Search This Blog

Monday, February 11, 2013

Juruwang diugut bekas teman lelaki



MIRI: Seorang wanita kini terpaksa hidup dalam ketakutan apabila bekas teman lelakinya mengugut akan menyebarkan gambar bogelnya sekiranya dia gagal membayar RM4,000 dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, mangsa berusia 22 tahun serta bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai roti di sini, diperas ugut bekas teman lelakinya yang menuntut bayaran itu sebagai habuan untuk dia menghentikan tindakannya.
Menurut sumber, mangsa mula menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas teman lelakinya yang berusia lingkungan 20-an pada hujung Januari lalu, memintanya memasukkan wang RM4,000 ke dalam akaun banknya.

Bepantang Maut Sebelum Ajal



Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang boleh digambarkan dengan keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pekan Nenasi berhampiran Kampung Tanjung Batu hari ini. Kemalangan melibatkan dua buah kereta ini tidak menyebabkan kemalangan jiwa. - Foto Bernama

ATM harap rampasan M16 di Rantau Panjang kes terpencil

Zulkifeli Mohd Zin
Zulkifeli Mohd Zin - Foto ehsan Berita Kini
PADANG BESAR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap rampasan sepucuk rifle M16 yang dirungkai dan disorokkan dalam bag untuk diseludup ke negara ini di Rantau Panjang, Kelantan oleh polis baru-baru ini sebagai kes terpencil.
Bagaimanapun Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memandang berat kes itu kerana penyeludupan senjatapi untuk tujuan tertentu oleh sindiket atau tidak, boleh mengancam keselamatan negara.
"ATM dan polis bekerjasama menyiasat kes ini dan kesiapsiagaan ATM perlu ditingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada media selepas melawat pos kawalan sempadan Malaysia/Thai dari Bukit Kayu Hitam ke Wang Kelian di Perlis, hari ini.
Menyertai Zulkifeli ialah Panglima 2 Divisyen, Mej-Jeneral Datuk Azizan Md Delin dan pegawai-pegawai kanan lain ATM.
Menurut Panglima ATM itu selain bertukar maklumat risikan, tentera dan polis turut berbincang dan bekerjasama memantau pergerakan di sempadan.
ATM melancarkan Ops Wawasan di sempadan Malaysia/Thai di Perak, Kelantan, Kedah dan Perlis bermula November tahun lepas sejak mengambil-alih tanggungjawab menjaga keselamatan dari Pasukan Gerak Am, katanya.
Beliau berkata lima batalion dipertangungjawabkan menjaga kawasan sempadan tersebut dan beberapa batalion lagi boleh ditambah sekiranya keadaan memerlukan.
Katanya tanggungjawab menjaga 15 pos kawalan dari Bukit Kayu Hitam sehingga Wang Kelian yang diambil alih dari PGA diserahkan kepada Batalion Ke-4 RAMD.
"Kejayaan mereka dalam Ops Wawasan agak besar kerana ramai pendatang asing tanpa izin tertutama pelarian Rohingya dari Myanmar ditahan, penyeludupan manusia dan barangan," tambahnya.
Mengenai lawatan hari ini, Panglima ATM itu berkata beliau mengambil kesempatan tersebut untuk menerangkan insentif-insentif disediakan kerajaan kepada anggota tentera dalam bajet 2013 selain melihat sendiri kawasan operasi.
"Saya berpuas hati dengan infrastruktur di garisan sempadan dan kemudahan-kemudahan yang ada memudahkan mereka menjalankan operasi walaupun di kawasan tertentu di Perak dan Kelantan yang berbukit-bukau sangat mencabar," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata bilangan anggota tentera yang berhenti dari perkhidmatan tanpa pencen menurun kepada 300 orang termasuk yang diberhentikan kerana tindakan tatatertib tahun lepas. - Bernama

37 maut dirempuh

37 maut dirempuh
Seorang wanita India menangis selepas menjumpai mayat saudaranya sejurus rempuhan manusia di stesen berkenaan. - Foto ihsan AP
ALLAHABAD - Jumlah mangsa maut insiden rempuhan manusia di sebuah stesen kereta api dekat utara India hari ini meningkat kepada 37 orang dan lebih 30 lagi cedera.
Menurut pegawai, kejadian melibatkan jutaan penganut Hindu berpusu-pusu untuk menaiki pengangkutan itu bagi menghadiri satu perhimpunan upacara keagamaan.

"Lebih 40 juta penganut agama Hindu berhimpun di Allahabad sejak semalam bagi meraikan upacara Kumbh Mela.

"Sewaktu insiden berlaku, kira-kira 10,000 orang menunggu untuk menaiki kereta api tetapi pihak pengurusan secara tiba-tiba membuat pengumuman meminta mereka ke platform lain sekali gus mencetuskan kekecohan," katanya.

Sejurus rempuhan, orang ramai bergegas ke hospital terdekat bagi mencari saudara mereka yang hilang serta membuat proses pengecaman mangsa maut dan cedera.

Saksi kejadian menyalahkan pihak berkuasa yang didakwa gagal mengawal keadaan selepas pengurusan kereta api membuat pengumuman.

"Kami terdengar pengumuman bahawa kereta api kami akan tiba di platform 4, tetapi sebaik menaiki jejantas yang menghubungkan platform berkenaan beberapa anggota polis mengarahkan kami berhenti dan mengugut kami dengan baton mereka," kata Shusanto Kumar Sen.

Sementara itu, ketua pegawai perubatan daerah Allahabad berkata, 23 daripada 37 yang terbunuh adalah golongan wanita.

Buruh kena 50 jahitan akibat diserang harimau



Buruh kena 50 jahitan akibat diserang harimau
Nuradi (kanan) menunjukkan kecederaan yang dialami Alip (duduk) selepas diserang harimau kumbang.
GUA MUSANG – Seorang buruh ladang warga Indonesia nyaris maut apabila diserang seekor harimau kumbang ketika sedang menjalankan kerja meracun rumput dalam kawasan ladang sawit di Tanah Rancangan Felda Perasu, dekat sini, pagi semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Alip Abil, 33, cedera di badan, lengan kanan, tangan kiri, kepala dan punggung akibat dicakar harimau sebesar kambing dengan ketinggian kira-kira 1.3 meter dan terpaksa menerima 50 jahitan semasa mendapat rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Sebelum kejadian, mangsa bersama enam rakan yang lain sedang bekerja meracun rumput di lorong dalam kawasan ladang sawit blok dua secara berasingan sebelum bunyi suara harimau mengaung dengan kuat.

Katanya, ketika itu dia seorang diri dalam satu lorong dan terkejut diterkam harimau itu hingga terpaksa bergelut selama 15 minit sebelum mendapat bantuan seorang rakanya, Nuradi Marsudi, 26, selepas terdengar jeritan kuat meminta tolong darinya.

“Saya tidak tahan dengan kekuatan harimau itu yang menyerang dan mencakar bahagian punggung, dada, lengan kanan dan kepala dalam keadaan berlumuran darah sebelum saya menjerit meminta tolong.

“Nuradi bergegas ke arah saya dan terus mencari kayu tajam menjolok kayu berkenaan ke dalam  mulut harimau kerana ketika itu harimau terbabit cuba menggigit tengkuk saya walaupun dia ditindih dengan kuat dalam keadaan tertiarap,” katanya ketika ditemui di rumah kongsinya di tanah rancangan itu selepas menerima rawatan di HGM.

Alip berkata, ketika kejadian itu juga tong racun yang berada belakangnya menjadi penyelamat ketika dia diterkam dari arah belakang dan jika tidak dia sudah pasti berdepan dengan maut.

Katanya, sebaik bergelut dengan binatang berkenaan, dia cuba menahan kuku harimau itu mencakar bahagian badannya, tetapi tidak sempat kerana ia berlaku terlalu pantas menyebabkan terus terjatuh.

“Nasib baik Nuradi cepat bertindak kerana semasa itu saya hampir habis tenaga untuk mempertahankan diri dan terasa sakit yang amat sangat di lengan kanan,” katanya.

Nuradi pula berkata, sebaik dia menjolok kayu tajam ke dalam mulut harimau itu bagi menyelamat Alip, harimau kumbang itu bangun dan cuba menyerangnya pula, tetapi sempat mempertahankan diri dengan kayu itu.

“Saya pada mulanya ingat babi hutan menyerang Alip, tetapi apabila menghampirinya ternampak harimau kumbang ditindih Alip yang cuba mempertahankan diri daripada terus dicakar," katanya.

Ana Dahlia cedera kemalangan awal pagi



Ana Dahlia
Ana Dahlia
KUALA LUMPUR - Pelakon popular, Ana Dahlia nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Genting Klang di sini, awal pagi tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi, sebuah kereta Proton Iswara yang dari arah pusat bandar menghala ke Gombak, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah van dan kereta Toyota Vios, yang dipandu oleh pelakon itu.

Ana Dahlia, 29, berkata, dia memandu seorang diri dalam perjalanan dari arah Genting Klang menghala ke rumahnya di Kuala Lumpur.

“Saya nampak kereta Proton Iswara dari arah bertentangan terbabas dan merempuh van di hadapan lalu melanggar kereta yang dipandu saya.

"Akibat rempuhan itu kereta saya berpusing beberapa kali, sebelum terbabas ke pembahagi jalan," katanya.

Polis bantuan antara ditahan berlumba



Beberapa kenderaan dan pemiliknya yang ditahan dalam Operasi Pencegahan Khas yang dijalankan di sekitar bandar Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN 10 Feb. - Seorang polis bantuan sebuah bank antara 10 pemandu kereta yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti lumba haram di sekitar bandar ini awal pagi tadi.
Kesemua lelaki berkenaan ditahan dalam Operasi Pencegahan Khas antara pukul 1 hingga 4.30 pagi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Unit Khas Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman.
Ketua unit khas itu, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, kesemua individu berusia 21 hingga lewat 30-an itu ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
"Kesemua mereka ditahan selepas didapati berlumba di sekitar Jalan Dato Bandar Tunggal dan Jalan Yam Tuan di bandar ini.
"Pihak kami juga bertindak menyita kesemua kereta terbabit termasuk jenis Honda, Proton Satria dan Proton Perdana," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu awal pagi ini.
Menurut Khuzir, kesemua mereka kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2 sebelum dikenakan tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati kesemua kenderaan tersebut telah diubah suai pada bahagian enjin dan ekzos.
"Lapan kereta juga didapati enjinnya telah ditukar namun tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.
Bagaimanapun Khuzir memberitahu, kesemua pemandu berkenaan bebas daripada penggunaan dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130211/je_02/Polis-bantuan-antara-ditahan-berlumba#ixzz2KaJh5y9c
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesawat penumpang terhempas, lima terbunuh



BRUSSELS 10 Feb. - Sebuah pesawat penumpang kecil terhempas di Lapangan Terbang Charleroi, di sini semalam, mengorbankan lima orang penumpang.
Kejadian tersebut juga menyebabkan lapangan tersebut yang juga merupakan hab bagi pesawat Ryanair dan lain-lain syarikat penerbangan kos rendah terpaksa ditutup.
Menurut jurucakap lapangan terbang itu, pesawat jenis Cessna berkenaan menghadapi masalah semasa berlepas dan cuba untuk kembali Lapangan Terbang Charleroi tetapi dikatakan terhempas di sebelah landasan.
Menurutnya, dua penumpang dan tiga kanak-kanak antara mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_11/Pesawat-penumpang-terhempas-lima-terbunuh#ixzz2KaHgYQDj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat cedera ditembak ketika berpesta



NEW ORLEANS 10 Feb. - Sebanyak empat orang cedera ditembak di Bourbon Street di sini ketika orang ramai berpesta sempena sambutan festival Mardi Gras malam tadi.
Jurucakap Polis New Orleans, Frank B. Robertson berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan (9,30 pagi waktu Malaysia), dua orang lelaki dan dua orang perempuan cedera ditembak.
Beliau berkata, seorang lelaki cedera teruk dan perlu menjalani pembedahan manakala tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil.
''Pegawai polis kini berusaha untuk mengenal pasti suspek dan motif kejadian,'' katanya.
Jalan-jalan di negeri ini dipenuhi orang ramai pada hujung minggu lalu sempena festival Mardi Gras yang diadakan setiap tahun di New Orleans.
Jalan raya sering menjadi sesak menyebabkan pegawai polis terpaksa menggunakan unit berkuda untuk mengawal keadaan.
Seorang saksi, Patrick Clay, 21, berkata, dia sedang berdiri di hujung jalan Bourbon Street apabila melihat orang ramai bertempiaran lari dan menjerit.
''Orang ramai menjerit memberitahu berlaku kejadian tembakan dan polis pula bergerak ke arah tempat kejadian.
''Saya bersama tujuh orang lain berpegang tangan dan cuba keluar secepat mungkin,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130211/lu_05/Empat-cedera-ditembak-ketika-berpesta#ixzz2KaG8d17m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gadis OKU diminta tampil


Gadis OKU diminta tampil
Norbaini menunjukkan kad pengenalan dan kad OKU milik gadis berkenaan.
KUANTAN - Pusat Khidmat PKR Kuantan meminta seorang gadis yang juga penuntut Kolej Ikip Cawangan Taman Gelora, Salina Said, 20, hadir segera ke pusat berkenaan untuk menuntut dompet mengandungi dokumen penting termasuk kad pengenalan dipercayai tercicir di Indera Mahkota, di sini, minggu lepas.

Dompet itu mengandungi kad pengenalan gadis berkenaan bersama kad pelajar, kad ATM dan beberapa dokumen lain.

Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kuantan, Norbaini Abu Bakar berkata, berdasarkan kad daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ditemui di dalam dompet gadis berkenaan, dia didapati diklasifikasikan sebagai OKU kategori pelbagai.

“Kad ini diserahkan seorang remaja perempuan berusia 20-an yang bekerja di sebuah kedai percetakan di Indera Mahkota dan diserahkan kepada pusat khidmat ini pada minggu lepas.

“Kami menjalankan usaha mengesan gadis ini, tetapi tidak berjaya, termasuk membuat pengumuman di laman sosial," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat pada kad pengenalan ditemui, gadis berkenaan berasal dari Felda Sebertak, Triang.

Sehubungan itu katanya, kenalan atau sesiapa yang mengenali gadis berkenaan boleh memaklumkan mengenai penemuan dompet tersebut dengan segera.

“Kami percaya, segala dokumen ini sangat penting dan diharapkan dia segera mengambilnya. Bagaimanapun ketika dompet itu ditemui, tiada sebarang wang tunai di dalamnya.

Jika terdapat sebarang pertanyaan, boleh menghubungi 019-2602838 atau pusat khidmat ini di 09-5138300,” katanya.

Gesa jawab kematian lembu



SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
11 Februari 2013
Gesa jawab kematian lembu
Kanneson menunjukkan laporan polis serta bil daripada pihak MPKK
KUALA KANGSAR - Seorang penggembala lembu dari Kampung Stesen, di sini menggesa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) membayar ganti rugi atas kematian lembu ternakannya semasa berada di bawah jagaan MPKK.

K Kaneson, 29, mendakwa, lembu betina serta anaknya tidak dijaga dengan sempurna oleh MPKK selepas ditangkap ketika didapati berkeliaran di sekitar Taman Anggerik, di sini, 25 Januari lalu.

Menurutnya, selepas ditangkap, haiwan itu dikurung dalam sebuah kandang di kawasan Perak Tex, di sini, dan dia telah segera ke MPKK selepas dimaklumkan rakan-rakan untuk melihat, seterusnya cuba membawa lembu berkenaan pulang.

"Ketika itu saya dimaklumkan waktu pejabat telah tamat dan pejabat akan ditutup tiga hari bermula 26 Januari sempena cuti hujung minggu dan Thaipusam. Saya dimaklumkan pejabat akan kembali dibuka pada 29 Januari.

"Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat keadaan lembu ternakannya saya seperti tidak terurus pada 29 Januari lalu," katanya.

Kaneson juga memaklumkan telah menjelaskan sama RM1,100 (selepas pengurangan) kerana membiarkan haiwan ternakan berkeliaran, selain RM400 untuk bayaran perkhidmatan lain oleh MPKK, RM1,500 untuk makanan serta ubatan dan RM400 (RM100 sehari) untuk kos simpanan.

Dia turut mempersoalkan kos yang terpaksa dibayar untuk melepaskan haiwan ternakannya itu dalam keadaan tidak bermaya serta mati setelah dibawa pulang, walaupun mengaku salah kerana membiarkan lembu itu berkeliaran dan menuntut penjelasan segera.

Masalah yang dihadapi Kanneson itu turut mendapat perhatian daripada Ketua AMK Negeri, Dr Meor Ahmad Isharra Ishak yang sempat meluangkan masa melawat Kanneson di kediamannya.

“Saya cadangkan kes ini ditangani sepenuhnya demi memastikan ia tidak berulang dan menganiayai golongan berpendapatan rendah pada masa hadapan,” katanya.

Bekas pegawai dikesan jual pangkat PTCM




Swee Huat menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Baru, Subang semalam.
PETALING JAYA – Tiga individu yang sudah dibuang keanggotaannya dari Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) dikesan giat menjual pangkat pegawai pasukan berkenaan secara haram.

Komandan PTCM Petaling Jaya, Tang Swee Huat berkata, individu berusia 40 hingga 50 tahun itu dikenal pasti giat menjual pangkat PTCM di sekitar Lembah Klang dengan harga mencecah ribuan ringgit.

Menurutnya, setakat ini PTCM ada menerima beberapa aduan daripada orang ramai di sekitar kawasan Subang yang sangsi dengan ‘pangkat’ ditawarkan oleh individu terbabit.

“Mereka yang terbabit sudah dikenal pasti dan pergerakan mereka kini sedang dipantau,” katanya ketika ditemui  selepas membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang, semalam.

Sementara itu, Ketua Turus Utama  PTCM, Datuk Dr Munsyi Yacob ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit yang sebelum ini pernah memegang jawatan pegawai dalam pasukan tersebut sudah dipecat sejak Jun tahun lalu atas kesalahan menyalahgunakan kuasa.

“Mereka sebelum ini dikesan menganjurkan majlis di sekitar beberapa negeri di utara tanah air menggunakan nama PTCM tanpa kebenaran,” katanya.

Menurutnya, individu-individu terbabit turut mengutip sumbangan dan menawarkan pangkat  PTCM kepada penaja yang membuat sumbangan terbanyak.

Kilang pakaian terbakar awal pagi Tahun Baru Cina



BAGAN SERAI - Kemeriahan menyambut Tahun Baru Cina seorang pemilik kilang pakaian terpakai terjejas apabila kilangnya di Simpang Lima di sini terbakar awal pagi tadi.

Pemiliknya yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia menerima panggilan daripada pemilik kilang udang bersebelahan premisnya sewaktu kejadian berlaku.

Menurutnya, dia sedang mengadakan persiapan menyambut Tahun Baru Cina di rumahnya ketika kilangnya terbakar.

"Ketika saya dengar bunyi siren bomba, beberapa orang anak saya terus keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

"Mula-mula kami hanya nampak percikan api tapi semakin lama api itu semakin marak," katanya ketika ditemui media.

Lim, 55, berkata, "kejadian ini amat mengejutkan saya kerana kilang itu baru beroperasi setahun lalu."

Kilang itu digunakan untuk mengimport dan mengeksport baju terpakai.

Ia diedarkan di sekitar utara Semenanjung Malaysia.

"Mujurlah pekerja saya telah menyimpan kesemua stok baju terpakai di sebuah tempat khas sebelum memulakan cuti perayaan Tahun Baru Cina.

"Jika tidak, saya tidak dapat membayangkan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung pihak kami," katanya.

Lelaki maut kereta bertembung



WAN JUHAIDA WAN HASSAN
11 Februari 2013
Lelaki maut kereta bertembung
Keadaan Perodua Kelisa yang rosak teruk selepas bertembung di Kilometer 331 Jalan Raub–Lipis, kelmarin.
Lelaki maut kereta bertembung
Keadaan Proton Waja yang rosak teruk selepas bertembung di Kilometer 331 Jalan Raub–Lipis, kelmarin.
RAUB – Seorang penumpang kereta Perodua Kelisa maut selepas kenderaan dinaikinya itu bertembung dengan kereta Proton Waja dalam kemalangan di Kilometer 331 Jalan Raub–Lipis, berhampiran Kampung Jeruas, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Kelisa dipandu Irfan Faidh Muhamad Shukri, 20, dari arah Raub, cuba memotong kenderaan lain.

Bagaimanapun katanya, Irfan Faidh dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu bertembung dengan Proton Waja dari arah bertentangan.

“Kejadian sekitar  jam 7.40 pagi itu mengakibatkan Muhammad Ridzuan Kamaruzzaman, 20, yang beralamat di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian.

Wan Mohd Samsudin berkata, Irfan Faidh yang berasal di Ketereh, Kelantan pula mengalami kecederaan di kepala.

Katanya, pemandu Proton Waja bersama isteri dan dua anaknya pula menerima rawatan di Hospital Lipis.

“Ketika kejadian, keadaan jalan berselekoh dan permukaan sedikit basah akibat hujan renyai.

“Sehubungan itu, kita harap orang ramai dapat mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati ketika cuaca kurang baik untuk mengelak kecelakaan terutama pada musim perayaan,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan talian polis 09-3554999 untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan dan keamanan kawasan tempat tinggal masing-masing.

'Kaki judi' Melayu paling ramai



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
11 Februari 2013
'Kaki judi' Melayu paling ramai
Usaha memerangi kegiatan judi internet menjadi sukar jika terus ada permintaan.
KUANTAN - Usaha berterusan pihak polis untuk memerangi kegiatan judi internet di negeri ini tidak akan berkesan  sekiranya orang ramai terutama kaki judi terus mendekati dan ketagih dengan kegiatan itu.

Kegilaan kaki judi untuk ‘kaya’ melalui pertaruhan mereka di premis judi internet ini antara faktor yang mendorong segelintir pengusaha kafe siber sama ada berlesen atau haram mencabar undang-undang dengan menyediakan permainan berunsur perjudian di premis mereka.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, lebih malang lagi, kebanyakan kaki judi yang berkunjung ke pusat-pusat itu adalah orang Melayu beragama Islam.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana  ajaran Islam jelas melarang umatnya mendekati atau berjudi.

“Dalam beberapa serbuan yang dijalankan, ada segelintir pekerja atau penjaga premis terlibat juga di kalangan orang Melayu.

“Jika tertangkap penjaga dan pemain akan berdepan hukuman tetapi dalang utama dalam kegiatan itu bergembira dengan pulangan lumayan hasil kegiatan haram yang dijalankan,” katanya.

Sharifuddin berkata, ibu bapa, pihak sekolah dan pemimpin setempat perlu memainkan peranan mendidik terutama generasi muda supaya menjauhi aktiviti perjudian kerana gejala ini bukan sahaja bertentangan dengan syariat tetapi penyumbang kepada perlakuan jenayah yang lebih serius.

“Akibat ketagihan boleh menyebabkan seseorang kaki judi terjebak dengan peminjam wang haram, mencuri, merompak malah ada yang sanggup menggadaikan harta untuk tujuan berjudi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya banyak menerima maklumat berhubung kegiatan ini dan operasi demi operasi secara bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, syarikat tenaga, syarikat bekalan air dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan di seluruh negeri.

“Di Kuantan misalnya, sebanyak 622 serbuan dijalankan dan hasilnya 7,307 set komputer dianggarkan bernilai RM7.3 juta berjaya dirampas tidak termasuk wang tunai RM196,850 sepanjang Januari 2012 hingga 22 Januari tahun ini.

“Dalam tempoh itu, polis Kuantan juga berjaya menahan 2,642 individu termasuk pemain dan penjaga premis untuk siasatan,” katanya.

Bekas tentera dakwa disabotaj



NURUL HUDA HUSAIN
11 Februari 2013
Bekas tentera dakwa disabotaj
Hassan menunjukkan sijil berhenti (kiri) yang memaparkan kenyataan pegawai bercanggah dengan alasan permohonan yang ditolak.
KUALA NERUS – Seorang bekas tentera, Hassan Abdullah, 55, bukan sahaja kecewa kerana tidak tersenarai sebagai penerima bantuan one-off bernilai RM1,000 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, tetapi terpaksa melupakan hasrat memperoleh bantuan lain berikutan sijil berhentinya dipercayai disabotaj.

Lebih malang lagi, dia yang pergi sendiri ke Majlis Penyampaian Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen 1 Malaysia (SVTB1M) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini, terpaksa pulang dengan hampa apabila permohonan dibuat sebelum ini tidak diluluskan, dengan alasan berhenti secara tidak terhormat atau kes salah laku.

Menurut Hassan, akibat kekeliruan pada sijil atau buku berhenti yang merekodkan dirinya berhenti secara tidak terhormat atau lebih tepat lagi terlibat dengan kes jenayah di bawah Akta 48 (C) Wilayah Tentera (Terma dan Perkhidmatan) Peraturan 1958, benar-benar membingungkan kerana dirinya tidak pernah terlibat dalam kes membabitkan salah laku.

“Lebih mengelirukan, pada sijil dinyatakan saya diberhentikan secara tidak terhormat, tetapi dalam masa sama kenyataan pegawai ketika itu (1995), saya telah melaksanakan tugas-tugas diarahkan dan bertanggungjawab serta memuaskan pasukan ini (ketika itu Rejimen 506, Askar Wataniah).

“Malah, akibat perkiraan (sijil berhenti) tidak tepat dan secara jelas tidak telus bukan sahaja telah meragut segala kelebihan yang boleh dinikmati oleh bekas tentera, sebaliknya saya juga tidak layak menjadi ahli mana-mana persatuan berkaitan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini.

Hassan juga turut mempersoalkan bagaimana dirinya boleh 'diklasifikasikan' sebagai anggota berpangkat koperal tidak melaksanakan tugas dengan baik serta diberhentikan secara tidak terhormat kerana dirinya sebelum ini pernah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kerana khidmat cemerlangnya dalam pasukan.

Menurut Hassan lagi, dengan keadaan menimpanya itu juga, segala pengalaman lebih 16 tahun berkhidmat sebagai tentera sukarela dalam mempertahankan keamanan negara, seolah-olah tidak memberi sebarang makna.

“Saya kesal dengan perkara ini walaupun bagi sesetengah orang, nilai RM1,000 mungkin tidak seberapa, namun bagi saya yang hidup dalam kekurangan ini, ia amat bermakna.

“Oleh itu, saya berharap masalah ini diambil serius oleh pihak berkenaan dan penilaian hendaklah dibuat secara telus,” katanya yang kini bekerja sebagai tukang besi untuk menampung keluarga.

Kenapa tampar anak saya?’



NURUL MAZWANA HAMDAN
11 Februari 2013
'Kenapa tampar anak saya?’
Omar bersama anak bongsunya ketika ditemui, di sini.
TAIPING – Tindakan seorang guru menampar pipi kiri anak perempuan bongsunya dengan alasan tidak munasabah, menimbulkan kekesalan di hati seorang bapa, di sini.

Omar Yusof, 55, berkata, dia dimaklumkan insiden itu berlaku pada 30 Januari lalu dan mendakwa tindakan guru itu menyebabkan anaknya, Nur Natasha Aziera, 11, malu untuk ke sekolah.

Menurut Omar, insiden itu dikatakan berlaku ketika Nur Natasha Aziera memohon untuk keluar sebentar dari kelasnya tetapi tidak dibenarkan oleh guru terbabit.

“Memang tidak salah tindakan diambil terhadap murid yang melakukan kesalahan. Namun ia harus dengan cara yang betul agar tidak timbul perasaan benci.

“Saya sendiri tidak pernah memukul anak-anak di bahagian muka jika mereka melakukan kesalahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, Nur Natasha meminta kebenaran daripada guru berkenaan untuk keluar sebaik tamat sesi kelas kerana terikat dengan jadual ko-kurikulum pada sebelah petang.

Namun, tindakan itu tidak disenangi guru berkenaan sebelum menampar murid tahun lima itu di hadapan rakan sekelas lain.

Omar berkata, selepas kejadian, dia cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak sekolah menyebabkan guru berkenaan tampil dan memohon maaf.

Bagaimanapun katanya, sebagai seorang bapa, dia kesal dengan kejadian itu dan menanggap tidak seharusnya berlaku, hanya disebabkan masalah kecil.

“Pada hari kejadian memang saya ada di sekolah untuk menghantar makanan, tetapi agak terkejut apabila anak saya datang dalam keadaan menangis dengan kesan merah di pipi.

“Saya kalau boleh nak selesai cara baik dan cuma minta pihak sekolah atau guru terbabit keluarkan satu surat mohon maaf atas tindakan tersebut,” katanya.

MALANG WARTAWAN BARU



KERETA Perodua Viva milik Nur Hanani Azman yang hilang empat tayar dan rim selepas diletakkan di bawah jejambat Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 5 Februari lalu.
SEORANG wartawan Utusan Malaysia yang baru berkhidmat tidak sampai sebulan dirundung malang apabila keempat-empat tayar dan rim keretanya dicuri ketika diletakkan di bawah jejambat Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Kejadian berlaku berhampiran Stesen LRT Chan Sow Lin disedari kira-kira pukul 5.30 petang ketika mangsa, Nur Hanani Azman, 21, baru pulang dari menghadiri tugasan di Petaling Jaya.
Nur Hanani yang bertugas di Meja Am berkata, dia yang menggunakan kereta Perodua Viva tidak menyangka lokasi yang digunakan orang ramai untuk meletakkan kenderaan itu menjadi pilihan penjenayah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130211/je_04/MALANG-WARTAWAN-BARU#ixzz2KZtSWs56
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis nafi tidak profesional



SHAH ALAM - Polis menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan pasukan keselamatan itu tidak profesional ketika menyiasat kes seorang wanita berusia 22 tahun yang maut terkena tembakan polis di Taman Sejati, Klang, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis bertindak berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) dan berpegang kepada fakta ketika menjalankan siasatan.

“Kita tidak memandang ringan terhadap kes jenayah yang dilaporkan terutamanya membabitkan jenayah berat.

“Kes itu masih dalam siasatan dan saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu mempertikaikan siasatan yang dibuat kerana anggota polis yang terlibat dalam kejadian tersebut turut disiasat.

“Kita sudah rujuk kes ini kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Jika diarahkan untuk membuat inkues, kita akan memohon di mahkamah,” katanya.

Dalam kejadian pada 18 Januari lalu, wanita itu yang menaiki sebuah kereta curi bersama seorang lelaki.

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut selepas terkena tembakan dilepaskan seorang anggota polis ke arah lelaki yang memandu kereta itu.

Polis sahkan Shila Amzah ditemui di Kemaman



KUALA LUMPUR 10 Feb. - Polis mengesahkan penyanyi popular, Shila Amzah (gambar), 23, yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu telah ditemui semula di Kemaman, Terengganu selepas beberapa jam bapanya, ND Lala membuat laporan polis di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, polis mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu itu kelmarin.
Bagaimanapun, polis dimaklumkan oleh bapanya bahawa Shila ditemui semula dalam keadaan selamat di Kemaman kira-kira pukul 4 petang semalam.
"Berita mengenai penemuan Shila Amzah itu dimaklumkan sendiri oleh ND Lala kepada pihak kami pada pukul 4 petang semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
ND Lala dilaporkan membuat laporan polis berhubung kehilangan Shila selepas pemenang Asian Wave 2012 itu tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu.
Pada Rabu lalu, penyanyi tersebut mengemas kini status di laman mikro Twitter miliknya yang memberitahu, dia berada di satu lokasi rahsia untuk mencari ketenangan.
Difahamkan, Shila menghubungi bapanya bagi memaklumkan lokasinya itu selepas laporan mengenai kehilangannya tersebar.
Sementara itu, di PULAU PINANG, penganjur Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini mengesahkan Shila Amzah akan muncul mengadakan persembahan dalam majlis itu seperti yang dijanjikan, esok.
Pengerusi penganjur, Oh Tong Keong berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak pengurusan penyanyi tersebut hari ini bagi mendapatkan pengesahan sama ada Shila akan membuat persembahan atau sebaliknya.
"Kami telah berhubung tengah hari tadi dan segalanya berjalan lancar seperti dirancang.
"Shila dijangka menyampaikan enam buah lagu di hadapan hampir 80,000 tetamu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor," katanya di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130211/dn_18/Polis-sahkan-Shila-Amzah-ditemui-di-Kemaman#ixzz2KZtedMLQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi 18 bulan jadi mangsa lotong



Bayi 18 bulan jadi mangsa lotong
Nor Zuridah mendukung anaknya yang sedang mendapatkan rawatan di HTJS.
SEREMBAN – Seorang kanak-kanak berusia setahun enam bulan terpaksa dimasukkan ke wad setelah cedera digigit seekor lotong jantan di rumahnya di Taman Bukit Kristal, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Mohamad Hafizul Abdullah sedang nyenyak tidur sebelum diserang haiwan berkenaan yang dipercayai masuk melalui tingkap di bilik rumahnya.

Ibu mangsa, Nor Zuridah Abdullah, 19, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya berada di kebun tidak jauh dari rumahnya untuk bercucuk tanam.

“Sebelum saya pergi ke kebun, Hafizul sedang tidur di bilik dan saya meminta ibu saudara saya menjaganya.

“Tapi sebaik sahaja pulang ke rumah, saya terdengar tangisan Hafizul yang lain dari biasa menyebabkan saya fikir sesuatu telah berlaku,” katanya.

Nor Zuridah berkata, ibu saudaranya memberitahu Hafizul diserang seekor lotong jantan yang dipercayai masuk melalui tingkap bilik.

Menurutnya, dia hampir pitam sebaik sahaja melihat badan dan kaki anaknya berlumuran darah digigit lotong berkenaan.

“Ibu saudara saya tidak sedar lotong itu masuk ke rumah kerana dia sedang masak di dapur manakala ahli keluarga lain sedang berehat di ruang tamu.

“Tapi, tiba-tiba mereka terkejut terdengar tangisan Hafizul dan sempat melihat seekor lotong keluar dari arah tingkap bilik,” katanya.

Nor Zuridah berkata, dia dan suami kemudian bergegas membawa anaknya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

Sementara itu katanya, kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan berkenaan, namun penduduk sudah sering diganggu haiwan liar berkenaan.

Nor Zuridah berkata, dia pernah dikejar haiwan itu menyebabkan setiap kali mahu keluar rumah dia akan membawa lastik sebagai langkah keselamatan.

“Jadi saya berharap pihak berkenaan dapat melakukan tindakan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Peniaga mahu bumbung baru



MURNI MOKSEN
11 Februari 2013
Peniaga mahu bumbung baru
Keadaan bumbung dalam terminal bas dan teksi yang terdedah menjejaskan imej daerah ini di mata pengunjung.
MERSING – Peniaga di terminal bas dan teksi daerah ini memohon pihak berkaitan mengubahsuai bumbung dalam bangunan berkenaan kerana keadaan bumbung jaring sedia ada menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung berikutan terdapat bangkai burung yang tersangkut sekaligus mematikan selera mereka.

Peniaga, Azli Syeikh Abdullah, 30, berkata, sejak berniaga di lokasi berkenaan, dia terpaksa berdepan dengan keluhan pengunjung yang datang ke kedainya kerana kurang selesa dengan keadaan itu.

Menurutnya, senario ini mencemarkan imej Mersing yang terkenal dalam sektor pelancongan dan sering menerima kehadiran pelancong asing.

“Sejak berniaga di sini, tiada sebarang perubahan dilakukan dan saya berharap masalah ini dapat diatasi segera,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Bagi Samsudin Yaacob, 56, pula berkata, keadaan bumbung hanya dilengkapi jaring menyebabkan banyak bangkai burung tersangkut dan mencacatkan pemandangan pengunjung yang datang ke terminal berkenaan.

Menurutnya, sekali pandang ia kelihatan seperti tidak terurus sedangkan lokasi ini paling ramai dikunjungi orang setiap hari.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Zainal Eran berkata, pihaknya ada menerima aduan berkaitan dan akan memperuntukkan kos ubahsuai sebanyak RM150,000 di kawasan itu.

“Tahun ini fokus adalah kepada kebersihan dan keceriaan. Jadi, pihak kami telah memperuntukkan wang untuk mengubahsuai keadaan di terminal dengan memasang siling di dalam kawasan terminal.

“Ia akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dan akan disiapkan dengan segera demi keselesaan orang ramai yang datang ke sini,” katanya.

Kereta wartawan Utusan dipecah penjenayah



Ifqdar Abdul Rahman menunjukkan kaca cermin yang dipecahkan oleh pencuri ketika meletakkan kenderaannya di Stulang Laut, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 10 Feb. - Wartawan Utusan Malaysia, Ifqdar Abdul Rahman, 32, kerugian kira-kira RM300 selepas cermin tingkap bahagian belakang kereta miliknya dipecahkan di tempat letak kereta Kompleks Bebas Cukai The Zone di sini malam tadi.
Bagaimanapun, setelah membuat pemeriksaan, Ifqdar yang bertugas di Utusan Malaysia Biro Johor mendapati beg baju yang diletakkan di tempat duduk belakang hanya diselongkar dan tiada kehilangan yang dilaporkan dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu.
"Saya letak kereta di situ lebih kurang pukul 8.30 malam dan terus membawa isteri bersama beberapa ahli keluarga lain menikmati makan malam di restoran berhampiran kompleks berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130211/je_03/Kereta-wartawan-Utusan-dipecah-penjenayah#ixzz2KZtLu69O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

103 pesalah trafik ditahan



Abdul Rahman Emang Anyie (kiri) memeriksa identiti seorang pemuda dalam operasi khas motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU 10 Feb. - Dua remaja perempuan yang menunggang motosikal sejauh 45 kilometer tanpa lesen adalah antara 103 pesalah trafik yang ditahan dalam operasi khas motosikal sempena Tahun Baharu Cina di sini semalam.
Remaja berusia 16 dan 19 tahun berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu itu ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Sultan Muhamad dekat sini.
Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, dua remaja berkenaan ditahan dalam operasi selama empat jam bermula pukul 8 malam yang disertai 87 pegawai dan anggota JPJ, polis serta AADK.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130211/je_01/103-pesalah-trafik-ditahan#ixzz2KZt958Hn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua penjenayah maut



ANGGOTA polis mengangkat mayat salah seorang suspek yang maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika melarikan diri dari polis selepas melakukan rompakan di Port Dickson, Seremban, semalam. - mingguan/ABD. RAZAK AID
SEREMBAN 9 Feb. - Dua penjenayah lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dalam kemalangan di susur masuk ke Mambau dari arah Port Dickson, di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 12.45 tengah hari ketika kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri apabila dikejar sepasukan polis selepas menyamun sebuah kedai kek di Batu 6 Telok Kemang, Port Dickson dekat sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun membabitkan dua suspek berusia 21 dan 27 tahun itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
"Sebaik sahaja menerima laporan itu anggota peronda polis mengesan dua motosikal yang ditunggangi suspek di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Mambau.
"Ketika pasukan peronda menghampiri kedua-dua lelaki ini, mereka melarikan diri dan polis terpaksa mengejar dua motosikal ditunggangi mereka," katanya di sini hari ini.
Menurut Abd. Wahab, sebaik sahaja tiba di selekoh berhampiran susur masuk Mambau, kedua-dua mereka dikatakan gagal mengawal motosikal sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan.
"Seorang daripada suspek meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala rakannya mati ketika dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan dua unit telefon bimbit jenis iPhone 4 dan Samsung S2 serta dua bilah parang yang digunakan ketika melakukan samun.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan ketika merompak dan Seksyen 395 kanun yang sama iaitu rompakan berkumpulan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130210/je_01/Dua-penjenayah-maut#ixzz2KZtHEhUz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ribut salji, 700,000 kediaman terputus elektrik

Ribut salji, 700,000 kediaman terputus elektrikKenderaan terkandas akibat ribut salji di Boston.
BOSTON - Ribut salji diiringi angin taufan melanda timur laut Amerika Syarikat  menyebabkan sembilan maut dan kira-kira 700,000 kediaman dan pejabat perniagaan terputus elektrik sekali gus menjejaskan operasi penerbangan.

Jurucakap Perkhidmatan Kajicuaca Kebangsaan berkata, salji lebih tiga kali ganda di timur laut berlaku akibat taufan bertiup dari Great Lakes ke Atlantik.

“Ribut salji berlaku di kawasan pantai dan amaran banjir dikeluarkan tetapi Massachusetts dan Connecticut menarik balik amaran terhadap perjalanan darat kerana ribut mula beralih ke timur,” katanya.

Datuk Bandar Stratford, Connecticut, John Harkins berkata, ribul salji ini adalah paling buruk kerana ianya mencecah enam inci.

Ribut salji itu berpusat di Connecticut, Rhode Island dan Massachusetts manakala salji paling tebal iaitu 38 inci menimpa kawasan Milford, Connecticut.

Sementara itu jurucakap Flight Aware berkata, kira-kira 2,200 jadual penerbangan dibatalkan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Logan, Boston dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bradley di Windsor Locks, Connecticut terpaksa ditutup. - Reuters

Banduan sorok telefon bimbit dalam dubur



11 Februari 2013
KOTTE - Taktik seorang banduan di Sri Lanka untuk menyembunyikan telefon bimbit di dalam duburnya gagal selepas alat mudah alih itu berdering secara tiba-tiba hingga disedari pengawal penjara Welikada.

Susulan daripada insiden tersebut, tahanan berumur 58 tahun yang sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan mencuri itu terpaksa dibawa ke hospital di Colombo.

Sebelum ini, media melaporkan isu banduan memiliki telefon bimbit telah menjadi masalah utama walaupun alat komunikasi tersebut dilarang di bawah peraturan penjara.

November lalu, rusuhan ganas tercetus di pusat tahanan di negara tersebut selepas pegawai dari Pasukan Petugas Khas menggeledah sel untuk mencari telefon bimbit dan dadah yang berjaya diseludup masuk ke penjara. - MailOnline

5 maut ketika latihan keselamatan kapal



5 maut ketika latihan keselamatan kapal
Sebuah helikopter penyelamat tiba di tempat tragedi yang mengakibatkan kematian lima anak kapal di Kepulauan Canary. - Foto ihsan CNN
MADRID - Lima anak kapal Thomson Cruises terbunuh manakala tiga yang lain cedera di Kepulauan Canary ekoran kesilapan semasa latihan keselamatan, semalam.

Kejadian itu berlaku sebelum tengah hari semalam ketika kapal Thomson Majest berlabuh di La Palma, antara Kepulauan Canary paling kecil di Sepanyol.

Memetik pihak berkuasa Pengawal Sivil, media tempatan berkata, insiden itu berlaku apabila sebuah bot penyelamat yang membawa mangsa terjatuh dari kapal pelayaran semasa latihan keselamatan.

“Kami bekerja rapat dengan pemilik kapal dan pengurus, Louis Cruises, untuk menentukan apa yang telah berlaku dan memberi bantuan kepada mangsa kejadian.

"Kami juga bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa dan akan beri kerjasama sepenuhnya dalam siasatan mereka, " katanya dipetik CNN.

Lelaki maut rempuh pokok



KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut manakala rakannya parah setelah kereta jenis Nissan Fairlady yang dinaiki terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Ipoh berhampiran perhentian bas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berumur lingkungan 30-an, tersepit dan maut di tempat kejadian.Rakannya pula cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dari arah Kuala Lumpur menuju ke Sentul.

Katanya, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

"Akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa terpelanting sebelum terbalik.Kereta mangsa remuk teruk dan bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala rakannya dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Penjenayah tidak sempat menyamun



SHAH ALAM – Seorang penjenayah tidak sempat melakukan samun menggunakan senjata api selepas dia ditahan polis di hadapan sebuah hotel di Bayu Tinggi, Klang, Jumaat lalu.

Suspek berusia 35 tahun ketika itu sedang duduk di dalam kereta jenis Perodua Myvi, kira-kira jam 7.30 malam dengan pintu terbuka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, polis yang sedang meronda di kawasan tersebut menghampiri suspek yang dilihat mencurigakan.

“Kita temui sepucuk pistol tiruan jenis automatik bersama satu kelopak peluru di dalam beg sandangnya.

“Suspek dipercayai merancang untuk melakukan samun dan pemerasan dengan menggunakan senjata tersebut,” katanya, semalam.

Beliau berkata, ketika itu suspek memakai topi berwarna biru dan sarung tangan berwarna hitam.

“Kita sedang siasat latar belakang suspek. Lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada suspek terlibat dalam kegiatan jenayah lain.

Mohamad berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Imej puting beliung landa Hattiesburg di AS




GAMBAR yang dirakamkan Holliman menunjukkan angin puting beliung di Hattiesburg pada Ahad lalu.


HATTIESBURG, Mississippi - Gambar angin puting beliung di sini berjaya dirakamkan oleh jurugambar Jordan Holliman pada Ahad lalu.
Beberapa pegawai kecemasan berkata, puting beliung itu menyebabkan sejumlah bangunan mengalami kerosakan.
Kampus Universiti Southern Mississippi turut mengalami kerosakan.
Satu rakaman video yang menunjukkan pergerakan puting beliung itu juga berjaya dirakamkan oleh Rynal Grant.
Sebanyak tiga orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2KdzGPbBR 
Hakcipta terpelihara 

17 maut bas terhumban dalam sungai di Dhaka



DHAKA: Sebuah bas yang membawa pelancong ke pusat peranginan Cox Bazaar di sini terjunam ke dalam sungai yang kering kontang, membunuh sekurang-kurangnya 17 penumpang dan mencederakan 26 yang lain.

Bas itu terbabas ke dasar sungai Matamuhuri selepas pemandu hilang kawalan lalu merempuh pagar jambatan.
"Setakat ini seramai 17 orang disahkan mati. Enam belas meninggal dunia di tempat kejadian dan satu lagi dalam perjalanan ke hospital, " kata ketua polis Cox Bazaar, Azad Miah.

Beliau berkata, pelancong kebanyakannya dari daerah Gazipur, Bangladesh dan sedang menuju ke Bazar Cox selepas menghadiri perayaan di Fatikchhari di sini. - AFP

‘Panik pemandu kereta api brek mengejut’



Bukit Mertajam: “Kira-kira 15 minit selepas kereta api bertolak, saya terkejut apabila pemandu tiba-tiba membrek secara mengejut. Selepas itu, kami semua diarahkan keluar sebelum saya melihat asap di bahagian kepala kereta api ini,” kata Maznah Abu Bakar, 55, salah seorang penumpang Keretapi Ekspres Sinaran Utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menceritakan mengenai kebakaran itu.

Dalam kejadian jam 2.35 petang, bahagian kepala kereta api yang membawa 183 penumpang itu terbakar menyebabkan beberapa gerabaknya tergelincir di Kilometer 13.5.


Bagaimanapun, semua penumpang terselamat. Kejadian berlaku di Taman Keen Way, dekat sini selepas kereta api penumpang itu yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur (KL) bertolak dari stesen Butterworth kira-kira 15 minit.

“Saya memang kerap menaiki kereta api ke rumah anak di KL dan kejadian ini pertama kali berlaku. Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan begitu juga anak lelaki yang menemani saya,” katanya.


Pegawai Operasi Balai Bomba Bukit Mertajam, Rejab Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.35 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan enam anggota.


Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 3.35 petang.

Rumah terbakar ketika makan malam



Ledang: Kegembiraan enam sekeluarga berkumpul untuk meraikan Tahun Baru Cina bertukar suram, apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Sialang Tangkak di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang dan tidak boleh meraikan Tahun Baru Cina, hari ini.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yau, 27, berkata, ketika kejadian dia bersama lima keluarga yang lain menikmati makan malam di ruang tamu rumah berkenaan.

Katanya, ketika asyik menikmati makanan mereka dikejutkan dengan bunyi letupan kecil disusuli bau hangit dari bahagian belakang rumah.


“Saya berasa tidak sedap hati dan mahu memeriksa bahagian dapur, namun terkejut melihat api menjulang membakar rumah.


“Dalam keadaan panik, saya sempat menjerit mengarahkan keluarga keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, jiran yang menyedari kejadian menghubungi bomba bagi memadam kebakaran dan mengelak api merebak ke rumah lain. “Sambutan Tahun Baru Cina kali ini tidak bermakna kerana kegembiraan menyambutnya lenyap bersama kejadian itu.


“Untuk sementara, kami sekeluarga akan menumpang rumah keluarga terdekat di kawasan berhampiran,” katanya.



Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Malley Abd Salim berkata, sebaik menerima laporan kejadian satu jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

Putus cinta, bakar kereta



Shah Alam: Gara-gara berang hubungannya putus di tengah jalan, seorang wanita sanggup membakar kereta milik bekas kekasihnya dalam kejadian di Klang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek berusia 30-an bersama rakannya yang juga berusia 30-an pergi ke rumah bekas kekasihnya itu sebelum menyimbah petrol pada keseluruhan kereta dan membakarnya.

Menurut sumber, sebaik kereta berkenaan dibakar, suspek tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian bimbang tindakan gilanya itu diketahui bekas kekasihnya dan orang ramai yang tinggal berhampiran.

Sumber berkata, keseronokan suspek yang berjaya membalas dendam bagaimanapun tidak kekal apabila tindakannya disedari anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.


“Terkejut dengan kehadiran polis, suspek segera masuk ke dalam kereta sebelum memecut ke arah jalan utama untuk melarikan diri.






Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Pasangan kekasih pencuri kabel dicekup



Kulim: Tindakan sepasang kekasih merempuh sekatan jalan raya yang dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Bharu pada 31 Disember lalu membongkar kegiatan sebenar pasangan itu.

Pasangan itu disyaki terbabit mencuri kabel dan pecah rumah di sekitar Kulim, Pulau Pinang dan Perak selepas siasatan dilakukan terhadap kedua-dua mereka.


Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, pasangan yang berusia 24 dan 28 tahun memandu sebuah kereta sebelum ditahan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Batu Hampar, Kampung Air Puteh, Serdang selepas melarikan diri daripada sekatan polis.

Ketua Jabatan Siasat Jenayah Kedah, Assisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, pasangan itu berjaya ditahan dan hasil daripada soal siasat berjaya membongkar kegiatan jenayah mereka selepas sepasukan polis melakukan serbuan terhadap sebuah premis di Sungai Ular, dekat sini.


"Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan enam orang termasuk seorang wanita berusia 22 hingga 71 tahun di premis berkenaan yang menjalankan perniagaan mengutip besi buruk.


"Pemeriksaan lanjut terhadap premis itu menemui kira-kira 100 kilogram kabel tembaga milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM)," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata, serbuan itu turut menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah termasuk kad pengenalan milik orang lain. Katanya, premis menjual besi buruk itu hanya digunakan untuk melindungi kegiatan sebenar mereka.

Serangan guna teksi


pix_topright
Papar: Hasrat pasangan suami isteri pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina berakhir dengan tragedi apabila si suami maut manakala isterinya parah selepas ditikam sekumpulan lelaki di tepi pantai berhampiran perkuburan Islam di Jalan Sekayan, Kampung Pengalat Besar dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa Nani Mansi, 31, maut di tempat kejadian selepas ditikam bertubi-tubi dengan kesan kira-kira 10 tikaman.


Isterinya, Noraminah Bahari, 25, parah selepas menerima lebih tujuh tikaman di bahagian pinggang, namun sempat menyelamatkan diri dengan berlari sejauh kira-kira 1.5 kilometer sebelum diselamatkan penduduk kampung berhampiran dan menghubungi polis.

Noraminah kemudian dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil dan kedua-dua mangsa adalah warga Filipina.


Menurut sumber, sebelum kejadian kira-kira 8 malam, mangsa bersama isterinya menunggu teksi di Kompleks Sinsuran untuk ke perhentian bas di Terminal Wawasan Plaza bagi menaiki bas pulang ke kampung di Semporna untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina.


“Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan di Kota Kinabalu menyewa sebuah bilik di Kompleks Sinsuran dan menaiki teksi untuk pulang ke kampung.

“Selepas menaiki sebuah teksi yang turut ditumpangi seorang lelaki, mereka meminta untuk dihantar ke perhentian Terminal Wawasan Plaza di sini,” katanya di sini, semalam.


Sumber berkata, ketika dalam perjalanan, mangsa curiga apabila pemandu teksi itu tidak berhenti di terminal, sebaliknya menuju ke arah Papar dan dalam masa yang sama sebuah kereta mengekori mereka.



“Selepas itu, berlaku pertengkaran dan sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku pergelutan sebelum pemandu dan tiga rakannya menikam mangsa menggunakan benda tajam. Semua suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Rakman berkata, sebaik menerima panggilan penduduk kampung, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota polis menemui seorang wanita dalam keadaan parah lalu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Isteri mangsa memaklumkan suaminya turut ditikam di kawasan semak dekat pantai di Kampung Pengalat Besar,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, semalam.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman di badan.


“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan rompakan dan motif sebenar kejadian dipercayai akibat dendam dan cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.


“Beberapa barang berharga milik kedua-dua mangsa tidak hilang, namun hanya beg tangan mangsa tertinggal di dalam teksi dibawa lari oleh suspek berkenaan,” katanya.


George berkata, isteri mangsa yang parah kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan dalam keadaan stabil.


“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun polis sedang giat memburu semua suspek yang terbabit.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Papar di talian 088-912222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.