Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Amir Sharifud-din Aliman berjalan menuju bilik perbicaraan dengan menutup muka menggunakan sapu tangan di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
IPOH 1 Feb. - Seorang pegawai hutan Daerah Hulu Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak sejak tiga tahun lalu.
Amir Sharifud-din Aliman, 59, bagaimanapun mendakwa tidak ingat dan tidak memahami kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya secara berasingan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah dan Hakim Madihah Hairullah.
Berikutan itu, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh oleh kedua-dua hakim tersebut.
Lelaki itu yang memakai jaket hitam dan seluar jean warna sama serta memakai bandana ala bintang rock juga kelihatan terpinga-pinga sebaik sahaja pertuduhan dibacakan sehingga jurubahasa terpaksa membacakan pertuduhan tersebut berulang kali.
Setiap kali dibacakan pertuduhan, Amir Sharifud-din yang diberi kebenaran duduk di kandang pesalah kerana mendakwa tidak sihat hanya berkata "tidak ingat, tidak faham," dan memberitahu fikirannya 'tidak berapa betul'.
Peguam bela, Saw Hoe Teck yang mewakilinya kemudian memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan psikiatri selama sebulan mengikut Seksyen 342(5) Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut peguam itu, pihaknya mempunyai sepucuk surat pakar psikiatri daripada Hospital Fatimah di sini yang memaklumkan anak guamnya mengalami kecelaruan afektif dwikutub yang menyebabkannya mengalami perubahan emosi berepisod iaitu daripada terlalu gembira kepada terlalu sedih dan hilang semangat.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan mengarahkan Amir Sharifud-din dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk pemerhatian psikiatri.
Kedua-dua mahkamah turut menetapkan 1 Mac ini sebutan semula kes bagi membolehkan satu laporan psikiatri tertuduh disediakan.
Ketika prosiding belum bermula, Amir Sharifud-din yang kini digantung kerja turut memberi peringatan kepada semua wartawan yang membuat liputan supaya melaporkan kes itu elok-elok selain menyergah mereka.
"Jika tidak, aku akan berdoa supaya kamu dilaknat Allah tujuh keturunan dan mendapat anak yang cacat," katanya sambil mulut terkumat-kamit tanpa difahami butiran percakapannya.
Mengikut pertuduhan utama yang dibacakan di hadapan Julie, Amir Sharifud-din didakwa menerima rasuah RM100,000 dengan tiada balasan daripada Ismail Abd. Manas yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Kafe Bawang Merah, No.8281, Jalan Suda Bahagia, Gerik dekat sini kira-kira pukul 9 malam, 3 Januari tahun lalu.
Di hadapan Madihah pula, Amir Sharifud-din didakwa atas 12 pertuduhan menerima rasuah daripada Tan Chee Hee berjumlah RM290,000.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di antara pukul 8 pagi, 9 April 2010 dan 5 petang, 21 Oktober tahun lalu di bilik pejabat pegawai hutan Daerah Hulu Perak, Gerik dekat sini.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) A. Hafizh Abu Bakar dan pegawai pendakwa suruhanjaya itu, M. Kathan.
Akhbar pada Januari tahun lalu melaporkan SPRM menahan seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak dan merampas wang tunai RM720,000 ketika menyerbu rumah lelaki itu.
Dalam serbuan tersebut, SPRM turut menemui beberapa akaun saham amanah atas nama ahli keluarganya yang nilai pelaburannya mencecah RM4 juta.
Laporan itu turut menyatakan, serbuan itu adalah susulan daripada penahanan seorang pegawai jabatan berkenaan berusia 40-an dan seorang tauke balak di Hutan Kuar, Pangkalan Hulu, dan menyita 300 batang kayu balak, dipercayai ditebang di luar kawasan.