Search This Blog

Wednesday, February 6, 2013

Kanak-kanak jadi tebusan terselamat



MIDLAND CITY, Alabama 5 Feb. - Lelaki yang menembak mati seorang pemandu bas sekolah dan menculik kanak-kanak berusia lima tahun untuk dijadikan tebusan hampir seminggu lalu di pedalaman Alabama, maut ditembak polis, semalam.
Ejen khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi kes itu, Steve Richardson berkata, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
"Ejen FBI menyerbu kediaman yang menjadi tempat persembunyian lelaki itu selepas merasakan kanak-kanak itu berada dalam bahaya," katanya pada sidang media.
Richardson berkata, rundingan dengan suspek yang dikenali sebagai Jimmy Lee Dykes, 65, semakin buruk dalam tempoh 24 jam yang lalu.
''Dykes pula didapati sedang memegang pistol,'' kata ejen FBI itu.
Drama penculikan itu bermula apabila Dykes, seorang bekas pemandu trak menembak mati seorang pemandu bas sekolah dan menculik kanak-kanak lelaki dari bas itu yang dikenali sebagai Ethan untuk dijadikan tebusan di kediamannya pada Selasa lalu.
Sementara itu, Richardson berkata, kanak-kanak berkenaan yang akan menyambut ulang tahunnya esok kini dirawat di sebuah hospital tempatan dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana Dykes terbunuh dalam serbuan itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130206/lu_03/Kanak-kanak-jadi-tebusan-terselamat#ixzz2K8RJvQmY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lori rempuh bas, 22 pekerja Asia maut



ABU DHABI 5 Feb. - Seramai 22 pekerja asing terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah lori membawa konkrit di bandar Al-Ain, semalam.
Agensi berita WAM yang memetik kenyataan Pengarah Polis Trafik Abu Dhabi, Jeneral Hussein al-Harithi berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bas yang dinaiki 46 orang pekerja dari Asia.
Katanya, 22 mangsa yang kebanyakannya dari Bangladesh, mati di tempat kejadian manakala 24 lagi yang cedera dibawa ke hospital berhampiran.
“Punca kemalangan mungkin disebabkan kegagalan brek lori tersebut berfungsi dan tidak berada pada jarak yang selamat dari bas itu," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130205/lu_08/Lori-rempuh-bas-22-pekerja-Asia-maut#ixzz2K8OcuZgE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jurugambar Singapura disyaki jual buku lucah



TOKYO 5 Feb. - Jurugambar kelahiran Singapura yang bertugas di sini, Leslie Kee ditahan pihak berkuasa semalam, selepas disyaki menjual buku mengandungi gambar-gambar kemaluan lelaki.
Jurugambar berusia 41 tahun itu yang pernah mengambil gambar bintang pop Jepun seperti Ayumi Hamasaki, Yumi Matsutoya dan Kumi Koda ditahan di sini bersama dua pekerja syarikat penerbitan.
Menurut jurucakap Jabatan Polis Metropolitan, ketiga-tiga suspek tersebut dilaporkan menjual tujuh naskhah buku tersebut kepada dua pelanggan di sebuah galeri milik Kee di daerah Minami Aoyama.
Buku tersebut dijual pada harga AS$65 (RM201) senaskhah.
Kee dan dua rakannya itu berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda sebanyak AS$27,000 (RM83,654) jika sabit kesalahan.
Namun, penahanan Kee mendapat perhatian beberapa wartawan fesyen dan selebriti tempatan.
Seorang editor majalah fesyen, Yamamuro Kazz berkata, Kee tidak patut ditahan kerana hasil kerja jurugambar tersebut hanya untuk golongan yang mencintai seni. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130206/lu_07/Jurugambar-Singapura-disyaki-jual-buku-lucah#ixzz2K8O6ypsG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa kuat di Solomon, amaran tsunami dikeluarkan



WASHINGTON 6 Feb. - Satu gempa bumi kuat dengan magnitud 8.0 pada skala Richter telah berlaku di Kepulauan Solomon di Lautan Pasifik dan amaran tsunami dikeluarkan bagi pulau-pulau di Pasifik Selatan.
Kajian Geologikal AS berkata, gempa bumi itu berlaku pukul 9.12 pagi (waktu Malaysia) berhampiran Pulau Santa Cruz iaitu sebahagian negara Kepulauan Solomon pada kedalaman 5.8 kilometer.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik telah mengeluarakn amaran bahawa gempa bumi kuat itu menyebabkan terbentuknya tsunami berhampiran pusat gempa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130206/lu_10/Gempa-kuat-di-Solomon-amaran-tsunami-dikeluarkan#ixzz2K8NKyLe9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perogol bersiri 'Rambo Bentong' dijel 115 tahun


Perogol bersiri 'Rambo Bentong' dijel 115 tahun
Rabidin dibawa keluar dari mahkamah sesyen, semalam.
RAUB - Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan ke atas Rabidin Satir, 43, bagi empat kesalahan rogol serta satu kes liwat, semalam.

Rabidin atau dikenali dengan gelaran 'Rambo Bentong' tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi kelihatan tenang dan bersahaja memasuki kandang tertuduh.

Sebanyak tiga kenderaan polis memantau perjalanannya dari Bentong yang turut disertai Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.

Selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan demi pertuduhan, Rabidin mengaku bersalah terhadap kesalahan rogol pada 9 Julai 2009 antara jam 2 pagi dan 3 pagi dalam bilik sebuah rumah di Taman Sri Marong, Bentong, melibatkan mangsa, seorang
kanak-kanak berusia 9 tahun 5 bulan.

Kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan itu diakui benar oleh Rabidin termasuk ketika gambar kes ditunjukkan kepadanya.

Bagi kes kedua, Rabidin mengaku bersalah melakukan jenayah rogol pada 21 Jun 2010 antara jam 1 pagi dan 3 pagi dalam bilik di KM5, Jalan Kuala Lumpur - Bentong, melibatkan mangsa, remaja berusia 17 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu juga diakui benar selepas Juru Bahasa Mahkamah menunjukkan gambar kes kepadanya.

Rabidin juga mengaku bersalah bagi kes ketiga melibatkan jenayah rogol kanak-kanak berusia 8 tahun 2 bulan di tepi sungai belakang rumah dekat Ketari, Bentong antara jam 12.30 pagi hingga 1.30 pagi pada 29 April tahun lalu.

Sementara itu, Rabidin turut mengaku bersalah bagi kes keempat melibatkan mangsa, remaja berusia 16 tahun 5 bulan iaitu rogol dan liwat dalam bilik sebuah rumah di Ketari, Bentong antara jam 1 pagi dan 2.30 pagi.

Ketika diberi peluang berbicara, Rabidin mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kesalahan yang dilakukan dan berharap agar diampunkan dunia akhirat.

Rabidin juga memohon maaf atas kesalahan bagi kes kedua kerana ia dilakukan dalam keadaannya khayal dan mabuk.

Dia turut meminta agar mahkamah mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atasnya bagi kes pertama dan kedua.
Bagaimanapun, Rabidin bertindak mendiamkan diri dan tidak mahu memohon sebarang rayuan ketika diberi peluang untuk kes ketiga, keempat dan kelima.
Hakim Murtazadi Amran membacakan hukuman yang dijalankan secara berasingan iaitu masing-masing 25 tahun penjara dan 10 sebatan bagi empat kesalahan rogol, sementara kesalahan liwat pula dikenakan 15 tahun penjara serta 10 sebatan.

Secara keseluruhannya, Rabidin perlu menjalani hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan bagi keseluruhan kes yang diputuskan semalam.

Dalam perkembangan lain, Rabidin turut hadapi pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh anggota polis pada hari dia ditangkap 14 November tahun lalu berhampiran Taman Syahbandar Hussain, Bentong.

Rabidin dituduh mencederakan anggota polis dengan senjata miliknya dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara.
Mahkamah menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

OKT di Melaka dipercayai ditembak pembunuh upahan



5 Februari 2013
MELAKA - Polis percaya kejadian tembak mati seorang lelaki yang baru selesai menghadiri prosiding perbicaraan di Ayer Keroh di sini semalam dilakukan pembunuh upahan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka, Supt P. R. Gunarajan berkata, kejadian itu telah dirancang rapi oleh penjenayah kerana berlaku di luar pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).
"Kita percaya penjenayah ini telah mengekori kenderaan mangsa sebaik keluar dari kawasan Mahkamah Ayer Keroh sehingga ke lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka hari ini.
Katanya, polis masih menggiatkan operasi mengesan penjenayah terbabit dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.  
Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi itu, mangsa, S. Saravanan, 39, yang memandu kereta jenis Honda Accord bersama seorang rakan berusia 28 tahun ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Kawasan Perindustrian Ayer Keroh.
Mangsa dari Butterworth, Pulau Pinang sebelum itu hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh sebagai Orang Kena Tuduh dalam satu kes samun pada 2002.  
Sementara itu, Gunarajan berkata, rakan mangsa kini ditahan reman sehingga 11 Februari bagi membantu siasatan kes tersebut.  - Bernama

Pesta mabuk berakhir maut


SUBANG JAYA: Gara-gara mabuk keterlaluan, seorang lelaki warga Myanmar maut ditetak di kepala oleh rakan senegaranya di rumah disewa mereka di Jalan PU 1/2, Puchong Utama, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, buruh berusia 30-an itu dikatakan berpesta arak sebelum berlaku pertengkaran sesama mereka lalu seorang daripadanya menetak kepala mangsa.


Menurut sumber, mangsa dikenali sebagai Htay Win tinggal di rumah itu lebih setahun dan bekerja sebagai buruh binaan.

Katanya, mangsa dan rakan serumahnya berkumpul di depan rumah sambil meneguk minuman keras dalam kuantiti banyak sehingga mabuk dan akhirnya bergaduh.


“Seorang rakan mangsa tiba-tiba naik angin mengambil senjata tajam dipercayai parang lalu menetak mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.


“Rakan mangsa yang lain menghubungi polis, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan kejadian itu.

Rakan tertuduh mangsa tembak ditahan


Melaka: Seorang lelaki iaitu rakan tertuduh yang mati ditembak di dalam kereta selepas menghadiri perbicaraan di Jalan Tun Abdul Razak, berdekatan Persimpangan Industri Ayer Keroh di sini, kelmarin, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki berusia 28 tahun dari Perak itu adalah individu yang berada bersebelahan mangsa ketika kejadian jam 10.30 pagi.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) negeri, Superintendan P R Gunarajan berkata, lelaki yang tidak memiliki rekod jenayah itu direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Penahanan dilakukan berikutan polis mengesyaki sesuatu antara kedua-dua mereka. Berdasarkan siasatan awal, mangsa mengajak lelaki itu menemaninya menghadiri perbicaraan kes samun,” katanya.

2 tahun dalam tahanan



Alor Gajah: Seorang lelaki kudung kaki kiri yang ditahan di depoh tahanan imigresen sejak 2010 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan disangka warga asing dibebaskan Jabatan Imigresen negeri, semalam.

Lelaki itu yang juga bekas penari kebudayaan di Port Dickson, Negeri Sembilan, N Arumugam, 52, dibebaskan jam 12 tengah hari di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, di sini.
Inisiatif membebaskan Arumugam dilakukan Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia diketuai Presidennya T Kamalanathan.

Anak saudara Arumugam, D Santhi, 42, berkata, dia tidak menyangka bapa saudaranya yang dikatakan sudah meninggal dunia oleh penduduk tempatan masih hidup dan berada di bawah jagaan jabatan berkenaan.


“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada jabatan dan pertubuhan berkenaan yang sudi membantu sehingga bapa saudara dapat dibebaskan.

4 lelaki berparang pecah masuk banglo


Klang: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila banglonya dipecah masuk empat penjenayah bersenjatakan parang dalam kejadian di Bukit Jati, Kota Raja, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun sedang tidur bersama empat ahli keluarga lain sebelum didatangi kumpulan lelaki terbabit.


Difahamkan, kumpulan terbabit memakai sarung tangan dan bertopeng sebelum melarikan wang tunai RM2,000, barang kemas kira-kira RM7,000, telefon bimbit, jam tangan dan komputer riba.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, suspek memecah masuk rumah itu dengan memotong jeriji besi tingkap di bahagian dapur.


Katanya, mangsa yang juga seorang pegawai teknologi maklumat tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis sejurus kejadian.


“Susulan laporan itu kami menahan lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun, dipercayai seorang daripada ahli kumpulan itu di depan sebuah premis pertukaran wang asing di Taman Sri Andalas pada jam 3.45 petang.

“Ketika ditahan, suspek yang berasal dari Lombok, Indonesia itu dipercayai baru saja selesai membuat penghantaran wang berjumlah 15 juta rupiah ke kampung halaman berdasarkan penemuan resit penghantaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini, semalam.


Mohamad berkata, hasil pemeriksaan awal, polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang membabitkan RM450, RP100, 000, AS$5 dan SAR10 selain merampas seutas rantai emas, loket dan telefon bimbit.

Katanya, siasatan terhadap suspek juga mendapati dia pernah dipenjara 10 tahun di negara ini kerana kesalahan samun.

Kereta melayang


Alor Gajah: Bagaikan aksi lagak ngeri apabila Proton Iswara dinaiki satu pasangan suami isteri ‘terbang’ ke atas tebing setinggi kira-kira dua meter sebelum terhempas dan terbalik dalam kemalangan di Jalan Kampung Air Hitam Lendu - Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam, kereta dipandu Zainal Daud, 43, bersama isteri, Saadiah Ali, 50, dari Masjid Tanah dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Lendu Hilir sebelum terbabit kemalangan.
Sumber berkata, pemandu kereta itu dipercayai gagal mengelak kenderaan muncul dari arah bertentangan ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian menyebabkannya hilang kawalan.

“Berikutan itu, kereta dinaiki mangsa dipercayai meluncur laju dan berpusing beberapa kali sebelum terhempas di atas tebing setinggi kira-kira dua meter dalam keadaan terbalik.


“Saadiah yang berada di tempat duduk penumpang depan cedera parah di kepala serta badan manakala suaminya hanya mengalami kecederaan di telinga kanan,” katanya di sini, malam kelmarin.

Ibu bapa ditahan polis



Kajang: Ibu bapa kepada kanak-kanak malang yang ditemui mati dengan kesan lebam di seluruh badan di rumahnya di Semenyih, Khamis lalu ditahan polis malam kelmarin.

Ibu bapa Mohammad Irfan Raiyan Mohammad Shahnaz, tiga tahun dua bulan, ditahan selepas hadir di Balai Polis Kajang, jam 11.45 malam.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ibu kanak-kanak itu suri rumah berusia 24 tahun manakala bapanya yang bekerja sebagai anggota tentera di Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh berusia 30-an.

“Setakat ini, kami belum kenal pasti siapa antara mereka melakukan perbuatan itu jadi kami tahan kedua-duanya untuk membantu siasatan.


“Hasil siasatan polis mendapati berlaku penderaan ke atas kanak-kanak berkenaan sebelum dia meninggal dunia dan siasatan itu sama dengan laporan bedah siasat dilakukan forensik,” katanya.


Menurutnya, kedua-duanya direman lapan hari mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera selain menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya.

Kerani didakwa pecah amanah RM24,000



Shah Alam: Seorang kerani dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua tuduhan melakukan pecah amanah kira-kira RM24,000, dua tahun lalu.

Wanita itu, R Birunthavathy, 30, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G Ramesh.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat E-Title Services Sdn Bhd, Menara Maxisegar, Pandan Indah, dekat sini, membabitkan RM5,577.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 25 Mac 2011 hingga 5 Disember tahun sama.


Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh melakukan perbuatan sama di tempat sama membabitkan RM19,083.67 antara 18 April 2012 hingga 12 Disember tahun sama.


Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie, manakala tertuduh diwakili S Devanandan.


Mahkamah membenarkan wang jaminan RM7,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 4 Mac depan sebagai sebutan semula.

Geng songlap cek




Kuala Lumpur: Mencungkil peti surat sebelum mencuri surat yang mengandungi cek dan buku cek.

Begitulah taktik digunakan satu sindiket yang kemudian mengubah suai cek berkenaan sebelum ditumpaskan polis hasil beberapa siri serbuan di sekitar Cheras sejak 29 Januari lalu.


Difahamkan, sindiket yang didalangi sepasang adik beradik yang berasal dari Bukit Setiawangsa itu mengupah keldai akaun dan pekerja am yang bertugas mencuri cek dari peti surat selain pekerja khas memasukkan cek yang diubah suai ke dalam mesin cek di bank.

Bagaimanapun, selepas menerima 107 laporan polis daripada pemilik akaun, bank dan penerima cek yang gagal mendapat bayaran mereka berikutan diubah suai sindiket ini, sebuah pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Asisten Norzamani Mat Zin ditubuhkan untuk mengesan sindiket terbabit.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, sindiket berkenaan beroperasi sejak 2007 dan 2009 adalah tahun kemuncak sindiket berkenaan apabila mendalangi 46 kes ubah suai cek.


“Kes terakhir pada 29 Januari lalu apabila seorang pemandu membuat laporan polis berhubung akaunnya disekat bank selepas sekeping cek dari seorang peniaga di Melaka bernilai RM3,190 yang diubah suai dimasukkan ke dalam akaunnya.

“Pengadu berkenaan menyatakan pernah menolong seorang rakannya pada Oktober tahun lalu berikutan rakannya itu tiada akaun dan tidak sedar akaun bank itu disalahgunakan pihak lain memasukkan cek yang diubah suai,” katanya pada sidang media, semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati peniaga di Melaka itu membuat laporan polis selepas cek yang diposkan kepada pembekal di Kuala Lumpur pada 21 September 2012 tidak sampai kepada penerimanya sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun pemandu itu.

Katanya, serbuan serentak jam 6.45 petang di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur menahan lelaki tempatan berusia 32 tahun yang ditugaskan sindiket itu menghantar cek diubah suai kepada bank untuk ditunaikan.


“Susulan tangkapan suspek pertama, pasukan khas itu menyerbu rumah kedai di Jalan Shelly, di sini, jam 9.30 malam namun ketika serbuan dijalankan, semua suspek termasuk dua dalang utama melarikan diri.


“Bagaimanapun, semua peralatan termasuk cek yang diubah suai serta beberapa cek yang dicuri dari peti surat ditemui di premis yang dijadikan pusat operasi sindiket itu sejak 2010,” katanya.


Mohmad berkata, antara peralatan yang dirampas adalah mesin pencetak kad, mesin pencetak, tiga unit komputer riba dan seunit ‘paymaster’.

Anggota polis patah kaki dilanggar



Kluang: Seorang anggota polis patah kaki kanan selepas seorang suspek pengedar dadah nekad melanggar dan menghimpitnya untuk meloloskan diri daripada ditahan dalam kejadian di persimpangan Jalan Ladang Tereh di sini, kira-kira jam 3 petang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa Lans Koperal Anuar Ishak yang bertugas di Balai Polis Kluang Baru bersama dua rakan setugas diarah menjalankan siasatan ke atas tiga lelaki yang mencurigakan di lokasi berkenaan.


Menurut Anuar, ketiga-tiga suspek menunggang motosikal secara berasingan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, seorang daripada suspek yang berumur lingkungan 20-an tiba-tiba memecut dari situ sebelum dikejar.


“Suspek menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan dia kemudiannya melanggar sebelum menghimpit saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang semalam.


Menurut Anuar yang turut menunggang Honda EX5, akibatnya, dia kehilangan kawalan sebelum terjatuh manakala kaki kanannya dihempap motosikal menyebabkannya patah.

Katanya, dia kemudiannya dihantar ke hospital berkenaan manakala suspek terbabit berjaya ditahan.


“Saya harap dapat segera sembuh kerana mahu bersama rakan setugas membanteras jenayah. Kejadian ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus memburu penjenayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, tiga suspek lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan dalam kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Hampir rentung kerana jiran



Kota Kinabalu: Tindakan seorang lelaki membakar sampah di belakang rumahnya bukan saja memusnahkan rumahnya sendiri, malah seorang nenek bersama cucu perempuannya berusia lapan bulan nyaris rentung dalam kejadian di Taman Khidmat, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas Domitilah Paulus, 50, yang menyedari kejadian itu mendukung cucunya Elisha Stefanus keluar melalui pintu hadapan rumah menyelamatkan insan kecil itu.


Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, dua rumah hampir musnah namun tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan rumah berkenaan daripada musnah sepenuhnya.

Domitilah berkata, ketika kejadian, dia dan Elisha di dalam rumah, manakala ibu bapa cucunya itu bekerja.


“Ketika itu, saya baru menyuapkan bubur kepada Elisha untuk makan tengah hari sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah. Saya keluar dan terkejut apabila melihat asap tebal menyebabkan saya mendukung Elisha keluar dari rumah,” katanya.


ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana ketika itu asap tebal menyebabkan hanya mampu menyelamatkan cucunya.


“Api berpunca daripada rumah jiran sebelum merebak ke rumah kami. Nasib baik saya menyedari kejadian itu lebih awal, jika lambat saya tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, jirannya Audry Andrew, 27, berkata, ketika kejadian dia baru tiba di rumah dan terkejut melihat asap tebal di rumah jiran.


“Bimbang sesuatu yang buruk, saya memeriksa di luar depan rumah sebelum melihat rumah jiran terbakar.


“Ketika itu, saya melihat Domitilah mendukung cucunya keluar dari rumah untuk ke tempat lebih selamat sebelum menghubungi bomba,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.43 tengah hari.


“Tiga jentera dengan kekuatan 13 anggota dari Ibu Pejabat Bomba Lintas dan Balai Bomba Sembulan bergegas ke lokasi kejadian.


“Api dikawal jam 1.19 petang dan kebakaran membabitkan dua rumah saja,” katanya.


Katanya, operasi tamat pada jam 2.42 petang dan kejadian tidak membabitkan kecederaan. dan kemalangan jiwa.

Pandu 4km selepas ditembak




Bukit Mertajam: Seorang lelaki yang juga pemilik sebuah pusat hiburan di Perai terpaksa memandu sejauh hampir empat kilometer (km) dalam keadaan parah untuk mendapatkan bantuan selepas terkena tiga das tembakan.

Tan Seng Suo @ Ah Seh, 43, memandu seorang diri dari Perai ke Bukit Tengah apabila dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang melepaskan empat das tembakan ke arahnya.
Difahamkan, Mangsa berasal dari Bukit Mertajam turut menjalankan perniagaan mesin judi dan suspek dikatakan menembak mangsa kerana tidak berpuas hati berhubung urusan perniagaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, motosikal Honda EX5 biru gelap itu menghampiri kereta mangsa kira-kira 80 meter dari lampu isyarat Jalan Besar Bukit Tengah, pada jam 10.30 malam kelmarin dan pembonceng melepaskan empat das tembakan dengan tiga daripadanya mengenai dada, bahu dan kepala mangsa.


“Menurut saksi, suspek mengekori mangsa dan melepaskan empat das tembakan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Serangan suami cemburu




Kinabatangan: Hanya kerana isteri berbual dengan rakan sekerjanya, seorang buruh ladang bukan saja sanggup membelasah isterinya, malah menetak lelaki terbabit sehingga lengan kiri hampir putus di ladang sawit Tomanggong, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun juga hampir putus jari telunjuk dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu, manakala isteri suspek berusia 40 tahun lebam muka dan anggota badan.
Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di ladang sawit berhampiran rumah kongsi pekerja.

“Mangsa dipercayai menegur isteri suspek untuk bertanyakan khabar, namun suspek yang kebetulan hendak ke tempat kerja melihat keadaan itu lalu memarahi isterinya sebelum memanggilnya masuk.


“Berlaku pertengkaran sebelum suspek memukulnya sehingga lebam muka dan anggota badan,” katanya.

Wanita mengaku ugut bunuh suami



Petaling Jaya: Seorang ibu beranak lima dan rakan lelakinya masing-masing didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku salah mengugut bunuh suaminya, dua hari lalu.

Majistret Nazri Omran menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja bahagian sumber manusia B Manimala, 38, dan pemandu lori S Kosulakrisnan, 43.


Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

Bagaimanapun, mereka membayar denda itu. Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan ugutan jenayah kepada V Kalimuthu, 41, seorang kontraktor dengan niat mendatangkan kegentaran terhadap mangsa dengan kata-kata mahu membunuhnya.


Kesalahan itu dilakukan di B5-6-52 Jalan PJS 6/5A, Sungai Way, dekat sini, pada jam 6.30 pagi, 3 Januari lalu.


Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Siti Fatimah Yahya manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Esther Tan.


Terdahulu, Esther memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan tiada kecederaan berlaku dan hanya ugutan serta ia lebih kepada masalah percintaan. Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu sampai di rumahnya dan didapati seorang lelaki iaitu tertuduh berada dalam rumah bersama isteri pengadu di ruang tamu.

Pengadu cuba mendapatkan pengesahan mengenai hubungan mereka daripada tertuduh perempuan namun berlaku pertengkaran mulut dan tertuduh mengugut pengadu.


Pengadu membuat laporan polis dan kedua-dua tertuduh di tahan selepas itu.

Tangan terlekat mesin ‘tikam’



Banting: Tindakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun memasukkan tangan kanannya di sebuah alat permainan dikenali mesin ‘tikam’ mengundang padah apabila tangannya terlekat di mesin itu dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Bukit Lancong, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian kanak-kanak terbabit baru pulang dari sekolah sebelum singgah di kedai berkenaan untuk bermain permainan itu.


Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil tindakan pantas pegawai bomba di lokasi kejadian, mangsa berjaya diselamatkan dalam tempoh 11 minit tanpa kecederaan serius.


“Kami menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian sejurus selepas mendapat aduan dan tiba di lokasi pada jam 3.16 petang.


“Difahamkan, permainan itu sudah rosak dan pecah menyebabkan tangan kanan mangsa terlekat.

“Kami bersyukur dengan kekuatan jentera, tangan kanan mangsa berjaya dikeluarkan tanpa kecederaan serius dalam tempoh 11 minit,” katanya.

Tumpas dua geng samun




Kuala Lumpur: Polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 60 kes membabitkan samun dan curi kenderaan di sekitar Brickfields dan daerah lain selepas menumpaskan dua geng yang bergiat aktif sejak setahun lalu dikenali sebagai Geng Michael dan Geng Myvi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhamad Azlee Abdullah berkata, kejayaan itu menumpaskan dua geng samun terbabit hasil kerjasama semua pihak yang menyalurkan maklumat sehingga polis berjaya mengesan anggota kumpulan itu seterusnya menahan mereka.


Menurutnya, dua geng itu yang bergiat aktif sejak setahun lalu menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan mangsanya secara rawak ketika membuat rondaan di kawasan perumahan dengan kereta sebelum menyamun dengan pisau serta parang.

“Hasil maklumat dan intipan kami menumpaskan dua geng itu yang masing-masing melakukan 30 kes samun serta curi kenderaan di daerah ini dan sekitarnya.


“Dalam serbuan pertama pada 17 Januari lalu, polis memeriksa hotel bajet di Brickfields sebelum menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 30 tahun dipercayai anggota Geng Michael,” katanya. “Wanita terbabit dipercayai kekasih suspek dan siasatan sedang dijalankan sama ada mereka turut terbabit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, semalam.


Katanya, pihaknya juga menemui barangan samun yang masih disimpan suspek iaitu empat jam tangan, telefon bimbit, dan dompet duit.

“Serbuan ke atas Geng Myvi pula pada 25 Januari lalu di sebuah hotel juga di Brickfields sebelum menahan sepasang kekasih berusia 30-an. Polis membuat tangkapan susulan lima hari selepas itu dan menahan enam lelaki serta seorang wanita berusia 20 hingga 30 tahun,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, semalam.


Menurutnya, pihaknya merampas dua Perodua Myvi yang digunakan untuk menyamun, Honda Civic dan Mazda yang dipercayai dicuri suspek.

Peraih buah ditembak kumpulan pemisah



Yala: Empat peraih buah ditembak mati oleh anggota kumpulan pemisah di wilayah selatan Thai ini, semalam.

Jurucakap tentera, Kolonel Pramote Romin berkata, mayat mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita ditemui dengan tangan dan kaki terikat dalam sebuah gudang yang digunakan sebagai pangkalan perniagaan mereka di daerah Krong Pinang.


Mereka beragama Buddha dan berasal dari wilayah Rayong, timur Thailand yang sering berulang-alik ke wilayah majoriti penduduk Islam di selatan untuk membeli buah-buahan. “Mangsa biasa datang untuk membeli buah-buahan seperti durian dan dokong di wilayah selatan. “Mereka sudah biasa dengan masyarakat dan kawasan di sini,” katanya.

Peniaga peniaga kelima dapat menyelamatkan diri. Kerajaan Thailand cuba untuk memperbaiki ekonomi wilayah selatan yang dilanda konflik dengan menggalakkan peniaga membeli buah-buahan, getah dan produk keluaran tempatan lain untuk jualan di seluruh negara itu.


Bagaimanapun, kumpulan pemisah yang berjuang untuk kuasa autonomi menganggap mereka yang mempunyai kaitan dengan kerajaan sebagai sasaran dalam perjuangan mereka sejak sembilan tahun lalu.


Pada 1 Februari lalu, anggota pemisah melepaskan tembakan ke arah sebuah trak dipenuhi sukarelawan yang melatih petani teknik menanam padi di Pattani, membunuh dua orang dan mencederakan puluhan yang lain. - AFP

Nah! Ambil kau

Raub: Lelaki yang digelar Rambo Bentong, Rabidin Satir, 42, menerima pembalasan terhadap perbuatan kejamnya apabila Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol serta satu tuduhan melakukan seks luar tabii.
Hakim Murtazadi Amran dalam keputusannya berkata, perbuatan tertuduh tidak berperikemanusiaan, apatah lagi mangsa masih muda dan di bawah umur.
“Tertuduh bukan saja perlu meminta maaf kepada mahkamah dan polis, tetapi juga perlu memohon kemaafan kepada mangsa dan keluarga mereka. Saya berharap tertuduh menyesal dengan perbuatannya dan memohon keampunan daripada Tuhan,” katanya.

Rabidin yang berasal dari Tambunan, Sabah, ketika diberi peluang merayu berkata, “Ketika itu (kejadian) saya berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedar. Saya memohon kemaafan dan minta hukuman diringankan.”
Foto
ANGGOTA polis membawa masuk Rabidin ke Mahkamah Sesyen Raub.

Murtazadi menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan terhadap setiap pertuduhan membabitkan jenayah rogol manakala penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan melakukan seks luar tabii.

Juruteknik nyaris dinoda



Petaling Jaya: Seorang juruteknik wanita nyaris diperkosa ketika dalam perjalanan ke tempat kerja apabila dia yang berjalan seorang diri diterkam seorang lelaki tidak dikenali sebelum menariknya ke dalam semak berhampiran Jalan SS 9A/17, Sungai Way, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun menjerit meminta tolong sebelum jeritannya itu didengari seorang lelaki yang melalui kawasan itu.


Menurut sumber, lelaki terbabit cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas perbuatannya disedari lelaki berkenaan, tetapi diberkas sebelum diserahkan kepada anggota unit peronda (MPV) dari Balai Polis Sungai Way.

“Mangsa sudah menyedari kehadiran lelaki terbabit di jalan berkenaan, tetapi tidak menghiraukannya kerana sudah biasa menggunakan laluan itu dan tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini.


“Namun, sebaik mangsa menghampiri lelaki terbabit tiba-tiba dia diterkam dan tangannya ditarik manakala mulutnya ditutup,” katanya.

2 beranak nyaris dihempap pokok



Jasin: Dua beranak terselamat daripada dihempap pokok kelapa yang menimpa dapur rumah mereka Kampung Pulai, di sini, ketika seorang ibu dan anak lelakinya berstatus orang kelainan upaya (OKU) sedang minum petang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, warga emas itu, Sapiah Tengah, 76, dan Jefri Osman, 42, berada di meja makan dan tiba-tiba pokok tumbang lalu meranapkan bumbung dapur yang baru dibina dua bulan lalu.


Menceritakan detik cemas itu, Sapiah berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi angin menderu dengan kencang dan diikuti bunyi dentuman sangat kuat sehingga bumbung dapur roboh.

Katanya, mereka dua beranak terkejut dan bumbung rumah berkenaan tiba-tiba roboh sehinggalah pelepah pokok kelapa itu mengenai mereka barulah dia mengetahui kejadian itu. “Dengan kudrat yang ada saya menarik tangan Jefri yang bingung ketika itu, namun kami terjatuh kerana terlanggar ayu yang melintang di lantai.


“Walaupun kaki sakit saya menguatkan diri menariknya untuk menyelamatkan diri dan ketika itu hanya kami dua beranak berada di rumah,” katanya.


Menurutnya, dia bersyukur kerana bahagian atas pokok berkenaan yang penuh dengan pelepah dan buahnya tidak mengenai mereka walaupun tumbang berhampiran dengan tempat mereka minum. Sapiah berkata, dia yang menghidap penyakit darah tinggi menggigil beberapa jam menahan ketakutan akibat kejadian itu.

“Ketika kejadian hujan renyai dan tidak menyangka angin kencang boleh menumbangkan pokok berkenaan. Walaupun trauma saya cuba menenangkan anak yang turut terkejut dengan kejadian itu,” katanya.

Berlian hilang ketika tidur



Tumpat: “Sebaik bangun tidur pada jam 5 pagi, saya lihat laci meja solek terbuka dan pemeriksaan mendapati satu kotak mengandungi barang kemas dan berlian hilang,” kata Datin Saleha Yaacob, 51, isteri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Dalam kejadian pada jam 4.30 pagi semalam, kediaman Che Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu di Taman Mimi, Pasir Pekan di sini dipecah masuk mengakibatkan kerugian RM30,000.


Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah menerusi saluran angin di tingkat atas sebelum melarikan barang kemas dan berlian dianggarkan bernilai RM25,000 serta wang tunai RM500 sebelum keluar menerusi pintu ruang tamu di tingkat bawah.

Menurut Saleha, selepas menyedari rumahnya dipecah masuk, dia mengejutkan anak perempuannya berusia 18 tahun yang tidur di bilik bersebelahan bersama pembantu rumah berusia 42 tahun. “Barang kemas dan berlian dicuri itu dianggarkan bernilai RM25,000. Pencuri turut melarikan wang RM500 disimpan dalam beg tangan.


“Bagaimanapun, beg tangan itu ditinggalkan di belakang rumah. Saya segera membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu pada jam 8 pagi,” katanya.


Katanya, kejadian itu kali ketiga berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun dua kejadian sebelum ini hanya kehilangan jam tangan dan komputer riba.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Deputi Superintendan Shariffuddin Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tak sedar kereta masuk longkang

Taiping: Seorang nenek berusia 74 tahun terpinga-pinga sambil bertanya kepada orang ramai bagaimana kereta dipandunya boleh terperosok ke dalam longkang besar di Jalan Air Kuning di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Sariah, 74, dipercayai gagal mengawal Perodua Kancil dipandunya menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang.

Mangsa berasal dari Kamunting di sini, mendakwa sedang memandu menuju ke Air Kuning apabila kenderaannya hilang kawalan.
“Saya tidak sedar bagaimanapun boleh berada dalam longkang. Saya cuma perasan kereta tiba-tiba senget dan tidak boleh bergerak,” katanya.

Menurutnya, dia yang kemudian menyedari terbabit dalam kemalangan merangkak keluar dari kereta sebelum dibantu orang ramai tanpa kecederaan.

Sementara itu seorang saksi, Omar Ahmad, 47, berkata, laluan berkenaan dianggap berbahaya berikutan sering berlaku kemalangan membabitkan pengguna motosikal dan kereta.
Foto
KEADAAN Perodua Kancil yang terperosok masuk ke dalam longkang, tengah hari semalam.
Menurutnya, longkang besar yang terbuka dan tiada penutup itu seolah-olah mengundang kemalangan dan meminta pihak berwajib menutup longkang berkenaan sebelum lebih ramai pengguna jalan raya menjadi mangsa.

Tolong beli minyak tanah

Sungai Siput: “Saya tidak mendengar sebarang jeritan, malah mereka juga tidak berusaha menyelamatkan diri,” kata Mok Kam Hing, 43, jiran empat beranak yang rentung dalam kebakaran rumah berkembar setingkat dihuni mereka di Taman Bukit Medan, di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, mayat S Jayalatchumy, 45, bersama dua anak perempuannya, R Thilagawati, 23, dan R Puvaneswary, 21, serta anak lelaki, R Suhan, 17, ditemui rentung di bahagian dapur selepas api dipadamkan.
Malah, kata Mok, pada petang sebelum kejadian Suhan datang ke rumahnya dan meminta bantuan isterinya untuk membeli minyak tanah di kedai runcit.

“Jadi, saya percaya kebakaran yang berlaku dan kematian empat beranak ini ada kaitan dengan pembelian minyak tanah itu,” katanya yang sudah enam tahun tinggal di rumah itu manakala keluarga mangsa menyewa setahun lalu.
Foto
ANGGOTA bomba membuat siasatan pada tubuh mangsa yang rentung dalam kebakaran.

Mok berkata, dia menyedari berlaku kebakaran apabila mendengar letupan dari rumah mangsa ketika dia bersama isteri, ibu dan anak sedang menonton televisyen.

Rambo Bentong kena 115 tahun







Rabidin mengaku salah atas empat pertuduhan rogol serta satu tuduhan melakukan seks luar tabii di Mahkamah Sesyen Raub, semalam. - Foto MUSTAFFA KAMALRabidin mengaku salah atas empat pertuduhan rogol serta satu tuduhan melakukan seks luar tabii di Mahkamah Sesyen Raub, semalam. - Foto MUSTAFFA KAMAL Raub: Seorang lelaki yang digelar Rambo Bentong dihukum penjara 115 tahun dan 50 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol serta seks luar tabii di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Rabidin Satir, 42, dari Tambunan, Sabah dituduh melakukan kesalahan itu terhadap dua kanak-kanak dan dua remaja perempuan antara 2009 dan 2011.
Bagi tuduhan pertama, Rabidin didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun lima bulan di sebuah rumah di Taman Marong, di sini, antara jam 2 dan 3 pagi 9 Julai 2009.


Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di depan Hakim Murtazadi Amran.

Rabidin turut dituduh merogol remaja 17 tahun di sebuah rumah di Jalan Kuala Lumpur-Bentong, antara jam 1 pagi dan 3 pagi 21 Jun 2010, diikuti tuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dua bulan di tepi sungai dekat sini antara jam 12.30 tengah malam dan 1.30 pagi 29 April 2011.

Bagi semua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Rabidin juga dituduh melakukan seks luar tabii terhadap mangsa keempat, seorang remaja berusia 16 tahun lima bulan di Ketari, di sini, antara jam 1 pagi dan 2.30 pagi 12 Oktober 2011.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Murtazadi dalam penghakimannya berkata, perbuatan tertuduh amat tidak berperikemanusiaan apatah lagi mangsa masih muda dan bawah umur.

Tertuduh bukan saja perlu meminta maaf kepada mahkamah dan polis malah kepada mangsa dan keluarga mereka.

Saya harap tertuduh menyesal dengan perbuatannya dan memohon maaf keampunan Tuhan, katanya.

Beliau menjatuhkan hukuman 25 tahun penjara dan 10 sebatan terhadap setiap pertuduhan membabitkan jenayah rogol manakala hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan melakukan seks luar tabii.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan dalam keadaan mabuk dan tidak sedar ketika melakukan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir pula memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum terhadap tertuduh kerana ia kesalahan serius dan membabitkan kanak-kanak.

Polis kesan dua beradik dalang sindiket ubahsuai cek



 
Kuala Lumpur: Polis mengesan dua beradik dipercayai mendalangi satu sindiket pintasan dan ubahsuai cek yang mengaut keuntungan jutaan ringgit sejak mula beroperasi pada 2009.

Sindiket didalangi dua beradik berusia 32 dan 36 tahun itu dikesan selepas polis menahan seorang lelaki dipercayai anggotanya dalam satu serbuan pada 29 Januari lalu selain turut merampas peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah itu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata modus operandi yang licik digunakan sindiket sehinggakan jenayah dilakukan mereka sukar dikesan. Siasatan mendapati, anggota sindiket mencuri surat dari peti surat Pos Malaysia di sekitar ibu kota dan mereka memilih surat mengandungi cek, manakala yang lain dibuang.


Melalui peralatan dimiliki, mereka menukarkan nombor akaun pada cek berkenaan kepada pihak ketiga dan dikreditkan ke akaun berkenaan sebelum diserahkan kepada mereka, katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pihak ketiga yang dipergunakan ahli sindiket tidak tahu mengenai aktiviti mereka namun siasatan lanjut masih diteruskan.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi sindiket berkenaan, Mohmad berkata, anggota sindiket akan mengubah nilai cek berkenaan pada kadar rendah bagi mengaburi mata pihak bank.
Kebiasaannya bank akan menunaikan cek yang nilainya tidak terlalu tinggi, jadi mereka akan mengubahnya pada jumlah yang kecil. Ini menyukarkan kegiatan mereka dikesan, katanya.

Pemandu bas ditahan cabul penumpang



 
Chukai: Polis menahan seorang pemandu bas ekspres berusia 35 tahun kerana mencabul seorang penumpang wanita dalam kenderaan itu ketika berhenti di Kawasan Perindustrian Kerteh, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun mendakwa dicabul lelaki terbabit ketika tidak penumpang lain dalam bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke negeri ini.
Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari ibu kota ke kampungnya di Dungun dikatakan tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu menjerit meminta tolong.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata selepas melakukan perbuatan itu, pemandu terbabit meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Perhentian Bas Ekspres Dungun pada jam 2.40 pagi.

Ketika dalam perjalanan itu mangsa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk melaporkan kejadian itu.

Berikutan itu polis menahan pemandu bas terbabit sebaik dia tiba di perhentian bas berkenaan, katanya.

Suami isteri direman kes dera anak



 
Shah Alam: Polis menahan ibu bapa Muhammad Irfan Raiyan Muhammad Shah, 3, malam kelmarin, selepas siasatan mendapati kanak-kanak malang itu mati akibat dera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata pasangan suami isteri itu ditahan di rumah mereka di Taman Semenyih Indah, Kajang, kira-kira jam 11.45 malam.


Mereka ditahan untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan selepas laporan bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Serdang mendapati anak kedua kepada pasangan terbabit, mati akibat didera.

Ibu mangsa berusia 25 tahun dan tidak bekerja manakala bapanya adalah anggota keselamatan berusia 26 tahun, katanya di sini, semalam.

Mereka direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengulas lanjut, Mohd Adnan berkata, laporan bedah siasat menunjukkan kanak-kanak itu mati akibat kecederaan serius di kepala dan polis masih menyiasat jenis senjata digunakan.

Selain kecederaan kepala turut ditemui kesan calar di badan mangsa. Kami juga masih menyiasat sama ada ia kesan baru atau lama, katanya.
Khamis lalu, Muhammad Irfan Raiyan mati selepas didakwa terjatuh dan kepala terhentak di lantai.

Ibu, tiga anak ditemui rentung



 
Sungai Siput: Seorang ibu bersama tiga anaknya rentung dalam kebakaran rumah sewanya di Taman Bukit Medan di sini, semalam, lima hari selepas suami wanita itu meninggal dunia akibat kanser paru-baru.

Mayat S Jayalatchumy, 45, dan anak lelakinya, R Suhan, 17, serta dua anak perempuannya, Puvaneswary, 21, dan Thilagawati, 23, ditemui di ruang dapur rumah berkembar setingkat oleh anggota bomba.


Mayat ditemui berdekatan antara satu sama lain, termasuk dua mayat dalam keadaan berpelukan.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 12.10 tengah malam yang diikuti letupan sehingga mengejutkan penduduk taman berkenaan.

Mayat empat beranak itu ditemui di atas lantai ruang dapur selepas pasukan bomba berjaya memadam kebakaran pada jam 12.57 tengah malam.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

Suami Jayalatchumy, M Rajan, 48, meninggal dunia, Jumaat lalu. Keluarga itu menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu dirancang oleh mangsa kerana mereka dikatakan terlalu sedih selepas kematian Rajan.

Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mengambil tindakan sendiri dan melulu kerana terlalu sedih dengan kematian suami dan bapa mereka beberapa hari lalu.

Apapun, itu satu kemungkinan saja dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut, katanya di sini, semalam.

Bedah siasat ke atas mayat empat beranak itu mengesahkan kematian akibat kebakaran teruk dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan, sebelum ini Jayalatchumy membantu suaminya di ladang getah milik mereka. Suhan pula masih bersekolah manakala dua kakaknya tidak bekerja.

Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan kuat berpunca daripada tong gas tetapi polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Zon Pusat Perak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pegawai Kanan Bomba I Rushisha Haris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah malam.

7 banduan dilepas secara berlesen



   
Kuala Lumpur: Jabatan Penjara buat pertama kali melaksanakan pelepasan banduan secara berlesen selama tujuh hari bertujuan memulihkan banduan melalui pembabitan keluarga.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tujuh banduan dilepas secara berlesen di seluruh negara dan mereka akan dibawa oleh keluarga masing-masing untuk meluangkan masa di rumah selama tujuh hari mulai semalam.
Pelepasan diberi atas alasan seperti merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan, perancangan masa depan dan lain-lain perkara yang difikir wajar, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perjumpaan 1Malaysia penghuni dan keluarga Penjara sempena Tahun Baru Cina di Penjara Kajang, semalam.

Beliau berkata, pelepasan berlesen itu, yang pertama kali diberikan Penjara mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995, adalah satu keistimewaan hanya untuk banduan yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan.

Antara syarat ialah banduan menjalani hukuman tidak kurang dari empat tahun, mempunyai baki hukuman tidak lebih dari setahun dan tidak kurang dari dua bulan serta berada dalam peringkat empat dan ke atas.

Jika seorang ingkar pada pematuhan syarat, kami akan tarik balik pelepasan berlesen ini, katanya.

Mengenai Perjumpaan 1Malaysia, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dalam ucapannya berkata, 2,894 anggota keluarga dan 658 penghuni terbabit dalam program berkenaan yang dijalankan serentak di seluruh negara.
BERNAMA

Pasangan gila judi biar anak sendirian



 
Kuala Lumpur: Akibat gila judi, sepasang suami isteri tergamak meninggalkan empat anak mereka, termasuk seorang berusia empat tahun hampir setiap malam untuk berjudi.

Pasangan itu yang berusia 50-an dan 40-an, antara lapan individu yang ditahan dalam empat serbuan di Pusat Perniagaan Metro Prima, Kepong, malam kelmarin, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan judi.
Serbuan jam 8.30 malam oleh Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuala Lumpur, atas maklumat risikan kegiatan judi yang semakin berleluasa di kawasan itu.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata siasatan mendapati pasangan suami isteri itu antara pelanggan tetap pusat perjudian terbabit sejak mereka berpindah ke sebuah taman perumahan berhampiran dua bulan lalu.

Kita mendapati mereka baru berpindah dari Sabah. Lelaki itu bekerja sebagai kontraktor, manakala isterinya seorang suri rumah. Hasil soal siasat mendapati hampir setiap malam mereka meninggalkan anak di rumah untuk berjudi di premis itu.

Difahamkan, perjudian dilakukan melalui internet dengan nilai pertaruhan minimum RM10. Malah, pasangan itu mengakui sering memperoleh keuntungan melalui pertaruhan, lebih-lebih lagi jika membabitkan nilai pertaruhan besar, katanya.

Azman berkata, semua individu ditahan warga tempatan dan mengesahkan 127 komputer serta pelbagai peralatan komunikasi dirampas dari keempat-empat premis terbabit, selain wang tunai RM1,110 dipercayai hasil pertaruhan haram.
Sementara itu, 32 individu ditahan Cawangan D7 Bukit Aman dalam lima serbuan di Jalan Kampung Pandan Luar, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan diketuai Ketua Unit Anti-Perjudian D7 Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Tin Heng, sejumlah 150 mesin judi dan wang tunai RM2,258, dirampas.

Mereka yang ditahan termasuk enam penjaga premis dan 26 kaki judi, dengan sebahagian besar penduduk tempatan berusia 20-an hingga 40-an.

Bekas juara program realiti ditahan kes rogol



   
Ampang Jaya: Seorang bekas juara program realiti popular anjuran sebuah stesen televisyen swasta ditahan polis kelmarin bagi membantu siasatan kes rogol teman wanitanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Md Nazri Zawawi, berkata suspek berusia 25 tahun itu direman enam hari bermula semalam berhubung laporan polis oleh teman wanitanya pada 31 Januari lalu.
Suspek ditahan di rumahnya di Taman Melati, Setapak semalam (kelmarin) sebelum polis mendapatkan perintah reman terhadapnya hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.

Penahanan itu susulan laporan polis dibuat teman wanitanya yang mendakwa dirogol oleh suspek. Mangsa turut dihantar ke Hospital Ampang bagi menjalani pemeriksaan, katanya.

Dalam kejadian 31 Januari lalu, seorang wanita mendakwa dirogol oleh teman lelakinya yang juga seorang penyanyi, di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku pada jam 12.40 tengah hari, namun wanita itu tidak melawan kerana bimbang dicederakan oleh teman lelakinya itu sebelum bertindak membuat laporan polis.

Md Nazri berkata, hasil siasatan turut mendapati suspek tidak lagi aktif dalam bidang nyanyian, malah tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman milik seorang artis terkenal.

45 ditahan dalam serbuan 6 premis judi haram




KUALA LUMPUR — Polis menahan 43 lelaki dan dua wanita dalam serbuan serentak di enam premis perjudian siber tanpa lesen di Pandan Jaya, Ampang di sini semalam.
Dalam operasi dua jam diketuai ASP Kamal Khan Mohd Shariff bermula 4.00 petang itu, 128 unit komputer yang telah diubah suai dan wang tunai RM714 turut dirampas.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya Supt Nazri Zawawi berkata operasi melibatkan enam pegawai dan 24 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya itu bertujuan membanteras kegiatan judi haram yang semakin berleluasa.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada enam penjaga premis dan 39 pemain judi berumur antara 20 dan 50 tahun,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Nazri juga berkata setakat ini pihaknya telah menyerbu sebanyak 77 premis dan merampas 377 unit komputer yang telah diubah suai sejak awal tahun ini di sekitar kawasan Ampang. Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa kepada hukuman kepada pemilik premis denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pemain judi pula akan didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak lebih RM5,000. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz2K4MV0bkb 
Hakcipta terpelihara 

Empat beranak hilang ketua keluarga rentung




GAMBAR lima beranak yang mati (dari kiri), Thilagawati, Rajan (suami Jayalatchumy), Suhan, Jayalatchumy dan Puvaneswary.


SUNGAI SIPUT - Empat beranak yang dipercayai tertekan dan tidak dapat menerima hakikat kematian ketua keluarga akibat kanser paru-paru ditemui mati terbakar dengan dua daripada mereka berpelukan di rumah banglo di Taman Bukit Medan di sini semalam.
Empat mangsa itu ialah S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya, R. Thilagawati, 23, R. Puvaneswary, 21, serta R. Suhan, 17. Kematian ibu dan tiga beradik itu berlaku hanya empat hari selepas S. Rajan, 48, suami kepada Jayalatchumy mati.
Mayat keempat-empat beranak itu ditemui di bahagian dapur dengan Thilagawati dan Puvaneswary dalam keadaan berpelukan.
Difahamkan keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Jumaat lalu daripada pengetahuan keluarga terdekat dan jiran-jiran.
Jiran sebelah rumah mereka, Mok Kam Hing, 43, berkata, dia menyedari berlaku kebakaran di rumah disewa keluarga itu sewaktu menonton televisyen pada pukul 12.10 tengah malam.
"Saya terkejut terdengar bunyi letupan kuat dan pada mulanya disangka mercun tetapi selepas menjenguk ke luar rumah, saya mendapati rumah sebelah sedang terbakar," kata Kam Hing yang kemudian menghubungi bomba.
Kata jiran itu lagi, dia percaya letupan itu berpunca daripada tong gas yang terbakar sebelum api merebak membakar hampir semua ruang rumah berkenaan.
Kam Hing memberitahu, keluarga tersebut sering menyendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat sejak mendiami banglo milik seorang doktor kira-kira setahun lalu.
Sementara itu, abang Jayalatchumy, S. Ramesh Rao, 47, berkata, dia terkejut apabila mengetahui kematian adiknya dan tiga anak wanita itu dalam keadaan tragis.
Lebih mengejutkan, dia yang tinggal di Taman Muhibbah di sini mendakwa baru mengetahui mengenai kematian adik iparnya, Rajan yang disembunyikan oleh Jayalatchumy.
"Saya difahamkan pengkebumian Rajan diuruskan sendiri oleh Jayalatchumy dan anak-anaknya pada Sabtu lalu.
"Sejak tiga tahun lalu, Jayalatchumy dan keluarganya bertindak menjauhkan diri daripada keluarga kandung dan keluarga sebelah mertua ekoran satu perselisihan faham," katanya yang enggan mendedahkan punca perselisihan faham itu.
Bagaimanapun, Ramesh berkata, dia tetap akan melakukan kewajipan sebagai seorang abang dengan menyempurnakan persemadian Jayalatchumy dan anak-anaknya di Kampung Rimba Panjang di sini pada hari ini.
Rajan dan Jayalatchumy mengusaha ladang getah milik mereka di sini manakala Thilagawati bekerja sebagai kerani, Puvaneswary masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan Suhan pula pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Ipoh dihantar ke tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah malam sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurut beliau, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian dapur itu sebelum merebak ke beberapa bahagian rumah.
Katanya, kesemua mayat mangsa ditemui di dapur rumah tersebut pada pukul 12.57 tengah sejurus selepas api berjaya dipadamkan.
"Pihak bomba berjaya memadam api 35 minit kemudian dan mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada letupan tong gas," kata beliau.
Azman memberitahu, polis mengklasifikasi kematian empat beranak itu sebagai mati mengejut dan sebelum ditemui mati mereka dikatakan amat tertekan selepas kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2K4LuJCdg 
Hakcipta terpelihara 

Polis tumpas sindiket ubah suai cek, seorang ditahan




MOHMAD (kanan) mendengar penerangan daripada pegawainya mengenai cek yang dirampas pada sidang akhbar di Cheras semalam.


KUALA LUMPUR - Kegiatan licik seorang lelaki yang menjalankan kegiatan mengubah suai cek yang dicuri daripada peti surat sejak lima tahun lalu terbongkar apabila dia ditahan bersama 1,321 keping cek bernilai RM1 juta baru-baru ini.
Suspek berusia lingkungan 32 tersebut ditahan pada pukul 6.45 petang 29 Januari lalu selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan daripada seorang lelaki mengatakan akaun banknya telah digunakan untuk memasukkan cek yang telah diubah suai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pemandu itu mendakwa akaun bank miliknya telah disekat selepas dia mengeluarkan RM3,910 pada Oktober tahun lalu.
Katanya, siasatan mendapati, akaun bank lelaki itu telah digunakan oleh seorang wanita Thailand untuk memasukkan cek tersebut.
"Siasatan mendapati cek itu sebenarnya milik seorang peniaga wanita di Melaka. Mangsa telah membuat laporan pada 28 Disember tahun lalu selepas mendapati cek yang sepatutnya diposkan kepada pembekalnya kira-kira tiga bulan sebelum itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank pihak lain.
"Bertindak atas maklumat, polis kemudian telah membuat serbuan sebelum memberkas seorang lelaki berusia 32 tahun pada pukul 6.45 petang 29 Januari lalu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, suspek diberkas selepas dia menyerah diri di Balai Polis Pudu di sini. Soal siasat kemudian membawa polis ke sebuah premis di Jalan Shelly, Cheras pada pukul 9.30 malam.
Menurut Mohmad, di situ, polis merampas beberapa peralatan untuk mengubah suai cek.
"Antara yang dirampas termasuk 1,321 keping cek, mesin pencetak, komputer riba, alat pengesan ketulenan wang, mesin taip, cecair yang digunakan untuk mengubah suai cek, telefon bimbit, pemutar skru dan segugus kunci," katanya yang memberitahu, kesemua barangan itu dianggarkan bernilai RM1 juta.
Ujar Mohmad, modus operandi mereka ialah akan mencuri surat mengandungi cek dari peti pos yang tidak berkunci di bangunan kedai dan pejabat di seluruh negara. Selepas itu, mereka akan menggunakan sejenis cecair untuk mengubah nombor akaun dan jumlah cek tersebut.
"Polis percaya telah menyelesaikan 107 kes ubah suai cek dengan tertangkapnya suspek itu," katanya.
Polis kini sedang mencari beberapa lagi individu termasuk dua beradik, Lau Chee Chong, 35, dan Lau Chee Chun, 32, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun, sebat atau denda.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2K4LhGw6H 
Hakcipta terpelihara 

Polis reman penyanyi muda




ANGGOTA polis mengiringi suspek (dua dari kanan) selepas prosiding mendapatkan perintah reman di Mahkamah Sesyen Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Polis semalam mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman selama dua hari ke atas seorang penyanyi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol teman wanitanya di sebuah rumah di Ukay Perdana dekat sini Ahad lalu.
Artis lelaki berusia lingkungan 25 tahun yang pernah menjuarai sebuah program hiburan realiti popular sekitar 2010 anjuran sebuah stesen televisyen itu direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jalaluddin berkata, tempoh dua hari itu akan digunakan sepenuhnya oleh polis bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes tersebut.
“Kita telah mengambil keterangan daripada mangsa berusia lingkungan 20-an selepas menerima laporan tersebut. Soal siasat akan dilakukan terhadap teman lelakinya itu bagi membolehkan kita mendakwanya jika terdapat bukti yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Semalam Kosmo! melaporkan polis menahan artis tersebut pada pukul 12 tengah hari di Taman Melati dekat sini kelmarin setelah teman wanitanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung kejadian tersebut.
Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.40 tengah hari 31 Januari lalu ketika dia berada di rumah suspek. Ketika kejadian, ahli keluarga suspek tiada di rumah dan mangsa tidak melawan kerana bimbang akan dicederakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2K4LXPn6n 
Hakcipta terpelihara 

Adik urus jenazah Claudia di Lebanon




PENGERUSI Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Khairun Aseh mengiringi Dora di KLIA semalam.


SEPANG - Adik mendiang Claudia Theophilus, Penerbit Bahasa Inggeris portal berita Al-Jazeera yang maut tertembak diri sendiri Sabtu lalu di Lebanon, berlepas ke negara itu semalam untuk urusan membawa pulang mayat mendiang.
Dora Theophilus, 36, menaiki pesawat syarikat penerbangan Emirates tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, Lebanon kira-kira pukul 6.25 petang waktu Beirut (12.25 pagi waktu Malaysia).
Dia diiringi kenalan rapat Claudia yang enggan dikenali serta dua wakil Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO akan mengenal pasti dan menuntut mayat kakaknya yang ditempatkan di Bakleen, Lebanon hari ini.
Mayat mendiang dijadual dibawa pulang ke tanah air Jumaat ini dengan perbelanjaan ditanggung Al-Jazeera.
Dora ketika ditemui pemberita sebelum itu enggan mengulas lanjut, namun berharap proses membawa pulang mayat kakaknya akan berjalan lancar.
Claudia yang berkhidmat dengan agensi berita Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar terkena tembakan secara tidak sengaja ketika bercuti bersama dua rakannya di Bakleen.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2K4LDpUdg 
Hakcipta terpelihara 

Seorang lagi mati ditembak




POLIS memerhati mayat penjenayah yang mati ditembak di kawasan berhampiran air terjun Gunung Stong, Kuala Krai semalam.


KOTA BHARU - Polis menembak mati seorang lagi anggota Geng Aime, kumpulan penjenayah yang giat merompak menggunakan senjata api, ketika suspek cuba menetak seorang pegawai polis dengan sebilah pedang di kawasan berhampiran air terjun Gunung Stong, Kuala Krai semalam.
Suspek berusia 27 tahun tersebut mati ditembak pada pukul 11.45 pagi. Selain merampas pedang berukuran 75 sentimeter, polis turut menemui wang RM6,150 dan beberapa biji pil kuda daripada suspek yang berasal dari Paka, Terengganu itu.
Difahamkan, suspek diburu selepas dia dan seorang rakannya berjaya meloloskan diri ketika serbuan di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Ahad lalu. Dalam serbuan pukul 1 petang itu, dua lagi rakannya mati ditembak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya bergegas ke kawasan air terjun tersebut selepas menerima maklumat daripada orang kampung pada pukul 10.30 pagi mendakwa ternampak kelibat suspek sedang berjalan kaki di situ.
"Ketika sedang membuat kepungan, suspek cuba menetak salah seorang pegawai berpangkat Inspektor dengan pedang. Untuk mempertahankan diri, pegawai berkenaan telah melepaskan satu das tembakan ke arah suspek yang menyebabkan kematiannya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, polis menembak mati dua penjenayah bergelar Geng Aime yang aktif melakukan rompakan bersenjata sejak setahun lalu di Kampung Sungai Sam. Dua lagi rakan mereka ketika itu berjaya melarikan diri dalam kejadian berbalas tembak tersebut.
Kejadian pukul 1 petang itu berlaku apabila polis mengesan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat suspek tersebut dalam keadaan mencurigakan.
Semakan mendapati, sebelum itu, mereka telah menyamun seorang kerani berusia 23 tahun di sebuah syarikat di Kuala Krai yang baru mengeluarkan wang RM50,000 daripada sebuah bank.
Menurut Jalaluddin, pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2K4L0L3WK 
Hakcipta terpelihara