Search This Blog

Monday, February 4, 2013

Polis tumpaskan Geng Heng Tai berkas kembar, sepupu



KUALA LUMPUR 4 Feb - Geng "Heng Tai", yang dipercayai aktif mencuri kereta sejak enam bulan lepas, tumpas apabila polis memberkas dalangnya dan sepasang kembar di kawasan Projek Perumahan Rakyat Desa Petaling, di sini.
Polis turut merampas enam kereta curi, antaranya Proton Perdana, Proton Waja, Proton Iswara, Honda City dan Honda Jazz, yang dianggar bernilai RM250,000.
Kesemua kereta itu dilapor hilang di sekitar Lembah Klang, kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh.
Beliau berkata, pasangan kembar berusia 27 tahun dan dalang kumpulan itu berusia 35 tahun yang juga abang sepupu kembar terbabit ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta Proton Perdana pada pukul 9.30 malam, 22 Jan.
"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, kami menemui sebatang Allen key yang diubahsuai, tiga batang kikir, satu rangkai kunci dan penggera kereta, dua kunci kereta Toyota dan Nissan serta sebilah parang panjang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Polis percaya dengan tangkapan itu, 17 kes curi kereta di sekitar Lembah Klang diselesaikan, katanya.
Sementara itu, polis sedang mengesan seorang lelaki Sukarman Kadir, 30, bagi membantu membantu siasatan 13 kes pecah rumah di sekitar Cheras sejak dua bulan lepas. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130204/je_11/Polis-tumpaskan-Geng-Heng-Tai-berkas-kembar-sepupu#ixzz2JwgmbEqy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kilang sebelah terbakar, syarikat kereta rugi RM1 juta



SEORANG anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa salah sebuah kereta mewah yang rosak selepas terkena bahang kebakaran sebuah gudang menyimpan kertas yang terletak bersebelahan premis itu, di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN
BUTTERWORTH 4 Feb. - Sebuah syarikat menjual kereta mewah terpakai kerugian hampir RM1 juta selepas sebuah gudang kotak dan kertas yang terletak bersebelahan terbakar dan mengakibatkan 14 buah kenderaan rosak.
Kebakaran pukul 10.15 pagi bersebelahan gudang kenderaan S.Y Motorsports Sdn. Bhd. di Maklom, Sungai Dua itu mengakibatkan kenderaan mewah seperti Lexus, Honda, Toyota dan Mercedes-Benz tidak sempat diselamatkan dan terbakar.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Seberang Perai Utara, Mohd. Rapit Rosandin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu dan tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.
“Ketika kami sampai gudang kotak dan kertas itu sedang terbakar menyebabkan bahangnya merebak ke gudang kereta yang terletak bersebelahan," katanya. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130204/dn_23/Kilang-sebelah-terbakar-syarikat-kereta-rugi-RM1-juta#ixzz2JwgUjUps
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak jadi pengedar


Jamaludin Kudin


KUALA LUMPUR 3 Feb. - Jika sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi oleh warga Nigeria memilih wanita untuk dijadikan ‘keldai dadah’, keadaan berbeza berlaku di Kelantan apabila kumpulan sindiket dadah tempatan menggunakan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sebagai kurier mengedar bahan larangan itu.
Taktik mengedar dadah menggunakan kanak-kanak yang masih belajar di sekolah rendah semakin popular di negeri itu kerana sukar bagi pihak polis mengambil tindakan terhadap mereka apabila ditangkap.
Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, masalah pengedaran dadah di negeri berjiran dengan Thailand itu serius bukan sahaja kerana jumlah penagih yang tinggi tetapi turut melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti pengedaran.
Beliau berkata, kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti haram itu dibayar dengan sejumlah wang menyebabkan mereka tertarik untuk menjadi pengedar.
“Kegiatan sindiket pengedaran dadah di Kelantan menggunakan kanak-kanak sebagai ‘despatch’ (penghantar) dadah dikesan sudah aktif sejak lima tahun lalu.
“Tujuan sindiket menggunakan kanak-kanak adalah untuk menyukarkan polis mengambil tindakan terhadap mereka kerana kanak-kanak bawah umur tidak boleh diambil tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 dan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.
Jamaludin berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan tangkapan 20 kanak-kanak berusia bawah 13 tahun kerana kesalahan mengedar dadah sepanjang tahun lalu.
Sepanjang tahun lalu juga, katanya, terdapat 310 remaja berusia 14 hingga 18 tahun ditangkap kerana kesalahan sama.
Menurutnya, selain kesalahan mengedar, seramai 180 kanak-kanak berusia bawah 13 tahun ditangkap kerana memiliki dadah dan 330 orang lagi positif mengambil bahan larangan itu.
“Turut ditangkap ialah 1,058 remaja berusia 14 hingga 18 tahun kerana kesalahan memiliki dadah dan 5,466 orang positif dadah," ujarnya.
Menurut Jamaludin, pihaknya memandang serius masalah dadah membabitkan kanak-kanak dan remaja di negara ini kerana sedar ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata, golongan muda yang terlibat dengan dadah akan tercicir dari segi pelajaran dan menimbulkan masalah sosial kerana mereka cenderung melakukan jenayah jika terdesak mendapatkan wang untuk membeli dadah.
Katanya, mereka yang terjebak dengan penagihan dadah juga akan hilang jati diri dan tidak boleh membantu menyumbangkan modal insan bagi membangunkan negara.
“Saya ingin menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak meningkat remaja supaya peka dengan perkembangan mereka kerana kajian mendapati masalah penagihan dadah membabitkan golongan muda banyak berpunca daripada keluarga.
“Antaranya ialah ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa memerhatikan anak-anak dan kediaman yang tidak selesa misalnya keluarga besar tinggal di rumah sempit menyebabkan anak-anak lebih suka berkeliaran di luar mengakibatkan mereka terjebak dengan rakan-rakan terlibat dengan dadah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130204/je_01/Kanak-kanak-jadi-pengedar#ixzz2JwfqXrQ3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lebih banyak bayi, kanak-kanak dikesan mangsa sindiket jual - Polis



ABDUL Abdul Rahim Jaafar (kiri) melepaskan pasukan unit bermotosikal ketika merasmikan Op Selamat II sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/NORAZLINA ISMAIL
NIBONG TEBAL 4 Feb. - Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa lagi bayi dan kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket penjualan bayi di utara tanah air yang dibongkar polis baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, polis sedang mengesan lokasi mereka dijual dan disembunyikan bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak berkenaan.
"Berdasarkan siasatan yang kita jalankan, bukan hanya 10 bayi dan kanak-kanak yang telah diselamatkan baru-baru ini terlibat dengan sindiket berkenaan sebaliknya lebih ramai lagi yang telah dijual oleh sindiket terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat Daerah Seberang Perai Selatan, di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, setakat ini tiga individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) masih direman bagi membantu siasatan kes itu manakala empat yang lain dan seorang doktor sebuah klinik swasta dibebaskan dengan ikat jamin.
Katanya, kertas siasatan kes itu juga telah siap dan pihaknya sedang menunggu arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Baru-baru ini, polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur antara 23 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember 2012. Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.
Mengenai dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, baru-baru ini, beliau berkata, polis masih meneruskan Ops Kesan Gelugor bagi memburu dua lelaki itu yang dipercayai masih berada di negeri ini.
"Polis ada maklumat terkini tentang mereka dan tunggu masa untuk tahan sahaja," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, polis berjaya menumpaskan satu kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar SPS selepas menahan dua lelaki pada Sabtu lalu.
"Hasil soal siasat dijalankan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di Transkrian, di sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam," katanya pada sidang akhbar di sini.
Katanya, ketiga-tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun itu yang mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga 9 Feb ini bagi siasatan.
"Hasil ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah. Selain itu mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan samun serta salah seorang daripadanya adalah bekas tahan mengikut Ordinan Darurat," katanya.
Katanya, polis sedang mencari tiga lelaki C.M Parthiban, 29, beralamat terakhir di Taman Puteri Gunung di sini, M.Karthegayan, 31, beralamat terakhir di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah dan M Haymarji, 19, beralamat terakhir di Jalan Kompang, Taman Penyu, bagi membantu siasatan kes itu.
Shafien berkata, ekoran penahanan tiga lelaki itu, polis berjaya menemui semula semula pemain cakera padat digital dan sebuah amplifier serta menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan bapa kepada seorang daripada suspek kerana menyimpan barang-barang curi.
Beliau berkata, polis telah menubuhkan dua pasukan bagi menangani kejadian samun di sekitar daerah ini berikutan lapan kejadian dilaporkan sejak awal tahun ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130204/je_12/Lebih-banyak-bayi-kanak-kanak-dikesan-mangsa-sindiket-jual---Polis#ixzz2JwfWlin3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami maut, isteri parah kemalangan di Kuantan



IBU saudara mangsa, Subriah Yahya, 39, menunjukkan lokasi kemalangan yang mengorbankan Mohd. Saidi Mahmud, 44, melibatkan motosikal yang mangsa dan isterinya tunggangi dengan sebuah lori dua tan muatan kelapa dan sebuah kereta Proton Waja di Kilometer 3, Jalan Kuantan-Gambang dekat Tanah Putih, Kuantan hari ini. - UTUSAN/KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
KUANTAN 4 Feb. - Seorang penunggang motosikal terbunuh sementara isterinya parah dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km3 Jalan Kuantan-Gambang dekat Tanah Putih pagi tadi.
Mohd. Saidi Mahmud, 44, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala isterinya yang berumur sekitar 30-an tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Pemandu Proton Waja yang dikenali sebagai Tan, berumur 40-an, berkata, dia hanya cedera ringan walaupun keretanya berpusing beberapa kali.
Menurutnya, dia dalam perjalanan dari arah Kuantan dan berada di lorong kanan jalan apabila sebuah lori membawa kelapa sawit di lorong kiri tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan keretanya dan lori itu bergesel.
"Selepas itu kereta saya berpusing beberapa kali sebelum berhenti dalam keadaan menghala ke Kuantan kembali dan lori tersebut tersasar semula ke kiri jalan dan mungkin ketika itu motosikal mangsa dilanggar dan diseret beberapa meter," katanya ketika ditemui.
Tan berkata, dia hanya menyedari kejadian yang menimpa pasangan suami isteri itu selepas keluar dari kenderaannya.
Pemandu lori itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Seorang penyelia syarikat pembersihan yang hanya dikenali sebagai Faisal berkata, pasangan suami isteri itu bekerja sebagai pembersih longkang di bawah kontraktor yang dilantik syarikat terbabit.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof yang dihubungi mengesahkan nahas terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130204/je_10/Suami-maut-isteri-parah-kemalangan-di-Kuantan#ixzz2JwfJWzA4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

7 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang



KUALA LUMPUR 4 Feb. - Sebuah keluarga tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah flat yang disewa mereka di tingkat 12, Blok 209, Taman Dato’ Senu di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Kebakaran yang dipercayai bermula dari bilik tidur utama itu merebak ke seluruh rumah pada pukul 11.43 pagi.
Mangsa, Azamir Yusof, 37, berkata, dia bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada isterinya yang kebetulan bekerja pada sebelah petang.
“Setibanya di rumah, isteri dan dua orang anak saya selamat manakala pihak bomba sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
“Apa pun saya bersyukur kerana isteri dan lima orang anak kami selamat," katanya yang telah menyewa di unit itu sejak tahun 2003. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130204/je_09/7-sekeluarga-tinggal-sehelai-sepinggang#ixzz2JwevwLlw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri berjudi ditahan



KUALA LUMPUR 4 Feb. - Gara-gara ketagih judi, sepasang suami isteri sanggup meninggalkan anak-anak mereka berusia antara empat hingga 16 tahun di rumah untuk melakukan kegiatan haram itu.
Bagaimanapun, kegiatan pasangan itu terbongkar setelah mereka ditahan polis dalam serbuan Ops Dadu di sebuah premis judi di pusat perniagaan Metro Prima, Kepong di sini malam tadi.
Dalam serbuan pukul 8.30 malam itu, sepasukan anggota Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) telah menyerbu empat buah premis di kawasan itu dan turut menahan lima penjaganya serta tiga pelanggan termasuk pasangan terbabit.
Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa berkata, polis turut merampas 127 buah komputer dan wang tunai berjumlah RM1,110 yang dipercayai digunakan bagi tujuan berjudi.
“Polis percaya kegiatan judi si kawasan ini semakin kurang mendapat sambutan berdasarkan jumlah tangkapan pelanggan.
“Pelanggan yang ditahan ialah pasangan suami isteri dan seorang lelaki warga tempatan," katanya ketika ditemui selepas operasi itu di sini hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130204/je_13/Suami-isteri-berjudi-ditahan#ixzz2JweJIC9w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rumah pusaka hangus terbakar


Rumah pusaka hangus terbakar
Ahli keluarga mangsa kebakaran mencari barangan terselamat yang mungkin masih boleh digunakan.
KAMUNTING – Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka di Lorong Lembah, Kampung Pinang di sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus rumah tersebut termasuk sebuah motosikal.

Mangsa, G. Santhiran, 45, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di rumah mentua yang terletak di Aulong.

“Ketika berada di sana saya terkejut apabila dimaklumkan oleh jiran melalui telefon yang mengatakan rumah saya terbakar.

“Apabila mendapat tahu musibah tersebut saya bergegas pulang untuk menyelamatkan barangan berharga termasuk sebuah motorsikal.

“Namun, bila sampai di rumah saya dapati api sedang marak di seluruh rumah dan beberapa anggota bomba termasuk dua buah jentera sedang berusaha menyelamatkan rumah saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, tidak ada apa yang mampu dilakukan kecuali hanya berputih mata menyaksikan rumah pusaka yang didiami sejak zaman datuk dan moyang hangus terbakar di depan mata.

“Saya sangat sedih dengan kejadian ini kerana saya tidak ada di tempat lain lagi untuk berteduh dan hanya mengharap belas kasihan dari rakan dan saudara mara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penguasa Bomba Kanan I, Dolah Samino Koromo berkata, dalam kejadian itu seramai 10 anggota telah ditugaskan untuk memadam kebakaran dan turut menggunakan dua jentera dan satu daripadanya bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.

“Kita telah menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.12 malam dan dalam tempoh masa setengah jam kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Dolah berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian dianggarkan RM85,000.

Tikam abang 3 Kali


SENAI - Akibat salah faham ketika sedang bersarapan pagi, seorang adik sanggup menikam abangnya sebanyak tiga kali menggunakan pisau dalam kejadian di Taman Flora Height, Bandar Seri Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, kejadian jam 8 pagi itu berlaku ketika adik-beradik terbabit masing-masing berusia 28 dan 26 tahun sedang sarapan pagi di rumah bersama ibu bapa mereka.

“Perselisihan faham berlaku berkaitan makanan yang dimakan sehingga membabitkan pergaduhan.

“Adik mangsa tidak berpuas hati lalu mengambil pisau di dapur dan menikam mangsa. Mangsa kemudiannya rebah dan ayah mereka segera menghubungi ambulans untuk dibawa ke Hospital Sultan Ismail dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Mohd Roslan berkata, hasil siasatan yang dijalankan, polis mendapati kejadian berlaku berpunca selisih faham berikutan adik mangsa gagal mengawal emosi.

Beliau berkata, adik mangsa dikatakan mempunyai sakit sawan dan masalah mental sejak berusia 13 tahun, namun ubat bagi penyakit terbabit hanya diperolehi dari klinik sebulan sekali tanpa menerima rawatan dari hospital.

“Mangsa luka dalam di belakang badan berhampiran paru-paru.Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pesara polis dakwa tanah diceroboh


Saad
Saad (kiri) bersama Ahmad menunjukkan Sungai Plentong yang dikorek di dalam kawasan tanah miliknya.
PASIR GUDANG – Dua pesara polis mendakwa tanah kurnia seluas 0.4 hektar di Taman Saujana Plentong, di sini, diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti mengorek Sungai Plentong.

Saad Awang, 84, mendakwa, arah aliran sungai itu pada asalnya tidak termasuk dalam tanah miliknya, namun terkejut apabila dikorek, ia menghala ke dalam kawasan tanah miliknya tanpa sebarang persetujuan.

Menurutnya, meskipun perkara itu berlarutan sejak lima tahun lalu, namun perasaan terkilan masih terbuku di hati kerana tindakan pihak berkenaan seolah-olah membelakangkan pemilik tanah.

“Tanah asal saya tak ada sungai, tapi saya tak tahu apa motif sebenar pihak bertanggungjawab mengalihkan arah aliran sungai ke dalam kawasan tanah saya tanpa sebarang perbincangan.

“Saya kecewa dan tak puas hati pihak berkenaan menceroboh tanah saya, sedangkan cukai harta dan cukai tanah dibayar secara tahunan untuk keluasan tanah satu ekar (0.4 hektar),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Abas, 85, berkata, pihak berkenaan seolah-olah lepas tangan dalam perkara itu kerana mereka tidak pernah tampil untuk membayar sebarang ganti rugi.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu membawa perkara itu sehingga ke mahkamah, sebaliknya mahu diselesaikan secara baik.

“Kita tinggal di sini sudah 24 tahun, mereka ceroboh tanah kita tanpa sebarang perbincangan, tapi kita tak pernah dihubungi pihak berkenaan untuk pemberian sebarang ganti rugi.

“Kalau sampai pasang ‘lawyer’ tu dah jalan kasar. Kalau boleh kita nak selesaikan cara baik, tapi sampai sekarang berlarutan masih belum ada jalan penyelesaian,” katanya.

12 tahun cari ibu


12 tahun cari ibu
Idayu Adlin Abdullah, 30 bersama anaknya, Nurmaya Alyssa Zuhairi, 17 bulan menunjukkan potret ibunya yang dirinduinya.
SITIAWAN - “Saya begitu berharap dapat berjumpa dengan ibu kerana begitu rindukannya sehingga terbayang-bayang di dalam mimpi," demikian luahan seorang anak yang mencari ibu kandung yang tidak pernah dijumpai sejak dilahirkan 30 tahun lalu.

Idayu Adlin Abdullah, 30, berkata, sejak dilahirkan dia dibesarkan oleh keluarga angkat.

“Ibu saya, Asmah Shahabudin, 45, menyerahkan saya kepada ibu angkat Aminah Abd Wahid, 65, yang ketika itu bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur manakala ayah angkat, Sabaruddin Sulaiman pula anggota tentera.

“Selama menjadi anak angkat kepada pasangan itu saya tidak pernah tahu saya anak bukan anak kandung mereka sehingga berumur sembilan tahun, apabila mendapati nama pada buku latihan bukan nama ayah angkat saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kayan.

Kata Idayu, ibu angkatnya pernah membawa dia bertemu keluarga kandungnya di Seberang Prai, Pulau Pinang ketika berumur

Mangsa lubuk udang


Mangsa lubuk udang
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Segamat bersiap sedia untuk operasi menyelamatkan.
MUAR - Kegembiraan sembilan sahabat bercuti hujung minggu ke daerah ini untuk memancing udang bertukar tragedi apabila salah sebuah bot yang dinaiki dua rakan mereka terbalik, dalam kejadian di Sungai Muar berhampiran Kampung Semandar,

Grisek, Ledang dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu, Muhammad Syafie Salleh, 30, dikhuatiri mati lemas, manakala Rasyidah Isa, 26, yang turut terjatuh ke dalam sungai itu terselamat apabila berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pemancing udang di kawasan berhampiran.

Saksi Kejadian, Saufi Bakri, 44, berkata, dia menyedari kejadian berlaku selepas terdengar jeritan meminta tolong pada jarak 80 meter dari tempatnya memancing.

Menurutnya, apabila menoleh ke arah suara tersebut, dia melihat sebuah bot sudah terbalik dan di sebelahnya kelihatan seorang lelaki timbul beberapa kali di permukaan air sebelum tenggelam.

“Saya segera menghampiri bot tersebut dan dapati seorang wanita dalam keadaan lemah sedang berpaut pada sebatang pokok berhampiran bot terbalik itu.

“Saya membawanya naik ke atas bot sebelum dihantar ke jeti Grisek,” katanya kepada Sinar Harian.

Saufi dari Labis berkata, dia sering memancing di kawasan itu yang sememangnya terkenal sebagai lubuk udang.

Sementara itu, salah seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Razif, 20an, berkata, dia bersama rakan-rakan yang lain dari Kuala Lumpur tiba di jeti Kampung Semandar Grisek lebih awal berbanding mangsa.

“Kami berpecah ketika memancing dengan memilih bahagian sungai yang agak jauh dari tempat Rasyidah dan Muhamad Shafie memancing.

“Kejadian malang yang menimpa Muhamad Shafie diketahui semasa dalam perjalanan pulang ke jeti kampung berkenaan untuk berehat dan makan tengah hari apabila melihat ramai anggota bomba berkumpul di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Omar Saat berkata, mangsa dikhuatiri mati lemas, mayatnya masih belum ditemui sejak kerja-kerja mencarinya dilakukan kelmarin.

“Kita meneruskan operasi melibatkan 20 anggota bomba daerah Ledang dibantu 10 anggota unit selam dari Balai Bomba dan Penyelamat Segamat,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Operasi mencari akan diteruskan sehingga mayat mangsa ditemui dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Nekad tembak tuan rumah


Mohd Shukri Dahlan
Datuk Mohd Shukri Dahlan
IPOH – Lebih 50 tetamu yang menghadiri jamuan bagi meraikan kemasukan dalam rumah baru gempar apabila tuan rumah rebah selepas terkena satu das tembakan di kepala ketika sedang melayan tetamu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa, K Nanthan, 33, cedera parah selepas ditembak oleh salah seorang dari lelaki bertopeng yang menaiki kereta di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pihaknya mempercayai cubaan bunuh itu bermotifkan dendam.

“Ketika kejadian, mangsa sedang mengadakan majlis ‘house warming’ didatangi sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki bertopeng dipercayai berusia 30-an.

“Suspek telah meluru masuk ke dalam rumah dan terus menembak satu das di bahagian kepala mangsa sebelum melarikan diri. Polis sedang mengenal pasti identiti suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa dilaporkan kritikal tetapi stabil setelah ahli keluarganya membantu membawa mangsa ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Polis masih sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Keluarga mahu Pornthip bedah siasat Sugumar


SHAH ALAM - Keluarga C. Sugumar yang didakwa meninggal dunia akibat dipukul baru-baru ini mahu pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang.

Dr Pornthip adalah pakar patologi yang mendapat perhatian ramai ketika memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock.

Dalam kenyataan media hari ini, Naib Presiden PKR, N. Surendran dan seorang lagi pemimpin parti itu, Latheefa Koya berkata, mereka telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan ketua pengarah Kementerian Kesihatan untuk memberi kebenaran kepada Dr Pornthip melakukan prosedur itu.

"Dr Pornthip mesti diberi akses penuh ke atas kemudahan untuk menjalankan post-mortem kedua di hospital kerajaan dan dibenarkan untuk menjalankan sendiri post-mortem.

"Kami tidak mempunyai bantahan terhadap pakar patologi kerajaan dibenarkan untuk memerhatikan prosedur itu.

"Kami menyeru perdana menteri dan pihak berkuasa berkaitan lain untuk bertindak balas dengan segera ke atas permintaan ini kerana keluarga tidak dapat untuk menjalankan upacara terakhir sehingga bedah siasat kedua selesai," kata kenyataan itu lagi.

Hospital Serdang mengeluarkan laporan bahawa Sugumar meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, dalam kejadian amuk 24 Januari lalu, Sugumar yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hulu Langat, dilaporkan menggunakan palang besi untuk merosakkan harta benda awam.

Beliau mula mengamuk dari Taman Sri Nanding Kajang sebelum menuju ke Taman Desa Raya dan Taman Lagenda Suria.

Abdul Rashid berkata polis mengekori suspek sejauh dua kilometer sebelum dia tiba-tiba terjatuh di bahu jalan.

"Ketika itu, polis dan orang awam menangkap lelaki itu yang bertindak agresif dan dia didapati tidak sedarkan diri ketika berada dalam kenderaan polis," katanya.

Namun timbul dakwaan Sugumar menjadi mangsa pukul polis.

Wanita 50-an maut digilis tren Komuter


KUALA LUMPUR - Seorang wanita berumur dalam lingkungan 50-an maut digilis tren komuter di landasan berhampiran Stesen KTM Komuter Taman Wahyu di sini, hari ini.
 
Mangsa yang tiada dokumen pengenalan diri itu dikatakan diseret sejauh 50 meter dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu.
 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang.
 
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengesahkan pihak KTM Berhad telah membuat laporan mengenai insiden itu.
 
"Kami belum dapat mengenal pasti identiti wanita itu kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui selain keadaan mayat yang hancur akibat kemalangan itu," katanya ketika dihubungi Bernama. - Bernama

Bekas menantu Rais didenda kahwin tanpa kebenaran pendaftar

KUALA LUMPUR - Bekas menantu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Raja Badrul Hisham Raja Zezeman Shah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini, minggu lepas atas kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar, tujuh tahun lalu.

Hakim Asrul Azlan Embong menjatuhkan denda RM600 selepas pakar bedah itu mengaku bersalah ketika kesnya disebut pada 30 Januari lalu.

Mahkamah turut memutuskan hukuman penjara enam hari jika gagal membayar denda. Bagaimanapun denda tersebut telah dibayar.

Pertuduhan ke atas mereka dijadual berlangsung hari ini.

Bagaimanapun telah berlangsung minggu lepas selepas mendapat kebenaran mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bernikah dengan Faizah Sidi tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Villa Laman Tasik, Bandar Seri Permaisuri Cheras, 7 April 2006.

Sementara itu, Faizah didenda RM500 dan hukuman penjara lima hari jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Kedua-dua mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 40(2) dan Seksyen 17 Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, tidak berpuas hati dengan hukuman yang diputuskan mahkamah, Ketua Pendakwa Kanan Syarie, Salehan Md Yatim, semalam, memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Mahkamah tolak saman fitnah bekas wanita terhadap anggota tentera


KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak saman fitnah yang difailkan seorang jurutera terhadap bekas teman lelakinya, seorang anggota tentera laut.
 
Bagaimanapun, Hakim Jumirah Marjuki memerintahkan Leftenan Efftizal Hazrie Roslan membayar sejumlah A$1,468 atau RM4,741 kepada Nur Shairah Ishak sebagai pembayaran balik wang yang dipinjamkan kepada ibu bapa Efftizal Hazrie sepanjang perkenalan lima tahun bermula 2005.
 
Jumirah membuat keputusan tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam Fazlena Noorwati Rahmat yang mewakili Efftizal Hazrie (defendan) dan Fatihah Iliani Jamhari bagi pihak Nur Shairah (plaintif).
 
Fazlena Noorwati memberitahu pemberita bahawa mahkamah tidak membenarkan tuntutan perbelanjaan lain kerana tiada perjanjian sah dan kos akan ditaksir kemudian.
 
Jumlah gantirugi tersebut adalah mengikut tukaran ketika kejadian iaitu A$1 (RM3.23).

Pada 30 Ogos tahun lepas, Nur Shairah yang merupakan seorang jurutera dan penduduk tetap Australia memfailkan saman fitnah terhadap bekas teman lelakinya itu kerana mendakwa dimalukan di laman sosial Facebook.
 
Beliau menuntut pembayaran balik hutang peribadi RM103,955, ganti rugi am bagi fitnah, faedah dan kos.
 
Mengikut pernyataan tuntutan, Nur Shairah mendakwa dalam tempoh perhubungan, mereka sering berjumpa sama ada di Malaysia, Australia atau New Zealand.
 
Beliau mendakwa sepanjang 2005 hingga 2010, mereka sering bercuti bersama dan hampir kesemua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan, tiket bas, tiket konsert, sewa hotel penginapan, sewa kereta dan perbelanjaan lain ditanggung olehnya.
 
Nur Shairah berkata, kesemua pembayaran dibuat atas dasar kesefahaman kedua-dua pihak bahawa Efftizal Hazrie akan membayar semula separuh dari jumlah perbelanjaan tersebut kemudian hari. 

Nur Shairah berkata beliau menyimpan semua rekod dan resit perbelanjaan untuk menuntut kembali keseluruhan yang telah dikeluarkan.
 
Sementara itu, menerusi pernyataan pembelaan Efftizal Hazrie, beliau mendakwa tiada sebarang perjanjian dan beliau tidak pernah meminta Nur Shairah mendahulukan wangnya untuk sebarang perbelanjaan. - Bernama

OKT mati ditembak selepas hadiri prosiding mahkamah




4 Februari 2013
MELAKA - Seorang lelaki yang baru selesai menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh mati ditembak di Jalan Tun Abdul Razak-Ayer Keroh di sini, hari ini.
  
Mangsa, S. Saravanan, 39, yang memandu kereta jenis Honda Accord bersama seorang rakan berusia 28 tahun dipercayai ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini kira-kira 10.20 pagi.
  
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata sebelum kejadian, mangsa dari Butterworth, Pulau Pinang hadir di mahkamah berkenaan sebagai Orang Kena Tuduh dalam satu kes samun pada 2002.
  
Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu kereta menuju ke arah tol Ayer Keroh didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal dari arah sama sebelum pembonceng motosikal terbabit melepaskan beberapa das tembakan ke bahagian tempat pemandu kenderaan itu.
  
"Motosikal terbabit kemudian bergerak ke bahagian depan kereta sebelum melepaskan lagi tembakan ke arah mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
  
Salehhudin berkata, ekoran tembakan itu, kereta mangsa hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta lain di hadapannya.
  
Mangsa ditemui mati dengan kesan tembakan di leher dan bahu ketika polis tiba di lokasi kejadian, katanya.
  
Bagaimanapun, katanya, rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini berada dalam jagaan polis bagi membantu siasatan.
  
Katanya, berdasarkan pemeriksaan awal, polis menjumpai tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian namun polis masih menunggu laporan penuh daripada unit forensik bagi memastikan jumlah tembakan yang dilepaskan ke arah mangsa.
  
Salehhudin meminta saksi kejadian agar tampil membantu siasatan. - Bernama

Calon Presiden Paraguay maut nahas helikopter

ASUNCION - Calon jawatan Presiden Paraguay yang popular maut dalam nahas helikopter semasa sesi jelajah kempen beliau, Sabtu lalu.

Jeneral Bersara, Lino Cesar Oviedo meninggal dunia lewat malam Sabtu lalu ketika helikopter yang dinaikinya terhempas di barat Paraguay.

Pihak penyiasat menjumpai bangkai pesawat itu pada pagi semalam dan mengesahkan Oviedo, 69, pengawal peribadi serta juruterbang helikopter tersebut maut.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak dapat memberi pengesahan lanjut berhubung punca nahas.

Kematian  mengejut Oviedo ketika musim berkempen sedang hangat dijalankan memberi kejutan kepada seluruh landskap politik negara itu kurang tiga bulan sebelum hari pengundian.

“Kami akan mengupah pakar-pakar antarabangsa dalam kemalangan udara bagi menyiasat apa yang berlaku dalam nahas terbabit,” kata Presiden Federico Franco dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengisytiharkan tiga hari sebagai hari berkabung bagi mengenang jasa Oviedo sebagai wira tentera dan memuji mendiang peranannya dalam rampasan kuasa pada 3 Februari 1989 selepas 35 pemerintahan diktator tentera Jeneral  Alfredo Stroessner.

Kali pertama Oviedo bertanding jawatan presiden ialah pada tahun 1998 tetapi gagal selepas beliau dihukum penjara 10 tahun kerana terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada tahun 1996.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung membatalkan hukuman tersebut pada tahun 2007 dan sekali lagi beliau mendaftar nama dalam pilihan raya presiden pada 2008.

Tetapi, beliau hanya meraih tempat ketiga dengan undian sebanyak 21 peratus.

Niat melancong tukar tragedi, 8 maut



YUCAIPA - Sekurang-kurangnya lapan maut dan berpuluh-puluh yang lain cedera selepas bas pelancong berlanggar dengan dua kenderaan lain di selatan Carlifornia.

Kemalangan yang  belaku kira-kira jam 6.30 petang semalam waktu tempatan berlaku berhampiran Yucaipa di Taman Negara San Bernardino.

Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira dua jam bagi menyelamatkan mangsa.

Pegawai berkata, 27, mangsa kemalangan dikejarkan ke hospital berdekatan dan sekurang-kurangnya enam daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Jurucakap dari Highway Carlifornia, Mario Lopez  mendakwa punca kemalangan masih lagi dalam siasatan tetapi pemandu bas ada melaporkan mengalami masalah brek selepas turun dari jalan utama dari kawasan peranginan ski.

Beberapa penumbang berjaya keluar daripada bas manakala yang lain terperangkap di dalamnya.

Jurucakap Jabatan Pengangkutan, Michelle Profant dipetik AP berkata sebahagian pelancong merupakan pelancong dari Tijuana, Mexico.

Seorang wakil konsulat Mexico turut dilaporkan melawat kawasan kemalangan.

Suami maut, isteri parah dalam kemalangan



KUANTAN - Seorang penunggang motosikal terbunuh sementara isterinya parah dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM3 Jalan Kuantan-Gambang dekat Tanah Putih pagi tadi.
 
Mohd Saidi Mahmud, 44, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala isterinya yang berumur sekitar 30-an tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
 
Pemandu Proton Waja yang dikenali sebagai Tan, berumur 40-an, berkata, dia hanya cedera ringan walaupun keretanya berpusing beberapa kali.
 
Menurutnya, dia dalam perjalanan dari arah Kuantan dan berada di lorong kanan jalan apabila sebuah lori membawa kelapa sawit di lorong kiri tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan keretanya dan lori itu bergesel.
   
"Selepas itu kereta saya berpusing beberapa kali sebelum berhenti dalam keadaan menghala ke Kuantan kembali dan lori tersebut tersasar semula ke kiri jalan dan mungkin ketika itu motosikal mangsa dilanggar dan diseret beberapa meter," katanya ketika ditemui.
 
Tan berkata dia hanya menyedari kejadian yang menimpa pasangan suami isteri itu selepas keluar dari kenderaannya.
 
Pemandu lori itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Seorang penyelia syarikat pembersihan yang hanya dikenali sebagai Faisal berkata, pasangan suami isteri itu bekerja sebagai pembersih longkang di bawah kontraktor yang dilantik syarikat terbabit.
 
Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang.
 
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani yang dihubungi mengesahkan nahas terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Mahkamah: Enam wanita Malaysia didakwa bekerja sebagai 'hamba seks'

MELBOURNE - Seorang wanita, dituduh mengendalikan rumah pelacuran di Sydney, memberitahu enam wanita rakyat Malaysia yang ditahannya dalam kes "perhambaan seks", mereka perlu melacurkan diri untuk melangsaikan bayaran yang dihutang mereka untuk datang ke Australia, mahkamah diberitahu.
 
Wong Chee Mei, 37, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan perhambaan seks dan enam pertuduhan melanggar visa, termasuk mengeksploitasi pekerja, menurut laporan Australian Associated Press (AAP).
 
Pada hari pertama perbicaraan kes di Mahkamah Daerah New South Wales di Sydney pada Isnin, Wong yang juga dikenali sebagai 'Yoko', mengendalikan rumah pelacuran Diamonds di Willoughby di utara Sydney antara Ogos 2008 dan 2010.
 
Dia didakwa menggaji enam wanita keturunan India, yang diambil kerja di Malaysia dan dihantar ke Australia atas visa pelajar.
 
Pendakwa Raya Carolyn Davenport SC berkata wanita itu hanya tahu sedikit atau tidak tahu langsung bahasa Inggeris, dan mereka diberitahu yang mereka perlu bekerja sehingga selesai melangsaikan kos tiket penerbangan, visa dan yuran kursus - berjumlah kira-kira A$5,000.

"Sebaik tiba di negara ini, mereka juga diberitahu jenis perkhidmatan yang perlu mereka lakukan di rumah pelacuran itu," beliau dipetik berkata demikian oleh AAP.
 
Apabila mereka enggan berbuat demikian, mereka diberitahu yang mereka mesti melakukannya.
 
"Mereka diberitahu yang mereka tidak dibenarkan meninggalkan rumah pelacuran itu sehingga mereka melangsaikan hutang mereka".
 
Walaupun wanita itu telah selesai membayar hutang mereka selepas "tempoh singkat", Wong didakwa megugut akan membatalkan visa mereka jika mereka meninggalkan tempat itu.
 
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Wong, Bruce Quinn, berkata dia "wanita baik" dan hanya bekerja di rumah pelacuran itu sebagai penyambut tetamu.
 
Beliau berkata perkara itu merupakan "pertikaian perusahaan" dan sengaja ditimbulkan supaya wanita berkenaan boleh tinggal di Australia.
 
Perbicaraan di hadapan Hakim Deborah Sweeney bersambung. - Bernama

Tak senang hati terima risalah tilik nombor ekor



Tilik nombor ekor
Intan menunjukkan risalah menilik nombor ekor yang diedarkan di rumah penduduk.
SEREMBAN – Penyebaran risalah menilik nombor ekor di beberapa taman perumahan di sekitar bandar ini menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penduduk setempat.

Sinar Harian difahamkan, risalah itu diedarkan hampir setiap bulan oleh individu tidak dikenali sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk khususnya beragama Islam.

Risalah hitam putih itu yang tertera gambar seorang lelaki dipercayai seorang tukang tilik turut disertakan dengan nombor telefon bagi memudahkan orang ramai menghubunginya yang dikatakan boleh mengubah nasib, masalah kewangan dan menjadikan seseorang kaya.

Malah, risalah dicetak dalam bahasa Melayu dan Cina itu turut disertakan satu slip resit pembelian nombor ekor yang didakwa memenangi hadiah utama.

Penduduk di Taman Mutiara Galla yang hanya mahu dikenali sebagai Intan berkata, dia hanya menyedari risalah terbabit ada di peti surat rumahnya selepas pulang bekerja.

“Sudah banyak kali saya menerima risalah nombor ekor ini. Pada awalnya saya tidak pernah mengambil kisah tetapi lama kelamaan geram pula kerana risalah itu boleh menggalakkan orang ramai berjudi dan secara tidak langsung memesongkan akidah orang Islam,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, risalah sama juga diedarkan di kawasan perumahan di tempat lain kerana turut menjadi perbualan rakan-rakannya di pejabat.

Intan berkata, pihak berkuasa diharap dapat menyiasat dalang penyebaran risalah berkenaan kerana bimbang ia satu taktik menipu orang ramai.

“Saya ingatkan di taman perumahan saya sahaja, tapi rupa-rupanya di Taman Matahari Indah juga ada menerima risalah sama.

“Bagi saya perbuatan mengedarkan risalah di rumah penduduk beragama Islam adalah perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ugut ibu, penjual ayam didenda RM5,000



KOTA BHARU - Tindakan seorang penjual ayam mengamuk dan mengugut mahu membakar rumah ibunya selepas tidak diberi pinjam motosikal untuk membeli rokok membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Ikhwan Hakimi Hamid, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ikhwan didakwa melakukan ugutan jenayah dengan memecahkan cermin tingkap dan membaling gelas kaca ke lantai serta mengugut mahu membakar rumah terhadap ibunya, Norliza Abdul Rahman, 45, di sebuah rumah di Kampung Baru 2, Jalan Wakaf Mek Zainab di sini pada jam 7.30 malam, 30 Januari 2013.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh secara tiba-tiba mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap serta membaling gelas ke lantai dan menendang pintu sambil mengugut mahu membakar rumah itu kerana tidak berpuashati kerana dapat meminjam motosikal milik adiknya untuk membeli rokok di kedai berhampiran.

Bimbang dengan tindakan tertuduh itu, ibu mangsa bersama anaknya yang lain melarikan diri ke rumah abangnya yang tinggal di kawasan berhampiran.

Tertuduh kemudian ditahan polis selepas mangsa membuat panggilan telefon kerana bimbang tertuduh akan membakar rumah berkenaan.

Terdahulu, Muhammad Ikhwan yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman setimpal kerana dia sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Pada usia 24 tahun tertuduh sepatutnya berfikiran matang sebelum membuat sebarang tindakan yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarganya,” katanya.

Bas sekolah hangus di R&R Temerloh



Bas hangus
Bas sekolah ini hangus seratus peratus ketika pemandunya berhenti di R&R Temerloh untuk berehat, pagi semalam.
TEMERLOH - Sebuah bas sekolah musnah sama sekali dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada jam 11.20 pagi, semalam, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh dari arah Temerloh ke Kuala Lumpur.

Ketua Balai Bomba Temerloh, Hashnuddin Hussein berkata, tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian di Kilometer 131.9 itu kerana bas tersebut tidak membawa penumpang.

Katanya, pemandu bas terbabit memberhentikan kenderaannya untuk berehat di R&R Temerloh.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada jam 11.23 pagi daripada pemanggil Mohd Termizi Abdul Aziz yang melihat kebakaran tersebut.

“Anggota bomba dan penyelamat yang terdiri daripada enam orang dan sebuah jentera kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tiba di lokasi pada jam 11.41 pagi.

“Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bas tersebut didapati telah musnah tetapi tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan,” katanya.

Ribut 10 minit


Ribut 10 minit
Malathi sekeluarga melihat kerosakan bumbung akibat ribut di rumahnya di Taman Seri Jaya, kelmarin.
TANJONG KARANG - Bunyi kuat seperti orang berlari di atas bumbung mengejutkan tujuh keluarga di Taman Seri Jaya, di sini kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Penduduk, R Malathi, 35, berkata, dia terkejut mendengar bunyi kuat apabila menjenguk keluar bumbung rumah tercabut berikutan angin puting beliung.

Menurutnya, bumbung rumah di bahagian hadapan dan belakang tercabut satu persatu dan ahli sekeluarga sempat menyelamatkan diri.

“Saya bersyukur ahli keluarga selamat dan kejadian yang tidak disangka itu turut menjejaskan enam rumah di kawasan itu,” katanya.

Penduduk Taman Seri Setia, Nazrin Muhammad Duin, 20, berkata, dia sempat melihat bumbung rumah dan sampah plastik berterbangan sebelum angin puting beliung itu sampai.

“Ketika itu, semua jadi kaku dan hanya mampu berserah serta tidak putus-putus berdoa keselamatan ahli keluarga.

“Saya juga terkejut kerana kejadian berlaku ketika cuaca panas dan ribut itu datang secara tiba-tiba sahaja,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu. Sinar Harian difahamkan, walaupun ribut melanda rumah penduduk di Taman Seri Jaya dan tujuh lagi rumah di Taman Seri Setia dalam tempoh 10 minit, namun ia mampu menyebabkan kerosakan teruk.

Sementara itu, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias turut tampil mengunjungi mangsa ribut sebaik sahaja menerima berita musibah terbabit.

Menurutnya, pihaknya akan bantu sebaik mungkin melalui peruntukan sedia ada bagi membaiki kerosakan bumbung akibat musibah ribut itu.

Pendatang dicari: Mangsa jumpa dua lelaki sebelum ditemui mati



Pasukan forensik
Pasukan forensik melakukan siasatan ke atas mayat mangsa di lokasi kejadian.
MARAN - Polis mencari dua lelaki warga Indonesia bernama Yusin dan Andy bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang dijumpai mati di paya sebuah kebun getah dekat Felda Bukit Tajau, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kedua lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu juga dipercayai pendatang tanpa izin dan merupakan individu yang difahamkan ingin ditemui mangsa di kawasan kebun getah berkenaan.

Menurutnya, mangsa berusia 58 tahun itu dijumpai dengan kesan lebam di seluruh badan dipercayai mati akibat dibunuh.

“Mangsa keluar dari rumah pada jam 8.30 pagi untuk bertemu kedua-dua lelaki ini bagi menunjukkan kawasan kebun getah yang ingin dipajak.

“Anak mangsa yang risau selepas ibunya tidak pulang meminta bantuan penduduk untuk mencari di kawasan tersebut.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan meminta orang ramai menghubungi pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan seorang ibu tunggal ditemui mati di kawasan paya kebun getahnya selepas 10 jam keluar dari rumah.

Sementara itu, dalam kes berasingan berhubung kematian seorang wanita warga emas yang mati terbakar di Felda Ulu Jempol pada Jumaat lalu,Sulaiman mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Katanya, punca kebakaran yang membawa kepada kematian mangsa masih dalam siasatan.

Ibu tunggal cemas kereta terbalik



Ibu tunggal terbalik
Keadaan kereta dipandu Bidah yang terbalik berdekatan stesen minyak di Rusila, semalam.
MARANG - Seorang ibu tunggal dari Rhu Muda nyaris maut apabila kereta dipandu terbabas selepas melanggar pembahagi jalan, sebelum terbalik di kiri jalan di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rusila, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, kereta Perodua Kancil dipandu Bidah Mamat, 62, yang juga peniaga hasil makanan laut itu dalam perjalanan menuju ke Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk mendapatkan bekalan keropok.

Bidah berkata, dia tidak menyedari kereta dipandunya semakin menghampiri pembahagi jalan di kerana keadaan jalan raya ketika itu gelap.

“Dalam keadaan panik, saya terus memaut stereng kereta ke arah kiri.

“Mungkin tindakan memaut stereng dengan kuat mengakibatkan kereta seperti berpusing sebelum terbalik di tepi kiri jalan berdekatan stesen minyak,” katanya selepas kejadian kemalangan itu.

Bagaimanapun, ibu tunggal yang kematian anak tunggalnya pada April 2009 dan suaminya pula pada Oktober 2010 itu, tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan di tempat kejadian sebaik sahaja ambulans tiba.

“Saya terperangkap di tempat duduk pemandu dan gagal keluar sendiri lalu dibantu orang awam dan mereka yang menarik saya keluar,” katanya.

Bapa minta bantuan kesan 2 anak perempuan



Poh Choo dan Poh Fong.
Dari kiri: Poh Choo dan Poh Fong.
KLANG SELATAN - “Sesiapa yang nampak anak saya tolong beritahu kami secepat mungkin, kami risau keselamatan mereka. Apatah lagi mereka perempuan,” rayu seorang bapa, Chen Fook Chai, 42, kepada orang awam jika ternampak dua anak perempuannya yang disyaki hilang sejak empat hari lalu.

Fook Chai dan isterinya, Lee Lay Ching, 35, kini bimbang apabila anak sulung dan kedua mereka masing-masing dikenali Chen Poh Choo, 15, dan Chen Poh Fong, 13, hingga kini tidak pulang ke rumah.

Foo Chai berkata, kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah sejak 31 Januari lalu selepas keluar dari rumah sekitar jam 12.30 tengah hari untuk ke sekolah.

“Kedua-dua anak saya itu ke sekolah berjalan kaki memandangkan jarak rumah dengan sekolah hanya 10 minit. Malah mereka kerap ke sekolah bersama termasuk balik ke rumah sekitar jam 7 malam.

“Bagaimanapun pada  hari kejadian, sehingga jam 10 malam mereka masih tidak kelihatan kami mencari mereka di sekolah termasuk di rumah rakan dan kawasan sekitar namun tidak jumpa,” katanya.

Foo Chai berkata demikian  ketika mengadukan  perkara itu kepada Penyelaras BN Dun Pandamaran, Datuk Ching Eu Boon, di pekarangan Pejabat MCA Klang, di Jalan Pendamar  di sini semalam.

Bimbang keselamatan kedua-dua anak menurutnya, dia dan isteri membuat laporan polis di Balai Pandamaran Jaya sekitar jam 12.33 pagi.

Sehingga ke hari ini (semalam), katanya, dia dan isteri cuba mengesan kedua-duanya melalui rakan anaknya, sekolah dan saudara namun gagal.

“Mengejutkan kami apabila dimaklumkan pihak sekolah anak saya tidak hadir ke sekolah pada hari kehilangannya itu.
“Kini kami buntu dan khuatir dengan keselamatan mereka apatah lagi mereka masih kecil dan belum matang,” katanya.

Katanya, kedua mereka kerap meluahkan sebarang perkara kepada isteri saya, namun tiada masalah yang dimaklumkan sebelum kehilangan mereka.

Dalam pada itu, Eu Boon berkata, pihaknya berharap mereka yang mempunyai maklumat menghubungi  talian 017-3659897 atau Pejabat MCA Klang 03-31679897.

Dua penjenayah ditembak mati



Ops Selamat Il
Jalaluddin memalu gong sebagai simbolik pelancaran Ops Selamat II.
KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menembak mati dua penjenayah yang merupakan anggota Geng Aime yang aktif dalam kegiatan samun bersenjata api sejak tahun lalu dalam kejadian tembak menembak di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, tengah hari semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 hingga 1 tengah hari itu, sepasukan anggota polis berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki empat suspek.                           

Menurutnya, sebelum itu, keempat-empat suspek telah melakukan samun bersenjata terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan kerani sebuah syarikat di Kuala Krai yang baru sahaja mengeluarkan wang sebanyak RM50,000 dari sebuah bank.

”Sebaik mengeluarkan wang, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga kemudian diekori kenderaan suspek sebelum kereta mangsa dihalang dan suspek menarik mangsa bersama sebuah beg yang berisi wang berkenaan ke dalam kenderaan mereka.

”Selepas melarikan diri sejauh kira-kira 50 kilometer, mangsa ditinggalkan di tepi jalan. Mangsa kemudian terus membuat laporan dan sepasukan anggota polis kemudian berjaya mengesan kenderaan suspek di kawasan Kampung Sungai Sam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Selamat II sempena Tahun Baru Cina di Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, ketika anggota cuba menghalang kereta suspek, salah seorang penjenayah melepaskan empat das tembakan dan pihak polis membalas tembakan, menyebabkan salah seorang penjenayah mati di tempat kejadian dan seorang lagi cuba melarikan diri, namun suspek rebah dan mati.        

Menurutnya, dua lagi penjenayah sempat melarikan diri di dalam semak berhampiran dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.

”Hasil pemeriksaan kita telah menemui sepucuk pistol jenis .38 bersama 15 butir peluru selain wang RM15,200 dipercayai disamun daripada mangsa, sementara baki wang tersebut dipercayai dilarikan oleh dua penjenayah yang berjaya meloloskan diri.

”Suspek yang ditembak mati berusia 22 dan 29 tahun berasal dari Kuala Krai dan Jeli. Hasil semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah. Kita menjejaki kumpulan ini sejak sebulan lalu dan percaya kematian dua suspek berkenaan melumpuhkan aktiviti mereka.

”Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata serta berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 20 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Lelaki maut motor dinaiki rempuh kereta



Lelaki maut motor dinaiki rempuh kereta
Keadaan mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
TELOK KEMANG – Seorang lelaki maut selepas motor yang ditunggangi merempuh sebuah kenderaan dalam nahas jalan raya di Kilometer 12.6, Jalan Pantai, di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Aliff Abidin, 22, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson, manakala rakannya yang membonceng motosikal jenis Yamaha RXZ dinaiki mereka pula cedera parah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila motosikal tersebut cuba memotong kereta jenis Proton Iswara yang mahu masuk ke simpang sebelah kanan, namun mangsa hilang kawalan dan merempuh sebelah kiri kenderaan berkenaan.

“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke bilik mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarga, semalam,” katanya

Abu Sayyaf bebas dua tahanan



Manila: Militan Abu Sayyaf membebaskan dua rakyat Filipina yang bertugas untuk stesen televisyen Jordan yang diculik sejak Jun lalu, kata polis semalam.

Ketua Polis Sulu, Antonio Freyra, berkata pihak berkuasa menemui jurukamera, Ramel Vela, serta juruteknik audio, Roland Letriro, dalam keadaan lemah, kelmarin.


“Kedua-dua mereka dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan,” katanya.

Vela dan Letriro dilaporkan hilang bersama wartawan warga Jordan, Baker Abdullah Atyani, ketika mereka mengadakan temu bual dengan kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu tahun lalu. Freyra berkata, Baker dipercayai masih ada dalam tahanan Abu Sayyaf.


Katanya, Vela dan Letriro kehilangan berat badan yang ketara kerana setiap hari berada dalam keadaan tertekan. Tidak dapat dipastikan setakat ini siapa yang mengusahakan pembebasan mereka. Sumber tentera berkata, Abu Sayyaf menuntut tebusan RM9.6 juta untuk pembebasan Baker dan dua krunya.


Ratusan anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MILF) turut berunding dengan militan terbabit untuk membebaskan ketiga-tiga pekerja stesen televisyen berkenaan. - AP

Wanita seludup kokain ditahan



Bangkok: Seorang wanita Thailand ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kerana disyaki cuba menyeludup kokain bernilai lebih RM2 juta, kata polis semalam.

Suspek, Natcha Lomchanthuek, mendakwa dia baru tiba dari Peru dan singgah di Sao Paulo, Brazil, selain Singapura dan Samui di wilayah Surat Thani. Jurucakap polis berkata, pegawai kastam menemui lebih lima kilogram kokain dalam beg Natcha. “Bagaimanapun, Natcha menafikan tahu mengenai dadah berkenaan dan mendakwa ia dimiliki teman lelakinya,” katanya. Natcha kemudian didakwa memiliki dadah dan menyeludup bahan larangan itu tanpa kebenaran. Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Siasatan Dan Pencegahan Kastam Thailand, Rakop Srisupaat, berkata berlaku peningkatan ketara dalam pembabitan wanita sebagai penyeludup dadah. - Bangkok Post

Maut dirempuh kereta api laju



Albuquerque (New Mexico): Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mati dirempuh kereta api laju Amtrak ketika dia melintas landasan sambil mendengar muzik.

Polis berkata, Jose Angel dia mendengar konduktor membunyikan hon, kerana dia memakai fon kepala ketika berjalan pulang dari Sekolah Tinggi Bernalillo di sepanjang landasan kereta api bersama dua kawannya.


Rakannya dan saksi lain melaporkan melihat Angel berjalan atas landasan tanpa menyedari sebuah kereta api menuju ke selatan muncul dengan kelajuan 112 kilometer sejam, lapor Albuquerque Journal. Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.15 petang menemui mayat mangsa dekat Valle Avenue dan Oak Street, kawasan antara dua laluan umum lintasan kereta api.

Polis menemui serpihan fon kepala dalam telinga mangsa dan iPod di tempat kejadian.


Ketua Polis Bernalillo, Julian Gonzales dilaporkan berkata: “Saya rasa mesej kejadian ini untuk semua remaja ialah: Lihat kedua-dua arah sebelum melintas sama ada di jalan raya atau landasan kereta api.” Kereta api terbabit dalam perjalanan ke arah selatan menuju Albuquerque ketika ia merempuh mangsa. Ia meneruskan perjalanannya kira-kira sejam kemudian. - Daily Mail

‘Lesen tertinggal di rumah’




Shah Alam: “Tolong tuan, jangan tahan saya. Saya ada lesen memandu, tapi tertinggal di rumah,” itu antara alasan seorang mat rempit yang ditahan kerana cuba melarikan diri dalam Ops Samseng Jalanan dan Cegah Lumba Haram di Dataran Shah Alam, di sini, awal pagi semalam.

Remaja berusia 20-an itu cuba melarikan diri sebaik melihat kelibat anggota polis yang mengadakan sekatan jalan raya di kawasan itu.


Namun, kecekapan anggota polis yang berpakaian awam berjaya menahan lelaki terbabit.



Walaupun memberikan alasan lesen memandunya tertinggal di rumah, lelaki terbabit disaman kerana kegagalan mengemukakan lesen memandu ketika diminta polis adalah satu kesalahan. Pegawai Penguat kuasa Trafik Shah Alam Inspektor Ahmad Fazuan Md Zain berkata, selain polis, operasi bermula jam 2 pagi itu mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Menurutnya, dalam operasi itu, 253 kenderaan diperiksa dan 204 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Dalam operasi berkenaan, 54 motosikal dan dua kereta disita dibawa ke Balai Polis Seksyen 9 untuk pemeriksaan lanjut. “Operasi ini adalah usaha berterusan pihak berkuasa untuk mengekang gejala lumba haram dalam kalangan remaja dan Dataran Shah Alam dikesan antara tempat yang menjadi tumpuan mat rempit untuk berlumba dan melakukan aksi berbahaya.


“Tindakan mereka bukan saja membahayakan diri sendiri, tetapi turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya, semalam.

Lelaki dibelasah guna kayu besbol



Akibat menegur perbuatan sekumpulan lelaki menjeling ke arah mereka, seorang lelaki dan rakannya teruk dibelasah dengan kayu besbol ketika mereka melepak di bawah sebuah pangsapuri di Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 22 tahun cedera di kepala dan seluruh badan selepas dibelasah kumpulan terbabit.


“Mangsa menegur perbuatan itu menyebabkan berlaku pertengkaran selama beberapa minit sebelum dileraikan penduduk yang meminta kedua-dua mereka bersurai.

“Sangkaan mangsa kejadian terbabit berakhir di situ meleset apabila selang sejam kemudian tiga kereta berhenti di hadapan mereka sebelum sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol menyerang mereka,” kata sumber.

Tertembak diri sendiri



Kuala Lumpur: Seorang wartawan Al-Jazeera warga Malaysia, Claudia Theophilus, 42, maut dipercayai akibat tertembak diri sendiri di sebuah kawasan pergunungan di Baakleen, Lebanon, Sabtu lalu.

Ketika kejadian jam 2.30 pagi waktu tempatan, bekas wartawan The Sun dan Malaysiakini itu dikatakan bersama dua lagi rakannya.


Duta Besar Malaysia ke Lebanon Ilango Karuppannan berkata, siasatan polis mengesahkan Claudia terkena tembakan dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Baakleen, namun butiran lanjut masih belum diterima.

“Setakat ini (petang semalam), pihak kedutaan belum menerima laporan lengkap mengenai kejadian, tetapi saya difahamkan ia berpunca daripada tembakan dan mayatnya ditempatkan di hospital berkenaan untuk proses autopsi,” katanya.

Marah kekasih diusik, buruh ditusuk senjata tajam



Miri: Berpunca daripada jelingan nakal, seorang buruh warga tempatan cedera ditikam di perut dalam satu pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga Indonesia di gerai makan berdekatan Kawasan Perindustrian Kuala Baram di sini, kelmarin.

Kejadian jam 12.30 tengah malam itu tercetus ketika mangsa berusia 19 tahun sedang minum di gerai berkenaan bersama teman wanitanya yang berusia lingkungan 20-an.


Turut berada di dalam gerai berkenaan ialah sekumpulan lelaki warga Indonesia yang dikatakan meneguk minuman keras dan salah faham mula tercetus apabila mereka cuba mengusik teman wanita remaja terbabit.

Difahamkan, berlaku pertikaman lidah antara mangsa dengan beberapa orang warga asing berkenaan apabila remaja itu menyedari mereka mengusik sambil menjeling ke arah teman wanitanya.


Menurut sumber, pertengkaran mulut antara mangsa dan kumpulan terbabit sampai ke kemuncaknya apabila warga asing itu tiba-tiba bangkit daripada tempat duduk masing-masing dan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai parang dan keris.


Katanya, usaha teman wanita mangsa meleraikan pergaduhan itu gagal apabila dia turut cedera di paha kanan sekali gus menyebabkan beberapa pelanggan lain yang menyaksikan kejadian itu beredar.

“Mangsa parah di perut akibat ditusuk dengan senjata tajam ketika bergelut dengan seorang suspek sebelum rebah dalam keadaan berlumuran darah. Mangsa dibawa orang ramai ke Hospital Miri,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa terbabit kini menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, 10 warga Indonesia dipercayai pekerja kapal di Kuala Baram berusia 20 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.