152,000 murid terkandas, pemandu bas sekolah mogok
Perkhidmatan bas sekolah lumpuh di New York.
NEW YORK - Pemandu-pemandu bas sekolah di New York, Amerika Syarikat (AS) merancang mengadakan protes ketika New York memulakan sesi persekolahan hari ini.

Tindakan itu menyebabkan kira-kira 152,000 murid di bandar raya itu terpaksa menggunakan pengangkutan awam atau mencari alternatif lain untuk sampai ke sekolah.

Kesatuan Pemandu Bas New York mengumumkan, untuk mengadakan tunjuk perasaan, selepas gagal mencapai kata persetujuan dengan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, berhubung masa depan dan keselamatan kerja mereka.

Tunjuk perasaan itu turut disertai petugas yang mengawasi murid-murid sekolah ketika mereka menaiki dan turun dari bas.

Menurut Presiden Persatuan Pemandu Bas Sekolah Tempatan, Michael Cordiello, kebajikan dan keselamatan pekerja diabaikan sedangkan mereka memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan kanak-kanak.

“Kontrak itu termaktub lebih dari 30 tahun dan hingga kini kami tidak mendapat sebarang perubahan atau jaminan kerajaan,” katanya.

AS kini menawarkan MetroCards kepada kanak-kanak bagi mendapat kemudahan percuma menggunakan pengangkutan kereta api bawah tanah.

Kerajaan negara itu juga membiayai sepenuhnya tambang bas sekolah untuk kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan khas dan ibu bapa juga diberi peruntukan sekiranya mereka perlu menghantar atau menyewa kereta bagi menghantar anak-anak ke sekolah. - Reuters