Search This Blog

Wednesday, March 13, 2013

Singapura siasat kematian saintis



SINGAPURA 12 Mac - Kementerian Luar Singapura, hari ini memberi jaminan kepada keluarga saintis Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membunuh diri pada tahun lalu untuk menjalankan siasatan secara telus dan terbuka berhubung kes tersebut.
Sebelum ini, ibu bapa kepada Shane Todd, membangkitkan kemungkinan anak mereka dibunuh berikutan penglibatannya dengan projek teknologi tinggi membabitkan firma China yang dilihat memberi ancaman kepada keselamatan AS.
Menurut kementerian itu, Duta Singapura ke Washington, Ashok Mirpuri bertemu dengan ibu bapa Todd, Rick dan Mary di AS pada 5 Mac lalu dan memberi jaminan 'siasatan lengkap akan dijalankan' berhubung kematian anak mereka.
Pada hari yang sama, Mirpuri juga bertemu Senator dari Montana, Max Baucus dan Jon Tester iaitu kawasan keluarga Todd tinggal dan memberitahu mereka bahawa polis Singapura akan menjalankan siasatan dengan tulus dan terbuka.
"Mirpuri telah memberitahu senator bahawa selesai polis menjalankan siasatan, mereka akan menghantar kes itu ke Penyiasatan Koroner Awam di Singapura.
"Koroner akan meneliti penemuan siasatan dan mewawancara saksi bagi mengenal pasti punca kematian. Keluarga Shane Todd akan dijemput menghadiri siasatan dan boleh menyoal saksi," kata kementerian itu.
Tarikh inkues koroner belum ditetapkan, namun sumber mahkamah berkata, kes Todd akan disebut dalam perbicaraan tertutup pada 26 Mac ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130313/lu_05/Singapura-siasat-kematian-saintis#ixzz2NWVzKZnU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelancong warga emas lemas



Port Dickson: Seorang pelancong warga emas dari China, lemas ketika menyertai aktiviti snorkling bersama isteri di perairan dekat Pantai Tanjung Biru di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Zhang You Guang, 64, bersama isterinya, Liu Shuxia, 64, dari Beijing, menaiki sebuah bot untuk snorkling di laut tidak jauh dari pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun, berkata mangsa bersama enam pelancong lain turun dari bot itu dan melakukan aktiviti snorkling dengan memakai jaket keselamatan.

30 rumah rosak akibat ribut di Kulim



KULIM: Sebanyak 30 rumah rosak dalam kejadian ribut petang semalam di Taman Mutiara, Sungai Kob dekat sini.

Ketua UMNO Cawangan Taman Mutiara, Dr Raja Zainol Raja Mohd Hashim, berkata dalam kejadian pada jam 5.20 petang itu, tujuh bumbung rumah diterbangkan angin kencang.
"Lebih 20 pokok besar sekitar kawasan itu turut tumbang dan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Kulim Hi-Tech Park di sini dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kulim dipanggil untuk membersihkan kawasan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr Chin Tung Leung dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim serta Jabatan Pembangunan Persekutuan Daerah Kulim membuat bancian mengenai kerugian yang dialami mangsa.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim, Rohana Mohd Yusuf, berkata JKM akan memberi bantuan segera kepada mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk.

Seorang mangsa Ismail Hassan, 40, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di kilang Kulim Hi Tech dan dimaklumkan isterinya bahawa bumbung bahagian anjung rumahnya diterbangkan ribut.

Jirannya Rashid Shahrin, 40, seorang pemandu bas Rapid Penang berkata perkara sama berlaku kepada beliau, dengan bumbung anjung rumahnya yang berukuran 8x4 meter diterbangkan ke belakang rumah jiran bersebelahan.
Seorang pesara guru, Narimah Abdullah, 60, pula berkata ketika kejadian dia berada di rumah, tetapi hanya menyedari bumbung rumahnya tertanggal selepas hujan membasahi seluruh bahagian rumahnya yang lebih 13 tahun didudukinya.

- BERNAMA

Tanggung sakit 3 jam jatuh lubang 10 meter



Ipoh: Seorang lelaki bertarung nyawa hampir tiga jam apabila tulang belakangnya dipercayai patah selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira 10 meter berhampiran Bukit Kledang, Menglembu, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, Muhammad Asyahad Masdar, 20, yang bekerja sebagai pemotong rumput dikatakan tidak sedar kewujudan lubang seluas satu meter yang ditutupi semak ketika sedang bertugas di kawasan berkenaan bersama pekerja lain.
Cedera tulang belakang

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Kinta, Rayner Saimon, berkata mangsa ditemui dalam keadaan sedar tetapi mengerang kesakitan dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana kecederaan belakang dipercayai kesan hentakan ketika terjatuh.

“Kami menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana lubang berkenaan terlalu dalam dan sempit.

“Justeru, anggota penyelamat terpaksa turun ke dalam lubang itu menggunakan tali serta lampu suluh bagi mengesan kedudukan mangsa yang terperangkap di dalamnya.

“Sebaik sampai kepada mangsa, dia mengadu sakit di pinggang dan tulang belakang serta tidak mampu menggerakkan tubuhnya itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Rayner berkata, mangsa yang turut terjatuh bersama mesin pemotong rumput yang dibawanya, berjaya dibawa naik dengan tubuhnya diikat dan didukung keluar secara berhati-hati kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini.

Beliau percaya kemungkinan lubang itu pada mulanya digali oleh kontraktor untuk menanam tiang elektrik namun apabila ia tidak dilaksanakan, lubang berkenaan tidak dikambus semula dan ditinggalkan hingga ditutupi semak samun.

Ibu Zhen Zhong terima ugutan minta wang tebusan RM80,000



Petaling Jaya: Mahkamah Koroner di sini semalam diberitahu ibu kepada kanak-kanak malang, William Yau Zhen Zhong, 6, menerima panggilan ugutan meminta wang tebusan RM80,000.

Goh Ying Ying, 26, dalam keterangannya, berkata panggilan itu diterima empat hari selepas anak keduanya dilaporkan hilang di Putra Heights.
“Saya terima panggilan pertama pada 20 Januari lalu memberitahu sekiranya mahu Zhen Zhong dikembalikan, kami perlu mengumpul RM80,000 dalam dua hari.

Dengar suara kanak-kanak

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt, Ying Ying berkata, dia turut mendengar suara kanak-kanak memanggil ‘mummy’ sewaktu menerima panggilan, namun tidak dapat dipastikan sekiranya suara itu milik anaknya.

Katanya, dia cuba menghubungi semula nombor berkenaan untuk mendengar suara anaknya, bagaimanapun ia tidak dijawab.

Ying Ying adalah saksi ketiga dalam prosiding inkues menyiasat kematian Zhen Zhong, yang mayatnya ditemui mati di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 24 Januari lalu.
Pada 16 Januari lalu, Zhen Zhong dilaporkan hilang oleh ibu bapanya dan sembilan hari kemudian, mayat kanak-kanak itu ditemui tersangkut pada tepi bot nelayan di Jeti Sungai Sireh.

Menjawab soalan, Kok Kang memberitahu dia dapat mengenal pasti mayat anaknya berdasarkan baju yang ditemui pada mangsa dan bentuk kepala serta parut yang terdapat di dahi kiri.

Katanya, sebelum ini Zhen Zhong pernah mengalami kecederaan akibat tersandung di tangga dan luka di dahi sehingga meninggalkan parut.

Prosiding kes akan bersambung semula di depan Koroner Mohd Hezril Shaharil selama tiga hari mulai 22 April ini.

Aktor lucah nafi membunuh



Montreal: Seorang aktor lucah Kanada mengaku tidak bersalah di mahkamah kelmarin selepas dituduh membunuh, mengerat dan menghantar rakaman video perbuatannya makan daging mangsa ke internet.

Luka Rocco Magnotta dihantar pulang dari Jerman selepas diburu agensi keselamatan antarabangsa.
Dia duduk dalam kandang kaca untuk perbicaraan yang dijangka berlangsung dua hingga tiga minggu.

Pendakwa akan cuba meyakinkan hakim bahawa mereka ada cukup bukti untuk mendakwa Magnotta, 30.

Turut ada di mahkamah ialah Diran Lin, bapa mangsa, Jun Lin. Anggota badan mangsa yang dikerat itu dihantar ke beberapa sekolah dan parti politik di Ottawa dan Vancouver.

Jenayah itu menggemparkan Kanada dan mendapat tumpuan antarabangsa.

Pembunuhan tahap satu
Magnotta yang pernah bekerja sebagai escort ‘gay’, dituduh melakukan pembunuhan tahap satu dan dakwaan lain.

“Ini adalah sesuatu yang paling tidak disukai mana-mana keluarga. Kami menaruh harapan besar kepada Jun Lin,” kata Diran Lin yang dipetik sebagai berkata.

Polis berkata, video itu yang dipercaya asli, menunjukkan seorang lelaki menikam mangsanya hingga mati sebelum mengerat mayat mangsa dan makan sebahagiannya.

Anggota tangan dan kaki Lin dipos kepada pejabat parti politik di Ottawa dan sekolah di Vancouver.
REUTERS

Amah dera bayi diperintah ke hospital sakit jiwa

Amah dera bayi diperintah ke hospital sakit jiwaYuliana diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan untuk menjalani rawatan mental di hospital sakit jiwa. - Foto Mustaffa Kamal Kuantan: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan pembantu rumah warga Indonesia yang dihukum penjara 20 tahun kerana bersalah mendera bayi majikannya bulan lalu, dihantar ke hospital sakit jiwa untuk pemeriksaan mental selama tiga bulan.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya memerintahkan Yuliana, 23, untuk ditahan sementara di Hospital Permai, di Tampoi, Johor Bahru atau mana-mana hospital yang sesuai bagi membolehkan mental pembantu rumah berkenaan diperiksa doktor psikiatri.
Beliau juga menetapkan 20 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi mendengar keputusan laporan pemeriksaan mental berkenaan.


“Selepas mendengar hujah peguam serta meneliti afidavit tambahan termasuk kenyataan kamu (Yuliana) kepada wakil Kedutaan Indonesia yang menemui kamu di Penjara Bentong pada 27 Februari lalu, bahawa kamu pernah menerima rawatan sakit mental di Hospital Medan, lapan tahun lalu.

”Selain itu, keluarga kamu yang berada di Medan yang dihubungi kedutaan turut mengesahkan penyakit dialami serta rawatan yang pernah dijalani kamu serta memaklumkan datuk kamu turut mempunyai penyakit yang sama.

“Berikutan itu, mahkamah ada sebab mencurigai tahap kewarasan mental kamu, jadi mahkamah memerlukan pengesahan doktor psikiatri dan kerana itu saya perintahkan kamu ditahan sementara di hospital sakit jiwa untuk diperiksa berdasarkan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan satu laporan dikemukakan pada prosiding akan datang,” katanya.

Dalam keputusannya juga, Mariana menolak permohonan asal peguam mewakili Yuliana untuk menangguh pelaksanaan hukuman sementara proses rayuan yang dikemukakan selesai.
Jumaat lalu, peguam T Vijayandran yang dilantik Kedutaan Indonesia mewakili Yuliana memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara 20 tahun terhadap pembantu rumah terbabit bagi membolehkannya dihantar kepada pakar psikiatri untuk menjalani pemeriksaan keadaan mental.

Ketika prosiding berkenaan, Vijayandran memberitahu mahkamah bahawa perlakuan dan tindakan anak guamnya terhadap bayi berkenaan menunjukkan tanda penyakit mental dan perlu dihantar ke hospital sakit jiwa untuk pemeriksaan.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, bagaimanapun memohon mahkamah supaya mengetepikan permohonan itu atas alasan sepanjang lima hari di dalam tahanan dan siasatan polis, pembantu rumah terbabit tidak menunjukkan sebarang perlakuan atau keadaan yang tidak waras.

Sindiket dadah gabung, luas empayar



Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan bergabung dalam usaha meluaskan empayar perniagaan haram mereka di rantau ini dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi.

Taktik terbaru itu terbongkar dengan penahanan 10 anggota sindiket, termasuk enam warga Nigeria dan masing-masing seorang rakyat Pakistan, Guinea, Afrika Selatan serta Thailand pada 9 Mac lalu.
Semua suspek berkenaan berusia antara 28 dan 41 tahun, ditahan dalam lima serbuan serentak di beberapa kediaman mewah di Subang Jaya dan Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan pusat kegiatan haram mereka.

Difahamkan, turut diberkas ketua sindiket berkenaan, tetapi suspek meninggal dunia selepas terjun dari rumah sewanya di tingkat tiga sebuah pangsapuri ketika cuba melarikan diri daripada serbuan.

Dalam serbuan itu kira-kira jam 10.30 pagi, polis turut merampas 10.1 kilogram heroin dan 1.2 kilogram syabu yang keseluruhannya bernilai lebih RM700,000 mengikut harga pasaran semasa.

Pelbagai negara

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata serbuan itu yang pertama seumpamanya membabitkan sindiket antarabangsa dianggotai pengedar dadah dari pelbagai negara.
“Ini menunjukkan perubahan trend apabila anggota sindiket mula bergabung dipercayai untuk meluaskan operasi dan rangkaian pengedaran mereka.

“Berdasarkan modus operandi digunakan, bekalan dadah diseludup masuk dari negara asal mereka sebelum diproses di sini dan dipasarkan dalam negara dan pasaran serantau,” katanya di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah I (Operasi/Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Harris Wong Abdullah.

Turut dirampas dalam serbuan itu wang tunai RM25,000 termasuk dalam matawang Dolar Amerika, dipercayai digunakan dalam transaksi dadah berkenaan.

Noor Rashid mendedahkan sindiket terbabit menggunakan pelbagai helah bagi menyeludup masuk bekalan dadah berkualiti tinggi ke negara ini dengan menyembunyikannya dalam komponen alat ganti kenderaan.

"Hasil maklumat risikan menunjukkan dadah ini diseludup dalam kuantiti yang besar melalui jalan laut menggunakan kontena. Kita percaya masih ada lagi bekalan dadah yang disembunyikan dan usaha mengesannya, termasuk saki baki anggota sindiket sedang giat dilakukan,” katanya.

Katanya, semakan rekod mendapati semua suspek, termasuk ketua sindiket yang meninggal dunia masuk ke negara ini secara sah dan mempunyai visa pelajar.

Padah gagal patuhi peraturan



13 Mac 2013
Seorang kakitangan CIDB mengambil maklumat peribadi pekerja.
Seorang kakitangan CIDB mengambil maklumat peribadi pekerja.
Mashitah menunjukkan kad hijau CIDB miliknya.
Mashitah menunjukkan kad hijau CIDB miliknya.
ALOR SETAR - Enam kontraktor pembinaan bakal berdepan tindakan mahkamah atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi peraturan di tapak pembinaan sekitar Kedah dan Perlis sejak tahun lalu.

Pengurus Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kedah/Perlis, Mashitah Mohd Mokhtar berkata, lima kes membabitkan kontraktor di Kedah dan satu kes di Perlis.

Menurutnya, empat kes sudah dibicarakan sejak tahun lalu sementara dua kes lagi akan dihadapkan ke mahkamah pada tahun ini selepas kertas siasatan siap dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Antara kesalahan dilakukan seperti menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa pendaftaran dan tidak membayar levi pada tempoh yang kita tetap di bawah Akta 520 CIDB. Semua kontraktor kerajaan dan swasta perlu mematuhinya.

“Kita juga akan mengambil tindakan menggantung atau menarik balik lesen terhadap kontraktor utama yang tidak mematuhi peraturan,” katanya kepada media ketika operasi penguatkuasaan bersepadu di antara CIDB dan agensi 2013, di tapak projek pembinaan Mergong, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah CIDB, Kedah/Perlis, Sharifudin Che Omar.

Dalam pada itu operasi penguat kuasa bersepadu bermula 10 pagi itu melibatkan lapan kakitangan CIDB, empat kakitangan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, dua dari Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah, empat kakitangan Imigresen, lima dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan dua dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Kedah.

Mashitah berkata, beberapa kesalahan yang dikenalpasti antaranya 15 pekerja pembinaan memiliki kad hijau CIDB tamat tempoh, sementara 20 lagi pekerja masih belum mendapat kad hijau kerana baru mula bekerja.

“Kita akan memberi notis kepada kontraktor terlibat untuk melakukan segera proses memperbaharui semula tempoh kad hijau berkenaan supaya jika berlaku sebarang kemalangan pekerja dilindungi insurans.

“Operasi ini lebih kepada meningkatkan kesedaran kalangan kontraktor supaya lebih mengambil berat soal kebajikan pekerja di tapak projek mereka dan kita akan terus melaksanakan operasi secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah, Ahmad Fatahi Omar berkata, mereka menyokong penuh pelaksanaan operasi bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan kontraktor untuk mengurangkan risiko kemalangan pekerja di tapak pembinaan.

Menurutnya, mereka juga akan mengadakan sesi taklimat dan seminar kepada kontraktor supaya lebih mengutamakan keselamatan pekerja di kawasan projek pembinaan.

Maut dibelasah anak sendiri



NURULATIQ AHMAD BANDI
12 Mac 2013
Maut dibelasah anak sendiri
Adik kepada suspek menunjukkan kesan darah ayahnya di ruang tamu.
PORT DICKSON - Hasrat seorang bapa untuk menikmati lauk kegemarannya iaitu sambal petai tidak kesampaian apabila dia mati dipercayai dipukul anaknya di Taman Lukut, di sini, petang semalam.
Mangsa, S Ramdas, 56, ditemui berlumuran darah di bahagian kepala dan badan dipercayai dibelasah anaknya yang baru keluar dari penjara kira-kira sebulan lalu atas kesalahan jenayah.

Salah seorang anak mangsa, Ramurthy, 37, berkata, sebelum kejadian, adik lelaki yang tinggal bersama kakaknya di Kuala Lukut datang ke rumahnya di Taman Harmoni Indah Jaya dalam keadaan marah-marah kira-kira jam 7 petang, semalam.
Bagaimanapun dia bergegas pulang semula ke rumah kakak selepas diberitahu ayah mereka berada di sana.

“Ketika adik datang ke rumah saya, ayah yang tinggal bersama saya tiada kerana pergi ke rumah kakak menjenguk cucunya.

“Sebelum itu, ayah sempat berpesan kepada isteri saya untuk memasak lauk kegemarannya, sambal petai. Namun ayah pergi dahulu sebelum sempat menikmati lauk kegemarannya,” katanya.

Ramurthy berkata, setelah curiga melihat keadaan adiknya yang tergesa-gesa pulang ke rumah kakak dalam keadaan marah, dia mengambil keputusan untuk  mengekorinya.

“Namun sebaik tiba di rumah kakak, saya terkejut apabila melihat ayah berlumuran darah dan terbaring di atas lantai ruang tamu.
“Selepas itu, saya cuba mencari adik sebelum mendapati dia berada dalam bilik belakang yang berkunci,” katanya.

Menurutnya pada mulanya, adiknya tidak mengaku memukul ayah, namun selepas dipujuk dia mengiakan, malah kesan darah masih melekat pada tangannya.

“Ketika kejadian, hanya ayah dan nenek, Chama Salem, 80, berada di rumah, manakala kakak serta suaminya dalam perjalanan ke rumah saya kerana khuatir adik akan bergaduh.

“Ketika itu, ayah tidur di atas kerusi di ruang tamu sebelum dipukul dengan kayu daripada meja yang dipatahkan,” katanya.

Katanya, neneknya turut dipukul, namun dia sempat berlari keluar menyelamatkan diri.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun, yang mengesahkan kejadian berkata, suspek berusia 29 tahun itu berjaya ditahan polis pada hari sama di tempat kejadian.

“Siasatan awal polis mendapati suspek memukul kepala mangsa dengan kayu. Mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Abd Wahab berkata, polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.45 malam oleh salah seorang jiran mangsa.
“Maklumat awal polis terima daripada jiran tersebut mengesyaki berlaku kejadian pecah rumah. Namun sebaik tiba di lokasi dan siasatan dilakukan mendapati berlaku kejadian gaduh melibatkan sebuah keluarga.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kes dianggap selesai dengan kejayaan menangkap suspek,” katanya.
Katanya, mangsa dituntut keluarganya semalam untuk urusan pengebumian.

Peneroka berang ladang diceroboh



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mac 2013
Badion
Badion (kiri) berbincang dengan pemilik ladang berhubung masalah itu.
JERANTUT - Beberapa peneroka Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut, berang kerana terpaksa menanggung rugi apabila sebahagian pokok sawit disodok dan ditebang tanpa pengetahuan mereka.

Difahamkan, kerja tersebut dijalankan untuk membina pagar elektrik dan parit bagi menghalangkan gajah liar memasuki tanah rancangan itu.

Peneroka, Ibrahim Mat Yasin, 60, berkata, langkah itu baik, tetapi dia kecewa kerana pihak berkenaan mengambil jalan mudah tanpa berbincang dengan pemilik tanah terlebih dahulu.

Menurutnya, tambahan pula pihak berkenaan bukan sahaja mencantas dahan, malah menyodok dua pokok sawit miliknya yang berusia lebih 10 tahun dan banyak memberikan hasil.

“Mereka sesuka hati masuk ke ladang kami lalu menyodok serta mencantas dahan pokok kelapa sawit. Malah, mereka membuat pengorekan parit tanpa kebenaran.

“Sehubungan itu, saya sudah membuat surat berhubung perkara ini dan meminta pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya termasuk membayar ganti rugi,” katanya.

Seorang lagi pemilik ladang, Abdul Asri Abdul Latif, 58, berkata, pihak berkenaan didapati menjalankan kerja melebihi had sempadan sepatutnya sehingga memasuki ladang milik peneroka.

“Sepatutnya projek berkenaan dijalankan di pagar dibuat sebelum ini dan di sempadan ladang kami. Kerja-kerja menyodok dan membina parit itu juga menyebabkan batu sempadan yang menjadi penanda kawasan, turut hilang,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Felda Sungai Tekam Utara, Badion Onteram pula berkata, pihak berkenaan tidak wajar melaksanakan projek itu tanpa mengadakan perbincangan dengan pemilik ladang.

“Pihak berkenaan dikatakan pernah memasuki ladang itu sebanyak dua kali untuk menjalankan pemeriksaan seterusnya memantau kerja-kerja yang menjejaskan ladang peneroka. Namun, pemilik ladang tidak dipanggil.

“Dengan kerjasama persatuan, pemilik ladang menghantar surat kepada pihak berkenaan pada 2 Februari lalu. Dimaklumkan esok (hari ini), mereka akan datang menemui pemilik ladang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkenaan tidak mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

Penyamun nekad menyamar polis



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mac 2013
Penyamun nekad menyamar polis
Lokasi kejadian yang dipercayai berlaku ketika mangsa berseorangan di dalam kenderaan.
Mohamad Mansor Mohd Nor
Mohamad Mansor Mohd Nor
BENTONG – Seorang pengurus tapak projek pembinaan berdepan detik mencemaskan apabila dia digari lelaki menyamar sebagai polis yang kemudiannya melarikan kenderaan miliknya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang berusia 56 tahun, baru sampai di tapak pembinaan bersebelahan sebuah stesen minyak di Jalan Baru Bentong-Raub, dekat sini.

Menurutnya, mangsa juga berada di dalam kereta jenis Toyota Hilux berwarna hitam seorang diri.

“Tiba-tiba seorang lelaki tempatan menghampiri kenderaannya dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis.

“Sejurus selepas itu, lelaki tersebut menggari tangan mangsa ke belakang dan menyatakan dia ada berhutang serta perlu dibawa ke balai polis,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, lelaki itu kemudiannya melarikan kenderaan mangsa ke arah Raub dan membiarkannya dalam keadaan bergari.

Menurutnya, mangsa dibawa rakannya ke Balai Polis Bentong untuk membuat laporan dan polis membantu membuka gari itu, bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan kerana lelaki tersebut tidak menggunakan sebarang senjata.

“Polis giat mengesan dua suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamun,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, susulan kejadian itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan tindakan sesetengah pihak yang menyamar sebagai anggota polis.

Katanya, polis sebenar akan menunjukkan kad kuasa dan hadir dalam keadaan beruniform sekiranya mereka mahu menahan atau membuat pemeriksaan ke atas seseorang.

“Kad kuasa polis terbahagi kepada dua iaitu berwarna biru untuk pegawai kanan berpangkat inspektor dan ke atas, manakala kad kuasa berwarna kuning pula bagi anggota berpangkat rendah,” katanya.

Hampir pengsan rumah musnah



NORADILA MAHAMAD
13 Mac 2013
Keadaan rumah sewa Norafedah yang hangus terbakar di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Keadaan rumah sewa Norafedah yang hangus terbakar di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Norafedah (kiri) yang hampir pengsan ditenangkan jiran.
Norafedah (kiri) yang hampir pengsan ditenangkan jiran.
KUALA TERENGGANU – Akibat terlalu terkejut, seorang suri rumah hampir pengsan setelah melihat rumah sewa yang didiaminya sejak 27 tahun lalu, musnah dalam kebakaran petang semalam, di Kampung Pasir Panjang.

Ketika kejadian, mangsa, Norafedah Katmin, 49, baru pulang dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu untuk menjemput anak keduanya, Fatin Pepak, 20, yang bekerja sementara di sekolah berkenaan.

“Saya keluar rumah kira-kira jam 2.45 petang untuk menjemput anak dan apabila pulang, saya ternampak asap tebal dan api begitu marak di bahagian dapur rumah.

“Pada masa itu saya tidak dapat berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan dokumen-dokumen penting dan barang kemas yang disimpan di dalam rumah,” katanya.

Turut musnah dalam kebakaran itu, sebuah motosikal jenis Honda yang gagal diselamatkan dalam kejadian berkenaan.


Bersyukur anak selamat

Bagaimanapun, Norafedah redha dengan kejadian yang menimpa dan tetap bersyukur kerana dia serta empat lagi anaknya selamat berikutan ketika kebakaran berlaku, mereka tiada di rumah.

“Mujur anak-anak semuanya selamat dan suami, Pepak Jalal, 56, yang juga pengurus ladang di Durian Mentagau, Dungun sedang dalam perjalanan pulang setelah dimaklumkan kejadian ini,” katanya.


Dengar bunyi benda terbakar

Saksi terawal, Mohd Nazri Hassan, 30, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah ibu saudaranya yang bersebelahan dengan rumah mangsa.

“Saya dengar bunyi seperti sesuatu terbakar sebelum melihat api menjulang tinggi di rumah sebelah dan cuba memadamkan api.

“Sejurus kemudian, orang ramai mula datang dan bersama-sama membantu memadam kebakaran serta menelefon bomba kerana bimbang api akan merebak ke rumah berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, empat rumah berhampiran tempat kejadian berjaya diselamatkan apabila bomba bertindak pantas memadam kebakaran.


Bantuan telah dihulurkan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamed Kassim yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.06 petang.

“Seramai 15 anggota dengan kekuatan tiga jentera bomba berjaya memadamkan api dalam masa 10 minit.

“Ketika pihak bomba tiba dua minit kemudian, hampir 80 peratus rumah papan terbabit musnah dijilat api dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Pegawai Pembangunan Dun Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang tiba di tempat kejadian berkata, bantuan segera berbentuk kewangan telah dihulurkan.

Beliau yang bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga terbabit akan memastikan bantuan dapat dipercepatkan terutama kelengkapan persekolahan anak mangsa kebakaran.

Kelindan maut dihempap lori



Kelindan maut dihempap lori
Anggota bomba mencari jalan untuk mengeluarkan mangsa yang terhempap di bawah lori.
LEMBAH BERINGIN - Gara-gara cuba mengelak gelung PVC di tengah jalan, sebuah lori membawa muatan peti besi terbalik merintangi Lebuh raya Utara dan Selatan.

Akibat kejadian itu, salah seorang kelindan maut dihempap lori terbabit, pemandunya patah tulang bahu manakala seorang wanita nyaris maut dilanggar ketika dia turun melihat kejadian yang turut menimpanya.

Kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 407.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh, kira-kira jam 12.30 pagi semalam yang melibatkan tiga kenderaan dari kedua-dua hala.

Pemandu lori terbabit, M Jaya Balan, 37, berkata, ketika kejadian dia bersama dua kelindannya dalam perjalanan daripada Subang USJ menghala Jalan Kampar, Ipoh.

“Kawasan ini gelap. Saya nampak ada objek besar di lorong tengah dan cuba mengelak namun terlanggar lalu terseret beberapa meter sebelum terbalik.

“Laluan berselekoh dan menuruni bukit menyebabkan lori kami terbalik di tengah besi pembahagi jalan dan memasuki laluan sebelah (bertentangan),” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jaya Balan berkata, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami patah tulang bahu kanan dan salah seorang kelindannya, Arpal Singh, 28, cedera di belakang badan.

Bagaimanapun, seorang lagi kelindannya, R Chandra Chaseran, 51, maut akibat dihempap kepala lori terbabit.

“Saya dapat keluar bersama Arpal daripada celah pintu dan cuba selamatkan dia (mendiang).

“Kami panggil dia beberapa kali tapi tidak menyahut dan cuba tarik dia keluar tapi dia tersepit,” katanya.

Sementara itu, menurut saksi, dua lagi kenderaan yang datang dari arah Ipoh menghala Kuala Lumpur gagal mengelak peti besi simpanan tersebut yang jatuh di lorong kanan laluan bersebelahan menyebabkan berlaku satu lagi kemalangan.
Mangsanya, Ravinda Kisva, 38, dan Ana Asyidah Md Taib berumur lebih kurang 40-an yang cedera dikejarkan ke Hospital Slim River.

Wanita maut dihempap pokok



13 Mac 2013
Wanita maut dihempap pokok
Keadaan rumah yang didiami warga Indonesia yang maut setelah gagal menyelamatkan diri dalam kejadian pokok tumbang, petang semalam.Sumber foto Twitter
KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun maut apabila sebuah pokok tumbang menghempap kediamannya di sebuah perkampungan setinggan di Kampung Baru, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, bilik yang didiami mangsa dikenali sebagai Rapi, di Jalan Sultan Sulaiman 4, Kampung Baru, di sini, ranap dihempap pokok besar.

Difahamkan, mangsa tersepit di antara bumbung dan dinding rumah tersebut ketika cuba melarikan diri berdasarkan kedudukan mayat yang ditemui.

Sepasukan bomba dari balai bomba dan penyelamat Titiwangsa terlibat dalam operasi menyelamat dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kejadian tersebut merupakan salah satu daripada insiden di 29 lokasi terjejas dalam beberapa kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, selama kira-kira dua jam bermula jam 4 petang semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kedudukan rumah setinggan itu dibina di kawasan tidak sesuai.

“Lokasi rumah ini dibina sangat bahaya dan disebabkan angin kencang, dahan besar dari pokok menghempap rumah tersebut,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu katanya, dalam kejadian berasingan, angin kencang yang menyebabkan ribut kuat juga menyebabkan dahan menimpa laluan monorel dekat Jalan Sultan Ismail berhampiran persimpangan pusat beli-belah Maju Junction di sini.

Katanya, ia menyebabkan perkhidmatan monorel terganggu selama 30 minit sebelum kawasan tersebut dibersihkan.

“Sebanyak 20 kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta swasta berdekatan Bangunan AIA di Jalan Ampang juga turut rosak teruk apabila sebuah pokok besar dan dahan tumbang.

“Selain itu, sebanyak enam kenderaan di Jalan Haji Taib 4, juga turut dihempap pokok, manakala sebuah kereta di Jalan Ipoh dan tiga pokok tumbang di Jalan Bunos,” katanya.

23 pekerja asing mogok ditahan



13 Mac 2013
Laporan Sinar Harian 10 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian 10 Mac lalu.
MUAR – Polis menahan 23 pekerja asing yang terbabit dalam kejadian mogok di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pihaknya menahan pekerja asing terbabit sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, penahanan kumpulan pekerja terbabit yang merupakan warganegara Nepal itu selepas pengurusan kilang membuat laporan polis.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Pihak polis masih memantau kilang berkenaan selain menunggu laporan untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Maktab Teknik PDRM di Bakri, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan lebih 100 pekerja asing mengadakan mogok dan bertindak ganas hingga mencederakan seorang pengurus serta penyelia kilang dalam kejadian sekitar jam 3 petang, Jumaat lalu.

Difahamkan, insiden mogok itu berpunca daripada rasa tidak puas hati pekerja terbabit kepada pengurusan kerana menangguhkan perlaksanaan gaji minimum.

Selain mencederakan pengurus serta penyelia, kumpulan pekerja asing terbabit turut membaling batu hingga menyebabkan kerosakan cermin pejabat kilang berkenan.

Tujuh tahun hilang suami



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
12 Mac 2013
Tujuh tahun hilang suami
Normah bersama peguamnya, Mohd Asri menunjukkan dua gambar yang memaparkan wajah Roslee.
IPOH – Seorang tukang masak memohon bantuan orang ramai mengesan suaminya, Roslee Lajat, 62, seorang pesara polis berpangkat Lans Koperal yang tujuh tahun menghilangkan diri.

Normah Abu Bakar, 58, berkata, suaminya itu dilihat buat kali terakhir pada 3 Disember 2005 ketika keluar rumah pada jam 7 malam dan sejak itu tiada khabar berita diterimanya.

Menurutnya, tiada perubahan dilihat pada Roslee yang ketika itu keluar sehelai sepinggang namun, dia bersama tiga anaknya berusia 26 hingga 34 tahun tidak berputus asa mengesannya.

“Menyedari pasport suaminya tiada kecuali kad pengenalan, rekod Jabatan Imigresen mendapati suami saya sah telah ke luar negara pada tarikh dia dilaporkan hilang untuk ke Indonesia.

“Saya yakin suami ke Indonesia kerana tiga tahun sebelum menghilangkan diri, dia terlalu kerap ke sana (Indonesia) dan tinggal lebih dua minggu di negara itu sebelum pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Normah berkata, walaupun tidak membawa apa-apa pakaian, Roslee turut membawa wang tunai lebih RM20,000 berdasarkan slip pengeluaran bank yang ditemuinya.

“Buntu dengan keadaan itu dan mengenangkan nasib yang dilaluinya, saya berharap jika ada kenalan Roslee atau mana-mana pihak yang mengenali dapat mengubungi kami.

“Kami digantung tidak bertali selain menanggung hutang rumah. Khabar angin ada menyatakan dia sudah berkahwin di Indonesia dan tinggal di sana tetapi saya tidak pasti,” katanya.

Sementara itu, peguam Normah, Mohd Asri Osman telah memfailkan pengisytiharan kematian bekas polis itu memandangkan Roslee gagal dikesan lebih tujuh tahun di Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Harminder Singh Dhaliwal telah mengeluarkan perintah pengisytiharan itu pada 19 Februari lalu namun, anak guamnya berharap lelaki itu dapat kembali ke sisi keluarganya.

“Ini adalah usaha terakhir Normah untuk  mengesan suaminya. Jika dikesan, segala urusan berkaitan pencen dan pinjaman perumahan kerajaan lebih mudah diselesaikan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Roslee boleh menghubungi Normah di talian 017-5571305 atau pejabat peguam Asri, Chek Ming & Co iaitu 05-2546885 atau 05-2532200.

Perangkap lubang tinggal



13 Mac 2013
Perangkap lubang tinggal
Anggota JPAM bersama bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap selama dua jam dalam lubang tinggal (gambar kecil) sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
IPOH – Seorang pekerja kontrak terperosok ke dalam lubang tinggal sedalam sembilan meter ketika sedang memotong rumput di kawasan pencawang elektrik di Bukit Kledang, Menglembu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyahad Masdar, 20, bersama empat rakan lain sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit.

Kejadian itu disedari oleh seorang rakan mangsa yang telah habis bekerja sebelum menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.

Ketua Operasi JPAM, Staf Muda Pertahanan Awam Rayner Saimon berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 9.59 pagi.

“Tiba di tempat kejadian, kita melihat mangsa terperosok ke dalam lubang tersebut bersama mesin rumput yang masih tersandang di bahunya.

“Agak sukar untuk melihat keadaan mangsa di dalam berikutan sangat gelap selain sempit menyebabkan penggunaan lampu suluh dan tali digunakan untuk membawa mangsa keluar,” katanya.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran berikutan saiz lubang yang kecil serta perlu berhati-hati berikutan mangsa mengadu sakit bahagian tulang belakang.

“Anggota penyelamat terpaksa turun bagi mengesan mangsa dan berjaya mengikat tubuh mangsa sebelum mendukungnya keluar secara perlahan-lahan dari lubang itu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 12 tengah hari dengan kerjasama pihak bomba dan kita terus menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan,” katanya.

Rayner berkata, mangsa bernasib baik berikutan tanah pada dinding lubang itu tidak runtuh sebaik dia terjatuh ke dalamnya.

“Ada kemungkinan lubang itu digali oleh pihak kontraktor untuk menanam tiang elektrik namun tidak dikambus semula dan ditinggalkan hingga ditutupi semak samun,” katanya

Percutian bertukar tragedi



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Mac 2013
Percutian bertukar tragedi
Keadaan mayat mangsa yang hanyut kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
BIDOR - Percutian seorang pekerja IBM, Cyberjaya di kawasan Lubuk Degong, di sini, bertukar tragedi apabila lemas dibawa arus sungai ketika memancing di kawasan berhampiran, petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Sopian Madli, 27, berasal dari Kuching, Sarawak, dikatakan melawat rakan yang bekerja di Tapah sebelum memancing di kawasan Lubuk Degong.

Dalam kejadian itu, dua  pengunjung yang beriadah di kawasan itu turut nyaris maut apabila dihanyutkan arus deras sebelum diselamatkan penduduk kampung yang secara kebetulan ada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 5.30 petang kelmarin mengatakan ada seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus air deras yang datang secara tiba-tiba.

Menurutnya,  sepasukan menyelamat dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Kami dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Bidor bagi mencari mangsa namun, operasi terpaksa dihentikan berikutan arus air yang deras, berbahaya selain keadaan semakin gelap.

“Operasi diteruskan pada pagi ini (semalam) dan berjaya menemui mangsa kira-kira dua kilometer daripada tempat dia dihanyutkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Som Sak berkata, mangsa dijumpai tersangkut  pada pokok kelapa sawit oleh pasukan penyelamat.

Jelasnya, ketika ditemui mayat mangsa lengkap berpakaian dan dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu,  Ketua Balai Bomba dan Menyelamat Bidor, Mohd Azlan Mahiyidin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.30 petang semalam dan tiba pada jam 5.50 petang.

Katanya, 11 anggota digerakkan bagi mencari  mangsa dikhuatiri lemas di kawasan Lubuk Degong.

Kilang polisterin musnah dalam kebakaran



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mac 2013
Pihak bomba memadamkan saki-baki kebakaran kilang di Kawasan Perindustrian Perai, semalam.
Pihak bomba memadamkan saki-baki kebakaran kilang di Kawasan Perindustrian Perai, semalam.
PERAI - Sebuah kilang membuat polisterin di Kawasan Perindustrian Perai musnah dalam kebakaran semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.27 petang dan tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

“Enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Butterworth, Perda dan Jalan Perak bersama 49 pegawai dan anggota bekerjasama memadamkan kebakaran dan api dapat dikawal dalam tempoh setengah jam.

“Tiga pasukan jentera sukarela turut membantu memadamkan api manakala pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) turut membantu merawat mangsa yang cedera.

“Lebih 90 peratus bahagian kilang musnah sepenuhnya malah kilang yang terletak di bahagian belakang premis turut rosak sedikit akibat kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak berhadapan dengan sebarang masalah dan api dapat dipadamkan dengan pantas walaupun tiupan angin yang agak kencang.

“Kedudukan kilang-kilang di sini amat dekat antara satu sama lain dan kami tahu yang kami perlu pantas mengawalnya sebelum merebak ke premis lain.

“Asapnya bukan sahaja tebal dan beracun, malah berlakunya satu letupan yang agak kuat disebabkan bahan polisterin yang mudah terbakar,” katanya.

Salah seorang pekerja, See Chang Wah, 38, berkata, dia ke kilang tersebut sejak tiga minggu lalu untuk membaiki mesin yang rosak.

“Tiba-tiba saya terdengar jeritan salah seorang pekerja dan kelihatan api mula marak.
“Saya cuba membantu dengan menggunakan alat pemadam api namun tidak berjaya dan masing-masing berlari keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Dibunuh gara-gara minta wang penyelenggaraan



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mac 2013
Kum Thong
Pasukan perubatan membuat pemeriksaan ke atas mangsa. Gambar kecil, Kum Thong.
GEORGETOWN - Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Taman Sri Idaman, Farlim, Liew Kum Thong ditemui mati dengan kesan beberapa tikaman di badanya awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Kum Thong, 33, dikatakan baru sahaja habis berjoging dan sedang menunggu lif untuk pulang ke rumahnya.

Dia dikatakan ditikam beberapa kali oleh individu yang dikenali menggunakan pisau Rambo.

Difahamkan, suspek menunggu mangsa berdekatan dengan kawasan longgokan sampah pangsapuri berkenaan dan terus meluru ke arah mangsa dan menikamnya sebaik melihat kehadirannya.

Mayat mangsa ditemui terbaring berlumuran darah oleh  orang ramai sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata mangsa disahkan ditikam menggunakan sebilah pisau berkali-kali menyebabkan dia mati di tempat kejadian.

Mazlan berkata, pihaknya percaya punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati seorang suspek yang juga penduduk pangsapuri berkenaan apabila mangsa dikatakan sering meminta suspek membayar wang penyelenggaraan yang tertunggak sejak awal tahun 2011.

“Suspek berusia 60an telah berjaya dikesan dan operasi memburu suspek sedang dijalankan.

“Kita yakin dapat memberkas suspek dalam tempoh terdekat malah kita juga mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pihak pengurusan berhubung kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Seludup rokok guna bot pancung



13 Mac 2013
seludup rokok
Anggota Maritim memeriksa barangan seludup dari bot pancung yang ditahan.
JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pangkalan Maritim Batu Pahat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1,290 karton pelbagai jenis rokok putih dan keretek dianggarkan bernilai RM140,000 yang menggunakan sebuah bot pancung di perairan Parit Haji Salam, Batu Pahat, 10 Mac lalu.

Ketua Penguatkuasa Maritm Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, bot dipercayai dari negara jiran itu dikesan kira-kira jam 4.30 pagi berhampiran pantai Tanjung Api-api selepas anggota Maritim melakukan rondaan.

“Anggota terserempak dengan bot berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika bot laju Maritim menghampirinya, bot tersebut terus memecut laju ke kawasan berlumpur paya bakau.

“Malah tekong bot nekad meredah kawasan berlumpur untuk melarikan diri dan ianya gagal dikesan kerana keadaan gelap,” Katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Iskandar berkata, hasil daripada pemeriksaan ke atas bot terbabit membawa kepada penemuan 23 guni berisi rokok yang ditutup dengan kanvas plastik.

“Bot berukuran 6 meter panjang yang menggunakan sebuah enjin Suzuki 30 kuasa kuda berserta rokok dirampas kemudian dibawa ke Jeti Maritim Pangkalan Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.

“Sehubungan kejadian itu, Maritim akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan perairan negara bagi mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah Maritim,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya membantu agensi penguat kuasa dengan melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku.

Pasangan berani mati



13 Mac 2013
Pasangan berani mati
Kereta peronda polis berjaya mengepung kereta dinaiki kedua-dua suspek, sebelum polis menemui syabu dalam kenderaan terbabit.
Pasangan berani mati
Kereta peronda polis berjaya mengepung kereta dinaiki kedua-dua suspek, sebelum polis menemui syabu dalam kenderaan terbabit.
BANDARAYA MELAKA - Satu pasangan bertindak berani memandu dalam keadaan berbahaya semata-mata kerana mahu melarikan diri dari kereta peronda polis di Jalan Mufti Haji Khalil, dekat sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu turut memecut laju kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki bersama pasangannya berusia 30 tahun, sebelum bertindak melanggar dua kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu.

Usaha pasangan itu untuk melarikan diri tidak berhasil apabila kereta mereka dikepung MPV, sebelum kedua-duanya ditahan apabila polis menjumpai dadah jenis syabu dalam kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, sebelum kejadian, polis menemui kereta dinaiki pasangan terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Pemandu kereta itu bagaimanapun bertindak memecut ke arah Bukit Peringgit selepas kenderaan anggota dari Balai Polis Bukit Baru menghampiri mereka.

“Sambil mengekori kereta itu, anggota tersebut meminta bantuan anggota peronda untuk menjejaki kereta berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kereta pasangan terbabit kemudian dikesan bergerak keluar ke jalan besar menghala Hospital Melaka di Jalan Mufti Haji Khalil.
“Pada waktu sama, kereta suspek dipercayai nekad keluar ke jalan besar dengan melawan arus menghala ke arah hospital sebelum sebelum berjaya dihalang kereta peronda dari Balai Polis Sungai Udang di bawah jejambat.
“Pemandu kereta itu kemudian bertindak mengundurkan kereta dan melanggar sebuah lagi MPV yang sudah mengepungnya di belakang hingga menyebabkan cermin depan pecah,” katanya di sini, semalam.

Salehhudin berkata, suspek turut memandu ke depan dan terlanggar MPV berasingan sebelum kedua-dua mereka termasuk wanita itu ditahan polis bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dadah iaitu dua ketulan kecil disyaki syabu di dalam kereta terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pasangan berkenaan kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bekas tentera dijel 5 tahun, 10 sebatan



13 Mac 2013
KUANTAN – Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Mohd Nasir Nordin semalam memberikan nasihat sebelum menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan 10 sebatan terhadap bekas anggota tentera yang didapati bersalah memiliki dadah.

Mohd Nasir menasihatkan tertuduh, Abdul Rahman Ahmad, 41 yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan supaya insaf dan dapat membaiki diri dengan tidak melakukan lagi kesalahan yang sama.

“Saya harap kamu insaf. Dadah adalah memabukkan seperti juga arak dan salah di sisi Islam,” katanya.

Mohd Nasir berkata, hukuman mengambil kira tertuduh yang pernah berkhidmat selama 20 tahun namun bagi kes dadah, perlu hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Abdul Rahman juga pernah berkhidmat di Bosnia dan Lubnan dan tidak mempunyai sebarang rekod buruk ketika bertugas malah turut menerima dua kali Anugerah Khidmat Cemerlang.

Melalui fakta kes, sepasukan polis membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Lubuk Puyu, Taman Tas, kira-kira jam 3.15 petang pada 7 Jun tahun lalu dan mendapati tertuduh berada di atas katil.

Selepas memeriksa bilik berkenaan, polis menjumpai satu beg plastik warna hitam di atas lantai belakang pintu yang mengandungi sembilan ketulan mampat bersaiz kecil dan tiga ketulan mampat bersaiz besar.

Polis turut menjumpai satu peket plastik lutsinar berikat gelang getah warna kuning dan di dalamnya berisi ketulan mampat daun kering dan lima peket plastik lutsinar setiap satu berisi daun kering selain wang tunai bernilai RM1,250 di dalam bilik itu.

Abdul Rahman dihukum di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta sama.

Suami jururawat sorok dadah kena tangkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mac 2013
SERDANG – Tindakan licik seorang tauke dadah menjadikan pondok usang dalam ladang sawit sebagai 'port' menyimpan barang dagangannya bagi mengelak dihidu pihak berkuasa terbongkar, apabila lokasi persembunyiannya diserbu polis, petang kelmarin.

Aktiviti itu terungkai hasil risikan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah sebelum mengadakan operasi khas bagi menjejaki suspek disyaki.

Sub Inspektor Ismail Omar yang masuk ke lokasi itu bagaimanapun terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum suspek tiba dengan sebuah kenderaan.

Terkejut dengan kehadiran polis, suspek difahamkan cuba meloloskan diri namun berjaya diberkas.

Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, polis menemui 1,000 biji pil disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorok di bawah guni berdekatan pondok rehat dalam ladang sawit itu.

Siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 30-an itu dipercayai bergiat aktif membekalkan dadah kepada penagih sekitar.

Difahamkan, suspek yang turut mempunyai rekod penyalahgunaan dadah itu adalah suami kepada seorang jururawat yang bertugas di Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Rampasan dadah berkenaan dianggarkan RM30,000.

“Jika sabit kesalahan dia boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori,” katanya.

GRO nekad panjat siling


15 Mac 2013
GRO nekad panjat siling
Sebahagian GRO yang dicekup di sebuah pusat hiburan awal pagi semalam. Gambar kecil: Siling pecah apabila seorang GRO terjatuh selepas memanjat siling untuk meloloskan diri
PUCHONG – Menangis teresak-esak, meminta rokok dan air minuman. Itu antara ragam kira-kira 21 pegawai khidmat pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam ketika dicekup di sebuah pusat hiburan di Taman Equine dan Puchong Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Lebih mengejutkan salah seorang daripada mereka yang berpura-pura ke tandas cuba meloloskan diri dengan bertindak nekad memanjat siling ke tingkat atas premis terbabit sebelum terjatuh dan berjaya diberkas semula.

Sinar Harian difahamkan, premis sama di Puchong Jaya itu pernah beberapa kali diserbu kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Aktiviti tidak bermoral yang dijalankan termasuk pelanggan perlu membayar RM10, RM100 atau RM300 untuk dihidangkan dengan tarian mengghairahkan oleh GRO yang berpakaian seksi.

GRO yang rata-rata berusia antara 19 hingga lewat 20-an itu akan menari mengikut citarasa dimahukan pelanggan mereka selain berperlakuan tidak senonoh dengan bercium dan berpelukan.

Dalam serbuan 30 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bermula jam 10.30 malam di dua premis berasingan tidak mempunyai lesen itu, peralatan menjalankan hiburan dirampas manakala premis disita.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, premis terbabit pernah beberapa kali diserbu polis.

Katanya, MPSJ juga mengambil tindakan sama dua minggu lalu namun pengusaha berdegil dan membuka kembali perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya ada ejen khas ‘membekalkan’ pekerja wanita warga asing dengan segera kepada pengusaha pusat hiburan apabila pekerja lama ditahan pihak berkuasa.

Jelasnya, dalam pemeriksaan dilakukan, kebanyakan GRO terbabit tidak mempunyai permit kerja dan ada di antaranya menggunakan pas pelajar yang disahkan oleh institusi pengajian swasta (IPTS) tetapi tidak diketahui wujud atau tidak.

Menurutnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Selangor 1995 (2001) kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM25,000.
“Warga asing yang ditahan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi seperti ini akan dijalankan berterusan bagi mengekang kegiatan tidak bermoral,” katanya.