Search This Blog

Monday, January 14, 2013

Kanak-kanak maut dimakan binatang buas


KATHMANDU 14 Jan. - Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipercayai dimakan oleh binatang buas ditemukan berhampiran rumahnya di daerah Mahottari, semalam.
Menurut pegawai polis Jaya Narayan Yadav, kanak-kanak malang itu dikatakan bermain berseorangan di kawasan ladang tebu sebelum diserang binatang buas kelmarin.
"Mangsa mungkin diserang dan dimakan oleh binatang buas berdasarkan bekas gigitan dan luka yang dialaminya," kata Yadav. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130114/lu_07/Kanak-kanak-maut-dimakan-binatang-buas#ixzz2HxeUQahh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peniaga ikan kena kompaun


Peniaga ikan kena kompaun
Kakitangan pejabat PDNKK menjalankan operasi di Pasar Malam Bandar Bera, dekat sini
BERA – Akibat menggunakan penimbang yang tidak disahkan, dua peniaga ikan di pasar malam dekat Bandar Bera dikenakan kompaun berikutan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Kedua-dua peniaga berusia lewat 30-an yang menjalankan perniagaan di sudut  tepi tapak pasar malam itu turut diberi amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga kepada pengguna.

Ketua Cawangan, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), Abd Mubin Ahmad berkata, peniaga itu boleh didenda sehingga RM4,000 kerana kesalahan terbabit.

Menurutnya, alat timbang perlu disahkan setiap 12 bulan bagi memastikan ketepatan alat penunjuk angka.

“Jika alat timbang gagal disahkan, kemungkinan akan ketidakseimbangan yang merugikan peniaga dan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan pemeriksaan di pasar malam itu, semalam.

Justeru, beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi arahan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

Abd Mubin berkata, operasi itu seiring dengan pelaksanaan gaji minimum yang diumumkan kerajaan bermula 1 Januari lalu bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang..

Katanya, pada operasi yang bermula kira-kira jam 6.30 petang itu, pihaknya turut memberi amaran kepada peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga.

“Peniaga mesti pamer tanda harga bagi membolehkan pengguna mengetahui harga pasaran selain mengelak peniaga dikenakan tindakan sekiranya gagal berbuat demikian.

“Operasi ini akan dilakukan berterusan termasuk di pasar pagi, pasar malam atau pasar setiap Sabtu dan Ahad di seluruh daerah ini,” katanya.

Kakitangan bank maut langgar kerbau

Muhammad Faiz Mohd Zawawi
Muhammad Faiz Mohd Zawawi

DUNGUN – Hasrat seorang kakitangan bank untuk membeli kereta baru selepas beberapa tahun berkhidmat tidak kesampaian, apabila dia menemui ajal selepas melanggar seekor kerbau, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika Muhammad Faiz Mohd Zawawi, 27, yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari Felda Jerangau ke tempat kerjanya di Al Muktafi Billah Shah.

Sampai di kilometer 57 Jalan Jerangau-Jabor, kakitangan Bank CIMB itu dikatakan telah melanggar seekor kerbau melintas jalan.

Mangsa yang baru bertugas enam bulan di Bank CIMB Al Mukhtafi Billah Shah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, malam sebelum kejadian, arwah tidak pulang ke rumah kerana tidur di rumah rakannya yang baru melangsungkan perkahwinan.

Dia dikatakan bertolak dari rumah rakannya di Felda Jerangau awal pagi, sebelum terbabit dengan kemalangan yang meragut nyawanya.

Sementara itu, menurut abang arwah, Farid Zawawi, 29, adik lelakinya yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai kredit di Bank CIMB cawangan Dungun dan Paka itu, beria-ia membeli kereta baru untuk berulang alik ke tempat kerjanya.

“Mengikut rancangan, dia mahu membeli kereta awal tahun ini, tak sangka pula hasratnya itu tidak kesampaian," katanya yang ditemui ketika menuntut jenazah arwah adiknya di Unit Forensik Hospital Dungun.

Jenazah arwah yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik dibawa pulang untuk urusan pengebumian di kampung ibu bapanya dekat Bukit Payung, Marang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan masih menyiasat berkenaan insiden terbabit.

Pendatang asing: RCI Sabah mula siasatan




14 Januari 2013
Tan Sri Steve Shim Lip Kiong
Tan Sri Steve Shim Lip Kiong
KOTA KINABALU - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah memulakan pendengaran awam di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Anggota panel itu juga terdiri daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas peguam besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping.
Shim membacakan terma-terma rujukan siasatan bagi menyiasat antara lain jumlah pendatang di Sabah yang telah mendapat kad pengenalan biru atau kewarganegaraan, sama ada pengeluaran kad pengenalan atau kewarganegaraan di Sabah adalah selaras mengikut undang-undang, sama ada pendatang yang memiliki kad pengenalan biru atau resit pengenalan sementara (biru) kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang didaftarkan sebagai pengundi, dan sebab-sebab peningkatan jumlah penduduk Sabah.
Manoj Kurup, Datuk Azmi Ariffin dan Jamil Aripin dari Jabatan Peguam Negara dilantik sebagai pegawai pengendali yang akan membantu suruhanjaya menyoal saksi-saksi.
Dalam kenyataan pembukaannya, Manoj berkata pegawai-pegawai pengendali akan mengemukakan keterangan dari perspektif sejarah daripada saksi-saksi yang mempunyai kepakaran dalam sejarah dan antropologi.
Beliau berkata saksi-saksi daripada pelbagai jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Perangkaan dan Pejabat Ketua Menteri Sabah akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Manoj berkata, bekas tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 juga akan dipanggil berhubung perkara-perkara berkaitan dengan pengeluaran dokumen pengenalan.
Beliau berkata, keterangan juga akan dikumpulkan daripada individu-individu dari beberapa negara seperti Filipina, India, Pakistan dan Indonesia, yang memiliki pelbagai dokumen yang digunakan untuk pengenalan seperti 1MM-13, permit masuk, kad pengenalan hijau dan biru.
Pemastautin tetap dan malah warganegara juga akan disoal mengenai bagaimana mereka boleh memiliki dokumen pengenalan atau bagaimana mereka memperoleh status sekarang, katanya, sambil menambah bahawa keterangan yang dikumpulkan ahli-ahli politik dan pengarang juga akan dicari.
Mengenai implikasi sosial hasil pengeluaran kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada pendatang, beliau berkata, pegawai-pegawai pengendali juga merancang untuk memanggil saksi-saksi daripada pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran. - Bernama

Musnah 856 mesin judi



NORFARHIZA MOHD ATAR
14 Januari 2013
Musnah 856 mesin judi
Mohd Pauzi (duduk) disaksikan Abdul Razak (berdiri) menggunakan jengkaut untuk melupuskan barang kes berkaitan jenayah perjudian di sini, semalam.
KUALA LIPIS - Sebanyak 856 unit komputer dianggarkan bernilai RM72,100 yang dirampas dalam serbuan di beberapa premis sekitar Kawasan Industri Kechau, Pekan Benta dan Bandar Lipis sejak pertengahan tahun lalu dimusnahkan, semalam.

Setiausaha Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd Pauzi Abu Hussaini berkata, mesin perjudian berkomputer terbabit merupakan sebahagian daripada barang rampasan hasil daripada 28 serbuan yang diadakan di sekitar daerah ini sejak Julai tahun lalu hingga awal Januari tahun ini.

“Sepanjang tujuh bulan operasi ini dilakukan, pihak kami telah mencatatkan rampasan mesin judi berkomputer sebanyak 2,040 unit bernilai RM156,300 dan sebahagian daripada mesin judi yang tidak dituntut oleh pemilik telah dilupuskan pada hari ini (semalam),” katanya.

“Serbuan ini dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid)," katanya selepas Majlis Pelupusan Barang-barang Sitaan MDL Di Bawah Enakmen Hiburan Pindaan 2006 (Enakmen No.5) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, polis dengan kerjasama beberapa agensi lain daripada PBT dan Paid akan terus menjalankan serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian daripada terus berleluasa di daerah ini.

Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap pihak yang terlibat menjalankan kegiatan tersebut.

“Pada masa sama, orang ramai harus sedar tentang bahaya judi dan mengelak terlibat dalam kegiatan ini kerana jika tiada permintaan terhadap aktiviti tersebut pastinya pengusaha pusat perjudian akan gulung tikar,” katanya.

Khalwat: Pemuda beri alasan rehat selepas penat bersiar-siar



khalwat
Pegawai Penguatkusa Jaij Batu Pahat memeriksa pasangan yang ditahan dalam serbuan berkenaan.
BATU PAHAT – Seorang pemuda memberi alasan datang ke hotel kerana hanya mahu berehat setelah penat bersiar-siar di sekitar bandar di daerah ini selepas ditangkap khalwat bersama pasangannya.

Pasangan terbabit dicekup oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Daerah Batu Pahat, di sebuah hotel di sini selepas pihak berkuasa melakukan operasi mencegah maksiat.

Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, mereka terpaksa menunggu lama selepas pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Menurutnya, selepas pintu bilik dibuka, pemeriksaan awal mendapati hanya seorang lelaki berada di dalam bilik itu, manakala wanita terbabit dipercayai bersembunyi di dalam tandas.

“Lelaki terbabit yang bekerja di Negeri Sembilan itu hanya mampu tersenyum pada mulanya apabila ditanya mengenai status hubungan mereka. Dia kemudiannya memberikan pelbagai alasan termasuklah hanya berehat sahaja.
“Pasangan berusia lingkungan 20an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguatkuasa mendesak untuk memecah pintu, barulah pasangan terbabit membukanya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam tandas bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Saiful berkata, pasangan terbabit ditahan untuk dokumentasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

“Pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan yang dilakukan itu. Tangkapan ini sebagai pengajaran kepada orang ramai.

“Operasi yang dilakukan ini adalah untuk terus membendung perbuatan sumbang yang semakin membimbangkan di kalangan anak-anak muda yang semakin banyak sejak akhir-akhir ini.
 “Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

Dicekup buang sampah



Dicekup buang sampah
Mohamad (dua, kanan) menahan lelaki yang didapati membuang sampah secara haram di Taman Bukit Teratai.
AMPANG - Seorang lelaki tertangkap setelah langsung tidak menyedari dirinya diperhatikan penduduk setempat ketika membuang sampah secara haram di Jalan Teratai 2/6, Taman Bukit Teratai, di sini.
Lelaki yang dikenali sebagai Tam itu ditangkap sendiri oleh Jawatankuasa Penduduk Zon 23 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Ahli Majlis Zon 23 MPAJ, Mohamad Samat berkata, sebaik sahaja melihat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, penduduk terus menahan lelaki terbabit bersama van dipenuhi sampah dan barang-barang yang ingin dibuangnya.

“Ini merupakan tangkapan kali pertama di dalam kawasan Teratai setelah masalah sampah haram di Ampang antara agenda sering dibangkitkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan memerlukan penyelesaian di peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian selepas
menyerahkan lelaki tersebut kepada penguatkuasa MPAJ.

Mohamad berkata, individu yang melakukan kesalahan seperti itu perlu dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa membelanjakan kira-kira RM40 juta untuk mengatasi masalah berhubung kebersihan di Ampang.

Katanya, sikap masyarakat seperti itu menjadi punca kepada permasalahan sampah haram yang sukar ditangani PBT.

Sementara itu, seorang penduduk, Puah Bok Yong mendakwa, lokasi pembuangan sampah haram itu diwujudkan oleh seorang penduduk di situ.

“Saya telah menegur penduduk tersebut supaya tidak mengulangi perbuatan itu kerana ia akan menjadi ikutan orang lain selain mengundang pelbagai masalah seperti pembiakan tikus dan longkang tersumbat,” katanya.

7 kereta dibakar angkara khianat



bakar kereta
Seorang pemilik kereta yang hangus, Ronie Lim memerhatikan keretanya yang musnah dalam kebakaran di tingkat tiga parkir Flat Taman Jade, Bukit Gambir awal pagi semalam
GEORGETOWN - Tujuh kereta yang diletakkan di tingkat tiga parkir Flat Taman Jade, Bukit Gambir di sini, hangus dalam kebakaran dipercayai perbuatan khianat, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian pada jam 5 pagi itu memusnahkan kereta jenis Honda City, Proton Satria dan dua Perodua Myvi sementara tiga lagi kereta jenis Proton Waja, Proton Iswara serta Proton Wira mengalami kerosakan kecil.

“Siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca dari kereta Honda City kerana terdapat kesan simbahan bahan bakar ke atas badan kenderaan itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

157 Pati dicekup operasi Imigresen di Melaka, Seremban



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN & HAMIZAH BASIR
14 Januari 2013
157 Pati dicekup operasi Imigresen di Melaka, Seremban
Sebahagian 158 warga asing yang diperiksa dalam serbuan JIM negeri di kawasan pembinaan rumah Mukim Belimbing, Alor Gajah.
157 Pati dicekup operasi Imigresen di Melaka, Seremban
Warga asing yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Mantin di sini, ditahan penguatkuasa Jabatan Imigresen atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah.
AYER KEROH - Kira-kira 20 warga asing berjaya meloloskan diri apabila rumah kongsi mereka di Mukim Belimbing, Alor Gajah dekat sini, diserbu penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka (JIM) negeri, malam kelmarin.

Bagaimanapun, seramai 81 orang yang turut lari bertempiaran berjaya ditangkap dalam keadaan kecoh dan gelap itu selepas ‘kediaman’ mereka di kawasan pembinaan rumah diserbu 32 pegawai dan anggota penguatkuasa.

Pengarah JIM, Kamalludin Ismail berkata, kesemua lelaki termasuk empat wanita berusia 21 hingga 50 tahun itu ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap 158 warga asing yang turut tinggal di beberapa rumah banglo yang hampir siap dan 81 daripadanya disyaki melakukan kesalahan.

“Seramai 77 pekerja kontrak melibatkan 65 warga Indonesia, tujuh dari Bangladesh dan seorang lagi dari Myanmar ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Kamalludin berkata, empat wanita termasuk seorang tukang masak yang juga isteri kepada seorang lelaki berstatus penduduk tetap (PR) turut ditahan dalam operasi 6P tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati 12 daripadanya tidak mempunyai permit sah, tinggal di negara ini lebih daripada tempoh dibenarkan dan melanggar syarat pas.

“Justeru, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu itu bermula jam 11.30 malam dan berakhir 3 jam kemudian.

Sementara itu di SEREMBAN, Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 76 warga asing atas pelbagai kesalahan di dua lokasi berasingan di Mantin dan Seremban 2, di sini, malam kelmarin.

Operasi khas yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri, Abdul Kadir Hussin dan 60 anggota penguatkuasa, bermula kira-kira jam 11 malam hingga 6 pagi, semalam.

Abdul Kadir berkata, operasi selama tujuh jam itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai kewujudan kumpulan yang sering membuat gangguan di kawasan terbabit.

Katanya, operasi pertama dilakukan di Pangsapuri D’Palma dan sebuah kolej swasta di Mantin diikuti kawasan tapak binaan S2 Height, Seremban 2, dekat sini.

“Serbuan di Pangsapuri D’Palma, kita menahan 10 warga asing iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan warga Nigeria berusia setahun.

“Serbuan di sebuah kolej swasta di Mantin pula berjaya menahan sembilan warga asing iaitu tujuh lelaki dari negara Pakistan, Zambia, Nigeria, Indonesia, Jordan, Iran dan Sudan. Dua wanita dari Indonesia dan Vietnam turut ditahan.

“Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(3) kerana tidak memiliki dokumen sah,” katanya.

Menurutnya, serbuan terakhir di kawasan tapak pembinaan di Seremban 2, di sini, berjaya menahan 57 warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia setahun.

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan selanjutnya.

Padah lawan arus jalan: Dua lori bertembung, seorang maut, tiga cedera



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
14 Januari 2013
kemalangan
Seorang anggota paramedik sedang membantu mangsa yang cedera parah disamping seorang lagi mangsa yang meninggal dunia.
kemalangan
Keadaan lori barangan lusuh yang terbalik setelah berlanggar dengan sebuah lori ais.
BAGAN SERAI - Tindakan seorang pemandu lori barangan lusuh yang cuba melawan arus memandu menyeberangi jalan membawa padah apabila lori yang dipandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kiub ais di Batu 10, Jalan Taiping di sini petang kelmarin.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Rahim berkata, kemalangan berlaku pada jam 4 petang menyebabkan lori muatan kiub ais itu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang seterusnya masuk ke dalam longkang.

Menurutnya, keadaan lori barangan lusuh lebih mengerikan kerana terbalik dan menyebabkan muatan yang dibawa bertaburan di atas jalan.

“Dalam kejadian itu, pemandu lori kiub ais tidak sedarkan diri akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori barangan lusuh bersama dua kelindannya tercampak beberapa meter dari kawasan kemalangan.

"Seorang daripada kelindan lori barangan lusuh maut di tempat kejadian kerana pendarahan teruk pada kepalanya. Dua mangsa lagi cedera parah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Seorang lagi saksi yang enggan dikenali memaklumkan, lori barangan lusuh dikatakan cuba menyeberang jalan, namun tindakan nekad pemandu lori bertukar tragedi apabila dirempuh lori kiub ais dari arah Taiping menuju Parit Buntar.

Setengah jam selamat mangsa

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai memaklumkan, bomba menerima maklumat awam berhubung kejadian pada jam 3.50 petang dan telah bergegas ke lokasi kejadian.

Seramai sembilan anggota bomba diketuai Penolong Bomba Kanan 2, Mohd Rodzi Che Pa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan pemandu lori kiub ais yang tersepit dalam kenderaan.

"Sebaik sahaja dikeluarkan, ketiga-tiga mangsa yang cedera parah termasuk pemandu lori kiub ais dikejarkan Hospital Taiping untuk rawatan.

"Seorang lagi mangsa, A Denesh, 16 maut di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

Tayar musnahkan rumah

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan sebuah keluarga kerugian hampir RM10,000 apabila sepasang tayar lori yang melayang merosakkan sebahagian besar dinding serta bumbung rumah.

Muhammad Syukri Hafiz Ibrahim, 28 menceritakan, kejadian itu menyebabkan bahagian atas ruang rumah dan tempat letak kereta rosak teruk.

“Pada mulanya saya terdengar bunyi dahan pokok patah dan tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku.

“Saya terkejut mendengar bahagian atas rumah seperti dihentam sesuatu dan saya berlari keluar untuk memastikan apa yang berlaku,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Syukri berkata, sewaktu berlari keluar rumah, dia sekali lagi dikejutkan dengan bunyi yang kuat dan mendapati bumbung tempat parkir kereta runtuh.

“Saya terkejut mendapati sepasang tayar lori turut berada bersama runtuhan bumbung. Bahagian atas rumah musnah teruk akibat hentaman tayar itu,” katanya.

Syukri berkata, ketika dia bersama ibu bapanya meninjau keadaan rumah, pemandu lori yang tidak sedar tayar belakangnya di bahagian kiri tercabut, tiba di rumahnya dan berjanji untuk membayar ganti rugi.

Menurutnya, pemandu lori itu memaklumkan hanya mengetahui tayar belakang lorinya tercabut setelah dikejar dan ditahan seorang penunggang motosikal sejauh tiga KM dari lekasi kejadian.
"Pemandu lori itu juga terkejut melihat kerosakan teruk pada rumah kami, memandangkan jarak rumah dengan lokasi kejadian kira-kira 20 meter. Kami telah melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad ketika melawat lokasi kejadian menyuarakan simpati kepada keluarga pemilik rumah terbabit di atas kerosakan dialami akibat kejadian itu.

“Saya harap sumbangan diberikan pihak kami dapat meringankan beban kerugian mangsa sekeluarga. Kami akan bantu mangsa menguruskan soal ganti rugi dan bersedia menyediakan khidmat guaman sekiranya tiada penyelesaian terbaik dicapai kedua-dua pihak,” katanya.

Miliki syabu, penjual kereta didenda RM10,000



Miliki syabu, penjual kereta didenda RM10,000
Wan Mohd Izzrin (kiri) tenang ketika dibawa ke mahkamah semalam
KOTA BHARU- Gara-gara memiliki dadah jenis syabu seberat 15 gram, Rabu lalu, seorang penjual kereta didenda RM10,000 selepas tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Wan Mohd Izzrin Wan Muda, 25, dari Kubang Kerian didakwa memiliki dadah itu di sebuah restoran di Jalan Bayam kira-kira jam 6 petang pada 9 Januari lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebat tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali.

Dia yang hadir tanpa melantik peguam itu merayu mahkamah mengenakan hukuman minimum, bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Majistret Mohd Ghazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan kes bersambung 7 April depan untuk laporan kimia.

Dadah: Dua beradik didenda



ROSMIZA KASIM
FOTO: KHIRU SHALEH ABDULLAH

14 Januari 2013
Dadah: Dua beradik didenda
Kedua-dua beradik menutup muka ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU-Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM3,500 setiap seorang terhadap dua adik beradik selepas mengaku bersalah memiliki Methamphetamine seberat 0.61 gram Oktober tahun lalu.
Jika gagal bayar mahkamah mengarahkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap kedua-dua pasangan adik beradik yang bertugas dalam bidang insurans.

Majistret, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan hukuman tersebut terhadap Abdul Hafis Md Sopian, 23 dan adiknya, Abdul Haris,  22 tahun selepas mendengar pengakuan salah setelah pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.

Dalam prosiding semalam, Mohd Fazaly Ali menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya berubah kerana ketika dihadapkan ke mahkamah semalam tiada rakan yang sebelum ini sama-sama bergelak-ketawa hadir di sini.

“Kawan tidak ada, ibu yang ada di mahkamah ini. Itu kasih seorang ibu yang menghabiskan sisa hidup dia…Ibu ada satu sahaja, kawan boleh dicari. Saya percaya kamu boleh berubah, kalau kamu tidak berubah ibu kamu akan sedih,” katanya.

Kedua beradik tersebut hanya mampu tertunduk dan mendengar nasihat diberikan oleh Mohd Fazaly Ali di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan pasangan adik beradik itu secara bersama-sama pada 28 Oktober lalu memiliki dadah jenis Methamphetamine kira-kira jam 8.15 malam di sebuah rumah Lot 391 Jalan 4 Pasir Tumboh.

Oleh itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Seksyen itu membolehkan sesiapa yang bersalah didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad yang sebelum itu meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada kedua-duanya.

Penganggur didakwa cederakan wanita



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Januari 2013
Penganggur didakwa cederakan wanita
Mohd Pauzi (depan) diarah jalani pemeriksaan mental sebelum hukuman dikenakan.
KOTA BHARU- “Saya tidak gila, saya tetak dia sebab tidak suka orang di sini yang suka mengumpat,” itulah luahan seorang lelaki di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan mencederakan seorang wanita menggunakan parang hujung tahun lalu.

Mohd Pauzi Ahmad, 48, mengeluarkan kata-kata itu di hadapan Hakim Azman Mustapha semalam selepas membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan juru bahasa.

Oleh itu, mahkamah memerintahkan Mohd Pauzi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru sebelum menetapkan 13 Februari depan untuk mendapatkan laporan perubatan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Pauzi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Chew Foi Sung, 51, menggunakan parang di Nombor 93E, Jalan Kuala Krai, Wakaf Che Yeh, pada jam 1.40 tengah hari 19 November tahun lalu.

Tertuduh yang juga penganggur didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Ripin.

Dadah: 5 lelaki dicekup



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Januari 2013
KEMAMAN – lima lelaki dicekup dan sebotol dadah dipercayai jenis heroin dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Tanah Lot Kemasik, dekat sini, baru-baru ini.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah kira-kira jam 1.15 pagi, polis berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun dan menemui sebotol serbuk putih, dipercayai dadah jenis heroin seberat 4.5 gram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500 di atas sofa
tempat mereka duduk.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil ujian air kencing turut mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

Katanya, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi kemudiannya di kampung sama, polis berjaya menahan dua lagi lelaki masing-masing berusia 30-an dan 42 tahun.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif dadah. Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan dituduh di mahkamah hari ini (semalam).

Hanya mampu laung azan, zikir



MOHD TAHA YAACOB
14 Januari 2013
kebakaran,
Deretan premis kedai, bengkel dan rumah yang terbakar di pekan Alor Lintang, Besut awal pagi semalam.
kebakaran
Seorang pegawai forensik bomba memberitahu sesuatu kepada Nor Mahathir (kiri) di sebuah bengkel motosikal yang turut terbakar dalam kejadian awal pagi semalam
BESUT - Kepantasan anggota bomba dan penyelamat menghalang 11 kedai dan rumah papan berhampiran turut musnah dalam kebakaran membabitkan sederet enam kedai, sebuah stor dan rumah di pekan Alor Lintang, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, enam pintu kedai musnah termasuk kedai menjual dan servis alat pemadam kebakaran.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nor Mahathir Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.50 pagi sebelum empat jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba Besut dan Setiu bersama 20 anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, kebakaran tersebut turut memusnahkan lebih 20 motosikal dan 10 motorcross apabila sebuah bengkel dan menjual alat ganti motosikal turut terbakar.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana semua premis tidak berpenghuni ketika kejadian," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Turut sama melawat tempat kejadian Adun Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Kerugian lebih RM500,000


Nor Mahathir berkata, tugas memadam kebakaran turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jertih selain kawalan keselamatan oleh pasukan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 5.20 pagi oleh anggota bomba diketuai Ketua Balai Bomba Besut, Hasmadi Jusoh dan kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah atau bengkel motosikal berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut dilakukan oleh Forensik Bomba untuk menentukan punca sebenar kebakaran dan di mana ia bermula,” katanya.

Kata beliau, kerugian dianggarkan melebihi RM500,000 itu juga membabitkan sebuah rumah kediaman tidak berpenghuni, sebuah siber kafe, sebuah kedai peralatan elektrik dan dua stor kosong.

Menurutnya lagi, kepantasan pasukannya berjaya menyelamatkan beberapa kedai lain seperti pasar mini, kedai makan, kedai basikal yang terletak sederet dengan premis terbabit daripada musnah.

Hanya mampu laung azan, berzikir
Sementara itu, saksi kejadian, Zulkifli Harun, 55, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar seperti benda pecah dan letupan kecil di luar rumah.

“Apabila saya melihat melalui tingkap, saya dapati kedai sederet dengan kedai dan rumah saya sedang terbakar.

“Saya mengarahkan ahli keluarga keluar menyelamatkan diri apabila melihat api begitu besar dan marak dengan cepat,” katanya yang juga peniaga kedai runcit.

Menurutnya, sepanjang kejadian dia hanya mampu berzikir manakala isterinya, Zainiah Hussin, 50, tidak henti-henti melaungkan azan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya kerana menyangka rumah kedainya akan turut musnah.

Bagaimanapun, kedai Zulkifli terselamat kerana kebakaran sempat dipadamkan oleh bomba daripada merebak ke premis lain.

New York isytihar darurat




14 Januari 2013
vaksin
Kanak-kanak antara diwajibkan mengambil vaksin di New York.
NEW YORK - Gabenor New York, Andrew Cuomo mengisytiharkan darurat kesihatan awam akibat dilanda musim selesema paling teruk tahun ini.

Hampir 20,000 kes selesema dilaporkan di negeri itu dan setakat ini, jumlah kes meningkat empat kali ganda berbanding musim sejuk lepas.

Perintah menghasilkan vaksin dan membolehkan farmasi mengurus vaksin bagi kanak-kanak dan warga emas juga sudah dikeluarkan.

Wabak selesema juga mencapai kadar tinggi di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Pegawai Unit Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS berkata, 7.3 peratus kematian minggu lalu adalah disebabkan pneumonia dan selesema.

“Wabak itu juga merebak sehingga ke 47 negeri berbanding 41 negeri minggu lalu,” katanya.

Antara negeri tidak terjejas akibat wabak ini adalah California, Hawaii dan Mississippi.

Tanda-tanda gejala ini termasuk demam, batuk, hidung berair, sakit badan dan keletihan.

Kes menjadi lebih kritikal apabila pesakit mula mengalami muntah dan cirit-birit sebelum merebak menjadi radang paru-paru.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan sekurang-kurangnya 28, 747 kes yang dilaporkan di seluruh AS sehingga kelmarin dengan 20 kanak-kanak maut.

Bagaimanapun, punca penularan wabak tersebut masih belum diketahui namun beberapa sumber menyatakan wabak itu berpunca daripada khinzir. - Reuters

Penjenayah gagal larikan mesin ATM



HIDAYAH HAIROM
13 Januari 2013
rompak ATM
Anggota forensik memeriksa lokasi kejadian sebuah ATM cuba dilarikan di sebuah stesen minyak, Wangsa Maju, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Cubaan sekumpulan penjenayah untuk melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) menggunakan kenderaan pacuan empat roda di sebuah stesen minyak, Seksyen 10, Wangsa Maju, di sini, awal pagi semalam gagal apabila tali diikat menyambungkan mesin itu dan kenderaan mereka terputus.

Kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu berlaku ketika dua pekerja stesen minyak itu sedang bertugas sebelum didatangi lima lelaki menaiki sebuah Hyundai Matrix berwarna perak dan dua motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha 125 RXZ.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, tiga daripada mereka yang menaiki motosikal bertindak memecahkan cermin dinding berhampiran ATM stesen minyak itu menggunakan besi kuku kambing sebelum mengikat tali pada mesin tersebut.

Menurutnya, seorang daripada mereka dalam masa sama bertindak menyamun wang pekerja di situ.

“Tali diikat pada ATM ke kereta dan cuba ditarik dengan kereta berkenaan sebanyak dua kali, namun ikatan tersebut terputus.

“Sebaik menyedari usaha mereka gagal, kesemua suspek bertindak melarikan diri, bersama motosikal dan pacuan empat roda yang tiada nombor pendaftaran itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, bagaimanapun, Hyundai Matrix itu ditemui terbakar di Bukit Tunku, Jalan Duta, dipercayai sengaja dibakar, sebelum suspek melarikan diri menaiki teksi.

Katanya, kesemua suspek memakai sarung tangan dan tiga yang bermotosikal memakai topi keledar ketika melakukan jenayah tersebut.

Beliau berkata, pekerja stesen minyak itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sedang giat mengesan kesemua suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut yang mana akan membantu siasatan dijalankan. Forensik juga mengambil kesan tayar dan lumpur bagi membantu siasatan.

Tahanan lolos: Rakan bantu sembunyi suspek



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
Tahanan lolos 12 Januari
Abdul Rahim (kanan) menggari salah seorang pekerja warga negara asing yang dokumen perjalanan telah tamat tempoh ketika membuat sekatan jalan raya.
BUTTERWORTH - Polis Pulau Pinang mengenal pasti dua lelaki yang dipercayai membantu memberi perlindungan dan makanan kepada lima tahanan yang masih bebas dan bersembunyi di sekitar Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dua lelaki yang tinggal di dua lokasi berasingan di Ara Kuda itu berusia 31 tahun dan 60-an.

Katanya, mereka juga dipercayai memberikan wang dan pakaian kepada tahanan terbabit.

“Berdasarkan maklumat lelaki berusia 31 tahun itu merupakan rakan kepada salah seorang tahanan itu dan telah memberikan bantuan dan perlindungan kepada mereka selama ini.

“Manakala warga emas terbabit merupakan bekas banduan dan dia juga dikatakan memberi makanan, rokok serta duit kepada tahanan bermula kelmarin,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan sekatan jalan raya bagi mengesan tahanan terbabit di Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE), di sini semalam.

Pelajar tahun dua UTP maut



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
12 Januari 2013
Pelajar UTP maut
Kenderaan dipandu Ahmad Alamin remuk selepas dirempuh lori dari Ipoh, semalam.
BATU GAJAH – Seorang pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut apabila kereta yang dipandu rakannya memasuki laluan bertentangan ketika cuba mengelak dari sebuah lori di Kilometer 17.5 Jalan Ipoh – Lumut, di sini, semalam.

Mangsa, P Jeyaganthan,21, dari Kota Baharu, Kelantan adalah penuntut tahun dua Kejuruteraan Petroleum, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Satria dinaiki mangsa cuba mengelak lori yang datang dari arah Ipoh selepas keluar simpang di hadapan stesen minyak.

“Sebuah lagi kereta dari arah Lumut tidak sempat menekan brek lalu melanggar bahagian belakang kiri iaitu tepat di tempat duduk Jeyagathan menyebabkan mangsa terhantuk.

“Jeyaganthan maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat, manakala dua lagi rakannya yang cedera mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, pemandu kereta, Ahmad Alamin Zainal Abidin, 23, nyaris maut apabila keretanya tiba-tiba masuk ke jalan bertentangan lalu merempuh lori di Kilometer 25.5, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur.

Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dihubungi untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mengalami cedera ringan sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kampar.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tahanan lolos: 3 banduan ditahan semula direman 7 hari




13 Januari 2013
Muka depan Sinar 8 Januari
Muka hadapan Sinar Harian bertarikh 8 Januari (Selasa)
BUTTERWORTH - Tiga tahanan yang ditahan semula selepas meloloskan diri dari polis Isnin lalu, hari ini ditahan reman tujuh hari.
  
Perintah itu dikeluarkan Majistret Sarah Abdul Rahim selepas pegawai penyiasat, ASP Md Zailani Md Zain mengemukakan permohonan itu.
  
Ketiga-tiga suspek Mohamad Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan semula enam hari selepas polis melancarkan gerakan memburu ke atas tujuh tahanan yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 9 pagi Isnin.
  
Mohamad Farid, ditahan ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Seman pada pukul 9 malam manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti pada pukul 10 malam, semalam.
  
Mohamad Khairulnizam pula ditahan dalam sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam dekat sini, awal hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi Isnin lepas, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
  
Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.
  
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.
  
Mereka yang masih diburu ialah Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39. - Bernama

Remaja dijadikan tebusan empat jam oleh tahanan lalui saat cemas




13 Januari 2013
Remaja dijadikan tebusan empat jam oleh tahanan lalui saat cemas
Mangsa tebusan, Muhammad Khairul Anas Fadzli, 19, menunjukkan gambar penjenayah, Khairul Nizam Abdul Rani yang menculiknya dan menggunakan motosikal miliknya.- Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja yang dijadikan tebusan oleh salah seorang tahanan yang lolos dalam kejadian Isnin lepas melalui detik cemas selama empat jam ketika 'bersama' dengan lelaki itu semalam.
  
Mohd Khairul Anas Fazli, 20, berkata beliau dipaksa oleh tahanan itu, Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, untuk membawanya ke beberapa lokasi di sekitar Sungai Bakap dan Bukit Mertajam untuk menemui anggota keluarga dan kenalan lelaki itu.
  
Menceritakan kejadian itu, katanya dia berada di rumah rakannya di Bukit Indera Muda sekitar 8.30 malam Sabtu sebelum didatangi lelaki berkenaan yang menendang pintu rumah.
  
"Dia kenal kawan saya, sebab itu dia datang sana (Bukit Indera Muda). Dia datang dalam keadaan agresif dengan bertindak menendang pintu dan sebaik ia dibuka dia masuk bilik air sebelum meminta salah seorang daripada kami hantarkannya ke rumah kakaknya di Sungai Bakap. Bila kami tak mahu, dia ugut nak ambil motosikal saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
  
Mohd Khairul berkata Mohd Khairulnizam bertindak menunggang motosikalnya dan membawanya ke Sungai Bakap melalui jalan Bukit Teh di Bukit Mertajam, tetapi dia tidak dapat ingat laluan selepas itu berikutan dikelilingi ladang kelapa sawit.

"Tiba di Sungai Bakap, kakak dia (Mohd Khairulnizam) tiada di rumah. Selepas itu dia bawa saya ke rumah rakannya juga di Sungai Bakap, tetapi rakannya itu juga tak ada. Kemudian dia berpatah balik ke Bukit Teh, melalui Machang Bubok, seterusnya ke rumah rakannya di Bandar Perda dan Bukit Mertajam. Namun mereka juga tiada di rumah.
  
"Sepanjang perjalanan, macam-macam perkara yang bermain di fikiran. Saya tak berani jerit minta tolong sebab takut dia buat sesuatu yang mungkin mengancam nyawa saya. Tetapi, sebaik tiba di Bukit Mertajam, saya mendapat akal dan minta untuk menunggang motosikal lalu bawanya ke Berapit dan beritahu dia di sana selamat jika hendak bersembunyi," katanya.
  
Mohd Khairul berkata dia memberanikan diri untuk berbuat demikian selepas melihat lelaki itu seperti terdesak untuk menyembunyikan diri kerana enam hari menjadi buruan polis.
  
"Saya sengaja buat helah dengan minta dia (Mohd Khairulnizam) main Internet dahulu di kafe Internet (Berapit) sebab nak ambil adik balik kerja dan berjanji untuk datang semula mengambilnya di sana selepas itu. Dia kata tak ada duit dan saya beri dia RM5.
  
"Sebaik berjaya melepaskan diri, saya terus memecut motosikal ke balai polis (Kubang Semang) dan maklumkan kepada polis dia ada di sana," katanya.

Sementara itu, Muhamad Shafiq Abdul Rahman, 18, berkata salah seorang tahanan iaitu Mohd Farid Akhtar, 24, datang ke kedai bapanya di Kampung Petani, di sini meminta makanan dan minuman sebelum ditahan polis di situ.
  
Katanya lelaki itu dilihat berjalan kaki seorang diri kira-kira 8.30 malam dalam keadaan tidak bermaya serta tidak memakai kasut sebelum beberapa pelanggan yang ada di situ memanggilnya ke kedai.
  
"Mereka tidak sangka dia merupakan tahanan yang dicari polis berikutan keadaan fizikalnya berbeza di dalam gambar yang diedarkan.
  
"Kami hanya tahu dia tahanan selepas dia sendiri minta pelanggan di situ hantarnya ke balai polis berdekatan. Kami telefon polis dan mereka datang 15 minit kemudian. Sebelum itu, mereka (pelanggan) beri dia makan nasi lemak dan minta saya bancuhkan teh 'o' ais kepadanya," katanya.
  
Muhamad Shafiq berkata lelaki terbabit turut memberitahu rakan tahanannya itu sudah membuat perancangan untuk melarikan diri sejak enam bulan lepas dan merancang akan terus ke negara jiran jika berjaya.

Semalam, polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang pada 9 malam, manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti pada 10 malam, sementara Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan dalam sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini pada 1.15 pagi.
  
Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
  
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.
  
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. - Bernama

Bapa disyaki upah 5 lelaki pukul teman lelaki anak




13 Januari 2013
TEMERLOH - Akibat berang selepas mengetahui anak gadisnya tinggal bersama teman lelakinya sejak 9 Januari lepas, seorang bapa dipercayai mengupah lima lelaki untuk memukul pemuda itu sehingga cedera parah.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Aziz Salleh berkata mangsa, 23, mengalami retak tulang leher dan tulang rahang mulut selain patah tangan kanan selepas dipukul di Jalan Industri, Mentakab, dekat sini pada 11 pagi semalam.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut berada di rumahnya di Kampung Belenggu di Jalan Industri Temerloh-Mentakab bersama teman wanitanya berusia 20 tahun.

Kemudian datang lima lelaki memaksa mangsa dan teman wanitanya mengikut mereka menaiki dua kereta ke satu lokasi untuk menemui seseorang.

"Selepas bertemu bapa gadis itu di lokasi, mangsa dibelasah lima lelaki terbabit, sebelum dia dibawa ke belakang bangunan kafe siber di jalan berkenaan dan diikat," katanya di sini hari ini.
 
Mangsa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah selepas polis mendapat maklumat berhubung kejadian itu.

"Polis berjaya menahan empat lelaki daripada lima suspek berusia antara 21 dan 39 tahun yang tinggal di Kampung Belenggu dan Taman Mentakab Indah, di Temerloh.

"Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, samun, mendatangkan kecederaan dan pencerobohan jenayah," katanya.

Katanya polis masih mengesan bapa gadis itu dan seorang lagi suspek yang membelasah mangsa bagi membantu siasatan.

Menurutnya bapa gadis terbabit pernah membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kerana anaknya tidak pulang ke rumah sejak 9 Januari lepas.

Semua suspek terbabit ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. - Bernama

Penjual kad telefon bimbit didakwa bunuh warga emas




14 Januari 2013
GEORGE TOWN - Seorang penjual kad telefon bimbit dihadap ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga emas di kuil Hindu pada Disember lepas.
  
N. Saravanan, 27, didakwa membunuh P. Muthu, 80, di bangunan No. 138 Kuil Nattukotai Chettiar, Lebuh Penang di sini antara pukul 9 malam hingga 11 malam, 18 Dis tahun lepas.
  
Saravanan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
  
Dia yang diwakili peguam Husaini Abdul Rashid mengangguk tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.
  
Norhayati menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fairuz Rahman. - Bernama

30 maut dalam kemalangan bas di Nepal

KATHMANDU - Seramai 30 maut manakala berpuluh cedera dalam kemalangan di kawasan pergunungan di barat Nepal, semalam.

Pegawai Polis, Ramesh Bahadur Dhanuk berkata, kemalangan berlaku ketika bas sarat dengan penumpang itu tergelincir memasuki laluan bertentangan sebelum terhumban ke gaung di kawasan Chatiwan.

“Ketika kejadian jalan itu diselaputi kabus tebal,” katanya. Menurutnya, anggota penyelamat terpaksa meminta bantuan penduduk tempatan untuk membantu mengeluarkan mangsa.

“Seramai 22 lelaki, tujuh wanita dan seorang kanak-kanak terbunuhdi tempat kejadian dan cedera di bawa ke hospital," katanya. - AFP