Search This Blog

Sunday, January 20, 2013

Dua maut jeepney rempuh lori



Bandar raya Cebu: Dua wanita terbunuh, manakala 15 lagi penumpang cedera malam semalam apabila kenderaan jeepney merempuh sebuah lori sampah di Barangay Magdugo bandar Toledo kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Cebu.

Seorang daripada dua mangsa yang maut dikenali sebagai Mary Rose Bangkok, kata pegawai polis kanan Toledo, Lorenzo Mahilum. Mangsa kedua belum dikenal pasti identitinya.


Mahilum berkata, penumpang jeepney itu dalam perjalanan menuju ke Barangay DAS dari Barangay Poblacion kira-kira jam 7 malam.

Apabila tiba di Magdugo, jeepney itu tiba-tiba merempuh sebuah lori sampah yang diparkir di tepi jalan. Bagaimanapun, pemandu lori terbabit tiada dalam kenderaannya kerana sedang menjamu selera di restoran berhampiran. Mahilum berkata, dua wanita itu yang cedera parah di kepala segera dikejarkan ke hospital Toledo tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba. Sementara itu, 15 lagi mangsa yang cedera masih menerima rawatan di beberapa hospital berasingan. - Philippines Inquirer

Seorang warga Malaysia dikhuatiri maut




KUALA LUMPUR — Kedutaan Malaysia di Algiers, Algeria mendapat maklumat tentang kemungkinan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan berikutan serangan kumpulan militan di kilang pemprosesan gas di In Amenas, maut, manakala nasib seorang lagi belum diketahui.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Menteri Luar, Datuk Sri Anifah Aman berkata, wakil JGC Construction Pte. Ltd, syarikat yang menjadi majikan rakyat Malaysia berkenaan, memaklumkan kepada kedutaan itu tentang perkara tersebut.

"Kedutaan Malaysia akan berusaha sedaya upaya untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Algeria dan JGC Construction Pte. Ltd. bagi mendapat pengesahan tentang perkembangan terkini dua rakyat Malaysia itu,” katanya.

Sementara itu, para pegawai Kedutaan Malaysia di Algiers telah berjumpa dengan tiga rakyat Malaysia yang menjadi tebusan dalam serangan itu dan dipindahkan ke ibu negara Algeria itu.

"Persiapan sedang dibuat untuk membawa mereka pulang ke tanah air danWisma Putra telah memaklumkan tentang keadaan mereka kepada keluarga masing-masing,” kata kenyataan itu.— BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_03.htm#ixzz2IWHV73aA
Hakcipta terpelihara

Kadar kes rogol lonjak 23 peratus



New Delhi: Perangkaan rasmi kerajaan menunjukkan, kadar kes rogol di New Delhi melonjak 23 peratus pada 2012 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Statistik itu dikeluarkan menjelang bermulanya perbicaraan enam suspek yang menculik, merogol dan membunuh seorang mahasiswa perubatan bulan lalu.


Pesuruhjaya Polis Delhi Neeraj Kumar, berkata kadar kes rogol yang disabitkan di daerah itu jauh lebih tinggi berbanding apa yang dicatatkan di peringkat kebangsaan. “Tetapi kami tidak memandang ringan isu ini dan kita perlu berusaha lebih gigih,” katanya.

Pada 2012, kata Neeraj, 706 kes dilaporkan dan ia adalah peningkatan 23.34 peratus berbanding 2011. Selepas kejadian menggemparkan di New Delhi itu dilaporkan, polis menerima kira-kira 45 laporan kes rogol dan 75 kes cabull. New Delhi yang didiami kira-kira 16 juta orang digelar pusat kes rogol di India sejak sekian lama, sekali gus meletakkan bandar raya itu sebagai lokasi paling tidak selamat untuk wanita. - AFP

Hilang hormat kepada lelaki



Sabak Bernam: Diperkosa bapa kandung ketika berusia lapan tahun dan dirogol beramai-ramai oleh kenalan lelaki membuatkan gadis ini membenci lelaki.

Menurut Ally, 19, rasa hormatnya kepada kaum Adam makin menipis setiap kali dia mengingati kenangan pahit itu.


“Saya benci berada dekat lelaki. Membayangkan kejadian saya diperkosa dan didera bapa sebelum kenalan rapat pula menjadi dalang rancangan rogol beramai-ramai membuatkan saya jijik dan benci pada lelaki.

“Semua lelaki mempunyai pemikiran sama biarpun saya cuba menafikannya berkali-kali. Mungkin saya tak bernasib baik dikelilingi lelaki bernafsu binatang,” katanya.


Menceritakan kembali saat dirinya diperkosa bapa sendiri, Ally berkata, bapanya penagih dadah yang bercerai dengan ibunya ketika dia berusia enam tahun.


“Satu hari ayah datang menjemput saya pulang sebaik tamat sekolah. Ayah kata saya perlu tinggal bersamanya dan saya bersetuju kerana dia bapa kandung saya. Bagaimanapun, sepanjang beberapa bulan dengannya, saya didera dan kemuncaknya saya dirogol.

“Meskipun masih mentah, rasa malu diperlakukan kurang sopan oleh bapa sendiri dirasai ketika itu. Malah, rasa sakit ketika diratah sepuas-puasnya ayah masih terbayang hingga kini.


“Tiada langsung rasa simpati, sebaliknya ditampar setiap kali menangis ketika minta bapa melepaskan saya. Paling saya tidak tahan, dia mencucuh puntung rokok pada kemaluan saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik apabila diselamatkan bapa saudara sebelah bapanya ketika hampir dijual untuk melangsaikan hutang judi si ayah.


“Mujur pak cik menemui dan menyelamatkan saya,” katanya.


Tidak cukup dengan penderitaan dirogol bapa sendiri, hidup Ally semakin kelam apabila diperkosa beramai-ramai akibat perangkap kenalan lelaki ketika masih belajar di sekolah menengah.


“Saya terlalu naif apabila sekali lagi meletakkan kepercayaan pada lelaki. Saya terperangkap dengan sandiwaranya. Dia begitu baik dan sering membantu saya ketika dalam kesusahan, tetapi kemudian sanggup berpakat dengan beberapa rakannya untuk merogol saya.


“Bukan seorang, tetapi tujuh lelaki memperkosa saya berkali-kali tanpa belas kasihan,” kata penghuni Rumah Perlindungan Baitul Ehsan, di sini.

Sindiket penyeludupan rokok kretek tumpas




KUALA TERENGGANU — Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu menumpaskan sindiket penyeludupan rokok kretek di negeri ini berikutan tertangkapnya dua lelaki dalam serbuan terhadap sebuah premis di Kampung Tasik, Bukit Payung di Marang.

Dalam serbuan pada 12 tengah hari Khamis lepas, pihak berkuasa merampas 15,180 karton rokok kretek dan rokok putih yang belum lulus cukai Kastam bernilai RM179,560.

"Anggaran selepas cukai rokok kretek dan rokok putih itu ialah RM976,750.40,"kata Pengarah Kastam negeri, Abdullah Zawawi Abdul Latiff pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 34 dan 43 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan reman selama enam hari mulai tarikh mereka ditangkap.

Abdullah Zawawi berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai menyeludup rokok berkenaan yang diperoleh menerusi sindiket pengedar di pantai barat.— BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz2IWGXuWCR
Hakcipta terpelihara

Kesucian Qeeya diragut sepupu sendiri



Sabak Bernam: Gadis ini tidak menyangka kesuciannya diragut sepupunya yang dianggapnya alim dan kuat pegangan agama.

Disebabkan percayakan sepupu yang rapat sejak kecil, Qeeya, 16, tiada masalah melepak di bilik lelaki itu sambil menonton filem di komputer riba ketika menumpang di rumah ibu saudaranya, setahun lalu.


“Saya mengenalinya sebagai orang baik dan mempunyai pegangan agama kuat. Mustahil dia melakukan perkara sedemikian terhadap saya, malah dia juga bertunang.

“Tepat sekali amaran dalam agama menghalang lelaki dan perempuan bukan mahram berdua-duaan, kerana ‘orang’ ketiga adalah syaitan.


“Dia memperkosa saya ketika ibu bapanya tidur di bilik mereka,” katanya.


Bercerita lanjut, Qeeya berkata, sepupunya pada mulanya mengajak untuk ‘bermain’.

Bagaimanapun, dia tidak mengendahkan gurauan itu kerana tidak terfikir sepupunya sanggup melakukan perkara terkutuk berkenaan di rumahnya.


“Terkejut juga dia berkata ingin ‘bermain’, sedangkan ibunya berada berhampiran. Saya mengabaikan dan menyambung menonton video di komputer riba yang berada dalam biliknya.

“Tidak lama kemudian dia kunci pintu bilik dan terus merogol saya. Puas saya meronta-ronta melepaskan diri, tapi tenaga lelakinya membuatkan saya gagal.


“Lebih menyakitkan hati, dia memutar belit cerita mendakwa saya menggoda dan memaksa mengadakan hubungan, tambahan pula saya berada dalam biliknya,” katanya.


Malu dengan kejadian itu, Qeeya melarikan diri kerana takut perkara itu sampai ke pengetahuan keluarga sebelum mendapatkan perlindungan di Rumah Perlindungan Baitul Ehsan, Sabak Bernam.

Mayat hampir reput ditemui di Bentong



BENTONG: Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati dibunuh ditemui dalam keadaan hampir reput di kawasan semak di Batu 16 Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata mayat itu ditemui orang awam yang hendak membuang air di kawasan itu pada 3.45 petang.
"Mayat berkenaan yang hampir reput itu kehilangan beberapa anggota badan antaranya kedua-dua kaki dari bahagian tapak kaki hingga ke paha," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Mansor berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai dibunuh lebih empat hari lalu di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak itu.


Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat. - Bernama

UiTM Lendu berhantu?



UiTM Lendu berhantu?
Kewujudan makhluk halus di Kampus UiTM Lendu hangat diperkatakan dalam laman blog, Twitter dan Facebook.
UiTM Lendu berhantu?
Kelibat penari Mak Yong yang diperkatakan dalam sebuah laman blog.
ALOR GAJAH - Dakwaan kewuju-dan makhluk halus serta kejadian histeria membabitkan siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini yang heboh diperkatakan menerusi laman siber menggemparkan pelajar di situ.

Isu itu menjadi bertambah hangat apabila ada pihak turut mendakwa berlakunya kejadian pukau dan kehilangan barangan pelajar.

Malah, terdapat beberapa laman blog termasuk yang dipercayai dikendalikan pelajar institusi berkenaan turut memuatkan foto menunjukkan kelibat wanita seolah-olah penari Mak Yong di belakang salah seorang pelajar ketika mengambil gambar.

Cerita berkenaan kini hangat diperbincangkan di laman Twitter menerusi beberapa 'hash tag' yang diwujudkan khas untuk isu berkenaan termasuk #HantuDiUiTMLendu dan #PrayForLendu.

Yang pastinya, dakwaan mengenai makhluk halus berkenaan bukan saja mencetuskan ketakutan lebih 9,000 pelajar di kampus berkenaan, tetapi turut mengakibatkan perdebatan antara mereka yang percaya dan tidak dengan cerita mistik berkenaan.

Akui pernah berlaku histeria

Walaupun cerita mengenai wujud hantu di UiTM Lendu sedang hangat diperkatakan, namun bagi pelajar universiti berkenaan, kebanyakan pelajar tidak mengambil kisah mengenai perkara itu.

Walaupun mereka akui pernah berlaku kejadian histeria di kampus berkenaan dan adakalanya mereka risau dan takut, namun setakat ini belum ke tahap membimbangkan seperti mana dilaporkan dalam laman siber.

Seorang pelajar yang hanya dikenali sebagai Nurul Amalina, 20, berkata, walaupun terdapat dalam laman blog, Twitter dan Facebook mengenai kewujudan hantu di UiTM Lendu, namun ia masih boleh dipertikaikan.

“Saya sendiri tidak pasti akan kesahihannya. Bagaimanapun, memang ada pelajar yang balik ke rumah mereka kerana takut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampus berkenaan, semalam.

Menurut pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu, gangguan histeria berlaku di kalangan pelajar sebelum ini mungkin disebabkan teka-nan dihadapi atau lemah dari segi kerohanian.

Bagaimanapun, seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 20, berkata, kejadian histeria tidak mustahil boleh berlaku di mana-mana saja.

Sebagai pelajar, katanya, aspek ibadah dan rohaniah perlu mantap bagi memastikan pelajar tidak lemah semangat berhadapan pelbagai bebanan tugas sebagai seorang pelajar.
“Memang benar perkara ini kecoh diperkatakan kini. Saya rasa rakan-rakan perlu berhati-hati," katanya.

Belum ada bukti dipukau

Selain kemunculan makhluk halus yang heboh diperkatakan ini, dakwaan berlakunya kejadian pukau dan kehilangan barangan pelajar turut menjadi antara topik perbualan hangat.

Pihak pentadbiran universiti terbabit bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan kerana menurut mereka, setakat ini, belum ada bukti wujudnya kejadian seperti yang dilaporkan itu, sekaligus mendakwa kemungkinan ia dilakukan pelajar kampus itu sendiri.

Walaupun demikian, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak universiti dikatakan telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap blok asrama pelajar sebagai langkah berjaga-jaga.

Mana-mana pelajar yang didapati terlibat dengan sebarang kes kecurian boleh didakwa di bawah Akta 174 Tatatertib atau sekiranya serius, akan dirujuk kepada polis untuk tindakan.

UiTM sifatkan kejadian sebagai kes terpencil

Sementara itu, pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini mengakui wujud kejadian pelajarnya yang tinggal di kampus berkenaan diganggu histeria.

Bagaimanapun, mereka mendakwa, keadaan kampus berada dalam keadaan baik dan terkawal dan turut berharap semua pihak mengelak dari membuat komen peribadi, terutama di alam siber kerana dibimbangi akan mencetuskan rasa kurang senang terutama di kalangan ibu bapa.

Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Abdullah berkata, kejadian histeria , penemuan makhluk halus dan laporan kehilangan barangan pelajar di asrama adalah kes terpencil dan peristiwa berlaku secara berkala.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada kes kronik sehingga menyebabkan pelajaran mahasiswa terganggu atau terpaksa berhenti pengajian berikutan masalah itu.

“Pengurusan UiTM menerusi Pusat Islam, Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej, pihak masjid, polis bantuan dan seluruh warga kampus berhadapan dengan isu ini buat jangka masa lama.

“Secara zahirnya, kebanyakan pelajar diganggu histeria adalah dari kalangan pelajar wanita dan memulakan pengajian dari semester satu hingga tiga,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Justeru, beliau menasihatkan hampir 9,000 pelajar di kampus berkenaan, selain kira-kira 5,000 pelajar yang ditempatkan di kampus cawangan bandar Melaka menumpukan kepada pelajaran dan tidak terpengaruh dengan cerita menakutkan.

Sementara itu, mengenai dakwaan pelajar berhubung kejadian pukau dan duit pelajar yang hilang, Muhammad Anwar Fahmi berkata, ia dipercayai disebarkan pelajar yang menyalah gunakan wang diberikan ibu bapa untuk perkara tidak bermanfaat.

“Laporan kejadian pukau, kononnya pelajar hilang wang masih belum ada kejadian serius berlaku,” katanya.

Beliau turut berharap ibu bapa tidak perlu bimbang dengan khabar yang dilaporkan dalam laman blog, Facebook dan Twitter mengenai kejadian itu yang turut mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selain pihak tertinggi universiti berkenaan.

'Hanya maut pisahkan kita'

'Hanya maut pisahkan kita'Mohd Shafie (berdiri)) bersama saudara yang menanti jenazah di perkarangan rumah mayat HR PB, semalam.
IPOH – “Abang.. hanya maut yang memisahkan kita." Itulah kata akhir mangsa bunuh, Nor Amrah Ahmad, 44, kepada suaminya, Mohd Shafie Omar, 49, ketika keluar bekerja di kilang sarung tangan berhampiran pada malam Rabu, minggu lalu.

Mohd Shafie tidak menyangka mayat wanita yang ditemui hampir reput di sebuah kebun jagung berhampiran Kampung Tawas, Selasa lalu merupakan isterinya yang hilang selama lima hari.

“Saya ingatkan itu perkara biasa. Tidak sangka, malam itu adalah lambaian terakhirnya kepada kami seolah-olah dia mengetahui akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya.

“Selepas tidak pulang keesokkan harinya, saya berasa pelik. Saya sedapkan hati apabila sebelum itu isterinya memberitahu ada mesyuarat di tempat kerjanya. Setelah tidak pulang, saya mencari hingga ke Sungai Siput.

“Sepanjang 23 tahun kami berkahwin, kami tidak pernah berpisah,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Katanya, dia mengecam mayat isterinya menerusi parut di bahagian siku dan peha akibat kemalangan motosikal pada 2004.

“Saya melaporkan kehilangannya pada Jumaat minggu lalu dan hari ini (semalam) polis panggil saya untuk memberi keterangan sebelum memberitahu kejadian sebenar yang menimpa isteri saya,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa dikenal pasti melalui cap jari dan pengecaman mayat telah dibuat oleh suaminya pada jam 4.30 petang, semalam.

“Suami simati datang untuk membuat pengecaman. Keluarga simati telah serahkan kepada pihak hospital untuk uruskan mayat.

“Mangsa mati akibat kecederaan di bahagian belakang kepala. Sehingga kini, masih tiada tangkapan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rabu lalu, akhbar ini memaparkan penemuan mayat reput di dalam kebun jagung selepas seorang pekebun terhidu bau busuk pada jam 11.30 pagi.

23 Pati diberkas imigresen



23 Pati diberkas imigresen
Sebahagian warga Myanmar dan Bangladesh yang diberkas penguatkuasa Imigresen dalam satu operasi, Rabu lalu.
IPOH – Seramai 23 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota Imigresen Negeri di empat rumah, dua restoran dan satu lokasi tumpuan di Bercham, di sini, Rabu lalu.

Ketua Unit Operasinya, Irwan Zahid berkata, ketika operasi, ada Pati bertindak degil enggan membuka pintu rumah menyebabkan anggota terpaks memecahkan kesemua pintu premis dan kediaman.

“Operasi yang diketuai oleh Fara Natasha Ghaffar itu disertai 14 anggota dan tiga pegawai memulakan operasi pada jam 4 petang.

“Ada juga antara mereka melindungi rakan masing-masing dengan memberitahu rakan mereka tiada dalam bilik sewa. Hasil pemeriksaan berjaya menahan 10 lelaki dan 13 wanita berusia antara 20 hingga 44 tahun,” katanya di sini, semalam.

Irwan berkata, mereka yang ditahan membabitkan dua lelaki Bangladesh, enam lelaki Myanmar, 11 wanita Indonesia dan seorang lelaki Indonesia serta tiga wanita dan seorang lelaki warga Thailand.

“Semua suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di negara ini tanpa pas yang sah.  Kesemua akan ditahan reman 14 hari," katanya.

Tawar khidmat pelacuran ‘tambah nilai’



Tawar khidmat ‘tambah nilai’
Penguat kuasa ketika memeriksa sebahagian pekerja warga asing yang ditahan.
Tawar khidmat ‘tambah nilai’
James (kiri) dan pegawai DBKL ketika pemeriksaan lesen premis dalam operasi dijalankan di Jalan Haji Hussein, Chow Kit, malam kelmarin.
KUALA LUMPUR - Berselindung di sebalik khemah dan premis urut di Chow Kit di sini, pekerja warga asing dikenal pasti turut menawarkan perkhidmatan tambahan termasuk menjalankan aktiviti pelacuran dengan membawa pelanggan ke satu lokasi lain.

Perkara itu diakui sendiri oleh pihak Jabatan Imigresen yang menjalankan risikan serta penyamaran terhadap kegiatan pekerja warga asing yang juga dipercayai bekerja secara haram di kawasan tersebut.

Ia turut membawa kepada tindakan operasi dengan melakukan serbuan mengejut ke lokasi tersebut, malam kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Cawangan Wilayah Persekutuan, James Musa Singa berkata, seramai 52 warga asing dan tiga majikan warga tempatan berumur lingkungan 21 hingga 58 tahun ditahan dalam Ops Sayang dan Ops Jaja di sekitar Jalan Haji Hussein, Chow Kit.

Menurutnya, mereka yang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk pas pekerjaan tidak sah dan memiliki dokumen perjalanan palsu itu adalah antara 81 individu yang diperiksa dalam operasi bermula jam 10 malam itu.

“Daripada jumlah itu, 39 daripada mereka adalah warga Indonesia, Bangladesh (tujuh), India (tiga) dan masing-masing seorang warga Pakistan, Nepal dan Myanmar.

“Hasil risikan dan penyamaran selama seminggu yang dibuat pegawai Imigresen sendiri, tidak dinafikan terdapat pekerja warga asing yang menawarkan khidmat pelacuran menggunakan modus operandi mendapatkan pelanggan di premis urut dan di bawa ke keluar ke lokasi lain,” katanya selepas operasi bersepadu jabatan itu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau dalam pada itu berkata, ketiga-tiga majikan ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji tiga pekerja asing tanpa permit dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang pekerja.

Katanya, DBKL turut mengeluarkan 20 saman terhadap premis dan penjaja di bawah Undang-undang Kecil Establishment Kecantikan dan Kesihatan.

“Kompaun berjumlah RM10,000 juga dikeluarkan terhadap 10 penjaja tanpa lesen,” katanya.

Seramai 74 anggota terlibat dalam operasi selama tiga jam itu dan semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Jalan Duta untuk tindakan lanjut.

Insaf selepas ditahan



Insaf selepas ditahan
Afiq menundukkan wajahnya setelah keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Akibat ditahan reman dan dilokap bersama banduan lain, seorang remaja mengaku insaf atas kesalahannya di Mahkamah Majistret semalam.

Tertuduh, Afiq Mohamed Ayub Khan, 23, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah. Dia, yang berasal dari Kampung Melayu Air Itam itu dalam rayuannya juga mengakui bimbang terpengaruh dengan banduan lain.

“Saya merayu kerana saya bimbang hilang keyakinan diri apabila bercampur dengan masyarakat selepas keluar penjara.

“Saya juga tidak mahu dipenjarakan kerana saya terlalu muda dan emak saya ketika ini sedang mengalami sakit tumor.

“Oleh kerana itu saya tidak mahu dia tertekan dengan keadaan saya, mohon mahkamah rendahkan hukuman saya,” katanya dalam kandang tertuduh.

Afiq, yang diwakili peguamnya juga mengaku bersalah kerana mahu menjimatkan masa mahkamah serta menjimatkan kos guaman.

Terdahulu tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 0.14 gram di kaki lima di sebuah flat kira-kira jam 3.20 petang pada 9 Januari lalu.

Atas kesalahan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Afiq didapati memasukkan morfin ke dalam badan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang iaitu tarikh sama, atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.

Majistret Norhayati Ibrahim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh bulan terhadap pertuduhan pertama dan kemudiannya lima bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

“Kedua-dua hukuman ini dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, sementara tertuduh juga dikenakan pengawasan selama dua tahun dan barang bukti akan dilupuskan,” katanya.

Sangka adik sudah pulang



Sangka adik sudah pulang
Basirah (kanan) sebak ketika menceritakan mengenai kehilangan anaknya itu.
Sangka adik sudah pulang
Pasukan Bomba melakukan operasi mencari Mohd Fazrul di kawasan tempatnya berkelah.
BALING - Seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang (SKKP) dikhuatiri lemas ketika bermain pasir kira-kira jam 4.30 petang di Sungai Pegang, Kuala Pegang di sini, kelmarin.

Mohd Fazrul Fitri Zaini, 7, dari Kampung Lela ke sungai itu kira-kira jam 2.30 petang untuk berkelah bersama kakaknya, Norliyana Zaini, 17, termasuk beberapa rakan sebayanya.

Kehilangannya disedari kakaknya apabila Mohd Fazrul tidak bersama rakan-rakannya yang lain yang turut sama bermain pasir di kawasan itu.

Norliyana berkata, dia menyangka adiknya itu pulang ke rumah bersendirian kerana jarak rumah dengan kawasan sungai tidak jauh.

Menurutnya, dia terkejut setelah ibunya, Basirah Muhammad, 38, memaklumkan adiknya itu tidak pulang ke rumah seperti jangkaannya.

“Saya dan rakan-rakan mencari di kawasan sekitar, tidak tidak berjaya. Sehubungan itu, keluarga memaklumkan kejadian ini kepada penduduk kampung termasuk pasukan penyelamat,” katanya.

Dia berkata, dia termasuk rakan-rakannya yang lain langsung tidak mendengar jeritan Mohd Fazrul sebelum sedar dengan kehilangannya.

“Kalau adik (Mohd Fazrul) terjatuh, dia pasti meminta tolong, lagipun jarak dia bermain dengan kedudukan saya tidak begitu jauh,” katanya.

Sehubungan itu, gerakan mencari Mohd Fazrul dilakukan oleh penduduk kampung, Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling termasuk Jabatan Pertahanan Awam.

Sementara itu, ibunya, Basirah berkata, anaknya itu begitu beria untuk mengikut kakak dan rakan-rakannya berkelah di kawasan sungai itu.

“Selepas pulang dari sekolah, Mohd Fazrul meminta saya membekalkannya nasi bersama lauk pauk kerana ingin berkelah bersama rakan dan kakaknya.

“Malah gurunya memaklumkan Mohd Fazrul begitu beria ingin pulang ke rumah sehingga tidak sempat bersalam dengan guru seperti kebiasaannya,” katanya ketika ditemui di rumanya, semalam.

Difahamkan gerakan mencari Mohd Fazrul dihentikan pada jam 7 petang, kelmarin dan diteruskan pada jam 8 pagi hari ini (semalam) dengan penambahan pasukan penyelamat dari Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.

Sehingga berita ini ditulis, Mohd Fazrul masih belum ditemui.

Kecewa dituduh penceroboh



Kecewa dituduh penceroboh
Mohamad Zain tunjuk surat bayaran tanah yang diterokainya untuk mendapat hak milik.
Kecewa dituduh penceroboh
Penduduk berjumpa dengan wakil syarikat berkenaan bagi menyelesaikan masalah, namun tidak mencapai persetujuan.
GUA MUSANG – Seramai 70 penduduk yang meneroka tanah di Kampung Sungai Relai, kecewa apabila mereka dituduh sebagai penceroboh oleh sebuah syarikat yang mendakwa tanah berkenaan milik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penyelesaian Tanah itu, Mat Mat Daud berkata, mereka meneroka tanah terbabit sejak tahun 1990, sebaik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan membenarkan penduduk meneroka tanah kerajaan kerana ia tanah Tuhan.

Malah menurutnya, mereka sudah menjelaskan pembayaran tanah itu bagi mendapat hak milik, hampir 10 tahun lalu dengan kadar RM3,865 bagi kawasan seluas 2.4 hektar.

“Kini lain pula yang berlaku apabila tanah penduduk yang sudah ditanam dengan pelbagai tanaman diluluskan kepada syarikat asing dan menuduh kita pula menceroboh kawasan itu.

"Sedangkan kita lebih awal berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan syarikat terbabit.

Mat berkata, sebahagian tanaman penduduk termasuk pokok getah, kelapa sawit dan tanaman lain mula disodok syarikat berkenaan sejak tahun lepas, tanpa ada perbincangan terlebih dahulu.

Menurutnya, berulang kali penduduk menemui pihak pengurusan syarikat itu bagi menyelesaikan masalah, namun pelbagai alasan diberi sebelum mengarah penduduk mengisi borang bagi membuat sebarang tuntutan dengan syarikat terbabit.

Malah, tambahnya, syarikat itu juga berjanji meneliti semula tanah yang diterokai penduduk.

“Apa yang berlaku, syarikat itu mengeluarkan surat menyatakan penduduk ceroboh tanah berkenaan pula,” katanya.

Peneroka, Mohamad Zain Minal, 65, pula berkata, dia akan tetap mempertahankan tanah diterokai lebih 20 tahun itu, kerana itu sahaja sumber pendapatannya.

“Kita ada hak ke atas tanah itu kerana kita lebih dahulu menerokanya dan sudah memohon hak milik.

“Cuma kita hairan, kenapa syarikat itu yang baru dua tahun memajukan kawasan tanah berkenaan sudah mendapat hak milik Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat berkenaan menyatakan, bahawa penduduk telah menceroboh tanah milik syarikat itu.

"Kita memajukan tanah ini selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri," katanya.

Dia turut berjanji akan menemui semula penduduk bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Disangka haiwan rupanya mayat



Disangka haiwan rupanya mayat
Keadaan mayat yang ditemui dipercayai sudah lebih tiga hari mati.
Disangka haiwan rupanya mayat
Polis menjalankan siasatan di tempat kejadian berhampiran Bukit Tinggi.
Disangka haiwan rupanya mayat
Lokasi mayat mangsa ditemui (kanan).
BENTONG – Perasaan curiga seorang orang awam selepas melihat objek dipercayai haiwan mati dihurung lebah dan semut di tepi jalan Batu 16 Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong berhampiran Bukit Tinggi dekat sini ketika berhenti membuang air kecil membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, selepas itu, orang awam terbabit menghubungi pihak polis memaklumkan perkara berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 3.45 petang kelmarin.

Katanya, hasil siasatan dijalankan, objek dijumpai itu disahkan sebagai mayat seorang lelaki dipercayai sudah lebih tiga hari mati berdasarkan keadaan badan yang kurang sempurna.

“Terdapat anggota badan yang sudah tiada dipercayai sudah dimakan oleh binatang termasuk kedua-dua belah kaki dari tapak kaki hingga ke paras peha.

“Berdasarkan siasatan awal juga mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain memandangkan tiada kesan pergelutan di kawasan mayat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, selepas dibunuh, mangsa dipercayai dicampakkan ke kawasan itu menerusi dua kemungkinan iaitu dari atas jambatan setinggi lebih kurang 15 meter atau dicampak dari kenderaan yang diberhentikan di tepi jalan itu sahaja.

Katanya, mayat sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat dan menentukan sebab sebenar kematian.

“Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

“Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan orang awam yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh beberapa hari lalu diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Kesan retak makin ketara



Syabas
Pihak Syabas menerangkan kerja-kerja yang dijalankan.
AMPANG - Penduduk Apartmen Mutiara Court, Jalan Bukit Permai di sini, bimbang selepas berlaku keretakan rumah sejak projek pembetungan paip oleh kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dilakukan sejak hampir dua bulan lalu.

Projek di lereng cerun bersebelahan apartmen itu hanya memisahkan 50 meter dari kira-kira 400 penghuni di Blok 5 Apartmen Mutiara Court yang bimbang berlakunya gelongsoran tanah.

Seorang penduduk, Mohammad Fairuszaman Rustam, 32, berkata, rumahnya adalah yang paling hampir dan bertentangan dengan projek ini dan dia mula menyedari beberapa keretakan berlaku sejak minggu lalu.

“Semakin dalam korekan tanah dilakukan oleh kontraktor maka bertambah teruk keretakan di rumah dan untuk menghilangkan kebimbangan, saya terpaksa mengecat dinding bagi menghilangkan kesan retak.

“Jiran juga ada mengadu perkara yang sama tetapi saya tidak mahu menghebahkannya kerana bimbang penduduk akan panik,” katanya.

Fairuszaman berkata, apa yang sangat dibimbangi sekarang adalah pergerakan tanah mungkin berlaku sekiranya berlaku hujan.

Katanya, dia yang tinggal di situ sejak 2006 bersama ibu mertuanya dan isteri sentiasa berada dalam keadaan resah kerana khuatir apartmen akan runtuh.

“Saya berharap sebelum kejadian tidak diingini berlaku, pihak bertanggungjawab diharap segera mengatasi masalah ini,” katanya.

Penduduk mahu jaminan

Sementara itu, masalah serius yang dihadapi penduduk turut mendapat perhatian Jawatankuasa Penduduk (JKP) 21 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang meninjau masalah itu.

Berikutan itu, satu perbincangan antara Ahli Majlis Zon 21 MPAJ, S Supiramany bersama Pengurus Besar, Jabatan Pengurusan Projek Syabas, Ir Ahmad Marzuki Hashim; Badan Pengurusan Bersama (JMB) Mutiara Court dan kontraktor Syabas berlangsung di tapak projek, semalam.

Selepas perbincangan selama dua jam, JKP 21 menuntut jaminan Syabas bagi memastikan tahap keselamatan penduduk tidak berada dalam bahaya dan berisiko.

Supiramany berkata, masalah ini sangat serius dan Syabas yang menjalankan projek ini harus bertanggungjawab dalam semua keadaan.

Katanya, selain memastikan tahap cerun di lereng bukit dalam keadaan stabil dan tidak membahayakan nyawa penduduk, Syabas turut dikehendaki membaik pulih kerosakan dan keretakan rumah dialami penduduk.

“Syabas juga berjanji akan menghantar laporan melalui konsultan mereka dalam tempoh dua minggu kepada saya berdasarkan projek ini sama ada ia selamat atau sebaliknya.

“Saya juga mahukan projek ini dipantau dan mahukan laporan keselamatan projek ini selama tiga tahun bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin,” katanya.

Syabas akan bertanggungjawab

Dalam pada itu Marzuki berkata, tujuan projek ini dijalankan adalah bagi melindungi dua paip dari pecah yang mungkin akan mengakibatkan gangguan air melibatkan kira-kira 18,000 akaun.

Katanya, projek ini sangat penting untuk diteruskan tetapi pada masa sama, Syabas tidak pernah mengabaikan ciri-ciri keselamatan cerun.

“Syabas akan membaiki dan memastikan cerun berada dalam keadaan stabil serta akan memantau situasi ini selepas kerja siap di mana dijangkakan projek selesai sebelum perayaan sambutan Tahun Baru Cina.

“Pada masa sama, kami akan membaiki kerosakan rumah yang dihadapi penduduk sekiranya ia disebabkan projek ini,” katanya.

'Bagaikan mati hidup semula'

'Bagaikan mati hidup semula'Wan Muhammad Azamuddin melihat kesan kecederaannya apabila dia tercampak di bahu jalan, pada hari raya kelima tahun lalu.
KUALA TERENGGANU – “Saya rasa bagaikan mati hidup semula,” cerita seorang remaja yang hidup dengan sebelah buah pinggang dan sebahagian hati.

Wan Muhammad Azamuddin Wan Che Ros, 16, yang kini dapat menjalani persekolahan seperti biasa walaupun ‘tercicir’ peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang kedua untuk hidup.

“Saya tidak sempat mengambil peperiksaan PMR kerana pada hari raya kelima tahun lepas, saya terlibat dalam kemalangan. Saya tercampak dan jatuh di bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu, buah pinggang saya rosak teruk dan sebahagian hati hancur menyebabkan peratusan saya sembuh agak tipis.

“Tetapi dengan keizinan-Nya serta doa semua termasuk nenek (Che Bunga Hashim, 58), yang menemani saya di wad kecemasan selama 26 hari, akhirnya saya dapat menjalani kehidupan dengan baik,” ceritanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Pasir Panjang di sini.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan Dun Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Wan Muhammad Azamuddin, yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah masih mampu menunggang motosikal ke sekolah dan tidak berasa trauma.

“Saya akan lebih berhati-hati apabila menunggang supaya tidak berlaku kemalangan,” katanya.

Che Bunga berkata, dia amat bimbang melihat keadaan cucu sulungnya ketika itu apabila membayangkan kenyataan doktor yang memberitahu peratusan sembuh agak tipis.

“Tetapi syukur alhamdulillah, dia dipanjangkan umur dan saya masih lagi dapat menjaganya.

“Dia tinggal dengan saya sejak kematian ayahnya setahun lalu setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

menerima sumbangan daripada Tabung Darul Iman untuk membantu kos rawatan susulannya.

Askar wataniah maut rempuh lori

Wataniah rempuh loriMangsa maut akibat merempuh lori yang membuat pusingan U haram.
GOMBAK – Tindakan pemandu lori yang membuat pusingan U haram di Jalan KL-Ipoh menghala ke Rawang di sini, awal pagi semalam membawa malang kepada seorang askar wataniah apabila dia maut akibat merempuh kenderaan berat itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125z dikatakan dalam perjalanan menghala ke Selayang.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak berkata, ketika tiba di Kilometer 22.8, sebuah lori tiba-tiba berhenti untuk membuat pusingan U. Menurutnya, mangsa yang terkejut dipercayai tidak sempat mengelak kenderaan di depannya dan terlanggar bahagian belakang lori itu.

Rempuhan menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter daripada motosikal ditungganginya. Mangsa, Muhammad Shahzani Abdul Mutalib, 21, yang masih bujang mengalami kecederaan teruk di bahagian dalaman maut serta-merta di tempat kejadian.

“Mayat mangsa yang beralamat di Bandar Baru Selayang itu dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

“Lori yang membuat pusingan U haram itu melarikan diri selepas kejadian dan masih belum membuat laporan polis. Kita dalam usaha mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang dirempuh mangsa itu,” katanya.

Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, saksi kemalangan atau mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Muhamad Izam Ibrahim di talian 03-61262273, 03-61262257 atau 013-2006111 untuk membantu siasatan.

Tersangkut di kawasan pukat



Tersangkut di kawasan pukat
Ayah mangsa, Zaini Yahya kelihatan sebak ketika menutup mayat anaknya itu.
Tersangkut di kawasan pukat
Tempat kejadian mangsa ditemui (bulu yang dipacak bagi mengikat tali pukat).
BALING - Penantian seorang kanak-kanak tujuh tahun yang dikhuatiri lemas akhirnya terjawab setelah mayatnya dijumpai tersangkut di pukat penduduk kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kampung Kuala Balut, Kuala Pegang, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Fazrul Fitri Zaini, 7, dijumpai penduduk yang kebetulan berada di kawasan itu untuk menangkap ikan iaitu lima kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

Menurut penduduk setempat, mereka ternampak sesuatu yang hanyut di kawasan sungai itu tetapi tidak menyangka ianya adalah mayat.

Salah seorang saksi kejadian berkata, beberapa penduduk menyangka mayat itu adalah buah kelapa yang sedang hanyut di dalam air.

Menurutnya, mangsa hanyut dalam keadaan berdiri di dalam air, bukannya terlentang seperi kebiasaannya.

“Kami hanya nampak kepala mangsa di dalam air. Tetapi, kami menyangka kepala mangsa itu buah kelapa.

“Kemudian, bila saya turun ke kawasan pemukat, baru saya sedar ianya adalah mayat seorang kanak-kanak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Baling, Abdul Kudus Abdul Malik berkata, teknik mengocak air menggunakan bot membantu mengesan mangsa.

Katanya, mangsa lemas akan timbul dengan sendirinya dalam tempoh 24 jam melainkan mangsa tersangkut di batang kayu dan sebagainya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga mereka.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kisah mengenai mangsa yang dikhuatiri lemas semasa berkelah bersama kakak dan rakannya di Sungai Pegang, Kuala Pegang.

Mangsa yang berasal dari Kampung Lela, Kuala Pegang dikatakan sedang bermain pasir sebelum hilang tanpa disedari kakak dan rakannya yang berdekatan mangsa.

Anak kedua dari tiga beradik itu terlalu beria untuk berkelah bersama kakak dan rakannya malah, turut meminta ibunya membuatkan bekal untuknya.

Dakwa dikasari penguat kuasa



Dakwa dikasari penguat kuasa
Palaniappan menunjukkan kakinya yang cedera kerana didakwa dipijak penguat kuasa.
Dakwa dikasari penguat kuasa
Manikumar (dua, kanan) ketika ditemui di pejabatnya, kelmarin.
SUNGAI PETANI - Seorang Penyelaras Majlis Ketua Kampung (MKK) Dun Gurun mendakwa dia dikasari anggota penguat kuasa semasa pasukan itu merobohkan bumbung sebuah gerai dalam kejadian di Bedong di sini, kira-kira jam 10.15 pagi Khamis lalu.

M Palaniappan, yang juga Pengerusi MKK Bedong mendakwa dia ditolak sehingga terjatuh sebelum diseret serta ditumbuk di bahu kanan ketika meminta penjelasan berhubung operasi yang dijalankan.

Menurutnya, sebagai ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri dia berhak meminta penjelasan anggota terbabit yang hadir lebih 20 orang ke lokasi terbabit.

“Sejurus menerima panggilan daripada seorang saksi, saya terus ke lokasi kejadian iaitu di hadapan sebuah kedai bengkel kereta.

“Apabila sampai, saya cuba meminta penerangan daripada ketua operasi terbabit mengapa perlu dirobohkan bumbung gerai, sedangkan ia masih dalam proses permohonan dan rayuan kepada pihak berkaitan.“Saya turut meminta surat kuasa untuk operasi merobohkannya tetapi tidak dihiraukan,” katanya.

Palaniappan berkata, sejurus itu, dia ditolak dan diseret ke tepi sambil dikerumuni anggota penguat kuasa, malah salah seorang daripada mereka menumbuk bahagian bahu kanannya secara tiba-tiba.

Menurutnya, gerai terbabit baru sahaja dipasang bumbung setelah tuan tanah iaitu pemilik bengkel kereta memberi kebenaran kepada S Neela.

“Gerai makan ini akan diusahakan Neela bagi menyara empat daripada enam anaknya yang masih bersekolah.

“Tapak gerai pula diberikan pemilik bengkel yang bersetuju untuk memberi ruang kepada Neela bersama suami menjalankan perniagaan tanpa bayaran bertujuan untuk membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Bukit Selambau, Datuk S Manikumar berkata, perkara itu akan dibawa ke pembentangan exco memandangkan arahan penguatkuasaan seperti meroboh gerai penduduk mesti mendapat persetujuan exco dan menteri besar terlebih dahulu.

“Pekeliling sudah dihantar melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Exco berkenaan kepada Majlis Perbandaran Negeri Kedah.

“Saya juga akan membawa perkara ini semasa perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan untuk meneliti semula terma yang diputuskan di peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri dan apa tindakan seterusnya yang boleh diambil.

“Sekiranya penguatkuasaan bertindak atas peranan sendiri tanpa peraturan sedia ada, tindakan undang-undang akan dikenakan,” katanya.

Maut dirempuh kereta

Maut dirempuh keretaKeadaan motosikal mangsa akibat kemalangan tersebut.
BAGAN SERAI - Seorang remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Banjar, di sini jam 5 petang, kelmarin.

Mangsa, Nurul Asyikin Jamil,18, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dikatakan ingin menyeberangi laluan untuk ke pulang ke rumah setelah singgah di rumah rakannya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, tindakan mangsa yang cuba menyeberangi laluan itu tidak disedari sebuah kenderaan yang datang dari arah Bagan Serai menghala ke Kuala Gula menyebabkan rempuhan berlaku.

“Pemandu kereta kereta jenis Proton Iswara  berusia 49 tahun itu tidak menyangka mangsa menyeberangi jalan secara tiba-tiba dan bertindak merempuh mangsa setelah tidak sempat mengelak.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan,kaki dan leher,” katanya, semalam.

Mat Fauzi berkata, mangsa terus dikejarkan ke Klinik kesihatan Bagan Serai oleh orang ramai sejurus kemalangan berlaku, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Mayat mangsa diserahkan ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat, siasatan lanjut masih dijalankan ke atas kes ini di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Remaja lelaki larikan murid tahun lima direman



KUALA LUMPUR 19 Jan. - Polis menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai melarikan seorang murid tahun lima ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, Rawang di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi (gambar) berkata, remaja itu ditahan semalam dan direman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Beliau berkata, selain itu, polis turut menyiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol ekoran pemeriksaan perubatan mendapati kedua-duanya pernah melakukan hubungan seks.
"Hasil pemeriksaan doktor menunjukkan terdapat kesan koyakan lama di kemaluan mangsa. Soal siasat terhadap suspek dan mangsa, mereka mengakui pernah melakukan hubungan seks sebelum ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130120/je_01/Remaja-lelaki-larikan-murid-tahun-lima-direman#ixzz2ITWQtKfn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat dalam gulungan tilam



Mayat dalam gulungan tilam
Siasatan dilakukan di lokasi mayat seorang lelaki ditemui.
JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian dan dibaluti tilam ditemui di Jalan Mewah Ria 2/10 Taman Bukit Mewah, di sini, semalam.

Seorang saksi yang enggan namanya didedahkan berkata, kira-kira jam 3 petang, dia dan rakannya yang melalui kawasan itu ternampak orang ramai berkumpul di lokasi mayat ditemui.

Menurutnya, perasaan ingin tahu membuatkan dia turut mendekati kawasan itu sebelum terlihat kaki manusia terjulur dalam gulungan tilam berkenaan.

“Saya bukan orang pertamanya yang menemui mayat, namun antara yang terawal tiba di lokasi kejadian sebelum salah seorang menghubungi pihak polis.

“Apa yang saya tahu terdapat mayat seorang lelaki berada dalam gulungan tilam berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak berani untuk membuka tilam berkenaan dan menunggu pihak polis sampai tidak lama kemudian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan secara terperinci dan menunggu laporan daripada unit patologi sama ada mayat itu mempunyai sebarang kecederaan atau sebaliknya bagi mengenal pasti punca kematian.

“Tiada sebarang dokumen ditemui, dan polis akan siasat daripada semua sudut bagi memastikan mangsa dibunuh atau mati mengejut (SDR),” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk bedah siasat.

15 korban banjir Jakarta



Seorang lelaki mengangkat seorang wanita warga emas ketika meredah banjir di sebatang jalan di Jakarta, semalam. - AGENSI
JAKARTA 19 Jan. - Korban banjir di kota Jakarta meningkat kepada 15 orang, hari ini selepas pasukan penyelamat menemui dua lagi mayat, menurut jurucakap polis, hari ini, ketika air banjir semakin surut.
Jurucakap polis Jakarta, Rikwanto berkata, tiga mayat ditemui semalam, manakala mayat dua orang yang terperangkap di tempat letak kereta sejak kelmarin ditemui awal hari ini.
"Pasukan mencari masih bertungkus lumus mencari seorang lagi mangsa yang dipercayai terperangkap di tempat letak kereta di sebuah bangunan," katanya.
Menurut beliau, pasukan penyelam, semalam berjaya menyelamatkan dua lelaki yang terperangkap selama lebih 24 jam di tingkat bawah sebuah bangunan.
"Seorang lelaki yang masih hidup ditemui pagi ini dan seorang lagi juruteknik bangunan ditemui tengah malam tadi," ujar Rikwanto.
Pihak berkuasa Jakarta meningkatkan amaran banjir ke tahap tertinggi kelmarin, tetapi banjir di kebanyakan kawasan di bandar raya ini, termasuk di daerah perniagaan semakin surut hari ini dan hujan turut berhenti sejak petang semalam.
Jurucakap agensi pengurusan bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, banjir yang terburuk melanda Jakarta dalam tempoh lima tahun memaksa 18,000 orang penduduk meninggalkan kediaman mereka, semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130120/lu_01/15-korban-banjir-Jakarta#ixzz2ITUESgxW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak 6 tahun hilang Rabu lalu belum ditemui



William Yau
William Yau
SUBANG JAYA – Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan sebuah kedai elektrik di Putra Mahkota, Putra Heights di sini sejak Rabu lalu, masih belum ditemui.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan, William Yau disedari hilang selepas ditinggalkan ibu bapanya dalam kereta bersama abang dan adik perempuannya, masing-masing berusia tujuh dan setahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, ibu bapa mangsa dikatakan masuk ke kedai dan keluar kira-kira 10 minit selepas membeli barangan elektrik.

Bagaimanapun, kedua-duanya dikatakan terkejut apabila diberitahu oleh anak sulungnya, mangsa keluar dari kereta untuk mencari mereka di kedai.

Usaha mencari kanak-kanak itu di kawasan sekitar gagal menemui sebarang petunjuk.

Usaha mencarinya masih diteruskan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya sudah melakukan pencarian di kawasan sekitar, malah turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mencari mangsa.

Beliau berkata, pihaknya menolak kemungkinan mangsa berkemungkinan diculik.

“Kita minta orang ramai yang ada terserempak dengan kanak-kanak ini supaya dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-5631-9800 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tragedi cuba rempuh polis

Anggota forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Taman Sejati, Klang, semalam.Anggota forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Taman Sejati, Klang, semalam. Klang: Seorang wanita maut terkena tembakan anggota polis di Taman Sejati di sini, malam kelmarin.

Sebelum kejadian, kereta Proton Waja dinaiki wanita itu bersama seorang pemandu lelaki dikatakan tidak berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh anggota peronda selepas kenderaan itu dilihat mencurigakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Adnan Abdullah, berkata anggota unit peronda cuba menahan kereta terbabit untuk diperiksa di Jalan Batu Tiga Lama di sini, pada jam 7.35 malam kelmarin.


“Bagaimanapun, pemandunya terus memecut dan melanggar beberapa kenderaan dalam usaha melarikan diri.

“Setibanya di Taman Menara, kereta berkenaan berhenti dan semakan terhadap nombor pendaftaran mendapati cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohamad Adnan berkata, ketika seorang anggota peronda cuba melakukan pemeriksaan, suspek mengundurkan kereta secara tiba-tiba hingga memaksa anggota polis di belakang kenderaan itu melepaskan sedas tembakan.

Katanya, pemandu terbabit memecut hingga ke Taman Sejati sebelum berhenti di depan sebuah rumah dan cuba merempuh kereta peronda polis, sekali gus memaksa pihak berkuasa melepaskan beberapa das tembakan.
“Suspek lelaki berusia 31 tahun itu kemudian menyerah diri dan pemeriksaan polis mendapati penumpang wanita di tempat duduk hadapan mengalami kecederaan dan berlumuran darah.

“Polis menghubungi ambulans dan pembantu perubatan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sebilah parang di kiri tempat duduk penumpang dan satu paket serbuk putih dipercayai dadah. Semakan mendapati kereta berkenaan pernah dilaporkan hilang di Klang pada 15 Januari lalu,” katanya.

Mohamad Adnan berkata, suspek lelaki yang beralamat terakhir di Taman Sentosa di sini, mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes pecah rumah, samun, melarikan orang dan dadah, manakala wanita berkenaan yang beralamat di Taman Indah, Kapar tidak mempunyai rekod kesalahan.

Beliau berkata, suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menjalani pemeriksaan manakala siasatan awal Unit Forensik mendapati wanita berkenaan maut akibat terkena sedas tembakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 337 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan serta kesalahan dadah. Kita akan menyiasat hubungan suspek dengan mangsa dan motif kejadian”, katanya.

Empat pendaki maut salji runtuh di Scotland



LONDON: Empat pendaki maut apabila salji runtuh di Pergunungan Scotland pada awal pagi tadi, kata polis.

Mangsa terbabit ialah antara enam pendaki iaitu tiga lelaki dan tiga wanita sedang mendaki di Glencoe, salah satu lembah terkenal di Scotland ketika salji berkenaan runtuh.
BBC melaporkan, lima daripada mereka dihanyut ke bahagian bawah gunung dalam air batu dan salji terbabit.

Empat daripada maut dan seorang lagi berjaya diselamatkan dikatakan dan dikatakan kritikal selepas dibawa ke hospital.

Seorang lagi pendaki dapat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan dan menghubungi pihak perkhidmatan kecemasan. - AP

1,180 mangsa banjir kilat di Johor




SEBAHAGIAN mangsa banjir ditempatkan di Dewan Kampung Baru PPMS Kota Tinggi semalam.


JOHOR BAHRU - Seramai 1,180 penduduk dipindahkan ke lima pusat pemindahan berikutan banjir kilat di Johor selepas hujan lebat awal pagi semalam.
Kawasan yang terlibat ialah Kampung Laut dan Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru; Kampung Baru Sungai Mas di Penawar; Taman Aman, Taman Mawai di Johor Lama dan PPMS Kampung Batu, Teluk Ramunia di Kota Tinggi.
Mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu 10 dan Balairaya Batu 18 Sungai Tiram di Johor Bahru serta Dewan Kota Kecil, Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Kampung Baru PPMS Teluk Ramunia di Kota Tinggi.
Pegawai Daerah Kota Tinggi Ismail Karim berkata, pihaknya sudah bersiap sedia berikutan makluman kemungkinan banjir di daerah itu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa di daerah itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada 10 pagi.
"Tinjauan pukul 3 petang tadi (semalam) mendapati air mulai surut namun mangsa tidak dibenarkan pulang kerana masih hujan," katanya di sini semalam.
Ismail menasihati orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus naik di kawasan mereka.
Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh berkata, pihaknya mengagihkan makanan dan air mineral kepada mangsa banjir di Kampung Laut pada sebelah pagi sementara menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, portal publicinfobanjir.water.gov.my milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menasihati penduduk di sekitar Batu Pahat agar berjaga-jaga kerana paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah sudah mencapai tahap 5.79 meter, melepasi paras amaran yang ditetapkan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2ITDMSz00 
Hakcipta terpelihara 

Banjir: 53 pelajar Malaysia dipindah




SEBAHAGIAN daripada pelajar Malaysia yang terpaksa dipindahkan ke Dewan Malaysia, Jakarta.


JAKARTA - Para pelajar Malaysia dari Universiti Trisakti, Jakarta Barat yang dipindahkan sementara ke Dewan Malaysia di Jakarta Pusat ekoran banjir kini bertambah menjadi 53 orang.
Mereka terdiri daripada 23 pelajar perempuan dan 30 pelajar lelaki.
Pengarah Pelajaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Juzhar Jusoh berkata, kebanyakan daripada mereka yang berpindah pagi semalam adalah kumpulan pelajar yang baru pulang daripada menjalani latihan klinikal di luar kota raya Jakarta.
"Kesemua pelajar berada dalam keadaan baik kecuali beberapa orang yang mengalami batuk dan selesema. Pihak keluarga pelajar juga telah dimaklumkan mengenai situasi terkini melalui telefon," katanya di sini semalam.
BEGINILAH keadaan di Universiti Trisakti ekoran banjir yang melanda Jakarta semalam.


Banjir yang melanda kebanyakan kawasan di Jakarta sejak Selasa lalu masih menjejaskan sejumlah lagi kawasan penempatan, bahkan paras air Sungai Ciliwung terus meningkat akibat air yang turun dari daerah Depok.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata, data yang dikumpulkan sehingga pukul 7 pagi semalam mencatatkan 14 kematian akibat banjir sejak Selasa lalu dan daripada jumlah itu, enam mangsa meninggal dunia akibat kejutan elektrik apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air.
Mangsa-mangsa yang terkorban itu terdiri daripada sembilan orang di kawasan Jakarta Barat, dua orang di Jakarta Selatan dan masing-masing seorang di Jakarta Timur, Jakarta Utara dan Jakarta Pusat.
Sehingga petang semalam, lebih 18,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir dan BNPB yang dibantu pelbagai agensi kerajaan bertungkus-lumus menguruskan bantuan makanan dan pakaian kepada mangsa. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2ITD3viSv 
Hakcipta terpelihara