Search This Blog

Monday, March 4, 2013

Rakan Putera William dipenjara seminggu


London: Seorang teman Duke dan Duchess of Cambridge ditahan di lapangan terbang kerana memiliki bahagian pistol dalam bagasinya dan ditahan seminggu di penjara terkenal.
Pereka dalaman masyarakat kelas atasan, James Archibald yang menjadi tetamu dalam perkahwinan pasangan diraja itu ditahan ketika begnya dikesan mengandungi bahagian senjata itu di Barbados. Dia berada di lapangan terbang itu untuk menukar pesawat dalam perjalanan pulang dari Mustique ke Britain.

Archibald, 50, teman lama keluarga Kate menanggalkan bahagian pistol itu sebelum meletakkannya dalam bekas berkunci.
Dia cuba menyakinkan kakitangan lapangan terbang bahagian pistol itu tidak boleh digunakan untuk menembak.

Bagaimanapun, dia tetap ditahan di penjara Dodds, Archibald memberitahu akhbar The Mail semalam: “Ia hanya bahagian pistol angin yang saya gunakan untuk sasaran tembakan.

“Saya mengandaikan disebabkan ia tidak boleh beroperasi dan disimpan dalam bagasi yang dikunci, ia tidak akan menjadi isu,” katanya. - Sunday Mail

Bekas banduan kemaruk masuk jel


New York: Seorang lelaki, Matthew Matagrano, 36, semalam berdepan pertuduhan di Manhattan atas dakwaan menyamar sebagai penyiasat Jabatan Perisikan.
Pihak berkuasa berkata, Matagrano menyamar sekurang-kurangnya seminggu untuk memasuki beberapa lokap di bandar raya ini termasuk pusat tahanan Pulau Rikers dan Manhattan dan bergaul dengan tahanan selama berjam-jam. 
Polis berkata, Matagrano mengakui tiba di penjara Manhattan pada jam 3.30 petang dan masuk ke dalam pusat tahanan itu dengan mengakui dia penyiasat dari Jabatan Pperisikan. 

Menurut laporan, dia berada di situ hingga jam 11 malam, memberikan rokok kepada tahanan dan merokok bersama mereka.

Dia turut dituduh mencuri radio dari sebuah pejabat ketika berada dalam penjara itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada atau bila Matagrano akan berdepan pertuduhan sama iaitu memasuki penjara lain di bandar raya ini. 

Matagrano juga dikatakan mempunyai rekod jenayah termasuk tuduhan liwat dan penderaan seksual. Namanya tersenarai dalam pendaftaran senarai penyerang seksual di New York. 

Pihak berkuasa masih belum mengetahui alasan dia mahu ke penjara, tetapi sebelum ini dia pernah ditangkap kerana menyamar sebagai pekerja Lembaga Pendidikan yang mengunjungi dua sekolah dan memeriksa fail pelajar. 

Hakim menetapkan ikat jamin AS$50,000 (RM 154,660) terhadap Matagrano. 

Dia turut berdepan tuduhan pecah masuk, memilik peralatan palsu, kecurian dan menggalakkan penyeludupan barang larangan ke dalam penjara. Dia dijangka tampil di mahkamah Rabu ini. - AFP

Bangga kerat ibu


New York: Foto mengerikan menunjukkan seorang lelaki dari Bronx yang dituduh membunuh dan mengerat tubuh ibunya sambil tersenyum dan mempamerkan kepala si mati didedahkan di akhbar semalam.
Bahsid McLean, 23, bergaya di depan cermin bilik air memegang kepala ibunya, Tanya Byrd yang masih berlumuran darah, seperti trofi, dan menggunakan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar mengerikan itu sebagai kenang-kenangan.

Gambar itu disiarkan akhbar New York Post, semalam. McLean dituduh membunuh Tanya, 45, selepas satu pertengkaran di mana si ibu memberitahu anak lelakinya itu agar menjadi matang dan berpindah keluar dari apartmen mereka. Menurut polis, foto mengejutkan itu hanya satu daripada beberapa imej yang ditemui dalam telefon bimbit McLean. Polis berkata, selepas McLean menikam ibunya, dia mengerat tubuh mangsa dengan gergaji.
Dia dan rakannya kemudian memasukkan bahagian tubuh mangsa ke dalam tiga beg sampah, sesetengahnya dizip dalam bagasi dan dibuang sekurang-kurangnya di empat lokasi di Morrisania.

McLean yang tampil di mahkamah Jumaat lalu untuk menghadapi pertuduhan, mendakwa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Dengan memakai beg plastik sampah berwarna hitam ke mahkamah kerana kerap terkencing, dia ditahan bagi mengelak membunuh diri selepas serangan mengerikan terhadap ibunya awal minggu lalu. Lelaki menghidap sakit mental itu memberitahu hakim dia cuba membantu ibunya yang sakit.
Ketika kemunculan di mahkamah, McLean melakukan beberapa aksi ganas dan dia ditahan tanpa ikat jamin.

“Dia benar-beanr sakit,” kata sumber polis kepada New York Post.
“Ia tindakan yang menakutkan. Lelaki terbabit memang betul-betul sakit mental kerana melakukan perbuatan kejam itu.” Gambar mengerikan itu ditemui polis dalam telefon bimbitnya dan pengakuan awalnya mendorong kepada tuduhan membunuh Rabu lalu. - Agensi

Bantah pindah tahanan


Kaherah: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Port Said semalam ketika Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk memindahkan 39 tahanan yang menanti hukuman ekoran pembabitan mereka dalam rusuhan di stadium bola sepak pada Februari tahun lalu.
Pegawai keselamatan berkata, hakim dijangka membacakan hukuman ke atas 39 defendan itu pada Sabtu akan datang.

Mereka adalah kumpulan tertuduh terakhir yang didapati bersalah terbabit dalam keganasan ekoran perlawanan bola sepak di sebuah stadium di Port Said.
Kejadian itu menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 74 orang dan lebih 1,000 lagi cedera.

Seramai 21 pesalah lain sudah dijatuhi hukuman mati pada Januari lalu dan keputusan berkenaan mencetuskan rusuhan di bandar berkenaan dan membunuh sekurang-kurangnya 40 orang. Pegawai keselamatan berkata, rusuhan semalam menyaksikan penunjuk perasaan melontar bom petrol dan batu ke balai polis di Port Said, memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.

Mogok umum di bandar itu pula memasuki minggu ketiga ketika ini.
Foto
PASUKAN keselamatan Mesir berjaga-jaga ketika berdepan dengan penunjuk perasaan (tiada dalam gambar), di Port Said, semalam.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri berkata, pesalah rusuhan itu dipindahkan dari Port Said bagi mengelakkan kekacauan berlaku di situ.

Kelmarin, penunjuk perasaan turut membakar sebuah balai polis dan menghalang bomba daripada menghampiri tempat kejadian. Penduduk Port Said dan bandar yang ada di sepanjang Terusan Suez memang menganggap Kaherah sentiasa meminggirkan mereka. - AFP

Asam pedas ikan juadah terakhir


Melaka: Ikan masak asam pedas menjadi juadah terakhir buat seorang pelajar semester dua Diploma Teknologi Elektrik Kolej Yayasan Melaka (KYM), sebelum maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bukit Katil, di sini awal pagi semalam.
Lebih memilukan, kejadian jam 2.15 pagi di Persimpangan Tun Ghaffar Baba itu berlaku selepas mangsa, Mohamad Haziq Yusri, 19, berjumpa dengan 14 rakannya yang pulang ke kampung sempena cuti hujung minggu.

Difahamkan, mangsa terbunuh apabila motosikal Honda EX5 ditunggangnya dari arah Peringgit Pantai ke Ayer Keroh berlanggar dengan kereta Suzuki Swift yang datang dari arah Melaka Baru ke pusat bandar.
Rakan mangsa, Muhamad Hafizuddin Mohd Hanafi, 19, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Bukit Katil selepas makan malam bersama rakan lain di Kota Laksamana.

“Sebaik lampu isyarat hijau di persimpangan itu, saya meneruskan perjalanan dan arwah yang menunggang motosikal berasingan berada di belakang, namun apabila tiba di hadapan Peringgit Point dan melihatnya tiada, saya berpatah balik ke persimpangan itu.

“Saya terkejut apabila melihat arwah terbaring tidak sedarkan diri di persimpangan itu dengan mulut dan hidungnya berdarah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian arwah seorang yang periang, tidak banyak bercakap ketika mereka berada di kedai makan.

“Kami sempat menjamu selera dengan ikan masak asam pedas bersama sebelum beredar pulang. Malah, kami sempat mengambil gambar arwah ketika di kedai makan dan dia sangat gembira, saya tidak sangka ia menjadi gambar kenangan terakhir,” katanya.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Yusri Abdullah, 42, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh rakan anaknya kira-kira jam 2.30 pagi melalui panggilan telefon.

“Saya bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Melaka. Kira-kira jam 5 pagi, saya melihat keadaan menjadi kelam-kabut dan doktor cuba menyelamatkan nyawanya.

“Bagaimanapun, saya hanya mendapat tahu arwah meninggal dunia selepas bertanya mengenai keadaannya di kaunter pada jam 8.40 pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, anak sulung daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya dia yang gemar meletakkan karektor animasi sebagai latar belakang komputer riba menukarnya dengan gambar sendiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kemalangan berlaku membabitkan motosikal mangsa dengan Suzuki Swift dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun.

Pembeli ditipu RM12,500, bank tarik kereta


Petaling Jaya: Seorang lelaki diperdaya melalui urusan jual beli kereta terpakai di Sri Damansara, di sini, apabila kenderaan yang baru sebulan dibeli bukan saja ditarik balik pihak bank, malah ia diambil semula penjualnya selepas mangsa menyerahkan deposit RM12,500, baru-baru ini.
Menurut sumber, mangsa berusia 27 tahun membeli sebuah kereta Proton Perdana terpakai menerusi dua lelaki pada akhir Disember tahun lalu.

“Mangsa membayar RM12,500 kepada lelaki terbabit sebagai pendahuluan selain menyambung bayar ansuran kereta berkenaan.
“Baru sebulan mangsa menggunakan kereta itu, ia ditarik pihak bank berikutan pemilik gagal membayar ansuran,” katanya.

Katanya, mangsa menghubungi semula pihak bank bagi mendapatkan status sebenar kereta itu dan mengetahui berapa lama ansurannya tertunggak kerana dia baru membelinya.

“Namun, mangsa terkejut apabila pihak bank memaklumkan kereta itu sudah dituntut dipercayai oleh dua lelaki terbabit.
“Mangsa menghubungi lelaki terbabit untuk mendapatkan semula keretanya, namun mereka memberi pelbagai alasan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, kelmarin, selepas menyedari diperdaya apabila penjual kereta terbabit sering mengelak untuk berjumpa.

Tiga terbunuh dalam kemalangan kereta dan lori di Saratok

SARATOK: Sepasang suami isteri antara yang terbunuh selepas kereta dinaiki hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh lori dalam kemalangan kira-kira satu kilometer dari simpang ke Pusa, Betong, 2.15 petang semalam.
Dalam kejadian itu,, mangsa terbunuh di tempat kejadian adalah Mansor Tegak, 61, dan adiknya, Naily manakala isteri Mansor iaitu Fatimah Lek meninggal sejurus menerima rawatan di Hospital Betong. 
Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku apabila Produa Kancil dipandu Mansor dalam perjalanan dari Pusa ke Saratok hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh lori dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik rempuhan itu, kereta dinaiki tiga sekeluarga malang terbabit berpusing beberapa kali sebelum melanggar pembahagi jalan.

Gadai nyawa


Kuala Lumpur: Seramai 10 lelaki warga Afrika sanggup menggadai nyawa hingga ada yang jatuh ke dalam longkang dalam usaha melarikan diri daripada ditahan pegawai Jabatan Imigresen Selangor, kelmarin.
Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 malam di Taman Wawasan dan Bandar Puteri di Puchong, di sini seorang daripada mereka cedera di muka selepas terjatuh dalam longkang ketika melarikan diri.
Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montel berkata, mereka ini langsung tidak mempedulikan keselamatan diri dalam usaha untuk melarikan diri selepas menyedari kawasan mereka melepak itu diserbu pihak imigresen.

Menurutnya, dua lokasi berkenaan menjadi sasaran pihaknya berdasarkan hasil risikan yang mendapati warga Afrika itu sering melepak di lokasi itu.
Foto
LELAKI warga Afrika jatuh ke dalam longkang ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pegawai Jabatan Imigresen Selangor, kelmarin.

“Operasi kali ini juga diadakan selepas mendapat aduan orang awam mengenai kebanjiran rakyat asing yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan itu.

'Petanda rasa tak sedap hati'


Rembau: “Saya dengar enjin motosikal dihidupkan dan terus menjenguk ke laman dan mendapati arwah sedang menunggang. Saya tidak sempat berkata apa-apa dan mula berasa tidak sedap hati.
“Selama enam bulan saya menggunakan motosikal itu, arwah tidak pernah cuba menunggangnya.” 
Demikian kata Zainal Abas, 39, mengenai abangnya, Abdullah, 57, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Kundur-Pedas, dekat Taman Pedas Indah, di sini, ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Monster 800cc miliknya, buat pertama kalinya, kelmarin. 

Abdullah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala pemandu kereta jenis Myvi berusia 19 tahun terselamat dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang maut selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan kereta.

Menurut Zainal, dia yang pulang bercuti hujung minggu sempat berbual dengan abangnya itu di beranda rumah mereka di Kampung Minching Batu 3, Pedas, sekembalinya arwah daripada menghadiri kenduri kahwin di rumah rakan kira-kira jam 3.30 petang.

Pemandu bas didakwa sebabkan kematian 2 penumpang



04/03/2013 12:17pm

NIBONG TEBAL— Seorang pemandu bas kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian dua penumpang dalam satu kemalangan jalan raya pada Disember tahun lepas.
Kamarruddin Derais, 51, dari Kampong Sempeneh Seberang, Batu Kurau, Perak, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Salwa Jaafar.
Tertuduh yang memandu bas bernombor pendaftaran WCP2596 dituduh memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian Nurul Nadhirah Sudin, 21, dan Samsiah Hasan, di Kilometer 150.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada 6.15 pagi, 21 Dis 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin manakala lesen memandunya digantung sementara.
Mahkamah menetapkan 2 April depan untuk sebutan semula kes.— BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_02.htm#ixzz2MYMGPsdj 
Hakcipta terpelihara 

Jenazah anggota polis terkorban dibawa pulang



04/03/2013 12:17pm

LAHAD DATU— Jenazah dua pegawai dan empat anggota polis yang terkorban dalam kejadian tembakan di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna kelmarin, akan dihantar balik ke kampung masing-masing hari ini.
"Jenazah akan diterbangkan bermula pukul 1 petang ini dari Lapangan Terbang Tawau,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib pada taklimat media di Felda Sahabat, kira-kira 130 kilometer dari sini, pagi ini.
Mereka yang terkorban ialah Supt. Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, ASP Michael Fadil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).
Hamza berkata, senarai penuh nama pegawai dan anggota yang terkorban akan dipapar pada laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua mereka terkorban selepas diserang hendap ketika melakukan siasatan di kampung itu susulan maklumat mengatakan ada kumpulan bersenjata bersembunyi di situ.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, enam lelaki daripada kumpulan penceroboh bersenjata tersebut turut maut. Menurut Hamza, polis masih melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Beliau turut menegaskan keadaan keselamatan di Lahad Datu, Semporna dan Kunak adalah keadaan terkawal.
Mengenai kerjasama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hamza berkata polis hanya menggunakan aspek teknikal ATM dalam operasi kawalan keselamatan itu.— BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_03.htm#ixzz2MYM6WTSH 
Hakcipta terpelihara 

Heroin 9 kg dirampas, dua suspek ditahan



04/03/2013 2:06pm

SHAH ALAM — Polis Selangor merampas 9.16 kilogram dadah dipercayai heroin dengan anggaran nilai pasaran RM3 juta dan menahan dua suspek di sebuah kawasan di Taman Jati, Rawang pada Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek berumur 24 dan 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika dipercayai baru hendak mengedar dadah di sekitar kawasan itu.
"Polis menemui satu beg berisi 20 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai heroin dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek berumur 29 tahun.
"Kami percaya 300,000 tiub straw boleh dihasilkan dengan dadah heroin itu dan boleh dijual kepada penagih dengan harga kira-kira RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Nordin berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang tiada pekerjaan itu dipercayai aktif mengedar dadah di Lembah Klang sejak setahun lepas.
Menurutnya, suspek berumur 24 tahun itu mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.
Tambah beliau, Bahagian Pelucutan Harta di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menyita kira-kira RM104,000 dalam akaun bank milik suspek berumur 29 tahun dan sekutunya, dan polis percaya duit itu diperoleh menerusi aktiviti pengedaran dadah.
Nordin berkata, kedua-dua lelaki itu direman mulai 1 hingga 7 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_05.htm#ixzz2MYLI8Q6Z 
Hakcipta terpelihara 

Mayat dibungkus kain dalam parit




INILAH parit di Sungai Pegam, Muar tempat mayat seorang lelaki dibungkus dengan kain ditemui kelmarin.


MUAR - Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di dalam parit ladang kelapa sawit di Sungai Pegam di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, semasa ditemui pada pukul 1.15 petang, mayat itu dalam keadaan tangan dan kaki terikat menggunakan tali sebelum dibungkus dengan kain.
Menurut beliau, mayat yang dipercayai warga tempatan berusia 25 hingga 35 tahun itu dijumpai oleh pekebun ladang kelapa sawit.
"Semasa ditemui, mayat itu lengkap berpakaian dan terdapat banyak kesan lebam pada muka mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul," kata beliau ketika dihubungi di sini.
Mohamad Nasir berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.
Kata Mohamad Nasir, pihak polis menganggarkan mangsa sudah meninggal dunia antara 12 hingga 24 jam dan setakat ini identiti masih tidak dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa.
Berdasarkan siasatan, kata beliau, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan berkenaan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2MYKpSWVH 
Hakcipta terpelihara 

Budak trauma didera bapa

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

KUCHING - Perbuatan kejam dua beranak yang tergamak 'berganding bahu' mendera darah daging sendiri hingga menyebabkan mangsa ketakutan dan trauma memakan diri apabila kedua-duanya diberkas selepas tembelang mereka terbongkar Jumaat lalu.
Kes tersebut berlaku di sebuah kampung di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad (gambar) berkata, kedua-dua suspek tersebut diberkas selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat oleh seorang guru sekolah mangsa pada pukul 9 pagi Jumaat lalu.
Katanya, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 11 tahun sering dipukul oleh abang kandungnya itu setiap kali selepas suspek berada dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan menghidu gam.
"Bapa mangsa turut mendera mangsa dengan memukulnya dengan kayu dan tali pinggang sejak beberapa bulan lalu.
"Kali terakhir mangsa dipukul oleh abangnya beberapa hari lalu dengan sebatang kayu sehingga mengakibatkan tangan kirinya cedera," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ekoran itu, katanya, mangsa pernah ponteng sekolah selama 25 hari kerana sakit perut akibat disepak salah seorang suspek.
Menurut Roslan, guru tersebut menyedari mangsa didera selepas dia hairan melihat mangsa berada dalam ketakutan dan bersembunyi di belakang kelas pada pagi Jumaat lepas. Dia membuat laporan di Balai Polis Batu 10 di sini.
"Ibu mangsa pernah dua kali datang ke sekolah mengadu mengenai nasib mangsa," katanya.
Ujar Roslan, gambar kecederaan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya.
"Gambar kecederaan pada badan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya. Mangsa kini dirawat di hospital dan kes telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2MYKfeoXO 
Hakcipta terpelihara 

Datuk dalang jual diesel subsidi




ANGGOTA penguat kuasa memeriksa diesel yang telah dipindahkan ke lori tangki.


KULAIJAYA – Penglibatan seorang lelaki bergelar Datuk dalam satu sindiket menjual diesel subsidi ke Singapura terbongkar apabila pihak berkuasa menahan seorang lelaki selepas menyerbu sebuah stor yang berselindung di sebalik bengkel membaiki lori di Jalan Kulaijaya di sini baru-baru ini.
Serbuan pada pukul 2 pagi 27 Februari lalu itu dapat menahan pemilik bengkel berusia lingkungan 30-an. Dia dipercayai merupakan orang suruhan Datuk berumur awal 40-an tersebut.
Difahamkan, modus operandi Datuk tersebut ialah dia akan ‘menaburkan’ wang kepada pemandu-pemandu lori supaya menghantar seberapa banyak diesel subsidi kepadanya untuk dibeli pada harga RM2.10 seliter. Harga yang ditawarkan kerajaan ialah RM1.80 seliter.
Dia kemudian akan menjual diesel berkenaan kepada pembeli di Singapura pada harga antara RM2.40 dan RM2.60 seliter. Harga diesel di Singapura melebihi RM3.
Sumber berkata, pemandu lori yang gelap mata kemudian akan mengumpulkan diesel yang dibeli daripada stesen-stesen minyak di sekitar sini ke bengkel berkenaan untuk dimasukkan ke dalam sebuah lori tangki dan dua tangki lain.
Difahamkan, pemilik bengkel tersebut memiliki lapan buah lori mempunyai tangki yang telah diubah suai untuk mengisi diesel yang mampu memuatkan antara 5,000 hingga 17,000 liter diesel pada satu-satu masa.
Kegiatan tersebut dikatakan telah berjalan sejak pertengahan tahun lalu dan pemilik bengkel telah menjual lebih 70,000 liter diesel bernilai RM200,000 kepada Datuk tersebut.
“Tembelang Datuk itu terbongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu sebuah stor menyimpan diesel haram di Jalan Kulaijaya di sini.
“Pemilik bengkel itu memberitahu yang dia menjual diesel tersebut kepada Datuk tersebut sebelum dihantar ke Pengerang, Johor untuk dijual ke Singapura,” kata sumber itu kepada Kosmo!.
Tambahnya, kawasan bengkel membaiki lori itu seluas 0.8 hektar. Sebuah lori yang penuh dengan tayar lama juga ditemui dan bila diperiksa bawah tayar-tayar tersebut terdapat tangki empat segi untuk menyimpan diesel.
Menurut sumber itu lagi, pemilik bengkel itu turut mempunyai kapal sendiri untuk mengangkut diesel ke perairan Pengerang sebelum dijual kepada pelanggan dari Thailand, Singapura dan Indonesia.
“Kita masih menyiasat sejauh mana penglibatan Datuk berkenaan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2MYKT2Vpn 
Hakcipta terpelihara 

Budak OKU maut jatuh sungai dari lubang lantai




LANTAI papan berlubang inilah yang meragut nyawa Mohd. Rahman yang terjatuh ke dalam Sungai Miri di Kampung Piasau Utara, Miri semalam.


MIRI – Angkara lantai papan rumah berlubang yang belum dibaiki, sepasang suami isteri kehilangan anak Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kanak-kanak itu terjatuh ke sungai melalui lubang itu sebelum mangsa dibawa arus deras ke Sungai Miri di Kampung Piasau Utara dekat sini semalam.
Mayat Mohd. Rahman Ahmad, 9, yang bisu dijumpai oleh bapanya pada pukul 6 pagi semalam selepas hilang pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
Ibu mangsa, Asnah Dabang, 40, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu ditemui terapung kira-kira 500 meter dari kediaman mereka yang berada di tepi Sungai Miri.
“Saya tidak sangka lubang di lantai di sebuah bilik di rumah kami menjadi lubang maut kepada anak saya sendiri. Memang kami mahu baiki lantai papan yang berlubang itu tetapi ditangguhkan kerana belum cukup duit.
“Kami berasa sangat sedih kerana Mohd. Rahman merupakan anak yang baik hati walaupun dia agak hiperaktif dan memerlukan pengawasan sepanjang masa,” kata Asnah di sini semalam.
Asnah memberitahu, sebelum kejadian malang itu, dia bersama suaminya keluar bekerja seawal pukul 6 pagi dan meninggalkan Mohd. Rahman bersama abang dan adiknya masing-masing berusia 12 dan lima tahun.
Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, Asnah terus terjun ke dalam sungai untuk mencari anaknya.
Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kematian kanak-kanak itu sebagai kematian mengejut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2MYKGc6gk 
Hakcipta terpelihara 

Mahkamah rayuan bebaskan wanita yang dirogol



MOGADISHU, Somalia - Sebuah mahkamah rayuan semalam menggugurkan dakwaan terhadap seorang wanita yang dihukum penjara selama setahun selepas dia memberitahu kepada seorang pemberita bahawa dia dirogol oleh anggota keselamatan.
Pada bulan lalu, wanita itu dan seorang wartawan, Abdiaziz Abdinuur, 25, didapati bersalah kerana mengaibkan institusi negara dan dihukum penjara setahun di sebuah mahkamah lebih rendah.
Bagaimanapun, mahkamah rayuan itu mengekalkan hukuman penjara terhadap wartawan berkenaan.
Pengekalan hukuman itu, kata Hakim Hassan Mohamed Ali, dibuat kerana wartawan berkenaan silap faham berhubung dakwaan rogol yang dibuat wanita tersebut menerusi satu wawancara.
Abdiaziz ditahan pada 10 Januari lalu semasa membuat penyelidikan tentang keganasan seksual di Somalia - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2MXpoqWpe 
Hakcipta terpelihara 

Tiga cedera, jejambat runtuh




SEKUMPULAN anggota penyelamat yang menggunakan 
sebuah bot mencari mangsa runtuhan jejambat itu.



KOLKATA, India - Satu bunyi dentuman yang kuat mengejutkan penduduk Ultadanga apabila sebuah bahagian jejambat runtuh di sini semalam.
"Pada pukul 4.30 pagi saya terdengar bunyi kuat. Apabila keluar, saya melihat sebahagian besar jejambat telah runtuh," kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Asish.
Menurut polis, tiga orang cedera akibat runtuhan itu.
"Selepas mendengar bunyi kuat, saya keluar rumah dan melihat sebuah trak remuk dan dua orang cedera parah," kata seorang pemilik gerai teh yang dikenali sebagai Ratnesh.
"Adalah sesuatu yang aneh kerana sebuah jejambat yang baru sahaja dirasmikan dua hingga tiga tahun lepas telah runtuh," kata seorang penduduk, Pranabesh Roy.
Ketika kejadian tiada kenderaan lain selain trak itu melalui jejambat tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2MXpbv9bp 
Hakcipta terpelihara 

Polis Brazil tawan kawasan pengedar dadah




SEBUAH kereta kebal tentera Brazil bergerak ke laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Rio de Janeiro sebagai usaha untuk mengekang pengedar dadah di Rio de Janeiro semalam.


RIO DE JANEIRO - Polis negara ini melancarkan operasi mencegah jenayah di kawasan setinggan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Rio de Janeiro dan pelabuhan di sini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengusir para pengedar dadah menjelang Pusingan Akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2014.
Operasi yang bermula pada pukul 4.55 pagi waktu tempatan itu melibatkan lebih 1,300 anggota polis dan tentera serta disokong Tentera Laut Brazil.
Pihak berkuasa menawan kawasan jalan-jalan sempit di Caju dan Barreira do Vasco tanpa sebarang kejadian tembak-menembak berlaku.
Setakat ini, pihak berkuasa tidak menghadapi tentangan di kawasan yang mempunyai penduduk seramai 20,000 orang itu.
Pihak berkuasa kemudian mengisytiharkan operasi tersebut sebagai berjaya.
"Operasi ini berjaya," kata seorang pegawai polis tentera, Kolonel Frederico Caldas kepada stesen televisyen O Globo. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2MXoivVbf 
Hakcipta terpelihara 

Misi selamat lelaki jatuh ke dalam lubang ditamatkan di Florida




AP
DUA jurutera memeriksa pekarangan rumah Jeff di Seffner, Florida kelmarin.


SEFFNER, Florida - Para penyelamat kelmarin menghentikan operasi mencari mayat seorang lelaki, Jeff Bush yang 'ditelan' sebuah lubang yang terbentuk dengan tiba-tiba di dalam bilik tidur rumahnya di sini pada Khamis lalu.
Lubang selebar enam meter itu semakin membesar menyebabkan kerja-kerja untuk mencari Jeff berdepan risiko bahaya yang besar.
Jeff, 36, menjerit meminta pertolongan semasa dia jatuh ke dalam lubang tersebut pada malam Khamis lalu.
Adiknya, Jeremy, 35, memberitahu, ketika kejadian, Jeff sedang tidur di atas katil di dalam bilik itu.
Jeff


Bagaimanapun, katanya, dia kemudian terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum diikuti jeritan abangnya.
Menurutnya, dia kemudian berlari ke bilik Jeff dan menekan suis lampu sebelum mendapati abangnya 'ditelan' ke dalam lubang tersebut.
Jeremy menyatakan, dia kemudian menggali dengan tangan ke dalam lubang tersebut untuk menyelamatkan abangnya tetapi gagal.
Rumah tersebut juga akan dimusnahkan oleh pasukan penyelamat.
Pakar-pakar menyatakan terdapat ribuan lubang benam itu di Florida disebabkan struktur geologi di negeri ini.
"Sukar terdapat kawasan yang kebal daripada kejadian lubang benam itu di Florida," kata seorang pemilik syarikat perunding geologi di Tampa, Sanddy Nettles.
Keadaan itu berlaku kerana Florida terletak di atas permukaan batu kapur yang menyebabkan tanahnya mudah terbenam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2MXnoRZGH 
Hakcipta terpelihara 

Mati akibat lecur


RAWANG - Seorang wanita warga Indonesia, dikenali sebagai Ainon ditemui mati di rumahnya setelah tiga hari menderita akibat melecur bahagian badan termasuk muka, dada dan tangan.
Kakak angkat mangsa, Yeni, 39, berkata, Ainon memaklumkan kecederaan dialami disebabkan  tindakannya mencurah petrol ketika membakar sampah.

"Khamis lalu, dia dihantar suaminya ke rumah jiran di Kampung Air Hitam untuk menumpang sementara setelah mendapat kecederaan itu.

"Saya dimaklumkan, suaminya yang dinikahi empat bulan lalu tidak mahu Ainon mendapatkan rawatan tradisional dan disebabkan itu dia tidak dihantar ke hospital," katanya.

Risau sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini, jiran berkenaan meminta suami Ainon membawanya pulang.

Yeni berkata, ketika dibawa pulang, Ainon nampak lemah tetapi masih mampu bersuara.

"Prihatin dengan kesakitan dialaminya, seorang rakan menghubungi ambulans untuk membawa Ainon ke hospital.

"Namun, dia didapati sudah meninggal dunia ketika kami sampai ke rumahnya sekitar jam 1 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

315 kediaman, premis dilanda tsunami lumpur

Kolam tadahan air pecah


Deretan rumah kedai di Jalan Kledang Permai 7, turut terjejas akibat banjir lumpur yang melanda kawasan berkenaan.

IPOH - Sebanyak 315 kediaman dan premis perniagaan di Taman Kledang Permai dan Taman Arkid, Menglembu di sini, terjejas teruk akibat lumpur dipercayai akibat limpahan air kolam tadahan dari tapak pembinaan sebuah kolej swasta di kawasan berhampiran, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, sebahagian besar penduduk terbabit kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan barangan mereka disebabkan arus air bercampur lumpur yang kuat masuk ke dalam rumah mereka.

Penduduk mendakwa, kejadian dipercayai berpunca apabila dua kolam tadahan air semula jadi yang berada  di kawasan bukit berhampiran pecah dan melimpah ekoran hujan lebat yang berlaku sejak tengah malam semalam.

Akibatnya, air daripada bukit tersebut mengalir deras dari atas bukit bercampur selut serta menyebabkan jalan raya di bahagian bawah pecah sehingga mengakibatkan banjir lumpur.

Adun Menglembu, Lim Pek Har mendakwa, kejadian banjir lumpur berlaku akibat proses pembinaan sebuah kolej swasta yang dijalankan berhampiran kawasan berkenaan.

Menurutnya, tanah tersebut runtuh kemudian memasuki ke dalam kolam tadahan  berhampiran dan menyebabkan ia melimpah dan pecah.

“Air dan campuran lumpur tersebut melimpah ke jalan raya yang mana jarak antara kolam dan jalan lebih kurang 200 meter,” katanya di lokasi kejadian.

Ketua Biro Pengaduan MCA dan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin pula meminta supaya penduduk bertenang dan membuat laporan polis berhubung kerugian yang dialami.

“Kerajaan negeri mempunyai jawatankuasa bencana, oleh itu penduduk yang layak akan diberikan bantuan,” katanya.

Seorang penduduk, S Puvanewaran, 25 dari Taman Arkid berkata, kejadian banjir lumpur itu adalah yang terburuk berlaku sejak 14 tahun menetap di kawasan tersebut.

“Nasib baik saya tidak dihanyutkan banjir lumpur kerana ketika kejadian saya tidur berseorangan di tingkat bawah manakala adik beradik lain tidur di bilik atas.

“Sewaktu saya sedar, jam menunjukkan 2.30 pagi dan ketika pintu hadapan rumah dibuka air bercampur lumpur masuk ke dalam rumah sehingga menyebabkan semua perkakas elektrik di tingkat bawah rosak teruk. Malah, kereta kancil milik kakak saya yang diparkir di rumah bersebelahan juga rosak dalam kejadian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata beliau meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama syarikat pemaju terbabit mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Saya minta pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya dan penduduk diharap tidak melakukan sebarang kekecohan,” katanya.

“Penduduk yang terlibat boleh membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana kerugian yang mereka alami adalah berbeza,” katanya.

MBI arah henti kerja

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, selepas perbincangan diadakan bersama pemaju, notis pemberhentian kerja secara lisan sudah dicapai.

Menurutnya, pemaju tidak menjaga dua kolam tadahan air tersebut sehingga menyebabkan ia pecah dan air yang melimpah bercampur dengan tanah mengakibatkan banjir lumpur.

“Kerja pembersihan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pihak pemaju menyambung kerja pembinaan,” katanya.

Tambahnya, pemaju akan bekerjasama dengan MBI untuk membersihkan kawasan tersebut dengan segera.

Baju team Sukma rosak

Pemilik kedai jahit, M Thangavelu, 42, berkata pakaian seni mempertahankan diri silambam yang ditempah pasukan Perak musnah dalam kejadian banjir lumpur itu.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana beberapa pakaian yang sama ditempah negeri lain sudah siap.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah di Desa Pengkalan Indah dan hanya dimaklumkan oleh rakan pada jam 3 pagi berhubung kejadian itu.

“Selepas menerima panggilan tersebut, saya bergegas ke rumah yang dijadikan kedai jahit saya dan melihat kawasan tersebut dilitupi selut.

“Malah, kain yang digunakan untuk menjahit pakaian silambam serta beberapa peralatan lain turut musnah,” katanya.

Menurutnya, pernah berlaku insiden sama kira-kira lapan tahun lalu, namun ia tidak seburuk semalam.

Kenduri kahwin diteruskan

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Leong Hon Weng, 36, berkata, upacara perkahwinan yang akan dilangsungkan Sabtu ini tetap diteruskan.

Dia yang sudah lima tahun tinggal di kawasan tersebut berkata tidak menyangka kejadian itu berlaku pada hari perkahwinannya.

“Walaupun terpaksa melangsungkan perkahwinan dalam keadaan kurang selesa majlis perlu diteruskan memandangkan jemputan sudah dihantar kepada tetamu.

“Mungkin pengalaman berkahwin ‘dalam lumpur’ ini akan menjadi salah satu kenangan dalam majlis kami,” katanya.

Peniagaan terjejas

Pengusaha bengkel mencetak baju-T, Khairul Zainon, 37, berkata dia menyedari perkara itu berlaku pada jam 2.30 pagi semalam.

“Pada mula hanya hujan lebat yang kedengaran tetapi tiba-tiba bunyi seperti ‘benda pecah’ menyebabkan saya segera turun ke bawah kedai untuk melihat apa yang berlaku.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat jalan raya di hadapan kedai pecah dan aliran air bercampur lumpur mengalir deras melintasi deretan rumah kedai di kawasan ini,” katanya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

Khairul berkata, akibatnya, dia terpaksa menutup kedai untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan setakat ini jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan kerana masih mengira jumlah peralatan yang rosak.

Jumpa mayat dalam belukar

IPOH, Perak - Mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemui di dalam belukar berhampiran padang permainan berhampiran Pos Slim, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, polis menemui mayat terbabit dalam keadaan tangan terikat di belakang dan mulut dililit dengan pita pelekat berwarna hitam.

Menurutnya, mayat yang dipercayai warga tempatan itu dianggarkan berusia antara 35 ke 45 tahun itu ditemui penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan tersebut pada jam 12 tengah hari semalam.

“Mangsa ditemui memakai baju-T berkolar jalur putih, hitam dan ungu, berseluar pendek paras lutut serta memakai kasut putih jenama Nike.

“Selain itu, kami turut menemui tatu berbentuk kumbang dan bunga yang dicacah keliling pinggang mayat lelaki terbabit,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di sebelah kanan kepala berdasarkan kecederaan yang dialami.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

“Jabatan Patologi menganggarkan mangsa sudah meninggal dunia antara 12 hingga 36 jam,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pakar Patologi turut mendapati terdapat kecederaan di bahagian atas kepala dengan kesan lubang yang agak dalam dan lebar.

Jelasnya lagi, setakat ini, polis tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar kerana tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa.

“Hasil siasatan awal kita juga mendapati mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke kawasan berkenaan berdasarkan keadaan tapak kasut mangsa yang masih bersih selain tiada sebarang kesan pergelutan.

“Bedah siasat akan dilakukan esok (hari ini) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Bekas CEO kerugian RM1 juta

Bekas CEO kerugian RM1 juta

Keadaan dalam salah satu bilik yang digeledah penjenayah


SHAH ALAM - Seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat serta isteri kehilangan barang-barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta apabila rumah teres dua tingkat mereka di Seksyen 4, di sini dipecah masuk, petang semalam.

Kejadian itu berlaku ketika Othman Ismail, 63, isterinya, Rohani Abdul Ghani, 54, pergi ke majlis kenduri kahwin di Klang kira-kira jam 2.30 petang.

Anak dan menantu mereka yang tinggal di rumah teres bersebelahan juga tiada di rumah ketika itu.

Othman berkata, sebaik sahaja mereka pulang kira-kira jam 5 petang, isteri beliau mendapati pakaian dan barang-barang lain di bilik tidur utama dalam keadaan berselerak.

Mereka terus memeriksa bilik-bilik lain dan dapati almari-almari digeledah dan pakaian berselerak di lantai.

Mereka terkejut mendapati banyak barang kemas, semuanya bernilai kira-kira RM1 juta lesap.

Antara yang hilang ialah cincin yang berharga kira-kira RM70,000 sebentuk, seutas  jam bernilai kira-kira RM30,000 dan barang-barang emas serta berlian.

Rohani menganggarkan nilai barang-barang kemasnya yang lesap sekitar RM800,000.

Barang-barang kemas milik anak-anak mereka yang hilang belum dapat dipastikan.

Penjenayah dipercayai memasuki rumah itu dengan mengumpil selak pintu belakang rumah anak mereka, sebelum memasuki rumah mereka.

Rohani berkata, mereka biasanya membawa barang-barang kemas bersama apabila balik ke kampung di pantai timur.

"Sebelum keluar tadi pun saya teringat mengenai barang-barang kemas itu, tetapi tidak membawa sekali kerana menyangka kami tidak keluar lama," kata Rohani.

Mereka membuat laporan di balai polis di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam,  Asisten Komisioner Zahedi Ayob memberitahu, kes tersebut masih dalam siasatan.

Mampu dengar batu bergerak

Mampu dengar batu bergerak


Hakisan tebing cerun berlaku semula berikutan hujan lebat beberapa hari lalu yang semakin menghampiri rumah Baharuddin di Kampung Kuala Kejir.


KUALA  KEJIR - Keadaan cuaca tidak menentu akhir-akhir ini membuatkan lapan sekeluarga di sini diselubungi kebimbangan berikutan masalah hakisan cerun tebing alur Sungai Kejir semakin serius dan menghampiri rumah.
Difahamkan, hakisan tersebut mula dikesan berlaku sekitar Disember lalu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Terengganu mengambil tindakan awal dengan menutupnya mengguna kaedah ‘plastic sheeting’ pertengahan Januari.

Bagaimanapun, disebabkan hujan beberapa hari lalu, kerisauan sekali lagi menghantui Baharuddin Jaafar, 44, sekeluarga kerana hakisan kembali berlaku dan dianggarkan dua meter jaraknya dari dapur rumah.

Menurut Baharuddin, lebih membimbangkannya setiap kali hujan lebat, pasti berlaku hakisan baru, selain turut mendengar pergerakan batu akibat tanah di bahagian bawah turut tertolak.

“Sebelum ini, terdapat longkang konkrit di hadapan rumah dan sekitar tahun lepas ia dinaiktarafkan. Saiznya lebih besar berbanding sedia ada, bagaimanapun aliran air daripada longkang ini tidak dilepaskan terus ke dalam sungai sebaliknya hanya ke kawasan tebing cerun.

“Keadaan ini dilihat menyebabkan bahagian atas tebing cerun tertolak ekoran air deras daripada longkang sekiranya hujan.

"Berkemungkinan, akibat daripada itu ia menyebabkan hakisan awal tebing cerun mula berlaku apatah lagi dengan arus deras alur sungai" katanya.

Menurutnya, dia dan isteri, Afifah Muda, 42, serta ahli keluarga lain lega dengan langkah awal JKR bagi atasi masalah hakisan berkenaan.

"Namun, tidak sangka akibat hujan lebat beberapa hari lalu, hakisan cerun ini berulang kembali.

“Gara-gara hakisan tebing cerun ini, beberapa batang pokok termasuk duku, kelapa dan pisang ditanam berhampiran rumah tumbang. Ia juga menyebabkan bahagian dapur rumah saya hampir dengan tebing,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sehubungan itu, Baharudin berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah sewajarnya sebagai usaha mengatasi masalah itu supaya tidak bertambah serius dan membahayakan nyawa.

Sementara itu, Jurutera Daerah JKR Hulu Terengganu, Samri Embong ketika ditemui berkata, pihaknya sedang dalam proses menunggu peruntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan untuk mengatasi hakisan berkenaan.

“Kaedah ‘plastic sheeting’ adalah penyelesaian jangka pendek. Kita masih menunggu peruntukan untuk atasi masalah ini bagi jangka panjang.

"Kerja berkaitan dilakukan JKR hanya melibatkan bahagian sebelah jalan raya.

“Bagaimanapun, kita juga akan mengadakan perbincangan secara lebih menyeluruh dengan semua jabatan terlibat kerana hakisan tebing cerun ini semakin menghampiri rumah penduduk berhampiran,” katanya.