Search This Blog

Thursday, March 21, 2013

Jumpa kepala tanpa badan



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2013
Jumpa kepala tanpa badan
Polis bersama anjing pengesan untuk mencari badan warga emas yang dipotong kepala. Gambar Kecil: Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali
KLUANG - Polis menjumpai kepala tanpa badan milik seorang warga emas dipercayai dijadikan pemujaan di dalam Kuil Muniandy yang terletak di kawasan Ladang Coronation, Sri Lalang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian itu lebih kurang jam 7.30 pagi daripada orang awam.

Beliau yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kepala lelaki berusia 62 tahun itu ditemui oleh penjaga kuil terbabit.

“Pada masa ini polis sedang berusaha mencari bahagian badan mangsa dan siasatan awal mempercayai lelaki itu dibunuh di tempat lain.

“Selepas itu kepala mangsa yang telah dipotong dengan senjata tajam di letak di kuil yang sudah berusia lebih 70 tahun itu untuk tujuan pemujaan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, hasil siasatan mendapati warga emas itu merupakan seorang gelandangan dan sering tidur di sebuah tokong di Sri Lalang selepas isteri dan anaknya berpindah ke Johor Bahru.

Polis masih belum menemui senjata yang digunakan untuk membunuh warga emas berkenaan.

"Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor setakat ini percaya lelaki itu dibunuh kira-kira lapan jam sebelum kepalanya ditemui berdasarkan titisan darah yang ada di tempat kejadian.

“Polis percaya lebih dari tiga suspek terlibat dalam kejadian bunuh ini malah dipercayai suspek sempat mengadakan upacara pemujaan menggunakan kepala terbabit sebelum melarikan diri.

“Polis sedang mengesan kesemua suspek yang berumur 30 hingga 50 tahun itu dan empat kenderaan yang digunakan mereka bagi melarikan diri.

“Apa yang penting, kejadian ini bermotifkan pemujaan dan bukannya perkauman mahupun gangsterism. Kita tidak mahu orang ramai membuat pelbagai spekulasi mengenainya kejadian ini,” katanya.

Abdul Majid berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Manakala kepala terbabit dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang dan polis juga meminta bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Asistan Superintendan Ahmad Zamry Marinsah di talian 019-7266998 bagi membantu siasatan.

Mak nyah tidak serik



FARAH SHAZWANI ALI
21 Mac 2013
Mak nyah tidak serik
Mohd Razif (kanan) dan Wan Daud menutup wajah mereka sebaik menyedari kehadiran jurugambar.
KUALA TERENGGANU - Tidak serik ditangkap berkali-kali atas tuduhan orang lelaki berlagak perempuan.

Dua mak nyah akhirnya terpaksa akur apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, memerintah kedua-dua mereka ditahan di Pusat
Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor, bagi tujuan pemulihan.

Tertuduh pertama, Wan Daud Wan Jaafar, 35, dikenakan hukuman selama enam bulan di pusat berkenaan.

Manakala, tertuduh kedua, Mohd Razif Ismail, 25, dikenakan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan menjalani pemulihan selama enam bulan di pusat berkenaan.

Hukuman dijatuhi oleh Hakim Syarie, Kamarulazmi Ismail.

Terdahulu, Kamarulazmi dalam penghakimannya berkata, hukuman itu bagi memberi kesedaran, keinsafan dan pencegahan kepada kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama serta memperbaiki diri dan mengharapkan mereka insaf dengan perbuatan dilakukan.

“Sampai bila nak jadi begini? Apa tujuan dan matlamat hidup kamu? Kamu percaya Tuhan ada? Kamu percaya kamu akan mati? Apa persediaan kamu? Denda dan penjara sudah dibuat, hukuman apa lagi yang boleh mahkamah buat supaya kamu insaf?

“Saya dapati kedua-dua kamu begitu jauh daripada agama dan dalam membuat pertimbangan. Hukuman yang mahkamah buat ini mengambil kira rekod lampau kamu. Mohd Razif mempunyai tiga rekod ditahan sebelum ini dan tuduhan keempat dan kelima pada hari ini (semalam).

“Wan Daud pula mempunyai rekod ditahan sebelum ini dan kali ini adalah rekod kedua kamu,” katanya.

Kedua-dua tertuduh sebelum itu mengaku bersalah atas tuduhan orang lelaki berlagak perempuan, di bawah Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan mengaku sudah insaf dengan perbuatan mereka.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie daripada Jabatan Undang-undang dan Pendakwaan Terengganu.

Berdasarkan fakta kes, Wan Daud yang bekerja sebagai 'housekeeping' di sebuah hotel ditangkap pada 29 Disember 2011, kira-kira jam 3.10 pagi di kawasan Flat SP Petani, Jalan Sultan Sulaiman oleh pegawai penguat kuasa syariah yang ketika itu bersama beberapa rakan setugasnya sedang membuat rondaan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

Pegawai berkenaan nampak ada beberapa lelaki yang berlagak perempuan berada di kawasan tersebut.

Pegawai berkenaan kemudian menghampiri Wan Daud yang ketika itu berpakaian perempuan, yang kemudiannya bertindak melarikan diri ke arah tangga flat tetapi berjaya ditangkap.

Manakala Mohd Razif yang berasal dari Kampung Gong Pak Maseh, ditangkap pada 10 Mei 2012 oleh pegawai penguat kuasa syariah kira-kira jam 9.30 malam, yang ketika itu sedang membuat rondaan bersama rakan setugas di sekitar Jalan Banggol, di sini.

Pegawai berkenaan nampak ada tiga orang dipercayai lelaki berlagak seperti perempuan, berada berhampiran dengan sebuah rumah dan kemudian menghampiri kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, mereka melarikan diri tetapi Mohd Razif berjaya ditangkap.

Polis selesai 63 kes rompak di negara ini




20 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Polis yakin dapat menyelesaikan 63 kes rompakan di sekitar negara ini berikutan penahanan empat lelaki tempatan pada Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua suspek ditahan selepas menerima laporan daripada seorang mangsa yang dirompak oleh suspek selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di Kepong pada 18 Januari lalu.
"Berikutan laporan itu, polis berjaya menahan tiga suspek dan merampas sebuah kereta jenis Viva dan Mercedes Benz dalam sebuah operasi di Kota Damansara.
"Seorang suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Volvo, menyebabkan polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta berkenaan di Setapak dan berjaya menahan lelaki itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati kumpulan itu bukan sahaja bergiat aktif di ibu kota, malah di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pahang dan Pulau Pinang.
Beliau berkata kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman sehingga esok.
Berikutan penahanan mereka, polis menemui pelbagai barangan termasuk lima telefon bimbit, sebilah kapak, parang dan beberapa sarung tangan dan topeng ski yang dipercayai diguna untuk aktiviti rompak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 412 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barang curi.
Beliau berkata modus operandi mereka adalah menyamun individu yang keluar dari bank selepas mengeluarkan wang dengan memecahkan cermin kereta pemilik berkenaan sebelum menyerang. - Bernama

Skim pelaburan emas: SPRM gagal peroleh perintah tahan reman 4 lelaki




20 Mac 2013
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal memperoleh perintah tahanan reman terhadap empat lelaki, termasuk seorang bekas Pengarah Bank Negara, berhubung siasatan kes membabitkan sebuah syarikat skim pelaburan emas.
Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply menolak permohonan bagi perintah tahanan reman selama 10 hari itu, yang dipohon mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, selepas memutuskan alasan yang dikemuka pegawai penyiasat tidak kukuh.
Sehubungan itu, SPRM hanya boleh menahan suspek sehingga 7 malam ini untuk siasatan.
Tiga suspek dipercayai merupakan pengarah syarikat skim pelaburan emas berkenaan.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan merasuah seorang pegawai bank negara sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap syarikat itu. - Bernama

Lelaki baling batu di pejabat Gerakan alami sakit mental




20 Mac 2013
GEORGETOWN - Polis hari ini mengesahkan lelaki yang membaling batu dan kayu serta membuat kecoh di pejabat Gerakan di Jalan Macalister pada Sabtu lepas sebenarnya adalah orang kurang siuman.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki itu dikenal pasti setelah gambarnya dirakam dan diserahkan kepada polis oleh petugas di pejabat parti Gerakan itu.
"Berdasarkan siasatan yang kita jalankan, doktor yang merawatnya memaklumkan dia mengalami sakit mental dan masih menerima rawatan. Usaha mengesan lelaki itu giat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk Tabung Perwira Lahad Datu di sini hari ini.
Pada kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki terbabit membaling batu dan kayu sebelum masuk ke pejabat dan menjerit ke arah semua petugas dan kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata polis mengenal pasti beberapa lagi bayi dan anggota sindiket yang terlibat dengan kes penjualan bayi di negeri ini.
"Saya tidak boleh dedahkan kerana risikan sedang dijalankan cuma apa yang pasti kita telah kenal pasti mereka yang terlibat dalam sindiket itu dan usaha menyelamatkan bayi yang menjadi mangsa pemerdagangan sedang dijalankan," katanya.
Terdahulu Abdul Rahim menerima sumbangan RM10,000 daripada Wanita Gerakan Pulau Pinang dan syarikat Innate Synergy Sdn Bhd untuk mengisi Tabung Perwira Lahad Datu.
Katanya setakat ini kontijen polis Pulau Pinang menerima sumbangan berjumlah RM60,000 daripada individu, syarikat, parti politik dan badan bukan kerajaan untuk tabung berkenaan. - Bernama

Remaja lelaki cedera terkena tembakan sepupu




20 Mac 2013
GEORGETOWN - Seorang remaja lelaki cedera di kaki kanan selepas terkena tembakan oleh sepupunya dalam sebuah rumah kosong di Permatang Pauh dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, remaja berusia 18 tahun itu bersama tiga lelaki lain pergi ke rumah kosong berkenaan untuk mengemas bagi mengadakan majlis kenduri.

"Remaja itu bersama adiknya (17 tahun), sepupu (26 tahun) dan seorang lelaki warga Bangladesh (27 tahun) pergi ke rumah itu untuk mengemas, dan tiba-tiba sepupunya mengambil sepucuk pistol di atas sebuah almari dan cuba bermain-main dengan senjata api berkenaan.

"Ketika sepupu mangsa sedang memegang pistol berkenaan, salah seorang daripada mereka cuba menarik picu dan secara tidak sengaja satu das tembakan terlepas kemudian terkena kaki kanan mangsa," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk Tabung Perwira Lahad Datu, di sini, hari ini.

Katanya akibat tembakan itu, mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan dan sekarang berada dalam keadaan stabil.

Abdul Rahim berkata, selepas berlaku tembakan itu, tiga lagi lelaki yang bersama mangsa terus melarikan diri dengan membawa pistol berkenaan.

Katanya polis telah mengenal pasti identiti ketiga-tiga lelaki terbabit dan siasatan awal mendapati mereka tinggal berhampiran rumah kosong berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, pistol itu milik sepupu mangsa berusia 26 tahun dan dia menyembunyikan senjata api dalam rumah tersebut manakala tiga yang lain memang tidak tahu mengenai senjata api itu," katanya.

Katanya polis turut menemui 'slug' pistol di tempat kejadian dan dihantar ke unit forensik untuk siasatan.

Sementara itu, mangsa yang ditemui di HSJ berkata, mereka pergi ke rumah itu untuk mengemas kerana mahu mengadakan kenduri di situ dan ketika sedang mengemas sepupunya menunjukkan pistol berkenaan.

Katanya lelaki warga Bangladesh itu cuba mengambil pistol tersebut daripada sepupunya, bagaimanapun tertekan picu dan berlaku tembakan sehingga mengenai kakinya.

"Sebaik terkena tembakan, adik saya memanggil sepupu lain yang tinggal berhampiran rumah itu dan dia membawa saya ke hospital, manakala tiga yang lain (adik, sepupu berusia 26 tahun dan lelaki Bangladesh) saya tidak tahu mereka ke mana," katanya.- Bernama

2 pekerja kontraktor potong rumput maut dirempuh van



MASTURAH SURADI
21 Mac 2013
KOTA TINGGI - Dua pekerja kontraktor potong rumput maut selepas dirempuh sebuah van di Kilometer 4 Jalan Tanjung Balau-Desaru, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian itu mangsa Mohd Yusok Mohamad, 61, peneroka dari Felda Semenchu dan rakannya Jamri Ahmad Badri, 45, dipercayai diseret kira-kira 15 meter oleh van tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid ketika mengesahkan kejadian berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan empat roda dan van.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu dipercayai berlaku apabila van yang dipandu dari arah Petronas menuju ke arah Desaru itu terbabas lalu melanggar mangsa yang berada di belakang kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di bahu jalan.

"Ekoran itu, van tersebut yang turut melanggar belakang kenderaan empat roda itu telah menyebabkan kenderaan tersebut bergerak masuk ke jalan raya.

"Keadaan cuaca ketika itu baik," katanya. Mohd Yusok dari Felda Semnenchu dan Jamri Ahmad dari Felda Papan Timur meninggal di tempat kemalangan.

Kedua-dua jenazah telah dituntut oleh ahli keluarga masing masing dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Papan Timur dan Felda Semenchu pagi tadi.

Rambo Bentong dihukum penjara 18 tahun




21 Mac 2013
RAUB - Rambo Bentong, yang sebelum ini dihukum penjara 115 tahun dan 50 sebatan bagi kesalahan merogol serta seks luar tabii, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun lagi, kali ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis.

Hakim Mahkamah Sesyen Shahrizat Ismail menjatuhkan hukuman selepas tertuduh atau nama sebenarnya, Rabidin Satir, 42, mengaku menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan sebilah parang di sebuah rumah bernombor 43 di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada kira-kira 6 petang, 14 November  2012.
Rabidin, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.
Dalam penghakimannya, Shahrizat berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh ketika anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong itu cuba menahannya adalah serius dan boleh menyebabkan kematian.
Beliau kemudian memerintahkan hukuman bagi kesalahan itu dilaksana selepas Rabidin selesai menjalani hukuman penjara 115 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 5 Februari lepas, Rabidin dihukum penjara dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii.
Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan melakukan seks luar tabii.
Murtazadi memerintahkan Rabidin menjalani hukuman itu secara berturut-turut mulai tarikh dia ditangkap pada 14 November lepas.
Semalam, Mahkamah Majistret Bentong memindahkan kes Rabidin yang berdepan pertuduhan membunuh seorang gadis berusia 17 tahun ke Mahkamah Tinggi Temerloh.
Rabidin didakwa membunuh Annie Kok Yin Chen di Lot 4168 Kampung Ketari, Bentong antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009. - Bernama

Niat bantu jiran berakhir tragedi



ROSDALILAH ZAHARI
21 Mac 2013
Niat bantu jiran berakhir tragedi
Keadaan kereta Proton Iswara Aeroback yang remuk teruk. Gambar Kecil (dari kiri : Mohd Ridzuan, Haniza, Romlan Ros)
Infografik kemalangan
Infografik kemalangan
SUNGAI SIPUT - Niat murni sepasang suami isteri membantu menghantar jiran mendapat rawatan susulan di Ipoh berakhir tragedi apabila ketiga-tiga mereka maut dalam satu kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 41.3 berhampiran Kampung Setia Salak Baru di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, pemandu kereta, Romlan Ros Abdul Bakar, 52, dan isterinya, Haniza Hussin, 46, serta jiran mereka Mohd Ridzuan Mohd Nor, 55, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki bertembung  dengan treler membawa muatan pencawang yang datang dari arah bertentangan.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sungai Siput (HSS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bersia, Gerik, semalam.

Manakala isteri kepada Mohd Ridzuan, Zaharah Abdullah, 52, yang cedera parah di pinggang dan di dada kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan.

Menurut anak ketiga Romlan Ros dan Haniza, Mohammad Anuwaruddin, 22, kedua-dua ibu bapanya bergerak dari rumah mereka di Felda Bersia, Gerik lebih kurang jam 5.30 petang kelmarin bersama jiran mereka itu.

Katanya, Mohd Ridzuan yang juga rakan baik kepada bapanya tidak mampu memandu sendiri untuk ke rumah anaknya di Ipoh bagi mendapat rawatan susulan selepas menjalani pembedahan empat jari kaki kanan akibat penyakit kencing manis.

“Sebelum ini, jika ingin berjalan jauh, mereka (Romlan Ros dan Haniza) pasti akan sewa van dan saya sendiri pandu kenderaan tersebut.

"Namun entah mengapa bapa saya membuat keputusan untuk memandu sendiri dari Gerik menuju ke Ipoh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSS di sini, semalam.

Dia yang bakal melangsungkan konvokesyen pada April ini selepas tamat dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Ungku Omar (PUO) turut sedih kerana tidak dapat berkongsi kejayaan bersama ibu bapa tercinta.

Mohammad Anuwaruddin berkata, bapanya yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah di Gerik adalah bekas tentera yang berperwatakan tegas manakala ibunya yang juga pengasuh kanak-kanak adalah seorang yang penyayang.

Sempat ziarah anak

Dalam perkembangan berkaitan, anak sulung Mohd Ridzuan, Nurfazila, 30, berkata, arwah bapanya yang menjalani pembedahan beberapa bulan lalu di sebuah hospital swasta masih dalam keadaan kurang sihat dan bergantung pada ubat saban hari.

Menurutnya yang menetap di Bukit Jambul, Pulau Pinang, kedua ibu bapanya baru sahaja melawat mereka sekeluarga minggu lalu.

“Malah, saya kerap menghubunginya bertanya khabar kerana ayah sering tidak sihat selepas pembedahan tersebut.

“Ayah yang bertugas di Lembaga Air Perak masih diberi cuti sakit sehingga benar-benar pulih,” katanya yang mengetahui mengenai kemalangan itu daripada ahli keluarganya jam 11 malam.

Nurfazila berkata, dia bergegas ke Ipoh untuk melihat keadaan ibunya yang ditempatkan di HRPB sebelum ke HSS untuk melihat jenazah bapanya.

“Ibu masih ditempatkan di wad HRPB dan keadaannya kritikal. Saya hanya mampu berdoa semoga dia boleh diselamatkan,” katanya.

Siasatan masih diteruskan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Azman Salim berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Ipoh secara tiba-tiba memasuki laluan treler membawa muatan besi pencawang yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, kedua-dua kenderaan bertembung secara berhadapan sebelum kereta tersebut diseret treler ke kiri jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan tersebut dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiga daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan dihantar ke HRPB. Kami sudah ambil keterangan pemandu treler dan polis akan menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Polis berkas anggota kumpulan samun berbahaya 'Ah Long'




21 Mac 2013
JOHOR BAHARU - Polis Johor memberkas seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samun berbahaya 'Ah Long' dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Setia Indah di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata lelaki berusia 30-an itu ditangkap pukul 6.30 pagi tadi dan dipercayai dapat membantu menyelesaikan 25 kes pecah rumah yang dilapor di daerah ini sejak tahun lalu.

"Susulan daripada laporan satu kes pecah rumah di Setia Indah yang dibuat pada 16 Mac lalu, kita menyerbu sebuah rumah dan menahan suspek di mana kita turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun,"

Katanya pada sidang media, di sini. Antara yang dirampas ialah beberapa bilah parang, pedang samurai, bom molotov dan sebutir bom asap, katanya.

Suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah, katanya menambah  polis kini memburu anggota lain kumpulan itu yang menyamun rumah mangsa menggunakan senjata tajam.

Mengulas kes lain, beliau berkata pihaknya juga berjaya menumpaskan satu sindiket pertaruhan nombor ekor didalangi rakyat Singapura dengan penangkapan seorang lelaki dan dua wanita di sebuah rumah di Permas Jaya di sini pada 16 Mac lalu.

Menurutnya mereka yang ditangkap dalam serbuan pukul 5 petang itu ialah sepasang suami isteri dan seorang wanita lain berusia antara 30 dan 45 tahun.

Sindiket dipercayai didalangi si suami yang mempunyai kerakyatan Singapura dan sudah beroperasi antara enam bulan dan setahun lalu serta menerima pertaruhan sehingga RM1 juta, katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM200,000 dan penjara sehingga lima tahun. - Bernama

Tipu: Datuk Seri dipenjara 45 bulan, 3 sebatan




20 Mac 2013
PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dihukum penjara berjumlah 45 bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan menipu dua petugas syarikat pembinaan membabitkan wang berjumlah RM80,000.
Majistret Nazri Omran menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dengan satu sebatan ke atas Datuk Seri Azraie Jamaludin, 36, bagi setiap pertuduhan setelah dia menukar pengakuan kepada bersalah.
Bagaimanapun, Azraie hanya perlu menjalani hukuman penjara 15 bulan sahaja kerana mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Azraie didakwa menipu Hazimah Abdul Manan, 59, petugas Syarikat Hongkew Holdings Sdn Bhd dan Eng Poh Hong, 70, pengarah syarikat itu, dengan memperdaya mereka agar mempercayai sekeping surat 'Rayuan untuk mempertimbangkan semula permohonan pinjaman dari Bank Pembangunan Berhad untuk projek Bersepadu Loji Simen, di Gua Musang Kelatan Darul Naim,' pejabat Menteri Kewangan Malaysia sebagai tulen sehingga mendorong mereka menyerahkan wang tunai berjumlah RM15,000 kepada tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Starbuck Lot F3.13 No 3 Jalan SS 16/1 Carrefour Shopping Centre Subang Jaya, pada 4.21 petang, 4 September 2009.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu mereka agar mempercayai surat 'Kelulusan bagi permohonan pinjaman dari Bank Pembangunan Berhad' untuk projek sama sebagai tulen sehingga mendorong mereka menyerahkan wang tunai berjumlah RM30,000 di Lobi Hotel Shang Ri La, Putrajaya pada 11 pagi, 10 Ogos 2009.
Bagi pertuduhan ketiga, Azraie didakwa menipu Hazimah agar mempercayai surat rayuan sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang tunai RM35,000 ke akaun milik isterinya, Zakiah Pahmi, untuk diberi kepada tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Pekeliling pada 5.30 petang 21 Ogos, 2009.
Azraie didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi semua pertuduhan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan dengan sebat, serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya. - Bernama

Kanak-kanak perempuan maut terkena kipas helikopter kawalan jauh



Kanak-kanak perempuan maut terkena kipas helikopter kawalan jauh
Mohamad Hasan (kiri) memerhatikan ahli keluarga mengangkat jenazah Nurdamia Husnina Banee Yamin di Taman Bakawali, Seremban hari ini - Foto Bernama
SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas terkena kipas helikopter kawalan jauh ketika menyaksikan majlis perasmian padang bola sepak sintetik di Kompleks Belia dan Paroi di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Nurdamia Husnina Banee Yamin meninggal sejurus tiba untuk rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu.
Alat mainan itu turut mengenai bapanya Banee Yamin Idris, 35, di kepala dan dia turut menerima rawatan di hospital yang sama.
Seorang saksi, Abdul Latif Salim dipetik Bernama berkata, helikopter mainan itu hilang kawalan sebelum menjunam ke arah orang ramai.
Dia juga sempat mengelak sebelum pesawat mainan itu terkena bayi tersebut yang sedang dipangku bapanya.
"Saya lihat kepala bayi itu berdarah yang kemudiannya dia dikejarkan bapanya ke ambulans di situ untuk dibawa ke hospital," katanya.
Pertunjukkan helikopter kawalan jauh itu merupakan sebahagian daripada acara di majlis tersebut yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. 
Mohamad ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di hospital melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian itu yang disifatkannya sebagai di luar jangka.
Katanya, kerajaan negeri akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat bagaimana kejadian berlaku dan memastikan ia tidak berulang di masa depan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan keluarga mangsa akan mendapat bantuan sewajarnya terutama bagi urusan pengkebumian bayi tersebut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata pengendali alat terbabit yang berusia 40 tahun telah membuat laporan polis dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Lelaki maut, rakan parah nahas kereta dan treler




21 Mac 2013
KUANTAN - Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas kereta jenis Perodua Kelisa yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori treler di Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Karak dekat Bentong semalam.
  
Pemandu kereta Wong Kin Teng, 34, dari Sungai Klau, Raub mati semasa menerima rawatan di Hospital Bentong manakala rakannya yang berusia lingkungan 30-an patah kaki dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
  
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian berlaku 4.15 petang ketikau mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Bentong.
  
"Dipercayai di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh bahagian belakang treler berkenaan.
  
"Akibat itu, mangsa dan rakannya mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki," katanya di sini, hari ini. - Bernama

Suami tertekan isteri hilang



21 Mac 2013
Suami tertekan isteri hilang
Lelaki berkenaan yang didakwa tertekan dengan krisis rumah tangganya berdiri di tingkat lima kawasan perumahan awam Sri Perak, semalam.Lelaki berkenaan yang didakwa tertekan den
SENTUL - Seorang lelaki berusia 30-an bertindak berdiri di tingkat lima blok 31, di perumahan awam Sri Perak di sini, selepas dipercayai kecewa dengan krisis rumah tangga dihadapinya.

Orang awam yang ditemui, Akbar Bakar berkata, tindakan isteri kepada lelaki berkenaan yang menghilangkan diri tanpa sebarang berita sejak sehari lalu menyebabkan suaminya tertekan.

“Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari semalam, lelaki itu berdiri di atas pengadang tangga sambil tangannya memegang permukaan atas batu dan nekad untuk terjun.

“Isterinya mengambil masa hampir 10 minit untuk memujuk suaminya turun,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Lelaki berkenaan katanya, akhirnya turun selepas isterinya berjanji tidak akan meninggalkan rumah.

Difahamkan, pasangan tersebut merupakan orang luar dan tidak tinggal di kawasan perumahan berkenaan.

Bangunan Canselori UMT terbakar




21 Mac 2013
kebakaran
Bahagian tingkat atas bangunan Canselori UMT musnah dalam kebakaran di Kuala Terengganu hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Tiga anggota bomba dan penyelamat cedera apabila memadam kebakaran di bangunan canselori Universiti Malaysia
Terengganu (UMT) pagi tadi.

Difahamkan ketika mereka sedang memadam sisa kebakaran, tiba-tiba kerangka sokongan bumbung bangunan runtuh menyebabkan tiga dari lapan anggota yang sedang berada di tingkat tiga itu cedera.

“Salah seorang kena hempap sikit dengan bumbung yang roboh. Dua lagi hanya calar-calar, tetapi keadaan mereka tidak serius. Mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapat rawatan,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Md Salleh Sarbini.

Kebakaran yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi itu dipercayai mula merebak dari bilik naib canselor di tingkat tiga.

Beliau berkata hampir 90 peratus kawasan di tingkat tiga itu terbakar namun puncanya belum dapat dipastikan.

Seorang kakitangan Lailatul Akmal Abdul Rahman berkata dia yang sedang berada di tingkat dua terdengar bunyi loceng kecemasan tetapi menyangka ia hanya latihan kebakaran.

“Masa itu saya terus buat kerja sebab tidak nampak apa-apa yang pelik, tetapi tidak lama lepas itu, saya dengar rakan-rakan lain menjerit suruh saya
keluar.

“Bila berkumpul di luar bangunan, baru saya nampak asap tebal dan tidak lama lepas itu terdengar bunyi benda meletup,” katanya.

Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Effendi Abdul Wahid berkata antara yang terbakar ialah bilik naib canselor, bilik mesyuarat, bilik fail dan dua bilik pegawai tadbir.

Katanya sewaktu kebakaran terdapat sembilan kakitangan sedang bertugas sementara naib canselor sedang berada di luar negara. - Bernama

Antraks serang 40 lembu di Australia




21 Mac 2013
SYDNEY - Negara pengeksport daging lembu terbesar ketiga, Australia mengesahkan, kira-kira 40 lembu ternakan negara itu mati akibat serangan Antraks.

Jurucakap Jabatan Perusahaan Utama (DPI) New South Wales, Steve Green berkata, penularan wabak itu kini terkawal dan tidak menjejaskan pengeksportan daging ke luar negara.

“Semua lembu di vaksin dan tiada kes kematian sejak 9 Mac lalu,” katanya dipetik laporan Reuters.

Menurutnya, pengimport tidak perlu bimbang kerana kebanyakan lembu berada pada tahap kesihatan baik dan dagingnya juga tidak tercemar.

Wabak itu mula ditemui di dua ladang penternakan di Moree, barat daya New South Wales, bulan lalu. 

Polis temui 160 butir peluru di tebing Sungai Muar




21 Mac 2013
MUAR - Polis kini mengesan pihak yang terlibat membuang sejumlah 160 butir peluru senjata M16 dan .38 dalam sebuah kotak besi di tebing Sungai Muar berhampiran Sekolah Menengah Sains Muar (SMSM) di sini.
Ketua Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris berkata peluru ITU dijumpai seorang pekerja rumah burung yang mencari umpan memancing dekat sungai itu pada kira-kira 12.20 tengah hari, 16 Mac lepas.
"Kotak besi berkenaan, yang sudah berkarat, dijumpai tertanam dalam lumpur dan hasil pemeriksaan polis menemui satu unit kelopak berisi 30 butir peluru M16.
"Turut ditemui lima kotak berisi 100 butir peluru M16 dan 12 butir lagi dalam sebuah uncang berwarna hitam dan 18 butir peluru .38 dan kesemuanya masih dalam keadaan yang elok dan boleh digunakan," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kotak besi hitam itu dipercayai berada di situ sejak sebulan lepas.
Berikutan penemuan itu, Harun berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pihak yang dipercayai membuangnya di kawasan berkenaan. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang. - Bernama

Tujuh tentera AS terbunuh ketika latihan di Nevada




21 Mac 2013
HAWTHORNE - Tujuh askar dan beberapa yang lain cedera selepas terkena letupan mortar  ketika menjalani latihan perang di kawasan pergunungan di padang pasir Nevada, menurut laporan AP.

Pegawai Kor Marin, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Kapten Binford Strickland berkata, berikutan insiden itu, Jabatan Pertahanan bertindak  menghentikan penggunaan semua senjata di seluruh dunia sehingga siasatan menentukan aspek keselamatannya.

“Mortar 60 milimeter digunakan sepanjang latihan itu dan siasatan kemalangan sedang dilakukan,” katanya yang enggan mengulas lanjut. 

Menurutnya, mortar itu meletup ketika latihan menembak sedang dilakukan.

Letupan itu berlaku di Depoh Tentera Hawthorne, iaitu pangkalan yang digunakan oleh tentera yang akan ditugaskan ke luar negara.

Maklumat jual bayi dipantau

Georgetown: Polis Pulau Pinang sedang melakukan pemantauan terhadap beberapa maklumat mengenai sindiket menjual bayi dan kanak-kanak sebelum melancarkan operasi Ops Pintas Sayang 3 tidak lama lagi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berdasarkan maklumat risikan selain mengemas kini siasatan, didapati ada beberapa lagi bayi akan diselamatkan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah bayi yang bakal diselamatkan itu dan lokasi.
Menurutnya, sejak operasi pada 24 Januari dan 21 Februari lalu, pihaknya sudah menyelamatkan 30 bayi dan kanak-kanak berusia bawah setahun.

Drebar maut bawah treler



Kuantan: Akibat membawa muatan balak berlebihan, seorang lelaki terbunuh selepas treler dipandunya terbalik ketika melalui laluan berselekoh, di Jalan Ladang, Chegar Perah, dekat Kuala Lipis, jam 1.20 tengah hari, kelmarin.

Mohd Azizul Mat Zin, 30, dari Kampung Keruak, Hulu Besut, Terengganu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chegar Perah akibat kecederaan parah di kepala dan badan.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa memandu treler berkenaan dalam perjalanan ke ladang itu untuk menghantar muatan balak.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian di laluan berselekoh itu, mangsa dipercayai hilang kawalan mengakibatkan treler dipandunya terbalik ke kanan jalan sebelum mangsa terjatuh dari tempat duduk pemandu lalu dilenyek kenderaan berat berkenaan.


Katanya, polis mengambil masa beberapa jam untuk mengalihkan lori berkenaan bagi mengeluarkan mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lipis (HKL) petang kelmarin.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki M Mohramu, 37, terbunuh selepas motosikal ditunggangnya bertembung lori, di Kilometer 20, Jalan Maran-Jerantut, dekat Maran, jam 1.20 petang, kelmarin.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa dipercayai termasuk ke laluan bertentangan ketika melalui satu laluan berselekoh sebelum bertembung lori mengakibatkan mangsa terpelanting ke bahu jalan.

Darah percik ke bahu

Foto
SEREMBAN: Kemeriahan pelancaran padang bola sintetik pertama di Malaysia bertukar tragedi ngeri apabila seorang bayi perempuan berusia 18 bulan maut terkena bilah helikopter kawalan jauh yang diterbangkan sebagai gimik perasmian di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dekat sini, malam tadi.
Nur Damia Husnina yang mengalami kecederaan di kepala itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban manakala bapanya berusia 40-an yang turut cedera di kepala dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 malam itu, bayi terbabit dikatakan sedang tidur nyenyak di bahu bapanya yang berdiri tidak jauh dari pentas utama ketika majlis perasmian padang rumput tiruan jenis ‘field turf’ bernilai RM2.5 juta yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebuah helikopter kawalan jauh diterbangkan sebagai sebahagian daripada gimik pelancaran, malangnya pengendali peralatan itu hilang kawalan menyebabkan ia jatuh menimpa penonton.

SERPIHAN kipas helikopter kawalan jauh yang terkena penonton mengakibatkan seorang bayi 18 bulan maut dan bapanya cedera pada majlis pelancaran padang bola sintetik di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban, malam tadi.

Difahamkan, selain bayi dan bapanya, tiga lagi mangsa yang belum dipastikan identitinya turut cedera terkena serpihan helikopter berkenaan.

Saksi kejadian Abdul Latif Salim, 58, berkata bayi itu sedang nyenyak tidur di bahu bapanya sebelum helikopter itu menjunam dan bilah kipasnya membelah kepala bayi berkenaan selain turut mencederakan kepala bapanya.

“Saya amat terkejut kerana darah terpercik ke bahu saya sejurus sebelum bapa bayi itu rebah ke padang bersama anaknya.

“Keadaan anaknya begitu parah dengan kulit kepala tercabut hingga nampak tengkorak," katanya.

Menurutnya, bapa bayi berkenaan berlari sambil memangku anaknya menuju van Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sebelum mereka dihantar ke hospital.

Berikutan kejadian, Mohamad turut berkunjung ke Hospital Tuanku Jaafar kira-kira 11 malam tadi, bagi menemui bapa mangsa yang bekerja di bahagian akaun di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kini sedang dirawat dan menerima jahitan di kepala akibat kecederaan dialaminya.

Padang bola sepak menggunakan rumput tiruan yang akreditasi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) itu mula dibuka kepada orang ramai mulai 1 Mac lalu.

Sumbat kokain dalam perut anjing

Rome: Satu sindiket dadah antarabangsa dilapor memaksa anjing menelan bungkusan mengandungi kokain dan kemudian membunuh haiwan itu untuk mengeluarkan dadah berkenaan.
Polis berkata, mereka menangkap 75 orang di utara Itali dan Rome kerana menggunakan anjing untuk menyeludup dadah. Sekurang-kurangnya 50 haiwan berkenaan mati dikelar untuk mengeluarkan kokain itu.

Anjing berbadan besar seperti Great Dane, Labrador dan Mastiff digunakan oleh kumpulan itu untuk memaksimumkan kegiatan penyeludupan mereka.
Anjing itu dipaksa menelan bungkusan mengandungi sehingga 2.8 paun kokain, lapor agensi berita Itali, Ansa.

Apabila mahu mengeluarkan dadah berkenaan, mereka membunuh dan mengelar anjing itu. Bagaimanapun, setakat ini, tidak dapat dipastikan bagaimana anjing itu dipaksa menelan bungkusan sebesar itu.

Suspek adalah sebahagian anggota kumpulan yang ada hubungan dengan kartel dadah Amerika Selatan.
Mereka berdepan dengan tuduhan jenayah, menyeludup dadah dan memiliki senjata secara haram, lapor Ansa.

Orang yang menjadi keldai dadah biasanya menelan bungkusan bahan itu secara berhati-hati atau melekatkannya pada tubuh mereka bagi mengelak daripada dikesan pengawal keselamatan lapangan terbang atau di sempadan.
Kerap berlaku keldai dadah itu mati selepas bungkusan dadah berkenaan bocor dalam perut mereka.

Ini bukan kali pertama anjing digunakan sebagai keldai dadah. Beberapa tahun lalu, seekor anjing diterbangkan dari Colombia ke New York dengan kokain dijahit dalam perutnya.

Pegawai kastam berkata, anjing itu membawa 10 kondom berisi kokain dalam perutnya sebagai cara untuk menyeludup dadah ke Amerika Syarikat.

Pegawai yang mengesyaki sesuatu mengarahkan anjing itu menjalani pemeriksaan sinar-X selepas menyedari anjing itu tidak sihat.

Mereka kemudian mengesan kondom itu yang menyebabkan jangkitan kepada anjing berkenaan hingga ia tidak berselera makan. - Daily Mail

Wanita cuba seludup berudu dalam mulut

Beijing: Seorang wanita Korea Selatan ditahan di Lapangan Terbang Guangzhou selepas cuba menyeludup puluhan berudu di dalam mulutnya.
Kejadian aneh itu bermula apabila pengawal mendapati wanita itu membawa sebotol cecair dalam bagasi tangan ketika hendak menaiki pesawat untuk pulang ke Seoul.

Kerana mematuhi peraturan penerbangan antarabangsa yang melarang penumpang membawa cecair menaiki pesawat, pengawal berkenaan mengarahkan wanita itu minum cecair yang dibawanya atau membuangnya.
Tetapi wanita itu yang namanya tidak disiarkan, memilih pilihan pertama dengan meminum cecair itu dengan sekali teguk.

Menyedari dia tidak menelan cecair itu, pengawal berkenaan mengarahnya membuang cecair itu ke dalam gayung yang disediakan.

Apa yang keluar dari mulut wanita itu memeranjatkan pengawal dan juga penumpang lain, berudu.
Apabila disoal siasat, wanita itu berkata, rakannya memberikannya anak katak itu dan dia berhasrat untuk membawanya pulang ke Korea Selatan.

Dia bagaimanapun dipaksa membuang berudu itu sebelum menaiki pesawat.
Ini bukan kali pertama penumpang pesawat cuba menyeludup amfibia hidup menerusi kawalan keselamatan lapangan terbang.

Pada 2011, dua lelaki ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles selepas cuba menyeludup lebih 50 kura-kura hidup dalam kotak bijirin.

3 nyawa melayang

Kuala Kubu Bharu: Kurang sebulan selepas kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang meragut nyawa tiga penumpangnya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Bukit Tagar, dekat sini, semalam tiga lagi maut selepas kereta Mercedes Benz yang dinaiki mangsa merempuh sebuah treler kira-kira satu kilometer dari kawasan itu.
Kejadian semalam berlaku jam 12.05 tengah malam di Kilometer 421.6, Lebuhraya PLUS arah utara selepas treler yang membawa muatan gelungan dawai itu hilang kawalan dan terbabas sebelum melintang di tengah lebuh raya.

Pada masa sama, kereta dinaiki tiga mangsa yang dipercayai dipandu laju tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian tengah treler berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy berkata, mereka yang maut adalah pemandu kereta yang juga pemilik syarikat menjual kereta mewah Yong Eng Yew, 59, manakala dua rakannya ialah Ooi Choon Hooi, 39, dan Tan See Yin, 28.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Siasatan mendapati kemungkinan kereta berkenaan dipandu laju dan tidak sempat mengelak sebaik treler hilang kawalan dan melintang di tengah lebuh raya terbabit.
“Hentakan yang kuat menyebabkan bumbung kereta itu tercabut manakala badan kereta berkenaan terhumban ke tepi longkang berhampiran lokasi,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan polis juga mendapati kereta mewah itu belum sempat didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdasarkan nombor pendaftaran khas yang digunakan.
Katanya, pemandu treler yang dikenali sebagai K Kunasilan, 31, tidak cedera dan ditahan untuk siasatan.

Difahamkan, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu mengambil masa 15 minit bagi mengeluarkan mayat salah seorang mangsa yang tersepit.

Sementara itu, kakak ipar Yong Eng Yew yang ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu, Lee Siew Keong, 62, berkata, adik iparnya itu datang ke Kuala Lumpur atas urusan jual beli sejak dua hari lalu dan dijangka pulang ke Pulau Pinang pada hari kejadian.

“Dia bersama rakannya mengambil kereta berkenaan untuk dijual kepada pelanggan, namun malangnya tidak kesampaian apabila ketiga-tiganya maut dalam kemalangan,” katanya.

Katanya, Yong yang sudah 10 tahun menjalankan perniagaan jual beli kereta mewah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia antara 29 dan 34 tahun.

Sasar wanita beli sarapan

Kuala Selangor: Empat penjenayah menaiki dua motosikal bertindak ganas di daerah ini apabila melakukan empat kes samun menggunakan modus operandi hampir sama membabitkan mangsa yang semuanya wanita.
Suspek yang melakukan jenayah berangkai mereka itu menyasarkan suri rumah dan wanita yang berjalan sendirian ketika keluar membeli sarapan dengan setiap kes dilaporkan hanya selang 10 hingga 20 minit.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Muhd Taib Ahmad berkata, kejadian pertama dilaporkan Isnin lalu jam pagi 8 membabitkan mangsa, seorang wanita yang bersiap untuk ke tempat kerja di Taman Harapan, Pasir Tuntung, dekat sini.
Menurutnya, mangsa tidak menyedari kehadiran suspek yang memasuki rumahnya selepas pintu pagar dan pintu utama terbuka sebelum mengarahkan mangsa berdiam diri sambil diacukan parang.

“Penjenayah melarikan satu komputer riba, tiga telefon bimbit, dompet berisi dokumen peribadi dan wang tunai menyebabkan mangsa kerugian RM2,000,” katanya.

Katanya, 15 minit selepas itu, kumpulan sama disyaki melakukan satu lagi samun, kali ini membabitkan dua wanita iaitu seorang peniaga kuih di Taman Paduka, Kuala Selangor serta pelanggannya sejurus mereka didatangi empat suspek terbabit yang datang secara mengejut.
“Wanita berusia 40 dan 49 tahun itu masing-masing kerugian RM400 dan RM2,800 apabila menyerahkan barangan kemas mereka sejurus diacukan parang ke leher.

“Kumpulan sama dipercayai melakukan satu lagi samun kira-kira 15 minit selepas itu apabila mereka yang bersenjatakan parang menerpa masuk sebuah rumah di Taman Sri Ijok jam 8.30 pagi dan merampas barangan kemas serta telefon bimbit menyebabkan mangsa kerugian RM6,000,” katanya.
Menurutnya, mangsa adalah satu keluarga membabitkan pasangan warga emas dan anak perempuan berusia 30 tahun serta cucunya dan mereka bernasib baik kerana tidak dicederakan. Muhd Taib berkata, tidak cukup dengan itu kumpulan terbabit seakan-akan tamak apabila melakukan satu lagi samun membabitkan seorang guru dan kali ini mangsa diserang ketika membersihkan laman rumahnya di Taman Kota Puteri jam 8.45 pagi.

“Suspek meluru masuk ke laman rumah mangsa lalu mengacukan parang ke lehernya sebelum meragut gelang emas dan mengambil rantai yang disimpan dalam rumah serta komputer riba, telefon bimbit menyebabkan mangsa kerugian RM5,500,” katanya.

Berikutan empat kejadian itu, katanya, polis menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki suspek terbabit yang beroperasi pada awal pagi dengan menjadikan suri rumah sebagai mangsa.