Search This Blog

Tuesday, January 22, 2013

257 orang di Kota Tinggi dipindah



22 Januari 2013
KOTA TINGGI - Seramai 257 orang daripada 56 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan di sini mulai malam tadi berikutan banjir.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim berkata mangsa dari Kampung Tun Seh, Kampung Gembut Dalam dan Kampung Perepat di Tanjung Sedili ditempatkan di tiga pusat pemindahan manakala mangsa dari Kampung Baru Sungai Mas dan Kampung Mawai Baru ditempatkan di dua pusat pemindahan.
Mangsa dari Kampung Tun Seh melibatkan 62 orang, Kampung Gembut Dalam (91 orang) dan Kampung Perepat (37 orang) yang kesemua mereka mula dipindahkan ke balai raya di kampung masing-masing mulai pukul 8 malam tadi.
Seramai 39 mangsa dari Kampung Baru Sungai Mas pula dipindah ke Dewan Orang Ramai kampung itu sementara 28 orang dari Kampung Mawai Baru ditempat di Dewan Serbaguna.
"Mangsa mula dipindahkan apabila penempatan mereka dinaiki air setinggi 0.1 meter hingga 1 meter. Setakat ini kawasan lain terutama di bandar Kota Tinggi dilaporkan tidak mengalami banjir," katanya ketika dihubungi.
Ismail berkata hujan lebat yang kembali melanda daerah ini sejak petang semalam turut menyebabkan air di beberapa sungai utama mula meningkat namun masih berada di paras berjaga-jaga.
Keadaan cuaca di sekitar Kota Tinggi dilapor mendung dengan sesekali berlaku hujan lebat.

Penduduk yang menetap di kawasan rendah diminta berwaspada.
Sementara itu portal Majlis Keselamatan Negara melaporkan tiga kawasan di Mersing turut terjejas akibat banjir.
Kawasannya ialah Kampung Air Merah yang melibatkan 50 orang mangsa, Pengkalan Batu (37 mangsa) dan Kampung Che Wook (157 mangsa). - Bernama

Dadah: Indonesia hukum mati warga Britain



22 Januari 2013
BALI - Seorang wanita Britain berusia 56 tahun dihukum mati kerana kesalahan mengedar dadah di Bali hari ini.

Sandiford Lindsay ditangkap Mei lalu selepas polis melakukan pemeriksaan kastam dan mendapati terdapai kokain dalam lapisan beg pakaiannya seberat 4.8 kilogram.

Lindsay berkata dia dipaksa membawa dadah ke pulau itu.

Peguamnya turut terkejut dengan keputusan yang diberi mahkamah dan mahu membuat rayuan.

Pelajar Nigeria dihukum mati kerana edar dadah


ALOR SETAR - Seorang pelajar lelaki warganegara Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar 16.9 kilogram kanabis, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tidak melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi John Amaechi Eze.
John, 23, pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur didapati bersalah melakukan perbuatan itu di hadapan Dewan Lye Huat Garden, Jitra pada kira-kira 9.30 malam, 10 Mei 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
John yang kelihatan tenang ketika keputusan disampaikan, kemudiannya memohon kebenaran mahkamah untuk menghubungi keluarganya di Nigeria kerana sejak ditahan dia tidak pernah menghubungi mereka.
Mohd Zaki memberitahu perkara itu akan diuruskan oleh peguam bela dan pendakwa raya.
Tertuduh diwakili peguam Ali Munawar Razak manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud.- Bernama

Mangsa rompak 'polis bantuan'


Mangsa rompak 'polis bantuan'
(Dari kiri) Zailani, Latif, Yusuf dan Aziz menunjukkan laporan polis yang dibuat berikutan kes yang berlaku kepada Latif, Ahad lalu.
KUALA LUMPUR - Pemandu teksi khususnya di Lembah Klang sering berhadapan situasi menjadi mangsa diperdaya individu tidak bertanggungjawab yang menjadikan status penumpang untuk mereka ‘merompak’ pemandu teksi.

Perkara itu didedahkan Pertubuhan Gabungan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kuala Lumpur dan Selangor (Gapteks), semalam.

Kejadian terbaru berlaku Ahad, melibatkan seorang pemandu teksi, Abd Latif Abd Aziz, 56, yang diperdaya seorang penumpang lelaki yang mengaku diri sebagai 'polis bantuan' di KL Sentral.

Abd Latif berkata, suspek mempelawa untuk mengambil seorang lagi penumpang di Klang ke Bukit Bintang dengan membuat helah kononnya penumpang berkenaan mengirim ubat sakit jantung.

“Sampai di lokasi singgah untuk beli ubat, dia (suspek) meminta saya mendahulukan wang dan saya beri RM200 untuk ubat didakwa berharga RM170.

“Saya kemudiannya tunggu dua jam, namun lelaki itu didapati menghilangkan diri, barulah saya sedar yang saya diperdaya,” katanya sambil mengakui sudah mengenali lelaki itu dalam tempoh singkat menerusi pertemuan sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Gapteks, Aziz Ismail berkata, kes itu antara modus operandi yang akan dibuat individu terlibat setelah mereka  ‘berkawan’ dengan pemandu teksi.

Menurutnya, dia percaya individu berkenaan akan memberikan pelbagai alasan untuk mendapatkan wang.

“Kerana itu, pemandu teksi perlu mengambil pendekatan lebih berwaspada lebih-lebih lagi melibatkan penumpang meminta mendahulukan sesuatu bayaran.

“Mungkin kerugian tidak begitu besar membuatkan banyak kes yang tidak dilaporkan, namun dalam masa sama individu terlibat terus mengambil kesempatan dan menganiaya pemandu teksi,” katanya kepada Sinar Harian ditemui.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Gapteks, Zailani Isa berkata, tidak kurang 20 kes penganiayaan sedemikian berlaku berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pemandu teksi lain dalam tempoh sejak September 2012.

“Saya sendiri pernah menjadi mangsa apabila kerugian RM2,000 setelah telefon bimbit dan wang dilarikan penumpang ketika menukar duit bayaran tambang yang diberikan.

“Suspek berperwatakan baik dan akan meyakinkan pemandu teksi setelah banyak berkongsi cerita ketika dalam perjalanan membuatkan ramai terperdaya,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha & Pemandu Teksi Ampang, Selangor (Peshta), Yusuf Othman berkata, satu lagi modus operandi yang akan digunakan individu tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan ‘aktiviti’  itu adalah dengan cara godaan melibatkan penumpang wanita.

“Mereka ini akan mengambil kesempatan  merompak secara senyap,” katanya yang juga Bendahari Gapteks.

Padah bertindak 'gedebe'



Padah bertindak 'gedebe'
Ahmad Fazri dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah dengan sengaja menghalang anggota polis menjalankan tanggungjawabnya.
KUALA TERENGGANU - Padah bertindak ‘gedebe’ terhadap anggota polis dengan cuba menendang polis bagi mengelak daripada membuat ujian saringan air kencing, seorang pemuda dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latiff menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Fazri Mohamad, 26, mengaku bersalah dengan sukarela menghalang seorang penjawat awam iaitu Konstabel Hakim Abdul Kadir menjalankan fungsi awamnya.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan itu di Balai Polis Batu Rakit, di sini, pada 12 Disember lalu kira-kira jam 5 petang.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Ahmad Fazri tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Ahmad Fazri telah ditahan di tepi jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini, selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Semasa polis cuba hendak membuat pemeriksaan, dia telah bertindak agresif dengan melawan kerana hendak melarikan diri, namun tidak berjaya dan dibawa balik ke Balai Polis Batu Rakit.

Setibanya di sana, anggota ingin menjalankan ujian saringan awal polis ke atas air kencingnya tetapi dia tidak mahu memberi air kencingnya dan sekali lagi melawan dengan cuba menendang anggota terbabit.

Cuba rempuh polis



Cuba rempuh polis
Polis melakukan pemeriksaan terhadap motosikal orang awam ketika membuat rondaan cegah jenayah dan pemeriksaan rambang.
KULIM - Cubaan empat remaja untuk melarikan diri dengan merempuh polis  menggunakan motosikal yang ditunggang menyebabkan mereka ditahan dalam rondaan pencegahan jenayah dan pemeriksaan rambang di Taman Kemuning, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, empat remaja berusia di antara 16 hingga 18 tahun dicekup Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim dan ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) diketuai Pemangku Ketua Balai Polis Kulim, Sub Inspektor Mohd Najib Abd Aziz yang membuat rondaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis dan PPKM membuat pemeriksaan terhadap kenderaan di kawasan taman perumahan berkenaan.

Menurutnya, ketika membuat pemeriksaan pihaknya menahan empat motosikal Honda EX5 yang ditunggang empat remaja berkenaan namun, mereka bertindak agresif  dan cuba merempuh polis.

“Keempat-empat remaj itu kemudiannya melarikan diri ke Taman Selasih dan berpecah sebaik sahaja masuk ke Taman Angsana.

"Polis mengejar suspek dan menghubungi  anggota lain untuk membuat sekatan jalan di Taman Kemuning," katanya kepad Sinar Harian.

Kata beliau, dua daripada empat motosikal cuba melarikan diri ke Taman Lembah Impiana sebelum masuk ke Taman Keranji, namun kesemua mereka dikepung di Taman Kemuning dan berjaya ditahan.

Jelasnya,  hasil pemeriksaan mendapati,  keempat-empat remaja berkenaan tidak mempunyai lesen memandu manakala motosikal yang ditunggang mereka tidak mempunyai cukai jalan.

"Kami turut mendapati dua dari empat motosikal ditukar dengan alat gantian dan kesemua remaja berkenaan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut," katanya.

Ghuzlan berkata, rondaan di kawasan taman perumahan akan dipertingkatkan bagi mencegah jenayah pecah rumah dan samun sering berlaku pada waktu awal pagi.

“Rondaan cegah jenayah dilakukan orang awam adalah baik namun, jika suspek bertindak agresif perlu membuat aduan kepada polis.

"Orang awam tiada hak menahan, memeriksa atau menangkap mana-mana individu yang dilihat mencurigakan,” katanya.

Enam anggota 'Chandra' ditahan, dadah RM1 juta dirampas


rampasan dadah
ACP Zainuddin Yaacob menunjukkan peluru, dadah ,sehelai vest polis yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor yang dijadikan makmal proses dadah di Plentong - Foto Bernama
JOHOR BAHRU - Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta di sebuah stor yang dijadikan makmal memproses dadah di Plentong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata kesemua anggota kumpulan 'Chandra' itu yang berumur lingkungan 26 hingga 50 tahun ditahan kira-kira pukul 3.45 petang selepas polis bertindak atas maklumat.
"Pemeriksaan di stor itu menemui 27 kilogram dadah disyaki ketamin, empat gram dadah disyaki heroin, 43 gram dadah disyaki syabu dan 63 biji dadah disyaki pil ekstasi. Kesemua dadah itu mampu dibekalkan kepada 137,000 orang penagih," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan hari ini.
Zainuddin berkata pemeriksaan lanjut di premis itu turut menemui 100 peluru hidup berukuran 9mm dan .45mm, sehelai vest polis, wang tunai RM14,000, alat penimbang, alat pembakar dan sebuah kereta Toyota Hilux.
Beliau berkata polis sedang mengesan senjata api yang berkemungkinan dimiliki kumpulan itu yang dipercayai terlibat dengan jenayah sejak setahun lepas.
Katanya lima daripada lelaki itu positif dadah dan tiga daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, curi serta menceroboh rumah.
"Polis percaya dadah itu diedarkan di sekitar bandar raya ini dan kita juga tidak menolak kemungkinan dadah ini dijual di pasaran antarabangsa.
"Keenam-enam lelaki itu sedang disiasat untuk tindakan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya. - Bernama

Banjir Jakarta: Kerugian Rp20 trilion


JAKARTA -  Banjir terburuk yang melanda sebahagian besar kotaraya Jakarta sejak minggu lepas, dianggarkan boleh mencapai Rp20 trilion, kata Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi).

Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik wang sebesar itu digunakan untuk membina terowong pelbagai guna bagi mengatasi masalah banjir itu, daripada Jakarta terus menanggung kerugian besar akibat banjir.
Terowong itu merupakan penyelesaian banjir jangka panjang dan peruntukan kira-kira Rp16 trilion diperlukan untuk membangunkannya, katanya di sini, hari ini.

"Kalau pembangunan terowong ini dianggap berat dari aspek anggaran, kita boleh ajak pihak swasta untuk turut serta dalam projek ini. Kita ajak mereka untuk membuat pelaburan," katanya.
Jokowi berharap Dewan Undangan Negeri Jakarta akan menyokong usaha membina terowong itu kerana ia merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan kota Jakarta menghadapi banjir.
Jokowi sebelum ini pernah mengumumkan bahawa pihaknya mahu membangunkan terowong pelbagai guna seperti projek terowong Smart (Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya) yang dibangunkan di Kuala Lumpur, Malaysia, dalam usaha mengatasi masalah banjir di Jakarta.
Kejadian banjir di Jakarta itu telah meragut 20 nyawa dan menyebabkan 22,000 penduduk dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.  - Bernama

Pathma ugut bunuh diri jika kes Sosilawati bocor


Kes Sosilawati: Peguam mahu sepina 3 timbalan
Kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya
SHAH ALAM - Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu hari ini mendakwa tertuduh pertama, N. Pathmanabhan memberitahunya supaya tidak bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu kerana jika timbul masalah bekas peguam itu akan menggantung dirinya.
R. Kathavarayan, 33, berkata Pathmanabhan juga meminta supaya dia (Kathavarayan), tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan, tertuduh ketiga R.Matan dan seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh berlakon baik seolah-olah kejadian itu tidak berlaku.
Suresh, 29, dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 22, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.
Menceritakan mengenai perbincangan pada 3 September 2010 di dalam kereta jenis BMW milik Pathmanabhan, Kathavarayan berkata bekas peguam itu bertanyakan sama ada dia (Kathavarayan) ada bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu.
"Dia (Pathmanabhan) beritahu tolong jangan beritahu apa-apa pada sesiapapun, jika berlaku apa-apa atau ada apa-apa masalah dia (Pathmanabhan) akan gantung diri," katanya.
Kathavarayan diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 44, Thilaiyalagan, 22, dan Matan, 23, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Seterusnya, Kathavarayan berkata pada 4 Sept 2010, Pathmanabhan memberitahu bahawa dia (Kathavarayan), Thilaiyalagan, Matan dan Suresh akan ditangkap polis dan perkara itu menyebabkan mereka berasa takut.
"Pada mulanya Pathmanabhan suruh kami beritahu bahawa tidak berlakunya kejadian (pembunuhan) ini... tiada kejadian berlaku di ladang. Andai kata salah seorang antara kami mengaku dengan polis dia (Pathmanabhan) pohon jangan tunjukkan tempat-tempat ini dengan tepat seperti tempat dipukul.

Kemudian kami tanya kenapa perlu berbuat demikian dan Pathmanabhan beritahu jika ditunjukkan tempat yang tepat akan memudahkan polis untuk mendapatkan DNA.
"Pathmanabhan berkata jika tidak beritahu dengan tepat pada polis kebiasaannya statement (kenyataan) yang diambil buat kali pertama hakim tidak akan terima sebagai keterangan dalam mahkamah dan kita boleh beritahu statement diambil dengan cara memukul.

Oleh demikian statement pun akan ada masalah dan kita boleh keluar dengan mudah," katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini.
Tertuduh keempat berkata mereka kemudian bertanyakan kepada Pathmanabhan sama ada mereka boleh keluar dari ladang sebelum ditangkap polis dan tertuduh pertama menjawab polis sudah tentu mengetahui siapa yang tinggal di ladang dan jika mereka melarikan diri, polis boleh membuktikan kes itu.
"Pathmanabhan berkata jika kita tinggal di ladang paling kurangpun polis hanya boleh buat tahanan reman sahaja dan jika boleh tahan sebulan serta tidak bercakap apa-apa pada polis, selepas tempoh reman tamat kami semua boleh keluar," katanya.
"Adakah awak yakin dengan kata-kata Pathmanabhan," soal Ishak.
"Ya, saya yakin," kata Kathavarayan.
"Sebab dia seorang peguam yang bergelar Datuk?" soal Ishak. "Ya, sebab dia seorang peguam, bukan sebab dia 'Datuk' tetapi sebab dia mempunyai ramai kenalan dan rakan-rakan yang merupakan anggota polis," jawab tertuduh keempat.
Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Kathavarayan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menerima ugutan daripada seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh petang semalam.
Hasshahari memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk Akhtar Tahir sebelum peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan menyambung soal balasnya ke atas tertuduh keempat itu.
"Saya dimaklumkan oleh anak guam saya bahawa dia menerima ugutan semalam dan telah memaklumkan kepada pegawai penjara.

Ada seorang tahanan menghampiri dia dan maklumkan tentang keterangan dia di mahkamah sebelum ini.

"Pagi ini di lokap mahkamah pun ada...berlaku kekecohan tentang keterangan (tertuduh) tetapi saya tidak dapat maklumat lanjut lagi (mengenai kejadian di lokap mahkamah). Pohon mahkamah benarkan anak guam saya membuat laporan polis," katanya.
Akhtar berkata perkara itu perlu dibawa untuk perhatian pihak penjara dan beliau mahu pihak berkenaan menyiasat dakwaan tertuduh serta mengambil tindakan yang perlu.
Beliau juga membenarkan tertuduh keempat membuat laporan polis ketika prosiding mahkamah ditangguhkan.
"Tolong ingatkan tertuduh keempat dia perlu memberi keterangan di mahkamah tanpa rasa takut...dia tidak akan diapa-apakan. Dia juga tidak boleh mencari masalah dengan orang lain," katanya.
Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Remaja OKU ditemui mati lemas


IPOH - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pertuturan ditemui mati lemas di sebuah lombong di Taman Halaman Indah, Tanjung Tualang dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Halid Md Zin berkata mayat Chan Soon Ran, 19, ditemui di dasar lombong kira-kira tiga meter dari tempat dia dikatakan terjatuh petang semalam pada kira-kira 9.13 pagi ini.
"Bomba yang menerima panggilan kira-kira pukul 10.15 malam tadi bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan penyelamat sebelum ia dihentikan pada pukul 12.45 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata seramai tujuh anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Shaharon Anuar Abdul Latif ketika dihubungi berkata mayat remaja itu dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.- Bernama

Abang lemas, adik hilang ketika pukat di laut


Abang lemas, adik hilang ketika pukat di laut
Mazlan Ahmad, 32, ditemui mati lemas manakala adiknya Marzuki Ammar Ahmad, 22, masih hilang ketika memukat di perairan Kuala Sungai Pinang Balik Pulau, hari ini.- Foto Bernama
BALIK PULAU - Seorang nelayan ditemui mati lemas manakala adik lelakinya masih hilang selepas terjatuh ke laut ketika memukat dalam kejadian di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini hari ini.
Mayat Mazlan Ahmad, 31, ditemui beberapa meter dari tempat kejadian, manakala adiknya Marzuki Akmar, 21, masih belum ditemui.
Menurut saksi, Mohd Izuwan Yaakob yang mengemudi bot dinaiki dua beradik itu, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika mereka melabuhkan pukat.
Bagaimanapun kaki Marzuki Akmar terjerut pada pukat menyebabkan beliau tercampak ke laut, katanya kepada pemberita, di sini.
Melihat keadaan itu, Mazlan bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan adiknya namun kedua-dua mereka tenggelam, katanya.
Mayat Mazlan ditemui pada pukul 12.40 tengah hari oleh sekumpulan nelayan.
Sementara itu, Ketua Polis Balik Pulau Supt Hatta Md Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata pasukan mencari dan menyelamat telah digegaskan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan pagi tadi.
"Kita telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat dan setakat ini masih belum menemui Marzuki," katanya.- Bernama

Kanak-kanak 2 tahun maut dihempap TV


ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dihempap televisyen bersaiz 29 inci di rumahnya di Kampung Masjid Lama, Telok Chengai dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam semalam, Muhammad Luqhman Hakim Lazzuan dikatakan sedang menonton televisyen sambil bermain berhampiran rak televisyen itu.
Bapa mangsa, Lazzuan Ishak, 37, berkata semasa kejadian dia sedang mandi manakala isterinya, Waida Kasim, 27, sedang bersolat.
"Sementara menunggu isteri saya selesai sembahyang, saya lihat dia (Muhammad Luqhman Hakim) sedang bermain, tetapi disebabkan badan panas, saya pergi mandi dulu.
"Semasa saya mandi, ibu saya tolong tengok-tengokkan dia tetapi tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Selepas terdengar bunyi dentuman yang kuat, saya terus keluar dari bilik air untuk melihat apa yang berlaku.
"Saya lihat televisyen bersama rak meletak televisyen yang diperbuat daripada besi telah jatuh dan menimpa anak saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya dia dan abangnya segera membawa anak tunggalnya itu ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan dan anaknya ketika itu masih lagi bernafas.
"Anak saya yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada disahkan meninggal dunia ketika tiba di bahagian kecemasan hospital berkenaan dan kakitangan hospital itu mengarahkan agar kami membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah," katanya.
Lazzuan berkata sebelum ini dia selalu menegur Muhammad Luqhman Hakim supaya tidak bermain berhampiran televisyen kerana bimbang kejadian seperti itu berlaku.
Jenazah Muhammad Luqhman Hakim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Teluk Chengai pukul 10 pagi.
Sementara itu, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata berkata bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala. - Bernama

Penerbangan ditangguhkan

Lapangan Terbang HeathrowPenerbangan di Lapangan Terbang Heathrow terjejas akibat ribut salji.
LONDON - Lapangan terbang Heathrow, London terpaksa membatalkan lima penerbangan dan menangguhkan beberapa lagi perjalanan akibat ribut salji melampau.

Jurucakap lapangan terbang milik oleh Spain Ferrovial berkata, sebanyak 250 jadual penerbangan terpaksa dikurangkan terutama ke Eropah.

“Tahap penglihatan terhad dan paras salji meningkat sekitar enam sentimeter sepanjang landasan,” katanya.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan ratusan penumpang terkandas.

Sementara itu, operasi di Lapangan Terbang Charle de Gaulle dan Orly di Perancis, masih menunggu arahan dari untuk penutupan sementara.

Pihak berkuasa berkata, semua pengangkutan awam di Paris berada dalam keadaan berwaspada kerana paras salji meningkat kepada 20 sentimeter.

Lapangan terbang Heathrow mengendalikan 1,300 penerbangan setiap hari dan merupakan antara lapangan terbang tersibuk di dunia. - AFP

Padah akibat tipu kutip derma


KOTA BHARU – Seorang pemungut derma palsu menerima padah apabila dihukum tiga tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas tertuduh yang berusia 38 tahun itu mengaku bersalah.

Mazli Abd Ghani dari Jalan Telipot di sini didakwa berpura-pura dan dengan palsunya menjadi pemungut derma Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah atau Pondok Tunjung di Medan Selera Stadium di sini, pada jam 2.15 petang, 15 Januari lalu.

Kesalahan dilakukan dengan tertuduh menyamar sebagai pemungut derma untuk anak-anak yatim di madrasah itu sehingga mendorong seorang lelaki menyerahkan wang derma kepadanya.

Tertuduh bagaimanapun berjaya ditahan kerana menipu orang ramai untuk meminta derma dengan membawa sampul surat bertulis ‘Sumbangan derma untuk anak-anak yatim (Nur Hikmah) Pondok Tunjong, Jalan Kuala Krai, Batu (6)’ yang merujuk kepada sekolah agama terbabit.

Selepas pihak madrasah mengesahkan mereka tidak pernah melantik mana-mana individu untuk memungut derma atau mengutip sumbangan, tertuduh diserahkan kepada pihak berkuasa dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh berikutan kes penipuan derma semakin berleluasa khususnya di negeri Kelantan.

“Kewujudan pemungut derma yang menipu ini juga mengundang ketidakselesaan orang ramai selain menjejaskan nama baik sekolah agama pondok berkenaan,” katanya.
Tertuduh juga memiliki rekod lampau pernah dihukum kerana terbabit dengan gejala dadah pada tahun 1996 dan menceroboh pada 1997.

Tiga maut dalam nahas berasingan


KUANTAN - Tiga  termasuk seorang wanita maut dalam dua kemalangan berasingan yang dilaporkan berlaku di negeri ini, kelmarin.

Kemalangan maut membabitkan penumpang kereta, penunggang dan seorang pembonceng itu berlaku di di Kilometer 144 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Taman Mentakab Indah, Temerloh dan di Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu dekat Raub.

Dalam salah satu kejadian, seorang penunggang, Khairul Azman Baharuddin, 28, dari Mentakab dan rakannya yang membonceng motosikal, Syarifah Jamaliah Syed Salim, 21, dari Lanchang maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terjatuh akibat bergesel dengan sebuah jip.

Lebih malang lagi apabila kedua-dua mereka yang tercampak jatuh ke atas jalan turut di gilis sebuah lori treler dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, Khairul Azman bersama rakan wanitanya itu  dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

Menurutnya, jip yang dipandu seorang lelaki itu juga dari arah yang sama dan berada di hadapan motosikal mangsa sebelum kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati, lori treler yang datang dari arah bertentangan dipercayai terbabas masuk ke laluan jip menyebabkan pemandu pacuan empat roda itu terpaksa mengelak ke kiri.

“Mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5 dari arah belakang gagal mengelak lalu bergesel dengan kenderaan itu menyebabkan motosikal terjatuh dan mereka tercampak ke atas jalan sebelum di gilis treler terbabit,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga masing-masing.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang pelajar turut maut selepas kereta yang dinaikinya terbabas dalam satu kemalangan  di Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu dekat Raub, awal pagi kelmarin.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa, Liew Kar Lok, 18 dari Kampung  Sungai Ruan, Raub meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Kereta jenis Honda yang dinaiki mangsa itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menghala ke Raub.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar tebing menyebabkan kenderaan itu melambung dan menghempap sebuah kereta lain,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berada di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain yang terlibat dipercayai turut tercedera.

Menurutnya, dua kemalangan yang meragut tiga nyawa itu masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Warga emas cabul pelajar


KUANTAN- Seorang warga emas didenda RM4,000 selepas dia mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis di kawasan Pantai Balok dekat sini, 9 Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang dikenali mangsa sebagai Pak Loh, 61 dari Jalan Tun Ismail di sini turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Dia  bagaimana pun menjelaskan denda tersebut sebelum dibebaskan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dalam kes itu masih bergelar pelajar berusia 18 tahun dan mengenali tertuduh.

Mangsa yang beralamat di Lorong Kubang Buaya di sini bertemu dengan warga emas itu ketika menunggu keretanya yang dicuci di sebuah stesen minyak di Beserah.

Pelajar terbabit kemudiannya menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke sebuah pusat latihan memandu yang terletak di kawasan sama.

Ketika dalam perjalanan tertuduh tidak berhenti di pusat memandu itu  sebaliknya membawa mangsa ke kawasan Pantai Balok.

Selepas memberhentikan keretanya, tertuduh tiba-tiba  keluar dari kenderaan itu dan masuk semula ke bahagian penumpang belakang  dan terus mencabul kehormatan gadis tersebut.

Tertuduh kemudiannya menghantar mangsa ke Beserah, bagaimana pun  kejadian itu disedari ibu gadis itu setelah ternampak dia berlari masuk ke dalam  tandas sambil menangis.

Perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya sebelum satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Susulan laporan tersebut, tertuduh berjaya ditahan polis kira-kira enam hari kemudian untuk siasatan lanjut.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Saifuldin Abdul Rahman dalam rayuannya sebelum itu merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan atas faktor usia.

Hukuman diputuskan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mohktar.

Dua sepupu ditahan edar pil kuda

Dua sepupu ditahan edar pil kudaAb Rahim (dua kanan) bersama anggotanya menunjukkan pil kuda yang berjaya dirampas di IPD bachok, semalam.
BACHOK - Pihak polis berjaya merampas 991 biji pil dipercayai ‘pil kuda’ bernilai lebih RM26,000 daripada dua lelaki di Kampung Mahligai, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, dua lelaki yang juga sepupu berusia lingkungan 20-an itu, ditahan berdekatan sebuah tali air pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, 986 biji pil kuda ditemui pada badan suspek pertama yang dipercayai pengedar dan lima biji lagi ditemui pada badan suspek kedua yang turut positif dadah methamphetamin.

“Tangkapan ini adalah hasil maklumat orang ramai dan risikan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.

“Kami dapati suspek adalah penganggur yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, tetapi motosikal EX5 yang dinaiki adalah motosikal yang dilaporkan hilang di Pasir Puteh. Kami percaya pil ini adalah untuk diedarkan di pasaran sekitar Bachok,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Bachok, semalam.

Ab Rahim berkata, operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Narkotik, IPD Bachok, Inspektor I Chuan A/l Eplat yang turut disertai pegawai bersama 13 anggota polis ipd Bachok dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Suspek kini direman dan masing- masing disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, manakala suspek kedua ditahan di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama kerana memiliki dadah.

14 maut bas mini dirempuh trak

ASSUIT - Seramai 14 penumpang bas mini terbunuh termasuk 13 yang lain cedera, selepas sebuah trak merempuh pengangkutan awam berkenaan di lebuh raya selatan Mesir, semalam.

Menurut pegawai, kemalangan dipercayai berpunca daripada trak yang dipandu terlalu laju dan kehilangan kawalan sebaik tiba di kawasan gurun Assiut, 320 kilometer di selatan Kaherah.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Mesir berhadapan siri kemalangan sekali gus mencetuskan kritikan terhadap Presiden Mohammed Mursi yang masih belum memulihkan kecuaian dan masalah rasuah dalam institusi kerajaan di bawah pemimpin terdahulu.

Minggu lalu, seramai 19 orang termasuk tentera rekruit terbunuh dalam nahas membabitkan kereta api dalam Kaherah serta lebih 20 orang maut dalam insiden runtuhan bangunan dalam bandar raya pelabuhan Alexandria. - AP

Disamun lelaki bertopeng

Dahlan Mohd NoorDahlan Mohd Noor
DUNGUN – Seorang warga emas kerugian kira-kira RM3,000 apabila barang kemas yang dipakainya lesap dikebas pencuri dalam kejadian samun, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu dipercayai berlaku ketika wanita warga emas berusia 75 tahun itu berada di ruang dapur rumahnya, sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali.

Dua suspek terbabit dikatakan bertindak memegang tangan mangsa, sebelum merentap dua gelang emas dipakai warga emas berkenaan yang ketika itu berada seorang diri.

Suspek yang menutup mukanya dengan kain untuk mengelak wajahnya dicam itu kemudiannya melarikan diri melalui pintu belakang selepas mendapat habuan dihajati.

Mangsa ditemani anaknya kemudian membuat satu laporan polis di Balai Polis Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, mengesahkan kejadian dan polis menjalankan siasatan mengikut seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Polis masih memburu suspek.

“Pada masa sama kita menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak membuka ruang untuk penjenayah yang sentiasa mengintai peluang untuk bertindak,” katanya.

Pengusaha tidak pernah serik

Tidak pernah serikSebahagian pusat hiburan yang pernah diserbu pihak berkuasa kerana menyediakan khidmat GRO.
SABAK BERNAM - Kewujudan khidmat GRO yang berselindung di sebalik operasi beberapa pusat hiburan menggusarkan penduduk sekitar daerah ini.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Razman, 41, berkata, pusat hiburan itu pernah dikenakan tindakan undang-undang, namun mereka didapati tidak serik dan masih menjalankan kegiatan itu.

Menurutnya, pengusaha premis terbabit begitu licik menjalankan kegiatan mereka dengan memulakan operasi sekitar jam 4 petang di mana terdapat kelibat beberapa gadis pada waktu tersebut.

“Mereka pernah menghentikan operasi selepas dikenakan tindakan, namun hanya sementara.

“Walaupun polis sering membuat rondaan, namun pengusaha lebih bijak mengatur strategi untuk menyembunyikan kegiatan mereka,” katanya.

Razman berkata, kegiatan tidak bermoral itu secara tidak langsung mencemarkan nama daerah sekali gus menyebabkan banyak pihak kurang selesa.

“Kegiatan itu menarik minat anak muda setempat mengunjungi pusat hiburan sekali gus memberikan persepsi buruk kepada masyarakat di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Azri, 39, berkata, GRO terbabit kebiasaannya mendapat langganan daripada pengunjung pusat hiburan berkenaan.

Lebih menyedihkan katanya, terdapat orang Islam turut mengambil peluang mengunjungi premis tersebut hingga boleh memberikan persepsi buruk kepada kesucian Islam.

"Kedegilan pengusaha premis hiburan itu seolah-olah mencabar kuasa polis. Mereka perlu dikenakan tindakan tegas untuk memastikan mereka tidak lagi berani mengulangi kesalahan sama.

"Oleh itu, saya harap polis dan badan berwajib dapat menggandakan operasi untuk mengekang gejala tersebut daripada terus menular di daerah ini,” katanya.

Nyaris jadi mangsa bom lama

Nyaris jadi mangsa bom lamaSebutir bom yang masih aktif ditemui di sebuah ladang di Kampung Tanjung Sepat Darat.
TANJUNG SEPAT - Seorang pekerja ladang terkejut apabila mendapati besi buruk yang dilanggarnya menggunakan jentera pembajak di Ladang Buah Naga, Kampung Tanjung Sepat Darat, di sini, Sabtu lalu, rupa-rupanya sebutir bom lama.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika pekerja terbabit berusia lingkungan 30-an sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di ladang berkenaan sebelum menyedari terlanggar sesuatu.

Menurutnya, akibat ingin tahu, dia memberhentikan jenteranya untuk melihat apa yang dilanggarnya dan terkejut apabila mendapati ia besi buruk seakan-akan bentuk peluru.

“Saya yang risau dengan penemuan besi tersebut segera menghubungi pengusaha ladang memaklumkan kejadian itu.

“Bagaimanapun, saya tidak berani mengambil dan mengalihkan besi itu sehingga pihak pengurusan ladang membuat laporan polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, bom berkenaan dikenal pasti daripada jenis ‘Air Drop’ yang dipercayai digunakan pada zaman Perang Dunia Kedua.

Menurutnya, bom terbabit bersaiz 43.2 sentimeter panjang dengan ukur lilit 35.6 sentimeter dipercayai masih aktif.

“Bom berkenaan kemudiannya berjaya dimusnahkan Unit Pemusnah Bom,  Ibu Pejabat Kontinjen ( IPK) Selangor dengan bantuan anggota IPD Kuala Langat kira-kira  jam 5.22 petang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian difahamkan sudah tiga tahun berturut-turut Balai Polis Tanjung Sepat menerima laporan penemuan bom lama di beberapa kawasan Tanjung Sepat.

Sehubungan itu orang ramai yang menjumpai sesuatu mencurigakan seperti bom lama dinasihatkan tidak mengusiknya, sebaliknya segera hubungi pihak polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Menangis lihat rumah dinaiki air

Menangis lihat rumah dinaiki air
Mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat
pemindahan banjir di SK Sri Pantai.
MERSING - “Air mata makcik mengalir ketika membantu ahli keluarga menyelamatkan barang-barang di rumah kerana mengenangkan nasib kami yang terpaksa berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku nanti."

Luah ibu kepada empat anak, Noresah Dahlan, 50, dari Kampung Che Wok kawasan Sri Pantai, dekat sini, dengan nada sebak.

Bagaimanapun, Noresah akui dia tetap bersyukur kerana keluarga dan barang-barang mereka dapat diselamatkan.

Menangis lihat rumah dinaiki air
Noresah sebak ketika menceritakan saat rumahnya dinaiki air.
Menurutnya, kejadian rumahnya dinaiki air adalah bencana kedua dialaminya dalam tahun ini.

“Selepas Maghrib, penghulu datang dan mengarahkan kami untuk berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pantai. Disebabkan lokasi pusat dan rumah berdekatan, kami ambil keputusan untuk berjalan kaki ke situ.

“Kami terpaksa berhati-hati meredah air setinggi paras dada untuk menuju ke kawasan yang selamat sambil melihat rumah dinaiki air,” katanya.

Cerita Noresah, kebanyakan rumah yang ditenggelami air di situ adalah kawasan yang berdekatan dengan tepi sungai di mana tapak rumahnya merupakan bekas tanaman sawah padi pada ketika dulu.

“Saya khuatir, jika cuaca tidak menunjukkan sebarang perubahan, mata pencarian suami sebagai penoreh juga akan terjejas kerana terpaksa berhenti menoreh buat seketika kerana pokok getah turut ditenggelami air,” katanya.

Manakala bagi mangsa banjir, Azian Mohd Idris, 46, dia berharap agar dapat berpindah segera ke rumah masing-masing dalam waktu terdekat bagi memudahkan anak-anaknya kembali ke sekolah seperti biasa.

“Saya berharap cuaca akan kembali pulih seperti sedia kala, dan menerima takdir ini sebagai ujian daripada ALLAH,” katanya.

Tahan dalam masa sejam


Tahan dalam masa sejam
Chang Keong menunjukkan wang tunai dan pisau
yang digunakan dalam kes samun kedai 24 jam di Kampung Manjoi, Ahad lalu.


IPOH - Dua lelaki dikenali sebagai ‘Geng Mie Chepor’ yang aktif menyamun di sekitar stesen minyak dan kedai 24 jam sekitar kawasan Manjoi berjaya diberkas polis, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, dua suspek terbabit bertindak menyamun sebuah kedai 24 jam yang terletak di Jalan Raja, Kampung Manjoi.

Menurutnya, mereka yang bersenjatakan pisau melarikan diri menaiki motosikal selepas menyamun wang berjumlah RM75 daripada kedai berkenaan.

“Lebih kurang satu jam kemudian, anggota peronda kami mengesan sebuah motosikal sedang berlegar-legar di sekitar kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila anggota kami mengarahkan motosikal itu berhenti, mereka enggan lalu berlaku adegan kejar mengejar selama 20 minit.

“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek terbabit itu terbabas selepas  unit peronda MPV polis menghalang mereka dan salah seorang daripada mereka berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kampung Tawas, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Osman.

Katanya, seorang lagi suspek yang bertindak melarikan diri turut diberkas di sebuah rumah di Kampung Tengku Hussein Baru pada hari yang sama.

“Kami turut merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun iaitu dua helmet jenama Xdot dan SGV, pisau, jaket, wang tunai RM76 dan sebuah motosikal jenis Honda C70.

“Kedua-dua suspek berusia 35 dan 29 tahun itu didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan ke atas mereka. Malah, suspek berusia 35 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah dan pernah dituduh di mahkamah pada awal tahun ini.

“Mereka kini ditahan reman sehingga 23 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan (samun berkawan tanpa bersenjata api),” katanya.

Lelaki dikehendaki bantu siasatan polis

Mohd Firdausi Mohd Daud
Mohd Firdausi Mohd Daud

ALOR SETAR - Seorang lelaki dikehendaki bagi membantu siasatan polis membabitkan kes penipuan.

Lelaki berkenaan, Mohd Firdausi Mohd Daud, nombor kad pengenalan 880125-09-5057 dengan alamat pertama di 175 belakang dewan orang ramai, Kampung Behor Lateh, Kangar.

Alamat kedua, Batu 3 ¾, Jalan Simpang Behor Lateh, Kangar manakala alamat ketiga di 18, Lorong Merak 40, Taman Merak, 14100 Simpang 4, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sesiapa mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Inspektor Abd Rahman Rashid di talian 04-5762222 atau 012-8391198.

Pengutip barang terpakai nyaris maut

Pengutip barang terpakai nyaris mautKereta mangsa remuk selepas merempuh tiang elektrik.
ALOR GAJAH - Seorang pengutip barangan terpakai nyaris dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan dan terbabas merempuh deretan tong sampah di pekan Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 pagi itu, kereta jenis Proton Wira yang dipandu M Saravanakuar, 34, dari arah Sungai Udang hilang kawalan lalu merempuh sebatang tiang elektrik diikuti deretan tong sampah.

Mangsa, Ong Peck Hon, 59, dikatakan sedang mencari bara-ngan terpakai dan terkejut melihat kereta dipandu mangsa terhuyung-hayang kiri dan kanan sebaik melepasi lampu isyarat.

Panik melihat kereta berkenaan meluncur laju, Peck Hon sempat melompat masuk ke dalam longkang untuk menyelamatkan diri.

Polis bongkar makmal dadah

Polis bongkar makmal dadahAbdul Rahim (tiga, kiri) menunjukkan bungkusan serbuk dadah yang dirampas.
GEORGETOWN - Polis berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis pil ecstacy dan dadah jenis lain yang dijumpai dalam sebuah rumah kampung di kawasan Air Itam, di sini, empat hari lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan polis berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita lingkungan umur 19 hingga 44 tahun.

Menurutnya, berikutan serbuan itu, polis merampas pelbagai serbuk dadah iaitu  ecstacy seberat 1,275 gram, ketamin seberat 54 gram dan syabu seberat 22 gram termasuk bahan-kimia untuk memproses dadah.

“Anggaran harga pasaran dadah yang dirampas adalah RM500,000 yang dipercayai untuk pasaran sekitar negeri ini.

“Turut disita, tiga kereta jenis Toyata Unser, Proton Saga dan Myvi yang dianggarkan bernilai RM130,000,” katanya.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas  mendapat maklumat hasil risikan dan aduan orang ramai mengenai kegiatan yang dijalankan suspek.

“Siasatan awal kesemua suspek tiada pekerjaan dan dipercayai aktif memproses dadah pil ecstacy hampir dua bulan.

“Suspek dipercayai menggunakan rumah kampung sebagai makmal  untuk memproses pil ecstacy menggunakan peralatan seperti mesin acuan  sebelum ia diedarkan pusat-pusat hiburan,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lalu di bawah  Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. Manakala, dua daripada suspek yang ditahan positif dadah menerusi saringan air kencing.

Kata beliau, kesemua suspek direman 25 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Remaja dihadap ke mahkamah

Remaja dihadap ke mahkamahMat rempit (kanan) yang dituduh memandu secara berbahaya dibawa ke Balai Polis Kampung Raja semalam.
BESUT - Seorang remaja sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disyaki mat rempit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana memandu secara melulu.

Mat rempit berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan polis yang melakukan operasi membanteras lumba haram, ketika menunggang motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Pengkalan Nyireh dekat sini, jam 5.45 petang pada 19 Januari lalu.

Remaja tersebut yang hadir ke mahkamah ditemani ibu dan bapanya dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal di atas jalan raya secara berbahaya, dan jika sabit kesalahan akan dihantar ke Sekolah Tunas Bakti atau bon jaminan berkelakuan baik dan denda RM4,000.

Pertuduhan bagi tertuduh dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Rosli Ahmad dan dibicarakan sebagai kes juvana.
Rosli kemudiannya membenarkan mat rempit terbabit dibebaskan dengan jaminan RM2,000, selepas menerima rayuan tertuduh yang beralamat di Kampung Alor Teratai, Kuala Besut.

Terdahulu sebelum itu Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Noridah Md Ayob menawarkan jaminan RM4,000,  dan mahkamah menetapkan 7 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki Mat Syaiful Yusoff, 32, tidak mengaku bersalah mencuri seekor biri-biri betina di Kampung Gertak Seratus dekat Kuala Besut.

Dia yang beralamat di Jalan Manan, Pasir Putih Kelantan dituduh melakukan kesalahan tersebut di kampung berkenaan pada jam 7.30 malam, 15 Januari lalu.

Mat Syaiful memberitahu mahkamah dia diarah oleh penduduk kampung memegang biri-biri tersebut, kemudian merakam gambarnya berhampiran sebuah kereta.

Dia turut memberitahu Rosli menagih dadah jenis ganja dan dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Roslan mengenakan jaminan RM2,500 terhadap tertuduh dan kes tersebut disebut semula pada 30 Januari ini.

Taktik tidak menjadi

Taktik tidak menjadiBaharom menunjukkan ketulan mampat plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis ganja yang dirampas dalam satu serbuan di premis penyembelihan dan pemprosesan ayam Nilai.
SEREMBAN – Taktik seorang lelaki menjadikan premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Chelet, Jalan Salak, Nilai di sini, sebagai tempat menyembunyikan dadah terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa pada Jumaat lalu.

Serbuan jam 12.30 tengah hari oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang diketuai Inspektor Lee Boon Thiam itu dilakukan hasil risikan pihaknya dan awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Baharom Othman, berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya  menahan lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan secara sambilan di premis berkenaan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki itu yang berada di pejabatnya, polis menemui satu paket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis ganja seberat 3.40 gram.

“Siasatan lanjut terhadap lelaki itu telah membongkar tempat persembunyian dadah apabila suspek membawa anggota polis ke kebun kelapa sawit yang jarak lebih kurang 50 meter daripada pejabatnya dan menunjukkan tempat di mana dadah disembunyikan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya telah menggali tempat yang ditunjukkan suspek dan menemui sebuah kotak plastik berwarna biru mengandungi 11 ketulan mampat plastik lut sinar berisi ganja.

“Kesemua dadah dengan anggaran berat 11 kilogram itu bernilai RM30,800.

“Siasatan lanjut terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi itu mendapati dia memiliki enam rekod jenayah lampau yang bersabit dengan dadah. Ujian urin suspek juga positif dadah,” katanya.

Baharom berkata, suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Pengedar dadah direman tujuh hari


DUNGUN - Dua lelaki ditahan di Taman Permint, Jalan Paka-Dungun kerana disyaki memiliki sejumlah dadah dalam kereta Mercedes Benz awal pagi semalam, mendapat perintah tahanan reman dari mahkamah tujuh hari bermula kelmarin.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Paya Berenjut dan Kampung Mak Lagam, dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah itu ditahan sehingga 26 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya yang berusia 38 dan 43 boleh dihukum gantung mandatori.

Kejutan dua das tembakan


Kejutan dua das tembakan
Mangsa berada dalam keadaan stabil.
PARIT BUNTAR - Pertengkaran dalam keadaan mabuk menyebabkan seorang lelaki tempatan cedera parah akibat dua das tembakan yang dilepaskan oleh kenalannya sendiri dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Taman Wawasan, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 1 hingga 2 pagi dan mangsa, Lim Lip Hong, 31 dari Tanjung Piandang dikatakan pergi ke pusat hiburan terbabit untuk berjumpa suspek.

Kejutan dua das tembakan
Pusat hiburan di Taman Wawasan, Parit Buntar yang menjadi
lokasi berlakunya kejadian kes tembakan awal pagi semalam.
Menurutnya, berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa selepas kedua-duanya mabuk sehingga suspek bertindak menembak mangsa pada bahagian perut dan kaki dengan sepucuk pistol, sebelum melarikan diri dari premis berkenaan.

“Kejadian berkenaan telah mencetuskan suasana kecoh dalam pusat hiburan terbabit.

“Mangsa cedera parah akibat dua das tembakan itu dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan orang ramai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mat Fauzi memaklumkan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan untuk membuang peluru dari dalam badan.

Katanya, polis juga telah mengenal pasti suspek dan operasi memburunya kini sedang giat dilaksanakan.

“Suspek berusia lingkungan 30-an dan merupakan warga tempatan serta dipercayai masih berada dalam daerah Kerian. Suspek juga dipercayai mempunyai pertalian saudara dengan pemilik pusat hiburan terbabit.

“Kita masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh senjata api yang mana kita percaya ia telah dimiliki oleh suspek dalam satu tempoh masa tertentu,” jelasnya.

Beliau menggesa suspek tampil menyerah diri bagi membantu siasatan polis selain berharap keluarga dan kenalan suspek turut memberi kerjasama untuk menjejakinya.

Tambah beliau, polis tidak dapat mengenal pasti keadaan suspek semasa kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di talian 05-7215222 bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Dipenjara sehari kerana tumbuk adik

Dipenjara sehari kerana tumbuk adikMohd Khairi dipenjara sehari dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret semalam, menumbuk adiknya.
KUALA TERENGGANU - Hanya kerana perselisihan faham kecil, seorang abang tergamak menumbuk adik kandungnya sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) di sini, pada 10 Disember lalu.

Bagaimanapun, tindakan Mohd Khairi Aminudin, 29, terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan denda dikenakan Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas adiknya, Mohd Hakimi Aminudin, 25, di kediaman mereka di Taman Permint Jaya, 10 Disember lalu kira-kira jam 11.40 malam.

Dengan itu, Mohd Khairi mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa yang ketika itu sedang memberi makan anak ayam di reban ayam telah didatangi Mohd Khairi dan membebel memarahinya.

Mangsa yang enggan melayan kerenah abangnya itu telah masuk ke dalam rumah dan setibanya di ruang tamu, Mohd Khairi ‘naik hantu’ dengan menumbuk mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dan dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan.

Padah miliki gunting ubah suai

Padah miliki gunting ubah suaiTertuduh di bawa keluar dari mahkamah kelmarin.
KOTA BHARU - Padah memiliki sebilah gunting yang diubah suai menjadi kerambit, seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini kelmarin, kerana menyimpan senjata terbabit tanpa maksud yang sah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Firdaus Doniya, 27, didapati memiliki sebilah gunting yang diubah suai di sebuah rumah, di Jalan Masjid Demit, Kubang Kerian pada 13 Januari lalu kira-kira jam 5.30 petang.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut seksyen 7(1) (a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Berbahaya 1958.

Timbalan Pendakwaraya, Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM 5,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki barangan terbabit dalam simpanannya dan memohon mahkamah mengurangkan jaminan.

Jika sabit kesalahan mana-mana orang yang memiliki senjata berbahaya boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan menetapkan 13 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Usaha cari arwah berakhir


Usaha cari arwah berakhir
Jenazah Abdul Rashid dikebumikan di Felda Inas Kulaijaya
Usaha cari arwah berakhir
Abd Rashid.
KOTA TINGGI - Misteri kehilangan anak ketiga pasangan warga emas yang tidak pulang sejak seminggu lalu, berakhir dengan penemuan mayat lelaki tanpa identiti yang dijumpai seorang kaki pancing di tebing Sungai Johor, Jumaat lalu.

Mayat itu dikenal pasti anak kepada pasangan suami isteri dari Felda Inas Kulaijaya, Ismail Iswandi, 59, dan  Saamah Khamis, 54.

Mereka bersama menantunya yang juga isteri mangsa, Siti Khatijah Hussain, 24, bergegas ke Hospital Kota Tinggi (HKT) setelah mengetahui penemuan mayat di Sungai Johor yang di tempatkan di HKT, kelmarin.

Menurutnya, melalui pengecaman dia mendapati mayat itu adalah anak ketiganya daripada lima beradik yang hilang sejak 15 Januari lalu, Abdul Rashid, 31.

“Segala usaha mencari arwah selama ini berakhir, apabila kami terdengar cerita mengenai penemuan mayat di Sungai Johor. Arwah dikebumikan di Felda Inas,” katanya.

Ismail turut berharap kereta Proton Iswara berwarna putih bernombor pendaftaran WDQ 341 milik keluarganya yang digunakan Abdul Rashid akan ditemui dalam masa terdekat.

Sementara itu, Siti Khatijah berkata, kali terakhir arwah suaminya keluar dari rumah di Felda Inas, Kulaijaya ialah pada jam 5.30 petang, 15 Januari lalu.

Suaminya seorang pemandu lori kedai perabot berhampiran sebuah pasar raya di Kulaijaya, dikahwini sejak tiga tahun lalu.

"Ketika itu, arwah suami saya keluar dengan memandu Proton Iswara berwarna putih dan memakai baju T merah serta seluar jean.

“Selalunya jika arwah suami ke Kulaijaya untuk berjumpa dengan kawannya, dia akan pulang sebelum tengah malam, namun pada hari itu dia tidak pulang,” katanya yang belum dikurniakan cahaya mata.

Terdahulu, kira kira jam 8 pagi, Jumaat lalu, seorang pemancing yang sedang mencari umpan di Sungai Kubu, menjumpai mayat lelaki yang dihurung biawak.

Selepas memaklumkan kepada pihak polis, mayat yang lengkap berpakaian itu dibawa ke HKT untuk siasatan. Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen dijumpai pada pakaian mangsa.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat itu dibedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Jenazah mangsa sudah dituntut keluarganya petang, kelmarin,” katanya.