Search This Blog

Tuesday, January 15, 2013

Lelaki kasanova perdaya 20 wanita ditahan



ROSLEE Chik (duduk, kanan) menunjukkan wajah suspek yang digunakan dalam laman sosial miliknya bagi tujuan penipuan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 14 Jan. - Seorang lelaki kasanova yang bijak memperdayakan lebih 20 wanita sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000 menerusi laman sosial Facebook dan Tagged akhirnya ditahan pada 4 Januari lalu, setelah 12 tahun menjadi buruan polis.
Suspek berusia 45 tahun itu ditahan di rumahnya di Bukit Gambir di sini selepas ‘diperdaya’ masuk perangkap polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri yang menyamar sebagai mangsa dan hasil maklumat orang awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, modus operandi suspek adalah memikat mangsa bujang melalui ruang sembang internet itu menggunakan nama samaran Dr. Shiva Nair dan bekerja di sebuah hospital swasta.
Katanya, suspek bijak menggunakan kata-kata manis dan pujuk rayu sehingga membuatkan ramai wanita terpikat malah sanggup mengatur pertemuan dengan ahli keluarga untuk berbincang mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan.
Bagaimanapun beliau berkata, tidak lama selepas itu, suspek memberi alasan mengalami masalah kewangan sebelum meminta mereka menyerahkan wang atau barang kemas.
“Siasatan mendapati lebih 20 mangsa berumur 25 hingga 40 tahun telah ditipu suspek. Setakat ini lima kes dikesan di negeri ini melibatkan kerugian kira-kira RM131,000 dan kita masih menunggu laporan dari negeri lain berhubung jenayahnya itu.
“Suspek yang berasal dari Taiping, Perak, berpengalaman dalam bidang pengkomputeran menyebabkan pihak polis sukar mengesannya.
“Dia juga telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua cahaya mata serta pandai mengubah strategi daripada dikesan polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Menurut Roslee, dalam serbuan itu, polis turut menemukan sehelai anak baju Kementerian Kesihatan, barang kemas, empat keping cukai jalan palsu, dua buah kereta yang dipercayai bernombor plat palsu, surat pajak gadai dan serangkai kunci.
Tambahnya, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berhubung kes penipuan di Kedah, Johor, Pahang dan Perak.
“Saya minta orang ramai tampil membuat laporan polis sekiranya pernah menjadi mangsa penipuan suspek," katanya sambil menambah kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130115/je_01/Lelaki-kasanova-perdaya-20-wanita-ditahan#ixzz2I3ZgUx6S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua remaja maut rempuh lori


KUALA LUMPUR 15 Jan. - POLIS mengangkat mayat remaja yang maut dalam kemalangan di Kilometer 457.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh awal pagi ini. - IHSAN BLOG ONDSCENE

KUALA LUMPUR 15 Jan. - REMUK...Keadaan kereta jenis Toyota Altis dinaiki dua remaja yang maut dalam kemalangan di Kilometer 457.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh awal pagi ini. - IHSAN BLOG ONDSCENE
KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dua remaja maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 457.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, dua remaja India terbabit masing-masing berusia 20 dan 22 tahun maut di tempat kejadian setelah tersepit di dalam kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, polis percaya kenderaan yang dinaiki mangsa dipandu laju lalu hilang kawalan dan merempuh lori itu. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130115/je_11/Dua-remaja-maut-rempuh-lori#ixzz2I3ZYR9tM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tukang pintu didakwa salahguna kad kredit



KUALA LUMPUR 14 Jan. - Seorang tukang pintu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kad kredit individu lain untuk membeli sebuah telefon pintar bernilai RM2,499, awal bulan ini.
Wong Tian Tatt, 27, didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan kad kredit milik Ngai Shi Hao, 26, di pusat beli-belah Cheras Leisure Mall, Taman Segar, Cheras di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, 6 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Sarihan Abdul Shatar mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda.
Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(O) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki kad pengenalan Shi Hao tanpa kuasa yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Februari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130115/wk_04/Tukang-pintu-didakwa-salahguna-kad-kredit#ixzz2I3ZQ1gRD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rumah terbakar: Remaja terselamat daripada rentung



KOTA BHARU 15 Jan. - Seorang remaja yang sedang tidur terselamat daripada rentung apabila rumahnya di Kampung Badang, di sini terbakar petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, mangsa Mohd. Shafiq Nizam Norizan, 15, sedang tidur berseorangan di ruang tamu rumah tersebut sebelum dikejutakan dengan jeritan jirannya yang memaklumkan rumahnya terbakar.
Mohd. Shafiq berkata, ketika terjaga dari tidur, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Badang itu melihat ruang tamu rumahnya sudah dipenuhi dengan asap tebal.
"Ketika itu saya sedang tidur diatas sofa akibat kepenatan. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan jeritan luar dari arah luar yang memberitahu rumah terbakar.
"Sebelum menyelamat diri saya hanya sempat mengambil dokumen penting sahaja kerana api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian kelmarin. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130115/je_13/Rumah-terbakar-Remaja-terselamat-daripada-rentung#ixzz2I3Z1lpvy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bot karam: 41 PATI diselamatkan



SEBAHAGIAN mangsa bot karam pendatang asing tanpa izin yang berjaya diselamatkan dan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin di Jeti Marina, Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, Johor, semalam.
KOTA TINGGI 14 Jan. - Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia berjaya diselamatkan pihak berkuasa negara ini, manakala tujuh termasuk tekong masih hilang selepas bot pancung yang dinaiki mereka karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira 300 meter dari pantai Teluk Ramunia itu, dipercayai berpunca daripada beberapa faktor iaitu keadaan laut yang bergelora dan angin kencang selain membawa muatan berlebihan.
Difahamkan, bot pancung sepanjang lapan meter itu sepatutnya boleh memuatkan seramai 20 orang sahaja.
Daripada jumlah mangsa itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan 18 PATI termasuk empat wanita dan dua kanak-kanak, Polis Marin (19 PATI) dan bakinya oleh polis dari balai berdekatan.
Pengarah Operasi Daerah Maritim Tujuh (Tanjung Sedili), Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 tentang kejadian itu lalu menggerakkan pasukan operasi mencari dan menyelamat.
Menurutnya, semua mangsa berjaya diselamatkan pukul 7.10 pagi oleh Maritim Malaysia dan Polis Marin di kawasan tersebut sebelum semua mangsa dibawa ke Jeti Marina Tanjung Pengelih, Jeti Nelayan Sungai Rengit dan Balai Polis Sungai Rengit.
"Hasil siasatan awal mendapati semua mangsa dewasa termasuk seorang wanita mengandung lapan bulan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun, manakala dua kanak-kanak pula masing-masing berusia setahun dan dua tahun. Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Batam, Indonesia.
"Kesemua mereka yang kebanyakannya berasal dari Lombok dan tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah, bekerja di negeri ini (Johor), Selangor, Pahang dan Perak," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak Maritim Malaysia dan Polis Marin kini giat mencari dan menyelamat tujuh lagi mangsa yang masih hilang termasuk seorang tekong dan dua pembantunya yang belum dikenal pasti warganegara mereka.
"Mereka yang diselamatkan telah dihantar ke Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut," katanya.
Menceritakan detik cemas kejadian itu, salah seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Silahwati, 30-an, berkata, bot dinaiki mereka dimasuki air selepas bergerak sejauh 300 meter, sekali gus menyebabkan semua penumpang tercampak dan terkapai-kapai meminta pertolongan.
"Cuaca di waktu itu memang tidak berapa elok, angin kuat ditambah pula dengan laut bergelora menyebabkan keadaan bot tidak stabil lalu terbalik. Kami semua kemudian berpaut di bot tersebut.
"Dalam kami berpaut, saya mendapati telefon bimbit salah seorang rakan masih berfungsi, lalu saya membuat panggilan telefon kecemasan memohon bantuan untuk diselamatkan," katanya yang bekerja sebagai tukang cuci di Johor Bahru dan ingin pulang ke Lombok untuk menguruskan majlis pengebumian suaminya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130115/dn_04/Bot-karam-41-PATI-diselamatkan#ixzz2I3YXpZlW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kahwin sejenis: Presiden Perancis enggan tunduk



PENDUDUK Perancis beragama Kristian mengadakan tunjuk perasaan di Paris, kelmarin membantah rancangan kerajaan Perancis melaksanakan undang-undang perkahwinan sejenis.- AFP
PARIS 14 Jan. - Walaupun mendapat bantahan keras daripada beribu-ribu penduduk Perancis, namun parti pemerintah, Parti Sosialis enggan menarik balik rang undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis di negara ini.
Semalam, penganjur demonstrasi menganggarkan kira-kira 800,000 penunjuk perasaan berhimpun mengadakan bantahan bagi mendesak kerajaan mengadakan pungutan suara bagi membatalkan undang-undang itu.
Presiden Perancis, Francois Hollande dalam satu kenyataan berkata, beliau tetap akan meneruskan rang undang-undang itu, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 29 Januari ini.
Saluran televisyen TP1 yang memetik kenyataan sokongan daripada Menteri Kehakiman, Christiane Taubira berkata, undang-undang baharu itu tidak akan merugikan atau menggugat kedudukan mana-mana pihak.
Taubira sekali lagi menegaskan bahawa beliau menolak cadangan penunjuk perasaan untuk mengadakan satu pengutan suara berhubung isu berkenaan.
Wakil Kesatuan Gerakan Popular (UMP), Christian Jacob pula berkata, pungutan suara berhubung isu tersebut merupakan tindakan yang sewajarnya.
"Presiden boleh membuat keputusan untuk mengadakan pungutan suara berkenaan pada bila-bila masa tanpa sebarang masalah,'' katanya.
Sementara itu, Ketua UMP, Jean-Francois Cope mengumumkan akan menganjurkan satu konvensyen bagi membincangkan isu keluarga, termasuk isu perkahwinan sejenis pada 24 Januari ini.
"Isu perkahwinan sejenis ini merupakan ujian besar buat Hollande kerana ramai penduduk Perancis menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan undang-undang itu," jelasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130115/lu_03/Kahwin-sejenis-Presiden-Perancis-enggan-tunduk#ixzz2I3WfpqhX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perompak sempat jamu selera



Perompak sempat jamu selera
Yaakob menunjukkan kepingan papan dinding yang ditanggalkan perompak sebelum masuk ke dalam rumahnya.
ALOR  GAJAH - Sekumpulan perompak sempat menikmati beberapa botol minuman segera dan makanan kudapan sebelum melarikan mesin rumput dan wang sebanyak RM300 di sebuah rumah di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian itu disedari mangsa yang juga bekas Ketua Balai Polis Tiang Dua, Yaakop Kasim, 64, kira-kira jam 8 pagi ketika dia pulang ke rumah seperi biasa untuk menyalin pakaian kerja sebelum menghantar pekerja di kebun di Masjid Tanah.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian dia pulang ke rumahnya di Batu Berendam, Melaka, kira-kira jam 6 petang atas urusan keluarga dan sebelum bertolak dia memeriksa rumah pusaka itu supaya berada dalam keadaan selamat.

“Namun, pada pagi kejadian saya terkejut sebaik sahaja  membuka pintu rumah yang menghadap ke arah dapur saya mendapati empat keping papan dinding sudah tiada.

“Apabila melangkah sahaja ke dalam rumah saya terus teringatkan mesin rumput dan bergegas ke dalam bilik tengah, telahan saya tepat apabila melihat mesin rumput sudah tiada,” katanya yang mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000.

Yaakop berkata, dia kemudiannya menuju ke dapur dan mendapati kesemua peralatan memasak bersepah di atas lantai manakala kepingan papan serta sebekas sudu bertaburan.

“Satu demi satu laci almari yang ada dalam rumah saya periksa sehinggalah dalam sebuah almari di bilik tengah dan mendapati ada barang lain yang turut hilang namun saya gagal mengingati apakah barang yang  hilang itu.

“Kemudian saya lihat beg hitam yang menyimpan duit belanja harian berjumlah RM300 diletakkan pada satu rak berdekatan televisyen berada atas lantai ruang tamu dalam keadaan zip sudah terbuka dan kosong,” katanya.

Menurutnya, mujur motosikal jenis Yamaha yang diletakkan di ruang tamu rumah tidak dilarikan dan bernasib baik tiada ahli keluarga berada di rumah ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bertindak atas laporan dibuat mangsa, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin di rumahnya.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja ada kaitan dengan kejadian pecah rumah berkenaan dan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dr Soeraya bebas tuduhan palsukan dokumen



Dr Soeraya bebas tuduhan palsukan dokumen
Dr Noor Soeraya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi.
[DIKEMAS KINI] SEREMBAN – Linangan air mata kesyukuran, mengiringi langkah bekas Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham,40, setelah Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan beliau daripada empat tuduhan, berkaitan pemalsuan dokumen kenaikan gred jawatan, hari ini.

Dr Soeraya dihadapkan di Mahkamah Sesyen Seremban awal tahun lalu atas empat pertuduhan memalsukan dokumen kenaikan pangkat dan gred sejak 2009.

Hakim Datin Nursinah Adzmi dalam perbicaraannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pemalsuan surat yang didakwa dilakukan oleh tertuduh.

Soeraya yang hadir di mahkamah bersama suaminya, Kee Zain Kee Yusof, 51, turut diiringi  oleh peguam belanya, Abd Aziz Hamzah.

Soeraya ketika ditemui berkata, beliau melahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah ini sekaligus membuktikan bahawa dia tidak bersalah.

“Saya tidak bersalah dan saya tidak pernah melakukan sebarang perbuatan yang didakwa sebelum ini.

“Saya adalah seorang penjawat awam biasa dan akan terus berkhidmat  bekerja seperti biasa.

“Saya berharap dengan keputusan ini, ia dapat membersihkan semula nama baik saya di mata masyarakat kerana saya tidak bersalah,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Bagaimanapun, beliau yang kini berkhidmat di Putrajaya enggan mengulas sama ada mahu pulang ke Negeri Sembilan atau sebaliknya.

Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didapati menyerahkan dokumen palsu kepada pembantu tadbir jabatan terbabit yang mengandungi butir-butir palsu iaitu arahan kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan tertuduh bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun, yang masing-masing pada 16 Mac 2009, 5 Januari 2010 dan 2 Julai 2010.

Bagi pertuduhan pertama, Soeraya didakwa telah memberikan kepada seorang ejen iaitu Pembantu Tadbir Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Siti Norhayati Md Yusof, satu dokumen bertarikh 27 Februari 2009 berhubung Arahan Kenaikan Pangkat dan Pengesahan Jawatan Pegawai Veterinar Gred G48 sedangkan beliau masih memangku Gred G44 dan  membolehkan tertuduh memperoleh RM39,536.90 secara salah pada 16 Mac 2009.

Pertuduhan kedua pula, pada 5 Januari 2010, tertuduh didakwa turut memberikan satu dokumen bertarikh 28 Disember 2009 kepada individu sama berhubung Arahan Memangku Jawatan Pegawai Veterinar Gred G52-Khas Untuk Penyandang (KUP) di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tujuan menyelaraskan gaji dan elaun, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan serta mengandungi butiran palsu sedangkan beliau tidak dinaikkan pangkat dan menyebabkan tertuduh memperoleh secara salah RM5,013.82.

Mengikut pertuduhan ketiga, Soeraya didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan satu dokumen bertarikh 1 Julai 2010 berhubung Keputusan Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke G52 dan memperoleh RM5,764.86 secara salah pada 2 Julai 2010.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan di lokasi sama iaitu di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Jalan Pantai di sini.

Berikutan itu, bagi kesemua pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh turut didakwa menggunakan dokumen palsu berhubung keputusan pemangkuan Pegawai Veterinar Gred G52 ke G54 bagi tujuan menipu pembantu tadbir di jabatan berkenaan pada 12 April 2011.

Untuk kesalahan itu, beliau didakwa di bawah Seksyen 471 kanun keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya skali.

Manakala, tiga lagi pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan mendakwa tertuduh telah menggunakan dokumen palsu yang mengandungi butir - butir palsu iaitu arahan kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan bagi tujuan menipu Pembantu Tadbir jabatan berkenaan, yang masing-masing pada 16 Mac 2009, 5 Januari 2010 dan 2 Julai 2010.

Bagi kesalahan tersebut, beliau didakwa di bawah Seksyen 471 kanun keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fairuz Johari manakala tertuduh diwakili dua peguam bela, Muhamad Faiz Fadzil dan Syed Fadhil Syed Othman.

Lebih 300 Pati ditahan di Langkawi




15 Januari 2013
LANGKAWI - Seramai 354 orang pendatang asing tanpa izin dari Myammar ditahan di dalam dua buah bot di Kuala Chenang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Harith Kam Abdullah berkata, seramai 143 orang yang terdiri daripada 94 lelaki, 18 wanita dan 31 kanak-kanak menaiki salah sebuah bot itu manakala bot kedua dinaiki 211 orang iaitu 207 lelaki dan empat kanak-kanak.

"Penahanan mereka dibuat hasil maklumat orang awam yang menyatakan terdapat dua bot yang berlabuh di Kuala Chenang kira-kira pukul 3 pagi tadi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, para pendatang itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mereka akan diserahkan kepada pihak imigresen.

Sementara itu Harith Kam berkata, beliau percaya 40 orang dari kumpulan tersebut telah memboloskan diri ke kawasan pantai dan meminta penduduk melapor jika melihat orang yang mencurigakan di kawasan mereka.- Bernama

Kebun getah dipenuhi sampah



Kebun getah dipenuhi sampah
Hamid dan Saayah bersama menunjukkan kawasan kebun getah mereka yang dipenuhi sampah.
Kebun getah dipenuhi sampah
Air sampah juga membuatkan kawasan kebun ini kotor dan berbau busuk.
PENDANG – Sepasang suami isteri terpaksa menanggung kerugian apabila lebih 20 pokok getah di Kampung Bukit Semeliang Jalan Belukar Luas milik mereka mati apabila dipenuhi dengan sampah dan ditakungi air sampah setiap hari.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan kebun getah pasangan itu mendapati terlalu banyak sampah bertaburan di situ dan bau yang busuk turut dapat dihidu. Pihak kami juga difahamkan sampah yang bertaburan dikatakan dari tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Pendang (MDP) di Kampung Padang Tok Sedau di sini.

Saayah Junus, 49, sebak melihat lebih 20 pokok getahnya mati memandangkan pokok getahnya itu baru dua tahun ditoreh.

“Kejadian ini turut menjejaskan sumber pendapatan saya dan suami. Bukan sahaja 20 pokok mati tetapi getah pada pokok lain turut berkurangan disebabkan kejadian ini.

“Setiap hari kami terpaksa menghidu bau sampah dan keadaan kebun juga menjadi becak kerana ditakungi air sampah yang melimpah dari pusat pelupusan sampah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Suaminya, Hamid Pin, 64, berkata, kejadian itu turut menyebabkan susu getah berkurangan sejak sekian lama.

“Saya menanam dan menjaga pokok ini sejak 10 tahun lalu dengan mengeluarkan modal melebihi RM10,000 dan dulu saya berharap dapat menoreh dengan anggaran hasil RM100 sehari tetapi hasil yang diperoleh sekarang begitu mengecewakan.

“Keadaan lembap di kebun getah disebabkan pengairan air sampah menyebabkan bau busuk dan dipenuhi dengan lalat serta ulat di seluruh kawasan terbabit,” katanya.

Katanya, dia bimbang lebih banyak lagi pokok getahnya akan mati termasuk pokok getah berhampiran kawasan itu jika tiada tindakan segera diambil pihak berkenaan bagi menyelesaikan masalah ini.

Tambahnya, sistem perparitan yang dibina pihak terbabit tidak mampu menyelesaikan masalah yang yang dihadapi apabila keadaan sampah tetap bertaburan di kawasan kebunnya sehingga pagar antara pusat pelupusan dengan kebun getah itu runtuh.

APMM terus cari tekong, kru bot karam




15 Januari 2013
KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat seorang tekong dan dua kru bot karam yang melibatkan 41 warga Indonesia di perairan Teluk Ramunia, Pengerang di sini semalam.
 
Jurucakap APMM berkata operasi itu dibantu oleh pihak Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam.
 
Jurucakap tersebut turut mengesahkan ketika kejadian berhampiran Pulau Che Kamat itu, hanya terdapat 44 orang pendatang tanpa izin (Pati) termasuk tekong dan dua kru di dalam bot tersebut.
 
Kesemua Pati yang berjaya diselamatkan semalam terdiri daripada 35 lelaki dan empat wanita berumur 20 hingga 40 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berumur setahun dan dua tahun.
 
Bot pancung yang diperbuat daripada gentian kaca itu baru memulakan perjalanan ke Batam, Indonesia apabila mengalami kebocoran dan karam pada pukul 5.20 pagi.
- Bernama

Polis pantau aktiviti rekrut pelajar sekolah sertai kumpulan gengster




15 Januari 2013
GEORGETOWN - Polis sedang memantau kegiatan kumpulan kongsi gelap yang merekrut pelajar sekolah menyertai kumpulan mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, sejak sesi persekolahan bermula awal bulan ini, polis telah menerima beberapa laporan dari ibu bapa dan guru mengenai anggota kumpulan kongsi gelap menunggu di luar kawasan sekolah dan mempelawa para pelajar menyertai kumpulan mereka.

"Pemantauan sedang giat dilakukan dan kita telah mengerahkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) supaya meronda di kawasan sekolah yang telah dikenal pasti di sekitar daerah ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Phor Tay di Sungai Dua hari ini.

Beliau berkata, URB akan melakukan rondaan sebelum dan selepas waktu persekolahan bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu Gan berkata, polis percaya dapat menyelesaikan 11 kes samun di sekitar daerah ini susulan penahanan seorang lelaki berusia 50 tahun yang menyamar sebagai anggota polis di Lebuh Maccalum semalam.

Beliau berkata, pada kejadian pukul 1.50 petang itu, suspek memakai seragam polis bersama dua lagi rakannya yang berpakaian biasa telah merompak sebuah rumah selepas memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis dari cawangan narkotik dan jenayah berat.

"Polis masih memburu dua lagi rakannya dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes cubaan membunuh teman wanitanya pada 5 Ogos lepas berjaya diberkas dalam sebuah restoran di Bukit Tambun petang semalam.

Gan berkata, pada kejadian pukul 11 pagi itu, suspek M. Kumarasingam, 28, dipercayai menolak teman wanitanya dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Batu Uban sehingga menyebabkan buku lali mangsa mengalami keretakan.

Beliau berkata, suspek berasal dari Bagan Serai turut meloloskan diri dari tahanan polis ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, setelah dipukul orang awam.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh serta Seksyen 224 kerana melarikan diri dari tahanan polis. - Bernama

Kontraktor ditemu mati dengan leher dijerut tali




15 Januari 2013
KOTA SAMARAHAN - Seorang kontraktor berumur 62 tahun ditemui mati dan dipercayai dibunuh di sebuah rumah sedang dalam pembinaan di Taman Samarindah di sini hari ini.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Samarahan ASP Mohd Ibrahim Jalaluddin, yang mengesahkan kes itu, berkata mayat Tan Hong Pheng ditemui dengan tali nilon dijerut di lehernya.
 
"Siasatan awal menunjukkan bahawa pembunuhan itu mungkin bermotifkan rompakan kerana kami mendapati wang tunai dan beberapa dokumen peribadi mangsa telah hilang," katanya ketika dihubungi.
 
Beliau berkata orang awam yang melalui kawasan rumah itu kira-kira 7.25 pagi mendapati mangsa terbaring kaku di dalam rumah sebelum dia menghubungi polis.
 
Mohd Ibrahim berkata kemungkinan terdapat lebih daripada seorang suspek terbabit dalam kes itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan - Bernama

Pekerja kontrak tidak mengaku salah cederakan isteri




15 Januari 2013
KANGAR - Seorang pekerja kontrak, Kamaruddin Hassan tidak mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya yang masih dalam keadaan pantang di Kampung Repoh Seberang Sungai dekat sini pada awal pagi 5 Januari lalu.

Tertuduh, 41, yang diwakili Rabiatul Adawiyah Ramli mohon dibicarakan.

Pekerja kontrak itu dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Anira Aziz, 27, menggunakan bingkai gambar, bahagian belakang pisau dan lesung batu kira-kira pukul 4 pagi, hari tersebut di sebuah rumah tidak bernombor.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Inspektor Amir Irwan Yaakob.

Majistret Zuhair Rosli yang sebelum itu mendengar rayuan tertuduh memerintahkan lelaki itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- Bernama

Kes terbaru di India, murid 7 tahun dirogol di sekolah

NEW DELHI - India sekali lagi berhadapan dengan protes dan kemarahan besar-besaran berkaitan kes rogol, kali ini melibatkan seorang kanak-kanak tujuh tahun di Goa, barat  negara itu.
Kanak-kanak itu menjadi mangsa rogol di tandas sekolahnya, yang terletak di bandar raya Vasco da Gama, Goa, semalam.
Polis kini memburu suspek yang dipercayai berusia awal 20-an.
"Mangsa dirogol di bilik tandas ketika waktu rehat," kata polis.
Bilik tandas terletak bersebelahan pengetua Sekoah Tinggi Deepvihar, yang turut menempatkan sekolah rendah.
Beribu-ribu penduduk tempatan mengepung malam tadi sambil menggesa pengetua dan suspek ditahan.
Pengetua ditahan atas alasan cuai.
Ini kes ketiga mencetuskan kemarahan besar-besaran dalam tempoh sebulan ini.
Bulan lalu. seorang pelajar dirogol oleh sekumpulan lelaki dan kemudian dicampak dari bas bersama rakan lelakinya. Dia meninggal dunia di Singapura.
Minggu lalu seorang lagi menjadi mangsa kes rogol berkumpulan di negeri Punjab.

Dera anak tiri: Mekanik dipenjara 12 bulan

KLANG - Seorang mekanik dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mendera anak tirinya yang berumur tiga tahun menggunakan senduk nasi dan acuan muruku pada September tahun lepas.
 
Perbuatan tertuduh, T.Rajasegaran, 32, ke atas mangsa dirakam dalam klip video selama lapan minit 33 saat dan disebar melalui laman Facebook baru-baru ini.
 
Majistret Ng Siew Wee menjatuhkan hukuman itu selepas Ragasegaran, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 18 Dis lepas, menukar pengakuannya.
 
Ng memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Dis lepas.
 
Rajasegaran didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Kapar pada kira-kira 12.30 tengah hari pada September tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
Mangsa merupakan anak isteri kedua tertuduh, S.Nirmala, 29.
 
Mengikut fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum, siasatan mendapati sewaktu kejadian, tertuduh bertindak menampar muka dan menendang mangsa serta mengangkatnya ke atas sofa sehingga kanak-kanak malang itu jatuh ke lantai.
 
Tertuduh juga memukul kepala mangsa dengan acuan muruku dan senduk nasi selain menumbuk kanak-kanak itu di bahagian belakang badan.
 
Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai kesan parut lama di kepala, dada dan tangan serta sedikit parut berdekatan mata kiri selain di pergelangan tangan.

Terdahulu, Nirmala merayu bagi pihak Rajasegaran supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mendakwa tertuduh memukul anaknya dengan tujuan mengajar mangsa selepas mendapati kanak-kanak itu cuba memotong paip gas.
 
Wanita itu berkata anaknya juga tidak mengalami kecederaan parah.
 
Dalam perkembangan lain, Rajasegaran dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan berkahwin dengan Nirmala ketika isterinya, E.Citra, 21, masih hidup.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 9, Lorong 51, Taman Ria 6, Kapar, Klang pada 15 Dis 2011 mengikut Seksyen 494 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
 
Bagaimanapun, Rajasegaran mengaku tidak bersalah dan Ng menetapkan 20 Feb ini sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. - Bernama

19 maut kereta api Mesir tergelincir

19 maut kereta api Mesir tergelincirLaporan NileTV yang menunjukan keadaan salah satu gerabak kereta api yang tergelincir.
KAHERAH - Kereta api yang membawa anggota keselamatan Mesir tergelincir dari landasan lalu terbabas di Giza awal hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan 107 yang lain.

Pengerusi Lembaga Kereta Api Kebangsaan, Hussain Zakaria berkata, kereta api yang membawa anggota Central Security itu dalam perjalanan dari Assiut menuju Kaherah apabila sebahagian roda kereta api tergelincir sekitar 8 pagi waktu tempatan.

Kemalangan itu berlaku selepas dua gerabak terpisah dari keseluruhan bahagian kereta api itu, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Mohammed Shahat yang dipetik laporan EGYNews.

Sementara itu, video yang disiarkan oleh petugas media Nile TV menunjukkan bahagian depan kereta api yang hancur dan keadaan salah satu gerabak tersadai di luar landasan serta dikerumuni penduduk tempatan.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa kemalangan yang terselamat, Ali Abdul Rahman berkata, kejadian itu berlaku di Stesen Badrasheen di bandar selatan Kaherah.

Mengulas perkara sama, Ketua Perkhidmatan Ambulans Mesir, Dr Mohammed Sultan berkata, bilangan yang cedera dalam kejadian itu dijangka meningkat.

Beliau memberitahu EGYNews terdapat 66 ambulans ditempatkan di lokasi kejadian untuk urusan membawa penumpang yang cedera dan meninggal dunia.

Kemalangan kereta api maut bukan perkara luar biasa di Mesir.

November lalu, seramai 51 penumpang meninggal dunia manakala 17 yang lain cedera apabila kereta api merempuh sebuah bas di Assiut, sebuah bandar yang terletak kira-kira 320 kilometer di selatan Kaherah.

China dilanda jerebu teruk



Beberapa kanak-kanak beratur untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital ekoran jerebu teruk di Beijing, kelmarin. - AFP
BEIJING 14 Jan. - Pihak berkuasa China memberi amaran kepada pihak sekolah agar menjalankan aktiviti di dalam kelas bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada jerebu teruk yang boleh membahayakan kesihatan mereka.
Amaran itu dikeluarkan selepas pihak hospital melaporkan sejumlah kes kesesakan nafas disebabkan masalah pencemaran udara yang paling teruk pernah berlaku sejak kerajaan China bersikap lebih terbuka untuk memaklumkan maklumat tentang kualiti udara di negara ini.
Pihak berkuasa Beijing, yang mula menyiarkan data tentang pencemaran udara sejak awal tahun lalu, mengarahkan kilang supaya mengurangkan tahap pengeluaran asap dan mengambil langkah menyembur air di kilang bagi mengurangkan tahap debu dan kotoran yang tersebar di bandar raya ini.
Pihak sekolah di beberapa daerah turut diarah membatalkan aktiviti luar kelas seperti upacara menaikkan bendera dan kelas sukan.
Pihak berkuasa Beijing turut menasihati penduduk agar mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan tahap kesihatan mereka tidak terjejas akibat pencemaran udara.
Dalam pada itu, pihak hospital Beijing Shijitan menerima pertambahan 20 peratus pesakit yang menghadapi masalah pernafasan berbanding hari biasa.
Pakar di bahagian kesihatan pernafasan hospital berkenaan, Dr. Huang Aiben berkata, kebanyakan pesakit mengalami masalah batuk, asma dan beberapa penyakit berkaitan masalah pernafasan.
"Penduduk terdedah kepada bahaya jangkitan kuman sekiranya menyedut udara yang tercemar pada tahap tinggi dalam tempoh pendek.
"Mereka juga boleh mengalami penyakit tumor jika terdedah kepada pencemaran tersebut dalam tempoh yang lama," jelasnya.
Masalah pencemaran udara menjadi isu besar di China ekoran pembangunan pesat dalam bidang industri, kebergantungan terhadap tenaga arang batu, peningkatan mendadak jumlah pengguna kereta dan sikap pelbagai pihak tidak mempedulikan undang-undang alam sekitar. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130115/lu_06/China-dilanda-jerebu-teruk#ixzz2I3SF60Ir
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu mangsa mahu suspek rogol digantung



AKTIVIS India membakar patung sebagai simbolik membantah terhadap kejadian rogol berkumpulan dan bunuh ke atas seorang pelajar perubatan wanita di New Delhi, semalam. - AFP
NEW DELHI 14 Jan. - Ibu kepada mangsa rogol berkumpulan yang mencetuskan bantahan di seluruh India, mahu suspek yang merogol dan membunuh anaknya dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Ibu berusia 46 tahun itu berkata, jiwanya tidak akan tenteram selagi kesemua suspek yang 'menyeksa' anaknya tidak digantung.
"Sewaktu sedang kritikal di hospital, dia masih mampu berbisik kepada saya supaya mereka (perogol) semua dibakar hidup-hidup," katanya kepada The Sunday Telegraph ketika dihubungi dari kediamannya di Medawara Kalan, Uttar Pradesh.
Menurut ibu itu lagi, anak perempuannya itu ibarat nyawanya.
Dalam kejadian pada 16 Disember lalu itu, mangsa yang merupakan pelajar perubatan dirogol dan dipukul oleh enam lelaki, selepas dia bersama rakan lelakinya menaiki sebuah bas.
Pelajar itu mengalami kecederaan teruk, manakala rakan lelakinya gagal menolongnya kerana cedera dan patah kaki akibat dipukul suspek.
Minggu lalu, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Akhilesh Yadav telah menyerahkan wang sebanyak 26,000 pound (RM126,632) kepada keluarga tersebut sebagai ganti rugi atas kematian anak mereka.
Bagaimanapun, ibu itu berkata, dia tidak berminat dengan wang tersebut, tetapi ingin melihat kesemua suspek yang terlibat merogol anaknya dihukum mati.
"Saya hanya mahu satu perkara. Saya mahu melihat kesemua 'binatang' itu digantung," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130115/lu_04/Ibu-mangsa-mahu-suspek-rogol-digantung#ixzz2I3RjjJKZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hilang RM50,000, Lisa Surihani serah pada polis



lisa surihani
Lisa Surihani
PELAKON wanita popular, Lisa Surihani menyerahkan kes kehilangan wang dipercayai RM50,000 kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Laporan media tempatan hari ini mengatakan Lisa dan ibunya, Siti Amira Ahmad mengalami kerugian apabila kad ATM mereka disalahgunakan oleh pihak ketiga.
Mereka telah merujuk perkara itu kepada pihak bank sebelum diberitahu kad ATM mereka sudah tidak boleh digunakan kerana telah ditukar oleh orang lain.
Lisa dan ibunya sudah membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang dari akaun banknya itu,  Jumaat lalu.
“Saya dapat tahu pagi 11 hari bulan (Jumaat lalu) dan kami sudah pun membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada hari itu juga,” kata ibu Lisa kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi.
Buat masa ini, Lisa tidak boleh mengeluarkan sebarang komen berikutan perkara ini sudah menjadi kes polis.
“Kami tak boleh komen apa-apa sebab ini kes polis. Kami sudah serahkan kepada polis untuk menyiasat sepenuhnya,” katanya.

152,000 murid terjejas pemandu bas sekolah mogok



NEW YORK 15 Jan. - Pemandu-pemandu bas sekolah di New York merancang mengadakan tunjuk perasaan esok, menyebabkan kira-kira 152,000 murid-murid di bandar raya ini terpaksa menggunakan pengangkutan lain untuk sampai ke sekolah tepat pada waktunya.
Kesatuan pemandu bas semalam mengumumkan untuk mengadakan tunjuk perasaan, selepas gagal mencapai kata persetujuan dengan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, berhubung soal keselamatan kerja.
Tunjuk perasaan itu turut disertai oleh petugas yang mengawasi murid-murid sekolah ketika mereka menaiki dan turun dari bas. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130115/lu_12/152000-murid-terjejas-pemandu-bas-sekolah-mogok#ixzz2I3R0EVkR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seorang pengguna dakwa muntah-muntah selepas jamah coklat berkulat, berulat



Seorang pengguna dakwa muntah-muntah selepas jamah coklat berkulat, berulat
Mohd Khairi menunjukkan coklat berjenama berkulat yang dibelinya dari sebuah pasar raya.
KULAIJAYA – Seorang pengguna mendakwa trauma untuk makan coklat selepas mengalami muntah-muntah akibat menjamah makanan ringan itu yang sudah berkulat dan berulat.

Mohd Khairi Awang, 52, berkata, dia membeli coklat itu pada minggu lalu di sebuah pasar raya berhampiran kediamannya, sebelum menikmati makanan manis berkenaan bersama rakan-rakan pada keesokan harinya.

“Ketika makan coklat berkenaan dalam keadaan gelap pada waktu malam, kami tidak nampak coklat itu sememangnya sudah berkulat.

“Sebaik sahaja menjamah coklat itu, kami dapati rasanya sedikit pelik dan segera beredar ke tempat lebih terang untuk memastikan kondisi coklat yang dimakan.

“Selepas itu, barulah kami perasan bahawa coklat itu sudah berkulat dan terdapat sejenis serangga seperti kumbang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Khairi berkata, kejadian itu menyebabkannya bersama rakan-rakan muntah-muntah.

Dia berasa kesal dengan perkara yang berlaku memandangkan tarikh luput yang tertera pada coklat berkenaan adalah berakhir pada Julai tahun ini.

“Sebelum membeli sebarang produk makanan, saya akan sentiasa pastikan tarikh luputnya terlebih dahulu agar tidak membeli barangan yang sudah tamat tempoh.

“Bagaimanapun, saya kesal dengan perkara yang berlaku kerana pengeluar coklat berkenaan turut mendapat pensijilan ISO.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan pengguna, malah turut menyebabkan saya trauma untuk menjamah makanan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, dia telah mengemukakan aduan di pasar raya berkenaan seterusnya menghubungi dan mengingatkan syarikat pengeluar coklat untuk menjaga kualiti produk supaya perkara sama tidak berulang.

“Saya berharap pendedahan ini dapat memberi pengajaran kepada syarikat pengeluar makanan agar mereka sentiasa menjaga kualiti produk masing-masing,” katanya.

Pengantin baru sogok pegawai polis RM50,000



Lelaki dicekup kes dadah sanggup rasuah polis
Paramasivam (kiri) bersama pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Faizal Fauzi (tiga, kanan) menunjukkan sebahagian heroin yang dirampas pada media, semalam.
IPOH - Sudahlah dicekup akibat dadah, seorang lelaki cuba menyogok pegawai polis RM50,000 bagi melepaskan diri ketika serbuan di Jalan Sultan Azlan Shah, Medan Bestari di sini, Rabu minggu lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, suspek berusia 24 tahun yang berasal dari Waller Court itu ditahan oleh Jabatan Narkotik Bukit Aman dan Negeri berdasarkan maklumat orang awam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, pihaknya berjaya merampas ketulan heroin seberat 2.29 kilogram bernilai RM100,000 dalam sebuah beg silang.

“Semasa tangkapan, suspek merayu dilepaskan dengan alasan baru kahwin dan memberi wang secara berperingkat berjumlah RM50,000 termasuk emas isterinya berjumlah RM5,000.

“Walaupun beberapa peringatan diberikan kepada suspek, dia tetap ingin beri rasuah. Suspek ditangkap kerana cuba merasuah selain mengedar dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

Menurutnya, hasil penangkapan lelaki berkenaan, polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan rumah pangsa Waller Court serta bandar raya ini.

“Kita percaya sindiket ini mempunyai 10 ahli dan kita akan menyiasat serta menjejaki ahli sindiket ini. Hasil siasat mendapati suspek mempunyai rekod lampau memiliki dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Paramasivam turut menasihatkan orang ramai untuk tidak takut memberi maklumat berhubung kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Kita akan sentiasa melindungi dan menyimpan rahsia pemberi maklumat. Mereka perlu berasa yakin dan percaya kepada pihak polis,” katanya.

Kanak-kanak lelaki trauma dikejar anjing



Kanak-kanak lelaki trauma dikejar anjing
Ismail menunjukkan luka yang dialami Adam Danial terutamanya di kepala setelah terjatuh dikejar anjing.
BATU PAHAT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Kampung Parit Sempadan, Parit Raja, di sini, trauma sehingga takut ke sekolah dan pergi mengaji.

Situasi itu berlaku selepas dia, Adam Danial Zambri, terjatuh hingga menyebabkannya cedera di leher dan muka kerana mahu menyelamatkan diri daripada dikejar anjing, minggu lalu.

Bapa saudara mangsa, Ismail Samuri, 47, berkata, mangsa membonceng  motosikal yang ditungganginya bersama anaknya Mohd Nur Al-Iman Ismail, 11,  dalam kejadian jam 9.30 malam itu.

Menurutnya, semasa kejadian, dia yang cemas melihat kelibat anjing berkenaan memecut motosikalnya pulang ke rumah bagi mengelakkan haiwan liar berkenaan menerkam mereka.

“Saya semakin bimbang kerana anjing itu bertindak agresif dengan mengejar kami kira-kira 100 meter sehingga saya gagal mengawal motosikal dan terbabas. Dalam keadaan cedera, saya dapat melihat anjing yang berada pada jarak lima meter itu masih menunggu kami.

“Saya percaya anjing liar itu digunakan untuk menjaga ladang kelapa sawit yang terletak di kampung ini dan saya harapkan haiwan berkenaan tidak perlu ada di sini yang penduduknya 100 peratus Melayu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ismail berkata, dia nekad dan segera bangun bagi melindungi Adam Danial yang pada ketika itu sangat hampir dengan anjing berkenaan yang bertambah agresif mahu menyerang mereka.

Tambahnya, nasib mereka baik kerana haiwan liar itu lari ke arah ladang sawit berhampiran setelah dihalau dengan membaling batu beberapa kali.

30 minit pujuk jangan terjun



30 minit pujuk jangan terjun
Lelaki warga Nepal (dalam bulatan) memanjat sebuah menara ketika cubaan terjun membunuh diri.
KAMUNTING – Seorang lelaki warga Nepal bertindak memanjat sebuah menara dipercayai untuk membunuh diri berhampiran asrama sebuah kilang di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penguasa Bomba Kanan, Dolah Samino Koromo berkata, lelaki berumur lingkungan30-an itu difahamkan seorang operator di kilang berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 12.35 tengah hari sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika itu mangsa berada di atas menara terbabit dengan ketinggian 20 meter dan cuba untuk membunuh diri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memujuk lelaki berkenaan supaya turun dan akhirnya berjaya.

“Lelaki itu dipercayai mempunyai masalah peribadi dan mental yang menyebabkan dia nekad untuk membunuh diri,” katanya.

Dolah berkata, lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

“Biar polis bawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaanlanjut,” katanya.

Remaja ditemui mati tergantung



BESUT - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemui mati tergantung di rumah keluarganya di Kampung Gong Duek, Hulu Besut di sini semalam, kerana dikatakan tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya berikutan pembabitannya dalam penagihan dadah.

Perkara itu diketahui selepas ahli keluarganya membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disimpan mangsa dalam telefon bimbitnya selepas kejadian.
Kejadian itu disedari bapa mangsa yang berusia 46 tahun ketika bangun dari tidur untuk ke tandas kira-kira jam 4 pagi.

Difahamkan bapanya melihat mangsa sedang tergantung berhampiran bilik air lalu dibantu abang mangsa membuka simpulan tali dan menurunkannya.

Bapa mangsa kemudian memaklumkan kepada polis dan mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian dan memberitahu hasil bedah siasat mendapati tulang tengkuk mangsa patah akibat jerutan tali pada leher dan tiada kesan kecederaan lain.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang lelaki pembantu kedai roti berusia 34 tahun yang dalam kemurungan juga ditemui mati tergantung di rumahnya di Kampung Cherang Meliling, Hulu Besut kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian kedua ini.

Kes saman fitnah Rosli Dahlan terhadap The Star selesai luar mahkamah



14 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah oleh peguam Rosli Dahlan terhadap pemilik dan penerbit akhbar The Star, Star Publications (Malaysia) Bhd, dan dua lagi berhubung laporan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lima tahun lalu, diselesaikan di luar mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamad Hashim hari ini merekodkan penghakiman persetujuan itu melalui proses mediasi dihadiri peguam Chetan Jethwani yang mewakili Rosli dan Yee Mei Ken bagi pihak Star Publications, Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Meja Jenayah The Star, Datuk Lourdes Charles selaku defendan.
Kes yang sepatutnya didengar di hadapan Hakim Hew Siew Keng hari ini ditarik balik.
Kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah berdasarkan terma penyelesaian yang diperintahkan secara persetujuan menyatakan bahawa dalam masa satu hari ketiga-tiga defendan akan menerbitkan satu pernyataan permohonan maaf pada esok.
Selain itu semua defendan, dalam masa tujuh hari daripada perintah itu, akan membayar sejumlah ganti rugi kepada tiga pertubuhan amal pilihan plaintif, di mana jumlah ganti rugi yang dibayar adalah sulit.
Terma tersebut turut menyatakan plaintif menarik balik tindakan ini tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan plaintif akan melepaskan sebarang tuntutan dan/atau kausa tindakan terhadap defendan dalam perkara ini.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan 21 Okt 2009, peguam tersebut mendakwa artikel yang disiarkan oleh defendan pada 12 dan 13 Okt 2007 yang bertajuk: 'ACA Arrest Singapore Lawyer' dan 'Lawyer Charged With Hiding Information On His Assets' adalah tidak benar.
Beliau menyifatkan dua laporan itu mengandungi fitnah apabila memberikan gambaran bahawa beliau adalah rakyat asing dan mendakwa akhbar itu gagal mengesahkan fakta laporannya termasuk hakikat bahawa beliau sebenarnya adalah rakyat Malaysia.
Menurutnya, laporan itu menyebabkan kegelisahan dan keaiban kepada beliau dan keluarganya serta kehilangan klien guamannya.
Beliau turut mengemukakan tuntutan saman ke atas tiga defendan tersebut iaitu bayaran ganti rugi am, ganti rugi teruk/atau teladan, faedah, kos, permintaan maaf tanpa syarat dan perintah lanjut yang dianggap wajar oleh pihak mahkamah. - Bernama

Tahanan lolos: 2 dikesan di Kg Pelet



Tahanan lolos: 2 dikesan di Kg Pelet
Abdul Rahim Hanafi menunjukkan dua banduan yang masih bebas, semalam. - Foto Bernama
KEPALA BATAS - Polis Pulau Pinang mengesan dua lagi baki tahanan yang lolos dalam kejadian Isnin lepas, Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, di Kampung Pelet, Penanti dekat sini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis mendapat maklumat daripada penduduk setempat memaklumkan melihat dua tahanan terbabit membeli makanan di kawasan Kampung Pelet pada 5.30 petang.
"Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat yang dimaklumkan dan ketika kita sampai mereka telah melarikan diri ke kawasan hutan di sekitar situ.
"Saya mengarahkan 28 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat penggeledahan dan pemeriksaan dalam hutan bagi mengesan dua tahanan terbabit," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan petugas polis yang terlibat dalam Operasi Kesan Gelugor, di sini hari ini.
Katanya, polis juga mengubah kawasan operasi dan menumpukan kawasan Penanti dan Kubang Semang kerana percaya dua tahanan terbabit masih bersembunyi di situ.
"Kita turut memindah Markas Operasi Kesan Gelugor daripada Balai Polis Tasek Gelugor ke balai (polis) Kubang Semang bagi melancarkan operasi memburu dua tahanan terbabit dan saya percaya kita dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat," katanya.
Abdul Rahim berkata, dua tahanan itu bergerak bersama dan sedang mengesan rakan-rakan mereka yang memberikan makanan dan wang.
Katanya, polis juga mendapat maklumat dua penjenayah terbabit pernah pulang ke rumah keluarga masing-masing, tetapi keluarga mereka tidak mahu memaklumkan perkara itu kepada polis.
Beliau berkata, polis juga akan mengadakan pertemuan dengan penjara bagi mencari kaedah terbaik membuat pemeriksaan secara terperinci terhadap tahanan yang akan dibawa ke mahkamah.
"Hasil siasatan terhadap tiga tahanan terbabit, mereka mendapat serbuk perencah kari mee segera dari penjara yang ditaburkan ke mata polis dalam kejadian Isnin lepas," katanya.
Pada Sabtu, polis memberkas semula Mohd Farid Akhtar, 24, di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri kepada polis ketika ditemui di Pasar Awam Penanti dan Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, pula ditahan dalam sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam pada pagi Ahad.
Dalam kejadian 9 pagi Isnin lepas, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. - Bernama

Pathma arah bunuh pemandu Sosilawati



Kes Sosilawati: Peguam mahu sepina 3 timbalan
Kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya
SHAH ALAM - Tertuduh keempat kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa N. Pathmanabhan mengarahkannya memegang pemandu jutawan kosmetik itu dari arah belakang selepas diberitahu lelaki itu hendak memukul bekas peguam tersebut.
R. Kathavarayan, 32, berkata, tindakannya memegang pemandu Sosilawati menyebabkan mereka bergelut sehingga terjatuh atas kerusi dalam sebuah bilik karaoke di Ladang Gadong.
"Kemudian, tangan pemandu itu telah diikat guna tali pinggang sebelum dia disuruh duduk dan dipukul kira-kira tiga kali," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Hasshahari Johari Mawi, yang dilantik mahkamah bagi menggantikan peguam Ravi Nekoo, yang telah menarik diri daripada mewakilinya.
Kathavarayan, 32, diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, dan R.Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.    
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Kathavarayan berkata Pathmanabhan bersama sembilan individu termasuk Sosilawati, pemandunya, seorang peguam dan seorang pengurus bank datang ke ladang pada kira-kira 7 petang, 30 Ogos 2010, menaiki tiga kereta dan merekakemudian mengadakan perbincangan di sebuah bilik karaoke yang terletak di ladang berkenaan.
"Kira-kira setengah jam kemudian, saya dengar bunyi jeritan dan bunyi seperti berlaku pergaduhan. Bila saya buka pintu bilik itu, saya dapati pemandu Sosilawati sedang pegang gelas di tangannya dan sedang bergaduh dengan Pathmanabhan," katanya.
Kathavarayan berkata, selepas diikat dan dipukul, pemandu Sosilawati kemudian dibawa ke sebuah kawasan berhampiran bilik karaoke sebelum dia diarah duduk berlutut dan dipukul lagi dalam tempoh masa lama.
Tertuduh keempat berkata dia kemudian mendengar Pathmanabhan mengarahkan Thilaiyalagan untuk 'menghabiskan' pemandu itu dan ketika ditanya Hasshahari apa maksud 'menghabiskan', Kathavarayan menjawab "bunuh."
"Daripada siapa arahan dikeluarkan," soal Hasshahari.
"Pada mulanya, Pathmanabhan bercakap-cakap dengan Sosilawati dan saya nampak Sosilawati ada beritahu sesuatu pada Pathmanabhan, dan kemudian Pathmanabhan telah suruh Thilaiyalagan habiskan," katanya.
Kathavarayan berkata, Pathmanabhan kemudian berbincang berhubung arahan untuk 'habiskan' pemandu Sosilawati dengan seorang lelaki yang datang bersama lapan individu lain ke ladang berkenaan sebelum peguam itu menghampiri dan memarahi mereka.
"Dia (peguam) cakap kenapa nak bunuh dia (pemandu), kalau nak, pukul sahajalah atau serah pada polis. Peguam itu seterusnya bergaduh dengan Pathmanabhan. Thilaiyalagan kemudian telah pukul peguam itu kerana telah bercakap kasar dengan Pathmanabhan, dan Pathmanabhan beri arahan untuk ikat peguam lelaki itu.
"Pathmanabhan kemudian suruh peguam itu buat panggilan ke rumahnya, dan beritahu dia tidak akan pulang ke rumah selama tiga hari. Peguam itu hubungi rumahnya seperti disuruh dan beritahu supaya jaga anak-anaknya," katanya.
Tertuduh berkata, peguam itu kemudian dibawa ke satu kawasan di ladang di mana Pathmanabhan sekali lagi mengarahkan Thilaiyalagan untuk 'menghabiskannya'.
Kathavarayan berkata, dia cuba menghalang Pathmanabhan daripada berbuat demikian ke atas peguam itu, tetapi Pathmanabhan meminta dia supaya tidak campur tangan dan meninggalkan kawasan tersebut.
"Saya kemudian dimaklumkan oleh Thilaiyalagan bahawa pemandu Sosilawati, peguam itu dan beberapa lelaki yang datang ke ladang telah dibawa ke ladang ketiga yang terletak selang satu ladang dari Ladang Gadong," katanya.
Tertuduh keempat berkata, pada keesokan harinya (31 Ogos 2010), Pathmanabhan memberitahu bahawa dia kesuntukan masa dan sekali lagi telah mengarahkan Thilaiyalagan supaya 'menghabiskan' pemandu Sosilawati dan peguam berkenaan.  
"Thilaiyalagan telah bawa pemandu Sosilawati ke kawasan berhampiran pintu kandang kambing dan tidak berapa lama kemudian Thilaiyalagan beritahu Pathmanabhan "selesai". Bila Thilaiyalagan cakap selesai, saya nampak pemandu itu terbaring," katanya.
"Sebelum dibawa ke sana, apa berlaku kepada pemandu itu," soal Hasshahari.
"Dia tidak pakai baju dan tangannya diikat. Ketika saya nampak Thilaiyalagan dan Matan angkat pemandu itu, saya cuma nampak badannya basah, rambut pun basah dan tiada sebarang pergerakan," katanya.      
Kathavarayan berkata, dia kemudian melihat Thilaiyalagan memasukkan kepala peguam berkenaan ke dalam takungan air yang dibina sendiri di ladang itu, dan disebabkan tidak sampai hati melihat kejadian tersebut, dia telah balik ke rumahnya.
Tertuduh keempat berkata, dia kemudian keluar ke pekan Banting, dan sebelum meninggalkan kawasan ladang, dia ternampak tiga lelaki terbaring di kawasan bersebelahan dengan longgokan kayu api yang telah disusun oleh Thilaiyalagan, Matan dan seorang lelaki India.
"Siapa yang awak nampak terbaring," soal Hasshahari.
"Yang saya ingat salah seorang ialah peguam, pemandu dan seorang lagi saya tidak tahu. Dari tempat saya berdiri, saya hanya boleh lihat tiga orang sahaja, saya tidak pasti kalau ada orang lain," katanya.
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - Bernama