11 peniaga dikompaun gagal pamer tanda harga
Lian Hoe (kiri) bersama Zambry (tiga, kiri) pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina DPCP, semalam.
IPOH - Seramai 11 peniaga dikompaun berjumlah RM1,150 kerana gagal mempamerkan tanda harga merah jambu pada barangan kawalan yang dikuatkuasakan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2013 bermula 6 Februari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe berkata, operasi pemeriksaan ke atas 24,885 premis di seluruh negara itu melibatkan nilai rampasan RM1,204.30.

“Setakat ini kes tersebut tidak melibatkan kes melebihi harga maksimum dan semuanya adalah melibatkan kesalahan tidak meletakkan tanda harga merah jambu,”

katanya selepas menghadiri jamuan sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP)  di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Perak, VK Chai.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2013 bermula 6 Februari hingga 17 Februari iaitu berkuat kuasa selama 12 hari dan dilaksana mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

13 jenis barangan dikawal harganya mengikut skim itu antaranya ayam, telur ayam, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi bahagian perut.

Tan berharap peniaga terus mematuhi peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang dilaksanakan kementeriannya itu dan pada masa sama berharap pengguna bijak membuat perbandingan sebelum membeli.

“Kita (KPDNKK) menjalankan penguatkuasaan secara berhemah dan adalah amat penting bagi peniaga memberi kerjasama erat supaya pengguna dapat membezakan yang mana barang kawalan dan yang mana barang biasa,” katanya.

Peniaga yang gagal meletak tanda harga merah jambu pada barangan kawalan boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

Lian Hoe berkata, kebanyakan peniaga dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan kawalan yang ditetapkan.