Search This Blog

Saturday, February 16, 2013

Rusia panik dilanggar tahi bintang



KESAN pergerakan tahi bintang di ruang udara sebuah kampung di Bolshoe Sidelnikovo, kira-kira 50 kilometer dari Chelyabinsk.


MOSCOW, Rusia - Sebutir tahi bintang jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural, kira-kira 1,500 kilometer dari sini semalam menyebabkan lebih 1,000 orang cedera.
Kebanyakan daripada mangsa termasuk kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan ekoran impak letupan sebaik sahaja tahi bintang itu menghentam bumi.
Kuasa perlanggaran tahi bintang yang dianggarkan seberat 11 tan metrik itu telah merosakkan banyak bangunan di enam buah bandar di wilayah Oblasts.
Ketika kejadian, sebahagian penduduk dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerja.
Menurut seorang koresponden agensi berita Reuters, ramai penduduk dapat menyaksikan cahaya yang terang bergerak laju sebelum kelihatan ledakan cahaya yang diikuti letupan.
Impak letupan itu menyebabkan penggera banyak kenderaan berbunyi, tingkap bangunan pecah dan gangguan pada perkhidmatan telefon bimbit.
Pejabat gabenor tempatan dalam satu kenyataan menyatakan, tahi bintang yang bergerak pada kelajuan 54,000 kilometer sejam itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat bandar Chebakul, kira-kira 60 kilometer dari Chelyabinsk.
Bagaimanapun, serpihannya belum ditemui.
Sekolah-sekolah ditutup selama sehari dan pertunjukan teater dibatalkan di wilayah tersebut selepas gelombang kejutan itu berlaku ketika suhu berada pada paras 18 darjah Celsius.
Sebuah stadium hoki ais di Chelyabinsk turut rosak menyebabkan satu perlawanan terpaksa dibatalkan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov menyatakan, mereka yang cedera telah mendapatkan rawatan perubatan selepas tahi bintang tersebut jatuh dan meletup.
Kolesnikov menjelaskan, bumbung sebuah kilang zink turut runtuh.
Rakaman video amatur yang disiarkan di televisyen Rusia menunjukkan sebuah objek bergerak dengan laju di langit pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan.
Objek itu meninggalkan kepulan seperti awan putih yang tebal dan boleh dilihat dari jarak sejauh 200 kilometer.
Tahi bintang itu jatuh pada hari yang sama sebuah asteroid 2012 DA14 yang sebesar separuh padang bola sepak bergerak mendekati bumi pada kedudukan 28,000 kilometer.
Serpihan kecil komet atau asteroid yang bergerak dalam sistem suria dikenali sebagai meteoroid.
Apabila meteoroid memasuki atmosfera bumi, ia dikenali sebagai tahi bintang.
Kebanyakan tahi bintang terbakar di atmosfera.
Seorang saksi, Sergey Hametov berkata, penduduk berasa panik semasa letupan itu berlaku.
"Kami mendengar bunyi gemuruh yang kuat," katanya kepada agensi berita Associated Press.
Seorang lagi penduduk, Valya Kazakov menyatakan, beberapa wanita tua menangis kerana menyangka hari kiamat.
Seorang penduduk di Yekaterinburg di kawasan pergunungan Ural, Viktor Prokofiev menyatakan, ketika kejadian dia sedang memandu untuk pergi ke tempat kerja.
"Persekitaran gelap tiba-tiba cerah seperti hari siang.
"Saya berasa seperti 'buta' disebabkan cahaya terlampau terang," katanya.
Bagaimanapun, pemimpin nasionalis Rusia, Vladimir Zhirinovsky yakin letupan itu bukan impak tahi bintang tetapi senjata baharu Amerika Syarikat, lapor agensi berita RIA Novosti. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2L3xM8evz 
Hakcipta terpelihara 

1,000 cedera angkara meteor


 
Foto
Serpihan tahi bintang jatuh di Chelyabinsk. - Foto Agensi

Foto
Seorang penduduk dirawat selepas luka.

Tahi bintang selaju 54,000 kilometer sejam meletup di udara

Moscow: Sekurang-kurangnya 1,000 orang cedera selepas tahi bintang seberat 11 tan melalui kawasan pergunungan Ural, Russia, awal semalam.
Tahi bintang itu mempunyai kelajuan 54,000 kilometer sejam dan meletup pada ketinggian 30 hingga 50 kilometer di udara, kata Akademi Sains Russia.

Letupan itu menyebabkan kaca pecah di banyak tempat, kata Kementerian Kecemasan Russia yang mengesahkan 34 orang terus dirawat di hospital, tiga daripada mereka parah.

“Penduduk panik. Mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Semua orang mengunjungi jiran terdekat untuk memastikan sama ada mereka selamat,” kata Sergey Hametov, penduduk daerah Chelyabinsk, 1500 kilometer ke timur Moscow, bandar terbesar di kawasan kejadian.

Letusan besar

“Kami nampak satu letusan besar cahaya dan keluar rumah untuk menentukan apa sebenarnya berlaku dan dengar bunyi dentuman kuat,” katanya lagi.
Seorang lagi penduduk Chelyabinsk, Valya Kazakov, berkata ada juga beberapa wanita tua dekat rumahnya mula menangis kerana percaya dunia kiamat.





Ada juga beberapa serpihan tahi bintang itu jatuh di sebuah empangan di luar bandar Cherbakul, kata pejabat gabenor wilayah yang dipetik agensi berita ITAR-Tass. Tidak diketahui sama ada penduduk terkena serpihan tahi bintang itu.

Agensi berita itu juga memetik jurucakap tentera, Yarslavl Roshupkin sebagai berkata, pihaknya menemui sebuah lubang besar enam meter lebar di tempat beberapa serpihan mengenai bumi.

Bunyi sonik

Tahi bintang biasanya akan mengeluarkan bunyi sonik ketika masuk ke atmosfera kerana bergerak melebihi kelajuan bunyi.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vodim Kolesnikov berkata, bumbung sebuah kilang juga roboh.

Beberapa laporan juga bercanggah dengan apa yang berrlaku. Jurucakap Kementerian Kecemasan Irina Rossius, berkata ada beberapa tahi bintang jatuh ke bumi manakala seorang lagi jurucakap, Elena Smirnikh, dipetik agensi berita Interfax sebagai berkata bahawa hanya satu tahi bintang dilihat. - AP

INFO: Tahi bintang
* Tahi bintang adalah ketulan batu dari angkasa yang masuk ke atmosfera bumi
* Tahi bintang biasanya mencapai kelajuan 30,000 kilometer sejam
* Tahi bintang yang lebih kecil biasanya lepasi atmosfera bumi lima hingga 10 kali setahun
* Tahi bintang besar yang jatuh ke bumi biasanya berlaku setiap lima tahun
* Tahi bintang yang terakhir berlaku pada 2008 apabila ia meletup di Sudan tetapi tiada siapa cedera
* Tahi bintang yang dijual mempunyai nilai sehingga AS$670 (RM2,010) satu gram
* Bertanggungjawab atas kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu
* 20,000 petugas kecemasan ditempatkan di kawasan kejadian untuk bantu penduduk

JPJ bakal lupus 400 kenderaan


JPJ bakal lupus 400 kenderaan
Anggota penguat kuasa JPJ menjalankan tugas ketika Operasi Kesalahan Bergambar di Stesen KTM Taman Wahyu, semalam.
KUALA LUMPUR - Lebih 400 kenderaan terutamanya motosikal yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam operasi yang dilaksanakan sejak 2011 akan dilupus dan dilelong jika tidak dituntut.

Pengarah JPJ WPKL, Mohd Nadzri Osman berkata, tindakan tersebut bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengumpulan.

Justeru menurutnya, pemilik perlu menyelesaikan kompaun dikenakan JPJ dan menuntut kenderaan mereka dengan kadar segera.
“Itu adalah syarat ditetapkan JPJ, di mana hanya pemilik sebenar dibenarkan menuntut kenderaan yang turut tidak melibatkan kes kecurian.

“Pihak JPJ boleh mendapatkan kebenaran mahkamah utk melucutkan hak milik kenderaan yang tidak dituntut dalam tempoh tertentu selepas notis peringatan dihantar dan ia akan dilupus atau dilelong,” katanya dalam satu sidang media, di sini semalam.

Sementara itu, Nadzri berkata, operasi Musim Perayaan Tahun Baru Cina (TBC)  yang dijalankan seluruh negara bermula 3 Februari lalu dan berakhir Ahad ini menggerakkan hampir 100 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ WPKL.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan meliputi pemeriksaan bas di depoh dan terminal termasuk memeriksa status lesen memandu serta urin pemandu pas dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“JPJ juga melakukan penyamaran sebagai penumpang bagi 14 perjalanan, dalam usaha mengenal pasti pemandu yang melakukan kesalahan ketika memandu.

"Dalam pada itu, sebanyak 103 kes kesalahan bergambar juga direkodkan sepanjang operasi sehingga 14 Februari," katanya.

Terdahulu, JPJ WPKL melaksanakan Operasi Kesalahan Bergambar di jejantas Stesen KTM Taman Wahyu, di sini, bagi mengenal pasti kenderaan awam dan perdagangan yang melakukan kesalahan, seperti menggunakan laluan kecemasan serta kenderaan berat menggunakan lorong kanan.

Lebih 1,000 cedera meteor terhempas di Rusia


Meteor timpa Rusia 400 cedera
Meteor timpa Rusia 400 cedera
meteor
Pergerakan meteor sebelum terhempas di bandar Chelyabinsk, Urals, wilayah timur Rusia semalam. Lebih 1,000 cedera. - Foto EPA
meteor
Laluan meteor sebelum terhempas di bandar Chelyabinsk, Urals, Rusia. Lebih 1,000 cedera. - Foto EPA
meteor
Orang ramai menyaksikan pergerakan meteor sebelum terhempas di bandar Chelyabinsk, Urals, wilayah timur Rusia semalam. Lebih 1,000 cedera. - Foto EPA
[DIKEMAS KINI]MOSCOW - Meteor dari angkasa menimpa Rusia pagi tadi (waktu tempatan) menyebabkan bola api, yang mengejutkan ramai, dan mencederakan lebih 1,000 orang Di Chelyabinsk, wilayah Ural, timur Moscow, pagi tadi waktu tempatan.
Jurucakap pihak berkuasa Chelyabinsk berkata, sembilan orang dimasukkan ke hospital. Kebanyakan cedera disebabkan terkena kaca yang pecah.
Agensi berita tempatan, RIA Novosti melaporkan, sekurang-kurangnya tiga lagi kritikal, juga akibat terkena kaca pecah dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi.

Menurut laporan agensi berita rasmi, Itar-Tass, satu cahaya terang berwarna putih muncul di langit untuk beberapa saat diikuti dengan bunyi "bang" yang sangat kuat seperti letupan.

Itar-Tass melaporkan, letupan itu berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk.

Sementara itu, pegawai kecemasan Rusia berkata, meteor telah musnah selepas sebahagiannya terbakar ketika berada di atmosfera lebih rendah berbanding daerah Ural.

Pegawai Kementerian Kecemasan Gennady Onishcenko berkata, kebanyakan mangsa cedera akibat terkena serpihan kaca selepas hujan meteoroid tersebut jatuh ke kawasan perumahan dan sekitar bangunan.
“Kebanyakan mangsa dikejarkan ke hospital akibat terkena serpihan kaca yang berterbangan selepas meteoroid itu terkena premis bangunan, kedai dan kediaman,” katanya.
Presiden Vladimir Putin bersyukur kerana insiden yang mengejutkan ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa.
Meteor ini disaksikan di Yekaterinburg, 200 kilometer ke utara dan di Kazkhstan di selatan.
Jabatan Kesihatan Chelyabinsk mengesahkan lebih 1,000 orang setakat ini mengalami kecederaan, termasuk 200 kanak-kanak.
Angka awal menyebut hanya sekitar 300 orang cedera.
Dua orang di bandar Kopeysk berada dalam keadaan serius.
Menurutnya, seramai 20,000 petugas kecemasan dikerah ke Chelyabinsk dengan tiga pesawat tentera udara.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kilang zink runtuh, sistem telekomunikasi terputus, penggera keselamatan bangunan, rumah dan kereta berbunyi.
“Satu letupan kuat bersama gumpalan cahaya terang menyerupai api melintasi bandar ini hingga jatuh dan mengenai beberapa kawasan premis sekitar bandar ini,” katanya.
Beliau berkata, beberapa penduduk mendakwa, letupan dapat didengar ketika asteroid itu memasuki atmosfera bumi.
Sementara itu, Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini.
“Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya.
Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera dan meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island.

Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah ditebang.

2 pelajar maut kereta dinaiki cuba elak lembu

KOTA TINGGI – Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Jaya di sini maut dalam kemalangan di Kilometer 66.9 Lebuhraya Senai-Desaru di sini awal pagi semalam apabila pemandu kereta cuba mengelak seekor lembu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Mohd Nor Rasid berkata, ekoran kejadian itu mangsa, Nettie Ratna Sari Abdul Rahim, 16, dari Taman Kota Jaya dan Nur Syafiqah Syazwani Harun Nul Rashid, 16, dari Perumahan Desa Sejahtera meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan mangsa yang juga pemandu kereta, Mohd Razy Md Yusof, 22, dari Felda Sungai Mas mengalami cedera ringan dan dirawat di Klinik Bandar Penawar.

“Kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi apabila kenderaan jenis Honda City yang dinaiki mangsa dari arah Senai menghala Desaru telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam curam di laluan bertentangan.

“Siasatan awal mendapati apabila tiba di KM 66.9 Lebuhraya Senai-Desaru, kereta yang dipandu Mohd Razy cuba mengelak lembu yang berada di atas jalan.

"Keadaan jalan yang gelap dan licin berikutan hujan mengakibatkan kereta itu terbabas ke laluan bertentangan sebelum masuk ke dalam curam.

"Kedua-dua mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal di tempat kejadian dan Mohd Razy, yang masih berada di tempat duduk pemandu, (ketika diselamatkan) cedera ringan," katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kedua-dua jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, semalam.


* Dapatkan laporan susulan di Sinar Harian edisi esok

Gear rosak, bas rombongan Program PM humban ke parit



Bas bawa rombongan Program PM terhumban ke parit
Najib (tengah) bersama isteri meluangkan masa melawat mangsa cedera di Wad Kecemasan HRPB, semalam
Bas bawa rombongan Program PM terhumban ke parit
Najib sempat bertemu mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam.
Bas bawa rombongan program PM terhumban ke parit
Keadaan bas persiaran yang membawa 36 Orang Asli dari Gua Musang, ke Seri Iskandar terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai. - Foto Bernama
Bas bawa rombongan Program PM terhumban ke parit
Keadaan bas persiaran yang membawa 36 Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan ke Seri Iskandar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai.
SIMPANG PULAI - “Saya sempat bergayut di palang berhampiran kerusi sebelum melihat penumpang lain terhumban dan terhimpit ke sebelah kiri bas,” ujar Urusetia Persatuan Orang Asli Kelantan, Jabbar Salleh, 53.

Jabbar adalah seorang daripada 36 Orang Asli yang menaiki bas persiaran dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini.

Bas tersebut adalah salah satu daripada 25 bas yang membawa kira-kira 1,000 Orang Asli dari Kelantan bagi menghadiri Program Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama Perdana Menteri dan Pelancaran Program Mengubah Destini Orang Asli di Padang A, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, bas yang dinaiki kumpulan Orang Asli terbabit dipercayai terbabas lalu melanggar bahagian kanan sebuah lagi bas yang turut mengikuti konvoi tersebut sebelum masuk ke dalam parit berhampiran.
Kejadian yang berlaku di Kilometer 15, Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Pos Slim itu turut mengakibatkan seorang maut manakala lima lagi cedera parah manakala 10 yang lain hanya mendapat rawatan pesakit luar dan mereka semua dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Jabbar berkata, bas tersebut dalam keadaan tidak stabil ketika melalui selekoh dan dipercayai mengalami kerosakan gear ketika menuruni bukit sebelum melanggar bas di hadapan sehingga mengakibatkan bas terbabas masuk ke dalam longkang.
“Selepas bas terhumban masuk ke dalam parit, kesemua penumpang yang duduk di sebelah kanan terjatuh ke sebelah kiri sehingga mengakibatkan ramai daripada penumpang cedera akibat kejadian itu.
“Saya dan beberapa penumpang keluar mengikut pintu pemandu bas manakala selebihnya mengikut pintu belakang,” katanya.

Seorang lagi penumpang bas yang terselamat, Kemboh Dollah, 22, berkata, dia yang duduk bersama kakaknya di barisan ketiga belakang tempat duduk pemandu hanya mendengar jeritan penumpang lain sebelum bas terbabas memasuki longkang di sebelah kiri jalan.

“Kami berdua terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa hanya berharap sesuatu yang buruk tidak berlaku,” katanya yang serik untuk menaiki bas selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Bergesel dengan bas lain

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila bas tersebut bergesel dengan bas persiaran yang lain sebelum dihimpit ke tepi sehingga mengakibatkan ia masuk ke dalam longkang berhampiran.
Menurutnya, bas yang bertolak dari Pos Hendrop, Gua Musang itu dalam perjalanan ke UiTM Seri Iskandar untuk menghadiri program bersama perdana menteri.

“Bagaimanapun, setibanya mereka di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai bas tersebut mengalami kemalangan mengakibatkan 36 penumpang bas terhimpit ke sebelah kiri bas.

“Polis, bomba dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) bekerjasama membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Akibat kemalangan itu, seorang maut setengah jam selepas mendapat rawatan di hospital, lima daripadanya separuh kritikal manakala 18 lagi mendapat rawatan pesakit luar, “ katanya.

Katanya, mangsa maut dikenali sebagai Mali Along, 21, pelajar Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP), Kuantan.

“Mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan dalaman dan kes tersebut disiasat di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Shalimin Ahmad Shaffie berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membantu menguruskan jenazah mangsa serta membantu mangsa lain yang cedera dalam kemalangan itu.
PM lawat mangsa nahas

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut meluangkan masa selama 15 minit melawat mangsa di Wad Kecemasan HRPB.
Najib turut meluahkan rasa simpati dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

Rusia: Meteor terhempas semalam beratnya 10 tan



16 Februari 2013
meteor
Laluan meteor sebelum terhempas di bandar Chelyabinsk, Urals, Rusia. Lebih 1,000 cedera. - Foto EPA
MOSCOW - Rusia mengerah pasukan seramai 20,000 anggota ke pergunungan Ural untuk operasi menyelamat dan membersih susulan insiden meteor seberat 10 tan terhempas di wilayah timur negara itu, semalam.

Presiden Vladimir Putin mengarahkan operasi itu bagi membantu 1,200 orang  yang cedera termasuk 200 kanak-kanak, kebanyakannya cedera akibat terkena serpihan kaca.

Pancaran cahaya yang cukup terang dapat dilihat dan menggegarkan bangunan ketika meteor terhempas pagi semalam.

Putin turut menzahirkan rasa syukurnya kerana tiada serpihan meteor seberat 10 tan itu terhempas ke kawasan yang padat berpenduduk.

Ia bagaimanapun memasuki atmosfera bumi dan pecah kira-kira 30 hingga 50 kilometer dari atas tanah.

Menurut Akademi Sains Rusia, meteor itu melepaskan tenaga yang boleh menyamai senjata atom kecil.

“Letupan itu begitu kuat dan mampu memecahkan beberapa buah tingkap di bangunan kami dan bangunan sekitar,” kata Polina Zolotarevskaya, penduduk Chelyabinsk kepada BBC.

Rantau itu terletak kira-kira 1,500 kilometer ke timur Moscow dan merupakan pusat kepada banyak kilang, loji kuasa nuklear dan tempat penyimpanan sisa atom.

Kanak-kanak antara mangsa yang ramai cedera akibat hentaman meteor yang jatuh kira-kira jam 9.20 pagi waktu tempatan itu.
Video yang boleh ditonton menerusi laman web menunjukkan keadaan yang cukup cemas dan ramai kanak-kanak menjerit ketika meteor itu terhempas menyebabkan serpihan kaca berserakan di bangunan sekitar.

Sergei Serskov yang juga penduduk Chelyabinsk memberitahu BBC, bandar itu seolah-olah berada dalam zon perang selama kira-kira 20 hingga 30 minit ketika kejadian meteor itu terhempas.

“Ketika itu saya berada di dalam pejabat dan kemudian dapat melihat cahaya yang cukup terang melalui tingkap di hadapan saya,” katanya menceritakan detik-detik cemas semalam.

“Tidak lama kemudian, saya terhidu bau asap dan dapat melihat kepulan asap tebal dari tingkap,” katanya.
“Beberapa minit kemudian, tingkap tiba-tiba terbuka dan berlaku letupan yang besar diikuti beberapa kali letupan kecil,” katanya.
Gabenor Yurevich melaporkan yang meteor itu jatuh di sebuah tasik kira-kira satu kilometer dari Cherbarkul yang mempunyai penduduk seramai 46,000 orang.

Bayi selamat dalam dakapan



Bayi selamat dalam dakapan
Kin Hua ditenangkan anggota bomba dan penyelamat
ALOR GAJAH - "Sambil memeluk bayi, saya merangkak keluar perlahan- lahan dari kereta," kata Yap Mui Yin, 38, mangsa kemalangan membabitkan enam sekeluarga di Kilometer 203.5 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, petang kelmarin.
Ibu kepada empat anak itu terperangkap selepas kereta Toyota Unser dinaiki enam sekeluarga terbabas dan melanggar pengadang lebuh raya, sebelum terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas.
Menurut Mui Yan, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, dia dan suami, Ngoo Kin Hua, 39, serta empat anak, Ngoo Yen Ni, 11, Ngoo Yen Chi, 8, Ngoo Yen Chin, 5, dan Ngoo Yen Ping, 3 bulan, dalam perjalanan pulang ke Skudai, Johor Bahru, selepas menyambut Tahun
Baru Cina di Seremban.
Katanya, sebaik sahaja mula merasakan keadaan kereta terhuyunghayang, dia terus memeluk erat bayi perempuannya, sementara tiga lagi anaknya saling berpegangan tangan dalam keadaan ketakutan.
“Kereta kami secara tiba-tiba seperti ditolak angin, lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh sedikit besi pembahagi lebuh raya. Kereta kami pada mulanya terbalik dalam keadaan mengiring sebelum terseret di lorong kanan dan terbalik," katanya.
Katanya, dalam keadaan keempat- empat tayar kereta ke atas, dia dan suaminya menyuruh tiga anak mereka yang duduk di belakang keluar dari kereta kerana bimbang kemungkinan dirempuh kenderaanlain.
“Saya panik dan terperangkap kerana sukar membuka tali pinggang keledar, sementara suami bantu tiga anak di tempat duduk belakang.
“Sambil mengendong Yen Ping yang menangis, saya merangkak keluar," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Mui Yan berkata, dalam keadaan sakit disebabkan hentakan kuat, dia dapat melihat lebuh raya yang begitu sibuk dengan kenderaan dan berlari selamatkan diri ke tebing sebelah kiri lebuh raya, sebelum pekerja lebuh raya berkenaan tiba dan menutup lorong sebelah kanan.

Menurutnya, dia sebak melihat barangan keperluan diri dan anakanaknya bertaburan atas jalan, termasuk barangan keperluan dapur, sebelum ia dikumpulkan suaminya.
“Habis semua barang dalam bonet kereta bertaburan atas jalan. Tapi kami bernasib baik kerana tidak cedera," katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mereka dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan 

Budak tak lawa sasaran dera



Kajian polis mendapati kanak-kanak mempunyai paras rupa kurang menarik antara menjadi mangsa dera.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Hamidah Yunos berkata, paras rupa tidak menarik dilihat menjadi faktor pendorong perasaan marah ibu bapa atau penjaga dan seterusnya bertindak untuk memukul.


“Kalau kita tengok dalam kalangan adik beradik pun biasanya yang tidak menarik parasnya akan dipinggirkan, begitu juga dengan kes dera, ibu bapanya terdorong untuk memukul.

Hamidah berkata, kajian juga mendapati ibu bapa yang pernah didera semasa zaman kanak-kanak sebenarnya turut mempengaruhi psikologi mereka melakukan perkara sama terhadap anak-anak mereka.


Beliau berkata, tekanan kerja kekal menjadi faktor utama berlaku penderaan terutama apabila kebanyakan ibu bapa masa kini mempunyai kerjaya.


“Mereka tidak lagi mempunyai pertimbangan untuk tahan dengan sikap anak dan sasarannya anak yang banyak ragam atau nakal.

“Begitu juga dengan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pengasuh, apabila mereka ditekan oleh ibu bapa agar memastikan penjagaan anak mereka berada pada tahap terbaik, ia seakan bebanan kepada pengasuh sehingga berlaku kes penderaan,” katanya.


Hamidah turut mendedahkan trend ibu bapa dan pengasuh masa kini mudah mereka-reka cerita kononnya anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka cedera akibat terjatuh atau sebagainya bagi mengaburi perbuatan dera dilakukan.

“Apabila hari-hari didera, kanak-kanak itu tadi mengalami kecederaan kritikal, pelaku mula risau dan membawa kanak-kanak tersebut ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan melaporkan kanak-kanak itu terjatuh atau sebagainya. “Tetapi apabila pemeriksaan dijalankan, doktor mendapati kecederaan dialami kanak-kanak itu sebenarnya kesan luka lama dipercayai didera. Ia juga sama sekali tidak konsisten dengan laporan dibuat pelaku semata-mata untuk melindungi diri mereka daripada perbuatan mendera,” katanya.

Lima beranak cemas disamun empat lelaki



Kuala Terengganu: Lima beranak termasuk seorang anak kelainan upaya (OKU) berdepan detik cemas apabila kediaman mereka disamun empat lelaki membabitkan kerugian lebih RM30,000 di Kampung Banggol Kemang, di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyeksakan apabila semua mangsa berusia antara 16 hingga 70 tahun itu terpaksa menahan kesakitan lebih satu jam apabila tangan dan kaki mereka diikat dengan dawai dan pita pelekat.
Mangsa, Norhaslinda Abdullah, 28, berkata dia menyedari rumahnya diceroboh ketika terserempak dengan kumpulan penyamun terbabit ketika menuruni tangga untuk ke tandas yang terletak di tingkat bawah pada jam 3 pagi.

“Saya terkejut dan menjerit sebelum seorang daripada dua lelaki terbabit yang dipercayai baru memasuki rumah melalui tingkap menerpa dan memaut leher saya.

Sempat ragut rantai

“Lelaki terbabit sempat meragut rantai leher sebelum membawa saya ke bilik tidur di tingkat atas dan mengikat tangan serta kaki menggunakan dawai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Dia berkata, teriakannya menyebabkan suami, Mohamad Azmi Mamat, 33, yang ketika itu berada di bilik bergegas keluar dan terkejut apabila melihat isterinya ditawan penyamun terbabit.
Mohamad Azmi berkata, suspek yang masing-masing bersenjatakan pisau, besi, pemutar skru dan pemotong dawai mengarahkan kami ke tingkat bawah sebelum mengikat tangan dan kaki mereka dengan dawai.

“Sebelum isteri turun ke bilik air, saya sudah terjaga kerana terdengar bunyi sesuatu di belakang rumah. Saya kemudian berasa tidak sedap hati lalu mengekori isteri sebelum terdengar jeritannya,” katanya yang bertugas sebagai guru di Kuala Lumpur.

Katanya, ketika berada di tingkat bawah, penyamun terbabit mengumpil pintu bilik tidur bapa dan ibu mentuanya, Abdullah Ali, 70, dan Lijah Che Man, 64, yang berkunci dari dalam, sebelum mengikat tangan dan kaki kedua warga emas terbabit.

Katanya, seorang daripada lelaki terbabit kemudian masuk ke bilik adik iparnya, Nurul Hijriah, 16, yang juga orang kelainan upaya (OKU) sebelum bertindak mengikat tangan gadis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Mohd Zamri Samsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, pihaknya sedang memburu suspek terbabit.

Hakim miang digantung tugas



Jakarta: Tribunal etika, yang ditubuhkan bersama oleh Suruhanjaya Kehakiman dan Mahkamah Agung, menggantung tugas seorang hakim wanita selama dua tahun kerana melakukan hubungan sulit.

Hakim berkenaan, cuma dikenali sebagai ADA, daripada Mahkamah Daerah Simalungun di Sumatera Utara, dibicarakan kerana menjalin hubungan sulit dengan lelaki yang sudah berkahwin didakwa bekerja sebagai anggota polis.
Terdahulu, walaupun kekurangan bukti, Mahkamah Agung memotong elaun bulanan ADA dan mengenakan tindakan disiplin ke atasnya.

Tribunal etika mendapati ADA bersalah melanggar kod etika.

Ia memutuskan untuk tidak memecat beliau kerana hubungan terlarang itu sudah berakhir.

Tribunal berkata, ia mempertimbangkan ADA masih mempunyai kerjaya panjang dalam bidang kehakiman. - Agensi

Pegawai bank antara 8 ditahan kes samun



Shah Alam: Seorang pegawai bank antara lapan lelaki yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam tujuh kes samun hotel dan pecah rumah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak tahun lalu.

Semua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun, ditahan di beberapa lokasi di Kota Damansara dan Kampung Melayu Tambahan Subang, sejak Isnin hingga kelmarin.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata mereka ditahan susulan kes samun sebuah hotel di Sungai Buloh, Sabtu lalu.

“Polis percaya semua suspek turut terbabit dalam kes samun dan rogol seorang wanita di Gombak tahun lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini, semalam.

Cederakan mangsa

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari Sabtu lalu, suspek bertopeng dan bersenjatakan parang, melarikan wang tunai RM1,000 selepas mencederakan leher penjaga kaunter hotel itu.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu selepas mengenal pasti suspek menerusi semakan ke atas rakaman kamera liter tertutup (CCTV) hotel berkenaan.
Adnan berkata, siasatan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki di sebuah pusat karaoke di Kota Damansara, jam 11.45 malam Isnin lalu.

Penahanan itu membawa kepada penemuan sebuah Toyota Wish yang menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang di Subang beberapa bulan lalu.

Warga Indonesia bersalah babit judi internet



Seremban: Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM290,000 dan 14 bulan penjara ke atas seorang lelaki warga Indonesia kerana didapati bersalah menjalankan transaksi judi internet haram dan tinggal lebih masa di negara ini.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, ketika membuat keputusan itu terhadap Alphin Vincent, 29, dari Kalimantan Barat, berkata tertuduh juga boleh dikenakan hukuman penjara tambahan 10 bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Alphin didakwa menjalankan transaksi judi internet di No 80, Jalan Toman 5, Kemayan Square, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 17 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (Pindaan) 1990, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 bagi setiap mesin dirampas dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Tinggal melebihi tempoh dibenarkan

Bagi pertuduhan kedua, Alphin, pada tarikh, masa dan tempat sama didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan iaitu kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Sesyen 15(4) akta sama.

Majistret menjatuhkan hukuman denda RM290,000 dan enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua, lapan bulan penjara yang berkuat kuasa selepas hukuman pertuduhan pertama selesai.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ibu tunggal ditemui mati



Shah Alam: Seorang ibu tunggal warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan kecederaan di belakang kepala dalam bilik tidur rumah sewanya di Flet Valencia, Seksyen 25, di sini, semalam.

Mayat Parsini, 26, ditemui rakan sekerja yang datang bersama majikan ke rumah itu apabila gagal menghubungi telefon bimbit mangsa, jam 8.20 pagi.
Mangsa yang berasal dari Jawa Tengah, bekerja sebagai juruwang di sebuah restoran di Sri Muda.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada majikan mangsa.

Katanya, polis percaya mangsa mati antara empat hingga lima jam sebelum mayat itu ditemui.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis sudah menahan tiga rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kapal China terus ceroboh Senkaku



Tokyo: Tiga lagi kapal China memasuki perairan yang menjadi rebutan semalam, kata pengawal pantai Jepun.

Kejadian berlaku ketika hubungan kedua-dua negara semakin dingin berikutan ujian nuklear sekutu Beijing, Korea Utara.
Kapal pemerhati maritim belayar berdekatan kepulauan Senkaku yang dikawal Jepun, pulau diberi nama Diaoyu dalam bahasa Cina jam 9.30 pagi waktu tempatan, kata pengawal pantai.

“Jepun tidak boleh terima perkara ini. Ia amat dikesali,” kata Menteri Luar, Fumio Kishida, ketika memberi taklimat semalam, sambil menambah kementeriannya sudah menyampaikan sentimen itu kepada kedutaan China.

Hubungan di antara kedua-dua negara gergasi Asia itu goyah berhubung perbalahan wilayah, yang mencetuskan perhimpunan antiJepun di seluruh China tahun lalu.
Bantahan dan pemulauan barangan tidak rasmi mengancam perniagaan Jepun yang beroperasi di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Berpotensi cetus peperangan
Sebahagian pemerhati memberi amaran ketegangan diplomatik boleh membawa kepada peperangan yang berpotensi memberi kesan buruk serantau.

Jepun berkata, armada kecil China bulan lalu mengunci radar kawalan senjata terhadap salah sebuah kapal pemusnahnya di laut.

Ia berkata, sebuah lagi kapal terdahulu menyasarkan helikopter, tindakan yang disifatkan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sebagai provokatif dan bahaya.

Bagaimanapun, kata penganalisis, Jepun perlu berhati-hati, dengan tekanan ke atas China ketika dunia mahukan sokongan Beijing bagi sekatan lebih ketat terhadap Korea Utara berikutan ujian nuklearnya. - AFP

6 pelajar ditahan edar dadah



Petaling Jaya: Sepuluh lelaki termasuk enam pelajar kolej swasta ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam lima serbuan berasingan di sini, kelmarin, selepas dipercayai menganggotai satu sindiket pengedaran dadah yang mensasarkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang untuk pasaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, turut dirampas dalam serbuan hasil risikan dan maklumat awam itu ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 7.5 kilogram bernilai kira-kira RM50,000.


Menurutnya, empat lelaki termasuk dua pelajar kolej ditahan bersama ganja seberat satu kilogram di rumah sewa mereka di Kota Damansara dalam serbuan pertama 2 Februari lalu.

“Susulan serbuan pertama membawa kepada empat lagi serbuan di Sungai Way dan Sea Park hasil soal siasat terhadap empat suspek terbabit.


“Dalam serbuan Rabu lalu, polis menahan seorang lelaki di rumahnya di Sungai Way bersama tujuh ketulan ganja seberat 6,677 gram dan turut merampas penimbang dan peralatan membungkus,” katanya pada sidang media, semalam.


Dalam serbuan kelmarin di Sea Park, Arjunaidi berkata, pihaknya menahan seorang lagi lelaki dan seorang pelajar kolej masing-masing membawa bersama ganja seberat 638 gram dan 205 gram.

Maut dilanggar ketika konvoi



Subang Jaya: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi bersama lima rakannya maut selepas terbabit dalam kemalangan di kota Bangkok, Thailand, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, motosikal Yamaha Virago ditunggang mangsa dikatakan bergesel dengan kenderaan berat dipercayai lori ketika keadaan jalan raya sesak teruk menuju ke kota berkenaan.


Muhammad Adzhar Abdul Ali, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.



Menurut ahli kelab Lanun Bikerz, Ridauddin Mohamad Shafir, 35, dia menerima berita itu daripada rakan baik mangsa jam 11 malam iaitu enam jam selepas kejadian berkenaan.


“Arwah bersama lima rakannya bertolak Selasa lalu dan dalam perjalanan ke Bangkok, Thailand bagi menghabiskan cuti di sana sebelum pulang ke tanah air, Ahad ini,” katanya.


“Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila dia terbabit dalam kemalangan beberapa kilometer sebelum memasuki kota berkenaan,” katanya.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu menyertai kelab motosikal Lanun Bikerz pada 2005 dan aktif menyertai kerja amal yang dianjurkan kelab terbabit.


Difahamkan, jenazah Muhammad Adzhar dijangka tiba di rumah ibu bapanya di SS 15 Subang Jaya jam 2.30 petang ini dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam SS 21 bersebelahan pusara bapanya.

Tak mengaku 2 tuduhan samun



Kuala Lumpur: Seorang warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam, terhadap dua tuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap dua rakan senegaranya, Januari lalu.

Pengutip barangan terpakai, Mohd Yusuf Mohd Ismail, 30, dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, Sentul, pada jam 5 petang, 29 Januari lalu.
Dia bersama lima lagi yang masih bebas dituduh menyamun secara berkumpulan menggunakan parang terhadap Hussain Abdul Mutalib, 27, yang membabitkan kerugian satu unit telefon bimbit Nokia dan wang tunai RM 7,000.

5 masih bebas

Bagi tuduhan kedua, Yusuf bersama lima lagi yang masih bebas didakwa melakukan sa mun menggunakan parang dengan mengambil wang tunai RM30 serta telefon bimbit milik Sayedullah Abdul Rahman, 24.

Penjara 20 tahun

Yusuf didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 357 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen dengan alasan tertuduh pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Hakim Che Mohammad Zulkifli Jusoh tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.

Treler putus dua halang laluan



Seremban: Sebuah treler yang sarat dengan muatan arang terputus dua di Jalan Sungai Ujong, di sini, semalam, dipercayai akibat kerosakan sistem hidraulik sekali gus menyebabkan kesesakan jalan selama beberapa jam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, pemandu treler berkenaan yang dikenali sebagai Khairul, 49, terselamat biarpun bahagian belakang treler melintang di tengah jalan.


Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan ke Kuala Pilah dari Pulau Carey, Klang melalui Jalan Labu untuk menghantar arang ke sebuah syarikat. “Bagaimanapun, setibanya di selekoh utama berhampiran persimpangan empat lampu isyarat, tiba-tiba sistem hidraulik rosak menyebabkan kepala dan badan treler terpisah. “Saya yang panik berikutan itu jalan utama untuk ke bandar, menghubungi polis dan rakan supaya dapat mengalihkan badan treler yang menghalang laluan,” katanya. Anggota polis dan bomba dikejarkan ke lokasi dan kerja mengalihkan treler selesai lewat petang semalam.

Honda EX5 kena gantung akibat cubaan curi wang masjid



Honda EX5 kena gantung akibat cubaan curi wang masjid
Motosikal jenis Honda EX5 yang digantung pada tiang telefon di Kampung Surau Haji Mat Zain, Marang ini kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada pihak polis pagi semalam
tabung masjid
Zaidi menunjukkan tabung masjid yang menjadi sasaran dua suspek terbabit.
MARANG – Berang dengan tindakan dua lelaki cuba mencuri wang tabung masjid, penduduk Kampung Surau Haji Mat Zain menggantung motosikal ditinggalkan suspek pada sebatang tiang telefon di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, seorang penduduk ternampak dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di dalam perkarangan masjid kampung itu.

Pengerusi masjid berkenaan, Zaidi Ibrahim, 50, berkata, kehadiran dua lelaki itu kemudiannya dimaklumkan kepada beberapa penduduk berdekatan sebelum mereka bergegas ke masjid untuk membuat pemeriksaan.

“Kehadiran penduduk mengejutkan dua suspek terbabit yang kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan motosikal dinaiki mereka. Selepas pemeriksaan, penduduk mendapati tabung masjid berpindah tempat.

“Tabung yang terletak di ruang solat utama lelaki itu didapati dipindahkan ke tempat solat wanita, dua suspek terbabit dipercayai ingin mengambil wang dalam tabung itu,” katanya ketika ditemui di masjid itu, semalam. 

Zaidi juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung itu berkata, penduduk yang berang dengan perbuatan itu bertindak menggantung motosikal dinaiki suspek pada tiang telefon berdekatan masjid.

“Penduduk kampung berjaga sehingga Subuh, menunggu dua suspek terbabit jika mereka datang menurunkan motosikal. Namun mereka tidak berbuat demikian sehingga pagi tadi,” katanya semalam.

Zaidi berkata, motosikal jenis Honda EX5 itu kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pihaknya memberi amaran kepada segelintir pihak agar tidak mengulangi perbuatan itu.

“Kami sentiasa membuat rondaan dan bekerjasama dalam menjaga keselamatan kampung dan orang ramai berikutan jenayah kecil sering berlaku pada waktu malam di sini,” katanya.

Ditembak, tetak depan isteri



mengusung jenazah
Polis mengusung jenazah mangsa untuk dibawa ke hospital. Gambar kecil: Keadaan dalam warung yang berlumuran darah akibat kecederaan mangsa.
BACHOK - Seorang isteri melalui detik tragis dalam hidupnya apabila melihat sendiri kesengsaraan suaminya yang maut ditembak dan ditetak dalam sebuah warung di Kemasin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, bekas tentera, Sauti Muda, 57, maut ketika bersama isterinya, Sarina Abdullah, 40, bersarapan di kedai sepupunya yang terletak 600 meter dari rumah mereka.

Menceritakan detik cemas itu, Sarina berkata, ketika bersarapan, dia ternampak dua lelaki memberhentikan motosikal di depan warung lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah suaminya kira-kira jarak enam meter.

“Arwah sempat melompat masuk bersembunyi bawah meja. Namun suspek  masuk ke dalam warung dan melepaskan beberapa lagi tembakan sebelum seorang lagi suspek datang menetak mangsa dengan pedang sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian dia hanya mampu meraung, malah pelanggan yang ada di kedai juga tidak mampu membantu kerana tergamam dengan suasana tengang di warung tersebut.

Sarina berkata, dia tidak menyangka sarapan pagi semalam adalah kali terakhir bersama suaminya.

“Pagi semalam arwah kejutkan saya sebab waktu Subuh sudah lewat. Selepas itu kami keluar membeli nasi di Beris Kubur Besar sebelum makan di warung itu,” katanya yang mempunyai enam anak.

Sarina berkata, minggu lalu anak lelakinya yang berusia 16 tahun pernah dikejar lelaki bermotosikal dan  mengacukan pisau kepada anaknya.

Malam kelmarin juga rumahnya dikatakan dikelilingi beberapa lelaki kerana terdengar bunyi itik bising dan kelibat orang di luar rumahnya.

“Malam tadi (kelmarin) juga ada orang kelilingi rumah kami. Tetapi kami tidak pedulikannya.  Ketika kami keluar membeli sarapan, anak beritahu ada orang datang mengelilingi rumah kami,” katanya yang redha dengan pemergian suaminya itu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani yang mengesahkan kejadian percaya kes tersebut bermotifkan dendam dan siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek yang tidak bertopeng dikenalpasti oleh saksi dan dipercayai aktif menjalankan aktiviti jenayah di sekitar Bachok,”katanya.

Ab Rahim berkata, gerakan mengesan suspek dijalankan segera dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi.

'Kami tak buat apa-apa, hanya temankan tunang saya tidur'



Pasangan terbabit yang ditahan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.
Pasangan terbabit yang ditahan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.
BATU PAHAT – “Sumpah ustaz, kami tak buat apa-apa, saya hanya temankan tunang saya tidur sahaja,” kata seorang lelaki ketika ditahan dalam serbuan Ops Valentine di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3 pagi itu, seorang pemuda berusia 24 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan bersama wanita yang didakwa sebagai tunangnya yang juga berusia 24 tahun.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika ditahan lelaki terbabit memberi pelbagai alasan antaranya mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan.

Katanya, keesokan harinya ada perkara yang penting menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidur bersama di hotel itu manakala pasangannya hanya mendiamkan diri ketika disoal siasat.

“Pemeriksaan mendapati pasangan terbabit masih belum mempunyai ikatan perkahwinan.

“Alasan yang diberikan antaranya menemani tunang yang takut tidur bersendirian nyata tidak boleh diterima kerana apa juga alasan ianya tetap tidak boleh diterima selagi mereka masih belum mempunyai ikatan sah.

“Lelaki berkenaan yang berasal dari daerah ini turut memberi alasan mereka sudah bertunang sejak dua bulan lalu dan bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses selanjutnya sebelum dituntut waris masing-masing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1)(a)(b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

“Kami akan meneruskan operasi dan menjalankan serbuan seperti ini bagi memastikan kegiatan khalwat dapat ditangani sekaligus menangani gejala tidak bermoral di daerah ini,” katanya.

Katanya lagi, setiap ibu bapa juga dinasihati untuk lebih peka dan berwaspada dengan keadaan dan lokasi anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan perkara sebegini.

Tuntut kenderaan sebelum dilelong



Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan meminta lebih 400 pemilik kenderaan yang disita hadir membuat tuntutan sebelum dilelong tidak lama lagi.

Kenderaan berkenaan kini tersadai di depoh JPJ sejak 2011 kerana pemilik tidak tampil menuntut kenderaan mereka.


Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Mohd Nadzri Osman berkata, sebahagian besar kenderaan terdiri motosikal dan kereta itu disita kerana pelbagai kesalahan lalu lintas melalui operasi di seluruh Lembah Klang.

Katanya, kesemua kenderaan disita sudah diberi notis peringatan kepada pemilik selepas tempoh tiga bulan disita, namun mereka tidak menuntutnya.


“Sekiranya pemilik tidak hadir dalam tempoh ditetapkan, kita akan memohon keputusan mahkamah supaya lucut hak milik sebelum dilelong atau dilupuskan.


“Kebanyakan pemilik tidak menuntut kenderaan mereka kerana enggan membayar kos tuntutan dan membiarkan ia tersadai di depoh,” katanya pada sidang media selepas operasi sempena Tahun Baru Cina di Stesen Komuter Taman Wahyu, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan sejak 3 Februari lalu yang berakhir esok dan sepanjang tempoh itu sebanyak 41 saman dikeluarkan termasuk 216 saman dikenakan terhadap pengguna motosikal yang tidak memiliki lesen memandu.

Tragedi berdarah ketika sarapan




ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat seorang pesara tentera ditembak dan ditetak sampai mati.


BACHOK – Kerisauan seorang wanita mengenai keselamatan ahli keluarganya selepas rumahnya dikepung sekumpulan lelaki malam kelmarin ternyata berasas apabila suaminya mati akibat ditembak dan ditetak ketika sedang bersarapan di sebuah warung di Kampung Kemasin dekat sini semalam.
Kejadian pukul 9 pagi itu mengakibatkan seorang pesara tentera, Sauti Muda, 57, mati di warung milik sepupunya.
Ketika kejadian, mangsa sedang bersarapan bersama isterinya, Sarinah Abdullah (gambar kecil), 40, dan beberapa penduduk lain di situ.
Mengimbau semula kejadian itu, Sarina memberitahu, dia dan arwah suaminya keluar rumah untuk membeli nasi berlauk di Beris Kubur Besar sebelum singgah di warung itu untuk makan.
Jarak antara warung dan rumahnya kira-kira 100 meter.
Katanya, ketika sedang asyik menyuap nasi, dia melihat dua lelaki berusia lingkungan 30-an memberhentikan motosikal di depan warung dengan sepucuk pistol terselit di pinggang penunggang manakala pembonceng pula membawa sebilah pedang.

ORANG ramai melihat kesan darah di sebuah warung tempat Sauti mati ditembak di Kampung Kemasin, Bachok semalam.


“Penjenayah kemudian terus melepaskan tembakan ke arah suami dalam jarak enam meter. Arwah kemudian melompat masuk ke dapur untuk bersembunyi di bawah meja.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian turut masuk dan melepaskan beberapa das tembakan lagi sebelum rakannya yang turut masuk lalu menetak suami saya dengan pedang,” ceritanya yang memberitahu mereka bersarapan di situ setiap pagi.
Tambahnya, malam sebelum kejadian, rumahnya telah dikepung sekumpulan lelaki dan seminggu lalu, anak lelakinya yang berusia 16 tahun turut dikejar beberapa lelaki dipercayai rakan penjenayah namun sempat menyelamatkan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, identiti kedua-dua penjenayah itu telah dikenal pasti dan mereka disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah dan dadah.
“Mereka dikenali beberapa penduduk kerana tidak memakai topeng atau menutup muka sewaktu kejadian. Kita percaya kejadian itu bermotifkan dendam,” katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tinjauan Kosmo! ke lokasi kejadian mendapati beberapa kelongsong peluru ditemui di tepi jalan dan dalam warung berkenaan termasuk kesan tembakan yang menembusi kerusi plastik.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2L3SxrH9l 
Hakcipta terpelihara 

Lapan Geng Wak Paksa diberkas




ARJUNAIDI (kiri) menunjukkan sebahagian kereta yang dirampas daripada Geng Wak Paksa pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Taktik sekumpulan penjenayah bergelar Geng Wak Paksa yang menjadikan sebuah rumah sebagai bengkel untuk 'melapah' kenderaan curi terbongkar apabila lapan individu termasuk tiga warga asing diberkas di Kampung Melayu Subang dekat sini baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia antara 30 dan 40 tahun tersebut diberkas pada awal pagi pada 6 Februari lalu ketika sedang meleraikan komponen beberapa buah kenderaan yang dicuri di rumah tersebut.
Difahamkan, gelaran Wak Paksa diambil sempena nama salah seorang ahli kumpulan tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, penjenayah yang bergiat sejak Disember tahun lalu itu menyasarkan kereta dan lori yang berusia lebih 10 tahun untuk dicuri.
Katanya, lebih licik apabila suspek meletakkan baju hujan mempunyai tulisan polis di atas kereta yang hendak dicuri untuk mengelakkan sesiapa sahaja menyedari kegiatan mereka.
"Kereta atau lori yang dicuri kemudian dibawa ke rumah tersebut sebelum dileraikan komponennya. Siasatan mendapati mereka mempunyai pembeli sedia ada terdiri daripada pemilik bengkel dan orang persendirian.
"Selain tangkapan, kita turut merampas sembilan buah kenderaan model Proton Saga, Toyota, BMW dan Mitsubishi yang dicuri di sini, Sungai Buloh dan Gombak," katanya pada sidang akhbar semalam.
Tambahnya, polis juga merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengumpil pintu kenderaan dan besi tajam untuk mengubah nombor casis enjin.
Menurut Arjunaidi, semakan mendapati tiga daripada lapan orang yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah serta curi kenderaan dan tiga warga asing pula masuk ke sini secara haram.
Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 27 kes curi kenderaan di kawasan Lembah Klang dengan tertangkapnya suspek. Kesemua penjenayah itu kini direman bagi membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2L3JPPQ6p 
Hakcipta terpelihara 

BELAIAN GUNDIK VIETNAM



“Bukan hanya wang ringgit, malah nafkah batin saya turut diabaikan akibat penangan wanita Vietnam ini.

“Saya jadi gila dan geram,” kata pemilik sebuah restoran di Tambun, di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Rohani, 48, yang hilang sabar selepas mengetahui hubungan sulit suaminya dengan wanita asing berkenaan.


Dia tidak dapat menahan marah selepas mengetahui suaminya yang juga pembekal kayu binaan berfoya-foya dengan beberapa wanita Vietnam di beberapa spa terkemuka di bandar raya ini.

“Patut dia selalu mengadu tidak cukup wang, rupa-rupanya duit didermakan kepada gundik Vietnam,” katanya.


Rohani yang mempunyai empat anak berkata, dia mengesan perbuatan suaminya yang berkelakuan pelik apabila kerap keluar pada waktu malam serta menyembunyikan telefon bimbitnya.