TUMPAT — Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut ditemui lemas di Pantai Geting, di sini hari ini, sehari selepas dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Mohd. Bustan Karudin berkata, mayat Muhamad Hazril Ab Rahim, 17, dari Kampung Laut 2 Palekbang, ditemui penduduk kampung.
"Mangsa ditemui pada pukul 1.05 tengah hari tadi, tiga kilometer dari tempat dia dipercayai hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari semalam, Muhamad Hazril bersama sembilan rakan mandi di Pantai Sri Tujuh yang merupakan lokasi tumpuan pelancong.
"Dua lagi rakan mangsa yang hampir lemas berjaya diselamatkan rakan lain manakala Muhamad Hazril terus hilang,” katanya.
Mohd. Bustan berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1 tengah hari, pihaknya bersama beberapa agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam, melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.
Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. — BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2LAMrqsdN
Hakcipta terpelihara