Search This Blog

Tuesday, January 29, 2013

Isteri temui suami tergantung



LEDANG - Seorang lelaki ditemui mati tergantung di sebuah bilik di rumahnya di sebuah kampung di daerah ini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Harun Idris ketika mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 31 tahun ditemui isterinya, kira-kira satu jam selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, ketika kejadian isteri mangsa tiada di rumah dan hanya disedari sewaktu pulang apabila kelibat suaminya tidak kelihatan sedangkan kenderaan miliknya ada di rumah.
“Kerana hairan, isteri mangsa mencarinya dan mendapati sebuah bilik berkunci, dan apabila dipanggil tiada respons yang diterima.

“Keadaan itu mendorong isteri mangsa  membuka pintu bilik tersebut menggunakan kunci pendua,” katanya.
Bagaimanapun katanya, isteri mangsa terkejut apabila menemui mangsa tergantung dan sudah tidak bernyawa pada kipas siling yang diikat menggunakan wayar seterika dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Lapan individu kecewa dinafikan kewarganegaraan



Lapan individu kecewa dinafikan kewarganegaraan
Jenice (tengah) bersama pengadu menunjukkan kad pengenalan merah yang masih digunakan di Pandan Perdana, baru-baru ini.
AMPANG - Lapan individu antaranya golongan warga emas mendakwa masih belum memperoleh kewarganegaraan Malaysia walaupun mempunyai sijil kelahiran di negara ini.

Adun Teratai, Jenice Lee Ying Ha berkata, beliau menerima aduan kes berhubung lapan penduduk di Pandan Perdana masih menggunakan kad pengenalan merah walaupun lahir di Tanah Melayu sebelum merdeka.

Menurutnya, situasi itu sangat menyedihkan apabila ada di antara mereka yang pernah ditemu duga oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejak tahun 1990-an lagi tetapi masih belum mendapat status kerakyatan yang sah.

“Saya bersimpati apa yang sedang dihadapi oleh mereka apabila kerajaan seolah-olah menafikan hak mereka untuk memiliki kewarganegaraan walhal mereka kesemuanya lahir di Tanah Melayu dan mempunyai sijil kelahiran,” katanya kepada Sinar Harian bersama lapan
pengadu yang mendakwa belum menerima kad pengenalan biru di Pandan Perdana, baru-baru ini.

Jenice berkata, beliau akan merujuk masalah ini kepada Kementerian Dalam Negeri dan cuba untuk mendapatkan tarikh untuk berjumpa dengan menteri berkaitan bagi menyelesaikan masalah ini.

Katanya, beliau juga agak kesal apabila pendatang dan warga asing mudah memiliki kewarganegaraan sedangkan lapan individu ini yang mempunyai sijil kelahiran dinafikan kewarganegaraan negara.

Sementara itu, Ng Khian, 72, dia berasa sedih kerana sudah 72 tahun tinggal di negara ini tetapi masih menggunakan kad pengenalan merah.

Katanya, terbaru dia pernah memohon kad pengenalan biru pada 2011 tetapi masih belum menerima jawapan atau kelulusan permohonannya.

“Banyak kemudahan kerajaan yang saya tidak dapat nikmati seperti bantuan kebajikan malah terkilan kerana masih tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi,” katanya yang tinggal di Pandan Perdana.

Eng Soo Leong ,70, berkata, disebabkan dari keluarga yang susah dan tidak berpelajaran, dia tidak tahu untuk memohon taraf kerakyatan dengan betul.

Katanya, lagipun dia agak gementar untuk pergi temu duga kerana tidak fasih berbahasa Melayu tetapi memiliki sijil kelahiran dan lahir sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan lagi.

“Sepanjang hayat, saya hanya melihat anak-anak sahaja yang mengundi tetapi saya langsung tidak pernah berpeluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

“Saya berharap diberi peluang menikmati kewarganegaraan Malaysia sebelum menutup mata,” katanya yang lahir di Rawang.

Rumah pusaka hangus



Rumah pusaka hangus
Rumah pusaka milik keluarga Leong berusia lebih 30 tahun musnah dalam kejadian kebakaran, kelmarin
IPOH – “Hilang ‘mood’ untuk menyambut Tahun Baru Cina kali ini kerana kenangan berada di rumah pusaka milik keluarga musnah dalam sekelip mata,” kata mangsa kebakaran yang mahu dikenali sebagai Leong, 50.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, rumah kayu yang terletak di Jalan Ampang 17, Taman Ampang  di sini, musnah dalam satu kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah yang tidak berpenghuni.

Rumah berkenaan telah dijadikan sebagai tempat menyimpan barangan antik dan hasil kerja kayu mendiang bapanya selepas berpindah ke rumah baru yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah lokasi kejadian.

Menurutnya, keluarganya baru bercadang untuk memindahkan perabot buatan tangan mendiang bapanya itu ke rumah sebagai tanda kenangan.

“Saya baru menyatakan hasrat untuk meletakkan pelbagai perabot yang ayah buat di rumah saya kepada ibu kelmarin (sabtu) sebagai tanda ingatan terhadap dia.

“Hasrat itu akhirnya musnah apabila saya terkejut rumah keluarga terbakar tanpa mengetahui punca sebenarnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Leong berkata, sambutan tahun baru cina kali ini disifatkan sebagai hambar memikirkan kerugian yang dialami melebihi RM20,000.

“Saya melihat sendiri bagaimana rumah itu musnah setelah menyedari ada asap tebal muncul di kawasan rumahnya. Saya lihat api sudah besar memusnahkan rumah itu.

“Saya terkilan, walaupun hanya barangan lama, rumah itu dibina oleh ayah saya dan kenangan menyambut Tahun Baru Cina di rumah itu musnah bersama barangan milik ayah saya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abd manap Hashim berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 4.30 petang dan mendapati hampir keseluruhan rumah papan berkenaan sudah musnah dalam kebakaran itu.

‘’Seramai 23 anggota bomba serta pegawai dengan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran. Sebaik tiba di lokasi kejadian kebakaran sudah memusnahkan hampir 90 peratus daripada rumah papan berkenaan.

“Api berjaya dikawal 20 minit kemudian dengan punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam siasatan,” katanya.

Bimbang rumah makin retak



Bimbang rumah makin retak
Santosh menunjukkan permukaan tempat letak kenderaan yang retak
Bimbang rumah makin retak
Penduduk bimbang hakisan dan rekahan tanah boleh merebak sehingga menyebabkan struktur bangunan kediaman mereka turut terjejas.
SHAH ALAM – Kira-kira 1,000 penduduk di Pangsapuri Indahria, Seksyen 22, di sini, bimbang apabila masalah rekahan tanah sehingga menyebabkan struktur bangunan kediaman mereka retak sejak setahun lalu, masih berlarutan hingga kini.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri itu, Ariffuniza Koraini berkata, masalah itu dikhuatiri akan mengancam nyawa penduduk berikutan tiada jaminan keselamatan daripada pihak terlibat.

Katanya, keretakan itu dipercayai berpunca akibat rekahan tanah di kawasan tempat letak kenderaan yang terletak bersebelahan pangsapuri 15 tingkat itu dan pergerakan tersebut menyebabkan tiang struktur parkir condong.

“Sebelum ini, sudah ada rekahan tanah dan retakan bangunan berlaku, tetapi tidak terlalu ketara sehinggalah April tahun lalu, kita nampak pergerakan (tanah) semakin teruk.

“Kami buat laporan polis mengenai perkara itu. Polis kata kediaman kami masih selamat, namun mereka juga mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan mesyuarat untuk mengatasi keretakan itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ariffuniza mendakwa, sehingga kini, masih tiada tindakan lanjut diambil bagi meredakan kerisauan penduduk.

“Kita merujuk juga perkara ini dengan pihak pemaju dan mereka hanya menutup rekahan tanah itu dengan kanvas untuk mengelak pengaliran air yang boleh menyebabkan hakisan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bercadang untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung perkara itu pada Rabu ini, jam 9 pagi.

Kereta penduduk dicuri

Seorang penduduk, Mohd Hanif Mohd Salleh, 29, mendakwa, sudah tiga kali kejadian kecurian dan pecah kereta melibatkan kenderaan penduduk yang diletakkan di luar pangsapuri akibat kawasan tempat letak kenderaan yang terhad.

Katanya, kenderaan penduduk dilarang masuk di tempat letak kenderaan tersebut sejak awal tahun lalu berikutan kejadian rekahan terbabit.

“Penduduk hanya boleh letak kereta di tempat letak kereta disediakan dan ada sebahagiannya terpaksa letak kenderaan di luar. Pelawat juga terpaksa letak kenderaan di luar kerana bilangan parkir terhad,” katanya.

Rancang pindah rumah

Seorang lagi penduduk, Mohd Naim Hussin, 32, berkata, dia yang tinggal di pangsapuri itu sejak tiga tahun lalu merancang untuk berpindah ke Bukit Naga, Klang tidak lama lagi kerana bimbang dengan keselamatan keluarga.

“Saya sebenarnya tidak mahu pindah, tetapi disebabkan tidak selesa, saya terpaksa juga berpindah ke rumah lain.

“Masalah ini (dipercayai) akibat pengaliran air bawah tanah yang tidak boleh (mengalir) keluar, jadi tanah retak dan terhakis. Struktur tanah itu kemudian menghala ke surau yang terletak berhampiran parkir menyebabkan berlaku keretakan. Kita risau tanah itu bergerak hingga
ke kediaman kami,” katanya.

Mohd Naim mendakwa, terdapat ramai lagi penduduk di sini sudah berpindah dan menyewakan kediaman mereka kepada orang lain.

Dia turut menggesa supaya pihak terlibat mengambil tindakan segera sebelum masalah itu menjadi lebih buruk.

MBSA bawa kes ke MTES

ementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya akan membawa masalah rekahan di Pangsapuri Indahria itu dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), dijangka Rabu ini.

“Sebarang perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu kelak akan diselaraskan pihak MBSA,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, MTES kini sedang menunggu laporan penuh daripada MBSA berhubung masalah itu sebelum tindakan lanjut diambil.

“Dalam majlis dialog bersama penduduk Selasa lalu, penduduk tanya kenapa projek baik pulih rekahan lambat, namun saya sudah terangkan kepada mereka.

“Dalam kes sebegini, kita perlukan siasatan menyeluruh untuk mengkaji punca kejadian itu berlaku sebelum tindakan tertentu diambil,” katanya.

Rodziah berkata, sebelum ini, Kerajaan Negeri sudah mengarahkan MBSA untuk menyiasat perkara itu dan antara yang dicadangkan ialah dengan melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) memastikan punca sebenar.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, pada mesyuarat MTES nanti, beliau akan meminta MBSA supaya mengeluarkan peruntukan kecemasan bagi menjalankan kerja membaik pulih di kawasan pangsapuri yang terjejas.

Tiang terperosok dalam kereta



Tiang terperosok dalam kereta
Keadaan kereta Honda Jazz dinaiki mangsa yang remuk teruk akibat terhumban ke dalam parit setelah tiang elektrik terperosok dalam kenderaan berkenaan.
KERIAN - Berpantang maut sebelum ajal. Walaupun sebuah kereta remuk teruk dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik hingga menyebabkan tiang itu terperosok ke dalam kenderaan itu, pemandu dan penumpangnya hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kemalangan di Kilometer 94.5 Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth (arah Utara), awal pagi kelmarin.
Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 5.20 pagi itu melibatkan sebuah kereta Honda Jazz berwarna merah yang dipercayai dinaiki tiga mangsa bersaudara dari Taiping, yang terhumban ke dalam sebuah parit setelah merempuh sebuah tiang elektrik di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, berdasarkan siasatan, kereta dipandu mangsa, Mohamad Rezal Supero, 48, berasal dari Batu Caves, Selangor dipercayai hilang kawalan setelah cuba mengelak binatang yang melintas dari arah jalan bertentangan secara tiba-tiba.
“Pada masa sama, keadaan jalan raya mengelirukan juga menyebabkan kereta dinaiki mangsa yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Kurau untuk memancing terbabas seterusnya melanggar sebuah tiang elektrik di tepi jalan.
“Rempuhan itu mengakibatkan tiang elektrik berkenaan patah dua sebelum sebahagiannya terperosok ke dalam kereta mangsa melalui cermin hadapan bahagian pemandu, seterusnya menyebabkan kenderaan itu terhumban ke dalam parit berdekatan,” katanya kepada media di sini semalam.
Mat Fauzi berkata, pemandu bersama dua lagi mangsa berusia lingkungan 30-an hanya cedera ringan dan mereka sendiri mengakui tidak menyangka masih hidup setelah mengalami kemalangan pelik yang mengerikan itu.

Menurutnya, mangsa menceritakan kembali saat dia bersama dua penumpang  lain terpaksa tunduk ke bahagian bawah tempat duduk secara spontan setelah melihat serpihan tiang elektrik terputus dua itu terperosok masuk ke dalam kereta.

“Mereka menceritakan saat bagaimana mereka hanya mampu memejam mata dan berserah nasib kepada tuhan sebelum meluahkan kesyukuran kerana terselamat dari kemalangan pelik itu.
“Polis sendiri tidak menyangka kesemua mangsa terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan menganggap ianya satu keajaiban tuhan,” katanya.
Mat Fauzi berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah treler mengalami kemalangan kecil susulan cermin hadapan kenderaan itu pecah setelah merempuh kabel elektrik yang meregang akibat kejadian tiang elektrik patah.
“Pada masa sama, saya turut menggesa pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam dan awal pagi selain tidak memandu secara melulu bagi mengelakkan kemalangan yang tidak berbau,” katanya.

'Rupa-rupanya kereta curi'



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013
'Rupa-rupanya kereta curi'
Sinar Harian merakamkan gambar beberapa komponen kenderaan yang dileraikan
'Rupa-rupanya kereta curi'
Keadaan kereta curi yang ditinggalkan di sebuah lorong di Taman Seri Tenggara, Parit Buntar.
PARIT BUNTAR - Kesangsian lebih 200 penduduk yang menemui sebuah kereta misteri ditinggalkan di Taman Sri Tenggara di sini berakhir apabila polis mengesahkan ia kenderaan curi.
Penduduk hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, kereta jenis Proton Wira berwarna hitam yang mempunyai dua nombor pendaftaran berbeza, ditinggalkan lebih dari dua hari di sebuah lorong di belakang taman perumahan itu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, penduduk menyedari kewujudan kenderaan itu dua hari lalu setelah ditinggalkan di lorong itu tanpa sebab munasabah.
“Kita mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena disebabkan keadaan kereta itu tidak mempunyai lampu belakang dan plat nombor pendaftaran di bahagian hadapan kenderaan.
“Setelah diperiksa nombor pendaftaran yang tertera di belakang, ternyata ianya berbeza dengan yang tertera pada cermin kenderaan dan kami mengesyaki ianya kenderaan curi,” katanya sewaktu ditemui media di sini.
Lee berkata, penduduk segera memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Keselamatan Sukarelawan Kerian dan seterusnya dipanjangkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dicuri di Georgetown, Pulau Pinang berdasarkan laporan polis dibuat pemiliknya, seminggu lalu.
“Hasil siasatan polis mendapati kereta itu dicuri di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Pantai Jerejak, Pulau Pinang dan siasatan lanjut masih dijalankan terhadap kenderaan berkenaan bagi menjejaki dalang yang mencuri kenderaan berkenaan,” katanya.

Orang awam berkas penyamun



Orang awam berkas penyamun
Jaafar memegang gambar suspek yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes dadah dan samun.
MANJUNG - Tindakan pantas polis dan penduduk berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun di Taman Sentosa, Sitiawan, 23 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, seorang lelaki telah dihampiri tiga lelaki sebelum melarikan beberapa barangan berharga milik mangsa.

Menurutnya, apabila berjaya menyamun cincin dan telefon bimbit mangsa, ketiga-tiga suspek melarikan diri ke arah kawasan berasingan.

“Orang ramai yang menyedari kejadian berkenaan bertindak mengejar ketiga-tiga suspek dan salah seorang daripada mereka berjaya ditangkap.

“Pada masa itu juga terdapat anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan dan bertindak menahan semula suspek yang berjaya ditangkap oleh orang ramai,” katanya ketika sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan di siku dan lengan.

Katanya, seorang lagi suspek yang masih bebas telah dikenal pasti dan dikenali sebagai Lim Chee Chiang, 36.

“Suspek ini disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuklah enam kes berkaitan dadah dan tiga kes samun serta ugut,” katanya.

Jaafar berkata, seorang lagi suspek masih gagal dikesan identitinya dan usaha memburu kedua-dua suspek sedang giat dilaksanakan.

“Dalam kejadian samun itu juga kita telah merampas dua bilah parang dan sebuah kereta jenis Vios yang diguna oleh suspek dan berdasarkan pemeriksaan kereta berkenaan telah dicuri pada tahun lepas.

“Suspek yang berjaya ditangkap masih direman bagi meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 kanun keseksaan,” katanya.

Katanya, pihak polis amat mengalukan maklumat dari orang ramai jika berlaku sebarang kejadian jenayah di tempat mereka.

“Kami amat mengalu-alukan supaya masyarakat memberikan kerjasama yang baik bagi membantu menyelesaikan kes jenayah di kawasan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Pesara tentera maut nahas



Pesara tentera maut nahas
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam nahas jalan raya di di Jalan Muar-Bakri berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri, semalam.
MUAR – Seorang warga emas maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya yang membabitkan dua motosikal di Jalan Muar-Bakri berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.25 pagi itu,  pesara tentera, Yatim Shrani, 65, dari Kampung Parit Bakar Darat, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang sendirian menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dikatakan baru keluar dari persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai menghala ke bandar Muar.
Setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggangi warga emas itu terbabit dalam kemalangan dengan motosikal lain yang datang dari arah Bakri menghala ke bandar Muar.
Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal terjatuh dan  meragut nyawa warga emas terbabit.
Manakala seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC terselamat dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kerana mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian  anggota badan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
“Mayat warga emas itu  di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Remaja lari rumah gara-gara bergaduh dengan adik



Remaja lari rumah gara-gara bergaduh dengan adik
Bariah berharap anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga.
Remaja lari rumah gara-gara bergaduh dengan adik
Siti Nor Akila
BALING - Seorang pelajar tingkatan enam di sebuah sekolah di sini bertindak keluar rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan adiknya sejak Rabu lalu.

Pelajar terbabit, Siti Nor Akila Mohd Bukhari, 19, dari Kampung Ubi, Jalan Felcra Weng, Siong turut meninggalkan sekeping surat agar ahli keluarga tidak mencarinya lagi.

Ibunya, Bariah Ahmad, 50, berkata, anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas menghadiri sesi persekolahan sejak Rabu lalu.

Menurutnya, dia mulai bimbang apabila dia (Nor Akila) tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya sebelum dimaklumkan kakaknya, Norlizawani, 23, bahawa Nor Akila enggan pulang ke rumah.

“Nor Akila telah menghubungi kakaknya itu untuk memaklumkan bahawa dia tidak akan pulang ke rumah selain memberitahu terdapat sepucuk surat di dalam biliknya.

“Surat itu mengandungi luahan rasa hati mengenai perselisihan faham dengan adiknya selain memaklumkan jangan mencarinya lagi,” katanya.

Bariah berkata, Nor Akila juga sempat menghantar pesanan ringkas kepada kakaknya itu Jumaat lalu mengatakan dia berada di Perak dan akan menyambung pelajaran di sana.

“Saya tidak tahu dengan siapa dan di mana dia tinggal.

"Bagaimana dia ingin sambung pelajaran sedangkan dia tidak mempunyai wang,” katanay.

Ditanya sama ada Nor Akila mengikut tempat lelakinya, Bariah berkata, dia tidak menolak kemungkinan berlaku perkara itu.

“Saya difahamkan Nor Akila pernah berkawan dengan seorang lelaki dari Negeri Sembilan yang bekerja di daerah ini. Hampir lima bulan mereka berkawan.

“Tetapi, saya tidak pasti sama ada Nor Akila bersama teman lelakinya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia hanya berharap Nor Akila dapat pulang ke pangkuan keluarga kerana tindakannya itu hanya akan menghancurkan masa hadapannya.

Nor Akila mempunyai ketinggian kira-kira 150 sentimeter, berkulit putih dan berbadan gempal. Sesiapa yang pernah terlihat Nor Akila boleh menghubungi ibunya di talian 013-4042844.

Kes rogol berlaku setiap minggu



KULIM - Kes jenayah rogol melibatkan remaja bawah umur kini semakin membimbangkan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mengikut perangkaan dibuat, kes rogol berlaku setiap minggu dan dari jumlah itu 99 peratus darinya diklasifikasikan sebagai rogol suka sama suka.

Menurutnya, remaja hari ini terdedah dengan pelbagai anasir negatif yang mudah diperoleh .

“Jika dahulu kes rogol melibatkan golongan dewasa, hari ini tidak lagi dan terkini seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan dirogol lebih 20 lelaki.

"Ini merupakan satu fenomena yang tidak normal bagaimanapun keluarga seharusnya  mengambil tahu aktiviti anak mereka dan tidak terlalu melindungi mereka.," katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, melakukan persetubuhan dengan mana-mana pelajar atau murid bawah umur akan diklasifikasi sebagai rogol dan polis  akan bertindak menahan serta mendakwa pasangan terlibat.

Pencuri berputih mata



Pencuri berputih mata
Pemangku Ketua Balai Polis Kulim, Sub Inspektor Mohd Najib Abd Aziz (dua, kiri) memeriksa motosikal yang gagal dilarikan dua remaja.
KULIM- Cubaan dua remaja berusia antara 16 hingga 18 tahun untuk melarikan motosikal gagal apabila kegiatan mereka disedari Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim yang membuat rondaan pencegahan jenayah kira-kira jam 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika menjalankan rondaan di sekitar kawasan pekan Kulim, polis ternampak dua remaja menunda sebuah motosikal menggunakan motosikal jenis Kawasaki 150 RR dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, menyedari diekori polis, suspek melarikan diri di kawasan belakang bangunan sebelum mencampakkan motosikal ditunda itu ke tepi parit.

"Remaja berkenaan kemudiannya melarikan diri dengan membonceng motosikal Kawasaki ke arah Jalan Bukit Awi sebelum menghilangkan diri ke Jalan Machang Bubuk.

"Hasil pemeriksaan mendapati, motosikal yang ditunda itu sudah tamat cukai jalan sejak tiga tahun lalu dan terdapat kesan kerosakan pada kunci hendal kenderaan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, bagi memastikan motosikal itu selamat, polis menghantar kenderaan berkenaan ke Balai Trafik Kulim.

“Kes curi motosikal merupakan jenayah yang sering berlaku di Kulim dan saya menasihatkan pemilik kenderaan itu supaya memasang kunci tambahan.

"Selain itu, jangan meletakkan motosikal di kawasan gelap atau jauh dari pandangan orang ramai,” katanya.

Dua kereta bertembung



Dua kereta bertembung
Keadaan kereta Myvi remuk selepas merempuh tebing longkang.
ALOR GAJAH - Seorang wanita nyaris maut selepas kereta Toyota Vios yang dipandu hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan di jalan Masjid Tanah - Durian Daun, berhampiran Kampung Empangan Batu, di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Juliza Rahmat, 39, dari arah Lendu menuju ke pekan Masjid Tanah hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat sekeluarga dari arah bertentangan.

Sumber berkata, kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan sebaik sahaja melalui satu selekoh berbahaya sebelum muncul Myvi dipercayai dalam perjalanan ke Tol Simpang Ampat.

“Akibat gagal masuk ke laluan sebenar kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali dan terhenti di laluan bertentangan sementara Perodua Myvi berkenaan terbabas ke kiri jalan dan merempuh tebing longkang.

“Perodua Myvi berkenaan tersangkut pada tebing longkang sebelum kesemua mangsa dibantu penduduk berdekatan keluar dari kereta,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang memandu Toyota Vios dilihat tergamam seketika sebelum memberanikan diri keluar dari kereta.

“Sementara mangsa empat sekeluarga tadi berada dalam keadaan sedar namun, seorang wanita dari kereta Myvi mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum orang awam menghubungi bantuan kecemasan.

“Wanita berkenaan mengadu sakit pada kepalanya  dan dibawa ke Hospital Alor Gajah,” katanya.

Jurucakap Hospital Alor Gajah berkata, pihaknya menerima seorang sahaja mangsa wanita yang mengadu sakit di bahagian kepala dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati mangsa  stabil.

“Mangsa kemudiannya dibenarkan pulang sementara empat lagi mangsa dari kedua-dua buah kenderaan yang terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi berkata, semua mangsa dilaporkan stabil dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Cemas disamun empat lelaki



Cemas disamun empat lelaki
Madivanan melakonkan semula bagaimana penyamun berkenaan mengacu parang kemudian mengikat tangan dan kaki mengguna pita pelekat.
ALOR GAJAH - Dua beradik berdepan detik cemas apabila didatangi empat lelaki tidak dikenali mengugut menggunakan parang dan mengikat mereka sebelum membawa lari barang berharga di sebuah rumah di ladang estet di Gadek, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, S.Madivanan, 22, sedang tidur di dalam bilik sementara adiknya, S.Kanaga, 18, di ruang tamu sebelum terdengar bunyi anjing peliharaan mereka menyalak disusuli suara individu lain.

Sumber berkata, pada mulanya empat lelaki berkenaan menaiki Toyota Vios  memberhentikan kereta di belakang rumah mangsa, namun berpusing ke hadapan apabila menyedari jiran berdekatan sedang mengemas di luar rumah.

“Pemandu bersedia dalam kereta yang berkedudukan menghala keluar dari ladang manakala tiga lagi lelaki keluar dengan perlahan sambil tangan mereka berada di belakang seolah menyorokkan sesuatu dan menuju ke rumah mangsa.

Sementara itu, Madivanan berkata, sebaik terdengar suara lelaki di luar rumah adiknya keluar mendapati tiga lelaki bertanyakan mengenai bapa mereka dan menghulurkan sekeping kad jemputan perkahwinan yang diletakkan di atas kerusi luar rumah.

“Ketika adik hendak masuk semula ke dalam rumah mengikut pintu belakang dua daripada lelaki terbabit turut mengekori masuk dan memegang adik saya sebelum mereka buka pintu hadapan dan seorang lagi masuk menuju ke arah saya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu yang memegang parang mengetuk kepalanya dan mengejutkan dia yang tidur dalam kedudukan meniarap sebelum mengacu parang ke lehernya.

“Lelaki itu mengikat kedua tangan saya ke belakang kemudian ikat pula kaki dan menampal mulut saya menggunakan pita pelekat. Begitu juga dengan adik saya  dan dipaksa duduk atas lantai.

“Seorang lagi lelaki bertindak menyelongkar seluruh rumah dan mendesak adik saya memberitahu di mana tempat barangan berharga disimpan,” katanya.

Madivanan berkata, tiga lelaki berkenaan sempat membawa lari tiga telefon bimbit pelbagai jenis miliknya, dua pasang anting-anting ibu, beg duit saya, dua MyKad milik abang dan ibu, duit RM50, tiga surat pajak dan dua kad ATM.

“Ketika seorang daripada lelaki terbabit leka menggeledah, adik saya yang tidak diikat kaki atau tangan meronta hingga berjaya melepaskan diri dan berlari ke rumah jiran bersebelahan menyebabkan tiga lelaki itu segera melarikan diri.

“Adik segera mengecam nombor pendaftaran kenderaan itu. Mujur kami tidak dicederakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesah menerima laporan berhubung kes itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mayat tersangkut celah pokok



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013
Mayat tersangkut celah pokok
Dahan pokok dipotong bagi memudahkan mayat dikeluarkan.
KARAK – Mayat seorang lelaki ditemui hanyut kira-kira lima kilometer dari tempat dia dipercayai hilang bersama rakannya sejak petang Jumaat lalu.

Mangsa, Mohtar Afendi Abdul Rahman, 31, ditemui pasukan menyelamat di bawah rimbunan pokok Lubuk Timah, Sungai Semantan, dekat sini, kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam.

Manakala seorang lagi rakannya, Nik Mohamad Afendi Ismail, 29, masih lagi belum ditemui dan turut dipercayai lemas.

Terdahulu kira-kira jam 2 petang Ahad lalu, seorang operator jentera mengorek pasir, Ng Kok Meng, 42, dimaklumkan pekerjanya berhubung penemuan mayat tersangkut berhampiran tempat mereka bekerja.

Menurut Kok Meng, selepas itu pekerjanya cuba mengikat mayat terbabit untuk dibawa ke tepi sungai, namun gagal kerana mayat itu hanyut semula.

“Walaupun paras air tinggi, namun aliran air tidak deras tetapi mayat hanyut dengan begitu cepat.

“Saya kemudiannya membuat laporan polis berhubung penemuan mayat itu dan apabila polis tiba di tempat kejadian, mayat yang ditemui tadi hilang terus dari pandangan,” katanya.

Kok Meng berkata, sejak hampir dua tahun bekerja di kawasan itu, ini adalah kejadian pertama mayat ditemui di sungai berkenaan.

Keluarga sahkan identiti mayat

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, kedua-dua mangsa dipercayai lari dari serbuan polis dan bertindak terjun ke dalam sungai, kemudiannya gagal dikesan.

Katanya, kedua-duanya dipercayai tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarga membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Susulan laporan polis daripada seorang operator mesin korek pasir berhubung penemuan mayat Ahad lalu, bilik operasi mencari dan menyelamat dibuka pada hari yang sama.

“Bagaimanapun operasi hari pertama terpaksa dihentikan kira-kira jam 7.30 petang dan disambung pada hari ini (semalam),” katanya.

Mohamad Mansor berkata, operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua berjaya menemui mayat salah seorang mangsa.

Katanya, mayat yang ditemui masih lengkap berpakaian iaitu berseluar  panjang dan berbaju T.

“Ahli keluarga mangsa membuat pengesahan identiti pada mayat yang ditemui sebelum mayat dibawa ke Hospital Bentong. Punca kematian masih disiasat.

“Sementara itu, rakan mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari masih diteruskan,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan polis bersama anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Karak, Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa penduduk setempat sehingga jam 7 petang semalam dan akan disambung semula hari ini
jam 8 pagi.

Simpan mercun di kontena



Simpan mercun di kontena
Rulsi (kanan) serta anggota UPP menunjukkan pelbagai jenis mercun yang berjaya dirampas dalam cubaan seludup bahan letupan itu semalam.
KOTA BHARU- Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM600,000 selepas melakukan serbuan ke atas sebuah kontena yang disembunyikan di sebuah bengkel di Kampung Kedai Mulong, di sini, petang semalam.

Komander UPP negeri, Rusli Karim, berkata pelbagai jenis mercun dan bunga api itu dirampas di dalam lori terbabit selepas tiga anggota UPP membuat rondaan di kawasan itu sejak jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, sebanyak 600 kotak mercun dan bunga api disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran luar Kelantan sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

“Kami percaya kes penyeludupan mercun dan bunga api ini akan berterusan sehingga Tahun Baru Cina nanti.

“Dalam kejadian itu, pihak kami sudah membuat intipan awal sejak beberapa hari lalu dan mendapati kontena itu sengaja diletakkan di bengkel berkenaan sebagai transit sebelum dihantar ke luar Kelantan termasuk ke Kuala Lumpur dan Lembah Kelang,” katanya ketika ditemui
semalam.

Beliau berkata, daripada siasatan awal yang dijalankan, pihaknya mendapati hanya kontena ditinggalkan di situ manakala kepala lori tiada di lokasi kejadian.

“Kesemua bunga api dan mercun serta kontena akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” kata Rusli.

Rusli berkata, setakat tahun ini, ia merupakan rampasan terbesar selepas satu lagi kes sama yang sama dicatatkan di Bunut Payong, minggu lalu membabitkan nilai RM500,000.

Pecah rumah ibu saudara



Pecah rumah ibu saudara
Md Fadly, yang mengaku di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bersalah memecah masuk kediaman ibu saudaranya.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh memecah masuk kediaman ibu saudaranya yang telah menjaganya di Kampung Pak Katak, di sini, semalam, dan melarikan pelbagai barangan berharga dan wang tunai dalam satu kejadian di Kampung Pak Katak, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, perbuatan Md Fadly Mohammad, 32, itu dikesan, lalu dia ditangkap.

Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan atas kesalahannya.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas Md Fadly mengaku bersalah memasuki rumah Rohanai Mohamad, 50, dan mencuri satu cakera video digital (DVD), satu DVD kereta, sebentuk cincin emas permata, seutas gelang tangan emas, sebuah telefon bimbit dan duit syiling sebanyak RM100.

Md Fadly mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan itu antara jam 9 pagi dan 9 malam pada 22 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Md Fadly tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang balik ke rumah kira-kira jam 9 malam pada 22 Januari lalu, mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak.

Setelah membuat pemeriksaan, mangsa dapati pelbagai barangan, iaitu DVD, DVD kereta, sebentuk cincin emas permata; gelang tangan emas, sebuah telefon bimbit dan duit syiling RM100 hilang.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini, dan susulan laporan dibuat, Md Fadly ditahan kira-kira jam 1.05 pada 24 Januari lalu di rumahnya.

15 lelaki dicekup leka berjudi



15 lelaki dicekup leka berjudi
Serbuan yang dijalankan di sebuah premis kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian secara haram.
MARAN - Dua remaja lelaki berusia 14 dan 18 tahun antara 15 yang ditahan ketika sedang leka bermain judi internet, manakala 42 set komputer dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Sungai Kertam, Sri Jaya dan Felda Jengka 8, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam serbuan pertama jam 9.40 malam itu, enam ditahan termasuk seorang penjaga premis berusia 31 tahun.

Menurutnya, sebanyak 21 set komputer dirampas bersama peralatan lain dalam premis berkenaan kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan kegiatan perjudian.

“Manakala serbuan kedua jam 11.20 malam di premis tidak bernombor belakang sebuah restoran di Jalan Besar Jengka 8, sembilan ditahan termasuk dua remaja.

“Pemeriksaan mendapati kesemua set komputer dalam dua serbuan bersama penguat kuasa Majlis Daerah Maran (MDM) itu terpapar gambar disyaki berunsur perjudian. Turut dirampas wang tunai pelbagai dominasi berjumlah RM506 daripada penjaga premis,” katanya.

Sulaiman berkata, polis akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi memerangi kegiatan tersebut dengan kerjasama MDM.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui wujud aktiviti perjudian di kawasan mereka.

Stor kayu kilang papan dimamah api



Sungai Petani: “Api dipercayai berpunca daripada litar pintas dalam kawasan simpanan itu. Saya nampak api marak dengan cepat. Mujur tiada orang dalam kawasan itu,” kata seorang saksi yang enggan dikenali dalam kejadian kebakaran di stor penyimpanan kayu di sebuah kilang papan di Jalan Jeniang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, stor simpanan kayu kilang papan terbabit musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca litar pintas di sebuah pondok dalam kawasan itu sebelum merebak keseluruhan tempat simpanan kayu di depan kilang itu.


Sementara itu, jurucakap bomba sukarela berkata, pihaknya mendapati hampir keseluruhan kawasan simpanan kayu itu sudah musnah kerana api merebak dengan cepat berikutan kayu yang disimpan di tempat itu kebanyakan sudah reput menyebabkan ia mudah terbakar.

“Kami mengambil masa lebih setengah jam untuk mengawal api dari merebak ke seluruh kawasan berkenaan.


“Lebih 10 jentera dari Bomba Sukarela Guar Chempedak, Bedong, Merbok dan Sunga Petani terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu,” katanya.

3 premis judi komputer diserbu



Seramai 12 lelaki membabitkan tiga penjaga dan sembilan kaki judi ditahan polis dalam serbuan ke atas tiga premis perjudian komputer di sekitar Kota Tinggi dekat sini, kelmarin.

Operasi dilakukan hasil maklumat orang ramai dan risikan itu turut merampas 64 komputer dan wang tunai RM1,118.


Serbuan dilakukan tujuh anggota termasuk pegawai Jabatan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dengan bantuan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi selama lima jam bermula jam 5 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Asisten Komisioner Nor Azizan Anan berkata, dalam serbuan pertama di Jalan Jambatan, pihaknya menahan seorang penjaga premis dan lima kaki judi.


Selain itu, katanya, pihaknya menyita 24 mesin perjudian komputer serta wang tunai RM120 dipercayai hasil perjudian.


Dalam serbuan kedua di Jalan Delima, Taman Kota Jaya, katanya, pihaknya menahan seorang penjaga dan seorang kaki judi, sebelum menyita 16 mesin perjudian komputer dan wang tunai RM133.

“Dalam serbuan ketiga di Jalan Mangga 2, Taman Kota Jaya, kami menahan seorang penjaga dan tiga kaki judi selain menyita 24 mesin perjudian komputer serta wang tunai sebanyak RM865.


“Semua yang ditahan berusia 18 hingga 59 tahun dan mereka dibawa pulang ke IPD Kota Tinggi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya. Menurutnya, polis Johor memandang serius masalah perjudian dan akan mengambil tindakan tegas kepada penganjur perjudian itu.

Berikutan itu, katanya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Mayat lelaki ada kesan cedera ditemui



 
Shah Alam: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan luka di bahagian muka dan leher di sebuah rumah terbiar di Jalan Kampung Batu 4, Seksyen 36, Alam Impian di sini, semalam.

Mangsa, P Mahendran, 21, dipercayai terbabit dalam pergaduhan sebelum ditemui mati oleh orang awam, tengah hari semalam.
Mayat itu ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak berbaju serta memakai sehelai seluar pendek berwarna coklat dipercayai mengalami kecederaan akibat dipukul dengan objek tumpul.


Terima maklumat awam

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman, berkata polis bergegas ke lokasi kejadian pada jam 1.25 petang semalam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Kami menerima laporan orang awam pada jam 1.11 tengah hari dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal pihak forensik, tubuh mangsa mempunyai kesan kecederaan seperti luka pada bahagian dahi dan telinga sebelah kanan serta kesan melecet di bahagian leher.
“Berdasarkan kecederaan yang terdapat pada mangsa, kita tidak menolak kemungkinan mangsa terbabit dalam pergaduhan sebelum mati,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, mangsa dipercayai terbiar dalam tempoh 48 jam sebelum ditemui oleh orang awam.

Beliau berkata, mayat sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

UPP rampas mercun RM600,000



 
Rusli  (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa rampasan mercun di  dalam  kontena di  Mulong, Kota Bharu.
Rusli (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa rampasan mercun di dalam kontena di Mulong, Kota Bharu.
Kota Bharu: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) berjaya menumpaskan cubaan seludup pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM600,000 selepas menyerbu sebuah kontena di dalam sebuah bengkel Kampung Kedai Mulong, di sini, semalam.

Komander UPP Kelantan, Rusli Karim, berkata barangan itu dirampas di dalam lori terbabit selepas tiga anggota UPP membuat rondaan di kawasan itu sejak jam 6.30 pagi.

Pasaran luar Kelantan

Katanya, 600 kotak mercun dan bunga api itu disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran luar Kelantan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Kami percaya kes penyeludupan mercun dan bunga api ini akan berterusan sehingga Tahun Baru Cina nanti,” katanya ketika ditemui semalam.

Rusli berkata, rampasan terbesar tahun ini selepas satu lagi kes sama dicatatkan di Bunut Payong, minggu lalu membabitkan nilai RM500,000.


Kepala lori tiada di lokasi
Katanya, berdasarkan intipan awal sejak beberapa hari lalu mendapati kontena terbabit sengaja diletakkan di bengkel itu sebagai transit sebelum dihantar ke luar Kelantan termasuk ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati hanya kontena ditinggalkan di situ, manakala kepala lori tiada di lokasi kejadian.

“Semua bunga api dan mercun serta kontena akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Polis serbu rumah sewa jadi markas geng dadah



 
  Toon Khuan menunjukkan heroin yang dirampas dalam operasi  anggota narkotik  IPK Pahang di Kuantan, semalam.
Toon Khuan menunjukkan heroin yang dirampas dalam operasi anggota narkotik IPK Pahang di Kuantan, semalam.
Kuantan: Kegiatan licik sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di negeri ini sejak pertengahan tahun lalu, tumpas selepas sebuah rumah sewa yang dijadikan markas mereka diserbu polis, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintendan Yap Toon Khuan, berkata dalam serbuan pertama di perkampungan Indera Sempurna, di sini, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 35 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui heroin seberat 65 gram dan lima gram ganja dengan anggaran rampasan bernilai RM4,800 serta boleh dijual kepada 1,000 penagih.

Beliau berkata, semua lelaki yang ditahan itu tidak mempunyai kerja tetap dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.


Awasi pergerakan

“Rumah sewa yang dijadikan tempat simpanan dadah itu dihidu pihak berkuasa yang mengawasi pergerakan mereka sejak beberapa minggu lalu,” katanya, di sini, semalam.

Toon Khuan berkata, soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lagi anggota sindiket itu di Taman Sri Mahkota Aman, dekat sini, jam 6 petang hari yang sama.
Katanya, suspek ditahan di rumah sewanya dan pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan 1.3 kilogram dadah jenis heroin.

“Suspek berumur 44 tahun juga tidak mempunyai pekerjaan tetap. Nilai rampasan dalam serbuan kedua ini dianggarkan RM90,000,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Selain itu, Toon Khuan berkata, dalam dua lagi serbuan berasingan, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan dan penganggur atas kesalahan sama.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 pagi Rabu lalu, katanya, polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 36 tahun dan merampas 82 gram heroin yang disembunyikan dalam peti keselamatan.

Seorang lagi ditahan Jumaat lalu di kawasan letak kenderaan berhampiran jalan Teluk Cempedak dan pemeriksaan dilakukan menemui heroin seberat 435.35 gram, katanya.

Dua beradik diikat perompak



 
Madivanan  menunjukkan bagaimana seorang daripada tiga penjenayah mengetuk kepalanya dengan parang dalam kejadian samun di Gadek, Melaka, pagi kelmarin.
Madivanan menunjukkan bagaimana seorang daripada tiga penjenayah mengetuk kepalanya dengan parang dalam kejadian samun di Gadek, Melaka, pagi kelmarin.
Alor Gajah: Dua beradik berhadapan saat getir apabila diikat empat perompak bersenjatakan parang yang menyamun kediaman mereka di sebuah ladang, di Gadek, dekat sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, S Madivanan, 22, sedang tidur dalam bilik, manakala adik perempuannya, S Kenaga, 18, berada di ruang tamu rumah.

Tak tutup muka

Madivanan ketika ditemui di rumahnya, mendakwa penjenayah berusia dalam lingkungan 20-an dan tidak menutup muka itu, tiba-tiba muncul di rumah mereka dengan kereta Toyota Vios.

Katanya, empat penjenayah terbabit kemudian menyerbu masuk ke rumah dan meletakkan parang di belakang leher beliau serta adiknya, sebelum mengikat tangan dan menutup mulut mereka menggunakan pita pelekat.


Geledah rumah

“Selepas itu, penjenayah terbabit menggeledah rumah dan melarikan dompet bersama tiga telefon bimbit, dua pasang anting-anting, MyKad serta wang tunai RM50,” katanya.
Madivanan berkata, walaupun kerugian dianggarkan RM5,000, dia bernasib baik kerana tidak dicederakan penjenayah terbabit.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Gadek sejurus kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

'Tak sangka adik sendiri'


Keadaan kereta Myvi dipandu Hakimuddin remuk selepas terbabit kemalangan di Kubu Dedap, Muar, malam kelmarin.
 

Keadaan kereta Myvi dipandu Hakimuddin remuk selepas terbabit kemalangan di Kubu Dedap, Muar, malam kelmarin.
Segamat: Saya tak sangka mangsa kemalangan yang ingin dibantu rupa-rupanya adik sendiri,” kata Halim Yunos, 59, yang terkejut sejurus mendapati adiknya, Hakimuddin maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, di sini, malam kelmarin.

Halim berkata, kemalangan berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang dari memancing di Sungai Muar ke rumahnya di Kubu Dedap dekat Jementah, di sini, kira kira jam 7.45 malam.
“Ketika sampai di Kampung Lubok Banda, saya terserempak kemalangan yang berlaku di situ. Melihatkan keadaan itu, saya berhenti untuk menghulurkan bantuan.


‘Tok Hakim’

“Ketika itu, saya terdengar penduduk di situ menyebut nama ‘Tok Hakim’ terbabit dalam kemalangan, mengejutkan saya mengingatkan adik memang dikenali dengan panggilan itu dalam kalangan penduduk kerana tugasnya sebagai Ketua Kampung.

“Lemah seluruh tubuh badan saya sejurus melihat jasad adik sudah terkulai dalam kereta PERODUA Myvi dipandunya yang remuk akibat kemalangan itu,” katanya.

Halim berkata, ketika kejadian, adiknya bersama seorang rakan yang juga imam, Hassan Raja Atan, 76, dalam perjalanan ke Masjid Sungai Siput untuk menghadiri sambutan Maulidur Rasul yang dijadualkan berlangsung selepas solat Maghrib.
Dalam kejadian itu, Hakimuddin, 53, yang juga Ketua UMNO Cawangan Kubu Dedap, meninggal dunia di tempat kejadian, selepas kereta dipandunya bertembung Toyota Camry dinaiki sepasang suami isteri berusia 28 tahun.

Jurucakap Polis Trafik Segamat berkata, kemalangan berkenaan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian, manakala rakan yang menumpang keretanya cedera parah apabila patah tulang rusuk.


Cedera ringan

Katanya, pasangan suami isteri yang menaiki sebuah lagi kereta pula cedera ringan dan hanya menerima rawatan pesakit luar.

“Punca sebenar kemalangan maut itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kes diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan jam 11 pagi semalam di Tanah Perkuburan Kampung Kubu Dedap. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Othman Jais serta kira-kira 150 penduduk setempat.

Maut hidu asap toksik



 
Foto
Keadaan dari luar kelab malam Boate Kiss.

Foto
Pekerja hospital dan pegawai berjalan di celah mayat mangsa. Saudara mangsa kebakaran kelab malam tidak dapat menahan kesedihan (gambar kecil).

Santa Maria: Asap beracun adalah sebab utama 233 orang maut di sebuah kelab malam Brazil dalam tragedi kebakaran terburuk dunia dalam tempoh satu dekad lalu.

Api dilaporkan pantas bergerak kerana kelab itu tidak bertingkap menyebabkan ramai panik dan cuba keluar awal kelmarin.
Keadaan menjadi kelam kabut kerana hanya ada satu laluan keluar yang dihadang pengawal menyebabkan ramai juga mati terpijak.

Penyiasat percaya, kebakaran bermula apabila satu kumpulan mempersembahkan permainan api yang kena pada siling menyebabkan asap bertoksik dilepaskan membawa kepada kematian mangsa, kebanyakannya pelajar universiti yang lemas.

Mangsa yang terselamat dan penyiasat polis, Marcelo Arigony berkata pengawal juga menyekat pengunjung daripada keluar buat beberapa ketika.

Pemilik bar di Brazil biasanya akan cuba memastikan pengunjung membayar bil sebelum dibenarkan keluar.

Tetapi, Arigony juga berkata, pengawal tidak menghadang laluan keluar terlalu lama.

Pengawal mati

“Keadaan kelam kabut dan tindakan mereka bukannya sengaja kerana ada juga pengawal yang mati,” katanya.

Anggota bomba yang datang tidak lama kemudian mulanya menghadapi masalah untuk masuk ke dalam kelab malam Boate Kiss kerana ada mayat mangsa yang menyekat laluan masuk,” kata ketua briged bomba, Guido Pedroso Melo, kepada akhbar O Globo.

Pihak berkuasa berkata, ahli kumpulan yang membuat persembahan api itu memberi keterangan kepada polis.

Mayat mangsa kebakaran selain yang cedera bergelimpangan di jalan raya dan jeritan meminta tolong kedengaran sambil anggota perubatan memberi bantuan.
Tidak banyak yang dapat dilakukan lagi kerana ramai mangsa maut terhidu asap beracun dalam masa beberapa minit, kata pegawai.

Sebuah gimnasium awam menjadi tempat meletak mayat mangsa yang ditutup dengan plastik hitam untuk dikenal pasti keluarga kemudian.

Di luar gimnasium itu, polis mempamerkan objek peribadi mangsa, antarabangsa dompet hitam dan kasut tumit tinggi biru, sambil dikerumuni orang ramai yang berharap tiada anggota keluarga mereka terbunuh.

Kebanyakan mangsa berusia 20 tahun termasuk beberapa yang di bawah usia. Separuh mangsa adalah lelaki. - AP

Tiang elektrik tembus kereta

Keadaan kereta yang remuk ditembusi tiang elektrik selepas terbabas di KM 94.5 Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth.Keadaan kereta yang remuk ditembusi tiang elektrik selepas terbabas di KM 94.5 Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth. Bagan Serai: Tiga bersaudara cedera apabila sebatang tiang elektrik yang patah menembusi kereta yang mereka naiki di Kilometer 94.5 Jalan Ipoh-Butterworth di Selinsing dekat sini, kelmarin.


Terbabas ke parit
Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, kereta Honda Jazz dipandu Muhamad Rizal Supero, 46, dikatakan cuba mengelak seekor haiwan yang melintas secara tiba-tiba terbabas dan merempuh sebatang tiang elektrik di kanan jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Kurau untuk memancing.


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata kenderaan itu kemudian terbabas ke parit, manakala tiang elektrik dirempuh patah sehingga mengakibatkan kabel elektrik merintangi jalan raya.

“Sebuah treler datang merempuh kabel yang melintang di tengah jalan itu mengakibatkan tiang yang patah tercabut sebelum menusuk ke bahagian depan tempat duduk pemandu Honda Jazz.


Mangsa cedera ringan 

“Bagaimanapun, pemandu kereta bersama dua lagi saudaranya terselamat dan hanya cedera ringan di muka dan badan,” katanya di sini semalam.
Fauzi berkata, berdasarkan kesan kemalangan itu, polis sendiri tidak menyangka semua mangsa hanya cedera ringan dan menganggapnya sebagai keajaiban Tuhan.

“Saya meminta pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam dan awal pagi selain tidak memandu secara melulu,” katanya.

Dua mayat rakyat Malaysia dari Algeria tiba



29/01/2013 2:43am

SEPANG - Mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam krisis tebusan kumpulan militan di Algeria selamat tiba di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini jam 8.30 malam tadi.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, mendiang Chong Chung Ngen dan Tan Ping Wee telah diterbangkan dari Algiers setelah diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di sana bersama dengan syarikat JGC Construction Pte. Ltd.
"Mayat berkenaan diiringi oleh Patrick Purait Awang, salah seorang rakyat Malaysia yang terselamat semasa insiden tebusan tersebut,” kata Anifah.
Beliau berkata, Timbalan Menteri Luar Senator, A.Kohilan Pillay dan beberapa pegawai kanan dari Wisma Putra serta ahli keluarga mendiang turut hadir untuk menerima mayat tersebut.
Beliau berkata, keluarga berkenaan meminta agar privasi mereka dihormati bagi mereka menghadapi detik sukar ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz2JJgd2R3W 
Hakcipta terpelihara