Search This Blog

Saturday, March 9, 2013

Pemborong ikan kena 80 jahitan akibat dibelasah



9 Mac 2013
KUANTAN - Seorang pemborong ikan menerima lebih 80 jahitan di muka, kepala dan kaki akibat dibelasah dua lelaki di hadapan rumahnya di Lorong Sri Kuantan di sini pagi tadi.
  
Mangsa yang dikenali sebagai Ah Chai, 56, dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan keadaannya dilaporkan stabil.
  
Kejadian berlaku kira-kira 4 pagi ketika dia mahu ke jeti Pelabuhan Kuantan untuk urusan perniagaannya.
  
"Mulanya saya dapati kereta saya pancit. Ketika saya sedang periksa tayar, dua lelaki tiba-tiba muncul dari longkang tepi rumah saya lalu memukul saya dengan batang besi," katanya ketika ditemui di hospital.
   
Dia berkata dua lelaki berkenaan yang memakai penutup muka kemudiannya melarikan diri setelah kejadian itu turut disedari orang ramai yang melalui kawasan itu.   

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata mangsa tidak dapat mengenali suspek dan pihaknya sedang menyiasat motif serangan.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.  - Bernama

Kepala murid perempuan terkena peluru besi


Kepala murid perempuan kena peluru besi
Erdina yang cedera di kepala menerima rawatan di Hospital NCI Nilai.
SEREMBAN – Seorang murid perempuan tahun 4 di sebuah sekolah dekat Nilai, di sini, cedera di kepala selepas terkena balingan bola peluru besi ketika menjalani latihan sukan di sekolahnya, petang kelmarin.Erdina Ezalia Earman Eza, 10, mengalami pendarahan beku di kepala dan kini dirawat di Hospital NCI Nilai, di sini.
Menurut datuk mangsa, Ali Dina, 62, kejadian berlaku kira-kira 5 petang ketika cucunya sedang melakukan latihan sukan di padang sekolah.

“Ketika kejadian, kesemua murid sedang berehat selama lima minit di kawasan padang sekolah.

“Sekumpulan murid perempuan lain yang sedang bermain bola peluru besi itu telah membaling ke arah sesama mereka, menyebabkan satu daripada balingan itu tersasar lalu terkena ke kepala cucu saya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ali berkata, cucunya menjerit kesakitan dan menangis sejurus terkena bola peluru besi itu sebelum kejadian itu diketahui seorang guru lelaki yang dipertanggungjawabkan mengawal pelajar di kawasan padang.

“Guru berkenaan merawat cucu saya dengan menuam kepala dengan ais dan meletakkan minyak gamat.

“Tapi, guru berkenaan membiarkan cucu saya pulang ke rumah dengan menaiki bas sendirian meskipun cucu saya masih lagi berasa sakit dan tidak selesa di kepala,” katanya.

Dia yang tinggal di Desa College, Bandar Baru Nilai, di sini, berkata, sebaik turun daripada bas di hadapan rumah, cucunya masih menangis dan meraung kesakitan.

“Anak saya kemudian melihat kepala cucu saya dan kelihatan bengkak di bahagian belakang kepala,” katanya.

Menurutnya, dia segera membawa cucunya itu ke hospital sebelum doktor melakukan pemeriksaan dan membuat imbasan.

"Doktor memberitahu terdapat darah beku di kepala cucu saya. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang penjelasan tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Ali, dia kesal apabila guru sukan terbabit tidak memaklumkan insiden tersebut kepadanya dan juga ibu bapa Erdina.

“Sepatutnya, guru terbabit perlu memaklumkan perkara ini kepada saya kerana sudah melibatkan kecederaan.

“Saya difahamkan guru tersebut membiarkan cucu saya pulang sendirian kerana mempunyai urusan peribadi yang perlu didahulukan.

“Ini tidak patut berlaku kerana sebagai guru yang dipertanggungjawabkan, dia perlu memastikan keselamatan cucu saya terlebih dahulu,” katanya.

Ahli perniagaan nyaris maut ditembak di lampu isyarat




9 Mac 2013
MIRI - Seorang ahli perniagaan nyaris maut selepas seorang yang tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arahnya semasa mangsa berhenti di lampu isyarat di Jalan Merbau semalam.

Lelaki berusia berusia 42 tahun dan dikenali sebagai Lim, yang memandu kenderaan pacuan empat roda, cedera di telinga dan pipi dalam insiden pada kira-kira 5 petang.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Miri.

Pemangku Ketua Polis Miri ASP Azam Abdul Hamid mengesahkan kejadian itu. - Bernama

Pasangan suami isteri miliki senjata dibebaskan




9 Mac 2013
MELAKA - Sepasang suami isteri yang ditahan kerana memiliki selaras senjata api di sekitar Jalan Hang Tuah berhampiran Pejabat Umno Melaka di sini dilepaskan polis setelah didapati tiada unsur jenayah dilakukan.
  
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata pesara kerajaan berusia 60-an yang turut ditahan bersama isterinya itu dilepaskan pada 4.30 petang selepas soal siasat dilakukan ke atas mereka.
  
Beliau berkata soal siasat mendapati lelaki yang memiliki lesen senjata api sah itu terbawa senapang patah tersebut ketika hendak memasukkan wang di salah sebuah bank di jalan tersebut.
  
"Berdasarkan siasatan lanjut lelaki tersebut tidak mahu meninggalkan senjata itu di dalam kereta kerana khuatir ia hilang dan tiada unsur jenayah boleh disabitkan ke atasnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
  
Beliau berkata penahanan pasangan suami isteri itu oleh anggota polis di kawasan tersebut kira-kira 11.15 pagi tadi kerana tindakan lelaki tersebut mengundang ancaman keselamatan kepada orang awam.
 
Ketika kejadian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan ke Melaka sedang menghadiri majlis pemeteraian perjanjian persefahaman bagi pembinaan rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) negeri Melaka dan mengadakan  perjumpaan dengan Barisan Nasional (BN) negeri Melaka di bangunan Umno tersebut.
  
Sehubungan itu, Chuah berkata individu yang memiliki senjata api dinasihatkan agar tidak membawanya secara terbuka bagi mengelak kegusaran atau ancaman keselamatan terhadap orang awam.
  
Sebaliknya beliau berkata mereka boleh menyimpan senjata tersebut di balai polis berhampiran sekiranya khuatir kehilangannya. - Bernama

Keputusan tangguh hukuman amah lambung bayi


Keputusan tangguh hukuman amah lambung bayi
Yuliana yang diiringi pegawai penjara mendengar sesuatu yang dijelaskan peguamnya Viyayandran di Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam.
KUANTAN-  Keputusan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dikenakan terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia, Yuliana, 23, yang didapati bersalah menghempas, melambung dan menganiaya bayi majikannya berusia empat bulan, 19 Februari lalu ditetapkan 12 Mac depan.

Permohonan dikemukakan peguam T Viyayandran yang dilantik Kedutaan Indonesia bagi membolehkan  pembantu rumah itu dihantar ke hospital psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan Viyayandran.

Pada 19 Februari lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman itu terhadap Yuliana selepas dia mengaku bersalah pertuduhan menghempas, melambung dan menganiaya bayi, Mohamed Hareez Mohamed Zamri, di kediaman ibu bapa mangsa di Nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini,15 Februari lalu.

Dalam prosiding semalam,  Vijayandran memaklumkan kepada mahkamah bahawa perlakuan dan tindakan anak guamnya terhadap bayi berkenaan menunjukkan tanda bahawa wanita itu mengalami gangguan mental.

“Tindakannya  terhadap bayi itu  bukan satu kelakuan normal dan jelas di luar  kewarasan kerana haiwan pun tidak melakukan perkara itu terhadap anaknya.

“Anak guam saya juga memiliki rekod rawatan psikiatri di sebuah hospital di Medan beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa tempoh tahanan reman terlalu singkat dan keadaan mentalnya jpasti tidak stabil ketika soal siasat dilakukan.

“Sepatutnya dia dihantar menjalani pemeriksaan mentalnya terlebih dulu sebelum siasatan atau pendakwaan dijalankan ke atasnya.

“Selain itu semasa pertuduhan dikemukakan disusuli dengan hukuman, dia  juga tidak diwakili peguam  dan tiada wakil Kedutaan Indonesia yang hadir bagi menasihatinya,” katanya.

Suami tembak isteri selepas bertengkar



KAWASAN luar rumah pasangan Sui Moi dan suspek di Taman Johor Jaya, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang suami dipercayai menembak mati isterinya selepas pasangan tersebut bertengkar di dalam rumah mereka di Jalan Anggerik 17, Taman Johor Jaya di sini kelmarin.
Mangsa, Then Sui Moi (gambar kecil), 40, yang merupakan warga Indonesia mati akibat cedera terkena satu das tembakan di dada kirinya pada pukul 10.45 pagi.
Seorang jiran pasangan tersebut yang enggan dikenali mendakwa, sebelum kejadian itu, dia terdengar mereka bertengkar di dalam rumah tersebut.
Bagaimanapun, katanya, selang beberapa minit kemudian dia terdengar bunyi tembakan.
“Pada ketika itu, saya memang tak syak apa-apa dan menganggap tembakan tersebut dilepaskan anggota berkuasa dalam operasi menembak burung gagak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kosmo! difahamkan suspek yang berusia lewat 40-an terus melarikan diri selepas kejadian itu dengan sebuah kenderaan berwarna gelap yang diletakkan berdekatan kediaman.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2MzkdJNqE 
Hakcipta terpelihara 

Dua polis cedera dibaling batu




ANGGOTA polis mententeramkan penyokong sebuah parti selepas kejadian membaling batu di kedua-dua tapak program ceramah di Bukit Katil, Melaka malam kelmarin.


MELAKA – Dua anggota polis antara tiga yang cedera apabila terkena batu yang dipercayai dibaling penyokong yang menghadiri dua ceramah politik yang diadakan secara bersebelahan membabitkan dua parti politik di Bukit Katil di sini malam kelmarin.
Dalam kekecohan yang bermula pukul 10 malam itu, seorang penyokong sebuah parti politik yang menghadiri ceramah membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Mohd. Ali itu turut tercedera terkena balingan batu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, sejurus kejadian berkenaan, dua anggota polis berusia 30-an itu dikejarkan ke Hopital Melaka untuk menerima rawatan.
“Salah seorang anggota mengalami kecederaan di kepala dan seorang lagi anggota cedera di belakang badan manakala orang awam yang merupakan lelaki berusia 30-an pula cedera di kepala.
“Ekoran kejadian ini, seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2MzkOTt3G 
Hakcipta terpelihara 

Sorok arak dalam bonet kereta




SYED BASRI (kiri) bersama pegawainya memeriksa minuman keras yang disorok di bahagian enjin sebuah kereta yang ditahan di Padang Besar semalam.


PADANG BESAR – Taktik seorang pengusha restoran menyorok ratusan tin arak disebalik enjin dan bonet kereta Proton Waja miliknya gagal apabila perbuatan tersebut dapat dihidu oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping di sini semalam.
Kegiatan lelaki tersebut yang berusia 40-an dikesan anggota peronda UPP yang memintas kenderaan terbabit hasil maklumat awam di dataran Trinai, Jalan Padang Besar-Kangar di sini kira-kira pukul 11 pagi.
Komander UPP Chuping, Asisten Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan, pihaknya menemui sebanyak 143 tin minuman keras dengan nilai rampasan bernilai RM1,144.
“Peniaga tersebut disyaki memperoleh minuman keras tersebut daripada negara jiran namun dia tidak mengisytiharkan barangan itu kepada kastam di pintu masuk sempadan.
“Ia dipercayai untuk dijual di kedai runcit atau restoran di Alor Setar, Kedah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2MzjrNgF2 
Hakcipta terpelihara 

Ikan paus mati kerana telan plastik



BEBERAPA ahli biologi mencari plastik dalam perut ikan paus itu.


MADRID - Seekor ikan paus sperma seberat 4.5 tan yang mati di pantai Granada, selatan Sepanyol pada Mac tahun lalu disebabkan haiwan itu menelan sejumlah besar plastik, kata seorang saintis kelmarin.
Menurut saintis itu, Renaud de Stephanis, terdapat lebih 17 kilogram sampah di dalam perutnya termasuk kanvas plastik.
Stephanis merupakan seorang pakar biologi marin di Stesen Biologi Donana yang dikendalikan Majlis Penyelidikan Kebangsaan Sepanyol.
Menurut Stephanis, lebih 250 haiwan marin termasuk kura-kura, ikan lumba-lumba dan lain-lain hidupan lain boleh menyebabkan tercekik kerana sampah plastik di lautan.
Ikan paus sperma pada kebiasaannya memakan sotong.
Menurut saintis itu, terdapat seketul batu di dalam usus ikan paus tersebut.
Beliau berkata, sebanyak empat ikan paus sperma telah didapati mati kerana menelan sampah plastik.
Menurutnya, penemuan itu membimbangkan kerana ia menunjukkan terdapat laut yang dipenuhi dengan sampah.
Beliau menyatakan, serpihan plastik juga terdapat di dalam ikan lain. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2Mzibd4Fm 
Hakcipta terpelihara