
ANGGOTA polis unit forensik mengangkat mayat seorang bekas jurutera, Chai Mew Chong, yang ditemui mati rentung dalam sebuah kereta di hadapan rumahnya di Taman Bukit Kempas, Kuala Klawang, Jelebu hari ini. - UTUSAN
SEREMBAN 28 Feb. - Polis menemui mayat seorang lelaki yang rentung dalam keretanya yang terbakar di hadapan rumahnya di Taman Bukit Kempas, Kuala Klawang, Jelebu hari ini.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Supritendan Setapa Yusof berkata kejadian itu disedari oleh jiran mangsa kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
"Jiran mangsa kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu setelah melihat kereta mangsa terbakar. Empat anggota bersama sebuah jentera telah bergegas ke tempat kejadian.
"Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, polis menemui satu mayat rentung di bahagian tempat duduk belakang. Mangsa dikenali sebagai Chai Mew Chong, berumur 59 tahun. Mangsa juga didapati tinggal seorang diri di rumahnya," katanya ketika dihubungi.
Setapa berkata hasil siasatan awal, polis mendapati kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah dan dikategorikan sebagai mati mengejut.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Shahrul Nizam Abd. Rahim berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 minit untuk memadamkan kebakaran.
Katanya, lapan anggota forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Seremban dan Jempol turut berada di tempat kejadian untuk menyiasat punca kebakaran. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130228/je_12/Mayat-ditemui-rentung-dalam-kereta-terbakar-di-Jelebu#ixzz2MD0SsDhG
© Utusan Melayu (M) Bhd