Search This Blog

Friday, February 8, 2013

UPP rampas mercun bernilai setengah juta


UPP rampas mercun bernilai setengah juta
Sarjan Mohd Nordin Abu Seman (kanan) bersama Koperal Razak Darus menunjukkan 150 kotak mercun dan bunga api yang dirampas, kelmarin.
PENGKALAN HULU - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Negeri berjaya merampas 150 kotak mengandungi pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM500,000 di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hospital Gerik di sini, kelmarin.

Komander UPP Negeri, Asisten Superintendan Kasturi Othman memaklumkan, rampasan dilakukan pada jam 8.30 pagi, hasil risikan selama dua jam oleh UPP Pengkalan Hulu bersama UPP Pengkalan Kubur, Kelantan yang berjaya menemui lori ditinggalkan suspek.

Kasturi berkata, mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai diseludupkan dari Thailand melalui pintu masuk ke Kelantan.

“Pasukan UPP telah ternampak sebuah lori lima tan jenis Hicom ditutup rapi dengan kain kanvas berada di tepi jalan seolah-olah ditinggalkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori terbabit mengandungi kotak-kotak berisi pelbagai jenis mercun dan dibawa balik ke pejabat UPP untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, antara mercun dan bunga api yang dirampas adalah mercun papan, mercun bulat bernilai RM500 sekotak dan bunga api bernilai RM1,000 sekotak.

“Pihak UPP akan membuat serahan barang kes kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa, kawalan di pintu masuk dan laluan Bukit Berapit akan diketatkan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan aduan dengan menghubungi UPP Negeri di talian 04-4778663.

Yazid didakwa galak keganasan, ugut orang awam di Syria



[DIKEMAS KINI] AMPANG - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi yang bertujuan mengugut orang awam di Syria, tahun lepas.
Yazid, yang merupakan pengusaha kantin di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, Kuala Lumpur didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2 Lembah Jaya, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.
Sementara itu, rakannya Halimah Hussein, 52, seorang suri rumah didakwa bersubahat dengan Yazid bagi melakukan kesalahan sama pada tempat dan waktu yang sama.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30
tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham di hadapan Majistret Zulyana Zulkapli selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, laporBernama.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.
Yazid pernah ditahan di bawah ISA selama tujuh tahun sejak Disember 2001 kerana disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan militan Jemaah Islamiyah.
Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan kerana dilihat mirip ISA yang dimansuhkan tahun lepas.
Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penahanan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjadi mangsa pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) semalam.

"Tiga individu yang ditahan tidak dimaklumkan secara jelas mengenai sebab mereka ditahan.

"Mereka juga ditahan tanpa waran atau sebarang notis daripada pihak polis, yang kemudiannya digeledah kediamannya untuk mencari bukti bahan bukti yang berkaitan pertuduhan," katanya pada sidang media pagi tadi.

Beliau berkata, cara penahanan sebegitu rupa adalah sama dengan cara yang diamalkan polis semasa melakukan tangkapan di bawah ISA.

"Lebih parah apabila mereka yang ditahan tidak dibenarkan bertemu peguam mahupun ahli keluarga sehingga 48 jam daripada waktu mereka ditahan. Keadaan ini berbeza dengan ISA yang masih memberi hak tahanan untuk mendapat konsultasi guaman sebaik sahaja ditahan," katanya.

Menurut Syed Ibrahim, daripada cara penahanan dibuat jelas menunjukkan tidak banyak bezanya antara akta baru yang menggantikan akta lama, bahkan Akta Kesalahan Keselamatan ini lebih banyak mencabuli hak asasi orang yang ditahan.

"Apakah ini yang dikatakan sebagai transformasi oleh Perdana Menteri? Transformasi daripada undang-undang zalim kepada undang-undang yang juga zalim.

ISA memenjarakan individu yang tidak pernah dibuktikan bersalah selama dua tahun, manakala Akta Keselamatan Keselamatan pula menahan individu tanpa melalui proses mahkamah selama 28 hari yang kemudiannya.

Hukuman penjara, sebat buruh rogol adik ipar bawah umur kekal




8 Februari 2013
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan terhadap seorang buruh yang merogol adik ipar bawah umur di ladang getah pada 2008.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 34 tahun itu terhadap sabitan, hukuman penjara dan sebatan.

Tan berkata, selepas meneliti keterangan mangsa, mahkamah yakin terdapat bukti jelas berlaku penembusan.

Beliau berkata, mahkamah tidak ditunjukkan sebarang alasan mengapa ia harus mengubah keputusan Mahkamah Sesyen justeru mahkamah tidak dapat mencari sebarang sebab untuk mengganggu keputusan itu.

Ketika menolak rayuan lelaki itu terhadap hukumannya, Tan berkata hukuman penjara dan sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen tidak keterlaluan.

"Kami tidak boleh mengambil peranan mahkamah yang menjatuhkan hukuman.

Selagi hukuman itu tidak keterlaluan, ia bukanlah fungsi Mahkamah Rayuan untuk mengganggu hukuman yang diputuskan mahkamah rendah," kata Tan yang mengetuai panel itu bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai.

Pada 27 Januari 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani mendapati tertuduh bersalah merogol mangsa, yang ketika itu berusia 15 tahun satu bulan, di ladang getah di daerah Kuala Muda, Kedah antara 1.30 tengah hari dan 4 petang pada 7 November 2008.

Mahkamah Sesyen mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 November 2008.

Pada 3 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman.  

Berdasarkan fakta kes mangsa membonceng motosikal yang ditunggang tertuduh selepas gadis itu diminta mengikutnya ke pusat membeli-belah tetapi sebaliknya tertuduh membawa mangsa ke ladang getah sebaik hujan mulai turun.

Peguam K.T.Jayaraj yang dilantik Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan cawangan Kedah mewakili tertuduh, dalam hujahannya mempertikaikan sama ada berlaku hubungan seks kerana beliau berkata tiada bukti jelas menunjukkan ia berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya Munahyza Mustapha berkata mangsa yang memberi keterangan bahawa terdapat penembusan, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai. - Bernama

Bersubahat menipu: Penjual roti dipenjara 3 tahun, disebat dua kali




8 Februari 2013
PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan terhadap seorang penjual roti kerana bersubahat menipu sebuah syarikat pembinaan melibatkan sejumlah RM500,000 tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, dan memerintahkan V.Rajamorthy, 34, menjalani hukuman mulai hari ini.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata pihak bank mengesahkan terdapat transaksi wang masuk sebanyak RM500,000 ke akaun Rajamorthy, dan tertuduh telah mengeluarkan RM200,000.

Mengikut pertuduhan, Rajamorthy didakwa bersubahat dengan anak saudaranya, N.Tamil Arasi, 20, yang bertugas sebagai pembantu akaun di syarikat itu, mengeluarkan wang tersebut di Hong Leong Bank Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh
pada 3.30 petang, 8 Mei tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Tamil Arasi didapati bersalah menyediakan telegrafi transfer (TT) syarikat pembinaan tersebut yang berjumlah RM500,000 ke akaun Rajamorthy bagi tujuan pembayaran gaji pekerja asing, sehingga mendorong sebuah bank membuat pembayaran ke dalam akaun Rajamorthy.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman terhadap Tamil Arasi sementara menunggu laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Hakim Rozina kemudian membenarkan Tamil Arasi dijamin sebanyak RM20,000 dengan ibunya sebagai penjamin, dan disenarai hitam ke luar negara serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Hakim menetapkan 25 Feb depan untuk sebutan kes.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mathavan Manikam.- Bernama

Perompak pecah masuk rumah bekas timbalan OCPD ditembak mati



TAIPING – Rompak tidak kena tempat!
Ini perkataan sesuai untuk menggambarkan cubaan empat lelaki yang memecah masuk rumah bekas timbalan ketua polis daerah Kota Setar, Abd Jalil Abd Wahab di sini awal pagi tadi.
Salah seorang daripada mereka ditembak mati oleh mangsa.
Dalam kejadian 3 pagi tadi itu, empat orang dipercayai warga Indonesia memecah masuk rumah Abd Jalil.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, sejurus berjaya memecah masuk, tiga suspek telah masuk ke bilik di tingkat atas yang didiami anak perempuan, menantu dan dua cucu mangsa.
“Suspek yang semuanya bertopeng kemudiannya membawa turun anak perempuan dan menantu mangsa, selain mengugut untuk mencederakan mereka.
"Selepas itu, suspek lain cuba membuka pintu bilik mangsa dan isteri. Bagaimanapun, mangsa yang terlebih dahulu melihat sebilah parang dihulurkan melalui tepi pintu yang berjaya dibuka suspek, telah melepaskan dua das tembakan ke arah suspek,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Kes luar tabii: Rayuan warga emas ditolak, hukuman penjara ditambah



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang warga emas berusia 62 tahun menjalani hukuman penjara berjumlah 20 tahun secara berasingan bagi kesalahan melakukan seks di luar tabii terhadap dua beradik berumur lima dan tujuh tahun, yang berada di bawah jagaan isterinya.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Radzi Ahmad terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Februari 2011.

Dalam penghakimannya, Nurchaya berkata keputusan itu berasaskan kepada sabitan yang dicapai Mahkamah Sesyen, yang tidak sama sekali terkhilaf di sisi undang-undang.

"Setelah mengambil kira fakta, kepentingan awam dan jenis kesalahan, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua. Kedua-dua kesalahan itu hendaklah berjalan secara berasingan," katanya.

Mohd Radzi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa tanpa kerelaan mereka di sebuah rumah di Kampung Nakhoda Kanan, Batu Caves, Gombak antara 6.30 pagi dan 6.30 petang, antara 14 April 2008 hingga 26 Mei 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, Mohd Radzi merupakan suami pengasuh kanak-kanak malang itu.

Pemeriksaan doktor pada 27 Mei 2008 mendapati ada kesan koyakan lama pada selaput dara kedua-dua mangsa dan tertuduh kemudian ditahan sehari kemudian.

Hakim Mahkamah Sesyen Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama yang dilakukan ke atas mangsa berumur tujuh tahun, dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua yang membabitkan kanak-kanak berusia lima
tahun.

Bagaimanapun, Hasbi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

Mohd Radzi diwakili peguam P.Sutheswary manakala Timbalan Pendakwa Raya Fazilah Begum Abdul Ghani hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama

Polis: Pemandu kereta dibunuh, dibuang ke laut


SHAH ALAM - Polis mengesahkan pemandu kereta yang musnah terbakar di Alam Impian, Seksyen 35 baru-baru ini, dibunuh dan mungkin mayatnya dipotong sebelum dibuang ke dalam laut berhampiran Pulau Indah, Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan berkata, pengesahan itu dibuat selepas lima lelaki, berusia 18 hingga 35 tahun, ditahan di Taman Sentosa dan Taman Sentosa Perdana, Klang dalam operasi khas yang berakhir, hari ini.

Katanya, polis turut menemui kesan darah di tapak pembinaan di Jalan Laksamana, Taman Sentosa yang dipercayai lokasi mangsa dibunuh.

Beliau berkata, polis juga merampas beberapa dokumen, telefon bimbit dan pakaian mangsa yang disimpan oleh suspek.

"Kita dapat maklumat bahawa mayat mangsa, berumur 36 tahun, dibuang dari atas jambatan berhampiran Pulau Indah. Gerakan mencari mayatnya sedang dijalankan.

"Kita juga belum dapat memastikan apa yang berlaku terhadap mayat sama ada dipotong, dibakar atau sebahagian anggota badan dibuang ke laut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mohd Adnan berkata, suspek berusia 35 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dan samun.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketika ditanya berhubung penemuan sebahagian tulang dalam kereta Proton Waja berkenaan, beliau berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada ia milik mangsa atau binatang.

"Kita sudah mengambil sampel darah keluarga mangsa untuk dipadankan dengan DNA tulang tersebut. Setakat ini kita masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia," katanya.

Dalam kejadian pada 1 Februari itu, polis menemui rangka tanpa tengkorak di tempat duduk hadapan kereta berkenaan yang musnah terbakar.

Sebelum itu, polis menerima maklumat daripada orang awam yang mengatakan kereta tersebut terbakar, kira-kira jam 10.25 malam.

Pemeriksaan awal polis tidak menemui objek mencurigakan berikutan lokasi kejadian yang gelap.

Bagaimanapun, pegawai penyiasat yang sangsi dengan kejadian itu datang semula pada siang hari dan menemui rangka itu di bahagian pemandu.

Kereta milik abang ipar mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di Klang, pada 29 Januari lalu.

Zarina Anjoulie dan rakan didakwa positif dadah



8 Februari 2013
Zarina Anjoulie
Zarina Anjoulie. Gambar kanan : Zarina menutup wajahnya ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Rabu lalu.
PETALING JAYA - Pelakon dan model Zarina Anjoulie dan rakan lelakinya sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan positif dadah jenis Methamphetamine Disember tahun lalu.

Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 27, dan Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, yang sebelum ini didakwa memiliki dadah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Nazri Omran.

Kandungan dadah tersebut didakwa terkandung di dalam air kencing Zarina Anjoulie dan Mohamad Fakhruzaim dan mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Narkotik Damansara, dekat sini, antara 8 malam hingga 8.10 malam, 30 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM2,000 setiap seorang dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan kes.

Selain itu mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan, memiliki dua biji pil eramin 5 setiap satu seberat 0.38 gram, di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, di sini pada 5.30 petang, 30 Dis tahun lalu.

Mereka yang juga pelajar kolej swasta didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengekalkan jaminan asal mereka sebanyak RM2,000 seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya manakala Zarina diwakili peguam M. Raja. - Bernama

Raja pecah rumah diberkas



Raja pecah rumah diberkas
Abdul Rashid (kiri) menunjukkan barangan dan peralatan pecah rumah yang dirampas.
KAJANG - Polis menahan lima lelaki dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah Kajang dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Damai Perdana, 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, susulan penangkapan itu pihaknya menemui semula dua kenderaan mewah jenis Ssangyong Actyon Sport dan Suzuki Sx4 dan peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan  pecah rumah.

Menurutnya, berdasarkan rekod, dua kenderaan terbabit pernah dilaporkan hilang oleh pemiliknya di Bandar Kinrara dan Petaling Jaya.

“Kami turut merampas tiga komputer riba, beg tangan dan satu plastik mengandungi enam utas jam tangan pelbagai jenama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, semalam.

Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan rumah berpenghuni untuk dipecah masuk sebelum melarikan barangan dan kenderaan milik mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal ke semua lelaki itu mengaku terlibat dalam lima kes pecah rumah di sekitar Kajang sejak akhir tahun lalu dan pemeriksaan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes pecah rumah, dadah dan Akta Penapisan Filem.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun di Pekan Batu 11 berhampiran sebuah pasar raya, di sini, 29 Januari lalu.

“Kami temui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah di dalam kereta Proton Persona dinaiki dua lelaki itu,” katanya.

Abdul Rashid berkata, kedua-dua lelaki itu yang merupakan pekerja kilang dan buruh binaan turut  mengaku terlibat dalam empat kes pecah rumah dan pecah sekolah tadika sejak awal tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tukang urut sembunyi dalam lubang



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Februari 2013
Salah seorang tukang urut warga Thailand ditemui ketika bersembunyi di dalam lubang khas.
Salah seorang tukang urut warga Thailand ditemui ketika bersembunyi di dalam lubang khas.
SENAI - Suasana di sebuah pusat urut di Taman Nusa Bestari, Skudai, dekat sini, menjadi kelam kabut sebaik penghuninya menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen Negeri.

Tukang urut wanita yang terdiri daripada warga asing itu cuba menyembunyikan diri di lubang khas yang telah diubahsuai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun cubaan mereka gagal dan dalam serbuan Ops Kasih itu, anggota Imigresen berjaya menahan empat wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai tukang urut.

Serbuan pada jam 9.30 malam kelmarin dibuat hasil aduan orang awam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Sapian Kamarudin mengetuai operasi itu yang turut disertai 12 anggota lain.

Menurutnya, ketika serbuan pekerja warga asing itu sanggup bersembunyi dalam keadaan berhimpit di lubang tersebut.

“Hasil siasatan mendapati premis itu menawarkan khidmat urutan dengan bayaran serendah RM55 sejam.

“Sementara empat wanita warga Thailand yang ditahan berumur di antara 33 hingga 47 tahun dipercayai menjadi tukang urut di situ.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39b, Akta Imigresen 1963 iaitu salah menggunakan pas lawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Mereka yang ditahan dibawa ke depot tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut.

Rumah kosong berasap



Rumah kosong di Taman Sri Makmor yang terbakar.
Rumah kosong di Taman Sri Makmor yang terbakar.
Mohammad
Mohammad menunjukkan tempat kebakaran kecil di tingkat atas rumah kosong di Taman Makmor.
PONTIAN - Kira-kira 20 penduduk Taman Sri Makmor, Jalan Parit Ibrahim, dekat sini, panik apabila sebuah rumah kosong dua tingkat di kawasan kejiranan mereka mengeluarkan asap hitam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, penduduk bekerjasama memadam kebakaran dengan menyimbah air menggunakan baldi yang diangkut dari rumah masing-masing.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohammad Ismail, 46, berkata, dia ternampak asap tebal berwarna hitam keluar dari tingkap rumah terbiar terbabit sebelum dikejutkan dengan jeritan jirannya meminta pertolongan.

“Saya amat terkejut lihat asap keluar dari rumah kosong yang terletak selang sebuah saja dari rumah saya.

“Ketika itu saya baru sahaja sampai rumah selepas menjemput anak dari sekolah,” katanya.

Jelasnya, jirannya yang dikenali sebagai Gan sempat memberinya sebuah beg berisi dokumen penting termasuk geran rumah untuk disimpan kerana khuatir kebakaran akan merebak ke rumahnya.

“Saya terus ambil dokumen itu dan meletakkannya di tempat yang selamat, kemudian lari ke luar rumah dengan bawa baldi bagi memadam kebakaran di tingkat atas rumah.

“Jiran-jiran juga turut bantu padam kebakaran tersebut dengan bawa air di dalam baldi. Hujan yang turun ketika itu membantu penduduk memadam kebakaran tersebut dengan cepat,” katanya.

Ismail yang menetap di situ sejak empat tahun lalu berkata, rumah kosong itu sering menjadi sarang penagih dadah dan pencuri kabel elektrik meletakkan barang mereka.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba Jalan Alsagoff, Pontian, Ayob Kamisan berkata, sebaik saja menerima panggilan, dua jentera bomba bersama lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihaknya percaya kebakaran tersebut berpunca daripada wayar elektrik terbuang di tingkap atas rumah itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kebakaran kecil ini juga tidak menjejaskan mana-mana bahagian rumah yang dipercayai telah terbiar itu,” katanya.

Pesara maut nahas motor



Keadaan
Keadaan motosikal mangsa (kanan) yang terbabit dalam kemalangan, semalam.
Keadaan
Keadaan lori mangsa (kanan) yang terbabit dalam kemalangan, semalam.
LENGGENG - Seorang pesara polis maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di selekoh tajam Jalan Lenggeng - Beranang, berdekatan Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Razali Moez, 56, berasal dari Taman Klana Jaya, Lenggeng, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss GT128 seorang diri sedang dalam perjalanan dari Broga ke rumahnya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah berselisih dengan sebuah lori tiga tan tanpa muatan yang datang dari arah Lenggeng menuju ke Broga.

“Mangsa telah bergesel dengan lori terbabit, menyebabkan motor ditunggangi hilang kawalan lalu tercampak ke tengah jalan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan, manakala pemandu lori tidak cedera.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pemandu lori maut tersepit



Seorang petugas mengalihkan barangan milik mangsa selepas kemalangan terbabit.
Seorang petugas mengalihkan barangan milik mangsa selepas kemalangan terbabit.
TASEK GELUGOR - Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandunya terlibat kemalangan membabitkan kereta dan motosikal di Simpang 3, Tai Tong, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa, Ooi Hian Huat, 58, yang memandu lori berseorangan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Mangsa yang tersepit di tempat pemandu selepas bahagian hadapan lorinya remuk hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku semasa Hian Huat, dari arah Kampung Selamat, Pinang Tunggal gagal mengawal lorinya semasa melalui kawasan itu sebelum merempuh kereta dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

“Kesan rempuhan kuat tersebut menyebabkan kereta Toyota Vios dari arah Tasek Gelugor menghala ke Kampung Selamat itu berpusing lalu mengenai motosikal ditunggangi seorang lelaki.

“Hian Huat mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki selepas tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta cedera ringan dan penunggang motosikal patah sebelah kakinya dalam kejadian itu,” katanya.

Dua mangsa yang cedera itu dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya bersama mayat Hian Huat untuk proses bedah siasat.

Kejadian tersebut menyebabkan laluan terbabit mengalami kesesakan teruk, bagaimanapun tindakan pantas anggota trafik mengawal keadaan berjaya melancarkan kembali aliran trafik.

Abdul Rahman berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kanak-kanak 12 tahun dirogol selama 2 bulan



Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif
Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif
BATU GAJAH - Selepas dua bulan menyimpan rahsia menjadi mangsa nafsu serakah kerakusan seks bapa saudara sendiri, akhirnya kanak- kanak perempuan berusia 12 tahun membuka rahsia kepada ibunya.

Ketua Polis Daerah Baru Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, perbuatan keji suspek terbongkar apabila ibu mangsa yang kini dirawat di Hospital Batu Gajah (HBG) akibat barah usus menceritakan perkara tersebut kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, selepas mendengar cerita tersebut, Pegawai JKM terbabit bertindak membuat laporan di Balai Polis Tronoh mengenai kejadian itu.

“Kanak-kanak malang itu tinggal bersama ibunya dan lima adik-beradik lain serta suspek di Rumah Murah, Tronoh, di sini.

“Suspek berusia 52 tahun itu tinggal di rumah tersebut sejak tiga tahun lalu dan bekerja sebagai pengait kelapa sawit bagi menampung kehidupan mereka.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi, Januari lalu ketika mangsa mengadu sakit perut dan suspek tidak membenarkannya ke sekolah.

Menurutnya, suspek kemudiannya membeli makanan untuk mangsa, namun mangsa tiba-tiba pening serta tidak sedarkan diri selepas menjamahnya.

“Apabila mangsa sedar, dia melihat suspek sedang memakai seluar dalam, manakala bajunya terangkat sehingga ke dada dan seluarnya pula diturunkan sehingga paras lutut.

“Mangsa berasa sakit pada bahagian alat sulitnya dan menceritakan insiden tersebut kepada ibunya. Ibu mangsa tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah kakak sulung mangsa bertengkar dengan suspek berkaitan kejadian rogol itu semalam (kelmarin),” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa dirogol lebih kurang tiga kali sejak dua bulan lalu dan berikutan itu, percakapan saksi dirakam, manakala suspek ditahan pada jam 5 petang kelmarin di rumah sama.

“Suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta sebatan,” katanya.

Ibu sakit, adik rayu abang pulang



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Februari 2013
Saira Banu
Saira Banu menunjukkan laporan polis dibuatnya bersama gambar abangnya, Salim.
Salim
Salim
SEBERANG PERAI UTARA - Seorang adik merayu abangnya yang empat tahun menghilangkan diri supaya pulang kerana ibu mereka yang sakit amat merinduinya.

Saira Banu Mohamed Yusoff, 38, dari Blok B1, Jalan Pantai Bersih di sini merayu selepas semua usaha dijalankan selama ini gagal menemukan abangnya, Salim, 43.

“Keadaan kesihatan ibu kami, Sabar Bee Bee Md Kassim, 74, semakin teruk sekarang, tambahan lagi dia kini asyik menyebut nama abang dan menyuruh kami mencari jalan membawanya pulang.

“Kami sekeluarga turut hairan kerana tiada sebab dia menghilangkan diri begitu lama berikutan dia tidak pernah bergaduh atau bermasam muka dengan ahli keluarga selama ini,” katanya.

Saira Banu yang tinggal bersebelahan rumah emaknya di rumah pangsa berkenaan berkata, kali terakhir mereka sekeluarga berjumpa dengan abangnya itu adalah pada hari raya kedua 2009.

“Selepas keluar rumah dengan alasan mencari kerja di Singapura, hubungan kami terputus.

“Lebih menyedihkan apabila kematian abang sulung, Mohd Nasir pada 2010 diikuti bapa mereka, Mohamed Yusoff Mohd Seeni pada Ogos 2011 tanpa kehadirannya di sisi mereka.

“Kini emak sedang sakit dan amat merinduinya, kami bimbang dia tidak berkesempatan bertemu ibu pula nanti,” katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mengesan abangnya itu termasuk beberapa kali pergi mencari di Singapura , sebelum ini.

“Kami sekeluarga bertindak membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya dan dalam masa sama berharap pihak berkenaan membantu mengesannya.

“Saya merayu dia balik menjenguk emak dengan harapankepulangannya akan menceriakan kembali kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang mengetahui lokasi Salim berada atau pernah bertemu dengannya diminta menghubungi Saira Banu di talian 012-5766548, suaminya, Aziz Ishak (019-5572470) atau Jaman (012-4742462).

Bapa tiga anak bertaubat



Li tidak dapat menahan sebak apabila dapat berjumpa keluarga tersayang.
Li tidak dapat menahan sebak apabila dapat berjumpa keluarga tersayang.
KLUANG - “Kehidupan di penjara banyak mengajar saya erti kesabaran, selain memberi pengajaran berguna untuk saya menginsafi dan mengubah diri demi kehidupan selepas ini.”

Kesedaran itu membawa kepada luahan rasa kesal seorang lelaki iaitu bapa kepada tiga anak yang juga bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan lalu demi zuriatnya yang masih kecil.

Banduan yang dikenali sebagai Li, 27, juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya.

“Sebaik saya menjejakkan kaki masuk ke penjara tahun lalu segalanya berubah. Jelas terbayang wajah isteri dan tiga anak saya berusia lapan bulan hingga lapan tahun yang terpaksa meneruskan kehidupan di luar tanpa saya,” katanya.

Li merupakan antara 22 tahanan dan banduan di Penjara Simpang Renggam yang diberi kesempatan bertemu ahli keluarga selama satu jam menerusi program 1Jam 1Malaysia yang diadakan di sini, semalam.

Menceritakan kembali kisah hitam hidupnya itu, akuinya terpengaruh dengan rakan melakukan samun sehingga mengheret dirinya ke tirai besi.

“Disebabkan kesalahan itu, saya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dijangka keluar daripada penjara pada Mac tahun depan.

“Saya akui mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang menyebabkan saya mula terjerumus dengan kegiatan tidak bermoral ini.

“Pada ketika itu saya hanya mengikut ajakan rakan-rakan dan tidak berfikir panjang sehinggalah saya ditahan dan dijatuhkan hukuman,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sepanjang tempoh setahun berada di penjara memberinya pengajaran berguna terutamanya pendedahan didikan agama.

“Di dalam penjara juga saya banyak melakukan aktiviti kemahiran bagi menghilangkan kerinduan kepada isteri dan anak-anak.

“Setiap kali terbayang wajah anak-anak, saya hampir menitiskan air mata kerana terlalu menyesal dengan perbuatan yang saya lakukan ini sehingga menyebabkan mereka terpaksa membesar tanpa saya selama tiga tahun.

“Atas sebab mereka (anak) juga saya bertekad untuk berubah selepas keluar daripada penjara dan berhasrat untuk memulakan kehidupan baru serta tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.

Tekadnya, selepas dibebaskan kelak, dia mahu mencari pekerjaan bagi memastikan isteri dan anak-anaknya dapat meneruskan kehidupan seperti keluarga lain.

“Saya juga sangat menghargai pengorbanan isteri yang sanggup bekerja demi menyara anak-anak sekarang. “Saya sangat berterima kasih kepada pihak penjara kerana memberi kesempatan bertemu keluarga yang sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan saya,” katanya.

Bapa dipenjara, disebat rogol anak tiri 7 tahun



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Februari 2013
Tertuduh dibawa keluar sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya.
Tertuduh dibawa keluar sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya.
SUNGAI PETANI – Seorang bapa berusia 44 tahun dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Seksyen 3 Sungai Petani kerana mengaku bersalah merogol anak tirinya berusia tujuh tahun sembilan bulan dalam kejadian 21 Januari lalu.

Perbuatan dilakukan bapa kepada lima anak itu terjadi di dalam sebuah kedai bunga di Baling lebih kurang jam 6.30 petang hari kejadian.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh memandangkan perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang dan agama.

Sharifah Syazwani dalam hujahnya berkata, perbuatan tertuduh tidak berperikemanusiaan, selain mahu memberi pengajaran kepada masyarakat.

Tertuduh yang diwakili peguam, Siti Haslina Hasbullah memohon mahkamah memberikan hukuman minimum memandangkan pengakuan bersalah dibuat tertuduh menjimatkan masa mahkamah, selain percaya tertuduh sudah insaf atas perbuatannya.

Hakim Mohamad Khalid Ab Karim menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan 10 sebatan dari tarikh dia ditangkap.

Sebaik sahaja mahkamah menjatuhkan hukuman, tertuduh dilihat menghampiri isterinya untuk bersalaman dan meminta maaf atas kesalahan terbabit.

Geng ‘Wak Paksa’ tumpas



IZWAN ROZLIN
8 Februari 2013
Geng ‘Wak Paksa’ tumpas
Dua buah kereta yang bakal dileraikan komponennya.
Geng ‘Wak Paksa’ tumpas
Lima suspek ditahan di rumah sewa yang dijadikan bengkel oleh ketua kumpulan berkenaan.
PETALING JAYA – Bahagian badan kenderaan dijual sebagai besi buruk, manakala komponen enjin dijual sebagai alat ganti kepada pihak ketiga.

Modus operandi licik kumpulan ini yang hanya  beroperasi di belakang rumah di Kampung Melayu Subang  tidak bertahan lama apabila anggota kumpulan ini termasuk ketuanya seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai   ‘Wak Paksa’ diberkas oleh
Unit Curi Kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, operasi dilakukan berdasarkan risikan yang dilakukan sebelum ini.

Hasilnya,  polis menemui semula dua buah lori dan dua buah kereta yang dicuri sekitar Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Kepong manakala dua lelaki warga Indonesia dan dua warga tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an turut ditahan.

Difahamkan, salah sebuah dari lori yang ditemui sudah separuh dileraikan oleh kumpulan berkenaan.

“Kumpulan ini meleraikan lebih 10 buah kereta dan lori yang dicuri berdasarkan penemuan sisa komponen dan nombor plat kenderaan  di lokasi itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga percaya kumpulan tersebut bergiat aktif sejak setahun lalu.
“Rumah yang dijadikan tempat operasi meleraikan komponen ini disewa oleh ketua kumpulan geng berkenaan,” katanya.

Arjunaidi berkata,  warga asing yang ditahan juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, kesemua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 (A) atas kesalahan curi kenderaan.

Pesara guru kena samun



MOHD AZLIM ZAINURY
8 Februari 2013
Rahmah
Rahmah menunjukkan bagaimana seorang lelaki muncul dengan memegang objek tajam ketika dia hendak menutup pintu rumahnya yang disyaki dibuka seseorang.
MARANG - Seorang pesara guru wanita kerugian hampir RM10,000 selepas menjadi mangsa samun seorang lelaki bersenjatakan pisau di rumahnya di Taman Mega di Kampung Sungai Kerak di sini, malam kelmarin.

Ramlah Che Abdullah, 54, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki yang menutup sebahagian mukanya sambil memegang senjata tajam, muncul di muka pintu kira-kira jam 8.10 malam.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku dia perasan pintu dan jeriji rumahnya sedikit terbuka dan syak dibuka seseorang.

Untuk mendapatkan kepastian dia menuju ke arah pintu itu untuk memeriksa dan menutupnya.

“Namun suspek itu tiba-tiba muncul dan mengarahkan saya agar masuk semula ke dalam rumah dan jangan berbuat bising. Saya merasakan akan dirompak, jadi saya ikut sahaja arahannya kerana bimbang akan dicederakan.

“Dia kemudiannya meragut seutas rantai leher sebelum saya sendiri menyerahkan seutas lagi rantai leher dan gelang tangan.

Selepas mendapat barang kemas itu, dia mengambil pula sebuah telefon bimbit sebelum keluar,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu, bagaimanapun, tidak cedera, namun rasa gugup dengan kejadian tersebut.

Ramlah yang ditemui Sinar Harian di rumahnya malam kelmarin berkata, dia menghubungi suaminya, juga seorang guru, dan meminta pertolongan jiran terdekat selepas penjenayah tersebut menghilangkan diri.

Ketika insiden itu, suaminya sedang mengajar di kelas tambahan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan telah menahan beberapa individu untuk membantu siasatan.

Ahmad Mazlan mengingatkan orang ramai, terutamanya kaum wanita yang tinggal berseorangan di rumah, supaya berwaspada dan sentiasa memastikan pintu rumah dikunci bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berlaku.

Tak serik curi di pasar raya



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Februari 2013
mencuri
Tertuduh (kanan) digari bersama tertuduh lain ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Walaupun pernah dihukum mencuri di pasar raya sama sebelum ini, seorang buruh sekali lagi mengulangi perbuatan itu menyebabkan dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam buat kali kedua atas kesalahan sama.

Kali ini, Mohd Ruzailani Mat Yusoff,34, dihukum 24 bulan penjara selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor.

Tertuduh berasal dari Jalan Kuala Krai di sini didakwa mencuri dua pewangi badan di pasar raya Mydin di sini pada 4 Februari lalu.

Dalam kejadian pada 7.55 malam itu, tertuduh turut melarikan lima kemeja-T, dua helai seluar jean dan seutas jam tangan yang keseluruhannya bernilai RM199.

Dia berjaya ditangkap pengawal keselamatan ketika keluar dari pasar raya tanpa membuat bayaran.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh dengan mengambil kira rekod lampaunya.

“Saya mohon satu hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh berikutan hukuman pada kesalahan pertama lalu tidak menginsafkannya,” katanya.

Lecur kena air panas



Lecur kena air panas
Wan Rohaila memangku anaknya ketika mendapatkan rawatan di HRPZ II.
Lecur kena air panas
Keadaan belakang badan kanak-kanak itu yang melecur.
KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan, melecur di belakang badan dan kaki kiri selepas sebuah periuk mengandungi air panas yang diletakkan di kawasan dapur terbalik, dalam kejadian di Kampung Tendong, Pasir Mas, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu hanya disedari ibunya, Wan Rohaila Hassan, 39, ketika sedang bersiap-siap di rumahnya, menyediakan hidangan untuk jualan di gerai berhampiran Klinik Kesihatan Tendong.

Wan Rohaila berkata, pada kebiasaannya anaknya, Nur Aleeya Maisara Mohd Izba tidak pernah ke bahagian dapur, sepanjang lima tahun dia melakukan kerja-kerja memasak untuk jualan.

“Tidak saya sangka dengan sekelip mata, dia (Nur Aleeya) datang ke bahagian dapur dan mencapai periuk yang diletakkan di atas sebuah bangku berhampiran dapur gas.

“Saya langsung tak nampak kelibatnya, sehinggalah saya terdengar tangisannya sambil terguling di atas lantai dapur meraung kesakitan,” katanya.

Menurutnya melihatkan keadaan itu, dia terus merangkul tubuh anaknya sambil membawa kanak-kanak itu ke bilik air dan menyiram tubuh kecil itu, dengan air paip bagi mengurangkan kepanasan.

"Hanya tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu namun saya tabahkan hati dan terus dapatkan suami yang ketika itu makan di gerai berdekatan rumah untuk bawa anak ke klinik berhampiran.

“Mujurlah keadaan lecurnya tidak teruk dan menurut doktor dia hanya mengalami lecur di bahagian luar kulit luar dan dirujuk ke HRPZ II untuk rawatan susulan.” katanya.

Wan Rohaila berkata, dia masih trauma dengan kejadian terbabit, namun tetap bersyukur anaknya kini dalam keadaan stabil dan mengharapkan dia akan pulih seperti sedia kala.

Minta jel 9 tahun



Jakarta: Pendakwa memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara sembilan tahun dan denda Rp200 juta (RM 63,676) atau empat bulan penjara ke atas dua lelaki Malaysia yang dituduh menghalang siasatan satu kes rasuah, semalam.

Permohonan itu dibuat pasukan pendakwa Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia diketuai Guntur Ferry.


Kata Guntur, dua tertuduh - Mohamad Hasan Kushi dan R Azmi Muhamad Yusof - didapati melakukan kesalahan membantu seorang suspek melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa. “Kedua-dua mereka membantu Neneng Sri Wahyuni melarikan diri secara haram dan memesan tiket penerbangan untuk membolehkan suspek meninggalkan Batam menuju Jakarta,” katanya.

Nenang dikehendaki pihak berkuasa dalam siasatan kes rasuah membabitkan stesen jana kuasa solar Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia.


Selain isteri bekas Bendahari Parti Demokrat, Muhammad Nazaruddin, yang menguasai kerajaan Indonesia ketika ini, Neneng adalah Pengarah Kewangan PT Anugerah Nusantara yang dikaitkan dengan skandal berkenaan. Kata Guntur, Mohamad Hasan dan R Azmi berniat membantu Neneng mengelak ditahan pihak berkuasa Indonesia atau Interpol.


Selepas tiba di Jakarta, kata Guntur, kedua-dua lelaki warga Malaysia itu mencadangkan Neneng supaya tidak pulang ke rumah, sebaliknya bersembunyi di sebuah apartmen. “Berdasarkan tindakan itu, tertuduh mempunyai niat melakukan kesalahan itu dengan sengaja,” katanya.

Guntur berhujah, Mohamad Hasan dan R Azmi memberi imej buruk kepada pelaksanaan undang-undang Indonesia dan tidak menyokong usaha kerajaan membanteras rasuah. - kompas.com

Dalang ditahan




Putrajaya: Seorang lelaki warga Myanmar yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 dikesan menjadi dalang utama sebuah sindiket pemalsuan pelbagai dokumen perjalanan yang beroperasi di sebuah rumah kedai di Batu 11, Cheras, Selangor.

Lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan menghasilkan pelbagai jenis dokumen mengikut pakej tertentu kepada pelanggannya iaitu membekal pasport Malaysia dan asing pada harga RM150, kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) (RM50 sekeping), memproses visa palsu Malaysia dan negara asing (RM2,000 sekeping) selain lesen memandu serta kad pekerja (I-kad). Kegiatan lelaki itu terbongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Kasturi, Cheras yang menjadi lokasi pemprosesan dokumen palsu pada jam 11.30 pagi semalam.


Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Sakib Kusmi berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 88 pasport pelbagai negara, cop keselamatan palsu (28), I-kad (44), kad UNHCR separuh siap (401), kad kosong UNHCR (1,500), pelekat keselamatan palsu (5,000), komputer riba, mesin pengimbas, mesin pencetak kad, alat pengesan wang dan wang tunai berjumlah RM2,637.

“Siasatan awal mendapati suspek yang memegang kad UNHCR tulen pernah ditahan di bawah ISA selama dua tahun atas kesalahan sama dan turut ditahan seorang wanita berusia lingkungan 30 tahun dipercayai teman wanitanya,” katanya, semalam.

Semua tujuh bekas penjenayah




Kajang: Polis menumpaskan dua geng pecah rumah di daerah ini selepas menahan tujuh anggota kumpulan berkenaan masing-masing di sebuah rumah di Damai Perdana dan Pekan Batu 11, Khamis lalu.

Dalam tangkapan pertama dilakukan anggota Balai Polis Batu 9, Cheras, kira-kira jam 3.30 petang, dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun ditahan bersama peralatan pecah rumah dan pelbagai barang elektrik dipercayai hasil kegiatan berkenaan manakala dalam tangkapan kedua kira-kira jam 8 malam di sebuah rumah di Damai Perdana, lima lelaki berusia 20 hingga 40 tahun ditahan.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek mempunyai sekurang-kurangnya tiga rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes termasuk pecah rumah, dadah dan tipu.

“Dua lelaki daripada geng pertama itu mengaku sudah melakukan empat kes pecah rumah termasuk sebuah premis di daerah Kajang dan beberapa kes di daerah lain sejak awal tahun ini.


“Manakala geng kedua pula mengaku terbabit lima kes pecah rumah dan samun kenderaan di daerah ini sejak Disember tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.


Beliau berkata, modus operandi geng pecah rumah berkenaan ialah mensasarkan kediaman atau premis yang kosong ditinggal penghuni bagi memudahkan mereka masuk sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa termasuk kereta.

“Ada sebahagian rumah yang berpenghuni ketika suspek pecah masuk, namun tiada seorang penghuni rumah berkenaan menyedari kejadian itu,” katanya.


Beliau berkata, sempena cuti perayaan ini, orang ramai yang mahu pulang ke kampung dinasihatkan agar maklum ketiadaan mereka kepada balai polis berhampiran atau mengisi borang yang disediakan bagi mengelak menjadi mangsa jenayah.

Seludup M16 dalam bas




Pasir Mas: Polis bersama Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mematahkan cubaan menyeludup senjata api jenis M16 selepas menahan sebuah bas ekspres dalam sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam dekat Rantau Panjang di sini, malam kelmarin.

Turut ditemui dalam bas ekspres menghala ke Kuala Lumpur itu teleskop, 22 butir peluru, baju-T serta berus gigi dan semua barang berkenaan ditemui dalam sebuah beg yang disimpan di ruang simpanan bas berkenaan.


Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, bas berkenaan dipercayai berlepas dari stesen bas Rantau Panjang yang dinaiki enam penumpang menghala ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mereka menahan bas itu dalam sekatan yang dibuat sebelum melakukan pemeriksaan.


Katanya, susulan penemuan senjata berkenaan, semua enam penumpang bersama dua pemandu bas berusia antara 20 dan 40 tahun ditahan untuk disoal siasat.


“Enam penumpang itu membabitkan tiga lelaki dan perempuan termasuk seorang penjawat awam serta dua pelajar universiti.

“Hasil soal siasat semua mereka tidak mengaku ada kaitan dengan penemuan senjata berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.


Jalaluddin berkata, kesemua penumpang dan pemandu berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8, Akta Senjat Api (Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Katanya, polis mendapati senjata itu diseludup dari negara jiran dan siasatan terperinci dilakukan bagi menyiasat motif sebenar.


“Polis juga melakukan ujian DNA terhadap baju-T dan berus gigi yang ditemui dalam beg berkenaan.


“Siasatan juga mendapati seorang daripada mereka yang ditahan itu mempunyai kesalahan mengikut Seksyen 39B dan 39A Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berat badan turun mendadak



Kajang: Doktor yang merawat kanak-kanak malang, Mohammad Irfan Raiyan, berusia tiga tahun, yang ditemui mati dengan kesan lebam di seluruh badan di rumahnya di Taman Semenyih Indah, Khamis lalu memberitahu berat badan mangsa turun mendadak daripada 11 kilogram kepada lapan kilogram dalam setahun.

Pakar nutrisi Hospital Serdang berkenaan memberitahu polis, kali terakhir mangsa dibawa ibunya menjalani rutin rawatan kira-kira setahun lalu dan hasil pemeriksaannya mendapati keadaan mangsa sihat dan normal.


Bagaimanapun, ketika meninggal dunia mangsa hanya mempunyai berat badan lapan kilogram dan tidak selari dengan usianya kerana kanak-kanak pada usia berkenaan sepatutnya mempunyai berat badan melebihi 15 kilogram.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, selain merekodkan kenyataan doktor wanita berkenaan, pihaknya sudah mengambil keterangan 19 individu lain termasuk 15 jiran dan empat ahli keluarga kanak-kanak itu.

Ibu tunggal terjaga terhidu bau asap



Bandar Baharu: “Tiba-tiba saya terkejut daripada tidur apabila terhidu bau asap yang menyelubungi rumah lalu mengejutkan anak lelaki, Muhamad Firdaus Rozali, 16, supaya menyelamatkan diri.

“Saya kemudian menjerit memanggil jiran sebelum menghubungi bomba,” kata Che Ama Sonan, 52, dari Kampung Telok Sera, Lubuk Buntar, yang rumahnya terbakar awal pagi kelmarin.


Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu menyebabkan rumah ibu tunggal berkenaan musnah dan semua harta benda gagal diselamatkan.

Che Ama berkata, dia tidak tahu punca kebakaran itu yang dipercayai bermula dari bilik anaknya di bahagian belakang rumah.


“Anak saya sering melakukan kerja sekolah dalam bilik berkenaan yang mempunyai komputer, televisyen dan almari baju.


“Sebelum kebakaran, anak saya menyiapkan kerja sekolahnya di bilik berkenaan manakala saya menjahit baju dan tertidur di ruang tamu kira-kira jam 11 malam.

“Kira-kira jam 3.30 pagi saya terjaga kerana sukar bernafas akibat asap tebal,” katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan, dekat sini, kelmarin.


Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati asap tebal memenuhi ruang tamu dan tanpa berlengah mengejutkannya supaya ke rumah abangnya di seberang jalan meminta pertolongan.

Gelembung air panas




Kota Bharu: “Saya terkejut melihat Nur Aleeya tiba-tiba berguling di lantai dapur sambil meraung kesakitan dengan keadaan badan menggelembung,” kata Wan Rohaila Hassan, 39, selepas melihat anak perempuannya berusia satu setengah tahun, Nur Aleeya Maisara Mohd Izba, melecur terkena air panas di kedai makan miliknya di Kampung Tendong, Pasir Mas, semalam.

Kejadian jam 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa melecur di badan dan kaki kiri apabila air panas dimasak ibunya di dapur tertumpah.


Menurut Wan Rohaila, sebelum kejadian dia sibuk menyediakan hidangan lauk tengah hari di dapur.

Katanya, kebiasaannya anak bongsu daripada enam beradik itu tidak ke dapur ketika dia memasak.


“Saya tidak sangka dalam sekelip mata dia berada di situ selepas terjaga dari tidur. Jarak antara saya dengannya hanya beberapa meter.

Mati tersepit di tempat duduk



Kuala Lipis: Seorang kelindan lori terpaksa menanggung azab apabila tersepit di tempat duduknya sebelum disahkan meninggal dunia apabila lori yang dinaiki merempuh lori lain di Kilometer 10, Jalan Lipis-Merapoh dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, Rizal Zainol, 35, berasal dari Kampung Haji Ngah Bedong, Sungai Petani, Kedah maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.


Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannya dalam perjalanan ke Merapoh menghantar barang.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan berat dipandu rakan mangsa tidak menyedari lori lain berhenti di tepi jalan lalu merempuh kenderaan itu.


Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis mengambil masa setengah jam mengeluarkan mayat mangsa tersepit di tempat duduk.

Pengutip hutang ditembak



Subang Jaya: Seorang pengutip hutang mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Puchong Utama, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Lee Sam Ong, 41, yang duduk di bahagian penumpang depan kereta dipandu isterinya disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke pusat perubatan swasta berdekatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, selain mangsa dan isterinya, adik lelaki mangsa berusia 35 tahun turut berada dalam kereta berkenaan.
“Ketika itu, mereka baru pulang dari makan tengah hari di sebuah restoran di Taman Puchong Utama sebelum didatangi sebuah motosikal Yamaha LC ditunggang dua lelaki bertopi keledar berpenutup penuh ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian.

“Lelaki terbabit yang berada di sebelah mangsa melepaskan beberapa das tembakan yang menembusi dada, leher, lengan dan bahu kirinya,” katanya.

Menurut Yahaya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihaknya menemui dua kelongsong peluru Luger 9 milimeter (mm) dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) masih dijalankan pihak forensik.
Foto
LOKASI kejadian mangsa ditembak.
Katanya, mangsa yang juga pengutip hutang untuk mana-mana syarikat yang memerlukan khidmatnya mempunyai beberapa pekerja dan baru berpindah di USJ 4, dekat sini, sejak setahun lalu.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.