dan menjerit meminta pertolongan penduduk berhampiran.

Lelaki terbabit difahamkan sudah melarikan diri ke kawasan kebun berhampiran tokong terbabit.

“Penduduk yang mengerumuni kawasan tokong tidak berani masuk dan hanya meninjau dari luar sahaja sementara menunggu polis datang,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad ketika dihubungi  mengesahkan  pihaknya mengesahkan menerima laporan terbabit dan selepas mendapat makluman orang awam berhubung insiden itu, anggotanya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak polis menemui mayat wanita yang cedera teruk sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian dan mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

“Polis bersama bantuan Unit K9 berjaya menangkap suspek yang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran tokong terbabit selepas empat jam operasi mengesan dilaksanakan dan suspek kini masih dalam tahanan reman," katanya.

Beliau berkata, polis juga masih menyiasat punca pergaduhan dan meneliti laporan kesihatan lampau yang menunjukkan suspek mengalami masalah mental.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terkejut lihat badan penuh kesan lebam dan gigitan



24 Mac 2013
Ibu dakwa bayi kena dera
Kesan lebam dan bengkak pada bahagian paha Asna Hafy. Gambar kecil: Asna Hafy terpaksa ditahan di wad berikutan kesan lebam di beberapa bahagian badan.
CHUKAI – “Saya terkejut lepas lihat badan anak dipenuhi kesan lebam dan bengkak ketika mahu memandikannya setelah ambilnya dari taska,” kata ibu bayi, Asna Hafy Ashraf, 18 bulan, yang dipercayai didera pengasuh.

Hana Mohammad, 26, yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Kerteh berkata, kesan itu dilihatnya pada Khamis lalu dan lebam yang sangat ketara pada bahagian belakang badan, pinggang, paha dan lengan anak tunggalnya itu.

“Pada hari itu, kira-kira jam 4 petang, suami saya ambil anak di taska dan ketika itu anak saya meraung. Apabila suami tanya kepada pengasuh, dia cakap anak baru bangun tidur, sebab itu menangis.

“Tetapi, selepas tiga jam kemudian, sewaktu saya mahu memandikan anak, saya terperanjat apabila tengok badan anak begitu. Jadi, saya segera menghubungi pengasuh, namun dua orang pengasuh di taska itu masing-masing tidak menjawab telefon seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada Sinar Harian.

Digigit kanak-kanak lain

Menurutnya, bagi mendapatkan penjelasan, dia cuba bertanya seorang daripada pengasuh di taska itu menerusi mesej dalam laman sosial Facebook, dan pengasuh terbabit menjelaskan kemungkinan bayinya itu digigit kanak-kanak lain.

“Dia juga memberitahu, pada hari itu, penyelia taska mereka berada di taska itu. Jadi kesemua empat pengasuh di taska itu sangat sibuk.

“Sebenarnya sehari sebelum itu, saya juga perasan lengan anak saya lebam seperti kesan gigit, tetapi apabila saya tanya kepada pengasuh, dia beritahu yang anak saya kena gigit oleh kawannya. Jadi saya abaikan sahaja perkara itu, tetapi apabila seluruh badan lebam begini, saya dan suami risau dan pada malam Khamis itu juga kami bawa anak ke sebuah klinik swasta di Kerteh,” katanya kesal.

Kata Hana, selepas memeriksa anaknya itu, doktor mengesahkan yang anaknya itu bukan digigit tetapi didera dan menasihatkannya membuat laporan polis.

Justeru, Hana dan suami, Ashraf Mohamad, 30, yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, Kelantan membuat laporan polis di Balai Polis Kerteh kira-kira jam 10 malam sebelum terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Kemaman.

Asna Hafy dibenarkan pulang pada petang kelmarin dan kesan lebam pada badannya masih belum hilang.

Takut berhadapan orang ramai

Ibu muda ini berkata, kejadian itu juga menjawab teka-teki yang bermain di fikirannya selama ini kerana bayinya itu sejak akhir-akhir ini kelihatan agak trauma dan seperti ketakutan apabila berdepan dengan orang ramai, sedangkan anaknya itu sebelum ini amat mesra dengan sesiapa sahaja walaupun tidak dikenalinya.

“Sebelum ini banyak yang saya tutup mata sahaja kerana tidak mahu memanjangkan kes. Sebelum ini, banyak kali juga baju anak saya koyak dan apabila tanya pengasuh, macam-macam alasan diberikan. Anak juga kerap demam.

“Saya sangat kesal dengan kejadian ini. Jadi kami suami isteri nekad buat laporan polis agar tidak mahu anak orang lain turut menerima nasib sama, biarlah anak saya jadi yang terawal dan terakhir yang menerima nasib seperti ini,” katanya yang mula menghantar anak di bawah jagaan taska di Kerteh itu sejak Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan dan beliau memaklumkan, kes masih dalam siasatan.

Demam campak boleh merebak dalam pesawat



Sydney: Demam campak boleh merebak di dalam kapal terbang walaupun penumpang berada jauh daripada pesakit yang terkena penyakit itu, kata satu kajian Australia semalam.

Kajian oleh Garry Dowse dari Direktorat Kawalan Penyakit Berjangkit Australia Barat dan rakannya berkata bahawa wujud risiko mendapat campak dalam sesebuah pesawat di Australia walaupun penyakit itu sudah dihapuskan.
“Tempoh lapan hari diperlukan untuk mengenal pasti seseorang penumpang sudah dijangkiti dan ketika itu vaksin sudah tidak berkesan.

“Jadi kebanyakan dasar kita tidak berkesan kerana kita dapati ia sudah terlambat,” kata Dowse kepada AFP sebelum mendedahkan kajian.

Kajian melihat kepada semua kes campak dikesan di Australia antara Januari 2007 dan Jun 2011 di mana pesakit dijangkiti ketika dalam perjalanan dengan pesawat.

Jangkitan selepas penerbangan

Penyelidik mengenal pasti 45 kes jangkitan dan mendapati bahawa 20 adalah kes sekunder, di mana mereka mendapat penyakit itu selepas penerbangan, dalam tujuh daripada 49 penerbangan yang terjejas.
Kira-kira 45 peratus jangkitan sekunder ini didapati di kalangan mereka yang duduk dalam barisan kedua manakala 55 peratus adalah mereka yang duduk selain daripada barisan itu.

“Jika kita dapat mengesan mereka dalam tempohnya, yang paling baik kita hanya mampu membantu 45 peratus daripada kes berkenaan,” kata Dowse.

Berjangkit ketika berbaris

Katanya, ia tidak diketahui mengapa ini berlaku tetapi sudah diketahui bahawa orang ramai sering kali bergerak keluar masuk untuk ke tandas ketika dalam penerbangan.

“Orang ramai mungkin dijangkiti bukan di dalam penerbangan tetapi ketika berbaris untuk daftar masuk,” katanya. - AFP

Wanita mati ditetak adik




ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditetak oleh adik lelakinya.
Suspek mengamuk mangsa ajak pulang dari tokong

Kuala Selangor: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan tangannya hampir putus manakala kepala, leher dan matanya ditetak beberapa kali oleh penyerang dipercayai adik lelakinya yang dikatakan mengamuk di Taman Kaswari, Kampung Bukit Rotan, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, berkata mayat mangsa yang berusia 52 itu ditemui berlumuran darah oleh penjaga tokong, Chew Bon Hwa, 52, yang datang ke rumah ibadat itu untuk menutup pintu kira-kira jam 7 petang.
Kita menjalankan ujian air kencing dan mendapati beliau positif dadah ganja dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh” Mohd Taib Ahmad, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor

Masalah mental

Sebelum kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke tokong berkenaan untuk membawa pulang adiknya yang berusia 44 tahun, yang dipercayai mengalami masalah mental ke rumah selepas dimaklumkan penjaga tokong bahawa tokong berkenaan akan ditutup.

“Adik mangsa dipercayai enggan pulang dan selepas beberapa kali dipujuk, suspek dikatakan naik angin secara tiba-tiba sebelum mencapai sebilah parang yang terdapat di tokong lalu menetak mangsa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Mohd Taib berkata, polis selepas kejadian dan sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Katanya, turut cedera ialah abang suspek yang berusia 55 tahun yang ke ke rumah ibadat berkenaan sejurus dimaklumkan mengenai perbuatan adiknya itu oleh penduduk kampung.

Tahan suspek

“Suspek melarikan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya.

Mohd Taib berkata, polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 10.30 malam kelmarin ketika suspek sedang bersembunyi di ladang itu, sebelum lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk membantu siasatan.

“Kita menjalankan ujian air kencing dan mendapati beliau positif dadah ganja dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat manakala adik mangsa yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya.

14 mati dipercayai mangsa geng dadah di Mexico



MORELIA (Mexico): Tujuh mayat lelaki ditemui di kerusi plastik yang diletakkan di sepanjang tepi jalan manakala tujuh lagi dibunuh di negeri jiran, Guerrero.

Pejabat Am Peguam Negara Michoacan berkata dalam satu kenyataan hari ini bahasa tujuh mayat itu terdapat kesan luka tembakan dan diletakkan secara individu dalam kedudukan duduk di kerusi berhampiran bulatan di bandar Uruapan. Bagaimanapun, motif pembunuhan tidak dinyatakan.
Di Guerrero, pihak berkuasa berkata, lelaki bersenjata memecah masuk ke sebuah bar di Ciudad Altamirano dan melepaskan beberapa das tembakan. Dalam kejadian itu, empat orang awam dan tiga pekerja bar terbunuh.

Kedua-dua negeri di pantai barat Mexico itu menunjukkan peningkatan dalam keganasan sejak kebelakangan ini disebabkan oleh kartel dadah. - AP

Taikun pengkritik Kremlin ditemui mati di kediamannya



24/03/2013 3:59am

LONDON - Taikun Rusia yang juga pengkritik Kremlin, Boris Berezovsky ditemui mati di kediamannya di sini semalam, lapor media Rusia.
Memetik kenyataan di Facebook oleh menantu lelakinya, Egor Schuppe, akhbar Rusia Today melaporkan ahli per niagaan itu meninggal dunia pada usia 67 tahun.
Setakat ini, punca kematian Berezovsky masih tidak diumumkan.
Schuppe berkata, sebelum pemergian Berezovsky, men diang bapa mengalami kemurungan dan enggan menemui rakan-rakan serta kenalannya. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm#ixzz2OPZNEsWf 
Hakcipta terpelihara