Search This Blog

Monday, February 25, 2013

Ibu jari terputus akibat terbelit tali lembu



SHUID Ariffin menunjukkan ibu jari kanannya yang putus setelah terbelit tali yang diikat pada lembu ternakannya di Jitra, petang semalam. Beliau ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
ALOR SETAR 24 Feb. - Seorang penternak lembu terputus ibu jari kanan akibat terbelit tali lembu di Kampung Charuk Ketiak, Mukim Pelubang, Jitra semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 6 petang ketika dia mahu memasukkan lembu-lembunya ke dalam kandang yang terletak kira-kira 600 meter dari rumahnya.
Shuid Ariffin, 65, berkata, kejadian berlaku apabila lembu-lembunya didatangai sekumpulan anjing dari kawasan berhampiran.
Akibat itu seekor anak lembu betina berusia setahun yang dia sedang memegang talinya menjadi terkejut dan terus mengheret tali itu.
"Tanpa disedari, tali itu telah membelit ibu jari saya. Saya lihat darah keluar dari jari saya dan saya rasa kebas. Kemudiannya baru saya perasan ibu jari saya telah putus kira-kira satu inci (2.54 sm)," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Shuid berkata, apabila mendapati jarinya putus, dia segera mengayuh basikalnya balik ke rumah sambil memegang jari yang putus itu dengan tangan kiri.
Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra oleh jirannya sebelum dia dirujuk ke HSB.
Dia yang menghidap penyakit darah tinggi berkata, doktor memberitahu yang jarinya terpaksa dibedah, namun terpaksa menunggu sehingga keadaan darahnya stabil.
"Doktor kata jika darah saya makin elok, baru boleh bedah. Saya pun tak pasti sama ada jari saya boleh dicantum balik atau tidak," katanya.
Shuid berkata dia reda dengan kejadian itu dan tidak serik untuk terus membela lembu.
"Saya memang minat bela lembu. Sudah lebih 10 tahun saya bela lembu," ujarnya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130224/je_07/Ibu-jari-terputus-akibat-terbelit-tali-lembu#ixzz2LvOTAudW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penjual madu rentung di rumahnya



KUANTAN 24 Feb. - Seorang penjual madu ditemui rentung dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Rantau Panjang dekat Lanchang, Temerloh semalam.
Selain itu, mangsa yang berusia 73 tahun dan tinggal sendirian dipercayai turut dibunuh.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat ditikam dengan objek tajam di leher dan tengkuknya selain kesan luka di dahi, dipercayai dihentak dengan objek tumpul.
"Motif dan punca kejadian masih disiasat. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis turut menerima maklumat daripada orang awam mengenai rumah mangsa yang terbakar kira-kira pukul 3.40 pagi.
"Anggota bomba dan penyelamat menemui mayat mangsa yang sudah rentung terbaring di dalam rumah berkenaan," katanya.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130224/je_05/Penjual-madu-rentung-di-rumahnya#ixzz2LvOECqS5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri ditahan curi kabel



PADANG BESAR 24 Feb. - Tiga termasuk sepasang suami isteri ditahan ketika sedang memuatkan sejumlah kabel telefon yang dipercayai dicuri ke dalam sebuah kereta di Batu 17, Jalan Padang Besar-Kaki Bukit di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 39 tahun itu cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa tetapi berjaya diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 pagi tersebut.
"Selepas diperiksa, polis menjumpai 13 gulung kabel telefon dianggarkan sepanjang 300 meter yang bernilai kira-kira RM1,000.
"Kita menjumpai lima gulung kabel di dalam but kereta, tempat duduk belakang (lima gulung) dan tiga gulung lagi masih di luar kenderaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan di Balai Polis Padang Besar untuk siasatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130225/je_02/Suami-isteri-ditahan-curi-kabel#ixzz2LvO8uIA9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi kes pembantu rumah Indonesia dera anak majikan



Seorang amah warga Indonesia (bertudung) dikenakan tahanan reman empat hari bagi siasatan didakwa mendera anak majikannya di Kota Bahru, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 24 Feb. - Belum pun reda kes seorang amah dihukum penjara 20 tahun kerana mendera anak majikannya dengan melambung dan menghempas bayi berusia empat bulan di Kuantan, minggu lalu, satu lagi kejadian serupa berlaku di sini.
Kali ini melibatkan seorang bayi berusia 15 bulan didera seorang amah warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini, semalam.
Tindakan pembantu rumah berusia 41 tahun itu terbongkar setelah ibu bapa bayi perempuan tersebut meletakkan kamera video digital di bilik wanita berkenaan selepas mengesyaki sesuatu berlaku pada anaknya yang sering dilihat lebam-lebam pada badan sejak lima bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, wanita terbabit mula bekerja sejak 2009 dan disambung kontrak sehingga Oktober tahun ini.
"Majikannya hanya menyedari anaknya didera selepas melihat kesan-kesan lebam di badan anak, namun wanita itu memberi alasan mangsa terkena bucu meja ketika bermain.
"Curiga dengan pengakuan itu, majikannya memasang kamera video digital di dalam bilik amah terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azham berkata, tindakan pasangan suami isteri berusia 29 dan 26 tahun itu, berjaya merakam aksi wanita terbabit melakukan penderaan itu sewaktu ditinggalkan bersama abangnya berusia dua tahun enam bulan kira-kira pukul 9.15 malam semalam kerana hendak ke klinik berdekatan.
"Selepas pulang dari klinik pasangan itu masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan kedua-dua anak mereka dan mengambil kamera video yang disorokkan.
"Pasangan terbabit terkejut melihat rakaman itu, dengan aksi wanita terbabit sedang menjahit manik di baju memperlakukan dengan kasar ke atas si kecil itu ketika berada dalam dukungan.
"Amah itu kemudian meliuk bayi itu yang menangis ke belakang sebanyak dua kali sebelum mengacukan penyepit besi yang digunakan untuk menjahit manik seolah-olah mahu mencucuk si kecil tersebut.
"Dia kemudian meletakkan bayi itu dengan kasar di atas kereta mainan. Disebabkan berhenti menangis bayi diletakkan ke atas tilam dengan kasar dan mencubit di paha. Abang mangsa bagaimanapun tidak diapa-apakan," katanya lagi.
Azham berkata, pasangan berkenaan membuat laporan polis pada pukul 12.30 tengah malam dan 15 minit kemudian pembantu rumah itu ditangkap serta direman selama empat hari bermula semalam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130225/je_01/Lagi-kes-pembantu-rumah-Indonesia-dera-anak-majikan#ixzz2LvO344cJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga maut bas ekspres terbabas dekat Hulu Selangor



KUALA LUMPUR 25 Feb. - Sekurang-kurangnya tiga orang maut apabila sebuah bas ekspres terbabas di Kilometer 420 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Hulu Selangor awal pagi ini.
Difahamkan bas super coach yang membawa 18 orang penumpang itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang dan kejadian itu berlaku pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi memberitahu, identiti mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti.
"Seramai 15 penumpang cedera dan pemandu bas terbabit telah dihantar ke hospital. Doktor dan dua ambulans dikejarkan ke lokasi sejurus selepas kejadian," katanya. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130225/je_04/Tiga-maut-bas-ekspres-terbabas-dekat-Hulu-Selangor#ixzz2LvNubSAc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sindiket palsu kad kredit, ATM didalangi warga Kanada tumpas



KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kegiatan sindiket diketuai lelaki warga Kanada berketurunan Sri Lanka menjadikan negara ini sebagai pusat mengeluarkan wang tunai daripada kad kredit dan kad pengeluar wang automatik (ATM) milik rakyat Amerika Syarikat dan Kanada, terbongkar dengan penahanan 25 ahli kumpulan penjenayah itu di ibu negara pada Khamis dan kelmarin.
Kumpulan sindiket dianggotai rakyat Kanada, Sri Lanka, India dan tempatan itu akan menggunakan kad kredit dan ATM palsu yang dikirim oleh ketua mereka yang tinggal di Kanada untuk mengeluarkan wang tunai mencecah RM20,000 sehari di mesin-mesin ATM milik bank antarabangsa di sekitar ibu negara.
Dalam tempoh hampir tujuh bulan menjalankan kegiatan haram itu, sindiket berkenaan sudah mengaut untung kira-kira RM1 juta. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130225/je_06/Sindiket-palsu-kad-kredit-ATM-didalangi-warga-Kanada-tumpas#ixzz2LvNjsmIK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Produk kecantikan bernilai RM61,500 dirampas



KOTA BHARU 25 Feb. - Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Negeri Kelantan merampas pelbagai produk kecantikan tidak berdaftar bernilai RM61,500 dalam satu serbuan di Taman Lati, Pasir Mas semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, serbuan dilakukan oleh tujuh pegawai penguat kuasa farmasi diketuai Nik Muhibul Fikry Nik Mohamad, kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mengintip selama dua minggu di kawasan berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis milik seorang lelaki berusia 29 tahun itu menemui 41 produk kecantikan tidak berdaftar seperti vitamin C, glutathione, hormon dan sebagainya.
"Semua barangan ini akan ditahan untuk tujuan siasatan lanjut dan seterusnya tindakan pendakwaan di mahkamah.
"Kes tersebut akan disiasat dan didakwa di bawah Peraturan 7(1) (A) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum bawah seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, lelaki ini turut aktif menggunakan blog, Facebook dan Twitter untuk mempromosi produk vitamin C tidak berdaftar dan produk lain untuk pelanggan di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130225/je_07/Produk-kecantikan-bernilai-RM61500-dirampas#ixzz2LvNdi8TS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

114 ditahan berkaitan dadah, RM18,400 dirampas



KOTA BHARU 25 Feb. - Polis Kelantan merampas wang tunai sebanyak RM18,400 dan menahan seramai 114 orang yang terlibat dengan pelbagai jenis kesalahan jenayah membabitkan dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mereka yang terbabit ditahan menerusi Ops Tapis Bersepadu selama kira-kira lapan jam bermula pukul 1 pagi ini di empat kawasan iaitu Kubang Kerian, Binjai, Melor dan Nilam Puri.
"Hasil daripada operasi tersebut dua penangkapan dibuat di bawah kesalahan Seksyen 39 (A) (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, 13 penangkapan di bawah Seksyen 12(2) dan selebihnya kesalahan di bawah Seksyen 15(1).
"Wang sebanyak RM18,400 yang dirampas itu pula adalah dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan dadah oleh salah seorang yang ditahan pada operasi tersebut. Individu terbabit sendiri telah mengakui bahawa wang itu hasil daripada penjualan dadah.
"Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 22 hingga 50 tahun. Penangkapan tersebut juga membabitkan dua wanita di mana seorang daripadanya telah bersuami dan suami dia turut ditangkap. Yang seorang lagi masih bujang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130225/je_08/114-ditahan-berkaitan-dadah-RM18400-dirampas#ixzz2LvMqOavE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banjir kilat di timur Australia



SYDNEY 24 Feb. - Sekurang-kurangnya dua penduduk dilaporkan terkorban, manakala beribu-ribu lagi terjejas akibat banjir kilat yang melanda wilayah pantai timur Australia, hari ini.
Menurut Perkhidmatan Kecemasan Negeri, banjir kilat yang disebabkan oleh ribut petir itu memusnahkan banyak kediaman, selain menyebabkan pokok-pokok tumbang.
"Kebanyakan kawasan di wilayah pantai timur negara ini dilanda banjir dan keadaan boleh merebak ke bahagian lain.
"Sehubungan itu, arahan pemindahan kepada kira-kira 20,00 penduduk di wilayah pantai utara dan tengah utara masih dikekalkan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Antara bandar yang terlibat ialah Port Macquarie dan Taree, manakala bandar Kempsey di utara New South Wales terselamat daripada banjir selepas paras Sungai Macleay yang dijangka meningkat mendadak sebelum ini, hanya berada pada paras biasa.
Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menggesa penduduk yang terjejas berpindah segera ke tempat selamat.
Kelmarin, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas dihanyutkan arus banjir ke dalam saluran parit ketika sedang mengumpul bola golf di Kew, berhampiran Port Macquarie.
Mayat seorang lelaki pula ditemui, semalam di dalam keretanya yang ditenggelami air di sebatang jalan, kira-kira 20 kilometer ke barat laut bandar Grafton, New South Wales.
Beberapa puting beliung kecil juga dilaporkan melanda timur Sydney dan kawasan lain, menyebabkan bumbung bangunan tercabut dan pokok tumbang.
Bencana alam tersebut berlaku beberapa minggu selepas siklon tropika Oswald melanda Queensland dan New South Wales. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130225/lu_05/Banjir-kilat-di-timur-Australia#ixzz2LvKkZtae
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seorang maut bot nelayan, kapal kargo berlanggar



TOKYO 25 Feb. - Dua buah bot nelayan terbalik di luar pantai barat Jepun selepas berlanggar dengan sebuah kapal kargo Taiwan, hari ini, menyebabkan seorang maut manakala seorang lagi hilang.
Pengawal pantai Jepun berkata, bot itu membawa empat penumpang, berlanggar dengan sebuah kapal kargo seberat 13,000 tan, kira-kira lima kilometer dari barat lapangan terbang Kansai di Teluk Osaka, pagi ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130225/lu_11/Seorang-maut-bot-nelayan-kapal-kargo-berlanggar#ixzz2LvJk2ebn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lokasi sebenar tidak diketahui



Lokasi sebenar tidak diketahui
APMM menggunakan pesawat jenis ini untuk melakukan pencarian melalui udara bagi menjejaki empat kaki pancing yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu.
KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur  mempertingkatkan usaha Operasi Carilamat empat kaki pancing yang hilang di perairan Kuantan sejak enam hari lalu termasuk pencarian melalui udara menggunakan pesawat Bombadier di kawasan 25 batu nautika dari Kuantan, semalam.

Bagaimana pun sehingga jam 4 petang semalam, tiada sebarang perkembangan berhubung nasib Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’  yang hilang selepas keluar memancing sejak Rabu minggu lalu.

Bilik Gerakan APMM Wilayah Timur memaklumkan, usaha mencari juga terganggu akibat keadaan cuaca yang agak buruk petang semalam menyebabkan Kapal KM Gemia yang mengambil alih tugas daripada KM Sebatik hanya keluar kira-kira jam 4 petang semalam untuk meneruskan pencarian.

“Dalam operasi hari ini (semalam) sebuah kapal (KM Gemia),  dua bot penyelamat, Penyelamat 6 dan Kilat 50 meneruskan operasi membabitkan kekuatan 30 anggota termasuk krew pesawat Bombadier," katanya.

Jurucakap bilik gerakan itu berkata, lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala  keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan Operasi Carilamat dijalankan.

“Mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin Timur Laut bertiup 40-50 km/j dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter (berbahaya kepada bot-bot kecil),” katanya.

Empat kaki pancing itu dipercayai  keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak enam hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam.

Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di  Perkampungan Cenderawasih  dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini.

Usaha mencari melibatkan beberapa agensi penyelamat termasuk APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.

Tiga kematian akibat denggi



Tiga kematian akibat denggi
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai
MUAR – Tiga kematian disebabkan denggi dilaporkan di negeri ini bagi tempoh berakhir 16 Februari lalu, sekaligus mencatatkan peningkatan sebanyak 42 peratus atau 33 kes dengan jumlah keseluruhan 319 kes berbanding 224 kes tempoh sama  tahun lalu.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, kematian pertama pada 31 Januari lalu, membabitkan seorang  wanita berumur 34 tahun dari Bandar Seri Alam,
Johor Bahru.

“Mangsa kedua ialah lelaki berusia 59 tahun yang tinggal di Permas Jaya, Johor Bahru, meninggal dunia 5 Februari lalu.

“Kematian ketiga pada 6 Februari lalu, membabitkan seorang warga emas wanita berumur 76 tahun yang berasal dari Pasir Gudang, Johor Bahru,” katanya pada sidang media di Hotel Pelangi di sini, semalam.

Menurutnya, hanya lapan daerah dilaporkan berlaku kes denggi dengan Johor Bahru adalah kawasan tertinggi merekodkan 73 peratus daripada 319 kes yang direkodkan.

Beliau berkata, ia diikuti Kulaijaya, 9 peratus, manakala bagi Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing masing-masing mencatatkan 3 peratus, sementara Ledang dan Pontian tiada sebarang kes dilaporkan.

“Empat wabak baru dilaporkan dan jumlah terkumpul lokaliti wabak adalah 32 lokaliti berbanding 14 lokaliti bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Dr Robia yang juga Adun Sungai Balang berkata, ada empat wabak masih aktif sepanjang minggu ketujuh tahun ini di Johor Bahru iaitu di lokaliti Taman Mawar, Taman Johor Jaya, Taman Molek dan  Taman Indahpura.

Jelasnya, peningkatan kes denggi ini bukan hanya berlaku di negeri ini tetapi dalam negara yang turut melibatkan beberapa negeri lain berbanding tahun lalu.

“Memandangkan kes ini sudah meningkat melebihi 40 peratus setakat Februari ini, jadi semua pihak perlu mengambil langkah agresif bagi membendung penularan penyakit ini.

“Musnahkan tempat pembiakan aedes secara konsisten yang menjadi kunci utama mengelakkan penularan denggi,” katanya.

Bekas pengawal keselamatan ditemui lemas




25 Februari 2013
Bekas pengawal keselamatan ditemui lemas
Mayat mangsa di hantar ke HTI, semalam untuk bedah siasat. Gambar kecil: Ismadi Harun.
TELUK INTAN - Resah sebuah keluarga yang kehilangan salah seorang ahli keluarganya sejak kelmarin dikejutkan dengan berita kematiannya.

Ismadi Harun, 43, seorang bekas pengawal keselamatan ditemui lemas oleh kaki pancing di Sungai Sungkai Mati, dekat Batu 7, Jalan Changkat Jong, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika di hubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Menurutnya,  mayat ditemui kaki pancing yang kebetulan sedang mencari ikan di kawasan tersebut.

“Polis yang sampai di lokasi menemui mayat mangsa terapung di celah-celah keladi bunting sebelum membawa mayat naik ke darat sebelum di hantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat.

“Setakat ini kami mengklasifasikan kes sebagai lemas. Walaubagaimanapun kita masih menunggu hasil bedah siasat daripada HTI untuk memastikan sama ada kes ada unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya.

Adik mangsa, Azhar Harun, 42, ketika di temui di Unit Forensik HTI berkata, mangsa seorang yang ceria dan kali terakhir menemui mangsa adalah pada waktu petang kelmarin dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

“Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan dia. Selepas itu dia tidak pulang seperti biasa namun kami sekeluarga tidak berasa bimbang kerana arwah sering berbuat begitu.

“Namun, selepas sehari tidak pulang kami mula risau dan kerisauan kami terjawab apabila dua anggota polis datang ke rumah kami dan memaklumkan penemuan mayat arwah. Kami ke HTI dan mengesahkan mayat itu adalah ahli keluarga kami,” katanya.

Azhar berkata,  jenazah abangnya yang berasal dari Lorong Haji Mahfud, Batu 4, Kampung Selabak Dalam, dekat sini, dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam, Kampung Selabak.

Enam ditahan minum minuman keras



Enam ditahan minum minuman keras
Salah seorang pegawai melakukan pemeriksaan tahap alkohol.
KLUANG - Enam individu ditahan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Johor daerah Kluang kerana kesalahan minum minuman keras di sebuah pusat karaoke di sini, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kluang, Anuar Kosnin berkata, seramai 25 anggota terlibat dalam  operasi tersebut.

Menurutnya, pihaknya menahan empat lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 19 hingga 25 tahun selepas ujian pernafasan dilakukan, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau enam bulan penjara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam operasi sama, turut ditahan lima lelaki berumur lingkungan 19 hingga 25 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun yang duduk bergelap di sebuah bilik pusat karaoke tersebut.

Anuar berkata, situasi mereka boleh mengundang pelbagai spekulasi kerana duduk sebilik tanpa menghidupkan lampu.

“Mereka bebas daripada minuman keras, namun, akan disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berada dalam bilik gelap bersama bukan muhrim,” katanya.

Nenek panik diacu parang



Nenek panik diacu parang
Mek menunjukkan wang tunai RM20 yang diberikan pencuri sebelum meninggalkan rumahnya dan melakonkan semula adegan lehernya diacukan parang saat pencuri menggeledah rumahnya
TANJUNG PIANDANG - Kebiasaannya apabila sesebuah rumah dimasuki pencuri, mereka akan cuba mengambil sebanyak mungkin barangan berharga yang boleh dilarikan bersama tanpa memikirkan nasib mangsa disamun.

Bagaimanapun, kejadian ini berlaku terhadap seorang warga emas di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah, di sini semalam apabila pencuri yang memasuki rumahnya bukan sahaja meninggalkan wang tunai RM20, malah turut memohon mangsa menghalalkan segala barang yang dicurinya.

Mangsa, Mek Ya, 75, berkata, dia pasrah dengan kejadian menimpanya dan menganggap ia ujian ALLAH.

“Namun, saya tidak akan menghalalkan perbuatan pencuri itu. Sudahlah tinggal sebatang kara, sedikit harta yang disimpan untuk menghabiskan sisa-sisa hari tua pun turut dikebas,” katanya.

Dalam kejadian lebih kurang jam 6 pagi semalam, Mek sedang menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dari bilik tidur sebelum merasakan bahunya ditepuk seseorang dari belakang.

Menurutnya, dia terkejut apabila ditampar berkali-kali di bahagian muka sebelumnya lehernya diacukan parang oleh seorang suspek lelaki tidak dikenali sewaktu dia menoleh ke belakang.

“Sejurus ditampar dan diacukan parang, pencuri terbabit meminta saya menyerahkan segala barang berharga termasuk wang tunai dan mengugut akan mengapa-apakan saya sekiranya tidak mahu memberi kerjasama.

“Saya beritahu pencuri itu yang saya tiada wang, tetapi dia tidak puas hati lalu bertindak menggeledah barang dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah, di sini semalam.
Mek berkata, setelah suspek puas menggeledah seluruh rumahnya, suspek akhirnya menemui sejumlah wang tunai berjumlah RM2,000 yang disimpan mangsa di bawah tilam di bilik tidur mangsa.

Menurutnya, suspek segera meletakkan bungkusan wang tunai itu di celah ketika sambil meragut rantai leher milik mangsa yang bernilai RM1,000 sejurus selepas itu.

“Selepas itu, pencuri terbabit turut cuba menarik dan mengeluarkan cincin emas yang saya pakai, tetapi tidak berjaya disebabkan terlalu ketat.

“Saya ada cuba untuk melarikan diri melalui pintu belakang rumah, tetapi sempat ditahan pencuri terbabit yang mengarahkan saya duduk di ruang tamu.

“Sebelum dia pergi, saya ada merayu supaya barang berharga dikembalikan disebabkan hanya itu sahaja harta yang ada. Mungkin sedih dengar rayuan saya, pencuri itu segera menyerahkan duit RM20 dan memohon saya menghalalkan segala barangan yang dicuri,”katanya.

Mek memaklumkan suspek dipercayai orang tempatan berdasarkan bahasa pertuturan yang diucapkan dan mengenal pasti laluan tingkap bilik air digunakan suspek untuk menceroboh rumahnya.

Selain rumahnya, Mek turut mendedahkan pencuri terbabit turut memasuki dua rumah lain di kawasan kampung itu dan melarikan sebuah basikal, telefon bimbit dan wang tunai RM40.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kes dan menegaskan ianya masih dalam siasatan.

Dipukau tengah pekan



Dipukau tengah pekan
Dayang Suhana menunjukkan beg tangan mengandungi dompet berisi wang RM30 yang terselamat dalam kejadian pukau, petang kelmarin.
ALOR GAJAH - Dengan menggunakan taktik berpura-pura tanya lokasi, dua penjenayah bertindak menyamun seorang ibu tunggal, dipercayai menggunakan ilmu pukau.

Kejadian berlaku di pekan Pulau Sebang, dekat sini, kelmarin, apabila mangsa, Dayang Suhana Muhammad, 34, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas memasukkan wang di sebuah bank sebelum didatangi dua lelaki bertanyakan lokasi sebuah kedai buku.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, salah seorang lelaki menunjukkan sekeping kertas putih tertulis 'Kedai Buku Rahimi' dan bertanya sama ada mangsa tahu kedai berkenaan.

"Saya kata, saya tidak tahu (lokasi kedai itu) dan tiba-tiba rasa seperti khayal, walaupun masih mendengar perbualan mereka.

“Kedua-dua mereka ada berkata ‘kalau tak jadi, kita pergi tempat lain’. Saya tak faham apa maksud lelaki itu tanpa saya sedari telah mengikutnya ke sebuah kedai makan,” katanya.

Dayang Suhana berkata, dia langsung tidak mengingati apa yang berlaku sebelum tersedar 30 minit kemudian.

"Ketika itu, saya lihat jam di tangan kiri sudah hilang. Selepas itu, saya dapati gelang di tangan kanan, rantai leher dan cincin juga hilang.

"Saya macam tak percaya semua itu hilang dan menyangka tercicir di tengah jalan. Bagaimanapun, beg tangan yang mengandungi dompet berisi RM30 tidak terusik," katanya.

Dalam keadaan panik, katanya, dia cuba bertanya kepada seorang pekerja sebuah kedai dan mendakwa melihat saya bersama dua lelaki tadi.

Berikutan kejadian itu, dia yang kerugian kira-kira RM6,000 membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya di sini, semalam.

Pembantu rumah ditahan reman



Pembantu rumah ditahan reman
Suspek (tengah) menutup mukanya menggunakan tudung ketika di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
KOTA BHARU - Akibat mendera anak majikan, seorang pembantu rumah warga Indonesia ditahan reman selama empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian terbabit di Jalan Bayam di sini.

Tindakan wanita berusia 41 tahun itu disedari majikannya sejak 5 bulan lalu selepas melihat kesan lebam-lebam di badan anak perempuan bongsunya, yang berusia setahun tiga bulan.    

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, wanita terbabit yang mula diambil bekerja melalui ejan yang sah sejak 2009 lagi, disambung kontrak bekerja memandangkan sikap rajinnya melakukan kerja-kerja rumah dan akan tamat kontrak Oktober tahun ini.
        
“Majikannya hanya sedari anaknya didera pembantu rumah itu selepas melihat kesan lebam di badan anaknya, lalu bertanya kepada wanita terbabit namun dia memberi alasan kanak-kanak itu terkena bucu meja ketika bermain.  
                     
“Curiga dengan penjelasan itu, majikannya pada malam kelmarin mengambil keputusan memasang kamera video digital untuk disorokkan dalam bilik pembantu rumahnya.

“Tindakannya itu didorong selepas melihat aksi rakaman bayi berusia empat bulan didera pembantu rumah di Kuantan yang disiarkan dalam televisyen baru-baru ini,” katanya.

Azham berkata, kira-kira jam 10.30 malam selepas balik dari luar, pasangan itu masuk ke dalam bilik mendapatkan kedua-dua anak mereka dan dalam masa yang sama mengambil semula kamera video yang disorokkan dalam bilik.

“Mereka terkejut bilamelihat rakaman itu, dengan aksi wanita terbabit yang sedang menjahit manik di baju sambil mencubit, malah memperlakukan anak mereka dengan kasar selepas dia merengek," katanya.

Tindakan pasangan suami isteri itu berjaya merakam aksi pembantu rumah mereka itu yang melakukan penderaan terhadap anak mereka yang turut ditinggalkan bersama abangnya, berusia dua tahun.

Bagaimana pun,  abangnya itu tidak diapa-apakan oleh wanita itu.

“Pasangan itu membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu dan pembantu rumah itu ditahan pada malam itu juga,” katanya.

Azham berkata, kes terbabit disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak.

Balasan ugut emak



Balasan ugut emak
Nor Azuan dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu tirinya.
KUALA TERENGGANU - Hanya disebabkan kehendaknya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dipeduli, seorang pemuda tergamak menggunakan cara kekerasan kepada ibu tirinya dengan mengugut akan membakar dan merosakkan kediaman yang menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh selama ini.

Bagaimanapun, perbuatan Nor Azuan Mat Rani, 22, dari Kampung Padang Air, Tepoh, di sini, terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas Nor Azuan mengaku bersalah dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu tirinya, Rorheemat, 30, di sebuah kedai di Kampung Padang Air, Tepoh, di sini, pada 15 Disember tahun lalu, lebih kurang jam 2 petang.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Nor Azuan tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di tempat kerja, suami mangsa menerima panggilan telefon memaklumkan Nor Azuan telah mengamuk selepas tidak diberi wang yang diminta, serta mengugut ingin membakar rumah dan akan merosakkan rumah mereka di Kampung Padang Air, Tepoh, di sini.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku memandangkan sebelum ini, Nor Azuan kerap mengulangi tabiat sama mengugut akan melakukan sesuatu yang menakutkan, suami mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

Mengaku tetak mekanik



Mengaku tetak mekanik
Nasib Mohd Khaza akan ditentukan pada 11 Mac depan di Mahkamah Sesyen, di sini, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang mekanik.
KUALA TERENGGANU - Nasib seorang lelaki yang tergamak menetak seorang mekanik sehingga cedera parah kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang dalam kejadian di Kampung Darau, Pasir Akar, Besut, bakal ditentukan pada 11 Mac depan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Mahkamah Majistret, semalam, selepas Mohd Khaza Abdullah, 37, dari Kampung Padang Bual, Pasir Akar, Besut, mengaku bersalah telah menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa, Mohd Faizal Othman, 30.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu pada 4 Januari lalu lebih kurang jam 6.30 petang di kediaman mangsa di Kampung Darau, Pasir Akar, Besut, dengan menggunakan sebilah pedang.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, Abdul Hayyi turut membenarkan Mohd Khaza diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai seorang mekanik cedera parah di beberapa anggota badan setelah ditetak dengan sebilah pedang oleh sekumpulan lelaki, dipercayai kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang.

Wanita Indonesia dakwa dirogol polis lakukan hubungan seks dengan teman lelaki




25 Februari 2013
BUTTERWORTH - Seorang wanita warga Indonesia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini dia melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya sebelum membuat laporan polis mendakwa dia dirogol tiga anggota polis pada 9 November tahun lepas.
 
Mangsa, 26, membuat pengakuan itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pada perbicaraan hari pertama kes rogol membabitkan tiga tertuduh iaitu Koperal Nik Sin Mat Lazim, 33, Konstabel Remy Anak Dana, 25, dan Konstabel Syahiran Romli, 21.
 
Mangsa juga mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya yang berusia 52 tahun beberapa kali sepanjang lapan bulan tinggal bersama.
 
Semasa prosiding itu pihak pendakwaan turut menunjukkan empat daripada 19 barang kes kepada mangsa untuk dikenal pasti iaitu dua helai blaus panjang berwarna hitam dan putih, sehelai seluar dalam berwarna biru dan sehelai baju dalam berwarna merah jambu yang diakui mangsa adalah miliknya.
 
Mangsa merupakan saksi pertama pendakwaan turut memberitahu mahkamah kronologi kes bermula daripada penahanannya oleh dua anggota polis sehingga proses kawad cam dilakukan untuk mengenal pasti suspek.
 
Bagaimanapun keterangan yang dibuat mangsa mengenai kejadian rogol itu dilakukan secara tertutup di hadapan hakim dan wakil Kedutaan Indonesia.
 
Ketiga-tiga tertuduh Nik Sin, Remy dan Syahiran dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini antara 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 November 2012.
 
Bagi pertuduhan rogol, mereka didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
 
Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) kanun sama memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
 
Nik Sin dan Remy diwakili peguam Abdul Roni Rahman manakala Syahiran diwakili peguam R.S.N Rayer.
 
Perbicaraan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi bersambung esok. - Bernama

KDN yakin dapat bongkar dua lagi sindiket pemerdagangan bayi




24 Februari 2013
NIBONG TEBAL - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin Polis Diraja Malaysia dapat membongkar dua lagi sindiket pemerdagangan bayi di negara ini dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan membongkar dua sindiket pemerdagangan bayi dalam operasi 'Ops Pintas Sayang I dan II' yang dilakukan polis Pulau Pinang.

"Ada lagi tahanan akan dibuat dan bayi-bayi diselamatkan...dalam Ops Pintas Sayang I polis menyelamatkan 10 orang bayi manakala dalam Ops Pintas Sayang II seramai 22 bayi diselamatkan.

"Kami juga akan menjalin bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan, Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan beberapa agensi berkaitan untuk membanteras sindiket pemerdagangan bayi ini," katanya kepada pemberita selepas program bersama Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri juga akan bekerjasama dengan agensi antarabangsa di negara transit yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan bayi seperti China, Bangladesh dan Australia.

"Kerjasama dengan pasukan risikan di peringkat antarabangsa amat diperlukan agar sindiket ini dapat dibanteras, dan yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.

Hishammuddin juga menjelaskan bahawa pemburuan suspek yang terlibat dengan sindiket pemerdagangan bayi bukan bertujuan menghukum ibu bapa yang membeli bayi itu, sebaliknya melindungi bayi terlibat dari aspek perundangan demi masa depan mereka.

"Sekiranya bayi-bayi itu mempunyai sijil kelahiran atau dokumen yang diperoleh daripada saluran yang salah atau tidak sah akan timbul masalah apabila mereka besar dan mahu bersekolah, ini akan menjejaskan masa depan mereka.

"Kita akan cari jalan penyelesaian untuk masalah ini, jika tidak bersalah jangan rasa takut, kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan akan ditempatkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Pada 22 Feb lepas, polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 22 orang bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang dalam Ops Pintas Sayang II.

Terdahulu pada 24 Jan, polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak. - Bernama

Operasi cari 4 pemancing hilang di perairan Pahang diperluas




25 Februari 2013
KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat empat pemancing yang dilapor hilang selepas keluar memancing di perairan Pahang 20 Feb lepas, kini diperluas sehingga 30 batu nautika perairan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata operasi itu kini diperluas sehingga ke sempadan Kuantan-Kemaman dan Tanjung Gemok-Nenasi, Pekan.

"Kami juga tidak menolak kemungkinan bot gentian kaca jenis Yamaha sepanjang 65 meter dengan enjin 60 kuasa kuda yang dinaiki mereka rosak atau mengalami masalah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata operasi itu dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tentera laut, unit udara polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dibantu oleh Persatuan Nelayan Kuantan serta penduduk kampung.

Empat pemancing itu -- Baheruzaman Yusof, 40, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan Karim Zakaria, 41, -- dilapor hilang setelah berlepas dari Jeti Sungai Kuantan di sini dengan menaiki bot gentian kaca fiber kira-kira 7 petang Rabu lepas.

Norezawati Mohamad, 32, isteri seorang daripada pemancing itu berkata ini adalah kali pertama suaminya Azyyat Rahmat keluar ke laut untuk memancing.

"Biasanya dia memancing di sungai sahaja," katanya yang bekerja sebagai pembantu klinik berhampiran Perkampungan Cenderawasih.

Beliau berkata pada petang kejadian, suaminya singgah di klinik untuk mengambil ubat tahan sakit dan menelefonnya kira-kira pukul 6 petang sebelum bertolak.

Fairus Abdul Rahim, 42, pula berkata beliau menghantar suaminya Rahmat, ke jeti itu.

"Biasanya dia keluar memancing dua hari sahaja," katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara 6 bulan dan 17 tahun.

Sementara itu Rabhah Karim, 15, berkata ayahnya menelefonnya sebelum bertolak ke laut dan berpesan agar dia menjaga ibunya, Norfadhilah Mohd Salim, 51, baik-baik.

"Ibu mengalami strok sejak empat tahun lalu dan tidak mampu bergerak sendirian," kata anak tunggal pasangan itu. - Bernama

2 lelaki ditahan, polis rampas dadah lebih 1.75kg




25 Februari 2013
ALOR SETAR -  Polis menahan dua lelaki dan merampas lebih 1.75 kilogram dadah bernilai RM42,000 dalam serbuan di sebuah Inap Desa di Padang Mat Sirat, Langkawi Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supt Abdul Razak Md Zin berkata, dua yang ditahan itu ialah seorang buruh berumur 48 tahun yang disyaki pengedar dadah dan seorang penagih yang dipercayai ingin mendapatkan bekalan daripada buruh terbabit.

Beliau berkata, dadah yang dirampas ialah empat paket heroin dengan berat kasar 1.75 kilogram bernilai RM40,000, syabu (10 gram) dan ganja (11.11 gram).

"Penangkapan lelaki itu mendedahkan taktik baharu pengedar dadah membawa masuk dadah ke Langkawi iaitu dengan menyembunyikan dadah dalam keretanya yang dihantar ke Langkawi dengan tongkang dan dia akan mengambil kenderaannya di
Langkawi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki berasal dari Yan, Kedah, yang pernah menjalani rawatan pemulihan dadah di Pusat Serenti pada tahun 1992 itu menyewa inap desa yang berlainan setiap kali ke pulau peranginan itu.

Lelaki terbabit direman selama seminggu mulai 20 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya.

Abdul Razak berkata, seorang lagi yang ditahan dalam serbuan pada pukul 3.30 petang itu ialah penduduk tempatan berusia 28 tahun.

Lelaki itu pernah dipenjarakan selama tiga bulan pada tahun lepas kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah, katanya sambil memberitahu lelaki itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya. - Bernama

Isteri mangsa culik rayu kerjasama orang ramai




25 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah hari ini merayu orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung suaminya, K. Gobala Guru, pemilik sebuah kelab malam yang hilang sejak 23 hari lalu kerana dipercayai diculik.
 
V. Satiavani, 46, berharap kepada sesiapa yang pernah melihat suaminya agar tampil membantu pihak berkuasa dengan melaporkan perkara itu di balai polis berdekatan.
 
"Sehingga kini saya tidak mengetahui di mana suami saya berada. Saya sentiasa berharap dapat menemuinya semula," katanya.
 
Satiavani berkata sehingga kini beliau tidak menerima sebarang panggilan ugutan atau tuntutan tebusan wang daripada mana-mana pihak.
 
Dalam kejadian 2 Feb lepas, Gobala Guru dipercayai diculik empat lelaki yang menyamar sebagai polis manakala kereta BMW 5 Siri miliknya ditemui terbakar di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam, Gombak.
 
Siasatan awal pihak polis mendapati empat lelaki berusia antara 30-an dan 40-an 'menahan' mangsa di lobi sebuah hotel di Petaling Jaya, pada 7.20 malam, dan dibawa ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra berwarna silver. - Bernama

Tiga lelaki samun pengurus syarikat binaan RM130,000




25 Februari 2013
BUTTERWORTH - Seorang pengurus sebuah syarikat binaan yang baharu mengeluarkan wang untuk membayar gaji pekerjanya dari sebuah bank di sini, disamun lebih RM130,000 oleh tiga lelaki yang berpakaian menyerupai anggota penguatkuasa.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 34 tahun bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Raja Uda selepas mengeluarkan RM150,000 di Jalan Inderawasih.
 
"Ketika sampai di Jalan Bagan, iaitu kira-kira empat kilometer dari bank\ tempat mangsa mengeluarkan wang, kereta yang dinaiki mangsa telah dihalang oleh sebuah kereta Proton Waja warna kelabu.
 
"Tiga lelaki yang berpakaian warna biru menyerupai uniform anggota penguatkuasa kemudian keluar dan membuka pintu kereta mangsa sebelum melarikan sebuah beg berisi wang lebih RM130,000," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
 
Beliau berkata mangsa serta rakannya tergamam dan tidak sempat melawan tiga perompak yang tidak menggunakan sebarang senjata.
 
Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan pada kereta Proton Waja adalah palsu, dan polis melancarkan operasi mengesan tiga suspek berusia antara 40 dan 50 tahun itu. - Bernama

Peniaga ditipu RM500 beli kereta terpakai menerusi laman web




25 Februari 2013
KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM500 selepas diperdaya dalam urusan pembelian kereta terpakai menerusi laman web, Jumaat lalu.
 
Mangsa, 30, yang menetap di sebuah taman perumahan di Raub dikatakan melayari laman web berkenaan bagi membeli sebuah kereta terpakai jenis Perodua Kelisa yang ditawarkan dengan harga RM10,500.
 
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Samsudin Wan Osman berkata, tertarik dengan tawaran itu, mangsa menghubungi pemilik kenderaan di Kuala Lumpur sebelum diminta membayar wang pendahuluan RM500 menerusi mesin deposit sebuah bank di Raub.
 
"Selepas membayar wang pendahuluan, mangsa kemudian menaiki bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur selepas suspek memberitahu akan menunggu di Stesen Perhentian Bas Pekeliling di Jalan Pahang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Katanya, sebaik tiba di Kuala Lumpur, mangsa kemudian menghubungi suspek terbabit namun hingga semalam, suspek berkenaan masih gagal dihubungi sebelum mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Raub.
 
Wan Samsuddin berkata, polis kini mengesan lelaki yang mendakwa pemilik kenderaan yang hendak dijual itu.
 
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Polis timbang dakwa kumpulan ceroboh Sabah




25 Februari 2013
LAHAD DATU - Polis memutuskan untuk bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.
 
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, polis akan menggunakan undang-undang berkaitan untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan itu.
 
"Kita akan membuat keputusan selepas melihat pelbagai faktor termasuk mengkaji kawasan persekitaran dan dalaman sebelum bertindak. Kita menunggu masa yang sesuai dan ini bermakna tiada lagi rundingan. Kita akan berlandaskan undang-undang...kalau ingin dakwa di mahkamah kita akan gunakan...ini terpulang kepada kita.
 
"Kami tidak kira mereka datang dari mana sama ada dari Kesultanan Sulu... tapi kita tahu mereka adalah orang luar yang datang ke negara kita dan mencabuli undang-undang dan kedaultan negara.
 
"Kita boleh lihat kesalahan itu banyak. Mungkin kita boleh mengambil tindakan di bawah kesalahan Kanun Keseksaan atau bersama undang-undang yang berkaitan," katanya kepada pemberita di Kompleks Pasukan Polis Marin Lahad Datu di sini hari ini.

Hamza berkata, polis akan menggunakan pendekatan yang bersesuaian dan tidak akan berkrompomi terhadap isu pencerobohan ke atas negara ini bagi menjamin dan mempertahankan kedaulatan tanah air.
 
Beliau turut menafikan berlaku perbalahan sehingga mengakibatkan dua kematian di kawasan itu dan menambah pihaknya akan menyiasat perkara itu.
 
"Setakat tembakan kita ada dengar tapi saya berani mengatakan tembakan bukan dari pasukan keselamatan. Tembakan dari dalam pun kita tidak berani hendak mengesahkan... mungkin tembakan ke atas binatang atau amaran (kumpulan penceroboh)," katanya mengulas laporan yang disiarkan media altenatif.
 
Beliau meminta masyarakat tidak gusar kerana keselamatan masih terkawal, meskipun pada masa kini, kumpulan itu kemungkinan berdepan masalah kekurangan bekalan air, makanan dan minyak.
 
Sementara itu, beliau mengesahkan polis menahan empat individu atas kesalahan tidak mempunyai dokumen yang sah pada awal pagi semalam di satu kawasan di Lahad Datu, namun kesemua mereka bukan anggota kumpulan terbabit.
 
Ketika ditanya mengenai kapal Filipina yang didakwa akan digunakan untuk membawa kumpulan itu pulang ke negara asal, Hamza berkata kapal itu tidak berada di perairan negara ini.
 
Polis mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo sejak 12 Februari lepas sebagai waris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. - Bernama

3 maut, 15 cedera bas ekspres terbabas dekat Bukit Tagar



3 maut, 15 cedera bas ekspres terbabas dekat Bukit Tagar
Keadaan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 420.2 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi tadi. - Foto: Amrullah Abd.Karim
[DIKEMAS KINI] HULU SELANGOR - Tiga maut manakala 15 cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya di Kilometer 420.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah ke utara, dekat Bukit Tagar di sini, jam 3.30 pagi tadi.
Bas yang dalam perjalanan dari Skudai, Johor ke Sungai Nibong dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
Mereka yang maut dalam kemalangan pada pukul 3.10 pagi itu ialah Mohd Zamri Rani, 42, berasal dari Kedah, Mohd Ainul Fauzi Mohd Aman, 25, dari Simpang
Renggam, Johor Baharu dan seorang penumpang wanita yang belum dikenal pasti.
Ketua Polis Derah Hulu Selangor Supt Norel Azmi dipetik Bernama berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas berkenaan gagal mengawal kenderaan itu
sebelum melanggar pembahagi jalan.
"Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju utara itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan mengakibatkan pembahagi jalan itu tertusuk ke dalam bas," katanya.
Beliau berkata, pemandu bas berkenaan cedera dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala 13 penumpang lain tidak cedera.

33 penonton cedera nahas lumba kereta NASCAR




25 Februari 2013
33 penonton cedera nahas lumba kereta NASCAR
Penonton menerima rawatan di Litar Daytona, Florida, Amerika Syarikat.
DAYTONA BEACH - Tirai pembukaan perlumbaan kereta NASCAR dicemari insiden kemalangan menyebabkan kira-kira 33 penonton cedera di Litar  Antarabangsa Daytona, Florida.

Pada kejadian itu, kereta pemandu Kyle Larson melambung dan serpihan kenderaan tersebut terdiri daripada enjin dan tayar berterbangan ke arah penonton.

Presiden litar, Joie Chitwood berkata, seramai 19 penonton cedera dibawa ke hospital dan 14 lagi diberi rawatan di litar tersebut.

Beliau berkata, dua cedera parah dan seorang lagi dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan.

"Kami tidak dapat memberikan maklumat terperinci tentang kejadian itu ketika ini," katanya. - AP

Masih tunggu laporan siasatan




25 Februari 2013
Masih tunggu laporan siasatan
Polis belum tahu motif kejadian. Gambar kecil:Voon.
BANDAR SERI BEGAWAN - Polis Brunei masih menunggu laporan bedah siasat kematian wanita rakyat Malaysia yang mayatnya ditemui dalam blok simen di rumah rakannya di Bandar Seri Berawan, Brunei.

Voon Su Ching, 39, dilaporkan hilang pada 13 Februari lalu setelah tidak pulang selepas keluar membeli kek hari lahir.

Jurucakap polis, Pengiran Abdul Salam Ghani berkata, laporan itu untuk menentukan punca kematian mangsa.

“Mayat mangsa sudah dituntut keluarganya dan akan dihantar ke Malaysia,’’ katanya. - AFP

10 terkorban dalam letupan berkembar




25 Februari 2013
HANOI - Sekurang-kurangnya 10 maut dalam kejadian letupan berkembar di Vietnam Selatan yang turut memusnahkan tiga buah rumah, menurut polis, semalam.

Pihak berkuasa memaklumkan, mereka kini sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca letupan di daerah selatan bandar Ho Chi Minh itu.

Difahamkan, angka kematian juga dijangka meningkat kerana ramai mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan beberapa rumah yang musnah. - AFP

17 maut bas terbabas




25 Februari 2013
PESHAWAR - Sekurang-kurangnya 17 terbunuh apabila sebuah bas rombongan majlis perkahwinan terjunam ke dalam terusan di barat laut Peshawar, India.

Pegawai polis, Asif Sharif berkata, seramai 11 penumpang masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat giat dilakukan.

“Mangsa maut termasuk sembilan wanita dan lima kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai akibat jalan licin dan hujan lebat. - AP

Skandal daging kuda cetus kebimbangan



Skandal daging kuda
Skandal daging kuda
BARU-baru ini, penduduk dunia khasnya di Eropah dikejutkan dengan skandal daging kuda yang dicampur ke dalam produk makanan berasaskan daging lembu.

Lebih memeranjatkan, pendedahan mendapati daging lembu berkenaan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) kuda.

Jutaan produk makanan dijual di Britain, Ireland, Perancis, Sepanyol, Jerman, Denmark, Sweden dan Norway terpaksa ditarik balik sejurus pendedahan DNA itu.

Jumaat lalu, Kesatuan Eropah (EU) menyatakan persetujuan memulakan pemeriksaan DNA secara rawak terhadap bekalan daging mentah, sementara pihak berkuasa Britain pula mengesahkan menjumpai ciri-ciri DNA kuda dalam hidangan makanan di sekolah, restoran dan hospital termasuk produk dijual dalam pasar raya.

Bute dalam daging kuda

Pendedahan sebahagian daging dipasarkan mengandungi ubat antiradang atau bute (fenilbutazon) amat membimbangkan kerana ia berbahaya kepada manusia.

Fenilbutazon atau bute adalah sejenis ubat antiradang bukan steroid (NSAID) bagi merawat kesakitan jangka pendek pada haiwan.

Bute biasanya disuntik pada kuda lumba yang mengalami kecederaan atau yang melebihi tempoh kematangan dan tidak berguna kepada manusia.

Bagaimanapun, bute diharamkan penggunaannya ke atas manusia di Amerika Syarikat dan Britain kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada fungsi badan seperti tekanan melampau terhadap sel darah putih, kerosakan hati atau buah pinggang.

Sejurus tersebarnya berita mengenai tindakan mencampurkan daging kuda tercemar ke dalam produk daging lembu, satu operasi besar-besaran dilancarkan pihak berkuasa terhadap rumah penyembelihan kuda.

Sebuah rumah penyembelihan dalam bandar Somerset, England, disahkan menyembelih enam kuda yang mengandungi bute dan dijadikan sebahagian bekalan daging mentah.

Menurut pegawai Agensi Kualiti Makanan Britain, kuda berkenaan ditembak di kepala sehingga mati sebelum dihantar ke pusat pemprosesan bersama daging mentah lain.

“Sebanyak 63 kuda disembelih setiap minggu oleh Syarikat LJ Potter of Taunton, kemudian daging yang siap diproses akan dihantar ke Perancis untuk pasaran bekalan makanan antarabangsa.

“Perniagaan ini diusahakan Stephen Potter mengakui menjalankan urus niaga daging kuda kepada lebih 50 penjual daging sekitar Calais, Britain,” katanya.

Daging tiga daripada enam kuda yang disembelih di situ disahkan mengandungi bute dan telah pun berada dalam pasaran.

Pihak pengurusan LJ Potter of Taunton bagaimanapun, diarah menarik balik kesemua bekalan daging mentahnya susulan pengesahan kandungan bute itu.

“Kita dapati bekalan daging mentah daripada rumah penyembelihan Somerset mengandungi kesan ubat pelali tahan sakit berbahaya kepada manusia iaitu bute,” katanya.

Sementara itu, November lalu, Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Ireland (FSAI) mendedahkan produk sejuk beku burger daging dan makan segera di pasar raya utama negara mengandungi DNA kuda dan babi.

Bagaimanapun, timbul beberapa laporan bertentangan mengenai siasatan FSAI yang akhirnya ditutup begitu sahaja.

“Kumpulan peruncit Ireland menegaskan tindakan ujian DNA haiwan ke atas produk daging mereka oleh FSAI memberi kesan negatif kepada industri perniagaan tempatan,” kata pegawai.

Berikutan itu, FSAI terpaksa menangguhkan perlaksanaan ujian itu selama dua bulan sebelum mengumumkan keputusan pada 15 Januari lalu.

Lapor FSAI, pihaknya sedia maklum bahawa apa sahaja produk berasaskan daging yang dijual di Ireland turut dipasarkan di Britain.

Sejarah permintaan daging kuda

Daging kuda adalah bekalan daging utama di Asia Tengah, Eropah, Amerika Selatan dan Asia.

Sumber mendedahkan, sejak awal kewujudan manusia, kuda liar dijadikan sebagai sumber protein utama mereka. Rasanya sedikit manis, lembut dan rendah lemak.

Daging kuda yang sering digunakan dalam hidangan makanan di wilayah Utara Amerika dan Amerika.

Bagaimanapun, disebabkan peranan kuda sebagai kenderaan tunggangan serta peneman setia manusia, timbul beberapa persoalan terhadap etika penyembelihan, sekali gus menjadi pantang dalam sesetengah budaya.

Pegangan agama dan budaya menjadi punca kepada larangan memakan daging kuda. Ini sekali gus menggelarnya sebagai haiwan peliharaan di khasnya AS, Britain dan Ireland.

Di Rusia, daging kuda diklasifikasikan sebagai makanan etnik berkualiti rendah dan kurang sedap, sekali gus ia amat jarang dijual di pasaran tempatan.

Bagaimanapun, ia amat popular di kalangan masyarakat nomad di timur Rusia seperti Tatar, Yakut dan Kazakhstan.

Daging kuda perspektif Islam

Daging kuda adalah halal dimakan, tetapi ia lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan (makruh).

Daging kuda tidak digalakkan dimakan oleh orang sihat kerana dagingnya bersifat panas dan dikhuatiri mendatangkan bahaya pada tubuh yang sihat.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda; “Dari Asma RA, ia berkata: “Kami menyembelih kuda, lalu kami makan. Itu masa hidupnya Rasulullah SAW”. Daripada Nabi SAW, bahawasanya baginda mengizinkan (memakan) daging kuda dan baginda melarang (memakan) daging keldai (jenis peliharaan)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim). (Asy-Syaikhan)