Search This Blog

Wednesday, February 27, 2013

Sami Tibet bakar diri



BEIJING - Seramai dua sami Tibet lingkungan 20-an meninggal dunia selepas bertindak membakar diri mereka di tengah-tengah puluhan penganut agama Buddha yang berhimpun untuk menunaikan upacara tamatnya festival Tahun Baru Tibet, semalam.

Jurucakap polis memberitahu, kedua-dua sami dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan pemerintahan kerajaan China.

"Kedua-dua mereka membakar diri di tempat berlainan iaitu seorang di pekarangan kuil di Lugu, wilayah Gansu dan seorang lagi melakukan perbuatan itu di dalam biara kejiranan wilayah Qinghai," katanya.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa Tibet (ICT), angka kematian akibat perbuatan itu meningkat kepada 106 sejak ia tercetus pada 2009.

Minggu lalu, dua remaja Tibet dilaporkan membakar diri dalam daerah Aba, wilayah Sichuan atas sebab yang sama iaitu membantah sistem pemerintahan kerajaan China.  - AP

Belon udara panas terhempas 19 maut


Belon udara panas terhempas 19 maut
Salah satu foto yang sempat dirakamkan mangsa sebelum nahas berlaku. Foto: MailOnline
LUXOR - Sekurang-kurangnya 19 orang termasuk pelancong asing terbunuh apabila belon udara panas yang membawa 21 penumpang terhempas berhampiran selatan bandar Luxor, Mesir, semalam.

Jurucakap syarikat yang mengendalikan operasi belon udara panas di kawasan pelancongan di Mesir, Ahmed Aboud berkata, insiden membabitkan letupan gas sebaik belon berkenaan mencapai ketinggian 300 meter di udara.

"Antara pelancong asing yang dikenal pasti adalah daripada negara China, Jepun, Perancis dan Britain," katanya.

Sementara itu, Gabenor Luxor, Ezzat Saad berkata, pengemudi belon berkenaan ditemui parah dengan 70 peratus kesan terbakar dan beliau bersama seorang penumpang dirawat di hospital terdekat.

Seorang saksi memberitahu, sewaktu kejadian pengemudi dan seorang penumpang bertindak melompat keluar daripada belon berkenaan sebelum ia terhempas ke tanah.  - Al-Jazeera

Dua maut, lapan selamat bila bot karam di perairan Maluku




27 Februari 2013
JAKARTA - Dua orang maut manakala lapan lagi terselamat apabila bot yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak besar beserta tiupan angin kencang di perairan Maluku pada Selasa.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, kejadian itu berlaku di sekitar Pulau Moa dan Pulau Leti di barat daya Maluku pada pukul 9 pagi.

Badan itu berkata, cuaca buruk yang dialami di sebahagian kawasan dan perairan di wilayah Indonesia sekarang adalah akibat pengaruh siklon tropika 'Rusty'.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, sijlon itu mengakibatkan hujan di bahagian tengah Pulau Jawa dan bahagian timur Pulau Bali, kepulauan Nusa Tenggara Barat (NTB) dan Nusa Tenggara Timur (NTT).

Siklon itu uga menyebabkan tiupan angin kencang di bahagian selatan Pulau Jawa, Bali, NTB dan NTT.

Siklon Rusty turut mempengaruhi keadaan ombak yang mencapai ketinggian antara tiga dan empat meter di Laut Flores, Laut Sumbawa, bahagian utara Laut Sawu, Laut Timor, Perairan Kepulauan Sermata, Pulau Leti, Perairan Kepulauan Babar, Kepulauan Tanimbar, Perairan Kepulauan Aru dan bahagian barat dan tengah Laut Arafuru.

Selain itu perairan Enggano di barat Bengkulu, Perairan barat Lampung, bahagian selatan Selat Sunda, Perairan selatan Pulau Jawa hingga NTB, Perairan selatan Pulau Sumba, bahagian selatan Laut Sawu, Perairan Pulau Sawu, Pulau Rote di selatan Kupang, Lautan Hindi di barat Mentawai hingga selatan NTT juga berisiko menghadapi ombak besar setinggi antara empat dan enam meter. - Bernama

Banjir: 27 sekolah di Terengganu ditutup, jejas lebih 13,000 pelajar




27 Februari 2013
BANJIR: 27 SEKOLAH DI T'GANU DITUTUP, JEJAS LEBIH 13,000 PELAJAR


KUALA TERENGGANU - Sebanyak 27 buah sekolah di Terengganu diarah tutup dan cuti berganti ekoran bencana banjir gelombang ketiga yang melanda negeri itu sejak semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu Hashim Mohd Zain berkata penutupan itu membabitkan 22 sekolah rendah serta lima sekolah menengah dan menjejaskan 13,373 pelajar.

Sekolah yang terlibat ialah 14 di Besut, lapan di Hulu Terengganu dan lima di Setiu, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya antara sebab sekolah terbabit diarah tutup ialah dinaiki air, dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir, masih dalam proses pembersihan selepas dijadikan pusat pemindahan dan sekolah terputus hubungan.

Antara sekolah yang ditenggelami air ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Payong, SK Pasir Akar dan SK Darau, semuanya di Besut, katanya.

Di Setiu pula membabitkan SK Kampung Bukit, SK Sungai Las, SK Langkap, SK Kampung Buluh dan SK Kampung Besut, manakala di Hulu Terengganu membabitkan SK Bukit Tadok, SK Matang, SK Teris, SK Tengkawang dan SK Jeneris.

Katanya sekolah yang masih menjadi pusat pemindahan sementara ialah SK Anak Ikan di Setiu dan SK Seri Payong serta SK Tenang di Besut.

Sekolah yang terputus hubungan di Hulu Terengganu ialah SK Kuar, SK Felda Tersat, SMK Menerong, SMK Matang dan SMK Jenerih setelah jalan utama ke sekolah terbabit dinaiki air setinggi hampir dua meter.

Semua sekolah ini akan ditutup sehingga keadaan mengizinkan, katanya. - Bernama

2 rumah di Hulu Besut hanyut dibawa arus




27 Februari 2013
2 rumah di Hulu Besut hanyut dibawa arus
Kesesakan lalulintas ekoran jalan utama dari Jerteh ke Kuala Terengganu dibuka satu lorong setelah ditenggelami banjir sedalam satu meter pagi tadi.
BESUT - Dua bahagian rumah di Kampung La, Hulu Besut di sini rosak teruk akibat hanyut dibawa arus deras ketika banjir melanda kawasan itu petang semalam.

Dua rumah itu yang terletak di tepi jalan utama antara Jerteh ke Keruak, Hulu Besut iaitu berhampiran Sungai Besut, dihanyutkan kira-kira 30 meter dari tapak asalnya.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad berkata separuh rumah kepunyaan Zakaria Ibrahim dihanyutkan arus deras manakala seorang lagi mangsa, Abdul Razak Abas dihanyutkan bahagian dapur rumahnya.

Katanya air mulai naik dan memenuhi sekitar Kampung La sekitar 12 tengah hari semalam dituruti arus deras akibat limpahan air Sungai Besut kira-kira sejam kemudian.

"Nasib baik semasa bahagian kedua-dua rumah itu hanyut tuan punya sebuah rumah berkenaan (Zakaria) sempat menyelamatkan diri manakala Abdul Razak pula berada di pusat pemindahan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. 

Menurutnya ekoran banjir tersebut sebanyak 75 keluarga terpaksa dipindah membabitkan 250 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung La, Zakaria Musa yang dihubungi berkata air mulai surut 2 pagi tadi dan sehingga pagi ini terdapat 150 mangsa masih berada di pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La.

Katanya penduduk kini sibuk mencuci rumah masing-masing yang dimasuki lumpur ekoran banjir semalam.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar Jerteh mendapati beberapa buah kampung di sekitar Lubuk Kawah, Jerteh dan Kampung Lampu, Kuala Besut kini dilanda banjir apabila air mulai turun dari Hulu Besut melalui Sungai Besut awal pagi ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut Ab Halim Hassan berkata, 15 sekolah kebanyakannya di Hulu Besut dan Jerteh terpaksa ditutup akibat dilanda banjir sejak awal pagi tadi.

Katanya ia termasuk empat sekolah menengah yang terpaksa mengambil cuti berganti apabila jalan ke sekolah itu tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Selain itu tinjauan pagi ini juga mendapati beratus-ratus kenderaan tersadai di bandar Jerteh kerana tidak boleh meneruskan perjalanan akibat jalan utama Kota Baharu ke Kuala Terengganu dinaiki air di beberapa kawasan seperti di Kilometer 103 bandar Jerteh berhadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa dan di hadapan Sekolah Pusat Jerteh sedalam satu meter sejak 5 pagi tadi.

Sementara itu Jalan Jerteh ke Keruak, Hulu Besut juga terpaksa ditutup kerana dinaiki air di beberapa lokasi seperti di kampung Cerang Meliling, Lubok Kawah, Alor Keladi dan di Lepang Kejor antara 0.5 hingga 1.5 meter pagi ini.


Di SETIU, anggota Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Halim Jusoh berkata, banjir gelombang ketiga yang tidak dijangka di daerah ini menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.

"Hujan lebat menyebabkan air banjir naik dengan cepat dan ada antara penduduk yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan pada jam 1 hingga 3 pagi semalam," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagi Abdul Irwan Abdul Jalil, 33, yang berasal dari Sarawak baru berpindah ke Kampung Buluh sejak empat bulan lalu mengakui terkejut apabila rumah sewanya dilanda banjir.

"Baru saya tahu bagaimana perasaan mangsa banjir dan kesusahan yang perlu mereka lalui, namun rakyat Malaysia bertuah kerana kerajaan Barisan Nasional sentiasa menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka," katanya.

Seorang mangsa banjir yang juga ibu tunggal, Norehan Alias, 28, berkata, banjir kali ini terlalu pantas menyebabkan beliau tidak sempat menyelamatkan peralatan perniagaan warungnya.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana barang dapur yang hanyut tidak sebanyak ketika banjir gelombang pertama dahulu dan yang penting kami semua selamat," katanya.

Banjir di daerah ini menyebabkan 274 mangsa terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan bermula semalam.- Bernama

Samun: Pengetua kolej rugi lebih RM50,000



26 Februari 2013
KUANTAN - Seorang pengetua sebuah kolej kerugian lebih RM50,000 dalam kejadian samun di kediamannya di Kolej Vokasional Bentong, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 3 pagi itu, empat lelaki bersenjatakan pisau dan bertopeng melarikan barangan kemas, wang tunai berjumlah RM13,000, dua utas jam dan tiga telefon bimbit.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor, ketika kejadian, pengetua berkenaan, Hashim Puteh, 51, sedang tidur di ruang tamu manakala isteri dan dua orang anak tidur di bilik bahagian atas rumah itu.

"Mangsa diikat bahagian tangan menggunakan dawai besi sebelum dibawa ke bahagian atas. Isteri mangsa, 50, dan anak lelaki mangsa, 14, turut diikat, manakala anak perempuannya yang berusia 10 tahun tidak di apa-apakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Mansor berkata, suspek kemudiannya menggeledah rumah mangsa sebelum bertindak melarikan diri. Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM50,000.

"Mangsa meminta anak perempuan itu membuka ikatan dawai besi sebelum meminta pertolongan dari jiran berhampiran," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata. - Bernama

GRO asyik menari, tidak sedar diserbu



GRO asyik menari, tidak sedar diserbu
Suasana ketika pusat hiburan di Jalan Abdullah Tahir diserbu Jabatan Imigresen Johor.
SENAI - Keasyikan wanita GRO melayan pengunjung dengan tarian mengghairahkan di sebuah pusat hiburan bertukar kelam kabut apabila mereka menyedari kehadiran anggota dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor di situ.

Ada di antara mereka cuba melarikan diri namun tidak berjaya kerana anggota operasi telah mengepung semua kawasan pintu di premis berkenaan.

Dalam operasi di Johor Bahru pada Ahad lalu, seramai 70 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 53 wanita serta enam lelaki warga Thailand berusia 20 hingga 41 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Timbalan Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, serbuan itu dilakukan hasil aduan awam bahawa terdapat warga asing bekerja sebagai GRO tanpa pas dan permit selain melakukan kegiatan tidak bermoral.

“Semasa serbuan dilakukan, GRO sedang menari di pentas dan menerima kalungan bunga daripada pengunjung lelaki yang datang berhibur di pusat hiburan ini.

"Terdapat juga tarian di antara lelaki dan wanita  dalam aksi tidak bermoral dengan duduk di pangkuan lelaki sambil membelai pasangan masing-masing. Terdapat juga GRO sedang melayan lelaki di meja sambil minum,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Masri yang bertindak sebagai ketua operasi berkata, hasil daripada pemeriksaan, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Kesemua warga asing yang ditahan di bawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut jabatan.

Menggigil peluru dalam rumah



Menggigil peluru dalam rumah
Murugan menunjukkan kesan pecah akibat beberapa das tembakan yang dilepaskan penjenayah hingga menembusi cermin dan tersasar ke dinding rumah.
Menggigil peluru dalam rumah
Dua lagi kesan tembakan ditemui di pintu cermin gelongsor rumah mangsa.
Menggigil peluru dalam rumah
Kereta mangsa turut berlubang akibat ditembak dari jarak dekat.
SUNGAI SIPUT – “Saya ingat letupan itu bunyi mercun, tak sangka rupanya tembakan, menggigil tangan sebaik ternampak peluru dalam rumah,” kata M Pubaneswary, 30.

Pubaneswary berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dia bersama ibu mentua serta anaknya tidur di bilik bahagian bawah dan atas rumah.

Bagaimanapun, tidur mereka terganggu apabila mendengar bunyi letupan seakan mercun berhampiran kediaman mereka di Taman Jalong, di sini.

Menurutnya, dia bersama ibu mentuanya cuba untuk melihat keadaan luar rumah, namun terkejut apabila menemui sebutir kelongsong peluru berhampiran televisyen di ruang tamu.

“Panik dengan keadaan itu, saya segera hubungi suami, dia minta agar kami tidak keluar rumah dan tunggu sehingga dia balik,” katanya.

Insiden itu menyebabkan Pubaneswary bersama anak perempuannya berusia tiga tahun dan ibu mentuanya, M Mariamma, 67, berkurung selama hampir 20 minit dalam keadaan ketakutan.

Mangsa, R Murugan, 40, berkata, ketika kejadian, dia berada di kedai minum di Khantan yang terletak kira-kira 10 kilometer sebelum bergegas pulang sebaik dihubungi isterinya.

“Terkejut memang terkejut, mujur semua ahli keluarga selamat, saya sudah buat laporan polis berhubung kejadian ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Pernah terima gangguan

Murugan yang juga adik kepada Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R Ganesan mengakui, ia bukan insiden pertama kediamannya ‘diganggu’ apabila sebelum ini rumah sama pernah disimbah cat dan dibaling batu.

Katanya, kejadian kelmarin disifatkan kemuncak daripada beberapa kejadian yang dialami mereka sekeluarga sejak 4 Februari lalu.

“Sebelum ini pun, sebuah kereta berwarna putih dilihat sering berulang alik di hadapan rumah saya antara jam 1 hingga 2 pagi, namun ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya tidak tahu apa motif mereka lakukan seperti ini, melihat kepada situasi kebelakangan ini, mungkin juga ia ada kaitan dengan politik,” katanya yang bergiat aktif dalam Persatuan Perpaduan dan Kemajuan Rakyat Perak (Padu) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu kelancaran gerak kerja Barisan Nasional (BN) di peringkat bahagian.

Sinar Harian difahamkan, sebelum ini timbul konflik pemilihan calon bagi kerusi Parlimen Sungai Siput apabila Padu Bahagian Sungai Siput mengumpul lebih 2,500 tandatangan bagi membantah cadangan pelantikan seorang calon bagi mewakili BN di kerusi itu.

Bagaimanapun, Murugan yang juga Pengerusi Padu Sungai Siput enggan mengulas lanjut berhubung kaitan insiden itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis.

Beliau berkata, buat masa ini, mereka sekeluarga tidak bercadang untuk berpindah dari rumah yang didiami sejak 30 tahun itu.

Tergerak hati tidur awal

Insiden kelmarin juga meninggalkan kesan cukup mendalam buat Mariamma yang selama ini sering menonton televisyen sehingga lewat malam.

Katanya, pada hari kejadian, dia tergerak hati untuk tidur lebih awal berbanding hari biasa.

“Saya selalu tidur dalam jam 1 atau 2 pagi dan habiskan masa menonton televisyen di ruang tamu, tetapi entah mengapa semalam (kelmarin) saya mengantuk dan mahu masuk tidur awal.

“Baru sahaja nak lelap, tiba-tiba dengar bunyi letupan,” katanya.

Sindiket palsu kad ATM, kredit tumpas



Sindiket palsu kad ATM, kredit tumpas
Syed Ismail melihat barangan dirampas.
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pemalsuan kad kredit dan kad ATM melibatkan kerugian RM1 juta selepas menahan 25 individu termasuk seorang perempuan dalam beberapa serbuan berasingan di lokasi sekitar ibu kota, minggu lalu.

Sindiket itu didalangi seorang lelaki 30-an, dipercayai warga Kanada berasal dari Sri Lanka. Sindiket itu aktif sejak Ogos tahun lalu di Dang Wangi, Sentul dan Gombak.

Sindiket itu mengeluarkan sejumlah wang tunai melalui mesin ATM bank antarabangsa di negara ini guna kad kredit dan ATM palsu yang dibuat di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis memberkas sembilan lelaki dipercayai terlibat sindiket itu Rabu lalu di dua lokasi mesin ATM milik sebuah bank.

“Kesemua suspek melakukan transaksi pengeluaran tunai di ATM ketika serbuan dilakukan pada jam 9.30 malam di Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan itu, polis memberkas 14 warga Sri Lanka, India dan tempatan di beberapa hotel dan rumah di sekitar ibu kota kira-kira tiga jam kemudian.

“Dua lagi suspek berjaya diberkas di Kulim, Kedah ketika mereka dipercayai cuba melarikan diri ke sempadan pada keesokan hari,” katanya.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah kad palsu akan dihantar dalang sindiket melalui perkhidmatan kurier kepada ahli sindiket.

“Beberapa ahli sindiket berasal dari Kanada dan Sri Lanka akan memasuki Malaysia sebagai pelancong, mereka akan tinggal di beberapa hotel berhampiran dengan lokasi bank di sekitar ibu kota,” katanya.

Syed Ismail berkata, penyelia sindiket akan mengagihkan 60 keping kad ATM kepada kepada setiap kumpulan kecil yang dianggotai tiga orang bagi tujuan pengeluaran wang tunai di ATM bank yang dikenal pasti.

“Sebelum diagihkan, penyelia itu juga akan memasukkan data akaun ke dalam kad berkenaan melalui mesin mini ‘magnetic stripe card reader/writer Mereka akan melakukan transaksi pengeluaran wang tunai RM1,500, sebelum kad itu dimusnahkan.”

“Wang tunai itu kemudian akan diserah kepada penyelia dan anggota sindiket akan dapat habuan 10 peratus bagi setiap pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas 533 keping kad kredit dan kad ATM palsu pelbagai bank luar negara, wang tunai dalam serbuan itu.

Syed Ismail berkata, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sindiket itu juga sering bertukar anggota dan setiap anggota berada di negara ini tiga bulan sahaja.

Beliau berkata, ketua sindiket itu dipercayai masih berada di Malaysia. Kesemua suspek yang ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 420, 467, 474 Kanun Keseksaan.

Kanak-kanak 12 tahun hilang di Bukit Mertajam sejak ahad lepas




26 Februari 2013
BUKIT MERTAJAM - Seorang kanak-kanak lelaki Mohamad Daniel Haiqal Mohd Desa, 12, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah bapa saudaranya di Flat Desa Wawasan, di sini sejak Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai, di sini itu dilaporkan hilang antara 8 pagi hingga 9.30 pagi pada hari berkenaan.

Katanya bapa saudara Mohamad Daniel membuat laporan polis berhubung kehilangannya setelah kanak-kanak itu tidak pulang dan gagal dikesan.

"Kanak-kanak itu tinggal dengan keluarga adik perempuan ibunya sejak awal tahun dan keluar dari rumah dengan membawa beberapa helai pakaian serta duit tabung.

"Bapa saudara mangsa yang merupakan peniaga kantin memaklumkan ketika dia hendak keluar pada 8 pagi, kanak-kanak itu masih berada di rumah dan Mohamad Daniel didapati hilang selepas beliau pulang ke rumah sejam kemudian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azman berkata Mohamad Daniel berbadan kurus dengan ketinggian lebih kurang 120 meter dan berat 30 kilogram dan ketika keluar dia memakai seluar jeans warna biru dan t-shirt warna putih serta berselipar.

"Dia juga membawa beg galas warna hitam dan menaiki basikal warna biru muda. Kita telah edarkan gambar kanak-kanak berkenaan di lokasi strategik seperti masjid, kafe siber, hentian bas dan gerai-gerai makanan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kanak-kanak itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Ridzlan Fatim Roselan 017-2569037 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Pada perkembangan lain, Azman berkata polis mendapat beberapa maklumat terbaharu mengenai kes kehilangan seorang kanak-kanak lelaki India berusia enam tahun T. Sathiskumar, yang dilaporkan hilang sejak 8 Ogos tahun lepas di kawasan Jalan Permatang Pauh, di sini.

Katanya polis juga telah merekodkan keterangan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan yakin dapat mengesan kanak-kanak terbabit tidak lama lagi.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Sathiskumar dilapor hilang pada 12.30 tengah hari selepas turun dari lori dipercayai untuk membeli makanan.- Bernama

Guna bahan kimia pecah ATM



Guna bahan kimia pecah ATM
Anggota polis melakukan siasatan di kawasan sekitar kejadian samun ATM.
Guna bahan kimia pecah ATM
Anggota forensik meneliti keadaan mesin ATM yang dirompak.
ALOR SETAR - Sebanyak RM297,000 dilarikan penjenayah yang nekad memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari sebuah bank di Jalan Kota, berdekatan bulatan Maal Hijrah, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, berdasarkan penjelasan pihak berkaitan, dipercayai penggera keselamatan berbunyi dalam kejadian kira-kira jam 4.32 pagi itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan disedari seorang kerani wanita berikutan melihat sebuah mesin ATM dipecahkan lalu memaklumkan kepada pihak atasannya untuk membuat laporan.

“Kejadian disedari anggota Bit pada jam 8.57 pagi sewaktu melakukan rondaan berdekatan bulatan berkenaan apabila dimaklumkan orang awam mengenai kejadian itu.

"Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan pusingan bulatan dan premis berkenaan, bagaimanapun siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti, sama ada ia berfungsi ataupun tidak semasa kejadian berlaku,“ katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Nashir berkata, setakat ini, hasil siasatan mendapati CCTV berkenaan dialihkan ke arah lain dan menghala ke dinding sewaktu kejadian berlaku, malah bank terbabit juga tidak mempunyai pengawal keselamatan yang mengawalnya.

Katanya, modus operandi jenayah dipercayai dilakukan lebih daripada seorang yang bertindak nekad untuk memecahkan mesin ATM berkenaan pada awal pagi menggunakan sejenis bahan kimia yang sering digunakan dalam industri pembinaan.

"Dipercayai rompakan berkenaan menggunakan bahan yang mampu menghasilkan api, di mana ia dihalakan ke arah mesin hingga membolehkannya ditarik keluar untuk mengambil wang dalam mesin berkenaan.

“Hasil siasatan tidak menemui sebarang alat yang digunakan penjenayah, bagaimanapun kami menemui penutup botol minuman karbonat. Rompakan sebegini merupakan kejadian pertama bagi tahun ini. Modus operandi jenayahnya hampir menyerupai kes yang berlaku di Simpang Kuala pada tahun lepas,” katanya.

Token judi jadi angpau




Token judi bernilai RM1 yang didakwa diberikan kepada segelintir pengunjung rumah terbuka itu.
GEORGETOWN - Beberapa pengunjung Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran salah seorang wakil rakyat di sini terkejut apabila menerima angpau dalam bentuk token judi.

Kejadian berkenaan disedari salah seorang pengamal media yang turut menghadiri majlis berkenaan.

Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Jane berkata, ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Menurutnya, kesemua pengunjung diberikan token yang bernilai RM1 itu.

“Ini adalah kejadian pertama kali yang mana pengunjung dapat token untuk berjudi, pada saya ia adalah sesuatu yang tidak patut kerana ada dalam kalangan pengunjung kaum Cina mengeluh bila mereka dapat token judi sahaja,” katanya.

Secara peribadinya, dia menganggap wakil rakyat berkenaan seolah-olah cuba menipu tetamu kerana ramai pengunjung yang datang berkerumun untuk mendapatkan angpau.

Namun kemudiannya kecewa setelah membuka sampul kecil berwarna merah itu.

Sebagai orang Cina sendiri, Jane berkata, tindakan wakil rakyat berkenaan adalah melanggar tatasusila.

Tegasnya, tidak semua kaum Cina suka berjudi.

“Kenapa dia tidak berikan sahaja angpau dalam bentuk duit, jika tidak mampu boleh agihkan sahaja limau sudah cukup.

“Saya tidak tahu sama ada di rumah terbuka lain anjuran wakil rakyat yang sama turut memberikan token judi ataupun tidak,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan tindakan pemimpin kawasan berkenaan, Jane memuat naik gambar token berkenaan di laman twitter peribadinya.

Rumah terbuka yang diadakan pada pertengahan Februari lalu itu turut dihadiri ratusan tetamu.

Dipercayai wakil rakyat yang sama menganjurkan acara rumah terbuka pada setiap tahun selepas kemenangannya pada tahun 2008.

Lelaki diarah bayar ikat jamin RM20,000



KUANTAN – Seorang lelaki diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM20,000 selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas empat tuduhan melakukan pecah rumah dan merompak.

Tertuduh, Mohamed Faizal Mohamed Amin, 34, dituduh melakukan kesalahan itu pada Februari, Jun, Ogos dan September tahun lalu di empat buah rumah membabitkan tiga di Bandar Inder Mahkota dan satu di Jalan Gambang.

Melalui kertas pertuduhan, Mohamed Faizal dituduh memecah masuk dan mencuri  komputer riba, broadband, beberapa barang kemas, beberapa buku akaun dan passport di sebuah rumah pada 13 September di Astana Villa, Indera Mahkota di antara jam 4 petang hingga jam 9 malam.

Dia turut dituduh mencuri barang kemas zhulian bernilai RM3,000 pada 12 Jun tahun lalu, antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di sebuah rumah di Lorong Indera Mahkota 8/40.

Pada 5 Februari tahun lalu, kira-kira jam 3 petang hingga 8.30 malam, di Taman Putri Indera Mahkota dia dituduh melakukan kesalahan pecah rumah dan mencuri barang perhiasan, kasut dan beg berjenama dan barang kemas bernilai RM9,000

Mohamed Faizal juga tidak mengaku bersalah pecah rumah dan curi sebuah telivisyen dan beberapa barang bernilai RM1,000 pada 1 Ogos hingga 5 Ogos tahun lalu di antara jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Rini Triany Mohammad Ali oleh Timbalan Pendakwaraya, Farahah Mohd Nazari.

Banyak termenung petanda ajal



Banyak termenung petanda ajal
Jenazah arwah Amddan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Paya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir selepas solat Asar, petang semalam.
DUNGUN– “Sejak kebelakangan ini, dia banyak termenung, tak sangka itu merupakan petanda dia bakal meninggalkan kami," kata Khairul Shah, 31, anak sulung kepada Amddan Mat, 53, tukang cat yang meninggal dunia pagi semalam selepas tidak sedarkan diri.

Khairul Shah berkata, arwah bapanya yang mengusahakan bengkel mengetuk badan kereta dan mengecat di Kampung Paya sebelum ini dalam keadaan sihat dan dapat melakukan kerja harian seperti biasa.

Bagaimanapun, ketika hendak mandi kira-kira jam 10 pagi kelmarin, arwah dikatakan tiba-tiba rebah di bilik air sebelum meminta bantuannya.

Khairul Shah berkata, ketika hendak mengangkat bapanya, arwah dikatakan semakin tidak bermaya lalu dia menghantarnya ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, dia sudah mula berubah, mukanya pucat, namun dia masih boleh bercakap.

"Bagaimanapun, keadaannya semakin kritikal menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu," katanya.

Menurut Khairul Shah, bapanya itu kemudian meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi semalam ketika menerima rawatan di unit Rawatan Rapi HSNZ.

Katanya, arwah bapanya itu sebelum ini ada meluahkan hasrat untuk menggantikan alat menyembur baru berikutan peralatan yang digunakan untuk kerja mengecat itu sudah tidak berfungsi dengan baik.

Khairul Shah berkata, arwah berharap agar ada pihak yang dapat menyalurkan bantuan berkenaan, namun hasrat bapanya itu tidak kesampaian biarpun sudah beberapa tahun menunggu sehinggalah dia menemui ajal, pagi semalam.

"Nak beli yang baru memang kami tak mampu, sebab ayah usahakan bengkel kecil di kampung sahaja," katanya.

Jenazah Amddan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir, selepas solat Asar, petang semalam.

Turut menziarahi jenazah allahyarham termasuk Adun RantauAbang, Datuk Zaa’bar Mohd Adib dan Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.

'Tangan mereka terkapai-kapai'



'Tangan mereka terkapai-kapai'
Ibu mangsa pengsan apabila dimaklumkan anaknya gagal diselamatkan
'Tangan mereka terkapai-kapai'
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
MACHANG- “Dia (Muhammad Zulkhairi Ab Talib) ada memberitahu rakan, dia nak main air sekali ini sahaja, lepas ni tak mahu main lagi,” cerita rakan mangsa lemas di Kampung  Pertok, Temangan di sini, semalam.

Khairul Azwan Ab Shari, 15, berkata, dia bersama enam rakan bermain air di kawasan tersebut menggunakan bot memandangkan air tenang, tidak seperti di kawasan lain.

Katanya, ada antara mereka mengetahui terdapat kolam ikan terbiar di kawasan itu, namun tidak rasa sebarang bahaya memandangkan mereka menaiki bot.

“Tiba-tiba keadaan bot tidak seimbang menyebabkan kami terjatuh. Empat daripada kami berjaya ke tebing manakala tiga yang lain masih dihanyutkan.

"Kami sedaya upaya menyelamatkan mereka dan meminta pertolongan penduduk, namun hanya seorang yang berjaya diselamatkan.

“Kami tidak tahu berenang, jadi tidak mampu tolong kedua-dua mangsa dengan cepat, walaupun melihat tangan mereka terkapai-kapai,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Temangan, semalam.

Turut hadir, Adun Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan; Ketua Polis daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot dan Pemangku Pegawai Bomba dan Penyelamat Machang, Nordin Yahya.

Tidak ketinggalan, Pengarah Dun Temangan, Azemi Mat Zin yang menziarahi mangsa di Hospital Machang semalam, sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian.

Tujuan lihat air

Khairul berkata, mereka tidak ke sekolah semalam memandangkan laluan utama ke Sekolah Menengah Kebangsaan Temangan dinaiki air akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, mereka berjalan kaki melihat air naik, sebelum mencuba bot digunakan penduduk pada musim banjir yang disimpan di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Ahmad Abu Bakar.

Menurutnya, dia serik dan tidak mahu bermain air banjir lagi masa akan datang.

"Kehilangan ini benar-benar mengejutkan kami dan ia berlaku sekelip mata,” katanya.

Ambil pemegang mop

Sementara itu, penduduk, Zainab Mohamed, 58, berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila melihat rakan mangsa mengambil kayu pemegang mop miliknya bagi membantu rakan mereka.

Katanya, pada masa sama, remaja itu turut memaklumkan kejadian tersebut sebelum dia berlari ke kedai makan berdekatan bagi meminta pertolongan orang ramai.

“Pada mulanya saya curiga, sebab ia berlaku sekelip mata, bimbang jika mereka bergurau. Apabila melihat mereka bersungguh, saya terus mendapatkan pertolongan orang ramai.

“Mujurlah, seorang daripada mereka berjaya diselamatkan penduduk," katanya.

Menurutnya, kawasan itu mudah dinaiki air memandangkan lokasinya rendah, namun tidak terlalu dalam.

"Jika mereka tidak terjatuh ke dalam kolam terbiar itu, saya percaya mereka tidak akan lemas,” katanya.

Sempat melarang

Bapa mangsa, Ab Talib Deraman berkata, dia bertemu Muhammad Zulkhairi di jalan masuk rumah mereka dan melarangnya bermain air.

Namun, katanya, arwah memaklumkan, dia hanya akan berjalan-jalan bersama rakan melihat air di sekitar jalan raya sahaja.
“Selepas berjumpa dengannya, saya terus pulang ke rumah namun sebaik tiba, ada penduduk menelefon saya, memaklumkan kejadian ini.

"Saya bagaikan tidak percaya memandangkan baru beberapa minit berjumpa dengannya sebelum itu,” katanya.

Utamakan keselamatan

Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata, orang ramai diminta mengutamakan keselamatan dan elak menjadikannya pesta bermain air.

“Perhatian penuh perlu diberikan kepada anak-anak, terutama yang masih kecil,” katanya.

Seorang lagi mangsa lemas dalam kejadian ini ialah Mohd Ariff Johan.

Kereta bawa dadah rempuh pokok



Kereta bawa dadah rempuh pokok
Zaini (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan beberapa peket dadah yang dirampas
KUANTAN- Polis terpaksa  memecahkan cermin tingkap sebuah kereta selepas pemandu dan  seorang penumpang yang disyaki pengedar dadah enggan keluar kereta setelah kenderaan dinaiki melanggar sebatang pokok di Lintasan Semarak berhampiran  sebuah resort, Bandar Tun Razak, Jengka, Maran  petang kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 34 dan 39 tahun berasal dari Banting Selangor yang terselamat dalam kemalangan itu enggan bekerjasama sehingga berlaku pergelutan sebelum mereka berjaya diberkas.

Susulan pemeriksaan di bahagian bonet kereta jenis Volvo itu, polis menemui sebuah beg mengandungi 11 peket plastik serbuk dan ketulan berwarna kehijauan disyaki dadah jenis heroin  berbalut surat khabar.

Dianggarkan berat dadah itu sebanyak lima kilogram bernilai RM143,000.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Deputi Superintendan Zaini Talib berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh ladang membawa masuk bekalan dadah itu dipercayai  dari Lembah Kelang untuk diedarkan kepada penagih sekitar Maran, Temerloh dan Kuantan.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori  jika sabit kesalahan.

“Hasil semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk curi pada 2007 dan turut dikehendaki polis atas kesalahan mengikut Seksyen 6(2) Akta Penagihan Dadah 1983.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Zaini berkata, polis turut menyita kenderaan yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut dan hasil semakan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki  dari Cameron Highlands bagaimanapun tiada rekod kehilangan dilaporkan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada suspek ada kaitan dengan beberapa kes pengedaran dadah yang dilaporkan berlaku sebelum ini.

“Sepanjang Januari tahun ini 24 kes tangkapan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya  dilakukan dan ada kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata, rampasan dadah tersebut adalah yang terbesar  di Pahang setakat ini dan kejayaan menumpaskan cubaan pengedaran dadah itu hasil kerjasama masyarakat awam dan pemantauan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Penjara akibat ugut abang


Penjara akibat ugut abang
Azhar dipenjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah mengugut abangnya menggunakan sebilah parang.
KUALA TERENGGANU - Hanya kerana RM2,000 seorang adik bertindak di luar kawalan apabila bukan sahaja mengamuk dengan merosakkan pasu bunga dan cermin kereta, malah mengugut abangnya dengan parang kerana enggan memberikannya wang.

Bagaimanapun, perbuatan melampaui batas Azhar Yusop, 39, dari Batu Rakit, di sini, terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas Azhar mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Azhar mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah menggunakan sebilah parang dengan cara mengamuk serta memecahkan harta benda milik abangnya, Arif, 55, di Kampung Padang Maras, Batu Rakit, di sini, kira-kira jam 12.45 tengah hari, pada 18 Febuari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming. Azhar tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Arif, seorang pesara, didatangi Azhar yang membawa parang dan meminta RM2,000 daripadanya, tetapi Arif tidak memberikannya kerana tidak ada wang sebanyak itu.

Azhar naik angin dan mengamuk dengan memecahkan pasu bunga dan cermin belakang kereta Perodua Kancil milik mangsa.

Susulan laporan dibuat mangsa, Azhar ditahan di rumahnya kira-kira jam 1 pagi, pada 20 Februari lalu.

Terdahulu, dalam rayuannya, Azhar yang mengidap strok, merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan melakukan perbuatan itu kerana ingin menuntut haknya, iaitu harta pusaka daripada abangnya.

Culik, rogol teman wanita




Tertuduh (tengah) dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam
KOTA BHARU – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menculik dan merogol teman wanitanya yang berusia 16 tahun, 11 Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 21 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mohd Amirul Hisyam Mat Salleh dari Kampung Batu Hitam, Pasir Puteh didakwa menculik gadis itu pada jam 7 pagi tarikh berkenaan sebelum didakwa merogolnya pada jam 3 petang hari sama.

Pertuduhan rogol dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan manakala tuduhan culik dibuat berasingan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Bagi dakwaan rogol, tertuduh berdepan penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat manakala, bagi tuduhan culik dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, susulan daripada penafiannya, Azman menangguhkan kes untuk pengurusan sementara tertuduh yang diwakili peguam, Rosmizan Sulaiman dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai penoreh getah sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai mekanik.

Azman dalam pada itu turut mengenakan syarat kepada tertuduh supaya tidak mendekati mangsa, mengganggu atau berkomunikasi dengan remaja perempuan itu dalam apa-apa cara sekalipun.

Dia yang kematian bapanya sejak 12 tahun lalu itu kemudian dijamin oleh datuk saudara.

Tapir ditemui mati berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah Shah Alam




26 Februari 2013
SHAH ALAM - Seekor tapir jantan dewasa ditemui mati oleh orang ramai di Jalan Batu Arang berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah di sini pagi ini.
 
Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Ahmad Sahrizan Mohd Nawawi ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bangkai tapir seberat lebih 100 kilogram itu pada kira-kira 9.15 pagi.
 
Beliau berkata sebaik menerima laporan pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati haiwan itu yang dilindungi oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 telah mati di tepi jalan raya.
 
"Tapir berusia kira-kira 15 tahun itu mati dipercayai akibat cedera parah di badan, kepala dan patah kaki selepas diseret sebuah kenderaan yang melanggarnya sejauh 30 meter," katanya.  
 
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi ini tetapi sehingga kini tiada maklumat jelas mengenai jenis kenderaan yang disyaki melanggar tapir malang itu, katanya.

Ahmad Shahrizan berkata bangkai tapir berkenaan kemudian dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Hulu Selangor untuk bedah siasat.
 
Katanya tapir itu dipercayai menghuni hutan simpan Bukit Cherakah dan Perhilitan kini menjalankan bancian bagi mengenal pasti jumlah sebenar tapir yang tinggal di kawasan itu untuk tindakan lanjut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
 
"Setakat ini, kita tidak mempunyai maklumat tepat mengenai jumlah tapir di kawasan itu tetapi kami percaya hutan simpan Bukit Cherakah merupakan habitat haiwan berkenaan," katanya.  - Bernama

indiket curi kenderaan tumpas



Sindiket curi kenderaan tumpas
Kereta yang dicuri di beberapa lokasi dibawa ke sebuah bengkel di Nilai, Negeri Sembilan untuk dileraikan
SHAH ALAM -  Polis menumpaskan satu sindiket curi kenderaan bernilai kira-kira setengah juta ringgit, yang dipercayai aktif sejak tahun lalu, dengan tertangkapnya empat suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Selangor dan Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian kereta Proton Wira milik seorang mekanik berusia 57 tahun pada jam 1.17 petang di Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur

Katanya, polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu bersendirian kereta berkenaan di ibu kota kira-kira sejam kemudian di kawasan berhampiran dengan lokasi kejadian.

“Suspek dipercayai menukar nombor plat pendaftaran kereta berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa, namun mangsa dapat mengenal pasti kereta tersebut melalui sport rim pada tayar kenderaan tersebut,” katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun pada jam 6 petang hari sama, di sebuah rumah di Taman Sri Bahagia, Kuala Lumpur.

“Suspek berkenaan memiliki tiga rekod jenayah dan pernah ditangkap di Batu Berendam, Melaka berhubung kes curi kenderaan, dua tahun lalu,” katanya.

Mohd Adnan Berkata, polis menahan dua lagi suspek termasuk seorang wanita berusia 21 tahun di tepi jalan di Taman Sri Bahagia, Kuala Lumpur, kira-kira sejam kemudian.

“Kami turut menjumpai sebuah kereta Proton Iswara yang menggunakan nombor plat pendaftaran palsu ketika serbuan berkenaan, ia dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras pada tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, polis turut membuat serbuan di sebuah bengkel kawasan industri Nilai 7, Negeri Sembilan, kelmarin.

“Polis menjumpai beberapa komponen kereta yang dileraikan di kawasan terbabit termasuk kerangka badan kereta dan pelbagai lagi barangan kelengkapan kenderaan terbabit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 19 kes berhubung curi kenderaan di sekitar Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dibunuh kerana ‘anu’ kecil



Jakarta: Seorang wanita dilapor membunuh anak kandungnya yang berusia sembilan tahun kerana malu apabila kemaluan kanak-kanak itu semakin mengecil selepas disunatkan.

Jurucakap balai polis Metro Jaya Jakarta, Rikwanto berkata, kejadian itu berlaku jam 2 petang di Kampung Baru Klender, Jatinegara Cakung, Jakarta Timur semalam.
“Kami menerima laporan kejadian jenayah membabitkan seorang wanita membunuh anak lelakinya.

“Dia dikatakan malu dengan kemaluan mangsa yang semakin mengecil selepas disunatkan,” katanya.


Suspek membunuh anaknya dengan mengikat tangan kanak-kanak itu.


Kepala mangsa kemudian dibenamkan ke dalam tong air dan apabila dia sudah tidak bernafas lagi, tubuh mangsa diangkat dan dilap.

Setelah itu, mangsa dipakaikan baju sebelum suspek keluar rumah mengambil kakak mangsa di sebuah sekolah menengah.

“Dalam perjalanan pulang, wanita itu datang ke balai polis untuk menyerah diri. Dia mengaku membunuh anak lelakinya itu,” kata Rikanto.

Menurutnya, polis masih menyiasat kes itu. -Agensi

Lelaki perkosa pelajar kolej dipenjara lebih lama



Kota Bharu: Seorang perogol bersiri terpaksa meringkuk lebih lama di dalam penjara apabila dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan merogol seorang pelajar kolej berusia 23 tahun di dalam tandas, tiga tahun lalu.

Hakim Azman Mustapa menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Amran Che Jaafar, 30, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Amran kini menjalani hukuman penjara 28 tahun dan 17 sebatan terhadap pelbagai kesalahan termasuk rogol, cabul dan mencuri.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berturutan selepas selesai menjalani hukuman bagi kesalahan sebelum ini.


Amran yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan sebak mendengar keputusan mahkamah itu.


Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan berjalan.

Mengikut pertuduhan, Amran didakwa merogol seorang pelajar kolej berusia 23 tahun di tandas sebuah kolej di sini sekitar jam 8.15 pagi, 9 Februari 2010. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Amran yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan kerana dia sudah insaf dengan kesalahannya selain memohon mahkamah mengambil kira dia sedang menjalani hukuman penjara terhadap pelbagai kesalahan lain.

“Saya mempunyai dua anak dan seorang ibu yang uzur dan terpaksa menjalani hukuman penjara 28 tahun dan 17 sebatan.


“Oleh itu, saya mohon dikenakan hukuman ringan bermula daripada tarikh ditangkap,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam.

Penganggur liwat budak dijel 10 tahun



Kota Bharu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Azman Mustapa menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mokhtar Wan Sidek, 34, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.


“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah,” katanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan.


Mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat tambahan jaminan RM7, 000 dengan seorang penjamin.


Mengikut pertuduhan, Wan Mokhtar didakwa meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun berhampiran Jambatan Sungai Rasau, Pasir Puteh pada jam 2.30 petang, 29 Jun 2011.

Bagi kesalahan itu, Wan Mokhtar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela Rosmizan Sulaiman memohon tertuduh dijatuhi hukuman minimum.

Gagal selamat nyawa



Kuching: Usaha dua sahabat menyelamatkan nyawa seorang penunggang motosikal yang ditemui dalam keadaan tercungap-cungap di tepi jalan tidak kesampaian apabila lelaki itu meninggal dunia sejurus tiba di Balai Polis Tabuan, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, dua sahabat berusia lingkungan 20-an menaiki Produa Myvi menyusuri Jalan Stampin dekat Stutong Baru, terserempak dengan mangsa yang dikenali sebagai Chai Koh Lin, 75, dalam keadaan sesak nafas.


Salah seorang daripadanya enggan dikenali berkata, mereka kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan lalu memeriksa keadaan mangsa.

“Saya melihat mangsa dalam keadaan termengah-mengah seperti sesak nafas dengan suaranya langsung tidak keluar. Susulan itu, kami terus membawanya ke Balai Polis Tabuan sebelum menghubungi Hospital Umum Sarawak (HUS), untuk mendapatkan bantuan.


“Bagaimanapun, anggota paramedik tiba bersama sebuah ambulans kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa meninggal dunia,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa disyaki meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum mayatnya dibawa ke HUS untuk bedah siasat.

“Kami menghubungi ahli keluarga mangsa memaklumkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Tragedi atas katil




Sibu: Kegembiraan seorang lelaki warga emas meniduri seorang wanita berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati di atas katil dipercayai sesak nafas akibat serang jantung dalam kejadian di sebuah hotel di bandar ini, semalam.

Berita kematian lelaki berusia 57 tahun itu disedari apabila seorang warga China yang dipercayai wanita ditiduri mangsa mengadu kepada kakitangan sebuah selepas mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri pada jam 5 pagi.


Sumber berkata, berikutan itu, pihak hotel menghubungi Hospital Sibu (HS) sebelum anggota paramedik bersama sebuah ambulans tiba untuk menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa.

“Pemeriksaan mendapati, mangsa mengalami serangan jantung tiba-tiba sebelum sesak nafas. Mangsa disahkan meninggal dunia di hotel berkenaan sebelum mayatnya dihantar ke HS untuk bedah siasat.


“Daripada maklumat awal diperoleh, mangsa dipercayai melanggan pelacur warga China pada malam sebelum kejadian. Dia menginap di hotel ini semalam (malam kelmarin) dan tidur bersama wanita itu.


“Wanita warga China itu memanggil petugas hotel awal pagi tadi (semalam) selepas mendapati mangsa mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.


Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat OKU terdampar tepi pantai



Chukai: Mayat pemuda orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai lemas di Pantai Che Wan, Kijal, dekat sini, kelmarin, ditemui pasukan mencari dan menyelamat, semalam.

Mayat Mohamad Firus Abd Ghani, 27, yang berasal dari Kampung Tengah, dekat sini, ditemui terdampar di tepi pantai selepas dipukul ombak, kira-kira jam 2 pagi.


Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

Katanya, dalam kejadian pagi kelmarin, mangsa dikatakan ke tepi pantai dan dipukul ombak sebelum dihanyutkan arus deras.

Rangka RM500,000




Shah Alam: Polis Selangor merampas pelbagai rangka kereta nasional mencecah nilai hampir RM500,000 dengan tertangkapnya tiga lelaki dan seorang wanita termasuk sepasang suami isteri di beberapa kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Selain penahanan semua suspek berusia 21 hingga 36 tahun itu, polis turut menyerbu sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Nilai 7, Negeri Sembilan, kelmarin dan menemui pelbagai rangka kereta jenis Proton Waja, Wira dan Iswara yang sudah dileraikan namun enjin kereta berkenaan dipercayai sudah dijual kepada pihak lain.


Dengan penahanan semua suspek itu, polis yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 19 kes curi kereta di beberapa negeri antaranya Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, kejayaan menumpaskan sindiket terbabit yang aktif sejak setahun lalu itu adalah hasil maklumat awal daripada seorang lelaki berusia 57 tahun mengenai kehilangan kereta Proton Wiranya yang diletakkan di hadapan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, kira-kira jam 1 tengah hari, Ahad lalu.

Bertindak atas maklumat itu, polis kemudian berjaya mengesan kereta mangsa kira-kira 45 minit kemudian yang dipandu seorang lelaki di taman perumahan sama tetapi menggunakan nombor pendaftaran palsu.


“Walaupun nombor pendaftaran sudah ditukar, pengadu bagaimanapun dapat mengenal pasti keretanya berdasarkan rim sukan keretanya memudahkan polis untuk menahan suspek berusia 30 tahun itu,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di rumahnya di Taman Seri Bahagia, Kuala Lumpur.

Katanya, semakan rekod mendapati suspek yang juga pemilik sebuah bengkel kereta di Kawasan Perindustrian Nilai 7, Negeri Sembilan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kereta yang pernah ditumpaskan polis di Melaka beberapa tahun lalu.


“Susulan penahanan itu, polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun yang juga pasangan suami isteri di tepi jalan di Taman Seri Bahagia, Kuala Lumpur kira-kira jam 7.15 malam hari yang sama.

“Bersama-sama suspek, polis merampas sebuah kereta Proton Iswara yang menggunakan nombor pendaftaran palsu yang sebelum ini dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras, tahun lalu,” katanya. Beliau berkata, sebuah bengkel kereta di Kawasan Perindustrian Nilai 7 yang juga disewa suspek kedua diserbu kira-kira jam 3 petang kelmarin dan polis menemui semula 19 rangka kereta yang dilaporkan hilang di beberapa negeri sebelum ini dalam keadaan yang sudah dileraikan.


Namun, sehingga kini polis masih menjalankan siasatan terhadap enjin kereta berkenaan yang tiada sewaktu serbuan dan dipercayai sudah diserahkan kepada pihak lain.


“Daripada 19 rangka kereta yang ditemui, lapan daripadanya dilaporkan hilang pada 2012 dan 11 lagi dilaporkan hilang pada tahun ini.


“Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk memastikan pembabitan suspek dalam kes curi kereta yang dilaporkan di negeri ini,” katanya.

Pemuda lemas terapung selepas 10 hari




 0  0 Google +0  0  0 Cetak
Kota Bharu: Selepas 10 hari gagal dikesan, mayat seorang pemuda yang terjatuh ke dalam Sungai Kelantan ketika melalui pelantar besi pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra pada 16 Februari lalu ditemui terapung berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar di sini, semalam.

Mayat Mohd Arif Mohd Nordin, 20, ditemui terapung di tengah kawasan sungai pada jam 8 pagi oleh penduduk setempat 12 kilometer dari lokasi dia terjatuh.


Mayat bekas pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pantai Senok, Bachok.

Mayat Mohd Arif dikenal pasti oleh ahli keluarganya menerusi pakaian dipakai sebelum kejadian.


Ibu Mohd Arif, Fatimah Hussin, 45, berkata, dia menerima panggilan mengenai penemuan anak sulungnya itu daripada pegawai bomba pada jam 8.30 pagi.


Katanya, sejurus menerima panggilan, dia dan ahli keluarganya bergegas ke tempat kejadian.

“Selepas menerima panggilan itu, saya teringat bahawa mata kanan saya berkedip beberapa kali selama dua hari berturut-turut dan ia mungkin petanda bahawa saya akan menemui jasad anak dalam masa terdekat. Apabila melihat keadaan anak, perasaan saya bercampur baur. “Saya sedih kerana anak saya sudah tiada dan bersyukur jasadnya ditemui kerana boleh dikebumikan di tanah perkuburan supaya boleh melawat pusaranya kelak,” “ katanya ketika ditemui, semalam.


Harian Metro pada 18 Februari lalu melaporkan Mohd Arif terjatuh ke dalam Sungai Kelantan ketika melalui pelantar besi pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra dengan menaiki motosikal.

Dia melalui kawasan itu bersama dua lagi rakan yang berjalan kaki melintasi pelantar besi itu menuju ke arah Pasir Pekan, Tumpat.


Usaha mencari dilakukan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Pasukan Bomba Sukarela, malah dua ekor anjing pengesan turut digunakan, namun menemui jalan buntu dan dihentikan pada hari kelapan.


Sementara itu, peniaga, Hassan Bakar, 49, berkata, dia melihat mayat Mohd Arif di kawasan sungai selepas diberitahu rakan yang berada di jeti berkenaan.


“Saya yang berniaga di restoran terletak kira-kira 20 meter dari kawasan itu terus mendapatkan perahu di kawasan berhampiran jeti dan mendayung menghampiri mayat mangsa.


“Keadaan mayat masih tertiarap dan kembung, mungkin akibat terlalu lama di dalam air. Saya terus tarik mayat itu ke tepi kawasan jeti dan tidak sampai setengah jam, bomba tiba,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darul Naim Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 8.30 pagi memaklumkan mengenai penemuan mayat.

‘6 kali dilanda bah sejak Disember’



Kuala Berang: “Sepanjang musim tengkujuh yang melanda negeri ini sejak Disember tahun lalu sudah enam kali kawasan kampung dilimpahi banjir,” kata Melor Rani, 45, yang terpaksa menutup kedai runcitnya berikutan air memenuhi kawasan rumah.

Menurutnya, kawasan kampung terletak di tepi tebing Sungai Telemong, dekat sini, mengakibatkan air sungai melimpah sekiranya hujan lebat dalam tempoh melebihi 24 jam.


Katanya, setiap kali banjir dia terpaksa mengangkat barang dalam kedai ke bahagian lebih tinggi bagi mengelak kerosakan selain menutup kedai dalam tempoh tiga hingga empat hari.

“Sepanjang musim tengkujuh bermula Disember lalu sudah enam kali kawasan kampung ini dinaiki air dan fenomena terbabit jarang berlaku kerana sebelumnya hanya dua atau tiga kali kampung ini dilanda banjir.


“Akibat hujan tidak berhenti sejak dua hari lalu air mula memenuhi kawasan kampung sedalam 0.5 meter dan sebahagian jalan yang menghubungkan kampung ini ke kampung bersebelahan juga terputus,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Melor yang berasal dari Kampung Nibong, dekat sini, berkata, akibat banjir sebelum ini dia mengalami kerugian RM1,500 apabila tidak sempat mengalihkan barangan selepas kedainya dinaiki air.

Penduduk, Fatimah Mohd Diah, 58, berkata, pengalaman setiap tahun menghadapi musibah itu membolehkan penduduk melakukan persiapan awal seperti mengalihkan barangan ke bahagian rumah lebih tinggi.

Dibelasah kekasih panas baran



Gombak: Gara-gara memutuskan hubungan dengan teman lelakinya, seorang remaja perempuan bukan sahaja dimaki-hamun malah turut dibelasah kekasihnya itu yang datang ke rumahnya di Selayang Baru, dekat sini, kelmarin.

Malah, lelaki berusia 20-an itu turut mengugut memukul ibu mangsa yang cuba meleraikan pertengkaran antara mereka.


Mangsa berusia 15 tahun yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Selayang.

Sumber berkata, mangsa yang tidak tahan dengan sikap panas baran dan cemburu buta teman lelakinya itu bertindak mahu memutuskan hubungan mereka beberapa hari sebelum kejadian itu.


“Bagaimanapun, tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati teman lelakinya menyebabkan dia mencari mangsa di rumah,” katanya.

Polis teliti rakaman CCTV



Kuala Lumpur: Polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian seorang warga emas berusia 64 tahun yang nyaris maut akibat ditikam selepas disamun dua lelaki bermotosikal di Jalan Maharajalela, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya giat mengesan dan mengenal pasti kedua-dua suspek terbabit.


“Polis sudah meneliti beberapa rakaman dari CCTV berhampiran lokasi kejadian, namun setakat ini belum ada petunjuk positif yang boleh membantu siasatan.

“Bagaimanapun, polis yakin dapat mengesan kedua-dua suspek dalam masa terdekat berdasarkan maklumat yang diperoleh termasuk keterangan daripada mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Harian Metro semalam, melaporkan seorang warga emas berusia 64 tahun nyaris maut ditikam dua lelaki bermotosikal yang menyamun mangsa dalam kejadian di belakang tokong Cina, Jalan Maharajalela, di sini.


Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Wong Kock Hin dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal yang cuba menyamun mangsa sebelum menikam perut mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.

Mangsa menerima 20 jahitan selain pisau berjaya dikeluarkan dan cedera di bahagian organ dalaman.

Tahi judi terjun lombong

Serdang: Seramai 12 kaki judi nekad terjun ke dalam lombong untuk melepaskan diri selepas kegiatan mereka berjudi dalam sebuah hutan di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara 6, diserbu semalam.
Namun, taktik mereka itu tidak berjaya selepas beberapa anggota polis turut terjun mengejar kaki judi terbabit sebelum mereka menyerah diri 30 minit kemudian.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu berjaya menahan 36 kaki judi termasuk 10 warga tempatan.
Ketua Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, hasil serbuan itu, polis berjaya menahan 36 kaki judi termasuk seorang wanita yang berusia antara 25 hingga 60 tahun.

“Kami turut merampas wang tunai RM37,000 dipercayai hasil kegiatan judi, selain merampas enam ayam dan pelbagai peralatan lain.

“Hasil siasatan polis mendapati, semua mereka menjadikan kawasan hutan ini sebagai pusat aktiviti judi sejak sebulan lalu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya, di sini, semalam.
Foto
KAKI judi yang ditahan dalam serbuan, semalam.
Beliau berkata, hasil risikan selama sebulan, polis mendapati kaki judi itu akan berkumpul di kawasan hutan itu pada setiap Isnin.

Diculik rakan lama




Ampang: Seorang pemandu teksi melalui azab dan penyeksaan selama lebih dua jam selepas diculik lapan lelaki, Ahad lalu.

Mangsa bukan saja disiram dengan air panas, malah turut dititis cecair lilin pada seluruh badan, dicucuh rokok selain dipukul dengan paip getah.


Kejadian awal pagi itu menyebabkan lelaki berusia 44 tahun terbabit cedera serius di badan selain patah tangan kanan sebelum diselamatkan polis hasil maklumat awam yang menyedari mangsa diculik.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Liong berkata, sebelum diculik, dia dan seorang rakan pergi ke sebuah kelab malam di Taman Maluri, di sini, untuk minum jam 1 pagi.


“Ketika minum, saya dihampiri sekumpulan lelaki yang menarik badan dan mencampak saya ke dalam sebuah kereta Toyota Vellfire.


“Saya dibawa ke sebuah kelab malam di Pandan Perdana dan dikurung dalam sebuah bilik. Ketika itu baru saya tahu dalang penculikan itu seorang daripada rakan lama saya yang dikenali sejak lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta, di Ampang, di sini, semalam.

Foto
LIONG menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya.
Foto
LIONG menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya.
Liong berkata, lelaki terbabit yang juga ahli perniagaan menculiknya kerana tidak berpuas hati selepas seorang rakan kongsi menipunya sehingga kerugian RM500,000 sebelum melarikan diri.


“Saya memperkenalkan rakan lama saya itu dengan rakan kongsinya lima tahun lalu. Mereka kemudian sepakat menjalankan perniagaan bersama. Selepas itu, saya tidak mencampuri urusan mereka dan kami terputus hubungan.

“Rakan menyangka saya terbabit penipuan itu dan menyuruh menggantikan wang berkenaan. Saya, menafikan dakwaan itu dan memberitahu tiada wang,” katanya.


Bagaimanapun, rakannya itu marah lalu mengikat kedua-dua tangan dan kaki sebelum memukul menggunakan paip getah dan menyiram punggungnya dengan air panas.


Mangsa berkata, dia meraung kesakitan merayu minta dilepaskan, namun rayuannya tidak diendahkan, malah diperlakukan lebih kejam apabila badannya dititis lilin dan dicucuh rokok oleh ahli kumpulan terbabit.


“Akibat pukulan kuat, tangan kanan saya patah. Seluruh badan dan punggung saya berasa pedih dan melecur. Saya terpaksa menempuh derita itu selama dua jam sebelum diselamatkan polis,” katanya.


Mujur ketika diculik, rakannya segera menghubungi keluarganya yang kemudian membuat laporan polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, pihaknya yang mendapat maklumat kejadian itu menahan lima lelaki.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 325, 363 dan 385 Kanun Keseksaan dan dituduh di Mahkamah Ampang, di sini, esok (hari ini).

Mat gian sasar penyaman udara



Kuala Lumpur: Sekumpulan penagih dadah kini dikesan menjadikan premis atau kediaman di kawasan gelap di sekitar Dang Wangi, terutama kawasan Chow Kit sebagai sasaran untuk mencuri alat penyaman udara sebelum dijual kepada pengusaha kedai barangan lusuh bagi mendapatkan modal membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, sepanjang dua bulan ini, pihaknya menerima tujuh laporan kes kecurian komponen penghawa dingin yang kerugiannya dianggarkan RM50,000.


Menurutnya, kes terbaru dilaporkan pada 14 Februari lalu apabila seorang mangsa mengadu kehilangan 12 pemampat penyaman udara miliknya dipercayai dicuri.

“Hasil siasatan dan maklumat diperoleh daripada pengadu, polis menahan seorang lelaki Jumaat lalu di Jalan Sultan Sulaiman 1, di sini dan berdasarkan keterangannya, suspek mengaku mencuri dua pemampat serta menjualnya di sebuah kedai barangan lusuh berhampiran.


“Susulan itu, dua pemilik kedai barangan lusuh termasuk seorang wanita diberkas dalam serbuan di premis perniagaan mereka di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Setapak serta menemui semula sembilan pemampat penyaman udara pelbagai jenama yang belum dileraikan,” katanya di sini, semalam.

2 sekolah terpaksa ditutup



Permaisuri: Dua sekolah di Setiu terpaksa ditutup apabila kawasan dan jalan menghubungkan sekolah berkenaan ditenggelami banjir.

Sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buloh yang ditutup selepas kawasan sekolah dan bilik darjah dimasuki air manakala laluan ke SK Kampung Besut ditutup kepada semua lalu lintas berikutan jalan ke sekolah itu ditenggelami air kira-kira 1 meter.


Guru Besar SK Kampung Buloh Mamat Hashim Muda berkata, air yang memenuhi kawasan sekolah kira-kira jam 3 pagi semalam memaksa pihak sekolah menangguhkan sesi persekolahan berikutan kelas dimasuki air.

“Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada Pejabat Pelajaran Daerah Setiu dan ia akan diganti pada tarikh ditetapkan kemudian,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.


Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan sekolah itu ditenggelami air manakala beberapa kelas turut dimasuki air sejak awal pagi semalam.


Sementara itu di Besut, SK Kampung La di Hulu Besut, di sini terpaksa ditutup berikutan ramai pelajar dan gurunya tidak dapat hadir ke sekolah apabila jalan ke sekolah itu dinaiki air antara 0.6 meter dan 1.3 meter.

Laluan terbabit ialah di Kilometer (KM) 27, Jalan Jerteh-Keruak dekat Sungai Patong dan di KM13 dekat Kampung Gertak Jerbun.