Search This Blog

Friday, January 25, 2013

Rumah roboh: Terpaksa tidur di dapur



Zakuan
Zakuan memohon bantuan perumahan, bagi keperluan isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.
PASIR MAS – Seorang buruh di Kampung Kedondong terpaksa tidur ruang kecil di bahagian dapur, selepas rumah pusaka yang diduduki roboh dua minggu lalu.

Ahmad Zakuan Hamat, 40, berkata, tiga anak berusia lima bulan hingga 13 tahun bersama isterinya, terpaksa menumpang di rumah ibu mentuanya buat sementara waktu.

Menurutnya, hanya ruang dapur tidak mengalami sebarang kerosakan, selebihnya tidak dapat digunakan kerana ditutupi kayu dan bumbung.

“Saya terpaksa tidur beralaskan kain tebal kerana semua perabot dan barangan elektrik tidak dapat diselamatkan.

“Berbekalkan gaji kerja sebagai buruh, ia mungkin memakan masa bertahun membina semula rumah pusaka ini,” katanya.

Selain keperluan harian, Zakuan berkata, dia terpaksa membahagikan pendapatan bulanannya untuk persekolahan anak sulungnya.

Katanya, sebahagian barangan persekolahan anaknya tidak dapat diselamatkan, namun bersyukur kerana anaknya memahami kejadian yang berlaku.

Selepas kejadian ini katanya, dia terpaksa melakukan dua kerja sehari, buruh pada waktu pagi manakala bersawah di waktu petang.

Menurutnya, dia memohon agar bantuan perumahan dapat disediakan, memandangkan kejadian terdahulu hampir meragut nyawa anak bongsunya.

“Selepas apa yang berlaku, saya tidak mahu ambil risiko dan meletakkan keselamatan keluarga saya di tempat bahaya,” katanya.

Dalam kejadian ini, anak bongsu Zakuan, Muhamad Afiq Zafran berusia lima bulan, hampir maut apabila kayu bumbung di ruang tamu rumahnya roboh, awal bulan ini.

Penyamun guna kad kredit curi kena cekup


MIRI: Kesilapan lelaki menggunakan kad kredit mangsa samun bagi membeli minuman kesihatan di Pusat Komersial Boulevard, di sini, mengundang padah apabila wajahnya dicam polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekali gus membolehkannya ditahan, kelmarin.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di rumahnya di Pujut 2, di sini, oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Miri, diketuai Inspektor Nagulan Maniam, selepas mendapat maklumat kelibat suspek, jam 7.30 malam.
Difahamkan, lelaki terbabit dipercayai giat melakukan beberapa kegiatan kes pecah rumah sekitar bandar ini termasuk di Pujut, Tudan dan Permyjaya sejak beberapa bulan lalu.

Namun, dia gagal dikesan pihak berkuasa. Menurut sumber, dalam kejadian terbaru suspek dipercayai menceroboh masuk sebuah rumah di Pujut, tiga hari lalu, sebelum melarikan beg tangan mengandungi pelbagai kad kredit serta beberapa barangan berharga termasuk seunit komputer riba milik mangsa.

Terkejut mayat suami di dapur


MERSING: Seorang lelaki ditemui mati di rumahnya di kuarters kerajaan di Jalan Aminah di sini, kelmarin, akibat cedera di leher dan tangan dipercayai akibat dikelar.

Mangsa seorang kakitangan kerajaan dipercayai meninggal dunia pada jam 11.05 malam dan kejadian itu disedari isterinya selepas terjaga daripada tidur. Isteri mangsa terjaga selepas terdengar deringan telefon bimbit suaminya dan bergegas ke dapur untuk memanggil mangsa, tetapi terkejut kerana menemui mayat mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Toff Maarof, berkata mangsa disahkan meninggal dipercayai kerana kehilangan banyak darah akibat kecederaan dialaminya.

Suami isteri ditahan, polis rampas ganja RM110,000




25 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Polis menahan sepasang suami isteri yang juga pemilik gerai makan di Kampung Baru di sini kerana disyaki mengedar dan menyimpan dadah bernilai RM110,000.

Mereka ditahan dalam serbuan polis di gerai makan itu pada 4.30 petang semalam yang menyaksikan rampasan ganja seberat 670 gram, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira sejam selepas serbuan di gerai itu, polis menyerbu sebuah stor kira-kira 200 meter di belakang rumah pasangan itu dan merampas 40 ketulan mampat dipercayai ganja yang telah dibalut.

"Pasangan berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak beberapa tahun lepas," katanya.

Beliau berkata polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai pembeli dadah itu.

"Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 32 dan 53 tahun dan saringan awal urin mendapati mereka positif dadah jenis ganja," katanya sambil memberitahu suspek ditahan reman hari ini hingga Khamis. - Bernama

Kes Sosilawati: Kathavarayan nafi terima upah RM30,000 bagi 'kerja' malam 30 Ogos 2010

SHAH ALAM - Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes bunuh jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, menafikan dia menerima RM30,000 daripada tertuduh pertama, N.Pathmanabhan sebagai upah bagi 'kerja-kerja' dilakukan pada malam kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

R.Kathavarayan, 33, membuat penafian itu ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam keterangannya sebelum ini, tertuduh keempat berkata dia menerima RM30,000 dari Pathmanabhan pada 3 Sept 2010 untuk menyiapkan kerja pembinaan di
sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting.

Kathavarayan diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 44, T.Thilaiyalagan, 22, dan R.Matan, 23, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30
Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kathavarayan seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin sebenarnya telah dibunuh pada
30 Ogos 2010 antara 8.30 malam dan 9.45 malam dengan cara ditikam di tengkuk oleh Thilaiyalagan.

Tertuduh keempat juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa Thilaiyalagan telah menutup muka keempat-empat individu itu dengan tuala sebelum menikam mereka.

"Awak ada dengar Pathmanabhan beritahu Thilaiyalagan bunuh Sosilawati dulu sebab dia nak tengok Sosilawati mati depannya," kata Ishak, dan Kathavarayan
menjawab tidak setuju.

"Saya katakan awak, Thilaiyalagan, Matan, U.Suresh dan S.Sarawanan telah angkat mayat empat orang ini yang telah ditikam dan diletakkan di atas susunan kayu untuk dibakar," kata Ishak.

"Tidak setuju," jawab tertuduh keempat.

Suresh, 30, dan Sarawanan, 23, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.

Kathavarayan juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa dia telah memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max bernombor pendaftaran WSF
8707 untuk membuang abu mayat empat individu tersebut pada 31 Ogos 2010.

Tertuduh keempat bagaimanapun mengakui bahawa Pathmanabhan telah mengarahkan kenderaan itu dicuci sebelum ia dirampas oleh pihak polis bagi menghilangkan
bahan bukti.

Kepada soalan lain Ishak, Kathavarayan berkata Pathmanabhan telah membawa wang tunai kira-kira RM1 juta ke rumahnya (Pathmanabhan) pada pagi 3 Sept 2010.

"Di pertengahan perjalanan, saya telah diturunkan berhampiran kereta saya dan Pathmanabhan beritahu dia nak serahkan duit di rumahnya," kata tertuduh keempat sambil menambah dia tidak tahu dari mana Pathmanabhan memperoleh wang itu.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Khatavarayan berkata ketika pertama kali ditunjukkan gambar Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin oleh pihak polis, dia menyatakan tidak mengenali empat individu itu kerana telah diajar oleh Pathmanabhan.

"Maknanya kamu tipu polis," soal Saiful Edris, dan Kathavarayan menjawab "ya".

"Kamu tipu untuk selamatkan diri kamu," soal Saiful Edris, dan tertuduh keempat menjawab "tidak".

"Kalau kamu boleh tipu, maknanya cerita kamu dipukul, disepak, ditendang di dada, dipotong rambut dan diacukan pistol oleh polis pun tidak benarlah," kata Saiful Edris.

"Tidak setuju," jawab Kathavarayan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-100 bersambung pada 30 Jan. - Bernama

Kedai makan rosak teruk dirempuh kereta

Kedai makan rosak teruk dirempuh kereta Seorang pengusaha kedai makan dan seorang pemilik kereta masing-masing terpaksa menanggung kerugian apabila menjadi mangsa kejadian lumba haram awal pagi tadi.
KUANTAN - Seorang pemilik kedai makan di Jalan Mahkota di sini kerugian hampir RM10,000 apabila sebuah kereta Toyota Innova milik Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diletakkan di tepi jalan, terpelanting merempuh kedainya selepas dilanggar sebuah kereta lain yang terbabas.

Dalam kejadian 3.30 pagi tadi itu, kedai berkenaan mengalami kerosakan di bahagian pintu, rak menyimpan makanan serta peralatan lain.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai terbabas dan melanggar kereta JAS sebelum kereta (kereta JAS) itu terpelanting dan melanggar kedai.

"Pemandu kereta Proton Satria terbabit cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, identitinya masih belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu pemilik kedai tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Nor, 43, berkata dia dikejutkan dengan panggilan telefon rakannya kira-kira 3.30 pagi memaklumkan hal berkenaan.

Katanya dia bergegas ke kedainya dan terkejut apabila mendapati pintu hadapan kedainya rosak teruk.

"Hampir lima tahun saya berniaga di sini, walaupun banyak kemalangan berlaku namun ini pertama kali kedai saya dirempuh," katanya di sini hari ini.

Katanya walaupun sedih dengan kejadian tersebut namun dia  bersyukur kerana semasa kejadian kedainya ditutup dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama

3 tahanan lolos mengaku salah 5 tuduhan


3 tahanan lolos mengaku salah 5 tuduhan
Mohd Khairul diiringi anggota polis selepas didakwa di mahkamah semalam.
BUTTERWORTH - Tiga orang kena tahan (OKT) yang melarikan diri 7 Januari lalu  bakal berhadapan hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini.

Mohd. Farid Akhtar, 24, Mohd. Shahrimy Md Noor, 28, dan Mohd. Khairul Nizam Abd Rani, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hizween Azleena Othman Kamal.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama dua OKT yang mati dan dua lagi yang masih bebas dengan niat bersama dan sengaja mencederakan seorang anggota polis, Mohd Nazzwuan Md Zain yang ditugaskan mengiringi dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth sebelum melarikan diri.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 9.45 pagi 7 Januari lalu berhampiran Jalan Susur Keluar Bagan Ajam Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama mencederakan seorang lagi anggota polis, Mohd Azizan Ahmad pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan ketiga didakwa secara bersama mencederakan seorang anggota polis, Muhammad Sharifuddin Ali juga pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Di bawah pertuduhan keempat, mereka secara bersama didakwa mencederakan seorang lagi anggota polis, T K Mahendren juga pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Untuk semua pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 322 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kKanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Tiga tertuduh itu juga menghadapi pertuduhan kelima iaitu dengan niat bersama dan sengaja lari dari jagaan pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia yang ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan jenayah yang dilakukan sebelum ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebaik mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan semuanya diikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman.

Menurutnya, Mohd Farid mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun, Mohd Shahrimy pula mempunyai rekod jenayah berkaitan kes bunuh manakala Mohd. Khairul Nizam pernah didakwa berkaitan mencederakan orang awam.

“Jika di dalam tahanan pun mereka boleh melarikan diri, apatah lagi jika dibebaskan dengan jaminan.

“Semua OKT mempunyai rekod kesalahan yang serius dan merupakan suspek berpotensi untuk mengulangi perbuatan melarikan diri yang secara langsung akan mengancam keselamatan orang awam," katanya.

Chuin Keat juga meminta mahkamah menangguhkan hukuman kepada tarikh lain kerana pihaknya belum menerima dokumen berhubung laporan perubatan anggota polis pengiring dan fakta kes sebenar kejadian itu.

Hizween Azleena kemudian menetapkan 5 Mac ini sebagai tarikh untuk penelitian fakta dan menjatuhkan hukuman kepada semua tertuduh selain tidak membenarkan ketiga-tiganya diikat jamin.

Pembantu rumah warga Indonesia dipenjara 12 bulan kerana bunuh anjing



25 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membunuh seekor anjing betina milik anak saudara majikannya, dua minggu lepas.

Majistret Nur Azura Murah memerintahkan Heltija Bulu, 26, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Jan lepas.

Heltija didakwa membunuh seekor anjing betina baka Yorkshire Terrier berharga RM3,000 kepunyaan Teh Kelly, 18, di Jalan Sri Hartamas 4, Taman Sri Hartamas, Brickfields dekat sini pada 1.21 tengah hari, 10 Januari lepas.

Mengikut fakta kes, tertuduh memukul anjing itu diruang tamu dan kemudiannya membawa haiwan itu ke dalam bilik air lalu mencampakkannya ke penjuru tandas.

Bedah siasat oleh Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh mendapati punca kematian anjing betina itu akibat penderaan melibatkan objek tumpul yang menyebabkan kematian secara 'Hypovolemic Shock'.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Muhamad Sapri Yaakub. - Bernama

Nyaris ditembak lelaki khalwat



Jamaluddin (dua, kanan)
Jamaluddin (dua, kanan) bersama isteri dan rakan seperjuangan melihat anugerah yang diterima.
SUNGKAI - Pengalaman hampir ditembak oleh seorang lelaki yang disyaki melakukan kesalahan berkhalwat pada 2009 di Taiping tidak mungkin dilupakan bagi Tokoh Pegawai Penguatkuasa Agama, Jamaluddin Othman.

Jamaluddin, 56, pesara Telekom Malaysia (TM), antara penerima anugerah yang disampaikan sendiri oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Jaya Utara Trolak, di sini, semalam.

Katanya, ketika itu dia sedang menjalankan tugas penguatkuasaan bersama lima rakan setelah menerima maklumat berkenaan khalwat di sebuah rumah tumpangan di Taiping.

"Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi menyebabkan saya hampir kehilangan nyawa apabila lelaki itu yang berdua-duaan dengan wanita bukan muhrimnya mengacukan pistol ke arah saya," katanya.

Tambahnya, jarak antara lelaki itu tidak sampai tiga meter menyebabkan dia dan rakan setugasnya berundur kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

“Lelaki itu mengacukan pistol ke arah kami dan jika dia menarik picunya, saya tidak tahu apa akan  terjadi.

“Kami kemudiannya meminta pertolongan polis untuk membawa lelaki itu ke balai polis bersama pasangannya di atas kesalahan berkhalwat,” katanya.

Jamaluddin berkata, walaupun berdepan dengan situasi mencemaskan dan menerima ancaman menerusi telefon, tugas sebagai penguatkuasa  tetap diteruskan.

Sementara itu, Tokoh  Keluarga Mithali, Danyal Ghazali, 70, berkata, ibu bapa perlu menjadi rakan baik kepada anak-anak di samping menerapkan disiplin terhadap mereka.

Katanya, ibu bapa sekarang lebih gemar mengambil orang gaji sehinggakan lupa tanggungjawab mereka dalam mendidik anak-anak.

"Keadaan itu menjadi punca mengapa anak-anak masa kini berjauhan dengan ibu bapa sehinggakan timbul pelbagai masalah di dalam keluarga," katanya.

Tambahnya, dia mendidik sebelas anaknya secara sendiri dan tidak pernah menghantar mereka mengikuti mana-mana kelas tuisyen.

“Hasilnya, dua daripada mereka menerima Diploma manakala sembilan lagi menerima Ijazah serta Master di dalam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  dalam pelbagai bidang,” katanya.

Misteri di sebalik stor pelantar ikan


Omar menunjukkan hos yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan diesel ke dalam tangki.
Omar menunjukkan hos yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan diesel ke dalam tangki.
PANTAI REMIS – Misteri di sebalik stor pelantar ikan di sini, akhirnya terbongkar apabila sepasukan pegawai unit khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menemui tangki berisi diesel bersubsidi, Rabu lalu.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Manjung, Omar Ismail berkata, dalam serbuan jam 5.30 petang di premis tidak bernombor itu, pihaknya menemui beberapa tangki empat segi dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan premis berkenaan kosong dan sudah dikunci.

"Hasil pemeriksaan terhadap premis itu, menemui tiga tangki diisi minyak dipercayai diesel, beberapa pam serta hos yang dipercayai digunakan untuk kerja-kerja pemindahan.

“Kita percaya diesel itu diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan dijual dengan harga lebih rendah daripada pasaran biasa,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Omar berkata, minyak itu juga dipercayai diesel subsidi nelayan kerana lokasi yang terletak berhampiran kawasan nelayan.

Jelasnya, beliau percaya tempat itu baru beroperasi selama enam bulan dan berkemungkinan diesel berkenaan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih murah.

“Kami menyita diesel dengan anggaran 33,200 liter yang bernilai RM59,760 selain lapan pam yang digunakan untuk kerja pemindahan minyak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan.

Pelajar rentung dalam kereta selepas dirempuh pacuan empat roda

S LavindraBomba mengeluarkan mayat mangsa di tempat duduk pemandu, lewat petang semalam.
KLANG SELATAN - “Beberapa minit sebelum itu, Lavindra ada menghubungi saya minta saya belikan petrol. Dia beritahu keretanya kehabisan minyak di lebuh raya Kesas,” kata Suren mengenai panggilan terakhir diterima daripada mangsa, S Lavindra, 25, yang meninggal dunia dalam kebakaran kereta, di sini.

Suren berkata, tiada apa-apa perkara pelik dimaklumkan mangsa melainkan agar cepat membelikan petrol.

"Saya segera ke stesen minyak di Bandar Puteri sebelum bergegas ke lokasi Lavindra berada namun saya rasa tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu berlaku apabila orang ramai mengerumuni keretanya.

"Bomba memaklumkan ada lelaki terbakar dalam kereta dan sebaik tahu nombor pendaftaran serta sah ia milik Lavindra, jantung saya bagaikan tercabut. Tidak sangka baru sekejap tadi dia menghubungi saya, kini dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian lewat petang kelmarin, hasrat seorang penuntut tahun akhir jurusan Kejuruteraan Telekomunikasi sebuah kolej swasta di Cheras pulang menemui keluarga sempena cuti umum semalam tidak kesampaian.

Hasratnya berakhir tragedi menyayat hati apabila mangsa terbakar dan rentung dalam kereta di Kilometer 19.5 lebuh raya Kesas berdekatan susur ke Bandar Botanic dari arah Shah Alam menghala Pelabuhan Barat.

Dalam kejadiam kira-kira jam 4.20 petang itu, kereta mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan lain dipandu seorang wanita.

Menurut Suren, dia yang berkawan baik sejak tujuh tahun lalu tidak menyangka mangsa meninggal dunia dalam keadaan tragis dan tidak akan melupakan peristiwa ngeri itu.

"Lavindra memang seorang yang peramah dan suka membantu rakan-rakan. Dia dijangka menamatkan pengajiannya tidak lama lagi dan Oktober ini juga dia dijadualkan hadir konvokesyen.

“Namun impian sahabat saya yang juga anak kedua daripada empat beradik itu tidak kesampaian,” katanya yang menemui mendiang buat kali terakhir Sabtu lalu, ketika mangsa pulang bercuti di kediaman keluarganya di Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Ketua Trafik yang juga Ketua Bahagian Ketenteraman Awam (KBKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, rempuhan Toyota Fortuner itu menyebabkan Proton Saga yang dinaiki mangsa berpusing beberapa kali sebelum meletup.
“Letupan itu disusuli dengan percikan api yang mula membakar belakang kenderaan dan mangsa dipercayai gagal keluar daripada kenderaannya kerana disyaki terhidu asap dan pengsan.

“Difahamkan orang awam yang melihat kejadian itu cuba membantu mangsa keluar daripada kereta namun gagal ekoran kebakaran berlaku pantas," katanya.

Menurutnya, bomba yang tiba di lokasi kejadian berusaha memadamkan kebakaran dan mayat mangsa ditemui rentung dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu.
“Mangsa yang rentung dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, saksi kejadian diminta tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Naim Saufy menerusi 03-33722222 untuk membantu siasatan.

Suami maut, isteri cedera selepas beli sarapan



25 Januari 2013
KOTA TINGGI - Seorang penungang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 63 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran simpang ke Felda Pasak di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa Nazri Paino @ Kamal, 35, yang membawa motosikal jenis Honda Wave bersama isterinya, dipercayai masuk ke laluan bahu jalan tanpa melihat Perodua Myvi tersebut.

Katanya, Perodua Myvi yang datang dari arah Kota Tinggi itu tidak sempat mengelak lalu melanggar tepi motosikal mangsa dan menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian.

Menurutnya, isteri mangsa, Sarizah Md Sharif,34 yang turut cedera telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan manakala mayat Nazri telah dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 4.

Menurut saksi, Lydia Saleh, 30, kejadian berlaku kira-kira  jam 7.20 pagi di mana dia yang melalui jalan sama selepas  menghantar anaknya ke sekolah di Felda Pasak, terkejut melihat kemalangan depan matanya sendiri.

"Pasangan tersebut baru sahaja membeli sarapan di kedai berhampiran.

"Ketika hendak keluar ke jalan besar, motosikal yang ditunggang dirempuh kereta tersebut yang datang dari arah Kota Tinggi.

"Walaupun mereka memakai topi keledar namun saya tidak sangka suami mangsa meninggal di tempat kejadian," katanya.

Ketum dalam bonet kereta


Ketum dalam bonet kereta
Sebanyak 25 kilogram daun ketum basah disembunyikan suspek di dalam bonet depan tempat enjin kenderaan sebelum ditahan UPP di Pengkalan Hulu, kelmarin.
IPOH - Cubaan seorang lelaki warga Thailand menyeludup keluar daun ketum basah seberat 25 kilogram gagal apabila dia ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perak di Kilometer 4.5, Jalan Pengkalan Hulu-Betong, dekat sini, kelmarin.

Komander UPP Perak, Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, suspek yang menaiki lori pikap model Isuzu dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan berhampiran pintu pagar sempadan sebelum ditahan anggota
bertugas.

Beliau berkata, seramai empat anggota diketuai Pegawai Kanan Kastam (PiKK), Junaizan Jusoh bertindak menahan lori berkenaan sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

“Ketika melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kami menemui 20 karung plastik daun ketum yang disusun memenuhi bonet hadapan manakala bahagian belakang kenderaan terbabit kosong.

“Siasatan awal mendapati, suspek yang berasal dari Betong itu membeli daun ketum daripada pembekal di Baling, Kedah dengan harga RM60 sekilogram dan menjualnya dengan harga dua kali ganda di Thailand,” katanya.

Beliau berkata, suspek memasuki negara ini pada pagi hari kejadian menggunakan dokumen perjalanan sah semata-mata bagi membeli daun ketum dibawa pulang ke Thailand dengan alasan ingin menyara keluarga.

Kasturi berkata, suspek ditahan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3), Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan penjara tidak melebihi empat tahun atau denda RM10,000.

“Suspek yang berusia 32 tahun ini juga pernah ditahan dan dikenakan kompaun atas kesalahan membawa masuk sejumlah mercun dan bunga api dengan kenderaan sama beberapa hari menjelang sambutan Aidilfitri tahun lalu,” katanya.

Mayat ditemui di jeti sah William Yau



 William Yau Zhen Zhong
William Yau Zhen Zhong
Yahaya
Yahaya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, petang tadi.
SUBANG JAYA – Polis sahkan mayat kanak-kanak ditemui di jeti Kampung Sungai Sireh Pelabuhan Klang malam tadi adalah William Yau, 6,  yang dilaporkan hilang di Putra Heights minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ia berdasarkan pengecaman dibuat kedua ibu bapa mangsa, Goh Ying Ying dan Yau Kok Kang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pagi tadi.

Bagaimanapun, menurutnya pihak polis masih menunggu ujian DNA, yang dijangka diperoleh dalam tiga hari lagi untuk pengesahan lanjut.

Yahaya berkata, ibu bapa William sahkan seluar pendek, seluar dalam, parut di dahi serta di bahagian belakang kepala mayat mirip anak mereka.

Jelas Yahaya, pegawai perubatan tidak dapat menentukan sebab-sebab kematian kerana mayat reput dan percaya ia sudah meninggal sejak seminggu lalu.

Katanya, sampel tulang dan rambut diambil untuk ujian DNA mangsa kerana organ dalaman lain sudah reput.

Tiada kecederaan luar di tubuh mayat itu. Cuma bekas gigitan binatang yang menjamah mayat ketika berada di air.

“Polis yakin 75 peratus mayat ditemui adalah kanak-kanak yang hilang itu, apapun tunggu laporan ujian DNA sama ada wujud pertalian antara mayat ditemui dengan William. Kalau benar mangsa adalah mayat yang ditemui, kita akan hentikan pencarian dan tumpukan kepada sebab-sebab kematian pula,” katanya.

Yahaya berkata, setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Sehingga kini katanya, belum ada suspek atau maklumat konkrit untuk kaitkan kes itu dengan sesiapa.

Abang William yang berusia tujuh tahun akan dipanggil untuk diambil keterangan semula.

Polis katanya, akan melakukan siasatan dari setiap sudut.

“Tiada parit monsoon besar di lokasi William dilaporkan hilang, kalau ada pun sungai terletak tiga kilometer dari Putra Heights. Tempat mayat kanak-kanak ditemui semalam pula terletak  kira-kira 30 kilometer dari tempat William dilaporkan hilang,” katanya.

Pengurus lombong pasir didakwa bunuh dua 'bouncer'

pembunuhan dua bouncerGAMBAR FAIL: Polis menanda bukti kes di lokasi pembunuhan dua 'bouncer' di sebuah kelab hiburan, tahun lepas.
KUALA LUMPUR - Seorang pengurus lombong pasir dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan membunuh dua 'bouncer' atau pengawal di sebuah kelab hiburan, tahun lepas.
J. Tharmarajah, 38, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Mohd Akmal Jemain dan Muhammad Noor Firdaus masing-masing berumur 22 tahun di Jalan Doraisamy, Dang Wangi dekat sini antara 4.30 pagi dan 5 pagi, 26 Ogos tahun lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Tharmarajah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Azura Murah menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Muhamad Sapri Yaakub manakala tertuduh diwakili peguam S. Prakash.
Sebelum ini media melaporkan dua pengawal itu mati ditembak oleh seorang daripada sekumpulan lelaki yang dikatakan meradang kerana dihalang memasuki kelab hiburan.- Bernama

Pemilik warung asam pedas edar dadah ditahan



KUALA LUMPUR 25 Jan. - Sepasang suami isteri yang juga pemilik kedai makan asam pedas di Kampung Baru, di sini ditahan kerana mengedar dan menyimpan sejumlah dadah bernilai RM110,000, semalam. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130125/je_09/Pemilik-warung-asam-pedas-edar-dadah-ditahan#ixzz2Iyi9Wz1p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 maut banjir di Sumatera


JAKARTA - Tiga maut dan ratusan rumah dinaiki air antara dua dan tiga meter di kota Bandar Lampung, Sumatera berikutan hujan lebat selama tiga jam dari petang hingga malam semalam.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Banjir (BNPB), dua kanak-kanak maut di kampung Talang apabila dinding tembok pagar sepanjang 20 meter di sebuah pusat gelanggang Futsal di situ roboh akibat banjir. Seorang mangsa banjir juga dilaporkan terkorban di Gunung Mas.

BNPB berkata, sejumlah 20 kawasan penempatan terjejas akibat banjir dan penduduknya terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.

Paras air di beberapa kawasan terbabit dilaporkan mula surut. - Bernama

20 diselamatkan dalam banjir di Queensland



SYDNEY 25 Jan. - Seorang kanak-kanak hampir maut selepas kediamannya yang terletak di Frenchville, 525 kilometer dari Brisbane, Queensland, tenggelam akibat banjir yang melanda timur laut Australia, awal pagi ini.
Kanak-kanak lelaki itu dihanyutkan air berlumpur namun sempat bergantung pada sebatang pokok sebelum diselamatkan anggota penyelamat yang tiba di kawasan kejadian.
Pihak berkuasa berkata, berpuluh-puluh buah kediaman tenggelam dan kira-kira 20 penduduk diselamatkan tengah malam tadi sehingga awal pagi ini, berikutan sisa ribut tropika Oswald yang membawa hujan lebat di beberapa kawasan pesisir pantai wilayah itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130125/lu_11/20-diselamatkan-dalam-banjir-di-Queensland#ixzz2IyhQO44v
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu, anak maut dihempap pokok kelapa setinggi 10m



Ibu, anak maut dihempap pokok kelapa setinggi 10m
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.
BUKIT MERTAJAM - Malang tidak berbau apabila dua beranak maut dihempap pokok kelapa ketika dalam perjalanan ke taman rekreasi Cherok To’ Kun, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, Tan Sai Lang, 70, dan anak perempuannya, Heng Lee Liew, 44, maut di tempat kejadian apabila kereta Proton Satria dinaiki mereka dihempap pokok kelapa setinggi 10 meter.

Ibu dan anak itu didapati mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Pokok kelapa itu dipercayai tumbang ke atas kereta yang dipandu Lee Liew sebelum jatuh ke atas jalan raya di Jalan Cherok To’kun.

Difahamkan, kedua beranak itu sering menggunakan laluan berkenaan ke taman rekreasi untuk bersenam.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

'Jangan tipu duit kami'



Antara peserta yang mendakwa mereka teraniaya setelah terpedaya tawaran lumayan sebuah koperasi.
Antara peserta yang mendakwa mereka teraniaya setelah terpedaya tawaran lumayan sebuah koperasi.
SKUDAI – Impian mendapatkan pulangan lumayan apabila menyertai sebuah koperasi yang ditubuhkan enam tahun lalu bertukar mimpi buruk bagi hampir 20 peserta dari seluruh Semenanjung, selepas terpedaya dengan modus operandi yang ditawarkan.

Tawaran pulangan faedah sebanyak 10 peratus atau bergantung kepada nilai pelaburan yang disertai menjadi tarikan selepas membaca iklan dan artikel yang disiarkan dalam beberapa akhbar Tamil sekitar 2008.

Mereka berasa tertipu selepas dua tahun menyertainya setelah langsung tidak menerima sebarang bayaran faedah bahkan individu yang dipercayai mengendalikan koperasi menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Mangsa, P Kamalaveni, 49, bersama suami, S Muniandy, 49, dari Taman Puteri Wangsa, di sini, berkata, mereka mengetahui kewujudan koperasi itu selepas diperkenalkan seorang kenalan dan dua individu yang mengendalikan koperasi itu datang ke rumahnya untuk memberi penerangan lanjut.

“Saya tertarik melabur dalam program biotek lembu tenusu yang didakwa memberi faedah tinggi selain projek Bio Desaru.

"Saya jadi tertarik selain diiklankan dalam akhbar, mereka turut menunjukkan bukti dan logo bahawa kerajaan negeri ini yang turut bekerjsama.

“Rasa yakin dengan maklumat lanjut mereka, saya membayar lebih RM75,000 dari ta 2009 hingga 2011 melalui cek namun langsung tidak terima sebarang faedah.

Pelbagai alasan yang diberikan mereka sekiranya diajukan soalan sebelum kami sedar rasa tertipu lalu membuat laporan” katanya kepada media.

Seorang lagi mangsa, R Selvaraj, 52, dari Klang turut menerima nasib yang sama apabila lebih RM5,000 yang dipinjam dari ibu untuk membuat pelaburan sama dlenyap begitu sahaja.

“Sepatutnya saya membeli satu unit saham bernilai RM30,000. Saya baru membayar yuran keahlian RM108 dan membayar RM5,000 untuk pelaburan.

Saya yakin selepas datang sendiri ke majlis perasmiannya yang dihadiri orang kenamaan.

“Tetapi, saya sendiri rasa tidak sedap hati apabila tidak mendapat faedah dijanjikan.

"Mereka gagal dikesan, pejabat operasinya juga ditutup. Rujukan ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberitahu koperasi itu dibekukan dan telah dibawa ke mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Bendahari PKR Selangor, Dr S Streram berkata, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak untuk menyiasat perkara itu bagi membolehkan mereka yang terlibat mendapat pembelaan.

“Kami percaya lebih ramai terpedaya dengan  penyelewengan dan penipuan ini. Kami anggarkan kemungkinan lebih RM500 juta dilaburkan kerana koperasi ini melibatkan seluruh negara.
“Sebelum ini, mereka tidak tahu saluran mengadu. Banyak pihak dan aduan diajukan, namun hasilnya hampa. Kita harap mereka dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

'Dia suruh kami makan dulu'



Dia suruh kami makan dulu
Thi Dong (depan) meraung akibat tidak dapat mengawal perasaan sebaik saja mengetahui rakannya ditemui mati lemas.
Dia suruh kami makan dulu
Mayat Val Sau terapung di sungai.
MELAKA - Misteri kehilangan seorang pekerja kilang sejak Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui lengkap berpakaian di Sungai Malim, Batu Berendam, di sini petang kelmarin.

Bui Val Sau, 24, seorang warga Vietnam ditemui seorang lelaki yang mahu menjala ikan kira-kira 6.30 petang, di sungai berhampiran Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) .

Menurut rakan serumah mangsa, Mai Thi Dong, 26, mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira 8 malam untuk ke pasar malam Taman Merdeka.

“Dia mahu membeli sayur di sana. Sebelum keluar, dia sempat berpesan supaya kami makan dahulu dan tidak perlu menunggunya balik.

“Bagaimanapun, sehingga 9.30 malam, dia tidak juga pulang. Dalam 11.30 malam, kita cuba hubungi dia, tapi panggilan tidak berjawab," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.

Thi Dong berkata, dia bertambah bimbang apabila talian telefon mangsa gagal dihubungi selepas itu.

“Saya cuba menelefonnya sehingga jam 1 pagi tetapi tidak berjaya dan kebiasaannya sekiranya tidak menjawab panggilan dia akan menelefon saya semula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Diperdaya tauke projek tenusu



Diperdaya tauke projek tenusu
Amir Hamzah (kanan) melihat dokumen berkaitan yang ditunjukkan Zara di pejabat Pembela BN, semalam.
AYER KEROH - Impian seorang jururawat untuk mendapat keuntungan atas angin mencecah RM1,500 setiap bulan dengan membuat pelaburan dalam sebuah projek tenusu, akhirnya sekadar tinggal mimpi.

Ini kerana, ladang tenusu yang dikatakan terletak di Mersing, Johor itu sebenarnya tidak wujud menyebabkan wang yang dilaburkan jururawat berkenaan sebanyak RM30,786 lesap begitu saja.

Wanita terbabit yang dikenali sebagai Zara (bukan nama sebenar), 42, berkata, sebelum ini, dia berurusan dengan syarikat pelaburan berkenaan sejak dua tahun lalu, dengan harapan akan peroleh keuntungan mudah setiap bulan.

“Saya mula percaya dengan apa yang diperkatakan selepas mereka menyakinkan kepada saya dengan pelbagai persembahan audio visual, di samping memperkenalkan produk yang mereka hasilkan.

“Ini termasuklah susu segar dan keju atas nama syarikat itu dan disebabkan percaya dan yakin bahawa syarikat itu menjalankan perniagaan secara mudarabah yang disokong Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Saya terus bersetuju menjadi rakan niaga tanpa berfikir panjang,” katanya.

Menurutnya, dia mengenali pengusaha itu selepas menghadiri sebuah majlis anjuran syarikat berkenaan di sebuah hotel di negeri ini pada  Jun 2010, seterusnya membayar wang pendahuluan sebanyak RM1,000.

Katanya, syarikat terbabit menjanjikan pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan tanpa perlu memikirkan perihal penjagaan yang kononnya diuruskan syarikat itu.

“Selepas beberapa hari, saya dikehendaki membayar wang susulan sebanyak RM5,764 melalui dua transaksi, manakala bakinya dibayar secara ansuran dalam tempoh lapan bulan menjadikan jumlah keseluruhan RM30,786,” katanya.

Zara bagaimanapun berkata, dia hanya menerima pulangan sebanyak RM1,208 dalam tempoh empat bulan antara April hingga Ogos tahun lalu.

“Selepas beberapa bulan, saya tidak lagi menerima apa-apa bayaran. Saya cuba menghubungi syarikat ini namun dimaklumkan bahawa kesemua lembu telah mati,” katanya yang kemudian membuat laporan polis selepas mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, semalam, Zara hadir ke pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) di sini untuk membuat aduan berhubung masalahnya itu.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Abd. Aziz berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan maklumat tentang syarikat terbabit.

“Surat perjanjian antara mangsa dan syarikat ini juga didapati tidak sah kerana hanya ditandatangani oleh dua pihak sahaja tanpa membabitkan peguam yang mengesahkan ketulenan perjanjian itu. Nombor telefon yang digunakan juga sudah tidak aktif bagi membolehkan tindakan diambil," katanya.

Berikutan itu, Amir Hamzah meminta mana-mana pihak yang turut menjadi mangsa syarikat berkenaan supaya tampil membuat laporan polis serta memaklumkan kepada Pembela BN.

Tedung selar disangka hantu



Tedung selar disangka hantu
Anggota JPAM menunjukkan ular tedung selar musang yang berjaya ditangkap, kelmarin.
RANTAU PANJANG – Ketakutan seorang wanita yang menyangka rumahnya berhantu minggu lalu terjawab apabila menemui seekor ular tedung selar musang di bawah sofa rumahnya di Kampung Tok Edang, Batu Karang, dekat sini, kelmarin.

Pada mulanya wanita itu hendak membuka suis lampu, tetapi terkejut sebaik mendengar bunyi aneh di rumahnya.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Rantau Panjang, Mohd Johar Daud berkata, bunyi ular tersebut menyebabkan wanita itu menyangka rumahnya berhantu.

Menurutnya, setelah menyedari seekor ular berada di kediamannya, dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya dan penduduk.

“Penduduk kampung memaklumkan kepada JPAM untuk membantu menangkap reptilia berbisa itu bagi mengelak bahaya kepada keluarga terbabit.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkapnya seterusnya membawa balik ke pejabat,” katanya.

Beliau turut dibantu dua anggota untuk menangkap ular berkenaan.

Mohd Johar berkata, reptilia itu jarang ditemui dan merbahaya berbanding ular yang pernah ditangkap JPAM sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya kerap menerima panggilan memaklumkan menemui ular tedung selar, tetapi sebaik ke tempat dimaksudkan, ular jenis lain ditemui.

“Ini ular tedung selar musang yang pertama kali kami tangkap tahun ini sepanjang empat meter dan seberat enam kilogram.

“Ular tersebut kami simpan di pejabat JPAM Rantau Panjang untuk tujuan pameran,” katanya.

Lelaki mati mengejut dalam kejadian amuk tidak kena-mengena dengan polis



KAJANG -  Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental meninggal dunia secara mengejut selepas merosakkan harta benda awam dalam kejadian amuk dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, dalam kejadian bermula 6.30 petang itu, C. Sugumaran, 39, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hulu Langat menggunakan palang besi untuk merosakkan harta benda awam.
Beliau mula mengamuk dari Taman Sri Nanding di sini sebelum menuju ke Taman Desa Raya dan Taman Lagenda Suria.
Abdul Rashid berkata polis mengekori suspek sejauh dua kilometer sebelum dia tiba-tiba terjatuh di bahu jalan.
"Ketika itu, polis dan orang awam menangkap lelaki itu yang bertindak agresif dan beliau didapati tidak sedarkan diri ketika berada dalam kenderaan polis," katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Menurut Abdul Rashid, samasa dalam perjalanan ke Hospital Serdang, beliau disahkan meninggal dunia.
"Hasil bedah siasat menunjukkan beliau mengalami saluran jantung tersumbat dan tiada sebarang kecederaan lain," kata Abdul Rashid menegaskan kematiannya tiada kena-mengena dengan tindakan polis ketika menahan beliau. - Bernama

Mayat di celah bangunan



Polis membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.
Polis membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.
KUALA DUNGUN – Misteri kehilangan seorang pemuda sejak tiga minggu lalu terjawab, apabila dia ditemui mati di celah bangunan, dekat sini, tengah hari semalam.

Shahrudin Ab Karim, 43, ditemui dalam keadaan terbaring berdekatan sebuah surau di medan ikan bakar, dekat Tanjung Kuala Dungun, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Bapa mangsa, Ab Karim Jusoh, 69, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun berkata, anak lelakinya itu dikatakan menghilangkan diri lebih tiga minggu lalu.

Katanya, sejak itu dia tidak mendapat sebarang maklumat berkaitan anak ketiga daripada lima beradik itu, sehinggalah dia dihubungi cucunya bahawa mayat anaknya ditemui di kawasan berkenaan, lalu dia bergegas ke hospital untuk mengetahui perkembangan lanjut.

“Sejak hari itu, saya tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya sehinggalah saya mendapat berita dia ditemui mati,” katanya.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd Faiz Zukarnain, 18, berkata, kali terakhir dia bertemu bapa saudaranya itu di Alor Tembesu, tiga hari lalu.

Kata Faiz, ketika itu dia lihat arwah dalam keadaan lesu, namun dia tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk menimpa bapa saudaranya kerana mengetahui sedikit sebanyak latar belakang mangsa.

“Masa itu saya nampak dia agak lemah dan tak sempat menegurnya, tak sangka pula  mayatnya dijumpai orang hari ini (semalam)," katanya.

Mayat budak lelaki ditemui, disyaki kanak-kanak hilang



Mayat budak lelaki ditemui, disyaki kanak-kanak hilang
Anggota polis mengangkat mayat budak lelaki itu untuk dibawa ke hospital bagi bedah siasat
KLANG - Seorang nelayan terkejut apabila menemui mayat seorang budak lelaki ditemui tersangkut pada bahagian bot di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kira-kira jam 7.15 malam tadi.

Menurut maklumat awal saksi, ketika ditemui mayat budak lelaki berusia dalam lingkungan 6 hingga 7 tahun memakai kemeja-T berwarna kuning keemasan.

Berikutan penemuan itu, polis memanggil ibu bapa William Yau Zhen Zhong, 6, untuk pengecaman mayat budak yang ditemui itu.

Yau Kok Kang dan isterinya, Goh Ying Ying diminta hadir ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk membuat pengecaman ke atas mayat kanak-kanak terbabit.

William memakai kemeja-T warna kuning ketika dia hilang dan terdapat parut di bahagian kiri dahinya, kesan akibat terjatuh.

Pada 16 lalu, anak kedua daripada tiga beradik itu dilapor hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya apabila gagal ditemui selepas dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di sit

Papan tanda diconteng angka



Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
KUALA KUBU BHARU - Imej Hulu Selangor dicemari dengan papan tanda disembur angka tertentu dipercayai simbol kumpulan yang dikaitkan dengan samseng.

Tinjauan mendapati, terdapat beberapa papan tanda di jalan utama, kampung dan taman perumahan sekitar daerah ini diconteng dengan angka 21 dan 08.

Penduduk daripada Hulu Bernam, Shahrul Nizam Zakaria, 39, berkata, perbuatan menconteng papan tanda, mengoyakkan kain rentang atau sebarang unsur sabotaj sudah lama berlaku.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut didalangi kumpulan samseng.

“Hanya tiada tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka ini yang terlibat.

“Walaupun laporan dibuat contohnya aduan menconteng kain rentang parti politik, tapi apa tindakan yang dikenakan? Sampai sekarang tak pernah ada kesudahan,” katanya.

Pelajar kolej, Razlan Samsuddin, 24, berkata, terdapat banyak papan tanda yang diconteng dengan angka tertentu.

Menurutnya, perbuatan yang dianggap tidak bermoral itu dapat dilihat di sepanjang Jalan Kuala Kubu Bharu, Jalan Batang Kali, Bukit Beruntung dan Hulu Bernam.

“Perbuatan sebegini sebenarnya perlu dipandang serius kerana angka yang semburkan di papan tanda itu melambangkan kod kumpulan tertentu.

“Jika itu benar, ini menandakan wujud kumpulan tersebut di kawasan ini dan boleh menyebabkan ancaman kepada penduduk jika ia tidak dikekang,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa harus bertindak lebih agresif dalam menghalang perbuatan dan tindak tanduk kumpulan tersebut.

"Jika benar kumpulan tersebut dikaitkan dengan samseng tindakan lebih tegas perlu diambil," katanya.

Bapa borek anak rintik



Bapa borek anak rintik
Pelanggan yang ditahan dibawa ke Balai Polis Damansara Utama untuk siasatan lanjut.
PETALING JAYA – “Saya baru pertama kali datang main, tolonglah lepaskan saya," rayu seorang remaja apabila dia ditahan polis ketika asyik bermain mesin slot perjudian di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu Ara, malam tadi.

Remaja berumur 16 tahun yang mahu dikenali sebagai Beny, mendakwa dia selalu mengikut ayahnya berjudi di situ.

"Ini pertama kali saya datang sendiri. Pertaruhannya hanya 20 sen. Lagi pun tempat ini dekat dengan rumah," katanya.

Beny, yang dibuang sekolah tahun lalu kerana banyak kali ponteng, memberitahu dia berjudi dengan wang yang diberi oleh ibunya.

“Saya minta RM3 sahaja. Saya tipu emak kata hendak beli barang. Kalau menang boleh dapat banyak lagi,” katanya.

Menurut Beny, bapanya hampir setiap hari menghabiskan waktu di premis itu dan telah habiskan banyak wang untuk berjudi.
“Ayah selalu kata main judi boleh cepat kaya. Jadi hari ini saya datang untuk cuba main.

“Mula-mula memang boleh menang banyak, lepas itu sikit demi sedikit duit saya habis,” katanya.

Beny antara 19 yang ditahan dalam serbuan Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bersama Balai Polis Damansara Utama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pelanggan dan seorang penjaga premis berusia 16 hingga 45 tahun yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan di kampung itu.

“Serbuan dibuat melalui risikan dan maklumat orang ramai dan hasilnya 11 mesin judi atas talian, termasuk mesin slot dirampas,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati premis judi yang dibuka 24 jam itu mula beroperasi sejak seminggu yang lalu dengan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada warga asing.

Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Damansara Utama untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi .
Kes disiasat di bawah 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

12 GRO, pemilik kelab malam ditahan polis



12 GRO, pemilik kelab malam ditahan polis
Cubaan wanita GRO berusia awal 20-an dan 30-an ini mengelak daripada ditahan polis tidak berjaya
PETALING JAYA - Usaha 12 GRO meloloskan diri dengan dibantu pengawal kelab malam tidak berjaya apabila mereka dicekup dalam operasi Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPD Petaling Jaya bersama Balai Polis Damansara Utama di Damansara Perdana dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, semua wanita terbabit berlari ke kawasan parkir untuk menaiki kenderaan yang sedia membawa mereka keluar.

Menurutnya, tiga daripada pelayan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan, manakala selebihnya masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kita turut menahan lima pengawal kelab malam, berusia awal 30an, kerana membantu GRO terbabit melarikan diri,” katanya.

Dalam operasi yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Nazri Daut itu, polis turut menahan pemilik kelab malam berkenaan dan seorang pekerja warga asing.

“Pemeriksaan mendapati lesen kelab malam ini yang didaftarkan atas nama seorang warga tempatan yang sudah tamat tempoh,” katanya.

Menurut Arjunaidi, ke semua mereka ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963, iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Seksyen 55(b), iaitu kesalahan mengambil atau menggaji warga asing yang tidak memiliki pas.

Pesawat hilang di Antartika, nasib 3 lelaki belum diketahui




25 Januari 2013
Pesawat hilang di Antartika, nasib 3 lelaki belum diketahui
Pesawat Hercules C130 masih gagal dikesan akibat ribut salji di di Antartika.
WELLINGTON - Tiga lelaki warga Kanada dipercayai hilang di Antartika selepas pesawat kecil dinaiki hilang.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan berkata, misi mencari dan menyelamat kesemua mangsa giat dilakukan.

“Mereka dilaporkan hilang malam kelmarin dalam penerbangan dari Kutub Selatan ke pangkalan Itali di Terra Nova Bay,” katanya.

Menurutnya, satu pemancar kecemasan diaktifkan di kawasan pergunungan.

“Pasukan penyelamat masih gagal mencari lokasi pesawat Twin Otter tersebut,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Misi Mencari dan Menyelamat New Zealand, Mike Roberts, berkata, pesawat Hercules C130 dikesan di pergunungan Queen Alexandra, namun tiada bangkai pesawat ditemui.

“Keadaan cuaca yang buruk menyukarkan lagi misi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya. - AP

Dua beranak maut tersepit



Beginilah keadaan kereta dua beranak yang maut dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang di Jalan Air Terjun Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam. - Utusan/Ani Awang
BUKIT MERTAJAM 24 Jan. - Aktiviti dua beranak yang selalu berjoging bersama-sama berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya mati dalam keadaan tragis setelah kereta dinaiki dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang di Jalan Hutan Lipur Cherok Tok Kun dekat sini pagi ini.
Dalam insiden pukul 6.30 pagi itu, Tan Sai Lang, 70, dan anaknya, Heng Lee Liew, 44, dari Taman Permata Indah di sini yang memandu kereta Proton Satria maut di tempat kejadian.
Berikutan kejadian tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130125/dn_21/Dua-beranak-maut-tersepit#ixzz2Iwe1GvqF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima didakwa jual kanak-kanak



POLIS mengiringi suspek kes sindiket jual bayi untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Butterwoth, Pulau Pinang semalam. - Utusan/Sazali Che Din
BUTTERWORTH 25 Jan. - Empat wanita dan seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagangkan kanak-kanak sejak 2008 hingga Januari tahun ini.
Empat wanita terbabit iaitu, D.C. Chin, 57, Ooi Ah Imm, 47; Lim Choon Liang 63; dan Lim Soo Chin, 52, serta Bahtiar Abas, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Chin menghadapi enam pertuduhan, Ah Imm (enam pertuduhan); Choon Liang (empat pertuduhan); sementara Soo Chin dan Bahtiar masing-masing dengan satu pertuduhan.
Kesemua mereka didakwa bersama-sama, telah memperdagangkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun bagi maksud eksploitasi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130126/ma_01/Lima-didakwa-jual-kanak-kanak#ixzz2J2G9Fb8B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua buruh Indonesia ditemui mati



KUALA LUMPUR 24 Jan. - Dua lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan misteri dengan mayat seorang daripadanya tergantung di palang, manakala seorang lagi terbaring di dapur dalam sebuah rumah kongsi di tapak binaan Seri Pristana, Saujana Utama di Sungai Buloh dekat sini awal pagi ini.
Mayat kedua-dua lelaki yang tingggal serumah itu ditemui oleh seorang rakan senegara yang berjiran dengan mereka kira-kira pukul 1 pagi.
Difahamkan, seorang jiran yang mendengar bunyi mencurigakan dan hairan melihat pintu rumah didiami dua lelaki itu terbuka telah ke kediaman tersebut dan terkejut apabila menemukan mereka.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, pihak polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 1.33 pagi segera ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan diketuai Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Mohd. Radzi Ahmad dan dibantu anggota Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130125/je_03/Dua-buruh-Indonesia-ditemui-mati#ixzz2IwdMT4Cu
© Utusan Melayu (M) Bhd