Search This Blog

Friday, March 22, 2013

Waris mayat tidak dituntut dicari



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2013
SHAH ALAM - Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mengesan waris kepada mayat seorang lelaki yang masih belum dituntut di Jabatan Forensik hospital berkenaan.

Pengarahnya, Dr M Sukumar berkata, lelaki itu dikenali sebagai Gunasekaran, 52, meninggal dunia pada 14 Januari lalu.

Bagi urusan tuntutan, hubungi Penolong Pegawai Perubatan Kanan, Jabatan Forensik HTAR, Mohd Radzai Mohd Illias, di talian 03 -33757000 atau sambungan 1305.

Ular seberat 80kg ditangkap


TAIPING – Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang tiga meter di sebuah kebun kelapa sawit.

Pegawai Jpam Daerah, Kapten Frankie Anak John Jawan berkata, ular sawa seberat 80 kilogram (kg) itu adalah haiwan yang terbesar ditangkap pihaknya pada tahun ini.

Menurutnya, pihak JPAM menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11 pagi dan tempat kejadian adalah di Jalan  Kampung Setia, Taiping.

"Dalam operasi tangkapan tersebut seramai lima anggota ditugaskan ke tempat kejadian.

“Ketika ini ular sawa berkenaan masih ditempatkan di sini bagaimanapun akan maklumkan kepada Jabatan Perhilitan dan zoo untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Rumah uzur, reput


Rumah uzur, reput
Bahagian dalam bilik tidur yang tidak sesuai lagi untuk didiami.
Rumah uzur, reput
Pojiah menunjukkan sebahagian bumbung rumah yang sudah bocor.
BOTA - Tanggungan lapan anak ditambah hanya ketua keluarga yang bekerja menyulitkan sebuah keluarga dari Kampung Padang Changkat Bota, di sini, membaik pulih rumah pusaka mereka.

Pojiah Baharudin, 40, berkata, mereka sekeluarga tinggal di rumah pusaka milik arwah keluarga suaminya, Razali Din, 45, yang semakin uzur.

Menurutnya, rumah berusia puluhan tahun itu mengalami pelbagai kerosakan termasuk dinding dan lantai yang reput selain bumbung bocor.

“Namun, ini sahaja tempat kami berteduh memandangkan kami tidak mampu untuk menyewa apatah lagi membina rumah lain," katanya.

Pojiah yang mempunyai lapan anak berumur antara dua tahun hingga 19 tahun berkata, suaminya hanya bekerja kampung dengan purata
pendapatan RM500 sebulan.

“Jika bekerja dapatlah gaji dan jika suami tidak sihat maka langsung tidak mendapat apa-apa pendapatan.

“Memang memeritkan kerana suami seorang yang bekerja selain dibantu anak sulung yang bekerja di kedai makan,” katanya.

Ditanya mengenai bahagian dalam rumahnya, Pojiah menyatakan bilik tidur di rumah itu sudah tidak boleh digunakan kerana mengalami kerosakan teruk.

“Kami hanya bersiap-siap di dalam bilik sahaja dan terpaksa tidur di ruang tamu rumah memandangkan keadaan bilik yang sangat teruk,” katanya.

Katanya, dia bimbang dengan keselamatan anak terutama anak bongsu yang masih kecil.

"Ada sebahagian lantai rumah dan dinding yang sudah rosak dan boleh mengundang bahaya kepada anak-anak.

“Saya terpaksa mengawal dan memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan itu,” katanya.

Katanya, dia dan suaminya menginginkan anak-anak mereka tinggal di rumah yang selesa namun mereka sendiri tidak berdaya untuk menyediakannya.

Sementara itu, keluarga berkenaan telah dikunjungi Skuad Sayang Wanita Umno Parlimen Parit dan juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit.
Dalam kunjungan itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk membantu keluarga berkenaan.

“Kita tidak akan membiarkan dan akan membawa perkara ini kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) bagi memastikan keperluan keluarga ini dapat dibantu,” katanya.

Ahli Kumpulan Along ditahan



MOHD FIRDAUS YON
22 Mac 2013
Ahli Kumpulan Along ditahan
Zainuddin (tengah) menunjukkan antara senjata yang dirampas.
JOHOR BAHRU - Salah seorang anggota kumpulan samun berbahaya dikenali sebagai Kumpulan Along berjaya ditahan polis di sebuah rumah di Setia Indah, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dengan tertangkapnya suspek berusia 30an itu, polis berjaya menyelesaikan 25 kes pecah rumah dilaporkan tahun lalu dan tahun ini.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati lelaki yang berasal dari Johor Jaya, di sini, itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Susulan daripada laporan satu kes pecah rumah di Setia Indah yang dibuat pada 16 Mac lalu, kita serbu rumah tersebut hasil maklumat orang awam.

“Selain menahan suspek, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun antaranya pedang samurai, molotov coctail dan smoke grenade,” katanya kepada pemberita.

Zainuddin berkata, polis kini sedang giat menjejaki saki baki ahli kumpulan terbabit yang dipercayai berbahaya. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 6(1) Akta Senjata Berbahaya, Bahan-bahan Kakisan dan Letupan 1958.

Dalam kes berasingan, polis berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian nombor ekor melibatkan wang pertaruhan lebih RM1 juta seminggu dengan tertangkapnya tiga individu di sebuah pangsapuri di Permas Jaya, di sini, 16 Mac lalu.

Sindiket yang didalangi rakyat Singapura itu dipercayai sudah beroperasi kira-kira enam bulan hingga setahun lalu.

Menurut Zainuddin, tiga suspek ditahan merupakan seorang lelaki rakyat Singapura yang dipercayai ketua sindiket terbabit bersama isterinya dan seorang rakan wanita berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun.

“Dalam serbuan di sebuah apartmen itu, kita berjaya merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk peralatan komputer dan kertas tercatit nombor dipercayai nombor ekor.

Zainuddin berkata, susulan serbuan itu, pihaknya akan terus giat menjalan operasi untuk memburu saki baki kumpulan terbabit sekaligus membongkar kegiatan perjudian sekitar bandar raya ini.

Dalam satu lagi kes, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun kerana memiliki senjata tiruan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, 15 Mac lalu.

Tangkapan itu dibuat oleh anggota polis yang sedang menjalankan rondaan berkereta (MPV) dalam kejadian sekitar jam 6.35 petang.

“Anggota MPV terserampak dengan suspek di Taman Century dalam keadaan mencurigakan. Polis meminta lelaki itu berhenti, namun suspek bertindak memecut laju serta memandu dalam keadaan merbahaya kerana cuba mengelak ditahan polis sebelum berjaya ditahan di Jalan Kebun Teh.

“Lelaki itu berjaya ditahan setelah kenderaan dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta peronda polis. Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk senjata paintball tanpa permit,” katanya.

Zainuddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan berikutan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Lelaki ini turut didakwa di bawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana kegagalan mengemukakan kad pengenalan untuk pemeriksaan.

“Dia kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Mac ini untuk siasatan lanjut kes berkenaan,” katanya.

TV meletup, remaja OKU nyaris maut


TV meletup, remaja OKU nyaris maut
Halimah melihat kawasan punca kebakaran yang ditunjukkan Mazali di rumahnya di Kampung Batu Ampat.
KOTA TINGGI - Seorang remaja golongan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Batu Ampat di sini nyaris maut apabila televisyen yang sedang ditontonnya tiba-tiba meletup.

Remaja tersebut, Faqrul Huzaine Mazali, 19, bagaimanapun terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang kelmarin.

Menurut ibu mangsa, Sabariah Abdullah, 43, ketika kejadian dia dan suaminya, Mazali A Rahman, 49, tiada di rumah kerana bekerja dan terus bergegas pulang selepas diberitahu.

“Kami hanya tahu tentang kebakaran itu setelah dihubungi oleh ibu (Sapiah Zainal, 75).

“Waktu itu, saya hanya berfikir tentang keselamatan dua anak, Faqrul Huzaine dan Fara Najiha, 10, tetapi mujurlah anak kami selamat,” katanya.

Menurutnya Sabariah, anak bongsunya Fara Najiha yang baru pulang dari sekolah menaiki van terus berlari ke rumah neneknya yang tidak jauh dari situ untuk meminta pertolongan sebaik terlihat asap tebal dari rumah.

“Pemandu van sekolah bersama jiran lain cuba membantu memadamkan api selain memastikan Faqrul selamat.

“Syukur Alhamdulillah, walaupun banyak barang yang rosak akibat kebakaran itu namun anak saya selamat. Terima kasih kepada jiran dan orang ramai yang membantu padamkan api,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian operasi menyelamat.

Bagaimanapun katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih menjalankan siasatan.

Tanda prihatin, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyumbangkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada keluarga tersebut.

Cemas dipatuk ular kapak


Cemas dipatuk ular kapak
Penyelaras Dun Kupang, Ishak Mat (kiri) bersama Penyelaras Dun Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah (kanan) melawat keadaan Sholihin di Hospital Baling.
BALING - Seorang remaja berusia 17 tahun berhadapan situasi cemas setelah kaki kirinya dipatut ular kapak dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Lubuk Batu di sini, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Mangsa, Mohamad Sholihin Musa, 17, berkata, ular kapak sepanjang setengah meter itu mematuk bahagian kiri kakinya semasa berada di atas motosikal.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru pulang dari kelas al-Quran dan sedang berbual dengan ibunya di hadapan rumah.

“Saya tidak mendengar sebarang bunyi, tetapi terasa sesuatu mematuk kaki saya. Saya terkejut setelah mendapati terdapat seekor ular di bawah motosikal saya.

“Ibu yang berada di situ terus memanggil ayah seterusnya bertindak membunuh haiwan itu,” katanya semasa menerima kunjungan daripada Umno Bahagian Baling.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia terus dibawa ke Hospital Baling untuk menerima rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Ditanya mengenai keadaannya ketika kejadian, Sholihin berkata, dia tidak mengalami sebarang tanda kesakitan melainkan kebas di bahagian kakinya itu.

“Lagipun, saya terus dibawa ke hospital. Kalau lambat, pasti memberi kesan kepada saya. Alhamdulillah, selepas mendapat rawatan keadaan saya bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Baling, Dr Suhaila Abas berkata, Hospital Baling mempunyai vaksin ular bagi merawat mangsa yang dipatuk ular.

Menurutnya, kebanyakan kes dipatut ular adalah pada musim padi dan setakat ini belum pernah ada sebarang kematian disebabkan dipatuk ular di daerah ini.

“Alhamdulillah, masyarakat semakin sedar dengan terus membawa mangsa ke hospital untuk rawatan.

“Yang penting, mereka perlu tahu jenis ular yang mematuk. Ini akan memudahkan pihak hospital memberikan vaksin yang bersesuaian,” katanya.

Ditanya sekiranya keluarga mahupun mangsa tidak mengetahui jenis ular itu, Dr Suhaila berkata, pihak hospital akan melakukan pemeriksaan, termasuk melihat corak gigitan bagi mengenal pasti jenis ular itu.

Budak sekolah pecah rumah


KLUANG - Seorang remaja dan seorang pelajar sekolah diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Jalan Panglima, Renggam di sini, 15 Mac lalu.

Kedua-dua suspek berusia 16 dan 23 tahun itu ditahan sekitar jam 7 malam hasil daripada serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Sri Jaya Renggam, di sini, dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek bergiat aktif dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan Pekan Layang-Layang, Renggam dan Simpang Renggam.

“Polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani masalah itu. Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai menggunakan taktik mengumpil pintu hadapan rumah mangsa untuk masuk ke dalam rumah.

“Hasil tangkapan, polis berjaya merampas tiga komputer riba, tiga telefon bimbit serta wang tunai melibatkan kerugian kira-kira RM10,000,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang, di sini, kelmarin.

Abdul Majid berkata, penahanan dua suspek terbabit berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar kawasan pekan Layang-Layang, Renggam dan Simpang Renggam.

“Suspek ditahan sehingga semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Lima pelayan pusat hiburan dipenjara sehari


Lima pelayan pusat hiburan dipenjara sehari
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret semalam.
SUNGAI PETANI – Lima pelayan pusat hiburan berusia antara 20 hingga 29 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani semalam atas tuduhan tidak memiliki sebarang dokumen yang sah ketika pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa 10 Mac lalu.

Lee Xiao Lan, Lee Xiao Xuan dan Tan Xiao Yue warganegara Thailand manakala Lo Yan Mang dan Tang Huai Di dari negara Myanmar mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Kesemua mereka melakukan perbuatan itu pada 10 Mac lalu jam lebih kurang 11 malam bertempat di Taman Bandar Baru PKNK, di sini.

Berdasarkan pertuduhan, semasa pemeriksaan polis dijalankan, tertuduh didapati bukan seorang rakyat Malaysia telah berada dalam negara ini berlawanan dengan peruntukan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) iaitu tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

Sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih dari enam sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir dihadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Mahkamah menetapkan kesemua mereka dikenakan hukuman penjara selama satu hari dan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara.

Miliki dadah, ibu tunggal terima padah


Miliki dadah, ibu tunggal terima padah
Norafida dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani semalam.
SUNGAI PETANI – Seorang wanita berusia 31 tahun mengaku bersalah memiliki dadah berbahaya menyebabkan dia dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani semalam.

Ibu kepada empat anak yang juga mengaku bahawa dirinya ibu tunggal, Norafida Abdull Hamid merayu Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli meringankan hukuman terhadapnya.

“Saya minta hukuman saya diringankan, saya ibu tunggal dan anak-anak pula bersekolah, bagaimana keadaan mereka nanti sekiranya saya dipenjarakan,” kata Nur Afida selepas mahkamah memberi ruang untuknya membuat rayuan.

Dalam pertuduhan itu, Norafida bersama-sama seorang lagi yang didakwa, Ayob Ahmad, 46, dituduh memiliki dadah merbahaya jenis methamphetamine seberat 3.19 gram.

Perbuatan itu dilakukan pada 27 November 2012 jam lebih kurang 2.15 pagi di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, Sungai Petani.

Akibat perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1983) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sekiranya didapati bersalah, denda tidak melebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun boleh dikenakan.

Norafida bagaimanapun mengaku salah atas pertuduhan itu sementara Ayob mengaku tidak bersalah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara terhadap Norafida atas kesalahan itu.

Sementara itu, Ayob mengaku bersalah atas pertuduhan berlainan iaitu memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya jam 4 petang pada 12 Julai 2012 di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini.

Hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh dua tahun boleh dikenakan sekiranya disabitkan kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh jatuh hukum dan diberi pengawasan selama dua tahun.

Cemas rumah diceroboh


Sandra
Sandra
Cemas rumah diceroboh
Keadaan bilik yang berselerak akibat diselongkar perompak.
SENAWANG – Seorang wanita bersama tiga anaknya berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Seri Mawar, dekat sini diceroboh empat lelaki bersenjatakan parang, awal pagi kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Sandra, 47, berkata, kejadian berlaku kira-kira 3 pagi sewaktu dia dan anak-anaknya sedang tidur di bilik masing-masing.

Menurutnya, dia tersedar apabila salah seorang perompak tersebut mengejutnya dengan nada bengis sehingga menyebabkan dia terkejut.

“Kesemua memegang parang menakutkan saya dan anak-anak, sebelum bertindak menyelongkar dalam rumah ini," katanya,

Katanya, mulutnya ditutup dengan pelekat, manakala kaki dan tangan pula diikat dengan tali.

"Kesemua perompak itu masuk ke rumah dari sebuah tingkap kecil di bilik air kerena terdapat kesan umpil di situ," katanya yang mendakwa kerugian RM12,000 selepas telefon bimbit, barang kemas, tablet dan komputer riba dibawa lari pencuri terbabit.

Perdaya polis konon jumpa bayi, elak teman wanita ditahan


NILAI – Seorang lelaki sanggup memperdayakan polis dengan membuat panggilan kononnya menjumpai bayi di Masjid Putra, dekat sini.

Bagaimanapun, taktiknya terbongkar apabila siasatan mendapati, lelaki terbabit sebenarnya teman lelaki kepada ibu bayi berkenaan.

Ketua Polis daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 petang Selasa lalu, polis menerima panggilan lelaki berusia 27 tahun itu mendakwa menjumpai bayi ditinggalkan di depan pintu masjid.

"Hasil maklumat, kita bergegas ke lokasi dan menjumpai seorang bayi seberat 3.3 kilogram yang baru dilahirkan tidak sampai sehari di dalam sebuah beg pakaian.

“Bayi itu berada dalam keadaan sihat dan dibalut dengan sehelai kain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas siasatan dilakukan terhadap pengadu, polis mendapat tahu bahawa lelaki itu merupakan teman lelaki kepada ibu bayi berkenaan.

Katanya, wanita berusia 23 tahun itu merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara.

"Siasatan polis mendapati bayi terbabit dilahirkan kira-kira 6 pagi hari sama di asrama IPTA berkenaan.

“Bagi menyembunyikan kelahiran itu,  pelajar wanita itu menyorok bayi itu dalam almari pakaiannya sebelum menghubungi teman lelakinya.

"Kira-kira 12 tengah hari, teman lelakinya datang ke asrama IPTA itu bagi mengambil bayi berkenaan dan membawanya ke Masjid Putra," katanya di sini, semalam.

Mohd Yusoff berkata, pelajar wanita yang menuntut di tahun dua dalam jurusan matematik, serta teman lelakinya yang bekerja sendiri ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi.

 “Jika sabit kesalahan, keduanya boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya," katanya.

Sanjay Dutt dihantar semula ke penjara


Sanjay Dutt
Sanjay Dutt
NEW DELHI - Mahkamah Agung India memutuskan pelakon Bollywood, Sanjay Dutt mesti kembali ke penjara kerana terlibat dalam siri letupan Mumbai pada tahun 1993.
Pelakon itu telah diikat jamin pada tahun 2007 selepas membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman asal penjara enam tahun.
Sanjay disabitkan kesalahan pada tahun 2006 kerana membeli senjata daripada pengebom yang menyerang Mumbai.
Hakim mengarahkan Sanjay menyerah diri dalam masa empat minggu.
Sanjay  mendakwa senjata yang dibelinya hanyalah untuk mempertahankan keluarganya semasa kejadian rusuhan Hindu-Muslim pada tahun 1993 diikuti kemusnahan masjid Babri di bandar utara Ayodha oleh fanatik Hindu.
Beliau terpaksa menghabiskan masa 18 bulan dalam penjara.
Pengeboman bersiri itu membunuh 257 orang dan mencederakan 713 yang lain.

'Rambo' dipenjara 133 tahun


'Rambo' dipenjara 133 tahun
Rabidin
RAUB - Perogol bersiri yang menggemparkan negara hingga digelar 'Rambo' terpaksa meringkuk dalam penjara sehingga 133 tahun, apabila dia menerima hukuman 18 tahun lagi penjara kerana kesalahan mencederakan anggota polis pada November tahun lalu.

Hakim mahkamah sesyen,  Shahrizat Ismail menetapkan Rabidin Satir, 42, perlu menjalani hukuman tambahan itu sebaik sahaja berakhir tempoh 115 tahun penjara yang ditetapkan sebelum ini.

Rabidin didapati bersalah di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada hari dia ditangkap, 14 November lalu.

Shahrizat menjatuhkan hukuman tersebut setelah Rabidin yang berasal dari Tambunan, Sabah membuat pengakuan bersalah mencederakan seorang anggota polis yang cuba menahannya.

Menurut Shahrizat, kesalahan itu berat memandangkan mangsa adalah anggota polis yang bertugas menjaga ketenteraman awam.

Walaupun Rabidin membuat rayuan supaya hukumannya diringankan, tetapi mahkamah tetap dengan keputusan itu sebagai pengajaran kepadanya dan juga orang lain.

Pada 5 Februari lalu, di mahkamah sama, Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman 115 tahun penjara termasuk 50 sebatan ke atas Rabidin setelah dia mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol dan satu tuduhan liwat.

Kesemua hukuman itu diperintah berjalan secara berasingan mulai tarikh dia ditangkap.

Dalam pendakwaan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan masyarakat hidup dalam ketakutan.

Maut jatuh kondominium


 Arjunaidi Mohamed
Arjunaidi Mohamed
PETALING JAYA - Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 10 Kondominium Palm Spring. Kota Damansara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa  maut serta merta selepas mengalami kecederaan teruk pada kepala dan badan.

Menurutnya, siasatan awal  mendapati mangsa merupakan pesakit mental.

"Keluarga mangsa yang berada di dalam rumah hanya mengetahui tentang kejadian selepas dimaklumkan oleh jiran," katanya.

Arjunaidi berkata, mangsa yang tinggal bersama ibu dan dua adik perempuannya sempat makan malam bersama sebelum kejadian berlaku.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Murid lemas mandi di sungai bersama kawan


BESUT - Seorang murid Tahun Tiga yang mandi di Sungai Besut berhampiran Taman Teratur, Jerteh lemas dalam kejadian petang semalam.
 
Ahmad Akid Syawal Aznan, 9, murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah pergi ke sungai itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya bersama lima rakannya kira-kira pukul 3.30 petang.
 
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata mangsa tenggelam dua jam kemudian ketika mandi di kawasan air yang dalam.
 
“Apabila menyedari mangsa tenggelam, salah seorang rakannya menyelam dan berjaya menarik mangsa keluar. Bapa mangsa segera diberitahu tentang kejadian itu," katanya.
 
Beliau berkata anak keempat dari enam beradik itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut oleh bapanya yang mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia oleh pihak hospital. - Bernama

Taktik jenayah bawa padah


 Mohd Musstaqim Abd Rahman
Mohd Musstaqim Abd Rahman
KOTA BHARU – Taktik licik seorang buruh membawa beg plastik ‘Tesco’ untuk mencuri di pasar raya itu tidak menjadi apabila dia ditahan dan dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Musstaqim Abd Rahman, 24, turut didenda RM2,000 oleh Majistret Nik Habri Muhamad selepas dia mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa mencuri empat mesin pemotong rambut bernilai RM279.60 di pasar raya berkenaan di sini, pada jam 6.20 petang, 17 Mac lalu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pengawal keselamatan yang sedang bertugas ketika itu ternampak tertuduh memasukan empat barang berkenaan di dalam plastik bertulis ‘Tesco’ sebelum meletakkan dalam troli lalu keluar tanpa membuat bayaran.

Pengadu bagaimanapun bertindak pantas menahan tertuduh dan membuat pemeriksaan. Tertuduh ditahan bersama barang yang dicuri.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku mencuri satu mesin pemotong rambut itu untuk kegunaan sendiri dan selebihnya untuk dijual.

Mendengar penjelasan itu, Nik Habri menjatuhkan hukuman dan turut mengenakan penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Penumpang bas Cityliner cemas


Penumpang bas Cityliner cemas
Keadaan kereta dan bas yang terlibat dengan kemalangan.
PORT DICKSON – Kira-kira 23 penumpang dan pemandu bas Cityliner melalui detik cemas apabila kenderaan itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga, di Batu 2 Jalan Pantai berhampiran Hotel Corus, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11.45 pagi ketika bas dipandu dari arah Port Dickson ke Telok kemang.

Penumpang bas, Albaniah Malik, 66, berkata, sepanjang usianya , ini adalah kali pertama melihat insiden kemalangan di depan mata dan lebih memeranjatkan dia turut terlibat dalam insiden berkenaan.

“Rasa nak gugur jantung mak cik tengok kemalangan tadi. Kalau ada sakit jantung mesti mak cik pengsan.

“Dah lah mak cik duduk depan sekali. Walau macam mana sekalipun mak cik tetap bersyukur sebab kami semua selamat, cuma orang yang dalam kereta itu sahaja mengalami cedera,” katanya.

Menurutnya, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Kemang dari Bandar Port Dickson bersama anak dan dua cucunya.

Anak Albaniah, Azlina Azman, 29, berkata, kejadian berlaku begitu pantas.

“Apa yang saya perasan, bas dipandu dengan perlahan lebih-lebih lagi bas baru sahaja berjalan selepas berhenti di lampu trafik.

“Tiba-tiba ada sebuah kereta memotong bas dan mungkin pemandu kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terus merempuh tembok di kiri jalan dan kereta itu terpusing dua kali.

“Pemandu bas sempat membrek namun bertembung dengan kereta itu yang menghalang laluan bas,” katanya.

Azlina berkata, ketika kejadian dua anaknya sedang tidur dan berada di pangkuannya. Mujur pertembungan bas dan kereta itu tidak kuat, jika tidak pasti kami akan terhumban atau jatuh ke depan.

Penumpang, Nurul Syafika Abd Shukor, 20, berkata, dia dalam perjalanan ke Politeknik Port Dickson dan duduk di bahagian belakang bas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya ada mendengar bunyi dentuman yang agak kuat dan melihat ada kepulan asap di bahagian bas.

“Keadaan panik seketika selepas mengetahui bas yang saya naiki terlibat dengan kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Trafik Cityliner Port Dickson, Rahim Jolan berkata, semua penumpang termasuk pemandu bas  tidak mengalami kecederaan.

“Semua penumpang yang terlibat juga dipindahkan ke sebuah bas yang lain dengan kadar segera untuk mengelakkan penumpang menunggu terlalu lama,” katanya.

Rahim berkata, bas Cityliner yang terbabit dalam kemalangan itu baru sahaja keluar daripada platform perhentian bas Port Dickson sekitar 11.30 pagi untuk ke Tanjung Agas mengikut laluan Port Dickson-Telok Kemang dan Pasir Panjang.

Dalam pada itu, pemandu dan tiga penumpang kereta yang cedera dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Pesawat bawa pasukan Itali disambar petir


Cesare Prandelli
Cesare Prandelli
PEMAIN dan pegawai skuad kebangsaan Itali menempuh saat cemas apabila pesawat mereka disambar petir ketika dalam perjalanan menuju ke Switzerland, semalam.

The Azzurri berlepas ke negara berkenaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brazil.

Bagaimanapun tiada kerosakan dan kecederaan dilaporkan, namun insiden berkenaan benar-benar mengejutkan semua penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut.

"Semua orang terkejut. Ini pengalaman yang mengerikan," kata pemain Juventus, Claudio Marchisio. Sementara itu, pengendali Itali, Cesare Prandelli mahu segera melupakan insiden berkenaan.

"Ada bunyi letupan yang kuat ketika petir menyambar sayap pesawat. Ini pengalaman paling mengerikan kerana semua orang dalam ketakutan," katanya.

Ular seberat 80kg ditangkap


TAIPING – Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang tiga meter di sebuah kebun kelapa sawit.

Pegawai Jpam Daerah, Kapten Frankie Anak John Jawan berkata, ular sawa seberat 80 kilogram (kg) itu adalah haiwan yang terbesar ditangkap pihaknya pada tahun ini.

Menurutnya, pihak JPAM menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11 pagi dan tempat kejadian adalah di Jalan  Kampung Setia, Taiping.

"Dalam operasi tangkapan tersebut seramai lima anggota ditugaskan ke tempat kejadian.

“Ketika ini ular sawa berkenaan masih ditempatkan di sini bagaimanapun akan maklumkan kepada Jabatan Perhilitan dan zoo untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

12 kes curi motor selesai


12 kes curi motor selesai
Bangkai motosikal yang berjaya dirampas dalam operasi di Jalan Gombak.
SENTUL – Polis berjaya menyelesaikan 12 kes curi motosikal sekitar Lembah Klang dan Pahang yang didalangi rangkaian Geng Kechik Selayang yang bergiat aktif sejak setahun lalu.

Ketua kumpulan yang dikenali sebagai Kechik diberkas 5 Mac lalu dalam satu  operasi khas polis  di Jalan Gombak sekitar jam 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek baru dibebaskan dua minggu lalu dan mempunyai  dua rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan dadah.

Zakaria berkata, susulan itu, pihaknya berjaya memberkas 20 lagi suspek termasuk seorang perempuan dan tujuh pembeli serta merampas 27 buah motosikal dicuri.

“Motosikal yang dicuri dijual di kawasan Felda sekitar Lanchang dengan harga RM300 hingga RM1000.

“Geng ini juga terlibat dalam  kes  pecah rumah, pecah kereta dan samun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A  dan 411 Kanun keseksaan.

Pengedar dadah mati ditembak



WAN NASRAH ABDUL RAHIM
22 Mac 2013
Ku Chin Wah
Ku Chin Wah
SHAH ALAM - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah maut ditembak dalam kejadian di parkir sebuah hotel di Jalan Ampang, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat letak kereta sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal dengan seorang daripadanya melepaskan tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa Chan Hong Sou,31, cedera parah mati serta merta di tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan di leher belakang, tangan kiri, rusuk kiri dan dada kanan.

"Kita turut menemui beberapa paket dadah dipercayai jenis syabu, eramin 5 dan juga ecstacy dalam beg sandang mangsa," katanya.

Beliau berkata, kereta mewah jenis BMW dinaiki mangsa turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan terlibat  dalam kes kecurian dan pecah rumah 19 Mac lalu.

Chin Wah berkata, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tak sangka rumah hangus



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2013
Tak sangka rumah hangus
Keadaan rumah Mohd Latif yang hangus terbakar dalam kejadian berkenaan.
CHANGKAT JERING – Seorang pelajar tingkatan satu tidak menyangka bunyi dentuman kuat menyebabkan rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Changkat Jering, di sini, semalam.

Mangsa,  Nur Syazwani Mohd Latif, 13, berkata, ketika kejadian dia tinggal seorang diri di dalam rumah sementara ibu bapanya keluar bekerja.

Menurutnya, ketika itu, hujan sangat lebat bersama petir sabung-menyabung menyebabkan dia bertindak membaca al-Quran bagi menghilangkan ketakutan.

“Tiba-tiba saya mendengar bunyi dentuman yang kuat dan terus lari keluar dari rumah.

“Saya juga tak sangka bunyi berkenaan menyebabkan rumah saya terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Bapa mangsa, Mohd Latif Abu Kassim, 43, berkata, ketika kejadian dia, isteri dan anak ketiganya tidak berada di rumah.

Jelasnya, dia keluar bekerja di Trong manakala isterinya, Normah Mat Moh, 43, bekerja menjahit di Pekan Simpang dan anak ketiga pula berada di sekolah.

“Saya bergegas pulang apabila menerima panggilan daripada jiran berkenaan kejadian kebakaran itu.

“Jiran menyedari rumah saya terbakar apabila mereka melihatkan api mula marak di bahagian hadapan,” katanya.

Tambah Mohd Latif, apabila sampai di rumah, semuanya hangus terbakar dan menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, untuk sementara waktu, dia dan keluarga akan tinggal menumpang di rumah abangnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Abd  Rashid berkata, ketika anggota bomba sampai di tempat kejadian, rumah berkenaan telah musnah hampir 80 peratus.

Tambahnya, pihak bomba menerima panggilan daripada orang ramai  kira-kira jam 4.05 petang dan tiba di lokasi pada 4.18 petang.

“Seramai 12 anggota serta tiga jentera iaitu dua dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dan satu dari Kamunting dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kita mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran, bernasib baik tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan manakala punca kejadian dan jumlah kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya.

5 sekeluarga nyaris rentung dalam kebakaran di Kelantan




22 Mac 2013
KOTA BAHARU - Panggilan telefon ibu menyelamatkan lima sekeluarga daripada rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu sepasang suami isteri dan tiga anak mereka sempat menyelamatkan diri sekalipun rumah kedai tersebut sudah separuh terbakar.
Azizah Yaakob, 48, berkata, beliau menghubungi anaknya yang tinggal di rumah kedai tersebut sebaik mendapat panggilan telefon daripada rakan yang melihat tingkat atas premis itu terbakar.

"Saya bersyukur kerana anak dan keluarganya selamat dan tidak menjadi mangsa kebakaran," katanya yang juga pemilik kedai makan itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan 2, Mahusin Hassan berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kebakaran tersebut pada pukul 6.07 pagi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk memadam kebakaran.

"Api marak dengan cepat menyebabkan pihak bomba mengambil masa agak lama untuk memadamkan api," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya jumlah kerugian dianggar RM20,000 dan punca kejadian dalam siasatan.- Bernama

Ibu tiga anak mengaku curi kebaya, jubah



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2013
Ibu tiga anak mengaku curi kebaya, jubah
Tertuduh (kiri) diiringi polis keluar dari mahkamah selepas dihukum, semalam.
KOTA BHARU – Tindakan seorang ibu tiga anak yang mencuri kebaya dan jubah di sebuah pasar raya di sini, menerima padah apabila dia dihukum penjara 13 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh warganegara Thailand, Sakina Madeng, 42, turut didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan jika gagal jelas denda selepas mengaku bersalah pada tuduhan itu.

Dia didakwa mencuri sehelai jubah denim dan sehelai kebaya bernilai RM169.80 di sebuah pasar raya di Kubang Kerian di sini, pada jam 10 malam, 9 Mac lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh melalui peguam belanya, Ahmad Nuri Abdul Rahman memohon hukuman ringan dikenakan terhadap tertuduh berikutan dia sudah insaf dan malu dengan perbuatannya itu.

“Tertuduh tidak bekerja dan mempunyai tiga anak yang berusia 16, 12 dan lapan tahun. Suaminya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Mohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sedar dan malu dengan perbuatan yang dilakukan pada usianya itu,” katanya.

Majistret Nik Habri Muhamad sebelum menjatuhkan hukuman sempat menasihati tertuduh supaya mengambil pengajaran terhadap kesnya itu.

“Jangan ulangi kesalahan. Bukan sahaja tertuduh tetapi orang lain yang ada di dalam bilik ini juga jangan buat kesalahan seperti tertuduh. Ikutkan harga baju itu, tertuduh mampu bayar tetapi kalau mencuri tidak kena tangkap tidak apa, bila kena tangkap inilah jadinya. Jadikan pengajaran,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Ugut bunuh, berdepan penjara 2 tahun



ADILA SHARINNI WAHID
22 Mac 2013
Berdepan penjara 2 tahun
Tertuduh (dua kanan) dibawa keluar anggota polis selepas mengaku bersalah atas tuduhan ugut bunuh, semalam.
KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah mengugut bunuh seorang lelaki yang didakwanya berjalan sambil membawa bendera Pas dan DAP, 18 Mac lalu.

Hukuman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu bagaimanapun ditangguhkan Mahkamah Majistret di sini, semalam berikutan fakta yang belum lengkap.

Noor Rozi Harun, 40, mengaku mengugut Mohamad Zahari Ibrahim, 53, dengan berkata ‘kalu mu tok buang aku bunuh mu dan tikam mu’ di tepi jalan Bandar Madrasah Pasir Puteh, jam 6.10 petang.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku mabuk ketika melakukan kesalahan itu.

Dia dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Kes bersambung 20 Mei depan sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Ugut bunuh, berdepan penjara 2 tahun



ADILA SHARINNI WAHID
22 Mac 2013
Berdepan penjara 2 tahun
Tertuduh (dua kanan) dibawa keluar anggota polis selepas mengaku bersalah atas tuduhan ugut bunuh, semalam.
KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah mengugut bunuh seorang lelaki yang didakwanya berjalan sambil membawa bendera Pas dan DAP, 18 Mac lalu.

Hukuman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu bagaimanapun ditangguhkan Mahkamah Majistret di sini, semalam berikutan fakta yang belum lengkap.

Noor Rozi Harun, 40, mengaku mengugut Mohamad Zahari Ibrahim, 53, dengan berkata ‘kalu mu tok buang aku bunuh mu dan tikam mu’ di tepi jalan Bandar Madrasah Pasir Puteh, jam 6.10 petang.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku mabuk ketika melakukan kesalahan itu.

Dia dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Kes bersambung 20 Mei depan sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kes bunuh Sosilawati: Keputusan 23 Mei




22 Mac 2013
Sosilawati Lawiya
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Selepas memanggil seramai 30 saksi pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang mengambil masa hampir dua tahun di Mahkamah Tinggi di sini, pihak pembelaan menutup kesnya hari ini.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan 9 dan 10 Mei ini untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan pada 23 Mei ini sama ada keempat-empat tertuduh akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Sebanyak 742 eksibit ditender dalam perbicaraan selama 110 hari bermula pada 4 Julai 2011, yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat.

Pihak pendakwaan sebelum ini mengemukakan 108 saksi.

Bekas peguam, N.Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil
Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani dan Siti Rohaida Che Hamid, sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Khatavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.

Terdahulu, ketika menyoal balas saksi terakhir pembelaan, Roslie Sulle, 36, Manjeet Singh menarik perhatian mahkamah apabila beliau menunjukkan demonstrasi dengan memasukkan abu ke dalam sebuah bekas plastik berwarna biru sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik.

Roslie merupakan peguam yang mewakili mekanik, K.Sarawanan dan pekerja ladang U.Suresh yang menghadapi empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Okt 2010.

Sarawanan, 22, dan Suresh, 29, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Manjeet Singh seterusnya meminta Roslie memegang beg plastik berisi bekas biru berkenaan sebelum meminta saksi membuang beg plastik itu ke atas lantai.

"Saya mahu beritahu anda berlaku pergaduhan di rumah saya malam tadi. Mann Singh dan Mahinder Singh sedang menari dan saya tidak suka apa yang mereka buat, jadi saya pukul dan bakar mereka. Sekarang saya bagi anda ini dan anda telah
buangkannya. Kemudian anda didakwa di mahkamah, jadi anda telah melakukan kesalahan? Adakah anda tahu siapa Mahinder dan Mann Singh?," kata Manjeet Singh.

"Saya tidak tahu," jawab Roslie.

Bolehkah anda membantu saya untuk mengasingkan yang mana Mahinder Singh dan Mann Singh daripada bekas itu," kata Manjeet Singh dan Rosli hanya tersenyum tidak memberi sebarang jawapan.

"Saya tidak bergurau. Saya menunjukkan bagaimana tidak masuk akal tindakan anda dan Timbalan Pendakwa Raya (di Mahkamah Majistret apabila Sarawanan mengaku bersalah). Jadi bolehkah anda mengasingkan Mahinder Singh dan Mann Singh,"
soalnya dan Roslie menjawab tidak.

"Adakah anda melupuskan Mahinder dan Mann? Bagaimana anda tahu ia bukan abu kucing atau anjing saya?," kata Manjeet Singh.

"Pada masa itu saya dan Puravelan (peguam M. Puravelan) telah berbincang dan beliau (Puravelan) yang meneliti fakta kes. Saya hanya menyediakan mitigasi (rayuan)," jawab Roslie.

"Jadi anda mengatakan Puravelan tidak tahu fakta kes itu tidak lengkap dan ia tidak menunjukkan sebarang kesalahan? Adakah anda dengar fakta kes itu di mahkamah atau anda tidak berada di mahkamah," soal Manjeet Singh.

"Saya berada dalam mahkamah," jawab Roslie.

"Saya beritahu anda ini adalah sebahagian konspirasi untuk menjauhkan mereka jadi fakta kes boleh digunakan untuk perbicaraan lain," kata Manjeet Singh.

"Tidak setuju," jawab Roslie. - Bernama

Hospital Pulau Pinang minta waris tuntut mayat




22 Mac 2013
GEORGETOWN - Hospital Pulau Pinang (HPP) memohon waris kepada tiga mayat supaya menuntutnya di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu.

Pengarah HPP, Datuk Dr Yasmin Sulaiman berkata, pihak hospital gagal mengesan waris-waris kepada mayat berkenaan.

Mayat pertama adalah seorang wanita warga Indonesia, Aminah Hasan, 40, meninggal dunia di hospital itu pada Sabtu lepas dan beralamat terakhir di E83 Blok B Sungai Nibong Besar, Bayan Lepas.
"Mayat kedua adalah lelaki dikenali sebagai J. Selvanathan, 59, meninggal dunia pada 23 Feb lepas akibat penyakit hati," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi mayat lelaki dewasa tanpa dokumen pengenalan diri dikenali sebagai Thamilselvam meninggal dunia di hospital itu pada 24 Februari lepas.

Waris kepada mayat-mayat terbabit boleh menghubungi Jabatan Perhubungan Awam HPP di talian 04-2225333 untuk maklumat lanjut.- Bernama

Kereta terbabas ‘sapu’ dua motosikal



22 Mac 2013
Kereta terbabas ‘sapu’ dua motosikal
Keadaan kenderaan Proton Iswara dinaiki mangsa rosak teruk akibat terhumban ke dalam parit di Batu 6, Jalan Baharu kelmarin
KUALA KURAU, Kerian - Seorang warga tempatan cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terhumban ke dalam parit sedalam lima meter di Batu 6, Jalan Baharu di sini, kelmarin.

Lebih memburukkan keadaan, kenderaan jenis Proton Iswara yang dinaiki mangsa berusia lingkungan 50-an turut merempuh dua motosikal yang diletakkan di bahu jalan sehingga menyebabkan kedua-duanya hampir musnah.

Saksi kejadian enggan dikenali berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Parit Buntar dari arah pekan Kuala Kurau sebelum gagal mengawal kenderaannya dalam kemalangan jam 10 pagi.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum ke laluan bertentangan dan merempuh dua motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

"Kereta terbabit kemudiannya terhumban ke parit berhampiran bersama dua motosikal yang terheret.

“Kejadian itu menyebabkan bunyi dentuman kuat sebelum saya bersama beberapa penduduk meninjau tempat kejadian dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa cedera parah di beberapa bahagian badan setelah terperangkap di dalam kereta itu lebih setengah jam dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut,” katanya sewaktu ditemui media semalam.

Saksi kejadian berkata, kejadian menimpa kedua-dua motosikal jenis Honda EX-5 hanya disedari pemiliknya sejam selepas kejadian berlaku.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau yang tiba beberapa minit selepas kejadian turut membantu mengeluarkan kedua-dua motosikal yang terhimpit di balik kereta terbabit.

“Melihat keadaan motosikal selepas dinaikkan, saya rasa kedua-duanya mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

Lima individu didakwa tipu Agro Bank




22 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Lima individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menipu Agro Bank berhubung dokumen permohonan pinjaman bank itu Februari lalu.
 
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
   
Roslinda Mah Alim, 33, dan Mohd Idzzuwan Kamshah, 25, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menipu bank itu melalui Niazatun Nikmatlah, 42, sehingga mempercayai dokumen permohonan pinjaman jenis Agro Cash-I bagi penama Jalina Mohd Shariff, 33, merupakan tulen.
 
Tindakan kedua-dua tertuduh itu mendorong bank tersebut menyerahkan wang RM100,000 ke akaun Jalina.
 
Mereka yang bekerja sendiri didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 petang, 6 Februari lalu di Agro Bank cawangan Cheras di sini, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Hakim Murtazadi membenarkan setiap tertuduh yang diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April untuk sebutan semula kes.
 
Tiga lagi lelaki didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu bank itu di cawangan Bandar Tasek Selatan dan Leboh Pasar, membabitkan jumlah RM125,000 bulan lalu.
 
Redzuan Abdul Azis, 32, Ahmad Kamal Zulkifly, 27, dan Izzat Shamil Jasmi, 23, didakwa memperdayakan bank itu menerusi Zamakhsyari Omar sehingga mempercayai bahawa dokumen permohonan pinjaman Agro Cash-i yang dikemukakan adalah tulen.
 
Perbuatan mereka mendorong pihak bank menyerahkan wang sejumlah RM125,000 ke dalam akaun Ahmad Kamal dan Izzat Shamil yang mana pihak bank tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
 
Redzuan didakwa melakukan kesalahan itu di bank tersebut di cawangan Bandar Tasek Selatan dan Leboh Pasar pada 1 tengah hari, 5 Feb lalu.
 
Redzuan turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Izzat Shamil bagi tujuan sama, pada hari sama.
 
Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala Redzuan pula dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat.
 
Mahkamah membenarkan Redzuan dijamin RM50,000, Ahmad Kamal RM30,000 manakala Izzat Shamil RM20,000 dan menetapkan 26 April untuk sebutan.
 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri manakala peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab mewakili Redzuan sementara dua tertuduh yang lain tidak diwakili peguam.  - Bernama