Search This Blog

Loading...

Saturday, March 23, 2013

46 pengguna jalan raya disaman

46 pengguna jalan raya disaman
Pemeriksaan dijalankan ke atas penunggang motosikal.
PORT DICKSON - Sebanyak 46 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam satu operasi bersepadu di hadapan Balai Polis Lukut, di sini, kelmarin.

Operasi hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) itu bermula kira-kira 9.30 pagi dan berakhir tiga jam kemudian.

Ketua Operasi, Asisten Superintendan Lee Kim Seng berkata, tujuan utama operasi diadakan untuk mengambil tindakan terhadap pesalah trafik di sekitar kawasan berkenaan dan pada masa sama, berusaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Selain itu, kita cuba menyedarkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan demi kebaikan diri sendiri dan orang lain.

“Fokus utama kita pada hari ini (kelmarin) adalah membabitkan kesalahan seperti memasang cermin gelap yang tidak mengikut piawaian ditetapkan, pelepasan asap
kenderaan berlebihan sehingga mencemarkan alam sekitar dan ekzos diubah suai terlalu bising,” katanya yang juga Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Daerah Port Dickson.

Cabul anak, bapa tak mengaku salah



23 Mac 2013
Cabul anak, bapa tak mengaku salah
Tertuduh berbincang bersama peguamnya berkaitan kes terbabit, semalam.
KANGAR – Seorang bapa tidak mengaku salah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak yang merupakan anaknya sendiri berusia 14 tahun, pada Januari  lalu.

Tertuduh, melakukan kesalahan berkenaan dengan menggunakan kekerasan jenayah di ruang tamu rumahnya dua bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Akibat perbuatan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Untuk kesalahan itu, pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh akan diwakili peguamnya, Zuhair Ahmad Zaquan.

Manakala, majistret telah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes itu.

Kereta diseret 10 meter



23 Mac 2013
Kereta diseret 10 meter
Keadaan kemalangan di simpang Taman KSNS, Chembong, semalam.
REMBAU – Seorang wanita trauma apabila kereta Perodua Kancil yang dinaikinya dilanggar dari arah belakang ketika mahu memasuki simpang Taman KSNS, Chembong di kilometer 21, Jalan Seremban Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, pemandu lori berusia dalam lingkungan 50-an membawa lori muatan kira-kira 10 bakul timun dari arah Tampin dipercayai tidak menyedari terdapat kenderaan di hadapan yang ingin memasuki simpang.

Jurucakap polis berkata, pemandu lori itu didapati melanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Kancil sehingga menyebabkannya terseret ke hadapan sejauh kira-kira 10 meter.

“Mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pedas dan dirawat sebagai pesakit luar. Manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom mengesahkan kejadian.

Hobi pelik pemandu lori



23 Mac 2013
Hobi pelik pemandu lori
Harun menunjukkan lampu hiasan yang dirampas selepas menahan pemandu lori di Tangkak di sini.
LEDANG - Polis menahan seorang pemandu lori kerana terlibat dengan tiga kes curi lampu hiasan serta set meja di tiga premis perniagaan di sekitar bandar Tangkak, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, hasil rompakan itu pemilik premis kerugian hampir RM3,000 dan suspek berjaya ditahan pada jam 12.30 pagi di rumahnya di Tangkak, di sini.

“Ketika ditahan, polis menemui lapan lampu silinder, tiga lampu hiasan dinding serta satu set meja makan kayu yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Polis percaya, suspek mencuri semua barangan itu untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk dijual kepada pihak ketiga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, kelmarin.

Menurut Harun, lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau namun ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis heroin.

"Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan berulang-alik menggunakan motosikal jenis skuter untuk mengangkut kesemua barangan curi itu.

“Dia dipercayai berulang-alik melebihi empat kali untuk membawa barangan berkenaan termasuk mengangkut meja kayu serta empat kerusi.

“Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu berjaya dirakam  kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pemilik di luar salah sebuah premis perniagaan berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil rakaman itu telah memudahkan pihak polis untuk mengesan dan menjejaki suspek yang mempunyai hobi pelik iaitu menyimpan barangan hiasan hasil daripada kegiatan mencurinya.

“Lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Anggota polis berdepan hukuman penjara



23 Mac 2013
Anggota polis berdepan hukuman penjara
Harisyam dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah meminta suapan berjumlah RM500.
IPOH – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini, semalam atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM500 pada tahun lalu.

Harisyam Che Harun, 34, didakwa meminta suapan itu daripada M Sri Ganesan, 27, sebagai dorongan untuk memulangkan kembali kad pengenalan milik lelaki itu yang telah dirampas.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 4 petang, 27 Mac tahun lalu di Kampung Kuala Rui, Gerik.

Harisyam turut dibacakan pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja melakukan ketakutan kepada Sri Ganesan dengan membawa lelaki itu ke Balai Polis untuk tindakan lanjut kononnya atas kesalahan melanggar syarat permit berniaga barang-barang lusuh.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 383 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun yang sama, iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Tertuduh yang bertugas di Balai Polis Gerik bagaimanapun meminta bicara terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, M Kathan manakala, tertuduh diwakili peguamnya, Hatim Musa.

Hakim Julie Lack membenarkan Harisyam diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu kes disebut semula pada 26 April depan.

Konstabel dirempuh MPV



23 Mac 2013
Sum Chang Keong
Sum Chang Keong
IPOH – Seorang anggota polis cedera selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah kereta pelbagai guna (MPV) ketika ingin kembali bertugas di Balai Polis Kampung Tawas di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Konstabel Jamari Osman, 22, sedang berhenti sebelum membelok ke kanan, dirempuh oleh kenderaan dipandu seorang lelaki yang ingin membelok ke arah sama.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, insiden itu menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan di muka dan calar di beberapa bahagian badan.

“Beberapa anggota yang berada di balai Kampung Tawas membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis bacaan Yaasin dan Tahlil sempena Hari Polis ke-206 di Balai Polis Pekan Baru di sini, kelmarin.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 30-an merupakan seorang peniaga telah diambil keterangan selepas membuat laporan polis.

“Anggota terbabit masih mendapat rawatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

11 pelatih larikan diri



23 Mac 2013
11 pelatih larikan diri
Wartawan cuba mendapat maklum balas dari pemilik pusat rawatan itu, malam kelmarin
HULU KINTA – Seramai 11 lelaki di sebuah pusat rawatan swasta di sini, bertindak nekad melarikan diri dari pusat itu tanpa diketahui sebabnya.

Dalam kejadian antara jam 5 hingga 6 petang, 11 pelatih yang menjalani rawatan pemulihan penagih dadah menghilangkan diri ketika berehat dan disedari oleh salah seorang pekerja.

Difahamkan, pemilik pusat berkenaan bertindak melaporkan kehilangan pelatih terbabit di Balai Polis Tanjung Rambutan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya membantu mengesan kesemua pelatih terbabit selepas menerima laporan dari pemilik pusat rawatan itu.

“Difahamkan mereka berusia lewat 30 an dihantar ke pusat berkenaan oleh ahli keluarga untuk memulihkan keadaan mereka yang pernah terlibat dengan aktiviti penagihan dan kurang siuman.

“Setelah menerima laporan polis, anggota membuat halangan jalan dan rondaan bagi mencari kesemua pelatih. Sehingga kini, mereka belum ditahan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Peragut untung RM5.60



23 Mac 2013
KULIM - Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berjaya menahan seorang remaja berusia 21 tahun kerana terlibat dalam aktiviti ragut di sekitar Kulim kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku ketika CPJ sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah di sebuah taman perumahan dan terserempak motosikal ditunggang suspek dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari diekori polis, suspek cuba melarikan diri dengan memecut motosikal bagaimanapun berjaya di tahan.

Ghuzlan berkata, daripada pemeriksaan dijalankan terhadap nombor pendaftaran motosikal jenis Honda EX5 digunakan suspek, polis mendapati ia terlibat dalam kejadian ragut di Kulim.

Suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk menjalani ujian air kencing, dan didapati positif  dadah.

“Suspek terlibat penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine. Suspek turut mengaku melakukan ragut terhadap dua remaja perempuan pada 16 dan 19 Mac kira-kira jam 6.30 petang hingga 7 malam bertempat di Taman Kenari dan di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Pekan Kulim.

"Motosikal digunakannya dimiliki oleh ahli keluarganya. Dalam keterangan suspek, dia menyatakan, dari dua kes ragut dilakukan, dia hanya memperoleh wang tunai RM5.60 selain dokumen peribadi seperti kad pengenalan, lesen memandu dan sebagainya” katanya. 

Ghuzlan menasihatkan kepada orang ramai terutama  wanita supaya lebih berhati hati apabila berjalan.

Menurutnya, jika berlaku ragut, mangsa tidak seharusnya cemas tetapi cuba mengecam nombor pendaftaran dan jenis kenderaan digunakan suspek untuk memudahkan polis menjalankan siasatan dan menahan mereka terlibat.

“Saya juga menasihatkan kepada pemilik motosikal supaya jangan sewenangnya memberikan kenderaan mereka dipinjam oleh sesiapapun kerana ia boleh dijadikan kenderaan untuk melakukan jenayah.," katanya.

Van bawa RM12 juta terbalik



23 Mac 2013
Van bawa RM12 juta terbalik
Pengendali CIT mengangkat beg besar berisi wang dianggarkan bernilai RM500,000 daripada van keselamatan terbabit.
Van bawa RM12 juta terbalik
Pemindahan wang dilakukan dengan kawalan ketat polis bersenjata.
HULU SELANGOR - Sebuah van keselamatan membawa lebih RM12 juta dalam perjalanan ke sebuah bank di Batang Kali, terbabas dan terbalik di simpang tiga Jalan Bukit Beruntung-Rasa, tengah hari semalam.

Pemandu, Mohd Azrul Hamid, 26, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia bersama pengawal keselamatan dan dua pengendali wang pemindahan (CIT) dalam perjalanan ke sebuah bank di Batang Kali.

Katanya, sebaik membelok di persimpangan itu, dia gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik kerana jalan berpasir.

“Jalan berpasir, jadi masa membelok menghala ke Rasa, van terbabas ke kanan dan terbalik sebelum melanggar pembahagi jalan.

"Tapi, saya bersama tiga yang lain bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di tempat kejadian.

Mohd Azrul berkata, terdapat 13 beg besar dan enam beg kecil mengandungi wang tunai dianggarkan lebih RM12 juta untuk kegunaan mesin juruwang automatik (ATM) serta deposit tunai, tersimpan dalam peti simpanan keselamatan van itu.

Menurutnya, jumlah berkenaan dinilai berdasarkan bilangan bil yang ada dengan setiap satu bil tertera jumlah RM500,000 dan ia tidak termasuk enam beg kecil berisi simpanan wang tunai.

“Kami baru selesai urusan di bank sekitar Rawang, Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Sepatutnya wang ini dibawa ke Batang Kali sebelum berakhir di Tanjung Malim.

“Tapi disebabkan kemalangan, kami perlu tunggu van keselamatan lain untuk membawanya,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, wang itu berjaya dipindahkan ke van lain tepat jam 2 petang dengan kawalan ketat polis bersenjata.

Penduduk sekitar turut berkumpul menyaksikan pemindahan wang melebihi RM12 juta itu.

Restoran hangus, rugi RM50,000



23 Mac 2013
Restoran hangus, rugi RM50,000
Keadaan bangunan restoran yang hangus dalam kebakaran terbabit, semalam.
KOTA BHARU- “Saya tidak mampu berbuat apa-apa, dan hanya sempat memerhatikan api yang semakin marak membakar sebahagian restoran milik saya,” kata pemilik premis terbabit, Zakaria Mohamad, 54.

Menurutnya kebakaran di Restoran D’Mina, Pengkalan Chepa itu, berlaku kira-kira jam 5 pagi dan hanya dimaklumkan mengenai kejadian melalui seorang rakan yang secara kebetulan lalu di kawasan itu melalui telefon.

“Terkejut menerima berita itu, saya terus bergegas ke sana yang jaraknya hampir 30 kilometer.

“Sampai sahaja di tempat kejadian kira-kira jam 6 pagi, saya lihat api begitu besar dan minta rakan hubungi bomba memandangkan saya masih trauma dan tidak dapat membuat panggilan telefon,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.

 Zakaria berkata, dia agak bernasib baik kerana semasa kejadian beberapa pekerja yang bermalam di bilik bahagian belakang juga sempat menyelamatkan diri.

 “Sedih melihat kejadian ini, namun saya masih bersyukur semua pekerja selamat dan hanya barang-barang termasuk kerusi, meja serta beberapa barangan lain musnah dalam kebakaran ini.

 “Kerugian dianggarkan lebih RM50,000 dan setakat ini saya serahkan kepada pihak bomba untuk siasat punca kejadian," katanya.

 Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Pengkalan Chepa, Fakri Mazlan berkata, empat jentera dihantar ke tempat kejadian.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 6.05 pagi dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

 “Namun api begitu marak namun kami berjaya mengawal keadaan berkenaan dari terus merebak ke bahagian lain kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Tragedi lori rosak



23 Mac 2013
Tragedi lori rosak
Mayat mangsa diperiksa polis sebelum dibawa ke Hospital Bentong.
BENTONG – Tindakan seorang pemandu lori dan kelindan membaiki lori yang rosak di Kilometer 51.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila salah seorangnya maut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam kelmarin apabila mereka dikatakan memberhentikan lori di kiri lebuh raya selepas menyedari kenderaan masalah.

Katanya, mangsa yang maut ialah, Mohd Pauzi Zainol Abidin, 46 manakala kelindannya, Mohd Ridhwan Yusoff, 20 ,cedera ringan.

“Ketika kejadian berlaku, mereka berdua dipercayai cuba membaiki lori yang rosak.

“Secara tiba-tiba datang kenderaan yang masih belum dikenalpasti melanggar kedua-dua mereka dari arah belakang,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, Mohd Pauzi kemudiannya dipercayai tercampak dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Petugas ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia serta merta manakala Mohd Ridhwan pula mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Bentong.

“Mayat mangsa turut dibawa ke hospital sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, berdasarkan siasatan di tempat kejadian, polis menemui bahagian hadapan kenderaan dipercayai melanggar mangsa dan usaha mengesan masih dijalankan.

Katanya, kejadian diklasifikasikan langgar lari dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil dan menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor A Haribalan menerusi talian 0164620998," katanya.

Murid tahun 3 mati lemas



23 Mac 2013
JERTIH – Hasrat seorang murid Tahun Tiga untuk mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Besut berhampiran Taman Teratur, di sini berakhir tragedi apabila dia lemas dalam kejadian, petang kelmarin.

Ahmad Akid Syawal Aznan, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah pergi ke sungai itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya bersama lima rakannya, kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa tidak pandai berenang mandi di kawasan air dalam dan dikatakan lemas.

Menurutnya, salah seorang rakannya telah menariknya ke tebing sungai sebelum pulang memaklumkan ibu bapa mangsa yang tinggal di Kampung Gaung.

“Apabila bapa mangsa ke lokasi kejadian, dia melihat anaknya terbaring dalam keadaan tidak bernafas di tebing sungai sebelum dikejarkan ke Hospital Besut," katanya.

Namun, Kamaruddin berkata, anak keempat daripada enam beradik itu disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Ditetak ketika selamatkan jiran



23 Mac 2013
Ditetak ketika selamatkan jiran
Belakang kepala Mohd Hisham yang cedera dan menerima tujuh jahitan akibat dilibas parang.
ALOR GAJAH - Kerana mahu membantu jirannya daripada disamun, seorang lelaki cedera selepas belakang kepalanya dilibas parang oleh salah seorang penyamun di sebuah taman perumahan, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Mohd Hisham Kamal, 39, menerima tujuh jahitan ketika menyelamatkan jirannya, Md Yusuf Ahmad, 47, bersama isteri, Hamidah Dahlan, 47, serta enam anak berusia antara 21 dan 11 tahun yang didatangi enam perompak bersenjatakan parang.

Menurut Mohd Hisham, ketika kejadian, dia terdengar ibu kepada Md Yusuf, Salmah Khamis, 75, menjerit memberitahu anaknya diserang perompak.

“Saya baru pulang dari Masjid Tanah, tiba-tiba dengar jiran saya menjerit. Saya berlari ke rumah jiran dan terlihat seorang lelaki bertopi keledar memegang parang," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan datang ke arahnya sambil melibas-libas parang.

"Saya cuba berundur untuk melarikan diri dan terlanggar sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan, lalu terjatuh. Ketika itu, seorang dari penjenayah itu menetak saya," katanya.

Mohd Hisham berkata, dia kemudian mencapai wiper sebuah kereta untuk melawan, sebelum kesemua penjenayah itu melarikan diri.

Katanya, melihat kepada kecederaan dialami, dia dikejarkan ke Hospital Alor Gajah oleh isteri dan ahli keluarga.

Sementara itu, Md Yusuf berkata, semasa kejadian, dia berada di luar rumah membuka pintu pagar untuk  menghantar juadah untuk jemaah di masjid berdekatan, berikutan dia akan berangkat menunaikan umrah keesokan hari.

"Belum sempat hantar ke masjid, saya ditendang penyamun yang kesemua mereka bertopi keledar bertutup muka.

“Dengan deruman enjin motosikal yang kuat, penjenayah itu meluru masuk ke dalam rumah terus mengarahkan emak saya menyerahkan cincin emas dipakai," katanya.

Kata Md Yusuf, enam penyamun itu mengacukan parang ke arah dia dan isteri serta enam anak mereka sambil mengarahkan supaya menyerahkan kesemua barang berharga yang ada, sebelum jirannya itu datang membantu.

Md Yusof merupakan guru di Kolej Vokasional Datuk Seri Md Zin di sini berkata, menyedari mangsa sudah terkena libasan, kesemua penyamun itu bergegas keluar dari rumah, namun sempat mencapai beberapa barang termasuk dua telefon bimbit dan ipad, selain dompet berisi wang tunai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Kedai akuarium terbakar, haiwan rentung



23 Mac 2013
Kedai akuarium terbakar, haiwan rentung
Anggota JPAM dan Rela membantu mengalihkan peralatan yang tidak dimamah api termasuk sangkar.
Kedai akuarium terbakar, haiwan rentung
Beberapa jaring ikan yang sempat diselamatkan.
Kedai akuarium terbakar, haiwan rentung
Mat Daling
Kedai akuarium terbakar, haiwan rentung
Lai Chan
Kedai akuarium terbakar, haiwan rentung
Hanafiah sempat berseloroh bagi menceriakan Meng Seng yang kerugian kira-kira setengah juta ringgit ketika menziarahinya sejurus beberapa jam kebakaran berlaku.
KEMAMAN – “Hampir semua binatang rentung termasuk haiwan paling mahal iaitu sugar glider yang berharga RM3,000 seekor.

“Namun paling sedih, pusat akuarium dan haiwan peliharaan yang kami buka sejak 15 tahun lalu ini kini musnah,” keluh pemilik Kedai Tan Akuarium, Tan Meng Seng, 50, yang menanggung kerugian kira-kira RM500,000 setelah premis kedai dua tingkatnya di sini, terbakar semalam.

Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu menyebabkan stok makanan binatang peliharaan yang baru tiba dan hampir semua haiwan yang dijual dalam premis itu seperti ikan kelisa emas, kelisa merah, arnab, burung dan ular hangus dengan hanya beberapa kucing sahaja yang dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, Meng Seng bernasib baik kerana terselamat berikutan ketika kebakaran, dia berada di tingkat dua kedai terbabit.

Bapa seorang anak itu berkata, dia menyedari kebakaran itu apabila terdengar orang membaling sesuatu yang mengena tingkap rumah kedainya selepas dia keluar dari tandas.

“Lepas buka tingkap, orang beritahu kedai saya terbakar dan masa itu asap dari tingkat bawah berkepul-kepul naik.

"Saya capai beberapa barang dan turun ikut tangga bersebelahan kedai bawah. Kemudian saya jerit supaya telefon bomba,” katanya.

Menurutnya, kedainya itu tidak dibuka pada Jumaat.

Periksa sebelum tinggalkan kedai

Sementara itu, isterinya, Low Lai Chan, 38, berkata, dia menutup kedai berkenaan pada jam 7 petang kelmarin dan sempat memeriksa keadaan dalam kedai sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 malam.

“Hanya suis akuarium dan satu suis komputer yang tidak ditutup, manakala yang lain saya sudah tutup,” katanya yang tidak menyangka akan ditimpa malang.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan.

Paling terkilan, Lai Chan berkata, stok makanan haiwan yang baru sahaja tiba di kedainya tidak sempat diambil oleh pelanggan.

“Sebelum ini saya sudah hubungi pelanggan, minta mereka datang ambil makanan haiwan yang baru sampai tetapi semuanya musnah," katanya.

Api berjaya dikawal

Berikutan kebakaran itu, kira-kira 50 peratus kedai tingkat bawah musnah.

Kerja memadam kebakaran dilakukan 12 anggota Bomba dan Penyelamat Balai Chukai dan Balai Kemaman melibatkan dua jentera bomba berjaya mengelak kebakaran daripada merebak ke lot kedai bersebelahan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Pegawai Bomba Kanan 2 Mat Daling Mohd Dahan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada jam 10.03 pagi.

“Apabila tiba di tempat kejadian kita lihat tingkat bawah berasap. Api berjaya dikawal kira-kira jam 10.50 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 11.20 pagi, namun punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Susulan musibah itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat turut meluangkan masa menziarahi mangsa di lokasi kejadian.

Kerja mengalihkan barangan berharga yang dikeluarkan dari bangunan terbakar itu turut dibantu anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

2 keluarga sehelai sepinggang kediaman terbakar di Hulu Besut




23 Mac 2013
BESUT - Dua keluarga yang terdiri daripada anak beranak tinggal sehelai sepinggang setelah dua kediaman yang terletak bersebelahan di Kampung Gong Tebu, Darau, Hulu Besut dekat sini musnah dalam kebakaran semalam.
  
Kebakaran berlaku kira-kira 2 petang menyebabkan kedua-dua buah rumah papan kepunyaan seorang petani Mat Hassan Ibrahim, 58, dan rumah ayahnya, Ibrahim Yaakob, 82, hangus terbakar dan mengalami kerugian dianggarkan lebih RM100,000.
  
Mat Hassan ketika ditemui di kediamannya hari ini berkata ketika kejadian beliau baru balik menunaikan sembahyang Jumaat dan sampai di rumahnya mendapati api telah marak membakar rumahnya sebelum melarat ke rumah ayahnya.
  
"Ketika itu anak sulung pak cik, Syafik Rusdi (lelaki) balik lebih awal dan terus berteriak memaklumkan kepada emaknya (isteri Mat Hassan) untuk menyelamatkan diri.
  
"Pak cik sekeluarga tidak sempat menyelamatkan perkakas rumah termasuklah barang kemas isteri bernilai RM15,000 dan wang tunai RM3,000 serta dokumen penting seperti kad pengenalan dan surat beranak serta geran tanah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
  
Bapa kepada tiga anak berumur 9 hingga 14 tahun ini berkata ketika kejadian, isterinya Mariam Mamat, 53, yang tinggal bersama seorang anak perempuannya, sedang mandi tanpa menyedari api telah membakar rumah bermula dari bahagian hadapan rumah.
  
Katanya api yang membakar rumahnya telah merebak ke rumah ayahnya yang bersebelahan melalui bangunan yang bersambung dengan rumahnya.
  
Bagaimanapun Mat Hassan sekeluarga serta ayah dan emaknya masih bertuah kerana mempunyai sebuah bangsal kecil di belakang rumahnya untuk berteduh malam tadi.
  
Sementara itu Ibrahim berkata sebelum kejadian beliau juga baru balik dari sembahyang Jumaat.
  
Katanya ketika kebakaran terjadi, isterinya tinggal berseorangan dan tertidur kepenatan setelah balik daripada menoreh getah dan memasak makanan tengah hari.
  
"Nasib baik anak lelaki saya (Mat Hassan) ada dan mengejutkan dia dari tidur untuk menyelamatkan diri.
  
"Pak Cik sudah tak ada tempat tinggal dan terpaksalah tidur dalam kereta anak malam tadi bersama isteri," kata Ibrahim yang sempat menyelamatkan beberapa barangan rumah seperti peti sejuk, almari dan tong gas.
  
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Besut, Hasmadi Jusoh ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menerima panggilan 2.26 petang sebelum kenderaan bomba tiba 10 minit kemudian di tempat kejadian.  - Bernama

'Wa tak curi kereta itu'



23 Mac 2013
'Wa tak curi kereta itu'
Suspek (kiri) mendakwa hanya menyewakan kereta sebelum diserahkan pada kekasihnya.
KULIM - Kerana kekasih, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan polis kerana dipercayai melarikan kereta dari sebuah premis sewa kereta di sini sejak 10 hari lalu.

Suspek yang sedang menunggang motosikal ditahan ketika polis membuat rondaan dan terserempak dengannya.

Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Dalam keterangan dibuat, suspek mengaku mengenali seorang remaja perempuan berusia 20 tahun dan ingin menyewa kereta bagi tujuan peribadi.

Memandangkan tidak memiliki kad pengenalan dan lesen memandu, remaja itu telah meminta lelaki terbabit untuk menyewa kenderaan itu.

Bagaimanapun setelah beberapa hari, kereta disewa itu masih gagal dipulangkan.

“Wa tak curi kereta itu, wa cuma tolong sewa sahaja, lain hal wa tak tau. Itu amoi (kekasih) memang wa kenai. Sekarang kereta itu ada sama itu amoi punya tangan. Wa pun tengah cari sama dia untuk ambil balik kereta itu.

"Masa wa sewa itu kereta, dia ada pinjam wang sama wa. Wa ada bagi dia RM2,000. Sekarang kereta pun hilang, duit kena tipu, wa kena tahan lagi tidur lokap,” katanya.

Terdahulu menurutnya, teman wanitanya itu tiada kad pengenalan dan lesen, tetapi memberitahu mahu menggunakan kereta sewa berkenaan untuk hak peribadi.

Katanya lagi, disebabkan kasihan dengan wanita itu, lelaki terbabit membantu menyewakan kereta tersebut, namun tidak menyangka kekasihnya itu akan melarikan diri bersama kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun lelaki terlibat ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya.

Polis cari 2 wanita bantu siasatan kecurian wang hantaran



Polis cari 2 wanita bantu siasatan kecurian wang hantaran
Gambar wanita yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
Polis cari 2 wanita bantu siasatan kecurian wang hantaran
Gambar wanita yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
BATU GAJAH – Polis mencari dua wanita bagi membantu siasatan kes curi wang hantaran berjumlah RM8,000 yang hilang dalam satu majlis perkahwinan di Taman Tasik Permai, 16 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kedua-dua wanita berusia lingkungan 30 an itu dikesan menerusi rakaman video yang diambil pada majlis perkahwinan anak perempuan pengadu.

“Polis dengan kerjasama tuan rumah telah menonton berulang kali semua rakaman video di majlis perkahwinan itu.

“Daripada rakaman-rakaman tersebut, kebanyakan tetamu yang dijemput telah dikenal pasti oleh ahli keluarga kecuali dua wanita yang langsung tidak dikenali,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, tiga telefon bimbit jenama Nokia, dua telefon pintar Blackberry, dokumen pengenalan mangsa, anak perempuannya dan seorang tetamu dari Singapura turut hilang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam rumah kediaman,” katanya.

Polis meminta dua wanita terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk bertemu dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Razalee Mohd Yatim.

“Orang ramai yang mengenali dan mengetahui siapa dan di mana tempat tinggal kedua-dua wanita berkenaan diminta menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan dengan menghubungi 05-3629222,” katanya.

Disamun penjenayah, 6 sekeluarga diacu pisau



Mohd Ismail Muslim
Mohd Ismail Muslim
HULU TERENGGANU - Enam sekeluarga di Kampung Bukit Diman, di sini, bukan sahaja menghadapi detik cemas setelah kediaman mereka dipecah masuk empat lelaki bertopeng bersenjatakan pisau tetapi turut berputih mata menanggung kerugian dianggarkan bernilai RM17,000.

Menurut sumber, sebelum kejadian kira-kira jam 3.40 pagi kelmarin, mangsa yang berusia 40-an dan bekerja sebagai pembantu am di sebuah sekolah serta ahli keluarganya sedang tidur sebelum dia dikejutkan dengan bunyi bising dari arah belakang rumah.

“Setelah terdengar bunyi bising, mangsa bangun memeriksa keadaan rumahnya dan ternampak empat lelaki bersenjatakan pisau yang dipercayai memecah masuk ke dalam rumahnya melalui pintu belakang di bahagian dapur.

“Sebaik menyedari kehadiran mangsa, salah seorang daripada suspek mengarahkan mangsa supaya tidak berbuat bising sambil mengacukan sebilah pisau. Mangsa kemudiannya diikat menggunakan dawai tali dipercayai dipotong daripada pagar belakang rumah," katanya.

Menurutnya, mangsa dan isteri, seorang guru berusia 40-an serta empat anak mereka berumur antara 3 hingga 15 tahun diikat lalu dikumpulkan dalam sebuah bilik sambil dikawal salah seorang daripada suspek.

“Sementara, tiga suspek lagi menggeledah rumah untuk mencari barang berharga. Semua suspek beredar selepas memperoleh beberapa barangan berharga termasuk wang tunai RM3,000 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.

Sumber berkata, suspek juga turut melarikan jam tangan, dua telefon bimbit serta kunci kereta Honda dan Mercedes dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM17,000.

Difahamkan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ajil selepas berjaya membuka ikatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

"Polis juga menasihati orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan di rumah masing-masing,” katanya.

4,500 rokok putih dirampas



Antara kotak berisi rokok seludup yang berjaya dirampas oleh Maritim Malaysia di kawasan perairan Sepang, Selangor, malam semalam.
PELABUHAN KLANG 22 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah Klang berjaya mematahkan satu lagi cubaan seludup rokok dengan merampas 4,500 karton rokok putih bernilai RM410,000 di kawasan perairan Sepang dekat sini, malam tadi.
Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Maritim Christopher Ravindran Dass berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan operasi penguatkuasaan sebelum mengesan sebuah bot pancung dipercayai dari negara jiran di kawasan gelap.
Katanya, berikutan itu, pihaknya bertindak mengejar dan berjaya menahan bot tersebut tetapi tekong dan awak-awak bot pancung berkenaan melarikan diri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130323/je_01/4500-rokok-putih-dirampas#ixzz2OLxmSWOu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ribut: 120 rumah rosak



MAH Siew Keong (kanan) meninjau rumah Halim Hassan (tengah) yang rosak akibat ribut di kawasan Perumahan Awam Padang Tembak, Teluk Intan, Perak semalam.
TELUK INTAN 22 Mac - Sekurang-kurangnya 120 buah rumah di sekitar Perumahan Awam Padang Tembak di sini, rosak teruk akibat dipukul ribut kencang petang semalam, yang disifatkan paling buruk pernah berlaku di situ.
Kejadian hampir lima minit pada pukul 5.30 petang itu turut mencetuskan suasana cemas dengan penduduk bertempiaran melarikan diri selepas bumbung rumah mereka diterbangkan angin.
Selain itu, ribut yang turut disusuli hujan lebat menyebabkan penduduk kerugian harta benda apabila hujan mencurah masuk ke dalam rumah mereka.
Para peniaga gerai Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pula mengalami kerugian apabila gerai mereka musnah dipukul ribut manakala barang jualan banyak yang rosak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130323/wu_01/Ribut-120-rumah-rosak#ixzz2OLxAjge5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Geng Kechik Selayang' aktif curi motosikal tumpas



Zakaria Pagan menunjukkan motosikal yang dirampas daripada Geng Kechik Selayang di Balai Polis Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Mac - Polis menumpaskan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Kechik Selayang' yang aktif mencuri motosikal di beberapa Felda di Pahang dan Lembah Klang, berikutan tertangkapnya 21 anggota kumpulan itu termasuk seorang remaja perempuan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek berusia lingkungan 17 hingga 28 tahun ditangkap dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan beberapa Felda di Pahang, sejak 5 Mac lalu sehingga semalam.
Beliau berkata, tujuh daripada suspek ditahan di Pahang dipercayai terlibat mencuri motosikal, manakala lima orang pula merupakan pembeli dan dua orang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli kenderaan curi tersebut.
"Siasatan mendapati kumpulan penjenayah terbabit telah aktif melakukan kegiatan curi motosikal, samun dan pecah rumah sejak setahun lalu.
"Kegiatan mereka bagaimanapun terbongkar apabila ketua kumpulannya dikenali sebagai 'Kechik' berusia 21 tahun ditahan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Gombak di sini pada 5 Mac lalu," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Kepong di sini hari ini.
Zakaria berkata, suspek ditahan semasa sedang mencari motosikal untuk dicuri tetapi seorang rakannya yang menunggu atas sebuah motosikal berjaya melepaskan diri setelah menyedari kelibat sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan jenayah.
Beliau berkata, hasil siasatan terhadap suspek, polis berjaya mengesan dan menahan beberapa rakannya yang terlibat dalam jenayah itu serta merampas semula 27 motosikal yang dilaporkan dicuri sebelum ini.
"Kumpulan penjenayah ini menyasarkan mencuri motosikal jenis Honda EX5, Yamaha LC dan Yamaha RXZ yang diletak di tempat-tempat letak motosikal awam.
"Kenderaan curi ini kemudian dijual kepada pembeli-pembeli di kawasan Felda dengan harga antara RM300 hingga RM1,000 sebuah dan ada juga diambil alat ganti untuk dijual," katanya.
Menurut Zakaria, modus operandi penjenayah ini ialah mengagihkan beberapa tugas kepada ahli kumpulannya seperti mencari sasaran lokasi mencuri, pembeli dan tukang lerai komponen motosikal untuk dijual.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati 'Kechik' baru sahaja dibebaskan oleh mahkamah dengan jaminan bon bagi kes yang sama kira-kira dua minggu yang lalu.
Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal dilaporkan di Lembah Klang dan dua kes di Temerloh, Pahang dengan tertumpasnya kumpulan penjenayah itu.
"Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor; Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah); Seksyen 411 (memiliki barang curi) dan Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130322/je_03/Geng-Kechik-Selayang-aktif-curi-motosikal-tumpas#ixzz2OLvleDBC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Siasatan kes rogol: Suspek hilangkan diri



Muhamad Shahril Izairol Mohamad Roslan
Muhamad Shahril Izairol Mohamad Roslan
IPOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menghilangkan diri ketika masih dalam jaminan polis bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang pelajar tingkatan 3.

Ketua Polis daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, suspek dikenali Muhamad Shahril Izairol Mohamad Roslan, 22, dari Anjung Bemban Maju, Pusing itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan setelah berjaya ditangkap di Pekan Baru, Ipoh.

Bagaimanapun menurutnya, lelaki yang masih dalam jaminan polis itu dikesan menghilangkan diri sebelum proses pendakwaan dilakukan dan waran tangkap terhadap suspek telah diperoleh.

“Barang kes seperti tilam dan cadar telah dirampas dan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk analisa, setelah siasatan lengkap, timbalan pendakwa raya bersetuju membuat pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol. Bagaimanapun sehingga kini suspek gagal dikesan,” katanya.

Dalam kejadian November 2011 lalu, seorang remaja berusia 15 tahun yang tinggal di Flat Sri Conolly, Jalan Pasir Puteh membuat laporan dirogol di sebuah kediaman di Taman Anjung Bemban Maju, kira-kira jam 1.30 pagi.

Shaharon berkata, mangsa mengikut suspek yang juga teman lelakinya telah menolak untuk melakukan hubungan seks dan telah cuba melawan, namun gagal melepaskan diri.

“Polis menerima laporan daripada mangsa kira-kira tujuh bulan selepas kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Hidayah Mahzan di talian 05-3629222,” katanya.

Ops bersepadu: 42 Pati ditahan



 Abdul Majid Mohd Ali
Abdul Majid Mohd Ali
KLUANG - Seramai 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) diberkas dalam operasi bersepadu hujung minggu lalu yang diadakan di sekitar daerah ini.

Operasi bersepadu itu membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia, Rela dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi menangani masalah kemasukan Pati tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, operasi yang dilaksanakan lebih tertumpu di kawasan kilang, ladang dan rumah kongsi di sekitar Pekan Kahang, Simpang Renggam dan bandar Kluang.

“Hasil daripada operasi dua hari yang dijalankan, polis berjaya menahan 42 Pati terdiri daripada 40 lelaki serta dua wanita warga Indonesia, Myanmar dan Kemboja.

“Kesemua mereka yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di IPD Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, walaupun proses pemutihan telah dilaksanakan pada tahun lalu, namun masih terdapat Pati kembali semula ke daerah ini untuk mencari kerja.

“Operasi ini dijalankan setelah menerima aduan serta maklumat orang awam tentang kewujudan Pati di tempat mereka selain banyak menimbulkan gangguan sosial kepada masyarakat setempat.

“Pihak kami juga akan sentiasa memantau setiap kawasan perindustrian serta perladangan di dalam daerah ini dari masa ke semasa agar kebanjiran Pati ini tidak terus menjadi masalah utama kepada masyarakat khasnya dan negara amnya,” katanya.

Abdul Majid mengharapkan agar masyarakat awam yang mempunyai maklumat tentang kehadiran Pati di kawasan kediaman mereka melaporkan segera kepada pihaknya untuk tindakan lanjut. 

“Kesemua Pati tersebut direman 14 hari untuk pengesahan dokumen dan akan didakwa sekiranya didapati mempunyai kesalahan,” katanya.

Sorok dadah dalam beg troli



Sorok dadah dalam beg troli
Zulkurnain (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan satu uncang kain hitam berisi dadah.
JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan seorang lelaki warga India untuk menyeludup masuk dadah jenis ketamin seberat 9.307 kilogram bernilai RM325,745 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dekat sini, 20 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Kastam Johor (Bahagian Penguatkuasaan), Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan selepas anggota kastam Unit Khas Pemeriksaan Penumpang mengesyaki ada sesuatu disembunyikan dalam beg troli yang dibawanya.

Menurutnya, selepas pemeriksaan rapi dijalankan, pasukannya berjaya menemui serbuk putih dipercayai dadah berbahaya jenis ketamin yang disorokkan di pelapik dinding beg troli berkenaan.

“Lebih kurang jam 4 petang, sepasukan anggota mengimbas sebuah beg galas warna hitam dan sebuah beg troli warna biru gelap berjalur merah tua yang dibawa seorang lelaki India.

“Kastam juga memeriksa lapan buah beg komputer riba yang berada di dalam beg troli itu seterusnya berjaya menemui satu uncang kain hitam berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis sama yang dijahit dan disorokkan di lapisan pelapik di dalam setiap beg komputer riba berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini, semalam.

Zulkurnain berkata, lelaki terbabit ditahan reman selama 12 hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan awal mendapati lelaki warga India ini dari Delhi, India sebelum ke Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Senai secara transit.

“Lelaki ini masih dalam siasatan dan terlalu awal untuk mengatakan dadah yang dibawa masuk untuk pasaran tempatan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, penahanan itu merupakan kes keempat penyeludupan dadah di pintu masuk negara melalui Johor yang berjaya dipatahkan JKDM Johor.

“Dua kes sebelum ini diperoleh pada bulan September tahun lalu di Bangunan Sultan Iskandar, di sini dan satu kes lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada bulan November 2012,” katanya.

Justeru, Zulkurnain menyeru kepada orang ramai supaya membantu kastam dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan dadah dan tidak melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Golongan penyeludup pula sentiasa mengambil kesempatan dan mencari jalan mudah bagi mengaut keuntungan dengan menyeludup barang-barang larangan seperti dadah, rokok, minuman keras, bir dan sebagainya tanpa mempedulikan  kepentingan awam,” katanya.

Sindiket sedut gas tumpas



Satu sindiket mencuri gas domestik bersubsidi yang beroperasi di kawasan kilang haram di Kampung Sungai Purun, Semenyih, dekat sini, ditumpaskan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, semalam.

Dalam serbuan jam 4.45 petang itu, pihak berkuasa turut merampas 600 tong mengandungi gas petroleum cecair (LPG) yang dianggarkan bernilai RM200,000.


Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pembangunan) KPDNKK Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan bersepadu dilakukan 13 pegawai termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat berdasarkan maklumat awam dan risikan selama tiga bulan.

Menurutnya, hasil risikan mendapati kilang itu dijadikan tempat memindahkan LPG dari tong gas domestik bersubsidi seberat 14 kilogram ke dalam tong gas industri sejak enam bulan lalu.


“Sebanyak 1,500 tong gas seberat 14 kilogram dirampas dengan 400 daripadanya berisi.


“Manakala, 200 tong gas seberat 50 kilogram semuanya berisi turut dirampas,” katanya.

Katanya, ketika serbuan, 15 pekerja berusia 15 hingga 40-an rakyat tempatan bersama seorang penyelia berusia 42 tahun ditahan sedang memindahkan gas berkenaan ke dalam tong gas industri dalam gudang yang dibina khas.


“Anggota sindiket menjalankan kegiatan mereka di sebuah kilang yang tersorok 200 meter dari jalan utama dan dilindungi dinding zink tinggi bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini bekerjasama dengan pemborong berlesen yang cuba meraih keuntungan lebih dengan menjual gas berkenaan kepada pengusaha industri tempatan,” katanya.


Iskandar berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengenai pemilik tempat itu untuk tindakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Derita empat jam



Berpanas dan bergelap lebih empat jam. Itulah peristiwa tidak dapat dilupakan ratusan penumpang Keretapi Tanah Melayu (KTM) tren penumpang Ekspres Senandung Langkawi yang terkandas di Stesen Keretapi Bukit Mertajam, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, tren 11 gerabak yang dalam perjalanan dari Hat Yai, Thailand ke Kuala Lumpur dikatakan mengalami kerosakan di bahagian gerabak janakuasa ketika mengambil penumpang menyebabkan kerja baik pulih terpaksa dilakukan. Lebih 300 penumpang dikatakan menggunakan perkhidmatan kereta api berkenaan ketika kejadian.


Berikutan kejadian itu, lebih 50 penumpang termasuk pelancong asing terpaksa membatalkan perjalanan mereka dan pulang ke destinasi masing-masing menggunakan kenderaan lain.

Wartawan Berita Harian, Nurul Farina Nazlan, 30, yang kebetulan menaiki tren berkenaan bermula di Arau, Perlis berkata, kereta api berkenaan tiba-tiba terputus bekalan elektrik kira-kira 20 minit selepas tiba di Stesen Bukit Mertajam.


Dia yang dalam perjalanan pulang untuk bercuti ke Kuala Lumpur berkata, dia dan penumpang lain kecewa apabila pihak KTMB tidak memaklumkan kepada penumpang mengenai insiden berkenaan, sebaliknya hanya berbuat demikian selepas ia selesai dibaiki, kira-kira jam 3 pagi.