Search This Blog

Tuesday, February 19, 2013

Dua tembakan pecah tingkap surau



MERU: Jemaah yang mahu menunaikan solat Isyak di Surau Baitulrahman, Aman Perdana, di sini, digemparkan dengan dua das tembakan yang dilepaskan individu yang tidak dikenali, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu berlaku menyebabkan tingkap surau berkenaan pecah namun tiada jemaah yang dilaporkan cedera.
Antara jemaah yang berada di surau berkenaan termasuk isteri kepada seorang kenamaan menyangkakan bunyi letupan itu adalah barang di dalam surau yang terjatuh.

Seorang daripada jemaah surau berkenaan kemudian menemui sebutir peluru jenis 'ball bearing' di sekitar surau sebelum memaklumkan kepada bilal.


Namun, beberapa minit kemudian, jemaah yang mahu menunaikan solat Isyak sekali lagi dikejutkan dengan bunyi letupan yang memecahkan tingkap surau berkenaan.

Tiga Orang Asli maut nahas kereta dan lori ikan



KUANTAN 18 Feb. - Tiga lelaki Orang Asli maut selepas Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan tong ikan di Kilometer 147, Jalan Kuantan-Johor Bharu dekat Rompin semalam.
Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, mereka yang maut ialah pemandu kereta, Roslan Tan, 32, dan dua penumpang, Saidi Daud, 21, serta Mazlan Aman, 18, manakala rakan mereka, Mizar Muda, 19, cedera parah.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kesemua mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Muadzam Shah, Rompin menuju ke Johor Bahru. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130218/je_14/Tiga-Orang-Asli-maut-nahas-kereta-dan-lori-ikan#ixzz2LKKbk0Mp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Didakwa jual rokok seludup

Didakwa jual rokok seludup
Mei Fun menunggu di luar mahkamah sementara menunggu untuk menyelesaikan bayaran denda bagi mengelak dipenjara selama sebulan.
KUANTAN - Tiga peniaga  termasuk sepasang suami isteri yang mengusahakan perniagaan kedai runcit dikesan cuba mengaut keuntungan dengan menjual  rokok seludup tanpa menyedari perbuatan mereka memberi impak negatif  kepada kutipan hasil negara.

Disebabkan perbuatan mereka memiliki bahan larangan import itu, ketiga –tiga peniaga terbabit  ditahan selepas premis mereka di Kampung Seberang Sungai Ular, Jalan Kuantan-Kemaman dan di Taman Kurnia Jaya, Batu 3, Jalan Gambang dekat sini di diserbu dan diperiksa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia tahun lalu.

Susulan penahanan mereka itu, Mazlan Ismail, 46 dan isterinya Noraini Mamat, 42 serta seorang lagi peniaga, Leong Mei  Fun, 44 dihadapkan ke mahkamah dan mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan tersebut.

Mazlan dan isterinya masing-masing didenda RM3,500 atau enam bulan penjara manakala Mei Fun terpaksa membayar denda RM1,000 atau 30 hari penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Ketiga-tiga mereka difahamkan membayar denda tersebut sebelum dibebaskan.

Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee manakala ketiga-tiga mereka diwakili peguam, Nor Adilah Zarian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mazlan dan isterinya  mengusahakan perniagaan secara bersama didakwa memiliki 249 peket rokok seludup pelbagai jenama yang merupakan bahan larangan import tersenarai dalam Jadual Keempat Perintah Kastam 2008.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Kampung Seberang Sungai Ular selepas pemeriksaan dilakukan pihak Kastam kira-kira jam 10.30 pagi, 27 Ogos tahun lalu.

Manakala, Mei Fun didakwa memiliki 43 peket rokok seludup bernilai RM67 hasil serbuan pegawai agensi tersebut ke premisnya di Taman Kurnia Jaya, Batu 3, Jalan Gambang dekat sini, kira-kira jam 7 petang, 12 September 2012.

Kesemua mereka ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Nor Adilah dalam rayuan mewakili anak guamnya berkata, Mazlan dan isteri tidak faham undang-undang berhubung kesalahan menjual rokok itu dan mahkamah  wajar dipertimbangkan hukuman yang lebih ringan.

“Mereka hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan hasil perniagaan kedai runcit dan terpaksa menyara lima anak termasuk tiga masih belajar.

Mohd Khairuddin dalam hujah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan terhadap peniaga terbabit memandangkan aktiviti menjual rokok seludup semakin berleluasa.

Identiti mayat lelaki disangka patung dikenal pasti



Identiti mayat lelaki disangka patung dikenal pasti
Keratan akhbar sinar harian semalam.
KUANTAN -  Identiti mayat lelaki yang ditemui tertiarap dalam keadaan hampir reput di tepi anak sungai Ladang Mat Shah, Felda Bukit Goh dekat sini dikenal pasti sebagai Maizatul Maizanon Mohamad, 30.

Identiti mangsa dikenal pasti ahli keluarga berdasarkan pengecaman cincin dan kunci bersama mangsa ketika mayatnya ditemui kira-kira jam 10.15 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner  Mohd Jasmani Yusoff berkata, proses bedah siasat mangsa selesai dilakukan kira-kira jam 1 petang semalam sebelum jenazah dituntut ahli keluarga dua jam kemudian  untuk dikebumikan.

Menurutnya, berdasarkan bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat kesan kelar pada bahagian perut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian lelaki itu sama ada melibatkan unsur jenayah atau sebaliknya.

“Setakat ini kita klasifikasi kematian mangsa  sebagai Kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, berdasarkan keterangan keluarga, mangsa dilaporkan keluar rumah pada 14 Februari lalu sebelum mayatnya ditemui tiga hari kemudian.

Maut diserang tebuan



Maut diserang tebuan
Budiman menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Sukidi (tiga, kanan) ketika mengunjungi mangsa di HTAR, semalam.
KLANG - Seorang pemuda yang berada dalam keadaan kritikal akibat diserang tebuan ketika sedang memasang bendera parti politik, meninggal dunia petang semalam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Mangsa, Allahyarham Mohd Hafis Sukidi, 21, sebelum itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberi bantuan pernafasan.

Dalam kejadian jam 10 pagi di Kampung Kenangan Kapar itu, mangsa memanjat sebatang pokok untuk memasang bendera parti sebelum diserang tebuan yang bersarang di atas pokok tersebut.

Akibat serangan tebuan itu, Mohd Hafis terjatuh dari pokok lalu dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke HTAR kerana keadaannya agak kritikal.

Bapa mangsa, Sukidi Tarmijo, 48, berkata, dia menerima berita buruk menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu ketika sedang bekerja.

“Isteri saya memaklumkan kejadian itu melalui panggilan telefon dan saya sangat terkejut. Ketika itu, anak saya sudah dimasukkan ke hospital.

“Kami bergegas ke hospital dan melihat keadaannya sudah tidak sedarkan diri,” katanya di Wad 5C, HTAR, semalam.

Sementara itu, Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang) diketuai pengerusinya, Budiman Zohdi sempat menziarahi Allahyarham yang ketika itu masih menerima rawatan di ICU.

Budiman berkata, beliau bersimpati dengan nasib menimpa Allahyarham dan berharap jentera parti lain mengutamakan soal keselamatan ketika bertugas.

"Saya akan mengusulkan kepada pucuk pimpinan parti supaya menyediakan insurans bagi melindungi nyawa dan keselamatan petugas jentera BN terutama ketika bertugas," katanya.

Budiman berkata, beliau juga terkejut apabila diberitahu Allahyarham Mohd Hafiz menghembuskan nafas terakhir dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar.

"Saya sempat melihat keadaan arwah yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal. Saya diberitahu arwah menerima 10 sengatan dalam kejadian tersebut," katanya.

Maut ketika ke tempat kerja



Maut ketika ke tempat kerja
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
KUALA PILAH – Seorang pekerja kilang cendawan Ulu Bendul, maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori tanpa muatan di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Shahidan Abdullah, 34, beralamat di Kampung Rembang Panas Juasseh, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan, manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, insiden itu berlaku di kilometer 27 Jalan Seremban-Kuala Pilah, kira-kira jam 10 pagi.

“Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha jenis LC 135 sendirian datang dari arah Kuala Pilah menuju ke arah Seremban. Mangsa difahamkan hendak ke tempat kerjanya di kilang Cendawan Ulu Bendul.

“Kemudian, setibanya di selekoh tajam jalan, sebuah lori dari arah Seremban hendak masuk ke simpang kanan jalan terbabit, tanpa perasan mangsa dari arah Kuala Pilah.

“Akibatnya, rempuhan kuat berlaku di mana mangsa tidak sempat mengelak lori terbabit lalu melanggar bahagian lampu kiri bahagian depan lori hingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya, " katanya.

Mayat mangsa yang masih bujang dan berasal di Bukit Piatu Melaka dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk dibedah siasat.

Azmi berkata,  pemandu lori, Kim Pow@Chin Kim Pow, 63, yang memandu secara bersendirian beralamat di Taman Pilah akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang diketuai, Mohd Faizal Abdul Razak menerima panggilan daripada orang awam jam 9.40 pagi semalam.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian jam 9.50 pagi, mangsa sudah terbaring di atas jalan raya.

“Kami tiba di sana, mangsa sudah tidak bernyawa. Selang beberapa minit kemudian, pihak HTAN tiba lalu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

'Arwah tiba-tiba duduk'



'Arwah tiba-tiba duduk'
Mohd Amin (kanan) bersama-sama Mohd Shafiq (dua kanan) terbaring menerima rawatan di HTI selepas terkena petir turut ditemani keluarga masing-masing.
Mohd Amir Alias
Mohd Amir Alias
TELUK INTAN- “Semasa kami sedang seronok bermain bola sepak di tengah hujan lebat ketika itu, arwah Mohd Amir Alias, 15, secara tiba-tiba duduk di tengah-tengah padang sebelum menyambung kembali bermain bola sepak.

Tindakannya itu membuatkan kami tertanya-tanya sebelum tiga daripada kami rebah,” kata salah seorang mangsa terkena petir, Mohd Amin Asrin.

Mohd Amin, 15, berkata, jarak di antara dia dan arwah kira-kira satu meter di belakangya dan Mohd Shafiq Amirul Shamsuddin, 14, sebelum  mereka bertiga jatuh serentak.

Katanya, dia yang tidak perasaan sebarang cahaya mahu pun bunyi pada mulanya sebelum dia terjatuh selain mengalami sakit di bahagian kaki, belakang badan dan tangan dipercayai  terkena petir.

Menurutnya, dia yang pengsan seketika sebelum sedar semula  mengambil keputusan untuk melarikan diri namun terjatuh semula apabila  merasa sakit di bahagian kaki, belakang badan dan tangan.

“Ketika saya terjatuh, ada penduduk di kawasan itu cuba membantu angkat saya ke surau berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak sangka  aktiviti riadah bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan membawa kepada kehilangan seorang kawan baik buat selama-lamanya,”katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Amin berkata, arwah baru mendaftar ke Sekolah Maahad Tahfiz Al-Furqan,Taman Desa Bakti dekat sini, kira-kira dua bulan lalu dan menyifatkannya sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, sebelum ini, gurunya ada menyuruh berbuat sesuatu dan arwah telah menjalankan amanah yang diberikan kepadanya dengan baik.

Menurutnya, walaupun baru dua bulan berkenalan dengan arwah, Mohd Amir  sering membantunya dalam pelajaran dan dalam pelbagai pekara.

“Malahan, kami sempat makan tengahari bersama-sama dengan 16 pelajar Sekolah Maahad Tahfiz  sebelum kami keluar bermain bola sepak selepas solat Asar di padang berhampiran dengan sekolah kami,”katanya.

Sementara itu, salah seorang  mangsa yang juga sekolah Maahad Tahfiz, Mohd Shafiq Amirul Shamsuddin berkata, dia yang jatuh secara tiba-tiba bersama-sama dua rakannya turut merasa sakit di bahagian kaki dan tangan.

Katanya, dia yang bergegas bangun selepas terjatuh dan menyelamatkan diri  ke arah surau berhampiran sebelum melihat rakannya, Mohd Amir berlumuran darah di bahagian mulut.

“Ketika itu, arwah sudah tidak sedarkan diri malahan ada beberapa orang cuba membantu untuk mengucap,” katanya.

Remaja maut motosikal bertembung dengan kereta



Remaja maut motosikal bertembung dengan kereta
Misrul Nizam (empat,kanan) mengangkat jenazah Mohd Fitri menaiki van jenazah.
KOTA TINGGI – Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu menyebabkan Mohd Fitri Zamali, 19, dari Kampung Sungai Sembilang, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Saga dinaiki sebuah keluarga dari Felda Air Tawar 4, di sini.

“Kereta Proton Saga itu daripada arah Sungai Rengit menuju ke Kota Tinggi, manakala motosikal terbabit dari arah Kota Tinggi. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Saga dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi untuk mengesahkan kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, abang mangsa, Misrul Nizam, 29, berkata, adiknya ada memberitahu rakan-rakan bahawa pertemuan pada minggu ini merupakan yang terakhir sebelum Mohd Fitri maut dalam kejadian terbabit.

Katanya, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu juga tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan.

“Arwah tidak bercakap apa-apa dengan kami dan berkelakuan seperti biasa sahaja, namun rakannya ada memberitahu saya bahawa arwah ada memberitahu ini adalah minggu terakhir mereka berjumpa.

“Saya mendapat berita kejadian ini daripada salah seorang saudara yang memberitahu adik terlibat dengan kemalangan. Ketika sampai ke tempat kejadian saya melihat adik sudah tidak bernyawa dan mayatnya juga telah ditutup dengan surat khabar,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mohd Fitri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sembilang, di sini.

Denda RM1,500 kerana lupus barang curi



AYER KEROH - Seorang pemasang khemah dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam selepas mengaku bersalah melupuskan harta curi, November tahun lalu.

Kamarullzaman Othman, 23, dari Taman Bukit Cheng membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Nor Azizah Yusof selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang yang masih bebas melupus harta curi iaitu sebentuk cincin emas milik Norlizah Hussin @ Yusof, 44, di sebuah kedai emas di Jalan Tun Ali, kira-kira jam 2 petang pada 26 November 2012.

Lupa kaki sudah tiada



Lupa kaki sudah tiada
Rumah milik Yahya dan isterinya, yang tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar berniaga, hangus dalam kebakaran di Kampung Titian Baru, Bukit Payung, Marang, semalam.
Lupa kaki sudah tiada
Mariam menunjukkan kaki kanannya yang sudah dipotong 10 tahun lalu.
Lupa kaki sudah tiada
Rumah milik Yahya dan isterinya, Fazilat hangus dalam kebakaran berkenaan.
MARANG - Terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan kecil menyelamatkan nyawa seorang nenek dan cucunya dalam kejadian kebakaran yang membabitkan dua rumah di Kampung Titian Baru, Bukit Payung, di sini, semalam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu bermula dari sebuah rumah milik seorang peniaga makanan dan minuman, Yahya Harun, 41, yang terletak bersebelahan rumah dua beranak itu, Mariam Abdul Rahman, 60, dan Norsyuhaidah Zamari, 21.

Kebakaran itu menyebabkan bahagian tepi dinding rumah dua beranak itu musnah manakala rumah milik peniaga terbabit, Yahya dan isterinya, Fazilat Mamat, 49, yang tiada di rumah ketika kejadian, kerana keluar berniaga, hangus sama sekali.

Mariam berkata, dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh cucunya, Norsyuhaidah yang tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi letupan kecil bersebelahan rumah mereka sebelum cucunya segera keluar untuk meminta pertolongan.

“Kerana terlalu takut mak cik pula bingkas bangun dan berjalan namun rebah semula. Mak cik rebah kerana mak cik terlupa kaki kanan telah dipotong akibat penyakit kencing manis dan mak cik dah tidak boleh berjalan sejak 10 tahun lalu.

“Mak cik sampai terlupa kaki kanan sudah tiada kerana terlalu takut sebelum cucu dan beberapa orang penduduk naik semula ke atas rumah dan mengangkat mak cik turun ke bawah untuk menyelamatkan mak cik,” katanya kepada Sinar Harian.

Selepas kedua beranak itu diselamatkan, penduduk kampung cuba membantu pasukan Bomba dan Penyelamat daerah memadamkan kebakaran tetapi gagal menyelamatkan rumah Yahaya namun pihak bomba berjaya mengawal api dari merebak.

Anggaran kerugian RM100,000

Sementara itu, bagi pasangan peniaga terbabit, Yahya dan isteri Fazilat, mereka bukan sahaja mengalami kerugian besar apabila rumah musnah, bahkan kesemua dokumen penting, termasuk sijil pengajian anak-anak mereka, juga tidak dapat diselamatkan.

Menurut Yahya, dia reda dengan kejadian yang menimpa keluarganya itu namun agak sedih apabila mengenangkan nasib anak-anak apabila pelbagai barangan penting anak mereka tidak dapat diselamatkan termasuk barang hantaran perkahwinan.

“Saya sedikit terkilan, barang-barang hantaran perkahwinan anak keempat untuk majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan turut musnah,” kata bapa kepada lima anak itu ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Menurutnya, kesemua barangan seperti pakaian dan aksesori hantaran perkahwinan anak kelimanya yang kini bekerja di sebuah pelantar minyak milik syarikat tempatan itu musnah, manakala kerugian keseluruhan dianggarkan lebih kurang RM100,000.

“Kini semuanya sudah tiada, hasrat kami yang ingin mengekalkan rumah pusaka ini sebagai warisan keluarga juga tidak kesampaian, namun seperti yang saya katakan sebelum ini, kami reda dengan ujian ALLAH ini, walaupun perit,” katanya.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Zamri Awang Long, mengesahkan terima laporan pada jam 3.41 petang dan kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 4.08 petang oleh sepasukan 22 anggota bomba.

Didenda RM2,000 pecah rumah jiran


Didenda RM2,000 pecah rumah jiran

Dua sekawan ini dipenjara dua minggu dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah melakukan jenayah pecah rumah milik jirannya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang pemuda yang tergamak melakukan jenayah pecah rumah dan melarikan sebuah televisyen serta jam tangan milik jirannya, menerima padah apabila dikenakan hukuman dua minggu penjara dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Muhammad Firdaus Idham Ngah, 21, dari Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, yang melakukan jenayah itu bersama seorang lagi rakannya, Mohamad Norazman Ismayudin, 21, dari Taman Desa Kayangan, Kampung Tanjung Batu, di sini, turut dihukum penjara sebulan lagi jika gagal membayar denda.

Kesemua hukuman itu diputuskan oleh Majistret Noradila Ab Latiff selepas kedua-dua mereka mengaku memecah rumah dan mencuri sebuah televisyen dan jam tangan.

Mereka mengaku mencuri kesemua barang bernilai lebih kurang RM300 di kediaman jirannya, di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, jam 3 pagi, 15 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 14 Februari lalu, lebih kurang jam 6 petang, mangsa meninggalkan rumahnya selepas mengunci pintu dan tingkap.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, lebih kurang jam 3.15 pagi, ketika berada di rumah kakaknya di Chendering, di sini, mangsa menerima panggilan telefon daripada sepupunya menyatakan pintu dapur terbuka, dipercayai dimasuki orang.

Trauma lori terbalik


Trauma lori terbalik

Keluarga mangsa mengutip buah yang bertaburan di atas jalan di Gual Mesa, pagi semalam
RANTAU PANJANG – Pemandu lori yang membawa muatan buah trauma, setelah kenderaan dipandunya terbalik dalam kemalangan di Gual Mesa kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Khairul Anuar Arif, 27, dalam perjalanan untuk menghantar buah dokong dan mempelam dari Siam yang diambilnya di Rantau Panjang untuk dipasarkan ke Pasir Mas.

Tayar belakang lori satu tan penuh dengan muatan buah pecah secara tiba-tiba itu menyebabkan Khairul Anuar tidak dapat mengawal kenderaannya, seterusnya terbalik melintangi jalan.

Ketika kejadian, terdapat 30 bakul dokong yang setiap satunya seberat 25 kilogram dan beberapa kilogram mempelam.

Berikutan kejadian itu, buah dibawa mangsa bertaburan di atas jalan, sebelum dikutip keluarga mangsa dan dihantar dengan lori lain ke Pasir Mas, sementara lori turut rosak dan cermin hadapannya pecah.

Ibunya, Roslina Che Ali, 48, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan Khairul Anuar yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu memaklumkan lori dipandunya terbalik.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan, hatinya menjadi tidak tenteram kerana bimbang Khairul Anuar cedera.

“Selepas menerima panggilan saya meminta suami segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anak, memandangkan lori yang dipandunya terbalik," katanya.

Peniaga buah ini berkata, anaknya sudah lebih lima tahun membawa lori buah dan tidak pernah berdepan kejadian tidak diingini seperti semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, Khairul Anuar sudahmemeriksa tayar lori berkenaan dan ketika itu semuanya dalam keadaan baik.

“Saya bersyukur dia selamat walaupun cermin depan lori pecah dan lori dipandunya terbalik.

“Selepas kejadian, buah yang masih elok dikutip dan dihantar ke Pasir Mas dengan lori ganti,” katanya.

Peragut beg isteri YB dicekup

Peragut beg isteri YB dicekup
Che Suza (tengah) bersama pegawainya dengan barang curi yang dirampas dari dua suspek pada sidang media di IPD Kemaman, semalam.
KEMAMAN – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Dua peragut bersiri yang dipercayai turut terlibat dengan kes ragut beg tangan isteri Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera, akhirnya dicekup Jumaat lalu.

Dengan penangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 15 kes ragut di sekitar Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, suspek pertama yang berusia 25 tahun ditangkap di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuang kira-kira jam 9 malam.

Katanya, soal siasat ke atas lelaki itu membawa ke satu kawasan semak di Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang dan menjumpai beg hitam mengandungi buku akaun simpanan Tabung Haji atas nama isteri Adun Chukai, lesen memandu kelas D, kad pengenalan dan beberapa kad kredit.

“Kesemuanya atas nama yang sama (isteri Adun). Pada masa sama polis juga merampas sebuah motosikal jenis Yamaha SS yang dipercayai digunakan untuk tujuan ragut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini, semalam.

Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama itu, sepasukan polis menyerbu sebuah lagi rumah di kampung sama dan berjaya menangkap seorang lagi suspek yang berusia 23 tahun.

Kata Che Suza, soal siasat terhadap suspek kedua membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Kampung Perpindahan  Bukit Kuang.

“Polis juga jumpa jam tangan dalam lipatan kain di dalam rumah itu," katanya.

Dalam kes ragut pada 12 Februari lalu, isteri Adun itu kerugian wang tunai RM1,700 apabila diragut suspek ketika sedang minum bersama beberapa rakan kira-kira jam 5 petang di sebuah kedai di Kemaman.

Suspek melarikan diri dengan motosikal bersama seorang lelaki yang menunggu di luar.

Kereta hilang kawalan

Kereta hilang kawalan
Pemandu kereta Kancil diangkat ke ambulans untuk dibawa ke hospital.
BACHOK - Sebuah kereta kancil dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah teksi yang baru sahaja mengambil penumpang di Kampung Sungai, kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.

Seorang saksi, Siti Nor Sakinah Rosli, 24, berkata, ketika kejadian, dia melihat ke arah jalan raya dan tiba-tiba sebuah kereta Kancil dari arah Beris Kubur besar memasuki laluan bertentangan seolah-olah ingin memasuki lorong berkenaan.

Namun, kereta itu berlanggar dengan sebuah teksi dari arah Bachok ke Kota Bahru yang baru sahaja mengambil penumpang berdekatan.

“Ketika itu, saya berada di warung ibu yang terletak beberapa meter dari lokasi kejadian. Saya hairan melihat kereta Kancil tiba-tiba seperti ingin membelok ke kanan dan terus merempuh teksi dari laluan bertentangan.

“Saya tidak pasti sama ada dia memang ingin masuk ke lorong kanan atau ingin memotong kenderaan di depannya,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, pemandu kedua-dua kenderaan serta tiga penumpang teksi berkenaan cedera ringan dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya, lokasi itu sering menjadi sasaran kemalangan maut hampir setiap tahun.

“Hanya dua tahun kebelakangan ini sahaja tiada berlaku kemalangan maut di sini, namun dua tahun sebelumnya, seorang remaja lelaki dari Pasir Mas maut ketika dalam perjalanan pulang dari Pantai Irama bersama rakan-rakannya.

"Kenderaannya dipandu laju dan terbabas merempuh sebuah lori ais yang baru singgah di warung ibu saya,” katanya.

Jel, denda akibat peras pelajar

Jel, denda akibat peras pelajar
Muhammad Faiz dihukum penjara dua minggu dan denda RM5,000 selepas mengaku lakukan pemerasan jenayah di Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda mengambil jalan pintas mendapatkan wang dengan memeras seorang pelajar Sekolah Maahad Tahfiz Wartarbiah Darul Iman, Tok Jiring, di sini.

Bagaimanapun, tindakan Muhammad Faiz Mamat, 22, dari Kampung Buluh Gading, Manir, di sini, menerima pembalasan selepas dijatuhi hukuman dua minggu penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latiff turut mengarahkan dia dipenjarakan enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Muhammad Faiz mengaku bersalah dengan sengaja melakukan pemerasan dengan niat meletakkan mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun dalam ketakutan dicederakan dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM16.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 383 Kanun Keseksaan itu pada 23 Jun 2011 lebih kurang jam 11 pagi di hadapan sekolah itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala Muhammad Faiz tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa, yang baru keluar dari pintu pagar sekolah, didatangi Muhammad Faiz, yang menaiki sebuah motosikal EX5 Dream dan mempelawa hendak menghantarnya ke stesen bas Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu.

Mangsa, yang tidak mengesyaki apa-apa, terus menerima ajakan Muhammad Faiz dan apabila sampai di kampung Pengkalan Arang, Gong Badak, di sini, Muhammad Faiz mengacukan pisau dan meminta wang serta barang-barang berharga daripada murid itu.

Mangsa menyerahkan wang RM16 itu dan cuba melarikan diri, tetapi gagal. Muhammad Faiz memaksanya pulang ke rumah di Taman Permint Jaya, Fasa 3, Chendering, di sini, untuk mengambil barang kemas milik ibu mangsa.

Pelajar itu pun balik, ambil barang kemas milik ibunya dan serahkan kepada Muhammad Faiz.

Dia buat laporan polis kemudian.

Pada jam 4.23 pagi, 11 Januari lalu, Muhammad Faiz ditangkap polis dari Pondok Polis Kuala Kemaman.

Tak sempat pakai baju Melayu

Maizatun Maizanan Mohamad
Maizatun Maizanan Mohamad

KUANTAN - “Seminggu sebelum Along hilang, dia ada minta nak pakai baju Melayu dan saya sempat menempahnya tetapi dia tidak sempat memakainya,” kata Melah Mat Yusuf, 62 ibu kepada mangsa yang dipercayai mati dibunuh di Felda Bukit Goh. semalam.

Melah berkata, anak sulungnya, Maizatun Maizanan Mohamad, 43 hilang 13 Februari lalu, namun tidak dia tidak sangka akan 'bertemu' dalam keadaan yang amat menyayat hati.

Menurutnya, arwah bekerja sebagai tukang rumah itu sememangnya jarang memberitahunya jika mahu keluar.

“Memang jarang dia bagi tahu saya jika dia hendak ke mana-mana dan saya pula tidak pernah bertanya kerana dia sudah cukup dewasa untuk menjaga diri.

“Namun sejak dia tidak pulang ke rumah, saya ada rasa tidak sedap hati, tetapi saya menidakkan perasaan itu dan hanya fikir yang baik-baik sahaja untuk anak,” katanya.

Maizatun Maizanan anak sulung daripada tujuh beradik ditemui mati tertiarap di tebing alur sungai Felda Bukit Goh di sini pagi semalam oleh seorang anggota Rela yang sedang meronda.

Kata Melah, melalui bukti yang ada pada mayat tersebut, dia yakin itu adalah anaknya.

"Saya yakin penemuan kunci kereta, gigi palsu, tali pinggang dan cincin yang ada di samping mayat, itu anak saya.

“Saya redha dengan kehilangannya dan hanya mampu berdoa kepada ALLAH SWT semoga pembunuh dia menerima balasan yang setimpal," katanya.

Hiba dengan kejadian yang berlaku, Melah ternyata tidak sanggup untuk melihat mayat anaknya.

“Tidak sanggup saya nak melihat mayat Along dalam keadaan begitu dan sebagai ibu saya sudahpun memaafkan segala dosa, halalkan makan minum dia selama ini,” katanya.

Selain itu, Melah berkata sebelum hilang, arwah anaknya itu dikatakan ada pergi ke masjid untuk solat.

“Sebelum ini,dia jarang ke masjid, tetapi apabila ada penduduk nampak dia ke situ, hati saya lapang sedikit.

“Malam sebelum kejadian pula, dia sempat makan nasi pada jam 1 pagi dan membawa segelas air ke beranda rumah untuk minum.

“Selepas itu, dia hilang dengan membawa kunci kereta tanpa memandunya. Kereta dia masih ada di halaman rumah, manakala Along pula hilang entah ke mana,” katanya.

Melah menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh malah dia terkejut apabila Maizatun Maizanan ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Sementara itu, jenazah Maizatun Maizanan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Goh selepas Asar semalam.

Lelaki dikhuatiri lemas



KLANG - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas ditolak ke dalam Sungai Klang di Jalan Batu Tiga, berhampiran Institut Hafiz, di sini, semalam.

Mangsa, warga India, ditolak dua lelaki lain, kira-kira jam 9.55 pagi.

Kejadian tersebut disedari orang awam yang terus mengejar lelaki berkenaan namun mereka dapat melarikan diri.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut, kira-kira jam 10.38 pagi.

Katanya, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Sungai Pinang dan Klang Utara dikejarkan ke lokasi.

"Mangsa dikatakan ditolak ke dalam sungai. Pasukan penyelamat dari Unit Skuba sedang menyelam mencari mangsa," katanya.

Kes bunuh pembantu restoran: Suami isteri Indonesia diburu

SHAH ALAM -  Polis sedang memburu sepasang suami isteri berhubung kes bunuh seorang pembantu restoran warga Indonesia dalam kejadian Jumaat lepas di Pangsapuri Valencia, Taman Sri Muda di sini.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai suspek kes bunuh terhadap mangsa yang dikenali sebagai Parsini, 26, yang ditemui berlumuran darah di sebuah bilik pangsapuri berkenaan.
 
"Kita percaya kejadian berpunca dari perselisihan faham di antara mangsa dan pasangan suami isteri terbabit, yang juga merupakan teman serumah mangsa," katanya semalam.
 
Beliau berkata suspek terbabit dikenali sebagai Winda Sari manakala identiti suaminya masih belum dikenal pasti, melarikan diri bersama tiga anak mereka termasuk berumur tiga bulan selepas kejadian bunuh itu.
 
Katanya, polis percaya pasangan yang masing-masing berumur 20-an dan berasal dari Indonesia itu masih berada di sekitar Lembah Klang.
 
Mohd Adnan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 
Dalam kejadian pada 15 Februari lepas, mangsa mati akibat cedera parah di bahagian kepala dan belakang badan setelah dipukul dengan senjata tumpul.
 
Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh empat atau lima jam sebelum mayatnya ditemui.
 
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan di beberapa laman sosial termasuk Facebook mengenai kejadian simbah asid terhadap beberapa wanita di Shah Alam, Subang Jaya dan Damansara, Mohd Adnan berkata polis tidak menerima laporan berhubung perkara itu.
 
"Berkemungkinan ia hanya khabar angin dan sekiranya benar kita minta kerjasama mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya. - Bernama

Dua remaja terpaksa tahan sakit



Dua remaja terpaksa tahan sakit
Orang ramai mengawal keadaan sebelum membantu mangsa kemalangan terbaring di atas jalan raya di Jalan Sungai Dua-Tasek Gelugor petang kelmarin.
Dua remaja terpaksa tahan sakit
Dua lelaki membantu mententeramkan remaja yang mengerang kesakitan sejurus kemalangan itu.
SEBERANG PERAI - Dua remaja terpaksa menahan sakit dalam tempoh panjang selepas tulang paha kanan masing-masing patah apabila motosikal ditunggang bertembung sesama sendiri dalam satu kemalangan di Jalan Sungai Dua di sini petang kelmarin.

Kemalangan pada jam 5.30 petang itu turut merosakkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki satu keluarga apabila dua motosikal berkenaan terpelanting dan mengenai kereta itu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Pertembungan motosikal Honda EX5 yang ditunggang remaja perempuan dari arah Sungai Dua dengan motosikal Yamaha 125 ditunggang remaja lelaki dari arah Tasek Gelugor itu menyebabkan keduanya melambung sebelum terhempas di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.

Manakala motosikal masing-masing menggelongsor dan terpelanting sebelum mengenai kereta Myvi dinaiki satu keluarga yang dalam perjalanan ke Tasek Gelugor menyebabkan bahagian tepi kereta kemek dan rosak.

Sebaik terhempas dua remaja yang berusia awal 20-an itu terbaring dalam keadaan kesakitan kerana kecederaan berkenaan.

Suasana agak tegang seketika apabila dua remaja berkenaan mengerang kesakitan kerana mereka turut mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan termasuk pendarahan di bahagian kepala.

Orang ramai yang kebetulan sedang melalui kawasan itu segera menghulurkan bantuan dengan mengalihkan mangsa ke tepi jalan  serta bertindak mengawal lalu lintas sebelum ketibaan pihak polis kemudiannya.

Dua mangsa kemalangan itu kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan oleh ambulans milik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia  (JPAM) ke Hospital Seberang Jaya kemudiannya.

Polis tidak pernah tutup kes kanak-kanak hilang

SHAH ALAM - Polis tidak pernah menutup kes berhubung kanak-kanak hilang walaupun ia berlaku lebih 10 tahun lepas, malah siasatan tetap berjalan berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kes kehilangan kanak-kanak akan diberi perhatian dan dihebahkan kepada orang ramai dalam usaha mendapatkan maklumat terkini walaupun kanak-kanak berkenaan telah dewasa.

"Kita mengambil pendekatan untuk menghebahkan semula kes ini kepada orang ramai selepas kes berhubung seorang kanak-kanak dikenali sebagai William Yau Zhen Zhong, 6, yang dilaporkan hilang dan ditemui mati," katanya kepada pemberita di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

William Lau dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya dan ditemui mati berhampiran Jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang pada 24 Jan lepas.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat terkini mengenai kehilangan Tin Song Sheng pada tahun 1996, supaya tampil menyalurkannya kepada balai polis berhampiran.

Tin murid Tahun Satu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Taman Rashna, Klang itu dilaporkan hilang oleh bapanya setelah dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan pada 12 Jan 1996.

Kes kehilangan Tin, kini berumur 24 tahun, mendapat perhatian negara serta usaha mengesan kanak-kanak malang itu turut mendapat kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Mohd Adnan berkata polis turut akan mengeluarkan beberapa lagi maklumat kanak-kanak yang hilang di negeri ini sebelum ini untuk tujuan sama. - Bernama

Wanita sarat mengandung maut



Wanita sarat mengandung maut
Awang Abu Bakar membuat pemeriksaan di kereta mangsa yang remuk teruk di bahagian hadapan.
Wanita sarat mengandung maut
Bas ekspres terbabas di bahu jalan nyaris merempuh sebuah rumah kosong.
Wanita sarat mengandung maut
Seorang penduduk, Lim Hock Sue, 61, tergamam melihat bas ekspres hampir merempuh rumahnya.
TUMPAT - Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan antara dua yang maut selepas kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 19 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat selekoh tajam di Kampung Jubakar Darat, awal pagi semalam.

Dalam nahas yang berlaku jam 5.20 pagi, wanita terbabit dikenali Rohanee Samamae, 35, merupakan warga Thailand maut di tempat kejadian.

Manakala pemandu kereta terbabit dari Kampung Kok Lanas, Kota Bharu, Mohd Nasaruddin Mohd Sidik, 39,  maut apabila mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat pemandu.

Seorang lagi penumpang kereta terbabit Waehanisah Kolu, 22, warga Thailand, juga mengandung cedera parah.

Ketua Trafik Daerah Tumpat, Inspektor Awang Abu Bakar Awang Rosli berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Pengkalan Kubor menghala ke Kota Bharu.

Menurutnya, kereta yang dipandu Mohd Nasaruddin ketika melalui selekoh tajam memasuki laluan bertentangan menyebabkan bertembung dengan bas ekspres tersebut.

“Bas ekspres Kuala Lumpur - Kota Bharu tersebut tiada penumpang dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Kubor selepas menurunkan penumpangnya di Kota Bharu,” katanya.

Pemandu bas tersebut, Shamsudin Mohd Nor, 39, bersama pemandu kedua, Wan Radhuan Wan Mat, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun bas ekspres tersebut hampir merempuh sebuah rumah kosong apabila terbabas ke bahu jalan selepas bertembung dengan kereta itu.

Awang Abu Bakar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Satu jam keluarkan mangsa tersempit

Pihak bomba mengambil masa selama satu jam untuk mengeluarkan tiga mangsa apabila dua daripadanya tersempit di bahagian hadapan.

Ketua Balai Bomba Pengkalan Kubor, Bustaman Karudin berkata, mangsa pertama dikeluarkan adalah penumpang di belakang, Waehanisah yang mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kedua berjaya dikeluarkan ialah penumpang di hadapan, Rohaneedan seterusnya pemandu kereta terbabit, Mohd Nasaruddin.

“Kedua-dua mangsa tersempit teruk di bahagian hadapan dan mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seramai lapan anggota dengan satu jentera dari Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan,” katanya kepada Sinar Harian.

Arwah sempat bagi cincin kepada bekas isteri

Arwah Mohd Nasaruddin sempat menyerahkan cincin perak kepada bekas isterinya, Wahida Mohd Hanif, 40, dari Kampung Dalam Rhu sebagai tanda untuk rujuk kembali selepas mereka berpisah lebih 10 tahun lalu.

Wahida berkata, dia agak terkilan kerana tidak sempat memberi jawapan kepada arwah.

“Petang semalam (kelmarin) arwah ada datang ke kedai runcit dan meluahkan hasrat untuk rujuk.

“Arwah bagi cincin perak yang dipakainya kepada saya sebagai tanda rujuk kembali, tetapi saya tidak beri sebarang jawapan,” katanya.

Menurutnya, pada malamnya pula, arwah datang lagi selepas dihubungi Nurnisren, 13, anak tunggal hasil perkongsian hidup dengannya apabila meminta dibelikan kek.

“Arwah datang bawa kek tersebut dan selepas itu memaklumkan akan bertolak ke Kuala Lumpur, tetapi dia tidak sempat ke sana apabila terlibat dengan nahas di Kampung Jubakar,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk, Tumpat di kampung halaman bekas isterinya.

Pasangan OKU trauma



Pasangan OKU trauma
Mohd Fatmi (empat, kanan) meninjau keadaan kebakaran di premis rumah dan kedai empat mangsa kebakaran di Jalan Pengkalan Chepa, semalam.
KOTA BHARU - Pasangan orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami kecacatan bisu dan pekak masih lagi trauma serta teringat-ingat kejadian kebakaran di kedai runcit yang berlaku Rabu lalu di Jalan Pengkalan Chepa, di sini.

Anak lelakinya, Phang Chee Yong, 21 berkata, ibunya, Phang Yoein Lai, 53 dan bapa, Wee Sa Ting, 47 sering menyebut kejadian itu memandangkan mereka tidak mampu melupakan peristiwa yang pertama kali dilaluinya.

“Biarpun hampir seminggu peristiwa ini berlaku, mereka masih lagi menceritakan saat-saat getir itu kepada kawan, saudara dan pelanggan kedai runcit. Mereka mungkin masih trauma kerana tidak dapat bercakap dan tidak mendengar ketika api marak di bahagian atas kedai.

“Setelah diberitahu ada kebakaran, mereka terlalu risaukan beberapa tong gas yang dijual di kedai runcit ini, lalu meminta orang ramai mengalihkannya ke tempat selamat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ehsan Kebakaran oleh Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, di sini, semalam.

Chee Yong berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.56 petang Rabu lalu, dia bersama ibu bapanya berada di kedai runcit, manakala adik perempuannya, Phang Mei Xin, 19 keluar mengambil kursus dandanan dan kecantikan di salun berdekatan.

Katanya, biarpun dia sudah mengambil tindakan pantas memadamkan api, namun keadaan api yang cepat merebak menyebabkan bahagian cermin tingkat atas pecah dan meranapkan barangan di kedai runcit berkenaan.

Katanya, ibunya kecacatan bisu dan pekak setelah terkena petir semasa bermain hujan di bawah pokok  manakala bapanya cacat sejak lahir.

Sementara itu, warga emas, Tipah Husin, 75 meminta supaya menyegerakan pembinaan rumah pusaka tinggalan arwah suaminya yang didiami sejak lebih 50 tahun lalu memandangkan dia kini terpaksa menumpang teduh di rumah anak secara bergilir-gilir.

Ketika lawatan itu, Mohd Fatmi berkata, sebanyak RM20,000 dihulurkan kepada empat mangsa kebakaran (setiap satu menerima RM5,000) melibatkan tiga pemilik kedai iaitu kedai aksesori pakaian seragam, minuman dan runcit serta rumah milik Tipah.

“Memandangkan tuan rumah memiliki sendiri tanah ini, dia (Tipah) disarankan memohon Rumah Mesra Rakyat yang kini bernilai RM65,000 (harga selepas subsidi kerajaan) dan hanya perlu membayar RM150 sebulan.

“Pihak kami akan bantu membuat permohonan dan mempercepatkan kelulusan bagi dapatkan semula rumah,” katanya.

Pekerja kilang mogok kerana masalah gaji



Pekerja kilang mogok kerana masalah gaji
Suzana (kiri) dan rakannya menunjukkan notis yang dikeluarkan mengenai pelaksanaan gaji minimum RM900 bermula 1 Januari.
Pekerja kilang mogok kerana masalah gaji
Kira-kira 500 pekerja kilang memulakan mogok sejak dari jam 8 pagi, semalam.
SENAI – Kira-kira 500 pekerja kilang pengeluar komponen komputer Kawasan Perindustrian Senai di sini melancarkan mogok mengenai isu penyelarasan gaji asas minimum RM900 yang ditetapkan kerajaan awal Januari lalu kerana mendakwa ia diputarbelitkan pihak syarikat.

Salah seorang pekerja, Suzana Ismail, 41, berkata, pihak pengurusan mengeluarkan notis bertarikh 10 Januari lalu bahawa kilang itu akan melaksanakan penyelarasan gaji minimum sebanyak RM900 bermula 1 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, penyelarasan gaji tidak dilaksanakan sebaliknya gaji yang diterima pekerja bagi bulan Januari berkurangan.

“Sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan kami mampu meraih pendapatan melebihi RM1,500 termasuk bayaran kerja lebih masa.

“Tetapi selepas penyelarasan dibuat, gaji tetap kami bukan sahaja tidak dinaikkan kepada RM900 malah terdapat pelbagai potongan dilakukan,” katanya.

Lebih  mengecewakan,  elaun kerja lebih masa dipotong bagi menampung jumlah jam bekerja yang  ditukar dari 44 jam kepada 48 jam seminggu tanpa notis awal.

“Kami  bertanya mengapa bayaran kerja lebih masa dipotong, mereka memberitahu itu dikira sebagai tempoh asal waktu bekerja bagi melengkapkan jumlah 48 jam.

“Kami tidak berpuashati dengan situasi ini sedangkan sebelum ini waktu bekerja kami dikira lapan jam sehari tetapi ia tiba-tiba ditukar menjadi 7.33 jam selepas penyelarasan gaji baru dilaksanakan.

“Malah kami juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perubahan waktu bekerja dari 44 jam kepada 48 jam,” katanya.

Katanya, mogok akan terus dilakukan sehingga pihak syarikat memberi jaminan bertulis kepada setiap pekerja bahawa gaji asas mereka akan dinaikkan kepada RM900 tidak termasuk elaun atau bayaran kerja lebih masa.

“Masalah ini  dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan berharap nasib kami dibela,” katanya.

Selain itu, seorang pekerja warga asing, Sabir Aalam, 23, berkata, selepas penyelarasan dakwanya kekal menerima gaji asas yang sama seperti sebelumnya iaitu RM319 dan hanya menerima gaji RM900 setelah dicampur elaun dan bayaran kerja lebih masa.

“Gaji asas rakan-rakan saya yang bekerja di kilang lain sudah pun dinaikkan kepada RM900, malah mereka menerima gaji melebihi RM1,500 kerana terdapat bayaran kerja lebih masa.

“Saya juga melakukan kerja lebih masa dalam jumlah yang sama namun hanya menerima gaji keseluruhan kira-kira RM900 kerana gaji asas tidak dinaikkan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil pengurusan kilang itu yang enggan dikenali berkata, pihak syarikat telah berusaha mematuhi arahan penyelarasan gaji minimum RM900 dengan membuat pembayaran gaji secara pukul rata (lum sum).

“Pihak syarikat sudah melaksanakan penyelarasan gaji minimum sebanyak RM900 seperti diarahkan kerajaan melalui pembayaran gaji secara lum sum termasuk elaun dan bayaran lebih masa.

“Pekerja yang sudah bekerja lebih sepuluh tahun juga akan menerima penyelarasan sama kerana kami tidak dapat membuat perubahan penyelarasan dalam jumlah yang besar kerana operasi kilang yang kecil,” katanya.

Sementara itu, Exco Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, M Asojan, pihak JTK dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah ke kilang itu semalam bagi menyiasat masalah yang berlaku.

“Siasatan ini akan disambung semula esok (hari ini) sebelum laporan lengkap dan tindakan lanjut diambil bagi mengatasi masalah ini.

“Setakat ini mogok yang dilancarkan pekerja berjaya disuraikan dan mereka telah bekerja seperti biasa sejak tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Selain itu katanya, pihak majikan dan pekerja perlu memahami mekanisme penyelarasan gaji minimum yang baru supaya masalah yang timbul tidak berlarutan.

Hajat tunai umrah berkecai



Hajat tunai umrah berkecai
Mayat Mohd Aiman yang berlumuran darah, tertiarap di atas jalan selepas merempuh sebuah kenderaan dari belakang. Gambar kecil: Allahyarham Mohd Aiman Ibrahim.
KOTA  BHARU - Hajat seorang remaja untuk menunaikan umrah Mac ini, tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam nahas jalan raya selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta dalam kejadian di jambatan Bunut Payong, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Mohd Aiman Ibrahim, 17, bekas pelajar Ma’ahad Tahfiz Sains, Kok Lanas maut di tempat kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dan leher.

Mangsa dari Kota Bharu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Nilam Puri.

Sepupu mangsa, Rizwan Ramli, 29 berkata, dia amat terkilan kerana Mohd Aiman tidak sempat menunaikan umrah dalam masa terdekat ini.

Menurut Rizwan, sepatutnya Aiman bersama ibunya, Maznah Yusof, 50, dan adiknya, Muhammad Aidil Iman, 15, berangkat ke Tanah Suci pada minggu hadapan.

“Segala persiapan termasuk urusan visa telah pun siap dan hanya menantikan masa untuk berangkat ke sana, namun saya amat terkilan dan sedih selepas melihat mayatnya terbujur kaku di atas jalan selepas terlibat dalam kemalangan.

“Semalam (kelmarin) sebelum kejadian, saya sempat meluangkan masa bersamanya ke majlis kenduri pertunangan sepupu di Terengganu, dan sepanjang perjalanan dia tidak banyak bercakap dan hanya mendiamkan diri.

Tidak saya sangka perubahan itu merupakan petanda ajal dia akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Idris berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

 “Kita masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ketua gengster maut



Ketua gengster maut
Paramasivam (dua, kiri) menunjukkan pistol revolver jenis .38 yang ditemui dalam kenderaan suspek.
IPOH - Seorang penjenayah dipercayai ‘ketua gengster’ yang sangat dikehendaki polis ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di ladang kelapa sawit Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini, awal pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, suspek dikenali Farid Abdul Hamid, 25, dari Ayer Tawar, Manjung mempunyai empat rekod jenayah sejak 2006 berhubung kes bunuh, samun kenderaan mewah dan dadah di sekitar Manjung, Sitiawan, Teluk Intan dan Slim River.

Menurutnya, insiden berkenaan bermula apabila sepasukan polis dari  Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta jenis Naza Citra berwarna hitam dipandu suspek berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 4 pagi di Sitiawan.

“Polis yang mengekori suspek mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu dan didaftarkan atas kereta jenis Proton Waja, bagaimanapun suspek yang menyedari dirinya diekori bertindak memecut kereta ke arah Kampung Baru sebelum terbabas di kawasan ladang sawit Sungai Wangi.

“Suspek kemudiannya melepaskan tembakan ke arah polis yang mengenai cermin tempat duduk pemandu kenderaan tersebut, demi mempertahankan diri, anggota polis tersebut bertindak membalas tiga das tembakan dan mengenai suspek,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba.

Akibat tembakan itu, suspek mati di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan polis  ke atas kenderaan tersebut turut menemui beberapa barangan.

Polis buru konco suspek

Paramasivam berkata, pemeriksaan ke atas suspek dan kereta itu menemui sepucuk revolver jenis .38, tiga butir peluru dan kelongsong, sebilah parang panjang, beg silang berisi lesen memandu suspek dan sepaket plastik lutsinar mengandungi syabu.

Katanya, suspek terbabit dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tembak seorang mekanik di Taman Sejati, Sitiawan pada 10 November tahun lalu.

“Kereta yang digunakan itu juga sebelum ini dilaporkan hilang jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur pada 7 Mei tahun lalu.

“Selain itu, suspek dipercayai sering melakukan jenayah bersama kumpulannya di sekitar Manjung,” ujarnya.

Paramasivam percaya, pihaknya telah dapat menyelesaikan sembilan kes yang berlaku di sekitar Manjung sejak 2011.

“Kami akan meneruskan siasatan dan menjejaki konco-konco suspek yang masih bebas di luar sana,” katanya yang sebelum ini memberitahu beberapa ahli kumpulan yang bekerja di bawah suspek pernah ditahan dan didakwa di mahkamah pada tahun lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Janin bertali pusat ditemui dalam loji kumbahan



GEORGETOWN - Dua pembersih loji kumbahan menemui janin berusia empat bulan dalam loji Taman Desa Wang, Permatang Damar Laut, Batu Maung
di sini semalam.
  
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata pada kejadian pukul 5 petang itu, janin sebesar tapak tangan yang masih bertali pusat itu dipercayai berada di lokasi tersebut selama tiga hari berdasarkan keadaan fizikal dan warnanya.
  
"Hasil siasatan awal, kali terakhir kerja pembersihan dilakukan ialah pada pukul 3 petang Jumaat lepas.
  
"Apabila petugas loji mendapati aliran air kumbahan seperti tersekat oleh sesuatu, mereka datang meninjau  dan mendapati ada janin tersangkut pada penapis loji," katanya kepada pemberita.
  
Beliau berkata janin berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di talian 04-8662222 bagi membantu siasatan. - Bernama

Lelaki curi duit pesakit dalam wad



KOTA BHARU – Tindakan seorang lelaki mencuri duit pesakit di wad sebuah hospital di sini, mengundang padah apabila dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mohd Izzat Noor Rudin, 42, dari Kampung Dusun, Jalan Bayam di sini didakwa mencuri wang tunai RM150 milik bapa pengadu, Adam Taib, 74, di bilik berasingan, wad hospital itu, 11 Februari lalu. Kejadian jam 4 pagi itu disedari pengadu yang terlihat seorang lelaki iaitu tertuduh keluar dari bilik ayahnya dirawat.

Melihat gelagat mencurigakan lelaki itu, pengadu kemudian memeriksa dompet bapanya yang diletakkan di dalam laci wad berkenaan.

Selepas mendapati duit ayahnya hilang, pengadu kemudian mengejar tertuduh dan dia berjaya ditahan dengan bantuan pengawal keselamatan sebelum duit yang disorokkan itu dijumpai di dalam seluar tertuduh.

Tertuduh kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan, bagaimanapun dia menafikan tuduhan  selepas itu.

Mohd Fazaly Ali kemudian menasihatinya supaya menjalani perbicaraan dan membuktikan yang dia tidak bersalah sekiranya dia tidak melakukan perbuatan itu.

“Lainlah kalau kamu betul-betul melakukan kesalahan itu, maka tidak perlulah untuk menegakkan benang yang basah,” katanya. Tertuduh bagaimanapun tetap mengaku bersalah pada kali kedua pertuduhan dibacakan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri.

Lebih 30 kereta tenggelam dalam banjir kilat



Lebih 30 kereta tenggelam dalam banjir kilat
Keadaan dalam pusat beli-belah turut dinaiki air semalam.
banjir p
Lebih 30 kenderaan tenggelam akibat kejadian banjir kilat, petang semalam
Lebih 30 kereta tenggelam dalam banjir kilat
Beberapa kenderaan ditenggelami air dalam kejadian petang semalam. Foto : oriental daily
Lebih 30 kereta tenggelam dalam banjir kilat
Sebahagian Bandar Puchong Jaya tenggelam dalam kejadian banjir kilat petang semalam
PUCHONG – “Memang rasa terkejut apabila paras air naik tiba-tiba di tengah laluan lebuhraya menyebabkan kereta saya tenggelam sekelip mata,”kata, Dr Choong, salah seorang pemilik kenderaan yang tenggelam dalam kejadian banjir kilat di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), petang semalam.

Dakwanya, ketika kejadian beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang Jaya selepas menghadiri mesyuarat di sebuah kolej swasta di sini.

Katanya, sebaik membelok keluar dari Bandar Puchong Jaya menghala ke Bandar Puteri, air tiba-tiba melimpah penuh di atas jalan menyebabkan keretanya dan tiga lagi kereta berdekatan tidak dapat bergerak.

Dalam keadaan cemas itu, Choong berkata, dia mengambil keputusan berdiam diri dalam kereta dan tidak membuka pintu kerana khuatir air melimpah masuk dalam kenderaan.

Menurutnya, apa yang difikirkan ketika itu, kereta yang seolah-olah menjadi sampan bergerak di atas jalan itu berlanggar dengan kereta lain yang turut terkandas di atas jalan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika hujan lebat, memang saya tidak sangka menjadi mangsa dan terperangkap  sebelum kereta saya ditarik oleh orang ramai menggunakan tali.

“Saya tidak pandai berenang, memang takut hendak buka pintu dan keluar dari kereta apabila melihat  paras air di luar sudah melebihi pinggang,”katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, dalam kejadian semalam, lebih 30 buah kereta ditenggelami air termasuk yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah terkenal di sini.

Sinar Harian difahamkan, ruang kedai tingkat bawah pusat beli-belah itu turut dinaiki air malah kawasan sekitar Bandar Puchong Jaya tenggelam dan kesemua laluan LDP ke Bandar Puteri terpaksa ditutup kepada pengguna selama beberapa jam.

Kejadian semalam turut menyebabkan kesesakan berlaku hampir tiga kilometer dari arah Sunway ke Puchong Perdana.