Demikian kata Rasdi Lebar, 54, abang kepada Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, 52, anggota cawangan khas yang terbunuh dalam serang hendap penceroboh bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, jam 8 malam Sabtu lalu.
Beliau tidak menyangka hasrat arwah itu tidak kesampaian dan pergi dulu sebelumnya meninggalkan beliau dan empat beradik lain.


“Dia (Ibrahim) juga adalah pencetus kerjaya kepolisan dalam keluarga kerana yang pertama menyertai pasukan beruniform itu sebelum beberapa ahli keluarga lain turut mengikut jejak langkahnya,” katanya.

Anak kesembilan

Ibrahim anak kesembilan daripada 10 beradik antara enam terkorban dalam kejadian serang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perkampungan atas air Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah jam 8 malam, Sabtu lalu.

Malah, Ibrahim terbunuh sehari sebelum beliau menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-23 dengan Rosiah Dahlan, 53.
Rasdi yang menetap di Jertih, Terengganu, berkata beliau tidak sedap hati sebelum mendapat berita mengenai kematian adiknya dalam serangan hendap berkenaan.

“Saya terkejut mengetahui berita itu namun tidak memaklumkan kepada ahli keluarga lain kerana belum pasti kesahihannya sehingga isteri arwah memberitahu polis mengesahkan perkara itu Sabtu lalu.

Dihubungi anak 

“Pada jam 10 malam Sabtu lalu, anak lelaki saya yang bertugas sebagai anggota polis di Sarawak menghubungi saya memaklumkan bapa saudaranya terbunuh,” katanya.

Beliau menyifatkan adik lelakinya seorang yang peramah dan mudah mesra selain sentiasa mengambil berat mengenai adik-beradik lain tambah pula sejak kematian bapa mereka pada Mac tahun lalu.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah Januari lalu ketika pulang mengadakan kenduri arwah di kampung di Besut,” katanya.