Search This Blog

Thursday, March 14, 2013

Pengharaman Buku SIS: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan KDN untuk kebenaran merayu




14 Mac 2013
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi membatalkan larangan kementerian itu ke atas buku 'Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism' oleh pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS), yang didakwa memudaratkan ketenteraman awam.
  
Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff berkata KDN gagal memenuhi syarat Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mendapat kebenaran merayu.
  
Mengikut seksyen ini, seorang pemohon perlu meyakinkan Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berkaitan apa-apa kausa atau perkara sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya dan ia melibatkan persoalan prinsip umum yang diputuskan bagi kali pertama atau sesuatu persoalan penting yang memerlukan penghujahan lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi manfaat awam.
  
Terdahulu, KDN, yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail, mengemukakan dua isu undang-undang dalam permohonan itu bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mendengar merit rayuan berkenaan.
  
Bagaimanapun, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan perkara itu dengan betul berdasarkan fakta.

Beliau berkata permohonan KDN harus ditolak atas alasan isu undang-undang yang dibangkitkan telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009.
  
Pada 27 Julai tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Wahab Patail mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan berpendapat dakwaan KDN bahawa penerbitan buku itu memudaratkan ketenteraman awam, tidak disokong bukti yang jelas.
  
KDN mengharamkan buku itu pada 31 Julai 2008 dan SIS memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Dis 2008 untuk satu perintah certiorari bagi membatalkan larangan itu.
  
Bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu dan pada 26 Ogos 2009, SIS dibenar memulakan semakan kehakiman.
  
Pada 25 Jan  2010, Mahkamah Tinggi membatalkan larangan KDN ke atas buku itu selepas membenarkan semakan kehakiman.
  
Buku 215 halaman itu, yang diterbit pada Oktober 2005, mengandungi himpunan esei oleh aktivis dan intelektual antarabangsa. - Bernama

Laung takbir 3 kali sebelum nahas


14 Mac 2013
Kemalangan
Keadaan kereta Sabariah yang remuk di bahagian hadapan selepas terlibat dalam kemalangan, semalam
KUALA TERENGGANU – Rasa gelisah seorang pembantu akauntan ketika sedang memandu kereta akhirnya terjawab selepas dia terbabit dengan kemalangan semalam.
Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, akauntan terbabit melaungkan takbir sebanyak tiga kali apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan kenderaan lain di persimpangan tiga dekat Jambatan Kuala Ibai di sini, semalam.
Akibatnya, kereta Perodua Alza dipandu Sabariah Mohamad, 43, remuk selepas melanggar bahagian belakang kereta Perodua Myvi dipandu seorang guru yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Marang.
Sabariah berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta dipandu guru terbabit secara tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan, menyebabkan dia gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.
Menurutnya yang bekerja di Pelabuhan Chendering itu, dia tiada pilihan kecuali merempuh belakang kereta yang berada di hadapannya dan ketika itu, dia masih tidak berhenti membaca ayat-ayat suci al-Quran selepas melaungkan takbir sebanyak tiga kali.
Sebelum detik cemas itu berlaku, Sabariah berkata, lima kilometer sebelum tiba di tempat kejadian, dia berasa begitu gelisah dan secara spontan terus melaungkan takbir ‘ALLAH Hu Akhbar’ seterusnya membaca ayat-ayat suci al-Quran.
“Malah sebelum bertolak dari rumah di Batu Enam, hati berat nak tinggal tiga anak di rumah ibu kerana pengasuh mereka tak sihat, namun bila fikir susah nak minta cuti kecemasan, saya terpaksa tinggalkan mereka.
“Saya bertolak ke Chendering dan hati menjadi lebih gelisah ketika melalui jalan berdekatan sebuah hotel di Kuala Terengganu, lima kilometer dari tempat kejadian,” katanya.
Bagaimanapun Sabariah dan guru terbabit terselamat serta tidak alami kecederaan serius.
Mereka kemudiannya menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pelajar politeknik maut digilis lori di Jambatan Pulau Pinang



14 Mac 2013
GEORGETOWN - Seorang pelajar politeknik maut digilis sebuah lori selepas mangsa tercampak dari motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan di Kilometer 5.4 Jambatan Pulau Pinang hari ini.
  
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Wan Aziz Wan Husin berkata pada kejadian pukul 3 petang itu mangsa, Henry Peter, 22, dipercayai gagal mengawal motosikalnya dan bergesel dengan sebuah Land Rover menyebabkan beliau terseret beberapa meter di atas jambatan itu.
  
Beliau kemudiannya tercampak ke tengah jalan sebelum digilis oleh sebuah lori dari arah belakang.
  
"Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Faraday, Bukit Dumbar, di sini selepas selesai mengikuti kuliahnya di Politeknik Seberang Perai," katanya ketika dihubungi.
  
Katanya polis turut menemui kad pelajar, beberapa buah buku dan Baucer Buku 1Malaysia bernilai RM50 di dalam beg galas mangsa.
  
Beliau berkata pelajar berkenaan, yang mengikuti pengajian diploma kejuruteraan mekanikal, meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala serta seluruh badan.
  
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - Bernama

Bapa maut, anak tujuh tahun cedera parah nahas jalan raya



14 Mac 2013
KUANTAN - Seorang lelaki yang dalam perjalanan menghantar anak lelakinya ke sekolah, maut selepas motosikal yang dinaiki dua beranak itu bergesel dengan sebuah lori di km0.5, Jalan Bentong-Karak, dekat sini hari ini.
  
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Fairuz Izzuan Mohd Baharuddin, 33, yang tinggal di Taman Saga, Bentong, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
  
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Karisma itu dari arah Bentong menghala ke Karak, telah hilang kawalan sebelum bergesel di bahagian belakang sebuah lori.
  
"Selepas bergesel, mangsa dan anak lelakinya itu terjatuh, mangsa mati di tempat kejadian, manakala anaknya cedera parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi.
  
Anak mangsa berusia tujuh tahun (nama belum dikenapasti) kini dirawat di Hospital Bentong.
  
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Pelancong warga Amerika disamun, dirogol pemandu teksi


SHAH ALAM - Seorang pelancong wanita warga Amerika Syarikat bukan sahaja disamun dan dikurung, lebih malang dia dipercayai dirogol bergilir-gilir selepas menaiki sebuah teksi di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Sumber berkata, ketika kejadian wanita berusia 25 tahun itu baru selesai membeli barang di sebuah pusat beli-belah dan mengambil teksi untuk pulang ke hotel.

Menurutnya, selain mangsa dan pemandu teksi, terdapat seorang lagi 'penumpang' lelaki dalam kenderaan terbabit.

"Pemandu teksi dan lelaki terbabit dipercayai bersekongkol membawa mangsa ke sebuah homestay di kawasan Sungai Pelek, Sepang.

"Mangsa dikurung selama dua hari dan dirogol. Barangan berharga serta wang miliknya turut disamun," katanya.

Menurut sumber, mangsa berjaya melepaskan diri petang semalam, sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelek.

Katanya, susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan dan sedang mengesan beberapa individu lagi yang disyaki ada kaitan dengan kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed dan Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino Zaludin mengesahkan terima laporan berhubung kes tersebut.

Pada 6 Mac lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan seramai lima pemandu teksi ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan culik penumpang bagi meminta wang tebusan di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata, polis turut mengenal pasti tiga kumpulan pemandu teksi aktif melakukan jenayah tersebut sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan penumpang wanita yang menaiki teksi bersendirian sebagai mangsa.

Katanya, sebanyak 13 kes dilaporkan berlaku sejak Januari lalu dan modus operandi penjenayah adalah menyewa teksi dan berpura-pura mengambil penumpang sebelum menyamun atau menculik mereka.

Seorang pekerja landasan maut, seorang parah dirempuh tren ERL




14 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja penyelenggaraan landasan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) maut manakala seorang lagi cedera parah dirempuh tren ERL di KM9.2 arah Selatan (ke KLIA) berhampiran Stesen Bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata N.Muniandy, 36, maut dalam kejadian pukul 11.10 pagi ketika melakukan kerja penyelenggaraan landasan bersama rakannya Ahmad Khusairi Kamarul Baharin, 37.
  
"Muniandy yang berasal dari Temerloh, Pahang mati di tempat kejadian manakala rakannya, Ahmad Khusairi yang cedera di bahu dan perut dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam.
  
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian kira-kira pukul 11.37 pagi, namun kedua-dua mangsa telahpun dibawa oleh ambulan.
  
Sementara itu, jurucakap ERL berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu. - Bernama

Pekerja binaan maut terjatuh dari tingkat 24 pangsapuri



14 Mac 2013
GEORGETOWN - Seorang pekerja binaan maut selepas terjatuh dari tingkat 24 sebuah pangsapuri yang sedang dalam pembinaan di Lebuh Tengku Kudin, Gelugor dekat sini hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ismail Toh Paduka Idris berkata dalam kejadian pukul 10 pagi itu, Loh Zhi Hao, 19, sedang memasang bingkai aluminium di balkoni sebuah daripada unit pangsapuri berkenaan sebelum tergelincir dari tempat dia berdiri.
  
"Mangsa berasal dari Gurun, Kedah, baru 10 bulan datang ke Pulau Pinang dan bekerja dengan sebuah syarikat aluminium di Bayan Lepas di sini," katanya kepada pemberita.
  
Ismail berkata polis tidak mengesyaki sebarang unsur perlakuan jenayah sehingga menyebabkan kematian Loh dan siasatan awal mendapati dia tidak memakai tali keselamatan sewaktu kejadian itu berlaku.
  
Katanya mayat remaja itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan telah dituntut anggota keluarganya.
  
Sementara itu, ibu mangsa Ng Bee Kim, 52, yang ditemui di rumah mayat menyifatkan anak tunggalnya itu sebagai seorang yang pemurah dan kuat bekerja.
  
"Sejak kematian suami ketika umur anak setahun saya membesarkannya seorang diri. Dia memang budak baik. Tahun Baharu Cina lepas satu pertiga bonus miliknya diberi kepada saya. Tidak tahulah bagaimana nak teruskan hidup tanpanya," katanya. - Bernama

Ahli perniagaan mati ditembak di stesen minyak


14 Mac 2013
Mati ditembak dari jarak dekat
Kesan tujuh das tembakan yang terdapat pada kereta mangsa.
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 34 tahun, mati ditembak dari jarak dekat dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Sentul di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki itu datang ke stesen minyak tersebut untuk mengisi minyak.

Beliau berkata, ketika rakan mangsa keluar berurusan di kaunter, dua lelaki membonceng motosikal mendekati kenderaan mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan dan memecut meninggalkan lokasi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tujuh kesan tembakan pada kenderaan dipandu mangsa.

“Dua lelaki yang membonceng motosikal memakai helmet dengan penutup muka penuh.

“Motif kejadian dan identiti mangsa masih belum diketahui, namun siasatan peringkat awal sedang berjalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang pekerja stesen minyak tersebut dikenali sebagai Salem, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas menjaga kaunter.

Menurutnya, dia melihat dua lelaki menaiki motosikal berlegar-legar dalam kawasan stesen tersebut sebanyak dua pusingan.

“Sebaik sahaja kenderaan mangsa berhenti, seorang lelaki keluar dari kenderaan untuk membayar di kaunter dan ketika itu, dua lelaki bermotosikal itu menuju ke arah kenderaan mangsa.

“Selepas mendengar beberapa das tembakan, kenderaan mangsa berundur dipercayai hilang kawalan,” katanya.

Lokasi kejadian menjadi tumpuan orang awam apabila berlaku sedikit kekecohan daripada sekumpulan individu dipercayai keluarga mangsa yang gagal mengawal emosi.

‘Tumpah darah’


Ipoh: Isteri kepada Allahyarham Asisten Superintendan (ASP) Zulkifli Mamat, Noor Aziah Noor, 28, yang kini mengandung dua bulan dilaporkan mengalami ‘tumpah darah’ dipercayai akibat terlalu berduka dengan tragedi menimpa suaminya.

Perkara itu disahkan ibunya, Khalipah Mohd Isa, 54, ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan oleh isteri Pengerusi Kumpulan FELDA Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid di Mes Pegawai Kanan, Markas Briged Utara, Hulu Kinta, di sini, petang semalam.


Khalipah berkata, anaknya mengalami sedikit ‘tumpah darah’ Isnin lalu, namun bernasib baik kerana kandungannya disahkan masih selamat.

Menurutnya, doktor turut menasihatkan anaknya supaya berehat secukupnya bagi memastikan kandungan tidak berdepan sebarang masalah di kemudian hari.


“Mak cik percaya kejadian (tumpah darah) itu berpunca kerana dia terlalu sedih dengan pemergian arwah. Sejak 13 hari lalu, dia kerap berulang-alik ke rumah keluarga arwah Zulkifli di Kampung Kubang Ikan, Jerteh, Terengganu untuk menziarahi pusara.


“Malah, sejak seminggu lalu, dia tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai dan sanak-saudara yang menziarahinya di rumahnya di Bandar Baru Putra,” katanya. Katanya, dia bersyukur kerana kandungan anaknya itu tidak mengalami sebarang masalah.

Padah samun penarik kereta



Georgetown: Cubaan dua sahabat menyamun seorang penarik kereta membawa padah apabila seorang daripadanya parah dibelasah orang ramai sehingga hampir putus tangan dan cedera di belakang badan dalam satu kejadian di Taman Lip Sin, Sungai Nibong, di sini awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi apabila polis menerima panggilan telefon daripada orang ramai memaklumkan berlaku satu kejadian pergaduhan berdekatan sebuah pasar raya dan dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan teruk.


Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, mangsa berusia 29 tahun bekerja sebagai penarik kereta sebelum itu didatangi dua lelaki tidak dikenali yang membawa senjata tajam cuba menarik beg sandang mangsa sebelum salah seorang suspek mengeluarkan pedang samurai.

Ayah nampak mayat anak berdiri


Georgetown: “Selepas tiga jam mencari, saya ternampak mayat anak dalam keadaan berdiri sebelum terus mencapai rambutnya,” kata Ahmad Long, 55, yang turut ke laut untuk mencari anaknya, Marzuki Akmar, 22, yang lemas ketika memukat udang, kelmarin.

Menurut Ahmad, dia bersyukur kerana selepas seharian lemas akhirnya dia sendiri menemui mayat anaknya itu ketika keluar mencari bersama dua lagi rakannya.


“Selagi tidak jumpa, saya gelisah dan tidak dapat lelapkan mata, namun hari ini (semalam), saya lega kerana mayat anak berjaya ditemui.

“Memang naluri saya sebagai bapa kuat mengatakan yang mayat anak akan ditemui juga di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Balik Pulau, semalam.


Menurutnya, ketika mayat ditemui, kaki anaknya itu didapati terbenam dalam lumpur dengan keadaan masih memegang topi.


“Walaupun sedih, saya tetap reda dan bersyukur kerana mayatnya ditemui juga lebih-lebih lagi saya sebagai bapanya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin, dua beradik yang keluar memukat udang lemas selepas terjatuh ke dalam laut.


Ketika itu, kaki Marzuki Akmar dikatakan terbelit pada pukat sebelum abangnya, Mazlan nekad terjun untuk menyelamatkan adiknya itu.

Bagaimanapun, badan Mazlan dikatakan terbelit pada pukat sebelum dia lemas dan mayatnya berjaya ditemui kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.

Ala 'delivery' taktik baru edar rokok tiruan



Ala 'delivery' taktik baru edar rokok tiruan
Rokok putih yang dirampas JKDM dalam serbuan di sekitar Sungai Besi, kelmarin
Kuala Lumpur: Taktik terbaru mengedar bekalan rokok tiruan terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan ejen sindiket menggunakan motosikal bagi membuat penghantaran terus kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.

Modus operandi ala delivery yang biasanya ditawarkan restoran makanan segera, dikesan sejak pertengahan tahun lalu dan pesanan diterima menerusi panggilan telefon sebelum barangan itu dihantar dengan cara dibawa dalam kampit plastik atau beg sandang.
Penghantaran secara langsung ini diterima individu, pasar mini, kedai runcit, warung, pasar malam tanpa had minimum pesanan, namun kebiasaannya hanya antara tiga hingga empat karton rokok keretek dan rokok putih tiruan bagi mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JKDM Kuala Lumpur, Jaafar Mat Jawi, berkata taktik sebelum ini menggunakan van untuk mengedar rokok itu ke sekitar ibu negara tidak digunakan lagi kerana dikesan pihak berkuasa.

Bekalan dari sindiket

Peruncit atau pekedai akan menelefon ejen yang dilantik dan budak penghantar yang menaiki motosikal akan mendapat bekalan daripada sindiket.

Risikan mendapati penghantaran dibuat selepas Maghrib, katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya, di sini, semalam.
Semalam, Kastam memusnahkan 28,890 kilogram rokok putih yang dilucutkan hak dengan dirincih menggunakan mesin yang disediakan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia.

Katanya, rokok itu adalah sebahagian daripada 81,000 kilogram rokok yang dirampas sejak 2010 bernilai RM8.6 juta dengan tafsiran cukai RM22 juta.

Sementara itu, beliau berkata, Kastam Wilayah Persekutuan merampas rokok tiruan dianggarkan bernilai RM406,000, termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sungai Besi, kelmarin.

Budak ditembak ada hubungan pengganas



Lahad Datu: Polis mengesahkan budak lelaki berusia 13 tahun yang mati tertembak dan bapanya cedera ketika operasi mencari dan menggeledah di kawasan belukar di Kampung Sungai Bilis beberapa hari lalu, mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu.

Bapa budak berkenaan yang berusia 35 tahun itu masih dirawat di Hospital Lahad Datu dan akan ditahan selepas dibenarkan keluar wad, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Mereka ditembak ketika pasukan keselamatan sedang memeriksa beberapa orang yang disyaki ada kaitan dengan pengganas apabila terlihat pergerakan di kawasan berhampiran.

Selepas memeriksa kawasan itu, pasukan keselamatan menemui lelaki berkenaan yang cedera dan budak yang meninggal dunia.

Filipina tahan dua bot

Ismail berkata, polis akan mendapatkan kerjasama Filipina berhubung laporan pihak berkuasa negara itu menahan dua bot dinaiki 35 orang bersenjata di Tawi-Tawi, dipercayai dalam pelayaran ke Lahad Datu.

Katanya, pasukan keselamatan Malaysia belum dimaklumkan mengenainya tetapi maklumat lanjut akan diperoleh daripada pihak berkuasa Filipina.
Kita akan siasat dan dapatkan maklumat pihak berkuasa sana (Filipina), katanya selepas sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, semalam.

Media Filipina www.philstar.com dipetik melaporkan Tentera Laut Filipina memintas 35 pengikut Jamalul Kiram III yang menaiki dua bot di perairan Tawi-Tawi, dipercayai ke Lahad Datu, jam 6.30 pagi waktu tempatan.

Jurucakap tentera berkenaan, Leftenan Komander Gregory Fabic, dilaporkan berkata bot itu ditahan berhampiran bandar Andoligan. Turut dirampas beberapa senjata api dan bahan letupan.

Pos kawalan

Sementara itu, Ismail berkata, polis akan menyusun semula pola penempatan pos kawalan di jalan yang dipercayai digunakan pengganas bagi memastikan mereka tidak dapat meloloskan diri.

Saya sudah mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hamza Taib) mencari lokasi strategik untuk membina pos kawalan di jalan digunakan pengganas Sulu dan pos di pesisir pantai, katanya.

Penyusunan semula itu penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat mengenai keselamatan mereka.

Katanya, polis juga akan menyusun semula penggunaan pegawai dan anggota pelbagai cawangan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam di negeri ini.

Hanya pakar mampu bakar mayat: Saksi



Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, hanya mereka yang berpengalaman mampu melaksanakan proses pembakaran mayat kerana ia sukar dilakukan.

Pembakar mayat di Bandar Baru Sentul, C Balasubramaniam, 50, berkata, lazimnya empat atau lima jam diperlukan untuk kerja pembakaran mayat.
Katanya, beliau terbabit dalam upacara pembakaran mayat sejak berusia enam tahun ketika membantu bapanya, dan sejak 1984, beliau menguruskan tempat pembakaran mayat di Bandar Baru Sentul hingga kini.

Susun kayu getah

Beliau berkata, kebiasaan ketika mahu membakar mayat, beliau akan menyusun kayu getah setinggi empat lapis dan selepas keranda diletakkan atas timbunan kayu itu, beliau akan mencurahkan minyak pada kayu berkenaan untuk membakarnya.
Suhu tinggi

Ketika proses pembakaran, suhu tinggi dan memang tidak boleh duduk berhampiran tempat itu, katanya.
Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya membabitkan peguam N Pathmanabhan, 44 dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 21, R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 32.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38, di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Menjawab soalan peguam, Amer Hamzah Arshad, saksi pendakwa itu berkata, sebagai contoh jika mayat mula dibakar pada jam 4 petang, kerja membakar akan selesai kira-kira jam 10 malam dan keluarga hanya boleh mengambil abu mayat kira-kira jam 10 pagi esoknya.

Balasubramaniam berkata, beliau menggunakan kayu getah kerana ia lebih sesuai untuk tujuan pembakaran mayat, manakala kayu bakau tidak sesuai kerana bersaiz kecil.

Ditanya sama ada sebungkah kayu seperti bahan bukti dalam kes itu boleh digunakan untuk pembakaran mayat, katanya, kayu berkenaan agak besar.

Penyelia tapak, R Ganesan, 46, memberitahu mahkamah, beliau tidak melihat sesuatu yang mencurigakan di Ladang Gadong ketika menghantar anaknya, Thanesh ke situ pada 31 Ogos 2010 lalu.

Dia selalu ponteng dan pernah curi wang. Rakan bagi tahu, saya perlu bawa dia ke Ladang Gadong untuk diajar cari duit. Di situ saya lihat keadaan tenang dan tiada yang mencurigakan, katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini.

4 terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan di New York



NEW YORK: Empat terbunuh manakala dua yang lain cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dua lokasi berasingan di bandar New York, hari ini.

Menurut media tempatan, WKTV dan Herkimer Telegram, empat individu ditembak di sebuah salun rambut di bandar Mohawk, di mana dua daripadanya terbunuh manakala dua yang lain ditembak mati di tempat mencuci kereta berdekatan bandar Herkimer.
Kedua-dua bandar berkenaan terletak kira-kira 360 kilometer di utara bandar New York.

Ketua Polis Herkimer, Joseph Malone, berkata pihak polis sedang mencari suspek yang dikenal sebagai Kurt Myers berusia 64 tahun. - AFP

Kereta baru beli 8 bulan ranap


Kuala Lumpur: “Saya berasa tidak sedap hati sebaik melihat pokok tumbang di kawasan parkir berhampiran flat kerana meletakkan kereta Perodua Viva di situ dan saya terkejut apabila mendapati kenderaan yang baru lapan bulan dibeli ranap dihempap pokok,” kata mekanik Wan Fadzil Roslan, 27, mangsa ribut di Flat Loke Yew, Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.

Difahamkan, empat kenderaan termasuk milik Wan Fadzil ranap dihempap pokok tumbang di flat berkenaan ketika hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu negara hampir sejam mulai jam 5.30 petang.


Menurut Wan Fadzil, dia baru sampai ke flat berkenaan jam 8 malam untuk pulang ke rumah dari tempat kerja di Kampung Pandan menaiki motosikal apabila mendapati ada pokok tumbang akibat ribut di kawasan parkir.

“Mulanya saya tidak mengesyaki kereta saya terbabit kejadian itu, tetapi segera membuat pemeriksaan di kawasan parkir kerana tidak sedap hati.


“Saya terkejut apabila mendapati kereta saya antara yang ranap,” katanya ketika ditemui.


Sementara itu, pasukan kecemasan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tiba di tempat kejadian selepas dihubungi mengambil masa lebih sejam untuk melakukan kerja pemotongan pokok dan pembersihan jalan.

Manakala, Skuad Penyelamat DBKL memaklumkan sehingga jam 8 malam tadi pihaknya menerima lebih daripada 10 laporan kejadian pokok tumbang termasuk empat kenderaan yang dihempap pokok di Flat Loke Yew.


“Pokok berkenaan tumbang selepas hujan lebat yang disusuli angin kencang selama hampir sejam,” katanya ketika dihubungi.

48 ditipu tekong kena tahan



Kota Tinggi: Polis menahan 48 pendatang asing tanpa izin dalam semak di Tanjung Balau di sini, yang bersembunyi sejak tiga hari lalu selepas ditinggalkan tekong darat yang menguruskan perjalanan pulang mereka secara haram ke Indonesia.

Ketika ditahan sepasukan 17 anggota diketuai Ketua Polis Balai Bandar Penawar, Inspektor Wan Nasrul Fariq Wan Ismail, kira-kira jam 11 pagi Isnin lalu, pendatang asing berkenaan didapati berada dalam keadaan kelaparan.
Mereka sepatutnya berlepas pagi Isnin lalu, tetapi tekong laut mungkir janji menyebabkan kumpulan itu terbiar dan terpaksa bersembu-nyi dalam semak di ladang sawit berhampiran Tanjung Balau.

Resah dan lapar

Kumpulan itu terdiri daripada 43 lelaki dewasa, empat perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki. Mereka berkumpul bersama barangan termasuk beg pakaian di pokok sawit kira-kira 500 meter dari pantai dalam keadaan lapar dan resah.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Md Nor Rasid, berkata pendatang itu dipercayai cuba menyusup keluar secara haram untuk pulang ke negara asal.

Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Polis juga akan sentiasa memantau laluan kawasan perairan dan lubuk disyaki penempatan sementara yang kerap digunakan sindiket untuk menyeludup keluar dan masuk pendatang ke negara ini, katanya.

Isteri cedera dilibas pisau



Klang: Seorang isteri cedera di belakang leher akibat dilibas pisau pemotong daging oleh suaminya yang naik berang kerana keinginannya menikmati hidangan telur goreng tidak dipenuhi.

Dalam kejadian di rumah pasangan itu di Taman Intan, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah malam, mangsa berusia 24 tahun yang cedera, menyelamatkan diri dengan berlari mendapatkan bantuan di rumah jiran.
Pulang mabuk

Difahamkan, ketika kejadian suami mangsa berusia 44 tahun, dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan meminta mangsa menggorengkan telur.

Mangsa memberitahu suaminya telur sudah habis tetapi suspek tetap mendesak isterinya menggorengkan telur sehingga berlaku pertikaman lidah.

Berang dengan keengganan isterinya, lelaki terbabit bertindak mengambil pisau pemotong daging lalu diacukan ke belakang leher mangsa dan ketika pergelutan, leher wanita itu tercedera.

Bimbang lebih teruk dicederakan, wanita itu melepaskan diri sebelum meminta bantuan daripada jirannya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kapar.
Difahamkan suami mangsa bekerja sebagai pemandu lori pasir sejak sebulan lalu dan sering pulang ke rumah lewat malam dalam keadaan mabuk.

Tumpang rumah ibu bapa

Akibat kejadian itu, mangsa yang tidak bekerja kini menumpang di rumah ibu bapanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menjelaskan kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan mengunakan senjata.

Tembak di stesen minyak

Kuala Lumpur: “Jangan ambil gambar...nanti semua orang mati,” kata seorang lelaki memarahi petugas media yang merakam gambar seorang ahli perniagaan yang mati ditembak ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Sentul, Sentul, di sini, semalam.
Lelaki terbabit dipercayai anggota keluarga mangsa gagal mengawal emosinya sebelum dia menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat bagi menghalang gambar mayat mangsa dikenali sebagai Sivaraja, 34, dirakam jurugambar.

Selain lelaki itu, 50 anggota keluarga dan rakan mangsa memenuhi tempat kejadian, sekali gus menghalang petugas media membuat liputan. Malah, kawasan sekitar stesen minyak berkenaan juga dikerumuni orang ramai untuk melihat mayat mangsa dengan lebih dekat.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria bersama seorang rakannya yang juga lelaki warga asing berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak dalam kejadian jam 8 malam.

“Ketika kejadian, mangsa menunggu dalam kereta manakala rakannya itu masuk dalam kaunter premis untuk membayar minyak.

“Mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar berpenutup penuh sebelum seorang daripada mereka melepaskan tujuh das tembakan ke cermin depan,” katanya yang melawat tempat kejadian.
Foto
ANGGOTA Unit Forensik polis memeriksa kereta mangsa.
Beliau berkata, mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan.

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam dan sudah dirancang rapi oleh suspek terbabit,” katanya.

Polis siasat penemuan senjata api di pantai



Parit Buntar: Polis sedang menjalankan siasatan rapi berhubung penemuan selaras mesingan automatik dan sepucuk pistol yang terdampar di tepi pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang, dekat sini, kelmarin.

Mesingan berkenaan ditemui dua pemancing pada kira-kira jam 3.30 petang yang kemudian menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata pemeriksaan pasukan polis kemudian menemui pula pistol berkenaan yang diselaputi selut tidak jauh dari lokasi penemuan mesingan berkenaan.

Objek hitam

Kami masih menyiasat bagaimana kedua-dua senjata api itu berada di lokasi berkenaan, sama ada ia ditinggalkan pihak tertentu ataupun dihanyutkan ombak, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, pemancing yang enggan dikenali berkata, beliau dan seorang rakannya melihat objek hitam diselaputi selut terdampar di pantai sebelum mendekatinya.

Namun sebaik ombak mengenai objek itu, kami mula sangsi dan naik gerun apabila kami yakin ia senjata api sebenar yang tidak diketahui jenisnya.
Saya terus meminta rakan saya menelefon polis bagi memaklumkan perkara itu kerana bimbang senjata itu dicuri oleh pihak tertentu dan disalahgunakan, katanya.

Padah samun penarik kereta


Georgetown: Cubaan dua sahabat menyamun seorang penarik kereta membawa padah apabila seorang daripadanya parah dibelasah orang ramai sehingga hampir putus tangan dan cedera di belakang badan dalam satu kejadian di Taman Lip Sin, Sungai Nibong, di sini awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi apabila polis menerima panggilan telefon daripada orang ramai memaklumkan berlaku satu kejadian pergaduhan berdekatan sebuah pasar raya dan dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan teruk.


Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, mangsa berusia 29 tahun bekerja sebagai penarik kereta sebelum itu didatangi dua lelaki tidak dikenali yang membawa senjata tajam cuba menarik beg sandang mangsa sebelum salah seorang suspek mengeluarkan pedang samurai.

Warga tua maut kereta masuk parit



Kuantan: Seorang wanita tua maut, manakala empat lagi ahli keluarganya cedera apabila Perodua Kancil yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam parit akibat dirempuh dari belakang sebuah Proton Preve di Kilometer 107.6 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Temerloh malam kelmarin.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 9 malam, V Menggamah, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua parah

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata pemandu Perodua Kancil, P Kali, 59, dan penumpang hadapan R Rajesvari, 36 cedera parah.

Beliau berkata, dua lagi penumpang kenderaan itu, K Deverani, 31, dan seorang kanak-kanak lelaki S Dasmandran, tiga tahun cedera ringan dan dihantar untuk rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

Mangsa sekeluarga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu tiba-tiba menukar lorong dari kanan ke kiri jalan.

Tindakan terbabit menyebabkan Proton Preve yang berada di lorong kiri tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan mangsa, katanya di sini, semalam.

Bumbung pangsapuri diterbangkan ribut

Bumbung pangsapuri diterbangkan ribut
Sebahagian kereta yang rosak dihempap pokok ketika ribut petir di Flet Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Zuladhli Zulkifli Kuala Lumpur: Satu daripada tiga blok pangsapuri Putra Ria, Bangsar rosak teruk akibat sebahagian besar bumbung bangunan itu diterbangkan ribut kencang, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sebahagian besar bumbung bangunan 22 tingkat itu musnah selain dua kereta yang diletakkan di kawasan letak kenderaan rosak.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Penghuni menyifatkan ribut kencang selama 10 minit itu terburuk pernah berlaku sejak kediaman itu dibina pada 1995.



Penduduk, Roslan Ramli, 57, berkata beliau melihat bumbung bangunan itu jatuh ke kawasan letak kenderaan dan terkena bangunan bersebelahan.

Bergegas ke tempat kejadian

Ketika itu, saya keluar untuk kutip baju di ampaian dan nampak bumbung berterbangan, katanya ketika ditemui.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang dimaklumkan mengenai kejadian terus bergegas ke tempat kejadian bersama Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wan Mohammad Ghazali Nor.

Raja Nong Chik yang meluangkan masa hampir sejam meninjau keadaan di situ meminta penduduk membuat laporan polis untuk urusan tuntutan ganti rugi kepada DBKL.

Hari ini (semalam) memang banyak berlaku kerosakan terutama akibat pokok tumbang. Saya sudah bincang dengan DBKL dan memberi cadangan mengambil tindakan memotong pokok mengelak insiden berulang, katanya. 

Thailand nafi tembak mati pelarian Rohingya



Bangkok: Thailand semalam menafikan dakwaan anggota tenteranya menembak mati dua pelarian Rohingya.

Penafian itu dibuat selepas kumpulan hak asasi manusia mendesak supaya siasatan dilakukan berkait dengan kematian pelarian berkenaan berhampiran daerah Kuraburi di selatan Phang Nga.


“Komander tentera laut Thai di kawasan itu menyangkal tuduhan itu. Kami tidak mempunyai sebarang alasan untuk menembak mereka,” kata jurucakap Kementerian Luar, Manasvi Srisodapol.


Mereka yang terselamat daripada kejadian yang didakwa berlaku pada 22 Februari lalu sebelum ini memberitahu Human Rights Watch bahawa tentera laut Thai menembak kira-kira 20 pendatang Rohingya ketika mereka terjun ke laut untuk mengelak daripada ditangkap setelah masuk ke perairan Thai.


Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan, Kolonel Thanathip Sawangsang berkata, pihaknya sebaliknya bertindak mengikut prinsip kemanusiaan dengan membekalkan pelarian itu makanan dan air sebelum membenarkan mereka meneruskan pelayaran ke Malaysia. - AFP

Air mani atas biskut



Los Angeles: Bayaran pampasan berjumlah berjuta-juta dolar akan dibayar kepada beberapa pelajar sebuah sekolah menengah rendah tempat seorang guru dituduh mencabul kanak-kanak dan menyuapkan mereka air maninya.

Mark Berndt memaksa pelajarnya mengambil bahagian dalam permainan ‘rasa’ apabila dia memberikan air maninya yang disapu pada biskut dan sudu. Pendakwa raya berkata, guru itu kadang kala menutup mata pelajar dengan kain dan merakam aksi mereka.


Tindakan undang-undang juga difailkan selepas seorang lagi guru dituduh melakukan aksi lucah terhadap seorang kanak-kanak yang menurut pihak berkuasa diraba di dalam kelas.

Pendakwa raya, Raymond Boucher berkata semalam, setiap pelajar itu mungkin diberi pampasan berjumlah $470,000 (RM1.4 juta), Berndt yang mengajar selama 32 tahun di Sekolah Rendah Miramonte di Los Angeles mengaku tidak bersalah dalam kes jenayah itu.


Springer juga mengaku tidak bersalah. Berndt guru gred tiga dan mengajar murid berusia tujuh hingga lapan tahun ditahan selepas seorang pengasas web foto menemui berpuluh-puluh foto kanak-kanak dengan mata mereka ditutup sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. Polis berkata, mereka kemudian menemui sudu plastik dalam bakul sampah di bilik darjah Berndt dengan kesan air mani. Peguam Brian Claypool melebel penderaan itu sebagai “drama yang telah lama berlangsung”.


Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa berjuta-juta dakwaan mungkin memusnahkan daerah itu. Yang menjadi persoalannya ialah bagaimana penderaan seksual di daerah persekolahan kedua terbesar di Amerika Syarikat itu boleh berlaku begitu lama tanpa dapat dikesan? Sejurus selepas penahanan Berndt, semua 76 guru sekolah itu dipindahkan sementara kakitangan dan pentadbir diberi cuti.

Enam bulan kemudian pada awal tahun persekolahan, 43 daripada guru terbabit kembali ke sekolah Miramonte yang distruktur semula dengan guru besar baru. Manakala selebihnya bersara atau dipindahkan ke sekolah lain. - Agensi

Virus nCoV ragut mangsa kesembilan



 
GENEVA: Sejenis virus seperti Sindrom Pernafasan Akut (SARS) yang menyerang Britain dan Asia Barat meragut nyawa seorang mangsa baru di Arab Saudi, menjadikan angka kematian global akibat penyakit misteri itu kepada sembilan orang, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan bahawa lelaki berusia 39 tahun yang menunjukkan tanda-tanda pada 24 Februari lalu dan dirawat empat hari kemudian, meninggal dunia 2 Mac lalu.
Siasatan awal menunjukkan mangsa tiada berhubung dengan kes dilaporkan sebelum ini, kata WHO dalam satu kenyataan. Pendedahan potensi lain kini sedang disiasat.

Virus baru korona, dikenali sebagai nCoV, kali pertama dikesan pertengahan tahun lalu.

Termasuk mangsa terbaru, sejumlah 15 kes kini dilaporkan.

Sembilan kematian berpusat di Arab Saudi, Jordan dan Britain. Di Britain, ia membabitkan sebuah keluarga, seorang daripadanya mengunjungi Asia Barat dan Pakistan.

Kelmarin, WHO mengulangi gesaan ke atas negara anggotanya supaya berhati-hati terhadap kes jangkitan pernafasan teruk dan secara berhati-hati mengkaji sebarang corak luar biasa.
WHO kini bekerja sama dengan pakar antarabangsa dan negara di mana kes dilaporkan untuk menilai situasi dan mengkaji cadangan untuk pengawasan dan pemantauan, katanya.

Negara anggota perlu secara segera menilai dan memaklumkan WHO sebarang kes baru jangkitan nCoV, bersama maklumat berhubung pendedahan potensi yang mengakibatkan jangkitan, ia menambah.
AFP

Bas terhumban dari jambatan, 14 terbunuh

Beijing: Empat belas orang terbunuh selepas sebuah bas dua tingkat terhumban dari sebuah jambatan di wilayah Hubei, tengah China, semalam.
Polis Lebuh Raya Hubei berkata, bas terbabit terjatuh jambatan yang merentasi Sungai Yangtze di bandar Joghzhou dan terhempas di tebing sungai.

Lapan penumpang turut cedera, empat daripadanya parah.
Polis berkata, siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku selepas pemandu bas cuba mengelak sebuah motosikal dan hilang kawalan terus terjatuh dari jambatan. Tiada butir lanjut diberikan.

Bas berkenaan membawa 22 penumpang ketika kejadian.

Kemalangan jalan raya di China adalah perkara biasa kerana penyelenggaraan jalan yang buruk dan tabiat buruk pemandu.
Foto
PASUKAN penyelamat dan polis di tempat kejadian kemalangan.
Angka kematian biasanya tinggi kerana penggunaan bas secara berleluasa memandangkan ia pilihan paling murah bagi kebanyakan rakyat negara itu. - AFP

Maut dibaham harimau



Medan: Seorang petani mati selepas dibaham seekor harimau Sumatera di barat Indonesia semalam.

Susulan kejadian itu, penduduk kampung yang ketakutan mendesak pihak berkuasa menjejaki dan membunuh sang belang berkenaan.


Pegawai di Taman Negara Batang Gadis, Yudi Santoso berkata, petani terbabit, Karman Lubis, 32, diserang harimau itu Isnin lalu ketika menoreh di ladang getah berhampiran taman itu di wilayah Sumatera Utara.

Mayatnya ditemui kelmarin, kira-kira satu kilometer dari ladang berkenaan.


Pihak berkuasa digesa menembak harimau itu meskipun haiwan berkenaan dilindungi undang-undang. Pihak berkuasa tempatan merancang memerangkap harimau itu dan menempatkannya semula di tempat lain.


Harimau Sumatera berdepan dengan kepupusan kesan daripada pemusnahan hutan, pemburuan dan bersaing dengan manusia. Pihak berkuasa percaya hanya kira-kira 400 haiwan itu masih berkeliaran di hutan Sumatera. - AP

Suspek mati sakit jantung



GEORGE TOWN – Seorang suspek warga emas yang ditahan polis berhubung kes kematian Pengerusi Pangsapuri Taman Sri Idaman di sini semalam, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek yang berusia 60 tahun itu dimasukkan ke wad kecemasan HPP kerana sakit jantung selepas diberkas ketika cuba melarikan diri.
“Suspek cuba menyembunyikan diri di satu kawasan di Padang Tembak yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian sebelum berjaya dikesan polis kira-kira jam 5 petang kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0314&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2NTMWJRjs 
Hakcipta terpelihara