Search This Blog

Sunday, February 24, 2013

Periuk api meletup, 6 maut



Periuk api meletup, 6 maut
Periuk api meletup sebaik kenderaan peronda polis tiba di lokasi ia ditanam.
NEPAL - Sekurang-kurangnya lapan orang termasuk enam anggota polis terbunuh apabila periuk api yang ditanam di tengah-tengah jalan utama daerah Gaya, India meletup, semalam.

Menurut pegawai, letupan yang disifatkan sebagai serangan kumpulan Maoist berlaku sebaik kereta peronda dinaiki anggota polis bersama seorang penduduk kampung  yang juga pemberi maklumat,  melalui jalan raya tersebut.

"Kita yakin Maoist menyasarkan serangan itu ke atas pasukan peronda polis yang sedang dalam perjalanan ke lokasi tugasan mereka," kata NH Khan.

Bulan lalu, seramai tujuh anggota polis tempatan ditembak mati oleh anggota Maoist di kejiranan Jharkhand.

Sejak 40 tahun lalu, Maoist melancarkan serangan di beberapa buah negara diduduki kumpulan pemberontak kerana menuntut inspirasi daripada pemimpin revolusi China, MAo Zedong sekali gus diiktiraf sebagai ancaman kepada negara. - Al-Jazeera

16 maut lori rempuh kenderaan, rumah di Jawa Barat




23 Februari 2013
JAKARTA - Enam belas orang maut apabila sebuah lori yang hilang kawalan merempuh beberapa buah kenderaan dan sejumlah orang ramai di tepi jalan sebelum menghentam sebuah rumah penduduk dalam satu kejadian di Cianjur, Jawa Barat, pagi Sabtu.
Lori membawa muatan minyak pelincir itu melanggar sebuah kenderaan awam pengangkutan bandar yang sarat dengan penumpang, beberapa buah motosikal, serta orang ramai yang sedang menuju tempat kerja di beberapa buah kilang di situ.
Kemalangan di Jalan Cianjur-Sukabumi, Jawa Barat itu berlaku pada pukul 6 pagi dan turut mengakibatkan 11 orang cedera, termasuk empat daripadanya parah, kata jurucakap polis Daerah Cianjur.
Menurut polis lori berkenaan sedang menghala ke Cianjur dari Sukabumi apabila tiba-tiba bergerak sangat laju dan hilang kawalan di kawasan Bangbayang, di daerah kecil Gekbrong.
Lori itu kemudian merempuh sebuah kenderaan awam pengangkutan bandar, lima penunggang motosikal dan orang ramai di tepi jalan sebelum berhenti apabila ia menghentam sebuah rumah penduduk di tepi jalan itu sehingga bangunan rumah itu hampir roboh.- Bernama

Lelaki maut dilanggar kereta api barang di landasan berkembar




23 Februari 2013
BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki, dipercayai warga asing, ditemui mati dilanggar kereta api barang di atas landasan berkembar yang sedang dibina berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Mertajam malam tadi.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang tidak mempunyai pengenalan diri itu ditemui pekerja pembinaan landasan berkenaan ketika lalu di kawasan tersebut pada 8.30 malam.

"Mayat mangsa yang hanya memakai seluar pendek ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kepala telah putus dipercayai dilanggar kereta api yang melalui landasan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kejadian sebenar.

Katanya, mayat mangsa yang bertatu di betis kanan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Jurucakap polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, atau kehilangan anggota keluarga, agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

KDN yakin dapat bongkar dua lagi sindiket pemerdagangan bayi




24 Februari 2013
NIBONG TEBAL - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin Polis Diraja Malaysia dapat membongkar dua lagi sindiket pemerdagangan bayi di negara ini dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan membongkar dua sindiket pemerdagangan bayi dalam operasi 'Ops Pintas Sayang I dan II' yang dilakukan polis Pulau Pinang.
"Ada lagi tahanan akan dibuat dan bayi-bayi diselamatkan...dalam Ops Pintas Sayang I polis menyelamatkan 10 orang bayi manakala dalam Ops Pintas Sayang II seramai 22 bayi diselamatkan.

"Kami juga akan menjalin bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan, Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan beberapa agensi berkaitan untuk membanteras sindiket pemerdagangan bayi ini," katanya kepada pemberita selepas program bersama Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri juga akan bekerjasama dengan agensi antarabangsa di negara transit yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan bayi seperti China, Bangladesh dan Australia.

"Kerjasama dengan pasukan risikan di peringkat antarabangsa amat diperlukan agar sindiket ini dapat dibanteras, dan yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.

Hishammuddin juga menjelaskan bahawa pemburuan suspek yang terlibat dengan sindiket pemerdagangan bayi bukan bertujuan menghukum ibu bapa yang membeli bayi itu, sebaliknya melindungi bayi terlibat dari aspek perundangan demi masa depan mereka.

"Sekiranya bayi-bayi itu mempunyai sijil kelahiran atau dokumen yang diperoleh daripada saluran yang salah atau tidak sah akan timbul masalah apabila mereka besar dan mahu bersekolah, ini akan menjejaskan masa depan mereka.
"Kita akan cari jalan penyelesaian untuk masalah ini, jika tidak bersalah jangan rasa takut, kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan akan ditempatkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Pada 22 Feb lepas, polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 22 orang bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang dalam Ops Pintas Sayang II.

Terdahulu pada 24 Jan, polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak. - Bernama

Anak maut dalam perjalanan untuk urus jenazah ayah



SITI KHAIRULNISAH MOHAMED BAJURI, NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
23 Februari 2013
Ilustrasi kemalangan
Ilustrasi kemalangan
kemalangan
Keadaan belakang lori dirempuh sebuah bas setelah terbabit dalam kemalangan maut di KM 314.3 Lebuhraya Utara Selatan di Tapah, hari ini. - Foto Bernama
TAPAH – Hajat seorang anak menguruskan pengebumian bapanya yang meninggal dunia akibat sakit tua, tidak kesampaian apabila maut dalam nahas membabitkan sebuah bas ekspres dan lori di Kilometer (KM) 314.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), di sini, pagi semalam.

Kemalangan yang berlaku pada kira-kira jam 7 pagi itu turut mengakibatkan pemandu bas, Mohd Anuar Jantan, 42, maut sementara lima penumpang lain cedera.

Mangsa, Abdul Rahman Noh, 59, bersama isteri, Rahani Limat, 56, menempuh perjalanan lebih 500 KM menaiki bas dari Johor Bahru, tengah malam semalam dan sepatutnya tiba di Bagan Ajam, Seberang Perai, Pulau Pinang sekitar jam 10 pagi.

Allahyarham yang duduk di kerusi belakang pemandu maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada seluruh badan, sementara isterinya cedera di bahagian kiri kepala.

Anak mangsa, Mohd Amin, 32, berkata, dia pada awalnya mencadangkan ibu bapanya agar mengambil perjalanan bas sebelah pagi.

Bagaimanapun katanya, sebelum sempat menitip pesanan itu, dia dimaklumkan ibu bapanya sudah dalam perjalanan dengan menaiki bas kira-kira 12.30 tengah malam.

“Saya sempat berpesan kepada arwah ayah dan mak agar ambil bas pagi ini (semalam). Tetapi mak beritahu mereka sudah berada di dalam bas dari Johor ke Pulau Pinang.

“Belum sempat fikir apa-apa, saya dikejutkan pula dengan panggilan mak mengatakan mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah, semalam.

Mohd Amin yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berkata, ketika kejadian, dia berada di Pulau Pinang menguruskan jenazah datuknya yang meninggal dunia kira-kira jam 11 malam pada usia 93 tahun.

Katanya, dua hari sebelum nahas, dia sempat bertemu kedua-dua ibu bapanya di kediaman mereka di Kempas Jaya, Johor. Namun ketika itu, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Tak sampai lapan jam, saya kehilangan dua ahli keluarga. Pertemuan dua hari lalu adalah kali terakhir kami. Walaupun arwah tegas, namun dia tetap menyayangi kami adik-beradik,” katanya.


Isteri reda

Isteri Allahyarham yang  dimaklumkan insiden itu reda dengan pemergian suaminya.

Anak saudara mangsa yang hanya dikenali sebagai Ida berkata, Rohani yang cedera di kepala dipercayai terkena serpihan cermin bas, kini dalam keadaan stabil dan dapat menerima berita kematian suaminya dengan tenang.

“Kami tak sangka dalam kesibukan menguruskan jenazah datuk, kami perlu bergegas ke sini untuk membawa pulang jenazah bapa saudara saya. Sepanjang perjalanan (semalam), kami doakan ibu saudara saya selamat," katanya.

Ida berkata, arwah ada menghubungi mereka memaklumkan akan segera pulang ke Pulau Pinang menaiki bas pada awal pagi bagi menyempurnakan pengebumian dan majlis tahlil. Tetapi tidak sangka, itulah panggilan terakhir bapa saudaranya itu.


Polis siasat punca

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, polis masih jalankan siasatan bagi ketahui punca kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, insiden berlaku apabila bas yang membawa sembilan penumpang dari arah Johor ke Pulau Pinang itu gagal memotong lori membawa muatan penutup silinder gas dan mesin memproses plastik di hadapannya.

“Bas itu cuba kembali ke lorong kiri, namun terlanggar belakang lori berkenaan. Mereka yang maut adalah pemandu dan penumpang bas. Kedua-duanya parah dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Penternak cedera ditetak penyerang tidak dikenali




22 Februari 2013
BESUT - Seorang penternak cedera parah di kepala akibat ditetak penyerang yang tidak dikenalinya ketika mangsa berada di Medan Selera Bandar Jerteh malam tadi.

Akibat kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa Zakaria Long, 53, dari Kampung Gaung terpaksa dikejarkan ke hospital.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noorzainy Moh Noor berkata mangsa dilaporkan sedang minum bersama seorang rakan apabila mereka didatangi seorang lelaki yang memakai topi keledar.

"Suspek terus menetak mangsa beberapa kali di kepala dengan sebilah golok sambil disaksikan beberapa orang lain," kata kepada pemberita di sini.

Mangsa dikejarkan orang ramai ke Hospital Daerah Besut sebelum mangsa dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

Noorzainy berkata polis sedang menyiasat motif serangan dan mengesan suspek yang melarikan diri selepas kejadian.

Suspek dilaporkan memakai jaket berwarna hitam, berseluar jeans berwarna biru serta memakai topi keledar berwarna merah yang bercermin gelap. - Bernama

Kepala mayat reput ditutup patung beruang



KUALA LUMPUR – Misteri bau busuk dari sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama di sini terjawab semalam selepas penemuan satu mayat reput yang kepalanya ditutup dengan patung beruang.

Mayat yang masih tidak diketahui jantina itu dibalut dengan plastik dan diikat dengan kain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, polis dimaklumkan berhubung kejadian tersebut, kira-kira jam 11 pagi.

“Mayat sudah mereput. Ia ditemui dalam keadaan mengiring di tepi mangkuk tandas.

“Kita percaya mangsa mati empat hari lalu dan kediaman di tingkat 23 itu pula berkunci dari luar,” katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.

Beliau berkata, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri dan pihaknya akan meneliti laporan kes kehilangan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Katanya, polis juga tidak menemui senjata pembunuhan yang digunakan dan masih menyiasat kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain.

Menurutnya, polis akan mengambil keterangan beberapa penghuni premis dan meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

Khairi berkata, siasatan awal mendapati kediaman berada dalam keadaan berselerak itu dijadikan makmal mini memproses dadah.

“Kita menemui serbuk dan pil dipercayai dadah selain dokumen berkaitan urus niaga dadah di ruang dapur,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sebabkan kematian rakan serumah: Empat dipenjara lapan tahun enam bulan




22 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Empat rakan masing-masing dipenjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku menyebabkan kematian seorang rakan mereka di sebuah kondominium, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan Sherill Clarissa Razif, 24, Ellina Mahili, 25, dan Huzaifah Kamal, 24, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 3 Feb 2012 manakala Raja Nur Bahiah Raja Kamarulzaman, 24, pada 9 Feb tahun lepas.

"Selepas meneliti fakta kes, mitigasi kesemua tertuduh dan faktor kepentingan awam serta punca kejadian, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun setengah bagi setiap tertuduh," katanya.

Mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian Nor Shahirah Hassan, 26, di Genting Court Condo, Jalan Genting Klang, Setapak antara 12 tengah malam hingga 5 pagi pada 3 Feb tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika disoal hakim berhubung punca kejadian, Sherill Clarissa memberitahu mahkamah mangsa memburukkan nama ibunya manakala Ellina berkata Nur Shahiran berhutang dengannya sebanyak RM2,000.

Huzaifah pula berkata mangsa sering menipunya manakala Raja Nor Bahiah memaklumkan ketika kejadian, dia berhasrat membantu Nur Shahiran namun membatalkan niatnya selepas mendapat tahu wanita itu juga ada memburukkan namanya.

Mengikut fakta kes yang dibentang Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, tertuduh bertindak kejam dengan mencurah air mendidih ke arah muka dan anggota badan mangsa selain memukul, menendang serta membogelkannya.
Selepas itu, Nur Shahiran diarah masuk ke dalam sebuah bilik untuk mengambil kain bagi mengelap lantai yang dibasahi air panas tersebut namun mangsa tidak keluar semula dari bilik berkenaan.

Fakta kes itu juga menyebut tertuduh kemudian memeriksa bilik yang dimasuki Nor Shahirah dan mendapati tingkap bilik terbuka separuh dan mangsa tertiarap di bawah bangunan dalam keadaan bogel.

Sementara itu, Mohd Mukhzany Fariz memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berikutan kejadian jenayah bunuh semakin berleluasa.

Beliau berkata ibu mangsa, Laila Jamaluddin, 54, tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana tidak sihat, namun menerusi rakaman percakapan, beliau sedih dengan kehilangan anak sulungnya.

Sherill Clarissa diwakili peguam Joshua Kevin, Ellina oleh peguam Datuk Sallehuddin Saidin, Huzaifah oleh Mohd Radzlan Jalaludin dan Raja Nur Bahiah diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.

Sebelum prosiding bermula, Ellina dan Raja Nur Bahiah sempat bertemu anak mereka yang masing-masing berusia 10 dan empat bulan. - Bernama

'Munirah akhirnya pulang dari Flores Timur'



SUNGAI PETANI - "Alhamdulillah, kami tidak pernah putus doa dan harapan selain masih percaya bahawa anak masih hidup. Akhirnya doa dan harapan kami termakbul apabila Muni (panggilan manja Munirah) akan dihantar pulang ke Malaysia esok (hari ini)."

Demikian luahan Abdul Hamid Mat, 51, dari Kampung Nelayan, Tanjung Dawai yang bersyukur apabila anak yang dikhabarkan sudah berkahwin dengan pemuda dari Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia itu akan pulang dengan bantuan Umno Bahagian Merbok dan Kelab Putera 1Malaysia.

Menurutnya, kesabaran dan penantian selama tujuh tahun terubat apabila anak yang ‘hilang’ sejak April 2006 akhirnya akan pulang.

Abdul Hamid berkata, Munirah, anak ketiga dari lima beradik, yang kini berusia 23 tahun pernah menghantar surat bertarikh 8 Ogos 2012 memaklumkan kehidupan di sana selain meminta bantuan supaya keluarga mengirimkan wang kerana berhadapan masalah kewangan.

Ketika disedari hilang, Munirah hanya baru berusia 16 tahun menyebabkan keluarganya tidak henti-henti meminta bantuan dari pelbagai pihak yang melancarkan operasi mencarinya.

Ditanya perasaannya, Abdul Hamid mengakui ahli keluarga tidak sabar-sabar menunggu kepulangan Munirah selain ingin menemui anak tunggal Munirah yang dikatakan sudah berusia sembilan bulan.

“Semua adik-beradik akan menanti kepulangan Muni yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang jam 10 pagi,” katanya.

Dia berharap, Munirah akan terus menetap di sini dan bersyukur apabila dikhabarkan, suami dan bayi mereka turut ikut serta pulang ke Malaysia.

Sinar Harian 8 September 2011 pernah menyiarkan luahan ibu Munirah, Robeah Hamid, 51, tentang kehilangan anaknya yang tidak pulang ke rumah selepas disedari keluar menaiki bas ke sekolah.

Dalam kenyataan itu, Robeah meminta mana-mana pihak yang menemui Munirah supaya menghubungi keluarga terbabit.

Setahun kemudian, Sinar Harian sekali lagi menyiarkan kisah Munirah pada 25 September 2012 apabila ibu bapa mendakwa menerima sepucuk surat darinya yang beralamat di Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia.

21 lagi bayi diselamat, pensyarah dan jurutera ditahan



22 Februari 2013

Seorang ahli keluarga mencium seorang wanita yang ditahan bersama sekumpulan wanita yang dibawa ke mahkamah majistret, semalam. 45 individu terbabit ditahan reman selama 4 hari.
GEORGETOWN - Pihak polis menyelamatkan 21 lagi bayi dan kanak-kanak yang dijual melalui sindiket dalam Operasi Pintas Sayang 2 yang dilancarkan malam tadi.

Seramai 43 individu turut ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata operasi yang merupakan susulan Op Pintas Sayang 1 itu turut dijalankan di Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

"Serbuan ini dilancarkan serentak pada pukul 11 malam tadi dan pihak polis Pulau Pinang telah berjaya menyelamatkan 10 bayi lelaki dan 11 bayi perempuan berusia antara satu bulan dan sembilan tahun.

"Kita juga telah menahan 20 lelaki dan 23 wanita termasuk dua wanita warga asing yang berumur dalam lingkungan 27 hingga 57 tahun," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa bayi dipercayai telah dibawa keluar ke negara jiran dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Abdul Rahim berkata 43 individu itu adalah pembeli yang membeli kanak-kanak tersebut melalui sindiket dan mereka terdiri daripada usahawan, jurutera dan pensyarah.

"Ini adalah keluarga-keluarga yang tidak ada anak. Bila tidak ada anak mereka berusaha untuk mendapatkan anak," katanya.

Beliau berkata kesemua tangkapan akan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan usaha mengesan mangsa yang lain masih lagi diteruskan.

Katanya polis juga akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkan kesemua bayi dan kanak-kanak terbabit di rumah perlindungan yang telah dikhaskan.

Bulan lepas, polis membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak mereka. - Bernama

Polis P.Pinang selamat seorang lagi bayi, tahan dua wanita




23 Februari 2013
BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di USJ, Subang Jaya, Selangor semalam dan menyelamatkan seorang lagi bayi lelaki berusia dua bulan yang menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun yang dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan.

"Hasil maklumat awam dan risikan yang kita jalankan, sepasukan pegawai dan anggota kita telah memeriksa rumah berkenaan pada pukul 1 petang semalam dan berjaya menyelamatkan seorang lagi bayi serta menahan seorang wanita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi wanita di Cheras, Selangor pada hari yang sama, bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.

"Sehingga semalam, kita berjaya menyelamatkan 22 orang bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang dalam Ops Pintas Sayang II," katanya.

Semalam 21 bayi dan kanak-kanak dilapor diselamat di Selangor, Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Pulau Pinang.

Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang juga dalang sindiket berkenaan turut ditahan.

Pada 24 Jan lepas, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak.

Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi dan kanak-kanak tersebut.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mereman 45 individu tersebut selama empat hari hingga Selasa ini.

Mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun yang terdiri daripada golongan pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda," katanya.- Bernama

Remaja perempuan menyesal ikut kekasih lari ke Pulau Flores Indonesia




23 Februari 2013
GEORGETOWN - Terpaksa terjun di tengah laut dan berenang lebih 24 jam dari perairan Johor ke Pulau Batam, Indonesia selepas bot dinaikinya ditahan penguat kuasa maritim antara pengalaman mengerikan seorang remaja yang lari mengikut kekasihnya berasal dari Pulau Flores, hampir enam tahun lepas.

Namun tindakan nekad Munirah Abdul Hamid, 22, itu menjerat diri apabila lelaki itu meninggalkannya terumbang-ambing bersendirian di Pulau Batam dan dia terpaksa bekerja hampir setahun sebagai pembantu rumah dengan bayaran serendah 250,000 rupiah sebelum membawa diri ke Pulau Adonara, Flores Timur Indonesia.

Bagaimanapun, dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Munirah berjaya dibawa pulang dan ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini disambut dengan linangan air mata oleh anggota keluarganya.

Munirah yang melarikan diri selepas pulang dari sekolah pada April 2007 dilihat menerpa dan melutut di kaki ibunya, Robeah Hamid, 52, sebelum memeluk bapanya, Abdul Hamid Mat, 51, sambil ditemani suami yang baharu dikahwini setahun lepas, Mohd Najib Abdullah, 35, dan anak lelakinya, Mohamad Tajul Azzez, sembilan bulan.

Ditemui pemberita kemudiannya, Munirah menyatakan rasa kesal dengan apa yang dilakukannya dan memohon maaf kerana menyusahkan ramai pihak sepanjang proses membawanya pulang ke kampung halamannya di Tanjung Dawai, Sungai Petani Kedah.

"Selepas ini saya mahu mulakan hidup baru bersama suami dan anak serta bertekad tidak akan pulang lagi ke sana (Indonesia)," katanya.

Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata proses membawa pulang remaja itu mengambil masa lebih sebulan dan beliau menasihati anak gadis di negara ini agar berfikir panjang sebelum lari mengikut teman lelaki ke Indonesia kerana mereka berdepan risiko dikenakan hukuman berat oleh pemerintah negara itu jika tersalah langkah.

"Ini adalah kes yang paling jauh kita selesaikan. Hasil rundingan dan kerjasama antara kedua belah pihak Munirah dibawa pulang secara baik walapun dia sepatutnya boleh dikenakan hukuman kerana menceroboh negara orang tanpa dokumen sah," katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid yang bekerja sebagai nelayan berkata tiada apa yang dapat beliau ucapkan selain rasa syukur dan berterima kasih kepada KP1M serta Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Mat Zain di atas bantuan yang diberi. - Bernama

Empat pemancing dilaporkan hilang sejak rabu




23 Februari 2013
KUANTAN - Empat pemancing dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas keluar memancing di perairan Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata empat lelaki berkenaan dilaporkan menaiki sebuah bot gentian kaca berlepas dari Jeti Sungai Kuantan di sini pada 5 petang, 20 Feb lepas.

"Sehingga 2 petang tadi, keempat-empat pemancing terbabit gagal dikesan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya empat lelaki berkenaan dikenali sebagai Baheruzaman Yusof, 40, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51, dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai Karim (umur belum diketahui).

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang melancarkan gerakan mencari kesemua mangsa. - Bernama

Munirah serik ke Indonesia



Munirah
Munirah tidak dapat menahan air mata sebaik dapat bertemu dengan emaknya.
Munirah
Abdul Azeez (kiri) menyerahkan dokumen Munirah dan anaknya kepada Mohd Najib (dua, kiri).
Munirah
Abdul Hamid (kiri) dan Robeah (kanan) mencium Munirah (tengah) dan cucu mereka, Mohd Tajul Azeez.
GEORGETOWN - “Tiada kata dapat digambarkan, selain rasa syukur apabila saya dapat kembali mencium dan memeluk emak dan abah setelah tujuh tahun berpisah.”

Itu luahan Munirah Abdul Hamid, 21, yang menghilangkan diri ketika berusia 16 tahun kerana mengikut teman lelakinya yang berasal dari Kepulauan Flores, Indonesia.

Munirah yang dibawa pulang dengan bantuan Umno Bahagian Merbok dan Kelab Putera 1Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Sebaik keluar dari balai ketibaan, Munirah terus berlari mendapatkan emaknya sebelum memeluk kaki dan meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya dahulu.

Kepulangan Munirah ditemani suaminya, Mohd Najib Abdullah, 35, dan anak sulungnya, Mohd Tajul Azeez berusia sembilan bulan.

Selain ahli keluarga, turut menunggu kepulangan Munirah di LTAB ialah Presiden Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Munirah yang ditemui media berkata, menyesal dengan perbuatan lampaunya mengikut teman lelaki yang baru dikenali untuk pergi ke Indonesia.
 
Hampir hilang nyawa

Mengimbau kisah hitam yang berlaku dalam hidupnya, Munirah berkata, pengalaman mengikut lelaki pulang ke negara jiran itu menaiki bot kecil pasti tidak dilupakan kerana hampir kehilangan nyawa apabila teman lelaki itu mengajaknya terjun ke laut setelah bot yang mereka naiki dikesan pihak berkuasa.
“Saya kenal dengan lelaki itu melalui telefon tidak sampai setahun dan dia mengajak saya pulang bersamanya ke Indonesia.

“Saya tidak tahu kenapa dan saya hanya ikut kehendaknya. Saya rasa seolah-olah dipukau,” katanya.

Menurutnya, ketika bot sampai di perairan Johor, pihak berkuasa datang untuk membuat pemeriksaan namun, semua yang berada di atas bot itu bertindak terjun ke laut dan melarikan diri, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Mendapati kanak-kanak itu ditinggalkan kedua ibu bapanya dan hampir lemas, dia terus menyelamatkan dan membawanya berenang sehingga ke Pulau Batam, Indonesia.

“Sebaik tiba di Pulau Batam, saya tinggalkan kanak-kanak itu di Jabatan Imigresen dan terus mencari kerja untuk menyara hidup.
“Saya juga terpisah dengan teman lelaki selepas terjun dari bot yang dinaiki,” katanya.
Namun mereka bertemu kembali di Pulau Batam beberapa bulan kemudian dan teman lelaki itu mengajaknya pulang ke kampung halamannya di Pulau Flores.
 
Hasrat pulang ke pangkuan keluarga
Disebabkan serik meneruskan kehidupan di negara asing, dia menyuarakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga dan turut memaklumkan kepada lelaki itu bahawa ayahnya akan datang untuk membawanya pulang.

“Marah dengan tindakan itu, teman lelaki saya merampas telefon bimbit dan membuangnya. Saya tiada pilihan lain kerana tidak ingat nombor telefon keluarga di kampung.

“Sebaik tiba di Pulau Flores, saya ditinggalkan teman lelaki. Buntu mengenangkan nasib, saya membawa diri di sekitar pulau berkenaan sehingga bertemu dengan suami saya sekarang di hospital. Dialah yang banyak membantu saya untuk mencari semula keluarga di kampung,” katanya.

Munirah juga tidak mahu lagi pulang ke Indonesia dan tekad membesarkan anak bersama suaminya di kampung halaman di Kampung Nelayan, Tanjung Dawai, Kedah.

“Saya mahu mulakan hidup baru bersama keluarga di sini dan tidak mahu lagi ingat pengalaman hitam lalu,” katanya.
Sementara itu, kedua ibu bapa Munirah, Abdul Hamid Mat, 51, dan Robeah Hamid, 51, bersyukur apabila mereka dapat bertemu semula dengan Munirah.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia dan Umno Bahagian Merbok kerana membatu membawa pulang Munirah kembali ke pangkuan kami,” katanya.

Kepala putus digilis kereta api



Kepala putus digilis keretapi
Mangsa maut digilis keretapi berhampiran jejantas di Bukit Mertajam kelmarin.
BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki yang dipercayai warga asing maut digilis kereta api di bawah jejambat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Mertajam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Ab Lah berkata, lelaki yang berusia 30-an itu ditemui tertiarap manakala bahagian kepalanya putus di atas landasan.

“Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 8.35 malam itu, sebuah keretapi barang dari Utara melalui kawasan tersebut dan melanggar mangsa yang sedang meniarap.

“Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari pemandu lokomotif berikutnya yang melalui kawasan tersebut dan membuat laporan polis

“Mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya.

Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu bertubuh kurus, memakai seluar pendek biru berbelang serta berbaju T kelabu dan bertatu di bahagian kaki kanannya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Balai Polis Bukit Mertajam.

“Siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Empat kaki pancing hilang



Empat kaki pancing hilang
Engku Yushanizam (kanan) dan Zamri (dua kanan) bersama rakan-rakan lain menunggu di jeti menantikan khabar empat rakan mereka yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing.
KUANTAN - Empat kaki pancing yang dipercayai  keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak lima hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam.

Usaha rakan-rakan menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit keempat lelaki itu gagal dihubungi.

Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’ (umur masih belum diketahui) keluar memancing kira-kira jam 5 petang, Rabu lalu.

Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di  Perkampungan Cenderawasih dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini.

Seorang rakan, Engku Yushanizam Engku Ngah, 36, berkata, mereka khuatir nasib keempat kaki pancing itu memandangkan keadaan laut dikatakan bergelora sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, mereka sepatutnya pulang petang Khamis, 21 Februari lalu, namun gagal berbuat demikian hingga jam 5 petang semalam.

“Saya difahamkan mereka hanya membawa bekalan makanan dan minyak hanya untuk tempoh sehari atau dua hari, jadi agak mustahil mereka mampu bertahan hingga ke hari ini.

“Kami cuba menghubungi mereka sejak tiga hari lalu, namun gagal lalu membuat laporan polis kira-kira jam 8 malam tadi (kelmarin) kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui bersama beberapa rakan lain di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, dekat sini, semalam.

Seorang lagi rakan, Zamri Abdul Razak, 33, berkata, ahli keluarga juga tidak mendapat sebarang berita mengenai nasib keempat mangsa dan difahamkan mereka turut membuat laporan polis berhubung kehilangan itu.

“Kereta dan treler menarik bot mereka (mangsa) masih ada di sini,” katanya.

Zamri berkata, sebelum ini dia bercadang untuk keluar mencari, namun terpaksa membatalkan hasrat memandangkan keadaan laut dilaporkan bergelora, selain tidak pasti kedudukan rakan mereka yang hilang itu.

“Kami hanya mampu berdoa agar mereka semua selamat dan berjaya ditemui pasukan penyelamat yang memulakan usaha mencari hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan menerima laporan kehilangan empat lelaki itu daripada rakan dan keluarga mangsa.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang telah melancarkan gerakan mencari mangsa.

“Bagaimanapun hingga jam 2 petang ini (semalam,) keempat-empat pemancing itu gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur, APMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kuantan berhubung kejadian kira-kira jam 10.45 malam, kelmarin.

Lt Maritim Mohd Ardi Mat Nawi berkata, susulan laporan yang diterima, APMM mengaktifkan Operasi Carilamat jam 10.50 malam kelmarin dan semalam, kira-kira  jam 7 pagi, Kapal KM Sebatik bersama dua bot, Penyelamat 6 dan Kilat 50 beserta anggota telah ditugaskan melaksanakan operasi itu di persisiran Perairan Kuala Pahang sehingga Kuala Kemaman.

“Namun sehingga jam 5 petang, kesemua mangsa masih belum ditemui, manakala operasi masih diteruskan.

"Lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan operasi menyelamat dijalankan," katanya.

Cemas van terbakar tiba-tiba



Cemas van terbakar tiba-tiba
Keadaan van yang sedang marak terbakar, dalam kejadian di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berdepan dengan detik mencemaskan apabila van yang dinaikinya terbakar tiba-tiba, dalam satu kejadian di Jalan Sultan Ismail, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, PBK II Wan Mohd Azamani Wan Hamzah berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari semalam, sebelum bergegas ke tempat kejadian, berhampiran bangunan Tabung Haji.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, van yang dinaiki seorang lelaki yang berusia 60 tahun itu sedang marak terbakar.

“Apabila kita sampai di tempat kejadian, van tersebut sudah hampir 100 peratus terbakar. Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Berdasarkan maklumat awal katanya, mangsa yang ketika itu sedang memandu, terlihat percikan api yang keluar daripada bahagian enjin, sebelum mengambil keputusan untuk memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

Mangsa kemudiannya keluar dan tidak lama selepas itu, api semakin marak dan membakar van berkenaan. Jelasnya, punca kebakaran dan nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan.

Operasi terpaksa ditamatkan



Operasi terpaksa ditamatkan
Pasukan penyelamat terpaksa menamatkan operasi mencari mangsa selepas mangsa masih gagal ditemui walaupun sudah masuk hari kelapan, semalam.
KOTA BHARU - Operasi menyelamat mangsa lemas Muhammad Arif Muhammad Nurdin, 20, berhampiran jambatan baru Sultan Yahya Petra, yang masuk hari kelapan ditamatkan memandangkan mangsa masih belum ditemui semalam.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Azmi Osman berkata, pelbagai ikhtiar turut dilakukan bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas dan dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ketika menyeberangi pelantar berhampiran jambatan kedua Sultan Yahya Petra Sabtu lalu.

”Usaha untuk mencari mangsa turut dibantu pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) malah pelbagai agensi lagi, namun gagal mengesan mangsa.

”Bomba turut menggunakan dua ekor anjing pengesan untuk mengesan mangsa di samping keluarga turut menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional (bomoh),” katanya kepada Sinar Harian.

Azmi berkata, apa pun keluarga mangsa amat berpuas hati dengan usaha pasukan penyelamat dan menerima suratan takdir terbabit.

Sementara itu menurut bapa mangsa, Muhammad Nurdin Muhammad Long, 48, dia mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha mengesan anak sulung dari empat beradik itu.

”Kini saya terima qada dan qada serta ketentuan ALLAH SWT sekiranya tersurat jasadnya terkubur di sungai Kelantan ini.

”Pemergiannya begitu cepat namun saya relakan dia pergi dan mendoakan rohnya ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman,” katanya.

Sabtu lalu, mangsa Muhammad Arif terjatuh ke dalam sungai Kelantan selepas cuba mengelak sebuah kereta  di belakangnya ketika menyeberangi jambatan sementara yang menjadi laluan pekerja projek jambatan kedua Sultan Yahya Petra.

Ekoran kejadian itu, pelbagai agensi turut terlibat dalam operasi menyelamat mangsa di kawasan berkenaan di samping menerima kunjungan dari pemimpin tempatan termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa berhubung tragedi yang menimpa bekas pelajar Kolej Polytech Mara itu.

Sikap ganjil petanda ajal



Sikap ganjil petanda ajal
Pengawai Penyiasat Trafik Daerah, Inspektor Abdul Zaki Zainal (kanan) sedang melakukan siasatan terhadap mangsa kemalangan di Jalan Bukit Rambai, kelmarin.
Aminur Asyraff
Aminur Asyraff
BUKIT RAMBAI - Seorang bapa tidak menyangka sikap ganjil anak yang sempat bersalaman sambil berpelukan dengan beberapa rakan sekolah sebelum keluar menuju ke rumah seorang kawan sebagai petanda ajalnya sudah tiba.

Nor Shaharani Yaakub, 47, berkata, ketika kejadian itu dia sedang berada di rumahnya di kuarters kakitangan penjara di Sungai Udang.

Menurutnya, kejadian itu dimaklumkan oleh rakan-rakan, beberapa jam sebelum anaknya, Aminur Asyraff, 17, terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga maut di tempat kejadian di Jalan Bukit Rambai-Tanjung Minyak di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, pada malam kejadian, anaknya sempat menikmati makan malam bersama keluarga sebelum meminta izin untuk keluar sebentar ke rumah seorang rakan di Bukit Rambai.

“Pada masa itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sebab memang biasa dia keluar ke rumah rakan. Sehinggalah seorang kenalan menghubungi saya memaklumkan anak kedua saya itu terlibat dalam kemalangan.

“Saya berasa tidak sedap hati kerana pada mulanya rakan yang menghubungi saya menyuruh kami sekeluarga terus ke hospital namun kemudiannya menyarankan saya terus ke lokasi kejadian kerana ambulans enggan mengangkat anak saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kejadian itu berlaku jam 11.30 malam.

“Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun dari arah Bukit Rambai telah membelok ke arah Taman Rambai Jaya dan telah bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Mangsa yang mendapat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Polis juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut supaya dapat menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul Zaki Zainal di talian 019-6666063 bagi membantu siasatan.

Pondan berang 'port' diserbu



pelacur pondan warga Thailand
Sekumpulan pelacur pondan warga Thailand yang ditahan dalam operasi yang dilakukan Jabatan Imigresen, kelmarin.
IPOH - Gara-gara enggan ditahan pihak berkuasa, beberapa pondan bertindak agresif dengan mencakar dan menggigit anggota Jabatan Imigresen dalam satu serbuan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini malam kelmarin.

Kumpulan pondan yang berasal dari Thailand ini turut diberikan jolokan ‘bapok tangga’ kerana berpakaian seksi dan didapati bergiat aktif di sekitar tangga premis kedai bagi mendapat perhatian pelanggan.

Pelacur pondan yang berusia antara 24 ke 28 tahun itu cuma mengenakan bayaran RM30 hingga RM50 jika pelanggan mahu mendapatkan perkhidmatan seks daripada mereka.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas aktiviti jijik mereka berjaya dihidu Jabatan Imigresen di sini.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak, Irwan Zahid berkata, pihaknya terlebih dahulu mengintip pergerakan pelacur pondan terbabit sebelum menyerbu lokasi mereka menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.

Menurutnya, sewaktu serbuan dijalankan, pelacur pondan warga Thailand itu terkejut malah ada dalam kalangan mereka yang cuba melarikan diri ke tingkat atas bangunan bagi mengelakkan diri dicekup.

“Malah, empat daripada pondan terbabit turut ‘mengganas’ sebelum anggota kami berjaya menghentikan tindakan agresif mereka itu.
“Selain itu, mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah memasuki negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Irwan berkata, seramai 27 anggota bertindak melakukan operasi di beberapa buah di sekitar bandar raya ini.

Katanya, dua rumah yang disasarkan adalah di Kampung Kepayang, Fair Park dan Tanjung Rambutan.

“Dalam serbuan di Kampung Kepayang, Fair Park, kami memberkas dua lelaki, empat perempuan dan dua kanak-kanak perempuan warganegara Indonesia berusia antara dua hingga 35 tahun yang didapati tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini.

“Operasi turut dilakukan di sebuah rumah di Tanjung Rambutan, di sini, sebelum empat lelaki warga Myanmar berusia 23 hingga 36 tahun diberkas kerana tidak mempunyai dokumen sah untuk tinggal di negara ini.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal di negara ini tanpa pas yang sah,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir pada jam 2 pagi itu dianggap berjaya berikutan ramai pendatang asing berjaya diberkas hasil dari intipan dan maklumat awam.

Ibu jari putus akibat terbelit tali lembu




24 Februari 2013
ALOR SETAR - Seorang penternak lembu terputus ibu jari kanan akibat terbelit tali lembu di Kampung Charuk Ketiak, Mukim Pelubang, Jitra semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 6 petang ketika dia mahu memasukkan lembu-lembunya ke dalam kandang yang terletak kira-kira 600 meter dari rumahnya.

Shuid Ariffin, 65, berkata kejadian berlaku apabila lembu-lembunya didatangai sekumpulan anjing dari kawasan berhampiran.

Akibat itu seekor anak lembu betina berusia setahun yang dia sedang memegang talinya menjadi terkejut dan terus mengheret tali itu.

"Tanpa disedari, tali itu telah membelit ibu jari saya. Saya lihat darah keluar dari jari saya dan saya rasa kebas. Kemudiannya baru saya perasan ibu jari saya telah putus kira-kira satu inci (2.54 sm)," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Shuid berkata apabila mendapati jarinya putus, dia segera mengayuh basikalnya balik ke rumah sambil memegang jari yang putus itu dengan tangan kiri.

Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra oleh jirannya sebelum dia dirujuk ke HSB.

Dia yang mengidap penyakit darah tinggi berkata doktor memberitahu yang jarinya terpaksa dibedah, namun terpaksa menunggu sehingga keadaan darahnya stabil.

"Doktor kata jika darah saya makin elok, baru boleh bedah. Saya pun tak pasti sama ada jari saya boleh dicantum balik atau tidak," katanya.

Shuid berkata dia reda dengan kejadian itu dan tidak serik untuk terus membela lembu.

"Saya memang minat bela lembu. Sudah lebih 10 tahun saya bela lembu," ujarnya.- Bernama

Pemuda maut dibelasah gara-gara mencuri pisang




BUNGKUSAN guni berisi pisang yang didakwa dicuri dan motosikal milik mangsa di Kampung Rahmat Luar, Tanah Merah, Kelantan semalam.


TANAH MERAH – Gara-gara didakwa mencuri pisang, nyawa seorang pemuda melayang apabila dibelasah sehingga mati dengan kayu oleh beberapa orang lelaki dalam kejadian di Kampung Rahmat Luar di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Mohd. Khairul Azman Mohd. Shaufi yang berusia 37 tahun cedera parah di kepala setelah dibelasah oleh suspek-suspek sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Jeli pada pukul 11.50 malam.
Polis kemudian menahan empat lelaki yang berumur antara 28 hingga 37 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah dilihat oleh seorang suspek sedang memikul seguni pisang di Kampung Jakar di sini yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Kampung Rahmat Luar.
“Suspek cuba menangkap si mati, berlaku pergelutan tetapi mangsa berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di situ.
“Selepas itu, suspek telah memaklumkan kepada bapa saudara dan dua lagi rakannya untuk mencari mangsa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Abdul Aziz seterusnya berkata, empat lelaki itu kemudian terserempak dengan mangsa di Kampung Rahmat Luar dan memukulnya sehingga cedera parah.
Mohd. Khairul yang bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai isteri serta empat orang anak disahkan meninggal dunia di Hospital Jeli pada pukul 11.50 malam.
“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan mangsa didapati mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2Llr5IptL 
Hakcipta terpelihara 

Polis selamatkan 23 GRO Vietnam di pusat karaoke




SEBAHAGIAN GRO Vietnam yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Polis menyerbu sebuah pusat karaoke dekat Menara PGRM, Pudu Ulu di sini dan berjaya menyelamatkan 23 wanita pegawai perkhidmatan pelanggan (GRO) yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
Serbuan dilakukan sepasukan polis unit Anti Pemerdagangan Orang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman diketuai Deputi Superintendan Nor Omar Sappi, kira-kira pukul 1 pagi semalam.
Menurut Nor Omar, kesemua wanita Vietnam berumur antara 19 hingga 35 tahun itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan empat individu termasuk penjaga dan juruwang premis tersebut turut untuk diambil keterangan.
Katanya, risikan polis mendapati, pelanggan yang mahu layanan seks daripada gadis Vietnam tersebut hanya perlu berbincang terus dan bayaran dikenakan sebanyak RM300.
"Pemilik premis mengambil wanita Vietnam kerana mahu cepat mengaut untung kehadiran pelanggan yang banyak yang datang kerana mahu menikmati layanan seks wanita Vietnam," ujar.
Jelasnya lagi, pengusaha premis bakal berhadapan dengan tindakan Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.
Semua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini untuk tindakan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2Llqr2XYA 
Hakcipta terpelihara 

Tiga maut kenderaan terbabas langgar pokok




REMUK.Beginilah keadaan kenderaan Triton yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM 24, Lebuh Raya Pasir Gudang, Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Tiga sekawan maut apabila kenderaan yang dinaiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan di Kilometer (KM) 24, Lebuh Raya Pasir Gudang di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, K. Thanasegaran, 34, memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Triton gagal mengawal kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Roslan Zainuddin berkata, kenderaan itu terbabas hingga melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.
Akibatnya, salah seorang daripada mereka yang dikenali F. Veronica, 22, yang duduk di bahagian belakang tersepit dalam kenderaan yang melekat pada pokok tersebut.
Seorang lagi penumpang, K. Dinesh Kumar, 26, tercampak keluar dari kenderaan dan terpelanting ke bahu kiri jalan.
Sementara Thanasegaran dijumpai berhampiran kenderaan berkenaan.
Menurut Mohd. Roslan, ketiga-tiga mangsa berasal dari Kuala Lumpur itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.
"Kemalangan tersebut tidak melibatkan kenderaan lain dan ia berpunca daripada kegagalan pemandu yang gagal mengawal kenderaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2LlqhQYbY 
Hakcipta terpelihara 

Derita jerat cinta lelaki Flores




ABDUL Hamid mencium pipi Munirah sambil mendukung Mohamad Tajul dengan 
diperhatikan oleh Robeah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Seorang wanita dari Tanjung Dawai, Kedah mengalami pengalaman pahit selama enam tahun hidup menderita termasuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji 250,000 rupiah (RM80) sebulan gara-gara mengikut kekasihnya lari ke Pulau Flores, Indonesia.
Bukan itu sahaja, Munirah Abdul Hamid, 22, yang menghilangkan diri selepas pulang dari sekolah pada tahun 2007, terpaksa bersabung nyawa dengan terjun ke laut dan berenang hampir sehari suntuk dari perairan Johor ke Pulau Batam, Indonesia.
Mereka terpaksa berbuat demikian selepas bot yang dinaiki dari Tanjung Dawai itu ditahan pihak penguat kuasa maritim.
Bagaimanapun, pengorbanan Munirah menjerat diri sendiri apabila lelaki tersebut bertindak meninggalkannya semasa mereka tiba di Pulau Batam.
Akibatnya, Munirah terpaksa bekerja hampir dua tahun sebagai pembantu rumah di Batam dengan gaji RM80 sebulan sebelum dia membawa diri ke Pulau Adonara, Flores Timur.
Sewaktu di pulau itu, dia berkenalan dengan duda, Mohd. Najib, 35, atau Yohanes (nama sebelum memeluk Islam) dan berkahwin pada tahun lalu.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak, Mohamad Tajul Azzez yang kini berusia sembilan bulan.
"Pengalaman melarikan diri bukanlah indah tetapi amat menakutkan, cuma entah mengapa saya tidak teringat kepada keluarga, macam kena pukau.
"Selepas ini saya mahu mulakan hidup baharu dan tidak akan pulang lagi ke sana (Indonesia)," katanya.
Nasib Munirah hanya diketahui keluarganya selepas Mohd. Najib menelefon keluarga isterinya itu pada akhir tahun lalu.
Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dengan bantuan Wisma Putra, pemerintah Indonesia serta Penyelaras Parlimen Merbuk, Datuk Tajul Urus Md. Zain mengambil masa sebulan untuk membawa pulang Munirah sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam.
Sebaik keluar dari balai ketibaan, Munirah menerpa dan melutut di kaki ibunya, Robeah Hamid, 52, sebelum memeluk bapanya, Abdul Hamid Mat, 51, untuk memohon maaf.
Dia turut ditemani Mohd. Najib Abdullah, 35, dan Mohamad Tajul.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2LlqANbb3 
Hakcipta terpelihara 

Bakal Kapten MAS dipenjara enam tahun seludup dadah ke Australia



MELBOURNE - Seorang rakyat Malaysia yang cuba menyeludup methamphetamine bernilai A$1 juta (RM3.1 juta) melalui Lapangan Terbang Sydney dijatuhi hukuman penjara enam tahun di sini Jumaat lalu.
Thiagu Supramaniam, 32, yang bakal dinaikkan pangkat Kapten pesawat Boeing 747, Malaysia Airlines (MAS) ditahan memiliki 4.49 kilogram dadah jenis itu untuk disampaikan kepada seorang lagi pembawa di Hotel Stamford di Sydney, demikian lapor Daily Telegraph.
Supramaniam ditahan apabila kastam melakukan pemeriksaan rambang di pesawatnya selepas tiba dari Kuala Lumpur pada 10 Januari tahun lalu dan menemui enam pakej dadah itu di dalam bagasinya.
Dia mengaku bersalah menyeludup dadah tersebut.
Dia mengaku kepada pihak penyiasat di negara berkenaan, dia mengimport empat kali pakej serupa ke Australia.
Mahkamah diberitahu, Supramaniam menjadi kaki judi dan membuat perjanjian dengan peminjam wang yang mempunyai kaitan dengan kartel dadah.
Dia mula membuat pertaruhan perlawanan bola sepak semasa Piala Euro 2008 dan berhutang lebih A$15,000 dengan faedah tinggi.
Pada Jumaat, Hakim Ian McClintock di Mahkamah Daerah menjatuhi hukuman penjara enam tahun ke atas Supramaniam. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2LlppDElD 
Hakcipta terpelihara 

45 individu ditahan reman



SEKUMPULAN wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam semalam bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu kes pembelian bayi daripada sindiket yang menjual bayi.


BUKIT MERTAJAM - Polis semalam mendapat kebenaran daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mereman 45 individu bagi membantu siasatan terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi dengan menjual bayi dan kanak-kanak selama empat hari hingga Selasa ini.
Jumlah itu termasuk kes terbaharu membabitkan dua orang wanita yang ditahan dalam serbuan berasingan di Subang Jaya dan Cheras, Selangor kelmarin.
Hasil kejayaan itu, polis berjaya menemui seorang lagi bayi lelaki berusia dua bulan, menjadikan jumlah keseluruhan bayi yang diselamatkan ialah 22 orang.
Ketua Polis Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun terdiri daripada pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah.
"Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda," katanya.
Menurut Abdul Rahim, kejayaan menyelamatkan seorang bayi berusia dua bulan daripada menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak kelmarin selepas polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah pada pukul 1 petang di USJ, Subang Jaya.
Katanya, dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan.
Menurutnya, susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi wanita di Cheras, Selangor pada hari sama bagi membantu siasatan.
"Sehingga semalam (hari ini), kita berjaya menyelamatkan 22 bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang," katanya.
Kelmarin, akhbar melaporkan, 21 bayi dan kanak-kanak diselamatkan di Selangor, Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an dipercayai dalang sindiket berkenaan ditahan.
Pada 24 Januari lalu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.
Siasatan awal polis mendapati, bayi dan kanak-kanak itu dijual antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi dan kanak-kanak tersebut. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2LlpdV1lz 
Hakcipta terpelihara