Search This Blog

Wednesday, February 20, 2013

5 pekerja cedera dihempap kerangka besi

KUALA TERENGGANU: Lima pekerja binaan cedera apabila kerangka besi bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, di sini, yang sedang dibaik pulih runtuh dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi.
Ketika kejadian, lima pekerja terbabit sedang melakukan kerja-kerja pemotongan bagi menggantikan kerangka besi lama bumbung stadium itu. 
Bagaimanapun, kerangka besi sepanjang 137 meter itu runtuh dan menghempap pekerja terbabit menyebabkan mereka mengalami kecederaan pada kaki, tangan dan badan.

Pekerja yang cedera dikenali sebagai Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 22, Mohd Saidi Ismail, 21, Ahmad Safuan Abdul Manaf, 21, Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan Mohd Syukri Jusoh, 31.
Foto
Keadaan kerangka bumbung yang separuh runtuh semasa kerja-kerja memotong dijalankan. FOTO Aswadi Alias

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada kelemahan struktur utama bumbung yang tidak dapat menahan beban selepas melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung.

Stadium itu sebelum ini mendapat perhatian seluruh negara apabila sebahagian bumbungnya runtuh secara tiba-tiba pada 2 Jun 2009.

Lelaki didakwa sebabkan kematian rakan di sebuah pangsapuri


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang rakannya di sebuah pangsapuri di Salak Selatan, tahun lepas.

Kuen Poh Wah, 39, dari Desa Petaling, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Gan Chee Hoe, 28, di Desa Seri Puteri, Salak Selatan, Cheras antara 5 petang hingga 7 malam pada 11 Dis 2012 mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes.

Beliau turut memerintahkan Kuen melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Amin Abdullah. - Bernama

Harimau kumbang yang serang buruh ladang mengganas lagi



GUA MUSANG: Seekor harimau kumbang yang mencederakan seorang buruh ladang dua minggu lepas mengganas lagi apabila dipercayai membaham tiga ekor biri-biri milik seorang peneroka di Tanah Rancangan Felda Perasu, di sini.

Berikutan itu, peneroka di tanah rancangan itu bimbang untuk memasuki kawasan ladang sawit kerana percaya haiwan itu masih bersembunyi di kawasan berkenaan.
Penternak biri-biri, Mohd Shafie Mohd Yunus, 66, berkata tiga ekor kambingnya mati dibaham harimau itu sejak minggu lepas.

Beliau berkata kini haiwan ternaknya kini hanya tinggal 25 ekor dan beliau bimbang akan mengalami kerugian besar sekiranya haiwan itu tidak segera ditangkap.


"Biri-biri pertama dibaham pada malam 16 Feb apabila saya menemui sebatang kaki anak biri-biri yang ditinggalkan harimau berkenaan yang menceroboh kandang di kawasan ladang sawit.


"Sehari selepas itu, seekor ibu kambing biri-biri pula menjadi mangsa dan bangkai biri-biri itu ditinggalkan dalam kandang," katanya.

Mohd Shafie berkata terbaru pula berlaku dua malam lepas antara 11 malam hingga 4 pagi apabila seekor lagi biri-biri hilang dipercayai dibaham harimau bintang itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi 10 Feb lepas, seorang buruh ladang rakyat Indonesia, Alip Abil, 33, cedera diterkam harimau kumbang itu ketika sedang menjalankan kerja meracun rumput dalam kawasan ladang sawit itu bersama tujuh rakan yang lain.

Mangsa bergelut hampir 10 minit dengan harimau berkenaan sebelum diselamatkan rakan-rakannya selepas menjerit dan menerima 50 jahitan di Hospital Gua Musang (HGM). - Bernama

Lelaki ditahan bantu siasatan kes pemilik kelab hiburan diculik



KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang pemilik kelab hiburan yang masih hilang, dipercayai diculik, dan keretanya dibakar 2 Feb lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada 4 petang Ahad lepas, di kawasan Brickfields.
"Suspek ditahan direman sehingga esok bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah perniagaan dan gangsterisme.


"Sehingga kini tiada sebarang wang tebusan yang dituntut dan kami juga percaya suspek yang ditahan adalah orang yang mungkin dikenali mangsa," katanya.


Ku berkata dengan penahanan lelaki itu, polis sehingga kini telah menahan tiga orang suspek sejak kes itu dilapor bagi membantu siasatan.

Dua lelaki berusia 27 dan 30 tahun ditahan, masing-masing seorang pada hari kejadian di kawasan Puchong dan di kawasan Dang Wangi pada 5 Feb.

Dalam kejadian 2 Feb lepas, seorang ahli perniagaan dipercayai diculik empat lelaki yang menyamar sebagai polis manakala kereta BMW 5 Siri miliknya ditemui terbakar di Jalan Hulu Yam.

Siasatan awal mendapati empat lelaki berusia antara 30-an dan 40-an 'menahan' mangsa di lobi sebuah hotel di Petaling Jaya, pada 7.20 malam, dan dibawa ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra berwarna hitam.

Dipercayai selepas menahan ahli perniagaan itu, suspek melarikan kereta mangsa sebelum dibakar di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam, Gombak. Rangka kereta itu ditemui keesokan harinya pada 7.20 malam. - Bernama

Tersepit bawah katil

Teluk Intan: “Saya panik sebaik mendengar jeritan seorang anak saudara dan dua anak lelaki yang tersepit di bawah runtuhan kayu dan katil sejurus rumah kami roboh dirempuh sebuah lori yang dikejar kereta peronda polis,” kata pemilik rumah, Mohd Kadri Ambu Amar, 43, yang menetap di Kampung Belakang Kilang Padi, Jalan Jawa, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sebuah lori seberat satu tan merempuh tiang bahagian anjung hadapan rumah berkenaan menyebabkan sebuah bilik di atas rumah kayu itu runtuh.
Kejadian itu menyebabkan tiga mangsa yang sedang tidur, Khairul Amirin Mohd Kadri, 8, dan abangnya, Khairul Ihwan, 12, serta sepupu mereka, Mohd Maizie Syarezal Mohd Nor, 20, tersepit di bawah katil serta runtuhan dinding rumah yang roboh.

“Kejadian berlaku ketika saya dan isteri, Rahimah Awang, 43, sedang tidur di bilik berasingan sebelum terdengar dentuman kuat yang menggegarkan rumah kayu.
Foto
KEADAAN rumah mangsa yang dirempuh lori.

“Sebaik mendengar bunyi dentuman itu, saya dan isteri serta seorang anak perempuan berlari ke anjung rumah dan terkejut apabila mendapati sebuah bilik tidur runtuh, manakala tiang besar rumah tercabut akibat diseret lori berkenaan,” katanya.

Suami ditetak mati depan isteri

Johor Bahru: Seorang isteri hanya mampu menjerit melihat suaminya ditetak hingga mati oleh empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyebabkan badan, tangan dan muka mangsa hampir hancur di sebuah kedai makan di Kampung Baru Pandan di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, mangsa, P Gunasegaran, 60, yang juga peniaga sebuah kedai makan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan pendarahan dialami.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Dr Hashim Haron berkata, ketika kejadian, hanya ada seorang pelanggan di kedai berkenaan.
“Sejurus pelanggan itu masuk ke tandas, empat suspek yang datang menaiki sebuah kereta terus menyerang mangsa dengan menetaknya lebih enam kali di muka, kedua-dua tangan dan badannya.

“Tetakan itu mengakibatkan mangsa cedera parah dan mati di tempat kejadian. Kejadian berlaku di depan isteri mangsa menyebabkan wanita itu yang panik tidak sempat melakukan apa-apa kerana berlaku begitu pantas,” katanya, semalam.

Menurutnya, keempat-empat suspek terus meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemudian manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
Foto
KEDAI makan tempat Gunasegaran ditetak.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek masih berjalan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Amah ‘lambung’ dijel 20 tahun

Kuantan: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap pembantu rumah warga Indonesia selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera anak lelaki majikannya yang berusia empat bulan Jumaat lalu.
Yuliana, 23, dari Aceh, Indonesia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan, bergenang air mata selepas Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman.
Dia yang memakai baju lokap ungu didakwa menghempas dan melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa pada jam 7.45 pagi, 15 Februari lalu di rumah ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Foto
YULIANA dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara.

Bagi pertuduhan kedua, Yuliana dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya Mohamed Hareez menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa pada tarikh, lokasi dan masa sama yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau atau kedua-duanya.

Pengedar tak sempat jual bekalan



Mohamad Nasir Ramli
Mohamad Nasir Ramli
MUAR - Seorang pengedar dadah tidak sempat menjual bekalan tersebut kepada pelanggannya apabila dia dicekup sepasukan anggota Jabatan Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kerana didapati menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Jalan Abdullah, di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai tiga paket plastik lut sinar yang mengandungi serbuk putih dipercayai dadah yang disembunyikan dalam poket pakaiannya.

“Heroin seberat 3.78 gram (g), syabu (10.35g) dan ganja (2.68g) yang dijumpai ini dianggarkan bernilai RM1,500 tetapi nilainya dijangka boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda apabila dijual kepada penagih.

“Kesemua dadah ini dipercayai boleh menampung bekalan kepada 35 penagih sekitar daerah ini dan daerah berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Bakri dan tidak mempunyai pekerjaan itu telah menjadikan kegiatan tersebut pekerjaan utamanya secara kecil-kecilan sejak setahun lalu.

Jelasnya, siasatan lanjut dilakukan ke atas suspek bagi mengenalpasti sumber  sebenar dia memperoleh bekalan bahan terlarang itu.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, menerusi operasi Jabatan Narkotik IPD Muar bermula 8 hingga 17 Februari lalu, di sekitar daerah ini telah berjaya menahan 28 penagih dadah.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun dan mereka  disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

'Mengucap ayah, mengucap'



'Mengucap ayah, mengucap'
Mayat Gimun ditutupi kain putih selepas meninggal dunia berhampiran Hentian Bas Simpang Kota Bahagia, di sini, pagi semalam.
'Mengucap ayah, mengucap'
Gimun
MUADZAM SHAH – “Mengucap ayah, mengucap,” hanya itu sahaja perkataan yang sempat dikatakan seorang menantu tiri, David Joni Putra, 36, kepada bapa mentuanya yang tiba-tiba rebah dan meninggal dunia berhampiran Perhentian Bas Simpang Tiga Kota Bahagia, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku sewaktu bapa mentuanya, Gimun, 41, keluar dari kereta yang dipandu menantunya itu untuk menaiki sebuah teksi yang sedang menunggunya di hentian bas terbabit.

David Joni berkata, sebaik sahaja tiba di hentian itu, bapa mentuanya itu tiba-tiba longlai tetapi dia yang ketika itu berada berhampiran Gimun sempat memaut bahu lelaki itu supaya tidak terjatuh.

“Saya terus membaringkannya dan menyuruhnya mengucap kerana suaranya tidak lagi kedengaran, sebaliknya hanya nafasnya sahaja yang tercungap-cungap,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut David Joni, bapa mertuanya itu mengambil teksi sewa untuk ke kedutaan di Johor Bharu dan akan menaiki feri untuk pulang ke negara asalnya di Medan, Indonesia.

Katanya, semasa dalam perjalanan dari rumahnya di Ladang Bukit Serok itu, bapa mentuanya itu tidak menunjukkan sebarang tanda tidak sihat.

“Dia lebih banyak berdiam diri. Cuma dia ada bertahu saya yang dia mahu cepat sampai ke hentian itu kerana tidak mahu pemandu teksi menunggunya lama di situ,” katanya.

Menurutnya, bapa mentuanya itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu jentolak dan tinggal di Muadzam Shah, namun sejak seminggu lalu dia membawa bapa mentuanya itu tinggal bersamanya di ladang berkenaan.

“Sebenarnya saya baru tahu dia sakit dan kami ambil keputusan untuk membawanya tinggal bersama kami kerana bimbangkan kesihatannya yang tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, bapa mentuanya itu merancang untuk pulang semula ke Indonesia bagi melawat isteri dan anak-anaknya, namun hasratnya itu tidak kesampaian.

“Semasa berada di rumah kami, arwah kelihatan gembira seolah-olah tidak sabar untuk pulang menemui keluarganya di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, mangsa dipercayai rebah dan meninggal dunia di Kilometer 118.9 Jalan Kuantan Segamat berdekatan Perhentian Bas Simpang Tiga Kota Bahagia.

Johari berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu telah membawa mayat mangsa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

 “Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami dan polis mengklasifikasikan mangsa mati mengejut.

"Mayat mangsa pula akan dituntut waris terdekat bagi urusan pengebumian,” katanya.

20 Pati ditahan

KANGAR - Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) India ditahan dalam serbuan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di dua premis di Taman Utara, Jejawi, dekat sini, awal pagi semalam.

Seramai 15 orang daripada mereka ditahan dalam sebuah rumah yang didiami mereka di taman perumahan itu, manakala lima lagi ditahan di sebuah bangunan kedai di taman perumahan sama.

Komander UPP Kawasan Chuping, Asisten Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, semua lelaki yang ditahan dalam serbuan jam 1.30 pagi itu berumur antara 20 dan 43 tahun serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, mereka dipercayai berada di Taman Jejawi sejak lebih sebulan lepas untuk mencari pekerjaan di sektor pembinaan di Perlis.

“Hasil siasatan mendapati, mereka memasuki negara ini pada 2011 melalui Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) dan pernah bekerja di sektor pembinaan di sekitar Lembah Klang.

“Kami percaya kehadiran pendatang ini diurus ejen tertentu tetapi mereka belum ada pekerjaan sejak berada di sini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Semua mereka diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. - Bernama

Ditetak di hadapan isteri



Ditetak di hadapan isteri
Gunasegara maut di tempat kejadian.
JOHOR BAHRU – Seorang peniaga diperlakukan dengan kejam apabila ditetak di badan dan muka oleh sekumpulan penjenayah di hadapan isterinya dalam kejadian di kedai makan di Kampung Baru Pandan di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira 11.15 malam kelmarin itu, mangsa P Gunasegaran, 60, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan oleh empat lelaki bertopeng ketika sedang menikmati hidangan bersama keluarga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Dr Hashim Haron berkata, ketika kejadian, hanya ada seorang pelanggan lain di situ.

“Namun, sebaik pelanggan berkenaan beredar untuk ke tandas, empat suspek yang datang ke situ dengan menaiki sebuah kereta terus menyerbu dan menyerang mangsa dengan senjata tajam dipercayai parang.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditetak lebih enam kali di bahagian muka, badan dan kedua-dua tangannya. Akibat tetakan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan mati di tempat kejadian,” katanya.

Dr Hashim berkata, kesemua suspek melarikan diri sejurus melihat keadaan mangsa yang parah.

“Mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.

“Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan meminta saksi atau orang ramai menghubungi balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Enam sekeluarga nyaris maut


Enam sekeluarga nyaris maut
Keadaan rumah yang di rempuh lori di kejar polis peronda IPD Teluk Intan awal pagi semalam.
TELUK INTAN - Lena enam sekeluarga bukan sahaja terganggu malah bertukar mimpi ngeri selepas nyaris maut apabila rumah mereka dirempuh sebuah lori yang dikejar kereta peronda polis awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, menyebabkan tiga ahli keluarga tersepit di celah-celah katil dan almari pakaian selepas lori merempuh bahagian anjung bilik hadapan rumah berkenaan di Kampung Belakang Kilang Padi, Jalan Jawa, di sini.

Mangsa, Mohd Kadri Ambu Amar, 43, seorang pemandu kenderaan di pejabat Jabatan Tenaga Kerja Hilir Perak ketika di temui berkata, sebaik mendengar bunyi dentuman, beliau bersama isteri dan seorang anak perempuan lari keluar sebelum mendapati sebahagian dinding papan rumah terburai serta tiang hadapan tercabut diseret lori berkenaan.

"Secara tiba-tiba seorang lelaki dipercayai pemandu lori lari meninggalkan lori berkenaan ke arah kampung.

"Dalam masa sama, dua anggota polis cuba untuk mengejar namun gagal kerana keadaan sangat gelap ketika itu," katanya.

Mohd Kadri berkata, sejurus selepas itu, dia terdengar tangisan dan apabila diperiksa seorang anak termasuk dua anak saudara tersepit di celah katil dalam runtuhan itu.

“Saya bergegas menarik mereka keluar dan bersyukur mereka tidak mengalami kecederaan serius.

"Ketiga-tiga mereka yang cedera, Mohd Maizie Syarezal Mohd Nor, 20, Khairul Ihwan Mohd Kadri, 12 dan Mohd Khairul Amirin Mohd Nor," katanya.

Katanya, dia sekeluarga menyewa rumah berkenaan sejak lima tahun dahulu.

"Kerugian yang dialaminya hampir RM3,000 selepas beberapa almari pakaian dan katil rosak disebabkan rempuhan ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, sebuah kereta peronda polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah berdekatan Kampung Batu 8, Jalan Maharaja Lela terserempak dengan lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu lori berkenaan bertindak memecut lorinya ke arah bandar Teluk Intan selepas diarah berhenti oleh pihak polis itu.

"Apabila sampai di Jalan Jawa, di sini, pemandu berkenaan dipercayai sesat dan terus memandu lorinya memasuki kampung sebelum merempuh rumah berkenaan," katanya.

Katanya, pemandu tersebut sempat mengambil kunci lori sebelum meloloskan diri dalam kawasan gelap di dalam kampung itu.

Doktor terlepas tuduhan cabul



JOHOR BAHRU - Seorang doktor pakar yang didakwa atas tuduhan mencabul pesakitnya dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah majistret di sini, semalam.

Majistret, Mohd Azlan Shah Mohd Allias menetapkan keputusan itu terhadap Ballan Kannan, 48, yang didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, doktor dari sebuah hospital pakar perubatan swasta itu didakwa menggunakan kekerasan dan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga seorang ibu tunggal berusia 34 tahun.

Tertuduh yang juga seorang ahli perniagaan didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah klinik di tingkat tiga Hospital Pakar Johor, Jalan Abdul Samad di sini, antara jam 10.30 pagi hingga 11 pagi pada 19 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebat.

Sementara itu, di luar mahkamah, Poh Lai akan menghantar rayuan ke Peguam Negara bagi permohonan meneruskan kes tersebut dan akan berunding dengan mangsa bagi mengambil tindakan saman sivil.

Padah masuk jalan mati


Din Ahmad
Din Ahmad
BATU PAHAT - Gara-gara tersalah masuk jalan mati, seorang pencuri kenderaan pacuan empat roda berjaya ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, minggu lalu.

Difahamkan, lelaki berkenaan giat mencuri kenderaan terutamanya yang ditinggalkan di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian 6 Februari itu berlaku sebaik pemilik pacuan empat roda tersebut memberhentikan kenderaannya di tepi jalan di pekan Semerah.

Menurutnya, meskipun enjin kenderaan dimatikan, pemilik tertinggal kuncinya dan kesempatan itu digunakan suspek melarikan pacuan empat roda tersebut.

“Sebaik menyedari kenderaannya dilarikan kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Polis bertindak menjalankan operasi khas memburu suspek dan kenderaan berkenaan berjaya ditemui di kawasan bandar Batu Pahat kira-kira jam 12.30 pagi keesokannya, selepas beberapa jam ia dilaporkan hilang,” katanya pada sidang media di IPD Batu Pahat, kelmarin.

Beliau berkata, suspek yang menyedari dia diekori polis, berusaha melarikan diri sehingga ke Jalan Kampung Parit Kangkong, Bukit Pasir, di sini.

Jelasnya, suspek yang bukan orang tempatan akhirnya diberkas polis selepas tersalah masuk jalan mati di kawasan kampung berkenaan bersama kenderaan yang dilarikannya.

“Selain kenderaan tersebut, polis juga menemui sebilah pisau dan dua telefon bimbit bersama suspek.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379, Kanun Keseksaan. Mengikut rekod polis, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau melibatkan kes tipu dan samun,” katanya.

Din berkata, orang ramai dinasihatkan berwaspada semasa meletakkan kenderaan dan menempatkan ia di lokasi selamat serta mudah dilihat selain memastikan kunci tidak ditinggalkan.

Remaja dipukul sekumpulan lelaki



Remaja dipukul sekumpulan lelaki
Bapa mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kuala Kurau, Ahad lalu.
KERIAN - Rehat seorang remaja sambil menikmati angin malam bersama tiga rakannya bertukar tragedi apabila dibelasah sekumpulan remaja bermotosikal yang datang ke arahnya secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab di Taman Kurau Aman di sini, Ahad lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali Zul, 17, berkata, sewaktu kejadian jam 11 malam, tiga ahli kumpulan terbabit bertindak menahan tiga rakannya, manakala dia dibelasah teruk lebih tujuh ahli kumpulan berkenaan tanpa belas kasihan.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa menahan sakit kerana dibelasah di seluruh badan. Setelah hampir lima minit saya dibelasah, kesemua ahli kumpulan berkenaan bertindak melarikan diri dan melepaskan tiga lagi rakan saya yang ditahan.

“Mujurlah saya tidak alami luka teruk, hanya calar dan lebam di anggota badan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Susulan kejadian itu, Zul segera memaklumkan kepada ahli keluarga dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Kurau pada jam 12 tengah malam hari kejadian.

Menurutnya, sewaktu kumpulan terbabit melarikan diri, dia sempat merakamkan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki seorang ahli kumpulan itu.

“Saya harap polis dapat menyiasat motif mereka membelasah saya dan segera menyelesaikan kes ini kerana kini saya takut serta trauma untuk keluar rumah,” katanya.

Comel ditahan ketika samun



Abdul Majid Mohd Ali
Abdul Majid Mohd Ali
KLUANG - Seorang lelaki dipercayai suspek kes bunuh dalam kejadian tahun lalu dekat sini, antara yang ditahan bersama tiga rakannya yang terlibat melakukan jenayah di sekitar bandar Kluang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek yang dikenali sebagai Comel bersama kumpulannya ditahan kira-kira jam 6.45 petang selepas mencederakan seorang penjaga pusat hiburan keluarga serta mencabul seorang wanita berusia 18 tahun yang juga pelanggan di pusat berkenaan.

“Mereka turut menyamun seorang warga Pakistan yang berusia 31 tahun di tempat sama sebelum terserempak dengan pasukan peronda polis bit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Menurutnya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun itu ditahan di Flat Perumahan Haji Manan, dekat sini selepas melakukan tiga kesalahan jenayah dalam masa tidak sampai satu jam.

Abdul Majid berkata, modus operandi kumpulan terbabit adalah anggota kumpulan akan mabuk dahulu sebelum melakukan jenayah.

“Siasatan mendapati kumpulan tersebut adalah kutu rayau yang tiada tempat tinggal dan dipercayai aktif melakukan kegiatan samun di sekitar bandar Kluang.

“Bagaimanapun mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan tujuh kejadian kes pecah rumah, cabul dan mencederakan orang di sekitar bandar ini.

“Kesemua suspek kini direman tujuh hari dan akan didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kes samun, Seksyen 324 mencederakan manusia dan Seksyen 354 atas kes cabul,” katanya.

Juruteknik nafi cabul remaja



GEORGETOWN - Seorang juruteknik berdepan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebatan selepas didakwa mencabul kehormatan seorang remaja berusia 13 tahun.

M Samuel John, 25, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Kennedy di sini, kira-kira jam 6.30 petang, 13 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, Samuel didakwa menggunakan kekerasan jenayah mencabul kehormatan remaja itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Samuel mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Siti Salwa Jaafar.

Siti Salwa menetapkan RM6,000 dengan seorang penjamin dan 8 April depan untuk sebutan semula kes.

Lebih sejam tahan sakit



Lebih sejam tahan sakit
Saravanan meraung kesakitan ketika dikeluarkan dari tempat duduk pemandu.
Lebih sejam tahan sakit
Saravanan dikejarkan ke HSR selepas berjaya diselamatkan.
HULU SELANGOR - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan lebih sejam sebelum diselamatkan, setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 407.9 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, dua kilometer sebelum susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, M Saravanan, 43, tersepit di tempat duduk pemandu apabila lori sarat dengan muatan pelbagai barangan hantaran dipandunya, merempuh belakang sebuah treler yang bergerak perlahan.

Menurut kakitangan syarikat perkhidmatan penghantaran segera tempat mangsa bekerja yang enggan dikenali, ketika kejadian, mangsa memandu bersendirian dalam perjalanan dari Taiping menuju Shah Alam.

“Berdasarkan laporan pada buku log, mangsa bertolak dari Taiping pada jam 7.30 malam dan sepatutnya sampai jam 1 pagi tadi (semalam) di Shah Alam.

“Tetapi, lori mangsa dipercayai gagal dikawal ketika menghampiri laluan tersebut kerana kebanyakan kenderaan bergerak perlahan berikutan terdapat penutupan lorong di KM408.9,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan lori mangsa terperosok di belakang treler dan dia tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang kebetulan berada satu kilometer dari tempat kejadian iaitu lokasi kemalangan lain sebelumnya, bergegas untuk membantu mangsa.

“Lori dapat ditarik keluar, tetapi mangsa terpaksa ditenangkan sementara menunggu ambulans.

“Mangsa yang dipercayai patah kaki kanan, kemudiannya dikejarkan ke Hospital Slim River (HSR) untuk menerima rawatan,” katanya.

Difahamkan, terdapat kemalangan serta tumpahan getah di KM408.9 arah Selatan pada jam 11.18 pagi semalam hingga memaksa lorong kiri dan tengah ditutup.

Ketika Propel melakukan kerja pembersihan, berlaku kemalangan kedua di laluan sama kira-kira jam 12.17 pagi semalam menyebabkan kenderaan bergerak perlahan.

Berdasarkan maklumat laman twitter Plus Trafik, terdapat dua kemalangan awal berlaku di KM402.2 arah Selatan pada jam 8.36 malam dan di KM420.4 arah sama pada jam 7.26 malam, namun tidak serius.

Ugut ibu, pemuda dijel 10 bulan




Ugut ibu, pemuda dijel 10 bulan
Mohamad Saufi dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya.
KUALA TERENGGANU - Seorang anak bukan sahaja memaksa ibunya menyerahkan wang, malah lebih melampau, dia mengugut akan mengancam keselamatan mangsa serta merosakkan kereta yang digunakan ke tempat kerja selama ini.

Namun, Mohamad Saufi Ahmad, 21, akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Dia hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) terhadap ibunya, Ani Ali, 57, dengan niat menyebabkannya berasa cemas.

Mohamad Saufi mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun jika disabitkan kesalahan, pada 28 Januari lalu, lebih kurang jam 5.35 petang di kediaman mereka di Kampung Losong Atap Zin, di sini.

Berdasarkan fakta kes, pada 28 Januari lalu, lebih kurang jam 5.30 pagi, mangsa yang baru sampai ke rumah dari bercuti di Melaka telah mendapati keadaan di dalam rumah berselerak, seperti telah digeledah orang.

Mangsa mengesyaki anak sulungnya iaitu Mohamad Saufi yang melakukan perbuatan itu untuk mencari barang-barang berharga sepanjang peninggalannya memandangkan sebelum ini, Mohamad Saufi kerap kali berperangai sedemikian.

Bagaimanapun, pada hari sama lebih kurang jam 4.35 petang, semasa mangsa berada di rumah bersama anak keduanya, secara tiba-tiba Mohamad Saufi muncul dan memaksa mangsa menyerahkan sejumlah wang.

Namun, mangsa tidak mengendahkan permintaan itu menyebabkan Mohamad Saufi naik hantu dengan merosakkan harta benda di dalam rumah serta dalam masa sama, telah mengugut akan mengancam keselamatan mereka berdua melalui SMS.

Tidak cukup dengan itu, Mohamad Saufi turut mengugut akan merosakkan kereta yang digunakan mangsa ke tempat kerja.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa membuat laporan polis sebelum Mohamad Saufi ditangkap pada 31 Januari lalu, lebih kurang jam 3.13 pagi, di kediamannya.

Gagal dapat wang, ugut abang dengan parang



Zamri Shamsuddin
Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Seorang pesara tentera, 54, tidak menyangka keputusannya tidak mahu memberikan wang RM2,000 seperti diminta, mengundang tragedi, apabila dia diugut dengan sebilah parang oleh adiknya.

Kejadian berlaku di Kampung Padang Maras, Batu Rakit, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, suspek berusia 30-an bukan sahaja melakukan ugutan jenayah, malah turut tergamak merosakkan pasu bunga dan cermin kereta milik mangsa,

Menurut sumber, semasa kejadian, mangsa sedang berehat di rumahnya, sebelum didatangi suspek dalam keadaan marah sambil memegang sebilah parang.

“Suspek yang tidak bekerja itu dikatakan telah meminta wang RM2,000 daripada mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan permintaan itu menyebabkan suspek naik angin lalu mengamuk memecahkan pasu bunga yang ada di rumah mangsa,” katanya, semalam.

Menurutnya, tidak puas dengan itu, suspek turut memecahkan cermin belakang kereta Perodua Kancil milik mangsa, sebelum melarikan diri tidak lama kemudian.

“Mangsa yang bimbang keselamatan dirinya terus membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Kelindan, penganggur dituduh rogol suri rumah



KUALA LUMPUR -  Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang suri rumah minggu lalu.

M Denes, 19, yang bekerja sebagai kelindan lori itu bagaimanapun, mengaku tidak bersalah merogol mangsa berusia 29 tahun itu, selepas pertuduhan dibacakan.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakannya, A Niresan, 22, juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan merogol mangsa.

Penganggur itu, didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tumpangan, Jalan Sarawak, Dang Wangi, sekitar jam 6.30 petang, 9 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling, mencadangkan mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas faktor keselamatan.

Sementara itu, peguam, P Rasalingam memohon ikat jamin diberikan dan memohon tarikh sebutan baru.

Hakim, Emelia Kaswati Mohamad Khalid tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes.

Pondok tol ranap dirempuh



Pondok tol ranap dirempuh
Pondok tol musnah dirempuh Perodua MyVi.
Pondok tol ranap dirempuh
Kereta Perodua MyVi yang remuk di bahagian hadapan setelah melanggar pondok tol berkenaan.
SEREMBAN –  Sebuah pondok jurutol di Plaza Tol Senawang di sini ranap dirempuh sebuah kereta Perodua MyVi pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan terbabit yang dinaiki oleh sepasang suami isteri bersama anak mereka berusia enam bulan dari arah lebuh raya tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebuah pondok tol di lorong tunai.

Rempuhan itu mengakibatkan pondok tol terbabit musnah 100 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan ketika kejadian tiada jurutol dalam pondok berkenaan.

Malah mangsa yang dipercayai mahu pulang ke rumahnya di Taman Seremban Jaya juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang jurutol, Bainun Yaakob, 50, berkata, ketika kejadian dia baru setengah jam sampai ke tol terbabit untuk memulakan tugasnya pada jam 6 pagi.

“Saya berada di dalam bangunan plaza tol bersama seorang rakan dan kami tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat seperti bunyi rempuhan.

“Saya ingatkan kemalangan antara kenderaan dan saya pun turun ke bawah bagi melihat apa yang berlaku dan tidak sangka sebuah pondok tol tunai roboh dirempuh sebuah kereta,” katanya.

Menurutnya, sejak 26 tahun bekerja di situ, sudah empat kali kejadian rempuhan tol berlaku.

Bainun berkata, kejadian seumpama itu mengundang rasa bimbang pekerja jurutol kerana ia boleh menjejaskan keselamatan mereka.

Dua pengedar dadah kantoi



Che Suza Che Hitam
Che Suza Che Hitam
KEMAMAN - Dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah kantoi apabila dicekup polis bersama dadah jenis pil kuda dan syabu bernilai kira-kira RM22,500 dalam tangkapan di kawasan lembah Geliga, Ahad lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 1.30 pagi selepas polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang sedang menjalankan operasi mengesan gerak geri curiga suspek.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, sebelum penahanan itu, polis mengesan sebuah Proton Perdana yang dinaiki tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun berhenti berdekatan sebuah rumah sebelum salah seorang daripadanya turun dan meninjau keadaan rumah terbabit.

“Anggota polis yang melakukan operasi waktu itu berasa curiga lalu anggota itu mengetuk cermin kereta itu dan memperkenalkan diri sebelum mengarahkan kedua-dua lelaki yang berada dalam kereta supaya keluar.

“Tetapi mereka ingkar dan cuba mengundur kereta lalu terlanggar dengan sebuah kereta orang awam di situ. Waktu itu, polis sempat menendang cermin depan sebelah kiri dan kereta itu berhenti, lalu kedua-dua suspek cuba melarikan diri,” katanya.

Namun, ketika cuba lari, kedua-duanya terjatuh di atas jalan lantas berlaku pergelutan kecil sebelum suspek dapat ditangkap.

“Pemeriksaan yang dilakukan dalam kereta itu menemui sebuah kotak alat ganti kereta yang mengandungi tiga paket plastik berwarna biru yang masing-masing terdapat 200 biji dadah jenis pil kuda menjadikan keseluruhan pil sebanyak 600 biji yang dianggarkan bernilai RM15,000.

“Turut ditemui, dadah dipercayai jenis syabu seberat 15 gram yang dianggarkan bernilai RM4,500 serta seunit alat penimbang digital,” katanya.

Hasil ujian air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah.

Sehubungan itu, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.

Lari ke ladang sawit elak ditangkap


Lari ke ladang sawit elak ditangkap
Kesemua warga Vietnam yang ditangkap ditahan untuk siasatan.
MANJUNG - Lapan warga Vietnam yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sanggup melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit untuk mengelakkan daripada ditangkap pihak imigresen dalam operasi, petang semalam.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Zali berkata, tindakan pantas anggotanya telah berjaya menahan kelapan-lapan warga Vietnam yang cuba melarikan diri itu.

Menurutnya, operasi bermula jam 7.30 petang itu tertumpu di restoran yang beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit sekitar daerah Manjung.

“Dalam operasi pertama di Kampung Selamat, kita berjaya menahan lapan warga Vietnam berkenaan yang disyaki bekerja sebagai GRO.

“Daripada siasatan, didapati kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah,” katanya.

Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan di sebuah restoran di Manjung yang juga beroperasi di dalam ladang kelapa sawit.

“Kami berjaya menahan seorang sahaja warga asing dari Vitenam yang turut gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

“Kita juga percaya GRO lain yang bekerja di restoran berkenaan berjaya menghidu kedatangan kami sebelum melarikan diri,” katanya.

Zaidi berkata, operasi berkenaan berakhir jam 8.30 malam itu berjaya menangkap sembilan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 41 tahun.

“Mereka semua ditahan di depoh tahanan Langkap selama 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita memang sudah lama melakukan siasatan di kawasan berkenaan berdasarkan kepada aduan orang ramai,” katanya.

Katanya, operasi membanteras warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, juga menyalahgunakan pas lawatan sentiasa dilakukan dari semasa ke masa.

Anak majikan didakwa dera amah



Anak majikan didakwa dera amah
Tertuduh menutup mukanya menggunakan tuala ketika keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam.
SUNGAI PETANI - Mahkamah Majistret Sungai Petani menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan semula kes membabitkan penderaan seorang pembantu rumah di sini, 23 November tahun lalu.

Tertuduh, seorang pekerja salun kecantikan, Khor Chia Lin, 30, dilihat menggunakan tuala bagi menutup mukanya dari dirakam wartawan ketika masuk dan keluar dari Mahkamah Majistret semalam.

Mengikut pertuduhan, Chia Lin didakwa mendatangkan kecederaan kepada pembantu rumah bernama Suryani, 25, dengan menggunakan sebatang kayu mop.

Perbuatan itu dilakukan pada 23 November 2012 jam lebih kurang 11 pagi di sebuah rumah dekat Taman Patani Indah, Sungai Petani.

Chia Lin yang juga merupakan anak kepada majikan pembantu rumah terbabit dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili Peguam, Y K Loo.

Amah kes dera Indonesia diambil cara tak sah



Yuliana
Yuliana diiringi polis selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
KUALA LUMPUR -  Majikan negara ini diingatkan agar mengambil pembantu rumah asing menggunakan saluran yang sah bagi mengelak kes deraan terhadap anak-anak majikan berulang, kata Duta Besar Indonesia Herman Prayitno.
Herman hari ini juga mengesahkan pembantu rumah Yuliana yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun semalam kerana mendera bayi majikannya yang berusia empat bulan diambil majikan berkenaan secara tidak sah.
"Inilah natijahnya jika mengambil pembantu rumah asing tanpa saluran yang sah. Ianya patut menjadi pengajaran agar majikan lebih berhati-hati di masa depan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Bantuan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) kepada Mangsa Banjir di Manado yang diadakan di Kedutaan Indonesia di sini.
Herman berkata, pembantu rumah Indonesia yang ditawarkan bekerja secara sah di negara ini akan menjalani latihan terlebih dahulu dan melepasi ujian psikologi sebelum dihantar ke negara ini.
Oleh yang demikian ia dapat memastikan majikan mengambil pembantu rumah terlatih dan stabil daripada segi emosi dan kesihatan bagi menjalankan tugas mereka sebagai pembantu rumah.
Dalam pada itu katanya, kedutaan amat menghormati hukuman penjara 20 tahun yang dikenakan mahkamah terhadap Yuliana.

Semalam Yuliana, 23, yang berasal dari Sukarame, Acheh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan, 15 Feb lalu.
Bagi pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa menghempas dan melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sebanyak sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa pada 7.45 pagi, 15 Februari lepas di kediaman ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, pada tempat dan masa yang sama, dia didakwa menganiaya Mohamed Hareez dengan tujuan mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima tahun penjara untuk kesalahan kedua. - Bernama

Polis tahan 4 lelaki kes samun kedai emas di Selayang



KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes samun kedai emas di hadapan Balai Polis Selayang Baru pagi kelmarin.
 
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek, yang berusia antara 16 dan 27 tahun, ditahan ketika polis menyerbu sebuah rumah di Lot 27, Jalan 18 Kampung Melayu, Batu Caves pada kira-kira 6.50 petang.
 
"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua motosikal iaitu Honda EX5 dan Kawasaki RR serta empat resit pajak gadai dan dua helai 'vest'," katanya kepada Bernama malam tadi.
 
Dua lelaki bersenjatakan parang dan tukul melarikan tiga dulang emas bernilai kira-kira RM200,000 ketika menyamun sebuah kedai emas di depan Balai Polis Selayang Baru. - Bernama

Jual 'Datuk Seri': Kontraktor, penganggur dijel dan didenda



SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM50,000 ke atas seorang kontraktor kerana meminta dan menerima suapan RM5,000 daripada seorang lelaki empat tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Mohd Amirul Erwan Mohd Raslan, 36, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd Amirul didakwa meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk membantu seorang individu lain memperoleh darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri' di Hotel Grand Kampar, Perak pada 2 Februari 2009.

Dia juga didakwa menerima suapan RM5,000 daripada lelaki itu bagi tujuan serupa di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya pada 4 Februari tahun sama.

Mat Ghani menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM25,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Mohd Amirul menjalani hukuman itu secara serentak.

Mahkamah sama turut menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 ke atas seorang penganggur Mohd Afandi Mohd Zambri, 45, kerana menerima suapan RM1,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk membantu individu itu mendapat gelaran 'Datuk Seri' di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, pada 19 Februari 2009.

Terdahulu, Mat Ghani melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan menerima suapan berbentuk sekeping cek Hong Leong Bank Bhd berjumlah RM25,000 daripada lelaki sama bagi tujuan serupa di hotel berkenaan pada 30 Jan 2009.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguh pelaksanaan hukuman penjara dan denda terhadap kedua-dua tertuduh, dengan syarat mereka perlu memfailkan notis rayuan dalam tempoh dua minggu, jika tidak perintah itu akan terbatal.

Mohd Amirul dan Mohd Afandi juga diarah melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Perak pada minggu pertama setiap bulan. - Bernama

10 jemaah terkejut, surau di Kapar jadi sasaran tembakan



10 jemaah terkejut, surau di Kapar jadi sasaran tembakan
Surau Baitul Rahman Aman Perdana ditembak individu tidak dikenali malam, kelmarin.
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Sepuluh jemaah yang sedang membuat persediaan untuk solat Isyak dikejutkan dengan dua das tembakan, yang turut merosakkan cermin Surau Baitulrahman Aman Perdana, Kapar, Klang, malam tadi.
Tiada jemaah cedera dalam kejadian itu.
Ketika kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, 10 jemaah lelaki dan wanita berada di tingkat atas surau dua tingkat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, mereka terkejut apabila cermin surau yang menghadap jalan utama pecah secara tiba-tiba.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat dua kesan tembakan yang disasarkan ke arah bahagian surat itu.
"Individu yang melepaskan tembakan itu menggunakan pistol angin yang tidak mengeluarkan bunyi. Peluru yang digunakan pula adalah 'ball bearing'.
"Jemaah surau hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi cermin pecah," kata beliau kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, bagaimanapun kejadian tersebut tidak mendatangkan sebarang kecederaan terhadap jemaah.

Ketika ditanya sama ada tembakan disasarkan terhadap individu tertentu yang berada dalam surau, beliau berkata, motif tembakan masih dalam siasatan.

"Keterangan 10 jemaah sudah direkodkan bagi membantu siasatan. Motif sebenar tembakan itu masih belum dapat dipastikan," kata beliau.
Mohamad Shukor berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di lokasi berhampiran surau berkenaan tidak dapat merekodkan insiden tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Kes bunuh pembantu restoran: Suami isteri Indonesia diburu



Pasangan dicari bantu siasatan polis
Pasangan yang dikesan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelayan restoran, Jumaat lalu.
SHAH ALAM -  Polis sedang memburu sepasang suami isteri berhubung kes bunuh seorang pembantu restoran warga Indonesia dalam kejadian Jumaat lepas di Pangsapuri Valencia, Taman Sri Muda di sini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai suspek kes bunuh terhadap mangsa yang dikenali sebagai Parsini, 26, yang ditemui berlumuran darah di sebuah bilik pangsapuri berkenaan.
  
"Kita percaya kejadian berpunca dari perselisihan faham di antara mangsa dan pasangan suami isteri terbabit, yang juga merupakan teman serumah mangsa," katanya semalam.
  
Beliau berkata suspek terbabit dikenali sebagai Winda Sari manakala identiti suaminya masih belum dikenal pasti, melarikan diri bersama tiga anak mereka termasuk berumur tiga bulan selepas kejadian bunuh itu.
  
Katanya, polis percaya pasangan yang masing-masing berumur 20-an dan berasal dari Indonesia itu masih berada di sekitar Lembah Klang.
  
Mohd Adnan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  
Dalam kejadian pada 15 Februari lepas, mangsa mati akibat cedera parah di bahagian kepala dan belakang badan setelah dipukul dengan senjata tumpul.
  
Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh empat atau lima jam sebelum mayatnya ditemui.
  
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan di beberapa laman sosial termasuk Facebook mengenai kejadian simbah asid terhadap beberapa wanita di Shah Alam, Subang Jaya dan Damansara, Mohd Adnan berkata polis tidak menerima laporan berhubung perkara itu.
  
"Berkemungkinan ia hanya khabar angin dan sekiranya benar kita minta kerjasama mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya. - Bernama

Majikan amah Indonesia: 'Saya tak berdendam'



Majikan amah Indonesia: 'Saya tak berdendam'
Nina Suraya (dua, kanan) bersama ahli keluarga ketika menanti perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
KUANTAN – “Saya tidak berdendam. Ini hanya hukuman di dunia dan masih ada lagi di akhirat,” kata Nina Suraya Sulaiman, 24, ibu bayi yang dilambung amah Indonesia, Jumaat lalu ketika ditemui selepas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, semalam.

Sambil menitiskan air mata, ibu muda itu berkata, beliau berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan ke atas amah yang tidak sampai 24 jam memegang tanggungjawab yang diberikan.

Nina Suraya mengucap syukur dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan anaknya, Mohamad Hareez Mohd Zamri selepas kes penderaan itu dilaporkan media beberapa hari lalu.

Beliau yang akan bertolak ke Makkah, Khamis ini berharap dapat mengerjakan umrah dengan tenang dan mendoakan kesihatan anaknya.

“Saya harap dapat ketenangan dan mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga selepas ini,” katanya.

Nina Suraya sebelum ini memberitahu media, beliau dan suami sudah trauma untuk menggunakan perkhidmatan pembantu rumah dan menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak.

Ketika ditanya keadaan anaknya yang dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), malam kelmarin, Nina Suraya berkata, kesihatan Mohamad Hareez kini semakin pulih tetapi kurang aktif.

Bagaimanapun, dia berharap Mohamad Hareez akan kembali normal dan aktif seperti kanak-kanak lain selepas ini.

Permata RM155 juta dirompak dari pesawat


Permata RM155 juta dirompak dari pesawat
Pesawat yang membuat persiapan untuk berlepas ke Switzerland menjadi mangsa rompakan di Brussels kelmarin. - Foto ihsan EPA/Guardian
Permata RM155 juta dirompak dari pesawat
Permata RM155 juta dirompak dari pesawat
BRUSSELS - Sekumpulan lapan perompak yang menyamar sebagai polis melarikan berlian AS$50 juta (RM155 juta) dari sebuah pesawat yang hendak berlepas ke Zurich dari lapangan terbang antarabangsa Brussels.

Rompakan yang berlaku pada malam kelmarin, sekitar jam 8 malam waktu tempatan, adalah yang terbesar pernah direkodkan melibatkan jualan permata peringkat global.

Jurucakap pihak pendakwa raya Brussels, Anja Bijnens berkata, rompakan dilakukan oleh lapan orang yang berada dalam dua van yang berwarna hitam dan menyamar seperti polis.

“Perompak memakai pakaian seragam polis dan turut membawa senjata,” kata beliau dipetik AFP.

Juruterbang bersama dan kakitangan pesawat yang membawa permata bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana rompakan berlaku dalam lima minit.

Beliau menambah, rompakan berlaku dalam cara yang cukup licik di hadapan penumpang pesawat sambil menambah penumpang tidak mengesyaki sebarang perkara buruk.

Perompak menghalang laluan keselamatan dan memecut ke arah pesawat penumpang Switzerland yang mahu berlepas lalu membuka kargo secara paksa untuk mendapatkan permata.

Mereka hanya dapat melarikan 120 pakej permata.

Pekerja van yang mempunyai ciri keselamatan tinggi, kendalian Brinks, baru sahaja selesai memuatkan bernilai terbabit ke dalam pesawat tersebut yang hendak menuju ke Zurich.

Penerbangan pesawat yang terlibat dalam rompakan  itu dikendalikan oleh Swiss Airways.

Antwerp World Diamond Centre (AWDC) berkata perniagaan global permata bernilai lebih AS$60 bilion (RM186 bilion) setiap tahun.