Search This Blog

Wednesday, February 13, 2013

Pembantu kedai terima 20 jahitan di kaki akibat ditetak



KUALA TERENGGANU 13 Feb. - Gara-gara perselisihan faham, seorang pembantu kedai menerima 20 jahitan di bahagian kaki setelah ditetak seorang lelaki yang dikenalinya di Kampung Cheneh, di sini dua hari lepas.
Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam, selepas suspek pergi ke rumah lelaki berumur 35 tahun itu selepas anaknya yang berumur lima tahun mengadu telinganya dipulas lelaki itu, kata Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Che Suza Che Hitam.
"Ini membawa kepada pertelingahan antara suspek dan mangsa. Beberapa orang yang kebetulan menyaksikan kejadian itu cuba meleraikan pertelingahan itu namun secara tiba-tiba suspek meluru masuk ke dalam rumah mangsa dan mengambil sebilah parang lalu menetak kaki mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Mak Lagam di sini mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman sebelum membuat laporan polis kira-kira 10.30 malam pada hari yang sama.
Polis kini memburu suspek berumur 30 tahun itu yang melarikan diri, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_07/Pembantu-kedai-terima-20-jahitan-di-kaki-akibat-ditetak#ixzz2Kn1O6Vfi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas pengarah didakwa terima deposit tanpa lesen

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah yang mengusahakan syarikat pelaburan berasaskan rumpai laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah.
Choi Kok Peng, 48, didakwa membantu syarikat AK United Sdn. Bhd. menerima deposit daripada orang ramai tanpa memegang lesen yang sah mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Aras 2 & 4, Wisma Dinari, Jalan Jejaka 4, Taman Maluri, di sini, antara Oktober 2007 hingga November 2008.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta BAFIA 1989 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2Kmug2XYG 
Hakcipta terpelihara 

Van keselamatan bawa RM1.2 juta disamun di Klang



KLANG: Wang pertaruhan kira-kira RM1.2 juta lesap selepas sebuah van keselamatan disamun di Jalan Kapar, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, pengawal keselamatan yang menaiki van berkenaan dipercayai berhenti berdekatan sebuah kedai nombor ramalan untuk membuat kutipan.
Kehilangan wang kutipan daripada beberapa premis lain hanya disedari pengawal keselamatan ketika mereka sedang membawa kutipan di kedai nombor ramalan di Jalan Kapar itu untuk dimasukkan ke dalam van itu.

RM1.2 juta hilang

KLANG: Sebuah van yang membawa hasil kutipan kedai ramalan disamun dalam satu kejadian di Jalan Kapar,di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mengakibatkan dua karung guni berisi kira-kira RM1.2 juta hilang. 
Sumber polis berkata kejadian berlaku selepas sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pistol merampas shotgun pengawal bertugas.

Sejurus disamun, pemandu van keselamatan berkenaan segera melarikan diri dan bergegas ke Ibu pejabat polis Daerah Klang Selatan.

Sehingga jam 9 malam tadi, polis masih mengambil keterangan pemandu dan pengawal pengiring van berkenaan.

Kes berkenaan kini dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Isyarat lucah: Juruukur dijel, denda RM8,000

Leong Pei Koe
Leong Pei Koe

BALIK PULAU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan anggota polis, Isnin lepas.
 
Leong Pei Koe, 29, seorang juruukur bahan, didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah ketika kenderaan rasmi baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini pada pukul 11.50 pagi kelmarin.
 
Bagi pertuduhan kedua, Pei Koe didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid di tempat, masa dan tarikh yang sama.
 
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum menurut Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
Bagi pertuduhan pertama Majistret Muhamad Hidayat Wahab menjatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM6,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
 
Bagi pertuduhan kedua Leong dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
 
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak dari tarikh tangkapan.
 
Pei Koe membayar denda itu.
 
Muhamad Hidayat menjatuhi hukuman itu berdasarkan pengakuan salah dan rayuan tertuduh bahawa dia memohon maaf atas kesalahan itu selain kepentingan awam.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Nyaris maut rumah terbakar



Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran rumah Tipah, semalam.
Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran rumah Tipah, semalam.
KOTA BHARU - Bau hangit dari arah bilik mengejutkan seorang warga emas ketika tidur menyelamatkan diri daripada rentung dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Selain Tipah Husin, 79 turut bernasib baik, menantu, Roslina Che Ibrahim, 40 dan cucunya, Mohd Hazim Abdul Halim, 11 sempat berlari keluar sebelum api marak.

“Ketika bangun makcik meminta tolong, memanggil menantu dan cucu yang ketika itu baru sahaja selesai makan.

“Kami tiga beranak berlari menyelamatkan diri dan meminta pertolongan jiran-jiran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Tipah berkata, rumah berkenaan baru sahaja diubahsuai tahun lalu dengan kos RM20,000, manakala kerugian lain pula termasuk barang kemas RM50,000 dan perabot serta anggaran keseluruhan RM200,000.

“Dua kereta jenis Proton Saga dan Honda sempat diselamatkan oleh jiran, namun kami tidak sempat mengambil apa-apa barang di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai pakaian seragam, KB Selatan Trading, Chang Ah Koon, 40 berkata, tingkat atas bangunan kedainya turut terbakar dan anggaran kerugian dialami RM700,000.

Seramai 24 penyelamat dari empat jentera Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Pengkalan Chepa termasuk bomba sukarela terlibat dalam kejadian terbabit.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohamad Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan 3.56 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Ibu Catriona Ross antara 3 maut kemalangan bas ekspres-kereta



Ibu Catriona Ross antara 3 maut kemalangan bas ekspres-kereta
Kemalangan Kilometer 68, Jalan Raya Timur Barat
Ibu Catriona Ross antara 3 maut kemalangan bas ekspres-kereta
Catriona dan suami tiba di rumahnya di Kota Bharu.
Ibu Catriona Ross antara 3 maut kemalangan bas ekspres-kereta
Keadaan kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan selepas bertembung dengan sebuah bas di KM 68 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berhampiran R&R Titiwangsa, semalam.
[DIKEMAS KINI] GERIK - Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan apabila kenderaan yang dinaiki melanggar sebuah bas ekspres di Kilometer 61 Jalan Timur-Barat, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, mangsa Siti Zawiyah Abd Rahman, 60, Nurimi Abd Ghani, 40, dan Sitah Abdullah, 40, dipercayai dalam perjalanan menuju Sungai Petani, Kedah.

Allahyarham Siti Zawiyah merupakan ibu kepada pelakon Catriona Ross.

Pemandu kereta dipercayai suami salah seorang mangsa yang maut selamat dan dihantar oleh orang awam ke Hospital Gerik setelah mengalami kecederaan parah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Hanafi Shafie berkata, ketiga-tiga mangsa terperosok dalam kenderaan yang terbabas di tepi longkang selepas bertembung dengan bas berkenaan.

"Kereta yang dinaiki mangsa dikatakan memasuki laluan bas sebelum berlanggar dan terbabas ke longkang berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, Superintendan Sharul Othman Mansor berkata, kereta dinaiki mangsa masuk laluan bertentangan apabila cuba memotong deretan kereta di hadapannya.

“Mangsa gagal memotong lalu bertembung bas ekspres yang membawa 29 penumpang menghala ke Kota Bharu, Kelantan. Pada masa sama, bas tidak sempat elak ketika kejadian.

“Kereta dinaiki mangsa berpusing beberapa kali sebelum masuk ke dalam longkang. Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandunya parah dan dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya, di sini.

Menurutnya, pemandu bas berkenaan tidak cedera dan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Keterangan mangsa diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Hanafi juga berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit parah dan dihantar ke Hospital Gerik oleh orang awam manakala, tiga lagi penumpang terperosok dalam kenderaan terbabit.

“Kereta terbabit terbabas ke tepi longkang berhampiran dan kita berjaya keluarkan ketiga-tiga mangsa yang berada di penumpang hadapan dan belakang. Operasi menyelamat tamat jam 2.40 pagi,” katanya.

Sementara itu, Catriona dalam laman sosial Facebooknya, meminta umat Islam menghadiahkan Al-Fatihah untuk arwah ibunya.

Beliau berkata, dia masih berduka dengan kejadian mengejut itu dan akan sentiasa merindui arwah.

“Pemergian seorang ibu tidak akan ada galang gantinya. Walaupun pemergiannya kerana nahas jalan raya, tetapi arwah kelihatan seperti insan yang lena dibuai mimpi. Saya akan sentiasa merinduinya,” kata Catriona dalam status Facebook beliau.

Dalam pada itu, Catriona memberitahu, jenazah ibunya dikebumikan di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.

Empat lelaki didakwa samun



POLIS mengiringi tiga daripada empat tertuduh yang menghadapi tuduhan samun berkumpulan di Mahkamah Sesyen Butterworth Pulau Pinang, semalam.
BUTTERWORTH 14 Feb. - Empat lelaki berusia antara 18 dan 26 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan samun berkumpulan.
Mereka adalah R. Sarvinraj, 18, dari Taman Panchor Indah, Nibong Tebal; K. Thevan, 26, dari Mutiara Height, Jelutong; P. Theban, 21, dari Taman Sintar, Nibong Tebal dan M. Vijayakanth, 20 dari Taman Sintar Indah, Nibong Tebal.
Mereka didakwa menyamun seorang lelaki Bo Kyiang dengan melarikan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Y, cakera padat digital (DVD), sebuah amplifier, sehelai seluar jeans, wang tunai RM240 membabitkan kerugian lebih kurang RM1,000.
Kejadian itu didakwa berlaku pukul 4.10 pagi, pada 2 Februari lalu di Hometown Cafe, No. 1551, Air Lintas, Jalan Besar, Nibong Tebal di daerah Seberang Perai Selatan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud mencadangkan supaya kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang beserta seorang penjamin.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi memerintahkan setiap seorang tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac depan bagi sebutan semula kes untuk mereka melantik peguam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130215/ma_01/Empat-lelaki-didakwa-samun#ixzz2L1U1I9WE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anoushka: Saya pernah alami gangguan seksual




13 Februari 2013
Anoushka
Anoushka mendedahkan pengalamannya ketika kemarahan berhubung kes rogol melibatkan penuntut 23 tahun di India belum reda. - Foto ihsan ndtv.com
NEW DELHI - Ketika kemarahan berhubung insiden rogol melibatkan seorang penuntut masih belum reda, Anoushka Shankar, ahli muzik dan anak kepada Ravi Shankar, legenda sitar negara itu, mengakui bahawa dia  juga pernah mengalami gangguan seksual ketika masih kecil.
Anoushka yang kini berusia 31 tahun berkata, dia telah menjadi mangsa perbuatan seorang yang dipercayai oleh ibu bapanya.
Dia membuat pengakuan itu menerusi klip video kempen global menentang keganasan ke atas wanita.
Menerusi Kempen One Billion Rising, Anoushka menyeru satu bilion orang, tidak kira jantina agar bangun berkempen untuk menghentikan keganasan. Kempen itu dilancarkan menerusi laman web Change.org.
Anoushka dipetik berkata dia pernah menderita kerana "diraba, disentuh dan penganiayaan verbal."
"Ketika kanak-kanak, saya menderita kerana penganiayaan seksual dan emosi selama beberapa tahun di tangan seorang yang ibu bapa saya meletakkan kepercayaan," katanya lagi.
Dalam klip yang dirakamkan di London, Anoushka merayu orang ramai menyokong kempen bagi memperingati penuntut berusia 23 tahun yang dirogol dalam sebuah bas yang bergerak dan dicampak keluar.
Mangsa meninggal dunia di Singapura ketika menerima rawatan. Kes itu yang melibatkan enam orang termasuk seorang yang bawah umur kini didengar di mahkamah khas.
Dia yang membesar di London, Delhi dan California, mula mendalami muzik sitar ketika berusia sembilan tahun.
Ravi, 92, meninggal dunia di California Disember lalu.

Padah takutkan isteri sendiri



Tertuduh tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah semalam.
Tertuduh tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah semalam.
KOTA BHARU - Gara-gara menakutkan isteri sendiri secara jenayah menggunakan alat pencungkil kelapa 3 Februari lalu seorang lelaki menerima padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, gagal bayar penjara enam bulan.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Muhammad Hafizol Salman dari Kampung Pasir Ara, Banggu selepas dia mengaku bersalah terhadap perbuatan terbabit.

Mengikut pertuduhan, pada tarikh itu lebih kurang jam 2 petang, tertuduh melakukan  kesalahan terbabit dan mengugut mahu membunuh isterinya Nor Shuhada Abdullah, 21, di sebuah rumah di Binjai.

Oleh itu, bapa kepada dua anak itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan tersebut dengan mengacukan senjata tajam dan mengugut untuk membunuh pengadu jika mereka bercerai.

Punca kejadian disebabkan tertuduh marah apabila pengadu menyuruh ibunya menyimpan rantai emas milik pengadu kerana bimbang dijual tertuduh.

Berikutan itu pengadu membuat laporan di Balai Polis Binjai dan tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian.

Ketika prosiding tertuduh merayu supaya mahkamah mengenakan denda paling minimum terhadapnya, bagaimana Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Gadis punca pergaduhan 20 remaja lelaki



KULIM - Gara-gara sering melakukan hubungan seks dengan ramai lelaki, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dikatakan menjadi punca berlakunya pergaduhan melibatkan lebih 20 remaja lelaki di sebuah taman perumahan, di sini kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, dalam kejadian itu seorang remaja lelaki cedera di bahagian badan dan muka akibat dibelasah sekumpulan remaja lain.

Menurutnya, mangsa kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kulim sebelum dihantar oleh unit MPV ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Siasatan awal mendapati, abang remaja perempuan terbabit naik berang apabila mengetahui adiknya melakukan hubungan seks, bagaimanapun remaja perempuan itu menyatakan dia tidak dipaksa atau diugut ketika melakukan hubungan seks dengan enam teman lelakinya.

“Ketika sampai di tempat kejadian, lebih 20 remaja berada di kawasan itu. Kita turut menahan dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun," katanya.

Ghuzlan berkata, kini seorang suspek telah memberikan lebih 10 nama rakan lain yang terlibat dalam pergaduhan itu.

"Remaja perempuan terlibat turut ditahan untuk memberi keterangan. Beberapa nama lelaki yang pernah melakukan hubungan seks dengannya juga direkodkan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan polis akan menahan suspek terlibat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, remaja perempuan terlibat berkata, dia mula melakukan hubungan seks rambang ketika berusia 15 tahun dan tabiat buruknya itu berlarutan sehingga hari ini.

Katanya, dia akan melakukan hubungan seks dengan teman lelaki sekurang-kurangnya seminggu sekali terutama pada hari Jumaat.

"Selalunya kami akan melakukannya pada waktu tengah malam. Apabila menjelang subuh, saya akan balik ke rumah. Dengan cara ini perbuatan saya itu tidak dapat di kesan oleh keluarga,"

Pelajar tingkatan lima maut motosikal bertembung kereta



13 Februari 2013
KUANTAN - Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Km34, Jalan Temerloh-Bahau, dekat Bera semalam.
  
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 1.20 pagi itu, pelajar berkenaan, Hermawan Jumadi Yanto, 17, dari Taman Triang Maju, Triang dipercayai sedang berlumba dengan beberapa penunggang motosikal lain.
  
Pelajar itu meninggal dunia pada kira-kira 3.50 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya pemandu kereta berkenaan, Chue Choy Yeen, 42, pekerja swasta yang berasal dari Kerayong, dekat Temerloh bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bekas chef terlepas hukuman gantung



KUALA LUMPUR - Seorang bekas chef terselamat daripada hukuman gantung hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman bunuh dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara dua tahun selepas pertuduhan dikurangkan apabila peguam belanya berjaya membuktikan percanggahan dalam eksibit yang dikemukakan di mahkamah berhubung empat pertuduhan dadah terhadapnya.

Bagaimanapun, mahkamah mengembalikan hukuman tujuh sebatan dikenakan ke atas Tue Siang Hoe oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada Mac 2010 atas dua daripada tiga pertuduhan memiliki dadah ke atas tertuduh.

Mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah bagi pertuduhan ketiga mengedar ketamin seberat kira-kira 1.9 kilogram di Pangsapuri Emas, Jalan Sakeh, Muar, pada kira-kira 1.10 tengah hari, 19 September, 2006.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara dua ke tiga tahun dan tujuh sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah pada masa dan tempat yang sama.

Pada November 2011, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Tue, 43, dikecualikan daripada sebatan mengikut Seksyen 289(b) Kanun Prosedur Jenayah di mana mereka yang menghadapi hukuman mati dikecualikan daripada sebatan.

Hari ini, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai lima hakim yang bersidang dalam keputusan sebulat suara bersetuju bahawa percanggahan dalam testimoni pegawai penyiasat, pegawai serbuan dan ahli kimia, terutama berhubung jumlah pil, warna dadah yang dirampas dan penandaan eksibit.

Panel hakim lain adalah Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

"Kami bersetuju dengan hujah peguam bela perayu bahawa pihak pendakwaan gagal mematuhi Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 bahawa terdapat rangkaian keterangan yang terputus," kata Zulkefli.

Panel hakim juga menyoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Idris Zainuddin untuk mempertimbang mengurangkan pertuduhan terhadap Tue mengikut Seksyen 12(3) atas pemilikan dadah yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selepas perbicaraan berhenti rehat seketika, Saiful bersetuju dengan cadangan panel hakim.

Zulkefli menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas Tue selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman berkuat kuasa hari ini.

Semasa prosiding hari ini, Tue diwakili Hisyam Teh Poh Teik dan Affifudin Hafifi. - Bernama

Lelaki parah ditetak sekumpulan samseng bersenjatakan parang




13 Februari 2013
GEORGETOWN - Seorang pemuda parah akibat diserang sekumpulan lebih 10 lelaki bersenjatakan parang setelah dikatakan berlaku perselisihan faham antara mereka hari ini.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ismail Toh Paduka Idris berkata dalam kejadian di Jalan di Thean Teik itu, V.Vinesvaran, 22, cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal.
 
Dia bagaimanapun dikejar oleh kumpulan lelaki itu yang turut menaiki beberapa buah motosikal dari Jalan Padang Tembak menghala ke Farlim.
 
"Dia kemudian diserang dan ditetak pada bahagian dada, perut, belakang badan, tangan dan satu daripada ibu jari tangannya hampir putus," kata Ismail kepada pemberita di sini.
 
Beliau berkata polis sedang menyiasat punca kejadian dan meminta orang ramai yang melihat insiden itu membuat laporan di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Murid tahun enam trauma akibat dirotan dan dihalau guru



BUTTERWORTH - Seorang bapa mendakwa anaknya kini mengalami tekanan emosi setelah seorang guru wanita merotan dan mengusirnya dari sekolah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.
 
Syahrul Asmawi Rashid, 35, berkata akibat kejadian Jumaat lepas itu, anaknya Nur Emilia, 12, murid Tahun Enam sebuah sekolah rendah di sini, kini trauma dan tidak lagi mahu ke sekolah.
 
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, katanya anaknya memaklumkan guru itu turut mengarahkannya mengambil borang tukar sekolah dan berpindah sekolah.
 
Syahrul yang berkerja sendiri berkata dia mengetahui kejadian itu pada kira-kira 9.30 pagi Jumaat apabila dihubungi guru terbabit yang memaklumkan anaknya telah pulang ke rumah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.
 
"Saya terkejut dan terus keluar mencari Emilia kerana dia tidak  pulang ke rumah sedangkan rumah kami terletak tidak sampai 100 meter sahaja dari sekolah tetap kemudiannya berjaya menemui anak sulungnya itu sedang menangis di kawasan kampung," katanya.

Syahrul berkata anaknya tidak menceritakan insiden yang menimpa dirinya itu sehingga rakannya datang pada sebelah petang dan memaklumkan kejadian sebenar.
 
"Bila kawan dia cerita, baru Emilia berani muka mulut dan menceritakan perkara sebenar dan kami kesal dengan sikap guru yang tidak hiraukan keselamatan muridnya apabila menghalau pelajar balik ke rumah," katanya.
 
Katanya dia membuat laporan polis semalam.
 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Tarmizi Kamaruddin ketika dihubungi berkata guru besar sekolah itu diarah menyiasat dakwaan itu.
 
"Mungkin cikgu itu mengambil tindakan mengikut emosinya kerana mengikut prinsip pendidikan guru tidak boleh menghalau anak murid kerana pelajar mempunyai hak untuk berada dalam kelas bagi menuntut ilmu," katanya. - Bernama

Dua lelaki cuba samun ditahan, rampas dua pistol



KUALA LUMPUR 13 Feb. - Polis menahan dua lelaki semasa dipercayai sedang merancang menyamun kedai serbaneka serta merampas dua pucuk pistol berserta 14 butir peluru dalam satu kejadian di Kuchai Lama di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Perunding dan Siasatan) Ibu pejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur ACP Abdul Aziz Zakaria berkata kedua-dua suspek ditahan pada 1.30 tengah hari.
Sebelum itu, anggota polis mendekati sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang berada berdekatan kawasan itu dan ketika disiasat suspek yang berada di dalam kenderaan bertindak agresif dan cuba merempuh kereta peronda polis.
"Bagaimanapun, cubaan suspek gagal dan semasa diperiksa polis menemui pistol jenis Glock 90 semi auto 9 mm berisi lapan peluru dan Revolver .38 berisi enam peluru daripada suspek," katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi.
Beliau berkata kedua-dua suspek berumur lingkungan 30-an dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau iaitu jenayah senjata api dan dadah.
"Polis percaya dengan penangkapan dua suspek ini dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar Lembah Klang," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_06/Dua-lelaki-cuba-samun-ditahan-rampas-dua-pistol#ixzz2KmKQQOqn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Judi Pasar Malam tumpas, 13 lelaki ditahan


SHAH ALAM 13 Feb. - Polis percaya telah menumpaskan aktiviti perjudian yang membabitkan nilai pertaruhan ratusan ribu ringgit selepas memberkas penganjurnya bersama 12 lelaki lelaki dalam serbuan `Ops Limau' di ladang kelapa sawit di Ijok, Kuala Selangor dekat sini malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, polis turut merampas wang tunai RM21,200 serta peralatan yang digunakan untuk berjudi iaitu 144 keping kad pelbagai nilai, 314 keping cip, 15 biji dadu, dua piring kecil dan sebiji mangkuk.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, lokasi perjudian yang diserbu merupakan sebuah khemah besar yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan besar dan laluan masuknya dikawal oleh beberapa lelaki.
Beliau berkata, siasatan pihaknya juga percaya aktiviti perjudian itu telah berlangsung di ladang kelapa sawit itu sejak sebulan lalu dan ketika serbuan terdapat lebih 20 orang lelaki sedang leka bermain judi yang dinamakan `Judi Pasar Malam'.
"Bagaimanapun hanya 13 orang termasuk penganjur perjudian berjaya diberkas dan yang lain dapat meloloskan diri,'' kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_03/Judi-Pasar-Malam-tumpas-13-lelaki-ditahan#ixzz2KmKGrcLt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Maut kereta terjunam dalam lubang saluran kumbahan

ORANG ramai melihat tempat kejadian kemalangan sebuah kereta yang terjunam ke dalam lubang saluran kumbahan sehingga mengorbankan pemandu kereta tersebut, di Jalan Datuk Ajibah Abol, di Kuching, Sarawak hari ini. - UTUSAN
KUCHING 13 Feb. - Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Saga yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang saluran loji rawatan kumbahan berpusat sedalam 10 meter di Jalan Datuk Ajibah Abol, di sini pagi ini.
Mangsa, Paul Primus, 25, yang berasal dari Johor Baharu meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas di dalam lubang saluran yang dipenuhi air.
Bagaimanapun dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu, seorang rakan mangsa yang tidak diketahui identitinya terselamat selepas bertindak memecahkan cermin kereta.
Dia kemudiannya dikeluarkan daripada lubang saluran yang masih dalam pembinaan itu oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Bomba juga terpaksa mengepam air di dalam lubang berkenaan sebelum kereta yang dipandu mangsa dikeluarkan.
Menurut saksi kejadian, Effiz Kamil, 24, kereta yang dipandu mangsa datang dari Jalan Haji Taha menuju ke pusat bandar raya sebelum terbabas.
Katanya, sewaktu kejadian, dia dan seorang rakan sedang baharu selesai mengemas meja dan kerusi di warung tempatnya bekerja.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Paul dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebaik melalui selekoh tajam di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_05/Maut-kereta-terjunam-dalam-lubang-saluran-kumbahan#ixzz2KmBrmFn2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dadah: 20 selebriti ditangkap



PADA 30 Disember lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita penahanan pelakon dan model kontroversi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul kerana didakwa memiliki dua biji pil Eramin 5 dan positif dadah jenis ‘methampetamine’ bersama seorang rakan lelakinya di sebuah kondominium di Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini.
Di Jakarta, Indonesia pada 27 Januari lalu pula, dunia hiburan di republik itu gempar dengan berita tangkapan penyanyi dan pelakon lelaki, Irwansyah yang pernah menempah kemasyhuran menerusi lagu ‘Pencinta Wanita’ oleh Badan Narkotik Nasional (BNN) ketika sedang berpesta dadah.
Irwansyah ditahan bersama tiga lagi selebriti terkenal Indonesia iaitu isterinya, pelakon Zaskia Sungkar; pengacara hiburan paling popular ‘Dahsyat’, Raffi Ahmad dan seorang lagi bekas pelakon yang juga merupakan seorang wakil rakyat di Jakarta, Wanda Hamidah.
Kini, kes dadah membabitkan Zarina masih menunggu tarikh untuk sebutan, manakala Irwansyah, Zaskia dan Wanda bernasib baik apabila dibebaskan oleh BNN setelah didapati tidak mengambil dadah tetapi secara kebetulan berada di rumah Raffi semasa serbuan.
Berita penangkapan Zarina dan rakan-rakan artis dari negara jiran itu pantas menjadi berita hangat memenuhi dada akhbar di negara ini dan tidak menghairankan memandangkan mereka adalah selebriti yang menjadi tumpuan masyarakat.
Wartawan ANGELINA SINYANG dan AZRAI MOHAMMAD menemuramah beberapa artis tempatan yang pernah dikaitkan dengan dadah, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bagi menyelami isu ini.
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Masalah penagihan dadah melibatkan golongan selebriti memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana mereka sering dijadikan ikon oleh para peminat.
Menurut Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh selama tujuh tahun sehingga sekarang, hanya merekodkan 20 tangkapan selebriti.
“Antara ditangkap ialah penyanyi berkumpulan dan solo, pelawak, pelakon dan pengamal media iaitu pengacara rancangan popular yang dianggap sebagai selebriti. Kesemua mereka adalah berketurunan Melayu," katanya.
Jamaludin berkata, polis percaya ada ramai lagi artis terlibat dalam penagihan dadah tetapi nama mereka tiada dalam rekod PDRM kerana tidak pernah ditangkap sehingga kini.
Beliau berkata, ada juga artis yang ditangkap kerana dakwaan menagih atau memiliki dadah dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan mengikrarkan diri mereka bersih daripada najis dadah setelah kes mereka dibicarakan di mahkamah.
Katanya, pembebasan artis yang pernah disabitkan dadah ini bukan bermakna polis silap membuat tangkapan terhadap mereka tetapi mereka bernasib baik setelah ujian air kencing dijalankan oleh patologi di Jabatan Kimia mendapati kandungan dadah dalam air kencing mereka tidak mencapai bacaan yang dikehendaki untuk mensabitkan mereka positif mengambil bahan larangan itu.
“Kita yakin 99.9 peratus individu termasuk artis yang pernah ditahan kerana dadah sebelum ini memang positif mengambil bahan larangan itu semasa ujian air kencing pertama kali dilakukan.
“Namun ada yang terlepas semasa perbicaraan di mahkamah kerana hasil ujian air kencing dijalankan oleh patologi selepas itu mendapati negatif kerana kandungan dadah dicatatkan mungkin 700 miligram, iaitu tidak mencapai standard bacaan 1,000 miligram yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia sedangkan bacaan standard polis bagi kategori positif dadah adalah lebih rendah iaitu 500 miligram," katanya.
Selain itu, jelas Jamaludin, kandungan dadah bertahan dalam air kencing individu juga bergantung kepada kadar metabolisme iaitu dadah jenis ganja boleh bertahan sehingga dua minggu tetapi jenis psikotropik hanya mampu kekal dalam air kencing dalam tempoh 24 hingga 48 jam sahaja.
Beliau berkata, sebab itu, mereka yang ditahan kerana menagih dadah jenis psikotropik sukar disabitkan positif kerana kandungan bahan larangan itu dalam air kencing mereka akan berkurangan atau neutral dalam tempoh 24 hingga 48 jam akibat proses metabolisme secara semula jadi.
Katanya, rekod PDRM menunjukkan hanya 30 peratus penagih dadah yang ditangkap didapati positif selepas ujian air kencing dijalankan oleh patologi, manakala baki 70 peratus terlepas daripada tuduhan sedangkan hakikatnya mereka memang mengambil bahan larangan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_02/Dadah-20-selebriti-ditangkap#ixzz2KmJ4v8JH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu pelakon Catriona Ross maut dalam nahas



GAMBAR KENANGAN... Allahyarham Siti Zawiyah Ab. Rahman (dua dari kanan) bersama suaminya, Baharin Ross Abdullah (tengah) semasa majlis pertunangan anak mereka, Catriona Ross (kiri sekali) dengan Shaharuddin Moktharuddin (kanan) di Kota Bharu pada Oktober 2008. Dua dari kiri adalah ibu Shaharuddin, Azizam Ahmad. - UTUSAN
IPOH 12 Feb. - Ibu kepada pelakon Catriona Ross, Siti Zawiyah Ab. Rahman antara orang tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Kilometer 61.8 Lebuh Raya Timur-Barat, Gerik dekat sini awal pagi ini.
Dalam nahas kira-kira pukul 12.40 pagi berhampiran Perhentian Titiwangsa itu, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit cedera parah.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum berkata, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Gerik manakala pemandu pula dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Catriona merayu umat Islam khususnya para peminatnya menghadiahkan bacaan al-Fatihah untuk Allahyarham ibunya.
Catriona dalam laman sosial Facebook berkata, dia masih berduka dengan kejadian mengejut itu dan akan sentiasa merindui Allahyarham.
“Pemergian seorang ibu tidak akan ada galang gantinya. Walaupun pemergian Allahyarham kerana nahas jalan raya tetapi arwah kelihatan seperti insan yang lena dibuai mimpi. Saya akan sentiasa merinduinya," kata Catriona dalam status Facebook beliau.
Dalam pada itu, Catriona memberitahu, jenazah ibunya akan dikebumikan di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_04/Ibu-pelakon-Catriona-Ross-maut-dalam-nahas#ixzz2KlnUhICD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tahan dua lelaki cuba samun kedai serbaneka, rampas dua pucuk pistol



KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki ketika dipercayai sedang merancang menyamun kedai serbaneka serta merampas dua pucuk pistol berserta 14 butir peluru dalam satu kejadian di Kuchai Lama di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Perunding dan Siasatan) Ibu pejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Aziz Zakaria, berkata kedua-dua suspek ditahan pada 1.30 tengah hari.
Sebelum itu, anggota polis mendekati sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang berada berdekatan kawasan itu dan ketika disiasat suspek yang berada di dalam kenderaan bertindak agresif dan cuba merempuh kereta peronda polis.

“Bagaimanapun, cubaan suspek gagal dan ketika diperiksa polis menemui pistol jenis Glock 90 semi auto 9 mm berisi lapan peluru dan Revolver .38 berisi enam peluru daripada suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berumur lingkungan 30-an dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau iaitu jenayah senjata api dan dadah.

"Polis percaya dengan penangkapan dua suspek ini dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar Lembah Klang," katanya. - BERNAMA

Kematian akibat H5N1 dilaporkan di China, Kemboja



BEIJING: Seorang wanita berusia 21 tahun yang dijangkiti virus selesema burung (H5N1) meninggal dunia di barat daya China, hari ini.

Menurut Jabatan Kesihatan Guiyang, wanita berkenaan meninggal dunia akibat kegagalan organ berfungsi.
Wanita itu adalah daripada dua mangsa yang dilaporkan dijangkiti wabak selsema burung minggu lalu.

Pihak berkuasa tempatan berkata, mereka mendapati tiada sebarang bukti yang menunjukkan pesakit bersentuhan dengan unggas sebelum sakit.

Kebanyakan kes selsema burung berpunca daripada jangkitan yang dibawa unggas.

Sementara itu, di Phnom Penh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat virus H5N1, menjadikan angka korban di negara berkenaan akibat wabak itu meningkat kepada enam mangsa, tahun ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia bersama Kementerian Kesihatan Kemboja dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak perempuan terbabit berasal dari wilayah Kampot dan disahkan meninggal dunia Hospital Phnom Penh.
Ujian perubatan mengesahkan kanak-kanak terbabit dijangkiti H5N1 dan mempunyai sejarah bersentuhan dengan haiwan ternakan sebelum sakit. - AFP/AP

Lelaki murung terjun Sungai Muar



Sujaryo
Di tepi tembok Laman Maharani inilah Sujaryo duduk sebelum terjun ke tebing dan berlari memasuki Sungai Muar.
Kesan tapak kaki didakwa milik Sujaryo yang berlari sebelum terjun ke Sungai Muar.
Kesan tapak kaki didakwa milik Sujaryo yang berlari sebelum terjun ke Sungai Muar.
MUAR - Tindakan seorang lelaki warga Indonesia yang dilihat berlari secara tiba-tiba dari tebing lalu terjun ke Sungai Muar sebelum tenggelam menimbulkan kejutan kepada rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian itu.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, perbuatan Sujaryo, 21, disaksikan sendiri rakan-rakannya  yang turut berada di Laman Maharani bersebelahan dengan tempat kejadian, kelmarin.

Rakan mangsa, Jamhari, 30, berkata, sebelum kejadian Sujaryo duduk di tepi tembok Laman Maharani sambil memakan keropok.

Menurutnya, secara tiba-tiba Sujaryo terjun ke tebing lalu berlari ke arah sungai yang sedang surut.

“Saya sempat memanggilnya beberapa kali tetapi tidak dihiraukan dan terus berlari menuju dan memasuki sungai sebelum tenggelam dalam sungai Muar.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jamhari mengenali rakannya itu tiga tahun lalu ketika Sujaryo yang berasal dari Jawa Barat baru memulakan pekerjaan sebagai buruh binaan dengan majikannya di Bakri.

“Empat hari kebelakangan ini, Surjaryo kelihatan tidak sihat, murung dan turut beritahu sering diganggu suara ghaib.

“Dia terlalu runsing dengan masalah itu sehinggakan dilihat kerap termenung semasa bekerja,” katanya.

Katanya, pagi tadi (kelmarin) Sujaryo meminta untuk menemaninya membeli kasut dan baju di kedai pakaian terpakai di bandar ini.

“Selepas beli pakaian, kami makan tengah hari bersama-sama sebelum ke Laman Maharani untuk bertemu rakan-rakan lain.

“Ketika di Laman Maharani, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang mencurigakan dan sempat menyuruh rakan ambil gambarnya menggunakan telefon bimbit miliknya,” katanya.

Katanya lagi, dia tidak menyangka Sujaryo akan bertindak di luar jangkaan dan masih terkejut dengan insiden yang berlaku di depan matanya sendiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Usaha mencari mangsa yang hilang sejak kelmarin masih diteruskan hari ini (semalam), namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

12 motosikal dirempuh lori



Keadaan motosikal dan sisi kereta yang terlibat dalam rempuhan lori sampah berkenaan.
Keadaan motosikal dan sisi kereta yang terlibat dalam rempuhan lori sampah berkenaan.
KUALA LUMPUR - Malang tidak berbau apabila 12 motosikal bersama penunggangnya yang berteduh di bawah jejambat di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dirempuh sebuah lori dan sebuah kereta, semalam.

Kejadian berlaku berhampiran Taman Metropolitan Kepong menghala ke Kuantan itu, menyebabkan lima penunggang motosikal terbabit cedera.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, dalam kejadian jam 2.50 petang itu, lori sampah berkenaan dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kereta Kia Sephia.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan 12 buah motosikal bersama penunggangnya yang berteduh bawah jejambat kerana hujan turut dirempuh.

“Bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang tiba di lokasi kejadian sekitar jam 3.11 petang bersama satu jentera dengan tujuh anggota.

“Dalam operasi itu, mendapati lima penunggang motosikal  cedera dan dibawa ke hospital menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Pengiring petugas polio dibunuh


PESHAWAR - Seorang polis yang ditugaskan mengiringi sepasukan petugas polis dilaporkan terbunuh selepas terkena tembakan di barat laut Pakistan, semalam.

Pegawai polis, Fazal Wahid berkata, kesemua petugas polio yang diserang sewaktu mengedarkan vaksin itu tidak mengalami kecederaan.

"Setakat ini, tiada mana-mana pihak berani tampil mengaku bertanggungjawab. Pada Disember lalu, seorang penyerang telah menembak mati sembilan petugas polio di Pakistan," katanya.

Serangan tercetus apabila sebahagian militan Pakistan mendakwa kempen vaksin di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu adalah sebahagian daripada misi risikan Amerika Syarikat selain bertujuan untuk memandulkan kanak-kanak.  - AP

Dua suspek kes lari kenderaan dikenal pasti


Kuala Terengganu: Polis sudah mengenalpasti dua suspek yang melarikan kenderaan pacuan empat roda bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Stesen PETRONAS Bukit Kuang, Chukai, pada 23 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata polis kini berusaha menjejak dua suspek itu yang menjalankan kegiatan curi motosikal dan kereta.
Katanya, polis yakin dapat menahan dua lelaki terbabit hasil maklumat yang diperoleh daripada seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai rakan suspek yang ditahan di Kertih, kira-kira 60 kilometer dari tempat kejadian.

“Kami percaya dua suspek ini akan ditahan,” katanya di sini, semalam.

Manoharan berkata, hasil siasatan mendapati suspek memiliki 21 kes jenayah lampau seperti mencuri kenderaan di negeri ini.

Katanya, sebanyak 12 kes kecurian motosikal dikenal pasti membabitkan suspek terbabit iaitu 11 di Besut dan satu di Pasir Putih, Kelantan manakala tiga kes curi kereta di Besut.

“Kami sedang berusaha mendapatkan semula barang kes ini. Kami mendapati kebanyakan kenderaan yang dicuri dijual kepada individu yang tidak dikenali di negara ini dan di Golok, Thailand,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Padang Luas, Jertih tidak mempunyai kad pengenalan dan mengaku terbabit dengan kegiatan curi kenderaan dan dadah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan bermotor, Seksyen 363 kerana menculik kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa dan Seksyen 25 (1)(n) kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Dalam kes berasingan, Manoharan berkata pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai ‘Geng Mirul Tok Kaya’ berikutan tertangkapnya lima lelaki berusia antara 16 hingga 59 tahun yang disyaki mencuri motosikal di sekitar kawasan Kampung Tok Kaya, Chabang Tiga, di sini, awal bulan lalu.

Katanya, berikutan penahanan lima suspek itu, polis menahan tiga lagi suspek di Chabang Tiga dan di Kampung Baru, Hulu Takir, Seberang Takir, di sini, 4 Februari lalu.

“Ahli kumpulan ini akan mencari motosikal yang tidak menggunakan kunci keselamatan tambahan dan melarikannya ke kawasan sunyi sebelum komponennya dileraikan manakala rangka motosikal dibuang ke dalam parit dan tali air,” katanya.

Dua bot bertembung, pekerja kontraktor minyak dikhuatiri lemas


MELAKA: Seorang pekerja syarikat kontraktor minyak dikhuatiri lemas selepas dua bot dinaiki 16 penumpang yang juga pekerja syarikat itu bertembung di Pantai Puteri, di sini kira-kira jam 8 malam, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa, Nasir Othman, 21 masih dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri manakala difahamkan 15 yang lain selamat.

4 pekerja ladang nyaris dibaham



Gua Musang: Empat pekerja ladang termasuk dua mandur nyaris menjadi mangsa harimau kumbang apabila terserempak dengan haiwan itu di ladang sawit Tanah Rancangan FELDA Perasu, di sini, semalam.

Bagaimanapun, mereka terselamat kerana sempat menyelamatkan diri dengan melarikan diri sebaik ternampak harimau terbabit yang dipercayai mencederakan buruh ladang warga Indonesia, Ahad lalu.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mereka berjalan kaki di kawasan ladang sawit berkenaan untuk mencari pam racun yang tertinggal.

Seorang mandur terbabit, Hafisan Ismail, 27, berkata ketika berjalan di kawasan ladang sawit berkenaan, mereka ternampak harimau kumbang bersembunyi dalam semak.

“Ketika dalam perjalanan, saya yang memegang sebilah golok menguis batang pelepah pohon sawit yang menutupi lorong kecil dalam semak dan ternampak haiwan itu.

“Saya bersama seorang lagi mandur, Fakri Mohd Zain, 25, dan dua buruh, Zulkifli Yaacob, 50 serta Firdaus Kamaruddin, 23, terus lari bagi menyelamatkan diri kerana bimbang diterkam harimau kumbang itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, Ahad lalu, seorang buruh ladang warga Indonesia, Alip Abil, 33, cedera diterkam haiwan itu ketika sedang meracun rumput di ladang Tanah Rancangan FELDA berkenaan.
Mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Gua Musang menerima 50 jahitan kerana cedera di kepala, lengan kanan, tangan kiri, punggung dan dada.

Fakri berkata, harimau itu setinggi paras paha orang dewasa dan terdapat kesan cedera di belakang dipercayai dipukul buruh yang berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian Ahad lalu.

Beliau berkata, kini semua buruh ladang seramai 42 orang terpaksa diberi cuti rehat demi keselamatan mereka.

“Kita berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan bertindak segera,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, PERHILITAN Kelantan menasihatkan penduduk di kawasan itu tidak bertindak sendiri bagi mengelak kejadian tidak diingini.

4 rumah panjang musnah



Kuala Lumpur: Empat rumah di Blok C Rumah Panjang Jalan 4/16C, Jinjang Utara di sini, musnah dalam kebakaran, tengah hari semalam.

Bomba yang menerima panggilan pada jam 12.03 tengah hari bagaimanapun berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran apabila tiga pili bomba di kawasan kejadian rosak.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jinjang, Rosli Haris, berkata empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Sentul dan Jalan Hang Tuah bersama 23 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Namun, katanya, kerja memadam kebakaran tidak dapat dilakukan dengan segera kerana kerosakan pili bomba.

“Tiga pili bomba rosak dan tiada air menyebabkan kami terpaksa meminta bantuan dari Alam Flora untuk membekalkan air menggunakan lori tangki.

“Sejurus tiga lori tangki terbabit tiba di tempat kejadian, kerja memadam kebakaran terus dilakukan dan api dapat dikawal dari terus merebak dalam tempoh 10 minit,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, tiga rumah terbabit musnah sama sekali dalam kebakaran itu.
“Semua penghuni berjaya menyelamatkan diri dan buat masa ini, kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian,” katanya.

Sementara itu, mangsa M. Chandran, 39, memberitahu beliau hanya menyedari kediamannya terbakar apabila balik ke rumahnya kira-kira jam 12 tengah hari.

“Ada enam ahli keluarga saya berada di rumah ketika kejadian tetapi tiada satu barang pun dapat diselamatkan kerana api marak dengan terlalu cepat,” katanya.

Amal sihir dirotan 100 kali



Riyadh: Seorang pekerja domestik dari Sri Lanka kelmarin dijatuhkan hukuman penjara setahun dan 100 sebatan, selepas mengaku bersalah mengamalkan ilmu hitam bersama rakannya di negara ini, lapor akhbar Ada Derana.

Sumber Kedutaan Sri Lanka menyatakan sertuduh, Premanath Pereralalge Thungasiri, bekerja sebagai pemandu di sebuah rumah di Arab Saudi.
Seorang pegawai kedutaan yang bertemu Thungasiri berkata, atas dakwaan mengamalkan ilmu hitam dan melanggar peraturan tempatan dengan bertemu seorang wanita tidak dikenali, Thungasiri ditahan polis di daerah Ummul Hammam.

Laporan menyatakan pada Mei tahun lalu, dalam usahanya untuk menyelesaikan pertelagahan membabitkan seorang pembantu rumah, Thungasiri mengunjungi sebuah rumah lain di Arab Saudi untuk bertemu seorang amah lain yang didakwa sebagai saudaranya.

Polis menahan Tungasiri kerana perbuatannya menemui wanita tidak dikenali menyalahi peraturan di negara itu.

Keluarga Thungasiri, isteri dan dua anaknya, seorang perempuan dan seorang lelaki, tinggal di Padiyatalawa, 200 kilometer dari Colombo.

Thungasiri akan selesai menjalani hukuman penjara Mei tahun ini, menurut seorang pegawai penjara dan ada peluang untuknya dihantar pulang ke negara asal, walaupun sebelum tempoh hukuman berakhir, jika pengampunan diberi lebih awal kerana namanya berada dalam senarai pengampunan.
Kementerian Hal-Ehwal Luar bagaimanapun belum menyerahkan salinan keputusan rasmi ke atas Thungasiri kepada Kedutaan Sri Lanka.

Tungasiri, dalam satu kenyataan kepada kedutaan berkata, warga Arab Saudi yang menjadi penaja kedatangannya tiada kaitan dengan kes itu.

Beliau sudah menyerahkan pasport dan dokumen lain kepada pihak berkuasa penjara untuk urusan penghantaran pulang.

Sebelum ini, seorang wanita Sri Lanka turut ditangkap di Arab Saudi selepas disyaki mengamalkan ilmu hitam selepas didapati merenung seorang kanak-kanak yang memakai gelang hitam di sebuah pusat beli belah.
Agensi

Restoran diserang 30 samseng



Segamat: Kira-kira 60 pelanggan yang menikmati makan malam sempena Tahun Baru Cina, lari bertempiaran apabila restoran yang ditempah mereka menjadi sasaran amukan 30 samseng dalam kejadian dekat Batu Anam di sini, malam kelmarin.

Pemilik Restoran Taman KSM dikenali sebagai Lam, 41, mendakwa ketika serangan jam 10.30 malam itu, beliau bersama lima pekerjanya sedang melayan 60 pelanggan terbabit yang menjamu selera bersama rakan dan ahli keluarga masing-masing sempena sambutan Tahun Baru Cina.
“Secara tiba-tiba, saya terlihat melalui dinding kaca, suluhan lampu puluhan motosikal membabitkan 30 lelaki berusia 20-an ke atas, menghala ke arah restoran.

“Mereka yang membawa pelbagai senjata bahaya termasuk parang, batang kayu dan besi kemudian memasuki restoran sebelum merosakkan meja, kerusi, memecahkan pintu kaca, pinggan mangkuk selain cuba menyerang beberapa pelanggan yang sedang menjamu selera ketika itu.

“Keadaan itu menyebabkan semua pelanggan saya lari bertempiaran menyelamatkan diri. Ada di antara pelanggan membawa bersama penutup bufet hidangan sebagai perisai melindungi diri. Nasib baik semua pelanggan sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.

Lam berkata, kumpulan penyerang itu juga merosakkan sekurang-kurangnya 20 motosikal dan memecahkan cermin 10 kereta yang diletakkan di luar restorannya sepanjang serangan 15 minit itu.

“Saya tidak pasti punca serangan ini kerana tidak mempunyai sebarang musuh peribadi. Malah saya menyediakan hidangan makanan yang berkualiti serta menawarkan diskaun kepada pelanggan sepanjang sambutan perayaan ini,” katanya.
Beliau bergegas membuat laporan polis sejurus kumpulan samseng itu beredar tetapi setakat ini masih belum selesai membuat taskiran kerugian dialami.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Hanafi Daud, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Padah raba punggung si manis 17

Mohd KhairulMohd Khairul dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret semalam selepas dia mengaku salah menyentuh punggung anak dara yang membonceng motosikal.
KUALA TERENGGANU - Padah menyentuh punggung anak dara, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Khairul Mat Amin, 29, selepas mengaku bersalah menyentuh punggung mangsa yang berusia 17 tahun.

Mohd Khairul dari Kampung Bukit Depu, Jalan Pasir Panjang, di sini, melakukannya dengan niat mencabul kehormatan mangsa di lorong gelap di Jalan Pejabat Tanah, di sini, kira-kira jam 8.15 malam, pada 30 Ogos tahun lalu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa, bersama kakak angkatnya dalam perjalanan ke kelas tambahan di Losong, Chabang Tiga, di sini, dengan menaiki motosikal sebelum diekori Mohd Khairul.

Semasa melalui satu lorong gelap, Mohd Khairul, yang juga menunggang motosikal, menghimpit mangsa dan cuba memegang buah dada kakak angkat mangsa, tetapi tidak berjaya.

Bagaimanapun, Mohd Khairul sekali lagi menghimpit motosikal mereka berdua dan meraba punggung mangsa.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Mohd Khairul ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Terengganu di kediamannya kira-kira jam 3 pagi, 11 September tahun lalu.

Temui separuh badan manusia



Temui separuh badan manusia
Sekumpulan anggota dan pegawai polis, diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, ASP Mohd Adli Mat Daud (kanan), tiba di tempat mayat ditemui selepas terima laporan.
Temui separuh badan manusia
Orang ramai memenuhi kawasan pantai selepas berita mengenai penemuan sebahagian tubuh manusia itu tersebar.
MARANG - Seorang penduduk di Jalan Tanah Lot, Pantai Rhu Rendang tidak menyangka, objek terdampar di pantai kampung berkenaan yang disangka bangkai binatang, ialah sebahagian tubuh manusia.

Mayat hanya tinggal paras pinggang ke bawah itu ditemui Jamaludin Zainol, 59, ketika dia mencari lapisan kulit sotong dan botol hanyut di pantai berkenaan sekitar jam 6.35 pagi semalam.

Sudah menjadi rutin bapa lapan anak itu berjalan kaki setiap pagi di pantai itu untuk mencari lapisan kulit sotong untuk dijual kepada tukang emas bagi membuat acuan cincin selain mengutip botol hanyut.

Jamaludin berkata, dia terlihat objek terdampar ketika melalui kawasan pantai berkenaan.

"Semakin dekat, bau busuk semakin kuat dan saya mengesyaki objek terdampar itu bangkai binatang.

“Tetapi apabila melihat dari dekat, saya ternampak seluar dalam dan menyedari ia sebenarnya mayat manusia, tetapi tanpa kepala dan badan,” katanya yang kemudiannya bergegas pulang sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui di tempat kejadian berkata, kejadian itu belum pernah berlaku sebelum ini dan mayat manusia tidak lengkap anggota badan itu dipercayai dihanyutkan ombak.  

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan penemuan mayat mengerikan itu.

Beliau menambah, polis sedang menjalankan siasatan serta mengesan identiti mayat itu.

Pyongyang cetus gempa bumi tiruan



13 Februari 2013
Pyongyang cetus gempa bumi tiruan
Kumpulan aktivis Korea Selatan berhimpun dan mengutuk tindakan ujian nuklear Pyongyang di Seoul. Foto: EPA
SEOUL - Korea Utara semalam, mengesahkan kejayaan mengadakan ujian nuklear ketiga bawah tanah, sekali gus mencetuskan gegaran yang dianggap sebagai gempa bumi sekitar lokasi yang dirahsiakan.

Bagaimanapun, tindakan Pyongyang itu mendapat kutukan dunia termasuk Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang menyifatkan ianya sebagai pencabulan terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Lapor agensi berita tempatan, ujian berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan Pyongyang melindungi keselamatan dan kedaulatan negara daripada sifat permusuhan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut pegawai Pyongyang, ujian nuklear pada kali ini mencetuskan letupan lebih besar berbanding ujian pada 2006 dan 2009.

Katanya, kumpulan pakar menggunakan sejenis peranti nuklear lebih ringan dan kecil, sekali gus mendedahkan penggunaan bahan plutonium yang amat sesuai bagi kegunaan kepala peluru berpandu.

"Ujian berkenaan berlangsung dengan kawalan keselamatan yang ketat," kata pegawai.

Disember lalu, Pyongyang dikenakan sekatan oleh PBB dan AS selepas melancarkan roket yang dianggap sebagai ujian peluru berpandu. -  DailyMail

Polis masih cari mayat juruteknik di laut



Polis cari mayat dalam laut
Info Grafik: Polis kesan mayat juruteknik dibuang ke laut
SHAH ALAM - Polis masih mengesan mayat seorang juruteknik yang dibuang ke laut di jambatan Pulau Indah sejak dilaporkan hilang pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada benar mayat lelaki berusia 36 tahun itu dibuang di lokasi tersebut.

Beliau berkata, gerakan mencari dimulakan 8 Februari lalu selepas polis memberkas lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, 10 anggota, empat daripada unit skuba, ditugaskan dalam operasi mencari di sekitar perairan Pulau Indah.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan sebuah bot marin dan sebuah sampan penduduk tempatan.

Dalam kejadian pada 1 Februari itu, polis menemui rangka tanpa tengkorak di tempat duduk hadapan kereta Proton Waja yang musnah terbakar di Alam Impian, Seksyen 35.

Siasatan polis mengesahkan pemandu kereta dibunuh dan mungkin mayatnya dipotong sebelum dibuang dalam laut.

Lima lelaki, berusia 18 hingga 35 tahun, kemudiannya ditahan di Taman Sentosa dan Taman Sentosa Perdana, Klang.

Polis merampas beberapa dokumen, telefon bimbit dan pakaian mangsa yang disimpan suspek.

Polis turut menemui kesan darah di tapak pembinaan di Jalan Laksamana, Taman Sentosa, yang dipercayai lokasi mangsa dibunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya masih menunggu laporan ujian DNA berhubung penemuan tulang dalam kereta tersebut.

“Kita sudah merakamkan beberapa keterangan, termasuk daripada abang ipar mangsa,” katanya.

Letupan bas ragut 13 nyawa




13 Februari 2013
Letupan bas ragut 13 nyawa
Sebilangan kereta di kawasan kejadian turut musnah dalam letupan mengejut itu.
CILVEGOZU - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, manakala 30 yang lain cedera selepas sebuah bas mini secara tiba-tiba meletup sewaktu memasuki sempadan Turki-Syria, kelmarin.

Pegawai Turki memberitahu, punca letupan yang turut meragut 10 nyawa rakyat Syria itu masih dalam siasatan.

Katanya, insiden tercetus di kawasan pintu masuk kastam Cilvegozu di sempadan Turki yang juga salah satu jalan utama bagi pelarian Syria memasuki Turki.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc berkata, bas didaftarkan di Syria itu meletup hanya beberapa meter dari pintu sempadan Turki, di mana puluhan orang awam dan pekerja kemanusiaan sedang berkumpul.

“Ia merupakan satu letupan kuat. Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada bas itu sarat dengan bahan letupan atau satu jenis letupan yang lain.

“Segala kemungkinan berlakunya kejadian kini sedang disiasat, termasuk motif politik,” katanya. - Al-Jazeera

Pasangan OKU dicekup khalwat



Pasangan OKU dicekup khalwat
Anggota penguatkuasa Jaim melakukan pemeriksaan di sebuah bilik di hotel bajet dalam operasi, awal pagi semalam.
Pasangan OKU
Pasangan OKU yang ditahan selepas didapati berkhalwat dalam bilik sebuah hotel bajet, awal pagi semalam.
MELAKA - Anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang terpaksa bertindak memecah masuk bilik sebuah hotel bajet di Kampung Hulu, dekat sini terkejut apabila mendapati bilik tersebut dihuni pasangan orang kurang upaya (OKU) bisu dan cacat pendengaran.

Difahamkan, anggota penguatkuasa terpaksa memecah pintu selepas bilik yang disyaki didiami pasangan berkhalwat tidak memberi sebarang respon selepas diketuk anggota Jaim, selama hampir 20 minit.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, pihak Jaim terlebih dahulu meminta kunci pendua daripada pemilik premis selepas menunggu 15 minit untuk membuat pemeriksaan, namun gagal berikutan masih terkunci dari dalam.

Akibatnya, penguatkuasa Jaim terpaksa memecah masuk bilik tersebut sebelum menemui pasangan OKU berkenaan, kedua-duanya berusia 20 tahun sedang tidur atas katil.

Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut selepas pemeriksaan awal mendapati pasangan yang menggunakan bahasa isyarat itu bukan muhrim dan tiada ikatan sah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, pasangan tersebut antara 15 individu termasuk empat warga asing berusia 20 hingga 29 tahun yang ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis tentera.

“Serbuan yang dijalankan di dua hotel bajet berasingan di sekitar bandaraya ini membabitkan penahanan lapan lelaki dan tujuh wanita termasuk satu pasangan OKU serta warga asing.

“Ia turut merangkumi tiga lelaki dan dua wanita yang didapati berada di dalam sebuah bilik hotel terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Rahimin berkata, kesemua ditahan termasuk warga Indonesia dan Nepal itu bagi membantu siasatan selepas didapati melakukan kesalahan berkurung yang mendatangkan syak di bawah Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. 

Sementara itu, Rahimin turut meminta orang ramai terutama remaja Islam tidak meraikan sambutan Hari Valentine esok yang telah difatwakan haram di negeri ini.