Search This Blog

Saturday, January 26, 2013

Remaja dicabul



Tenom: Seorang remaja wanita yang sedang mengikuti kursus dianjurkan di kawasannya mendakwa dicabul ketika menjalani latihan di sebuah pusat kesihatan di Kampung Melalap, di sini, Rabu lalu.

Difahamkan, mangsa yang juga pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendakwa dicabul seorang kakitangan pusat berkenaan.


Perbuatan keji lelaki berusia 30 tahun itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis sebelum suspek diberkas di rumahnya kira-kira jam 3 petang kelmarin. Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa baru menamatkan latihan di pusat kesihatan berkenaan jam 10 pagi.

“Selepas itu, mangsa dipanggil ke bilik oleh suspek dan tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa mengikuti arahan diberikan,” katanya.

10 nafi laku kekerasan


Shah Alam: Polis sudah memanggil 11 individu yang berada di sekitar tempat kejadian seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental mengamuk di Taman Lagenda Suria, Kajang, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, daripada 11 individu yang dipanggil 10 daripada mereka menafikan berlakunya kekerasan dilakukan pihak berkuasa terhadap si mati.


Menurutnya, laporan bedah siasat dijalankan jam 3.30 petang dan berakhir lima jam kemudian mendapati C Sugumar Chelladury, 46, mati disebabkan saluran jantung tersumbat bukannya disebabkan kekerasan pihak polis.

“Tiada sebarang kecederaan ditemui pada badan mangsa selain kesan calar pada lutut kirinya yang berpunca akibat terjatuh ketika hendak ditahan.


“Polis akan mendapat laporan lanjut daripada pihak hospital untuk mengesahkan sama ada si mati benar-benar mempunyai masalah mental,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Dalam kejadian itu, si mati memegang besi dan merosakkan harta benda awam seperti pondok telefon dan gerai makanan di sekitar tempat kejadian.

Seorang lelaki juga tercedera selepas cuba menenangkan si mati kerana dipukul menggunakan besi sebelum polis tiba selepas mendapat maklumat kejadian itu.


Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan perbuatan khianat.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki mengamuk dipercayai mempunyai masalah mental mati dalam kejadian, Rabu lalu.


Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, C Sugumar Chelladury, 46, difahamkan mula meracau-racau sekitar kawasan Taman Sri Nanding, di sini.

Wanita dikurung di rumah mayat


Seorang wanita China ditahan di sebuah rumah mayat terbiar selama tiga tahun selepas mengadu kepada pihak atasan mengenai layanan buruk diterima suaminya, lapor media semalam.

Chen Qingxia dilaporkan berada di rumah mayat terbiar itu dengan dikawal pekerja pembersihan.


Global Times melaporkan, nasib malang Chen bermula pada 2003 apabila suaminya dihukum menjalani proses “pembelajaran semula melalui kerja berat” selepas lelaki terbabit cuba melarikan diri dari pusat kuarantin ketika Heilongjiang dilanda wabak SARS. Selepas dibebaskan, tubuh suami Chen didapati lebam, manakala kesihatan mentalnya merosot.

Global Times melaporkan, Chen pergi ke Beijing untuk mengadu kepada pihak atas terhadap layanan diterima suaminya.


Tidak seperti diharapkan, Chen sebaliknya diperintah memasuki kem “pembelajaran semula” selama 18 bulan.


“Selepas tamat hukuman, Chen diperintah ditahan di rumah mayat,” lapor akhbar berkenaan. Pengalaman itu menyebabkan Chen kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, manakala kesihatan mentalnya juga bermasalah. “Suami Chen disahkan menghidap skizofrenia dan akhirnya dihantar ke hospital mental,” lapor Global Times. Akhbar itu mendakwa, pemimpin tempatan berjanji membayar pampasan kepada pasangan suami isteri itu. Amalan menghukum seseorang yang membuat aduan kepada pegawai kerajaan dikritik beberapa bulan lalu dan media melaporkan, ia akan dimansuhkan tahun ini. Seseorang yang dihukum melalui sistem itu boleh ditahan atas arahan polis sehingga empat tahun tanpa peluang dibicarakan.

Skandal seks: 10 lagi pegawai dipecat



Beijing: Skandal seks membabitkan pegawai kerajaan yang menerima habuan daripada pemaju untuk mendapatkan projek terus didedahkan semalam apabila media rasmi China mengumumkan, 10 lagi individu dipecat.

Menurut Xinhua, Jawatankuasa Antirasuah Chongqing menganggap pemaju yang terbabit dalam aktiviti menyediakan wanita untuk ditiduri pegawai kerajaan di bandar itu sebagai “sayap penjenayah.” Badan itu berpendapat, pemaju terbabit “mengupah wanita untuk menggoda pegawai kerajaan tempatan” supaya mengadakan hubungan seks dan aksi itu dirakam untuk dijadikan bahan mengugut mereka.


Kali pertama kes berprofil tinggi itu dibongkar pada November tahun lalu apabila klip video seks Lei Zhengfu, 50-an, tersebar di Internet.

Lei dipecat daripada jawatannya sebagai Ketua Parti Komunis China Chongqing.


Xinhua melaporkan, 10 lagi pegawai peringkat daerah Chongqing serta kakitangan syarikat milik kerajaan yang dipaparkan dalam klip video lain kini telah diambil tindakan serta telah dipecat. - AP

Jumpa mayat telentang



“Saya mahu memanaskan enjin bot, namun terpaksa membatalkan hasrat itu selepas ternampak mayat seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan telentang dibawa arus sungai, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

“Walaupun terkejut, saya terus menarik mayat berkenaan dan sebaik didekati, saya sayu bila melihat mayat itu tidak mempunyai mata selain betis yang sudah hampir reput sehingga menampakkan tulang dan kembung,” kata Satarudin Kamal, 45, saksi yang menemui mayat kanak-kanak lelaki dipercayai William Yau Zhen Zhong, berusia enam tahun di Jeti Sungai Sireh, di sini.


Menurutnya, sebaik mayat ditarik, dia mengikat mayat kanak-kanak itu pada bot yang terdapat di jeti berkenaan dan segera bergegas ke balai polis untuk melaporkan kejadian itu.

Katanya, ini bukan penemuan mayat pertama baginya kerana sebagai nelayan, dia sudah beberapa kali mengalami kejadian yang sama dan melaporkannya kepada polis.


Beliau berkata, penemuan mayat kanak-kanak itu sememangnya tidak disangka dan dia sedih mengenangkan nasib mangsa dalam keadaan sebegitu rupa.


Harian Metro, semalam, melaporkan mayat seorang budak lelaki ditemui di sebuah bot berhampiran jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, dipercayai Zhen Zhong yang dilaporkan hilang, pada 16 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia enam hingga tujuh tahun itu dijumpai orang ramai pada jam 6.30 petang, semalam.


Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa untuk dibuat pengecaman berikutan fizikal mayat yang sudah membengkak kerana dipercayai sudah dibawa arus sungai sejak beberapa hari lalu.

Ketika dijumpai, mayat berkenaan lengkap berpakaian iaitu kemeja-T berwarna kekuning-kuningan dan seluar pendek.

Kereta, bayi dikebas pencuri



Seorang bapa hanya mampu menjerit apabila pencuri melarikan keretanya bersama bayi baru berusia tujuh minggu, semalam.

Tom Moulsdale, 24, baru saja keluar dari kereta berkenaan untuk menghantar barang di rumah rakannya apabila seorang pencuri datang dan melarikan kenderaan berkenaan.


Sebaik saja pencuri terbabit memecut kereta Subaru Impreza itu, Moulsdale berlari dan menjerit sekuat hati kerana anaknya ada di dalam kenderaan itu. Kata Moulsdale, dia sempat membuka pintu penumpang kereta itu dan cuba menyelamatkan anaknya, Leo, tetapi penjenayah terbabit tidak mengendahkannya.

“Dia memecut kereta itu dan saya terseret seketika,” katanya. Sebaik saja menerima aduan mengenai kecurian itu, polis melancarkan gerakan mengesan Leo serta kereta Moulsdale.


Kira-kira 15 minit kemudian, polis menemui kereta Moulsdale ditinggalkan di luar sebuah pub lima kilometer dari tempat kejadian.


Jurucakap polis berkata, mereka dihubungi seseorang yang memaklumkan mengenai kereta dan seorang bayi ditinggalkan berhampiran sebuah pub. “Leo diserahkan kepada Moulsdale dan pasangannya, Louise Waine, tidak lama kemudian,” katanya. Sementara itu, Moulsdale berkata, kejadian itu pengalaman paling menakutkan pernah berlaku dalam hidupnya.

Louise, 24, berkata, dia tidak boleh bernafas dengan baik sebaik saja tunangnya, Moulsdale, memberitahu mengenai insiden itu. “Saya cuma mahukan Leo semula dan membayangkan bagaimana jika kami tidak lagi dapat melihatnya,” katanya. Sejurus selepas diberitahu polis bahawa kereta dan Leo ditemui, Louise berkata, dia amat lega. “Saya juga bersyukur kerana sepanjang kejadian itu, Leo tidur dan tidak dicederakan,” katanya.

‘Peluk, sayang-sayang, semua ada’



Ipoh: “Mau manja, mau peluk, mau sayang-sayang, semua ada di sini!” pujuk wanita warga emas dikenali sebagai Rina, 58, yang juga tukang gunting rambut di premis di Jalan Theatre, di sini.

Wartawan Harian Metro yang melakukan penyamaran mendapati sekurang-kurangnya lima salun di kawasan itu menawarkan perkhidmatan sampingan iaitu belaian dan urutan manja dengan harga sama iaitu RM20 bagi sesi sejam atau RM10 bagi sesi selama setengah jam.


Kebanyakan kedai gunting terbabit cuba mengaburi aktiviti sebenar apabila menggunakan cermin gelap pada pintu hadapan premis selain meletakkan bangku menggunting rambut usang. Sebaik memasuki kedai terbabit, wartawan segera disapa penuh mesra oleh pekerja terbabit yang bertanya sama ada wartawan mahu menggunting rambut atau terus ke ruang sofa disediakan untuk dilayan manja persis ‘raja’.

Kelihatan beberapa pekerja dalam kedai itu mengalu-alukan kedatangan wartawan memandangkan saingan daripada beberapa kedai lain yang turut menawarkan perkhidmatan geli-geli itu.


Seorang pekerja yang berusia lewat 40-an melayan penuh mesra sambil memegang tangan dan bertanya sama ada mahu dibelai atau menggunting rambut.


Ketika wartawan melangkah masuk ke kedai terbabit, beberapa pekerja asyik melayan pelanggan.

Ketika itu, kelihatan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk dan bergurau senda dengan pekerja di kedai itu.


Sambil minum, pelanggan turut merangkul tubuh pekerja wanita yang berada dalam premis perniagaan itu.

Berikut adalah perbualan wartawan dengan seorang pekerja wanita tempatan dikenali sebagai Lina yang sudah bekerja lebih tiga tahun di premis terbabit. LINA: Hai, you (awak) mau gunting rambut, cuci rambut dan cuci telinga ke? Atau mau manja-manja? WARTAWAN: Saya mahu gunting dan cuci rambut saja.


LINA: Boleh duduk. You tak mahu manja sama urutkah? Murah saja, RM20 satu jam? WARTAWAN: (mengambil tempat duduk yang disediakan) Saya mahu gunting rambut dulu. Manja banyak sedapkah? LINA: Mestilah sedap, sekejap saja. Boleh pilih setengah jam atau satu jam? Manja dekat sofa belakang kasi you relaks dan rehat.


WARTAWAN: Ok la kalau macam tu.


LINA: Nasib baik you datang awal boleh relaks sikit. Biasa tengah hari macam ini orang ramai datang.


WARTAWAN: Ohhh ya ke? Orang datang buat apa? LINA: Macam-macam la, ada mau manja.. ada suka peluk dan ada yang gunting rambut dan ada yang lepak minum-minum saja.

Kereta, suami isteri terjunam ke sungai



London: Seorang lelaki terbunuh, semalam ketika isterinya bertungkus-lumus menyelamatkan keadaan apabila kereta kedua-dua mereka terbabas dan terjunam dalam sungai berais, lapor media semalam.

David dan Ruth Cox memandu kereta masing-masing untuk menghantar anak mereka ke dua sekolah berbeza apabila keadaan jalan yang licin menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal.


Saksi berkata, kedua-dua kereta itu terjunam hanya berselang beberapa minit. Ruth, 39, dan dua anaknya, Ioan, 9, serta Tess, 11, berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tebing, tetapi Cox tidak dapat berbuat apa-apa kerana pengsan di tempat memandu. Menurut saksi, Ioan berlari kira-kira satu setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.

“Orang ramai dan Ruth cuba menarik Cox keluar tetapi mereka hanya dapat membawanya ke tebing 40 minit kemudian,” katanya. Saksi berkata, Cox, 42, diberikan bantuan pernafasan tetapi ia gagal menyelamatkan nyawa lelaki terbabit.


“Saya tak dapat bayangkan apa perasaan Ruth ketika ini, tetapi dia melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan suaminya,” katanya. Sementara itu, beberapa pihak berkata, masalah talian telefon bimbit di kawasan itu menyebabkan pasukan penyelamat hanya tiba 30 minit selepas insiden berlaku.


Saksi berkata, mereka dapat melihat kedua-dua kereta keluarga itu - Toyota Aygo dan Toyota Rav4 - terbalik sepenuhnya dalam sungai berkenaan hampir satu kilometer dari rumah mereka di Blackwell Mill, Buxton. - DM

Lelaki bakar keluarga jalani ujian


Palu: Seorang lelaki, Ferdy, 26, yang didakwa membakar ibu bapa dan adik perempuannya di Palu, Sulawesi Tengah akan menjalani beberapa siri ujian termasuk ujian psikologi dan penyaringan dadah selepas ditahan polis, Selasa lalu.

Bapa Ferdy, Wandi Sugianto yang juga seorang ahli perniagaan ternama di bandar itu mati akibat melecur teruk Rabu lalu manakala ibunya, Sherli dan adik perempuannya, Nely masih dirawat di Hospital Budi Agung.


Polis mengesyaki Ferdy berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah berkenaan.

“Kami akan melakukan ujian air kencing terhadapnya,” kata Ketua Polis Palu, Adjutan Komisioner Ahmad Ramadhan.


Ferdy didakwa melakukan jenayah itu pada jam 5 pagi ketika semua ahli keluarganya sedang tidur. Dilaporkan bahawa ibu bapanya tidak mengizinkan dia berkahwin dengan seorang pembantu kedai yang bekerja dengan mereka. - tempo.com

Bakar janin dekat parkir



Satu janin manusia terbakar ditemui dekat parkir kosong di daerah Samut Prakan, semalam.

Polis berkata, janin berlumuran darah itu mempunyai tali pusat yang masih terlekat.


Menurut pakar forensik, janin lelaki berusia lima hingga enam bulan itu belum rentung sepenuhnya.

Polis mengesyaki ibu janin itu menggugurkan kandungan sebelum membakarnya. Janin itu dibawa ke Institut Forensik dan Perubatan untuk siasatan lanjut.


Penduduk, Thongsuk Vejabhumi yang tinggal di kondominium berhampiran dengan tempat janin ditemui berkata, dia melihat dua lelaki dan seorang wanita tiba dengan motosikal sebelum membakar sesuatu. Mereka berdiri dan melihat api membakar bahan dibakar seketika sebelum beredar. Bimbang api menyambar bangunan berdekatan, Thongsuk dan jirannya pergi untuk memadamkan api itu sebelum mendapati bahan dibakar ialah janin bayi. Mereka kemudian menghubungi pihak berkuasa.

Penumpang kereta miliki pistol, peluru ditahan



Teluk Intan: Kecurigaan orang ramai mengenai kemunculan sebuah kereta yang berlegar-legar di sebuah pusat pengumpulan kelapa sawit, di sini, tengah hari kelmarin, terjawab apabila pemeriksaan polis mendapati seorang daripada penumpang kenderaan itu memiliki sepucuk pistol dan beberapa butir peluru.

Pemeriksaan polis terhadap pemandu kereta berusia 40 tahun di ladang kelapa sawit di Sungai Tiang, Selekoh itu, menemui sepucuk pistol bersarung kulit hitam jenis Colt MK 1V Series 80 Government Model 380 Auto bernombor siri RS52422 serta kelopak senjata, terselit di pinggang kanannya, kira-kira 1 tengah hari.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menemui tiga butir peluru di tempat duduk belakang berhampiran seorang penumpang kenderaan berusia 45 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati, pemandu kereta tidak mempunyai pekerjaan tetap selain memiliki satu rekod jenayah, manakala suspek kedua yang bekerja di pusat karaoke di Teluk Intan, pula positif dadah.


“Polis merampas RM4,500 dari poket pemandu itu, manakala RM4,720 ditemui dalam dompet suspek kedua, selain cek Maybank RM10,000,” katanya, semalam.

Bengkel buruk sorok diesel diserbu



Pantai Remis: Sebuah bengkel buruk berkunci yang seolah-olah ditinggalkan, sebenarnya dijadikan markas sindiket tempatan menyembunyikan beratus liter diesel bersubsidi yang dicuri.

Bengkel di Jalan Pelantar, di sini, dikesan sengaja dibiarkan usang pada bahagian luar bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan siasatan ke lokasi berkenaan jam 3 petang, kelmarin.


Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Manjung Omar Ismail berkata, pihaknya berjaya mengesan kegiatan itu selepas menerima maklumat daripada beberapa orang awam sebelum menghantar sepasukan penguat kuasa menyerbu premis.

Beliau berkata, ketika serbuan dibuat, pihaknya menjumpai empat tangki yang digunakan bagi menyimpan diesel terbabit.


Katanya, minyak diesel terbabit dipercayai minyak diesel bersubsidi yang dikhaskan kepada nelayan.


“Hasil serbuan, kami merampas 33,299 liter minyak diesel bernilai RM58,760.

“Kami turut menyita lapan unit pam dipercayai digunakan mengepam minyak sebelum memindahkannya ke lori pengangkut,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Katanya, hasil pemeriksaan dalam premis terbabit turut menemui tiga daripada empat bekas dipenuhi minyak diesel, manakala sebuah lagi kosong dipercayai sudah dibawa keluar.

Omar berkata, pihaknya percaya bekalan diesel itu diperolehi daripada nelayan dan sumber tidak sah.


“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Penculik sumbat peluru dalam mulut



Dibelasah dan sebutir peluru dimasukkan ke dalam mulut, itu penderitaan dialami seorang ahli perniagaan yang menjadi mangsa culik empat lelaki yang turut melarikan kereta BMW dan mengambil wang miliknya menyebabkan kerugian RM413,600.

Lebih malang mangsa dikenali sebagai An, 37, turut dikurung dua hari di sebuah hotel di Petaling, dekat sini, selepas diculik Sabtu lalu di sebuah medan selera di Jalan Kuchai Lama.


Bagaimanapun mangsa dapat melarikan diri Isnin lalu dan terus menghubungi rakannya meminta pertolongan sebelum dia sekeluarga yang trauma berpindah dari ibu kota dan membuat laporan kejadian di Balai Polis Tapah, Perak, sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut.

An berkata, pada hari kejadian, dia yang memandu kereta BMW singgah di medan selera di Jalan Kuchai Lama namun ketika keluar dari kenderaan, tiba-tiba sebuah kereta Proton Perdana dinaiki empat lelaki berhenti di hadapannya.


Menurutnya, mereka terus menariknya masuk ke dalam kereta sementara seorang daripada mereka merampas kunci kereta dan terus ke keretanya.


“Malah ketika berada dalam kereta, lelaki terbabit turut mengacukan pistol sebelum seorang daripada mereka memasukkan sebutir peluru ke dalam mulut saya sambil mengugut mahu membunuh saya.

“Saya ketika itu hanya menggigil ketakutan dan tidak tahu hendak berbuat apa-apa malah mereka juga memaksa saya mengeluarkan beberapa pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM) di sekitar ibu kota,” katanya ketika dihubungi kelmarin.


Menurutnya, dia kemudian dibawa ke sebuah hotel di Petaling dan diugut akan dibelasah jika melawan atau cuba melarikan diri.

“Ketika dikurung, saya diarahkan mengeluarkan lima kali pengeluaran wang yang keseluruhannya berjumlah RM13,600.


“Bimbang dengan keselamatan, saya nekad melarikan diri ketika semua lelaki terbabit tiada di hotel sebelum terus menghubungi rakan bagi meminta bantuan,” katanya.


Beliau kini trauma dengan kejadian itu dan mengambil keputusan berpindah dari ibu kota namun tidak memberitahu di mana dia tinggal bagi mengelakkan dirinya sekali lagi menjadi mangsa.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sedang menyiasat motif sebenar serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

Zhen Zhong mungkin jatuh sungai

Ibu bapa Zhen Zhong keluar dari rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, semalam.Ibu bapa Zhen Zhong keluar dari rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, semalam.

Subang Jaya: Ibu bapa William Yau Zhen Zhong, 6, semalam mengesahkan mayat ditemui di Pelabuhan Klang, petang kelmarin, adalah anak mereka, namun kehilangannya terus menjadi misteri.

Ini berikutan Zhen Zhong dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya, manakala mayatnya dijumpai tersangkut pada bot di Sungai Sireh, kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu.
Belum sah punca kematian



Malah, polis sehingga kini tidak dapat mengesahkan punca kematiannya walaupun bedah siasat selesai dijalankan semalam.

Bercakap pada sidang media di sini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, hanya berkata bedah siasat tidak menemui sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah, kecuali kesan gigitan ikan.

Beliau tidak menolak kemungkinan Zhen Zhong terjatuh ke dalam Sungai Klang di Kampung Bukit Lanchong berhampiran Putra Heights sebelum dihanyutkan ke lokasi mayatnya ditemui.
“Ini berikutan kedudukan sungai itu agak hampir (tiga kilometer) dengan lokasi beliau dilaporkan hilang... ada kemungkinan dia terjatuh sebelum lemas dan dihanyutkan arus.

“Buat masa ini, kita masih klasifikasi kes ini sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan masih dijalankan.Kita akan menemubual abang mangsa untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian,” katanya.






Tersangkut pada bot


Mayat Zhen Zhong ditemui tersangkut pada bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Rumah Pangsa Seri Perantau, Pelabuhan Klang, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Pagi semalam, ibu bapa Zhen Zhong, Yau Kok Kang, 32, dan isterinya, Goh Ying Ying, 26, mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka selepas proses pengecaman di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Bagaimanapun, polis enggan mengesahkan identiti mayat kanak-kanak itu sehingga memperoleh keputusan ujian DNA terhadap sampel tulang dan rambut mangsa.


Cam seluar, parut


Yahaya berkata, ibu bapa Zhen Zhong membuat pengecaman berdasarkan seluar dalam dan seluar pendek dipakai kanak-kanak itu, selain tiga kesan parut, masing-masing satu di dahi serta dua di belakang kepala mangsa.

“Pada mulanya, ibu bapa Zhen Zhong menafikan mayat itu anak mereka, namun selepas mayat dibersihkan mereka mengesahkannya berdasarkan parut pada dahi dan belakang kepalanya ketika proses pengecaman kali kedua.

“Bagaimanapun, kita hanya boleh membuat pengesahan rasmi selepas memperoleh keputusan ujian DNA yang dijangka keluar tiga hari lagi,” katanya.

Zhen Zhong hilang di hadapan sebuah kedai elektrik di Putra Heights, Subang Jaya, selepas makan malam bersama ibu bapa dan dua beradiknya di Puchong.

Nelayan miliki senjata, peluru dipenjara 66 bulan

   Ooi Gin Cheong   mengaku bersalah  atas tuduhan memiliki senjata api di Mahkamah Seksyen Butterworth, semalam. - Foto Danial SaadOoi Gin Cheong mengaku bersalah atas tuduhan memiliki senjata api di Mahkamah Seksyen Butterworth, semalam. - Foto Danial Saad Butterworth: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun enam bulan ke atas seorang nelayan sambilan selepas dia mengaku salah memiliki senjata api dan peluru hidup, lebih tiga minggu lalu.

Ooi Gin Cheong, 69, mengaku memiliki senjata api dan peluru hidup tanpa lesen dan didapati bersalah mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Pengakuan salah Gin Cheong itu sekali gus menyebabkan dakwaan sama terhadap isterinya, Kang Su Chu, 66; anak mereka, Ooi Khim Khung, 39, serta Teoh Suan Chuan, 39, yang juga teman wanita Khim Khung, gugur.


Semua mereka didakwa atas kesalahan memiliki pistol jenis Sauer P220, pistol Cal.32 Llama, 68 peluru dari pelbagai kaliber dan satu senjata palsu tanpa permit yang sah dari pihak berkuasa.

Minta diringankan hukuman

Mereka ditahan pada 2 Januari lalu selepas senjata api berkenaan ditemui di rumah mereka di Lorong Satu, Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Bata jam 1 pagi pada hari berkenaan.

Gin Cheong tenang ketika berdiri di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim menunggu hukuman terhadapnya dibacakan, manakala isteri, anaknya dan Suan Chuan duduk di kandang tertuduh.
Peguam Gin Cheong, K Selva merayu kepada mahkamah meminta hukuman diringankan berikutan anak guamnya adalah warga tua dan mempunyai masalah kesihatan selain menghidap diabetes dan lemah jantung.

“Sejak tertuduh ditahan, dia hilang berat badan sebanyak 15 kilogram (kg) dan ini juga adalah kesalahannya yang pertama. Malah senjata api itu juga hanya dijaganya yang mana ia diserahkan oleh kawannya. Dia tidak pernah menggunakannya,” kata Selva.

Pendakwaan berkenaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ramlan.

Akibat tertekan, pembantu rumah gantung diri



Johor Bahru: Seorang pembantu rumah warga Indonesia, yang disyaki tertekan akibat masalah keluarga di kampung halamannya bertindak menggantung diri dalam bilik air di rumah majikannya, di Taman Puteri Wangsa, pagi semalam.

Mayat wanita berusia 35 tahun itu ditemui tergantung dengan menggunakan kain batik yang diikat pada jeriji tingkap bilik air terbabit oleh ibu kepada majikannya, yang berusia lingkungan 60-an jam 11.30 pagi.
Panggilan tidak berjawab

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob (gambar), berkata sebelum kejadian mangsa yang berasal dari Semarang, Indonesia itu dilihat memasuki bilik air sekitar jam 11 pagi.

“Ketika kejadian berlaku tiada sesiapa di rumah selain mangsa dan ibu majikannya.

“Pada jam 11 pagi, warga tua itu melihat mangsa masuk ke bilik air ,namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Setengah jam kemudian, wanita terbabit mula bimbang apabila mangsa masih tidak keluar dari bilik air dan panggilannya tidak dijawab,” katanya. ketika dihubungi, di sini.
Zainuddin berkata, wanita terbabit kemudiannya bertindak membuka pintu bilik air terbabit sebelum menemui mayat mangsa tergantung menggunakan kain batik pada jeriji tingkap.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dan difahamkan, mangsa tertekan akibat masalah keluarga,” katanya.

Tukang cuci warga asing tak mengaku salah cabul

 Austin  dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan mencabul wanita.Austin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan mencabul wanita. Ayer Keroh: Seorang tukang cuci warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul seorang wanita di Cheng pada pertengahan bulan ini.

Austin Cetric Stanly, 26, didakwa berbuat demikian terhadap Siti Aisyah Kamarudin, 20, dengan cara memeluk dan cuba mencium pipi untuk niat mencabul kehormatannya di sebuah pasar raya besar.
Tertuduh yang yang berasal dari Sri Lanka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam tandas orang kurang upaya pada kira-kira jam 10 malam, 14 Januari lalu.


Panjara 10 tahun

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan berkenaan.

Stanly membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Syajaratudur kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 28 Februari ini.

Diberkas selepas 30 minit menyamun



Seri Manjung: Tindakan pantas anggota polis berjaya memberkas seorang penjenayah tidak sampai 30 minit selepas menyamun pembantu restoran di Ayer Tawar dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba, berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, dua lelaki bermotosikal menggunakan parang melarikan telefon bimbit, wang tunai dan beg milik seorang wanita warga Vietnam berusia 27 tahun.
Katanya, kejadian berlaku ketika wanita itu melayan pelanggan di restoran sebelum penyamun memecut ke arah Sitiawan.

“Pekerja itu terus menelefon polis dan sepasukan anggota ke tempat kejadian.

“Mereka memantau di kawasan perumahan awam Ayer Tawar sebelum mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan yang menuju ke arah ladang sawit.

“Anggota polis berkenaan cuba menangkap dua lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan dan hanya seorang lelaki berusia 26 tahun berjaya ditangkap manakala seorang lagi meloloskan diri,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, semalam.

Pemandu lori ditahan



Pemandu lori ditahan
Keratan akhbar Sinar Harian pada 24 Januari lalu.
MUAR  - Seorang lelaki dipercayai pemandu yang membawa lori dengan muatan tiang konkrit dan terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan tiga beranak meninggal dunia di Jalan Muar-Air Hitam, kelmarin, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, lelaki itu yang baru keluar dari Hospital Batu Pahat ditahan untuk membantu siasatan selepas membuat laporan di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar, di sini.

“Lelaki yang dipercayai pemandu lori berkenaan datang membuat laporan pukul 10 pagi itu dan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Rabu lalu, isteri dan dua anak kepada Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bakri terbunuh dalam kemalangan ngeri di Batu 14, Jalan Muar-Air Hitam, berhampiran Bukit Naning di sini, setelah kereta Proton Persona dipandunya  dihempap 32 tiang konkrit.

Sementara itu, suami dan juga bapa kepada kanak-kanak malang itu, Mohd Ghazali Salamun, 45, menarik nafas lega dengan penahanan itu dan mahukan pembelaan sewajarnya selepas kehilangan tiga ahli keluarganya.

“Saya bersyukur (dengan penahanan itu), bukanlah saya berdendam dengan dia. Saya reda dengan pemergian isteri saya tetapi cuma cara pemergiannya amat menyayat hati, tidak pernah terfikir sama sekali dalam fikiran.

“Apabila saya duduk berseorangan saya akan menangis.

"Isteri saya memang cermat apabila memandu kereta. Sebelum naik kereta mesti baca ayat kursi, selawat dan al-Fatihah,” katanya.

Mohd Ghazali berkata, tragedi tersebut adalah ujian paling getir pernah dilalui dalam hidupnya walaupun sebelum ini pernah melalui pengalaman jatuh bangun dalam dunia politik.

5 nelayan asing ditahan



5 nelayan asing ditahan
Anggota APMM memeriksa bot yang ditahan di Jeti Operai Maritim Tok Bali.
PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima lagi nelayan asing selepas berjaya mengesan bot tempatan melanggar syarat sah lesen serta menggunakan tenaga kerja warga asing tanpa permit sah kelmarin.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh berkata, bot itu dikesan pada jarak 36 batu nautika dari timur laut Tok Bali dan hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati awak-awak dan tekong merupakan Warga Thailand.

“Mereka ditahan bersama sebuah bot berserta peralatan dan hasil tangkapan yang kemudiannya ditunda ke Jeti Operasi Maritim Malaysia Tok Bali untuk tindakan lanjut pihak siasatan," katanya.

Kes itu katanya disiasat di bawah seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 10 (1) (b) (c) akta yang sama.

Katanya, kes itu merupakan tangkapan ketiga tahun ini membabitkan bot nelayan tempatan dan meminta semua pihak dapat bekerjasama dengan melaporkan sebarang maklumat mengenai kejadian di laut kepada pihak Maritim Malaysia.

Pada 14 Januari lalu, seramai 27 nelayan warga Vietnam berusia dari 18 hingga 50 tahun ditahan daripada dua bot ketika mereka menangkap ikan menggunakan kaedah tunda gading di perairan negara.

Wan Burhanuddin berkata, APMM memandang serius mengenai pencerobohan bot nelayan asing kerana ianya menggugat pendapatan nelayan tempatan.

Lemas dalam kolam air panas



Lemas dalam kolam air panas
Mayat mangsa diangkat untuk di bawa ke Hospital Bentong, petang kelmarin.
Lemas dalam kolam air panas
LEE KAM SENG
BENTONG – Kegembiraan dua warga emas berkunjung ke kolam air panas sebagai rutin mingguan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika berendam kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Mangsa Lee Kam Seng, 78, datang ke kawasan ini bersama rakan baiknya Ah Lee, 67, kira-kira jam 4.20 petang seperti kebiasaannya untuk berendam di kolam berkenaan.

Ah Lee berkata, lebih kurang 20 minit berendam dalam kolam terbabit, dia mengambil keputusan naik ke daratan manakala Kam Seng terus berendam.

Menurutnya, sebaik kembali semula ke kolam selepas mengganti pakaian, Kam Seng tidak lagi kelihatan berendam di situ.

“Saya ada bertanyakan beberapa orang yang mandi di situ, sama ada ternampak  Kam Seng, namun tiada siapa yang melihatnya.

“Saya minta bantuan mereka untuk mencari Kam Seng di dasar kolam namun tidak ditemui,” katanya.

Tidak lama kemudian, mereka melihat tubuh Kam Seng timbul di permukaan kolam dan menaikkannya ke daratan untuk diberi bantuan kecemasan.

Anggota Rela bertugas menjaga kawasan kolam, Mohd Asrul, 31, berkata, selepas mangsa dibawa naik mereka berusaha menyelamatkannya namun tubuh mangsa agak lemah dan akhirnya meninggal dunia.

"Ketika kejadian pengunjung tidak ramai dan kehilangan mangsa dalam air sememangnya tidak disedari sehinggalah dia dibawa ke darat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong sebelum dituntut ahli keluarga.

10 lelaki dicekup minum arak



Badaruddin Ahmad Bustami
Badaruddin Ahmad Bustami
TEMERLOH - Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Temerloh menahan 12 individu ketika serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Taman Perindustrian Temerloh kerana minum arak dan berpakaian tidak sopan pada malam sambutan Maulidur Rasul yang lalu.

Kadi Daerah Temerloh, Badaruddin Ahmad Bustami berkata, dalam operasi kira-kira jam 1 pagi kelmarin, 10 lelaki Melayu ditahan ketika minum minuman memabukkan dalam premis yang diserbu.

Menurutnya, ketika serbuan, Paid dibantu polis dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memasuki sebuah premis hiburan yang sarat dengan pengunjung Melayu.

“Hasil ujian menggunakan alcoblow, 10 lelaki Melayu didapati positif minum arak, manakala dua wanita turut ditahan kerana berpakaian mendedahkan tubuh badan,” katanya sewaktu ditemui di pejabatnya, semalam.

Badaruddin berkata, operasi pada malam tersebut diketuai beliau sendiri yang memberi tumpuan kepada orang Islam yang minum arak di pusat hiburan.

Katanya, 10 lelaki yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 136 enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang 1982.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan juga dikenakan sebat tidak lebih enam kali.

Bagi kesalahan berpakaian mendedahkan tubuh, Badaruddin berkata, dua wanita yang ditahan akan dibicarakan di bawah Seksyen 183 enakmen yang sama.

Sementara itu, beliau kesal dengan tindakan segelintir umat Islam yang tidak menghormati sambutan Maulidur Rasul.

“Tindakan mereka ini sangat memalukan kerana bukan setakat minum arak tetapi melakukannya ketika sambutan Maulidur Rasul.

"Kami akan menggempur habis-habisan pusat hiburan yang dikunjungi orang Islam dalam membanteras kegiatan tersebut," katanya.

Warga emas maut nahas babitkan dua motosikal



KUANTAN - Seorang warga emas maut selepas motosikal klasik jenis Honda C70 yang ditungganginya berlanggar dengan motosikal lain ketika membelok memasuki simpang di Kilometer 34.5 Jalan Raub –Lipis dekat Raub, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 1.10 petang itu, mangsa, Mohamed Ripin Wok, 67 dari Batu 32, Kampung Gali Hilir, Raub mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raub kira-kira jam 8.22 malam, hari yang sama.

Sementara itu, penunggang motosikal jenis Yamaha 135Z, Mohd Hamirul Khairuddin, 20 dari Kampung Dong dan pemboncengnya, Nor Hamirah Romly hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abduul Rahim berkata, kedua-dua motosikal terbabit dipercayai  dalam perjalanan dari arah Lipis dan mangsa berada di hadapan.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa cuba membelok ke kanan untuk memasuki simpang tanpa menyedari ada sebuah motosikal dari arah belakang menghampirinya.

“Akibat kejadian penunggang motosikal belakang gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak jatuh ke atas jalan.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Raub dan disahkan meninggal dunia kira-kira lapan jam kemudian,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, punca sebenar nahas yang meragut nyawa warga emas itu masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis buru enam remaja bantu kes pukul



Polis buru enam remaja bantu kes pukul
Polis buru enam remaja bantu kes pukul
NILAI - Polis kini sedang memburu enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pukul di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Seremban arah utara, pada 14 November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kesemua individu yang dicari disyaki terlibat memukul seorang lelaki sehingga cedera parah dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku akibat salah faham apabila mangsa terlanggar bahu salah seorang daripada mereka semasa berada di stesen minyak.

“Menyedari situasi tersebut, mangsa segera meminta maaf namun tidak diendahkan lantas dibelasah oleh lapan lelaki yang berada di situ,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, semalam.  

Menurut beliau, salah seorang daripada lapan individu yang terlibat telah berjaya diberkas pada 30 November lalu untuk disoal siasat manakala enam lagi masih bebas dan seorang belum dikenal pasti.

“Sehubungan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mereka yang dicari ialah Mohd Hafiz Azahari, 20, dari Kampung Cheras Baru; Mohammad Fadly Ab Manap, 24, dari Kampung Seri Malaysia Sungai Besi dan Muhamad Zulfika Annuar Roslan, 22, dari Taman Desa Petaling.

Tiga lagi remaja yang diminta tampil adalah Lukman Zailan, 22, dari Taman Desa Serdang; Ahmad Syafiq Chee Mee, 21, dari Kampung Seri Malaysia Sungai Besi dan Nik Mohamad Hamidi Nik Mohamad Shor, 20, dari Taman Sri Puteri Desa Petaling.

Mohd Yusoff berkata, pihak polis mengharapkan kerjasama sesiapa sahaja yang mengenali enam remaja ini agar tampil memberi maklumat.

“Salurkan maklumat kepada balai berdekatan atau hubungi Balai Polis Nilai di talian 06-7991222,” katanya.

Pengusaha resah kes lembu disuntik pelali sebelum dicuri



Azizan menunjukkan picagari yang ditemui digunakan untuk menyuntik lembu sebelum ia dicuri.
Azizan menunjukkan picagari yang ditemui digunakan untuk menyuntik lembu sebelum ia dicuri.
KULIM - Pengusaha lembu di Labu Besar resah apabila ternakan mereka sering dicuri.

Difahamkan, sepanjang minggu ini sahaja lima lembu dilaporkan hilang dan kerugian mencecah hampir RM20,000.

Pesara tentera, Azizan Sirat, 54, dari Kampung Jubai berkata, tiga lembunya dipercayai disuntik picagari dimana dua ekor berjaya dilarikan, manakala seekor lagi rebah di hadapan rumahnya.

“Permasalahan kes curi lembu bukan perkara baru di Labu Besar. Sehingga kini penternak lembu mengalami banyak kerugian.

"Kebanyakan lembu dicuri biasanya sudah cukup umur dan boleh disembelih. Ini memudahkan individu tidak bertanggungjawab menyembelih dan menjual daging itu ke pasaran. Penggunaan jarum suntikan pada lembu adalah cara paling popular digunakan pencuri dimana mereka akan menggunakan ubat pelali dan ini akan mengakibatkan lembu disuntik tidak dapat berjalan atau meronta,” katanya.

Ketua Rakan Cop yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kawasan Labu Besar, Nordin Ismail meminta penternak lembu supaya menyediakan kawasan khas untuk mengumpul semua lembu ternakan mereka.

Menurutnya, dengan cara itu lembu tidak akan berkeliaran dan akan mengurangkan kes kehilangan lembu selain berharap penduduk kampung terlibat menubuhkan pasukan rondaan dan membuat pemantauan terhadap suspek.

“Kecurian lembu selalunya berlaku awal pagi dimana kebanyakan penternak sedang tidur. Jika penternak ada tempat khusus meletakkan lembu masing-masing saya percaya kecurian ini dapat dibendung.

"Hari ini kita lihat puluhan lembu akan berkeliaran terutama waktu malam. Sekiranya penternak mengambil sedikit inisiatif  menyediakan kawasan lapang yang berpagar, saya percaya masalah kecurian lembu penduduk kampung dapat ditangani,” katanya.

Maut hantar abang ke sekolah



Maut hantar abang ke sekolah
Gambar Muhamad Faiskandar yang didukung salah seorang saudara bersama ibunya, Atikah (kanan).
Maut hantar abang ke sekolah
Marzuki (kiri) yang mengalami cedera ringan di tangan dan kaki bersama ibunya (kanan) dan bapanya, Abd Karim (tengah) di rumah mereka di Kampung Sekukuh.
Maut hantar abang ke sekolah
Ibu saudara mangsa, Subriah Yahya, 39, menunjukkan lokasi kemalangan yang meragut nyawa anak saudaranya.
PEKAN - Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menaiki motosikal bersama abang sulung untuk menghantar abang kedua ke sekolah berakhir tragedi menyayat hati apabila dia maut selepas terjatuh daripada motosikal dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Pasir Panjang-Tanjung Agas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 pagi itu, mangsa, Muhamad Faiskandar Abd Karim yang tinggal di Kampung Sekukuh, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Abang sulung mangsa yang juga penunggang motosikal, Marzuki Abd Karim, 17, hanya mengalami kecederaan ringan, manakala abang kedua, Muhammad Faizal Abd Karim, 11, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas mendapat rawatan awal di Hospital Pekan.

Tak pernah ikut abang

Ibu mangsa, Atikah Isa, 40, berkata, anak bongsunya itu tidak pernah mengikut anak sulungnya, Marzuki, menghantar anak ketiganya, Muhammad Faizal ke sekolah pada setiap pagi.

Bagaimanapun pagi semalam katanya, ketika melihat Marzuki menghidupkan enjin motosikal, Muhamad Faiskandar atau lebih mesra dipanggil Fais segera mendekati abangnya dan memberitahu ingin mengikut mereka.

“Fais bagaimanapun tidak menangis atau merengek mahu mengikut abangnya, malah saya juga tidak melarang Marzuki membawa adiknya sekali yang diletakkan dalam raga motosikal.

“Selalunya dia akan menangis kerana tidak dibenarkan mengikut abangnya, namun pagi tadi (semalam) dia langsung tidak menangis dan hanya diam apabila dibawa naik motosikal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Sekukuh selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang Hilir, kira-kira jam 3.30 petang, semalam.

Atikah berkata, dia dan suami Abd Karim Kasim, 44, agak terkilan dengan kejadian itu, namun reda dan meminta kes berkenaan disiasat dengan teliti berikutan cerita anaknya bertentangan dengan laporan yang diberikan pemandu kereta terbabit.

Sementara itu, Marzuki yang ditemui kelihatan sugul kerana masih trauma dengan tragedi yang menimpa dia dan dua adiknya.

“Saya tidak menyangka akan kehilangan adik bongsu yang sangat manja dengan kami sekeluarga, malah sikapnya yang diam pagi tadi (semalam) masih saya ingat.
“Saya dan keluarga akan membuat laporan polis Isnin depan atas arahan yang diberikan pegawai polis bertugas,” katanya.

Motosikal hilang kawalan

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian tiga beradik itu yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan menghantar Muhammad Faizal ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Agas, dekat sini.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, Marzuki dipercayai mengelak sebuah basikal yang berada di tepi jalan sebelum hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah bertentangan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa yang duduk dalam raga motosikal tercampak dan terjatuh atas permukaan jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai akibat kecederaan parah di kepala.

“Marzuki bersama Muhammad Faizal kemudian dibantu beberapa orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Pekan untuk mendapat rawatan, namun Muhammad Faizal terpaksa dipindahkan ke HTAA kerana mengalami kecederaan parah," katanya.

Yahaya berkata, semasa kemalangan berlaku, keadaan permukaan jalan kering manakala cuaca baik serta laluan lurus.

Katanya, jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya selepas selesai bedah siasat di Hospital Pekan, pagi semalam dan dibawa pulang ke Kampung Sekukuh, dekat sini, bagi urusan pengebumian.

"Pihak polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tubuh tercampak atas kereta



Tubuh tercampak atas kereta
Mangsa diangkat oleh anggota polis dan orang ramai untuk dihantar ke hospital.
SEREMBAN –  Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya untuk ke tempat kerja bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Bukit Putus,  semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Roszaidi Keman, 45, yang menunggang motosikal jenis Yamaha FF150 meninggal dunia di tempat kejadian, selepas tercampak ke atas kereta jenis Nissan Grand Livina itu.

Menurut jurucakap polis, kejadian dipercayai berlaku sewaktu kereta Nissan Grand Livina yang dipandu oleh seorang wanita itu, cuba memotong lori di hadapan kenderaan mereka.

Katanya, kenderaan yang turut membawa tiga anaknya itu, bagaimana pun gagal mengawal kenderaan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Siasatan mendapati wanita itu cuba memotong lori di hadapannya, bagaimanapun gagal lalu merempuh motosikal mangsa.

“Disebabkan pelanggaran itu, mangsa melambung ke atas kereta wanita berkenaan dan maut serta-merta di tempat kejadian.

“Mangsa dilaporkan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya.

Tambahnya, wanita yang bekerja sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah dekat Kuala Pilah itu bagaimana pun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kesemua anak wanita terbabit terselamat kecuali anak perempuannya berusia 15 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan, mengalami kecederaan di bahagian mulut dan hidung.

“Jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Bomoh 'Panji Langit' dituduh miliki senjata




Jasin: Seorang bomoh yang disyaki terbabit dalam ajaran sesat 'Panji Langit' dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki senjata api tiruan dan senjata berbahaya di sekitar daerah ini, tiga minggu lalu.

Mohd Jaffar Robani, 46, dari Asahan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.
Terdahulu, tertuduh yang berpakaian gelap dan berkopiah kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu 29 pedang, 11 parang, tiga pisau graviti dan sebilah lembing di sebuah rumah di Kampung Chabau di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 5 Januari lau.


Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, Mohd Jaffar didakwa turut memiliki empat pistol tiruan dan selaras senapang tiruan di sebuah rumah di kampung sama, kira-kira jam 5.30 petang, 7 Januari lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjatapi 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof manakala tertuduh diwakili peguam bela Suhaidi Zakaria.

Siti Suriatey membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Mac depan.

Kejar, rempuh perompak berpisau



Alor Gajah: Seorang peniaga nekad mengejar kereta dinaiki dua penjenayah bersenjatakan pisau rambo sejauh tiga kilometer (km) sebelum merempuh kenderaan itu di Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa, Soh Chee Seong, 40, yang memadu Proton Iswara memberanikan diri menghimpit dan merempuh Proton Wira dinaiki dua penjenayah itu dalam usaha menghentikannya.


Tindakan berani Soh bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila penjenayah terbabit berjaya memboloskan diri bersama RM1,000, telefon bimbit dan sejumlah rokok yang disamun di kedai mangsa.

Soh berkata, dia sedang menikmati makan malam bersama isteri, Pang Moi Chu, 42, di kedai runcit miliknya sebelum didatangi dua lelaki ingin membeli rokok.


“Ketika isteri mengambil rokok, seorang daripada mereka menerpa dan mengacukan pisau rambo di leher saya. Isteri yang melihat tindakan penjenayah itu menjerit ketakutan.


“Bimbang penjenayah bertindak di luar batasan, saya meminta isteri bertenang dan memberi apa saja yang penjenayah itu mahukan,” katanya.

Menurutnya, penjenayah terbabit mengugut mengelar lehernya jika enggan menyerahkan wang diminta.


Katanya, dia cuba menghalang lelaki itu mengambil komputer riba milik anaknya di atas kaunter kedai.

“Mereka mengambil RM1,000 hasil jualan dan sebuah telefon bimbit serta rokok sebelum melarikan diri menggunakan Proton Wira.


“Sebaik penjenayah itu masuk ke kereta dan cuba melarikan diri, saya memberanikan diri mengejar mereka kira-kira tiga km lalu merempuh mereka,” katanya.


Menurutnya, dia mengekori rapat Proton Wira penjenayah itu sebelum menghimpit kenderaan berkenaan menyebabkan seorang penjenayah mengeluarkan pisau dan mengugut membunuhnya jika terus diekori.


Katanya, penjenayah kemudian mencampakkan pisau berkenaan ke tepi jalan dan nyaris terkena seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui lokasi kejadian.


“Walaupun penjenayah berjaya melarikan diri, saya bersyukur tidak dicederakan,” katanya yang kerugian RM1,500 dalam kejadian itu.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian

Maut ketika menyelamat



Maut ketika menyelamat
Keadaan van yang merempuh mangsa dalam kemalangan di Kilometer 258.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara).
Maut ketika menyelamat
Keadaan Proton Persona yang remuk dalam kemalangan di Kilometer 258.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara).
IPOH - Dua lelaki sempat menyelamatkan sebuah keluarga yang terbabit dalam satu kemalangan sebelum maut dirempuh oleh sebuah van dalam nahas jalan raya di Kilometer (KM) 258.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi dan kedua-dua mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Menurutnya, seorang daripada mangsa, S S Lee Pride, 31 merupakan seorang pekerja kilang berasal dari Johor, manakala seorang lagi merupakan pemandu trak penunda, S Praveen, 27 dari Kuala Kangsar.

"Sebelum itu, berlaku satu kemalangan membabitkan treler, lori, kereta jenis Proton Persona dan Proton Waja.

"Lee Pride yang menaiki kereta jenis Proton Wira telah berhenti di tepi jalan untuk membantu sebuah keluarga yang terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan itu.

Abdul Ghaffar berkata, kedua-dua mangsa yang maut dalam kejadian berkenaan kebetulan melalui kawasan itu dan telah membantu mengeluarkan mangsa kemalangan dalam kereta Proton Persona.

Katanya, selepas selesai mengeluarkan mangsa dari kereta, kedua-duanya cuba mengawal lalu lintas yang agak sesak pada ketika itu.

"Tiba-tiba datang sebuah van dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang kereta Proton Persona terbabit menyebabkan kedua-dua mangsa yang berada berhampiran kenderaan itu terpelanting.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing, manakala pemandu kereta Proton Persona berusia 32 yang cedera parah turut menerima rawatan di hospital sama," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau memaklumkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

50 maut dalam pertempuran di penjara Venezuela



CARACAS 26 Jan. - Sekurang-kurangnya 50 orang maut dan 90 lagi cedera akibat pertempuran yang berlaku di sebuah penjara di barat laut Venezuela, semalam.
Seorang pegawai hospital, Ruy Medina berkata, angka korban mungkin meningkat dan kebanyakan mangsa yang cedera dalam pertempuran di penjara Uribana, negeri Lara itu kerana terkena tembakan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130126/lu_15/50-maut-dalam-pertempuran-di-penjara-Venezuela#ixzz2J3tphab4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kenderaan remuk rempuh lembu



RANTAU PANJANG – Sebuah kereta remuk setelah merempuh seekor daripada lembu yang berkeliaran di sekitar Gual Tinggi, dekat sini semalam.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk Rantau Panjang, Mat Bastaman Hamat berkata, kemalangan melibatkan pengguna dan ternakan di sepanjang laluan Gual Tinggi ke Rantau Panjang serta sekitarnya bukan perkara baru.

Katanya, orang ramai kerap berdepan bahaya terutama pada waktu malam disebabkan penternak mengambil jalan mudah melepaskan ternakan mereka.

Menurutnya, penternak tidak sepatutnya melepaskan ternakan seperti lembu, kambing serta ternakan lain kerana orang ramai terdedah bahaya pada bila-bila masa sahaja tambahan pemilik tidak akan mengaku ternakan terlibat kemalangan sekiranya dirempuh.

“Pengguna bukan sahaja berdepan kerosakan kenderaan, tetapi mereka turut berisiko cedera atau hilang nyawa bila kemalangan.

“Sehubungan itu, penternak tidak seharusnya memikirkan keuntungan serta mengambil jalan mudah melepaskan ternakan untuk meringankan beban tugas mereka, sepatutnya mereka memikirkan risikonya kepada orang ramai,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati terdapat hampir 20 lembu berada di sekitar tempat kejadian.

Mat Bastaman berkata, pihak berkuasa tempatan digesa mengambil tindakan dengan menangkap ternakan yang dibiarkan berkeliaran terutama di sekitar laluan utama.

Menurutnya, jika dibiarkan, lebih ramai pengguna jalan sekitar Rantau Panjang akan menjadi mangsa.

“Ternakan dibiarkan bebas di sekitar jalan utama menuju pekan Rantau Panjang ini juga, dapat menjejaskan imejnya pada pandangan pengunjung.

“Pada masa sama, najis ternakan tersebut akan mengotorkan jalan,” katanya.

Pecah masuk rumah, warga Thai dipenjara 12 bulan

KUALA KRAI - Tindakan seorang pemuda warga Thailand memecah masuk sebuah rumah di Ladang Ibu Pahi, dekat ini, mengundang padah apabila dia dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara di Mahkamah Majistret Kuala Krai, dekat sini.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nor Ahmed Fahd Abdullah selepas tertuduh, Mr Seming, 20-an, mengaku salah atas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Majistret Nor Ahmed Fahd memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Januari lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis dari IPD Kuala Krai, Inspektor Aizuddin Jamaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar berkata, tertuduh ditangkap dua hari selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa, Aidil Hazan Mohd Sejali, 21, mengenai kejadian rumahnya dipecah masuk.

“Pada kejadian itu, mangsa kehilangan wang tunai RM1,000; satu unit tablet berjenama Samsung; dua unit telefon bimbit masing-masing berjenama Sony dan Nokia serta ubat-ubatan bernilai kira-kira RM300.

“Bertindak atas maklumat, suspek (tertuduh) berjaya ditangkap sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Krai dan semua barang yang dilaporkan hilang, berjaya ditemui semula,” katanya.

Lebih ramai pegawai China dipecat angkara skandal pita seks



Lei Zhengfu
Lei Zhengfu
BEIJING - Lebih 10 pegawai kerajaan dipecat angkara penyebaran pita seks yang dilakukan oleh individu tertentu bagi tujuan ugutan.

Media melaporkan, penyebaran pita pertama melibatkan pegawai kerajaan dari Chongqing, Lei Zhengfu November tahun lalu.

“Video itu ditayangkan kepada pegawai kerajaan selepas diperoleh daripada bekas wartawan,” menurut laporan itu.

Laporan menyebut, media mengesahkan terdapat lebih dari 10 pegawai terlibat dalam skandal seks ini termasuk pemimpin parti politik. - AP

2 lelaki bantu mangsa kemalangan maut dirempuh van




26 Januari 2013
IPOH - Sepuluh minit selepas membantu menyelamatkan mangsa kemalangan, dua lelaki terbunuh akibat dirempuh oleh sebuah van pada laluan menuruni bukit selepas Terowong Menora di KM 258.5 Lebh Raya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar, semalam.

S. Lee Pride, 31, seorang pemandu kereta dan S. Parveen, 26, seorang pemandu trak penunda, berhenti untuk membantu sebuah keluarga yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Malangnya, selepas berjaya mengeluarkan keluarga berkenaan, kedua-dua mangsa berada di hadapan kereta tersebut untuk membantu mengawal lalu lintas apabila pemandu van berkenaan berusia 29 tahun gagal mengawal kenderaan lalu merempuh kedua-dua mereka.

Sebelum itu, sebuah lori, treler dan dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Persona terbabit dalam pelanggaran 'bamper ke bamper' lalu kereta Persona yang dinaiki oleh keluarga tersebut terbabas melintang jalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Gaffar Muhamad berkata, dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Bagaimanapun, pemandu van berkenaan serta mangsa kemalangan lain tidak mengalami kecederaan.

Lee berasal dari Taman Sri Tengah, Kluang, Johor, sedang dalam perjalanan ke Sungai Petani manakala Praveen dari Kuala Kangsar menawarkan khidmat menunda kereta di kawasan tersebut.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat. - Bernama

Remaja dibelasah separuh mati



Remaja dibelasah separuh mati
Keadaan muka Muhammad Rahim yang cedera parah akibat dibelasah 10 lelaki.
PORT DICKSON –  Seorang remaja lelaki cedera parah di muka dan badan apabila dibelasah separuh mati oleh 10 individu tidak dikenali dalam kejadian yang berlaku pada 20 Januari lalu.

Menurut mangsa, Muhammad Rahim Omar, 20, dari Taman Sri Lukut di sini, segala-galanya bermula selepas dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita bernama Linda pada jam 8 malam .

“Dia mengajak saya berjumpa di Dataran Telok Kemang. Saya pun pergi dan berjumpanya di sana. Saya datang seorang diri, manakala dia ditemani seorang rakan wanita lain. Kami hanya duduk berborak macam biasa kerana masih tak kenal antara satu sama lain,” katanya.

Bagaimanapun, detik hitam bermula apabila tiba-tiba muncul seorang lelaki yang kemudian menuduh mangsa mengganggu isterinya.

“Saya menafikan yang saya kenal perempuan itu, tetapi dia terus memukul saya. Di belakang ada lebih kurang sembilan lagi lelaki lain yang mengiringinya.

“Mana mungkin saya dapat melawan dengan tenaga sepuluh lelaki. Saya dibelasah sampai lembik. Dalam pada itu mereka sempat memberitahu yang saya ganggu isteri seorang pegawai tentera,” katanya.

Muhammad Rahim berkata, selepas puas dipukul, dia dibawa ke satu lokasi dengan menaiki kereta dan kemudian dibelasah lagi.

“Ketika dibelasah kali kedua, orang itu suruh saya buka seluar, tapi saya tak mahu. Mereka kata, kalau saya tak nak ikut arahan, mereka akan potong 'anu' saya dan campak ke laut,” katanya.

Menurutnya, gambarnya juga dirakam sekumpulan lelaki terbabit, selain telefon bimbit miliknya dirampas.

“Saya kemudian merayu dihantar ke Balai Polis Telok Kemang. Agak terkejut juga apabila mereka menuruti permintaan saya sebelum ditinggalkan di luar balai  itu.

“Saya minta tolong anggota polis bawa saya ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan kerana muka saya berlumuran darah akibat teruk dibelasah. Saya menerima beberapa jahitan di muka dan dahi,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Omar Mahmood, 52, berkata, dia hanya mahukan keadilan untuk anaknya.

“Saya harap mereka akan menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka. Negara kita ada undang-undang, bukan sesuka hati membelasah orang. Saya serahkan kepada polis untuk menyelesaikan kes ini.

“Anak saya mengalami luka teruk di bahagian mata dan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk pemeriksaan pakar. Saya akan tuntut keadilan di mahkamah kerana yakin anak saya bukanlah orang yang mereka cari,” katanya.

Sinar Harian turut difahamkan, lapan telah ditahan termasuk dua wanita yang terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan kes masih dalam siasatan.

Tidak sedar rumah terbakar



Tidak sedar rumah terbakar
Noorsiah dan anak bongsunya, Nor Fadilah memilih buku-buku sekolah yang masih boleh digunakan selepas kediaman mereka di tingkat dua, Blok C, Pangsapuri Seri Perantau dijilat ap
PELABUHAN KLANG - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang didiami hampir 10 tahun lalu di tingkat dua, Blok C, Pangsapuri Seri Perantau, di sini, terbakar menyebabkan kesemua perabot dan barangan berharga lain musnah, semalam.

Berikutan kebakaran itu, keluarga terbabit menanggung kerugian hampir RM100,000.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu juga nyaris menyebabkan seorang ahli keluarga yang sedang tidur rentung.

Menceritakan detik cemas itu, Azizul Anuar Abu Karim yang juga pelajar tahun satu Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Pantai Timur berkata, semasa kejadian dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari sebuah bilik terbakar setelah dikejutkan nenek, Rajamal Kantan, 79, yang baru pulang dari kedai.

“Sebaik menyedari kejadian itu, saya bergegas keluar dari rumah bersama nenek. Saat itu kami panik dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

“Kami menjerit minta tolong jiran-jiran berdekatan sebelum ibu, Noorsiah Judin, 48, yang sedang berniaga makanan di gerai berdekatan muncul di blok ini,” katanya.

Kebakaran yang berlaku dalam jangka masa pendek itu turut memusnahkan pakaian dan peralatan sekolah lima anak Noorsiah termasuk tiga bilik tidur kediaman itu rosak teruk.

Noorsiah yang juga ibu tunggal anak lapan berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga makanan di gerai Majlis Perbandaran Klang (MPK) berdekatan pangsapuri itu.

“Saya menyedari rumah saya terbakar selepas dimaklumkan jiran terdekat dan bergegas pulang ke rumah kerana khuatir keselamatan anak yang sedang tidur,” katanya.

Menurutnya, tiada satu pun barangan yang berjaya diselamatkan memandangkan hanya seorang anak yang berada di rumah sewaktu kejadian.

“Saya tinggal di rumah yang dibeli arwah suami ini bersama empat ahli keluarga termasuk ibu dan dua anak. Manakala anak-anak lain tinggal berasingan kerana ada yang sudah berkahwin dan juga bekerja serta belajar di luar kawasan. Bila cuti, baru mereka pulang ke sini.

“Bagaimanapun sempena cuti umum beberapa hari ini sejak kelmarin, hampir semua anak saya pulang ke sini untuk bercuti bersama-sama,” katanya.

Akibat kejadian itu, Noorsiah terpaksa menumpang sementara di rumah seorang anaknya yang sudah berkahwin di blok bersebelahan sementara menanti rumahnya dibersihkan dan dibaiki semula berikutan kerosakan yang dialami amat serius.

Dalam kejadian itu, kediaman bersebelahan rumah mangsa turut mengalami kerosakan, bagaimanapun hanya bahagian dapur yang terkena bahang kebakaran itu.

Mayat William ditemui, misteri belum terjawab



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Januari 2013
Muka depan edisi Selangor hari ini.
Muka depan edisi Selangor hari ini.
Info grafik lokasi kehilangan dan penemuan mayat William.
Info grafik lokasi kehilangan dan penemuan mayat William.
SUBANG JAYA – Biarpun penemuan mayat kanak-kanak di jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kelmarin adalah disahkan William Yau Zhen Zhing, 6, oleh ibu bapanya, namun misteri kematiannya masih menjadi persoalan.

Sejak 16 Januari lalu, polis menggunakan pelbagai usaha cuba mengesan William Yau, antaranya mengedar poster dan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan bukit serta belukar, berhampiran lokasinya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Seksyen 7, Putra Heights.

Bagaimanapun, kelmarin, mayat kanak-kanak itu ditemui terapung di dalam sungai iaitu sejauh 30 kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.

Mayat William Yau ditemui dalam keadaan separuh reput dan kembung.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Tiada kecederaan luar di tubuh mayat melainkan bekas gigitan binatang yang menjamah mayat ketika berada di dalam air,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, semalam.

Yahaya berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana mayat kanak-kanak terbabit berada di dalam sungai.

“Tiada parit monsoon besar di lokasi William dilaporkan hilang, kalau ada pun sungai terletak tiga kilometer dari Putra Heights.

“Pegawai perubatan juga tidak dapat menentukan punca kematian kerana  mayat sudah mereput dan percaya meninggal sejak seminggu lalu,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, belum ada suspek atau maklumat jelas yang dapat mengaitkan kematian William Yau.

Difahamkan, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang ugutan atau tuntutan wang ugutan untuk dikaitkan dengan kes penculikan.

Setakat ini, hanya lima individu menyalurkan maklumat, namun ianya tidak mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan William Yau.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, mayat itu disahkan oleh ibu bapa William Yau yang hadir menjalani proses pengecaman mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, semalam.
Katanya, pengesahan itu berdasarkan seluar pendek, seluar dalam, parut di dahi dan di belakang kepala mayat yang mirip William Yau.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diperolehi selewat-lewatnya tiga hari untuk mengesahkan status sebenar mayat kanak-kanak tersebut.

“Kita yakin 75 peratus mayat itu adalah kanak-kanak yang hilang. Sampel tulang dan rambut sudah dihantar ke Jabatan Kimia. Apa pun kita tunggu laporan DNA sama ada wujud pertalian antara mayat dengan William Yau.

“Jika benar mangsa, kita akan hentikan pencarian dan tumpukan kepada sebab-sebab kematian,” katanya.

Yahaya berkata, abang William Yau yang berusia tujuh tahun akan dipanggil untuk diambil keterangan semula.