Search This Blog

Friday, February 1, 2013

Wanita didenda RM700 kerana ugut penyelia kedai




1 Februari 2013
PETALING JAYA - Seorang wanita didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mengugut dengan mengacu sebilah gunting kepada seorang penyelia, enam hari lepas.

Suraya Zullkafli, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara 25 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa mengugut Iskandar Muhammed Nasir, 28, di kedai telefon The Hello Station (M) Sdn Bhd, Tingkat 1, Paradigm Mall, pada 8.30 malam, 26 Jan lepas.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian tertuduh yang juga bekas pekerja di kedai itu telah mengacu sebilah gunting dan cuba menikam Iskandar yang bekerja sebagai penyelia di situ.

Tertuduh juga mengugut untuk melakukan perkara yang tidak baik terhadap Iskandar dan keluarganya.

Pendakwaan di hadapan Majistret Nazri Omran itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya.

Terdahulu, peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Suraya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana dia tidak lagi bekerja. - Bernama

Tahanan polis mati ketika dirawat di HoSHAS Temerloh




1 Februari 2013
TEMERLOH - Seorang lelaki yang dalam tahanan polis kerana disyaki terbabit dalam kes samun, mati ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
 
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata kematian lelaki berusia 43 tahun itu diklasifikasi sebagai mati mengejut selepas mengalami sesak nafas dan berlaku pendarahan dalaman, kesan daripada penyalahgunaan dadah.
 
"Mohd Ropi Yaakob disahkan mati pada pukul 5.50 petang semalam. Dia ditahan di lokap polis Temerloh sejak 24 Januari," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Beliau berkata hasil bedah siasat pihak hospital, mendapati lelaki itu mati akibat 'upper gastrointestinal bleeding' (pendarahan gastrousus).
 
"Pemeriksaan terhadap mayat si mati turut dilakukan Majistret Temerloh Najwa Hashim, dan mendapati tiada kesan kecederaan dan tanda-tanda lebam pada badan si mati, serta tidak ada unsur jenayah atau kekerasan," katanya.

Beliau berkata lelaki itu mengadu sesak nafas semasa dalam lokap pada pukul 4.20 petang semalam dan dia dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
 
Lelaki terbabit ditahan bersama empat lagi lelaki berusia antara 23 dan 48 tahun.
 
Mohd Ropi yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan enam kes samun termasuk satu kes cubaan membunuh yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.  - Bernama

Pasangan kekasih simpan dadah



JOHOR BAHRU - Polis merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan berjumlah RM50,000 dalam serbuan di sebuah kediaman di Taman Iskandar, di sini, 29 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan jam 11.45 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 38 tahun dan pasangannya, seorang wanita tempatan berumur 28 tahun untuk siasatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat aktiviti pengedaran dadah, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan membuat serbuan dan pemeriksaan di Taman Iskandar seterusnya menemui serta merampas pelbagai jenis dadah.

“Antaranya 250 biji pil eramin 5, 3.82 gram heroin, 4.79 gram ganja, 7.72 gram syabu dan 71 biji pil ecstasy yang kesemuanya dipercayai untuk dibekalkan kepada 403 penagih,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, kes disiasat  di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39(A), 15(1)(a) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek, lelaki terbabit didapati positif dadah.

“Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman mulai 30 Januari sehingga 12 Februari ini untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut dilakukan adalah untuk mengesan lain-lain suspek dan sindiket yang terlibat dalam aktiviti berkenaan. Polis percayai suspek ini terlibat dengan rangkaian pengedaran dadah ke Singapura,” katanya.

Muka tercucuk serpihan kaca



Muka tercucuk serpihan kaca
Lori dipandu Tio Hok yang merempuh tiang kabel Telekom dalam kejadian di Jalan Dato Haji Kosai, berdekatan Parit Raja, malam kelmarin.
MUAR – Seorang lelaki nyaris maut selepas lori yang dipandunya merempuh tiang kabel Telekom di hadapan Jalan Dato Haji Kosai, berdekatan Parit Raja di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam, Tiam Tio Hok, 50an, dari Batu Pahat, cedera parah di muka selepas terkena serpihan kaca ekoran cermin depan lori yang pecah akibat rempuhan tersebut.

Lebih malang, seorang orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian tercedera di kepala kerana dihempap tiang Telekom tersebut ketika cuba menghalang lori lain daripada melintasi jalan berkenaan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selepas 10 minit kejadian untuk rawatan lanjut dengan bantuan orang ramai.

Difahamkan, lori tersebut dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat.

Akibat kemalangan itu, kedua-dua arah laluan di situ sesak hampir satu kilometer kerana dua tiang kabel Telekom tumbang menghalang lalu lintas.

Saksi kejadian, Abdul Hadi Menhad, 22, berkata, kabel elektrik itu mengendur disebabkan sebelum ini pernah dilanggar dua treler ketika melalui jalan berkenaan.

“Apabila lori ketiga (lori terlibat hari kejadian) melintasi jalan tersebut, kabel itu tersangkut di kepala lori, lalu tertarik kabel sehingga jarak kira-kira 12 meter dan mengakibatkan dua tiang kabel itu tumbang ke tengah jalan dan satu lagi bengkok,” katanya.

Katanya, kemalangan yang berlaku di hadapan kedai runcit bapanya itu menyebabkan kesesakan jalan di situ sehingga memaksa kenderaan lain menggunakan jalan kampung untuk ke bandar Muar atau menghala ke Batu Pahat.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59,” katanya.

Kereta penyunting berita Bernama disimbah cat




1 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Kereta milik penyunting berita di meja Bahasa Inggeris Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) L. Jaiarajo, 54, yang diletak berhampiran rumahnya di Taman Desa di sini disimbah cat hitam dan merah, semalam.
  
Cermin depan kereta jenis Kia Spectra itu turut dipecah dan sebuah lagi kereta jirannya yang diletak di lokasi sama turut disimbah cat, dalam kejadian awal pagi itu.
  
Jaiarajo berkata bagaimanapun, tiada barangan dalam keretanya dilarikan.
  
"Saya hanya menyedari kereta dipecah dan disimbah cat pukul 7.30 pagi semalam. Malam sebelum kejadian itu, isteri saya lihat kereta kami berada dalam keadaan baik sahaja.
  
"Ini adalah kali pertama berlaku sejak saya tinggal di sini 21 tahun yang lalu. Saya tak tahu apa motif kejadian. Saya dan keluarga tidak pernah berdendam dengan sesiapa," katanya sambil menambah kejadian dipercayai berlaku akibat perbuatan vandalisme. - Bernama

Lelaki tembak mati pemandu bas, culik budak




1 Februari 2013
WASHINGTON - Seorang lelaki bersenjata menembak mati pemandu bas dan menculik kanak-kanak berumur enam tahun di Alabama, menurut media tempatan, kelmarin.

Stesen TV, WSFA melaporkan suspek kini bersembunyi di bawah tanah bersama mangsa dan polis terpaksa berkomunikasi dengannya menerusi paip PVC.

Difahamkan, laluan sekitar dan tiga sekolah berhampiran terpaksa ditutup susulan daripada insiden itu. - AFP

Pemilik kelab cuba bunuh diri




1 Februari 2013
SANTA MARIA - Pemilik kelab malam di Santa Maria yang terbakar dan meragut 235 nyawa pada awal minggu lalu didakwa cuba membunuh diri, menurut polis, kelmarin.

Pegawai kanan polis, Lilian Carus berkata, bukti di tempat kejadian (hospital), di mana dia sedang dirawat jelas menunjukkan Elissandro Sphor mahu menggantung dirinya.

Sementara itu, pegawai kesihatan, Neio Pereira memaklumkan kira-kira 20 pengunjung lain terpaksa dimasukkan ke hospital selepas mereka mengalami simptom radang paru-paru yang didakwa berpunca dari kebakaran tersebut.

"Gejala itu dapat dilihat dalam tempoh lima hari dan ia juga boleh menjadi lebih teruk," katanya.

Lebih 100 pengunjung yang mengalami masalah pernafasan sedang dirawat pada masa ini dan kira-kira 75 daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. - AFP

Derita kena santau



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2013
Derita kena santau
Mohd Zamri menjalankan rawatan perubatan Islam ke atas Jamilah di Pusat Rawatan Islam DIA, Kuala Sungai Baru.
ALOR GAJAH - Angkara hasad dengki, seorang pegawai sebuah bank terkemuka di ibu kota terpaksa menanggung derita batuk kering berterusan sejak lima tahun lalu, dipercayai akibat disantau individu yang dikenalinya.

Mangsa, Jamilah (bukan nama sebenar), 30-an, berkata, pada awalnya dia menyangka hanya diserang batuk biasa akibat demam, namun keadaan badannya dirasakan semakin lemah.

“Selepas dua minggu batuk saya menjadi-jadi sehingga sukar bercakap kerana setiap kali ingin bersuara, saya akan batuk tanpa henti seperti ada sesuatu yang menyekat kerongkong.

“Situasi ini menyukarkan saya berkomunikasi dengan rakan di tempat kerja untuk sebarang urusan. Mujur saya tidak ditugaskan di kaunter hadapan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, lama-kelamaan batuk yang dialami  menyebabkan perut dan dadanya mengalami kesakitan yang teramat.

“Saya tidak pasti apa kesalahan yang dilakukan kepada sesiapa pun.

“Keadaan kesihatan saya disedari ibu yang menegur selepas melihat saya kerap mengambil ubat doktor dan dalam tempoh lima tahun ini sudah lebih 20 kali saya berulang ke hospital dan klinik namun peliknya semua doktor memberitahu saya sihat,” katanya.

Tambahnya, lebih menderita apabila mulutnya terasa berat bercerita kepada suaminya yang berusia awal 40-an sebaliknya hanya meminta menghantarnya ke klinik untuk rawatan sebelum diperkenalkan dengan Pusat Rawatan Islam DIA.

Menurutnya, dia amat bersyukur bila seorang teman memberitahu Pusat Rawatan Islam DIA mampu mengubati santau dan terus ke Melaka ditemani ibunya serta melalui tiga kali rawatan secara berperingkat sehingga sembuh sepenuhnya. 

Sementara itu, Pengamal Perawatan Islam DIA, Mohd Zamri Basir ketika ditemui berkata, mangsa mendakwa mengalami batuk kering berterusan dipercayai terkena santau melalui pemakanan.

“Selepas diberikan rawatan menggunakan air suam dan air kelapa muda yang diisi dengan ayat al-Quran, penyakit misteri mangsa dapat diatasi secara ulangan sebanyak tiga kali hingga pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pegawai Syarak Negeri, Datuk Abu Khir Jamaluddin pula berkata, setiap individu tidak perlu membuat andaian dirinya disantau apatah lagi tanpa pengesahan daripada pakar perubatan.

Jelasnya, berbalik kepada ajaran Islam, setiap individu perlu beramal setiap masa untuk menghindarkan diri daripada gangguan syaitan dan kejadian seperti ini tidak perlu dibesarkan sebaliknya hendaklah dirawat segera.

“Individu berniat jahat menyantau orang lain diingatkan menghentikan perkara ini kerana balasannya akan berbalik kepada mereka,” katanya.

Warga Singapura, wanita tempatan ditahan dipercayai edar dadah




31 Januari 2013
JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki Singapura dan seorang wanita tempatan serta merampas pelbagai dadah bernilai RM50,000 di sebuah rumah di Taman Iskandar di sini dua hari lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua mereka yang berumur 38 dan 28 tahun ditahan pada pukul 11.45 pagi selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan pengedaran dadah.
"Dadah yang dirampas itu membabitkan 250 biji pil disyaki Eramin 5, 3.82 gram disyaki heroin, 4.79 gram disyaki ganja, 7.72 gram disyaki syabu serta 71 biji disyaki pil ecstasy.
"Kesemua dadah ini dianggarkan boleh dibekalkan kepada 403 orang penagih dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Mohd Mokhtar berkata polis percaya kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah terlibat dengan rangkaian pengedaran dadah ke Singapura dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan individu lain yang terlibat.
Beliau berkata ujian air kencing ke atas lelaki tersebut mengesahkan dia positif dadah dan kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga 12 Feb depan.
Menurut Mohd Mokhtar, seorang lelaki dan wanita rakyat Singapura turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah, di sebuah bilik hotel di bandar raya ini dua hari lepas.
Katanya serbuan terhadap mereka yang berumur 46 dan 31 tahun itu dilakukan pada pukul 8.30 pagi dan lelaki terbabit yang didapati positif dadah mendakwa dia bekerja sebagai peguam, bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Polis merampas 9.4 gram disyaki ganja dan 0.7 gram disyaki ketamin yang dianggarkan bernilai RM500 daripada mereka sebelum menahan kedua-duanya untuk siasatan lanjut, katanya.
Dalam kes lain, beliau berkata polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang  menyamar sebagai anggota polis selepas menahan dua lelaki yang sedang menyamun sebuah rumah di Taman Rinting, Masai pada 19 Jan lepas.
Beliau berkata kedua-dua mereka yang berumur 29 dan 35 tahun ditahan sejurus polis menerima laporan mengenai jenayah tersebut di rumah berkenaan.
"Laporan diterima polis pada pukul 2 pagi yang mengatakan empat lelaki telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis lalu menyerbu masuk dan menyamun rumah itu.

Ekoran dari itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan dua daripada mereka.
"Polis kemudian merampas satu ves berwarna biru, satu kad kuasa berwarna kuning, satu jaket biru, sarung pistol, sarung gari berlambang polis, dua pasang gari, satu walkie-talkie, lima telefon bimbit pelbagai jenama, lima rantai, dua kunci kenderaan serta satu beg duit mengandungi pelbagai dokumen milik orang lain daripada mereka," katanya. - Bernama

Sindiket lebur emas tumpas



Sindiket lebur emas tumpas
Seorang lelaki Kemboja yang turut ditahan dalam operasi terbabit.
Sindiket lebur emas tumpas
Sebuah kediaman yang diserbu dalam operasi semalam sedang menjalankan operasi meleburkan barangan terpakai
KOTA BHARU- Taktik licik warga Kemboja menggunakan kawasan belakang rumah sebagai lokasi untuk meleburkan barangan terpakai bagi mendapatkan serbuk emas dan logam secara haram, berjaya ditumpaskan dalam operasi bersepadu sepasukan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini, petang semalam.

Operasi (Ops Lebur) yang diketuai Ketua Inspektor penguat kuasa MPKB-BRI, Mohamad Ali, turut disertai oleh empat anggotanya, enam kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua anggota polis serta empat kakitangan Imigresen.

Dalam serbuan berkenaan, lima kediaman dan sebuah bangsal yang didirikan di belakang semak yang menjalankan kegiatan itu diserbu selain seorang lelaki warga Kemboja yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah turut ditahan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa MPKB-BRI, Ramly Che Hussein, berkata operasi dilakukan, hasil intipan dan risikan anggota penguat kuasa sejak dua bulan lalu.

“Selepas mengenal pasti kawasan berkenaan serta aktiviti yang dijalankan warga Kemboja itu, kami bertindak menjalankan serbuan di kawasan terbabit.

“Melalui maklumat awal yang kami perolehi, mereka menjalankan operasi tanpa lesen dan kebenaran yang sah sekitar tiga hingga lima tahun lalu dengan membakar barangan terpakai  secara terbuka, termasuk pasu bunga, batu, pasir serta cip komputer yang mengundang masalah kesihatan kepada penduduk,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ramly berkata, pihak terbabit pernah diberikan amaran sebelum ini oleh pihak JAS namun masih berdegil serta masih menjalankan aktiviti terbabit dan atas sikap mereka itu pihaknya, mengambil langkah segera menyerbu premis berkenaan.

“Dalam operasi ini, dua kediaman yang sedang menjalankan kegiatan membakar dan melebur diserbu dan diberi notis amaran oleh JAS selama 14 hari untuk memberhentikan kegiatan mereka serta merta serta.

“Sekiranya mereka ingkar dan masih berdegil, MPKB akan mengambil tindakan merobohkan premis terbabit dan tindakan mahkamah akan di ambil oleh pihak JAS,” katanya.

Ramly berkata, di atas kesalahan terbabit pengusaha barangan itu, boleh dikenakan tindakan di bawah akta Undang-Undang Trade Kecil MPKB 1987 dan Akta Dalam Parit dan Bangunan 1974.

Rompak: Tukang jahit berdepan penjara 20 tahun



Rompak: Tukang jahit berdepan penjara 20 tahun
Syamsul Izudy (tengah) dan Amir diiringi polis keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.
KOTA BHARU -Seorang tukang jahit termasuk dua yang berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah menyamun kenalan sendiri, 16 Januari lalu.

Tuduhan terhadap Syamsul Izudy Jusoh, 35, dan seorang buruh, Amer Abdullah,37, dibuat di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mereka didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta Mohd Mokhtar Yahya, 55, iaitu wang tunai RM1,800, empat cincin perak, sebentuk cincin emas putih dan lima butir permata.

Kesalahan dilakukan di tepi jalan belakang sebuah sekolah di Pasir Puteh pada jam 11.45 pagi dan ketika kejadian, mereka bersenjatakan pisau.

Susulan dakwaan itu, kedua-duanya berdepan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, kedua-duanya mengaku bersalah, bagaimanapun hukuman terpaksa ditangguhkan Hakim Azman Mustapha berikutan dokumen membabitkan kes berkenaan masih belum lengkap.

Sementara, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-duanya.

Kes bersambung 4 Februari depan.

Kera gigit kepala anak



Kera gigit kepala anak
Mohd Jefry ditenangkan ayahnya yang masih trauma diserang kera.
Kera gigit kepala anak
Hamid bersiap sedia dengan sabit dan kayu untuk menghalau kera sekiranya mengganggu keluarganya.
Kera gigit kepala anak
Zarinah menunjukkan lokasi anaknya diserang kera liar
TUMPAT – Hanya maut terlintas di fikiran seorang ibu, Zarinah Abdul Ghani, 39, apabila seekor kera liar menyerang dan menggigit kepala anaknya, Mohd Jefry Roslan, 8, di halaman rumahnya di Kampung Dalam Rhu, 30 Disember lalu.

Mohd Jefry mangsa terbaru serangan kera liar, selain enam lagi penduduk di sini.

Bagaimanapun, Mohd Jefry selamat, begitu juga lima mangsa termasuk seorang warga emas dan ibu mengandung.

Walaupun tiada mangsa terkorban, kira-kira 700 keluarga di sini ketakutan, khuatir kera liar itu kembali menyerang penduduk, kerana kelibatnya sering kelihatan di tempat tumpuan ramai sejak tiga bulan lalu.

70 jahitan

Zarinah berkata, anaknya Jefry terima 70 jahitan apabila kepala, tangan dan lutut digigit kera liar ketika leka bermain bersama kucingnya di halaman rumah.

“Ketika itu anak saya baru pulang dari sesi pendaftaran kemasukan murid darjah dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 1.
“Saya pula sedang makan nasi di ruang tamu, tiba-tiba terdengar anak menjerit memanggil saya dan ayahnya.

“Saya menjenguk dan terkejut apabila seekor kera besar berada di atas kepala anak saya sambil menggigit kepala dan tangan anak saya itu,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan panik dia melaung Allahuakbar beberapa kali dan beruk itu melarikan diri ke dalam hutan paya bersebelahan rumahnya.

“Akibat gigitan kera itu, anak saya cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama lapan hari,” katanya.

Ketakutan

Zarinah berkata, sejak kejadian itu, hidupnya tidak tenteram kerana bimbang keselamatan anak-anaknya.
Menurutnya, kini pintu dan tingkap rumah akan dipastikan sentiasa tertutup.
“Saya rela tinggal dalam gelap apabila menutup semua pintu dan tingkap rumah, berbanding diserang kera itu lagi,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Menurutnya, pintu rumahnya akan dibuka apabila suaminya, Hamid Daud, 59, tidak keluar bekerja.

Berwaspada

Hamid berkata, dia sering melihat tiga kera berlegar-legar di belakang rumahnya yang berdekatan hutan paya bakau.

“Hutan paya itu dipercayai menjadi habitat kera, saya sentiasa berwaspada dengan meletakkan sabit dan kayu di setiap pintu dan tingkap rumah.
“Saya bimbang kera liar melompat masuk melalui tingkap, sebab itu senjata tajam diletak berhampiran tingkap dan pintu.
“Sekiranya kera datang menyerang, kami ada senjata untuk melawannya. Setakat ini sudah lapan kali saya nampak kelibat kera itu berlegar-legar berhampiran kawasan rumah saya ini,” katanya.

Trauma diserang

Seorang lagi mangsa, Norzilawati Abd Raziz, 28, berkata, dia diserang kera pada 12 Disember lalu.

Menurutnya yang sarat mengandung, kera itu masuk ke dalam rumahnya ketika dia tinggal bersendirian.

“Ia masuk melalui pintu dapur, saya pula sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Mujurlah saya hanya cedera ringan apabila paha saya dicakar oleh kuku kera yang tajam itu.

“Namun kejadian itu membuatkan saya trauma dan dalam keadaan mengandung ini, saya cukup risau akan menjejaskan kandungan saya,” katanya.

Dalam perhatian


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan memantau kes  itu segera.

“Tindakan menahan perangkap atau langkah bersesuaian akan dilaksanakan segera untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.

Beliau menasihati mangsa merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi membolehkan mereka mendapat sumbangan di bawah Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas.

Rugi RM100,000 rumah terbakar



Rugi RM100,000 rumah terbakar petang kelmarin
Nik Fadilah menunjukkan bahagian ruang tamu yang digunakan mereka sekeluarga untuk menonton televisyen sebelum kejadian.
Rugi RM100,000 rumah terbakar petang kelmarin
Keadaan satu daripada bilik yang musnah terbakar
BERA - Sepasang suami isteri kerugian hampir RM100,000 apabila bahagian dalam rumah dan dapur mereka hangus dalam kejadian kebakaran, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, hanya 10 peratus harta dapat diselamatkan, sementara yang lain terpaksa dibiarkan terbakar.

Nik Fadilah Nik Mahmud, 51, berkata, semasa kejadian, dia bersama anak, menantu dan cucu menonton televisyen di ruang tamu.

Pada ketika itu katanya, menantunya terdengar sesuatu di bilik berdekatan dapur dan memeriksa bilik digunakan untuk menidurkan anaknya.

“Menantu saya ingatkan anak dia bangun dan turun dari buai sebab ada bunyi macam sesuatu diketuk. Tapi, bila dia meninjau bilik itu, anaknya masih lena tidur.

“Kemudian, kedengaran bunyi macam letupan berulang kali dan pada ketika itu, menantu saya nampak api menjulang dari bilik belakang,” katanya.

Nik Fadilah berkata, apabila mendengar menantunya menjerit, dia meminta semua orang keluar segera dari rumah itu tanpa mempedulikan harta benda.

Katanya, semua harta benda yang berjaya dibawa keluar itu adalah hasil pertolongan jirannya.

“Pada masa itu, saya tidak fikir mengenai apa-apa kecuali nyawa anak menantu dan cucu. Bagi saya, itu adalah harta paling berharga.

“Apabila semua selamat keluar, saya meminta menantu menelefon bomba,” katanya.
Rumah berisiko runtuh
Suaminya, Che Azmi Ibrahim, 47, pula berkata, semasa kejadian, dia berada di kebun sawitnya dan apabila tiba di rumah, anggota bomba sedang mengawal kebakaran.

Katanya, walaupun banyak harta benda tidak dapat diselamatkan, namun sekurang-kurangnya mereka masih ada tempat berteduh.
“Kebetulan bahagian serambi masih elok. Jadi, isteri, anak, menantu dan cucu boleh tidur di sana sementara waktu. Tetapi, bomba menasihati kami supaya tidak mendiami rumah itu kerana bimbang akan runtuh,” katanya.

Difahamkan, rumah itu baru didiami dua tahun lalu apabila mereka mendapat kelulusan pinjaman perumahan peneroka, namun kini dipercayai tidak selamat diduduki lagi.

Banyak pihak prihatin

Semasa kejadian, beberapa pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pejabat Ahli Parlimen Bera serta Pejabat Khidmat Rakyat Dun Guai turut menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Semalam, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) menziarahi mangsa dan menyalurkan bantuan untuk membantu mengurangkan penderitaan mereka.

Kes tetak: Polis cari dua individu



Kes tetak: Polis cari dua individu
Mohd Badrul(kiri) dicari polis untuk bantu siasatan berhubung kes tetak
BESUT - Orang ramai diminta membantu mengesan dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung dua kes tetak, di Pengkalan Nyireh dan Bukit Keluang di sini yang berlaku Selasa dan Rabu lepas.

Lelaki dikenali Mohd Badrul Hisyam Mat Ail, 25, dengan alamat terakhir di Rumah Awam Pengkalan Nyireh dekat Kampung Raja diperlukan untuk membantu siasatan kes tetak seorang buruh, Azam Abdullah, 43, di sebuah bengkel di kampung jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kedua belah tangan dan kaki serta patah betis kanan diserang dua lelaki menggunakan pedang ketika berada di bengkel tersebut.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai kerana dendam lama apabila suspek utama pernah dipukul oleh mangsa kerana salah faham tentang bayaran upah mengangkut pasir, Disember tahun lalu.

“Individu kedua yang dikehendaki tampil membantu siasatan ialah anak Azam iaitu Mohd Azuan Sharul Aman, 21, dan alamat terakhir di Kampung Keluang di sini, berhubung kes adik Mohd Badrul Hisyam iaitu Mohd Amirul Faiz, 23, yang cedera parah selepas ditetak, dipercayai dalam kejadian serang balas oleh pihak Azam jam 3.30 pagi kelmarin,” katanya.

Kamaruddin berkata, Mohd Amirul Faiz cedera di seluruh badan akibat ditetak di Kampung Pengkalan Nyireh kemudian di hantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Sebelum itu, Azam pula dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit boleh menghubungi ASP Kamsani Hassan atau Inspektor Saiful Bahri Baharim di talian 09-6956222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, difahamkan Mohd Amirul Faiz tidak tahu menahu mengenai kejadian tetak melibatkan Azam dan dia dikatakan menjadi mangsa balas dendam.

Berdepan hukuman gantung sampai mati



Berdepan hukuman gantung sampai mati
Marazki (kiri) diiringi polis ke lokap selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan memiliki heroin
KUANTAN- Dua lelaki disyaki pengedar dadah berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan  mengedar dadah jenis heroin di sini.

Kedua-dua tertuduh, Norisan Ab Rahman, 31 dari Felda Ulu Jempol, Bandar Jengka dan Marazki Mohammad, 37 dari Sungai Isap Perdana di sini mengaku memahami pertuduhan dihadapi bagaimanapun tiada sebarang rekod pengakuan dicatatkan bagi kedua-dua kes yang disebutkan secara berasingan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norisan didakwa memiliki 435.35 gram (berat kasar) dadah disyaki heroin ketika berada di tempat letak kereta, Jalan Teluk Cempedak di sini kira-kira jam 2.40 pagi, 5 Januari lalu.

Manakala, Marazki yang bekerja sebagai nelayan didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 82 gram ketika berada dalam sebuah rumah di Taman Datuk Rashid Salleh, Jalan Pintasan Kuantan di sini kira-kira jam 3.30 pagi 23 Januari.

Kedua-dua tertuduh didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman menakutkan, gantung sampai mati mandatori.

Kedua-dua kes yang disebutkan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah dan Majistret Rini Triany Mohamad Ali itu  akan disebut semula 1 dan 6 Mac depan untuk sebutan laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh ditahan reman memandangkan tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap mereka, semalam.

Sembunyi pil kuda dalam kipas



Sembunyi pil kuda dalam kipas
Kamaruddin (tengah) menunjukkan dadah jenis pil kuda yang paling banyak dirampas di daerah ini.
KUALA BESUT - Taktik sepasang suami isteri menyembunyikan dadah, dipercayai pil kuda dalam kipas berdiri dalam bilik tidur rumah gagal, apabila ia berjaya ditemui polis dalam satu serbuan di rumah mereka, di Kampung Alor Pisang, dekat Kuala Besut jam  5.10, pagi kelmarin.

Hasil serbuan itu, polis menemui 20 biji pil kuda di bilik tidur manakala 364 biji pil sama termasuk empat biji berwarna kehijauan ditemui di bahagian dapur.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejayaan rampasan tersebut hasil serbuan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

Menurutnya, lelaki yang ditahan berusia 35 tahun bekerja sebagai nelayan beralamat di Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut manakala isterinya, 28, bekerja sebagai tukang jahit beralamat di Kampung Gaung, Jertih.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Gen 2, sebuah motosikal jenis Yamaha LC dan wang tunai RM1,665 dipercayai ada kaitan dengan pengedaran dadah tersebut,” katanya.

Kamaruddin berkata, 364 biji pil yang ditemui itu dibungkus dalam kertas surat khabar dan diletakkan di atas tong gas di bahagian dapur rumah.

Kedua-dua mereka ditahan reman untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 rotan.

Kerana duit, sanggup panggil emak binatang



KUALA TERENGGANU - Seorang anak disifatkan ‘si tanggang moden’ apabila tergamak memanggil ibu kandungnya dengan panggilan ‘binatang’ selepas keinginannya untuk mendapatkan wang RM150 tidak dilayan oleh mangsa, 48.

Dalam kejadian di Kampung Losong Atap Zin, di sini, Isnin lalu, suspek, 23, turut bersikap biadab dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) bertalu-talu mengugut akan membelasah mangsa selagi hajatnya tidak ditunaikan.

Menurut sumber, suspek, anak sulung daripada dua beradik itu telah menjadikan mangsa seperti ‘bank’ apabila setiap hari meminta wang RM150 sejak Oktober tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, setiap kali permintaannya tidak diendahkan, suspek akan memanggil mangsa ‘binatang’ serta mengugut akan memukulnya.

“Mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini sebelum ini terpaksa mengikut sahaja kehendak suspek kerana bimbang keselamatan mereka sekeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, pada hari kejadian, adik lelakinya, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah bertindak menegur suspek disebabkan tidak tahan melihat mangsa dilayan sebegitu.

“Suspek yang tidak suka ditegur oleh adiknya terus mengamuk dan memecahkan tingkap rumah serta merosakkan harta benda di dalam rumah mereka sebelum bertindak mengasari adiknya itu.

“Melihatkan perbuatan melampau suspek, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, beberapa jam selepas kejadian,” katanya.

Susulan laporan diterima, suspek yang sering menggunakan alasan meminta wang untuk membaiki motosikalnya, ditangkap di rumahnya, kira- kira jam 3 pagi, semalam.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian dan tangkapan suspek.

Suspek kini direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Taktik baru tahi judi



 Ahmad Raffli Ab Malek
Ketua Penguat Kuasa Jaip, Ahmad Raffli Ab Malek
KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengesan taktik baru tahi judi yang menggunakan ‘orang tengah’ bukan beragama Islam untuk membeli nombor ekor bagi mengelakkan mereka dicekup pihak berkuasa agama.
Mereka yang ketagih judi ini bertindak  duduk di kedai makan atau premis berhampiran sambil menanti tukang beli mendapatkan nombor sebelum beredar tanpa memasuki premis terbabit.
Ketua Penguat Kuasa Jaip, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, taktik itu mula dikesan di Pekan dan dipercayai menular ke daerah lain.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil tindakan ke atas mereka kerana tiada dalam peruntukan undang-undang dan hanya menahan kaki judi yang memasuki premis,” katanya.
Ahmad Raffli menasihatkan kaki judi supaya menghentikan tabiat itu kerana jelas haram dalam Islam.
“Hasil yang mereka dapati daripada judi itu haram dan tidak memberi kebaikan kepada kehidupan dan keluarga,” katanya.
Ahmad Raffli berkata, tiga tahi judi warga emas kantoi selepas kelibat mereka memasuki premis berkenaan disedari penguat kuasa Jaip yang menjalankan operasi di bandar Pekan, semalam.
Menurutnya, dalam operasi membabitkan dua premis itu, tiga warga emas berusia 60 hingga 65 tahun ditahan untuk soal siasat di Pejabat Jaip Daerah bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan keluarga.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
“Dalam operasi yang diketuai Mohd Anis Mohd Azmi itu, penguat kuasa turut mengejar seorang lelaki yang melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran kita tetapi terpaksa melepaskannya kerana warga asing,” katanya. Tahun lalu, Jaip menahan 211 kaki judi termasuk beberapa warga emas yang tidak pernah takut dengan undang-undang kerana sudah ketagih berjudi.

Pemuda maut motosikal rempuh sekumpulan kerbau



Pemuda maut motosikal rempuh sekumpulan kerbau
Rakan mangsa, Azmani mengutip serpihan motosikal mangsa di tempat kejadian di Kampung Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu. Gambar Kecil: Mohd Wafi
KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu jualan Astro maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sekumpulan kerbau yang melintas jalan di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Wafi Adha Abd Wahab, 26, menunggang motosikal berseorangan dalam perjalanan dari arah Manir, menghala ke rumahnya di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak sekumpulan kerbau yang sedang melintas jalan.

“Mungkin faktor cuaca yang masih gelap menyebabkan mangsa tidak nampak ada sekumpulan kerbau sedang melintas dari kanan, ke kiri jalan.

“Mangsa yang hanya menyedari kewujudan haiwan ternakan itu apabila tiba dalam jarak yang terlalu hampir tidak sempat mengelak lalu melanggar salah seekor daripada haiwan terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zamri berkata, akibatnya, mangsa tercampak ke atas jalan dan mati di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk dibedah siasat.
Sementara itu, ibu mangsa, Rokiah Mohamed, 49, berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa yang buruk menimpa anaknya itu, meskipun panggilan telefonnya tidak dijawab mangsa.
“Kebiasaannya sebelum sampai simpang masuk ke rumah, arwah akan menelefon atau menghantar khidmat pesanan ringkas menyuruh makcik membuka pintu, tetapi malam tadi (semalam), dia tidak telefon dan panggilan makcik juga tidak dijawab,” katanya.
Rokiah berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk menimpa anaknya, Mohd Abdul Wafi Adha Abd Wahab, 26, ketika panggilan yang dibuat tidak dijawab kerana menyangka mangsa akan membalas panggilan itu.
“Tidak lama selepas itu ada orang datang ke rumah memberitahu Wafi terlibat dalam kemalangan jalan raya dan saya bergegas ke tempat kejadian, tetapi ketika sampai, arwah sudah tidak bernyawa. Bagaimanapun, kami redha dengan pemergiannya,” katanya.
Menurutnya, malam sebelum kejadian, arwah keluar kira-kira jam 10.30 malam untuk minum bersama rakan-rakan, namun tidak nampak perubahan ketara pada sikapnya kerana dia seorang yang peramah dan periang.
Menurut Rokiah, anak sulong daripada enam beradik itu memang rapat dengan semua adiknya dan juga saudara mara serta penduduk di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir.
“Semasa kejadian, arwah hendak pulang ke rumah dari bandar Kuala Terengganu dan difahamkan bertembung dengan sekumpulan kerbau yang melintas jalan di kampung ini, Kampung Banggol Tuan Muda.
“Disebabkan keadaan gelap dan arwah tidak sempat mengelak, berlaku kemalangan menyebabkan dia meninggal di situ,” katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan jam 11.00 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu.
Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azmani Muda, 35 berkata, haiwan ternakan sering dilihat berkeliaran di laluan Jalan Manir – Batu Enam, Kuala Terengganu.
“Sepatutnya penternak tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran kerana membahayakan pengguna jalan raya.
“Kawasan ini juga difahamkan sering berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan,” katanya.

Terbaring di jalan 20 minit



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2013
Terbaring di jalan 20 minit
Kedua-dua motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Kuala Rompin remuk teruk.
KUALA ROMPIN - Seorang warga emas yang mengalami cedera parah akibat kemalangan terpaksa berbaring di atas jalan selama 20 minit sebelum dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak, di sini, semalam.

Lebih malang, setelah menerima rawatan di klinik itu, mangsa yang terpaksa dikejarkan ke Hospital Segamat (HS) Johor terpaksa menunggu 30 minit lagi berikutan kelewatan ambulans tiba di klinik terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Shahrul Iman Jamhari, 75, dari Felda Keratong 4, patah kedua-dua kaki selain pendarahan beku dalam kepala.

Saksi kejadian, Mohd Zahafis Abd Razak, 25, berkata, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ dari arah tepi sewaktu membelok ke sebuah Simpang Felda Keratong 4.

“Warga emas terbabit dipercayai cuba masuk ke simpang berhampiran sebuah kedai makan berhampiran, bagaimanapun penunggang motosikal Yamaha RXZ yang berada di belakang motosikal mangsa tidak sempat membrek lalu melanggar mangsa,” katanya.

Mohd Zahafis berkata, akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak ke bahu jalan menyebabkan kepalanya terhentak.

“Manakala penunggang motosikal Yamaha RXZ itu pula tercampak sejauh kira-kira empat meter dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri diminta menangani segera isu ambulans di Rompin memandangkan terdapat banyak kes kelewatan ambulans dilaporkan berlaku di daerah itu.

“Kita berharap agar perkara ini dapat ditangani segera kerana sudah banyak kali aduan dibuat berhubung kelewatan ambulans terutama bagi kes kecemasan yang memerlukan pesakit dihantar awal ke hospital,” katanya.

Berdepan hukuman gantung sampai mati



Berdepan hukuman gantung sampai mati
Marazki (kiri) diiringi polis ke lokap selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan memiliki heroin
KUANTAN- Dua lelaki disyaki pengedar dadah berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan  mengedar dadah jenis heroin di sini.

Kedua-dua tertuduh, Norisan Ab Rahman, 31 dari Felda Ulu Jempol, Bandar Jengka dan Marazki Mohammad, 37 dari Sungai Isap Perdana di sini mengaku memahami pertuduhan dihadapi bagaimanapun tiada sebarang rekod pengakuan dicatatkan bagi kedua-dua kes yang disebutkan secara berasingan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norisan didakwa memiliki 435.35 gram (berat kasar) dadah disyaki heroin ketika berada di tempat letak kereta, Jalan Teluk Cempedak di sini kira-kira jam 2.40 pagi, 5 Januari lalu.

Manakala, Marazki yang bekerja sebagai nelayan didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 82 gram ketika berada dalam sebuah rumah di Taman Datuk Rashid Salleh, Jalan Pintasan Kuantan di sini kira-kira jam 3.30 pagi 23 Januari.

Kedua-dua tertuduh didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman menakutkan, gantung sampai mati mandatori.

Kedua-dua kes yang disebutkan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah dan Majistret Rini Triany Mohamad Ali itu  akan disebut semula 1 dan 6 Mac depan untuk sebutan laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh ditahan reman memandangkan tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap mereka, semalam.

Tujuh cedera diserang monyet liar



MAKASSAR - Sekurang-kurangnya tujuh cedera selepas kira-kira 10 ekor monyet liar mengganas dan menyerang penduduk Kampung Toddang Pulu di wilayah Sulawesi Selatan, Isnin lalu.

Jurucakap daerah Sidendeng Rappang, Ambo Ella berkata, haiwan itu dipercayai datang dari hutan berhampiran secara tiba-tiba.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca serangan tersebut. - AFP

Suami maut, isteri cedera dalam nahas ketika perjalanan ke hospital



Hasrat tidak kesampaian
Pegawai polis memeriksa keadaan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang.
TANJONG KARANG - Hasrat pasangan suami isteri yang mahu menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tanjong Karang tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Batu 9, di sini, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Lebih tragis, mangsa, Kasman Pardi @ Kasman Salleh, 69, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss itu maut di tempat kejadian berhadapan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjong Karang selepas dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.

Sinar Harian difahamkan, mangsa terjatuh dari motosikal dan digilis sehingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian kepala serta anggota badan, manakala isterinya, Tumirah Morman, 52, terhumban ke bonet hadapan kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azman Husin.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai cuba membuat pusingan U ketika melalui jalan kampung untuk ke jalan utama di KM63.5 Jalan Klang-Teluk Intan. Namun, pemandu kereta jenis Honda tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, menantu mangsa, Amir Osman, 28, tidak menyangka kemahuan ayah mentua untuk menunggang motosikal bersama ibu mentuanya, petanda ajalnya.

“Saya ada menawarkan hasrat menghantar mereka ke hospital, namun arwah menolak. Kami reda dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 4, Sungai Burong, manakala Tumirah kini dilaporkan stabil.

Ejen hartanah rugi RM5,000 ditipu 'polis'



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2013
Ejen hartanah kerugian RM5,000 ditipu 'polis'
Kim Geok (dua, kiri) menunjukkan laporan polis dibuatnya berhubung penipuan tersebut
SELAYANG - Seorang ejen hartanah mendakwa kerugian RM5,000 akibat ditipu menerusi panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.

Mangsa, Tan Kim Geok, 44, berkata, terdapat pihak mengambil kesempatan ke atas keluarganya selepas dia ditahan atas tuduhan mencuri barangan di sebuah pasaraya di Jinjang.

Menurutnya, sepanjang tempoh dia ditahan dilokap selama dua hari bermula 24 Januari lalu, keluarganya menerima panggilan daripada individu yang mengaku dirinya polis dan berjanji akan membantu Kim Geok.

“Percaya dengan tawaran tersebut, suami dan ibu memasukkan wang RM5,000 seperti diminta ke dalam akaun suspek sebagai wang jaminan sebelum menerima panggilan kedua meminta tambahan RM4,000," katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Ketua Bahagian Aduan MCA, Johnson Ooi.

Kim Geok berkata, mengesyaki ada sesuatu tidak kena, suami dan ibunya enggan memasukkan wang seperti diarahkan.

Katanya, disebabkan sukar untuk berhubung dengan orang luar semasa direman, dia tidak dapat memaklumkan perkembangan dirinya kepada keluarga.

“Pada 25 Januari, pihak mahkamah menghubungi keluarga memaklumkan saya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan sebutan semula kes akan berlangsung pada Februari.

“Kami menghubungi individu tersebut yang berjanji akan mengembalikan wang ke dalam akaun pada 28 Januari lalu namun sehingga kini RM5,000 belum dikembalikan,” katanya.

Kim Geok berkata, sidang media dibuatnya supaya siasatan dapat dilakukan ke atas individu yang menggunakan nama polis untuk mendapatkan wang dan mengaku dapat menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.

Tukang masak diarah bela diri tuduhan ceroboh, saman dan rogol




1 Februari 2013
PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang tukang masak membela diri atas tiga pertuduhan iaitu menceroboh, menyamun dan merogol mangsa, lima bulan lepas.
  
Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusouf Mohd Haflan, 28.
  
Mahkamah menetapkan tiga hari mulai 25 Feb depan bagi prosiding bela diri.
  
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Yusouf didakwa bersama dua lagi yang masih bebas menceroboh sebuah premis dan menyamun seorang pekerja butik antara 3 pagi hingga 11 malam, 31 Julai 2011.
  
Dia juga didakwa merogol mangsa pada 4 pagi di tempat dan tarikh yang sama.
  
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memanggil seramai 12 saksi untuk memberi keterangan.
  
Yusouf diwakili peguam Abdul Rashid Tasin. - Bernama

Kecewa gerai diroboh MBAS



Kecewa gerai diroboh MBAS
Salim bersama isterinya, Che Pian Ahmad menunjukkan pelan gerai miliknya dan jiran, di samping surat kebenaran dari MBAS dan dokumen lain.
ALOR SETAR - Hilang mata pencarian sekelip mata. Begitulah yang terjadi kepada pasangan suami isteri apabila gerai milik mereka yang terletak berhadapan Taman Wawasan, Kota Sarang Semut dekat sini telah dirobohkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Salim Ismail, 46, berkata, walaupun mereka telah mengemukakan permohonan rayuan penangguhan selepas menerima notis agar pihak terbabit tidak melaksanakan perkara berkenaan, namun dia tetap menerima notis lagi bagi memintanya mengosongkan gerai berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula kelmarin.

“Mana sempat, semalam (kelmarin) ketika ingin menjalankan urusan dan berbincang dengan pihak berkenaan, mereka mengadakan mesyuarat pula, jadi saya pulanglah ke rumah.

“Dan, hari ini (semalam), apabila ingin berbuat demikian sekali lagi di pejabat mereka, saya dimaklumkan bahawa gerai saya telah dirobohkan pihak berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia sedar atas kesalahan yang dilakukannya. Pihak berkenaan memaklumkan bahawa gerai mereka dirobohkan kerana dikatakan tidak mematuhi Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, malah dia dikatakan langsung tidak mempunyai atau mengemukakan surat hitam putih berkaitan gerai miliknya itu.

Namun, tegasnya, dia ada mengemukakan permohonan tersebut kepada MBAS, bersama surat kebenaran bersyarat daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk menjalankan perniagaan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Ketika di awal perniagaan, pihak berkenaan memberi syarat bahawa mereka tidak akan mengganggunya jika dia mendapat kelulusan daripada Mada.  Tetapi selepas mendapat kebenaran mereka mengatakan bahawa surat terbabit tidak berguna pula," katanya.

Salim berkata, dia tidak berpuas hati kerana jika benar mereka melanggar akta berkenaan, maka mengapakah jirannya yang turut menjalankan perniagaan hampir serupa, dengan binaan yang sama dalam kedudukan sejajar tidak dikenakan tindakan undang-undang yang sama.

"Jika benar jiran saya itu mempunyai lesen untuk berbuat demikian, maka mengapa pula lesen miliknya ditarik balik kerana dikatakan melakukan kesalahan?

"Jadi perkara ini membuatkan saya keliru dan sangsi diatas tindakan mereka," katanya.

Katanya, kerugian yang dialaminya adalah RM35,000. Dia berharap agar pihak berkenaan membuat siasatan dan mahu mereka memberi penjelasan berhubung masalah itu.

Dalam pada itu, katanya, dia mengharapkan dirinya mendapat pampasan atas kerugian yang timbul.Sementara itu, Sinar Harian gagal menghubungi pihak MBAS untuk mendapatkan penjelasan.