Search This Blog

Monday, March 18, 2013

Tahan tiga lelaki curi seluar dan larikan kereta



SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki berhubung kes curi seluar seorang lelaki di sebuah tandas di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT)di Sepang, sebelum melarikan kereta Toyota Vios milik mangsa dalam kejadian 10 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian itu seluar milik mangsa dipercayai digantung di pintu tandas dilarikan seorang daripada suspek.

"Di dalam seluar suspek yang dibawa lari turut mengandungi kunci kereta, dua
telefon bimbit dan kad Touch 'n Go," katanya pada sidang media di Pusat Media
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.


Beliau berkata hasil siasatan dan maklumat yang diperoleh, seorang daripada

lelaki terbabit berumur 38 tahun ditahan di depan PWTC, kira-kira 11 malam, 15 Mac lalu.

Pelajar universiti Filipina baling kerusi, monitor komputer




SEJUMLAH pelajar melihat barang yang dibaling oleh para pelajar itu.


MANILA - Sekumpulan pelajar membaling sejumlah kerusi lama dan monitor komputer dari bangunan Universiti Politeknik Filipina di sini semalam.
Mereka turut membakar barang itu bagi menuntut keadilan untuk seorang pelajar baharu, Kristel Tejada yang berusia 16 tahun.
Tejada membunuh diri empat hari lalu selepas dia tidak dibenarkan meneruskan pengajian di Kolej Sastera dan Sains universiti tersebut kerana gagal membayar yuran pengajian.
Dia mula memasuki universiti itu pada Mei 2012.
Tejada membunuh diri di rumahnya di Tayuman, Manila pada 15 Mac lalu.
Pelajar itu tidak dapat melunaskan baki bayaran pengajiannya sebanyak 10,000 peso (RM771) pada semester pertama tahun lalu.
Bapanya yang merupakan pemandu teksi sambilan membuat rayuan kepada pihak pengurusan universiti berkenaan tetapi permintaannya untuk menangguhkan bayaran itu ditolak.
Tejada dilaporkan membunuh diri dengan meminum bahan pencuci barangan logam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2Nvsz8GMT 
Hakcipta terpelihara 

Jemaah umrah kemalangan




18 Mac 2013
AMMAN - Sebuah bas membawa 46 jemaah umrah Palestin dilaporkan terbalik selepas merempuh treler di lebuh raya dekat sempadan Israel, menyebabkan 15 terbunuh, menurut AP, kelmarin.

Jurucakap Pertahanan Awam Jordan melaporkan, kemalangan yang mencederakan 32 jemaah lain itu berlaku ketika bas berkenaan memasuki Jordan untuk kembali ke Tebing Barat setelah selesai menjalankan ibadat umrah di Madinah dan Makkah.

"Kemalangan berlaku di timur Jambatan Allenby kawasan yang dikawal Israel," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek hingga menyebabkan bas itu terbabas.

Herba pelbagai jenis hangus terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2013
Herba pelbagai jenis hangus terbakar
Anggota Bomba sedang memadam kebakaran di sebuah kedai ubat di Taman Ipoh, kelmarin.
IPOH – Pelbagai ubat herba bernilai puluhan ribu ringgit hangus dalam kebakaran membabitkan kedai dua tingkat di Taman Ipoh, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, premis yang telah beroperasi lebih 20 tahun lalu itu turut memusnahkan barangan runcit termasuk lampin pakai buang dan tisu tandas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvan berkata, tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.06 malam dan tiba di lokasi empat minit kejadian.

“Seramai 23 anggota dan pegawai bersama bantuan sebuah jentera dari Balai Bomba Simpang Pulai dan tiga anggota dari Unit Motosikal Bomba (RIM) tiba di lokasi kejadian berjaya mengawal kebakaran kira-kira empat minit kemudian.

“Kami dapati 15 peratus di bahagian depan kedai berkenaan terbakar. Mujurlah kejadian ini disedari dengan cepat oleh penduduk yang bertindak melaporkan kepada bomba,” katanya.
Menurutnya, bomba terpaksa mengambil langkah keselamatan berikutan  operasi dijalankan dengan keadaan pintu pagar besi berkunci serta ancaman arus elektrik.

“Teknik pengeringan (dry action) digunakan berbanding menggunakan air sepenuhnya supaya tidak menyebabkan kerugian lebih besar kepada pemilik kedai.

“Kebanyakan barang yang disimpan adalah barangan mudah terbakar seperti plastik dan tisu tandas,” katanya.
Menurutnya, kerugian sebenar dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, anak kepada pemilik yang mahu dikenali sebagai Yeen, 30-an ketika ditemui terkejut dengan kejadian itu.

Yeen berkata, bapanya akan memastikan semua suis elektrik ditutup sepenuhnya sebelum meninggalkan kedai.

“Saya tidak tahu punca sebenar kebakaran, buat masa ini kami tidak tahu berapa nilai kerugian yang dialami. Saya diberitahu kebakaran berlaku dibahagian depan berdekatan dengan mesin menyimpan wang di kedai,” katanya.

Leka berkaraoke 14 GRO warga asing dicekup



WAN NASRAH ABDUL RAHIM
18 Mac 2013
Leka berkaraoke 14 GRO warga asing dicekup
Antara GRO yang ditahan dalam Ops Noda, kelmarin.
SHAH ALAM - Seramai 14 gadis pelayan (GRO) warga asing dari Vietnam dan China ditahan di sebuah premis hiburan yang beroperasi sebagai pusat karaoke  di Jalan TPP2, Taman Perindustrian Pertama, Sekinchan dalam serbuan 'Ops Noda', kelmarin.

Operasi pada jam 12.30 malam itu diketuai Asisten Superintendan Mohd Shokri Abdullah bersama dua pegawai dan 15 anggota dari Bahagian Maksiat D7, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) IPK Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam sebulan lalu.

“Ketika diserbu GRO ini leka melayan lebih 53 pelanggan yang sedang asyik sambil berkaraoke.

“Mereka berusia antara 19 hingga 30 tahun bekerja tanpa permit dan tiada dokumen perjalanan yang sah dengan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kesemua mereka melakukan ujian saringan air kencing dan dua orang daripadanya (pelanggan) didapati, positif dadah.

Rohan Shah berkata, dua orang pengurus warga tempatan juga ditahan kerana menggaji warga asing tanpa permit.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM4,052 dan sembilan keping bil perniagaan.

Premis ini disiasat bawah Seksyen 55B Akta Imigresen, 39(b) Akta Imigresen dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1957.

Selain itu, polis berjaya menahan dua orang suspek yang diburu sebelum ini atas kesalahan kes samun di Teluk Intan dan Desa Jaya Gombak.

Hilang 11 hari: Anak rayu bantu cari bapa



RAZIF ROSLI
18 Mac 2013
Hilang 11 hari: Anak rayu bantu cari bapa
Cucu Osman, Nur Anis Hanani Mohd Jefrry, 12, (kanan) bersama sepupunya, Nurul Zalimah Mohd Nazri, 11 menunjukkan gambar Osman bersama keluarga. Foto Kecil : Othman @ Osman
PADANG RENGAS – Seorang anak dari Kampung Paya Panjang, di sini memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan bapanya, Othman @ Osman Ali, 76, yang hilang sejak 11 hari lalu.

Mohd Jefrry Othman, 48, berkata, bapanya keluar dari rumah, Rabu lalu secara bersendirian untuk ke Kuala Kangsar.

Bagaimanapun menurutnya, ada penduduk memaklumkan ternampak kelibat bapanya menunggu bas pada pagi kejadian dengan memaklumkan ada urusan yang perlu dibuat.

“Sehingga waktu senja, dia tidak pulang menyebabkan saya buat laporan polis kerana khuatir keadaan bapa saya yang sudah berumur, selalupun dia keluar seperti selalu dan tiada apa yang mencurigakan, malah itulah rutinnya hampir setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Mohd Jefrry berkata, bimbang sesuatu berlaku, pada keesokan harinya, mereka sekeluarga berusaha mencari di sekitar Kuala Kangsar dan pekan berdekatan.

“Tiada langsung kelibat bapa saya di setiap kawasan yang kami rasakan dia akan pergi, kami juga telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi yang berkaitan bertanyakan bapa saya malah rumah saudara mara, rakan taulan telah kami pergi dan mereka nyata terkejut apabila diberitahu tentang kehilangan itu,” katanya lagi.

Pihaknya merayu sesiapa yang terlihat bapanya agar segera memaklumkan kepada mereka sekeluarga di talian 013-5112788 atau menghantarnya ke balai polis berdekatan.

Man Sabah pakar ular



18 Mac 2013
Man Sabah pakar ular
Man Sabah menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkapnya.
KUPANG - Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, khidmat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mahupun bomba sering diperlukan bagi menangkap ular.

Namun, bagi penduduk kampung di sini, mereka ada pakar sendiri untuk membantu memerangkap reptilia berbahaya itu.

Sering dilihat membawa guni yang berisi ular yang telah ditangkap selepas masuk ke kawasan perumahan, Nor Rahman Osman, 50, ataupun lebih dikenali sebagai Man Sabah merupakan salah seorang yang menawarkan khidmat menangkap ular di sekitar daerah ini.

Dia yang menetap di Kampung Charuk Bemban sering dipanggil membantu jika ada sesiapa yang diancam ular.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, ia bukanlah pekerjaan utamanya, tetapi sekadar membantu penduduk yang memerlukan khidmatnya.

“Menangkap ular bukan perkara yang sukar tetapi perlu ada caranya. Tak boleh tangkap ikut suka,” katanya.

Katanya, ular yang ingin ditangkap perlu melalui bahagian belakang kepala haiwan itu, bukannya secara berhadapan. “Itu perkara asas, kalau tangkap secara depan, ular itu bertindak. Disebabkan itu, kita perlu tangkap dari bahagian belakang.
“Yang penting adalah kepala ular itu. Ianya perlu dipegang erat, selepas pegang kepala.

Kita pijak ekor ular itu. Kalau tidak ular itu akan membelit,” katanya kepada Sinar Harian. Katanya, teknik yang digunakan itu hanya teknik biasa dan sering dipraktikkan oleh kebanyakan penangkap ular lain.

Kepala suami isteri disorok dalam peti ais




18 Mac 2013
HONG KONG - Dua kepala pasangan suami isteri warga emas ditemui di dalam peti sejuk di rumah pangsa, Tai Kok Tsui di Hong Kong.

Jumaat lalu, jurucakap polis memaklumkan, mereka hanya menemui tangan dan kaki dipercayai milik mangsa di lokasi yang sama menurut AFP

Susulan daripada penemuan itu, anak lelaki mangsa berumur 29 tahun diberkas untuk membantu siasatan.

Sehingga kini, bahagian tubuh lain masih belum ditemui.

Chau Wing Ki, 64, dan Siu Yuet Yee, 63, dilaporkan hilang sejak minggu lalu.

Mangsa tetak lari 2 kilometer



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2013
Mangsa tetak lari 2 kilometer
Anggota polis melakukan siasatan di rumah diduduki mangsa yang cedera ditikam.
ALOR GAJAH - Seorang mangsa tetak berlari sejauh kira-kira dua kilometer untuk mendapatkan bantuan  majikannya, sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Simpang Ampat di sini, kira-kira 4.30 pagi, semalam.

Mangsa, seorang warga Bangladesh berusia 25 tahun ditetak di belakang badan oleh rakan rumahnya sendiri yang berusia 23 tahun ketika sedang tidur di sebuah bilik dalam rumah berkenaan.

Sumber berkata, mangsa yang sedang nyenyak tidur tidak mengunci pintu bilik sebelum didatangi suspek, secara tiba-tiba menghunus pisau di bahagian belakang badan mangsa.

“Mangsa yang kesakitan bangun dan cuba melawan. Bagaimanapun gagal kerana keadaannya parah. Suspek kemudian keluar rumah dan melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja.

“Dalam keadaan darah penuh atas katil, mangsa keluar dari rumah  mendapatkan bantuan majikannya," katanya.

Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai penyelenggara berlari sejauh kira-kira dua kilometer ke rumah majikannya.

"Setiba di rumah majikan, mangsa mengetuk tingkap rumah sebelum majikannya meninjau dari dalam menerusi tingkap, lalu membuka pintu.

“Mangsa yang berlumuran darah kemudian rebah dalam keadaan mengiring sambil meraung kesakitan. Majikannya datang menekap belakang badan mangsa yang berdarah menggunakan kain," katanya.

Melihat kepada keadaan mangsa, katanya, majikan terbabit memapah mangsa ke dalam kereta lalu menghantarnya ke Hospital Tampin.

"Selepas menghantar mangsa, majikan berkenaan pergi ke rumah mangsa bersama dua rakannya. Bagaimanapun, suspek tiada di rumah, sebaliknya hanya seorang rakan serumah mangsa sedang tidur di bilik belakang," katanya.

Menurutnya, kereta dilarikan suspek juga adalah milik majikan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Lelaki terperangkap dalam timbunan konkrit



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2013
SHAH ALAM – Seorang lelaki berjaya diselamatkan dari terperangkap lebih dua jam dalam timbunan konkrit di sebuah tapak projek pembangunan bersebelahan Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Izman Adnan berkata, warga Indonesia berusia lingkungan 40-an itu cedera di bahagian paha sebelah kiri setelah gagal keluar dari tapak bangunan itu.
"Berdasarkan maklumat awal, terdapat hampir 15 pekerja binaan yang melakukan kerja-kerja menyiapkan bangunan itu, tetapi hanya seorang terlibat dalam kejadian runtuhan itu.

“Dipercayai semuanya dapat keluar setelah melihat besi konkrit yang baru disimen itu bengkok  patah sekaligus meruntuhkan konkrit lembut baru dibina," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Izman berkata, operasi menyelamat dimulakan selepas mendapat maklumat lokasi tersebut selamat bagi semua anggota yang menjalankan tugas menyelamat.

“Ia adalah satu faktor yang menyebabkan anggota kita mengambil masa agak lama untuk mengeluarkan mangsa.
“Kita bimbang sekiranya tiada 'signal' selamat, akan ada konkrit lain pula yang jatuh menimpa anggota penyelamat yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Katanya, dua jentera bomba dengan 13 anggota dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam kerja menyelamat sejak 4.45 pagi dan berakhir jam 8 pagi.
Mangsa, dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.

Suami mengamuk bakar tilam



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2013
Suami mengamuk bakar tilam
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan
MARANG – Harapan seorang isteri supaya suami dapat menjaga dirinya selepas kematian bapa hanya tinggal harapan, sebaliknya hidupnya pula jadi tidak tentu arah apabila suami terjebak najis dadah.

Malah, suaminya itu tergamak membakar katil dan tilam di bilik tidur mereka di Kampung Surau Haji Mat Zain di sini, petang kelmarin selepas permintaannya mendapatkan RM50 tidak dapat ditunaikan.

Dalam kejadian antara jam 2.30 hingga 3 petang itu, suspek berusia 31 tahun itu membakar katil dan tilam bernilai RM1,000, bertujuan merosakkan harta milik mereka di rumah keluarga isterinya.

Mangsa berusia 29 tahun berkata, sebelum kejadian, suaminya datang ke tempat kerjanya di Kampung Padang Midin untuk meminta sejumlah wang.

“Saya tiada wang dan kemudian, suami seperti mengugut akan melakukan sesuatu sebab saya tidak dapat tunaikan permintaannya.
“Suami terus pulang ke rumah dan melepaskan geram dengan membakar katil serta tilam,” katanya.
Mangsa yang belum mempunyai anak dan tinggal bersama ibu dan empat adik beradiknya di rumah terbabit  berkata, dia sering berdepan dengan kejadian seumpama itu.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.
Difahamkan, suspek yang pernah terlibat dalam kes penagihan dadah sebelum ini dan dipercayai masih dalam pengawasan polis ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Dijel 6 bulan akibat ambil dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2013
KOTA BHARU - Seorang duda anak dua terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam bulan setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki komponen penghawa dingin dan mengambil dadah.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Muhammad Shahril Wan Nabih, 35, selepas dia gagal memberi keterangan mengenai komponen penghawa dingin berada dalam milikannya serta kesalahan mengambil morfin.

Tertuduh didakwa memiliki tiga balang gas penghawa dingin dan beg pinggang mengandungi dua playar, sebilah spanar dan gergaji besi di belakang sebuah bangunan di Jalan Pengkalan  Chepa, di sini pada jam 4.15 petang, Mac lalu.

Oleh itu, dia yang juga buruh dari Jalan Padang Tembak, didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang  membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara  tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula dia mengaku bersalah memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis morfin di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 19 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih  RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun jika  sabit kesalahan.

Bagi kesalahan pertama, Nik Habri menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkap iaitu 11 Mac lalu dan enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua. Bagaimanapun hukuman berjalan serentak.

Menurut fakta kes, pada jam 4.15 petang, 11 Mac lalu,  seorang pengawal keselamatan telah menahan tertuduh di belakang sebuah bangunan di Jalan Pengkalan Chepa kerana  disyaki telah mencuri komponen penghawa dingin milik  majikan pengawal keselamatan berkenaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri.

Wanita mengandung dijel lapan bulan



ROSMIZA KASIM
18 Mac 2013
Wanita mengandung dijel lapan bulan
Norhasliza (kiri) menutup mukanya ketika dibawa keluar dari mahkamah semalam.
KOTA BHARU - Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan memiliki pelbagai jenis dadah tahun lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas Norhasliza Muhamad, 30, mengaku bersalah bagi kesemua tuduhan iaitu dua daripadanya memiliki pil kuda, satu tuduhan memiliki heroin, satu tuduhan lagi memiliki Nimetazepam dan satu tuduhan lain memiliki ganja.
Norhasliza dari Kampung Guchil, Jalan Bayam itu didakwa melakukan kesemua tuduhan terbabit pada 2 September tahun lalu jam 6.45 petang  bersama tiga lelaki lain yang tidak mempunyai hubungan dengannya di sebuah rumah di Jalan Pondok Pasir Tumboh, Kampung Machang, Limbat di sini.
Manakala, dua daripadanya iaitu Tuan Mohd Azharaf Tuan Jaafar, 27, dan Mohammad Nuriman Hafiz Roslan, 25, mengaku tidak bersalah manakala seorang lagi, Tuan Affendi Tuan Jaafar, 36 tidak hadir ke mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa memiliki pil kuda seberat 0.17 gram (g),  kedua didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 0.12 g, ketiga pula secara bersama-sama didakwa miliki pil kuda seberat 0.19 g.
Seterusnya pertuduhan keempat pula didakwa memiliki dadah jenis kanabis (ganja) seberat 2.18 g manakala untuk pertuduhan kelima mereka didakwa memiliki Nimetazepam seberat 0.01 g.
Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) kecuali pertuduhan keempat didakwa mengikut Seksyen 6 ADB.

Seksyen 12(2) memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih lima tahun manakala Seksyen 6 memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM20,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, polis membuat serbuan di sebuah rumah di Limbat dan menahan tiga lelaki bersama seorang wanita  yang berada di ruang tamu rumah. Hasil pemeriksaan polis menjumpai dadah  terbabit.

Ketika prosiding Norhasliza yang hadir tanpa peguam itu meminta mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadapnya.
Kemudiannya Nik Habri menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi kesemua pertuduhan dan diarahkan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.
“Saya mempertimbangkan anak kamu yang dalam kandungan, saya jatuhkan hukuman penjara lapan bulan sahaja kepada kamu. Saya harap kamu menyesal dan tidak buat lagi, Kalau selepas ini buat lagi tidak ada gunanya,” katanya.

'Hadiah' hari lahir



MOHD TAHA YAACOB
18 Mac 2013
'Hadiah' hari lahir
Zuraidi (berdiri, kanan) memeriksa suspek sebaik mereka dibawa ke Balai Polis Jertih untuk siasatan lanjut.
BESUT - Seorang lelaki dipercayai peniaga air ketum terkedu apabila dicekup polis pada hari lahirnya di rumah suspek, dekat Kampung Gong Nering, Jertih, petang kelmarin.

Suspek lelaki yang genap 40 tahun kelmarin, ditangkap bersama 31 lelaki yang juga pelanggannya dalam operasi oleh sepasukan lapan anggota polis dari Balai Polis Jertih, diketuai Ketua Balai, Inspektor Zuraidi Semail.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, semua mereka yang berumur antara 20 hingga 51 tahun ditangkap ketika memasuki pekarangan rumah pengedar air ketum itu dipercayai untuk mendapatkan bekalan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat orang ramai, polis menjalankan operasi dengan memasang perangkap, kemudian bertindak menangkap seorang demi seorang pelanggan yang datang, dalam operasi bermula jam 6.30 petang hingga 10 mala.
“Sebaik sahaja suspek yang datang lebih awal ditangkap, mereka dikumpulkan dalam rumah peniaga ketum terbabit bagi memudahkan polis menangkap pelanggan lain yang tidak putus-putus datang,” katanya.

Kamaruddin berkata, saringan air kencing oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah mendapati 25 daripada mereka didapati positif dadah jenis methampetamine (pil kuda) termasuk dua orang yang dikehendaki polis dan selebihnya dibebaskan.

Menurutnya, polis turut merampas 18 motosikal dan enam kereta yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut serta 330 bungkus air ketum bernilai RM990.

Siasatan mendapati, peniaga air ketum terbabit mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama dan kesnya akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi kes penagih dadah, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perompak kena simbah asid



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
18 Mac 2013
Perompak kena simbah asid
Anggota forensik membuat pemeriksaan terhadap sebuah beg sandang yang terdapat di dalam kedai emas dipercayai hendak digunakan suspek untuk memasukkan barangan kemas.
Perompak kena simbah asid
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah (kanan) dan seorang pegawai penyiasat membuat pemeriksaan awal di luar premis.
DUYONG - Seorang pekerja kedai emas nekad menyimbah asid sehingga sekumpulan empat penjenayah bertempiaran lari meninggalkan premis berkenaan dalam kejadian samun, semalam.

Simbahan asid yang digunakan untuk mencuci barang kemas dipercayai mengenai salah seorang daripada penjenayah itu apabila polis menemui sarung tangan yang sudah berlubang di luar kedai emas di Taman Seri Duyong Seksyen 2.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, salah seorang daripada perompak bertopi keledar dan bertutup muka turut melepaskan tembakan, namun hanya mengenai dinding selepas pekerja berkenaan menyimbah asid ke arah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek berkulit gelap bagaimanapun sempat melarikan barangan kemas yang diisi dalam sebuah beg.

“Ketika suspek memasuki kedai emas itu, terdapat beberapa orang termasuk dua pelanggan wanita di dalamnya sebelum menghalau mereka lalu memecahkan cermin pameran dan menggeledahnya.

“Dalam masa sama, seorang pekerja bertindak menyimbah asid ke arah salah seorang suspek menyebabkan seorang lagi melepaskan tembakan tetapi tidak mengenai sesiapa, hanya terkena pada dinding,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Raja Shahrom berkata, ketika hendak melarikan diri, satu das tembakan dilepaskan secara rawak di luar kedai oleh suspek sebagai isyarat supaya orang ramai beredar selepas kira-kira lima minit melakukan rompakan tersebut.

“Empat lelaki muda itu kemudian meninggalkan kedai menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup di dalam kedai, memberi gambaran bentuk fizikal badan keempat-empat suspek dipercayai berusia 30-an ke bawah dan dapat juga melihat mereka mengaut barangan kemas masuk ke dalam sebuah beg sandang,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis mengadakan operasi sekatan jalan dipanggil Ops Tutup sekitar Melaka bagi mengesan suspek yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

“Kita percaya penjenayah yang terkena asid akan mendapatkan rawatan di klinik sekitar negeri. Kita minta kerjasama supaya klinik berkenaan memberikan maklumat sekiranya terdapat orang yang mendapatkan rawatan akibat simbahan asid dengan segera. Saya juga memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat memaklumkan kepada polis," katanya.

Raja Shahrom berkata, hasil siasatan awal pihaknya menjumpai sebuah beg kosong, sebuah tukul besi besar dan dua kelonsong peluru masing-masing di dalam dan luar premis berkenaan, selain satu sarung tangan dipercayai milik salah seorang suspek.

“Bagaimanapun, jumlah kerugian dialami pemilik kedai emas berusia 60-an itu dan barangan kemas yang berjaya dilarikan perompak tidak dapat dinilaikan lagi kerana terlalu awal dan masih dalam siasatan," katanya.

Tragedi pantai: Lumpuh selepas lemas



18 Mac 2013
Tragedi pantai: Lumpuh selepas lemas
Keadaan Mohd Hafiz selepas terlibat dalam kejadian lemas di pantai Tanjung Balau. Foto kecil: Tuminah
KOTA TINGGI – Seorang ibu dari Felda Semenchu, di sini, melahirkan rasa sedih melihat keadaan anak lelakinya yang kini terlantar selepas terlibat dalam kejadian lemas sejak Mei 2011.

Mengenang kembali kejadian berkenaan, Tumirah Kadiman, 59, berkata, badannya menggigil kerana terlalu terkejut ketika menerima berita yang menimpa anaknya, Mohd Hafiz Abu Tahir, 25.

Menurutnya, ketika kejadian di pantai Tanjung Balau itu, anaknya sedang bercuti semester dari pengajian di Maktab Tentera Diraja (MTD).

“Anak kelima dari enam beradik ini sangat aktif. Selepas kejadian tu, Hafiz lumpuh separuh badan. Waktu itu dia melakukan terjunan ketika berkelah bersama rakan-rakannya.

“Saya terkejut bila diberitahu Hafiz lemas padahal dia pandai berenang. Tapi saya bersyukur kerana Tuhan masih panjangkan umurnya,” katanya.

Menurut Tumirah, selepas menjalani pelbagai rawatan, kini Hafiz menunjukkan perubahan yang positif.

7 rumah rosak dilanda ribut di Bandar Baharu




17 Mac 2013
BANDAR BAHARU, Kedah - Lapan sekeluarga selamat walaupun sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan ribut kuat di Desa Keda Sungai Buluh, dekat sini, semalam.
  
Pemilik rumah Noorlaila Lasar, 44, memberitahu, ketika kejadian dia sedang bertugas di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Kulim sebelum bergegas pulang selepas diberitahu rumahnya rosak akibat kejadian ribut itu.
  
Adiknya, Mohd Azwana Lasar, 30, yang berada di rumah ketika kejadian berkata pada mulanya angin kuat melanda diikuti hujan lebat sebelum menyedari bumbung rumah mereka diterbangkan selepas bunyi dentuman yang kuat.
  
Wakil Peribadi Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan berkata, enam buah rumah lagi pula mengalami kerosakkan kecil dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.30 petang itu.
  
Beliau yang meninjau tempat kejadian hari ini berkata rumah-rumah terbabit perlu dibaiki segera bagi keselesaan penghuninya.
  
Helmy berkata, pihaknya telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Bandar Baharu dan Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) untuk mendapatkan bantuan segera bagi memperbaiki kerosakan rumah berkenaan. - Bernama

Baucar BR1M diambil orang



NOR AINNA HAMZAH
17 Mac 2013
Baucar BR1M diambil orang
Idris dan Sepiah menunjukkan laporan polis yang dibuat pada 28 Februari lalu.
GEMENCHEH – “Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pak cik dah diambil orang."

Itulah kata-kata dari petugas BR1M 2.0 yang masih kekal dalam ingatan Idris Dahalan, 76, hingga ke hari ini ketika dia ingin mengambil bantuan berkenaan buat kali kedua di Dewan Sri Gemencheh pada 28 Februari lalu.

Menurutnya, dia masih tertanya-tanya siapakah individu yang mengambil baucar RM500 miliknya itu sedangkan dia tidak pernah mewakilkan sesiapa dan memberikan kad pengenalannya kepada orang lain.

“Pak cik pelik juga tetapi atas nasihat petugas berkenaan, pak cik membuat satu laporan di Balai Polis Gemencheh pada hari yang sama.

"Malah, pak cik turut pergi sejauh lebih 60 kilometer pergi dan balik dari rumah pak cik di Sungai Dua, Gemencheh ke Pejabat Daerah Tampin pada sebelah petangnya bagi membolehkan masalah berkenaan selesai, " katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Dua, semalam.

Idris berkata, sehingga ke hari ini masalah berkenaan masih lagi belum selesai dan dia masih menunggu jawapan positif daripada pihak bertanggungjawab mengenai status baucar BR1M.

“Kalau dulu dapat RM250 pun kami suami isteri sudah gembira kerana dapat menambah perbelanjaan dapur inikan pula RM500.  Impian kami lebur begitu sahaja apabila baucar BR1M kami diambil orang lain dan ia masih belum lagi selesai hingga ke hari ini, " katanya.

Lebih menyedihkan lagi dia juga perlu menjaga isterinya, Sepiah Musa, 75, yang lumpuh sejak empat tahun lalu setelah diserang demam teruk susulan virus bawaan nyamuk iaitu demam Chikungunya.

Idris berkata, dia dan isteri kini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan wang pencennya sebagai pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu sebanyak RM720 sebulan bagi menguruskan perbelanjaan dapur dan keperluan lain.

Terkejut nampak lelaki pegang pistol



18 Mac 2013
Terkejut nampak lelaki pegang pistol
Keadaan kedai emas yang menjadi mangsa rompakan empat penjenayah.
DUYONG - Seorang pekerja kontrak terkejut apabila mendengar cermin pecah disusuli tembakan ketika sedang membuat longkang konkrit berhampiran kedai emas di Taman Seri Duyong Seksyen 2 di sini, semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sarudin, 40, kemudian berjalan menyusuri longkang ke arah hadapan kedai emas itu sebelum melihat seorang lelaki bertopi keledar memegang senjata api berdiri di luar premis.

“Saya terkejut mendengar bunyi bising dan kaca pecah sebelum melihat seorang lelaki bertopi keledar berdiri di hadapan kedai emas itu.

“Saya kemudian berjalan melintas kedai itu untuk melihat apa berlaku dan terkejut lelaki itu melepaskan tembakan ke udara sebelum tiga penjenayah keluar dari dalam premis bersama sebuah beg dan beredar menaiki dua motosikal,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz, 30, berkata, sebelum kejadian dia sedang makan di sebuah gerai berhampiran sebelum terdengar bunyi kaca pecah dan melihat seorang lelaki memegang pistol di hadapan kedai emas berkenaan.

“Saya terdengar bunyi kaca pecah dan macam orang bertukang. Dari kedai makan saya nampak keempat-empat lelaki  keluar dari kedai itu menaiki motosikal ke arah lampu isyarat Taman Seri Duyong Seksyen 3.

“Ketika di lampu isyarat berkenaan, saya lihat dua daripadanya membuka visor dengan seorang daripadanya bermisai dan mereka berempat menaiki motosikal menghala Bukit Duyong,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

4 termasuk wanita hamil maut kemalangan



KAMARUL HALIM M KAMAL
18 Mac 2013
Empat maut nahas
Perodua Alza yang turut terlibat dalam kemalangan, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Empat maut nahas
Kereta Hyundai Matrix yang terbabas mengakibatkan pemandunya mati di tempat kejadian.
BATU PAHAT – Seorang wanita mengandung lima bulan iaitu Noraslina Ibrahim, 28, antara empat yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37, Jalan Kluang – Ayer Hitam, semalam.

Kemalangan yang berlaku ketika hujan lebat pada jam 2.55 petang itu turut meragut nyawa ibunya, Fatimah Yusof, 48, dan neneknya. Siti Omar, 75.

Turut terkorban dalam kemalangan ngeri itu, pemandu kereta Hyundai Matrix, Sim Kock Hwa, 35.

  Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Kock Hwa menghala ke Kluang terbabas dan masuk ke laluan bertentangan, dipercayai akibat jalan licin.

“Hyundai Matrix itu pula bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Kluang dinaiki lima sekeluarga iaitu tiga daripadanya maut manakala dua lagi cedera.

“Selepas itu sebuah lagi kereta yang berada di belakang Perodua Myvi itu iaitu Perodua Alza tidak sempat mengelak dan merempuh Perodua Myvi itu dari arah belakang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Din berkata, pemandu Hyundai Matrix dan tiga penumpang Perodua Myvi maut serta-merta manakala pemandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan.

“Sementara pemandu Myvi, Mohd Sufian Mohd Saleh berusia lewat 20-an dan seorang lagi penumpang kereta itu berusia 10 tahun dikenali sebagai Boboy mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang.

“Keempat-empat mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses selanjutnya sebelum dituntut keluarga untuk disempurnakan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, sebelum kejadian, jiran kepada tiga sekeluarga yang maut sempat melambai tangan ketika mereka hendak keluar ke Pontian.

“Saya hanya tahu mereka bercadang untuk bercuti, tetapi tidak menyangka itulah lambaian terakhir mereka kepada saya,” kata, Siti Zaida Jamhari, 28.

Menurutnya, keluarga itu yang berasal dari Taman Sri Impian, Kluang, kelihatan gembira dan dia sangat terkejut selepas menerima berita mengenai kemalangan yang meragut nyawa tiga daripadanya dan bayi dalam kandungan Noraslina,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, semalam.

Menurut Siti Zaida, kejadian itu amat menyedihkan kerana Noraslina dan suaminya, Mohd Sufian tidak sempat menyambut kelahiran anak sulung mereka.

“Sudah beberapa kali Ina (Noraslina) keguguran namun kali ini hasrat mereka untuk menyambut anak tidak juga kesampaian selepas mereka terbunuh.

“Mereka sekeluarga sangat baik dan ibu kepada Noraslina iaitu Fatimah yang kami panggil mak cik itu menjaga anak saya dan hubungan kami sangat baik,” katanya.

Tinggal sehelai sepinggang



NOR AZURA MD AMIN
18 Mac 2013
Tinggal sehelai sepinggang
Dua rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tengah Ayer Baloi, kelmarin. Foto kecil : Ismail.
PONTIAN – Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman masing-masing di Kampung Tengah Ayer Baloi, di sini, musnah dalam satu kebakaran, lewat petang kelmarin.

Pegawai Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Pegawai Bomba Kanan 1 Ayub Kamisan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.11 petang dan sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian .

“Punca kebakaran dan kerugian dalam siasatan. Bantuan daripada Bahagian Forensik Bomba akan dihantar bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ketika kejadian, keluarga Ismail Mohammad, 44, sedang beristirahat sebelum percikan api keluar dari bahagian dapur secara tiba-tiba.

Ismail berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri Susihartati Zakaria, 34, berserta dua cahaya mata, Mohd Irfan Fakhlefi, 7, dan  Mohd Farhan Fakhelfi, 2, berada di dalam rumah.

“Ibu mertua dan seorang saudara juga ada bersama. Kami tergamam melihat percikan api mengejut keluar dari dapur dan kami terus keluar dari rumah kerana bimbang sesuatu yang buruk akan terjadi.

“Saya sempat mengambil beg dan dokumen penting seperti surat beranak sebelum percikan api itu menjadi besar dan membakar rumah,” katanya.

Beliau yang merupakan seorang peniaga cendol berkata, api marak begitu pantas sehingga ke rumah jiran yang terletak di bahagian belakang kediamannya.
Sementara itu, jirannya, Azmi Wasiman, 26 berkata, dia sedang berniaga kedai runcit yang terletak tidak berapa jauh daripada rumahnya ketika kejadian.
Isterinya, Nurul Saadah Ambok Dalik, 21, pula tiada di rumah kerana menjalankan kerja-kerja andaman pengantin, manakala anak mereka, Nor Aleya Ellysa, 3, dan Nur Fasha Farisha, 1, dijaga oleh ibunya.

“Saya segera pulang ke rumah selepas diberitahu rumah saya terbakar. Malangnya semua sudah hangus. Tiada dokumen penting dan barang yang sempat diselamatkan.

“Buat sementara waktu, saya sekeluarga akan menumpang  sementara di rumah ibu di Kampung Parit Getah, Benut,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pontian yang juga Adun Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad berkesempatan melawat lokasi kejadian bersama Penghulu Mukim Ayer Baloi, Mohd Zaini Suhaimi menyatakan kesediaan pihaknya mendapatkan bantuan awal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban mangsa.

Polis percaya selesai kes samun dan rogol wanita Amerika Syarikat




18 Mac 2013
SHAH ALAM - Polis percaya telah menyelesaikan kes samun dan rogol melibatkan seorang wanita warga Amerika Syarikat pada 11 Mac lepas dengan penahanan tujuh individu termasuk lima orang di Kajang awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata lima suspek -- tiga lelaki dan dua wanita -- berumur antara 28 dan 39 tahun itu ditahan secara berasingan di dua buah rumah di Pangsapuri Desa Mutiara, Taman Sungai Jeluk, Kajang pada kira-kira 6.30 pagi.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas sebilah pisau dan enam telefon bimbit pelbagai jenis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Polis Selangor sebelum ini menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes membabitkan mangsa, yang merupakan guru Bahasa Inggeris berumur 20-an, yang menaiki teksi dari sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, dekat sini sebelum dibawa ke sebuah lokasi di Sungai Pelek, Sepang dan dirogol.

Polis sebelum ini memberkas seorang lelaki berumur 47 tahun di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 13 Mac lepas dan keesokannya menahan seorang suri rumah berumur 28 tahun di sebuah rumah di Balakong, yang hasil siasat terhadapnya  membawa kepada penahanan lima suspek terbabit.

Mohd Adnan berkata kesemua tujuh suspek terbabit dipercayai anggota sebuah sindiket yang terbabit dalam kes samun dan rogol warga Amerika Syarikat itu.

Beliau berkata polis juga sedang menyiasat kemungkinan sindiket yang sama terbabit dalam beberapa lagi kejadian jenayah samun membabitkan penumpang teksi di sekitar Lembah Klang. - Bernama

Rogol: Gejala sosial atau kes jenayah?



SUHARNE ZAINUDIN
18 Mac 2013
Rogol: Gejala sosial atau kes jenayah?
Rogol adalah yang jenayah seksual melibatkan kekerasan dan paksaan ke atas perempuan. - Gambar hiasan
ROGOL! perkataan yang pastinya menggerunkan setiap wanita. Malah, sebilangan besar perempuan lebih rela dibunuh daripada dirogol. Definisi undang-undang, rogol adalah satu bentuk jenayah serangan seksual yang mana penyerang memaksa mangsa melakukan hubungan seksual.

Dirujuk juga sebagai hubungan seksual dengan seorang yang rela tetapi dari segi undang-undang belum cukup umur. Berita kejadian rogol telah acap kali mengejutkan masyarakat. Tidak setakat rogol, lebih tragis membabitkan bunuh selepas kehormatan dinoda. Teruknya keadaan ini!

Apakah pengaruh televisyen puncanya? Apakah kecanggihan teknologi memberi peluang besar kegiatan memuat turun bahan berunsur porno, sebabnya? Atau kelemahan iman itu sendiri mengarahkan akal menundukkan nafsu rakus yang sememangnya tidak pernah jinak?

Nah, pelbagai persoalan boleh diutarakan. Kini, rogol tak berlaku dek paksaan sahaja, tetapi juga kerana gagal kawal nafsu seterusnya 'terbabas'.

Ramai anak muda kini suka berpelesiran, bebas berdating tanpa tegahan, semua ini faktor menyumbang berlakunya persetubuhan haram. Oleh kerana bawah umur, diklasifikasikan sebagai rogol.

Jadi, adakah kejadian rogol  kini betul-betul perbuatan jenayah atau masalah sosial?

Kastam rampas 73kg dadah jenis syabu bernilai RM14j




18 Mac 2013
NILAI - Kastam Diraja Malaysia merampas 73 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM14 juta yang cuba diseludup ke negara ini melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India.
Pihak kastam menyerbu sebuah premis kediaman di Taman Sri Merdeka, Ampang pada Jumaat lepas dan menemui dadah itu disembunyikan dalam 17 kotak daripada 50 kotak yang diikrarkan sebagai 'Fresh Cut Roses'.
Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata pihak kastam yang mencurigai kargo itu bertindak mengekori lori membawa barang dagangan berkenaan pada hari ketibaannya dari Bangalore pada 14 Mac.
"Dagangan tersebut didapati tidak melalui proses pelepasan kastam yang sah kerana bunga hidup memerlukan permit import dan pengimport tidak mempunyai sebarang permit import," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Narkotik Kastam di sini hari ini.
Beliau berkata kastam menyerbu premis berkenaan, yang dipercayai disewa untuk mengendalikan kargo berkenaan, setelah mendapat maklumat berhubung kegiatan itu.
"Hasil pemeriksaan hanya 17 kotak sahaja diisi dadah tersebut manakala bakinya tidak mempunyai sebarang jenis dadah. Dadah jenis syabu ini disorokkan di bahagian bawah bunga bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.
Liah berkata sebahagian daripada dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan manakala sebahagiannya ditransit di sini sebelum diseludup ke negara lain.
Susulan itu, pihak kastam menahan dua lelaki warga India berusia antara 35 hingga 40 tahun yang berada di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.
Dua suspek itu kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Liah berkata siasatan terhadap suspek mendapati salah seorang daripada mereka pernah bekerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur selama lima tahun manakala seorang lagi dikesan mempunyai rekod memasuki Malaysia dua kali untuk tujuan mengiringi 'kiriman'.
"Kita percaya lelaki yang mengiringi kiriman itu memasuki negara ini sebelum ini bertujuan untuk memastikan 'kiriman dadah' sampai ke destinasi. Perkara ini akan disiasat," katanya. - Bernama